DONATE

Jumaat, 23 Oktober 2009

al-Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi

Oleh: Muhammad Hanif bin Md Lateh

2.1 Sejarah Hidup Al-Hajjaj

2.1.1 Biodata Al-Hajjaj Bin Yusuf

al- Hajjaj lahir pada permulaan dawlah bani Umayyah, iaitu pada tahun 41 H bersamaan 661 M[1]. Nama sebenar beliau adalah Abu Muhammad Al-Hajjaj Bin Yusuf Bin Al-Hakam Bin Abi Aqil Bin Mas`ud Bin `Amir Bin Mu`tab Bin Malik Bin Ka`ab Bin `Amru Bin Saa`d Bin A`uf Bin Qusai dan lebih kita kenali sebagai al-Hajjaj juga digelar sebagai Abi Muhammad. Beliau berasal dari kabilah Tsaqif, dilahirkan dan dibesarkan di Taif di sebuah perkampungan yang dinamakan Al-Kausar[2].

Al-Hajjaj dibesarkan di Taif, dan kehidupan beliau berlangsung dalam suasana yang ilmiah, berikutan ayahnya merupakan seorang guru. Perkara ini adalah menjadi kebiasaan dalam amalan budaya kaum samada di Negara Arab mahupun di Tanah Melayu ini sendiri, walaupun begitu ia bukanlah satu kemestian. Selain itu juga, keluarga al-Hajjaj memiliki kedudukan yang tersendiri dalam kaum kabilahnya di Taif. Islam di Taif tidak perlu kita ragui lagi kerana kawasan tersebut telah dibuka oleh Nabi Muhammad SAW pada tahun ke 8 Hijrah bersama beberapa sahabat lain seperti Salman al-Farisi[3]. Selain ayahnya yang bernama Yusuf bin Al-Hakam, ibu kepada al-Hajjaj pula adalah Fari`ah binti Humam bin `Urwah bin Mas`ud[4], Fari`ah merupakan janda kepada al-Mughirah bin Syu`bah[5] dan seterusnya mengahwini Yusuf al-Hakam iaitu bapa kepada al-Hajjaj, dan dikatakan Fari`ah ibu al-Hajjaj juga merupakan dari kalangan bani Tsaqif[6]. Al-Hajjaj mempunyai 2 orang adik beradik, abangnya bernama Muhammad[7] dan adiknya bernama Zainab, perkahwinan pula direkodkan beliau berkahwin semasa menjadi penguasa di Madinah dan direkodkan mempunyai beberapa orang isteri, antaranya adalah Ummu Kalsum yang dikahwini semasa di Madinah, Ummu Kalsum merupakan anak kepada Abdullah bin Ja`far Bin Abi Talib, selain itu beliau juga pernah mengahwini ummu Al-Julas anak kepada Abdullah ibn Khalid Al-Asid, selain itu isterinya yang lain yang pernah dikahwini adalah Ummu Aban atau Hamida anak kepada Nu`man ibn Bashir, janda kepada Rauh ibn Zinba`[8]. Dalam permasalahan sejarah hidup Al-Hajjaj ianya kurang dirakamkan dengan jelas oleh ramai ahli sejarah kerana penulis berpendapat bahawa kehidupan beliau sebelum menjadi gabenor tidak mendapat perhatian kerana beliau hanyalah seorang rakyat biasa yang hidup dalam kerajaan Umayyah pada masa tersebut.

Kehidupan al-Hajjaj dalam proses pembesaran beliau dikatakan tidak berjalan dalam keadaan yang baik, melalui keadaan hidup yang selalu ditimpa penyakit-penyakit yang pelbagai termasuklah kecacatan. Darah adalah perkara yang menjadi kelaziman beliau, semenjak hari pertama dilahirkan lagi, maka darah menjadi salah satu perkara biasa bagi beliau. Kehidupan yang sebegini menjadi antara pendorong kepada pembentukan sahsiah peribadi al-Hajjaj yang keras walaupun semasa kecil beliau digambarkan sebagai seorang yang penakut, cengeng atau mudah menangis dan sebagainya. Dalam hal ini, perkara ini dipersetujui dalam beberapa buku sejarah hidup beliau yang terkini. Walaupun begitu, di dalam beberapa buku sejarah silam, ianya kurang disebutkan secara jelas[9]. Kehidupan al-Hajjaj ketika telah dewasa bermula dengan karier sebagai seorang guru, mengikut jejak langkah ayahnya yang juga menjadi guru samada di masjid ataupun maktab. Begitu juga dengan abang beliau yang bernama Muhammad turut menjadi guru di masjid mahupun sekolah. Dan diberitakan bahawa Al-Hajjaj merupakan seorang anak yang di didik dan diasuh dengan pengetahuan agama islam yang mendalam, antaranya beliau merupakan seorang ahli bahasa, juga merupakan ahli tafsir, hadis serta maghazi dan sirah. Perkara ini bukanlah satu perkara yang mustahil kepada al-Hajjaj untuk menguasainya kerana beliau tinggal di Taif yang mana kedudukan Taif amatlah hampir kepada Mekah dan Madinah yang menjadi pusat perkembangan agama Islam selain dari Iraq, dan jika diambil kira kedudukan ahli keluarganya yang merupakan ahli dalam bidang agama[10].

Al-Hajjaj yang membesar di pelbagai tempat, selain dari Taif iaitu di Mekah dan Madinah telah mencambahkan kehidupan yang diisi dengan cahaya islam, walaupun begitu ia tidak membunuh sikap keras hati dalam diri al-Hajjaj bin Yusuf. Di usia 22 tahun[11], al-Hajjaj mula menceburkan diri sebagai tentera kepada kerajaan bani umayyah yang mana sikap keras dan beraninya bertepatan walaupun masih di usia yang amat muda. Selain dari sikapnya yang cintakan agama, berani, beliau juga terkesan dengan kehadiran beberapa tokoh dari kalangan kaumnya seperti Syu`bah bin Mughirah, Ziyad, dan Al-Mukhtar Ibn Abi `Ubaid as-Saqafi. Selepas menyertai peperangan yang pertama bagi pihak Umayyah, beliau menyertai pula peperangan di Ar-Rabadhah pada 65 H. Al-Hajjaj selepas menyertai peperangan di Harrah dan Ar-Rabadhah, beliau mendapat tempat sebagai kakitangan kerajaan di Bandar Tabala yang bertempat di Tihama, walaubagaimanapun beliau balik ke Taif dan seterusnya menyertai pasukan polis dan mendapat tempat sebagai ketua dalam pasukan Aban ibn Marwan[12].

Pada awalnya al-Hajjaj adalah sebagaimana bangsa Arab yang lain, kerana beliau turut mewarisi ayahnya dalam bidang ilmiah. Selain itu beliau juga turut menyertai pasukan ketenteraan bersama ayahnya dalam peperangan bagi kerajaan Umayyah. Penglibatan al-Hajjaj pada peringkat awal dalam ketenteraan dan seterusnya dalam pasukan polis merupakan batu asas kepada beliau sebelum menceburi bidang pentadbiran di dalam kerajaan Umayyah.


2.1.2 Penglibatan Awal Al-Hajjaj Dalam Kerajaan

Penglibatan Al-Hajjaj telah disebutkan pada peringkat awal dalam bidang ketenteraan dan kemudiannya sebagai sebahagian dari pasukan polis (Shurtah). Melalui pasukan polis yang diketuai oleh Ruh ibn Zinba` atau Rauh Ibn Zinba`. Rauh Ibn Zinba`[13] merupakan komander atau ketua pegawai pasukan polis pada masa tersebut adalah individu yang bertanggungjawab memperkenalkan Al-Hajjaj kepada kepimpinan tertinggi iaitu Khalifah Abdul Malik Bin Marwan dalam tahun 70 H. Pada awalnya di zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin Muawiyyah (sebelum khalifah Abdul Malik bin Marwan), al-Hajjaj diperintahkan oleh khalifah Yazid untuk memerangi tentera Saidina Al-Hussin dan menangkap cucu Rasulullah S.A.W itu agar dihadapkan kepadanya. Pada ketika itu al-Hajjaj hanya tentera biasa. Perintah tersebut disambut oleh al-Hajjaj lalu memerangi tentera saidina al-Hussin. Ketika memerangi tentera cucu Rasulullah S.A.W di Karbala, al-Hajjaj telah menemui Saidina al-hussin Radhiallahu anh lalu memancung kepala cucu kesayangan baginda S.A.W. Kepala Saidina Al-Hussin disepak-sepak oleh al-Hajjaj dengan zalim lalu dipersembahkan kepala tersebut kepada khalifah Yazid bin Muawiyah. Alangkah terkejutnya Khalifah Yazid yang terkesima dengan keadaan kepala cucu Rasulullah S.A.W diperlaku kejam oleh al-Hajjaj dan merasa kecewa dengan tindakan al-Hajjaj tersebut. Ketegasan al-Hajjaj membunuh saidina al-hussin memberi impak baru di dalam pemerintahan khalifah umawi di mana khalifah umayyah telah melantik al-hajjaj sebagai ketua tentera setelah Rauh ibn zinba'.

Keadaan ketenteraan yang lemah dari segi disiplin pada masa tersebut yang mendorong perkenalan Al-Hajjaj Bin Yusuf dengan khalifah melalui Rauh ibn Zinba`. Keadaan ketenteraan pada masa tersebut amat lemah disiplinnya, iaitu tidak lagi menurut arahan ketua secara total menyebabkan berlaku kepincangan dalam kepimpinan ketenteraan. Sedangkan pada masa ini, ketenteraan yang berdisiplin tinggi amat penting demi menjamin kekuatan yang menyeluruh dalam menghadapi pemberontakan dan penentangan dari segenap pelusuk negara. Antara gerakan yang paling berleluasa adalah gerakan Abdullah Bin Zubair yang mengiktiraf dirinya sebagai khalifah di Mekah. Dan dalam tahun 70 H, Al-Hajjaj dikenalkan kepada Khalifah dan mendapat mandat bagi mengetuai ketenteraan pasukan tentera Dawlah Umayyah bagi menghadapi tentangan dalaman dan luaran. Antara penentangan yang berjaya diselesaikan atau yang pernah ditempuh Al-Hajjaj adalah menentang puak Khawarij pada 73 H, menewaskan Abdullah Bin Zubair juga dalam tahun yang sama, dan sebelum itu berjaya menawan dan menewaskan gerakan al-Mukhtar di Kufah pada 70 H[14].

Begitulah secara ringkas berkenaan penglibatan awal al-Hajjaj di dalam kerajaan, jalinan hubungan pada peringkat antara Al-Hajjaj dan Khalifah membuahkan hasil yang
Amat memberangsangkan yang mana beliau dilantik oleh khalifah untuk jawatan gabenor bagi beberapa buah kawasan yang akan kita tinjau selepas ini.


2.1.3 Al-Hajjaj Sebagai Gabenor

Kerjaya Al-Hajjaj sebagaimana yang kita telah ketahui ia bermula bilaman al-Hajjaj dilantik menjadi ketua pasukan tentera dan telah berjaya dalam beberapa siri penentangan terhadap pembelot mahupun penentang kepada Dawlah Umayyah. Kejayaan beliau telah mendorong khalifah melantik beliau sebagai gabenor di beberapa kawasan. Kedudukan beliau sebagai panglima yang dikenali dengan keberanian disamping beberapa panglima lain seperti Muhallab dan Abdul Aziz.

Al-Hajjaj memulakan karier sebagai gabenor di Kufah dalam tahun 71 H[15], apabila Kufah berjaya ditawan oleh pasukan di bawah pimpinan Abdul Malik sendiri. Hal ini dinyatakan oleh Dr Hasanuddin Ahmed, walaupun begitu di dalam beberapa sumber lain dinyatakan bahawa Al-Hajjaj memulakan karier sebagai gabenor di Mekah, sebaik tertewasnya Abdullah Bin Zubair di tangan beliau. Beliau memulakan kerjaya sebagai gabenor di Mekah pada tahun 73 H, dan penguasa kawasan Madinah semasa itu disandang oleh Tariq ibn Amr. Perjalanan hidup al-Hajjaj, apabila pada tahun berikutnya beliau dilantik sebagai gabenor bagi kawasan Madinah, dan sekaligus bermakna al-Hajjaj sebagai penguasa kawasan Hijaz semasa itu. Hal ini terjadi apabila Tariq ibn Amr dipecat oleh Khalifah Abdul Malik pada tahun 74 H, dan Al-Hajjaj mula menyandang jawatan tersebut pada tahun yang sama. Perkara ini dirakamkan oleh imam Ibn Asir, dalam penulisannya yang bertajuk Al-Kamil Fi Tarikh, di awal-awal penulisan beliau bagi tahun 74 H beliau telah merakamkan peristiwa ini walaupun ianya disebutkan al-Hajjaj hanya berada selama sebulan di Madinah. Antara sebab beliau hanya bertahan sebulan di Madinah adalah penentangan penduduk terhadap perilaku kejam beliau terhadap Jabir Bin Abdullah, Anas Bin Malik dan Sahl Ibn Sa`ad, dan lain-lain bentuk hukuman yang dijatuhkan beliau keatas penduduk sehingga membawa campur tangan khalifah[16].

Selepas dari menjadi gabenor di Hijaz, al-Hajjaj seterusnya dilantik sebagai gabenor di Iraq pada tahun yang berikutnya iaitu pada 75 H. al-Hajjaj ditugaskan sebagaikan gabenor untuk mewakili kawasan di dalam Iraq, melainkan Khurasan dan Sajistan yang mana ia diserahkan kepada wakilnya iaitu Muhallab Ibn Abi Safrah. Pengutusan Al-Hajjaj ke Iraq adalah untuk menghadapi beberapa perkara, antaranya adalah penentangan puak Khawarij di Kufah, penetangan Rutbil di Kabul, kes Abdul Rahman Al-Ash`at bersekongkol dengan Rutbil, serta penentangan Amru Bin Al-As[17]. Itu adalah beberapa peristiwa yang menjadi antara sebab Al-Hajjaj ke Iraq, kerana dunia Islam pada masa tersebut telah mengetahui akan ketegasan al-Hajjaj, walaupun selalu disebutkan tindakan beliau sebagai kekejaman. Beliau menjadi gabenor di Iraq selepas kematian Bashar ibn Marwan, saudara lelaki kepada Abdul Malik pada awal tahun 75 H. beliau menjadi gabenor di Iraq sehinggalah kepada tahun 95 H, iaitu melalui pemerintahan khalifah Abdul Malik dan juga Walid Bin Abdul Malik. Al-Hajjaj meninggal dunia pada bulan Syawal tahun 95 H iaitu dalam jawatan sebagai gabenor mewakili Al-Walid Abdul Malik di Iraq[18].



Kematian Al-Hajjaj pada 95 H disebabkan sakit barah disambut dengan pelbagai reaksi oleh umat islam, dari lapisan tertinggi hingga rakyat jelata, samada ia positif dan negatif. Terdapat beberapa pandangan lagi menyatakan bahawa al-Hajjaj mati setelah membunuh ulama' terbesar pada zamannya iaitu Sa'id bin Jubair rahimahullah. Diriwayatkan bahawa setelah al-Hajjaj membunuh Sa'id, dirinya sentiasa diganggu dengan bayangan Sa'id yang menyebabkan dirinya tidak tenang lalu Allah timpakan kesakitan ke atasnya. ini dirakamkan di dalam kitab Kamil Fi Tarikh, selain itu juga dari kitab ini juga dirakamkan kritikan mahupun pujian terhadap al-Hajjaj dan secara keseluruhan dirakamkan bahawa Al-Hajjaj merupakan seorang yang sentiasa dekat kepada Allah, juga diberitakan bahawa Al-Hajjaj melaksanakan semuanya adalah kerana Allah SWT. Wallahu Taa`la a`la wa a`lam.


2.2 Keadaan Umayyah Zaman Abdul Malik

Khalifah Abdul Malik naik menjadi khalifah bagi menggantikan Marwan Bin Al-Hakam sebagai khalifah ke 5 bagi Dawlah Bani Umayyah. Pemerintahan beliau berlangsung dari tahun 65 H sehingga 86 H, dan kedudukan beliau sebagai khalifah dicabar dengan kedudukan kukuh Abdullah Bin Al-Zubair di Hijaz yang bermula sejurus penentangan beliau semasa pemerintahan Yazid Bin Muawiyah lagi. Abdul Malik sebelum menjawat jawatan kahlifah bani Umayyah merupakakn seorang alim dalam bidang fiqh di madinah, sebaris dengan Said Ibn Musayyab dan Urwah Ibn Az-Zubair yang mana Urwah juga merupakan seorang sejarawan aliran Madrasah Madinah peringkat awal. Dalam tempoh 21 tahun pemerintahan beliau, pelbagai cabaran dalam politik yang terpaksa dihadapi beliau, yang mana kita akan tinjau sebentar lagi sahaja[19].

Keadaan politik semasa ini berada dalam keadaan yang tidak menetu, kerana ia masih lagi di peringkat awal pemerintahan dawlah bani Umayyah, umat islam masih terkesan dengan pelbagai perkara yang berlaku sebelum. Pelbagai sentimen masih lagi mempengaruhi pemikiran penduduk, sekaligus menjadi keadaan politik yang tidak stabil. Antara yang paling hebat berlaku adalah penguasaan Abdullah Bin Zubair di Mekah, malahan beliau turut diakui oleh sebahagian penduduk sebagai khalifah yang sebenar bagi umat islam. Abdullah bin al-Zubair memberontak pada zaman Yazid Bin Muawiyah, dan ia tidak berjaya diselesaikan pada zamannya kerana selepas menjatuhkan Abdullah Bin Hanzalah di Madinah, dan mula menyerang Mekah selepas itu, beliau meninggal dunia. Dan penguasaan Abdullah Ibn Zubair berterusan sehinggalah kepada zaman Abdul Malik, dan hal ini berjaya diselesaikan oleh Al-Hajjaj Bin Yusuf pada tahun 73 H.

Selain dari itu, golongan Syiah yang berpusat di Kufah turut memberontak, ia adalah susulan dari tragedi di Karbala` yang membawa kepada kematian Hussein Bin Ali. Abdul Malik berjaya menyelesaikan konflik ini pada awal pemerintahannya selepas kumpulan Syiah di bawah pimpinan Sulaiman ibn Surad tewas kepada panglima Umayyah, Ubaidillah ibn Ziyad dalam siri pertempuran di Ain Wardah. Pemberontakan yang ketiga adalah gerakan al-Mukhtar, dan secara ringkasnya gerakan ini merupakan gerakan serpihan dari golongan Syiah. Gerakan al-Mukhtar dinisbahkan kepada Al-Mukhtar ibn Abi Ubaid As-Saqafi dan ia dipimpin oleh Ibrahim Al-Ashtar yang diberitakan merupakan seorang panglima yang gagah di medan perang, hal ini dibuktikan sekiranya kita melihat kepada peperangan di Sungai Khazr dan Mausil dimana keduanya berlaku antara gerakan al-Mukhtar dan juga tentera Umayyah, yang mana kedua-duanya dipimpin oleh Ubaidillah ibn Ziyad serta Husein ibn Numair.

Selain dari beberapa gejolak yang berlaku seperti diatas, dua perkara lain yang berlaku ialah konflik Abdul Malik dengan Amru Ibn Said al-As yang menuntut jawatan khalifah daripada Abdul Malik, beliau menuntut kedudukan khalifah kerana menurut muktamar pemilihan khalifah oleh umat islam yang berlangsung di Al-Jabiyah pada zaman Al-Marwan ibn Al-Hakam, pewarisnya adalah Khalid Ibn Yazid dan akan diikuti Amru ibn Said Al-As, walaupun begitu Al-Marwan sendiri memutuskan untuk melantik anaknya sebagai khalifah dan sekaligus menafikan keputusan di Al-Jabiyah. Konflik lain tidak kurang hebat adalah tentang keengganan Rutbil yang memegang kekuasaan di Kabul,yang mana kerajaan di Kabul enggan membayar ufti sebagaimana yang dipersetujui dan hal ini berjaya diselesaikan oleh Al-Hajjaj dengan menghantar Abdul Rahman Al-Ash`at bagi memerangi Rutbil di Kabul, walaupun Rutbil berjaya dikalahkan ianya diikuti pula pemberontakan Abdul Rahman sendiri[20].

Begitulah beberapa peristiwa yang berlaku dalam zaman pemerintahan khalifah Abdul Malik ibn Marwan. Hal diatas membuktikan keadaan yang tidak stabil dalam period pemerintahan beliau, selain dari itu juga beberapa perkara lain adalah keadaan perhubungan antarabangsa Bani Umayyah, seperti tidak memenuhi tuntutan kerajaan Rom bagi menukar bentuk kepala surat dalam surat yang dihantar kepada Rom, sekaligus menghentikan import dinar dari Rom.


2.3 Keadaan Politik Di Iraq Era Al-Hajjaj

Keadaan politik di Iraq secara amnya merujuk kepada keadaan yang berlaku di dalam dawlah Bani Umayyah seperti yang telah penulis sebutkan secara ringkas sebelum ini. Akan tetapi dalam bahagian ini, penulis akan membincangkan konflik atau krisis yang berlaku dalam tempoh pemerintahan al-Hajjaj di Iraq secara lebih mendalam.

Yang pertama adalah berkenaan Rutbil[21], Rutbil merupakan penguasa di kawasan Kabul dan beliau telah bersetuju membayar ufti kepada kerajaan Bani Umayyah dan orang yang bertanggungjawab memantau kawasan ini adalah Al-Hajjaj bin Yusuf selaku gabenor di kawasan Iraq pada masa tersebut. Konflik antara kedua pihak timbul apabila Rutbil enggan membayar ufti sebagaimana yang dijanjikan, sebaliknya memberontak dan bertindak menetang dawlah Umayyah di Iraq. Peristiwa ini berlaku semasa Al-Hajjaj selaku gabenor di Iraq, dan diselesaikan al-Hajjaj dengan menyrang Rutbil sebanyak dua kali pada tahun 76 dan 78 H, walaubagaimanapun ianya menemui kegagalan, sehinggalah serangan yang diketuai Abdul Rahman Al-Ash`at terhadap Rutbil pada tahun 80 H. serangan buat kali ketiga membuahkan hasil, akan tetapi Abdul Rahman Al-Ash`at sebaliknya bertindak memberontak dan menentang Al-Hajjaj ibn Yusuf. Penentangan Abdul Rahman Al-Ash`at berlaku dalam beberapa siri, dan pasukan kerajaan diketuai Al-Hajjaj sendiri. Dalam beberapa siri penentangan, al-Hajjaj tewas di Basrah berikutan sokongan yang diberikan penduduk terhadap Abdul Rahman Al-Ash`at, pada tahun 82 H, kemuncak kepada konflik ini bilamana Abdul Rahman dan pasukan ditewaskan di Iraq oleh pasukan pimpinan Al-Hajjaj serta sokongan kuat penduduk terhadap al-Hajjaj ibn Yusuf, dan hal ini memaksa Abdul Rahman Al-Ash`at berundur ke Kabul dan mendapatkan perlindungan dari Rutbil. Al-Hajjaj lantas mengirim surat kepada Rutbil supaya menyerahkan Abdul Rahman al-Ash`at kepada beliau serta tidak melindungi Abdul Rahman Al-Ash`at, akhirnya Abdul Rahman Al-Ash`at bertindak membunuh diri dan hanya kepalanya yang dihantar kepada Al-Hajjaj di Iraq[22].

Antara lainnya, keadaan di Iraq dan kedudukan al-Hajjaj turut dicabar oleh gerakan al-Khawarij. Gerakan ini sebagaimana yang kita sedia maklum bermula semenjak zaman Ali Ibn Abi Talib lagi, dan ianya berterusan sehingga menimbulkan penentangan golongan Khawarij[23] terhadap al-Hajjaj di Iraq. Penentangan golongan al-Khawarij mula berkembang semasa pemerintahan Muawiyah ibn Abi Sufyan lagi, akan tetapi pada peringkat ianya dapat dibendung. Pemberontakan golongan ini mula tidak dapat dikawal selepas kematian Yazid ibn Muawiyah dan lemahnya pentadbiran Abdullah ibn Ziyad di Basrah , bilamana perkembangan gerakan ini berleluasa di Kufah dan Basrah. sehinggalah tiba kepada zaman Abdul Malik Ibn Marwan yang mana golongan ini memberontak di Kufah dan Basrah yang dipimpin oleh Nafi` Ibn al-Azariq, lalu dinisbahkan kepada kumpulan Al-Azariqah. Kumpulan ini bijak mengambil peluang memperluaskan gerakan menentang Bani Umayyah pada 64 H sejajar dengan kebangkitan Abdullah ibn Zubair di Mekah. Pada zaman Abdul Malik, gerakan mereka di Kufah dan Basrah gagal dikekang oleh Bashar ibn Marwan sebagai penguasa di Kufah manakala Khalid ibn Abdullah Ibn Khalid ibn Asid di Basrah. Hal ini mula ditangani oleh Al-Hajjaj sebaik memasuki Iraq pada tahun 75 H, beliau memulakan dengan ancaman keras bahawa beliau akan menghapuskan golongan Azariqah yang menjadi penentang. Bermula dengan serangan psikologi terhadap penduduk dan penyokong gerakan Azariqah telah menyebabkan mereka mula berpecah sedikit demi sedikit, dan al-Hajjaj berjaya menghapuskan bentuk-bentuk pemberontakan daripada kumpulan ini kira-kira pada tahun 78 H. Rentetan peristiwa ini bermula semenjak angkatan perang al-Hajjaj diketuai Muhallab ibn Abi Sufrah berjaya menewaskan kumpulan yang diketuai Qatari ibn Fujaah, diikuti Abdul Rabih Kabir. Setelah kedua sayap utama kumpulan Azariqah ditumbangkan, ianya menjadikan kumpulan ini berpecah kepada beberapa bahagian dan antaranya adalah pasukan di bawah pimpinan Shabib ibn Yazid yang akhirnya ditewaskan juga dan memaksa beliau melarikan diri ke Ahwaz, dalam tahun 78 H angkatan al-Hajjaj yang diketuai Sufyan ibn Abrad Berjaya menjejaki Shabib dan sekaligus menamatkan krisis kerajaan berhadapan dengan Azariqah dan juga Safariyah berjaya dipadamkan[24].

Selain dari tiga krisis yang dibincangkan diatas, beberapa krisis lain adalah seperti pemberontakan Matraf ibn Mughirah ibn Syu`bah, penentangan Anas ibn Malik dan sebagainya yang hanyalah merupakan penentangan kecil tidak sebagaimana penentangan Ibn Ash`at dan Khawarij, bahkan para sejarawan turut meletakkan penentangan Khawarij sebagai salah satu faktor kejatuhan dawlah Umawi, dan perlu difahami di sini bahawa penentangan Khawarij yang telah penulis sebutkan diatas hanyalah merupakan peristiwa yang berlaku dalam tempoh pentadbiran al-Hajjaj bilamana beliau berjaya mengawal, mengekang serta menyekat pemberontakan dari golongan ini dan tidaklah menghapus kesemua pengikut mereka, bahkan segala idelogi mereka terus menjadi wadah kehidupan cuma ianya tidak dipraktik secara meluas akibat kekangan yang dihadapi.




3. Pentadbiran Al-Hajjaj di Iraq

3.1 Polisi Pentadbiran

Polisi pentadbiran zaman al-Hajjaj adalah sejajar berdasarkan kepada dasar kerajaan Umawi, sebagaimana pelan perancangan pentadbiran semenjak zaman Muawiyah ibn Abi Sufiyan walaupun ianya berubah pada pemerintahan seterusnya kerana dasar kerajaan secara umum biasanya berorientasikan kepada sifat pemimpin tertinggi, seterusnya kepada keadaan sosial, politik dan ekonomi.

Yang pertama, dasar kerajaan pada zaman Abdul Malik dan Al-Walid adalah menghapuskan semua penentang. Hal ini bermaksud kerajaan mengamalkan sikap tidak mempunyai sebarang kompromi terhadap penentang, ianya adalah seperti amalan ISA di Malaysia, sesiapa yang dilihat menetang akan di tangkap dan di dalam kerajaan Umawi sesiapa yang dilihat bertindak menentang samada ia dari aspek penentangan terhadap kerajaan, penentangan terhadap khalifah dan lain-lain. Dan dalam hal ini, penulis melihat ianya berbentuk penetangan yang bermotif politik, samada dengan niat mengancam kedudukan pemerintah, mahupun dengan niat menjatuhkan kerajaan. Menghapuskan penentang dalam konteks di sini bukanlah merangkumi penetangan dari sudut percanggahan pendapat, penentangan terhadap polisi dan sebagainya, akan tetapi ia lebih khusus terhadap penetangan atau ancaman yang bersifat ketenteraan. Dalam hal ini, penghapusan penentang mungkin menjadi salah satu polisi kerajaan kerana pada masa ini amat banyak berlakunya penentangan yang bersifat ketenteraan yang boleh mengancam kedudukan, kewibawaan serta kedaulatan kerajaan, sebagaimana yang kita sedia maklum, al-Hajjaj dikatakan telah membunuh lebih 100 ribu jiwa sepanjang tempoh 20 tahun pemerintahan beliau di Iraq, dan hampir kesemua adalah golongan penentang yang bersifat ketenteraan, dan polisi ini berjaya dilaksana hampir 80 peratus oleh al-Hajjaj berikutan kawasan yang paling banyak timbul penetangan adalah di kawasan beliau.

Yang kedua, dasar kerajaan adalah pemusatan kuasa secara kolektif, yang dimaksudkan disini adalah dawlah Umayyah berkuasa melalui kerjasama dalam kumpulan, dan setiap kejayaan bukanlah terdorong dari khalifah sahaja, tetapi ianya mestilah merupakan hasil kesatu paduan bersama-sama. Hal ini secara mudah penulis ambil contoh ialah pengutusan Abdul Rahman Al-Ash`at untuk menewaskan Rutbil di Kabul, sebelum serangan dilakukan terhadap Rutbil, ia melalui proses keizinan dari khalifah, dan kesepakatan antara kepimpinan tertinggi, lalu barulah Abdul Rahman dipilih, sedangkan Al-Hajjaj sendiri amat berkemampuan untuk menjalankan misi terbabit kerana kita ketahui sebelum beliau berada di Iraq dan Hijaz, beliau merupakan kepimpinan dalam ketenteraan Umayyah. Demikianlah contoh kepada pemusatan kuasa secara kolektif, iaitu gerak kerja berkumpulan dan bergandingan antara satu dengan yang lain. Secara keseluruhan penulis merumuskan bahawa dasar kerajaan iaitu pemusatan kolektif timbul selepas diwujudkan Sistem Wizarah, iaitu kerajaan bukan sahaja ditadbir oleh khalifah yang kemudian dibantu beberapa penasihat dari kalangan sahabat mahupun tabi`in. akan tetapi system wizarah lebih merupakan satu system yang telah menetapkan beberapa perkara iaitu adanya wazir bagi mentadbir di bahagian pentadbiran di peringkat pusat, adanya gabenor di setiap wilayah selain dari pusat kerajaan, juga adanya amir ataupun gabenor juga yang bertindak untuk memantau keadaan dan perjalanan sesuatu wilayah. Begitulah antara contoh yang dapat penulis kemukakan berkaitan pemusatan kolektif.

Yang ketiga adalah kerajaan Umayyah juga menyeragamkan sistem bahasa, iaitu mengguna pakai bahasa arab sebagai bahasa rasmi di setiap kawasan jajahan takluk bagi menggantikan bahasa asing yang digunakan sebelum ini. Seperti yang kita ketahui, bahawa di dalam urusan rasmi di setiap jabatan kerajaan sebelum ini menggunakan bahasa tempatan, dan kebanyakan menggunakan bahasa parsi, dan Abdul Malik ibn Marwan telah bertindak menukar bahasa rasmi dalam setiap urusan di jabatan kerajaan secara seragam di setiap kawasan Umawi. Dasar yang ketiga ini juga berjaya dilaksanakan dengan jayanya, dan pelbagai implikasi positif berjaya dihasilkan. Selain daripada membantu perkembangan bahasa arab ke kawasan luar, penggunaan bahasa arab sebenarnya secara tidak langsung menguatkan kedudukan Umayyah semasa itu, hal ini kita lihat sebagai dasar yang berani, iaitu dapat dilihat bahawa kerajaan lain, seperti rom contohnya terpaksa tunduk kepada kehendak penggunaan bahasa arab, walaupun ia mendapat bantahan maharaja Rom pada peringkat awal, selain itu juga, penggunaan bahasa arab membantu perkembangan ilmu pengetahuan pada masa tersebut, kerana pusat perkembangan ilmu pada peringkat awal adalah di Madinah dan seterusnya Iraq iaitu di Basrah, antara yang kita dapat lihat adalah anak kepada sahabat Rasulullah SAW iaitu Urwah Ibn Zubair ibn Awwam[25] yang mana beliau sememangnya sudah terkenal sebagai ahli hadis, sekaligus merupakan ahli sejarawan aliran Madrasah Madinah peringkat awal, Urwah lahir pada 24 H dan meninggal ketika berumur 71 tahun, setahun sebelum kematian al-Hajjaj iaitu pada tahun 94 H. Pelbagai impak sebenarnya akan dapat dilihat sekiranya kita perhalusi lagi pelaksanaan bahasa arab sebagai bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan, antara tokoh bahasa arab yang lahir di dalam kerajaan Umawi adalah Sibawaih dan Khalil ibn Ahmad al-Farahidi[26]. Wallahu a`lam.

Begitulah antara tiga polisi yang dapat penulis bincangkan, ianya berlaku dalam dua era pentadbiran iaitu Abdul Malik ibn Marwan dan juga Al-Walid ibn al-Malik, dan al-Hajjaj merupakan orang penting dalam kerajaan yang berusaha melaksanakan dasar kerajaan, dan selama dua puluh tahun beliau berada di Iraq, boleh dikatakan bahawa kesemua polisi Umawi yang disebutkan diatas berjaya dilaksanakan dengan jayanya.









3.2 Isu Pentadbiran Al-Hajjaj

Isu pentadbiran al-Hajjaj adalah antara perkara penting yang mendorong penulis menulis kertas kerja ini. Isu yang dimaksudkan dalam bahagian ini adalah isu tentang perkara yang terjadi dari tindakan al-Hajjaj samada semasa menjadi gabenor atau sebelum dari itu. Dan isu tersebut samada ianya berkaitan dengan Al-Hajjaj secara langsung ataupun tidak ataupun ianya berlaku semasa al-Hajjaj menjadi ‘orang kerajaan’. Penulis akan cuba membawa keluar beberapa isu yang boleh diputar belit untuk memburukkan al-Hajjaj menurut riwayat-riwayat di dalam kitab Al-Bidayah wa An-Nihayah karangan imam Ibn Kasir.

1) Pembunuhan Umayr ibn Dabi` Al-Tamimi al-Hanzaliy

Al-Hajjaj membunuh Umayr pada awal ketibaan beliau di Iraq sebagai gabenor. Di dalam sesetengah buku sejarah, Al-Hajjaj dikatakan membunuh Umayr dan memancung kepalanya kerana beliau enggan memberi taat setia kepada Al-Hajjaj selaku gabenor, selain itu Al-Hajjaj dikatakan kejam kerana telah memenggal kepala seorang yang sudah tua dan Umayr hidup semenjak zaman Uthman RA lagi. Al-Hajjaj dituduh menyalah guna kuasa beliau terhadap seorang musuh peribadi. Sedangkan mengikut catatan Imam Ibn Kasir, Umayr merupakan salah seorang dari kelompok yang memerangi Uthman RA dan mengikut hukum islam ia wajar dibunuh walaupun ia tidak dapat dilaksanakan oleh Ali Karamallahu Wajhah semasa pemerintahannya.


2) Peperangan memerangi penduduk di Qantarah Ramaharmuz

Penduduk yang diketuai Abdullah Ibn Jarud adalah antara golongan yang menentang pembunuhan Umayr pada asalnya, dan seterusnya pembunuhan seorang lelaki yang menempelak Al-Hajjaj. Dan peristiwa perang ini berlaku dalam bulan Sya`ban tahun 75 H, susulan dari perang ini Abdullah ibn Jarud serta beberapa orang kanannya telah mati dalam pertempuran. Hal ini, secara ringkasnya adalah reaksi segera al-Hajjaj, supaya golongan yang memihak Khawarij tidak terus bertambah, sedangkan Khawarij adalah pihak yang sedang pesat mempengaruhi penduduk, oleh itu jika reaksi seperti itu tidak dilakukan, mungkin Khawarij mempunyai masa yang banyak untuk mempengaruhi penduduk secara keseluruhan[27].

3) al-Hajjaj berlaku zalim terhadap Abdul Rahman Al-Ash`at

Dalam hal ini, al-Hajjaj dikatakan sering tidak sependapat dengan Abdul Rahman, dan dikatakan sering menghina Abdul Rahman dan menimbulkan rasa tidak puas hati kepada Abdul Rahman. Lalu pemberontakan Abdul Rahman Al-Ash`at sebenarnya dikatakan berpunca daripada layanan Al-Hajjaj terhadap beliau. Analisa yang dapat dikemukakan di sini adalah, krisis berlaku apabila al-Hajjaj melarang tindakan Abdul Rahman al-Ash`at yang bertindak menduduki beberapa kawasan dalam Negara Turki, sedangkan Al-Hajjaj tidak bersetuju sama sekali terhadap tindakan tersebut, oleh itu Abdul Rahman Al-Ash`at bertindak menentang al-Hajjaj. Dan sangat besar kemungkinan ada unsur hasutan daripada Raja Rutbil kepada Abdul Rahman untuk berpaling tadah, lebih-lebih lagi diriwayatkan Raja Rutbil pernah mengutus surat kepada Abdul Rahman serta berkemungkinan sekali kekuatan tentera yang menjangkau 33000 berkuda dan 120000 orang berjalan kaki menjadikan Abdul Rahman bersemangat untuk menentang, dan Abdul Rahman sendiri sangat mengetahui kekuatan tentera yang tinggal di Iraq, wallahu a`la wa a`lam.


Dalam bahagian ini, sesungguhnya banyak isu yang boleh dikupas lagi, akan tetapi kesuntukan masa menyebabkan hanya 3 isu yang sempat diketengahkan. Wallahu a`lam.

4. Perekonomian Zaman Umayyah

Sistem ekonomi pada zaman pemerintahan Umayyah boleh dikatakan akan dalam keadaan yang stabil, kerana jika kita lihat aliran import dan eksport barangan berjalan dengan baik, dan itu menandakan bahawa keadaan Umawi dari segi komposisi ekonomi adalah berada di aras yang baik, yang mana ekonomi yang kuat menyebabkan inflasi berkurangan. Dalam bahagian ini kita akan sama-sama cuba melihat akan hal ehwal ekonomi pada zaman Umawi ini.


4.1 Keadaan Ekonomi Umayyah

Ekonomi di Umayyah pada masa pemerintahan Abdul Malik dan al-Walid secara umumnya berada dalam keadaan baik, dan hal ini ditambah dengan tindakan bijak khalifah dalam urusan import eksport dengan kerajaan Rom lebih-lebih lagi. Sumber kepada kemajuan ekonomi pada masa pemerintahan Abdul Malik dan al-Walid terbahagi kepada beberapa sumber yang akan penulis sebutkan selepas ini.

Antara sumber pendapatan tetap yang didapati dawlah Umawi adalah seperti Kharaj[28], iaitu cukai tanah seterusnya adalah Jizyah iaitu berbentuk cukai perlindungan dan ia biasanya dikenakan kepada penduduk bukan islam yang bermastautin di dalam kerajaan, seterusnya pula adalah zakat, samada ia zakat harta, perniagaan dan lain-lain[29].

Selain daripada beberapa perkara yang penulis katakana sebagai sumber tetap kepada kerajaan, dan jika berlaku perubahan ia tidaklah menjangkau perbezaan yang terlalu ketara. Dan antara lain yang juga merupakan sumber kepada kerjaan Umawi adalah harta rampasan perang ataupun Ghanimah, dan dalam sejarah pemerintahan Abdul Malik dan al-Walid sememangnya banyak bentuk peperangan berlaku antara pihak kerajaan dan penentang, dan sekaligus bersesuaian dengan dasar yang dibawa oleh kerajaan. Selain dari sumber ghanimah, antara lain adalah beberapa sektor ekonomi yang berjaya dibangunkan di kawasan jajahan takluk Umawi. Antara sektor utama adalah seperti sektor pertanian yang berlaku di Iraq, di Iraq ia mendapat tumpuan khusus daripada al-Hajjaj selaku gabenor di sana. Selain pertanian, sektor pembuatan barangan hiasan, dan perhiasan yang menggunakan emas dan perak merupakan kegiatan ekonomi yang pesat, sektor pembuatan senjata juga tidak ketinggalan pada masa tersebut. Selain itu, kerjasama ekonomi di antara Umawi dan Rom juga tercatat di dalam buku penulisan Yaqut al-Hamawi apabila beliau menceritakan bagaimana terhentinya import kertas ke negara Rom dan bagaimana terhentinya juga import pembuatan matawang dari Rom.

Begitulah dia sekilas pandang berkenaan sumber ekonomi kerajaan Umayyah pada masa pemerintahan Abdul Malik dan Al-Walid. Dan seterusnya kita boleh cuba memantau apakah dia sektor ekonomi yang berkembang baik di Iraq dalam era pemerintahan al-Hajjaj dalam bahagian yang seterusnya.


4.2 Sumber Ekonomi Di Iraq

Iraq mempunyai pelbagai sumber ekonomi, secara umumnya ia juga adalah seperti mana yang berlaku dalam daerah lain. Ekonomi Umawi sebahagian besar mempunyai sangkut paut dengan Iraq kerana Iraq adalah wilayah cukup luas dan besar. Iraq merangkumi beberapa kawasan sebagaimana yang kita telah sebutkan sebelum ini. Ekonomi pada zaman al-Hajjaj di Iraq boleh dikatakan stabil dari peringkat awal walaupun berlakunya pelbagai insiden dalaman pada masa tersebut. Dikatakan dalam keadaan stabil adalah kerana jika kita lihat bahawa perubahan matawang yang dilakukan al-Hajjaj pada awal kemasukan beliau ke Iraq adalah antara perkara yang membuktikan bahawa keadaan ekonomi stabil, kerana sekiranya keadaan ekonomi dan matawang Umawi merosot, tidak mungkin dilakukan pertukaran matawang baru, walaupun hal ini kita sedari dimulakan sedikit awal oleh Abdul Malik sendiri, akan tetapi di Iraq dijalankan secara langsung oleh al-Hajjaj, bahkan ianya diperluaskan kepada setiap wilayah.

Sumber ekonomi di Iraq datangnya daripada beberapa bentuk, iaitu seperti mana juga sumber kepada kerajaan Umawi iaitu dalam bentuk Kharaj dan lain-lain. Dan Kharaj di Iraq sudah tentu memberikan pulangan besar kerana berdasarkan kepada keluasan wilayah, dan as-Shalaby mengatakan bahawa Kharaj dari Iraq pada zaman Al-Hajjaj mencapai sehingga 18 juta Dirham dan ia terus meningkat dan dalam tahun 95 H ia mencapai jumlah 25 juta Dirham dan walaupun begitu berlaku defisit kepada hasil keluaran Iraq jika dibandingkan dalam zaman Muawiyah, hal ini dikatakan berpunca daripada banyaknya penetangan dan lain yang turut memusnahkan sebahagian sumber ekonomi. Selain dari hasil negeri dalam bentuk perdagangan dan sebagainya, pertanian adalah salah satu dari sumber yang penting dari Iraq, al-Hajjaj telah memberi perhatian terhadap beberapa perkara utama dalam merencana pembangunan industri pertanian di Iraq iaitu ia termasuklah insentif kerajaan kepada petani, galakan berupa modal, pembaikan sistem pengairan, serta biaya dalam bidang penyelidikan pertanian. Selain itu sumber kepada Iraq adalah Ghanimah, walaupun tidak ada sumber tepat berkenaan dengan hasil ghanimah dari Iraq, akan tetapi jika disandar kepada lebih dari 20 peperangan maka hasil dari Iraq dalam bentuk Ghanimah juga semestinya memberi hasil yang cukup gah. Selain itu, sumber dalam bentuk Jizyah adalah sentiasa meningkat dari masa ke semasa, pada peringkat awal ianya sekitar 720000 di Iraq, dan meningkat sejajar dengan pembukaan wilayah dari masa ke semasa, dan di bahagian asia selatan yang dibuka, hasil Jizyahnya adalah hampir kepada 50 juta Dirham iaitu termasuk Khawarizm, Bukhara dan lain-lain lagi. Selain daripada sumber secara umum yang telah disebutkan, kedudukan Kufah sebagai salah sebuah wilayah Iraq turut perlu diberi perhatian, kerana Kufah mempunyai pusat perdagangan antarabangsa iaitu di Hirah, perkembangan Basrah juga tidak boleh diabaikan kerana Basrah juga turut menjadi tumpuan perdagangan. Beberapa tempat ini merupakan pusat perdagangan untuk pedagang besar dari Negara Parsi dan Hind juga dari Rom dan Yunan. Walaupun pada zaman Al-Hajjaj, perkembangannya tidak sangat memberangsangkan, akan tetapi sedikit sebanyak ia memberi pulangan kepada kerajaan[30].

Demikianlah secara ringkas berkenaan hasil keluaran Iraq dalam bidang ekonomi, dan penulis percaya bahawa sumber ekonomi dari Iraq pada masa tersebut memberi sebahagian sumbangan besar kepada kewangan bagi Dawlah Umawi khusunya pada zaman Abdul Malik dan al-Walid sebagai khalifah.


5. Kesan Al-Hajjaj Bin Yusuf Sebagai Gabenor

Al-Hajjaj pernah menjadi gabenor di dua tempat utama, iaitu di Hijaz dan juga di Iraq. Tugas beliau di Hijaz yang merangkumi Madinah, Mekah, Yaman dan jugaYamamah, berlangsung selama kira-kira setahun sehingga dua tahun manakala beliau bertugas di Iraq yang turut merangkumi Kufah dan Basrah, belaiu sebagai gabenor di bawah pemerintahan khalifah Abdul Malik ibn Marwan sehingga tahun 86 H, dan kontraknya diteruskan juga pada masa dan zaman Al-Walid ibn Abdul Malik sehinggalah kematian Al-Hajjaj pada tahun 95 H.


5.1 Al-Hajjaj Di Hijaz

Tempoh pemerintahan al-Hajjaj yang singkat semasa berada di Hijaz tidak memungkinkan beliau untuk melakukan pelbagai perubahan yang besar. Beliau mula berkuasa sebagai gabenor pada bulan Jamadil Akhir tahun 73 H sehingga kepada Rejab tahun 75 H, yang paling utama adalah kemasukan al-Hajjaj telah berjaya menukar kepimpinan di Mekah dan Madinah daripada berada di bawah kekuasaan Abdullah ibn Zubair. Serangan al-Hajjaj di Mekah telah mengakibatkan kemusnahan kepada ka`bah kerana serangan yang menggunakan manjanik dari luar kawasan, dan ketika waktu tersebut Abdullah bersama pengikutnya bertahan di kawasan ka`bah[31].

Yang kedua adalah pembinaan semula ka`bah oleh al-Hajjaj semasa beliau bertugas di Mekah sebagai gabenor. Ka`bah yang musnah disebabkan serangan ke atas Abdullah ibn Zubair sekaligus menyebabkan Ka`bah musnah dan terbakar. Al-Hajjaj mula membina ka`bah selepas mendapat perkenan daripada Abdul Malik, dan dibina menurut cirri-ciri yang dibina oleh Abdullah ibn Zubair, walaupun begitu ia diubah supaya bersesuaian dengan ka`bah yang wujud pada zaman Nabi yang dibina oleh Quraisy. Ka`bah yang dibina semula al-Hajjaj bertahan sehingga kepada zaman Sultan Murad IV dari Dawlah Uthmaniyah iaitu kira-kira tahun 1039 H[32]. selain itu, Al-Hajjaj juga sempat membina sebuah masjid iaitu Masjid Bani Salamah[33].


5.2 Al-Hajjaj Di Iraq

Sepanjang tempoh pemerintahan al-Hajjaj, ia telah meninggalkan kesan yang pelbagai kepada masyarakat di kawasan Iraq. Antara kesan yang paling mendalam adalah kemakmuran dan kesetiaan kepada kerajaan, hal ini bermula sebaik beliau sampai di dalam bulan Ramadan tahun 75 H bilamana beliau memberi tekanan psikologi yang amat kuat kepada penduduk Iraq mahupun Syam. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa keadaan di wilayah Iraq tidak berada di dalam posisi yang aman dan stabil, dan menjadi salah satu faktor pengutusan beliau ke Iraq adalah demi memelihara keamanan berikutan wujudnya pelbagai kekacauan termasuklah pemberontakan dan lain-lain. Hal ini dianggap berjaya diselesaikan dalam tempoh 20 tahun pemerintahan al-Hajjaj, dan penulis percaya bahawa salah satu faktor adalah polisi al-Hajjaj yang ternyata keras dan tidak ada langsung unsur kompromi.

Selain daripada itu, antara perkara yang mula dilakukan al-Hajjaj semasa menduduki Iraq dalam tahun 75 H adalah membuat matawang dirham, hal ini dicatat oleh al-Balazuri dalam kitabnya Futuh al-Buldan, beliau mencatatkan bahawa al-Hajjaj telah menempa matawang dirham pada akhir tahun 75 H, dan ia mula dibuat serta diedar di seluruh kawasan Iraq pada tahun 76 H. al-Hajjaj juga membuat dinar di atas arahan Abdul Malik dan dinar tersebut dinamakan Dinar Dimashqiyah, selain itu juga al-Hajjaj membuat pembaharuan terhadap ukiran di atas matawang iaitu pada permulaannya beliau menulis Bismillah dan pada tahun berikutnya beliau menulis di atas matawang itu dengan tulis Allah Ahad, Allah Al-Samad[34].

Selain dari kesan di atas, al-Hajjaj dalam 10 tahun terakhir pemerintahannya di Iraq mula melakukan era perluasan kuasa, kebanyakan ianya berlaku dalam tahun 85 H sehingga 95 H, hal ini disebabkan Al-Hajjaj pada peringkat awal menumpukan kepada hal perpaduan di peringkat dalaman. Era perluasan kuasa ini, biasanya dilakukan melalui beberapa orang panglima atau orang kanan al-Hajjaj, iaitu Muhallab ibn Abi Safrah, Qutaibah ibn Muslim dan juga Muhammad Al-Qasim. Antara yang pernah dibuka adalah kawasan Bandar Balkh dan Bandar Shas, yang mana ia mempunyai sungai yang masing-masing dinamakan Saihun dan Jaihun, yang mana pada masa sekarang kawasan tersebut adalah di dalam Negara Uzbekistan iaitu kawasan Amudarya dan Sirdarya. Kedua kawasan yang disebutkan ini dibuka oleh Muhallab dalam tempoh 2 tahun melalui dua ekspidisi pembukaan, dan peristiwa ini berlaku selepas Muhallab berjaya menewaskan Azariqah, selain itu Muhallab juga berjaya membuka Multan di kawasan Sind yang mana ia adalah sebuah wilayah jajahan Hindu. Antara lain kawasan yang berjaya dibuka secara ringkasnya oleh Qutaibah ibn Muslim adalah Shas, Bukhara, Samarkand, Khawarizm dan lain-lain di kawasan asia sehinggalah ke perbatasan sempadan negeri China. Dan begitu juga dengan Muhammad al-Qasim yang berjaya membuka wilayah Sind pada tahun 89 H, ekspidisi pembukaan beliau adalah selama kira-kira 5 tahun dan berjaya merangkumi beberapa kawasan seperti Dibl, Nairawan, Mahran dan lain-lain lagi[35]. Demikianlah beberapa kawasan yang berjaya dibuka dan penerangan ringkas mengenainya, dan penulis ingin menekankan bahawa pada zaman al-Hajjaj, kejayaan merentasi jalan ke India merupakan langkah awal yang membawa kepada bertapaknya kedudukan kerajaan Islam di sana, walaupun telah ada ekspedisi sedemikian sebelum ini, akan tetapi ia hanyalah bercorak dakwah dan bukan berbentuk pembukaan yang menjadi tapak kepada kerajaan Islam. Dan suka ditekankan di sini bahawa, pembukaan yang berlaku dalam tempoh pemerintahan al-Hajjaj di Iraq adalah merupakan salah satu pembukaan jalan perdagangan diantara Negara Asia secara keseluruhan, dan sejajar dengan pembukaan jalan perhubungan ia sekaligus dapat mempertingkatkan produktiviti kerajaan.

2 ulasan:

hanif berkata...

Tukar tajuk tersebut. kerana penulis sebenarnya menyokong usaha dan tindakan al-Hajjaj

mahirdanial berkata...

Tidak perlu menukar tajuk tersebut sebab sememangnya Al-Hajjaj seorang gabenor yang banyak kejam dan menumpahkan banyak darah manusia khususnya sahabat2, ulama'2, penentang2 kerajaan, dan lain2. Namun di sebalik kejamnya al-hajaj ada kesan kepada pembangunan kerajaan Umayyah ketika itu. Harap saudara dapat berfikiran positif dengan tindakan2 al-hajjaj yang keras ini. Post ditulis oleh penulis ini hasil penyelidikannya memahami kekerasan dan kezaliman al-Hajjaj, bukan untuk menyokong tindakan beliau semata-mata. Kezaliman Al-Hajjaj biarlah Allah yang membalasnya. Sy bukan pro- alhajjaj, cuma sekadar mengutara pandangan saya selaku tuan rumah blog ini. Maaf jika tersalah kata :-)