DONATE

Khamis, 3 Disember 2009

BAY‘ AL-‘INAH DAN APLIKASINYA DI MALAYSIA

OLEH:
Mohamad Rizal bin Mohamed Nor


PENDAHULUAN

Penerimaan akad bay‘ al-‘inah sebagai asas kepada beberapa produk kewangan yang ditawarkan oleh perbankan Islam di Malaysia telah menimbulkan perdebatan mengenainya. Para ulama semasa mempunyai pandangan yang berbeza dari sudut keharusannya, lanjutan daripada perbezaan pendapat yang berlaku di kalangan ulama terdahulu. Walaupun akad bay‘ al-‘inah diterima dalam Mazhab Syafie, namun jumhur ulama menolak keharusannya.

Realiti ini penulis sifatkan sebagai unsur keterbatasan yang wujud pada produk-produk yang berasaskan akad bay‘ al-‘inah dalam perjalanan perbankan Islam di Malaysia. Oleh itu, kertas kerja ini akan memfokuskan perbincangan mengenai status akad ini, di samping menilai realiti pelaksanaannya, seterusnya mencadangkan alternatif yang lebih relevan untuk menyelesaikan unsur keterbatasan dan pertikaian yang berlaku.


TAKRIF BAY‘ AL-‘INAH DAN HUKUMNYA MENURUT PANDANGAN ULAMA

Pada keseluruhannya, takrif bay‘ al-‘inah menurut perspektif mazhab dan ulama kontemporari adalah hampir sama. Oleh itu, berikut dikemukakan takrifnya menurut Mazhab Syafie iaitu: seseorang (A) menjual suatu barang kepada seorang yang lain (B), dengan harga bertangguh dan menyerahkan barang tersebut kepadanya (B), kemudian dia (A) membelinya semula sebelum menerima harga barang, dengan harga yang lebih rendah secara tunai.

Jumhur Ashab Syafi‘iyyah berpandangan hukumnya adalah harus sama ada telah menjadi adat bagi seseorang dan tersebarnya muamalat ini di negaranya atau tidak. Adapun Abu Ishaq al-Asfirayaini dan Syaikh Abu Muhammad berpendapat jika muamalat ini telah menjadi kebiasaan seseorang, jual beli yang kedua menjadi disyaratkan pada akad yang pertama, maka kedua-dua akad itu terbatal. Namun, jika terdapat syarat di dalam akad yang menetapkan bahawa barang tersebut mesti dijual semula maka jual beli tersebut adalah terbatal tanpa khilaf.

Walaubagai manapun, Imam Syafie berpendirian seperti imam-imam yang lain iaitu akad tersebut terbatal jika terdapat pada akad tersebut petunjuk wujudnya tujuan hilah melakukan riba. Tetapi jika perkara tersebut tidak wujud, maka akadnya adalah sah kerana ia merupakan jual beli yang sempurna rukun dan tidak boleh mentohmah orang lain dalam urusan mereka bahkan hendaklah diserahkan kepada Allah dalam menghitung akan niat mereka.

Selain Mazhab Syafie, Ibn Hazm al-Zahiri turut berpandangan harusnya akad ini kecuali jika disyaratkan di dalam akadnya bahwa al-mabi‘ mesti dijual semula kepada penjual asalnya.

Adapun jumhur ulama yang terdiri daripada Imam Abu Hanifah, Malik dan Ahmad bin Hanbal menolak keharusan bay‘ al-‘inah walaupun asas penolakan adalah berbeza antara satu sama lain.

HUJAH GOLONGAN YANG MENERIMA KEHARUSAN BAY‘ AL-‘INAH

1. Hukum Asal Jual Beli

Ibn Hazm menyatakan bahawa hukum asal jual beli adalah harus berdasarkan firman Allah SWT:

وأحل الله البيع وحرّم الربا

“ Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”
[Al-Baqarah : 275]
Maka, hukum bay‘ al-‘inah adalah harus kerana ia merupakan satu bentuk jual beli.


2. Hadis Tamar Janib

عن أبي سعيد و أبي هريرة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم استعمل رجلا على خيبر فجاءه بتمر جنيب. فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : أكل تمر خيبر هكذا؟ قال : إنا لنأخذ الصاع من هذا بالصاعين ، والصاعين بالثلاثة . فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لا تفعل ، بع الجمع بالدراهم ثم ابتع بالدراهم جنيبا.

Terjemahan: Daripada Abi Sa‘id dan Abi Hurairah: Bahawa Rasulullah s.a.w. telah melantik seorang lelaki (sebagai wakilnya) di Khaibar . Lalu dia mendatangi baginda dengan membawa tamar janib . Nabi bertanya kepadanya, “Adakah semua tamar di Khaibar begini keadaannya?” Lelaki itu menjawab, “Kami mengambil segantang tamar ini (janib) dengan dua gantang (tamar al-jam‘) dan dua gantang (tamar janib) dengan tiga gantang (tamar al-jam‘) ”. Maka berkata Rasulullah, “Jangan kamu lakukan demikian, tetapi juallah tamar al-jam‘ dengan dirham, kemudian kamu belilah dengan dirham tersebut akan tamar janib”.

Berdasarkan hadis di atas, Nabi menegah perbuatan wakil baginda di Khaibar yang menukarkan tamar al-jam‘ untuk memperoleh tamar janib dengan sukatan yang berbeza kerana ia merupakan riba yang diharamkan iaitu pertukaran barang ribawi yang sama jenis dengan kuantiti (sukatan) yang berbeza. Kemudian Nabi telah memberikan penyelesaian dengan mengarahkannya supaya menjual tamar al-jam‘ untuk mendapatkan dirham, lalu menggunakan dirham tersebut untuk membeli tamar janib. Ini bermakna akad jual beli hanyalah sebagai wasilah untuk merealisasikan tujuan sebenar iaitu mendapatkan tamar janib.

Lagipun di dalam hadis tersebut Nabi tidak memperincikan sama ada jual beli tersebut boleh berlaku di antara dua pihak yang sama ataupun melibatkan pihak yang lain. Ini menunjukkan bahawa harus wakil tersebut (A) menjual dua gantang tamar al-jam‘ dengan nilai dirham kepada pembelinya (B), kemudian dia membeli pula satu gantang tamar janib daripada B ataupun orang lain (C).

Jelaslah bahawa memperoleh dirham bukanlah maksud sebenar urusniaga tersebut, bahkan akad jual beli hanyalah sebagai wasilah untuk mendapatkan tamar janib. Dalam konteks bay‘ al-‘inah pula, akad jual beli barang adalah sebagai wasilah juga untuk mendapatkan duit tunai, dan bukannya ma‘qud ‘alaih itu sendiri.


3. Qiyas

Para ulama’ sepakat bahawa jika suatu barang dijual dengan harga yang sama dengan harga jualan pertama atau lebih tinggi, hukumnya adalah harus. Maka dalam konteks bay‘ al-‘inah, hukum menjual barang yang sama dengan harga yang lebih rendah juga adalah harus apabila diqiyaskan dengan masalah di atas.

Dalam hal ini Imam Syafie ada berkata:

“ Apabila sebahagian sahabat Nabi berselisih pendapat dalam suatu perkara, sebahagiannya menyatakan begini, sebahagian yang lain pula mencanggahinya, maka usul yang kami pegang ialah kami akan menerima pendapat yang disokong oleh qiyas….”


4. Dalil Logika (Ma‘qul)

Bay‘ al-‘inah pada zahirnya adalah akad yang sempurna rukun dan syarat-syaratnya, sekalipun akad tersebut boleh membawa kepada kefasadan. Oleh itu hukumnya adalah harus.



HUJAH GOLONGAN YANG MENOLAK KEHARUSAN BAY‘ AL-‘INAH


1. Hadis Peringatan tentang Bay‘ al-‘Inah

عن ابن عمر رضي الله عنه قال، سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : إذا تبايعتم بالعينة وأخذتم أذناب البقر ورضيتم بالزرع وتركتم الجهاد سلّط الله عليكم ذلاّ لا ينزعه حتّى ترجعوا إلى دينكم.

Terjemahan: Daripada Ibn ‘Umar r.a. berkata, aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; “Apabila kamu berjual beli dengan al-‘inah, kamu mengikuti ekor lembu dan kamu cenderung kepada pertanian lalu kamu meninggalkan jihad , nescaya Allah akan menimpakan kehinaan ke atas kamu dan Dia tidak akan mencabutnya daripada kamu hinggalah kamu kembali kepada agama kamu.

Hadis sahih di atas menunjukkan pengharaman bay‘ al-‘inah kerana akad ini merupakan antara faktor turunnya bala Allah s.w.t. ke atas manusia. Dalam perbicangan ilmu Usul Fiqh, jika sesuatu perkara atau perbuatan itu diikuti dengan ancaman dosa, azab atau bala maka ia menunjukan bahawa perkara tersebut adalah ditegah dalam Islam.

2. Athar Para Sahabat dan Tabi‘in

Pertama: Saidatuna ‘A’isyah r.a.

عن ابن إسحاق السبيعي ، عن امرأته أنها دخلت على عائشة فدخلت معها أم ولد زيد بن أرقم فقالت : يا أم المؤمنين إنّي بعت غلاما من زيد بن أرقم بثمان مائة درهما نسيئة، وإنّي ابتعته منه بستّ مائة نقدا. فقالت لها عائشة بئس ما شريت وبئس ما اشتريت ، أبلغي زيدا أنه قد أبطل جهاده مع رسول الله صلى الله عليه وسلم إن لم يتب. وأفحمت صاحبتنا فلم تتكلم طويلا ثمّ إنها سهل عليها فقالت : يا أم المؤمنين أرأيت إن لم آخذ إلا رأس مالي؟ فتلت عليها: "فمن جآءه موعظة من ربّه فانتهى فله ما سلف وأمره إلى الله ..."

Terjemahan : Daripada Ibn Ishaq al-Subay‘i, daripada isterinya bahawa dia telah menemui ‘A’isyah dan masuk bersamanya ummu walad Zayd Bin Arqam lalu berkata; “Wahai Ummu al-Mu’minin, sesungguhnya aku telah menjual seorang hamba kepada Zayd Bin Arqam dengan harga lapan ratus dirham secara tangguh. Dan aku kemudiannya membelinya semula dengan harga enam ratus dirham secara tunai”. Maka berkata ‘A’isyah kepadanya; “Itu adalah seburuk-buruk jual beli yang engkau lakukan. Sampaikan kepada Zayd bahawa dia telah membatalkan (pahala) jihadnya bersama Rasulullah jika dia tidak bertaubat”. Perkataan ‘A’isyah itu telah membuatkan sahabat kami terdiam lalu ia tidak berkata-kata agak lama. Kemudian setelah dia menerima kata-kata ‘A’isyah itu lalu dia berkata; “Apakah pandangan puan jika saya hanya mengambil modalku sahaja?” Lalu ‘A’isyah membacakan firman Allah yang bermaksud : maka sesiapa yang telah didatangi akan peringatan daripada Tuhannya lalu ia behenti(meninggalkannya) maka baginya adalah modalnya dan urusannya adalah diserahkan kepada Allah [Al-Baqarah : 275].

Berdasarkan athar di atas Ibnu Qudamah telah menegaskan bahawa bay‘ al-‘inah adalah ditegah kerana Saidatina ‘A’isyah tidak akan berkata dengan sedemikian tegas kecuali kerana adanya tawqif yang beliau dengar sendiri daripada Rasulullah s.a.w.


Kedua: Anas Bin Malik r.a.

روي عن أنس ، أنه سئل عن العينة فقال : إن الله لا يخدع ، هذا مما حرّمه الله ورسوله.
Terjemahan: Diriwayatkan daripada Anas, bahawa beliau telah ditanya berkenaan al-‘inah, maka beliau berkata : Sesungguhnya Allah swt tidak boleh ditipudaya. Ini (al-‘inah) adalah daripada apa yang diharamkan oleh Allah dan rasulNya.


Ketiga : Ibnu ‘Abbas r.a.

قال ابن عباس : اتقوا هذه العينة. لا تبع دراهم بدراهم وبينهما حريرة.

Terjemahan: Takutlah (hindarilah) akan al-‘inah. Janganlah kamu berjual-beli(bertukar) beberapa dirham dengan beberapa dirham dan antara kedua-duanya ada secebis sutera (sebagai barang perantara).


Selain daripada para sahabat di atas, terdapat kalangan kibar Tabi‘in yang turut mengharamkan bay‘ al-‘inah, antaranya Hasan Basri, Ibn Sirin, al-Sya‘bi, al-Nakha‘i dan Rabi‘ah bin ‘Abd al-Rahman.


3. Ijma‘

Lanjutan daripada dalil-dalil di atas, berkata Ibn Qayyim :

“Sesungguhnya para sahabat seperti ‘A’isyah, Ibn ‘Abbas dan Anas telah memfatwakan keharaman bay‘ al-‘inah dan bersikap keras dalam perkara tersebut pada masa dan situasi yang berbeza-beza, dan tidak datang daripada kalangan sahabat yang merukhsahkannya / memberi kelonggaran terhadap muamalah ini, maka ini menunjukkan telah berlakunya ijma‘ di kalangan mereka dalam pengharaman bay‘ al-‘inah.”


4. Kaedah Sadd al-dharai‘

Bay‘ al-‘inah adalah dhari‘ah kepada riba kerana akad jual beli yang dilakukan bukannya untuk memiliki ma‘qud ‘alaihi, tetapi sebagai jalan untuk memperoleh tunai dengan perbezaan nilai. Perbezaan nilai ini adalah riba dan riba adalah diharamkan. Maka bay‘ al-‘inah adalah diharamkan atas dasar sadd al-dharai‘.

5. Dalil Ma‘qul (logika)

Bay‘ al-‘inah adalah hilah untuk mengelakkan riba sarih. Sedangkan riba adalah muamalah yang diharamkan dalam Islam.Oleh itu, bagaimana mungkin diharuskan bay‘ al-‘inah sedangkan hakikat dan mafsadahnya adalah sama dengan riba sarih itu sendiri.


PENTARJIHAN PENDAPAT

Sebelum penulis memilih pandangan yang rajih, perlu ditegaskan bahawa para fuqaha sepakat mengharamkan bay' al-'inah jika wujud syarat bahawa ma'qud 'alaihi mesti dijual semula kepada penjual asalnya. Begitu juga jika terdapat petunjuk wujudnya hilah melakukan riba maka hukumnya juga adalah terbatal.

Apa yang menjadi pertikaian fuqaha ialah apabila tidak wujud syarat sedemikian dan tiadanya petunjuk hilah melakukan riba. Dalam masalah ini penulis lebih cenderung kepada pandangan golongan yang mengharamkan bay' al-'inah tetapi akad tersebut tidak terbatal berdasarkan beberapa faktor berikut :

Pertama, hadis peringatan tentang bay' al-'inah yang diriwayatkan daripada Ibn 'Umar adalah sahih dan boleh mentakhsiskan umumnya ayat al-Quran yang mengharuskan akad jual beli. Al-Albani dalam Silsilahnya telah mentashihkan hadis-hadis di atas dan memberi ulasan yang panjang lebar mengenainya serta memberi komentar kepada pihak yang menolak kesabitan hadis-hadis tersebut. Selain daripada beliau, Ibn al-Qattan dan Syaikh Ahmad Syakir turut menerima hadis pertama dan kedua sebagai sahih.

Penulis mengandaikan bahawa hadis di atas tidak sampai kepada Imam Syafie atas alasan beliau langsung tidak menyebutnya apabila memperkatakan tentang hukum bay' al-'inah berbanding dengan dalil-dalil yang lain seperti athar A'isyah dan qiyas. Oleh itu, hadis tersebut sudah memada untuk dijadikan sandaran hukum keharaman bay' al-'inah.

Kedua, berkenaan athar A'isyah, walaupun sebahagian ulama’ menolak kesahihan athar ini dan menyatakannya tidak sabit, tetapi athar ini telah diriwayatkan melalui banyak jalan (tariq), iaitu sebanyak 8 tariq telah disenaraikan. Perawi-perawinya juga adalah thiqah kecuali yang dipertikaikan adalah al-‘Aliyyah binti al-Ayfa‘ kerana tidak dikenali. Namun, terdapat sebahagian ulama yang menegaskan beliau adalah seorang yang dikenali antaranya Ibn al-Jawzy, Ibn Sa‘ad dan Ibn Hibban. Begitu juga al-Subky mengatakan bahawa athar ini adalah sahih.

Oleh itu, penulis cenderung kepada sabitnya athar ini untuk dijadikan hujah sokongan dalam maslah ini.

Ketiga, adapun persoalan ijtihad para sahabat dalam sesuatu perkara tidak mengikat sahabat yang lain, penulis cenderung dengan pandangan bahawa A’isyah tidak akan berkata sedemikian tegas kecuali kerana adanya tawqif daripada Rasulullah. Ini kerana, difahami daripada kalamnya itu amalan-amalan hanya terbatal dengan sebab riddah, dan menghalalkan perkara yang diharamkan (riba) boleh membawa kepada kekufuran. Cumanya keuzuran Zayd bin Arqam ialah mungkin beliau tidak mengetahui akan perbuatannya itu adalah haram, sebab itulah A’isyah memerintahkan supaya wanita itu menyampaikannya kepada Zayd.

Lagipun dimaklumi bahawa jika perkara ini melibatkan persoalan ijtihadiyyah, sudah tentulah A’isyah tidak akan secara keras berkata sedemikian, kerana beliau tentu maklum bahawa ijtihad tidak boleh membatalkan ijtihad. Oleh itu dapatlah disimpulkan bahawa perkara tersebut tidak boleh diijtihadkan kerana hukumnya telah sabit.

Kemudian apabila A'isyah membacakan firman Allah tersebut , ini menunjukkan bahawa ketegasan pendapat beliau adalah kerana berlakunya riba dalam jual beli tersebut, bukannya kerana tempoh bayaran yang tidak diketahui sepertimana pandangan Imam Syafie. Ini kerana ayat tersebut adalah untuk orang yang tidak sampai kepadanya akan hukum riba.

Keempat, walaupun kaedah sadd al-dharai‘ tidak disepakati ulama sebagai sumber hukum, penulis berpandangan ia boleh menjadi pengukuh kepada dalil-dalil golongan yang menolak keharusan akad bay‘ al-‘inah.

Kelima, berkenaan sejauhmana persoalan niat memberi kesan dalam urusan muamalat atau dalam Bahasa Arabnya disebut :

هل العبرة في العقود بالألفاظ والمباني أم بالمقاصد والمعاني؟

Secara ringkasnya, terdapat dua aliran berkenaan masalah ini dalam al-Fiqh al-Islami :

Aliran Pertama : Mazhab Syafie dan Abu Hanifah berpandangan, yang diambil kira dalam akad ialah lafaz, bukannya niat dan motif.

Oleh itu, aliran ini menegaskan bahawa setiap akad dihukum berdasarkan sighah atau lafaznya. Ini bermakna, sah atau fasadnya sesuatu akad itu bergantung pada sighahnya dan akad tidak rosak kerana faktor-faktor luar daripadanya, sekalipun niat dan tujuan itu boleh dikesan melalui amaratnya.

Aliran Kedua : Mazhab Ahmad dan Malik pula meraikan niat dan motif dalam akad, bukannya sekadar lafaz atau sighahya sahaja. Berkenaan masalah ini Ibn Qayyim telah mengupasnya dengan terperinci yang dapat diringkaskan seperti berikut:

1. Jika niat pihak yang berakad bertepatan dengan ucapannya, akad itu adalah sah dan boleh menimbulkan kesan-kesan syarak.

2. Jika niat dan ucapannya tidak selari, tetapi tidak wujud satupun petunjuk yang menzahirkan niatnya, maka pihak yang berakad hanya dibalas dihadapan Allah s.w.t. (diyanatan), tetapi ucapannya diterima dalam sesuatu akad.

3. Jika terdapat qarinah yang boleh menyingkap maksud dan tujuan, tetapi niat tersebut tidak bercanggah dengan syarak, maka hukum akadnya adalah sah. Namun, jika didapati bercanggah maka akad mejadi rosak dan tidak boleh menimbulkan sebarang kesan.

Dalam kaitannya dengan bay‘ al-‘inah, Mazhab Syafie tidak mengambil kira niat pihak yag berakad, sebalikya melihat kepada perkara-perkara yag zahir sahaja. Memandangkan jual beli tersebut pada zahirnya sempurna rukun dan syarat-syaratnya, maka ia dihukumkan sah.

Bagi aliran yang kedua pula, sesiapa yang berakad dengan tujuan riba, tetapi menggunakan akad jual beli sebagai dhari'ah, maka dia berdosa di sisi Allah s.w.t. dan akadnya pula terbatal atas dasar sadd al-dharai‘.

Dalam isu kontrak bay‘ al-‘inah, penulis cenderung dengan pandangan Mazhab Syafie yang mengambil kira perkara-perkara yang zahir sahaja dalam sebarang kontrak dan ia juga bersesuaian pandangan Ibn Qayyim yang kedua seperti di atas.

Oleh itu penulis menyimpulkan bahawa akad bay‘ al-‘inah adalah haram kerana dalil-dalil yang mengharamkannya, tetapi tidak terbatal jika tiada syarat yang menentukan bahawa mabi‘ mesti dijual semula kepada penjual asalnya dan tiada pakatan antara kedua-dua pihak yang berakad melakukan hilah ribawiyyah.



PRODUK-PRODUK BERASASKAN BAY‘ AL-‘INAH DALAM PERBANKAN ISLAM DI MALAYSIA

Antara produk berasaskan bay‘ al-‘inah yang ditawarkan ialah Pembiayaan Peribadi-i Aslah oleh Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat), Kad Bank Islam oleh Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Muamalat Kemudahan Tunai-i (M-Cash) oleh Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB).

Bagi Pembiayaan Peribadi yang ditawarkan oleh Bank Rakyat, pihak bank akan menjual sijil saham Angkasaraya Development Sdn. Bhd. (anak syarikat Bank Rakyat) berdasarkan pembiayaan yang dipohon dengan harga tertangguh kepada pelanggan (contohnya RM11,800). Setelah pelanggan memiliki sijil tersebut, pelanggan akan menjualnya semula kepada bank dengan harga tunai mengikut nilai sijil saham (contohnya RM10,000). Perbezaan harga (iaitu RM1,800) merupakan keuntungan bagi pihak bank.

Berdasarkan prosedur yang perlu dilalui bagi mendapatkan pembiayaan peribadi ini, penulis mendapati pihak bank telah memaklumkan lebih awal kepada pelanggannya bahawa akan berlaku dua akad iaitu pihak bank menjual sijil saham anak syarikatnya dengan harga tangguh, setelah itu pelanggan akan menjual semula sijil tersebut kepada pihak bank dengan harga tunai.

Penulis berpandangan unsur pakatan telah wujud sebelum akad dijalankan dan pihak bank telah menetapkan syarat lebih awal akan berlakunya dua transaksi tersebut. Oleh itu, dapatlah penulis simpulkan bahawa dari sudut cara pelaksanaan produk ini, ia tergolong dalam kategori hilah ribawiyyah yang diharamkan.

Kad Bank Islam pula melibatkan gabungan beberapa akad iaitu bay bay‘ al-‘inah, al-wadiah, al-qard al-hasan, al-ijarah dan al-hiwalah. Dalam transaksi yang melibatkan bay‘ al-‘inah, bagi pelanggan yang mempunyai aset seperti tanah, bank akan membeli tanah tersebut dengan harga tunai (contohnya RM10,000). Kemudian bank akan menjual semula tanah tadi kepada pelanggan terbabit dengan harga tertunggak dicampur untung (harga kos + keuntungan = RM11,800).

Manakala pelanggan yang tidak mempunyai aset pula, bank akan menjual asetnya dengan harga tertunggak yang telah dicampur untung (contohnya RM11,800). Kemudian bank akan membeli semula aset tersebut daripada pelanggan secara tunai (contohnya RM10,000). Perbezaan harga inilah yang menjadi keuntungan bagi pihak bank.

Berdasarkan cara pelaksanaan akad bagi membolehkan seseorang memiliki Kad Bank Islam, sekali lagi penulis mendapati pihak bank telah memaklumkan lebih awal kepada pelanggannya bahawa akan berlaku dua akad iaitu pihak bank menjual hartanahnya dengan harga tangguh yang telah dicampur untung, setelah itu bank akan membeli semula aset tersebut dengan harga tunai.

Penulis berpandangan unsur pakatan telah wujud sebelum akad dijalankan dan pihak bank telah menetapkan syarat lebih awal akan berlakunya dua transaksi tersebut. Oleh itu, dapatlah penulis simpulkan bahawa dari sudut cara pelaksanaan akad bagi produk Kad Bank Islam ini, ia tergolong dalam kategori hilah ribawiyyah yang diharamkan, sama seperti pembiayaan peribadi di Bank Rakyat.


Bagi pembiayaan M-Cash di BMMB, pihak bank akan menjual hartanahnya iaitu ruang pejabat di bangunan ibu pejabatnya di Kuala Lumpur (contohnya dengan harga RM75,000) secara tangguh. Setiap cawangan Bank Muamalat telah diperuntukkan bahagian yang khusus dalam melaksanakan akad bay‘ al-‘inah. Kemudian bank akan membeli semula ruang pejabat tersebut daripada pelanggan yang sama dengan harga yang lebih rendah iaitu jumlah yang dipohon oleh pelanggan (contohnya RM50,000) secara tunai.

Berdasarkan cara pelaksanaan transaksi jual beli di atas dan melihat kepada contoh surat tawaran pembiayaan yang dilampirkan, penulis berpendirian ia juga merupakan hilah ribawiyyah yang diharamkan kerana telah wujud pakatan awal dan syarat yang ditetapkan oleh pihak bank kepada pemohon yang layak.



Syarat-syarat Tambahan bagi Bay‘ al-‘Inah

Pihak yang mengharuskan bay‘ al-‘inah menerimanya atas dasar pandangan dalam Mazhab Syafie dan melihat secara zahir kepada sempurnanya rukun dan syarat akad. Di sana terdapat beberapa syarat tambahan atau ciri-ciri yang perlu ada dalam satu urusniaga bay‘ al-‘inah seperti berikut:

i- Pembiayaan bay‘ al-‘inah perlu mempunyai dua kontrak yang jelas iaitu kontrak penjualan harta oleh penjual/pemilik kepada pembeli dan dan penjualan semula harta tersebut kepada pemilik asal.

ii- Pembayaran harga dalam salah satu urusniaga atau kontrak mestilah dilakukan secara tunai bagi mengelakkan penjualan/pembelian hutang dengan hutang.
iii- Barangan yang diguna dalam urusniaga jual dan beli balik bukan barangan ribawi.

iv- Kedua-dua urusniaga ini mestilah melibatkan penyerahan hakmilik yang sah dari sudut syarak dan diterima pakai berdasarkan adat perniagaan semasa (‘uruf tijari).

v- Pembiayaan bay‘ al-‘inah yang dijalankan ini mestilah memenuhi syarat-syarat bay‘ al-‘inah yang diterima oleh Mazhab Syafie.

vi- Penentuan harga dan harta yang terlibat dalam kontrak juga mestilah dengan sebenar dan berdasarkan harga yang munasabah atau berdasarkan pasaran.

vii- Kontrak pertama mestilah diselesaikan terlebih dahulu (ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak) sebelum memasuki kontrak yang kedua. Ini bertujuan mengelakkan isu penjualan harta yang belum dimiliki dalam kontrak kedua.

Berdasarkan syarat-syarat tambahan yang dikemukakan oleh pihak yang menerima keharusan akad bay‘ al-‘inah, penulis ingin mengulas sebahagian daripada syarat-syarat tersebut iaitu syarat yang pertama dan kelima.

Dalam syarat yang pertama dinyatakan bahawa pembiayaan bay‘ al-‘inah perlu mempunyai dua kontrak yang jelas iaitu kontrak penjualan harta oleh penjual/pemilik kepada pembeli dan dan penjualan semula harta tersebut kepada pemilik asal.

Penulis berpandangan syarat inilah yang menjadi pertikaian utama kerana telah wujud syarat berlakunya dua akad di mana al-ma‘qud ‘alaihi (barang) mesti dijual semula kepada pemilik asalnya. Syarat ini jelas bertentangan dengan konsep jual beli dalam muamalat Islam, di mana pembeli mempunyai hak yang penuh ke atas barang yang telah dimilikinya.

Walaupun dari sudut zahir, rukun dan syarat-syarat akadnya adalah sempurna, namun pelaksanaan kepada syarat ini menjadikan akad bay‘ al-‘inah termasuk dalam kategori muamalat yang ditegah berdasarkan sebuah hadis sahih:

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: نهى رسول الله صلّى الله عليه وسلّم عن بيعتين في بيعة.

Terjemahan: Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah menegah dari dua jual beli dalam satu jual beli.

Hadis di atas mempunyai beberapa tafsiran, antaranya ialah apabila seorang berkata: aku jual hamba (lelaki) milikku dengan harga sepuluh (dirham atau dinar) dengan syarat engkau menjual hamba perempuanmu kepadaku dengan harga sekian. ‘Illah kepada tegahan bentuk muamalat ini ialah wujudnya syarat mendatang yang mengikatnya.

Difahami daripada tafsiran hadis di atas, apabila seseorang melakukan satu akad jual beli, tetapi mensyaratkan kepada pihak yang kedua supaya melakukan akad jual beli yang lain, sama ada ma‘qud ‘alaihi adalah sama ataupun berbeza, maka ia telah merealisasikan ‘illah bagi masalah bay‘ataini fi bay‘ah yang ditegah dalam hadis tersebut.

Penulis berpandangan bahawa sama ada syarat tersebut disebut ketika akad, atau memang telah disepakati sebelum akad ataupun telah menjadi kebiasaan dalam sesuatu transaksi, ia tetap merealisasikan ‘illah tersebut iaitu wujudnya syarat mendatang yang mengikat sesuatu akad jual beli supaya berlaku akad yang kedua dengan sebab berlakunya akad yang pertama.

Jika diperhatikan, keadaan tersebut memang berlaku dalam akad bay‘ al-‘inah yang diamalkan oleh perbankan Islam di Malaysia. Walaupun syarat barang mesti dijual semula kepada pihak bank tidak disebut dalam akad jual beli yang ditandatangani, namun pihak bank telah memberikan taklimat awal kepada pelanggan/pemohon, bahawa mereka perlu melakukan dua akad dan menandatangani dua dokumen yang berlainan sebelum permohonan mereka diluluskan.

Ada pihak yang menyatakan bahawa syarat yang mengikat bahawa al-mabi‘ mesti dijual semula tidak timbul kerana ia tidak dilafazkan dalam akad. Sebaliknya ia merupakan persefahaman sampingan sahaja (al-tafahum al-janibi) antara pihak bank dan pelanggannya dalam menjalankan akad. Namun penulis tidak menyetujui pandangan ini kerana pada hakikatnya pelanggan memang terikat untuk menjual semula al-mabi‘ kepada pihak bank bagi mendapatkan kelulusan pembiayaan. Keadaan ini boleh dikategorikan sebagai uruf tijari yang telah diterima amalannya. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa memang telah disyaratkan akan berlaku dua proses jual beli yang merealisasikan maksud hadis di atas. Ia juga selari dengan kaedah:

المعروف عرفا كالمشروط شرطا

“Perkara yang diketahui secara uruf, di anggap sebagai syarat yang telah disyaratkan.”

Syarat kelima pula yang menyatakan bahawa pembiayaan bay‘ al-‘inah yang dijalankan ini mestilah memenuhi syarat-syarat bay‘ al-‘inah yang diterima oleh Mazhab Syafie adalah dipertikaikan kerana realiti yang berlaku ia bercanggah dengan bentuk bay‘ al-‘inah yang diterima oleh Mazhab Syafie.

Penulis telah menjelaskan dalam perbincangan sebelumnya, bahawa dalam Mazhab Syafie sendiri dan mazhab-mazhab yang lain, jika terdapat ketetapan bahawa barang tersebut mesti dijual semula, maka jual beli tersebut adalah terbatal tanpa khilaf.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa pertikaian-pertikaian yang ditimbulkan berkenaan pemakaian akad bay‘ al-‘inah yang diamalkan dalam perbankan Islam di Malaysia mempunyai asasnya yang kukuh dan perlu diberi perhatian sewajarnya. Pertikaian-pertikaian inilah yang penulis maksudkan sebagai elemen keterbatasan yang wujud pada produk-produk perbankan Islam yang berasaskan Mazhab Syafie.

Walau bagaimanapun, penulis bersetuju dengan pandangan bahawa pemakaian akad bay‘ al-‘inah boleh dianggap sebagai alternatif sementara untuk mengeluarkan umat Islam dari belenggu sistem ribawi yang masih dominan di negara kita. Dengan erti kata lain, diutamakan mafsadah yang disepakati oleh para ulama terhadap penolakannya (riba), ke atas mafsadah yang masih diperdebatkan lagi (hukum bay‘ al-‘inah).

CADANGAN ALTERNATIF

Sebagai satu sumbangan menangani unsur keterbatasan dan pertikaian yang berlaku, penulis mencadangkan supaya Pembiayaan Peribadi yang ditawarkan oleh Bank Rakyat menggunakan akad bay‘ al-murabahah jika pembiayaan tersebut melibatkan barangan (goods) dan menggunakan akad al-ijarah bagi perkhidmatan (services). Ini bermakna, pihak bank perlu mengetahui tujuan pembiayaan yang dilakukan dan pihak bank akan membelinya atau membayar sewanya terlebih dahulu, kemudian dijual semula atau disewa semula kepada pelanggan yang telah diluluskan permohonannya dengan tambahan untung. Bank Rakyat boleh mencontohi Dubai Islamic Bank yang juga menawarkan pembiayaan peribadi tetapi tidak menggunakan akad bay‘ al-‘inah.
Bagi Kad Bank Islam pula, penulis mencadangkan agar produk ini diganti dengan Kad Debit Bank Islam yang tidak melibatkan langsung akad bay‘ al-‘inah. Fungsi kad debit adalah sama dari sudut kemudahan membuat pembiayaan dan keselamatannya. BIMB boleh mencontohi Bank Al-Rajhi dan Bank Simpanan Nasional yang telahpun melaksanakannya.

Manakala bagi produk Kemudahan Tunai M-Cash di Bank Rakyat pula, memandangkan akad ini hanya ditawarkan untuk tujuan komersil yang dikhususkan bagi entiti perniagaan, penulis mencadangkan Bank Muamalat terlibat secara langsung sebagai rakan kongsi dalam usaha atau aktiviti ekonomi yang dijalankan. Oleh itu, akad alternatif yang dicadangkan bagi menggantikan akad bay‘ al-‘inah ialah al-musyarakah atau al-mudarabah.

PENUTUP

Berdasarkan perbincangan sepintas lalu tentang unsur keterbatasan yang terdapat pada produk kewangan yang berasaskan Mazhab Syafie, penulis telah memfokuskan huraiannya tentang akad bay‘ al-‘inah yang diterima pakai oleh perbankan Islam di Malaysia. Dari sudut realitinya, pemakaian akad ini yang berasaskan Mazhab Syafie telah dikritik, sekali gus menggambarkan bahawa perjalanan perbankan Islam di Malaysia perlu mengambil kira pandangan-pandangan di luar Mazhab Syafie dalam pemilihan akad yang menjadi asas kepada produk-produk kewangan yang ditawarkan.
Wallahu a‘lam bi al-sawab.



BIBLIOGRAFI

Abu Zakariyya Yahya Bin Syarf al-Nawawi (t.t), Raudah al-Talibin bersama Al-Minhaj al-Sawi fi Tarjamah al-Imam al-Nawawi dan Muntaqa al-Yunbu‘ (tahqiq : ‘Adil Ahmad ‘Abd al-Maujud dan ‘Ali Muhammad Mu‘awwad), j.3, Beirut, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
‘Ali ‘Abd al-Kafi al-Subky (t.t) , Kitab al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, j.10, Jeddah, Maktabah al-Irsyad.
Muhammad Bin Idris al-Syafi‘i (1996), Mausu‘ah al-Imam al-Syafi‘i, j.3 (tahqiq : Dr. Ahmad Badr al-Din Hasun), Beirut, Dar Qutaybah.
Mustafa al-Bugha et al (1994), Al-Wafi fi Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah, c.4, Damsyiq, Dar Ibn Kathir.
‘Ali Ibn Ahmad Ibn Hazm (t.t), Al-Muhalla bi al-Athar (tahqiq : Dr. ‘Abd al-Ghaffar Sulayman al-Bandari), j.7, Beirut, Dar al-Fikr.
Ahmad Fahd al-Rusyaidi (2005), ‘Amaliyyat al-Tawarruq wa Tatbiqatuha al-iqtisadiyyah fi al-Masarif al-Islamiyyah, Amman, Dar al-Nafa’is.
‘Abd Allah Ibn Ahmad Ibn Qudamah al-Maqdisi (1992), Al-Mughni, j.6, c.2, Kaherah, Hijr li al-Tiba‘ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi‘ wa al-I‘lan.
Muhammad bin Isma‘il al-San‘ani (t.t.), Subul al-Salam bi Syarh Bulugh al-Maram, j.3, Beirut, Dar al-Jayl.
Wahbah al-Zuhayli (1998), Usul al-Fiqh al-Islami, c.2, Damsyiq, Dar al-Fikr.
Abu ‘Abd Allah Muhammad Ibn Qayyim al-Jauziyyah (2000), I‘lam al-Muqi‘in ‘an Rabb al-‘Alamin, j.2, Damsyiq: Maktabah Dar al-Bayan.
Muhammad Nasir al-Din al-Albani (1995), Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, j.1, Riyadh, Maktabah al-Ma'arif li al-Nasyr wa al-Tiba'.
Al-Qadi 'Abd al-Wahhab bin 'Ali bin Nasr al-Baghdadi al-Maliki (1999), Al-Ithaf bi Takhrij Ahadith al-Isyraf (takhrij : Dr. Badwi 'Abd al-Samad al-Tahir Solih) Dubai, Dar al-Buhuth li al-Dirasat al-Islamiyyah wa Ihya' al-Turath.
Jamal al-Din Abu Muhammad 'Abd Allah bin Yusuf al-Zayla'i (1996), Nasbu al-Rayah Takhrij Ahadith al-Hidayah, j.4, Beirut, Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah.
Muhammad 'Ali al-Sabuni (1997), Safwah al-Tafasir, j.1, Kaherah, Dar al-Sabuni.
Muhammad Abu Zahrah (1996), Al-Milkiyyah wa Nazariyat al-‘Aqd, Kaherah, Dar al-Fikr al-‘Arabi.
Risalah Kad Bank Islam, Nov. 04 – Jan. 05.
Ridzwan bin Ahmad (2004), “Metode Pentarjihan Maslahah Dan Mafsadah Dalam Hukum Islam Semasa”, Prosiding Seminar Kebangsaan Usul Fiqh 2004.
________ (2000), Mausu‘ah al-Hadis al-Syarif : al-Kutub al-Sittah, cet. 4, Riyadh, Dar al-Salam li al-Nasyr wa al-Tauzi‘
http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=533&Itemid=63
http://www.dib.ae/en/personalbanking_Ijarahservices.htm
http://www.alrajhibank.com.my/index.cfm?sc=61&cm=45
http://www.bsn.com.my/1-SPIMatrix.html

2 ulasan:

wardah berkata...

Assalamualaikum.. mohon untuk mengambil maklumat ini sebagai rujukan tesis..boleh tuan cadangkan beberapa sumber lain yang boleh saya dapatkan untuk maklumat bai'ul inah ini?

mahirdanial berkata...

Wa'alaikumsalam.. berkenaan sumber lain yang boleh enti gunakan semua terdapat dalam list perpustakaan yang dicadangkan blog ini. Namun spesifiknya saya list kan sumber yang saya perlu enti rujuk berkenaan Bay al-'Inah iaitu:

http://www.perpun.net.my/myto/index2.php

http://pkukmweb.ukm.my/~library/

http://www.irti.org/irj/portal/anonymous?guest_user=irti_en

http://www.waqfeya.com/

Semoga membantu. Wallahu a'lam