DONATE

Isnin, 21 Disember 2009

Qisas dan Diyat Menurut Islam dan Undang-Undang Tort Sivil: Suatu Kajian

1. Pendahuluan

Islam diturunkan bagi menjaga kemaslahatan manusia. Oleh itu berbagai cara dan kaedah yang diwahyukan oleh Allah adalah bertujuan memelihara kepentingan manusia. Antaranya ialah hukuman diyat dan qisas. Hukuman ini telah ditentukan bagi kesalahan apa dan kadar hukumannya berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis nabi s.a.w. Namun, prinsip ini juga terdapat di dalam undang-undang ciptaan. Ianya dicipta bagi menjamin keselamatan dan keadilan kepada manusia. Undang-undang ini bukanlah seperti undang-undang ciptaan yang lain yang mana mempunyai aktanya sendiri. Kesalahan di dalam undang-undang ini adalah melibatkan kesalahan sivil dan moral. Undang-undang ini dikenali sebagai undang-undang tort. Undang-undang ini dikatakan mempunyai banyak persamaan dan mempunyai kaitannya dengan hukuman qisas dan diyat. Oleh itu, di dalam kertas kerja ini akan cuba meneliti apakah persamaan dan kaitannya qisas dan diyat ini dengan undang-undang tort.


2.0 Qisas
2.1 Makna qisas


Qisas dari sudut bahasa beerti perturutan kesan dan ia digunakan dengan makna pembalasan kerana orang yang menjalankan qisas akan menurut kesan jenayah seseorang penjenayah, lalu memperlakukannya sama seperti jenayahnya. Ia juga beerti bersamaan. Daripada pengertian ini pembalasan qisas dipakai menurut syarac. Ia adalah membalas penjenayah sama seperti perbuatannya iaitu bunuh (Wahbah Zuhaili. 2004).


    Dari segi bahasa qisas bermaksud memotong dua secara sama banyak seperti gunting memotong kain atau kertas secara sama banyak atau sama ukuran luasnya. Manakala dari segi istilah pula, qisas bermaksud hukuman balas yang boleh disamakan dengan "law of retailiation" atau "law of revenge or Vengeance" (Hashim Mehat. t.thn).


Qisas ialah kesamaan dan adil, dinamakan qisas ialah untuk mengadili pihak. Telah berkata Qurtubi di dalam kitabnya Jamic al-Ahkam al-Quran bahawa qisas diambil dari perkataan "qassa" yang memberi maksud mengikut (Ahmad Fathi Bahansi. 1983).


    Makna qisas ialah perumpaan pesalah disamakan dengan perbuatannya iaitu membunuh dan disamakan perbuatan itu dengan hukumannya (cAbdul Qadir cAwdah. t. thn).



2.2 Dalil pensyaricatan



Maksudnya:

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu qisas berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh"

(Surah al-Baqarah: 178)



Maksudnya:

"Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, wahai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa"

(Surah al-Baqarah: 179)

Selain itu, terdapat juga hadis nabi s.a.w yang bermaksud: Rasulullah s.a.w bersabda: ((Tidak halal darah seseorang Muslim yang mengucapkan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku pesuruh Allah, kecuali disebabkan salah satu daripada tiga sebab: duda atau janda yang berzina, membalas nyawa dengan nyawa dan orang yang meninggalkan agamanya yang berpisah dari jamacah)) (Wahbah Zuhaili. 2004).




2.3 Pembahagian qisas


Qisas terbahagi kepada dua iaitu membunuh dan mencederakan.

2.3.1 Membunuh pula terbahagi kepada tiga bahagian iaitu membunuh dengan sengaja, separuh sengaja dan tidak sengaja. Ketiga-tiga kategori ini juga termasuk di dalam kesalahan hudud. Dan kesalahan membunuh dengan sengaja sahaja yang akan dikenakan hukuman qisas, berdasarkan firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 178:



Maksudnya:

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu qisas berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita. Maka barangsiapa yang mendapat suatu pemaafan dari saudaranya, hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik".

(Surah al-Baqarah: 178)

Jika kesalahan ini dimaafkan oleh waris si mati, maka hukuman qisas ini akan digantikan dengan diyat ataupun tidak dikenakan apa-apa jika waris tidak meminta apa-apa.

2.3.2 Kesalahan mencederakan pula ialah kesalahan melukakan, menghilangkan atau menghilangkan fungsi anggota badan. Hukuman qisas ini akan menyebabkan pesalah menanggung kecederaan sama seperti yang dilakukannya. Kesalahan mencederakan pula terbahagi kepada dua iaitu dengan sengaja dan tidak sengaja. Dan kesalahan yang termasuk di dalam hukuman qisas hanya melibatkan kesalahan mencederakan dengan sahaja. Manakala mencederakan dengan tidak sengaja dikenakan hukuman diyat. Mencederakan dengan sengaja. Firman Allah di dalam surah al-Maidah ayat 45.



Maksudnya:

"Dan kami telah tetapkan terhadap mereka di dalamnya (al-Taurat) bahwasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka luka (pun) ada qisasnya. barangsiapa yang melepaskan (hak qisas) nya, maka melepaskan hak itu (menjadi) penebus dosa baginya. barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim".

(Surah al-Ma'idah: 45)

Dan ini adalah nas yang jelas dan sahih pada pengharaman menghilangkan dan mencederakan anggota badan.




2.4 Hikmah disyariatkan


2.4.1 Hukuman qisas dalam kes membunuh orang akan menjamin orang lain terus dapat hidup dengan aman damai. Manakala hukuman qisas terhadap anggota badan yang tersirat di dalam firman Allah mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi dan segala luka ada qisasnya adalah menjamin persamaan dalam hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan dan tentu sekali ianya amat adil dan memuaskan semua pihak.

2.4.2 Melaksanakan hukuman qisas juga terhadap sama ada terhadap nyawa dan anggota badan menunjukkan bahawa kemuliaan nyawa manusia dan kesucian tubuh badannya tidak boleh ditukarganti dengan hukuman lain selain dari hutang nyawa dibayar dengan nyawa, hutang darah dengan darah (Hashim Mehat. t.thn).


3.0 Diyat


3.1 Makna diyat


Diat ialah hukuman penggantian yang utama bagi hukuman qisas jika gugur hukuman qisas dengan sebab-sebab yang menggugurkannya ataupun jika pesalah dimaafkan oleh mangsa atau waris (Abdul Qadir 'Audah. t.thn). Menurut Ahmad Fathi Bahansi (1983), mentakrifkan diyat dari segi syarac ialah nama bagi harta yang digantikan dengan jiwa atau cedera. Menurut Mahmood Ahmad Rasyid (2006), mengatakan bahawa diyat ialah harta yang wajib disebabkan jenayah dan dilaksanakan oleh penjenayah.

Maksud diyat ialah sejumlah harta tertentu sebagai satu hukuman jenayah terhadap pesalah jenayah yang dibayar kepada mangsa kerana kesalahan membunuh seakan-akan sengaja atau tersalah dan terhadap kesalahan mencederakan dengan tersalah (Hashim Mehat. t.thn).


Manakala Yunus Abdul Qawi Said Syaficie (2003), mengatakan diyat dan qisas ialah apa-apa kesalahan yang dihukum dengan hukuman diyat dan qisas dan setiap daripada qisas dan diyat itu adalah hukuman yang telah ditetapkan bagi tiap-tiap seseorang.



3.2 Dalil pensyaricatan diyat



Maksudnya:


"Dan tidak layak bagi seorang mukmin membunuh seorang mukmin (yang lain), kecuali kerana tersalah (tidak sengaja), dan barangsiapa membunuh seorang mukmin kerana tersalah (hendaklah) ia memerdekakan seorang hamba sahaya yang beriman serta membayar diat yang diserahkan kepada keluarganya (si terbunuh itu), kecuali jika mereka (keluarga terbunuh) bersedekah. Jika ia (si terbunuh) dari kaum (kafir) yang ada perjanjian (damai) antara mereka dengan kamu, maka (hendaklah si pembunuh) membayar diat yang diserahkan kepada keluarganya (si terbunuh) serta memerdekakan hamba sahaya yang beriman. Barangsiapa yang tidak memperolehnya, maka hendaklah ia (si pembunuh) berpuasa dua bulan berturut-turut untuk penerimaan taubat daripada Allah. Dan adalah Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana".

(Surah al-Baqarah: 92)


Sebuah hadis, Rasulullah s.a.w bersabda: ((Adapun (hukuman) bagi membunuh dengan tidak sengaja: membunuh dengan cemeti, dan tongkat, dan batu, padanya (dikenakan) diyat yang berat (penuh) iaitu seratus ekor unta)) (Yunus Abdul Qawi Said Syaficie. 2003).
(H.R. Ahmad, Abu Dawud, al-Nasa'i dan Ibn Majah daripada 'Aqbah bin 'Aws)


Telah diriwayatkan bahawa nabi s.a.w. telah mewasiatkan kepada cUmar bin Hazam kepada penduduk-penduduk Yaman dengan (hukum) faraidh, dan sunah-sunah, dan diyat-diyat dan bersabda nabi: "Dan sesungguhnya pada jiwa (bersamaan) seratus ekor unta". Dan telah bersepakat ahli-ahli ilmu ke atas wajibnya diyat dengan jumlah itu (cAbdul Qadir cAwdah. t.thn).




3.3 Jenayah yang dikenakan diat


Menurut Yunus cAbdul Qawi Said Syaficie (2003), mengatakan bahawa jenayah diyat dan qisas terbahagi kepada lima bahagian:

    1. membunuh dengan sengaja

    2. membunuh seakan-akan sengaja

    3. membunuh dengan tidak sengaja

    4. jenayah mencederakan dengan sengaja

    5. jenayah mencederakan dengan tidak sengaja


Telah bersepakat sebahagian ulama' mengatakan bahawa diyat ini dikenakan kepada kesalahan membunuh secara tersalah, membunuh separuh sengaja, membunuh dengan sengaja yang tidak cukup syarat taklif seperti kanak-kanak, gila dan tidur (Mahmood Ahmad Rasyid. 2006).



3.4 Kadar dan jenis bayaran diyat


Kadar diyat yang sempurna ialah seratus ekor unta. Jumlah ini telah disepakati oleh ulama' berdasarkan seperti hadis di atas. Ini disokong oleh hadis nabi s.a.w:


Daripada cUmar bin Syucaib daripada bapanya daripada datuknya: ((Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah menyatakan barang siapa yang membunuh secara tersalah maka diyatnya ialah seratus ekor unta, 30 ekor unta bunting, 30 ekor betina berumur 1 tahun, 30 ekor jantan yang berumur 1 tahun dan 10 ekor unta jantan berunur 3 tahun)) 
(H.R. Malik dan Baihaqi)

(Mahmood Ahmad Rasyid. 2006).


Diyat bagi wanita yang membunuh separuh sengaja adalah separuh diyat lelaki, begitu juga dengan diyat kesalahan mencederakan. Ini berdasarkan kata-kata Ibn Manzur r.h: "Dan telah disepakat bahawa diyat bagi perempuan adalah separuh diyat lelaki". Manakala diyat bagi ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) adalah separuh diyat muslim. Diyat lelaki ahli kitab adalah separuh diyat lelaki Islam. Ini berdasarkan hadis daripada cAmru bin Syucaib daripada ayahnya daripada datuknya: ((Sesungguhnya Rasulullah s.a.w menyatakan akal ahli-ahli kitab adalah separuh akal orang-orang Islam, dan mereka adalah orang Yahudi dan Nasrani))
(H.R. Ibn Majah)
(Mahmood Ahmad Rasyid. 2006).




    Menurut Imam Malik dan Abi Hanifah, wajib dibayar diyat dengan tiga jenis iaitu unta, emas dan perak. Tidak diwajibkan diyat dengan ketiga-tiganya, hanya diwajibkan dengan salah-satunya sahaja. Manakala menurut Ahmad, Abu Yusuf dan Muhammad menyatakan bahawa diyat boleh dibayar dengan unta, emas, perak, lembu, kambing dan pakaian. Menurut Imam Syaficie pula terdapat dua pendapat. Pendapat yang lama adalah sama sepertimana pendapat Imam Malik dan Abi Hanifah. Manakala pendapat yang baru pula mengatakan diyat hanya boleh dibayar dengan unta sahaja (cAbdul Qadir cAwdah. t. thn).


    Sesungguhnya Sayyidina cUmar telah mewajibkan 1000 dinar bagi diyat terhadap pemilik emas dan 12 000 dirham terhadap pemilik perak, 200 ekor lembu kepada pemilik lembu, 2000 ekor kambing terhadap pemilik kambing dan 200 persalinan pakaian terhadap pemilik pakaian. Ini kerana, pada zaman Sayyina cUmar harga unta telah meningkat (Wahbah Zuhaili. t.thn).



3.5 Kepentingan diyat


3.5.1 Diyat bukanlah hukuman asal. Diyat hanya akan berlaku jika hukuman qisas digugurkan. Oleh itu, diyat ini adalah sebagai pengganti kepada hukuman qisas. Oleh itu, pesalah yang digugurkan daripada hukuman qisas oleh sebab tidak cukup syarat atau bukti tidak akan terlepas begitu sahaja tanpa membayar ganti rugi kepada mangsa.


3.5.2 Diyat sebagai alat menjamin kelangsungan hidup. Apabila seseorang mati, maka waris si mati seperti isteri dan anak-anak akan kehilangan punca nafkah. Oleh itu, diyat yang dibayar oleh pembunuh itu dapat menggantikan nafkah yang terhenti disebabkan kematian mangsa. Oleh itu, waris yang tinggal tidak akan hidup melarat dan serba kekurangan.


3.5.3 Mengurangkan penderitaan yang ditanggung oleh mangsa oleh kerana kehilangan atau cacat anggota badan disebabkan oleh kecuaian atau kesalahan orang lain. Diyat yang dibayar itu juga dapat meneruskan hidup mangsa yang cacat, lebih-lebih lagi apabila kecacatan itu membantutkan mangsa untuk mencari nafkah.


3.5.4 Diyat sebagai balasan dan pengajaran kepada pelaku jenayah supaya tidak melakukan jenayah tersebut lagi. Selain itu, ia juga member peringatan dan didikan kepada masyarakat supaya berjaga-jaga dan tidak melakukan jenayah diyat ini.



4.0 Undang-undang tort


Perkataan tort dari sudut bahasa bermakna "kesalahan". Di dalam bahasa Inggeris, perkataan tort ini adalah sinonim dengan perkataan wrong. Dikatakan bahawa perkataan tort tersebut berasal daripada perkataan Latin, iaitu tortum, bersamaan dengan perkataan wrong yang asalnya adalah wrung. Selain kedua-dua perkataan tersebut memberi erti salah atau kesalahan, ianya juga member erti curang, tipu, tidak jujur, berbelit-belit, tidak lurus, bengkang-bengkok, berliku-liku dan memutar-belit, sebagai lawan kepada lurus dan betul (cAbdul Basir bin Mohamad. 1998).


    Perkataan tort juga membawa maksud kesalahan sivil yang melibatkan individu melebihi kesalahan terhadap Negara. Undang-undang tort ini melindungi kepentingan dan hak individu yang dilindungi oleh undang-undang. Kepentingan ini akan dilindungi oleh mahkamah melalui bayaran wang, perintah suruhan atau larangan kepada defendan daripada melakukan sesuatu perkara (John Cooke. 2001).


    Mengikut Danuta Mendelson (2002), tort berasal daripada bahasa latin iaitu "tortus" yang bermaksud kerosakan dan kemusnahan. Manakala di dalam bahasa Perancis purba ia bermaksud melakukan kerosakan atau kecederaan. Dalam maksud ini ia mengambil daripada Common Law Inggeris yang mana signifikan kepada perbuatan salah yang dilakukan dengan niat sengaja, cuai atau terlibat dengan tanggungan keras.



4.1 Elemen kesalahan di dalam tort


Elemen asas di dalam tort ialah berdasarkan perlakuan atau tindakan salah oleh defenden yang menyebabkan kerosakan kepada mangsa. Kerosakan itu mestilah berpunca daripada defenden dan akan menghasilkan tanggungan undang-undang.

Kelakuan salah + penyebab + kesalahan + kepentingan yang dilindungi + kerosakan = tanggungan (John Cooke. 2001).

4.2 Kepentingan yang dilindungi


4.2.1 Kesalamatan peribadi


Kesemua manusia mempunyai kepentingan peribadi yang harus dilindungi. Jika si pelaku menyebabkan orang lain takut dipukul, maka si pelaku boleh disabitkan dengan kesalahan menyerang. Jika seseorang yang bebas disekat kebebasannya, maka orang yang menyekat itu boleh disabitkan dengan kesalahan pengurungan. Jika seseorang cedera disebabkan kecuaian orang lain, maka orang tersebut boleh disabitkan dengan kesalahan kerana cuai.


4.2.2 Kepentingan harta benda


Harta benda adalah sebahagian perkara yang amat dilindungi oleh undang-undang tort.seseorang yang mempunyai kepentingan atau hak ke atas tanah miliknya akan dilindungi oleh undang-undang tort pengacau (nuisance). Ini dapat dilihat dalam kes Rylands v Fletcher.
 


4.2.3 Kepentingan ekonomi


Undang-undang tort memberi perlindungan yang terhad kepada kepentingan ekonomi terhadap defendan yang telah diperlakukan dengan kelakuan yang bertentangan dengan undang-undang dan mengakibatkan kerugian ekonomi. Ini juga dikenali sebagai tort ekonomi. Common Law mengiktiraf tort ini kerana ingin membezakan diantara perniagaan yang sah dan tidak sah (John Cooke. 2001).



4.3 Elemen mental di dalam tort 


Bagi membuktikan kesalahan seseorang di dalam undang-undang tort, tidak memadai dengan hanya mengatakan si pelaku bersalah sehingga menyebabkan kerosakan. Kerana kita tidak boleh mensabitkan seseorang dengan kesalahan sehinggalah mendapati bukti yang kukuh. Oleh itu, mangsa haruslah membuktikan keinginan atau niat si pelaku untuk membuat kerosakan melalui perbuatannya. Dan inilah di antara elemen dasar dan penting dalam pembuktian di dalam undang-undang tort.



4.3.1 Niat jahat (malice)


Niat jahat di sini membawa dua maksud. Pertama, ia membawa maksud niat untuk melakukan kesalahan tanpa alasan yang munasabah. Kedua ialah melakukan sesuatu perbuatan yang selari dengan motif. Ini dapat dilihat di dalam kes Bradford Corporation v Pickles [1895] AC 587. Defendan telah menggali terowong rahsia yang menyebabkan pengaliran air kepada kolam plaintif berkurangan. Motif defendan adalah memaksa supaya plaintif membeli tanahnya dengan harga yang ditetapkan. Akan tetapi rancangan tersebut gagal. Akan tetapi defendan mempunyai hak untuk menggali terowong tersebut kerana terowong tersebut berada di dalam tanahnya. Walaupun perbuatan tersebut terdapat hasad dengki, tetapi disebabkan itu adalah hak defendan, maka perbuatan tersebut adalah sah. Di sini kita melihat hasad dengki merupakan salah satu elemen penting bagi kesalahan tort (John Cooke. 2001).


4.3.2 Kecuaian (negligence)


Kecuaian dalam tort mempunyai banyak makna. Ini mungkin merujuk kepada kecuaian tort atau mungkin merujuk kepada sikap sambil lewa. Seseorang itu dikatakan bertindak secara cuai apabila dia mendatangkan satu akibat yang mana seseorang yang munasabah dan berhemat-cermat sepatutnya meramalkan dan dapat mengelakkannya.


Contoh kes ialah dalam Nettleship v Weston [1971] 2 QB 691. Defendan merupakan pelajar sekolah memandu yang dilatih oleh plaintif. Plaintif telah cedera disebabkan kecuaian oleh defendan semasa memandu. Mahkamah memutuskan bahawa semua pemandu termasuk pemandu yang sedang belajar sama tangungjawabnya dengan pemandu yang sudah lama belajar. Oleh itu defendan diputuskan bersalah (John Cooke. 2001).



4.3.3 Tanggungan keras (strict liability)


Di dalam undang-undang Inggeris, tanggungjawab defendan di dalam tort adalah berdasarkan kepada prinsip kesalahan. Defendan disabitkan bersalah disebabkan dia berniat jahat, cuai yang menyebabkan plaintif cedera. Akan tetapi, terdapat pengecualian di dalam elemen ini iaitu defendan akan disabitkan bersalah walaupun defendan tidak mempunyai niat jahat ataupun kecuaian. Prinsip ini dipanggil sebagai tanggungan keras. Prinsip tanggungan keras di dalam undang-undang Inggeris adalah berdasarkan kepada kes Rylands v Fletcher. Di dalam kes ini, defendan sebagai pemilik tanah telah mengupah kontraktor bebas untuk membuat kolam di dalam tanahnya untuk tujuan menyalurkan air ke kilangnya. Kontraktor tersebut tidak mengetahui bahawa terdapat terowong bawah tanah yang bersambung dengan tanah plaintif. Apabila kolam tersebut di isi air, maka tanah plaintif telah dibanjiri air. Banjir tersebut tidak berlaku secara tiba-tiba. Ia bukanlah pencerobohan kerana banjir tersebut tidak berlaku secara langsung dan tiba-tiba. Ia bukannya kecuaian kerana defendan tidak bersalah kerana kotraktor tersebut yang membuat kerja. Dan kontraktor tersebut juga tidak bersalah kerana bukan tanggungjawabnya untuk membawa masuk air. Pada awalnya mahkamah telah menolak permohonan plaintif. Akan tetapi House Of Lords selepas itu telah membenarkan permohonan plaintif. Hakim Blackburn J. di dalam penghakimannya menyatakan:


"Kami fikir undang-undang yang sebenar ialah sesiapa demi kepentingannya membawa sesuatu barang ke tanahnya dan kemungkinan akan berlaku kerosakan jika ia terlepas, maka tanggungjawab adalah ke atas tuan tanah tersebut. Jika dia tidak melakukan pun, prima facie akan menjawab kepada semua kerosakan pencerobohan semulajadi itu" (cAbdul Basir bin Mohamad. 2000).



4.3.4 Niat (intention)


Niat dalam jenayah undang-undang ciptaan adalah tujuan dan gambaran di mana perbuatan dilakukan. Iaitu pengetahuan dan ramalan terdahulu terhadap sesuatu perbuatan, beserta dengan keinginan terhadap keduanya. Apabila ada pengetahuan dan keinginan itu maka dilakukan dalam bentuk perbuatan supaya tercapai cita-cita itu.


    Niat mengikut Kenny, niat bukan semata-mata meramalkan sesuatu, tapi juga keinginan supaya akibat-akibat yang mungkin berlaku, lahir daripada perbuatannya. Contohnya: A menembak B, dia dapat meramalkan kematian B akan berlaku dan dia ingin supaya tembakan itu mematikan B (Hashim Mehat. t.thn).



4.4 Matlamat tort

4.4.1 Pencegahan


Undang-undang tort ini akan menghalang atau mencegah seseorang daripada melakukan sesuatu kerosakan. Ini adalah kerana tort adalah kesalahan sivil yang apabila seseorang yang disabitkan dengan kesalahan tort, maka reputasinya akan terjejas. Apabila seseorang itu takut reputasinya akan terjejas, maka dia tidak akan sesekali melakukan kesalahan itu. Ini kerana reputasi seseorang amatlah penting. 


4.4.2 Pampasan


Salah satu matlamat utama di dalam undang-undang tort adalah memberi pampasan kepada individu yang mengalami kecederaan. Ini kerana mangsa terpaksa menanggung kesakitan atau ketidakselesaan akibat daripada perbuatan pesalah. Oleh itu, dengan pampasan ini diharap dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung oleh mangsa (John Cooke. 2001).



5.0 Kaitan qisas, diyat dengan tort


5.1 Dari segi konsep


Mengikut bahasa Arab, akar umbi erti perkataan tort ini dari sudut bahasa adalah bersamaan dengan perkataan dharar. Dari itu, dapat dikatakan tort ialah perbuatan yang memudharatkan atau perbuatan-perbuatan salah laku yang boleh memudharatkan orang lain.


Dari sudut syarak, terminologi Arab yang paling sesuai untuk perkataan tort ialah jinayah. Perkataan jinayah ini telah diaplikasikan secara meluas oleh para ulama dan fukaha Islam di dalam penulisan-penulisan klasik mereka yang ditujukan kepada kecederaan-kecederaan yang dilarang terhadap tubuh badan samada kecederaan-kecederaan tersebut boleh menyebabkan kematian, kecederaan teruk atau ringan yang akhirnya boleh membuat tuntutan qisas atau diyah. Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian ulama' lebih suka menggunakan perkataan jirah di dalam penulisan-penulisan mereka bagi membincangkan kecederaan-kecederaan tersebut sebagai ganti kepada perkataan jinayah. Adapun begitu, sebahagian ulama lain menggunakan kedua-dua terminologi tersebut di dalam membincangkan hal berkenaan dengan kecederaan (cAbdul Basir bin Mohamad. 1998).

5.2 Dari segi matlamat


Qisas, diyat dan tort mempunyai kepentingan yang sama iaitu bagi menjamin kelangsungan hidup manusia. Selain itu, ketiga-tiga hukuman ini juga bertujuan untuk menghukum pesalah di atas perbuatannya. Disamping menghukum, hukuman qisas, diyat dan tort ini juga bertujuan memberi peringatan kepada masyarakat supaya berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara.



5.3 Dari segi elemen mental


Seperti yang telah dibincangkan di atas, terdapat 3 elemen penting di dalam undang-undang tort yang mana ianya juga terdapat di dalam undang-undang Islam. Contohnya bagi elemen niat jahat, di dalam undang-undang ciptaan elemen ini sangat penting bagi membuktikan bahawa defendan bersalah. Begitu juga di dalam Islam, unsur ini amat penting dalam menentukan tahap hukuman yang akan dikenakan. Disebabkan itulah didalam kesalahan membunuh misalnya, terbahagi kepada tiga bahagian. Ini kerana berlainan berlainan niatnya. Elemen kedua ialah kecuaian. Di dalam Islam, unsur kecuaian ini termasuk di bawah peringkat-peringkat unsur mental dalam tanggungjawab jenayah Islam. Ini bermakna jika terdapat unsur ini, maka barulah perlaku jenayah akan dipertanggungjawabkan (Hashim Mehat. t.thn). 


    Manakala unsur tanggungan keras di dalam Islam pula telah disebutkan di dalam al-Quran di dalam surah al-Ancam ayat 164:



Maksudnya:

"..dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudharatannya kembali kepada dirinya sendiri.."

(Surah al-Ancam: 164)




Daripada ayat di atas, Sayyid Abu al-A'la Mawdudi berkata: "Setiap orang adalah bertanggungjawab terhadap apa yang dia lakukan dan tidak ada sesiapapun akan bertanggungjawab terhadap perbuatan orang lain". Jadi, seseorang tidak boleh memindahkan tanggungjawabnya kepada orang lain selepas terbukti niatnya. Dan di dalam hukum Islam sendiri terdapat kaedah fiqh berkenaan tanggungan keras ini, antaranya ialah لا ضرر و لا ضرار dan الضرر يزال (cAbdul Basir bin Mohamad. 2000).



Elemen niat di dalam undang-undang ciptaan dan Islam amat berkait rapat kerana elemen niat ini menjadi dasar kepada menetukan perbuatan seseorang itu samada sengaja atau tidak. Niat di dalam Islam adalah perkara asas dan menjadi rukun kepada pensabitan sesutau kesalahan jenayah. Dengan niat juga akan membezakan tingkatan hukuman dan keberatan kes samada sengaja, separuh sengaja atau tidak sengaja. Sememangnya niat tidak dapat dilihat kerana ianya berdasarkan hati seseorang, akan tetapi ianya dapat diterjemahkan melalui perbuatan seseorang sebagaimana hadis nabi s.a.w yang sahih yang bermaksud:


"Sesungguhnya segala perbuatan itu dengan niat, dan sesungguhnya bagi tiap-tiap orang adalah apa yang dia niatkan"

(H.R. Bukhari)




5.4 Dari segi hak


Hukuman qisas, diyat dan tort mempunyai persamaan daripada segi hak, iaitu terdapat manusia disitu. Di dalam qisas dan diyat, terhadap hak Allah dan hak manusia, akan tetapi hak manusia yang lebih diutamakan. Manakala di dalam tort hanyalah mementingkan hak manusia semata-mata. Di dalam hukuman ini, mangsa atau wali diberi ruang untuk memaafkan pesalah walaupun tanpa sebarang bayaran (cAbdul Basir bin Mohamad. 1998).

6.0 Kesimpulan



Berdasarkan kepada perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa konsep hukuman qisas, diyat dan tort mempunyai banyak persamaan. Kesemua kaedah dan hukuman ini hanyalah semata-mata menjamin keselamatan dan kebahagiaan manusia.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

rujukan dari kitab mne yek??saya ingin baca dgn lebih telliti