DONATE

Selasa, 15 Disember 2009

KEDUDUKAN QAWL MU'TAMAD MAZHAB SYAFIE DALAM FATWA-FATWA NEGERI TERENGGANU DARI TAHUN 2000-2006

Oleh:
Ahmad Termizi bin Taha
Syed Mohd Azmi bin Syed Ab. Rahman

 

Pendahuluan


 

Kehidupan semasa yang semakin dinamik dan rencam menyebabkan keperluan kepada hukum-hukum semasa amat ketara sekali. Dinamika sistem kewangan dan perbankan lslam, isu-isu perubatan yang semakin rumit dan rencam, perkembangan teknologi dan seumpamanya telah menimbulkan banyak persoalan yang mana antaranya tidak mempunyai 'hukum' yang pasti untuk menanganinya. Sebagai respon kepada keperluan hukum-hukum tersebut, institusi-institusi agama mestilah bersifat proaktif untuk memastikan keperluan tersebut dapat dipenuhi dan agama lslam sentiasa kelihatan semasa dan segar.


 

Antara institusi agama yang paling berwibawa di dalam struktur pentadbiran lslam di Malaysia ialah institusi Mufti yang berfungsi mengeluarkan fatwa untuk memenuhi keperluan kehidupan berugama masyarakat lslam di dalam pelbagai dimensi kehidupan. Signifikan institusi Mufti ini mendorong kerajaan negeri memperuntukkan seksyen tertentu untuk mengurus institusi ini di dalam enakmen pentadbiran ugama lslam di negeri masing-masing.


 

Interaksi antara institusi Mufti dan fatwa dengan masyarakat Islam tidak boleh dipisahkan. Masyarakat Islam adalah pihak yang mengemukakan persoalan dan pihak Mufti pula mengeluarkan jawapan iaitu fatwa. Oleh kerana itu, fatwa yang dikeluarkan itu semestinya mengambil kira kepentingan masyarakat awam tanpa menjejaskan otoriti sumber-sumber hukum lslam yang telah disepakati ulama. Pelbagai instrumen untuk mengeluarkan hukum telah digariskan oleh ulama' mu'tabar untuk digunakan oleh Mufti ketika mengeluarkan fatwa agar ketetapan hukum dan kemaslahatan umah dapat dilaksanakan.


 


 

2.    DEFINISI FATWA


 

Dari segi bahasa, perkataan fatwa berasal dari perkataan Arab iaitu fata, yaftu, fatwa atau futya yang bererti menjawab perkara-perkara yang menjadi kemusykilan seperti seorang berkata,"Aku telah meminta fatwa daripadanya maka dia pun memberi fatwa'. Taha Abdullah al-Dasuqi berpendapat fatwa bermaksud menerangkan sesuatu hukum yang dikeluarkan atau diistinbatkan oleh mujtahid mutlaq atau oleh mujtahid dalam mazhab.

                

Perspektif definisi fatwa juga boleh dilihat dari dua sudut iaitu definisi umum dan definisi khusus. Fatwa menurut definisi umum ialah suatu penerangan mengenai hukum Syara' kepada masalah yang tidak mempunyai nas atau perbincangan di dalam kitab fiqah secara tidak mengikat. Definisi ini secara jelas menunjukkan setiap penerangan berkaitan hukum Syara' sama ada hukum fiqh atau bukan fiqh, penerangan secara bertulis atau tanpa bertulis, semuanya itu dinamakan fatwa.


 

Definisi umum ini merujuk kepada amalan yang berlaku di zaman nabi SAW dan zaman kemudiannya. Setiap jawapan alim ulama yang menerangkan hukum agama adalah dianggap fatwa sekalipun ulama tersebut tidak menjawat jawatan Mufti. Dari definisi ini, muncullah kitab-kitab fiqh berbentuk himpunan fatwa seperti Fatwa Ibnu Taimiyyah dan Fatwa al- Laknawi.


 

Fatwa dari perspektif definisi khusus pula ialah keputusan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti dan telah diwartakan oleh kerajaan negeri bagi proses penguatkuasaan undang-undang. Definisi ini memberi faham setiap kenyataan Mufti yang tidak diwartakan bukanlah dianggap sebagai fatwa, sebaliknya ia dinamakan sebagai pendapat.


 

Definisi khusus ini adalah merujuk kepada amalan semasa, yang mana tiada pihak yang boleh mengeluarkan fatwa melainkan Mufti yang dilantik oleh pemerintah sahaja. Justeru, himpunan jawapan kepada soalan yang diajukan berkaitan agama tidak dinamakan himpunan fatwa sebaliknya dinamakan soal jawab agama.


