DONATE

Khamis, 17 Julai 2008

Pentadbiran dan Cara Penyelesaian Harta Pusaka Orang Islam di Malaysia



1.1 Pendahuluan

Undang-undang pusaka Islam atau faraid merupakan satu sistem pembahagian pusaka dalam islam yang bersumberkan wahyu daripada Allah iaitu melalui Al-Quran. Sistem ini dirujuk kepada ayat al-mawarith dalam Surah al-Nisa’ ayat 11:

Maksudnya:
Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, Iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta Yang ditinggalkan oleh si mati. dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta Yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang Yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat Yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya Yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti Yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Surah al-Nisa’ ayat 12:

Maksudnya:
Dan bagi kamu satu perdua dari harta Yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta Yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat Yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta Yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta Yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat Yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu. dan jika si mati Yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, Yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam. kalau pula mereka (saudara-saudara Yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat Yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat Yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.

Surah al-Nisa’ ayat 176:

Maksudnya:
Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalaalah). katakanlah: "Allah memberi fatwa kepada kamu di Dalam perkara Kalalah itu, Iaitu jika seseorang mati Yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu perdua dari harta Yang ditinggalkan oleh si mati; dan ia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta Yang di tinggalkan oleh si mati. dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan". Allah menerangkan (Hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. dan (ingatlah) Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Oleh itu, jelaslah bahawa Islam amat menitik beratkan tentang penjagaan serta pembahagian harta pusaka dalam Islam supaya tidak berlaku penyelewengan.

Justeru di Malaysia perkara-perkara yang berkaitan dengan pusaka bagi orang-orang Islam adalah termasuk dalam bidang kuasa kerajaan negeri sepertimana yang diperuntukkan di dalam Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan iaitu Senarai 2(1) melibatkan Senarai Negeri iaitu:
“Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan, Hukum Syara’, dan Undang-Undang Diri dan Keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum syara’ berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin, nafkah… ”

Oleh itu berkaitan dengan pentadbiran pusaka atau pewarisan harta berwasiat dan tak berwasiat maka ia termasuk dalam Senarai 1(4)(e) iaitu Senarai Persekutuan dan ini menyebabkan terdapat banyak statut-statut Persekutuan yang telah diluluskan oleh parlimen berhubung dengan perwarisan berwasiat dan tidak berwasiat.

Undang-undang yang dilaksanakan dalam pentadbiran harta pusaka orang-orang Islam di Malaysia ialah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan Akta Probhet dan Pentadbiran 1959. Berdasarkan kedua-dua statut ini, harta pusaka dapat dikategorikan kepada tiga jenis iaitu harta pusaka besar (biasa), harta pusaka ringkas, dan harta pusaka kecil. Pembahagian ketiga-tiga jenis harta ini tertakluk kepada jumlah nilaian harta pusaka yang ditinggalkan oleh simati.

1.2 Kuasa perundangan persekutuan dan negeri

Sebagai sebuah negara persekutuan, pembahagian kuasa di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri-negeri telah ditentukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukan bahawa kerajaan persekutuan mempunyai kuasa yang lebih luas berbanding dengan kuasa kerajaan negeri-negeri. Tujuan pembahagian kuasa ini dibuat adalah penting bagi menyelesaikan beberapa pertelingkahan yang mungkin atau telah berlaku di antara negeri-negeri. Inilah bertuk negara persekutuan yang diamalkan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang berasaskan kepada Laporan Suruhanjaya Reid, tahun 1957.

Justeru berhubung dengan undang-undang pusaka orang-orang Islam (faraid) dan pentadbiran pusaka bagi orang-orang Islam terdapat dua peruntukan yang berbeza dalam Jadual Ke-9 dalam Senarai 2(1) iaitu Senarai Negeri dan yang kedua pula diletakkan di bawahSenarai 1(4)(e) iaitu Senarai Persekutuan. Kedudukan yang lebih jelas dapat diperhatikan dalam kedua-dua senarai yang disebut diatas.

Berdasarkan kedua-dua senarai diatas jelas menunjukkan bahaa undang-undang pusaka Islam (Faraid) terletak dibawah bidang kuasa negeri-negeri manakala pentadbiran keadilan termasuk pentadbiran pusaka bagi orang Islam adalah terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Pesekutuan. Oleh kerana itu, Parlimen telah meluluskan dua jenis undang-undang bagi mentadbir pusaka orang Islam dan bukan Islam iaitu Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan Akta Probet dan Pentadbiran 1959.

Dalam pentadbiran dan penyelesaian kes-kes pusaka orang Islam, Mahkamah Syariah hanya diberi kuasa memperaku dan mengesahkan bahagian-bahagian yang akan diperolehi oleh waris-waris dalam bentuk Sijil Farid atau Perakuan Ahli Waris sahaja. Bagi negeri Sabah dan Sarawak, perkara-perkara yang berkaitan dengan undang-undangdiri yang berkaitan dengan undang-undang diri berhubung dengan perkahwinan, perceraian, penjagaan anak, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, undang-undang keluarga, pemberian atau mewarisi harta berwasiat atau tidak berwasiat adalah diletak di bawah Senarai Bersama, di mana Kerajaan Persekutuan dan Negeri-negeri sama-sama mempunyai kuasa tentang perkara-perkara tersebut.

1.3 Latar belakang undang-undang dan pentadbiran pusaka orang Islam di Malaysia

Sebelum Perang Dunia Kedua, pentadbiran pusaka orang-orang Islam di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu seperti Kelantan, Terengganu, Johor, Kedah, dan Perlis diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Agama Islam atau Mahkamah Syariah negeri masing-masing. Tetepi selepas itu pentadbiran pusaka adalah dikendalikan di peringkat Persekutuan dan di Mahkamah Tinggi Sivil, kerana urusan pembahagian pusaka atau perwarisan berwasiat dan tidak berwasiat serta urusan mengeluarkan surat kuasa tadbir diletakan di bawah Senarai 1 Jadual ke-9, Senarai Persekutuan. Pentadbiran pusaka orang-orang Islam dan bukan Islam dikendalikan sepenuhnya oleh Pegawai Penyelesai Pusaka, Perbadanan Amanah Raya Berhad (Pemegang Amanah Raya) atau Mahkamah Tinggi Sivil. Walau bagaimanapun, kadar pembahagian pusaka orang-orang Islam dan penentuan waris-waris sama ada berhak atau tidak akan diputuskan oleh Mahkamah Syariah menurut undang-undang pusaka Islam (Faraid).

Mahkamah Syariah mempunyai kuasa mengeluar atau mengesahkan waris-waris yang berhak dan kadar bahagian masing-masing dalam bentuk Sijil Faraid atau Perakuan Ahli Waris. Demikian juga perkara-perkara hukum syarak yang lain seperti menetukan kesahtarafan anak, sah atau tidak akad perkahwinan, harta sepencarian, menegsahkan wasiat, wakaf, hibah dan sebagainya, adalah dibawah tanggungjawab dan kuasa mahkamah syariah.

1.4 Undang-undang yang berkaitan dengan pentadbiran pusaka di Malaysia

1.4.1 Undang-undang Pusaka Islam (Faraid)

Sehingga hari ini, di Malaysia tidak ada satu bentuk undang-undang pusaka Islam (faraid) yang telah dikanunkan dalam bentuk undang-undang bertulis oleh negeri-negeri seperti yang terdapat di Mesir iaitu Qanun al-Mawarith 1943. Walau bagaimanapun, kaedah pembahagian pusaka secara Islam telah diikuti sepenuhnya oleh Mahkamah Syariah negeri-negeri. Dalam hal ini, rujukan bolehlah dibuat kepada kitab-kitab fiqh Mazhab Shafie untuk menetukan kedudukan waris-waris dan bahagian-bahagian yang sepatutnya mereka terima dalam harta pusaka si mati yang beragama Islam.

1.4.2 Undang-undang Pusaka Bukan Islam (Akta Pembahagian 1958)

Manakala bagi orang-orang bukan Islam, cara-cara pembahagian harta pusaka mereka ditetapkan dalam Akta Pembahagian 1958. Akta ini diluluskan bertujuan untuk menjelaskan hak-hak perwarisan harta si mati yang bukan beragama Islamserta bahagian-bahagian setiap seorang daripada mereka. Akta ini terpakai sekiranya si mati tidak meninggalkan wasiat. Bahgian setiap waris mengikut akta ini berbeza-beza mengikut keadaa sesuatu kes itu. Sebagai contoh bapa atau ibu masing-masing mendapat ½ bahagian jika si mati tidak mempunyai waris lain. Jika ada waris lain lain, bapa akan mendapat 1/8 dan ibu mendapat 1/8 bahagian. Jika si mati meninggalkan bapa, ibu, isteri dan anak-anak, maka bapa mendapat 1/8, ibu 1/8 isteri 2/8, dan anak-anak mendapat 4/8 bahagian. Sebaliknya, jika si mati hanya meninggalkan suami dan atau isteri tanpa waris-waris yang lain, maka suami atau isteri akan mendapat kesemua bahagian harta si mati dan jika si mati tidak mempunyai waris, maka menurut akta ini harta pusaka si mati akan kembali kepada kerajaan. Anak yang tidak sah taraf tidak boleh mewarisi harta ibunya jika ada anak yang sah taraf.

1.4.3 Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955

Akta ini merupakan undang-undang bersifat tadbiran. Tujuan akta ini diperkenalkan ialah untuk meyelaraskan dan menyeragamkan cara-cara pembahagian dan tadbiran pusaka si mati sama ada beragama Islam atau bukan beragama Islam. Di samping itu, akta ini diluluskan bertujuan untuk menjimatkan perbelanjaan dan mempercepatkan urusan pengendalian dan pengurusan sesuatu tuntutan pembahagian pusaka kecil. Akta ini diguna pakai kepada semua tuntutan harta pusaka seseorang si mati sama ada semuanya mengandungi tanah-tanah sahaja atausebahagiannya mengandungi tanah bersama dengan harta-harta alih yang lain seperti wang tunai, saham, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Johor (ASJ), dan sebagainya tetapi jumlah nilaian harta itu hendaklah tidak melebihi RM 600,000.00 pada tarikh permohonan dibuat .

1.4.4 Akta Probet dan Pentadbiran 1959

Akta ini dilaksanakan terhadap harta pusaka besar (biasa) dan hara pusaka rigkas. Harta pusaka besar ialah harta pusaka yang jumlah nilainya lebih daripada RM 600,000.00 sama ada terdiri daripada harta alih semuanya atau semuanya harta tak alih atau terdiri dari campuran harta alih dengan harta tak alih atau harta pusaka yang jumlah nilainya kurang daripada RM 600,000.00 tetapi si mati ada meninggalkan wasiat.

Akta Probet dan Pentadbiran 1959 telah dikuatkuasakan pemakaiannya di seluruh Semenanjung Malaysia pada 1hb Februari 1960. Akta ini memperuntukan cara-cara untuk mendapatkan surat kuasa probet dan surat kuasa tadbir. Permohonan untuk mendapatkan surat kuasa probet dan surat kuasa tadbir boleh dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil. Menurut akta ini terdapat tiga jenis surat kuasa wasiat dan kuasa tadbir, iaitu :

( 1 ) Surat kuasa wasiat (probet) jika si mati meninggalkan wasiat yang meliputi semua hartanya (bagi si mati yang bukan beragama Islam).
( 2 ) Surat kuasa tadbir bagi harta pusaka tanpa wasiat (intestate estate)
( 3 ) Surat kuasa tadbir dengan wasiat berkembar apabila si mati meninggalkan wasiat untuk sebahagian daripada harta peninggalanya dan sebahagian yang lain tanpa wasiat.

1.4.5 Akta Tanah (Kawasan-kawasan Penempatan Berkelompok) 1960

Akta ini dilaksanakan terhadap tanah-tanah yang dibuka di bawah rancangan pembangunan FELDA. Peneroka-peneroka yang telah berjaya memasuki rancangan FELDA, mereka diberikan sebidang tanah pertanian seluas lebih kurang 6 hingga 10 ekar dan sebidang tanah untuk tapak rumah. Peneroka akan memebayar kepasa FELDA secara beransur-ansur dengan cara ’Bayaran Tahunan Disatukan’ setelah tanah rancangannya mengeluarkan hasil, kebiasaannya selepas 6 tahun. Tempoh ‘Bayaran Tahunan Disatukan’ adalah selama 15 tahun. Tanah rancangan FELDA itu didaftarkan di atas nama Daftar Pegangan Desa dan hakmilik tanah itu belum lagi didaftar dan dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah, kecuali setelah semua bayaran dijelaskan sepenuhnya oleh peneroka.

Apabila berlaku kematian seseorang peneroka semasa tanahnya masih di bawah Daftar Pegangan Desa, maka seksyen 16, akta ini mengkehendaki supaya tanah itu diturun milik kepada seorang waris yang berhak sahaja. Jika lebih dari seorang yang berhak dan mereka bersetuju secera maufakat memberi seorang sahaja daripada mereka, pentadbir tanah boleh menjual pegangan itu dan hasil jualannya dibahagikan di kalangan orang-orang berhak mengikut hukum syarak (faraid).

1.4.6 Enakmen Rizab Melayu Negeri-negeri

Enakmen ini melarang sebarang urusniaga dan pindah milik tanah simpanan Melayu kepada bukan Melayu. Enakmen ini menghadkan penurunan milik tanah simpanan Melayu si mati kepada waris yang bukan Melayu, tetapi beragama Islam. Dari segi hukum syarak mereka berhak kepada harta pusaka itu .

1.4.7 Enakmen pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri

Enakmen ini pula mempunyai kuasa untuk memutuskan beberapa perkara yang berkaitan dengan harta seorang islam terutamanya mengenai harta sepencarian, pusaka, hibah, dan wakaf. Kadangkala dalam kes-kes tertentu fatwa mufti diperlukan bagi menetukan harta pusaka dan orang yang berhak terhadap harta itu.

1.4.8 Undang-undang Penama

Melantik penama satu arahan yang sah mengikut undang-undang dan amalan itu meliputi seluruh orang-orang Islam, berbeza dengan Ordinan Wasiat 1959, yang hanya dipakai bagi orang-orang yang bukan beragama Islam sahaja. Persoalan penamaan (Nomination) pada hakikatnya adalah sama dengan wasiat harta benda. Apabila berlaku kematian ke atas seorang penyimpan harta dan wang itu akan menjadi hak mutlak penama sedangkan penama itu kebanyakannya terdiri daripada ahli-ahli waris yang berhak menerima pusaka. Bagi orang-orang Islam, pelantikan penama seperti ini jelas bertentangan dengan hukum faraid dan undang-undang wasiat Islam . Apabila membicarakan soal penamaan ia melibatkan dua jenis harta iaitu :

1) Harta simpanan dalam institusi kewangan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Bank Simpanan Nasional, Tabung Haji dan sebagainya.
2) Wang insuran nyawa yang ditinggalkan oleh si mati.

Pelantikan penama sudah lama diamalkan di Malaysia baik tentang harta orang-orang islam atau orang-orang bukan Islam, tetapi baru-baru ini perkara ini telah mendapat perhatian pihak berkuasa yang mengambil keputusan bahawa amalan penamaan dan undang-undang penamaan yang bercanggah dengan hukum dan wasiat Islam hendaklah dipinda supaya tidak membolehkan orang-orang Islam membuat sebarang penamaan atau supaya penamaan hanya boleh dibuat oleh orang-orang bukan Islam sahaja.

1.4.9 Customary Tenure Enactment

Enekmen ini lebih dikenali sebagai Enakmen Pengangan Adat yang memeperuntukan cara-cara pembahagian harta pusaka berkaitan dengan tanah adat di Negeri Sembilan dan Melaka. Tanah adat ialah tanah dibawah hak milik Pejabat Tanah yang diwartakan di bawah Enakmen Pegangan Adat dan Enakmen Pegangan Adat (Tanah Lengkongan) 1960 dan ianya diwarisi secara turun temurun oleh sesuatu kaum secara berkelompok. Dalam sijil daftar tanah adapt tercatat nama suku atau kaum berkenaan. Tanah adat banyak terdapat di daerah Jelebu, Rembau, Kualau Pilah, Jempol, Tampin dan Gemas di Negeri Sembilan. Sementara di Melaka pula di Alor Gajah dan Jasin .

1.4.10 Peraturan-peraturan Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan perkeliling-perkeliling berkaitan.

Selain undang-undang di atas, terdapat peraturan-peraturan Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan perkeliling-pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian di Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi dari semasa ke semasa bagi menyelesaikan pembahagian harta pusaka kecil.


1.5 Pentadbiran harta pusaka di Malaysia

Berdasarkan undang-undag yang terdapat di Malaysia , harta pusaka dibahagikan kepada tiga jenis iaitu Harta Pusaka Kecil, Harta Pusaka Besar (Biasa), dan Harta Pusaka Ringkas. Perkara ini merujuk kepada Akta Probet dan Pentadbiran Harta Pusaka 1959 dan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955.

1.5.1 Harta Pusaka Kecil

Harta Pusaka Kecil ialah harta yang ditinggalkan oleh si mati tanpa wasiat yang terdiri daripada harta tak alih sahaja atau campuran di antara harta alih dan harta tak alih yang jumlah nilainya tidak melebihi RM 600,000.00. Undang-undang yang dipakai dalam pentadbiran harta pusaka kecil ialah Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian di Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi dari semasa ke semasa. Tuntutan pembahagian harta pusakakecil bagi orang-orang Islam dan bukan Islam boleh dibuat di Pejabat Pusaka Kecil atau Pejabat Tanah di hadapan Pegawai Penyelesai Pusaka. Terdapat 36 unit pembahagian pusaka kecil di seluruh Malaysia. Unit ini diletakan di bawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian dan Pembangunan Koperasi. Kebiasaannya tuntutan atau permohonan pembahagian harta pusaka kecil dibuat di Pejabat Tanah di mana harta tak alih si mati terletak. Sekiranya si mati mempunyai tanah yang banyak tempat, sama ada di negeri yang sama atau negeri yang berlainan maka daerah yang mempunyai nilai harta si mati yang paling tinggi akan mempunyai bidangkuasa untuk menyelesaikannya.

Setiap permohonan untuk pembahagian harta pusaka kecil hendaklah dibuat di dalam borang khas iaitu Borang A. Borang ini boleh di dapati secara percuma di Pejabat Tanah ataupun Unit Pembahagian Pusaka Kecil yang berdekatan dengan tempat tinggal pemohon. Setiap permohonan dikenakan bayaran pendaftaran sebanyak RM 10.00 semasa pendaftaran dibuat. Permohonan tersebut akan dihantar ke Pejabat Pendaftaran Pusat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya setiap permohonan direkodkan dan bertujuan mengelakkan pertindihan. Semasa mengemukakan Borang A terdapat beberapa dokumen yang perlu disertakan iaitu :-

1) Bukti kematian sama ada surat mati atau permit pengkebumian, suart sumpah oleh dua orang saksi bebas yang menyaksikan jenazah dikebumikan ( terpakai bagi kematian semasa Jepun atau sebelumnya ) ataupun perintah anggapan kematian yang dikeluarkan oleh Mahkmah Tinggi ( terpakai bagi keadaan di mana tiada sijil mati, si mati hilang di laut dan sebagainya ). Perintah ini hanya boleh diperolehi selepas 7 tahun dari tarikh orang tersebut hilang dan tidak didengar khabar berita.
2) Salinan hak milik keluaran (geran tanah) dan jika terdapat harta alih mestilah disokong oleh dokumen-dokumen yang menunjukkan pegangan harta alih si mati seperti pegangan buku bank, sijil pendaftaran kenderaan, sijil saham, penyata KWSP dan sebagainya.
3) Salinan Kad Pengenalan waris-waris, surat beranak jika ada, dan surat nikah pasangan si mati
4) Sekiranya pembahagian hendak dibuat mengikut hukum faraid, pemohon perlulah mendapatkan sijil faraid daripada Mahkamah Syariah yang berdekatan.

Menurut seksyen 8, Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, orang yang berhak memfailkan tuntutan pembahagian harta pusaka kecil ialah :-

1) Waris-waris pusaka si mati (benefisiari) sperti suami ataupun siteri, aibu atau bapa dan baitulmal jika tiada waris yang berhak menerima pusaka si mati.
2) Si piutang (creditors) dan pengkaveat yang telah memasukkan kaveat atau perintah halangan ke atas tanah kerana menuntut kepentingan atau hak ke atas tanah si mati.
3) Si pembeli (pembelian melalui perjanjian yang sah ataupun melalui perjanjian lisan yang sah tetapi pindah milik belum dapat dibuat sebelum si mati meninggal dunia).
4) Orang-orang ataupun badan-badan yang berkepentingan dalam tanah kepunyaan si mati seperti pemegang gadaian dan pajakan seperti pihak bank.
5) Penghulu atau pegawai penempatan dengan arahan pentadbir tanah di bawah seksyen 18, Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, terpakai apabila di dalam tempoh 6 bulan selepas kematian si mati tida sebarang prosiding diambil untuk mendapatkan probet atau surat kuasa mentadbir pusaka ataupun permohonan untuk pembahagian di bawah Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955.
6) Amanah Raya Berhad (terpakai apabila waris si mati membuat tuntutan melalui ARB)
7) Pegawai Penyelesai Pusaka atau pemegang amanah (trustee)

1.5.1.1 Proses permohonan bagi pentadbiran dan pembahagian Harta Pusaka Kecil

Pertamanya proses dimulakan dengan mengumpul maklumat penting berkaitan harta pusaka. Kemudian pemohon perlu mengisi dan menfailkan Borang A di Pejabat Tanah dan diproses. Proses tersebut dikenakan bayaran pendaftaran sebanyak RM 10.00.

Manakala Pegawai Penyelesai Pusaka akan mendaftarkan permohonan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan menerima jawapan sama ada tuntutan tersebut telah dibuat ataupun tidak yang dinyatakan dalam Borang C. Kemudian penyiasatan akan dilakukan oleh Pegawai Penempatan atau Penghulu bagi memastikan harta si mati dan penaksiran nilai harta si mati akan dibuat oleh Pegawai Penyelesai Pusaka sama ada harta pusaka itu pusaka kecil atau sebaliknya. Jika harta pusaka besar (biasa) dpindahkan ke Mahkamah Tinggi dan jika harta itu berada di negeri lain akan dipindahkan kepada pegawai berkenaan.

Sijil faraid pula diperolehi daripada Mahkamah Rendah Syariah bagi orang-orang Islam. Pada waktu itu Pegawai Penyelesai Pusaka menetapkan tarikh, masa, dan tempat perbicaraan serta menghantar notis kepada semua waris yang berhak tentang perkara tersebut yang dinyatakan dalam borang D. Kemudian Pegawai Penyelesai Pusaka akan membuat perintah perlantikan sebagai penjaga bagi seorang remaja atau orang gila jika perkara tersebut diperlukan. Setelah itu perbicaraan dijalankan oleh Pegawai Penyelesai Pusaka dengan mengambil keterangan semua pihak termasuk saksi-saksi dan Pegawai Penyelesai Pusaka akan membuat perakuan jika berlaku pertikaian bersampingan.

Kemudian Pegawai Penyelesai Pusaka akan meneydiakan perintah pembahagian (Borang E dan F) di mana pihak waris hendaklah mengemukakan hak milik tanah dan geran di Pejabat Tanah berkenaan bagi pendaftaran perintah pembahagian. Jika harta alih, pihak waris hendaklah mengemukakannya kepada agensi atau institusi yang bertanggungjawab. Sekiranya terdapat bantahan atau kaveat diisi dalam Borang N. Tempoh rayuan adalah 14 hari daripada tarikh perintah sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan serta perintah yang dibuat. Rayuan boleh dibuat melalui Pegawai Penyelesai Pusaka ke Mahkamah Tinggi melalui Borang K1,K2,K3 dan dikenakan bayaran RM50.00. Segala keputusan rayuan adalah muktamad dan tidak boleh dibuat apa-apa rayuan selanjutnya dan pendaftran perintah dibuat di Pejabat Tanah berkenaan.



1.5.2 Harta Pusaka Besar (Biasa)

Harta Pusaka Besar atau biasa ialah semua jenis harta peninggalan si mati yang jumlah nilaiannya RM 600,000.00 ke atas sama ada terdiri daripada harta tak alih semuanya atau harta alih semuanya atau campuran kedua-duanya ataupun harta pusaka yang jumlah nilaiannya kurang daripada RM 600,000.00 tetapi si mati ada meninggalkan wasiat. Pentadbirannya tertakluk kepada Akta Probet dan Pentadbiran 1959. Permohonan hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil yang berhampiran dengan tempat tinggal si mati untuk mendapatkan sama ada probet (surat kuasa wasiat bai orang bukan Islam), surat kuasa mentadbir pusaka (bagi pusaka tanpa wasiat)ataupun surat kuasa tadbir dengan wasiat berkembar. (bagi si mati yang meninggalkan wasiat sebahagiaan hartanya).

Bagi orang yang beragama Islam, si mati hanya boleh mewasiatkan hartanya tidak melebihi 1/3 kepada pihak-pihak yang lain selain daripada waris-warisnya kecuali dengan persetujuan waris-waris lain. Dokumen-dokumen yang diperlukan semasa membuat tuntutan harta pusaka besar sama dengan dokumen-dokumen yang diperlukan semasa menuntut harta pusaka kecil termasuklah surat wasiat terakhir si mati. Permohonan boleh dibuat oleh waris-waris si mati atau si piutang sama ada secara persendirian, melalui khidmat peguam ataupun menerusi bantuan Pegawai Penyelesai Pusaka atau ARB. Setiap permohonan hendaklah didaftarkan di Pejabat Pendaftaran Pusat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menentukan sama ada harta pusaka tersebut telah dituntut atau sebaliknya.

Kebiasaannya orang yang diberi probet atau surat kuasa mentadbir pusaka kecuali bagi Pegawai Penyelesai Pusaka atau ARB, disyaratkan mendapat seorang atau dua orang penjamin. Jika sekiranya pempetisyen mengalami kesulitan mendapatkan penjamin-penjamin yang layak dan sesuai, amak dia bolehlah memohon kepada mahkamah bagi mendapatkan perintah pengecualian daripada mengemukakan penjamin-penjamin atau pendapat khidmat penjamin profesional seperti sayarikat insuran atau institusi bank dengan bayaran yuran yang telah ditetapkan oleh syarikat atau institusi tersebut berdasarkan jumlah harta pusaka .

Surat kuasa mentadbir pusaka atau probet hanya boleh dikeluarkan apabila perintah pengecualian penjamin telah diperolehi dan bon (surat ikatan ikrar) pentadbiran telah ditandatangani oleh pempetisyen. Setelah pempetisyen memperoleh surat kuasa tersebut, dia hendaklah mendaftarkannya di pejabat tanah yang berkenaan supaya semua suratan-suratan hak milik tersebut didaftarkan atas nama pempetisyen sebagai wakil peribadi si mati . Menjadi tanggungjawab pempetisyen untuk memohon kepada mahkamah sebaik sahaja dia menghasilkan semua asset si mati membuat satu perintah pembahagian terhadap harta pusaka kepada waris-waris menurut faraid atau menurut terma-terma wasiat si mati ataupun Ordinan Pentadbiran Harta Pusaka.

1.5.3 Harta Pusaka Ringkas

Iaitu harta pusaka yang jumlah nilaiannya tidak melebihi RM 600,000.00 yang terdiri daripada harta alih sahaja tanpa wasiat seperti wang tunai, saham, KWSP, ASN ASB, kereta, wang simpanan dan sebagainya. Permohonan untk penyelesaian dan pembahagian harta pusaka ringkas hendaklah dibuat melalui Pegawai Pentadbir Pusaka atau Pengarah Perbadanan Amanah Raya Berhad. .

Terdapat satu peruntukan khas dalam Akta Probet dan Pentadbiran 1959 yang memberi kuasa kepada pegawai pentadbir pusaka atau pemegang Amanah Raya untuk mentadbir dan menyelesaikan harta pusaka ringkas tanpa perlu membuat permohonan Surat Kuasa Tadbir kepada Mahkamah Tinggi Sivil. Pembahagian harta pusaka tersebut dibuat kepada waris-waris yang berhak mengikut kadar tertentu sepertimana yang dinyatakan dalam Sijil Faraid yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah .

Antara prosedur untuk memohon pentadbiran harta pusaka ringkas atau dikenali dengan pentadbiran terus (Summary Administration) di ARB ialah :

i. Ketua Pegawai Eksekutif dibenarkan mentadbir harta pusaka yang mempunyai harta alih yang tidak melebihi RM 600,000.00 di bawah seksyen 17 Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 tanpa surat kuasa tadbir daripada Mahkamah Tinggi atau Pentadbiran Tanah Daerah. Ini dilakukan sekiranya tiada apa-apa permohonan dibuat oleh mana-mana pihak lain.
ii Waris-waris atau sesiapa sahaja yang mempunyai kepentingan dalam harta pusaka si mati yang dikategorikan sebagai harta pusaka ringkas boleh memohon kepada ARB untuk mentadbir harta pusaka tersebut tanpa melantik mana-mana waris menjadi pemegang kuasa.
iii. Waris-waris hanya perlu mengisi dan mengemukakan borang permohonan dengan maklumat yang lengkap dan dokumen-dokumen yang membuktikan kematian si mati.
iv. ARB diberi kuasa untuk menghasilkan asset-aset yang berkenaan bagi tujuan pembahagian.
v. Setelah menjelaskan bayaran duti pusaka (bagi kes-kes kematian sebelum 1 November 1991 sahaja), hutang pusaka dan menolak fee bagi ARB, baki asset akan dibahagikan menurut faraid (bagi orang Islam), Ordinan Pembahagian (bagi orang bukan Islam) atau secara persetujuan antara waris-waris yang berkenaan.

1.6 Mahkamah Syariah

Dalam pentadbiran harta pusaka di Malaysia, Mahkamah Syariah diberi kuasa untuk mengeluarkan sijil faraid atau perakuan ahli waris. Sijil faraid atau perakuan ahli waris ialah satu sijil atau perakuan yang dikeluarkan si mati yang beragama Islam, waris-waris yang berhak dan bahagian masing-masing terhadap harta pusaka tersebut. Sijil faraid atau perakuan ahli waris telah diberi kuasa hanya kepada Mahkamah Syariah mengeluarkannya . Sijil faraid hendaklah disahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah sekalipun ianya dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah negeri-negeri. Sijil ini biasanya mengandungi nilaian harta pusaka si mati, nama-nama waris yang berhak dan bahagian masing-masing. Sijil ini dikeluarkan apabila terdapat permohonan daripada waris-waris atau pihak-pihak tertentu yang berhasrat unutk membahagikan harta pusaka si mati mengikut hukum syarak.

Sijil faraid amat penting dalam pembahagian dan pentadbiran pusaka orang-orang Islam di Malaysia kerana pembahagian dan pengeluaran harta pusaka si mati akan dibuat berdasarkan.sijil yang telah disahkan itu. Sijil ini diperlukan dalam semua tuntutan harta pusaka si mati sama ada dibuat melalui Mahkamah Tinggi Sivil, Pegawai Penyelesai Pusaka atau Amanah Raya Berhad sama ada dalam bentuk harta pusaka kecil, harta pusaka besar ataupun harta pusaka ringkas.

1.7 Amanah Raya Berhad (ARB)

Amanah Raya Berhad adalah sebuah syarikat amanah yang ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 dan dikorporatkan di bawah Akta Syarikat 1965. ARB beroperasi sebagai sebuah syarikat pada 1 Ogos 1995 selepas ia dikorporatkan. Sebelum itu, ARB merupakan jabatan kerajaan yang dikenalai sebagai Jabatan Pemegang Amanah Raya dan Pegawai Pentadbir Pusaka Malaysia ynag telah wujud semenjak tahun 1921.

Antara peranan ARB ialah sebagai pemegang amanah, wasi, pentadbir, penjaga, sahabat, wakil ejen, penerima dan sebagainya. Kemudian sebagai pemegang atau pentadbir Surat Kuasa Probet dan Surat Kuasa Tadbir. Selain itu, ia juga sebagai ganti wasi, pemegang amanah atau pentadbir yang sedia ada. ARB juga boleh diberi Surat Kuasa Tadbir apabila pempetisyen gagal mengambilnya. Akhir seklai boleh mengambil milik harta untuk simpanan selamat.

Dalam bidang pentadbiran harta pusaka, ARB mempunyai beberapa bidangkuasa berikut:

i. Seksyen 17(1) Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 memberi kuasa kepada Amanah Raya Berhad untuk mentadbir harta pusaka yang mengandungi harta alih sahaja yang bernilai tidak lebih RM 600,000.00.
ii. Seksyen 3(2), seksyen 4, dan seksyen 13 Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, memberi kuasa kepada Amanah Raya Berhad memfailkan petisyen di Pejabat Penyelesai Pusaka Kecil untuk dilantik sebagai pentadbir atau mendapatkan perintah pembahagian bagi harta pusaka yang mengandungi harta alih dan harta tak alih sehaja yang bernilai tidak lebih RM 600,000.00.
iii. Seksyen 77A Akta Probet dan Pentadbiran 1959 memberi kuasa kepada Amanah Raya Berhad untuk memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Sivil bagi mendapatkan Surat Kuasa Probet dan Surat Kuasa Tadbir bagi kes-kes berikut :
a) Kes pusaka yang mengandungi harta alih dan harta tak alih bernilai lebih daripada RM 600,000.00
b) Kes si mati meninggalkan wasiat (jika wasiat hanya mengandungi harta alih sahaja)
c) Pentadbir yang dilantik terdahulu meninggal dunia.
d) Pentadbir dahulu gagal menyelesaikan pentadbiran harta pusaka atau wasi yang dilantik oleh pewasiat menolak perlantikannnya atau meninggal dunia.

1.8 Kesimpulan

Pentadbiran dan cara penyelesaian harta pusaka orang Islam di Malaysia adalah termasuk dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri-negeri sepertimana yang diperuntukan dalam Jadual Kesembilan iaitu Senarai 2(1)-Senarai Negeri. Oleh itu, menurut Kerajaan Persekutuan, jika berlaku pertentangan di antara undang-undang Persekutuan dan undang-undang negeri, maka undang-undang negeri akan terbatal setakat yang berlawanan itu. Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa membuat undang-undang tentang pentadbiran pusaka orang-orang Islam seperti Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan Akta Probet dan Pentadbiran 1959, walaupun undang-undang pusaka Islam atau faraid merupakan bidang kuasa kerajaan negeri-negeri.

1.9 Rujukan

Perlembagaan Persekutuan

Mohd Ridzuan bin Awang. Undang-Undang dan Pentadbiran Pusaka, Wasiat, dan Wakaf: Pengajian Jarak Jauh. 2003. UKM. Bangi

Rafie bin Omar. Pembahagian Pusaka dan Perancangan Harta Orang Islam. 2004.Hikmah Enterprise. Sungai Buloh.

Pamplet Amanah Raya Berhad

Pawancheek Merican.Islamic Inheritance Laws. 2006.Malayan Law Jurnal Sdn Bhd, Ampang.

Tiada ulasan: