DONATE

Isnin, 12 Oktober 2009

Jual Beli & Kaitan Dengannya



2.2 Konsep Jual Beli Dalam Islam

2.2.1 Definisi Jual Beli


Jual beli dari segi bahasa ialah pertukaran sesuatu dengan sesuatu sama ada kedua-duanya dalam bentuk benda atau bukan benda sama ada redha atau tidak.

Dari segi istilah pula, jual beli didefinisikan sebagai akad yang merujuk kepada pertukaran sesuatu harta dengan harta yang lain bagi tujuan pemilikan kekal. Ini bermaksud dalam akad tersebut mestilah wujud pertukaran harta untuk tujuan pemilikan. Jual beli juga mesti membabitkan sesuatu yang syarak menilainya sebagai harta. Jual beli ini juga perlu membabitkan pemilikan dan penyerahan hak milik dan tidak boleh ditetapkan untuk tempoh tertentu sahaja.

2.2.2 Rukun Jual Beli

Rukun jual beli ialah :
1) Penjual
2) Pembeli
3) Benda yang dijual
4) Harga
5) Sighah


2.2.3 Syarat-syarat Jual beli

Antara syarat bagi penjual dan pembeli ialah:
1. Waras iaitu baligh, berakal dan boleh menguruskan harta dengan baik.
2. Bebas membuat pilihan ketika mengikat kontrak.
3. Bebas melakukan jual beli
4. Penjual dan pembeli adalah individu yang berlainan.
5. Boleh melihat
6. Pembeli hendaklah beragama Islam jika barang yang dibeli itu ialah al-quran.

Syarat-syarat barang jualan dan harganya:

1. Barangan yang dijual mestilah dalam bentuk harta yang bernilai menurut syarak.
2. Barangan jualan hendaklah wujud ketika kontrak jual beli dimeterai.
3. Barangan jualan tersebut mestilah barangan yang bermanfaat menurut syarak dan uruf (kebiasaan orang ramai).
4. Barangan tersebut hendaklah boleh diserahkan daripada segi fizikal dan syarak.
5. Pihak yang berkontrak mestilah orang yang mempunyai kuasa ke atas barangan yang ingin dijual beli sama ada kuasa sebagai seorang penjaga atau kuasa sebagai pemilik.
6. Barangan tersebut mestilah dalam pengetahuan kedua-dua belah pihak.



Syarat-syarat sighah kontrak

1. Tidak wujud tempoh yang lama antara penawaran (ijab) dan persetujuan (qabul) yang boleh menggambarkan pada adatnya penawaran tersebut tidak diterima.
2. Perlu wujud persamaan antara persetujuan oleh pembeli dan penawaran oleh penjual dalam semua sudut.
3. Kesahihan jual beli tersebut tidak boleh dikaitkan dengan sebarang syarat atau dihadkan untuk tempoh tertentu.


2.2 Bayc al-Istisnac

2.2.1 Definisi bayc al-Istisnac



Menurut Bahasa

Pengertian al-istisnac dari segi bahasa ialah menyuruh atau meminta membuat sesuatu barangan. Manakala sesuatu barangan itu pula merupakan hasil kerja atau hasil usaha seseorang tukang atau pengusaha. Perkataan al-istisnac ini diambil dari perkataan sanaca yang bermaksud membuat, menghasilkan atau membina sesuatu. Allah s.w.t telah menggunakan perkataan sanaca ini iaitu dalam firmannya:

Maksudnya:

“….(begitulah) perbuatan Allah yang membuat dengan kukuh tiap-tiap sesuatu.


Menurut Ibn Manzur dalam kitabnya Lisan al-Arab, al-istisnac berlaku apabila seseorang menerima atau menggalakkan atau menyebabkan seseorang lain membuat sesuatu. Manakala menurut al-Fairuzabadi dalam kitabnya al-Qamus al-Muhit, al-istisnac ialah apabila seseorang meminta sesuatu dibuat untuk dirinya. Dalam bayc al-istisnac istilah bagi pembeli atau penempah barang ialah al-mustasnac. Tukang atau penjual barang pula dipanggil al-sanic. Manakala barangan pula dipanggil al-masnuc.

Dalam kata lain al-Istisnac merupakan tempahan terhadap sesuatu barang seperti menempah sepasang baju, sebuah rumah, sebuah katil dan sebagainya. Jual beli ini telah dilaksanakan oleh masyarakat kita sejak zaman-berzaman lagi dan berterusan sehingga kini.


Menurut Istilah

Dari sudut istilah pula, para ulama’ berselisih pendapat kerana berbeza fahaman tentang pensyariatannya. Oleh yang demikian ada di kalangan mereka yang memberikan definisi al-istisnac secara istilahi dan juga sebaliknya. Majoriti ulama’ mazhab membicarakan al-istisnac di bawah topik al-salam dan mereka tidak memberikan satu definisi khusus kepadanya. Sebaliknya ia dibincangkan dalam konteks kontrak salam iaitu apabila menjual sesuatu yang disifatkan dalam tanggungan yang berupa tempahan. Oleh itu, mereka menganggapnya sebagai kontrak salam pada pembuatan sedangkan kontrak salam berbentuk umum tidak mengkhusus kepada pembuat sahaja.

Namun begitu, mazhab hanafi mendefinisikannya sebagai akad ke atas barang yang ditempah sebagai hutang (dhimmah), dengan syarat membuat mengikut apa yang diminta. Fuqaha Hanbali pula menggunakan perkataan al-istisnac dengan maksud ia dikategorikan sebagai jual beli sesuatu dengan syarat. Bagi mereka ia tidak sama dengan al-salam.

Manakala Fuqaha Maliki dan Syafie mengkategorikannya sebagai bayc al-salam dengan mengambil definisi dan hukum-hukumnya dari bayc al-salam. Konsep al-istisnac sama dengan bayc al-salam dari segi keduanya adalah operasi tempahan barang. Cuma apa yang membezakan keduanya ialah jenis-jenis barang yang ditempah lebih umum jenisnya berbanding al-istisnac yang mana objek adalah khusus terhadap barang-barang yang ditempah khas dan begitu juga barang tempahan itu tidak semestinya daripada benda yang wujud dan beredar di pasaran.

Dalam era pembiayaan bank moden dan dunia pengkorporatan masa kini, barang-barang yang terlibat dan boleh diaplikasikan dalam kontrak istisnac adalah luas dan banyak. Ianya boleh diaplikasikan dalam industri berteknologi tinggi seperti industri penerbangan, lokomotif, industri perkapalan dan sebagainya. Barangan istisnac juga boleh terdiri daripada jenis mesin pengeluaran yang berbeza di kilang-kilang besar dan kedai-kedai pertukangan. Kontrak istisnac juga boleh diaplikasikan terhadap pembinaan bangunan perumahan, hospital, sekolah dan universiti.

Dari aspek pembayaran, al-istisnac membenarkan bayaran secara bertangguh dan tidak perlu menentukan tempoh bagi membuat dan menyerahkannya. Manakala bayaran bayc al-salam mestilah dibayar sekaligus semasa akad. Jelasnya bayc al-salam merupakan penangguhan terhadap penyerahan komuditi atau barang dengan pembayaran dilakukan lebih awal.

Al-Zuhaili mengatakan bahawa al-istisnac adalah suatu akad untuk membeli sesuatu yang akan dibuat oleh tukang berkenaan dan bahan serta kerja adalalah daripadanya (tukang) ataupun suatu akad yang dilakukan bersama seorang tukang untuk membuat satu kerja tertentu yang menjadi tanggungan ke atas dirinya.

Akad tersebut akan menjadi upahan (ijarah) bukan lagi tempahan pertukangan sekiranya bahan pembuatan itu terdiri daripada orang yang meminta kerja itu dilakukan, bukan daripada tukang itu sendiri. Ataupun dengan kata lain ianya hanya akan menjadi al-istisnac apabila tukang yang menerima tempahan ini membuatnya dengan menggunakan bahan-bahan kepunyaannya sendiri dan sekiranya sebaliknya ianya menjadi upahan.

Sebahagian fuqaha’ lain mengatakan bahawa perkara yang menjadi asas akad ini ialah kerja itu sahaja, kerana tempoh kerja adalah berkehendakkan supaya pertukangan dilakukan. Ia merupakan satu kerja.

Akad tempahan ini terlaksana dengan adanya ijab dan qabul daripada kedua pihak yang menempah dan pihak tukang yang akan membuatnya. Orang yang akan membeli sebagai penempah pertukangan (mustasnac ) dan orang yang menjual pula sebagai tukang (sonic) dan barang yang dibeli pula sebagai barang tempahan (masnuc). Contohnya apabila A dan B bersetuju untuk membuat kasut, permaidani, rumah dan sebagainya. Contoh yang lain ialah perkakas rumah seperti perabut di mana Hasan (penempah) dan Husin (pembuat) untuk membuat set bilik tidur atau kerusi. Maka segala bahan yang akan digunakan untuk membuat perabut tersebut akan disediakan oleh Husin. Akad ini hanya berlaku terhadap benda-benda yang biasa dan orang ramai selalu berurusan dengannya.

Mengikut pendapat yang lebih sahih di kalangan ulama’ Hanafi, ia adalah satu jual beli, bukannya janji untuk menjual dan bukan juga upahan. Perkara yang diakadkan ialah barang yang diminta supaya dibuat itu, bukannya kerja yang dilakukan oleh tukang yang membuat. Dengan kata lain, ia bukanlah upaha bagi kerja. Oleh kerana itu, adalah harus jika tukang berkenaan mengemukakan suatu yang sama bentuk dan sifatnya dengan yang dikehendaki, yang bukan dibuat olehnya ataupun yang telah dibuat olehnya sebelum akad.



2.2.2 Hukum Dan Dalil Pensyariatan Istisnac


Ulama’ yang mengharuskan akad al-istisnac adalah berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad s.a.w. bahawa baginda pernah meminta dibuatkan cincin sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:

عن ابن عمر رضي الله عنهما أن رسول الله صلى الله عليه وسلم اصطنع خاتما من ذهب وكان يلبسه فيجعل فصه في باطن كفه فصنع الناس خواتم ثم إنه جلس على المنبر فنزعه فقال: ((إني كنت ألبس هذا الخاتم وأجعل فصه من داخل)) فرمى به ثم قال: والله لا ألبسه أبدا)) فنبذ الناس خواتيمهم.


Maksudnya:
Daripada Ibn Umar Radhiyallahu canhuma bahawa Rasullullah s.a.w minta dibuatkan cincin dari emas. Beliau memakainya dan meletakkan batu mata cincin di bahagian dalam telapak tangan. Orang-orang pun membuat cicin. Kemudian beliau duduk di atas mimbar, melepas cincinnya dan bersabda: “Sesungguhnya aku tadi memakai cincin ini dan aku letakkan batu mata cincin di bahagian dalam telapak tangan,” Kemudian beliau membuang cincinnya dan bersabda, “Demi Allah, aku tidak akan memakainya selamanya.” Kemudian orang-orang pun membuang cincin mereka.

Dalam an-Nihayah fi Gharibil-Hadis di sebutkan:
اصطنع الرسول صلى الله عليه وسلم خاتما من ذهب.

Maksudnya:
“Rasulullah s.a.w minta dibuatkan cincin dari emas.”

Ibn al-Atsir menyatakan bahawa maksudnya beliau memerintahkan dibuatkan cincin untuknya.

Al-Kaisani dalam kitab Bada’I ash-Shana ‘i menyatakan bahawa al-istisnac telah berlaku secara ijmac sejak zaman Rasulullah s.a.w. tanpa ada yang menyangkal.

Menurut qias akad pertukangan adalah diharuskan kerana ia adalah suatu jual beli benda yang tiada seperti akad tempahan dan jual beli benda yang tiada adalah tidak diharuskan kerana Rasulullah s.a.w. melarang daripada menjual sesuatu yang tidak wujud lagi. Bagi ulama’ Hanafi, ia adalah harus berdasarkan istihsan, kerana ia sudah menjadi amalan biasa yang dilakukan oleh orang ramai pada setiap masa tanpa sebarang bantahan. Dengan ini pula ia menjadi sebagai satu ijmac dikalangan umat Islam terhadap keharusannya, dengan itu qiyas diketepikan, kerana Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda:

لا تجتمع أمتي على ضلالة
Maksudnya:
Umatku tidak bersekata atas suatu perkara yang sesat.

Kata Ibnu Mascud, “ Apa yang dilihat oleh Umat Islam sebagai baik, maka ia adalah baik di sisi Allah.

Mengikut pendapat ulama’ Maliki, Syafie dan Hanbali, akad tempahan pertukangan ini adalah sah atas aqad tempahan dan amalan biasa manusia. Dalam aqad ini dikenakan syarat yang sama seperti dalam aqad salam. Di antara syaratnya ialah hendaklah menyerahkan semua harganya dalam majlis aqadnya.

Mengikut ulama Syafie, aqad ini tetap dikira sah sama ada ditentukan waktu bagi menyerahkan barangan yang ditempah itu ataupun tidak, iaitu diserahkan segera.


2.2.3 Khilaf Ulama’ Mengenai Pensyariatan al-Istisnac

Ulama’ berbeza pendapat mengenai pensyariatan al-Istisnac di mana terdapat dua pendapat tentang pensyariatan kontrak al-Istisnac ini. Satu golongan berpendapat kontrak ini tidak harus berdasarkan kepada qiyas yang mengkehendaki sedemikian. Golongan yang tidak mengharuskan kontrak tempahan pertukangan secara terang-terangan ialah ulama Mazhab Syafie.

Selain daripada Mazhab Syafie, wujud juga penolakkan daripada sebahagian ulama Mazhab Maliki dan Hanbali. Mereka mengaitkan kontrak tempahan dengan kontrak salam dan oleh yang demikian, bagi mereka, menempah sesuatu barang hendaklah mengikut prosedur hukum kontrak salam.

Ini adalah kerana mereka menganggap bahawa tidak mungkin istisnac ini sebagai kontrak jual beli kerana ia merupakan jual beli benda yang tiada di tangan (bayc al-Macdum) dan tidak juga sebagai salam. Begitu juga tidak mungkin ianya seperti kontrak sewaan atau upah disebabkan mengambil upah ke atas kerja yang dimiliki atau dilakukan sendiri oleh orang yang mengambil upah.

Al-Zuhaili dalam kitab al-fiqh al-Islami Wa Adillatuha juga menyatakan perkara yang sama di mana ulama-ulama Mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali menolak penggunaan al-istisnac bahkan mereka mengaitkan jualan tersebut dengan jualan salam.

Namun begitu, ulama Mazhab Maliki mensyaratkan supaya tidak dinyatakan tukang tertentu yang akan membuatnya dan juga tidak dinyatakan bahan-bahannya yang tertentu semasa membuat tempahan. Mereka juga tidak mengharuskan kontrak tempahan sebagaimana yang difahami oleh Mazhab Hanafi.

Sepertimana ulama mazhab Maliki, ulama Syafie telah meletakkan syarat supaya barang yang hendak ditempah itu mestilah terdiri daripada bahan mentah yang sejenis yang tidak boleh bercampur-campur dengan jenis lain bagi mengharuskan kontrak al-Istisnac dan sekiranya bercampur daripada beberapa jenis, ia mestilah boleh diterangkan dengan jelas setiap bahagian dan sifat-sifatnya.

Ulama Mazhab Hanbali juga sekata dengan dua pendapat di atas yang mengatakan tidak sah urusniaga tempahan barang kerana ia tergolong dalam kategori menjual barang yang tiada ditangan.

Pandangan kedua terdiri daripada golongan ulama mazhab Hanafi yang mengharuskan kontrak tempahan berdasarkan istihsan, sebagaimana yang telah dinyatakan dalam tajuk pensyariatan al-istisnac terdahulu, iaitu amalan yang merujuk kepada ijmac al-camali sejak zaman Nabi s.a.w. hinggalah sekarang tanpa ada apa-apa bantahan.

Disamping itu terdapat juga hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ibn Mascud yang mengatakan bahawa sekiranya sesuatu perkara itu baik di sisi orang mukmin, maka baik di sisi Allah s.w.t. dan juga hadis yang menunjukkkan baginda melakukan perbuatan menempah sebentuk cincin.

Selain itu tempahan ini juga sebenarnya mengandungi ciri-ciri kontrak sewaan dan juga kontrak jual beli dan ini bererti ia mengandungi pengertian dua kontrak yang harus iaitu al-ijarah dan al-salam. Oleh sebab kedua-dua kontrak ini harus maka ciri yang ada pada kontrak tempahan yang juga menyamai ciri kedua-dua kontrak tersebut juga harus.

Dr. Ahmad al-Husadri dalam kitabnya yang bertajuk cilmu al-iqtisadi menyatakan bahawa selain daripada ulama Hanafi, kontrak ini juga diharuskan oleh ulama mazhab Maliki dan Hanbali. Ini bercanggah dengan apa yang dinyatakan oleh al-Zuhayli.

Sebagai kesimpulannya, memang terdapat pro dan kontra dalam pensyariatan al-istisnac di mana ulama mazhab Syafie telah menolak secara terang-terangan manakala ulama mazhab Hanafi telah mengharuskan kontrak tersebut.


2.2.4 Rukun-rukun Istisnac

Menurut ulama’ mazhab Hanafi dan mazhab Hanbali, rukun-rukun akad al-istisnac ialah ijab dan qabul dan disyaratkan di dalamnya apa-apa syarat yang terkandung di dalam akad jual beli dan upah.

Manakala ulama’ mazhab Maliki meletakkan rukun-rukun akad al-istisnac sama seperti yang terdapat dalam rukun-rukun akad upahan iaitu:
i. Pihak yang berakad (penempah dan tukang)
ii. Sighah (ijab dan qabul)
iii. Benda yang diakadkan


2.2.5 Syarat-syarat Akad Tempahan Pertukangan

Untuk menjadikan akad tempahan pertukangan ini sah, maka dikenakan beberapa syarat tertentu. Ia terbahagi kepada syarat umum dan syarat khusus. Syarat umum sama seperti syarat jual beli biasa seperti yang dijelaskan oleh penulis dalam tajuk konsep jual beli. Manakala syarat-syarat khusus untuk bayc al-istisnac adalah seperti berikut:

1) Menjelaskan jenis benda yang hendak dibuat, bentuk, kadar dan sifatnya, kerana ia merupakan barang jualan yang wajib dimaklumi. Syarat ini amat penting bagi menghilangkan unsur al-jahalah yang boleh membatalkan kontrak bayc al-istisnac dan mengelakkan daripada berlaku perbalahan di kemudian hari antara pihak yang berakad.

2) Hendaklah ia terdiri daripada barang yang biasa ditempah manusia seperti barang kemas, kasut, bekas minuman, keperluan binatang, barang-barang kenderaan dan barang-barang pengangkutan yang lain dan sebagainya. Menurut Ahmad al-Hajj al-Kurdi, al-masnuc mestilah sesuatu barang yang boleh berkembang bersesuaian dengan keperluan masyarakat. Tidak harus menempah sesuatu benda yang tidak biasa ditempah secara istisnac seperti al-Dibs (getah angur) kerana tidak biasa dilakukan oleh manusia, tetapi harus menempahnya secara salam. Pada zaman sekarang, istisnac terhadap pakaian sah kerana ia sudah menjadi satu kebiasaan dalam muamalat.

3) Hendaklah ia tidak dibataskan dengan waktu tertentu. Sekiranya penyerahan barang yang ditempah buat itu ditetapkan tempohnya, maka mengikut pendapat Imam Abu Hanifah, ia telah bertukar menjadi akad tempahan salam serta perlu memenuhi semua syarat untuk tempahan, seperti perlu menerima serahan harganya dalam majlis, tidak ada hak untuk kedua mereka yang berakad untuk melakukan khiyar apabila tukang telah menyerahkan barang yang ditempah buat itu sejajar dengan apa yang dinyatakan dalam akad. Alasan yang dipegang oleh Abu Hanifah dalam pendapatnya ini ialah apabila orang yang berakad menetapkan tempoh, maka ia telah mengemukakan makna tempahan salam. Yang diambil kira dalam semua jenis akad ialah maksud dan maknanya, bukan bentuk ungkapannya. Oleh itu, apabila ia menetapkan tempoh pada masa meminta atau menempah seorang tukang untuk membuat sesuatu perkara yang tidak harus dibuat tempahan pertukangan, seperti meminta seorang tukang sulam atau tukang jahit supaya menyulam atau menjahit sehelai baju dengan kerjanya sendiri, maka semua berpendapat bahawa ia akan bertukar menjadi tempahan.

Muhammad Ibn Hasan Al-Syaybani dan Imam Abu Yusuf menyatakan bahawa syarat had tempoh bayc al-istisnac dibolehkan kerana ia merupakan satu adat kebiasaan yang dilakukan oleh orang ramai. Jika dilihat kepada keperluan dunia moden hari ini, penentuan tempoh penyerahan barang amat bersesuian bagi menjamin keberkesanan dalam urusniaga al-istisnac.


Penulis juga berpandangan bahawa pendapat yang kedua ini adalah selaras dengan tuntutan kehidupan yang praktikal. Oleh itu, ia lebih utama untuk digunakan dalam aktiviti muamalat pada masa kini.

4) Barang mentah untuk menghasilkan al-masnuc mestilah disediakan oleh pekilang atau pengusaha. Sekiranya bahan mentah disediakan oleh pihak pembeli, kontrak ini akan menjadi kontrak al-ijarah.

5) Tempat penyerahan barangan yang ditempah mesti ditentukan jika ia memerlukan perbelanjaan dan pengurusan pengangkutan bagi menghindarkan pertelingkahan dikalangan penjual dan pembeli.

6) Bayc al-Istisnac tidak mensyaratkan pembayaran dilakukan dengan segera iaitu pada masa kontrak dibuat. Namun, pembayaran boleh dibuat sedikit semasa akad sebagai pendahuluan atau menangguhkannya atau dibuat secara berperingkat. Apa yang penting ialah harga barang ditentukan semasa akad.

7) Bayc al-Istisnac tidak mensyaratkan penjual menghasilkan sendiri barang yang ditempah. Penjual boleh meminta pihak ketiga menghasilkan barang tempah mengikut segala spesifikasi yang diminta oleh pembeli. Contohnya, dalam kes pihak bank bertindak sebagai pembeli kepada pemaju perumahan atas dasar bayc al-istisnac tetapi pembayaran dilakukan secara sepenuhnya oleh bank. Pihak bank kemudiannya menjual rumah tersebut kepada pelanggan dengan cara bayc al-istisnac di mana pembayaran dibuat secara berperingkat-peringkat kerana bayc al-istisnac tidak mensyaratkan pembayaran penuh di awal akad atau kontrak.


2.2.6 Sifat Akad Tempahan Pertukangan

Terdapat dua pendapat yang menyentuh mengenai sifat akad al-istisnac. Pendapat pertama mengatakan bahawa ianya adalah daripada jenis akad yang tidak mengikat iaitu tidak wajib bagi pembuat untuk menjualnya kepada penempah dan sebaliknya bagi penempah untuk tidak membelinya. Manakala pendapat yang kedua ialah pendapat yang bertentangan dengan pendapat pertama yang mana sifat akad al-istisnac dikira mengikat bagi kedua-dua belah pihak.

Sifat akad tempahan pertukangan adalah suatu kadar yang tidak mengikat sama ada sebelum dan selepas selesai melakukan kerja pertukangan. Setiap orang dari kedua mereka yang berakad mempunyai hak membuat pilihan (khiyar) sama ada mahu meneruskan akad ataupun memansuhkan dan menukarnya sebelum pihak yang meminta pembuatan itu melihat barang yang telah dibuat.

Disebabkan akad berkenaan tidak mengikat dan yang menjadi objek akad pula bukanlah barang yang tertentu itu, bahkan suatu yang bersamaan dan menjadi tanggungan ke atas tukang, maka dengan itu hukumnya harus sekiranya tukang yang membuat barangan itu menjual barang yang dibuatnya itu sebelum ianya dilihat oleh orang yang menempah barang tersebut.

Namun demikian hak khiyar bagi tukang atau pembuat barangan itu akan sendirinya gugur apabila tukang membawa barang yang dibuat kepada penempahnya kerana semasa dia (si tukang ) membawa kepadanya (si penempah) maka bererti dia telah rela supaya barang tersebut untuk penempah berkenaan. Pada masa itu mengikut Abu Hanifah dan Muhammad penempah berhak membuat pilihan sama ada mahu menerimanya atau mahu menolaknya dan memansuhkan akad kerana ia telah pun membeli barang yang ia tidak melihat, oleh itu ia berhak membuat pilihan (khiyar).

Ini berbeza dengan tukang, kerana ia adalah menjual barang yang tidak dilihat. Oleh itu dia tidak berhak membuat pilihan.

Pendapat yang kedua pula mengatakan bahawa akad tempahan pertukangan ini merupakan satu akad yang mengikat (lazim). Ini bermakna apabila penempah melihat barangnya, maka dia tidak berhak untuk membuat pilihan jika barang tersebut menepati seperti apa yang diminta dan mengikut segala syaratnya. Ia menepati seperti jualan al-salam (tempahan) yang mana penempah tidak berhak untuk melakukan khiyar ru’yah bagi menghindarkan kemudharatan yang mungkin menimpa tukang kerana terpaksa memusnahkan bahan yang digunakan bagi menyiapkan barang tempahan tersebut yang telah pun dibuat menepati permintaan penempah. Lagipun ada juga kemungkinan barang yang telah dibuat itu terpaksa dibuang disebabkan tidak terdapat orang lain yang sanggup membelinya. Pendapat ini telah dikeluarkan oleh Abu Yusuf.

Walaupun begitu, pendapat dan alasan yang dikeluarkan oleh Abu Yusuf itu telah cuba ditolak oleh pendapat yang pertama dengan mengatakan bahawa kemudaratan yang akan menimpa penempah dengan sebab tidak boleh membuat pilihan (khiyar) adalah lebih besar berbanding dengan yang menimpa tukang atau pembuat barang itu. Ini adalah kerana mengikut hujahnya dalam apa cara pun ia berkemungkinan boleh menjual apa yang telah dibuatnya kepada orang lain.

Menurut penilaian yang telah dibuat oleh al-Zuhayli juga pendapat peribadi penulis dan juga penulisan-penulisan terkini di internet. Pendapat Abu Yusuf ini yang telah dipilih oleh al-Majalah al-Ahkam al-cAdliyyah itu adalah lebih tepat dan lebih sesuai untuk digunakan di zaman yang moden ini. Ianya dapat menghalang daripada timbulnya pertelingkahan dan pertelagahan antara kedua pihak yang telah berakad dan juga bagi mengelakkan kemudaratan akan menimpa pihak yang membuat atau tukang tersebut.

Selain itu, akad lazim dianggap dapat mengelakkan kerugian yang dialami oleh tukang barang tersebut kerana sudah semestinya dia akan menggunakan segala sumber-sumber yang ada untuk menyiapkan barang tersebut. Kerugian yang dialami ketika penempah membatalkan kontrak tersebut tanpa ada alasan yang kukuh walaupun barang menepati ciri-ciri yang dikehendaki di dalam akad.

Keinginan dan selera manusia berbeza mengikut perbezaan sesuatu benda, baik dari segi saiz, bentuk dan caranya. Jadi ini akan membebankan kepada pembuat untuk mencari pembeli yang mempunyai keinginan yang sama ataupun memerlukan barang yang telah ditolak oleh oleh penempah. Selain itu, pendapat ini adalah selaras dan sesuai dengan dasar adanya kuasa ikatan bagi setiap akad secara umum dalam syariah, disamping ia selaras suasana masa kini yang melibatkan tempahan bagi pembuatan barang-barang besar dan mempunyai harga yang sangat tinggi, seperti kapal-kapal, kapal terbang dan sebagainya yang tentunya tidak munasabah dalam tempahan seperti ini akad perjanjian tidak mengikat.


2.2.7 Hukum Al-Istisnac

Sabit hukuman atau sah hak bagi pihak yang membuat tempahan, apabila tukang yang membuat barang tersebut membawa barang yang ditempahnya secocok ataupun sama dengan apa yang dikehendaki dan dengan sifat yang disyaratkan di dalam akad yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak di awal kontrak. Namun demikian, pensabitan tadi tidaklah berlaku sehinggalah terputus khiyar ru’yah untuknya apabila melihat. Jika penempah barang berpuashati maka dia boleh mengambilnya dan jika sebaliknya maka dia boleh untuk tidak mengambilnya.

Bagi pihak tukang pula, mengikut zahir riwayat, apabila penempah telah melihat dan bersetuju serta redha dengan barang yang telah dibuat berdasarkan kriteria-kriteria yang telah dinyatakan dan dipersetujui di dalam akad, maka pemilikkan terus sabit. Pembuat barang tidak mempunyai sebarang hak untuk membuat pilihan selepas itu.


2.2.8 Perkara-perkara Yang Mengakhiri dan Membatalkan Akad

Terdapat beberapa perkara yang membatalkan dan mengakhiri proses akad al-Istisnac
iaitu:
i. Berakhirnya akad tempahan ini dengan kematian tukang yang membuat barang itu dan penempahnya.
ii. Apabila barang tempahan diserahkan kepada penempah dan pihak penempah menerima barang tempahan tersebut.
iii. Apabila hilang atau gugurnya salah satu daripada syarat-syarat sahnya akad al-istisnac.
iv. Apabila salah satu daripada kedua pihak menarik diri sebelum pelaksanaan kontrak.
v. Sepertimana perkara-perkara yang membatalkan kontrak upahan.


2.3 Perkaitan Antara Bayc al-Istisnac dan Bayc al-Salam

Memandangkan konsep pelaksanaan akad al-istisnac menyerupai dan seakan-akan jual beli salam, maka penulis ingin menyelitkan sedikit perkaitan antara al-istisnac dan al-salam. Hubungan ini boleh dikaitkan merujuk kepada definisi, pensyariatan, rukun, syarat persamaan dan perbezaan antara keduanya.


2.3.1 Definisi bayc al-Salam


Bayc al-Salam adalah berasal daripada perkataan arab iaitu sallama atau aslama yang bermaksud membayar wang pendahulan sebelum penyerahan barang. Selain daripada kata akar tersebut terdapat satu lagi perkataan yang mempunyai maksud yang sama iaitu aslafa atau salafa. Pada hakikatnya penggunaan kedua-dua perkataan tersebut adalah membawa makna yang sama, cuma pembawaan penggunaan istilah tersebut di tempat yang berlainan yang membezakan kedua-duanya. Perkataan salaf digunakan oleh penduduk Iraq manakala salam popular dikalangan penduduk hijaz.

Berdasarkan kepada definisi tersebut, bolehlah di ertikan bayc al-salam berlaku dalam keadaan seseorang pembeli membayar barang atau nilai tertentu untuk mendapatkan barang yang dikehendaki dengan sifatnya tertentu pada masa akan datang. Terdapat juga ulama yang mendefinisikannya sebagai satu jenis kontrak yang melewatkan penyerahan barang yang dikontrakkan dengan mendahulukan harga dalam majlis akad. Dengan maksud yang lebih ringkas, seseorang itu menempah barang dari penjual dengan menjelaskan bayaran terlebih dahulu dan menangguhkan barangan untuk kesuatu tempoh. Ini belawanan dengan bayc al-muajjal yang menangguh bayaran.

Ulama Syafie dan Hanbali mendefinisikannya sebagai satu akad ke atas suatu perkara yang disifatkan dalam tanggungan (al-dhimmah) serta bertangguh dengan harganya diterima majlis akad berkenaan.

Ulama Maliki pula mendefiniskan al-salam sebagai jualan yang didahulukan harga dan ditangguhkan barangan kesuatu tempoh.

Ulama mazhab Hanafi pula mengatakan ia sebagai jual beli bertangguh dengan tukaran yang disegerakan.

Berdasarkan kepada definisi yang telah dijelaskan di atas, maka disimpulkan bahawa al-salam ialah satu kontrak ke atas suatu barang yang dinyatakan sifat-sifatnya dalam tanggungan secara bertangguh dengan harganya diterima dalam majlis akad.


2.3.2 Pensyariatan akad bayc al-salam

Asas pensyariatan akad tempahan terdapat di dalam al-quran dan al-sunnah serta ijmac ulama.

Dalam asas al-quran terkandung ayat yang berhubung dengan penghutang, berdasarkan firman Allah s.w.t. :

Maksudnya:
Wahai orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu….

Sewaktu mentafsir ayat ini Ibn Abbas telah berkata, “ Aku bersaksi bahawa tempahan yang terjamin untuk suatu tempoh yang tertentu telah dihalalkan oleh Allah dalam al-quran dan telah diberikan kebenaran untuknya.” Beliau kemudian membaca ayat ini.

Asas daripada al-Sunnah pula ialah, hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah tiba ke Madinah, sedang peduduknya mengamalkan tempahan terhadap buah untuk tempoh setahun, dua tahun ataupun tiga tahun. Baginda lalu bersabda:

عن ابن عباس رضي الله عنهما قال قدم النبى صلى الله عليه وسلم المدينة وهم يسلفون بالثمر السنتين والثلاث فقال من أسلف فى شيء ففى كيل معلوم ووزن معلوم إلى أجل معلوم.

Maksudnya:
Nabi memasuki Madinah dan mendapati mereka (orang-orang) Madinah) membuat urusniaga salam buah-buahan dua tahun dan tiga tahun, lalu Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa membuat urusniaga hutang piutang (salam) pada suatu benda maka hendaklah urusniaga itu mengikut sukatan yang tertentu da timbangan yang tertentu serta tempahan yang tertentu”.
Asas ijmac pula, sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn al-Mundhir, “Para ahli ilmu yang kami tahu, adalah telah ijmac bahawa tempahan adalah harus.” Lagipun orang ramai memerlukan akad ini kerana pemilik tanaman, buah-buahan dan perniagaan sangat memerlukan kepada perbelanjaan untuk mereka ataupun tanaman mereka dan sebagainya, sementara menanti buahnya masak, maka tempahan diharuskan bagi memenuhi keperluan mereka .

Akad tempahan ini adalah pengecualian daripada kaedah asal yang tidak mengharuskan jualan barang yang tidak ada kerana ternyata ia mempunyai kepentingan dari segi ekonomi bagi memberikan kelonggaran dan kemudahan kepada orang ramai.


2.3.3 Rukun dan syarat

Terdapat empat rukun jual beli salam iaitu pihak yang mengikat kontrak, sighah kontrak, modal yang di bayar dan barangan yang ditempah. Kesemua rukun-rukun ini mempunyai syarat-syarat tertentu.

1. Rukun pertama: Pihak yang mengikat kontrak (pembeli dan penjual)

Pembeli ialah orang yang mendahulukan wangnya untuk mendapatkan barangan yang dikehendaki. Dalam istilah arb dikenali sebagai muslim.

Penjual ialah orang yang menerima wang sebagai bayaran kepada barangan yang akan diberikan . Dalam istilah arab dikenali sebagai muslam ilaih. Kedua-dua pihak ini terikat denga syarat-syarat yang ditetapkan kepada pembeli dan penjual dalam kontrak jual beli iaitu berakal, baligh, sukarela dan sebagainya.

Walaubagaimanapun dalam jual beli salam tidak dikenakan syarat boleh melihat. Oleh itu orang buta boleh melakukan jual beli salam tetapi tidak boleh membuat jual beli biasa. Ini kerana dalam jual beli biasa kedua-dua pihak disyaratkan melihat barangan yang dijual sementara dalam jual beli salam barangan tersebut hanya dinyatakan sifat-sifatnya sahaja. Jadi sifat-sifat ini boleh diketahui dengan cara mendengar. Sementara ketika menerima pula, orang buta boleh mewakilkan kepada sesiapa sahaja bagi memastikan sifat-sifat yang dinyatakan itu wujud.


2. Rukun kedua: Sighah kontrak

Sighah kontrak ialah penawaran (ijab) dan persetujuan(qabul). Contohnya, pemilik modal berkata: Saya dahulukan RM1,000.00 ini untuk mendapat 100 helai baju yang sifat-sifatnya seperti berikut. Manakala penerima pula berkata: Saya setuju atau saya terima pembayaran yang didahulukan ini atau sighah yang seumpamanya.

Penawaran dan persetujuan in juga terikat dengan syarat-syarat yang bagi sighah kontrak jual beli biasa seperti mesti berada dalam satu tempat, wujud persamaan antara penawaran dengan persetujuan dan sebagainya. Cuma terdapat syarat tambahan dalam jual beli salam iaitu sighah tersebut mesti menyatakan lafaz salam atau salaf dan tidak sah jika menggunakan lafaz lain.

Selain itu, kontrak ini juga disyaratkan tidak mengandungi sebarang khiyar syarat. Maksudnya kontrak tersebut mestilah kontrak penuh kerana khiyar syarat hanya dibenarkan bagi kontrak jual beli biasa sahaja. Ia tidak boleh disamakan dengan jual beli yang lain. Dengan itu, khiyar syarat di sini kekal dengan hukum asalnya iaitu tidak dibenarkan.

Selain itu dalam jual beli salam, modal perlu diberikan dalam majlis kontrak sedangkan jika khiyar syarat wujud dalam kontrak ini, perkara ini boleh menghalang maksud tersebut. Ini kerana khiyar syarat menghalang penerima modal daripada memperolehi hak penuh terhadap modal tersebut. Penerimaan modal tersebut mungkin hanya sekadar bayangan dan ini akan menyebabkan kedua-dua pihak berpisah sebelum kontrak tersebut sempurna dimeterai, prosedur ini tidak dibenarkan. Dengan ini, kontrak jual beli salam yang membabitkan syarat khiyar dianggap tidak sah.

Walaubagaimanapun khiyar majlis pula boleh diadakan dalam kontrak jual beli salam kerana khiyar tersebut tamat apabila kedua-dua pihak berpisah. Dengan itu, perpisahan kedua-dua pihak menunjukkan kontrak tersebut telah sempurna. Jadi tidak wujud percanggahan antara khiyar majlis dengan syarat-syarat yang ditetapkan dalam jual beli salam.


3. Rukun ketiga: Modal

Modal ialah bayaran yang dibuat oleh pembeli sebagai mendahulukan bayaran kepada penjual. Antara syarat-syaratnya ialah:

a) Jumlah dan bentuk pembayaran hendaklah dimaklumi oleh kedua-dua pihak.
Contohnya bayaran yang dibuat ialah RM1000.00. Jika bayaran yang dibuat menggunakan barangan yang boleh disukat atau ditimbang seperti gandum, gula atau sebagainya, jumlah sukatan dan timbangan perlu dinyatakan. Contohnya 2,000 cupak atau 2,000 kati. Selain itu, kualiti barangan tersebut juga perlu dinyatakan.

Jika bayaran tersebut boleh dilihat contohnya pembeli membayar seguni gandum bagi mendapat barangan tertentu ataupun pembeli menggunakan dirham, pembeli disyaratkan menyatakan jumlah bayaran tersebut tetapi tidak perlu menyebut sifat, jenis dan spesifikasi barangan tersebut kerana keterangan boleh digantikan dengan penglihatan.

b) Penyerahan modal oleh pembeli dan penerimaan modal penjual perlu dalam masa kontrak iaitu sebelum mereka berpisah secara fizikal kerana penyerahan ini adalah objektif asal dalam jual beli salam.

Jika penyerahan ini tidak berlaku, bermakna tidak wujud kontrak jual beli. Sebaliknya ia berubah kepada menjual hutang dengan hutang yang tidak dibenarkan. Penerimaan tersebut disyaratkan mestilah penerimaan yang hakiki. Jika modal itu dipindahkan (hawalah) daripada pihak ketiga yang berhutang dengan pembeli supaya dibayar kepada penjual, maka ia tidak sah. Ini kerana pemindahan hutang (hawalah) tidak termasuk dalam kategori “menerima” (al-Qabdhu)


4. Rukun keempat: Barangan yang ditempah

Barangan yang ditempah ialah barangan yang dijual dalam kontrak dan penjual berjanji menyerahkannya kepada pembeli sebagai timbale balik kepada modal yang dibayar sebagai bayaran yang didahulukan. Syarat-syarat yang ditetapkan ialah:

a) Barang tersebut mestilah boleh dinyatakan sifat-sifat dan ciri-cirinya.
b) Barangan tersebut mestilah dikenalpasti jenis, kualiti, jumlah dan sifat oleh kedua-dua pihak.
c) Barangan tersebut tidak bercampur dengan pelbagai barangan berlainan jenis.
d) Barangan tersebut mestilah diperhutangkan iaitu barangan dalam tanggungan (zimmah) yang hanya dinyatakan sifat tanpa merujuk kepada barangan tertentu.
e) Barangan tersebut mampu diserahkan.
f) Tempoh penyerahan perlu ditetapkan.
g) Tempat penyerahan perlu ditetapkan.



2.3.4 Syarat-syarat harga bagi barang tempahan


Mengikut Imam Abu Hanifah, jual salam ialah beli sesuatu barang dengan cara hutang. Antara Syarat-syaratnya ialah:

1. Orang yang memesan barang itu hendaklah menjelaskan sifat-sifat barang yang dipesan itu dan memberikan pendahuluan harga barang tersebut di dalam majlis akad.

2. Barang yang dipesan itu hendaklah ada di dalam pesanan ketika itu dan berterusan ada sehingga sampai waktu penyerahannya. Ini mengelakkan daripada sebarang penipuan. Sekiranya barang itu tidak ada dalam masa perjanjian itu dibuat ataupun pada masa tarikh penyerahan, maka mengikut sebahagian pendapat mazhab Hanafi perjanjian tersebut terbatal. Manakala menurut pendapat mazhab Syafie orang yang membuat pesanan itu boleh membuat pilihan sama ada menunggu sehingga barang tersebut diperolehi atau membatalkan perjanjian tersebut dan menuntut balik cengkeram yang telah dibayar.

3. Bayaran juga hendaklah secara bertangguh.

4. Orang yang memesan itu hendaklah menjelaskan dengan jelas jenis barang yang dipesan seperti kapas, gandum, atau sebagainya serta jumlahnya sama ada mengikut timbangan, sukatan, atau bilangan

5. Menentukan tempat penyerahan.

6. Sekirannya penjual itu meningal dunia maka perjanjian itu terbatal. Ini seperti hutang juga apabila orang yang memberi hutang itu meninggal dunia maka hutang tersebut terbatal dengan sendirinya.


2.3.5 Persamaan antara bayc al-salam dengan bayc al-istisnac

Apabila melihat sekali imbas, antara kontrak al-salam dan al-istisnac sememangnya ada diantara kita yang sukar untuk membezakannya dan menganggapnya adalah sama. Ini adalah kerana kedua-dua kontrak tersebut daripada konsep asasnya adalah merupakan sebuah akad jualan yang berbentuk tempahan terhadap suatu barang yang macdum (yakni tidak wujud sewaktu akad). Oleh sebab itulah majoriti ulama mazhab membicarakan al-istisnac di bawah topik al-salam dan mereka tidak memberikan satu definisi khusus kepadanya. Sebaliknya ia dibincangkan dalam konteks kontrak salam iaitu apabila menjual sesuatu yang disifatkan dalam tanggungan yang berupa tempahan.

Persamaan kedua yang boleh dilihat ialah dari segi fungsi kedua-dua kontrak tersebut iaitu ianya diharuskan kerana keperluan orang ramai. Kontrak al-istisnac dan al-salam adalah dua buah kontrak di mana ianya memberikan kemudahan kepada orang ramai yang inginkan sesuatu barang yang macdum dan menghendaki barangan tersebut mengikut citarasa sendiri.

Selain itu ianya juga memberikan jaminan adanya barangan tersebut di suatu masa yang akan datang dan dewasa ini ianya merupakan satu kelebihan dan keperluan khususnya kepada peniaga ataupun pengilang-pengilang di mana mereka memerlukan bekalan barangan yang berkekalan untuk diproses dan kemudiannya dipasarkan kepada umum. Sekiranya bekalan berkurangan ataupun tiada maka mereka akan menghadapi masalah untuk menghasilkan sesuatu produk.


2.3.6 Perbezaan Antara Bayc al-Istisna’ dengan Bayc al-Salam

Meskipun bayc al-Istisnac ini sama seperti bayc al-salam, yang mana keduanya merupakan jualan barang yang tidak wujud dan diharuskan kerana keperluan orang ramai, akan tetapi terdapat beberapa perbezaan antara keduanya. Antara perbezaan yang jelas kelihatan ialah :
1. Benda yang dijual dalam akad tempahan (al-salam) adalah barang yang tidak tentu yang menjadi tanggungannya, baik ia merupakan bahan yang disukat, ditimbang atau dibilang. Dalam tempahan pertukangan (al-Istisnac ) pula, ia barangan tertentu seperti upah membuat alatan rumah, kasut, menjahit baju dan sebagainya.

2. Dalam akad tempahan (salam) disyaratkan penerima harga tempahan dilakukan di majlis akad, iaitu si penempah barangan tersebut perlu menyerahkan kesemua harga bayaran bagi barangan tersebut ketika kontrak dipersetujui dan ini tidak disyaratkan dalam penerimaan tempahan pertukangan (istisnac).

3. Akad salam adalah mengikat (lazim) iaitu tidak boleh dibatalkan setelah dipersetujui. Manakala akad istisnac adalah tidak mengikat iaitu boleh dibatalkan sekiranya tukang belum memulakan kerja-kerja pertukangan.

4. Bayc al-istisnac tidak memerlukan syarat adanya tempoh yang tertentu dan ini berbeza daripada yang dinyatakan dalam akad bayc al-salam yang mana disyaratkan adanya tempoh waktu yang tertentu kepada orang yang menerima tempahan untuk menyerahkan barang tempahan tersebut mengikut tempoh yang telah dipersetujui.

5. Bayc al-Salam tidak boleh ditukar dengan barang yang sama seperti gandum dengan gandum, kentang dengan kentang dan sebagainya. Manakala dalam Bayc al-Istisnac dibolehkan.


2.4 Perbezaan di antara al-Istisnac dan Ijarah (upah)

Seperti yang telah dijelaskan terdahulu yang mana di dalam istisnac pihak tukang akan membuat barang tempahan tersebut dengan menggunakan bahan-bahan kepunyaannya sendiri atau dengan kata lain bahan tersebut adalah miliknya dan bukan milik si penempah. Sekiranya bahan untuk membuat barang yang ditempah itu adalah milik si penempah makan kontrak tersebut bukan lagi dipanggil kontrak istisnac (tempahan) sebaliknya ia telah bertukar menjadi kontrak upahan (ijarah). Oleh yang demikian, perbezaan antara istisnac dan ijarah ialah sumber bahan untuk membuat barang tempahan tersebut sama ada ianya datang daripada penempah ataupun milik tukang tersebut.


2.5 Kesimpulan

Walaupun terdapat khilaf dalam pensyariatan al-istisnac dalam kontrak-kontrak jual beli atau mumalat Islam, namun dapatlah disimpulkan bahawa al-istisnac adalah merupakan salah satu kontrak muamalah yang dibenarkan dalam perundangan Islam. Penggunaan kontrak istisnac di setiap zaman menunjukkan bahawa kontrak ini adalah kontrak yang biasa digunakan dan memberikan faedah yang berterusan kepada orang ramai dalam urusan jual beli khususnya jual beli yang melibatkan jualan macdum ataupun jualan barang yang tiada. Ianya merupakan satu kontrak yang mampu berkembang di zaman ini di mana urusniaga yang biasa diamalkan dewasa ini adalah melibatkan barangan yang tiada. Istisnac boleh digunakan sebagai kontrak pembiayaan untuk projek pembangunan perumahan, industri berteknologi tinggi dan sebagainya. Ianya memberikan banyak manfaat kepada orang ramai yang mana kebanyakkan mereka tidak mempunyai modal untuk memulakan sesuatu projek lalu mereka boleh menggunakan kontrak ini disebabkan pembiayaan ini memberikan kelonggaran dari segi pembayaran yang mana pembayaran secara ansuran adalah dibenarkan yakni yang menggunakan kontrak bayc bithman ajil iaitu jualan bertangguh.

Tiada ulasan: