DONATE

Sabtu, 14 Februari 2009

BAY AL-URBUN DAN APLIKASINYA DALAM KONTRAK OPSYEN


Oleh: Muhyidin bin Saari
BAB 1 : BAY AL-URBUN SEBAGAI INSTRUMEN MUAMALAT ISLAM

1.1 Pendahuluan

Bay al-urbun merupakan salah satu instrumen muamalat Islam. Amalan berjual beli seperti ini lazimnya melibatkan bayaran pendahuluan atau juga disebut `down payment` yang disyaratkan ke atas seseorang apabila hendak membeli sesuatu jenis barangan yang pada kebiasaannya bernilai tinggi. Dalam pasaran derivative konvensional, seseorang yang berhasrat membeli sesuatu aset dibolehkan untuk membayar sejumlah wang sebagai pendahuluan mengikut jumlah yang ditetapkan oleh pihak penjual. Dengan adanya pembayaran itu menjadikan penjual terikat untuk berurusniaga dengannya dalam tempoh yang dipersetujui dan tidak boleh menjualkan asset tersebut kepada orang lain selama tempoh tersebut. Pembayaran yang dibuat sebenarnya memberikan kepada pembeli suatu hak tetapi bukan obligasi dalam urusniaga tersebut. Kontrak yang sedemikian dinamakan sebagai opsyen. Kertas kerja ini akan cuba mengetengahkan perbincangan mengenai konsep bay al-urbun dan aplikasinya dalam pasaran derivative khususnya dalam kontrak opsyen.

1.2 Pengertian Bai al-Urbun

Al-Bay (البيع) atau jual beli dari segi bahasa ialah menukar suatu barang dengan suatu barang. Kalimah bay diambil daripada al-Ba` yang membawa maksud depa. Ini disebabkan setiap pihak yang berkontrak memanjangkan depanya (menghulur tangan) untuk mengambil dan memberi. Mungkin juga setiap pihak menjabat (yubayi`) tangan kawannya ketika berjualbeli dan atas dasar itulah bay (jual beli) disebut juga sebagai `safaqah` yang bermaksud bertepuk tangan. (al-Zuhaili 1995: hal 361)
Dari segi istilahnya, Mazhab Hanafi mentakrifkan jual beli sebagai pertukaran suatu harta dengan suatu harta mengikut cara yang tertentu. Atau menukar sesuatu yang disukai dengan sesuatu yang lain yang juga disukai dengan cara tertentu yang berfaedah iaitu dengan tawaran dan unjuk-mengunjuk. Manakala Ibnu Qudamah mentakrifkan jual beli sebagai menukarkan harta dengan harta atas dasar memberi milik dan menerima milik. Imam Nawawi pula mendefinisikan al-bay dengan maksud menukar harta dengan harta untuk memberi milik. (al-Zuhaili 1995: hal 360)
Perkataan `urbun` dari segi bahasa membawa erti taslif atau taqdim, iaitu pendahuluan (Ibn Manzur 1990: hal 284) `Urbun` atau `arabun` mengandungi maksud yang sama.(al-Misri 2005: hal 174 ) Ia juga diertikan sebagai bayaran muka atau pendahuluan. ( al-Zuhaili 2005: hal 461)

Dimaksudkan Bay al-urbun ialah seseorang yang membeli sesuatu barangan, lalu dia membuat bayaran kepada penjual sebahagian dari harga barang tersebut sebanyak satu dirham ataupun atau lebih dengan perhitungan jika kedua-duanya meneruskan kontrak jual beli, maka wang pendahuluan itu akan menjadi sebahagian daripada harga barang dan jika kontrak jual beli itu tidak diteruskan maka wang pendahuluan itu akan menjadi hak penjual. (al-Zuhaili 2005: hal 462) Menurut Imam al-Nawawi, al-urbun bermaksud seseorang itu membeli sesuatu lalu dia memberikan beberapa dirham dan berkata; `sekiranya urusniaga ini sempurna antara kita, maka bayaran ini menjadi sebahagian daripada harga barangan dan jika sebaliknya, maka ia dikira sebagai hadiah untukmu.( al-Nawawi (t.t) : hal 367).

Manakala Imam malik pula mentakrifkan bay al-urbun dengan maksud apabila seseorang membeli seorang hamba lelaki atau perempuan atau menyewa binatang tunggangan, kemudian pembeli itu berkata kepada penjual; aku berikan kamu beberapa dinar atau dirham atas perjanjian sekiranya aku mengambil barangan belian itu atau menggunakan binatang tunggangan itu, maka wang itu dianggap sebagai sebahagian daripada bayaran barangan atau tunggangan, dan sekiranya aku tidak jadi mengambil barangan atau tunggangan itu, maka wang itu aku berikan kepada kamu tanpa aku mendapat apa-apa. (al-Baji 1984: hal 158). Selain itu, Majma al-fiqh Al-Islami dalam muktamarnya yang kelapan pada 21 – 27 Jun 1993 di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam telah memutuskan bahawa yang dimaksudkan Bay al-urbun ialah membeli sesuatu barang beserta bayaran sejumlah wang oleh pembeli kepada pihak penjual dengan perkiraan bahawa jika jualbeli tersebut diteruskan,maka wang pendahuluan tersebut dihitung sebagai sebahagian daripada harga barang dan jika jual beli tersebut tidak diteruskan, maka wang pendahuluan tersebut akan menjadi hak kepada penjual.

Berdasarkan kepada beberapa pengertian yang telah diberikan, ternyata bahawa secara prinsipnya, bay al-urbun mengandungi beberapa ciri (Ab Mumin Ab. Ghani & Fadillah Mansor 2006; hal 143) seperti berikut;

a ) Pembeli mempunyai hak untuk membuat pilihan sama ada membeli barangan atau tidak untuk satu-satu tempoh yang tertentu, namun ia bukanlah menjadi kewajipannya untuk membeli.

b ) Penjual pula tiada hak untuk menjual kepada mana-mana pembeli lain , sekalipun ditawarkan dengan harga yang lebih tinggi dan ia berkewajipan untuk menunggu dalam satu tempoh yang telah dijanjikan kerana telah menerima wang pendahuluan.

c ) Harga barangan itu telah dipersetujui bersama. Ini dapat dilihat berasaskan perjanjian mereka bahawa sekiranya proses jualbeli itu disempurnakan, maka bayaran pendahuluan tersebut dianggap menjadi sebahagian daripada harga barangan.

d ) Terdapat tempoh yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak untuk memastikan pembelian barangan berlaku atau tidak.

Oleh itu, bagi menyenaraikan sesuatu urusniaga itu sebagai kontrak al-urbun, maka keempat-empat ciri tersebut hendaklah dipenuhi. Sebaliknya jika keempat-empat ciri tersebut tidak dipenuhi, maka urusniaga itu dianggap terkeluar daripada kategori bay al-urbun.

1.3 Pendapat Ulama Mengenai Bay al-Urbun

Secara umumnya, terdapat persepakatan ulama dalam aspek tertentu berkaitan bay al-urbun, namun dalam masa yang sama wujud perselisihan di kalangan mereka dari sudut yang lain.

Para ulama bersependapat bay al-urbun adalah diharuskan jika penjual mengembalikan wang yang didahulukan oleh pembeli sekiranya urus niaga belian tersebut dibatalkan oleh pembeli, sebagaimana dinyatakan oleh Imam Malik. ( al-Dasuqi 1980 : hal 63) Walaubagaimanapun jika ini berlaku, maka objektif serta tujuan daripada kontrak al-urbun pasti tidak akan tercapai. Demikian juga tidak timbul perselisihan pendapat di kalangan ulama jika kedua-dua belah pihak meneruskan urus niaga belian dan wang pendahuluan yang telah dibayar dikira termasuk sebagai jumlah keseluruhan harga yang perlu dibayar oleh pembeli.

Perselisihan dan perbezaan ulama sebenarnya lebih menjurus kepada situsasi di mana pembeli membatalkan hasratnya untuk meneruskan urus niaga belian. Implikasi daripada pembatalan urus niaga tersebut akan menyebabkan wang pendahuluan yang telah dibayar akan menjadi milik penjual, sedangkan pembeli tidak memperolehi sebarang manfaat daripada wang yang telah dibayar.

Sehubungan itu, Jumhur ulama berpendapat bahawa bay al-urbun adalah di larang dan tidak sah. Manakala ulama Hanafiyyah pula berpendapat urus niaga yang dilakukan dalam bentuk ini sebagai fasid atau rosak. Antara hujah mereka ialah bahawa Rasulallah SAW telah melarang jual beli ini, sebagaimana sabda baginda di dalam sebuah hadis;

عن عمرو بن شعيب عن ابيه عن جده ان النبى صلى الله عليه وسلم نهى عن بيع العربان

Bermaksud: daripada Amr bin Syuaib daripada bapanya daripada datuknya katanya bahawa Rasulallah SAW melarang melalukan bay al-urban.( Ibn Majah, hadis no.2183)
Walaubagaimanapun, menurut Imam al-Syaukani, kedudukan hadis ini telah dipertikaikan oleh ulama-ulama hadis kerana dikategorikan sebagai dhaif atau lemah.

Namun begitu, dalam masa yang sama juga beliau mendapati hadis yang menunjukkan tentang keharusan Bay al-urbun juga adalah lemah. Oleh itu, menurut pandangan beliau, apabila dua hadis yang lemah bertembung maka diutamakan hadis yang mengharamkan daripada yang mengharuskan. Bahkan kontrak ini mengandungi syarat yang tidak sah antara penjual dan pembeli di mana pembeli akan menanggung kerugian jika ia membatalkan jual beli.

Manakala Imam al-Nawawi pula berpendapat bahawa bay al-urbun tidak diharuskan kerana terdapat dua syarat yang bertentangan fungsinya dalam satu akad, iaitu syarat wang sebagai sebahagian daripada harga barangan dan satu lagi syarat wang sebagai hadiah (hibah) kepada penjual. Imam al-Nawawi berpendapat jika wang dijadikan sebagai hadiah dan dinyatakan dalam akad yang berbeza, maka ianya adalah diharuskan.

Selain itu, menurut Imam al-Nawawi syarat yang bertentangan ini boleh membawa kepada berlakunya `gharar` dalam urusan jual beli dan menyebabkan seolah-olah pembeli memberikan wang secara terpaksa, bukan dengan kerelaannya. Jika ini berlaku, maka ia termasuk dalam kategori perbuatan memakan harta orang lain dengan cara yang salah (batil). Larangan memakan harta orang lain secara yang salah telah ditegaskan oleh Allah SWT sebagaimana firmannya;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta-harta kamu sesama kamu dengan cara yang salah. ( al-Nisa 4: 29)

Al-Khattabi daripada Mazhab Hambali juga berpendapat bahawa bay al-urbun adalah tidak diharuskan atas alasan bayaran pendahuluan tidak seharusnya hangus begitu sahaja tanpa sebarang pertukaran dan tempoh menunggu oleh penjual tidaklah wajar dibayar dengan wang, kecuali perlu dinilai berasaskan tempoh seperti mana yang berlaku dalam kontrak sewaan.

Majoriti ulama mazhab hambali berpendapat kontrak bay al-urbun adalah diharuskan dan tiada sebab mengapa ia perlu diharamkan. Menurut ibnu Qudamah, Imam Ahmad bin Hambal menyatakan bahawa tidak ada apa-apa halangan untuk melaksanakan bay al-urbun dan demikian juga Ibnu sirrin ( Ibnu Qudamah 1983: hal 232)

Diantara hujah dan sandaran kepada pendapat yang membolehkan jual beli urbun ialah sebagaimana atsar dari Nafi bin Al-Harits, sesungguhnya ia pernah membelikan sebuah rumah dengan harga 4000 dirham untuk Umar al-Khattab dari Shafwan bin Umayyah, (dengan syarat) Umar mempersetujuinya. Jika Umar tidak bersetuju, maka Shafwan berhak mendapatkan wang sekian dan sekian. Al-Atsram berkata: `Saya bertanya kepada Ahmad: "Apakah kamu berpendapat demikian?" Beliau menjawab: "Apa yang harus kukatakan? Ini Umar r.a (telah berpendapat demikian)` (Ibn al-Qayyim. (t.t): hal 359)

Imam Ibn al-Qayyim berpendapat bahawa kontrak bay al-urbun adalah harus berasaskan kepada amalan tabiin sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Bab keharusan meletakkan syarat dalam kontrak sepertimana keputusan yang dibuat oleh Qadhi Shuraiyh ( Ibn al-Qayyim (t.t): hal 359).

Syeikh Abdul Aziz bin Baaz rahimahullah pernah ditanya : Bagaimana hukum melaksanakan jual beli al-urbun apabila belum sempurna jual belinya?. Bentuknya iaitu, dua orang melakukan transaksi jual beli, apabila jual beli sempurna maka pembeli akan melunasi jumlah bayaran harganya dan jika pembeli membatalkan pembelian, maka penjual akan mengambil wang pendahuluan tersebut dan tidak mengembalikannya kepada pembeli?

Pertanyaan ini dijawab oleh Syeikh Abdul Aziz bin Baaz rahimahullah sebagai berikut : Tidak mengapa mengambil wang pendahuluan tersebut, menurut pendapat yang rajih dari dua pendapat ulama. Apabila penjual dan pembeli telah sepakat untuk itu dan jual belinya tidak diteruskan (tidak disempurnakan)”.

Lajnah Daimah Lil Buhuts Al Ilmiyah Wa Al Ifta Kerajaan Arab Saudi, menyebutkan dalam fatwanya berhubung hukum (Fatwa no. 9388) seorang penjual mengambil wang pendahuluan (al-urbun) dari pembeli apabila pembeli membatalkan pembeliannya atau mengembalikan pembeliannya menyatakan apabila keadaannya demikian, maka dibolehkan bagi penjual untuk memiliki wang tersebut untuk dirinya dan tidak mengembalikannya kepada pembeli –menurut pendapat yang rajih- apabila keduanya telah sepakat untuk itu. Manakala dalam fatwa yang diberikan berhubung (Fatwa no. 1963) pertanyaan hukum jual beli urbun dan keharusan para penjual mengambil wang pendahuluan ketika pembeli gagal melunaskan bayaran telah dinyatakan bahawa jual beli al-urbun diperbolehkan. Jual beli ini dengan membawa seorang pembeli kepada penjual atau wakilnya, lalu membayar sejumlah wang sebagai pendahuluan sebagai jaminan barang tersebut tidak dijual kepada pembeli yang lain. Maka apabila pembeli meneruskan urusniaga belian, wang tersebut dikira sebagai sebahagian daripada jumlah bayaran harga dan apabila jika tidak membatalkan beliannya, maka penjual berhak mengambil wang pendahuluan tersebut untuknya.

Sementara itu Majma Fiqh Islam, dalam seminar ke 8 yang diadakan pada 1 – 7 Muharram 1414H, memutuskan bahawa jual beli al-Urbun adalah diharuskan. Di bawah ini dinyatakan antara ketetapan-ketetapan yang telah dipersetujui;

1ـ المراد ببيع العربون بيع السلعة، مع دفع المشتري مبلغاً من المال إلى البائع، على أنه إذا أخذ السلعة احتسب المبلغ من الثمن، وإن تركها فالمبلغ للبائع .

Maksudnya; Bay al-urbun bermaksud menjual sesuatu barangan, lalu pembeli memberi sejumlah wang kepada penjual (sebagai pendahuluan), dengan syarat apabila pembeli meneruskan beliannya, maka wang tersebut akan dihitung sebaagi sebahagian daripada yang perlu dibayar. Namun sekiranya pembeli membatalkan beliannya, maka wang pendahuluan yang telah dibayar akan menjadi milik penjual. Transaksi ini selain berlaku untuk jual beli juga berlaku untuk sewa menyewa (al-Ijarah).

2ـ يجوز بيع العربون إذا قيدت فترة الانتظار بزمن محدود، ويحتسب العربون جزءاً من الثمن إذا تم الشراء، ويكون من حق البائع إذا عدل المشتري عن الشراء .ا.هـ

Maksudnya; Dibolehkan bay al-urbun apabila tempoh menunggunya dibatasi secara pasti, wang pendahuluan tersebut dimasukkan sebagai sebahagian daripada jumlah harga apabila bayarannya sudah dilunaskan. Dan ia (al-urbun) menjadi milik penjual bila pembeli membatalkan urusniaga belian.

Namun begitu, perlu juga diingat bahawa sekiranya seseorang penjual bertindak mengembalikan semula wang pendahuluan tersebut kepada pembeli ketika urusniaga antara mereka dibatalkan, maka itu lebih baik baginya dan lebih besar pahalanya disisi Allah SWT. Iqalah dalam jual beli bermaksud seseorang yang membeli suatu barangan, kemudian ia menyesal atas pembeliannya itu, lalu barangan yang dibelinya itu dikembalikan semula kepada penjual sedang penjual pula menerimanya (tanpa mengambil atau menuntut sesuatu dari pembeli).

Demikianlah beberapa pandangan dan pendapat para ulama mengenai keharusan bay al-urbun. Sebahagian daripada mereka berpendapat ianya termasuk dalam kategori jual beli yang diharamkan, sedang sebahagian yang lain pula mengharuskannya. Masing-masing mempunyai hujah dan alasan atas setiap pendapat yang mereka utarakan.

1.4 Rukun dan syarat

Secara prinsipnya, rukun-rukun dan syarat-syarat bai al-urbun adalah sama seperti yang terdapat dalam kontrak jual beli biasa. Menurut jumhur ulama, setiap kontrak jualbeli hendaklah mengandungi empat rukun iaitu penjual, pembeli, lafaz dan barang yang dikontrakkan. Manakala ulama mazhab Hanafi pula menetapkan rukun jual beli hanya meliputi dua perkara iaitu adanya tawaran dan penerimaan yang menunjukkan berlakunya pertukaran barangan. ( al-Zuhaili 1995: hal 363). Walaubagaimanapun disebabkan al-urbun ini juga diaplikasikan selain dalam kontrak jual beli biasa seumpama Bai al-salam, bai al-inah, sewa menyewa dan sebagainya, maka dari segi segi rukun dan syaratnya ia akan bergantung kepada jenis-jenis kontrak yang diamalkan.

1.5 Rumusan

Berdasarkan kepada perbincangan yang telah diutarakan dapatlah dibuat beberapa rumusan mengenai kedudukan Bay al-urbun. Pertamanya, bay al-urbun sememngnya telah lama wujud sebagai salah satu instumen muamalat Islam dan telah dibincangkan oleh para ulama terdahulu serta kemudia. Ianya termasuk dalam kategori jualbeli yang diperselisihkan oleh para ulama. Perselisihan ini sesungguhnya membuka ruang untuk kita membuat pilihan sama ada untuk menerima atau menolak salah satu daripada kedua pendapat tersebut. Bahkan ada kemungkinan juga kita memilih untuk menerima kedua-dua pendapat tersebut meskipun ianya dilihat sebagai bertentangan, kerana kedua-dua pendapat tersebut boleh diaplikasikan dalam situasi dan keadaan yang berbeza. Ini kerana kedua-dua pendapat tersebut adalah ijtihad yang dari sudut benar atau salahnya adalah sama atau setaraf. Oleh itu, secara prinsipnya Bay al-urbun adalah satu bentuk kontrak jual beli yang diharuskan berdasarkan kepada keperluan dan uruf semasa, namun ia perlu dilaksanakan secara yang cermat dan berhati-hati.

Kedua, dari sudut aplikasinya dalam berbagai bentuk kontrak sama ada pada masa lalu atau masa kini. Secara jelas prinsipnya bay al-urbun ini telah diterima oleh ulama untuk diaplikasikan dalam berbagai bentuk kontrak yang dijalankan pada masa yang lalu, bukan hanya terbatas dalam jual beli tunai semata-mata, bahkan meliputi kontrak al-salam, al-ijarah dan lainnya. Justeru dalam hal ini saya berpendapat tidak ada salahnya, bahkan menjadi satu kewajarannya untuk kita cuba mengaplikasikan bay al-Urbun ini dalam bidang muamalat semasa sama ada yang berkaitan dengan pasaran ekuiti, sekuriti hutang, derivatif dan sebagainya. Justeru itu, fokus perbincangan dalam bab selanjutnya akan menjurus dalam sudut aplikasi ini, iaitu sejauh manakah bai al-urbun ini dapat diaplikasikan dalam salah satu pasaran derivatif kini iaitu kontrak opsyen.


BAB 2: APLIKASI BAI AL-URBUN DALAM KONTRAK OPSYEN

2.1 Instumen Derivatif Dalam Pasaran Modal

Pembangunan pasaran modal adalah penting bagi membantu pembangunan ekonomi sesebuah Negara. Ini dapat dilaksanakan dengan cara menggerakkan modal daripada pelabur kepada syarikat awam dan persendirian untuk digunakan sebagai modal bagi memperluas dan memperkembangkan lagi sesebuah perniagaan. Pasaran modal terdiri daripada pasaran ekuiti saham dan instrumen pendapatan tetap atau bon. Ia juga mencakupi pasaran derivatif yang terdiri daripada niaga hadapan, opsyen, swaps dan lain-lain.

Bon, komoditi, niaga hadapan dan opsyen adalah antara instrumen modal yang menarik bagi pelabur institusi dan memerlukan modal yang besar untuk berurus niaga.
Di Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti (SC) ialah badan berkuasa tunggal bagi pasaran modal. Ia ditubuhkan bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 sebagai sebuah badan berkanun yang dibiayai sendiri. Suruhanjaya Sekuriti (SC) dibentuk untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal. Penubuhan tersebut juga sekaligus bertujuan supaya semua kuasa kawal selia dilaksanakan secara berpusat pada satu badan, di mana sebelumnya enam agensi berkongsi menjalankan fungsi tersebut.

Dengan itu, Suruhanjaya Sekuriti (SC) memegang peranan penting sebagai penggerak dan pengawal selia pasaran bagi semua kegiatan penjanaan modal pada hari ini. Ini bermakna, dalam dagangan ekuiti, derivatif dan hutang sekuriti yang membentuk pasaran modal, SC mengeluarkan lesen bagi semua peserta pasaran dan pelbagai produk pelaburan, merangka keseluruhan peraturan, menguatkuasakan peraturan tersebut dan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggarnya.(http://www.min.com.my/bm/html/ipm-bursa.html)

2.2 Definisi derivatif

Derivatif ialah satu kontrak yang nilainya bergantung pada, atau diperoleh daripada, nilai sesuatu aset pendasar (seperti harga komoditi, kadar faedah dan harga saham) atau sesuatu indeks. Derivatif ialah produk kewangan yang memperoleh nilainya daripada harga komoditi atau instrumen yang lebih asas. Misalnya, nilai niaga hadapan minyak sawit mentah diperoleh daripada harga minyak sawit mentah. (http://www.min.com.my/bm/html/ipm-bursa.html).


2.3 Jenis-jenis Derivatif

Terdapat beberapa jenis pasaran derivative yang utama iaitu Opsyen (options), kontrak niaga hadapan( futures), Kontrak hadapan (forward) dan Swaps (Strong 2002: hal 3).

Secara umumnya, Opsyen diertikan satu kontrak yang memberikan hak kepada pembeli, tetapi tidak menjadi kewajipannya, untuk membeli atau menjual sesuatu asset pada harga yang telah ditetapkan dalam suatu tempoh yang tertentu (http://www.investopedia.com/terms/o/option.asp). Kontrak niaga hadapan (Futures contract) pula merupakan suatu kontrak persetujuan oleh pihak penjual dan pihak pembeli untuk melakukan suatu urusniaga jual beli sesuatu komoditi atau instrument kewangan pada harga yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak pada masa hadapan. Secara lebih lanjut, kontrak niaga hadapan merupakan perjanjian antara pembeli dan penjual dalam pertukaran jumlah tunai yang ditetapkan bagi sesuatu asset pada masa hadapan.

Walaupun kontrak niaga hadapan mempunyai ciri yang hampir sama dengan kontrak hadapan (forward contract), namun terdapat sedikit perbezaan antara kedua-duanya. Ini kerana kontrak niaga hadapan didagangkan di Bursa Derivatif sedangkan Kontrak hadapan dibuat secara persendirian dan tidak didagangkan di Bursa Derivatif. (Utusan Malaysia, 30 Julai 2007, hal. 21) Akta Dagangan Komoditi 1985, Akta 324, mentafsirkan kontrak Hadapan (Forward contract) dengan erti sesuatu kontrak atau opsyen atas sesuatu kontrak yang disempurnakan di mana-mana Bursa komoditi untuk membeli atau menjual komoditi untuk serahan hadapan. Swaps pula ialah satu perjanjian atau kontrak di antara dua pihak bagi pertukaran bertempoh bagi sesuatu asset kewangan yang khusus, asset material atau kadar faedah. Dalam beberapa kes jualan komoditi atau jualan matawang secara tangguh, ia dibuat tanpa sebarang pertukaran sebenar. (AAOIFI Shariah Standard, hlm 358). Terdapat dua jenis swaps iaitu interest rate swap dan foreign currency swap.


Beberapa contoh bagi memperjelaskan perbezaaan jenis-jenis pasaran derivatif;
Kontrak opsyen; Ahmad hendak menjual rumahnya di Shah Alam dengan harga RM 250,000 (strike price). Ali berminat untuk membeli rumah tersebut untuk tujuan pelaburan tetapi tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar secara tunai. Setelah diadakan perbincangan, Ahmad bersetuju menjual hak membeli (right to buy) rumah kepada Ali dengan harga RM 2,000 (premium) dengan tempoh opsyen selama enam bulan.

Selepas tiga bulan kemudian, kerajaan Negeri Selangor mengumumkan projek baru dan harga rumah di pasaran telah melonjak tinggi. Secara tidak langsung juga harga pasaran rumah yang ingin dibeli oleh Ali telah meningkat sehingga mencecah RM 350,000 (market price). Oleh kerana Ali dah bayar premium rumah tersebut, maka Ali berhak membeli rumah tersebut dengan harga RM 250,000(strike price) sahaja kerana perjanjian awal tersebut, walaupun harga pasaran semasa sudah melonjak.

Kemungkinan yang berlaku juga, selepas tiga bulan kemudian, berlaku banjir besar di kawasan Shah Alam sehingga menyebabkan pasaran hartanah jatuh merudum. Dalam situasi ini, Ali tidak boleh dipaksa membeli rumah tersebut dengan harga RM 250,000 (strike price) walaupun sudah membayar premium RM 2,000 kerana ia adalah options contract dan bukan sales & purchase agreement. Oleh itu Ali hanya kerugian RM 2,000 sahaja.

Forward; Abu seorang penjual buah nenas, manakala Samad pengilang jem nenas. Samad memerlukan nenas sebanyak 100 kg dalam tempoh 3 bulan lagi. Untuk itu, Samad berjumpa dengan Abu dan menawarkan harga RM 1 sebiji kerana bimbang harga nenas berkemungkinan naik menjadi RM 1.50 sebiji dalam masa 3 bulan lagi. Ia mahukan nenas tersebut 3 bulan lagi dan bukannya sekarang. Abu telah menerima tawaran harga RM 1 sebiji kerana dia juga bimbang harga akan turun menjadi RM 0.50 selepas 3 bulan lagi . Justeru, Abu juga bersetuju untuk menghantar 100 kg nenas 3 bulan dari sekarang dengan harga yang ditawarkan.

Futures: Abu seorang peladang nenas. Samad pembuat jem nenas. Samad memerlukan 1 tan nenas dalam tempoh 3 bulan dari sekarang. Proses yang sama dibuat seperti forward contract di atas, tetapi kontrak itu dilakukan bukan diantara Samad dan Abu, tapi oleh pihak ketiga, yang dikenali sebagai Nenas Exchange.

Nenas Exchange adalah pihak yang menentukan harga dengan berdasarkan permintaan (supply) dan penawaran (demand), serta mempunyai data-data dan tugasan lainnya. Nenas Exchange juga adalah pihak yang menetapkan harga-harga nenas untuk semua yang terlibat dalam sektor nenas, bukan sekadar jual-beli antara Abu dan Samad sahaja. Ini bermakna penetapan harga kontrak antara Abu dan Samad tidak dilakukan oleh mereka, sebaliknya oleh pihak ketiga mengikut harga nenas di pasaran.

Secara umumnya, persamaan antara keempat-empat jenis derivative ini ialah unsur penetapan harga bagi urusniaga yang akan dilaksanakan pada masa hadapan. Perkara inilah antara yang menjadi titik asas kepada pendapat dan pandangan ulama mengenai boleh atau tidaknya jenis-jenis derivative ini dalam Islam.

2.4 Faedah-faedah Pasaran Derivatif

Diantara faedah pasaran Derivatif ialah;

a) Memberi kemudahan kepada pelabur yang memerlukan alat pelaburan yang inovatif dan fleksibel yang dapat mengambil peluang-peluang dari pasaran global;

b) Menawarkan pulangan melebihi purata yang wajar dan perlindungan portfolio kepada pelabur;

c) Menawarkan kemudahan untuk aktiviti perlindungan nilai yang boleh menghasilkan pembiayaan yang cekap untuk portfolio pelaburan.


2.5 Kontrak Opsyen dalam Pasaran Derivatif

Sebagaimana yang telah dijelaskan, opsyen diertikan satu kontrak yang memberikan hak kepada pembeli, tetapi tidak menjadi kewajipannya, untuk membeli atau menjual sesuatu asset pada harga yang telah ditetapkan dalam suatu tempoh yang tertentu (http://www.investopedia. com/terms/o/option.asp). Dalam ertikata yang lain opsyen membawa maksud satu kontrak formal yang memberikan hak, bukan obligasi kepada pemiliknya untuk membeli atau menjual sejumlah asset pendasar sama ada komoditi, indeks, kadar bunga atau syer dalam tempoh tertentu dengan harga yang telah dipersetujui bersama.

Berpandukan kepada contoh opsyen yang telah dikemukakan, dapat disimpulkan bahawa apabila seseorang itu melakukan urusniaga belian secara opsyen, maka ia mempunyai hak tetapi bukan suatu kewajipan untuknya melakukan sesuatu. Ia boleh meneruskan pembelian dengan membayar harga jualan yang telah dipersetujui tanpa memperdulikan sama ada harga pasaran asset melebihi atau kurang daripada harga yang telah dibayarnya. Atau ia membatalkan hasrat untuk meneruskan belian sambil membiarkan tempoh opsyen itu berakhir begitu sahaja, serta menanggung sepenuhnya kerugian atas jumlah bayaran yang telah dikenakan ke atasnya.

Terdapat dua jenis opsyen yang utama iaitu `calls` and `puts.` Opsyen call memberi hak kepada pemegangnya untuk membeli asset pendasar (syer) pada harga yang yang tertentu dalam tempoh yang ditetapkan. Manakala opsyen `put` pula memberi hak kepada pemegangnya untuk menjual asset pendsarnya pada harga tertentu dalam tempoh yang telah ditetapkan. (Strong 2002: hal 3)

Terdapat juga sebahagian 'options' yang menyebut bahawa jika salah satu pihak menolak untuk melakukan transaksi dalam tempoh yang telah ditentukan, ia perlu membayar gantirugi yang telah ditetapkan jumlahnya di awal tadi.

2.6 Aplikasi Bai al-Urbun dalam Kontrak Opsyen

Dalam konteks perkembangan pasaran modal Islam di Malaysia masakini, ternyata pasaran derivative Islam sememangnya masih agak jauh ketinggalan berbanding dengan pasaran ekuiti Islam dan pasaran Bon Islam. Dalam pasaran bon Islam sebagai contoh, statistik menunjukkan bahawa bagi tahun 2006 sahaja, Suruhanjaya sekuriti telah meluluskan terbitan Bon Islam (sukuk) bernilai RM 42 billion yang juga telah menobatkan Malaysia sebagai penerbit sukuk terbesar di persada antarabangsa apabila berjaya mengasalkan 67 peratus daripada terbitan sukuk dunia. Manakala pasran ekuiti Islam pula tidak kurang hebatnya apabila pihak Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti sehingga 24 Oktober 2006 telah meluluskan 886 sekuriti sebagai sekuriti patuh syariah iaitu 86.1 peratus daripada keseluruhan ekuiti tersenarai di Bursa Malaysia.(Utusan Malaysia, 16 April 2007: hal 22).

Sedangkan dalam pasaran derivative Islam secara umumnya hanya kontrak niaga hadapan Islam sahaja yang diterima pakai. Itupun masih agak terhad dalam urusniaga kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah dan kontrak niaga hadapan minyak isirung sawit mentah.(Utusan Malaysia, 30 Julai 2007: hal 21). Sementara kontrak opsyen pula masih belum diluluskan untuk diaplikasikan dalam sebarang urusniaga di Bursa Malaysia.

2.7 Rumusan

Berasakan kedudukan ini ternyata bay al-urbun masih belum lagi diaplikasikan dalam pasaran derivatif Islam di Malaysia. Situasi ini jika dibiarkan berlarutan untuk tempoh yang lama pasti akan memberi kesan yang tidak baik kepada Perkembangan Pasran Modal Islam di Malaysia, khusunya dalam pasaran derivatif Islam. Justeru itu, amatlah wajar untuk kita melakukan penilaian semula secara kritis tentang kemungkinan untuk mengaplikasikan bay al-urbun dalam kontrak opsyen sebagai langkah memperkembangkan lagi pasaran derivative Islam di Malaysia.


BAB 3 : RUMUSAN DAN KESIMPULAN

3.1 Rumusan dan Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbincangan yang telah dikemukakan, antara perkara yang dapat disimpulkan ialah bahawa keempat-empat ciri yang wujud dalam Bay al-urbun juga sememangnya wujud dalam kontrak opsyen. Selain itu, kedua-dua jenis kontrak ini juga boleh disifatkan sebagai bersamaan dari sudut matlamatnya iaitu sebagai satu bentuk kaedah pengurusan risiko dalam urusan jual beli dan perdagangan. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat sedikit sebanyak perbezaan dari sudut teknikal dan cara mengaplikasinya disebabkan wujudnya peraturan dan kaedah yang berbeza-beza.

Dari sudut inilah barangkali, wujudnya pendapat yang menolak aplikasi bay al-urbun dalam kontrak opsyen. Oleh itu, secara positifnya jika perkara-perkara yang menjadi prinsip dan dasar bagi kontrak opsyen didapati bersamaan dengan bay al-urbun, maka sudah tentulah soal-soal teknikal dan cara pelaksanaan yang menjadi titik perbezaan itu boleh diubahsuai agar selari dengan kehendak Islam.

Selain itu, adalah penting untuk diperhatikan bahawa muamalat Islam hendaklah bebas dariapada unsur-unsur riba (usury), rishwah (corruption), maysir (gambling), gharar (unnecessary risk) dan jahl (ignorance). Persoalan seperti adanya `gharar` sebagai contoh, wajar dinilai semula agar kita dapat menentukan tahap keseriusannya sama ada `gharar fahisy` yang tidak dibenarkan oleh syariat atau `gharar yasir` yang dibenarkan. Ini kerana dalam sesetengah kes, sesuatu kontrak itu berkemungkinan menjadi `gharar fahisy` dan pada satu masa yang lain bertukar menjadi `gharar yasir ` bergantung kepada perubahan uruf dan reality semasa.

Sekiranya sesuatu kontrak telah memenuhi keempat-empat ciri sebagaimana yang terdapat dalam bay al-urbun, maka pada hakikatnya ia adalah suatu kontrak yang jelas dan tidak mengandungi unsur `gharar` seperti yang didakwa. Atas dasar inilah, meskipun bay al-urbun tidak dipersetujui oleh majoriti ulama silam, kecuali ulama mazhab Hambali, namun perubahan relaiti dan uruf telah menunjukkan majoriti ulama kini menerima bay al-urbun sebagai salah satu kontrak yang bebas daripada gharar jika ianya dilakukan berlandaskan kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan. Dr Yusuf al-Qaradhawi umpamanya mengatakan bay al-urbun adalah satu kontrak yang sesuai dilaksanakan pada masa sekarang dan tidak juga bercanggah dengan semangat syariah itu sendiri. Manakala Mustafa al-Zarqa jugs turut berpendapat kontrak opsyen boleh dilaksanakan berasaskan keharusan bay al-urbun (Mohamad Hashim Kamali 2002: hal 204)

3.2 Penutup

Secara keseluruhannya kontrak opsyen dalam pasaran derivative konvensional boleh disesuaikan dengan bay al-urbun sebagaimana yang telah dibincangkan. Namun bagi memastikan agar ianya dapat dapat berjalan dengan baik, penulis ingin mencadangkan supaya kajian dan penyelidikan terhadap pasaran derivitif Islam perlu dilakukan secara serius agar ia tidak terus ketinggalan dalam pasaran Modal Islam.


RUJUKAN

Ab Mumin Ab. Ghani & Fadillah Mansor. Dinamisme Kewangan Islam di Malaysia, Kuala Lumpur; Penerbit Universiti Malaya. 2006.
Abd Halim el-Muhammady. 2006. Undang-undang Muamalat dan Aplikasinya kepada Produk-Produk Perbankan Islam. Petaling Jaya: Dasar Cetak (M) Sdn Bhd.
al-Dasuqi, Muhammad ibn Ahmad ibn Arafah. 1980. Hasyiyah al-Dasuqi ala al-syarh al-Kabir, Beirut: dar Ihya al-Kutub al-Arabiah, jld 3.
al-Misri, Rafiq Yunus (Dr).2005. Fiqh al-Muamalat al-maliah, Damsyik; Dar-al-Qalam. cet 1.
Ibn Manzur, Jamal al-Din Muhammad bin Makram. 1990. Lisan al-Arab, Beirut; Dar al-Fikr, jld 13.
al-Nawawi, Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf Muhy al-Din (t.t). Al-majmu` Syarh al-Muhazzab. Misr: Matbaah al-imam. Jld 9.
al-Zuhaili, Wahbah. 1995. Fiqh & Perundangan Islam, Penterjemah; Md. Akhir Haji Yaacob et.al. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka)
Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah. (t.t). I`lam al-Muwaqqi`in `An-Rabb al-`Alamin, juz 3.
Ibn Khalaf al_baji. 1984. Kitab al-Muntaqa Syarh Muwatta. Misr; Matbaah al-Sa`dah, jld. 4,
Ibn Majah, Abu Abdallah bin Muhammad bin Yazid. (t.t). Kitab al-Tijarat; Bab Bai al-Urban, Kaherah: Matbaah Dar Ihya al Kutub al-Arabiah
Ibn Qudamah. 1983. Al-Mughni, Beirut; Dar Al_Fikr, juz 4
Mohamed Obeidullah.2004. Islamic Financial Markets. New Delhi; Institut of Objective Study.
Strong, Robert A. 2002. Derivatives an Introduction. USA; R.R Donelley & Sons Company
Utusan Malaysia, 30 Julai 2007
Utusan Malaysia, 16 April 2007
Internet
http://www.min.com.my/bm/html/ipm-bursa.html
http://www.investopedia. com/terms/o/option.asp

Tiada ulasan: