DONATE

Ahad, 24 Januari 2010

Kes-kes pusaka adat di daerah Rembau ( Negeri Sembilan ) : Satu Kajian menurut hukum Syarak






1.2  PERMASALAHAN KAJIAN

Dalam menyatakan permasalahan kajian yang dihadapi oleh pengkaji ialah salah satunya kurang bahan sumber bertulis. Oleh itu penulis terpaksa menjalani sesi temubual bersama orang kampung yang berpengalaman serta berpengetahuan yang mendalam tentang sistem pentadbiran dalam tanah adat dan menyingkap serba sedikit permasalahan dalam pembahagian harta yang berbentuk tanah mengikut cara yang telah ditetapkan dalam Tradisi Adat Perpatih. Di samping itu, temubual bersama Pentadbir Pejabat Tanah Rembau bagi mendapatkan maklumat-maklumat yang lebih terperinci mengenai kes-kes yang berkaitan dengan tanah adat.  

Selain itu, pengkaji berasal dari Kuala Lumpur, dan pengkaji bukanlah berasal dari daerah Rembau. Oleh itu, kesukaran untuk mendapatkan maklumat dari orang yang berpengalaman kerana pengkaji sukar mempastikan siapakah yang berpengalaman dan berpengetahuan dalam hal yang berkaitan dengan sistem Adat Perpatih ini. Pengkaji juga tidak mempunyai kenalan yang ramai di daerah Rembau bagi memudahkan komunikasi bagi mengatur sesi temubual dan pengkaji juga terpaksa mendapatkan maklumat dari orang yang berpengalaman dalam penempatan yang berselerak.

Selain itu, masalah yang dihadapi juga ialah banyak masa yang terbuang dengan temujanji yang tidak dapat dipenuhi oleh pihak yang berkuasa di Pejabat Tanah. Pengkaji terpaksa datang dilain hari dan masa bagi mendapatkan maklumat mengenai kes-kes yang pernah berlaku dalam masyarakat di daerah Rembau dalam hal-hal yang berkaitan  dengan pembahagian harta pusaka yang berbentuk tanah. Ini kerana pihak berkuasa di Pejabat Tanah mempunyai tugasan yang lebih penting untuk diselesaikan.

Masalah yang lain pula ialah kurangnya kerjasama dari pihak yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan kerana kurangnya kepercayaan mereka terhadap pengkaji yang dianggap sebagai orang luar. Namun, setelah diberikan penjelasan yang baik tujuan sebenar pengkaji, akhirnya mereka bersetuju memberikan maklumat dan kerjasama yang baik.

Selain daripada itu, masalah yang dihadapi oleh pengkaji ialah dari segi masa. Pengkaji memerlukan peruntukan waktu yang lama bagi menjalankan kajian di daerah Rembau kerana kos masa perjalanan dari tempat penginapan iaitu di Bangi dengan daerah Rembau merupakan satu jarak perjalanan yang jauh. Pengkaji terpaksa membahagikan masa dengan teratur kerana jadual waktu pembelajaran yang padat. Maka, apabila ada masa terluang pengkaji akan berusaha memanfaatkan masa tersebut bagi mendapatkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan kajian ini.

Oleh yang demikian, walaupun terdapat beberapa permasalahan kajian, pengkaji dapat mengatasi masalah-masalah tersebut bagi mendapatkan maklumat untuk melengkapkan kajian ini

1.3  MATLAMAT KAJIAN

Matlamat kajian ini adalah untuk mengkaji Sistem Pusaka Adat di daerah Rembau dan mengkaji kes-kes yang pernah berlaku di daerah Rembau dalam hal yang berkaitan dengan pusaka adat yang berbentuk tanah dan membuat penilaian sejauh mana Undang-Undang Adat Perpatih yang digunapakai dalam hal yang berkaitan dengan harta pusaka   bertentangan dengan hukum Syarak.


1.4  OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian ini ialah untuk:

i ) Menjelaskan Sistem Pusaka Adat yang diamalkan oleh masyarakat di daerah Rembau.

ii ) Meneliti setiap ruang lingkup yang berkaitan dengan sistem pentadbiran tanah adat dengan meneliti kes-kes yang berlaku dalam masyarakat di daerah Rembau dan cara pambahagian pusaka menurut Adat Perpatih.

 iii ) Menjelaskan sejauhmana undang-undang Adat Perpatih bertentangan dengan hukum Syarak dalam hal pusaka atau sebaliknya.

1.5  SKOP KAJIAN

Dalam kajian ini, penyelidik akan menumpukan kepada aspek- aspek berikut:

a)      Bidang kajian

Skop bidang kajian ini ialah meliputi bentuk pengamalan sistem pusaka adat yang dilaksanakan oleh masyarakat di daerah Rembau dan kes-kes pusaka adat dalam rekod simpanan Pejabat Tanah Daerah Rembau di antara kes pada tahun 2001 sehingga tahun 2007. Kajian turut meliputi antara Hukum Adat dan Hukum Syarak dan sejauhmana Hukum Adat yang diamalkan bertentangan dengan Hukum Syarak yang telah digariskan oleh Islam.

b)      Tempat kajian

Pengkaji akan membuat kajian sistem pusaka adat yang diamalkan di Negeri Sembilan khususnya yang diamalkan oleh masyarakat di daerah Rembau.


BAB II



SEJARAH PERUNDANGAN DAN LATAR BELAKANG ADAT PERPATIH





2.1 PENGENALAN


Dalam bahagian ini, apa yang ingin ditekankan ialah latar belakang dan sejarah Adat Perpatih di Negeri Sembilan khususnya. Apa yang lebih difokuskan juga ialah bagaimana keadaan masyarakat yang mengamalkan sistem Adat Perpatih itu dan khususnya di Daerah Rembau dan di Negeri Sembilan amnya. Jika diteliti dari aspek kemasyarakatannya, kita boleh lihat akan perbezaan yang ketara dari negeri-negeri lain di Malaysia dan ia juga mempunyai keunikan yang tersendiri dalam tampuk pentadbiran adat yang dijalankan di negeri ini. Selain dari itu, apa yang ditekankan dalam bahagian ini juga ialah kategori adat dan perbezaan di antara Adat Perpatih dengan Adat Temenggung.

            Negeri Sembilan adalah sebuah negeri yang sudah sinonim dengan sistem Adat Perpatihnya yang dipercayai berasal dari masyarakat Minangkabau. Jika diteliti dari segi penghidupan masyarakat di Negeri Sembilan ini, hampir keseluruhannya mengamalkan sistem yang berdasarkan kepada Adat Perpatih kecuali penduduk yang berasal dari negeri lain dan telah menetap di Negeri Sembilan. Mereka juga telah sinonim dengan perbilangan adat iaitu “Biar Mati Anak Jangan Mati Adat”. Pada dasarnya Adat Perpatih di Negeri Sembilan adalah dua pegangan utama, iaitu yang menekankan kepada konsep kekeluargaan atau kekerabatan dan urusan tanah. Dari itu, Negeri Sembilan memang terkenal sebagai sebuah Negeri Melayu yang berbeza dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu kerana sebilangan besar penduduknya mengamalkan gaya hidup dan masyarakat secara pentadbiran Adat
Perpatih.[1] Hal ini termasuklah dalam pentadbiran tanah adat yang terdapat di seluruh kawasan Negeri Sembilan.

            Jika diteliti dari interprestasi adat yang sebenar ialah menurut Kamus Dewan, adat ialah satu peraturan yang sudah diamalkan turun temurun (sejak dahulu kala) di dalam sesuatu masyarakat (sehingga merupakan hukum) dan peraturan yang harus dipatuhi.[2]

2.2 ASAL USUL SERTA KEMASUKANNYA KE TANAH MELAYU (NEGERI SEMBILAN) DAN PENGAPLIKASIANNYA

Biarpun adat (custom) diakui sebagai satu perkataan yang universal tetapi pelbagai maksud telah diberikan berhubung dengan pengertiannya. Boleh dikatakan tidak terdapat satu pendapat yang konkrit atau tepat mengenai definisi adat. Tetapi tidak dinafikan bahawa asas dan dasar adat tersebut tidak lari biarpun kepelbagaian pendapat tersebut, iaitu ia dibentuk untuk memelihara struktur sesuatu masyarakat.

            Secara etimologinya, adat berasal dari bahasa Arab bermaksud kebiasaan, atau amalan yang lazim dan merupakan kebiasaan, atau amalan yang lazim dan merupakan perkara yang diketahui umum oleh manusia.

Antara lain, ia dikatakan sebagai peraturan yang lazim dipakai sejak dahulu kala yang sudah menjadi kebiasaan atau resam. Manakala masyarakat Minangkabau memberi pendapat mereka dengan menyentuh dasar adat tersebut, sebagai cara pergaulan antara masyarakat dengan individu serta pergaulan antara individu sesama mereka.

Pendapat masyarakat Minangkabau terhadap adat ini tidak lari daripada pandangan masyarakat Malaysia itu sendiri. Justeru itu harus difahami istilah adat mengikut penggunaannya di kalangan masyarakat Melayu Malaysia.[3]

Ini disokong dengan pandangan Hj Mohd Din bin Ali dengan pengertian yang lebih meluas lagi :-

“ Istilah adat Melayu kerap kali mengelirukan atau disalahfahamkan, semata-mata bererti kelaziman, kebiasaan dan tradisi orang Melayu. Ini sebahagian besarnya tidak benar. Adat ialah institusi dalam mana undang-undang dan kebiasaan mengatur sosial, politik dan corak perlembagaan bagi pemerintahan hari ini. Undang-undang ini melahirkan pepatah-pepatah yang sangat lama dan bernilai”.

Dari segi perundangan Islam, uruf dan adat mempunyai pengertian yang sama tetapi penggunaannya berbeza dari satu kawasan ke kawasan yang lain. Perbezaan yang jelas ialah, adat diikuti tanpa apa-apa alasan, manakala uruf adalah diisytihar melalui alasan-alasan tertentu.

            Di Malaysia, terdapat dua sistem pentadbiran adat yang telah diterima umum oleh masyarakat Melayu iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung.

            Adat Perpatih adalah undang-undang Perdana Menteri, berasal dari Minangkabau, manakala Adat Temenggung dipanggil sebagai undang-undang peperangan dan polis yang berasal dari Palembang dan mengandungi setengah-setengah sistem Hindu. [4]

            Kedua-dua adat ini dipercayai timbul melalui lagenda dan pengasasnya iaitu Pepatih Nan Sebatang dan Kei Tamanggunan. Mengikut sejarah, mereka memerintah di kawasan tanah tinggi sementara Tamanggunan di kawasan pantai dan mereka merupakan adik beradik tiri. Tidak diketahui pula kenapa kedua-dua mereka mengamalkan sistem nisab yang berlainan iaitu Parapateh mengikut nisab ibu manakala Tamanggunan mengikut nisab bapa. Tetapi, ia mungkin disebabkan oleh lagenda yang berikut. Parapateh pada usia mudanya telah mengembara jauh. Pada masa kepulangannya, dia telah mengahwini Purti Zamillan tanpa mengetahui Putri tersebut adalah adik tirinya. Selepas mengetahui mereka ada hubungan darah, Parapateh dan Tamanggunan yang terkejut dengan berita tersebut telah membahagikan Minangkabau kepada dua kumpulan iaitu Koto-Piliang dan Bodir Chaniago dan membuat peraturan bahawa mereka daripada kumpulan yang sama tidak boleh berkahwin sesama mereka. [5]

            Sejarah juga menyatakan  bahawa terdapat kemungkinan yang peraturan mengikut nisab ibu diperkenalkan oleh orang-orang India Selatan yang datang ke Minangkabau. Ini disebabkan orang-orang India Selatan juga mengamalkan yang sedemikian.

            Di Malaysia, amalan Adat Perpatih dapat dilihat di kalangan masyarakat Melayu di Negeri Sembilan dan daerah Naning di Melaka dan telah menjadi amalan oleh dua belas suku di Negeri Sembilan.[6] Manakala masyarakat Melayu lain di Semenanjung Malaysia mengamalkan Adat Temenggung dan Adat 99 Perak.

            Sungguhpun dikatakan Adat Perpatih mula-mula sampai pada abad ke tujuh belas tapi hanya pada tahun 1773 barulah benar-benar tertubuhnya kehidupan bersuku, setelah Raja Melewar, kerabat diRaja Minangkabau dilantik secara rasmi sebagai Raja Pepateh yang mula-mula di Negeri Sembilan. Sejak itu sehingga kini, Adat Perpatih telah menjadi teguh dan berkuatkuasa di kalangan masyarakat Melayu di Negeri Sembilan.

Sungguhpun Adat Perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan berasal daripada Minangkabau tetapi sesuatu yang terpakai di kedua-dua tempat agak berbeza. Ini disebabkan oleh penubuhan dan penyesuaian kepada persekitaran yang baru. Tetapi tidak keterlaluan untuk menyatakan sistem Adat Perpatih merupakan variasi daripada yang diamalkan di Minangkabau dan bukan `duplicate` daripadanya.[7] 

2.3  SEJARAH ADAT PERPATIH DI REMBAU

Serba sedikit tentang sejarah mengenai penduduk asal dan kedatangan orang-orang dari Minangkabau. Umpama kata “Gagak turun dari bukit”, ia menunjukkan penduduk Rembau yang asli dan orang yang mula-mula datang dari Minangkabau yang diakui sah yang diberi kuasa pendudukan dan kepercayaan diumpamakan mereka “Bangau putih dari Laut”.[8] Mengikut pendapat Newbold, orang-orang Minangkabau masuk ke Rembau yang mula-mula sekali ialah dalam tahun 1338 Masihi, iaitu bersamaan dengan tahun 773 hijrah katanya.

            Riwayat yang terkenal ialah “Teromba yang ke tiga” iaitu Batin Sekudi yang datang menduduki Rembau, mempunyai tiga orang anak perempuan iaitu :


Tok Mudek                 - Beliau telah menjadi nenek moyang kepada
                                                               Kelana Putra dari Waris Sungai Ujong.

                        Tok Mengkudu           - Beliau telah berkahwin dengan Syed dan
         keturunannya telah menjadi Bendahara di Pahang.
                                                                                                           



                        Tok Bungkal               - Beliau pula telah berkahwin dengan Tok Lela
                                                              Balang iaitu seorang ketua Minangkabau dari
        suku   Paya Bidara dan keturunan inilah telah
        menjadi waris Lela Maharaja Rembau.[9]

            Adapun angkatan Minangkabau yang pertama masuk ke Rembau adalah dengan memudiki Sungai Rembau dan membuka dua daerah di sebelah baru, Tok Lela Balang dan orang-orang yang membuka `Kota`. Diikuti oleh saudaranya Tok Laut Dalam yang telah membuka `Padang Lekuk`. Manakala angkatan yang kedua pula dari Minangkabau datang ke Rembau dipimpin oleh empat orang ketua yang membuka daerah yang jauh ke darat seperti “Batu Hampar, Sungai Layang, Lubok Rusa dan Bintongan.[10]

            Secara kesimpulannya, Adat Perpatih ini kaya dengan peraturan budaya dan sejarahnya yang terbilang berasal dari Minangkabau serta prinsip adat Perpatih juga mempunyai empat perkara asas yang dirangkumkan dalam pepatah adat iaitu “Baik di pakai dek muafakat, buruk di buang dek rundingan”. Manakala empat perkara asas tersebut ialah `Adat nan sebenar adat`, Adat yang beradat`, `Adat yang diadatkan`, dan `Adat istiadat`.

2.4  ISTILAH PERPATIH

Istilah Perpatih adalah merupakan nama seorang yang menyusun satu peraturan hidup masyarakat sukubangsa Minangkabau di Negara Indonesia, khasnya di daerah Sumatera Tengah sekarang. [11]

            Siapakah orang yang terkenal dengan nama Perpatih itu? Di Minangkabau, menurut tambo terdapat dua orang adik-beradik yang seibu dari keluarga bangsawan, iaitu Sultan Paduka Basa (Besar) dengan gelaran : Datuk Katamanggungan dan Sikalokduni  dengan gelaran : Datuk Perpatih Nan Sebatang.

            Menurut pendapat umum, Datuk Katamanggungan sebagai Lareh (laras) Koto Piliang menyusun Adat Temenggung dan Datuk Perpatih nan Sebatang sebagai Lareh (laras) Budi Caniago menyusun Adat Perpatih di dalam Minangkabau.

            Pada dasarnya kedua-dua adat ini dapatlah dikatakan sama, hanya dalam menjalankan pemerintahan ianya berbeza , iaitu Adat Temenggung memakai faham otokratik : di mana seorang Raja berkuasa penuh, sedangkan Adat Perpatih memakai faham demokratik : kedaulatan adalah di tangan rakyat, iaitu rakyatlah yang memerintah secara musyawarah menerusi wakil-wakil yang dilantik oleh mereka.

            Dalam perkembangan lain bahawa, Adat Temenggung lebih banyak dipakai di daerah-daerah pesisir, sedangkan Adat Perpatih di daerah-daerah pedalaman. Dan ini nampak tegas dari kata-kata adat yang berbunyi seperti berikut :

                        “Ka dare` adait Datuik Perpatih nan Sebatang,
                        Ka ayie adait Datuik Katamanggungan.”
                        ( Kedarat adat Datuk Perpatih nan Sebatang,               
                        Ke air adat Datuk Ketemenggungan).

            Dari keterangan ringkas di atas nyatalah bahawa Adat Perpatih yang asli dicipta di Minangkabau.

2.5  KONSEP AM ADAT PERPATIH

Adat Perpatih sebagaimana dengan adat-adat lain lazimnya tidak bertulis. Ia diturunkan dari satu keturunan kepada keturunan yang lain atau lebih tegas lagi dari generasi ke generasi. Jadi dalam Adat Perpatih daya ingatanlah yang memainkan peranan penting. 

Seterusnya Adat Perpatih itu dituangkan ke dalam kata-kata adat, pepatah dan petitih, sajak-sajak tradisi dan perbilangan adat. Bagi orang yang dapat memahaminya, kata-kata adat dan lain-lain itu tidak sahaja indah bunyi dan iramanya tetapi juga mengandungi erti kata yang dalam.

Konsep am Adat Perpatih meliputi seluruh bidang undang-undang, iaitu peraturan pelantikan Ketua-ketua Adat, peraturan perkahwinan dan perceraian, kedudukan suami dalam suku isterinya, susunan Masyarakat Hukum Adat, peraturan pembahagian harta benda, peraturan perwarisan, soal-soal tanah dan sebagainya.[12]

Beberapa konsep-konsep am yang penting dalam Adat Perpatih ialah:

2.5.1        Konsep Am Pemerintahan

Menurut Adat Perpatih pemerintahan pertama sekali terletak dalam tangan : mamak sebagai saudara lelaki yang tertua kepada ibu ; kemudian ketua perut : buapak ; ketua suku : Lembaga ; ketua Luak : Undang dan akhir sekali ketua Negeri : Yang DiPertuan Besar atau Yamtuan.

            Susunan dan pembahagian kuasa tersebut dinyatakan dalam kata-kata Adat seperti berikut :

                        Raja memerintah alam,
                        Undang memerintah luak,
                        Lembaga memerintah suku dan
                        Buapak memerintah anak buahnya.

            Buapak dipilih dan dilantik oleh mamak, Lembaga dipilih dan dilantik oleh buapak, Undang dipilih dan dilantik oleh Lembaga dan Yang DiPertuan Besar atau Yamtuan dipilih dan dilantik oleh Undang dari keluarga diraja. Jadi sistem pemerintahan menurut konsep am Adat Perpatih adalah sistem demokrasi dalam istilah moden sekarang.

2.5.2        Konsep Am Susunan Masyarakat

Konsep am Adat Perpatih yang berkenaan dengan susunan masyarakat adalah  bersendi pada sistem unilateral-matrilineal, iaitu setiap orang baik lelaki mahupun perempuan menarik garis keturunan hanya melalui orang perempuan sahaja, iaitu dari ibu kepada ibu sehingga semua penghubung dalam garis keturunan adalah semata-mata perempuan. Tegasnya, sistem Adat Perpatih mengutamakan keturunan kepada nisab sebelah ibu.

            Dengan dasar sistem unilateral-matrilineal ini maka timbullah clan yang mereka namakan suku sebagai teras pegangan di dalam konsep Adat Perpatih. Suku merupakan satu kesatuan, iaitu gabungan daripada beberapa perut yang masing-masing mengakui sama nenek moyangnya.

            Berdasarkan sejarah, maka terdapatlah duabelas (12) suku dalam Adat Perpatih, iaitu :

1.      Biduanda
2.      Batu Hampar
3.      Paya Kumbuh
4.      Mungkal
5.      Tiga Batu
6.      Tiga Nenek
7.      Tanah Datar
8.      Seri Melenggang
9.      Seri Lemak
10.  Batu Belang
11.  Anak Acheh
12.  Anak Melaka
Di antara kedua belas suku tersebut, suku Biduanda merupakan satu suku yang mempunyai kedudukan istimewa, kerana menurut anggapan penganut-penganut Adat Perpatih suku Biduanda adalah suku Pribumi yang sesungguhnya adalah orang asal di Negeri Sembilan dan suku-suku lain itu adalah semuanya orang mendatang.

Dengan demikian, maka anggota-anggota dari suku Biduanda inilah yang mempunyai hak mutlak untuk menjadi dan menyandang pusaka Undang Luak. Jadi sistem susunan masyarakat Adat Perpatih adalah sistem bersuku.[13]

2.5.3        Konsep Am Perkahwinan dan Perceraian

Dalam hal perkahwinan dan perceraian ini Adat Perpatih telah banyak dipengaruhi oleh Hukum Syarak, terutama yang mengenai nikah dan talak. Adat perpatih yang berteras kepada suku mempertahankan larangan perkahwinan dalam satu suku, di samping larangan perkahwinan menurut Hukum Syarak.

            Menjaga berlakunya peraturan eksogami demi untuk mempertahankan suku adalah tugas yang terpenting dari Kepala Masyarakat Hukum Adat Perpatih dan ini terbukti dari fakta bahawa konsep susunan suku dalam beberapa daerah di Negeri Sembilan sebahagian dari Melaka tetap bertahan sampailah dewasa ini, walaupun mereka telah memeluk agama Islam berabad-abad lamanya.

            Berkaitan dengan larangan kahwin sesuku ini, maka perkahwinan tidak hanya merupakan pertalian perseorangan tetapi juga pertalian kekeluargaan dan kesukuan. Demikian juga dengan masalah perceraian, selain berlakunya Hukum Syarak, juga berlaku Hukum Adat Perpatih yang mengaitkan masalah perceraian kepada kekeluargaan dan kesukuan.



2.5.4        Konsep Am Pewaris Harta

Menurut konsep am Adat Perpatih mengenai kewarisan, sistemnya adalah sistem kewarisan kolektif, iaitu setiap ahli waris tidak mempunyai hakmilik atas harta peninggalan atau harta pusaka, tetapi hanya mempunyai hak pakai.

Harta pusaka adalah milik suku[14] dan lazimnya terdiri daripada tanah-tanah kampung, sawah, dusun buah-buahan dan rumah yang diwarisi dari ibu yang letaknya di atas tanah pusaka.[15] Harta ini dikenal dengan nama harta pusaka benar.

            Di samping ini ada pula harta pusaka yang disebut : harta pusaka sendiri, iaitu harta warisan perempuan daripada emak/bapa, baik yang berupa pakaian atau barang-barang kemasan, yang dapat dibahagikan kepada anak lelaki dan anak perempuan menurut jenis barang-barang kemas dan lain-lain seumpamanya. Sesuai dengan sistem kekeluargaan yang unilaterial-matrilineral, maka yang berhak mewaris adalah setiap orang yang disusur-galurkan kepada perempuan sahaja.

2.5.5        Anak Angkat

Sungguhpun lembaga anak angkat tidak diakui oleh Hukum Syarak, tetapi menurut konsep am Adat Perpatih lembaga anak angkat yang mereka sebut dengan istilah : kedim atau ( kadim ) dibolehkan atau dibenarkan. Istilah `kedim` (kadim) bererti : saudara, sehingga upacara mengadimkan anak itu tiada lain daripada mengaku saudara kepada anak angkat yang diambil itu. Jadi melalui upacara mengadimkan anak, ianya boleh menjadi anggota kepada satu perut, walaupun ia tidak mempunyai hubungan darah sama sekali.

Menurut konsep am Adat Perpatih ada dua jenis lembaga anak angkat iaitu :

1.      Kadim adat dan pusaka
2.      Kadim adat pada lembaga
Yang dimaksudkan dengan `kadim adat dan pusaka` ialah mengambil seseorang sebagai anak angkat penuh.

Berkata E.N Taylor mengenai anak angkat penuh ini seperti berikut :[16]

“Full adoption means that the relationship constituted between the parties is in all respects equal to that between a natural mother and child”.

Orang yang diambil anak boleh seorang lelaki dan boleh juga seorang perempuan. Jika mengenai seorang perempuan, maka `kadim adat dan pusaka` memberi kepadanya semua hak dan warisan dan semua tanggungjawab kepunyaan anak-anak perempuan dan cucu-cucu perempuan ibu angkatnya.  Sedangkan seorang lelaki, jika diambil sebagai anak angkat penuh, ia boleh dipilih menjadi penghulu dalam suku ibu angkatnya.

Yang dimaksudkan dengan `kadim adat pada lembaga` ialah pengambilan anak angkat terbatas, iaitu seorang anak perempuan dari sukunya sendiri atau dari bahagian sukunya diambil sebagai anak angkat dan kepadanya diberi hak hanya atas harta yang ditetapkan dan telah diberikan kepadanya semasa hidup ibu angkatnya.[17]

Ditinjau dari sudut masyarakat yang bersuku, maka sesuailah bahawa menurut konsep am Adat Perpatih hanya seorang perempuan sahaja (si isteri) yang boleh mengambil anak angkat dan si suami sebenarnya tidak dibolehkan. Seterusnya, menurut konsep am Adat Perpatih pengambilan anak angkat itu boleh dilakukan dalam lingkungan seperut atau berlainan perut tetapi masih dalam satu suku atau di luar suku sama sekali.

Oleh itu, dalam hal yang terakhir ini, maka kelamin (suami-isteri) terlebih dahulu hendaklah mendapatkan persetujuan dan kebenaran suku si isteri. Jika suku si isteri telah mengizinkan, barulah disusul dengan perundingan antara lembaga, iaitu lembaga suku si isteri dan lembaga suku dari anak yang bakal diangkat itu. Selepas kedua belah pihak bersetuju, maka barulah anak angkat itu boleh diterima dan pengambilannya akan disahkan oleh suku yang menerimanya dengan suatu upacara adat iaitu yang disebut : istiadat Berkedim atau istiadat Mengedimkan Budak.[18]

2.6  KATEGORI ADAT

Perjalanan Adat Perpatih adalah didasarkan kepada petua :

                        Baik dipakai dek muafakat,
                        Buruk dibuang dek rundingan.

Sebagai keseluruhan adat ini dapat dikategorikan kepada empat jenis, yakni : adat nan sebenar adat, adat yang teradat, adat yang diadatkan dan adat istiadat. Keempat kategori ini adalah teras dasar dan prinsip sistem dan organisasi adat, sama ada sosial, ekonomi, politik ataupun budaya.[19]

2.6.1        Adat Nan Sebenar Adat

Kalau diibaratkan di zaman moden ini, `adat nan sebenar adat` itu ialah, undang-undang yang telah diwartakan atau digazetkan. Semuanya telah dibincang oleh pembesar-pembesar adat serta anak buah masing-masing sebelum dipakai. `Balai Rongseri` tempat mereka membincangkan masalah adat ini samalah dengan Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri sekarang, cuma bentuk dan caranya saja yang berlainan dan berbeza.[20]




2.6.2        Adat Yang Teradat dan Adat Yang Diadatkan

`Adat yang teradat` dan `adat yang diadatkan`, meskipun ada sedikit perbezaan, tetapi ia dapat dikatakan sama maksud, makna dan sifatnya. `Adat yang diadatkan` bererti adat yang telah menjadi pegangan dan warisan dari nenek moyang, misalnya adat-adat yang berunsurkan kehinduan masih terdapat di kebanyakan kampong dan desa yang masih diamalkan oleh orang-orang kita.

            Adat melenggang perut, mencukur anak yang menggunakan pucuk dan buah nyiur muda, mayang pinang dan seumpamanya dapat disaksikan dalam upacara dan adat ini. Begitu juga adat bersanding dalam perkahwinan sudah menjadi darah daging mereka. Upacara seperti bersemah, tepung tawar, semua ini terlingkung dalam `adat yang diadatkan` dan `adat yang teradat`.

2.6.3        Adat Istiadat

Adat istiadat adalah menurut keputusan dan resam yang selalunya dipakai dalam perkara yang berhubung dengan adat istiadat seumpama nikah kahwin, adat di istana, mengadap raja dan yang merangkumi dalam seni budaya.[21]

2.6.4        Sistem Adat Istiadat

Secara ringkasnya, sistem ialah peraturan yang diamalkan secara berterusan dan adat pula adalah kebiasaan dan peraturan yang dianuti oleh masyarakat. Peraturan ini termasuk juga hukuman-hukuman yang diwujudkan melalui sistem-sistem yang terdapat dalam masyarakat yang diciptakan mengikut keperluan serta prinsip budi dan muafakat. Ia bertujuan membendung segala perlakuan dan tindak tanduk ahli-ahli masyarakat disamping memupuk nilai-nilai kemanusiaan anggota-anggotanya agar ahli masyarakat masyarakat itu menjadi harmoni dan stabil.

Dalam konteks Adat Perpatih, peraturan dan sistem yang diamalkan adalah menitikberatkan nilai-nilai yang disebutkan tadi. Keseluruhan prinsip hidup sistem adat ini nampaknya wujud dan tercipta dalam bentuk kata-kata pusaka yang dinamakan perbilangan adat [22]. Ia merangkumi aspek kehidupan itu sendiri, dari segi sosial, ekonomi, politik dan sebagainya. Ia merupakan pepatah pepitih yang dilakukan oleh orang-orang tua dahulu kala berdasarkan pemerhatian, pengamatan dan penghayatan mereka terhadap alam.

            Alam diilhamkan sebagai guru dalam bentuk pantun : -

                        Penakik pisau seraut,
                             ambil galah batang lintabung,
                                   seludang ambil ke nyiru,

                        Yang setitik jadikan laut,
                             Yang sekepal jadikan gunung,
                                    Alam terkembang jadikan guru.

Berdasarkan ungkapan di atas, terdapat 4 jenis adat seperti yang telah dinyatakan sebelum ini iaitu adat yang sebenar-benat adat, adat yang diadatkan, adat yang teradat dan adat istiadat.

Sistem Adat Perpatih diklasifikasikan kepada 6 sistem utama iaitu sistem nilai, kekeluargaan, politik, ekonomi, hukum adat dan perlapisan. Setiap sistem mengandungi beberapa `sub sistem` misalnya sistem nilai itu merangkumi nilai terhadap adat itu sendiri, nilai tentang budi, nilai tentang kaum perempuan, nilai tentang individu, nilai tentang hidup bermasyarakat, nilai tentang ekonomi, nilai kepimpinan dan nilai tentang agama.
Segala yang dinyatakan menjadi asas kehidupan masyarakat secara total. Keseluruhan sistem sekaligus adalah juga sebagai peraturan atau undang-undang masyarakat yang mesti difahami dan dihayati sepenuhnya. [23]

2.7  KONSEP HARTA MENURUT ADAT PERPATIH

Harta dalam adat Perpatih terbahagi kepada 2 jenis harta iaitu harta pusaka (yang diwariskan) dan harta titik peluh (harta  carian). Dan pada kebiasannya, harta yang sering diperkatakan di dalam Adat Perpatih melibatkan harta tanah dan perbincangan selalunya dikaitkan dengan harta pusaka.

            Secara umumnya harta pusaka terbahagi kepada 2 jenis:-

( 1 ) Harta Pusaka Benar. Iaitu harta kepunyaan suku dan terdiri dari tanah-tanah kampung, sawah, dusun buah-buahan dan rumah yang diwarisi dari ibu yang letaknya di atas tanah pusaka. Harta ini adalah kepunyaan waris dalam pengertian ahli suku.[24]
Seterusnya, dibolehkan juga seseorang menjual harta atau menggadaikannya dengan alasan-alasan yang konkrit (yang betul-betul mendesak) tetapi dihadkan kepada orang-orang di dalam perut dan sukunya sahaja. [25]

( 2 ) Harta Pusaka Sendiri. Iaitu segala jenis harta yang diwarisi oleh anak daripada tuanya seperti barang-barang kemas.

            Juga di bawah Adat Perpatih, harta semasa perkahwinan terbahagi kepada 3 :-

  1. Harta Carian, iaitu yang diperolehi semasa perkahwinan.
  2. Harta Pembawa, iaitu yang dibawa oleh suami semasa perkahwinan.
  3. Harta Dapatan, iaitu yang dipunyai oleh isteri semasa perkahwinan.
Apabila berlaku perceraian antara suami isteri, harta carian dibahagi sama rata, harta pembawa kekal pada suami dan harta dapatan kekal pada isteri.

Secara umumnya, ada beberapa jenis undang-undang yang mengawal Tanah Adat Perpatih. Antaranya ialah :-

( 1 ) Enakmen Pegangan Adat ( The Customary Tenure Enactment ) 1909 yang dipinda sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1926 dan 1930. Dengan wujudnya Enakmen ini, maka pegawai-pegawai kerajaan ( Pemungut Hasil Tanah Pusaka ) di Pejabat Daerah di beri kuasa untuk mengawal tanah adat pada masa pemindahan dan penjualan iaitu hendaklah mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan dalam Undang-Undang Adat. Enakmen ini mengiktiraf 2 jenis harta iaitu Tanah Pusaka Adat dan Harta Carian.

( 2 ) Kanun Tanah Negara 1965. Tanah-tanah adat dilindungi di bawah Kawalan Peraturan Pusaka kecil dan Kanun 1965 ini, khususnya berhubung dengan hak milik (pemilikan) tanah Naning sebagai Tanah Mukim. Walaupun peraturan Pusaka Kecil menyediakan apa-apa peraturan khas berhubung Tanah Adat Naning, tapi melalui Akta Pindaan Kanun Tanah Negara ( Hakmilik Pulau Pinang dan Melaka ) 1965, secara jelas memperuntukkan bahawa Adat Perpatih dan Adat Naning hendaklah dilindungi.[26]
           
            Di negeri-negeri yang mengamalkan Adat Temenggung, sistem pegangan adat Melayu meletakkan Raja sebagai mempunyai hak ke atas tanah, manakala pengusaha tanah hanya mempunyai hak pemunyaan sahaja dan membayar cukai iaitu persepuluh kepada Raja.

            Undang- undang yang mengawalnya terdiri daripada Enakmen Tanah Adat dan Enakmen Rizab Melayu. Enakmen Rizab Melayu menghadkan segala urusniaga mengenai tanah tersebut dibolehkan hanya kepada orang Melayu. Namun demikian, orang bukan Melayu dapat membeli tanah tersebut dengan adanya persetujuan Majlis Raja-Raja.

2.8  PERBEZAAN DI ANTARA ADAT TEMENGGUNG DAN ADAT PERPATIH

2.8.1        Cara pemerintahan

Cara pemerintahan Adat Temenggung ialah : aristokrasi. Ketua Negeri sebagai RAJA berhak memgambil keputusan terakhir.

            Sedangkan cara pemerintahan Adat Perpatih adalah : demokrasi. Pemerintahan pertama sekali terletak dalam tangan mamak (saudara lelaki yang tertua dari ibu); kemudian Ketua Perut (buapak), kemudian Ketua suku (lembaga), kemudian Ketua luak (undang) dan akhir sekali Ketua negeri (Yang Dipertuan Besar atau Yamtuan).
Buapak dipilih dan dilantik oleh Mamak, Lembaga dipilih dan dilantik oleh Buapak, Undang dipilih dan dilantik oleh Lembaga dan Yamtuan dipilih dan dilantik oleh Undang dari keluarga diraja.

Dasar demokrasi ini di dalam peribahasa Adat Perpatih dinyatakan seperti berikut:

                        Raja menobat di dalam Alam,
                        Penghulu menobat di dalam Luak,
                        Lembaga menobat di dalam lingkungannya,
                        Ibu bapa menobat pada anak buahnya,
                        Orang banyak menobat di dalam terataknya.

            Pendek kata, setiap yang hendak dibuat dirundingkan dan dimuafakatkan bersama dengan Ketua tiap-tiap suku dan kebulatan katalah yang memberi kata akhir, sesuai dengan kata-kata Adat Perpatih.


                        Bulat air kerana pemetung,
                        Bulat kata kerana muafakat.

            Dengan cara pemerintahan demikian, nyatalah bahawa Adat Perpatih menganut sistem demokrasi, iaitu kedaulatan adalah di tangan rakyat.[27]

2.8.2        Cara garis keturunan

Adat Temenggung menarik garis keturunan secara unilateral patrilineal : keturunan disusur-galurkan kepada satu pihak sahaja iaitu pihak bapa. Sedangkan Adat Perpatih menarik garis keturunan secara unilateral matrilineal : keturunan disusur-galurkan kepada juga satu pihak tetapi penyusur-galuran menurut ibu.

2.8.3        Hukumnya yang keras

Adat Temenggung dalam undang-undang jenayah mengandungi prinsip : pembalasan (retribution), iaitu prinsip yang terkenal dalam bahasa Inggeris dengan kata-kata: Tooth for a tooth, eye for an eye principle. Asas hukuman yang keras ini di Minangkabau didasarkan kepada peribahasa :

                        Salah cotok bakudung parua,
                        Salah lulua babalah parui.

Menurut Adat Temenggung orang yang bersalah diumpamakan seekor burung, yang mana kalau mencotok sesuatu yang bukan haknya, maka paruhnya dipotong dan kalau barang itu telah sampai ke dalam perutnya, maka perutnya dibedah untuk mengambil kembali apa yang telah ditelan.[28]



Jadi konsep keadilan dalam Adat Temenggung ialah :

            Siapa menjala siapa terjun,
            Siapa berhutang siapa berbayar,
            Siapa membunuh siapa kena bunuh.

            Sedangkan Adat Perpatih menghukum kesalahan yang sama tersebut tidak sebegitu keras, iaitu cukup apa yang terlanjur dimasukkan ke dalam mulut si burung dikeluarkan kembali atau jika barang itu telah sampai ke dalam perut dimuntahkan kembali, jadi tidak dipergunakan pisau pemotong atau tidak diperlukan pembedahan.

            Inilah yang dimaksudkan dengan peribahasa :

                        Salah cotok belantingkan,
                        Salah lulua meludahkan.

Jadi konsep keadilan dalam Adat Perpatih tidak didasarkan kepada pembalasan tetapi didasarkan kepada pemulihan (restitution). Iaitu orang yang bersalah tidak perlu dijatuhkan hukuman yang keras ; bahkan apabila seorang mangsa mati, diusahakan penggantian si mati dengan memaksa suku yang membunuhnya supaya menyuruh seorang dari kalangannya mengambil tempat orang yang mati itu, atau membayar wang ganti rugi.[29]

           






2.9  KESIMPULAN

Dari penerangan di atas nyatalah bahawa Negeri Sembilan merupakan negeri Melayu yang berbeza dengan negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu kerana sebilangan besar penduduknya mengamalkan Adat Perpatih. Daerah Rembau adalah salah sebuah daerah yang terkuat mengamalkan sistem Adat Perpatih selain dari daerah Kuala Pilah dan daerah-daerah lain. Hukum Adat Perpatih boleh didapati dalam kata-kata adat, pepatih, petitih, sajak-sajak tradisi dan perbilangan adat. Adat ini meliputi seluruh bidang undang-undang seperti pelantikan ketua-ketua adat, peraturan perkahwinan dan perceraian, kedudukan suami dalam suku isterinya, susunan masyarakat hukum adat, peraturan pembahagian harta benda, peraturan pewarisan, soal-soal tanah dan sebagainya.

            Menurut Adat Perpatih, harta pusaka terbahagi kepada dua jenis iaitu harta pusaka benar dan harta pusaka sendiri. Semua harta pusaka benar diturunkan kepada anak-anak perempuan sahaja. Pemilik-pemilik perempuan adalah pemegang amanah yang tertentu, iaitu berhak mengusahakan, mengambil faedah daripadanya dan tempat saudara lelaki berlindung semasa bujang atau bercerai. Manakala harta pusaka sendiri adalah segala jenis harta benda yang diwarisi oleh anak daripada orang tuanya. Menurut konsep am Adat Perpatih mengenai pewarisan, sistemnya adalah sistem pewarisan kolektif  iaitu setiap ahli waris tidak mempunyai hakmilik atas harta peninggalan atau harta pusaka tetapi hanya mempunyai hak pakai. 

            Secara kesimpulannya, Adat Perpatih memang merupakan satu perkara yang sinonim dengan nisab ibunya. Dari segi sejarahnya, tanah juga dikaitkan dengan peraturan nisab ibunya dalam memiliki sebahagian tanah adat di Negeri Sembilan dan khususnya yang di pegang oleh masyarakat di daerah Rembau. Nyatalah di sini bahawa sistem masyarakat Adat Perpatih adalah sistem yang dinamik dan kaya dengan peraturan budaya dan sejarahnya yang terbilang berasal dari Minangkabau serta prinsip Adat Perpatih juga mempunyai empat perkara yang dirangkumkan dalam pepatah adat iaitu Baik di pakai dek muafakat, buruk di buang dek rundingan”. Manakala empat perkara asas tersebut ialah `Adat nan sebenar adat`, Adat yang beradat`, `Adat yang diadatkan`, dan `Adat istiadat`.


[1] Prof. Khoo Kay Kim, Adat dan Perkembangan Politik : Pembangunan masyarakat Negeri Sembilan, Malindo Printers, Selangor Darul Ehsan, 1994, hlm.3.

[2] Kamus Dewan (Edisi Ketiga), 1996, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm.7
[3] Mohd Sallehuddin Maaruf, Sistem Warisan Pusaka : Perbandingan antara Undang-Undang Islam dan Undang-Undang Adat Perpatih, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia, 1990, hlm. 8-10.

[4] Abdul Samad Idris,  Negeri Sembilan dan Sejarahnya. Kuala Lumpur, Universiti Malaya, 1968, hlm. 10-11.

[5] Ini merupakan sala satu cirri Adat Perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan, di mana perkahwinan sesame suku adalah dilarang ketat.

[6] Dua belas suku tersebut terdiri daripada Biduanda, Batu Hampar, Seri Melenggeng, Tanah Datar, Mungkal, Seri Lemak, Tiga Batu, Tiga Nenek,Paiah Kumbuh, Anak Melaka,Anak Acheh dan Batu Belang.

[7] Mohd Sallehuddin Maaruf, Sistem Warisan Pusaka : Perbandingan antara Undang-Undang Islam dan Undang-Undang Adat Perpatih, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia, 1990, hlm. 11-12.

[8] Abbas bin. Haji Ali. REMBAU :Sesebuah Daripada Luak Yang Sembilan, Jabatan Undang Dan Perlembagaan adat dan Istiadat Melayu, Rembau, 1953. hlm. 1.

[9]  Abbas bin. Haji Ali. REMBAU :Sesebuah Daripada Luak Yang Sembilan, Jabatan Undang Dan Perlembagaan adat dan Istiadat Melayu, Rembau, 1953. hlm. 4.

[10] Abdul Samad Idris, Hubungan Minangkabau dengan Negeri Sembilan dari segi Sejarahnya dan Kebudayaan. Negeri Sembilan, Pustaka Asas Negeri, 1970. hlm. 4.

[11]  Dr.Abdullah Siddik, Pengantar Undang-undang Adat di Malaysia, Universiti Malaya Kuala Lumpur, 1975. hlm. 111
[12]  Dr.Abdullah Siddik, Pengantar Undang-undang Adat di Malaysia, Universiti Malaya Kuala Lumpur, 1975. hlm. 114.


[13]  Dr.Abdullah Siddik, Pengantar Undang-undang Adat di Malaysia, Universiti Malaya Kuala Lumpur, 1975. hlm. 114-115.



[14]  E.N Taylor, “Customary Law of Rembau” JMBRAS Vol. VII, Pt.1, 1929. hlm. 31.

[15] Ahmad Ibrahim, “Islam Customary Law/Malaysia” Intisari Vol VII, Pt. 1, 1929. hlm. 31.
[16]  E.N Taylor, `Customary Law of Rembau,` JMBRAS Vol.VII, Pt. 1, 1929. hlm. 40.

[17]  Ibid. hlm. 61.
[18]  Dr.Abdullah Siddik, Pengantar Undang-undang Adat di Malaysia, Universiti Malaya Kuala Lumpur, 1975. hlm. 118.

[19] En.Norhalim Hj. Ibrahim, Sistem Adat Perpatih Di Negeri Sembilan, 1994, hlm. 3.

[20] Tan Sri Abdul Samad Idris, Adat Perpatih Nilai Dan Falsafahnya “Biar Mati Anak Jangan Mati Adat”, 1994, hlm. 17.

[21]  Tan Sri Abdul Samad Idris, Adat Perpatih Nilai Dan Falsafahnya “Biar Mati Anak Jangan Mati Adat”, 1994, hlm. 20.

               
[22] Perbilangan adat ialah sinis bentuk ucap fikiran yang mengandungi makna kiasan terhadap masyarakat. Yang disentuh oleh perbilangan itu ialah undang-undang pajakan, pertunangan, tanggungjawab, pembahagian tugas, umum dan mungkin juga falsafah masyarakat. Ia adalah hasil daripada pengalaman dan renungan yang berlatarbelakangkan kepada masalah hidup seharian berasaskan kepada kebudayaan masyarakatnya. Ia dijadikan ukuran ketinggian dan kemajuan pemikiran masyarakat itu. Faedahnya amat besar, lebih-lebih lagi dari sudut kebudayaan dan identiti masyarakat itu. 
[23] Mohd Sallehuddin Maaruf, Sistem Warisan Pusaka : Perbandingan antara Undang-Undang Islam dan Undang-Undang Adat Perpatih, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia, 1990, hlm. 16.

[24] Mohd Ridzuan Awang, Konsep Undang-Undang Tanah Islam, Pendekatan Perbandingan, op cit., hlm.114.

[25] Dr. Abdullah Siddik, Pengantar Undang-Undang Adat di Malaysia,Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1975, hlm. 158.
[26] Seksyen 99, Akta Pindaan Kanun Tanah Negara (Hak milik Pulau Pinang dan Melaka) 1965.
[27] Dr.Abdullah Siddik, Pengantar Undang-undang Adat di Malaysia, Universiti Malaya Kuala Lumpur, 1975. hlm. 110.

[28]  M.A. Hanafiah, Tinjauan Adat Minangkabau, 1970. hal. 31.
[29]  Dr.Abdullah Siddik, Pengantar Undang-undang Adat di Malaysia, Universiti Malaya Kuala Lumpur, 1975. hlm. 111.



BAB III



PERANAN DATO-DATO LEMBAGA DAN KES-KES DALAM PENTADBIRAN TANAH ADAT DI DAERAH REMBAU


3.1 PENGENALAN

Rembau adalah sebuah daerah yang dikatakan kuat memegang serta mengamalkan Adat Perpatih. Rata-rata masyarakatnya masih kuat memegang adat. Jelas menunjukkan pepatah “Biar mati anak, Jangan mati adat” masih kuat dihati masyarakat di daerah Rembau pada masa sekarang kerana masih lagi mengamalkan gaya cara hidup masyarakat Adat Perpatih masa dahulu. Tetapi ada sesetengah perkampungan yang tidak mengamalkannya kerana ramai generasi pertama yang sudah meninggal dunia dan bagi generasi seterusnya, rata-rata mereka adalah golongan muda yang berhijrah keluar dan lebih berminat pada perkembangan zaman dengan mencari kerja-kerja di dalam bidang perindustrian.

Dalam bahagian ini apa yang ingin dijelaskan pada peringkat permulaan ialah mengenai tanah adat di daerah Rembau pada hari ini, wilayah tanah adat di Negeri Sembilan dan wilayah adat di luak Rembau. Di samping itu, apa yang ingin ditekankan ialah peranan Dato` Lembaga dalam mentadbir bahagian hal-hal yang berkaitan dengan tanah adat. Setiap kes yang berlaku dalam hal-hal yang berkaitan dengan pentadbiran tanah adat serta perbicaraan akan dilaksanakan oleh ketua bahagian Pejabat Tanah Daerah Rembau dengan dihadiri oleh Lembaga pada suku-suku yang terlibat, serta orang perseorangan yang berkenaan sahaja.

Fokus utama perbincangan dalam bahagian ini ialah kes-kes yang berlaku mengenai tuntutan tanah adat yang dibuat oleh masyarakat di daerah Rembau. Beberapa contoh kes akan dikupas berdasarkan sumber-sumber dan fakta-fakta yang diperolehi dari Pejabat Tanah di Daerah Rembau. Setiap kes yang berlaku dalam hal-hal yang berkaitan dengan tanah adat, perbicaraannya akan dilaksanakan atau dirujuk oleh Penolong Pentadbir Pejabat Tanah di daerah Rembau dengan dihadiri oleh
Lembaga pada suku-suku yang terlibat serta orang perseorangan yang berkenaan sahaja bagi menyelesaikan kes tersebut.

3.2 TANAH ADAT HARI INI

Tanah Adat bermaksud juga, mana-mana tanah di bawah hakmilik Pejabat Tanah yang telah didaftarkan atau cop perkataan ` Customary Land` di atas geran tanah berkenaan.[30] Selain daripada itu perkataan tanah adat (Customary Land) kadang-kadang ditambah dengan perkataan-perkataan seperti Dato` Raja Muda, Dato` Paduka Besar, Dato` Besar dan sebagainya.perkataan ini adalah menjelaskan gelaran-gelaran Dato` Lembaga atau Ketua Adat yang menjadi Ketua Suku (tribes) kepada pemilik tanah-tanah berkenaan.

            Ada juga ditambah dengan perkataan-perkataan “Tiga Batu Nisan Tinggi, Mungkal Kemus, Biduanda Kebangsa” dan sebagainya selepas perkataan ` Customary Land` tadi. Perkataan-perkataan ini adalah menjelaskan nama Suku `tribes` dan Perut `subtribes` kepada pemilik tanah-tanah itu. Manakala di bawah Kanun Tanah Negara 1965, geran Pejabat Tanah yang ada pada asalnya dikenali sebagai Extract From The Mukim Register (EMR) di bawah undang-undang tanah dahulu ditukar kepada Geran Mukim dan sekiranya tanah itu ` Customary Land` maka ruangan `Sekatan-sekatan Kepentingan` dalam geran tanah itu akan dicatit perkataan `Tanah Pusaka, Tanah Pusaka Adat atau Tanah Adat`.[31]

Setelah tanah adat mempunyai peraturan-peraturan yang ditetapkan maka tanah adat di seluruh kawasan Negeri Sembilan dikenalpasti untuk mewujudkan satu konsep yang fungsional. Banyak peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dalam memiliki tanah adat di Negeri Sembilan. Berikutan dengan penguatkuasaan undang-undang tanah tersebut, keluasan tanah adat semakin berkurangan. Tanah Adat di Negeri Sembilan hari ini hanya seluas lebih kurang 13,981.94 hektar atau 2.1 peratus daripada keluasan Negeri seperti mana yang terdapat dalam jadual 3.1

Jadual 3.1 Keluasan Daerah-Daerah di Negeri Sembilan

        Daerah
                          Keluasan (Hektar)

     Keseluruhan
  Rizab Melayu
  Tanah Adat
Rembau
41,418
31,866.07
5,131.72
Tampin
87,805
24,355.24
838.59
Jempol
138,569
15,949.32
687.87
Jelebu
136,756
45,730.60
39.23
Seremban
95,133


Port Dickson
55,663


Kuala Pilah
109,042
83,300.02
7,284.53

Sumber : Pejabat Tanah dan Galian Negeri Sembilan

            Boleh juga dikatakan hampir keseluruhan tanah adat adalah tanah pertanian.[32] Perubahan sosial yang pesat pada hari ini telah mengubah tanggapan masyarakat adat Negeri Sembilan terhadap pertanian. Mereka tidak lagi menganggap aktiviti pertanian sebagai punca utama pendapatan. Ramai anak muda yang berpendidikan tinggi tidak lagi berminat menyertai bidang pertanian kerana tidak menjaminkan pulangan yang lumayan berbanding dengan kerjaya di sektor-sektor lain terutamanya di sektor perindustrian. Akibatnya hampir seluruh tanah adat, terutamanya tanah sawah menjadi terbiar. Pada masa Negeri Sembilan mengalami pembangunan dan kemajuan pesat adalah satu merugikan jika tanah adat walaupun peratusnya kecil, terus terbiar. Didapati di daerah kajian ini dilakukan iaitu daerah Rembau banyak tanah adat terbiar akibat dari tidak diusahakan oleh pewarisnya. Tanah-tanah ini termasuklah tanah kampung, dusun serta tanah sawah.

Mukim-mukim yang telah dibahagikan sebagai tanah adat terdiri dari beberapa hektar tanah adat yang telah dikenalpasti oleh lihak Pejabat Tanah Daerah Rembau. Keseluruhannya didapati tanah adat yang terdapat di seluruh kawasan daerah Rembau semakin sempit dan ada di antaranya sudah terbiar dan ada yang telah dipajak untuk diusahakan. Keluasan tanah adat diseluruh mukin daerah Rembau dan jumlah hak miliknya seperti yang terdapat dalam jadual 3.2 di bawah.

                  Jadual 3.2 Keluasan Pesaka Tanah Adat di Daerah Rembau

            Bil
          Mukim
Jumlah Hak Milik
            Luas
              1.
Pekan Kota
             12
      2.9117 ha
              2.
Pekan Kg. Batu
             13
      1.9947 ha
              3.
Pekan Pedas
             10
 4.2285 ha
              4.
Batu Hampar
            682
   315.5315 ha
              5.
Bongek
            577
   284.2507 ha
              6.
Chembong
            940
   451.9820 ha
              7.
Chengkau
            671
   397.7129 ha
              8.
Gadong
            875
   494.5017 ha
              9.
Kundor
            337
   264.0158 ha
             10.
Legong Hulu
            315
   151.6768 ha
             11.
Miku
             74
     93.5725 ha
             12.
Nerasau
            708
   364.2603 ha
             13.
Pedas
            402
   313.9453 ha
             14.
Pilin
            197
   130.9892 ha
             15.
Selemak
           1284
   544.5624 ha
             16.
Semerbok
            268
   155.4757 ha
             17.
Sepri
            596
   356.8806 ha
             18.
Tanjung Kling
            890
   372.7046 ha
             19.
Titian Bintangor
            377
   295.2483 ha
             20.
Legong Hilir
            528
   292.6995 ha

Jumlah
           9756
 5269.0133 ha

Sumber : Pejabat Tanah Daerah Rembau

Dalam jadual 3.2, jelas menunjukkan keluasan tanah dalam mukim-mukim yang telah dikenalpasti menunjukkan bilangan pemilikan yang padat dan jumlah hakmilik yang menunjukkan bilangan yang paling ramai ialah di mukim Selemak sebanyak 1284 hakmilik. Dengan ini jelas membuktikan kawasan tanah adat di mukim ini menunjukkan kawasan tanah adat atau proses pemilikannya adalah sempit.

3.3 WILAYAH  TANAH ADAT DI NEGERI SEMBILAN

Negeri Sembilan mengikut pentadbiran daerah termasuk daerah kecil, ada lapan daerah kesemuanya iaitu Seremban, Port Dickson, Jelebu, Kuala Pilah, Jempol, Tampin, Rembau dan daerah Kecil Gemas.[33] Didapati setiap daerah di Negeri Sembilan terdapat banyak kawasan-kawasan yang dicatit sebagai tanah adat dan didaftarkan di bawah `Customary Land`. Di antaranya, jika mengikut perspektif adat ia terdiri dari tiga belas Wilayah Adat iaitu Luak Sungai Ujong, Wilayah Adat Dato` Muda Linggi, Luak Gunung Pasir, Luak Inas, Luak Jempol, Luak Terachi, Luak Johol, Wilayah Adat Tunku Besar Tampin, Luak Gemencheh dan Wilayah Adat Penghulu Pusaka Air Kuning. Wilayah-wilayah ini termasuklah di Luak Tanah Mengandung. Apa yang ingin difokuskan di sini ialah tanah adat di daerah Rembau, Negeri Sembilan. Keluasan serta wilayah-wilayah yang terdapat di Negeri Sembilan seperti yang terdapat dalam peta 3.1 dan kawasan kajian seperti dalam bulatan iaitu daerah Rembau. 





3.4 WILAYAH ADAT DI LUAK DAERAH REMBAU

Wilayah Adat Luak Rembau pula adalah sama dengan di seluruh kawasan daerah Rembau yang telah dikategorikan sebagai tanah adat. Mengikut pentadbiran daerah ia terdiri daripada 17 Mukim iaitu Titian Bintangor, Semerbok, Legong Hilir, Legong Hulu, Gadong, Kundur, Pilin, Nerasau, Chengkau, Tanjung Keling, Batu Hampar, Bongek, Selemak, Pedas, Miku, Chembong dan Sepri. Mengikut pentadbiran Luak ia terdiri dari dua jajahan iaitu Jajahan Baroh dan Jajahan Darat. Setiap jajahan ini memiliki kawasan tanah adat yang telah ditetapkan mengikut kawasan masing-masing. Boleh dikatakan wilayah adat di luak Rembau adalah salah satu wilayah yang kuat berpegang pada prinsip Adat Perpatih dan yang keduanya ialah wilayah adat di Kuala Pilah.

Bagi memudahkan pemohon atau waris-waris mengenali Dato`Lembaga atau Ketua Adat dan gelarannya serta nama suku yang diwakili mereka hendaklah mengetahui segala salasilah keturunan nenek moyang mereka sebelah ibu. Oleh itu, mereka akan memudahkan proses atau semua permasalahan yang brelaku dalam tanah adat bagi merujuk pada Dato` Lembaga masing-masing. Dato` Lembaga atau Ketua Adat pula dikehendaki hadir semasa perbicaraan dan tugas beliau adalah sebagai penasihat Pentadbir Tanah, terutamanya yang berkaitan dengan pengesahan dan kelayakan waris-waris adat untuk mewarisi harta pusaka simati. Peranan yang akan ditunjukkan oleh Dato` Lembaga ini akan diberi keterangan dengan lebih lanjut.
  
3.5 PERANAN DATO` LEMBAGA DALAM PENTADBIRAN TANAH ADAT DI LUAK REMBAU

Sebelum meneliti kepada peranan Dato` Lembaga dalam menyelesaikan segala permasalahan dalam pentadbiran tanah adat di daerah Rembau, serba sedikit tentang bentuk pentadbiran sebelum 1949 dan sesudah tahun 1949 akan diterangkan. Dalam membuktikan kuasa ketua-ketua adat di tahap yang menunjukkan kuasanya. Pada teorinya ketua-ketua adat dan peranan mereka dalam pentadbiran tanah adat adalah suatu yang kukuh di bawah peruntukan yang terdapat dalam perlembagaan Negeri Sembilan 1948, dalam Customary Tenure Enactment Cap. 215, dan Part 3 Ordinan Penyelesaian Harta Pusaka Kecil 1955. Peranan Lembaga dalam pentadbiran tanah telah juga ditetapkan di bawah peruntukan dalam CTE dan Ordinan Penyelesaian Harta Pusaka Kecil.[34] Oleh yang demikian, boleh dikatakan bahawa kedudukan dan peranan Dato` Lembaga dalam pentadbiran tanah di Negeri Sembilan pada asalnya adalah di bawah peruntukan-peruntukan tertentu seperti yang terdapat dalam perlembagaan Negeri Sembilan yang mengadakan peruntukan khas tentang kedudukan ketua adat. 

Dato` Lembaga atau buapak adalah berperanan penting dalam mentadbir sistem pembahagian harta pesaka termasuklah pesaka tanah adat. Setiap Dato` Lembaga yang telah ditetapkan, mestilah memastikan semua masalah yang berlaku dalam kes anak buahnya mengikut suku-suku Dato` Lembaga tersebut dapat diselesaikan. Apa yang jelas Dato`-Dato` Lembaga ini memiliki satu kuasa dalam mentadbir tanah pesaka adat dalam mentadbir tanah pesaka adat selain dari pihak-pihak tertentu. Dalam erti kata lain juga Dato` Lembaga diluak Rembau ini bolehlah dikatakan sebagai pemerintah bagi sukunya, dan dengan itu Dato` Lembaga adalah penting dalam setiap urusan ke atas pentadbiran tanah adat ini. Sebelum mengkaji akan peranan mereka dalam mentadbir tanah pesaka adat ini, pengkaji sertakan senarai nama pentadbir adat di luak Rembau mengikut jawatan- jawatan  yang telah ditetapkan serta suku-suku yang diwarisi di dalam bahagian lampiran.

             Salah satu peranan Dato` Lembaga  dalam pentadbiran tanah pesaka adat ini ialah semua Dato`-Dato` Lembaga hendaklah memastikan setiap waris  yang menuntut hak pesaka mereka tidak membawa masalah dalam menyelidik salasilah anak buahnya untuk memastikan siapakah waris yang berhak memiliki harta tersebut. Hal ini adalah untuk mengelakkan berlakunya penipuan dalam penuntutan harta-harta tersebut. Selain itu peranan Dato` Lembaga juga perlu memastikan tiada berlaku kecacatan waris dalam pembahagian pesaka anak buahnya. Dato`-Dato` Lembaga ini hendaklah menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan waris suku yang sama sahaja contohnya seperti Dato Shahbandar ini hanya menyelesaikan masalah yang berlaku dalam sukunya sahaja.

          Oleh itu, apa yang dimaksudkan dengan kecacatan waris di sini ialah ianya tidak boleh menerima pesaka tanah adat. Dengan itu pihak lembaga perlu siasat terlebih dahulu sekiranya ada yang menuntut hak mereka adalah terdiri dari waris yang tidak boleh menyandang pesaka ini.

          Cacat waris itu ialah akibat dari perkahwinan sepupu contohnya Hasan berkahwin dengan Peah maka di situ akan berlaku kecacatan waris kerana ibu adalah kedua-dua mereka adalah adik beradik. Adalah menjadi lumrah dalam Adat Perpatih yang menekankan konsep nisab ibu dan hal ini mempunyai kaitan dengan hal-hal yang lain contohnya pentadbiran dalam tanah Adat Perpatih serta begitu juga dalam isu perkahwinan di mana jika didapati perkahwinan itu dari suku yang sama oleh pengantin perempuan dan pengantin lelaki maka mereka akan dibuang daerah. Begitulah juga hal yang berkaitan dengan isu pembahagian tanah adat. Jika pihak lembaga menyiasat dan didapati ada waris yang bernikah sama waris sama suku atau ibu mereka adalah adik -beradik maka tidak berhak menyandang pesaka.
Selain dari memastikan ada kecacatan waris dalam penuntutan hak, peranan Dato Lembaga adalah wajib hadir dalam setiap bicara yang menghubung dengan kes anak buahnya. Contohnya setiap waris yang ingin menyelesaikan kes mereka perlulah merujuk terlebih dahulu kepada Dato` Lembaga. Apa yang jelas Dato` Lembaga, buapak dan anak buahnya adalah berkaitan antara satu sama lain. Biasanya pengenalan anak buah adalah melalui buapak jika perlu mereka perlulah selalu membuat perjumpaan mengikut “perut[35]”nya dengan Dato` Lembaga. Dalam hal ini biasanya buapak diminta memberikan kerjasama untuk mengesan atau mengetahui “salasilah” keturunan setiap anak buahnya. Bagi memudahkan peranan Dato` Lembaga, apa yang perlu diadakan  adalah senarai salasilah dari “Perut” berkenaan  bagi kegunaan masa akan datang supaya bersedia dalam mengendalikan semua isu-isu dan permasalahan yang berkaitan dengan kes anak-anak buahnya. Setiap salinan bolehlah difailkan serta disimpan di Balai Undang mengikut “Suku”nya.

            Hasil dari kajian yang dilakukan , di antara setiap kes yang berlaku misalnya pemilik mana-mana tanah adat telah meninggal dunia, pemohon di bawah seksyen10 EPA Bab 215 dikemukakan di pejabat tanah, mereka hendaklah mengisi borang pemohonan dengan lengkap  dan perlulah ditandatangani oleh Dato` Lembaga suku mereka. Manakala apa yang perlu disertakan dalam kandungan borang itu, adalah nama simati, nama pemohon dan nama sukunya, nombor hak milik dan mukim juga perlu disertakan juga salinan surat mati. Hak milik tanah, kad pengenalan dan surat beranak waris-waris yang berhak atau yang menuntut ke atas permohonan tersebut.

            Selain itu, syarat lain yang berkaitan dengan peranan Dato` Lembaga ini ialah bagi pemilik tanah adat yang hendak  membuat pindah milik kepada anak perempuannya atau waris perempuan atau ingin mencagarkan tanah kepada institusi kewangan yang dikenakan, mereka hendaklah mengikut prosedur yang telah ditetapkan serta mengikut  seksyen 7(iv) EPA Bab 215, apa yang penting sekali,  borang permohonan yang telah diisi itu mestilah ditandatangani oleh Dato` Lembaganya. Pada peringkat permohonan ini, Dato` Lembaga tidak perlulah berasa curiga untuk menandatangani borang berkenaan, jika terdapat sebarang `ketidakakuran` dalam perwarisan, Dato` Lembaga boleh meminta tangguh atau tolak semasa perbicaraan dibuat.

            Setelah Dato` Lembaga menandatangani borang tersebut, pihak pejabat tanah kemudiannya akan menetapkan hari perbicaraan dan memberitahu kepada pihak-pihak yang berkenan melalui penghantar notis untuk hadir pada hari dan masa yang ditentukan. Dalam hal ini Lembaga juga turut diberitahu untuk hadir pada hari yang ditetapkan itu. Manakala perjalanan penyelesaian kes yang berkaitan dengan harta pesaka seseorang yang telah mati adalah perlu dihadiri oleh pihak-pihak yang menuntut ke atas tanah simati itu, Lembaga suku yang berkenaan dan Penolong Pentadbir Tanah selaku Pengadil.[36] 

            Apa yang telah dicadangkan oleh pihak berkuasa pentadbir tanah adat kepada semua Dato` Lembaga di Daerah Rembau, ialah menyuruh supaya semasa permohonan meminta tandatangan setiap Dato` Lembaga untuk urusan tanah adat ini, maka Dato` Lembaga boleh meminta anak buahnya membawa semua waris-waris adat dan buapak untul pengesahan salasilah waris di rumah Dato` Lembaga selewat-lewatnya seminggu sebelum hari perbicaraan kes yang telah ditetapkan oleh pejabat tanah. Hal ini adalah bertujuan supaya Dato` Lembaga dapat membuat persiapan serta pengesahan di hadapan pentadbir tanah di hari perbicaraan nanti, bahawa yang hadir dalam perbicaraan anak buahnya dalam Sukunya dan tiada anak buah yang tertinggal. Begitu juga dengan mengenai pengagihan harta tanah adatnya kepada waris. Dato` Lembaga juga berperanan sebagai penasihat kepada pentadbir tanah semasa perbicaraan, dan ia juga berperanan boleh memberikan pendangan ke atas pembahagian tanah adat berkenaan, terutamanya kepada waris yang telah menjaga simati semasa hidupnya.

Manakala masalah seterusnya, jika kegagalan pengesahan atau kehadiran anak buah di peringkat awal ini berlaku, dan jika Dato` Lembaga masih berasa curiga, maka dihari perbicaraan Dato` Lembaga boleh meminta tangguhkan perbicaraan untuk siasatan lanjut ke atas warisnya, tetapi daripada perbicaraan kes-kes yang lepas didapati kemungkinan tidak pernah berlaku sebarang permohonan oleh Dato` Lembaga dalam sebarang penangguhan perbicaraan.[37] Dari itu, dengan saranan untuk memastikan siasatan lanjut berkesan maka hal-hal yang dinyatakan perlulah dilaksanakan dengan lebih terperinci.

            Oleh sebab itu, siasatan terperinci oleh Dato` Lembaga ini eloklah direkodkan dan disimpan, serta setiap salinannya perlulah dimaklumkan atau dihantar untuk disimpan (didinding) dibalai Undang Rembau dan untuk dimaklumkan kepada Y.T.M Dato` Undang bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan teratur. Maka, segala rekod yang berbentuk sedemikian akan boleh dibuka semula apabila ada bantahan oleh waris yang tidak berpuashati dikemudian hari kelak. Hal ini jelas, berlaku dalam beberapa kes yang telah dikenalpasti di Pejabat Tanah Daerah Rembau di mana ada waris yang telah memohon membuat bantahan ke atas turun hakmilik yang tidak mengikut waris yang sebenar. Jika terdapat pertentangan antara pihak-pihak yang menuntut pengadil akan cuba sedaya upayanya memujuk pihak-pihak yang berkenaan mencapai suatu penyelesaian melalui tolak ansur.[38]

            Kemudian Lembaga berperanan sebagai ketua adat akan menerangkan kepada anak-anak buahnya tentang peraturan adat dalam menentukan pembahagian-pembahagian yang akan dilaksanakan supaya pihak yang berkenaan faham keadaan yang sebenar. Dari itu peranan Dato` Lembaga dalam meneliti kes ini adalah sangat penting bagi memastikan kesilapan untuk kali kedua tidak berulang.

Disamping itu juga peranan Dato` Lembaga ialah harus selalu “ turun padang” dalam meninjau penghidupan anak buahnya. Terutama kepada anak buah yang tua serta uzur dan tiada anak perempuan atau waris kadim yang hampir. Dato` Lembaga boleh juga memastikan siapakah yang telah menjaga kebajikan atau makan minumnya. Hal ini kerana harta tanah adatnya boleh diberi sebahagiannya kepada mereka yang benar-benar ikhlas menjaga pemilik tanah adat yang tiada waris yang hampir ini atau waris yang tidak mahu mengambil tahu. Ada sesetengahnya cuma mengharapkan mendapat harta secara percuma sahaja. Oleh sebab itu, Dato` Lembaga yang membuat siasatan ini hendaklah merekodkan dan bawa buapak sebagai saksinya.

            Dalam kes ini juga sekiranya pemberian tanah adat kepada orang yang menjaga ini ada bantahan dari waris, maka rekod ini boleh dibentangkan awal kepada YTM Dato` Undang supaya penurunan hal milik tanah kepada orang atau waris yang menjaganya ini mendapat perlindungan dari Ketua Adat. Sebaliknya Dato` Lembaga juga harus selalu membentangkan masalah ke atas apa jua yang berlaku dengan anak buah terutamanya yang berkaitan dengan ini dalam perjumpaan dengan YTM Dato` Undang atau mesyuarat-mesyuarat Dato`-Dato` Lembaga supaya masalah ini boleh dibincangkan dan mendapat keputusan secara kolektif dan ianya boleh digunakan  bersama untuk menjadi bahan bukti oleh Dato`-Dato` Lembaga lain.   

            Selain daripada itu, peranan yang ditunjukkan oleh Dato` Lembaga dalam pentadbiran Tanah Adat ini juga ialah dalam pertelingkahan sempadan atau “umpukan” bahagian dalam tanah adat. Hal ini juga harus dijelaskan terutama bagi tanah kampung dan dusun. Sekiranya terdapat persetujuan pemilik-pemilik tanah akan “umpukan” bahagian tanah (terutama ke atas tanah adat yang dipunyai oleh dua orang pemilik atau lebih) apa salahnya persetujuan ini direkodkan dan disimpan oleh Buapak dan salinanya disembahkan untuk perkenan YTM Dato` Undang. Oleh itu jika berbangkit masalah seperti ini di kemudian hari, rekod ini boleh dijadikan bahan rujukan.[39]

Bagi memastikan tanah adat yang terbiar pula dan jika ianya hendak dibangunkan atau dimajukan oleh individu atau badan-badan lain, seharusnya dibincangkan dengan Dato` Lembaganya. Hal ini kerana dari segi prinsipnya tanah adat adalah di bawah kawalan oleh Dato` Lembaga. Dalam masyarakat setempat di daerah Rembau, pembangunan semula tanah adat ini diketepikan dan hal ini akan berkait rapat dengan peranan Dato` Lembaga di mana apabila sesuatu masalah baru yang timbul, Dato` Lembaga akan memberi pertolongan dalam menyelesaikannya. Oleh itu sekarang, perkara sedemikian iaitu meninggalkan Dato` Lembaga dalam pengusahaan secara komersial dalam tanah adat ini memang berlaku.

            Dalam hal ini juga berkemungkinan Dato` Lembaga tidak mahu terlibat secara langsung dengan sebarang masalah yang akan berlaku jika sekiranya pemaju gagal mematuhi sebarang perjanjian. Masalah ini dalam memastikan peranan Dato` Lembaga ini dirasakan ialah jika ada pemilik tanah adat yang meninggal dunia dan tidak ada meninggalkan waris perempuan, hanya mempunyai anak lelaki atau adik-beradik lelaki sahaja, ini dikatakan (waris pupus), maka Dato` Lembaga boleh meminta anak lelaki atau adik beradik lelaki memohon mendapatkan perintah dari Pentadbir Tanah Adat supaya Tanah Adat berkenaan dilelong mengikut kehendak Seksyen 13 EPA dan hasil jualannya dibahagikan mengikut Seksyen 13 (iii) EPA.

            Manakala, selaras dengan kehendak seksyen 22 EPA pula Dato` Lembaga perlu tahu bahawa tiada mana-mana peguam bela dan peguam cara berhak hadir untuk mewakili mana-mana orang dalam perbicaraan atau setiap rayuan yang berhubung kait dengan mana-mana tanah adat. Dalam aspek-aspek lain pentingnya peranan Lembaga itu adalah sebagai pemberi keterangan sahaja. Manakala di peringkat jemaah rayuan, peranan Lembaga hanya sebagai saksi yang memberi keterangan tentang anggota dan tanah adat yang terlibat. Keseluruhannya kuasa adalah pada Penolong Pentadbir Tanah Adat pada masa sekarang. Ketika dahulu semua kuasa dipegang oleh Residen atau Penasihat British.[40]

            Oleh itu, apa yang jelas, huraian yang jelas mengenai peranan Dato` Lembaga dalam pentadbiran tanah adat ini adalah untuk memberi maklumat akan kepentingan kuasanya dalam satu-satu masalah yang berlaku dalam pentadbiran tanah adat. Dalam penerangan yang terperinci akan peranan Dato` Lembaga ini adalah kerana ianya akan berhubungkait dengan pengkajian dalam permasalahan yang berlaku dalam pentadbiran tanah adat. Hal ini kerana Dato` Lembaga adalah salah seorang yang akan menyelesaikan serta berkepentingan dalam isu-isu yang berlaku oleh golongan anak buahnya. Seperti yang diterangkan peranan Dato` Lembaga ini adalah penting dalam mengendalikan hal-hal adat termasuklah dalam pentadbiran tanah adat. 

3.6 KES-KES YANG TERLIBAT

Penelitian dalam setiap kajian kes yang berkaitan dengan tanah adat ianya akan diperolehi atau dirujuk pada Pejabat Tanah Daerah Rembau. Biasanya setiap kes-kes yang berlaku akan diselesaikan di pejabat tanah tersebut. Hasil dari kajian yang telah dilakukan, di antara kes-kes yang biasa dibicarakan ialah seperti tuntutan hak pusaka tanah adat ke atas harta waris yang telah lama meninggal dunia. Ada di antaranya yang menuntut hak ke atas tanah yang saiz komposisinya kecil dan kesukaran dalam pembahagian akan berlaku sekiranya waris yang berhak ramai. Hal ini akan menjadi salah satu sebab timbul satu kesukaran dan akan berlaku sedikit selisih faham. Dari itu, peranan Dato` Lembaga akan menyiasat terlebih dahulu setiap kes yang berkaitan dengan anak buahnya mengikut suku masing-masing. Biasanya segala konflik atau permasalahan yang berlaku dapat diselesaikan. Tetapi setiap kes akan diselesaikan dalam jangka masa yang lama dan ada juga dalam jangka masa yang singkat.   

            Selain daripada itu, kes seperti bantahan terhadap kesilapan dalam pembahagian harta waris yang sebenar seperti waris yang sepatutnya berhak ke atas harta tersebut tidak memiliki apa yang sepatutnya sebaliknya waris yang tidak berhak, memiliki sepenuhnya. Akibat dari kes seperti ini, akan mewujudkan satu bantahan atau rasa tidak puas hati kepada pihak yang terlibat untuk menuntut bahagian mereka. Kes-kes ini berlaku biasanya akibat dari kelalaian pihak Lembaga yang tidak menyiasat dengan lebih teliti akan siapa yang lebih berhak ke atas harta anak buahnya. Selain daripada itu, ada juga kes dari sikap waris yang menipu atau menyorokkan waris yang sebenar ke atas harta tersebut. Akibat dari sikap tamak sesetengah pihak waris yang ingin membolot segala harta maka masalah akan timbul ke atas waris yang berikutnya. Hasil dari kajian kes seperti ini, ada yang membuat bantahan ke atas harta yang telah dibahagikan dalam jangka masa 30 hingga 40 tahun sebelumnya. Maka, sebutan kes akan dibuat pada jangka masa terkini seperti contoh kes yang akan dikaji ini berdasarkan dari bantahan yang telah direkodkan di pejabat tanah.

Oleh sebab itu, jika ada bantahan ke atas perintah tadbir tanah dan setelah kelulusan diperolehi oleh pihak berkuasa negeri, maka Lembaga Rayuan Tanah Adat akan bersidang dan akan memberi keputusan semula. Hal ini juga akan mengarahkan pentadbir tanah adat membuat perbicaraan semula atau lembaga rayuan. Setiap kes-kes yang berlaku mestilah dirujuk pada pejabat tanah di daerah Rembau untuk direkodkan bagi meneliti segala permasalahan yang berlaku dalam tanah adat tersebut. Manakala mereka yang terlibat dalam setiap kes hendaklah terlebih dahulu mengisi borang yang telah ditetapkan. Borang-borang ini telah disediakan oleh setiap pejabat tanah bagi memastikan segala penyelesaian dalam semua kes mengikut lunas-lunas undang yang telah ditetapkan.hal-hal yang berkaitan akan mengikut prosedur-prosedur yang telah ditetapkan dan segala contoh-contoh borang yang perlu diisi berdasarkan pada kes-kes tertentu akan disertakan dalam bahagian lampiran.     

            Secara kesimpulannya, kes-kes yang direkodkan di pejabat tanah yang berkaitan dengan tuntutan hak pusaka tanah adat ke atas harta waris yang telah meninggal dunia dikenali sebagai kes tuntutan ke atas kematian. Manakala bagi kes pemindahan hakmilik Tanah Pesaka Adat dikenali sebagai kes “hidup-hidup” bagi pemilik tanah yang masih hidup.[41]

3.6.1 Contoh kes yang berlaku dalam bantahan dari waris

Salah satu contoh kes yang akan cuba dikupas di sini berkaitan dengan tanah pusaka adat ialah kes bantahan ke atas turun milik tanah pesaka adat terhadap waris yang sebenar. Manakala setiap waris yang ingin melakukan bantahan terhadap kes yang berlaku, mereka terlebih dahulu perlulah mengisi borang iaitu catatan nota bicara untuk mengetahui apakah jenis bantahan yang ingin diselesaikan oleh pihak Lembaga dan Pejabat Tanah Rembau.
Satu kes yang agak menarik dalam perbincangan ini ialah kes ` appeal Vol. 64 / folio : 83. Rayuan Ulang Bicara dalam bantahannya ini dibuat oleh Gimila bt. Haji amad dari suku Seri Melenggang Minangkabau beralamat Kampung Kundor Tengah, 71400, Pedas kerana membantah ke atas harta simati iaitu Siti Piah binti Siamang di bawah seksyen 15 (ii) Enakmen Pemegang Adat ( Bab 215 ) dan pada 11 ogos 2003 telah membuat perbicaraan semula. Tanah yang dituntut dan diturun milik ini asalnya tanah pesaka kepunyaan nenek saudara Gimila bt. Hj. Ahmad. Kemudian keputusan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 16.4.2003 kertas Mesyuarat No. 1458 / 2003 ke atas tuntutan Gimila bt. Hj. Ahmad sebagai pembantah, melalui hak warisan kepada Siti Piah binti Siamang simati iaitu pemunya asal tanah adat yang diperihalkan di bawah perintah ini dan sekarang dipegang oleh Puteh bt. Long.

            Manakala terjemahan salinan kes ini adalah seperti berikut :[42]   

                        Pihak yang terlibat ;
                        Gimila binti Hj. Ahmad
                        Waris-waris yang berhak. [43]

                        Dirujuk pada :
                        Penolong Pentadbir Tanah Adat daerah Rembau.
                        Dato Lembaga yang bertanggungjawab iaitu Dato` Perba Haji Yahya.

Berikutan dengan kes bantahan ini ialah akibat dari kesilapan dalam pembahagian harta pada waris yang tidak berhak. Hal ini adalah disebabkan simati tidak mempunyai anak perempuan dan beliau hanya mempunyai adik beradik perempuan. Oleh itu Gimila bt. Hj.Ahmad telah membuat bantahan dalam memastikan tanah peninggalan simati dibahagikan dengan betul kepada waris yang benar-benar berhak memilikinya. Lembaga dalam memastikan siapakah waris yang sebenar.
Gimila bt. Hj.Ahmad telah bersumpah bahawa dirinya dan waris yang hadir dalam perbicaraan itu mengaku dan bersumpah bahawa dengan sesungguhnya apa yang mereka nyatakan dalam perbicaraan itu tiada yang tidak benar melainkan benar belaka. Terdapat juga waris yang tidak hadir tetapi perbicaraan tetap diteruskan. Didapati berdasarkan dari keterangan saksi utama ialah Gimila sendiri. Hubungan beliau dengan simati ialah nenek saudara dan suku simati Semelenggang Naning. Lembaga yang bertanggungjawab dalam pentadbiran tanah adat simati ialah Dato` Perba Hj. Yahya bin Abd. Ghani. Simati telah meninggal dunia pada 2 November 1939 akibat dari sakit tua.

Gimila bt. Hj.Ahmad yang membantah ke atas turun milik Tranmission Tanah Pesaka Adat MG 53 lot 137, MG 54 lot 512, MG 55 lot 513, MG 56 lot 514, MG 57 lot 515, di daerah Rembau di bawah seksyen 15(v) Enakmen Pemegang Adat (Bab 215) kepunyaan simati Siti Piah bt. Siamang kepada Puteh bt. Long.[44]

Keputusan dibuat oleh :

Yang Teramat Mulia Dato` Lela Maharaja Dato` Hj. Muhammad Sharip bin Hj. Othman DTNS Undang Luak Rembau, Pengerusi Lembaga Rayuan Tanah Adat Luak Rembau yang diperuntukkan di bawah Seksyen 15 telah memberikan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang bersidang pada 2 Februari 1987, melalui kertas Mesyuarat No. 1048/1989, telah berpuashati dalam semua keterangan siasatan awal yang dibuat pada 13 November 2001, dan Persidangan Jawatankuasa Lembaga Rayuan yang dibuat pada 30 Januari 2003.

Kemudian Yang Teramat Mulia Undang Luak Rembau telah meneliti fakta-fakta kes dan didapati keputusan perbicaraan pembahagian tanah adat seperti berikut di mana ;

  • Lot 137 MG 53           Mukim Kundor           semua bahagian
  • Lot 512 MG 54           Mukim Kundor           semua bahagian
  • Lot 513 MG 53           Mukim Kundor           semua bahagian
  • Lot 514 MG 53           Mukim Kundor           semua bahagian
  • Lot 515 MG 53           Mukim Kundor           semua bahagian
  • Lot 534 MG 53           Mukim Kundor           semua bahagian


Lot-lot ini telah dibahagikan serta dilaksanakan perbicaraannya pada 11 November 1970 adalah dinyatakan Tidak Teratur dan selaras dengan rumusan siasatan awal, pihak pembantah mempunyai alasan-alasan yang kukuh ke atas bantahannya seperti alasan yang diberikan.

Setelah segala persetujuan serta perbicaraan telah dilaksanakan, maka kerajaan Negeri Sembilan akan memberi surat perintah dan mengesahkan bantahan dari waris ini iaitu Gimila bt. Haji Ahmad dan bantahan itu dapat diselesaikan dengan teratur pada 2 Oktober mengikut Jadual F yang telah dikeluarkan di bawah perintah pentadbir tanah di bawah Seksyen 10 Enakmen Pemegang Adat Bab 215. Salinan borang perbicaraan seperti yang terdapat dalam bahagian lampiran bagi memudahkan sebarang rujukan.

Apa yang jelas, dalam menyebut kes ini kita dapati tempoh jangka masa yang digunakan terlalu lama. Hal ini memakan masa yang panjang. Dari contoh kes bantahan ini ialah kesilapan yang dilakukan dalam pentadbiran tanah adatnya berlaku pada tahun 1970 dan kes ini berbangkit pada sekitar tahun-tahun masa sekarang. Jelas menunjukkan terdapat beberapa kes yang berlaku dalam pentadbiran tanah adat ada yang memakan masa yang lama dan ada yang dapat diselesaikan dengan masa yang singkat. Segala hal yang berkaitan dengan kes ini perlulah merujuk kepada pihak yang bertanggungjawab.[45]  

3.6.2 Kes yang melibatkan tanah adat terbiar

Dalam mengkaji kes yang melibatkan tanah adat  terbiar  dalam daerah rembau ini, melalui survey yang telah dilakukan oleh pengkaji masalah ini berpunca  dari ramai nama waris dalam satu geran dan ini menyebabkan kesukaran dan persetujuan mereka untuk  mencagarkan tanah ini kepada pihak pemaju. Ada di antara waris yang berstuju dalam gadaian atau cagaran kepada pengusaha tanah adat. Selain dari sikap tuan tanah yang tidak menghiraukan tanah adat mereka inilah yang menyebabkan banyak tanah adat terbiar dan tidak diusahakan.

        Selain daripada itu akibat berpunca daripada dari sikap pemaju yang tidak bertanggungjawab dalam memajukan tanah adat tersebut timbullah masalah yang mengakibatkan tanah adat ini terbiar. Sikap sambil lewa dalam projek yang dijalankan telah menyebabkan tanah adat ini terbiar sekaligus menjadi kes saman kepada pihak tuan tanah ke atas pemaju di atas kegagalan dalam melaksanakan projek ke atas tanah mereka. Kes-kes seperti tanah terbiar seperti kes saman ini biasanya dari pihak tuan tanah kerana ada pemaju gagal menamatkan kontrak dan kebanyakan projek yang dijalankan terbengkalai. Selain daripada itu juga, kawasan tanah adat yang dibiarkan menjadi belukar  atau tanah yang boleh mendatangkan perasaan tidak puas hati dari sesetengah pihak kerana merosakkan penglihatan  menikmati keindahan alam.

         Dalam usaha memajukan tanah adat ini, ada sesetengah pendapat yang mengatakan ia suatu perkara  yang sukar dilaksanakan akibat dari kes-kes yang telah  dibincangkan di atas. Dalam mengatasi masalah ini, satu enakmen telah memberi nilai ekonomi kepasa semua tanah adat iaitu Enakmen Tanah Adat (Pindaan) 1983. Dalam wujudnya enakmen ini maka ia telah memberi ruang kepada usaha dalam memajukan semua tanah adat yang terbiar dengan secara komersial. Apa yang jelas, dengan terbentuknya enakmen ini, ia telah membenarkan tanah adat dicagarkan kepada pentadbir tanah daerah, di institusi kewangan yang telah ditetapkan dan koperasi yang telah diiktirafkan oleh kerajaan.[46]

            Syarat memajukan tanah adat ini ialah, ia boleh dimajukan dengan secara usaha sama antara agensi kerajaan dengan pemilik tanah adat yang sebenar seperti yang telah dimajukan oleh Jabatan Pertanian. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga menggalakkan tanah adat diusahakan sama dengan pihak swasta bagi memajukan tanah tersebut. Biasanya program dalam menggalakkan usaha memajukan tanah adat terbiar ini kurang diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri. Malahan ada di antaranya seperti Jabatan Pertanian Negeri Sembilan walaupun giat memajukan tanah adat yang terbiar, tetapi ia tidak mempunyai program khusus untuk memajukan tanah adat terbiar ini. Hal ini bermakna, masalah pembangunan tanah adat bukan lagi berpunca dari faktor luaran khususnya nilai ekonomi tetapi dari faktor tanah adat itu sendiri. Namun melihat kepada sistem adat itu terutama sekali dari aspek adat (aturan) aktiviti ekonominya, faktor penghalangnya bukan dari Adat Perpatih itu sebagai satu sistem tetapi beberapa orang pengamal dan pemimpin adat sebagai individu yang kebetulan pengamal Adat Perpatih.

3.6.3 Contoh kes `hidup-hidup`

Kes hidup-hidup bererti kes pemindahan hakmilik tanah adat daripada waris yang masih hidup kepada ahli waris yang berhak mengikut sistem Adat Perpatih.

1)  Permohonan bertarikh pada 31 Mei 2007 untuk memindah milik Tanah Pesaka Adat menurut Seksyen 7 (iv) Enakmen Tanah Pesaka Adat Bab 215 daripada Ramlah binti Udin iaitu dari suku Tanah Datar kepada Rokiah binti Majid juga dari suku Tanah Datar. Mereka merupakan anak buah kepada Maharaja Inda iaitu Hj.Samat bin Hassan. Tuan Tanah iaitu Ramlah binti Udin mengaku dan bersumpah bahawa pindahmilik tanah  adalah dengan berian percuma kerana kasih sayang dan masih ada 2 orang anak perempuan dan mempunyai sekeping tanah pesaka adat. Tuan Tanah memohon hendak memindah milik  tanah lot 1586 Mukim Tanjung Keling kepada Rokiah binti Majid. Kaitan Tuan Tanah dengan penerima adalah hubungan ibu dengan anak. Waris-waris kadim pihak-pihak iaitu Zainun binti Majid dan Abd. Hamid bin Majid, telah memberi keterangan bahawa mereka bersetuju dengan pemindahan hakmilik Tanah Adat tanpa ada sebarang halangan. Dato` Lembaga iaitu Maharaja Inda- Hj. Samat bin Hassan memberi keterangan bahawa beliau mengakui Tuan Tanah adalah anak buahnya dan bersetuju tanah dipindahmilik kepada Rokiah binti Abd. Majid sebab ia tidak bercanggah dengan adat Rembau.

Keputusan Pentadbir Tanah Rembau iaitu En. Zulkifli bin Mohd Rashid selaku Penolong Pentadbir Tanah Rembau, telah berpuashati terhadap keterangan dalam perbicaraan dan mendapati ia tidak bercanggah dengan Enakmen Tanah Adat Bab 215, dan setelah mendapat persetujuan beserta kebenaran Dato` Maharaja Inda – Hj. Samat bin Hassan yang mana permohonan ini juga tidak bercanggah dengan adat Luak Rembau, maka telah mengambil keputusan meluluskan permohonan pindahmilik tanah.

2 ) Permohonan bertarikh 18 Julai 2007, permohonan untuk memindahmilik Tanah Pesaka Adat menurut Seksyen 7 (iv) Enakmen Tanah Pesaka Adat Bab 215 daripada Ramlah binti Abdullah iaitu Suku Tiga Nenek kepada Faridah binti Mohamad juga dari Suku Tiga Nenek. Tuan Tanah mengaku dan bersumpah bahawa beliau merupakan anak buah kepada Dato` Bangsa Balang Hj. Kassim Ismail dan masih mempunyai 2 orang anak perempuan dan mempunyai 3 keping tanah pesaka adat. Tuan Tanah memohon memindahmilik tanah lot 384 Mukim Legong Ulu dan pindahmilik adalah dengan berian percuma kerana sayangkan anaknya dan telah tua serta tidak mampu mengusahakannya. Kaitannya dengan penerima iaitu Faridah binti Mohamad ialah hubungan emak dengan anak. Penerima telah mengaku bersetuju dengan pindahmilik tersebut. Dalam kes ini tiada bantahan dari waris-waris kadim. Dato` Lembaga telah memberi keterangan bahawa Tuan Tanah adalah anak buahnya dan bersetuju tanah dipindahmilik kerana ia tidak bercanggah dengan adat Rembau.
             
Keputusan Pentadbir Tanah Rembau iaitu En. Nazri bin Ali selaku Penolong Pentadbir Tanah Rembau, telah berpuashati terhadap keterangan dalam perbicaraan dan mendapati ia tidak bercanggah dengan Enakmen Tanah Adat Bab 215, dan setelah mendapat persetujuan beserta kebenaran Dato` Bangsa Balang yang mana permohonan ini juga tidak bercanggah dengan adat Luak Rembau, maka telah mengambil keputusan meluluskan permohonan pindahmilik tanah.

3) Permohonan bertarikh 15 Januari 2007, permohonan untuk memindahmilik Tanah Pesaka Adat menurut Seksyen 7 (iv) Enakmen Tanah Pesaka Adat Bab 215 daripada Siti Rahmah binti Ahmad iaitu dari Suku Mungkal kepada Maria binti Ramli dan Pauzi bin Ramli juga dari Suku Mungkal. Tuan Tanah mengaku dan bersumpah bahawa beliau merupakan anak buah kepada Dato` Ngiang Hj. Salim Ahmad  dan masih mempunyai 2 orang anak perempuan dan mempunyai 2 keping tanah pesaka adat. Tuan Tanah memohon memindahmilik tanah lot 507 Mukim Pedas dan pindahmilik adalah dengan berian percuma kerana sayangkan anaknya dan  tidak mampu mengusahakannya. Kaitannya dengan penerima iaitu Maria binti Ramli dan Pauzi bin Ramli ialah hubungan emak dengan anak. Penerima telah mengaku bersetuju dengan pindahmilik tersebut. Dalam kes ini Tuan Tanah tidak mempunyai waris-waris kadim. Dato` Lembaga Ngiang Hj. Salim Ahmad telah memberi keterangan bahawa Tuan Tanah adalah anak buahnya dan bersetuju tanah dipindahmilik kerana ia tidak bercanggah dengan adat Rembau.
             
Keputusan Pentadbir Tanah Rembau iaitu En. Nazri bin Ali selaku Penolong Pentadbir Tanah Rembau, telah berpuashati terhadap keterangan dalam perbicaraan dan mendapati ia tidak bercanggah dengan Enakmen Tanah Adat Bab 215, dan setelah mendapat persetujuan beserta kebenaran Dato` Ngiang Hj. Salim Ahmad yang mana permohonan ini juga tidak bercanggah dengan adat Luak Rembau, maka telah mengambil keputusan meluluskan permohonan pindahmilik tanah.

4 ) Permohonan bertarikh 21 November 2007, permohonan untuk memindahmilik Tanah Pesaka Adat menurut Seksyen 7 (iv) Enakmen Tanah Pesaka Adat Bab 215 daripada Siram bt. Yunus iaitu dari Suku Biduanda kepada Tiany bt. Mohd. Amin juga dari Suku Biduanda. Tuan Tanah mengaku dan bersumpah bahawa beliau merupakan anak buah kepada Dato` Perba Hj. Yahaya Abd. Ghani dan masih mempunyai 2 orang anak perempuan dan mempunyai 2 keping tanah pesaka adat. Tuan Tanah memohon memindahmilik tanah lot 4616 Mukim Titian Bintangor kepada Norpiah binti Abdullah dan 4617 Mukim Titian Bintangor kepada Tiany Mohd Amin dan pindahmilik adalah dengan berian percuma kerana sayangkan anaknya dan  tidak mampu mengusahakannya kerana telah tua dan uzur. Kaitannya dengan penerima ialah hubungan emak dengan anak.

            Penerima telah mengaku bersetuju dengan pindahmilik tersebut. Dalam kes ini Tuan Tanah tidak mempunyai waris-waris kadim. Dato` Perba Hj. Yahaya Abd. Ghani telah memberi keterangan bahawa Tuan Tanah adalah anak buahnya dan bersetuju tanah dipindahmilik kerana ia tidak bercanggah dengan adat Rembau.
             
Keputusan Pentadbir Tanah Rembau iaitu En. Nazri bin Ali selaku Penolong Pentadbir Tanah Rembau, telah berpuashati terhadap keterangan dalam perbicaraan dan mendapati ia tidak bercanggah dengan Enakmen Tanah Adat Bab 215, dan setelah mendapat persetujuan beserta kebenaran Dato` Perba Hj. Yahaya Abd. Ghani yang mana permohonan ini juga tidak bercanggah dengan adat Luak Rembau, maka telah mengambil keputusan meluluskan permohonan pindahmilik tanah.

3.6.4 Contoh kes atas kematian

Kes yang berkaitan kematian ialah permohonan pindahmilik tanah yang mana pemilik tanahnya telah meninggal dunia oleh ahli waris yang berhak mengikut Sistem Adat Perpatih.

1) Permohonan daripada Zuraidah binti Zulkifli. Notis telah dikeluarkan pada 24 Julai 2006 dan tiada bantahan daripada waris-waris lain. Perbicaraan Pembahagian Pusaka Kecil Di Bawah Seksyen 10 Tanah Adat terhadap harta peninggalan simati iaitu Saodah binti Ujang. Tarikh kematian pada 16 April 2004. Harta simati yang dibicarakan ialah tanah di Lot 285 mukim Pedas, Lot 1029 mukim Tanjung Keling, Lot 838 mukim Tanjung Keling, Lot 35 mukim Selemak dan Lot 298 mukim Selemak.

            Hubungan pemohon dengan simati ialah hubungan anak dengan emak. Simati daripada Suku Tanah Datar dan anak buah kepada Dato` Lembaga Maharaja Inda Hj. Samat bin Hassan. Simati telah meninggal dunia pada 16 April 2004 kerana sakit tua. Simati meninggalkan 7 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.

            Kesemua waris-waris yang hadir perbicaraan bersetuju untuk membahagikan harta pesaka simati secara muafakat.pembahagian seperti berikut :-

                        i ) GM 1034 Lot 285  Pedas               - 1) Zuraidah
                                                                                     - 2) Zahariah
                                                                                     - 3) Ruzainee

                       ii ) GM 40 Lot 1029  Tanjung Keling  - 1) Ruzila

                      iii ) GM 762 Lot 35   Selemak               - 1) Ruzainee


      
                      iv ) GM 1238 Lot 838 Tanjung Keling  - 1) Rohana

                                                                                      - 2) Azlina


                       v ) GM 952 Lot 298 Selemak               - 1) Fazilahanim



            Dato` Lembaga Maharaja Inda Hj. Samat bin Hassan memberi keterangan bahawa mereka yang hadir adalah anak buahnya dari suku Tanah Datar dan bersetuju harta simati dipindahkan secara muafakat.

            Keputusan bagi kes ini, Raja Shah bin Raja Salim sebagai Penolong Pentadbir Tanah Rembau berpuas hati terhadap segala keterangan yang diberi dalam perbicaraan dan dengan persetujuan Dato` Maharaja Inda Hj. Samat bin Hassan, maka membuat perintah harta simati dibahagi-bahagikan kepada ahli waris secara muafakat.

2 )  Permohonan daripada Fatimah binti Hj. Kadir. Notis telah dikeluarkan pada 23 Ogos 2006 dan tiada bantahan daripada waris-waris lain. Perbicaraan Pembahagian Pusaka Kecil Di Bawah Seksyen 10 Tanah Adat terhadap harta peninggalan simati iaitu Che Yah binti Dahlan. Tarikh kematian pada 7 Mei 2000. Harta simati yang dibicarakan ialah tanah di Lot 1584 mukim Nerasau. Hubungan pemohon dengan simati ialah hubungan anak dengan emak. Simati daripada Suku Batu Hampar Baroh dan anak buah kepada Dato` Lembaga Gempa Maharaja Hj. Ismail bin Hj. Yasin. Simati telah meninggal dunia pada 7 Mei 2000 kerana sakit tua. Simati meninggalkan 76 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.

            Kesemua waris-waris yang hadir perbicaraan bersetuju untuk membahagikan harta pesaka simati kepada semua waris perempuan secara sama rata iaitu dengan 3/60 bahagian setiap seorang.

             Dato` Lembaga Gempa Maharaja Hj. Ismail bin Hj. Yasin memberi keterangan bahawa mereka yang hadir adalah anak buahnya dari Suku Batu Hampar Baroh dan bersetuju harta simati dibahagikan secara samarata kepada 6 waris perempuan.

            Keputusan bagi kes ini, Raja Badrul Shah bin Raja Salim sebagai Penolong Pentadbir Tanah Rembau berpuas hati terhadap segala keterangan yang diberi dalam perbicaraan dan dengan persetujuan Dato` Gempa Maharaja Hj. Ismail bin Hj. Yasin, maka membuat perintah harta simati dibahagi-bahagikan kepada ahli waris secara samarata.

3.7 PENYELESAIAN DALAM KES TANAH ADAT

Setiap kes atau permasalahan yang berlaku dalam pentadbiran tanah adat akan mempunyai cara penyelesaiannya yang tersendiri. Biasanya setiap kes ada yang memakan masa yang lama dalam penyelesaiannya dan ada yang hanya beberapa bulan sahaja. Dalam kes yang telah dibincangkan dalam bantahan pewaris terhadap pindah milik harta pusaka tanah adat itu membuktikan kes itu memakan masa yang lama dan bertahun-tahun. Namun dalam pada masa yang sama, penyelesaian itu tetap diperolehi. Contoh penyelesaian dalam kes tanah adat terbiar pula akan memberi notis jika tanah tersebut terbiar dengan begitu lama dan boleh mendatangkan tidak puas hati kepada sesetengah pihak. Bagi tuan tanah, mereka akan diberi nasihat supaya mengusahakan tanah tersebut atau mencagarkan kepada pihak-pihak tertentu dalam usaha untuk memajukannya.

Selain daripada itu, pihak yang benar-benar bertanggungjawab dalam setiap penyelesaian dalam kes-kes yang berkaitan dengan pentadbiran tanah adat ini ialah pihak pentadbir tanah adat di daerah Rembau, kuasa Dato`-Dato` Lembaga seterusnya barulah pada kuasa YTM Undang Luak Rembau. Hasil dari kajian yang dilakukan di antara bilangan permohonan dalam penyelesaian kes yang berlaku dalam tanah adat jika merujuk pada rekod Pejabat Tanah Rembau adalah seperti yang terdapat dalam jadual di bawah :   

Jadual 3.3 : Bilangan Permohonan Penyelesaian Tanah Adat Di Pejabat Tanah
                                                            Rembau

              TAHUN
         PERMOHONAN
        PENYELESAIAN
                 2001
                   286
                   286
                 2002
                   258
                   258
                 2003
                   203
                   203
                 2004
                   158
                   158
                 2005
                    76
                    66
                 2006
                    60
                    39
                 2007
                    42
                    37

Sumber : Pejabat Daerah Rembau.


Berdasarkan jadual di atas, didapati kes-kes yang berlaku sekitar tahun 2001 hingga 2007 didapati permohonan dalam penyelesaian kes tanah adat ini adalah ada di antaranya merupakan permohonan bicara untuk pindah milik dan cagar tanah adat (seksyen 7 (iv) ). Manakala ada juga akibat dari permohonan bicara untuk melepaskan Pemegang Amanah Tanah adat yang telah lama. Akibat dari itu tuntutan waris yang berhak membawa kes ini seperti ke depan. Ada di antaranya juga ialah proses Ulang Bicara mengikut Seksyen 15 seperi yang telah diterangkan dalam bahagian sebelumnya.

            Oleh itu, boleh dikatakan setiap kes-kes yang melibatkan pentadbiran tanah adat ini dapat diselesaikan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dalam Undang-Undang Tanah. Pihak-pihak yang bertanggungjawab perlu prihatin dalam setiap penyelesaian kes-kes yang berlaku dalam pentadbiran tanah adat ini supaya tidak timbul sebarang masalah dan kekeliruan. Dari itu semua pihak perlu bertanggungjawab dalam penyelesaian setiap kes-kes ini.

3.8 KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan dari huraian di atas mengenai sistem adat ini dapatlah dikatakan bahawa teras kepada keseluruhan sistem ini adalah hubungan kekeluargaan dan hubungan kerjasama dalam serba serbi aktiviti masyarakat. Harta pusaka adat lebih berfokuskan kepada tanah yang telah dikategorikan sebagai tanah adat selain dari harta-harta yang lain. Ia juga merupakan aset utama dalam pembahagian harta dalam masyarakat di daerah Rembau khususnya. Ramai yang terlibat dalam proses pembahagian ini jika mengikut undang-undang yang telah ditetapkan. Sepertimana yang telah dibincangkan dalam kajian ini telah menunjukkan bahawa pentadbiran tanah adat berfokus pada konsep penyandang harta pusaka kerana ia merupakan satu aspek yang saling berkaitrapat antara satu sama lain. Sepertimana pentadbiran yang dijalankan oleh Negeri-Negeri Melayu yang lain, di Negeri Sembilan mempunyai sistem pentadbirannya yang tersendiri dan menunjukkan tingginya nilai budaya sesebuah masyarakat Minangkabau tersebut.

Secara keseluruhannya, segala hal ehwal yang berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan harta pusaka sama ada harta adat atau pun bukan adalah terletak di bawah kuasa Pejabat Tanah dan daerah Rembau iaitu Unit Pelupusan dan Pembahagian Tanah, Bahagian Tanah. Dalam menyelesaikan kes-kes yang berkaitan harta pusaka, pihak Pejabat tanah dan Daerah Rembau akan dibantu Balai Undang (Undang Luak Rembau) iaitu penguatkuasa Hukum Adat, Ketua Kampung dan Penghulu Mukim, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri.

                                                                                     





[30] Kamus Dewan (Edisi Ketiga), 1996, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

[31] Nadzan Bin Haron, Pemilikan dan Pentadbiran Tanah Adat 1800-1960, Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus, 1997, hlm. 88.



[32] Temubual bersama En.Zulkifli bin Mohd Rashid, Penolong Pentadbir Tanah Daerah Rembau.


[33] Nadzan Bin Haron, Pemilikan dan Pentadbiran Tanah Adat 1800-1960, Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus, 1997, hlm. 17.

[34] W.E., Law and Customs of The Malay With Reference to the Tenure of Land, JSBRAS, No.13, 1884, hlm.87.

[35] Setiap Buapak dan Dato` Lembaga mempunyai anak buah yang sama Perut di mana setiapnya mempunyai tanggungjawab pada anak buah yang sama suku. Contohnya kita boleh liat dalam bahagian lampiran yang menerangkan jawatan-jawatan Dato` Lembaga dan apakah suku-suku yang disandang untuk memastikan siapakah yang bertanggungjawab ke atas sesuatu suku yang ada dalam masyarakat di Rembau.
[36] Nadzan Bin Haron, Pemilikan dan Pentadbiran Tanah Adat 1800-1960, Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus, 1997, hlm. 88.

[37] Temubual bersama En.Zulkifli bin Mohd Rashid, Penolong Pentadbir Tanah Daerah Rembau.

[38]  Nadzan Bin Haron, Pemilikan dan Pentadbiran Tanah Adat 1800-1960, Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus, 1997, hlm. 107.


[39] Temubual bersama En.Zulkifli bin Mohd Rashid, Penolong Pentadbir Tanah Daerah Rembau.


[40] Nadzan Bin Haron, Pemilikan dan Pentadbiran Tanah Adat 1800-1960, Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus, 1997, hlm. 124.


[41] Temubual bersama En. Zulkifli bin Mohd. Rashid iaitu Penolong Pentadbir Tanah Daerah Rembau.
[42] Salah satu contoh kes yang dirujuk pada pejabat tanah dan segala yang dikaji adalah berdasarkan daripada kes-kes sebenar yang berlaku dalam masyarakat di daerah Rembau.

[43] Sila rujuk dalam bahagian lampiran. Terdapat nama-nama waris yang hadir dalam perbicaraan ini.

[44] Sila lihat dalam bahagian lampiran.
[45] Pihak- pihak yang bertanggungjawab ialah Penolong Pentadbir Tanah Daerah Rembau, Dato`-Dato Lembaga dan akhirnya perlulah mendapat pengesahan dari YTM. Undang Luak Rembau sekiranya Kes ini serius.
[46] W.E. Maxwell, The Law and Customs of The Malays With Reference to The Tenure of Land, JSBRAS Vol. 13, 1884, hlm., 82.





BAB IV


PERBANDINGAN SISTEM ADAT PERPATIH DENGAN HUKUM SYARAK DALAM PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA


4.1 PENGENALAN

Undang-undang pusaka Islam (faraid) adalah satu sistem yang unik kerana ia bersumberkan wahyu daripada Allah s.w.t sesuai dengan naluri dan fitrah kejadian manusia. Sistem pusaka Islam berbeza dengan sistem pusaka sebelum Islam dalam pelbagai aliran dan fahaman terutama selepas turunnya ayat al-mawarith (Surah al-Nisa` ayat 11,12 dan 176). Selepas turun ayat al-mawarith terdapat beberapa pembaharuan dan keistimewaan dalam undang-undang pusaka Islam yang kekal hingga sekarang. 

            Islam amat mengambil berat tentang pembahagian harta pusaka si mati dengan menentukan beberapa perkara yang berkaitan dengannya. Perkara-perkara tersebut penting diketahui untuk menjaga harta peninggalan si mati dari berlaku sebarang penyelewengan dalam pembahagiannya kepada waris-waris. Dalam bahagian ini, akan dijelaskan jenis-jenis waris, siapakah di antara mereka yang berhak ke atas harta pusaka tersebut dan sebaliknya serta dijelaskan pembahagian-pembahagian waris-waris menurut hukum faraid.

            Justeru, dalam bahagian ini akan ditekankan mengenai perbandingan di antara pembahagian harta pusaka menurut hukum faraid dengan pembahagian harta pusaka menurut Adat Perpatih. Adat Perpatih merupakan satu perkara yang sinonim dengan nisab ibunya. Oleh itu, orang yang paling berhak untuk menerima harta pusaka dalam sistem Adat Perpatih ini adalah anak perempuan atau waris perempuan. Anak lelaki sama sekali tidak berhak untuk memilikinya. Seorang ibu yang pupus keturunannya, maka harta yang dimilikinya akan kembali kepada waris perempuan dari perut atau suku yang sama setelah ia meninggal dunia. Perbincangan selanjutnya mengenai perbandingan pembahagian harta pusaka menurut hukum Faraid dan Sistem Adat Perpatih ini akan dijelaskan dalam bahagian ini.


4.2 UNSUR-UNSUR PEWARISAN ISLAM

4.2.1 Sumber Hukum Islam

Di dalam istilah ilmu fuqaha, warisan disebut sebagai faraid yakni bahagian hukum yang khusus mengatur urusan warisan seseorang yang meninggal dunia. Ia mementingkan apa yang dinamakan sebagai harta peninggalan si mati, dasar pembahagian serta cara menghitung pembahagian tersebut. Ia menjadi amat penting dan digolongkan dalam fardu kifayah.[47]

            Adapun sumber utama hukum pusaka Islam ialah al-Quran, Hadis dan Ijma` . Al-Quran sendiri bagaimanapun hanya meletakkan dasar-dasar umum manakala hadis dan ijma` kemudiannya menghuraikan secara terperinci.

            Ayat al-Quran yang sering dijadikan nas adalah :

1 . Surah An-Nisaa` : 7, yang bermaksud :

“ Bagi laki-laki ada hak bahagian dari harta peninggalam ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan”.[48]

2 . Sementara Surah An-Nisaa` ayat-ayat 11 dan 12 memperincikan tentang bahagian pusaka tersebut dan 13 dan 14 menyatakan tentang nikmat terhadap orang yang mematuhi perintah Allah dan apa yang disediakan olehNya.

            Sementara hadis yang menyentuh tentang faraid ialah :-

1. Hadis dari Jabir diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tarmizi dan Ibn Majah dan Ahmad adalah merupakan hadis pertama yang menyentuh tentang Faraid.
Janda Sa`ad Ibn Dabi` datang kepada Rasulullah s.a.w. bersama dengan 2 orang Anak Perempuannya, lalu ia berkata :

“ Ya Rasulullah, ini 2 orang anak perempuan Sa`ad yang telah gugur dalam peperangan di Uhud. Bapa saudara mereka telah mengambil harta peninggalan ayah mereka tanpa memberikan apa-apa untuk mereka. Keduanya tidak mungkin kahwin tanpa harta. Nabi berkata : “ Allah akan menetapkan hukum dalam kejadian ini. Sesudah itu turunlah ayat-ayat tentang kewarisan. Kemudian Nabi s.a.w. memanggil bapa saudara dan berkata : “Berikanlah faraid (bahagian yang telah ditentukan dalam al-Quran) kepada yang berhak menerimanya dan selebihnya berikan kepada keluarga lelaki yang terdekat”.

            Dan sumber yang terakhir ialah Ijma` yang memperincikan apa yang dinyatakan secara umum oleh al-Quran dan Hadis. Ia merupakan kesamaan pendapat semua mujtahid dalam usaha mendapat dan merumus hukum sama ada ia ijma` `sarih` atau `sukuti`.[49]

4.2.2 Asas Hukum Waris

Asas-asas ini dapat dirumuskan dari keseluruhan ayat-ayat al-Quran dan penjelasan tambahan oleh hadis dan ijma`. Antara asas-asas tersebut ialah :-

  1. Asas Ijbari :

            Ia bermaksud berlaku dengan sendirinya menurut kehendak Allah tanpa bergantung kepada kehendak si mati atau ahli waris. Dalam istilahnya ditujukan kepada ahli waris yang mendapat bahagian harta pusaka menurut ketetapan al-Quran dan Hadis.

Asas ini dapat dilihat dari firman Allah di dalam surah An-Nisaa`, ayat 7 yang bermaksud:

“Bagi laki-laki ada hak bahagian dari harta peninggalam ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan”.[50]

            Perkataan ` Bahagian ` dapat difahami sebagai jumlah yang telah ditentukan untuk ahli waris tanpa perlu si mati menjanjikan apa-apa bahagian dan tidak perlu ahli waris meminta haknya. Dari segi jumlah dan ahli-ahli waris yang berhak telah dinyatakan melalui Surah An-Nisaa` ayat-ayat 11, 12 dan 176.

  1. Asas Bilateral

Ini bererti, seseorang menerima hak pewarisan dari kedua belah pihak menurut garis kerabat lelaki dan perempuan. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam Surah An-Nisaa` ayat 7, 11, 12 dan 176.

            Ayat 7, merupakan asas kepada kewarisan bilateral itu, di mana perempuan dan lelaki mendapat bahagian dari kedua ibubapanya. Secara terperincinya asas ini dapat difahami dalam ayat-ayat selanjutnya.

Ayat 11 menyatakan :-

          i.            Anak perempuan berhak menerima warisan dari ibubapa sebagaimana didapati oleh anak lelaki dengan bandingan anak lelaki mendapat 2 bahagian daripada anak perempuan.

        ii.            Ibu berhak mendapat seperenam atau sepertiga anaknya dan bapa berhak kepada seperenam.

Ayat 12 menjelaskan :-

  1. Isteri mendapat seperempat ( 1/ 4 )  atau seperlapan ( 1/8 ) .

  1. Saudara lelaki dan perempuan berhak mendapat warisan bila simati tidak meninggalkan anak atau bapa.

            Sementara ayat 176 menjelaskan seakan keadaan yang serupa dengan ayat 12 di atas, cuma terdapat sedikit perbezaan dari segi pembahagian harta warisan saudara lelaki dan perempuan.

  1. Asas Individual

            Ini bererti, harta warisan dapat dibahagi-bahagi untuk dimiliki secara perseorangan tanpa terikat kepada ahli waris yang lain. Ini berdasarkan kepada ketentuan bahawa setiap insan dari segi peribadi mempunyai kemampuan untuk menerima hak dan menjalankan kewajipan, yang dalam istilah Usul Fiqh disebut `ahliyatul al-wujub`.

            Sifat ini dapat dikaji dari aturan-aturan al-Quran yang menyatakan akan perihal itu. Ayat 7 Surah Al-Nisaa` menjelaskan akan hak-hak lelaki dan perempuan dan ayat-ayat 11,12 dan 176 menjelaskan secara terperinci hak masing-masing menurut bahagian yang tertentu dan pasti.

            Ini adalah ketentuan yang mengikut dan wajib dijalankan oleh setiap orang Islam dengan hukuman yang berat menanti mereka, jika mereka mengenepikannya. Asas ini mebuatkan mereka bebas untuk bertindak dan berbuat sesuatu terhadap harta tersebut. Dan ahli-ahli waris yang tidak cukup syarat untuk mengendalikan harta tersebut, maka warisan mereka diletak di bawah pemegang amanah. [51]


4.2.3 Harta Warisan

Harta warisan menurut pengertian bahasa Arabnya, bermaksud apa yang ditinggalkan oleh simati, baik yang merupakan harta benda mahupun yang merupakan warisan. Sementara menurut Hukum Islam ialah segala sesuatu yang ditinggalkan oleh simati yang secara hukum dapat beralih kepada ahli warisnya. Ini mesti dibezakan antara harta peninggalan dan harta warisan. Harta peninggalan ialah apa yang berada pada seseorang pada saat kematiannya, sedangkan harta warisan ialah harta yang berhak diterima dan dimiliki oleh ahli waris.

            Hak dan harta merupakan 2 jenis pewarisan yang boleh diwarisi. Para ulama` bersependapat bahawa hak-hak yang dapat diwariskan adalah :

          i.            Hak-hak yang dapat dinilai dengan harta seperti hak melalui jalan.

        ii.            Tidak dapat diwariskan iaitu hak-hak yang bersifat peribadi seperti hak pemeliharaan anak.

      iii.            Hak yang tidak ditentukan sama ada bersifat peribadi atau kebendaan seperti hak `kiyar`.

            Kebanyakkan ulama`-ulama` termasuk keempat-empat mazhab iaitu mazhab Shafi`i, Hanbali, Hanafi dan Ahmad bersepakat menyatakan bahawa harta yang boleh diwarisi itu terdiri daripada :-

  1. Harta boleh alih, sama ada yang dipunyai oleh simati atau tidak seperti pemegang pajakan.

  1. Duit hak simati yang tidak dapat dikutip semasa masa kematiannya seperti hasil daripada waqf atau hutang.

  1. Hak yang tidak berbentuk adat (wang) tetapi dapat dinilai dengan wang seperti hak gadai janji. [52]

Bagaimanapun, harta yang ditinggalkan oleh simati tertakluk kepada bayaran-bayaran berikut :-

  1. Belanja pengkebumian atau pengurusan jenazah
  2. Hutang-hutang simati
  3. Wasiat yang dibuat oleh simati
  4. Harta sepencarian yang dituntut oleh pasangan suami isteri apabila berlaku       penceraian atau kematian salah satu pihak. [53]
  5. Pembahagian harta terhadap ahli waris, jika tiada ahli waris maka harta tersebut balik kepada Baitulmal.

            Mazhab Shafi’i, Maliki dan Hanafi berpendapat bahawa pembayaran hutang mesti diutamakan daripada belanja pengkebumian.

            Oleh yang demikian, ahli waris hanya memperolehi habuan harta yang bersih daripada segala bayaran di atas. Kewajipan ahli waris hanya sekadar menjelaskan bayaran-bayaran tersebut dengan harta peninggalan tersebut. Tidak ada kewajipan ahli waris untuk menjelaskannya dengan harta sendiri.

4.2.4 Ahli Waris dan Hak-Hak Mereka

Apabila seseorang Islam meninggal dunia, segala harta benda yang dimiliki ketika hayatnya mesti dibahagikan kepada waris yang berhak menerimanya. Perkataan waris berasal dari Bahasa Arab `warts` yang bererti, yang tinggal atau yang kekal.



Timbulnya ahli waris disebabkan oleh 4 faktor utama :-

  1. Melalui nikah atau perkahwinan

  1. Melalui nasab atau hubungan darah (kekeluargaan)

  1. Wala`, yakni orang yang telah memerdekakan hambanya adalah ahli waris bagi bekas hambanya, kalau hambanya tidak meninggalkan waris dan,

  1. Melalui hubungan sesama Islam, orang Islam yang meninggal dunia dan tidak ada ahli warisnya yang tertentu, harta peninggalannya diserah kepada Baitulmal untuk kepentingan umat Islam.[54] 

Rukun waris itu ada 3 :

  1. Orang yang diwarisi (simati)
  2. Orang yang mewarisi (ahli waris), dan,
  3. Harta yang diwarisi

            Sementara syarat-syarat waris ada 4 :

  1. Sah meninggal orang yang diwarisi,
  2. Sah orang yang mewarisi masih hidup,
  3. Mengetahui perhubungan atau pertalian mereka yang mewarisi dengan orang yang diwarisi ( pertalian melalui keluarga atau nikah atau wala`, dan ,
  4. Mengenali waris sama ada lelaki atau perempuan.[55]  

Dalam pada itu ada 2 perkara yang menegah ahli waris daripada mengambil hak-hak mereka :-

  1. Pendidingan waris. Dari segi bahasa, ia bererti mencegah, menutup atau  menghalang. Dari segi istilah diertikan sebagai halangan yang berlaku ke atas seseorang atau ahli lebih waris tertentu daripada menerima semua atau sebahagian harta kerana terdapat salah seorang atau lebih waris lainnya, sama ada ia `hirman` atau `nuqsan`.  

  1. Halangan kerana sebab tertentu.

a)      Anak luar nikah kecuali dia lahir dalam tempoh yang dibenarkan oleh syarak iaitu tidak kurang dari 6 bulan setelah berkahwin.

b)      Anak li`an, iaitu anak yang lahir dari perkahwinan yang sah tapi tidak diakui oleh suami sebagai anaknya, sedangkan ia tidak mempunyai bukti iaitu 4 orang saksi bagi membenarkan tuduhannya yang isterinya telah berzina.

c)      Berlainan agama pada masa kematian pewaris (orang yang diwarisi).

d)     Murtad, bahawa mereka yang telah sabit murtad adalah dianggap sebagai mati dan tidak berhak memiliki sebarang harta. Hubungan mereka dengan keluarga yang beragama Islam terus terputus.[56]

e)       Pembunuhan. Ini berdasarkan kepada hadith dari Abu Hurairah dan lain-lain yang bermaksud :

“ Pembunuh tidak akan mewarisi ”.

f)       Perceraian. Cerai `bain` menyebabkan pihak yang satu lagi tidak akan  mewarisi harta peninggalan bekas pasangannya kerana sifatnya yang segera, sebaliknya bagi talak `raj`ie.

Amnya, Islam telah membahagi ahli waris kepada 3 golongan iaitu, Ashab al- Furud, Ahli Waris Asabah dan Dhawi al-Arham.Waris ashab al-furud bermaksud waris-waris yang mendapat bahagian yang tetap dalam harta pusaka sebagaimana ditetapkan dalam al-Quran, al-Sunnah dan Ijmak. Waris ashab al-furud  akan menerima bahagian (fardu) yang tetap tanpa berlaku pengurangan atau pertambahan kecuali jika berlaku masalah al-`awl atau al-radd. Mereka terdiri dari 12 golongan (empat dari kalangan lelaki dan lapan dari kalangan perempuan) iaitu suami, bapa, datuk, isteri, ibu, nenek, anak perempuan, anak perempuan kepada anak lelaki, saudara perempuan seibu sebapa, saudara perempuan sebapa, saudara perempuan seibu dan saudara lelaki seibu.

            Waris-waris ashab al-furud  akan menerima bahagian (fardu) yang telah ditetapkan ( sama ada melalui al-Quran, al-Sunnah atau Ijmak ) seperti 1/2 , 1/4 , 1/8 , 1/3, 1/6 , 2/3 , atau 1/3 baki (dalam kes-kes tertentu sahaja). Mereka diberi keutamaan dalam menerima harta pusaka berbanding dengan waris asabah dan dhawi al-arham (mengikut sesetengah pendapat). [57]

            Waris-waris ashab al-furud  dari 12 golongan itu boleh dibahagikan kepada 3 golongan iaitu :

  1. Waris Utama yang terdiri daripada suami, isteri, ibu, bapa dan anak perempuan. Mereka tidak didinding dari menerima harta pusaka secara mutlak.

  1.  Waris Gantian yang terdiri daripada datuk ( bapa kepada bapa ), nenek ( ibu kepada ibu dan ibu kepada bapa) dan anak perempuan kepada anak lelaki. Waris ini akan menggantikan tempat waris utama dalam menerima pusaka, seperti datuk meninggalkan tempat bapa, nenek menggantikan tempat ibu dan anak perempuan kepada anak lelaki akan menggantikan tempat anak perempuan.

  1. Waris sisian (hawashi) yang terdiri daripada saudara perempuan seibu sebapa, saudara perempuan sebapa, saudara lelaki dan perempuan seibu.[58]


            Waris Asabah. Asabah menurut istilah ilmu pusaka pula ialah waris-waris yang tidak dinyatakan bahagian mereka daripada harta pusaka. Mereka kadangkala menerima semua harta pusaka apabila tiada waris ashab al-furud , kadangkala mengambil baki harta setelah diberikan kepada ashab al-furud dan kadangkala tidak memperolehi sebarang harta apabila ia telah dihabiskan oleh ashab al-furud . Hubungan waris asabah dengan si mati adalah sangat kuat kerana hubungan kekerabatan mereka dipertali atau dihubungkan melalui perantaraan bapa.

            Dari sini jelas bahawa waris-waris asabah ialah mereka yang tidak ditetapkan oleh al-Quran atau al-Sunnah bahagian mereka daripada harta pusaka. Kedudukan mereka dalam pembahagian pusaka adalah selepas waris-waris ashab al-furud, dimana mereka akan menerima baki harta setelah diberikan kepada waris-waris ashab al-furud sekiranya masih ada. [59]

            Waris Dhawi al-Arham dari segi istilah ulama` faraid, dhawi al-arham ialah waris yang mempunyai hubungan kerabat atau darah dengan si mati selain daripada ashab al-furud dan asabah sama ada lelaki atau perempuan. Contonhya, anak lelaki dan perempuan kepada anak perempuan, anak lelaki dan perempuan kepada saudara perempuan, bapa saudara sebelah ibu, ibu saudara sebelah ibu dan bapa, bapa kepada ibu dan lain-lain.

            Waris dhawi al-Arham adalah waris-waris yang tidak dinyatakan bahagian mereka daripada harta pusaka. Golongan waris ini jika dibenarkan mendapat harta pusaka, maka mereka adalah waris yang terakhir sekali iaitu setelah tidak ada lagi waris ashab al-furud dan asabah kecuali suami atau isteri. Walaubagaimanapun, mereka merupakan waris yang dekat hubungannya dengan si mati dari segi darjat hubungannya.[60]

4.2.5 Pembahagian berdasarkan Hukum Syarak

Terdapat 4 orang yang berhak memperolehi 2/3 pembahagian harta pusaka, iaitu:-[61]

1)    2 orang anak perempuan atau lebih
2)    2 orang cucu perempuan sebelah lelaki atau lebih
3)    2 orang saudara perempuan sekandung atau lebih, dan
4)    2 orang saudara perempuan seayah atau lebih

Ahli waris yang berhak mendapat pembahagian 1/3 ada 2 orang iaitu :-

1)      Ibu
2)      Anak-anak ibu lelaki atau perempuan, 2 orang atau lebih

Para ahli waris yang mendapat pembahagian 1/6 ada 7 orang iaitu :-

1)      Ayah
2)      Ibu
3)      Datuk
4)      Nenek
5)      Saudara seibu
6)      Cucu perempuan sebelah lelaki, dan
7)      Seorang saudara perempuan seayah atau lebih



Ahli waris yang menerima 1/2 pula ada 5 orang iaitu :-[62]

1)      Seorang anak perempuan
2)      Seorang cucu perempuan sebelah lelaki
3)      Suami

4)      Seorang saudara perempuan sekandung dan
5)      Seorang saudara perempuan seayah

Sementara ahli waris yang mendapat bahagian 1/4 ada 2 orang, iaitu :-

1)      Suami
2)      Isteri

Manakala ahli waris yang memperolehi pembahagian 1/8 hanya seorang sahaja, iaitu:-

1)      Isteri


4.3 UNSUR-UNSUR PEWARISAN ADAT PERPATIH

4.3.1 Harta Warisan

Hukum Syarak besar pengaruhnya di dalam masalah perkahwinan dan perceraian, Adat Perpatih terutamanya mengenai nikah dan talak[63], tetapi dalam masalah pewarisan dan pembahagian harta, hukum Adat Perpatih tetap bertahan terutamanya yang melibatkan harta tanah.

            Secara umumnya, tujuan serta maksud hukum waris dalam adat dan Islam adalah sama, iaitu berfungsi sebagai kaedah-kaedah hukum yang mengatur pemindahan harta peninggalan seseorang yang telah meninggal dunia kepada ahli warisnya, sama ada harta tersebut berbentuk harta benda atau tidak bersifat benda.

Terdapat tiga syarat penting yang terkandung di dalam hukum waris Adat Perpatih iaitu :-

  1. Ada seseorang yang meninggal dunia
  2. Ada ahli waris si mati, dan
  3. Ada harta peninggalan si mati 

Terdapat 4 jenis harta dalam sistem pewarisan, iaitu :-

  1. Harta pusaka
  2. Harta pembawa
  3. Harta dapatan
  4. Harta carian[64]

Harta Pusaka : Harta yang sudah boleh dipusakai iaitu harta yang sudah jadi hak milik. Pada masa dahulu, tanda-tanda hak milik merupakan ladang atau huma yang telah ditinggalkan (bersesapan), batang padi yang sudah kering (berjerami), pokok-pokok yang telah ditebang (bertunggul) dan tanah yang telah diratakan (berpemarasan).[65]

            Adat Perpatih mengawal 2 jenis harta pusaka iaitu :-

  1. Pusaka Benar. Ia adalah harta kepunyaan suku dan terdiri dari tanah-tanah kampung, dusun buah-buahan dan rumah yang diwarisi dari ibu yang letaknya di atas tanah pusaka. Di negeri asal, negeri Minangkabau, ia terkenal dengan istilah pusaka tinggi dan dalam  `Enakmen Pemegangan Tanah Adat 1990 `, di sebut Tanah Adat ( Customary Land ).[66]

  1. Pusaka Sendiri. Ia disebut juga sebagai Pusaka Pakaian Diri Sendiri yakni berbentuk milik perseorangan, yang diwarisi oleh anak daripada orang-orang tuanya seperti barang kemas. Di Minangkabau, ia dikenali sebagai Pusaka Rendah dan dalam Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 disebut sebagai pusaka kecil.

Prinsip am harta pusaka ia tidak boleh dijual atau digadai seperti ditetapkan dalam hukum adat :-

                        “ Dijual tidak dimakan beli,
                           Digadai tidak dimakan sandar”

            Sekiranya ada pihak yang cuba menjual atau menggadai maka persetujuan pihak-pihak tertentu harus diperolehi :-

  1. Kadim[67] – Kategori yang paling berkuasa, tanpa persetujuan mereka rintangan terlalu kuat (melintang).

  1. Waris – persetujuan mereka juga penting tetapi tidaklah sepenting kadim cuma `menongkat`, tidak begitu kuat.

  1. Orang tua-tua ( seperti buapak ) – yang berkuasa membatalkan penjualan.[68]

Tanah Pusaka yang bertuan sekali-kali tidak boleh dijual. Bagaimanapun, ia boleh digadai dalam 4 soal jika terdapat permuafakatan di kalangan anggota suku :-
  1. Mayat terbujur tengah rumah, atau,
  2. Gadis bergadang tidak berlaki, atau,
  3. Rumah gadang ( rumah adat ) ketirisan, atau,
  4. Membangkit batang berendam (upacara melantik dan mengisytiharkan Ketua Adat).[69]

Mengenai tiga jenis harta yang lain, Adat Perpatih menyatakan :-

                        Carian dibahagi,
                        Dapatan tinggal,
                        Pembawaan kembali.

            Harta Carian : ia adalah harta carian laki bini, semasa mereka mendirikan rumahtangga. Ia didapati dengan cara belian dan tidak termasuk dalam kategori harta pusaka. Ia juga boleh berasal daripada harta pembawa atau dapatan. Umpamanya harta dapatan seekor kerbau, jika kerbau itu membiak maka anak-anak kerbau itu dikatakan carian laki bini.

            Harta Dapatan : ia termasuk dalam kategori harta pusaka dan merupakan harta milik perempuan yang diwarisi dari ibunya atau waktu ia berkahwin. Termasuk di dalamnya :

  1. Harta Carian Bujang - yang didapati sebelum berkahwin, dan,
  2. Harta Carian Janda – di dapati sewaktu wanita itu bercerai dengan suaminya.

            Harta Pembawa : ia adalah harta milik kaum lelaki yang didapati sebelum berkahwin, sama ada ia merupakan harta carian bujang atau yang dihadiahkan[70] oleh ibu bapanya atau hadiah-hadiah dari keluarga sesudah berkahwin dan harta bahagiannya hasil dari pembahagian harta carian jika ia sudah beristeri sebelum itu.
Secara kesimpulannya, prinsip harta warisan ialah :

                        Pembawa kembali,
                        Dapatan tinggal,
                        Mati laki tinggal ke bini,
                        Mati bini tinggal ke laki.


4.3.2 Asas Hukum Waris

Adat Perpatih mempunyai pengertian tersendiri tentang keluarga dan perkahwinan. Dari kedua hal ini muncul ciri stuktur kemasyarakatan, yang menimbulkan bentuk atau asas tersendiri dalam hukum kewarisan.[71]

  1. Asas Unilateral

Maksud Asas Unilateral ialah hak warisan hanya berlaku dalam satu garis kekerabatan iaitu garis kekerabatan ibu. Ini adalah kerana sistem Adat Perpatih berpegang kepada semua hubungan kekeluargaan dan jurai keturunan adalah didasarkan kepada pihak ibu. Termasuk dalam garis ibu adalah ibu, anak-anak perempuan, anak-anak lelaki , cucu perempuan, cucu lelaki dan seterusnya. Pihak ibu merupakan pengasas keluarga. Dalam susunan keluarga seperti ini, seorang perempuan dikehendaki berkahwin dengan lelaki di luar dari sukunya (eksogami), dengan ini kedudukan ayah atau suami tidak begitu penting. Akan tetapi, hak dan urusan pentadbiran keluarga masih terletak kepada saudara lelaki.

            Tetapi dalam waktu ini, prinsip unilateral telah bergerak ke arah kewarisan bilateral. Ini kerana, orang semenda tidak lagi dianggap sebagai tetamu tetapi sebagai kepala dalam lingkungan keluarganya kerana telah mantap dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap anak isteri. Tambahan lagi melalui harta yang dibawa oleh suami itu sendiri ( harta pembawa ) mewujudkan hubungan kewarisan ayah anak.[72]

  1. Asas Kolektif

Asas ini bererti bahawa pihak yang berhak ke atas harta pusaka bukanlah orang perseorangan, tetapi suatu kelompok secara bersama-sama. Ini bermakna, walaupun perempuan yang berhak terhadap harta yang diwarisi, tetapi mereka hanya mempunyai hak pakai.

Ahli-ahli suku diibaratkan sebagai “ bak telur sesangkar, pecah sebiji, pecah semuanya”. Oleh kerana itu, segala peraturan yang mengenai seseorang ditujukan kepada memelihara keseluruhan suku. Menurut Ahmad Ibrahim :

            “ ……… the social unit is
            not the family but the tribe
            …….. and all rules affecting
            property are designed to
            conserve the property for the tribe”.[73]

E.N Taylor menyatakan :

            “ All ancestral property belongs
            to the tribe, it rests in the
            female members but they old it
            as trustees for their tribe
            rather them owner”.[74]

Oleh kerana Adat Perpatih memakai sistem kewarisan kolektif, maka harta diletakkan dalam suku dan tidak dalam perseorangan.

Ahmad Ibrahim menyatakan :

            “ From the principle that the
            matrilineal tribe is the social
            unit, four cardinal principles
            of distribution have been deduced :

  1. All property rests the tribe, not in the individual
  2. Acquired property, once inherited becomes ancestral, of the tribe , and
  3. All ancestral property is strictly entailed, entrusted in tail femal .”

Dengan ini, asas kolektif bertujuan untuk :-[75]

                                i.            Menjaga keharmonian dalam keluarga. Ini adalah kerana pembahagian harta tidak selamanya memuaskan semua pihak dan akan timbul perasaan hasad dengki. Oleh itu, asas kolektif ini akan mereda dan mengikis perasaan tersebut.

                              ii.            Menjaga keutuhan harta. Dengan ini, pengaliran harta ke luar suku sukar berlaku kerana asas kolektif ini memberikan hak kepada semua ahli kaum untuk mengawalnya.    
 
4.3.3 Ahli Waris dan pembahagian berdasarkan Hukum Adat

Pengertian ahli waris di dalam adat adalah orang-orang yang berhak meneruskan peranan dalam pengurusan harta pusaka. Kematian seseorang menyebabkan kembalinya harta itu kepada kaum, kemudian pengolahannya diteruskan oleh orang lain yang disebut sebagai waris dalam pengertian adat.
Waris-waris yang sah kepada harta pusaka si mati adalah jatuh kepada anak-anak si mati dari keturunan mereka yang perempuan. Dan jika tiada keturunan perempuan, maka harta itu berpindah kepada keturunan perempuan dari moyang yang terdekat. Sungguhpun adat memberi harta kepada anak perempuan, namun dalam tiadanya perempuan-perempuan (ahli waris yang berhak disegi adat), maka hak pakai seumur hidup (life-occupancy) diberikan kepada anak lelaki. Dengan ini prinsip yang terdekat mengecualikan yang jauh terpakai seperti anak lelaki menghalang bapa saudara sebelah ibu. [76]

Oleh kerana hubungan di kalangan keluarga adalah dikira dari pihak ibu atau perut ibu, kemudian digalakkan sanak ibu jika emak-emak ibu adalah bersaudara atau sanak dato` kalau ibunya bersaudara. Maka, dapat disimpulkan bahawa susunan ahli waris adalah seperti berikut :[77]

  1. Semua ahli waris perempuan yang diiktiraf oleh adat yang berasal dari perut yang sama, dan kemudian,

  1. Anak lelaki jika ada tapi hanya terhadap hak pakai kerana selepas ia mati, harta dikembalikan kepada suku.

            Bagaimanapun, pihak lelaki tersebut tidaklah tergolong dalam ertikata ahli waris sebenar dari segi adat, namun mereka boleh mengambil benda-benda peribadi ayahnya seperti seluar, baju, keris dan yang tiada gunanya kepada perempuan, yang dinamakan ` cenderong mata ` untuk kenang-kenangan. Malah ia mempunyai hak kepada hasil tanah pusaka yang mungkin ia sendiri tanam atau tanaman ibu bapa.

            Dari segi harta carian bujang seorang lelaki yang meninggal dunia, warisnya adalah keluarga perempuan yang terdekat. Sementara saudara perempuan menjadi waris kepada ibunya dalam hal harta pembawa atau dapatan. Bagi carian laki bini pula, waris si mati adalah suami atau isteri atau anak.

Adat juga mengiktiraf akan anak angkat yang diberi nama mengkedimkan budak dan ini memberi kesan terhadap hak waris anak angkat. Mengikut seksyen 24(d) Akta Pusaka Kecil ( Pembahagian) 1955,[78] seorang Pemungut Hasil Tanah boleh memberi hak pewarisan kepada mereka.

Terdapat 2 jenis anak angkat dalam adat ini iaitu :-[79]

1)      Anak angkat perempuan yang diambil dari kaum keluarganya sendiri yang sama suku dengan emak angkatnya. ( anak tarik ).

2)      Anak angkat perempuan yang diambil dari bangsa asing atau orang melayu dari luar lalu dimasukkan dalam suku emak angkatnya melalui upacara berkedim. ( anak angkat berkedim).

            Dalam masalah anak angkat, sekiranya simati tidak mempunyai waris kecuali anak angkat sahaja, maka beliau atau mereka ( anak angkat ) itu berhak mewarisi semua sekali. Sekiranya simati ada waris lain, maka bahagian anak angkat ditentukan mengikut persetujuan antara waris atau diperuntukkan 1/3 baagian, sekiranya berlaku pertelingkahan. Jika semasa hayatnya anak angkat tersebut telah diberikan harta, maka bahagiannya ditentukan oleh waris-waris lain seperti emak angkatnya meninggal dunia. Sekiranya tidak mendapat persetujuan, anak angkat ini tidak berhak mewarisi.[80] 

 Biarpun terdapat prinsip umum iaitu anak lelaki tidak berhak terhadap harta, tapi jika harta tersebut tidak termasuk di dalam kategori yang dinyatakan dalam `Enakmen Pemegangan Tanah Adat 1909 `, maka anak lelaki mahupun perempuan berhak kepada bahagian yang sama rata. [81]

4.3.4 Cara Pewarisan

Apa yang dimaksudkan dengan cara pewarisan di dalam Adat Perpatih adalah proses peralihan harta dari si mati kepada ahli waris.[82]

Harta Pusaka : Harta ini menjadi hak milik mutlak bagi kaum perempuan. Biasanya sebuah rumah hanya didiami oleh seorang ibu bersama anak-anaknya dan harta tersebut berada di bawah pengurusan ibu itu. Bila si ibu meninggal, harta pusaka itu jatuh kepada anak-anak perempuan dan ia dibantu oleh saudara lelakinya dalam menguruskan harta tersebut dan biasanya cuma anak perempuan yang bongsu yang biasanya diwariskan tanah pusaka yang mengandungi rumah kediaman. Jika keluarga itu tiada anak perempuan, maka harta pusaka jatuh kepada waris perempuan yang terdekat kepadanya seperti saudara perempuan atau anak saudara perempuan. Jika tiada juga, maka harta itu berpindah kepada saudara perempuan di dalam suku, walaupun saudara jauh. Anak lelaki hanya mempunyai hak pakai selama hidupnya seperti yang telah diterangkan sebelum ini.

            Jika timbul keadaan yang disebut `pusaka tergantung`[83], maka anak lelaki akan menyembahkannya kepada `Undang` untuk dilelong. Dalam lelongan ini, anggota-anggota suku itu sendiri diberi keutamaan sebelum dibuka kepada orang ramai dan hasilnya akan diberi kepada anak-anak lelaki si mati atau abang atau bapa saudaranya mengikut keadaan.

            Harta Pembawa : Sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini, harta ini adalah harta lelaki yang didapati sebelum berkahwin dengan isterinya yang didapatinya melalui beberapa cara.Bila ia meninggal, maka perbilangan adat menyatakan :-
                                                Bawaan Kembali,
                                                Dapatan Tinggal. 

Umumnya, harta ini didapati semasa ia berada di dalam suku asalnya, maka apabila ia meninggal, maka harta ini akan kembali kepada waris perempuan suku asalnya itu. Hasil pemakaian prinsip ini maka timbullah konflik atau perbalahan antara anak dengan saudara-saudara di sebelah bapanya kerana :

  1. Oleh kerana telah lama harta itu diusahakan oleh keluarganya, maka si anak beranggapan bahawa harta itu adalah harta ayahnya, dan,

  1. Oleh kerana kedudukan ayah yang menguasai harta tersebut, maka anak menyatakan bahawa harta tersebut telah dihibahkan oleh ayahnya.

            Walaubagaimanapun, biar apapun alasan yang diberi oleh anak, prinsip adat bawaan kembali tetap terpakai. Dalam keadaan bila si isteri meninggal, si suami pulang ke suku asalnya bersama-sama dengan harta bawaan tersebut.

            Harta dapatan : Ia merupakan harta yang telah ada pada isteri sebelum ia berkahwin sama ada ia adalah harta pusaka yang diwarisi atau harta hasil usahanya sendiri. Bagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan terhadap kedua-dua jenis harta yang didapatinya di atas, iaitu harta hasil usahanya sendiri adalah untuk anak-anaknya sedangkan harta pusaka, disamping wujud hak anak-anaknya, juga wujudlah hak saudara-saudaranya kerana harta itu diterima bersama dengan saudaranya. Sama ada isteri atau suaminya meninggal, harta tersebut tidak akan dapat beralih keluar dari suku isteri tersebut kerana suami hanya mengusahakan harta tersebut.[84]

Harta Carian ( Sepencarian ) : Ini adalah harta yang didapati oleh suami isteri selama ikatan perkahwinan, sumbernya pula , mungkin berasal daripada harta pembawa atau harta dapatan. [85]

            Cara pewarisannya ditentukan umumnya melalui tiga cara :-

                                i.            Jika suami atau isteri mati tanpa meninggalkan anak, maka balu (suami atau isteri) mewarisi harta tersebut,

                              ii.            Jika suami mati meninggalkan anak, maka harta jatuh kepada isteri dan anak, dan,

                            iii.            Jika isteri mati meninggalkan anak, harta jatuh pada suami dan anak.

            Kematian mana-mana balu tersebut maka harta tersebut akan jatuh kepada anak-anaknya. Apabila harta ini jatuh kepada anak-anak, maka wujudlah asas pewarisan individual di mana ia dapat diberi kepada setiap orang anak.[86]

4.4 PERBANDINGAN PEMBAHAGIAN BERDASARKAN HUKUM SYARAK DENGAN HUKUM ADAT

Undang-undang warisan pusaka Islam dan Adat Perpatih diamalkan secara serentak di dalam kehidupan masyarakat Adat Perpatih amnya, maka sudah pastilah timbul beberapa perkara pertembungan antara kedua-duanya, lebih-lebih lagi dalam hal pewarisan tersebut.

            Islam telah menghapuskan sistem pengambilan anak angkat dan oleh itu tidak mengenal langsung praktik adat dan tidak mengakuinya, tetapi menurut Adat Perpatih `Kedim` atau pengambilan anak angkat adalah diakui. Sungguhpun istiadat dan caranya adalah agak berbeza antara satu suku dengan suku yang lain, namun kesan dari sistem ini adalah sama sahaja. Umpamanya, kebanyakan anggota ahli Adat Perpatih bersetuju bahawa seseorang anak angkat adalah mempunyai hak-hak yang sama sebagaimana anak sebenar, selagi persetujuan waris dan kerelaan lembaga boleh didapati. Dalam kes Kiah lawan Amah[87] telah diputuskan bahawa jika seseorang anak angkat diambil, ia juga berhak mewarisi harta ibu angkatnya.

            Berhubung dengan wasiat, menurut undang-undang Islam, seseorang Islam yang telah mencukupi syarat-syarat yang membolehkannya membuat wasiat, maka wasiat sah dibuat dengan tidak melebihi sepertiga (1/3) harta. Tetapi mengikut Adat Perpatih, seseorang itu tidak dapat dalam sebarang keadaan membuat wasiat dari hartanya. Jika dibuat juga, maka wasiat tidak sah menurut adat dan mengakibatkan waris-warisnya berhak untuk mengambil balik semua harta. Ini boleh dilihat dalam kes Re Dato` Ngiang Kulop Kidal Deo[88], di mana seseorang yang tertakluk kepada adat `matriarcal` tidak boleh membuat wasiat. [89]

Adat telah mengiktiraf sejenis harta yang masih menjadi persoalan dan tanda tanya sama ada  harta ini wujud di dalam Islam atau tidak. Ini adalah harta sepencarian. Bagaimanapun, seorang penulis, Md. Akhib bin Yaakob telah mengupas dan membuat kesimpulan bahawa harta sepencarian tidak bertentangan dengan Islam sebab kedua-dua suami isteri adalah bekerja dan setiap mereka harus mendapat ganjaran dan ia juga tidak jauh larinya dari peruntukan `Syarikatul Abdan` dalam mazhab-mazhab Maliki, Hanbali mahupun Hanafi.

            Akan tetapi, perkara yang nampak jelas akan perbezaan antara Islam dan adat adalah dalam hal ahli waris. Di dalam Islam, ahli waris telah ditentukan melalui ketetapan-ketetapan ayat-ayat al-Quran Surah An-Nisa : 7, 11, 12 dan 176 dan juga melalui hadis-hadis dan ijma`. Namun, di dalam Adat Perpatih, ketentuan dan ketetapan telah dibuat iaitu hanya anak perempuan atau garis kerabat perempuan sahaja yang berhak, waris kelonggaran hanya terdapat di dalam hal pewarisan harta sepencarian, di mana anak lelaki dan anak perempuan mewarisi sama rata. 

Bagaimanapun dari segi pewarisan harta pusaka kecil yang dirangkumi oleh Akta Pusaka Kecil ( Pembahagian ) 1955 yang terutamanya ditujukan kepada kebun-kebun getah, Mohd Din bin Ali menyatakan,

            “ Thus while Customary Lands
            are divided among the females
            per-capita, the non customary
            lands are divided accordingly
            to Islamic law under which the
            share of the male is equivalent
            to twice that of the female.”[90]

Oleh itu terdapat juga pemakaian prinsip Islam dalam hal pewarisan Adat Perpatih.

            Adat Perpatih lebih mementingkan suku sebagai satu unit sosial, lantas dengan itu wujudlah asas kewarisan kolektif yang menyebabkan harta tidak boleh dibawa keluar dari kewarisan suku. Namun, di dalam Islam, wujudnya institusi Baitul Mal yang bertindak sebagai penerima harta simati apabila memenuhi syarat-syarat yang telah ditentukan oleh Islam. Ia berfungsi untuk manfaat seluruh umat Islam tanpa mengenal bangsa atau suku.

            Seperkara lagi, Adat Perpatih mengakui bahawa adat adalah mengikut Hukum Allah. Ini dapat dilihat melalui perbilangan adat :

                        Adat bersendikan hukum,
                        Hukum bersendikan kitabullah.
Akan tetapi apa yang jelasnya, dalam hal pewarisan, masyarakat Adat Perpatih meninggalkan hukum Allah dan sebaliknya mengikut amalan adat.


4.5 KESIMPULAN

Pertentangan di antara undang-undang Islam dan adat tempatan merebak secara meluas di dalam dunia Islam dan beberapa contoh telah diketahui di banyak negeri. Satu daripada beberapa contoh yang melampaui yang berlaku, baik di Malaysia mahu pun di Indonesia ialah di mana Islam sebagai satu sistem perundangan yang secara jelas dan nyata kelihatan bertentangan dengan undang-undang adat tempatan. Di kalangan undang-undang matrilineal Minangkabau (Adat Perpatih), bukan sahaja peraturan-peraturan perkahwinan dan pembahagian harta bertentangan dengan syariah, tetapi asas tanggungjawab yang semula jadi, yang ada pada seseorang juga turut berlainan.

            Di Malaysia undang-undang adat telah diamalkan dan menjadi pegangan hidup masyarakat Melayu, tetapi setelah orang-orang Melayu menerima ajaran Islam, undang-undang Islam telah diterima dan adat Melayu mula diubahsuaikan supaya tidak bertentangan dengan undang-undang Islam. Namun, Islam membolehkan adat atau `urf diterima dan diikuti oleh penganut-penganut agama Islam selagi adat atau `urf  itu tidak bercanggah dengan nas atau ijma` yang terdahulu.

            Kesimpulan dari kajian ini, Adat Perpatih yang diwarisi oleh masyarakat Minangkabau di daerah Rembau masih lagi diamalkan hingga sekarang terutamanya dalam hal ehwal pembahagian harta pusaka. Walaupun sistem pembahagian pusaka mengikut adat masih diamalkan namun, masyarakat adat sekarang lebih cenderung membahagikan tanah pusaka mereka mengikut sistem faraid atau muafakat sesama waris. Pertentangan sistem Adat Perpatih dengan Hukum Syarak ( Faraid) ialah dari segi kedudukan ahli waris. Yang mana, sistem Adat Perpatih hanya melayakkan waris perempuan sahaja mewarisi. Manakala Hukum Syarak melayakkan waris  lelaki dan waris perempuan mewarisi harta pusaka mengikut syarat-syarat perwarisan yang telah digariskan. Dari sudut kadar pembahagian, sistem Adat Perpatih lebih cenderung kepada permuafakatan ahli waris. Manakala Hukum Syarak, kadar pembahagian setiap ahli waris seperti mana yang telah ditetapkan di dalam al-Quran.



[47] Mohd Sallehuddin Maaruf, Sistem Warisan Pusaka : Perbandingan antara Undang-Undang Islam dan Undang-Undang Adat Perpatih, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia, 1990, hlm. 58

[48] al-Quran, Al-Nisaa` 4: 7.
[49] Mohd Sallehuddin Maaruf, Sistem Warisan Pusaka : Perbandingan antara Undang-Undang Islam dan Undang-Undang Adat Perpatih, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia, 1990, hlm. 59.


[50] al-Quran, Al-Nisaa` 4: 7.

[51] Mohd Sallehuddin Maaruf, Sistem Warisan Pusaka : Perbandingan antara Undang-Undang Islam dan Undang-Undang Adat Perpatih, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia, 1990, hlm. 61-62.

[52] Mohd Sallehuddin Maaruf, Sistem Warisan Pusaka : Perbandingan antara Undang-Undang Islam dan Undang-Undang Adat Perpatih, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia, 1990, hlm. 64.

[53] Mohd. Ridzuan Awang, Undang-Undang Pusaka Islam Pelaksanaan di Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2006, hlm. 32.
[54] Mohd Sallehuddin Maaruf, Sistem Warisan Pusaka : Perbandingan antara Undang-Undang Islam dan Undang-Undang Adat Perpatih, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia, 1990, hlm. 66

[55] Ibid, hlm. 67
[56] Mohd Sallehuddin Maaruf, Sistem Warisan Pusaka : Perbandingan antara Undang-Undang Islam dan Undang-Undang Adat Perpatih, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia, 1990, hlm. 68.

[57] Mohd. Ridzuan Awang, Undang-Undang Pusaka Islam Pelaksanaan di Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2006, hlm. 37-38.

[58] Mohd. Ridzuan Awang, Undang-Undang Pusaka Islam Pelaksanaan di Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2006, hlm. 48.

[59] Ibid, hlm. 50-51.

[60] Mohd. Ridzuan Awang, Undang-Undang Pusaka Islam Pelaksanaan di Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2006, hlm. 64-65.

[61] Mohamad Azri Hj. Abdullah, Pengamalan Sistem Pusaka : Satu Kajian di Daerah Rembau, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1998, hlm. 26.     

[62] Mohamad Azri Hj. Abdullah, Pengamalan Sistem Pusaka : Satu Kajian di Daerah Rembau, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1998, hlm. 27.                     

[63] Abdullah Siddik, Pengantar Undang-Undang Adat di Malaysia, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1975, hlm. 115.

[64] Nordin Selat, Sistem Sosial Adat Perpatih, Utusan Melayu Publication, 1976, Kuala Lumpur, hlm. 112.

[65] Ibid, hlm. 113.

[66] Lihat Seksyen 2(1) Enakmen ini.

[67] Ia bermaksud saudara ( semua anggota suku itu berkedim) sama ada ia kedim dekat (anggota keluarga yang dekat dari nisab ibu yang boleh memberi kata pemutus dalam sesuatu hal) @ kadim jauh.

[68] Nordin Selat, Sistem Sosial Adat Perpatih, op.cit. , hlml. 114.

[69] Keempat-empat tersebut melibatkan maruah suku. Kalau ada suku-suku yang mengabaikannya, bermakna tidak ada maruah lagi.

[70] Apa yang dimaksudkan sebagai dihadiahkan tersebut adalah harta yang diwarisi dari kedua ibubapanya.

[71] Mohd Sallehuddin Maaruf, Sistem Warisan Pusaka : Perbandingan antara Undang-Undang Islam dan Undang-Undang Adat Perpatih, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia, 1990, hlm. 83.

[72] Dr. Amir Syarifuddin, Pelaksanaan Hukum Kewarisan Islam dalam Lingkungan Adat Minangkabau, op.cit. , hlm. 233.

[73] Ahmad Ibrahim, The Distribution of Estate According To Shafii Law, Malayan Law Journal Pte. Ltd., Singapore, 1976, hlm. 10.

[74] E.N. Taylor, Customary Law of Rembau, Journal of Malayan Branch Royal Asia tia Society, Vol. VII, 1929, hlm. 31.
[75] Mohd Sallehuddin Maaruf, Sistem Warisan Pusaka : Perbandingan antara Undang-Undang Islam dan Undang-Undang Adat Perpatih, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia, 1990, hlm. 85-86.

[76] Othman Ishak, Hubungan Antara Undang-Undang Islam dengan Undang-Undang Adat, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur, 1982, hlm. 77.

[77] Mohd Sallehuddin Maaruf, Sistem Warisan Pusaka : Perbandingan antara Undang-Undang Islam dan Undang-Undang Adat Perpatih, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia, 1990, hlm. 87.

[78] Akta Pusaka Kecil ( Pembahagian ) No. 98 / 1955

[79] Norhalim bin Hj Ibrahim, Adat Perpatih: Perbezaan dan Persamaan dengan Adat Temenggong. Kuala Lumpur, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. 1993, hlm. 28-29.

[80] Mohamad Azri Hj. Abdullah, Pengamalan Sistem Pusaka : Satu Kajian di Daerah Rembau, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1998, hlm. 36.     

[81] Abdullah Siddik, Pengantar Undang-Undang Adat di Malaysia, op.cit. , hlm. 154.

[82] Mohd Sallehuddin Maaruf, Sistem Warisan Pusaka : Perbandingan antara Undang-Undang Islam dan Undang-Undang Adat Perpatih, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia, 1990, hlm. 89-90.

[83] Ini bermaksud di mana sesuatu suku itu sudah punah yakni ketiadaan perempuan untuk menyambung akan pengurusan harta dan harta tidak dapat diturunkan kepada sesiapa. Namun hal ini amat tipis peluangnya untuk terjadi.
[84] Mohd Sallehuddin Maaruf, Sistem Warisan Pusaka : Perbandingan antara Undang-Undang Islam dan Undang-Undang Adat Perpatih, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia, 1990, hlm. 90-91.

[85] Dr. Amir Syarifuddin, Pelaksanaan Hukum Kewarisan Islam dalam Lingkungan Adat Minangkabau, op.cit. , hlm. 248.

[86] Mohd Sallehuddin Maaruf, Sistem Warisan Pusaka : Perbandingan antara Undang-Undang Islam dan Undang-Undang Adat Perpatih, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia, 1990, hlm. 91.

[87] E.N. Taylor, Customary Law of Rembau, op.cit. , hlm. 253.

[88] Ibid, hal. 92

[89] Mohd Sallehuddin Maaruf, Sistem Warisan Pusaka : Perbandingan antara Undang-Undang Islam dan Undang-Undang Adat Perpatih, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia, 1990, hlm. 92-93.



[90] Hj. Mohd. Din bin Ali, Malay Customary Law l Family, Intisari Malaysia Sociological Research Institute, Singapura, 1963, Jilid II, No. 4, hlm. 39.


BAB V



PENUTUP



Adat Perpatih memang merupakan satu perkara yang sinonim dengan nisab ibunya. Dari segi sejarahnya, tanah juga dikaitkan dengan peraturan nisab ibunya dalam memiliki sebahagian tanah adat di Negeri Sembilan dan khususnya yang dipegang oleh masyarakat di daerah Rembau. Dikatakan juga Daerah Rembau adalah salah sebuah daerah yang terkuat mengamalkan sistem Adat Perpatih selain dari daerah Kuala Pilah dan daerah-daerah-daerah yang lain.

            Dalam Adat Perpatih ini, ia juga memang merupakan satu adat yang diguna pakai dan dikembangkan di Negeri Sembilan yang telah melambangkan kecenderungan masyarakat Minangkabau untuk membina satu tamadun bangsa yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan masyarakat lain. Begitu juga dalam hal yang berkaitan dengan tanah adat di mana setiap budaya yang terdapat di Negeri Sembilan hampir keseluruhannya terikat kepada sistem Adat Perpatih itu sendiri.

            Masyarakat membentuk satu budaya, manakala budaya akan menunjukkan sesuatu bangsa itu adakah ia bertamadun ataupun tidak. Begitu juga bentuk budaya yang ditunjukkan dalam komuniti masyarakat Minangkabau di Negeri Sembilan yang rata-ratanya telah mengamalkan sistem Adat Perpatih. Khususnya, kajian ini memfokuskan bagaimana pentadbiran tanah adat itu dilaksanakan oleh masyarakat Minangkabau di Rembau mengikut sistem Adat Perpatih, kes-kes tanah adat di Rembau dan perbandingan sistem Adat Perpatih dengan hukum Syarak. Dengan hal yang demikian telah menunjukkan tanah adalah merupakan satu aset yang paling penting pada masyarakat di Daerah Rembau.


Manakala secara keseluruhannya Negeri Sembilan memang merupakan sebuah negeri yang kaya dengan Adat Perpatihnya. Perbezaan ini dapat dilihat dalam pentadbirannya yang telah diasaskan oleh masyarakat Minangkabau yang memiliki institusi politik yang unik. Terdapat beberapa daerah dan wilayah dalam Negeri Sembilan dipegang oleh kuasa yang di Pertuan Besar dan sebahagian besarnya dimiliki oleh kuasa Undang Luak dengan dibantu oleh Dato`- Dato` Lembaga seperti yang terdapat dalam luak Johol, Jelebu,Sungai Ujong dan Rembau. Sistem pentadbiran inilah yang membentuk serta menjadi asas kepada pentadbiran tanah adat di setiap wilayah-wilayah yang terdapat di Negeri Sembilan. Manakala sistem ini perlu disesuaikan dengan perkembangan sosioekonomi masyarakat di dalamnya.

Selain daripada itu juga, sistem pentadbiran tanah adat ini telah dikuasai oleh kerajaan negeri pada masa sekarang. Namun demikian, terdapat banyak perubahan yang berlaku dalam penggubalan undang-undang tanah adat yang terdapat dalam wilayah-wilayah di Negeri Sembilan. Terdapat beberapa undang-undang yang telah disesuaikan daripada undang-undang yang terawal diperkenalkan pada tahun 1887 hinggalah undang-undang yang terakhir digubal. Dikatakan undang-undang tanah adat yang terawal diperkenalkan bagi pentadbiran tanah di Negeri Sembilan ialah Land Regulations 1887.

Undang-undang ini mewajibkan pendaftaran semula pemilikan tanah serta pengenalan sistem cukai. Kemudian undang-undang tanah kedua iaitu General Land Regulations 1889 telah dikuatkuasakan dua tahun kemudiannya dengan mengiktiraf semua pemilikan bumiputera sebagai pemilikan sah mengikut adat tempatan. Selepas itu pada tahun 1897, Negeri Sembilan Land Enactment telah diperkenalkan dengan memberi peruntukan bahawa tanah pemilikan Bumiputera didaftarkan di atas namanya.


Memang banyak terdapat penggubalan undang-undang dalam sistem pentadbiran tanah adat ini, namun undang-undang ini telah disesuaikan mengikut perubahan sosioekonomi serta keadaan masyarakat di sekelilingnya. Manakala undang-undang seterusnya ialah Land Enactment 1903, yang diperkuatkan lagi ke atas hak pemilik tanahnya di mana dijelaskan setiap pemilik mempunyai hak kekal dan bebas untuk melakukan apa jua jenis transaksi serta apa jua kepentingan ke atas tanahnya. Namun pelbagai undang-undang telah diperkenalkan lagi dan terdapat beberapa kontroversi dalam pengenalan undang-undang ini. Pelbagai persoalan timbul dalam pengesahan tanah yang telah didaftarkan mengikut enakmen yang telah ditetapkan. Setiap tanah yang telah dikategorikan sebagai tanah adat akan didaftarkan mengikut undang-undang tanah adat yang telah ditetapkan. Oleh yang demikian, setiap kes atau permasalahan yang sering berlaku melibatkan isu pentadbiran dalam tanah adat akan diselesaikan atau disesuaikan mengikut undang-undang terkini yang telah ditetapkan.

            Dalam kajian ini, apa yang cuba difokuskan oleh penulis keseluruhannya ialah kes-kes yang berlaku dalam hal yang berkaitan dengan tanah adat khususnya di daerah Rembau. Dalam bahagian awal kajian ini telah mengupas sejarah Adat Perpatih serta sistem pentadbiran tanah adat yang dijalankan di daerah Rembau.

            Dalam konteks menyandang harta pusaka adat dalam masyarakat di Rembau hasil dari peninggalan generasi tertua adalah lebih berbentuk tanah. Manakala tanah yang telah dikategorikan sebagai harta ia telah dipanggil harta kepada tanah adat. Oleh itu, tanah adat di daerah Rembau ini merupakan aset harta yang dipunyai secara turun temurun dari beberapa generasi bermula wujudnya harta-harta berkenaan mengikut jurai keturunan sebelah perempuan, di mana pada peringkat awalnya dahulu ianya ditadbir oleh `pembesar adat` sahaja iaitu `Dato Lembaga` dan harta itu dikenali juga sebagai `Harta Wakaf Waris`.

            Secara umumnya Tanah Adat ini adalah khusus untuk Tanah Kampung dan Tanah Bendang (Sawah). Mengikut sejarah, apabila Negeri Sembilan ini telah ditadbirkan oleh Inggeris dan bagi ia memudahkan pungutan cukai tanah dikenalkan, maka wujudlah satu undang-undang dalam mentadbir `Tanah Adat` ini iaitu dikenali sebagai `Akta Pemegang Adat Bab 215 ( Customary Tenure Enactment Cap. 215 )` yang telah dikuatkuasakan mulai 1 Disember 1926.

Oleh yang demikian, boleh dikatakan harta pusaka adat lebih berfokuskan kepada tanah yang telah dikategorikan sebagai tanah adat selain harta-harta yang lain. Ia juga merupakan aset utama dalam pembahagian harta dalam masyarakat di daerah Rembau khususnya. Ramai yang terlibat dalam proses pembahagian ini jika mengikut undang-undang yang telah ditetapkan. Sepertimana yang telah dibincangkan dalam kajian ini telah menunjukkan bahawa pentadbiran tanah adat berfokus pada konsep penyandang harta pusaka kerana ia merupakan satu aspek yang saling berkaitrapat antara satu sama lain. Sepertimana pentadbiran yang dijalankan oleh Negeri-Negeri Melayu yang lain, di Negeri Sembilan mempunyai sistem pentadbirannya yang tersendiri dan menunjukkan tingginya nilai budaya sesebuah masyarakat Minangkabau tersebut.

            Setiap masyarakat yang asalnya dari masyarakat Adat Perpatih tersebut memang tidak boleh lari dari konsep Adat Perpatih itu sendiri. Secara tidak langsung mereka mempunyai etika serta peraturan yang telah ditetapkan dalam sistem Adat Perpatih itu. Walaupun banyak peraturan adat yang perlu dipatuhi namun dalam konteks agama pada hari ini, kita dapat lihat masyarakat Adat Perpatih khususnya di Rembau telah menselaraskannya dengan konteks agama Islam. Rata-rata masyarakatnya telah ramai yang terkeluar pada peraturan adat akibat dari perkahwinan luar dari daerah atau negeri. Maka kesatuan dalam persukuan sesebuah masyarakat Adat Perpatih itu semakin lemah kerana tiada generasi Adat Perpatih yang sebenar berkembang.

            Secara keseluruhannya, segala hal ehwal yang berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan harta pusaka sama ada harta adat atau pun bukan adalah terletak di bawah kuasa Pejabat Tanah dan daerah Rembau iaitu Unit Pelupusan dan Pembahagian Tanah, Bahagian Tanah. Dalam menyelesaikan kes-kes yang berkaitan harta pusaka, pihak Pejabat tanah dan Daerah Rembau akan dibantu Balai Undang ( Undang Luak Rembau) iaitu penguatkuasa Hukum Adat, Ketua Kampung dan Penghulu Mukim, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri.

Di akhir bab kajian ini, memfokuskan mengenai sejauh mana bertentangan pembahagian pusaka adat menurut sistem Adat Perpatih dengan Hukum Syarak ( Faraid). Ia dapat dilihat perbezaan ketara dalam kedudukan ahli waris. Yang mana, sistem Adat Perpatih hanya melayakkan waris perempuan sahaja mewarisi. Manakala Hukum Syarak melayakkan waris  lelaki dan waris perempuan mewarisi harta pusaka mengikut syarat-syarat perwarisan yang telah digariskan. Dari sudut kadar pembahagian, sistem Adat Perpatih lebih cenderung kepada permuafakatan ahli waris. Manakala Hukum Syarak, kadar pembahagian setiap ahli waris seperti mana yang telah ditetapkan di dalam al-Quran.

            Pengamalan sistem pusaka adat di Daerah Rembau adalah tertakluk di bawah peraturan dan undang-undang adat iaitu Enakmen Pemegangan Adat Bab 215. Manakala pentadbiran Pusaka Islam ( Faraid ) pula tertakluk di bawah Akta ( Pembahagian ) Harta Pusaka Kecil 1955 (disemak 1972).

            Kesimpulannya, apa yang didapati dari kajian ini, jumlah tanah adat di Daerah Rembau tidaklah banyak berbanding dengan keluasan keseluruhan Daerah Rembau bahkan ia semakin berkurangan disebabkan oleh pengambilan balik oleh kerajaan melalui undang-undang ataupun perintah undang-undang ke atas tanah yang terbiar. Ada tanah adat didapati terbiar dan tidak diusahakan oleh ketana pemiliknya yang sudah berpindah keluar mengikut suami atau bekerja di tempat lain. Di samping itu, proses Islamisasi yang dilakukan ke atas Adat Perpatih terutamanya di dalam pembahagian tanah pusaka merupakan satu usaha yang baik. Walaupun pemilikan merupakan penghalang dalam usaha mengaplikasikan sistem faraid dalamAdat Perpatih, namun satu bentuk yang baru perlu dikemukakan supaya wujud pengamalan sistem Adat Perpatih baru yang bersesuaian.