 

Definisi fatwa secara umum dan khusus itu mempunyai persamaan dari segi fatwa yang dikeluarkan itu adalah penerangan kepada soalan yang diajukan oleh masyarakat berkaitan permasalahan yang dihadapi oleh mereka pada masa itu. Oleh itu, kitab-kitab fatwa kadang-kadang diberi nama Nawazil Ahkam dan Masail Ahkam yang menggambarkan himpunan persoalan semasa yang dihadapi.


 

Begitu juga pada kebiasaannya, masyarakat mengajukan soalan kepada ahli ilmu setempat dan semazhab dengan mereka. Oleh itu, fatwa yang dikeluarkan itu adalah melihat kepada pegangan masyarakat yang mengemukakan soalan. Keadaan ini secara tidak langsung telah menyebabkan para pemerintah melantik Mufti yang bermazhab dengan mazhab masyarakat setempat.


 

Dalam konteks kertas kerja, penulis akan menggunapakai definisi fatwa khusus dalam membincangkan kedudukan qawl mu'tamad mazhab Syafie dalam fatwa-fatwa negeri Terengganu.


 

3.    INSTITUSI MUFTI DALAM ENAKMEN PENTADBIRAN ISLAM DI TERENGGANU


 

Jawatan Mufti negeri Terengganu bermula seawal tahun 1860an dengan gelaran sebagai Syeikh al-'Ulama. Gelaran ini kemudian ditukarkan kepada gelaran Mufti sehingga ke hari ini. Sehingga kini, seramai 16 orang telah menjawat jawatan Syeikh al-'Ulama dan Mufti bagi negeri Terengganu.


 

Bermula pada tahun 1919, penjawat jawatan Mufti merupakan sebahagian daripada kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. Kedudukan ini berterusan sehingga tahun 1985 apabila kerajaan negeri Terengganu telah menubuhkan Jabatan Mufti yang diasingkan pentadbirannya dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. Kedudukan institusi ini menjadi semakin mantap apabila peruntukkan khas tentangnya telah dimasukkan ke dalam Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 1985.


 


Secara perbandingannya, kedudukan institusi Mufti di negeri Terengganu tidaklah berbeza dengan kedudukan institusi Mufti di negeri-negeri lain. Bahagian III Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam ( Terengganu ) 1422/2001M memperuntukkan 9 seksyen bagi mengurus penjalanan institusi Mufti.


 

Mufti kerajaan negeri Terengganu akan dilantik oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan atas nasihat Menteri Besar Terengganu untuk membantu dan menasihati Baginda Sultan berkenaan dengan semua perkara Hukum Syara'. Mufti akan dibantu oleh Jawatankuasa Fatwa di dalam mengeluarkan sesuatu fatwa sama ada fatwa tersebut di atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan, permintaan orang ramai mau pun di atas kehendak mereka sendiri.


 

Manual Prosedur Kerja Jabatan Mufti negeri Terengganu telah menggariskan secara jelas fungsi-fungsi Mufti dan Jawatankuasa Fatwa iaitu:


 

1.    Membantu dan menasihati DYMM Al-Sultan berkenaan semua perkara Hukum Syara';


 

2.    Membuat penyelidikan dalam menyediakan sesuatu Fatwa; dan dalam membantu menyelesaikan permasalahan mengenai agama Islam termasuk isu-isu semasa;


 

3.    Membuat penyelidikan bagi menangani ancaman ke atas kesucian ajaran agama Islam dan persoalan penyelewengan aqidah;


 

4.    Membuat apa-apa cadangan dalam melaksanakan pembangunan amar ma'ruf dan pencegahan nahi mungkar;


 

5.    Menerbitkan data hijri, data imsakiah, data waktu solat mengikut zon mengikut kedudukan latitiud dan longitiud sesuatu lokasi,


 

6.    Data penentuan arah Qiblat, data cerapan anak bulan Hijri setiap bulan, dan menguruskan rukyah anak bulan.


 


 

4.    TATACARA PENGELUARAN FATWA


 

    Jawatankuasa fatwa yang dilantik bertanggungjawab untuk mengeluarkan fatwa terhadap persoalan-persoalan Hukum Syara yang belum mu'tamad atau yang menimbulkan kontroversi. Mufti boleh mengambil inisiatif supaya satu kajian atau penyelidikan dibuat terhadap persoalan yang hendak difatwakan.


 

    Fatwa yang telah dikeluarkan hendaklah dikemukakan kepada Majlis Ugama Islam Dan Adat Melayu Terengganu untuk pertimbangan mereka dan seterusnya dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk mendapatkan perkenannya bagi pewartaan fatwa tersebut. Fatwa yang telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan hendalah dimaklumkan kepada kerajaan negeri dan seterusnya menyebabkan fatwa tersebut diwartakan.


 


 

5.    RUJUKAN FATWA


 

Negeri Terengganu Darul Iman, seperti negeri-negeri lain di Malaysia – kecuali Perlis – telah menjadikan mazhab Syafie sebagai pendapat yang lazimnya diikuti ketika mengeluarkan fatwa. Seksyen 54 (1) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam ( Terengganu ) 1422/2001M memperuntukkan:


 

Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen 50, atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah seksyen 53, Jawatankuasa Fatwa hendaklah pada lazimnya mengikut pendapat-pendapat yang diterima (qawl mu'tamad) Mazhab Syafii.

    

Namun begitu, amalan toleransi bermazhab diamalkan secara berhikmah dimana seksyen 54(2) membenarkan Jawatankuasa Fatwa mengikut qawl mu'tamad Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali sekiranya penggunaan qawl mu'tamad Syafii akan berlawanan dengan kepentingan awam. Lebih luas lagi, Jawatankuasa Fatwa dibolehkan melakukan ijtihad tanpa terikat dengan qawl mu'tamad daripada mana-mana mazhab yang empat itu.


 

Peruntukan ini membolehkan Mufti dan Jawatankuasa Fatwa mengamalkan ijtihad intiqaai ( انتقائي ) dengan selesa kerana mereka tidak lagi terikat dengan satu aliran mazhab yang tertentu.


 

Kesimpulannya, Mufti dan pembantunya terikat ketika mengeluarkan fatwa dengan qawl
mu'tamad di dalam mazhab Syafie melainkan jika pendapat tersebut bercanggah dengan kepentingan umum, maka bolehlah Mufti dan pembantunya mengikut qawl mu'tamad mazhab empat atau berijtihad secara kolektif .


 


 

6.    QAWL MU'TAMAD MAZHAB SYAFIE


 

Qawl mu'tamad ialah pendapat yang diterimapakai oleh majoriti pengikut sesuatu mazhab. Dari perspektif sumber, qawl mu'tamad dalam mazhab Syafei boleh dikategorikan kepada dua kategori iaitu:


 

i- qawl mu'tamad yang bersumber daripada Imam Syafei.

ii- qawl mu'tamad yang bersumber daripada pengikut mazhab Syafei.


 

6.1    Qawl Mu'tamad Imam Syafei


 

Qawl mu'tamad yang bersumber daripada Imam Syafei mempunyai dua bentuk iaitu:


 

a-    qawl mu'tamad yang mana pendapat yang sebaliknya dihukum lemah dan ia dikenali sebagai al-Masyhur.

b- qawl mu'tamad yang mana pendapat yang bertentangan dengannya dihukum kuat dan ia dikenali sebagai sebagai al-azhar atau pendapat yang paling kuat.


 

6.2    Qawl Mu'tamad Pengikut Mazhab Syafei


 

Qawl mu'tamad yang bersumber daripada pengikut mazhab Syafei juga mempunyai dua bentuk iaitu:


 

a- qawl mu'tamad yang mana pendapat yang sebaliknya dihukum lemah dan ia dikenali sebagai al-sohih.

b- qawl mu'tamad yang mana pendapat yang bertentangan dengannya dihukum kuat dan ia dikenali sebagai al-asah atau pendapat yang paling kuat.


 

Kedua-kedua kategori qawl mu'tamad tersebut mempunyai kedudukan yang sama. Majlis fatwa dan mahkamah mestilah menjadikannya sebagai rujukan ketika membuat fatwa dan menjatuhkan hukuman. Manakala qawl yang lemah pula hanya boleh diamalkan untuk diri sendiri sahaja.


 

Imam Nawawi, seorang ulama mazhab Syafie yang tersohol, juga berpegang kepada pendapat yang berlawanan dengan qawl mu'tamad mazhab Syafie dalam beberapa persoalan fiqh. Di antaranya ialah masalah keharusan suami bergaul dengan isteri yang sedang haidh melainkan faraj sahaja. Kitab Minhajul Talibin dan Kitab Raudhotul Talibin karya agung Imam Nawawi perlu diselidiki oleh pihak yang terlibat dalam mengeluarkan fatwa memandangkan kitab tersebut dikarang khusus untuk para Mufti. Kitab tersebut bukan sahaja memuatkan qawl mu'tamad mazhab Syafie tetapi juga dimuatkan qawl yang tidak mu'tamad dan juga pendapat peribadi Imam Nawawi. Begitu juga percanggahan pendapat Imam Nawawi antara satu sama lain sebagaimana yang tercatat dalam karya-karya beliau perlu diberi perhatian kerana percanggahan tersebut mempunyai kaitan rapat dengan pemilihan qawl mu'tamad serta rombakan fatwa ketika mengeluarkan fatwa.


 


 

7.    KEDUDUKAN QAWL MU'TAMAD MAZHAB SYAFIE

DALAM FATWA NEGERI TERENGGANU : SEHINGGA 2000


 

Terdapat tiga koleksi bercetak fatwa negeri Terengganu bermula dari tahun 1953 sehingga tahun 2000. Koleksi-koleksi fatwa tersebut adalah seperti berikut:


 

a- Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan (1953 – 1970 ).

Dalam tempoh ini, sebanyak 189 fatwa telah diputuskan.


 

b- Fatwa Mufti .

Dalam koleksi Fatwa Mufti ini, terkandung 70 fatwa tanpa menyatakan nama Mufti dan tarikh pewartaannya. Daripada pengamatan penulis, fatwa-fatwa tersebut berkemungkinan diwartakan pada akhir tahun 70 an dan awal tahun 80 an berdasarkan tarikh cetakan pertama koleksi itu iaitu pada 1986.


 

c- Himpunan Fatwa Negeri Terengganu

Himpunan fatwa ini mengandungi 66 fatwa yang dikeluarkan oleh Dato' Engku Alwi bin Engku Ambak ( 1988-2000 ).

    


 

Taburan
sub bidang fatwa daripada 325 fatwa yang dikeluarkan dalam tempoh tersebut adalah sebagaimana berikut:


 


 

Bil 


 

Tema 


 

Koleksi 1


 

Koleksi 2


 

Koleksi 3

1

Bersuci

8

2

4

2

Najis 

5 

-

-

3

Sembahyang 

19 

11

3

4

Zakat 

25 

5

5

5 

Puasa 

7 

-

-

6 

Haji

2 

3 

-

7 

Jenazah 

15 

5 

8 

8 

Wakaf dan masjid 

11 

-

9 

9 

Perkahwinan, talak, idah dan rujuk  

18 

-

10 

10 

Makanan dan minuman 

6 

5 

6 

11 

Akikah/Qurban 

-

-

4 

12 

Pusaka/Wasiat 

11 

2 

-

13 

Perekonomian/Pajak Gadai 

19 

5 

11 

14 

Kemasyarakatan 

36 

30 

-

15 

Perubatan 

-

-

2 

16 

Sumpah 

-

2 

-


 


 

Merujuk kepada fatwa-fatwa yang terkandung di dalam ketiga-tiga koleksi tersebut, penulis mendapati majoritinya berdasarkan qawl mu'tamad mazhab Syafie. Perkara tersebut bukanlah sesuatu yang aneh jika dilihat kepada persoalan yang diajukan. Kebanyakan persoalan yang diajukan itu adalah berkaitan permohonan penjelasan dan kepastian hukum terhadap kekeliruan masyarakat dalam memahami beberapa isu yang sedang berlaku.


 

Sebagai contohnya, Mufti telah ditanya tentang
hukum membaca talqin di atas kubur dan tahlil sesudah dikebumikan. Mereka mengatakan bahawa:


 

Mengenai talqin di atas kubur hukumnya sunat di sisi Imam Nawawi sebagaimana dinyatakan dalam kitabnya Al Azkar dan juga di sisi Imam Ghazali dalam kitab Ihya' 'Ulumiddin dan juga beberapa orang ulama yang lain dalam mazhab Shafei. Terdapat juga para ulama fiqh yang mengatakan tidak sunat bertalqin. Pihak kami di Terengganu masih berpegang kepada pendapat yang mengatakan sunat bertalqin dan amalan berdoa kepada si mati dengan bertahlil dan sebagainya sama ada di atas kubur atau di mana-mana. Ini berpandukan kepada ayat Al Quran ayat 10 surah Al Hasyr juga beberapa hadis rasulullah SAW.


 


 

Walaubagaimanapun, terdapat juga sebahagian kecil daripada fatwa tersebut tidak bersumberkan kepada qawl mu'tamad mazhab Syafie . Fatwa-fatwa tersebut adalah berkaitan dengan permasalahan zakat, sembahyang Jumaat, makanan dan waqaf. Fatwa-fatwa yang berpegang kepada mazhab yang lain itu, dinyatakan dengan jelas tentang ikutan mazhab yang lain dari mazhab Syafie. Faktor utama mendorong fatwa yang dikeluarkan itu tidak berlandaskan qawl mu'tamad Syafie ialah untuk menolak kerumitan yang timbul ketika hendak melaksanakan sesuatu fatwa sekiranya fatwa tersebut dibuat berdasarkan qawl mu'tamad Syafie . Sebagai contohnya soalan ke-125 dari koleksi Fatwa-Fatwa Mufti Terengganu:


 

125. Soalan.     Saya mempunyai senapang yang berlesen, mempunyai peluru dan menembak babi hutan, babi itu mati ditembak.Kemudian saya panggil orang bukan Islam mengambilnya, orang bukan Islam ini memberi saya wang RM20.00, wang ini untuk perbelanjaan hidup saya. Tujuan saya menembak babi hutan itu, jika ditanya orang, saya katakan membunuh kerana merosakkan tanaman, tetapi dalam hati kecil saya ialah kerana mendapat wang yang lumayan. Apakah hukumnya dalam islam. Halalkah atau haramkah wang itu jadi belanja makanan saya?


 

Jawapan


 

Dengan sebab tidak dibuat apa-apa perjanjian jual beli antara tuan dengan si kafir itu maka apa yang tuan terima daripadanya berupa wang itu adalah dianggap sebagai hadiah daripadanya, tidak adalah apa-apa yang hendak ditakutkan dan diragukan-diragukan, Wallahu a'lam.


 

Fatwa di atas boleh dihuraikan dari dua dimensi, dari segi kaedah perkiraan adalah bergantung kepada kehendak pihak yang mengadakan kontrak bukannya lafaz yang digunakan. Dimensi kedua ialah orang bukan Islam tidak ditaklif dengan furu' ajaran syara'. Dari dimensi kedua ini, kita boleh kategorikan fatwa di atas sebagai fatwa yang tidak mengikut qawl mu'tamad mazhab Shafei. Wallahu a'lam.


 

8.    KEDUDUKAN QAWL MU'TAMAD MAZHAB SYAFIE DALAM FATWA NEGERI TERENGGANU SEHINGGA 2000-2006


 

Secara umumnya, sebanyak 128 fatwa telah dikeluarkan di dalam tempoh tahun 2000-2006 yang meliputi bidang-bidang berkaitan dengan zakat, wakaf, kubur, masjid, sembahyang, ajaran sesat dan
isu-isu umum.


 

Pecahan fatwa berdasarkan tahun adalah seperti berikut:


 

Bil 

Tahun 

Jumlah 

1 

2000 

38

2 

2001 

21

3 

2002 

29

4 

2003 

9

5 

2004 

5

6 

2005 

4

7 

2006 

128

  


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 

Pecahan fatwa berdasarkan bidang pula adalah sebagaimana berikut:


 


 

Bil 

Tema 

2000 

2001 

2002 

2003 

2004 

2005 

2006 

Jum 

1 

Zakat 

2 

5 

- 

2 

- 

- 

4 

13

2 

Wakaf

1 

3 

1 

1 

1 

2 

1 

10 

3 

Kubur 

1 

4

2 

- 

1 

1 

5 

15 

4 

Masjid 

19 

2 

9 

2 

1 

- 

5 

38 

5 

Sembahyang 

10 

4 

17 

4 

- 

- 

4 

39

6 

Ajaran sesat 

1 

1 

- 

- 

- 

- 

1 

3 

7 

Umum

4 

2 

- 

-

2 

1 

2 

11

 

Jumlah 

38  

21

29 

9  

5 

4 

22 

128


 


 

Analisis terhadap 125 fatwa (3 fatwa berkenaan ajaran salah tidak berkaitan dengan perbincangan) yang diputuskan tersebut, didapati :


 

i-     kebanyakan fatwa adalah berpandukan qawl mu'tamad mazhab Syafie


 

ii-
terdapat fatwa-fatwa yang tidak berdasarkan qawl mu'tamad mazhab Syafie. Fatwa-fatwa tersebut adalah yang berkaitan kepentingan umum yang mana kalau diikut qawl mu'tamad mazhab Syafie akan menimbulkan kesulitan kepada masyarakat awam.


 

Bertujuan untuk membuktikan kenyataan di atas, penulis memilih beberapa fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Terengganu.


 

8.1    Contoh Fatwa Yang Bersumberkan Qawl Mu'tamad Mazhab Syafie.


 

i-    Wakaf


 

Fatwa-fatwa negeri Terengganu dalam tempoh 2000-2006 banyak menyentuh soal pengurusan tanah wakaf. Persoalan yang dikemukakan antara lainnya berkaitan dengan penukaran tujuan wakaf, permohonan menukar tanah wakaf dengan tanah yang lain, permohonan mengurus tanah wakaf tidak sepertimana tujuan si pewakaf dan permohonan menyewa tanah wakaf. Semua keputusan fatwa yang diputuskan berkaitan permasalahan wakaf didapati mengikut qawl mu'tamad mazhab Syafie yang berpendapat bahawa harta wakaf tidak boleh dipindahmilik sama ada melalui proses jual beli, dihadiah, dipusakai, ditarik balik sama ada dari pihak pewakaf atau dari pihak yang diwakafkan kepadanya. Harta itu kekal milik bagi Allah dan diurus mengikut tujuan yang disebut oleh pihak yang mewakaf.


 

Majlis Fatwa negeri Terengganu di dalam mesyuaratnya kali ke-9 penggal ke 5 pada 21 Safar 1422 bersamaan 15 Mei 2001 ketika memutuskan persoalan tentang permohonan mendirikan bangunan tambahan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain di kawasan perkuburan dan Surau Lubuk Perah, Wakaf Tapai, Lot 8515 Mukim Bukit Payung, Marang memutuskan:


 

"Mesyuarat bersetuju tidak meluluskan permohonan bagi mendirikan bangunan tambahan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain di kawasan perkuburan dan surau Lubuk Perah, Wakaf Tapai, Lot 8515 Mukim Bukit Payong, Marang kerana tanah yang diwakafkan bagi kegunaan perkuburan orang-orang Islam hendaklah digunakan bagi maksud dan tujuan itu sahaja".


 

ii- MASJID


 

Fatwa yang berkaitan dengan masjid didapati keseluruhannya berpandukan kepada qawl mu'tamad mazhab Shafei. Menurut mazhab Syafie hukum yang berkaitan masjid sama seperti hukum wakaf dari segi tidak boleh ditarik, dipindahmilik, digunakan bagi tujuan yang lain dari hasrat pihak yang membina masjid dan bahan masjid tidak boleh dilupuskan begitu sahaja selagi bahan tersebut boleh digunakan.


 

Di antara contoh fatwa tersebut ialah cadangan untuk membina baru dan merombak Masjid Raja, Chendering, Kuala Terengganu disebabkan pertambahan ahli jemaah. Majlis Fatwa negeri Terengganu di dalam mesyuaratnya kali ke 2 penggal ke-5 pada 11 Zulkaedah 1420 bersamaan 17 Februari 2000 berpendapat bahawa masjid yang sedia ada masih kukuh dan masih boleh digunakan dengan selamat. Bagi mengatasi peningkatan jumlah ahli Jemaah, bolehlah dibuat bangunan tambahan serta pengubahsuaian yang tidak mencacatkan rangka kasar atau bentuk masjid lama.


 


 

iii- Kubur


 

Ketika menolak permohonan untuk mengalih tapak kubur lama di atas Lot 2249 geran 2235 di Kampung Ladang Sekolah, Kuala Terengganu, Majlis Fatwa memutuskan:


 

Hasil siasatan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Daerah Kuala Terengganu dan Jabatan Mufti, didapati batu-batu nisan berselerak di atas sebahagian Tanah Lot 2249 geran 2235 di Kampung Ladang Sekolah, Kuala Terengganu, iaitu membabitkan hampir ½ ekar dan lebih daripada 100 buah kubur lama dianggarkan melebihi 70 tahun.


 

Kawasan tanah perkuburan ini berada dalam keadaan terbiar, sebahagiannya dipenuhi dengan sampah sarap dan sebahagian yang lain dijadikan jalan laluan termasuk kereta. Beberapa buah rumah dibina terlalu hampir dengan batu-batu nisan.


 

Mesyuarat bersetuju tidak meluluskan permohonan untuk mengalih kubur-kubur lama di atas Lot 2249 tersebut kerana kawasan kubur-kubur itu adalah "tanah musabbal". Tanah Musabbal menurut hukum Syara' hukumnya tanah wakaf, tanah wakaf pula adalah hak Allah dan tidak boleh dipindah milik atau diambil balik buat selama-lamanya.


 

Kubur-kubur itu hendaklah dihormati dan dijaga dengan baik sesuai dengan kehendak Syara' seperti dipagar untuk mengelakkan pembuangan sampah, pembinaan bangsal atau rumah kediaman di atasnya.


 

Begitu juga ketika memutuskan permohonan untuk memindahkan kubur lama di lereng Bukit Puteri untuk pembangunan negeri Terengganu, Majlis Fatwa telah memutuskan:


 

a- sekiranya tanah perkuburan orang lslam itu merupakan tanah wakaf atau tanah musabbal, maka sewajarnya hendaklah dipelihara dengan baik dan dihormati. Ia tidak boleh digali atau dibongkar tanpa sebarang kepaksaan pada sisi syarak dan haram mengalihkan mayat-mayat dalam kubur itu ke tempat lain.


 

b- Sekiranya tanah perkuburan itu kepunyaan kerajaan atau kepunyaan orang perseorangan, maka bolehlah kerajaan atau pemilik tanah itu mengalihkan kubur-kubur itu ke tempat lain kalau mereka mahu, dengan cara yang ditetapkan oleh hukum syarak, iaitiu dengan menentukan sesuatu mayat iti dalam bungkusan yang berasingan serta ditanam semula dalam kubur yang berasingan.


 

iv-    Zakat


 

Berkenaan dengan persoalan samada syarikat kerajaan yang mengendalikan aktiviti pengeluaran emas dikenakan zakat emas atau sebaliknya, Majlis Fatwa berpendapat syarikat tersebut tidak diwajibkan mengeluarkan zakat kerana hasilnya akan kembali kepada kerajaan.


 

Di dalam mengeluarkan fatwa ini, mereka merujuk kepada pandangan yang dikemukakan Dr. Yusof Qardhawi sebagaimana terdapat di dalam buku Fiqh al-Zakah.

    


 

8.2    Contoh Fatwa Yang Tidak Bersumberkan Qawl Mu'tamad Mazhab Syafie.


 

    i- Solat Jumaat Yang Tidak Mencukupi Rukun Khutbah.


 

Jawatankuasa fatwa telah memutuskan solat tersebut sah kerana ibadat itu adalah sah mengikut sebahagian ulama' empat mazhab khususnya Imam Malik r.a.


 

Fatwa tersebut secara zahirnya menunjukkan qawl mu'tamad mazhab Syafie tidak diambilkira memandangkan kerumitan timbul jika terus berpegang dengan qawl mu'tamad itu setelah selesai solat jumaat disempurnakan.


 

Walau bagaimanapun dari kajian yang penulis lakukan, didapati qawl mu'tamad mazhab Shafei menghukumkan sah solat jumaat jika fatihah dibaca secara perlahan oleh imam
solat jumaat. Oleh itu fatwa di atas sebenarnya tidak perlu menyebut perkataan sah mengikut sebahagian ulama' empat mazhab khususnya Imam Malik r.a.


 

Sepatutnya fatwa di atas berbunyi solat jumaat tersebut sah menurut qawl mu'tamad mazhab Shafei tetapi dihukum makruh. Wallahua'lam.


 

ii- Mengadakan Sembahyang Jumaat Selain Daripada Masjid Jamek.


 

Majlis Fatwa Negeri Terengganu di dalam mesyuaratnya kali ke-4 penggal ke-5 pada 10 Rejab 1421 bersamaan 08 Oktober 2000 tidak membenarkan mendirikan solat Jumaat di pusat serenti memandangkan pusat serenti bukanlah kawasan istitan ( استيطان ). Kawasan istitan merupakan syarat sah untuk mendirikan solat Jumaat menurut qawl mu'tamad Mazhab Syafie. Fatwa tersebut berbunyi:


 

Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa sembahyang Jumaat tidak diwajibkan ke atas penghuni-penghuni Pusat Serenti, Besut, kerana mereka tidak memenuhi Syarat-Syarat wajib dan sah Jumaat, bagaimanapun mereka diwajibkan sembahyang zohor.


 

Walau bagaimanapun Majlis Fatwa Negeri Terengganu di dalam mesyuaratnya kali ke-6 penggal ke-5 pada 29 Syaaban 1421 bersamaan 26 November 2000 telah menyemak kembali fatwa terdahulu dan membuat pindaan dengan membenarkan sembahyang Jumaat didirikan di pusat serenti. Keputusan fatwa tersebut berbunyi:


 

Mesyuarat bersetuju menyemak semula keputusan yang telah diambil dalam mesyuarat yang lalu (kali keempat penggal kelima) dengan membuat keputusan bahawa tiada halangan dari segi hukum Syara' bagi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu memberi kebenaran khas kepada Pusat Serenti, Besut untuk mendirikan Jumaat bagi penghuni-penghuni pusat Serenti berkenaan.


 

Pindaan yang dibuat itu adalah tidak berpandukan qawl mu'tamad mazhab Syafie yang menyatakan di antara syarat sah solat Jumaat ialah didirikan di kawasan istitan. Pusat serenti adalah kawasan penempatan sementara. Oleh itu tidak sah didirikan solat Jumaat di pusat serenti.


 


 

Penyemakan semula terhadap fatwa terdahulu mempunyai kewajarannya iaitu untuk melatih penghuni serenti mengerjakan solat Jumaat dan membiasakan mereka mendengar ajaran Islam melalui khutbah yang disampaikan.


 

iii-Membaca al-Fatihah Secara Perlahan Ketika Sembahyang Jumaat.


 

Jabatan Mufti negeri Terengganu diminta untuk menentukan hukum sembahyang Jumaat di Masjid Lingai Batu Rakit Kuala Terengganu kerana iman sembahyang tersebut membaca al-Fatihah secara senyap pada rakaat yang ke dua. Pada mesyuarat Jawatankuasa Fatwa kali ke 8 penggal ke 5 pada 1 Zulhijjah 1421 bersamaan 25 Februari 2001, mereka bersetuju bahawa sembahyang Jumaat tersebut adalah sah menurut pandangan mazhab Maliki dan Hanafi.


 

Walau bagaimanapun dari kajian yang penulis lakukan, didapati qawl mu'tamad mazhab Shafei menghukumkan sah solat Jumaat jika fatihah dibaca secara perlahan oleh imam solat Jumaat. Oleh itu fatwa di atas sebenarnya tidak perlu menyebut perkataan sah mengikut sebahagian ulama' empat mazhab khususnya Imam Malik r.a.


 

Sepatutnya fatwa di atas berbunyi solat jumaat tersebut sah menurut qawl mu'tamad mazhab Shafei tetapi dihukum makruh. Wallahua'lam.


 


 


 

Kesimpulan


 

Dari perbincangan di atas, dapatlah dirumuskan bahawa Jawatankuasa Fatwa negeri Terengganu telah melaksanakan tugas mereka selaras dengan peruntukkan-peruntukkan yang terdapat di dalam Bahagian III Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam ( Terengganu ) 1422/2001M. Ketika membuat sesuatu fatwa, mereka beristidlalkan kepada qawl mu'tamad mazhab Syafie. Namun begitu, sekiranya berpandukan qawl mu'tamad mazhab Syafie akan menimbulkan suatu keadaan yang berlawanan dengan kepentingan masyarakat makan mereka boleh beristidlalkan qawl mu'tamad mazhab-mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali. Bahkan mereka juga dibenarkan untuk berijtihad sekiranya penggunaan qawl mu'tamad keempat-empat mazhab tersebut menimbulkan kesusahan kepada masyarakat.


 

Keterikatan dengan qawl mu'tamad mazhab Syafie dan tidak menolak pendapat mazhab fiqh yang lain dalam membuat fatwa merupakan satu pendekatan yang harmoni dan telah diamalkan sekian lama. Keadaan ini menghendaki jawatankuasa fatwa perlu memiliki penguasaan ilmu yang mantap di samping memahami realiti kehidupan semasa yang cukup luas dimensinya. Kemampuan institusi fatwa respon dengan perkembangan semasa akan mampu menjadikan Islam sebagai satu ugama yang sentiasa relevan dulu, kini dan selamanya.


 


 


 

SUMBER RUJUKAN


 

Ahmad Hidayat Buang Analisis Fatwa-fatwa Semasa Syariah Di Malaysia. Jurnal Syariah 10: 1 [ 2002 ] 39-52


 

Al Ajfan , Muhammad . " Fatawa al-Imam Syatibi, edisi 4 Maktabah al 'Abikan , Riyadh, 2001


 

al Mahalli , Tuhfatul Raghibin , Darul Ihya' al Kutub al 'Arabiyyah


 


 

Al Bajuri, Hasyiah Al Bajuri Indonesia , Maktabah Dahlan, ( t.t )


 

al-Syarbini, , Mughnil Muhtaj , Beirut Darul Kutub, edisi


 

Al Habisyi, al Madkhal Ila Mazhab al Imam al – Shafei ( manuskrip )


 

al-Nawawi , Minhaj Talibin , Dar ihya' al Kutub al Arabiyyah, Kaherah,tt


 


 

Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu ) 1422/2001M


 

Himpunan Fatwa Mufti Terengganu


 

Ibrahim Najib Mohd Iwad. Al-Qada Fi al-Islam. Kaherah: Majma' al-Buhuth al-Islamiyyah


 

Mahmood Zuhdi 2004 . "Fatwa Dan Isu Semasa : Masalah dan Cabaran di Malaysia. " Jurnal Syariah , 12:2 [2004] 43-78


 

Manual Prosedur Kerja Jabatan Mufti Negeri Terengganu


 

Taha Abdullah al-Dasuqi. Usul Al-Fiqh. Kaherah


 

http://www.e-fatwa.gov.my/e-fatwa.asp


 

http://portalsvr.portal.terengganu.gov.my:7777/webtrg/utama?jab=53


 


 


 


 


 


 

Tiada ulasan: