DONATE

Jumaat, 27 Mac 2009

Ulum Hadis: Kajian Kedudukan Sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di dalam Periwayatan Hadis

1.0 PENDAHULUAN.

Terdapat pelbagai pandangan ulama tentang kedudukan para sahabat dalam sudut keadilannya terutama apabila menyetuh berkenaan kehujahan para sahabat dari sudut periwayatan sesuatu hadis. Ini kerana faktor keadilan para sahabat merupakan sebahagian daripada penerimaan sesuatu hadis di sisi umat Islam apatah lagi para pengkaji hadis. Perkara yang paling jelas ialah para sahabat ini dipandang tinggi oleh golongan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah Jamaah manakala bagi golongan Syiah pula mereka memandang sebaliknya.

Akan tetapi, dalam kertas kerja yang ringkas ini, penulis hanya ingin menyentuh persoalan keadilan para sahabat menurut pandangan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah sahaja dan tidak akan menyentuh sama sekali pandangan dari kelompok Syiah dan yang seumpamanya.

Dalam kertas kerja ini, pengertian Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang dimaksudkan adalah golongan yang berpegang teguh dengan pegangan sebagaimana Raulullah s.a.w. dan para sahabat dan menjauhi segala unsur bidaah. Mereka juga adalah berpegang dengan akidah yang benar serta mengikuti metodologi dan petunjuk Nabi s.a.w., para sahabat, tabi’in serta semua generasi yang mengikuti mereka hingga ke Hari Kiamat samada yang digelar sebagai kelompok salaf mahupun digelar sebagai kelompok khalaf.


2.0 TAKRIF SAHABAH

Menurut bahasa di dalam kalimah al-Sihabah ataupun al-Sahabah terbit dari al-Suhbah. Ahli bahasa yang terkenal, al-Fairuzabadi menerangkan: sahabat memberi maksud berkawan atau mengajaknya sebagai teman.

Al-Qadhi Abu Bakar al-Baqilani berkata: tidak menjadi perselisihan dikalangan ahli bahasa dalam menjelaskan bahawa kalimah sahabah adalah terbitan dari al-Suhbah yang tidak menjurus kepada bentuk persahabatan yang khusus malah ia mencakupi kepada bentuk yang sedikit ataupun banyak. Apabila diletakkan nama berkawan ia tidak tertakluk kepada sedikit banyaknya rakan tersebut (al-Baghdadi, T.th, Jld. 1, 51).

Di sisi al-Muhadithin, terdapat beberapa pandangan dalam memberi pengertian makna sahabah ini. Antaranya ialah apa yang dijelaskan oleh Imam al-Bukhari secara ringkas: Sesiapa yang menyertai Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam atau melihat baginda di kalangan kaum Muslimin maka dia adalah sahabat baginda (al-Asqalani, 1379H, Jld. 7, 5).

Al-Qadhi al-Baqilani tetap berpandangan untuk menerima riwayat daripada mereka yang thiqah lagi amanah serta beramal dengan ilmunya sekalipun mereka ini tidak lama berdamping dengan nabi s.a.w. dan tidak mendengar dari mulut baginda s.a.w. kecuali sebuah hadith sahajan (al-Baghdadi, T.th, Jld. 1, 51).

Al-Khatib meriwayatkan dari sanad Abdus b. Malik al-‘Attar berkata: aku mendengar Ahmad Ibn Hanbal menerangkan mengenai para sahabat Rasulullah s.a.w. yang terdiri dari kalangan ahli Badr, beliau berkata: sebaik-baik manusia selepas mereka itu (ahli Badr) dari kalangan para sahabat Nabi s.a.w. adalah mereka yang hidup di kurun itu dan merasai zaman risalah. Setiap mereka yang berdampingan dengan baginda s.a.w. sama ada setahun, sebulan, sehari, sesaat atau sekadar melihat sahaja, maka mereka tergolong dikalangan sahabatnya. Mereka berhak mendapatkan hak persahabatan sekadar perdampingan mereka bersama baginda s.a.w., mendengar perkataannya, dan melihat kearahnya (ibid, Jld. 1, 51).

Ali Ibn al-Madini menjelaskan pengertian sahabah sebagai: sesiapa yang sering berdampingan bersama dengan Nabi s.a.w., melihatnya sekalipun sekadar satu saat pada suatu hari. Maka dia tergolong dari kalangan sahabat Nabi s.a.w. (al-Asqalani, 1379H, Jld. 7, 3).

Menurut Sa’id b. al-Musayyab, para sahabt dapat dijelaskan dengan pernyataan ini: sahabat ini tidak dapat ditentukan melainkan mereka yang berdampingan dengan Rasulullah selama setahun, atau dua tahun serta turut berjuang bersama baginda dalam satu atau pun dua medan peperangan (al-Baghdadi, T.th, Jld. 1, 50).

Daripada pandangan di atas dapat kita rumuskan takrifan sahabat sebagai mereka yang bertemu Rasulullah s.a.w. dengan pertemuan yang wajar sewaktu baginda masih hidup dalam keadaan Islam dan beriman dengannya ( Fath al-Rahman, 1974, 281).

Dengan ketentuan ini, bagi mereka yang bertemu dengan Nabi s.a.w. tetapi tidak mempercayai risalah kenabiannya, mereka ini tidak boleh digelar sebagai sahabat. Begitu juga mereka yang sudah beriman tetapi tidak pernah atau tidak sempat menemui baginda seperti al-Najashi dan seumpamanya. Golongan ini juga tidak dapat digelar sebagai sahabat Nabi s.a.w. Rumusan ini selari dengan takrif yang dibawa oleh al-Hafiz Ibn Hajr al-Asqalani:

“Sahabat ialah mereka yang sempat bertemu dengan Nabi s.a.w., beriman dengan baginda dan mati dalam keadaan Muslim (al-Asqalani, T.th, Jld. 1, 230).

Terdapat satu perkara penting daripada rumusan al-Hafiz sebelum ini berkenaan mati dalam keadaan muslim. Ini kerana, terdapat juga sesetengah sahabt yang bertemu Nabi s.a.w. dalam keadaan beriman, namun kemudiaanya kembali murtad dan mati dalam keadaan kufur sepertimana berlaku keatas Abdullah b. Khattal dan Ubaidullah b. Jahsy al-Asadi. Oleh kerana faktor inilah membuatkan al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani melakukan sedikit penambahan iaitu dikira faktor kematian mereka sama ada dalam anutan Islam atau sebaliknya dalam menentukan sahabah (al-Asbahani, 1405H, Jld.9, 50).

2.1 CIRI-CIRI MENGENALI PARA SAHABAH.

Para ulama telah menyebutkan tanda-tanda seseorang itu dalam kategori seorang sahabat sebagaimana berikut:

1)Dikenali secara mutawatir iaitu dikenalpasti kesahihan sebagai seorang sahabat menerusi ramai daripada para sahabat Nabi s.a.w. seperti al-Khulafa al-Rashidin yang empat dan pembesar sahabat yang terkenal dikalangan orang tertentu dan umum.

2)Dikenali secara masyhur seperti Dimam b. Tha’labah dan ‘ukashah b. Mihsan.

3)Dinyatakan oleh sahabat yang lain seperti Humamah b. Abu Humamah al-Dusi, disaksikan oleh Abu Musa al-Asy’ari bahawa beliau mendengar dari Nabi s.a.w.

4)Dinyatakan oleh seorang Tabiin mengikut pendapat yang rajih.

5)Dinyatakan oleh diri sahabt itu sendiri. Pengakuan ini memerlukan pembuktian yang pertama dengan sifat adil orang itu sendiri berdasarkan penilaian orang-orang terpercaya yang sezaman dengannya. Kedua, beliau tidak hidup melebihi seratus tahun daripada kewafatan Nabi s.a.w. daripada kewafatan Nabi s.a.w. (al-Khatib, Ajjaj, 1980, 394).


2.2 ADAKAH JIN YANG DIISLAMKAN OLEH NABI TERMASUK DIKALANGAN SAHABAT?

Para ahli hadith dan sebahagian ulama memperbolehkan makhluk jin dikategorikan sebagai sahabat sekiranya memenuhi syarat-syarat “sahabah” sebagaimana yang telah dibincangkan sebelum ini. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan dalam kitab beliau al-Isabah yang menyenaraikan biodata para sahabat Nabi s.a.w. dan menyebutkan nama dikalangan jin seperti Suriq (al-Asqalani, 11412H, Jld. 3, 45), Syasir (Ibid, 11412H, Jld. 3, 309), Duthar (Ibid, 11412H, Jld. 5, 751) dan khuraqa (Ibid, 11412H, Jld. 7, 607).

Wujud perbezaan pendapat sama ada para Nabi s.a.w. dan malaikat yang ditemui oleh Nabi s.a.w., adakah mereka termasuk dalam kategori sahabat atau tidak. Ibn al-Athir memandang lebih utama dimasukkan golongan malaikat sebagai golongan sahabat berbanding dengan kelompok jin (al-Suyuti, 1417H, Jld. 2, 210).

Namun al-Hafiz al-‘Iraqi menolak saranan Ibn al-Athir tersebut dengan dua alasan:
1) Maksud bertemu dan bergaul dengan Nabi s.a.w. sebagai syarat sah persahabatan adalah pertemuan di alam nyata (Alam al-Musyahadah) secara kebiasaan. Oleh itu pertemuan Nabi s.a.w. dengan para malaikat dan Nabi di langit ketika peristiwa Isra dan Mi’raj tidak boleh dijadikan bukti bahawa mereka itu sahabat.

2) Jin termasuk juga makhluk yang dipertanggung jawabkan dalam menyebarkan dakwah, sedangkan malaikat tidak dipertanggung jawabkan. Dengan kata lain, risalah dakwah yang ditujukan kepada Nabi s.a.w. kepada para jin itu adalah risalah al-Taklif (dipertanggung jawabkan sebagai mukallaf) sedangkan kepada para malaikat hanya sebagai risalah al-Tasyrif (penghormatan) sahaja (Fath al-Rahman, 1974, 284).



3.0 KEADILAN PARA SAHABAT.

Keadilan sahabat atau عدالة الصحابة menurut aspek bahasa merujuk pada kalimah ‘Adalah atau ‘Adl, lawannya Jaur ertinya kejahatan. Rojulun ‘Adl bermaksud seorang yang dianggap adil, diredhai dan diterim kesaksiannya (Mukhtar al-Sihah, 176).

Di sisi ahli hadith seperti al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, sifat ‘adil’ bermaksud:
Maksud adil ialah orang yang mempunyai sifat ketaqwaan dan maruah (kehormatan). Erti taqwa pula ialah dengan menjahui perbuatan buruk seperti syirik, fasiq dan bid’ah (al-Asqalani, Ibn Hajar, T.th., 1).

Merujuk kepada para sahabat, sifat keadilan yang disandarkan kepada mereka bukan sekadar sifat taqwa dan memelihara maruah, tetapi juga kebenaran mereka dalam memperaktikkan agama dan menyampaikannya kepada generasi seterusnya. Sifat keadilan para sahabat menyebabkan mereka tidak akan berdusta di atas nama Allah mahupun Rasulnya Muhammad s.a.w. dalam hal ehwal agama. Keadilan para sahabat memiliki dalil al-Quran, al-Sunnah dan Ijma ulama. Ia akan di bincangkan selepas ini insyaAllah.

Di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah keadilan para sahabat merangkumi mereka yang terlibat dalam fitnah pada zaman tersebut. Fitnah yang dimaksudkan adalah seperti peristiwa pembunuhan Uthman sehinggalah kepada pertempuran sesama sahabat di perang Jamal dan Perang Siffin.

Tidak ada tuduhan atau anggapan buruk terhadap keadilan para sahabat melainkan oleh segelintir kaum yang jahil dan mereka yang sememangnya memusuhi Islam dan umatnya. Untuk membuktikan keadilan para sahabat, berikut dikemukakan dalil-dalilnya daripada al-Quran, al-Sunnah dan Ijma ulama.



3.1 DALIL-DALIL MENUNJUKKAN KEADILAN PARA SAHABAT.

3.1.1 AL-QURAN AL-KARIM

PERTAMA

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا -وَمَغَانِمَ كَثِيرَةً يَأْخُذُونَهَا وَكَانَ اللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا

Demi sesungguhnya! Allah redha akan orang-orang yang beriman, ketika (mereka) memberikan bai‘ah kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (di Hudaibiyyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahui-Nya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Dia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya. Dan juga dengan banyak harta rampasan perang yang mereka akan dapat mengambilnya. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. [al-Fath 48:18-19]

KEDUA

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

وَالسَّابِقُونَ الأوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالأنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan, Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. [al-Taubah 9:100]

Ayat yang mulia ini ditujukan kepada golongan awal di kalangan Muhajirin serta Ansar dan golongan yang mengikuti jejak langkah mereka dengan kebaikan dimana Allah redha terhadap mereka dan mereka juga redha terhadap-Nya. Allah telah menyediakan untuk mereka tempat tinggal serta kegembiraan yang kekal abadi iaitu Syurga.




KETIGA

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

لَكِنِ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ جَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ وَأُولَئِكَ لَهُمُ الْخَيْرَاتُ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ -أَعَدَّ اللَّهُ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Akan tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya, berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan, dan mereka itulah juga yang berjaya. Allah telah menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; yang demikian itulah kemenangan yang besar. [al-Taubah 9:88-89]

Ayat ini diturunkan setelah ayat sebelumnya yang menerangkan tentang golongan munafik serta segolongan dari umat Islam yang tidak menyertai jihad bersama dengan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tetapi telah meminta izin daripada baginda untuk tinggal di belakang bersama-sama dengan golongan yang lemah, wanita, kanak-kanak serta golongan yang tiada kebaikan bagi mereka (Ahl al-Fasad). Adapun selain dari mereka iaitu golongan yang berjihad pada jalan Allah maka mereka tetap berjihad dengan harta serta diri mereka, maka bagi mereka kebaikan iman serta Islam sebagaimana firman Allah: “…mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan…” dimana Allah akan memberikan ganjaran pahala ke atas jihad yang mereka lakukan dan “…mereka itulah orang-orang yang berjaya.”, iaitu berjaya mendapat kegembiraan di dunia serta di akhirat nanti.


KEEMPAT

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوْا وَنَصَرُوا أُولَئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ -وَالَّذِينَ آمَنُوا مِنْ بَعْدُ وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا مَعَكُمْ فَأُولَئِكَ مِنْكُمْ

Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia. Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka dari golongan kamu. [al-Anfal 8:74-75]

Menerusi ayat yang mulia ini Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberikan pujian terhadap orang yang beriman di kalangan golongan Muhajirin yang awal serta saudara mereka iaitu golongan Ansar yang telah memberikan tempat kediaman serta pertolongan kepada golongan Muhajirin tersebut. Golongan Muhajirin mempunyai keimanan yang sempurna kerana mereka sanggup berhijrah meninggalkan kampung halaman, memisahkan diri mereka daripada kaum keluarga serta tempat tinggal. Sudah pasti mereka berbeza dengan golongan beriman yang tidak berhijrah serta tetap tinggal di negeri yang berada di bawah naungan kekufuran. Begitu juga dengan golongan Ansar yang sanggup berkorban memberikan pertolongan untuk saudara mereka golongan Muhajirin, mereka juga mempunyai keimanan yang sempurna.




3.1.2 AL-HADITH

PERTAMA

Abu Hurairah radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
لاَ تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلا نَصِيفَهُ.
Janganlah kamu mencaci para sahabatku! Sekiranya seorang dari kamu menafkahkan emas sebesar gunung Uhud sekalipun, tidak akan sama ganjaran yang dilakukan oleh mereka walau secupak mahupun setengah.
Hadith ini melarang para sahabat yang terkemudian daripada mencaci para sahabat yang terdahulu memeluk Islam. Ianya menceritakan kisah salah faham yang berlaku di antara ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf dengan Khalid al-Walid radhiallahu ‘anhuma. ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf merupakan sahabat Muhajirin yang awal serta termasuk di kalangan sepuluh orang sahabat yang dijamin masuk syurga. Khalid al-Walid pula merupakan sahabat yang memeluk Islam selepas perjanjian Hudaibiyyah, sebelum pembebasan kota suci Mekah.
Menerusi hadis ini Rasulullah s.a.w. melarang para sahabat yang terkemudian daripada mencaci serta merendahkan para sahabat yang terdahulu daripada mereka. Ini disebabkan golongan yang terkemudian memeluk Islam tidak dapat mengatasi golongan yang terdahulu dari segi amal perbuatan yang mereka lakukan. Oleh itu sekalipun Khalid al-Walid mensedekahkan emas sebesar gunung Uhud, beliau masih belum mampu menandingi perbelanjaan yang dikeluarkan oleh ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf dan orang-orang yang seumpamanya dari kalangan orang-orang Islam yang lebih dahulu memeluk Islam.

KEDUA

Abu Musa radhiallahu ‘anh berkata, kami mengerjakan solat Maghrib bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lalu baginda mengadahkan wajahnya ke langit lalu bersabda:
النُّجُومُ أَمَنَةٌ لِلسَّمَاءِ فَإِذَا ذَهَبَتْ النُّجُومُ أَتَى السَّمَاءَ مَا تُوعَدُ. وَأَنَا أَمَنَةٌ لأَصْحَابِي فَإِذَا ذَهَبْتُ أَتَى أَصْحَابِي مَا يُوعَدُونَ. وَأَصْحَابِي أَمَنَةٌ لأُمَّتِي فَإِذَا ذَهَبَ أَصْحَابِي أَتَى أُمَّتِي مَا يُوعَدُونَ.
Bintang-bintang adalah amanah bagi langit, apabila tenggelamnya bintang-bintang muncullah langit menemui apa yang dijanjikan. Aku pula adalah amanah bagi para sahabatku, maka sekiranya aku pergi (wafat), muncullah para sahabatku menemui apa yang dijanjikan. Para sahabatku adalah amanah bagi umatku, apabila mereka telah pergi nanti, muncul pula umatku menemui apa yang dijanjikan kepada mereka.
Hadis ini menerangkan kelebihan para sahabat dimana mereka, sekalipun berseorang, merupakan penjaga bagi umat ini. Kehadiran mereka akan menyelamatkan umat ini daripada bala seperti kejahatan yang mengatasi kebaikan, terjadinya bid‘ah dan berleluasanya kemungkaran. Keadaan ini jelas terserlah semasa zaman fitnah serta kezaliman pada waktu akhir pemerintahan Bani Umayyah dimana menerusi keberkatan para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, Allah Subhanahu wa Ta'ala mengurniakan kebaikan yang banyak kepada masyarakat sehingga mengatasi segala keburukan yang berlaku.

KETIGA

Imran b. Hushain radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
خَيْرُ أُمَّتِي قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ. قَالَ عِمْرَانُ: فَلاَ أَدْرِي أَذَكَرَ بَعْدَ قَرْنِهِ قَرْنَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا.
Sebaik-baik umatku ialah yang hidup pada kurunku, kemudian yang mengikuti zaman mereka dan kemudian yang mengikuti zaman mereka. Imran berkata: Saya tidak ingat sama ada (Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) menyebut 2 atau 3 kurun selepasnya.
3.1.3 IJMA ULAMA.
Sebenarnya adalah memadai dengan pengiktirafan daripada Allah dan Rasulnya terhadap keadilan para sahabat r.a. Namun untuk melengkapkan perbincangan kita dalam bab ini, berikut dikemukakan beberapa hujah daripada para ilmuan Islam sebagai dalil akan kesepakatan mereka dalam menetapkan sifat adil kepada para sahabat.

Berkata Abu Amru al-Basri:
“Umat Islam bersepakat terhadapkeadilan seluruh para sahabat. Ini termasuk golongan sahabat yang di dalam peristiwa fitnah. Termasuk dalam kesepakatan ini oleh para ilmuan ialah memasukkan mereka ke dalam golongan sahabat yang disepakati sebagai tanda berbaik sangka dan bakti yang telah mereka sumbangkan sebelum itu. Seolah-olah Allah s.w.t. menetapkan yang sedemikian itu sebagai ijma kerana jasa mereka dalam mengembangkan syariat Islam (al-Fihri, 1417H, Jld. 1, 135). Dalam perkara pendapat ini juga di sokong oleh Ibn Solah dalam kitabnya Ulum al-Hadith.


Ibn Hibban al-Busti berkata, sebagaimana yang di nuqilkan oleh Ibn Rushaid Abu Abdullah al-Fihri di dalam kitabnya al-Sunan al-Abyan: Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Hendaklah orang yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir” (riwayat Ibn Hibban).

Ibn Hibban memberi komentar: Hadith ini merupakan sebesar-besar dalil yang menunjukkan bahawa semua sahabat adil dan tidak seorang pun di antara mereka yang tercela dan lemah. Sekiranya hanya sebahagian mereka sahaja yang adil, sepatutnya Nabi s.a.w. akan bersabda: hendaklah sifulan dan si fulan (ini sahaja) yang memberi tahu kepada yang tidak hadir.

Namun apabila baginda menyebutkannya secara umum dengan arahan menyampaikan kepada generasi selepas mereka, ini menunjukkan bahawa para sahabat adalah adil seluruhnya. Cukuplah! Bagi mereka yang diadili sendiri oleh Rasulullah s.a.w. dengan penuh penghormatan (Ibid).

Ibn Abd al-Barr ketika berbicara tentang kewajipan menyemak biodata para perawi dalam sanad hadith berkata:

Sesungguhnya sunnah adalah yang memerlukan kajian keatas seseorang individu tersebut (perawi yang meriwayatkannya) berdasarkan anutannya, khususnya yang berhubung dengan dirinya seperti keluarga dan hartanya. Sepertimana diketahui, mereka dihukumkan bersandarkan kenyataan serta kesaksian tanpa meninggalkan nama, nasab keturunan, sifat keadilan dan latar belakangnya.

Bagi kami, sekiranya perawi tersebut termasuk di dalam golongan sahabat r.a., cukuplah kami hanya mengkaji berkenaan biodata diri mereka berpandukan ijma golongan yang diperakui benar dikalangan ulama muslimin, iaitu golongan Ahl Sunnah Wa al-Jamaah yang menjelaskan bahawa para sahabat itu adil. Justeru menjadi kewajipan bagi kita untuk meneliti nama pengkaji sejarah hidup mereka agar dapat mengikuti petunjuk yang ditunjukkan. Mereka adalah sebaik-baik teladan dan panduan untuk diikuti (Ibn Abd al-Barr, 1412H, Jld. 1, 19).


Al-Hafiz al-‘Iraqi berkata: ijma Ahl al-Haq (pendokong kebenaran) daripada kalangan umat Islam iaitu Ahl Sunnah Wa al-Jamaah bahawa para sahabah kesemuanya adalah adil (al-‘Iraqi, 287).

Al-Khatib Al-Baghdadi beliau berkata : Para sahabat adalah orang-orang yang kuat keimananya, bersih aqidahnya dan mereka lebih baik dari semua orang yang adil dan orang-orang yang mengeluarkan zakat yang datang selepas mereka selama-lamanya. Ini merupakan pendapat semua Ulama (Al-Baghdadi, T.th, 49).

Ibnu Hazm berkata : Semua shahabat adalah adil, menjadi keutamaan di ridhai, maka wajib keatas kita memuliakan mereka, menghormati mereka, memohonkan keampunan untuk mereka dan mencintai mereka (al-Amidi, 1404H, 386).

Ibnu Katsir berkata : Semua shahabat adalah adil menurut Ahl Sunnah Wal al-Jamaah, kerena Allah Subhanahu wa Ta'ala telah memuji mereka di dalam Al-Quran dan al-sunnah Nabi s.a.w. pun memuji kelakuan dan ahlak mereka. Mereka telah mengorbankan harta dan jiwa mereka di hadapan Rasulullah s.a.w., dan mereka mengharap ganjaran yang baik (dari Allah) (Ibn Kathir, T.th,154).

Begitu juga sokongan daripada Amirul Mukminin dalam bidang Hadith ini menyatakan Ahl Sunnah sepakat bahawa semua sahabat itu adil. Tidak ada yang bertentangan kecuali pendapat yang ganjil dari mubtadi’ah (al-Asqalani, 1412H, Jld.1, 10).


Ramai lagi ulama-ulama yang sependapat dalam menyatakan bahawa ijma ulama dalam mensabitkan keadilan para sahabat seperti Imam al-Tabari, al-Ajuri, Abu Uthman al-Shabuni, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah, al-Syaukani, Ibn Baththah, Ibn Hazm, al-Hafiz al-Nawawi, Izuddin Ibn Abd al-Salam, Imam al-Suyuti, Imam al-Ghazali dan seumanya.

Demikian beberapa nuqilan daripada ilmuan Ahl Sunnah Wa al-Jamaah yang menetapkan keadilan para sahabat. Daripada ayat-ayat, hadith-hadith dan hujjah para ilmuan yang telah dikemukakan dalam bab ini, jelas bahawa para sahabat adalah adil seluruhnya. Keadilan mereka diiktiraf oleh Allah dan Rasulnya serta diperakui oleh para Imam Ahl Sunnah Wa al-Jamaah. Tidak ada yang menolak sifat adil ini kecuali mereka yang juga menolak Allah, Rasulnya dan kesepakatan para ilmuan yang berada diatas kebenaran.

3.2 PARA SAHABAH TIDAK MAKSUM

Perlu dibezakan bahawa pengiktirafan Allah dan Rasulnya terhadap keadilan para sahabat tidaklah bererti menetapkan sifat maksum kepada mereka. Hanya para Nabi dan apara Malaikat yang maksum manakala para sahabat terbuka kepada perbuatan salah atau terkeliru. Dalam sebuah hadith yang masyhur, Rasulullah bersabda:
كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ.
Maksudnya:
Setiap anak Adam (yakni manusia) pasti melakukan kesalahan, sedangkan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat. (Riwayat Ibn Majah)

Para sahabat termasuk didalam keumuman hadith di atas. Justeru mereka juga memiliki kesalahan dan bertaubat daripadanya sepertimana manusia biasa. Oleh itu, Abu Bakar Ibn al-‘Arabi berkata: dosa-dosa (yang dilakukan para sahabat) tidaklah menggugurkan keadilan mereka, apabila selepas bertaubat (al-‘Arabi, T.th, 106).
Semua Ilmuan Ahl Sunnah Wa al-Jamaah sepakat bahawa para sahabat yang ikut serta dalam peperangan Jamal dan Siffin adalah orang yang beriman dan adil. Penlibatan mereka dalam perang Jamal dan Siffin tidak menyebabkan mereka menyembunyikan ajaran agama Islam, menyelewengkan perintah larangan dan mendustakan Nabi s.a.w. tersebut, sama ada bersifat individu atau berjemaah, tidaklah menggugurkan pengiktirafan Allah terhadap sifat adil mereka.


3.2 PANDANGAN AHL SUNNAH WA AL-JAMAAH TERHADAP KONFLIK YANG BERLAKU DIKALANGAN PARA SAHABAT.

Ahl al-Sunnah mengambil jalan pertengahan. Mereka memuliakan para sahabat r.a. sebagaimana yang dimuliakan oleh al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Ahl al-Sunnah juga menyanjung dan berterima kasih kepada para sahabat atas segala pengorbanan mereka dalam menegakkan Islam dan menyebarkannya sehingga tersebar sebagaimana yang disaksikan pada hari ini. Atas dasar inilah Ahl al-Sunnah mencintai para sahabat dan membenci sesiapa yang membenci para sahabat.

Ini termasuk iktiqad Ahl al-Sunnah sebagaimana yang diulas oleh Abu Jaafar al-Thahawi al-Hanafi: kami amat mencintai para sahabat Rasulullah s.a.w., kami tidak membezakan kecintaan kami hanya kepada salah seorang yang tertentu sahaja dan tidak pula mengenepikan salah seorang yang lain dari kalangan para sahabat r.a. kami membenci golongan yang membenci serta mengingati para sahabat dengan segala keburukan. Kami tidak memperingati para sahabat kecuali dengan kebaikan dan mengasihi para sahabat berlandaskan agama, keimanan dan ikhsan, padahal mereka membenci para sahabat ini dengan kekufuran, munafiq dan taghut (Ibn Abi al-Izz, 1391H, 528).

Berkata Abu Zaid al-Qairawani dalam kitab beliau: sesungguhnya sebaik-baik golongan adalah mereka yang sempat bersama dengan Nabi s.a.w. sebaik-baik sahabat adalah Khulafa al-Rashidin yang memberi petunjuk. Tidaklah disebut dan diingati salah seorang sahabat ini melainkan dengan sebaik-baiknya kenyataan dan sebutan. Menjauhkan diri daripada apa yang dipertelingkahkan dan celaan terhadap diri sahabat. Bahkan, merekalah yang paling berhak disebutkan segala kebaikan serta mereka jugalah sebaik-baik teladan dan ikutan (Muhammad Amhazun, 1420H, Jld.1, 132).

Syaikh al- Islam Ibn Taimiyyah menerangkan dalam Fatawanya: Kami menahan diri tentang apa-apa yang terjadi diantara mereka dan kami mengetahui bahwa sebagian cerita-cerita yang sampai kepada kami tentang (keburukan) mereka adalah dusta. Mereka (para shahabat) adalah mujtahid, jika mereka benar maka mereka akan dapat dua ganjaran dan akan diberi pahala atas amal shalih mereka, serta akan diampuni dosa-dosa mereka. Adapun jika ada pada mereka kesalahan-kesalahan sungguh kebaikan dari Allah telah mereka perolehi, maka sesungguhnya Allah akan mengampuni dosa mereka dengan taubat atau dengan perbuatan baik yang mereka kerjakan yang dapat menghapuskan dosa-dosa mereka atau dengan yang seumpamanya. Sesungguhnya mereka adalah sebaik-baik umat dan sebaik-baik masa, sebagaimana sabda Nabi s.a.w. (Ibn Taimiyah,1406H, Jld. 3, 406).

Kata Ibn Kathir: Adapun perselisihan yang terjadi di antara mereka sesudah wafatnya Rasulullah s.a.w., maka ada yang terjadi secara tidak sengaja seperti Perang Jamal (antara Ali dengan Aisyah) dan adapula yang terjadi berdasar ijtihad seperti Perang Shiffin (antara Ali dengan Mu’awiyah). Ijtihad terkadang benar dan terkadang salah, akan tetapi (bila salah) pelakunya akan diampuni Allah dan akan dapat ganjaran adapun ia salah. Adapun jika ia benar ia akan dapat dua ganjaran. Dalam hal ini Ali dan para shahabatnya lebih mendekati kepada kebenaran daripada Mu'awiyah mudah-mudahan Allah meridhai mereka semuanya (Ali, 'Aisyah, Muawiyah dan para shahabat mereka) (Ibn Kathir, T.th, 154).

Abu Uthman al-Shabuni mengulas lanjut dalam kitabnya Aqidah Salaf Wa Ashab al-Hadith: apa yang terjadi perselisihan dan pertelagahan di antara sahabat nabi s.a.w. perlulah dihentikan. Kata-kata yang keluar dari lisan hendaklah dibersihkan daripada menyebut sebarangan yang mampu membuka aib dan mengurangi kehormatan mereka. Hendaklah mengasihi dan menyokong kepada setiap para sahabat (Muhammad Amhazun, 1420H, Jld.1, 133).


4.0 PANDANGAN AHL SUNNAH WA AL-JAMAAH TERHADAP MEREKA YANG MENCERCA PARA SAHABAT.

4.1 TAKRIF “CELA”.
Menurut al-Qadhi Abu Ya’la: mencela para sahabat ialah menuduh bahawa para sahabat telah melakukan kezaliman ataupun kefasikan selepas kewafatan Nabi s.a.w. ataupun melakukan perbuatan yang salah (Muhammad Amhazun, 1420H, Jld.1, 133).

4.2 HUKUM MENCELA PARA SAHABAT.

Ibn Hajar al-Asqalani rahimahullah berkata:
Para ilmuan berselisih pendapat tentang hukum orang yang mencela para sahabat. Berkata (al-Qadhi) ‘Iyadh, menurut jumhur ilmuan mereka dihukum manakala menurut sebahagian ilmuan Mazhab Maliki, mereka dibunuh. Sebahagian ilmuan Mazhab al-Syafi’e dihukum sedemikian (hukum bunuh) dijatuhkan kepada sesiapa yang mencela Abu Bakar dan Umar serta Hasan dan Husain (dua cucu Rasulullah). Ini dikhabarkan oleh al-Qadhi Husain dan diperkuatkan oleh al-Subki kepada sesiapa yang mengkafirkan Abu Bakar dan Umar (al-Asqalani,1379H, jld. 7, 36).

Abu Zur‘ah al-Razi rahimahullah berkata:
Bila engkau melihat seseorang memburuk-burukkan salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w. maka ketahuilah bahawa orang itu zindik (yang lahirnya kelihatan Islam tetapi hakikatnya kafir). Ini kerana Rasulullah s.a.w.di sisi kita adalah benar, al-Quran adalah benar dan apa yang datang dengannya adalah benar. Al-Quran dan al-Sunnah Rasulullah telah disampaikan kepada kita hanya menerusi para sahabat Rasulullah s.a.w. Mereka (yang memburuk-burukkan sahabat) mahu mencacatkan saksi-saksi kita dengan tujuan untuk membatalkan (menimbulkan keraguan terhadap) ajaran Al-Quran dan Al-Sunnah itu sendiri. Oleh kerana tujuan mereka begitu, maka merekalah yang lebih patut dicela dan mereka adalah golongan zindik (al-Bahgdadi, T.th, Jld. 1, 49).

Al-Nawawi mengulas:
Ketahuilah bahawa mencela para sahabat radhiallahu 'anhum adalah haram, ia termasuk perkara keji yang diharamkan sama ada kepada mereka yang terlibat di dalam peristiwa fitnah atau selainnya. Ini kerana mereka adalah para mujtahid di dalam peperangan tersebut. al-Qadhi (‘Iyadh) menambah: Mencela salah seorang daripada sahabat merupakan kesalahan yang besar. Pandangan kami serta pandangan jumhur ilmuan adalah mereka itu dihukum tetapi tidaklah dibunuh. Namun menurut sebahagian ulama’ Maliki mereka itu dibunuh (al-Nawawi, 1392H, Jld. 16, 93).


Berkata Qadhi al-‘Iyahd al-maliki:
Mencela salah seorang sahabat termasuk perbuatan maksiat dan berdosa besar. Menurut mazhab kami (Ma i rahimahullah men
gulas dalam hal yang sama:
liki) dan mazhab jumhur, barang siapa yang melakukan perkara tersebut dikenakan hukuman takzir dan tidak dibunuh. Namun berkata sesetengah ulama Maliki, mereka boleh dijatuhi hukuman bunuh (Ibid, Jld. 12, 93).

Ishaq Ibn. Rahuwaih menyatakan:
Sesiapa yang mencela sahabat Rasulullah s.a.w. akan disenda dan dikurung, inilah pendapat mejoriti dari kalangan kami (Muhammad Amhazun, 1420H, Jld.1, 138).
Ibrahim Ibn. Maisarah pernah berkata:
Aku tidak pernah melihat Umar Abd al-Aziz memukul seorang pun kecuali seorang lelaki yang mencela Mu’awiyah. Beliau sendiri menghukum lelaki tersebut dengan menyebatnya beberapa kali (al-Lalika’ie, 1423H, Jld. 2, 229).

Berkata Abdullah b. Ahmad b. Hanbal:
Aku bertanyakan kepada bapaku (Ahmad b. Hanbal) mengenai orang yang mencela sahabat Nabi s.a.w., dia menjawab: “aku berpendapat beliau harus dihukum sebat”. Aku bertanya lagi: adakah beliau dikenakan hudud? Bapaku tidak menetapkan hudud melainkan hanya berkata: “beliau dikenakan hukuman sebat setimpal dengan kesalahannya menurut anjuran Islam” (Ibid).


Imam al-Zahabi berkata:
Barangsiapa yang mencela mereka dan mengutuk keperibadian mereka, maka sesungguhnya ia telah keluar dari agama Islam dan telah merosak kaum Muslimin. Mereka yang mencela maki (para sahabat) adalah orang yang dengki dan ingkar kepada pujian Allah sepertimana yang disebutkan dalam al-Quran dan juga mengingkari Rasulullah yang memuji mereka dengan keutamaannya. Memaki mereka bererti memaki pembawa syariat (rasulullah). Mencela pembawa syariat bererti mencela kepada apa yang dibawanya (al-Quran) (Ibid).


5.0 PENUTUP.

Setelah dibentang secara ringkas berkenaan keadilan para sahabat mengikut pandangan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah ini, penulis berasa ia sudah mamapu untuk menjelaskan kepada para peneliti kertas kerja ini untuk membuat satu kesimpulan akhir berkenaan kemuliaan dan kelebihan yang ada pada para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. itu.
Apatah lagi, penulis telah memuatkan banyak pandangan-pandangan daripada para ulama dari kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah ini samada dari ulama salaf mahupun dari kalangan ulama khalaf. Kesemua daripada mereka bersepakat dan bersetuju bahawa keadilan parasahabat r.a. ini tidak perlu dipertikaikan lagi.

Tiada ulasan: