DONATE

Rabu, 16 Julai 2008

PERKAHWINAN DENGAN KITABIAH MENURUT FIQH DAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM.




1.0 Pendahuluan

Sayid Qutub berkata: Pernikahan atau perkahwinan merupakan hubungan yang paling mendalam, paling kuat dan paling kekal yang mengikatkan di antara dua manusia. Hubungan ini meliputi sambutan-sambutan dan penerimaan timbal-balik yang paling luas yang dilakukan oleh dua manusia itu. Oleh sebab itu hubungan ini memerlukan kepada perpaduan hati dan titik pertemuannya dalam satu ikatan yang tidak terhurai lagi. Untuk mencapai perpaduan hati, pastilah kedua-duanya bersatu di atas satu akidah dan tujuan hidup, kerana akidah merupakan sesuatu yang paling mendalam dan luas mengimarahkan jiwa manusia. Akidahlah yang mempengaruhi jiwa manusia, menyesuai dan menentukan perasaan-perasaannya, penerimaannya dan seterusnya akidahlah yang menentukan perjalanan dalam seluruh kehidupan.

Rentetan daripada ucapan oleh Sayid Qutb itu tadi maka jelaslah bahawa perkahwinan yang mengikut akidah yang benar adalah penting. Justeru, relevan dengan tajuk perbicangan ini maka para ulama' berbeza pendapat dalam mendefinisikan Ahli Kitab iaitu golongan yang berpegang kepada kitab Allah yang diturunkan kepada nabi terdahulu tanpa sebarang penyelewengan akidah. Sebahagian ulama' berpendapat Ahli Kitab yang dimaksudkan ialah mereka yang masih berpegang teguh dengan ajaran asal Nabi Musa dan Nabi Isa a.s. Oleh itu, orang-orang Yahudi dan Kristian yang ada pada masa ini tidak termasuk dalam golongan tersebut kerana mereka telah pun sesat dan mengubahsuai ajaran nabi-nabi mereka. Justeru itu, sembelihan mereka juga tidak termasuk dalam kategori yang dimaksudkan oleh Allah dalam ayat di dalam Al-Quran dan Hadith. Sebaliknya, sebahagian besar ulama' mengatakan bahawa orang-orang Yahudi dan Kristian yang wujud pada masa ini adalah tergolong dalam golongan Ahli Kitab walaupun kita maklum bahawa Yahudi dan Kristian sekarang ini telah jauh menyimpang ajaranya dari ajaran asal Nabi Musa dan Nabi Isa a.s.


2.0 Definisi Ahli Kitab

Gelaran Ahli Kitab seringkali disandarkan kepada orang-orang Yahudi dan Nasrani (Kristian) yang telah diberikan dua kitab iaitu Kitab Taurat dan Kitab Injil. Nabi-nabi yang termahsyur yang diutuskan kepada mereka ialah Nabi Musa dan Nabi Isa a.s. Al Quran sendiri menggelar mereka dengan nama Ahli Kitab apabila sejarah hidup mereka diberitakan. Sebagai contoh dalam Surah Ali Imran ayat 70;
“Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu mengingkari ayat-ayat Allah padahal kamu mengetahui kebenarannya?”

Apa pentingnya istilah Ahli Kitab ini, mungkin ada yang bertanya. Sebenarnya kepentingan istilah ini berkait rapat dengan masalah pemakanan dan juga pergaulan iaitu perkahwinan. Di dalam ayat Surah Al Maidah ayat 5 Allah berfirman yang maksudnya;
“Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Al Kitab itu halal bagimu dan makanan kamu halal buat mereka. Dan dihalalkan mengahwini wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita-wanita yang beriman dan wanita yang menjaga kehormatan di antara orang yang diberikan Al Kitab sebelum kamu…”

Oleh itu, mengenalpasti siapakah yang dimaksudkan sebagai Ahli Kitab amatlah penting apatah lagi bagi kita yang hidup di tengah-tengah masyarakat yang majoritinya bukan Islam. Para ulama’ berbeza pendapat mengenai definisi Ahli Kitab ini. Ada yang berpendapat bahawa orang-orang Yahudi dan Kristian yang masih wujud sekarang termasuk dalam golongan Ahli Kitab yang kita maksudkan. Ini berdasarkan kepada gelaran yang diberikan di dalam Al Quran yang merujuk kepada orang-orang Yahudi dan Kristian yang telah pun sesat sewaktu Al Quran sedang diturunkan. Manakala sebahagian ulama’ yang lain mengatakan tidak. Mereka berpendapat Ahli Kitab yang dimaksudkan itu ialah mereka yang masih berpegang dengan ajaran sebenar Nabi Musa dan Nabi Isa a.s. Harapnya para pembaca dapat memahami implikasi bagi kedua-dua pendapat itu terhadap masalah makanan dan perkahwinan.

3.0 Latar Belakang Ahli Kitab

3.1 Sejarah

Pendapat ini berdasarkan faktor sejarah dimana orang-orang Yahudi dan Kristian ini telah pun sesat semasa ayat-ayat Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Walaupun begitu, mereka tetap digelar sebagai ahli kitab secara jelas di dalam al-Quran.Contahnya dalam Surah Ali Imran ayat 69 :

"Sebahagian Ahli Kitab itu mahu menyesatkan kamu..."

Bagi yang ingin berpegang pada pendapat yang kedua ini, perlulah difahami betul-betul sejarah asal kedua-dua agama tersebut. Selepas mengetahui siapa Ahli Kitab, kita perlu mengenal pasti dengan lebih mendalam siapa Yahudi dan Kristian itu sebenarnya.

3.2 Keturunan Israel

Sejarah menjadi saksi bahawa Nabi Musa dan Nabi Isa a.s. adalah dari keturunan Israel. Dan ajaran kedua-dua nabi tersebut hanya untuk bangsa tersebut. Oleh itu, sudah sewajarlah pengikut-pengikut mereka hanya terdiri dari bangsa Israel. Orang-orang Yahudi sekarang ini memang berasal dari bangsa Israel. Justeru itu, mereka ini termasuk dalam golongan Ahli Kitab. Akan tetapi orang-orang Kristian yang wujud dewasa ini, bukan sahaja dari bangsa-bangsa lain. Dalam hal ini, golongan yang termasuk di dalam kategori Ahli Kitab yang hanya terhad pada orang-orang Kristian yang berbangsa Israel.

Justeru, bangsa-bangsa lain yang mendakwa diri mereka sebagai Kristian tidak termasuk dalam golongan ahli kitab yang dimaksudkan. Perkara ini turut dibincangkan di dalam Kitab Bible yang ada pada mereka. Di dalam Bab St. Matthew 15:24 Nabi Isa s.a dinyatakan sebagai berkata :

"I am not sent but only to the lost sheep of Israel"

Nabi Isa a.s sendiri menegaskan bahawa dia hanya diutuskan untuk bangsa Israel bukan kepada bangsa-bangsa lain. Jelas disini menunjukkan bahawa Ahli Kitab merupakan golongan yang bertanggungjawab menyebarkan risalah Nabi Isa a.s dan mengubahnya serta mendakwa Nabi Isa telah datang bertemu dengan beliau dan menyuruh beliau berbuat demikian. Justeru, golongan Ahli Kitab itu mesti terdiri hanya dari bangsa Israel samaada mereka itu beragama Yahudi atau Kristian.

4.0 Perkahwinan Ahli Kitab

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah: 221:

“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya)”

Mengikut pandangan ulama tafsir ayat ini diturunkan kepada seorang sahabat Nabi yang bernama Marsad bin Abi Marsad yang diutuskan oleh Rasulullah ke Mekah. Kemudian beliau bertemu dengan seorang perempuan musyrik yang rupawan yang bernama Anaq sehinggalah apabila beliau meminta izin kepada Rasulullah untuk berkahwin dengannya yang musyrik itu lantas turunnya ayat ini. Pendapat ini turut digunakan oleh Ibn Abbas dalam menetapkan hukum.
Pendapat kedua pula menyatakan dalam satu kejadian pada zaman Rasulullah bahawa Abdullah bin Rawahah telah memukul hamba perempuannya sedangkan beliau seorang yang rajin solat, puasa dan lain-lain. Akhirnya Abdullah mengadu kepada Rasulullah dan Rasulullah bersabda: “Hai Abdullah! Ini perempuan Mukmin”. Akhirnya Abdullah berkata, dalam membangkitkan kamu dengan kebenaran aku akan merdekakannya dan kahwinkannya. Lantas turun ayat ini seperti yang diriwayatkan oleh al-Suddi.


Sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Terdapat dua pandangan:
Pertama : Dengan sebab cantik dan jelitanya.
Kedua : Dengan sebab keturunannya.

Firman Allah s.w.t:

“Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu”.

Al-Sonhaji berkata: Ayat ini pula ditujukan kepada orang yang menjadi wali kepada perempuan di dalam akad nikah. Adalah dilarang menikahkan perempuan-perempuan Islam kepada orang-orang musyrik, sehingga mereka itu beriman. Dan mengahwinkannya kepada seorang hamba yang Mukmin lebih baik di sisi Allah daripada mengahwinkannya kepada seorang merdeka tetapi musyrik (kafir) walaupun ia berkelebihan kerana hartanya, berbangsa, atau elok rupanya atau apa jua pun keistimewaannya yang ada padanya, tidak dapat menandingi seorang hamba yang Mukmin di sisi Allah.



5.0 Hukum perkahwinan di antara Ahli Kitab menurut hukum fekah

Kafir Kitabi atau Ahli Kitab terdapat tiga pandangan mengenainya :-

Pertama : Harus (Pendapat Jumhur).

Kedua : Haram (Pendapat yang rajih dikalangan Syiah Zaidiyah,Syiah Jaafariah(jika nikah daim),Ibnu Omar,Imam al-al Bhukari,Ata`.)

Ketiga : Makruh (Pendapat Sebahagian Ulama Malik,Ulama Hanafi dan Syafie).

Jumhur Ulamak menyatakan Ahli Kitab ialah Yahudi dan Nasrani, manakala Muhammad Abduh dalam tafsirnya Al-Manar memasukkan kelompok majusi sebagai ahli kitab berdasarkan Surah al-Haj ayat 17.

5.1 Dalil pendapat pertama yang mengharuskannya iaitu dari kalangan Jumhur

Surah al-Maidah ayat 5, Firman Allah:

...Dan dihalalkan(berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang beriman dan menjaga kehormatannya dikalangan mereka yang beriman dan dikalangan mereka yang diberikan kitab dahulu daripada kamu...

Di kalangan sahabat ramai yang mengahwini ahli kitab antaranya Sayyidina Uthman yang berkahwin dengan Na`lah bt al-Furofisah al-Kalbiyah (agama nasrani kemudianya memeluk Islam). Kemudian Huzaifah berkahwin dengan perempuan yahudi dari Madain begitu juga Saad bin Abi Waqqas. Pada waktu yang sama Huzaifah kemudiannya diperintahkan oleh Sayyidina Omar untuk menceraikan isterinya Kitabiahnya (perintah dibuat bukan kerana haramnya perbuatan tetapi berdasarkan maslahah pada ketika itu).

Imam Abu Hanifah, Imam Malik bin Anas, dan Imam As-Syafie telah mengharuskan berkahwin dengan perempuan yahudi dan nasrani . Bahkan Imam As-Syafie telah berpendapat di dalam kitabnya Al-Umm mengatakan bahawa menikahi wanita kitabiyyah adalah dihalalkan Allah seperti halalnya berkahwin dengan wanita mukminat yang merdeka dan hamba wanita mukminat .

Yusuf al-Qardhawi dalam Fatwa Semasa nya menyatakan beberapa syarat perlu diambil kira antaranya :-

1..Harus dipercaya keadaannya sebagai Ahli Kitab

2.Perempuan Kitabiah itu adalah dari kalangan yang menjaga kehormatanya. Perkataan "al-muhsanat",menurut pandangan Ibnu Kasir ialah yang menjaga diri dari perbuatan zina.

3.Wanita tersebut bukan dari kalangan yang memusuhi dan memerangi umat Islam.

4. Di sebalik perkahwinan tidak terdapat fitnah dan mudarat yang dapat diduga pasti terjadi atau kuat akan terjadi.

5.2Dalil Pendapat kedua golongan yang mengharamkannya

Haram berkahwin adalah berdasarkan Firman Allah Ta’ala Surah al-baqarah ayat 221 iaitu:

“...dan janganlah kamu kahwini perempuan-perempuan musyrik..sehinggalah mereka beriman...”

Perkataan musyrik disana meliputilah perempuan-perempuan dikalangan ahli kitab.Imam al-Razi dalam tafsirnya `Tafsir al-Razi` menyebut bahawa Ata` berpendapat kaharusan menikahi Kitabiah adalah satu rukhsah pada ketika itu kerana wanita muslimah sedikit, tetapi sekarang situasinya berbeza, maka rukhsah itu tidak boleh dipakai lagi. Manakala Syiah Jaafariah pula mengharuskan wanita mutaah dikahwini secara mutaah tetapi haram bagi perkahwinan daim(kekal). Imam Bukhari ketika ditanya tentang hukum berkahwin dengan Kitabiah, maka jawabnya bahawa. beliau tidak tahu satu kemusrikan yang lebih besar selain dari orang yang menyatakan Tuhanya adalah Isa binti Maryam .

Mengikut pendapat Ibnu Abbas telah berpendapat bahawa tidak halal menikahi ahli kitab jika mereka berperang dengan muslimin . Di dalam kitab Al-Muwatta’ karangan Imam Malik telah memberi pendapat bahawa haram mengahwini hamba ahli kitab yang terdiri daripada yahudi dan nasrani kerana ini terdapat di dalam firman Allah di dalam surah Al-Maidah ayat 5:

...Dan dihalalkan(berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang beriman dan menjaga kehormatannya dikalangan mereka yang beriman dan dikalangan mereka yang diberikan kitab dahulu daripada kamu...

Mereka yang dikatakan ahli kitab di dalam konteks yat di atas menurut Imam Malik adalah wanita yang merdeka di kalangan yahudi dan nasrani (bukan di kalangan hamba). Malahan Imam Malik mengemukakan dalil Al-Quran dalam surah An-nisa’ ayat 25 iaitu:

… Dan sesiapa di antara kamu Yang tidak mempunyai kemampuan Yang cukup untuk berkahwin Dengan perempuan-perempuan Yang baik-baik (yang merdeka, Yang terpelihara kehormatannya) lagi beriman, maka bolehlah kamu berkahwin Dengan hamba-hamba perempuan Yang beriman Yang kamu miliki. dan Allah lebih mengetahui akan iman kamu; kamu masing-masing (suami Yang merdeka dan isteri dari hamba - abdi itu) adalah berasal sama (dari Adam, dan seugama pula). oleh itu berkahwinlah Dengan mereka Dengan izin walinya serta berikanlah maskahwinnya menurut Yang patut. mereka (hamba-hamba perempuan Yang akan dijadikan isteri, hendaklah) Yang sopan bukan perempuan-perempuan lacur, dan bukan pula Yang mengambil lelaki sebagai teman simpanan. kemudian setelah mereka (hamba-hamba perempuan itu) berkahwin, lalu mereka melakukan perbuatan keji (zina), maka mereka dikenakan separuh dari (hukuman) seksa Yang ditetapkan ke atas perempuan-perempuan Yang merdeka. (Hukum perkahwinan) Yang demikian (yang membolehkan seseorang berkahwin Dengan hamba-hamba perempuan) itu ialah bagi orang-orang Yang bimbang melakukan zina di antara kamu; dan sabarnya kamu (tidak berkahwin Dengan hamba-hamba perempuan) itu adalah lebih baik bagi kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani….

Imam Malik berpendapat bahawa hamba-hamba mukminat sahaja dihalalkan dinikahi pada ayat tersebut, bukan hamba-hamba yang terdiri daripada ahli kitab .

5.3 Pendapat Ketiga iaitu golongan yang mengatakan makruh

Oleh itu jelas menunjukkan bahawa makruh mengahwini mereka disamping wujudnya muslimah pada waktu yang sama. Kemakruhan ini kerana dibimbangi hati suami akan tertarik pada isteri dan boleh berlaku mudarat dan fitnah pada suami. Manakala dalam kes Sayyindina Omar pula ketika menyuruh Huzaifah menceraikan isterinya kerana dibimbangi perempuan tersebut bukan dikalangan al-Mushsanat, ini adalah apa yang disebut oleh al-Jassas dalam tafsiranya.. Setengah pendapat menyatakan bahawa arahan tersebut bertujuan supaya umat Islam tidak mengikuti langkahnya mengahwini kitabiah dengan meninggalkan wanita muslimah yang tidak berkahwin.

6.0 Status Ahli Kitab pada masa kini

Manakala kumpulan minoriti menolak pandangan di atas. Menurut mereka , untuk digelar ahli kitab , sesorang Yahudi dan Nasrani (kristian) itu mestilah berpegang teguh dengan ajaran agama samawi masing-masing, adapun, jika mereka berpegang dengan ajaran palsu hari ini di campur pula dengan tidak mengendahkan hal ehwal hukum agama mereka. Mereka tidaklah layak di gelar Ahli Kitab lagi.
Kumpulan ini berpegang kepada athar dari Sayyidina Ali KW yang menyebut tentang Yahudi Bani Taghlib dengan katanya :

إنهم لم يأخذوا من النصرانية إلا شرب الخمر وأكل الخنزير
Maksudnya : "Mereka tidak mengambil apa-apa dari ajaran Nasrani kecuali untuk minum arak dan memakan babi ".

Ini bermakna Ali r.a seolah-olah tidak setuju dgn pengiktirafan ahli kitab kepada mereka yang tidak berpegang dgn sepenuhnya.

Ia juga berdasarkan athar :-

عن نافع مولى ابن عمر: أنه كان إذا سُئِل عن نكاح النصرانية واليهودية، قال: إن الله حرم المشركات على المؤمنات، ولا أعلم من الإشراك شيئًا أكبر من أن تقول المرأة: ربها عيسى، وهو عبد من عباد الله (انظر: البخاري مع الفتح "9/416" حديث "5285" باب قول الله تعالى: (ولا تُنْكِحُوا المشركاتِ حتى يُؤْمِنَّ..) من كتاب الطلاق، وانظر: تفسير ابن كثير "1/258"، ط الحلبي. وتفسير القرطبي "3/68" ط. دار الكتب).

Maksudnya : Ibn Umar ditanya berkenaan hukum berkahwin dengan ahli kitab nasrani dan yahudi, maka dia berkata : " Sesungguhnya Allah mengharamkan berkahwin dengan kaum wanita musyrik, dan tidak ku ketahui syirik yang terbesar daripada seorang wanita berkata : " tuhannya Isa, dan dia pula hamba dari hamba Allah

Justeru, ini seolah menunjukkan bahawa kristian yang mempercayai triniti seolah2 telah terkeluar dari ajaran kelas ahli Kitab iaitu nasrani kerana kekarutan mereka. Terutamanya kristian di zaman ini yang kebanyakkan adalah athies dan hanya nama sahaja Kristian tetapi tiada berpegang dgn ajarannnya.

7.0 Perkahwinan Kitabiyyah Menurut Undang-Undang Keluarga Islam

Perkahwinan kitaiyyah menurut undang-undang Keluarga Islam adalah diperjelaskan dalam Akta 303 iaitu seseorang lelaki Islam boleh berkahwin dengan seorang Islam dan seorang Kitabiyyah, manakala seseorang perempuan perlu berkahwin dengan lelaki Islam.

Seseorang Kitabiyyah dijelaskan dalam Akta 303 sebagai perempuan dari keturunan Bani Ya’qub; atau perempuan Nasrani dari keturunan orang-orang Nasrani sebelum Nabi Muhammad S.A.W menjadi Rasul; atau seorang perempuan yahudi dari keturunan orang-orang yahudi sebelum Nabi Isa menjadi Rasul .

Dalam kes Re Maria Menado , perkahwinan di antara Maria dan Abdul Razak telah diputuskan tidak sah kerana datuk nenek moyang Maria adalah Kristian yang telah memeluk agama Kristian. Mereka bukan Kristian yang asal iaitu dari keturunan orang-orang Kristian sebelum Nabi Muhammad S.A.W menjadi Rasul. Mari bukan seorang kitabiyyah.

8.0 Rujukan

Al-Quran Al-Karim
Al-Asqalani, Imam Hafiz ibnu Hajar, Fath al-Bari; hadith no 5285
Al-Maliki, Imam Malik bin Anas, Al-Muwatta’; Bab Larangan Mengahwini Hamba Wanita Kitabiyyah, Dar Al-Ihya Al-kutub Al-‘Arabiyyah, 1918
As-syafie, Muhammad bin Idris, Al-Umm, Dar al-kutub al-ilmiyyah, beirut, 1993, juzuk 4,
Ibni Abi Syaibah, Abdullah bin Muhammad, Masnaf ibni abi syaibah fi al-ahadith wal athar, Beirut, dar al-fikr, 1989, juzuk 3,
Imam An-Nawawi, Al-Majmu', juzuk 9
Jalaluddin Muhammad bin Muhammad, Al-Mahalli, Dar Al-Hadis, Kaherah, Mesir, 2001, juzuk 9,
Mimi Kamariah Majid, Undang-Undang Keluarga di Malaysia; Perkahwinan dalam Islam, Malayan Law Journal Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 1992

Tiada ulasan: