DONATE

Jumaat, 9 Mac 2012

PERINTAH PEMULIHAN SEBAGAI HUKUMAN ALTERNATIF

PENULIS OLEH TUAN HAJI MOHAMAD NASER BIN DISA

Falsafah hukuman dalam Syariah

Secara umumnya, setiap perbuatan baik atau jahat pasti akan mendapat balasannya tersendiri sama ada balasan di dunia atau akhirat. Apa-apa kesalahan yang dilakukan bertentangan dengan hukum Syarak atau undang-undang yang digubal untuk mengawal selia kehidupan manusia yang selaras dengan hukum Syarak mempunyai bentuk hukumannya yang telah digariskan dalam Al-Quran dan sunnah sebagai panduan. Dalam ayat 7-8, surah Az-Zalzalah Allah S.W.T. berfirman–

“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarahpun, niscaya dia akan melihat balasannya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarahpun, niscaya dia akan melihat balasannya pula.”.

Menurut perspektif Islam, hukuman dalam Islam bertujuan untuk menimbulkan rasa keinsafan serta menguji keimanan, ketaatan dan penyerahan diri kepada Allah s.w.t. Ia berasaskan kepada prinsip-prinsip asas seperti yang berikut:

(a) berasaskan panduan Allah dan bukannya hasil pemikiran manusia manakala dalam kes-kes yang melibatkan hukuman ta’zir, budi bicara hakim masih tertakluk kepada panduan Al-Quran dan sunnah untuk memastikan kesempurnaan dan keberkesanan hukuman;

(b) berteraskan pemeliharaan lima aspek kehidupan iaitu menjaga agama iaitu agama Islam, menjaga nyawa, menjaga akal fikiran, keturunan dan harta benda. Menurut Imam Al-Ghazali, sesuatu yang termasuk dalam penjagaan kelima-lima aspek kehidupan ini dikatakan maslahah; dan

(c) menggabungkan hukuman dunia dan hukuman akhirat. Islam tidak hanya bergantung kepada hukuman dunia semata-mata malah memberi penekanan terhadap hukuman akhirat iaitu dalam bentuk amaran yang lebih ketat.

Objektif Hukuman

Objektif sesuatu hukuman yang dikenakan ke atas pesalah adalah, antara lain, bertujuan untuk–

(a) mengelakkan pesalah daripada mengulangi kesalahan mereka;
(b) memberikan pengajaran kepada orang lain supaya tidak melakukakan kesalahan yang sama;
(c) melindungi keselamatan dan kepentingan awam termasuk nyawa, akal, keturunan dan harta benda;
(d) memelihara maruah dan kedaulatan agama; dan
(e) memberikan hukuman yang setimpal di atas jenayah atau kesalahan yang dilakukan oleh seseorang pesalah.


Bidang Kuasa Mahkamah Syariah

Di Malaysia, mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa bagi perkara-perkara tertentu yang berada di bawah bidang kuasa mal atau bidang kuasa jenayah.
Bidang kuasa tersebut termaktub dalam butiran 1, Senarai Kedua, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 Seksyen 2 (Disemak-1988) [Akta 355] adalah terpakai kepada semua mahkamah Syariah di negeri-negeri yang menghadkan kuasa tersebut. Seksyen 2 Akta 355 memperuntukkan –


S 2. Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah

Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis:

Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.”.

Perintah Pemulihan


Kuasa mahkamah Syariah berhubung dengan perintah pemulihan –

i. kuasa mahkamah untuk mengkomitkan orang yang disabitkan ke pusat pemulihan diluluskan hanyalah terhad kepada kesalahan tertentu s 55 Akta 559.

ii. Perintah untuk berkelakuan baik seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 128 (pesalah muda) dan seksyen 129 Akta 560 (pesalah kali pertama) .

s 55 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] mempunyai kuasa untuk mengkomitkan orang yang disabitkan kesalahan di bawah Bahagian II atau di bawah seksyen 7,8,9 atau 31 Akta tersebut ke pusat pemulihan untuk menjalani apa-apa kaunseling atau pemulihan.
Seksyen 55 Akta 559

• Kuasa Mahkamah untuk mengkomitkan orang yang disabitkan ke pusat pemulihan diluluskan

• Jika Mahkamah telah mensabitkan mana-mana orang atas suatu kesalahan di bawah Bahagian II atau di bawah seksyen 7, 8, 9 atau 31,Mahkamah itu boleh, sebagai ganti hukuman atau sebagai tambahan bagi apa-apa hukuman yang ditentukan bagi kesalahan itu, memerintahkan mana-mana orang sedemikian dikomitkan ke pusat pemulihan diluluskan untuk menjalani apa-apa kaunseling atau pemulihan selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi enam bulan sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu; tetapi jika apa-apa hukuman pemenjaraan dikenakan sekali dengan kaunseling atau pemulihan, tempohnya tidaklah boleh melebihi agregat tiga tahun.”.

Bon Jaminan Berkelakuan Baik

s.128 Akta 560 – Pesalah Muda

Bagi pesalah-pesalah muda pula, s 128 Akta [Akta 560] memberikan kuasa kepada mahkamah bagi menggantikan apa-apa tempoh pemenjaraan kerana keingkaran membayar denda atau hukuman pemenjaraan untuk mengeluarkan perintah, antara lain, seperti melepaskan pesalah muda tersebut selepas teguran wajar diberikan atau memerintahkan pesalah itu supaya berkelakuan baik selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua tahun.


Seksyen 128. Pesalah muda

(1) Apabila mana-mana pesalah muda disabitkan di hadapan mana-mana Mahkamah atas apa-apa kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman denda atau pemenjaraan, Mahkamah itu hendaklah, sebagai ganti apa-apa tempoh pemenjaraan kerana keingkaran membayar denda atau hukuman pemenjaraan–

(a) memerintahkan pesalah itu dilepaskan selepas teguran wajar diberikan jika difikirkan patut oleh Mahkamah; atau

(b) memerintahkan pesalah itu diserahkan kepada ibu atau bapa atau penjaganya atau saudara dewasanya yang terdekat atau kepada mana-mana orang lain, sebagaimana yang ditetapkan oleh Mahkamah, apabila ibu atau bapa, penjaga, waris atau orang lain itu menyempurnakan bon dengan penjamin, sebagaimana yang dikehendaki oleh Mahkamah,
bahawa dia akan bertanggungjawab bagi kelakuan baik pesalah itu selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua belas bulan atau, tanpa menghendaki mana-mana orang mengikat apa-apa bon, membuat suatu perintah berkenaan dengan pesalah itu yang memerintahnya supaya berkelakuan baik selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua tahun dan mengandungi apa-apa arahan kepada pesalah itu mengikut jenis syarat-syarat yang disebut dalam perenggan 130 (a), (b) dan (c) yang difikirkan oleh Mahkamah itu patut diberikan.

s. 128 (2)


•(2) Mahkamah yang di hadapannya seorang pesalah muda disabitkan boleh, sebagai tambahan atau sebagai ganti menghukum pesalah itu mengikut cara yang diperuntukkan dalam seksyen ini, mengenakan ke atas ibu atau bapa atau penjaganya denda yang tidak melebihi dua ratus ringgit dalam mana-mana kes yang Mahkamah itu, selepas siasatan ringkas, berpuas hati bahawa ibu atau bapa atau penjaga itu telah, dengan sebab mereka cuai dalam menjaganya dengan sepatutnya atau selainnya, menyumbang kepada salah laku pesalah itu:

Dengan syarat bahawa tiada ibu atau bapa atau penjaga boleh didenda tanpa dia diberi peluang untuk didengar dan, jika dia berhasrat demikian, mengemukakan keterangan untuk membela dirinya.”.


s.129 Akta 560 – Bukan Pesalah Muda

• Kuasa untuk melepaskan mana-mana orang (bukan seorang pesalah muda) yang telah disabitkan atas apa-apa kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan

• mengambil kira watak, latar belakang, umur, kesihatan atau keadaan mental pesalah itu atau kepada hakikat ringannya jenis kesalahan itu atau kepada apa-apa hal keadaan peringan

• adalah suaimanfaat kepada pesalah itu untuk diperintahkan diletakkan dalam cubaan untuk berkelakuan baik



“Seksyen 129. Pesalah kali pertama


(1) Apabila mana-mana orang yang bukan seorang pesalah muda telah disabitkan di hadapan mana-mana Mahkamah atas apa-apa kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan, maka jika didapati oleh Mahkamah itu bahawa dengan mengambil kira watak, latar belakang, umur, kesihatan atau keadaan mental pesalah itu atau kepada hakikat ringannya jenis kesalahan itu atau kepada apa-apa hal keadaan peringan yang dalamnya kesalahan itu telah dilakukan adalah suaimanfaat bahawa pesalah itu dilepaskan dalam cubaan akhlak untuk berkelakuan baik.

Mahkamah boleh, dengan tidak menghukumnya serta-merta dengan apa-apa hukuman, mengarahkan supaya pesalah itu dilepaskan apabila dia mengikat bon dengan penjamin-penjamin dan sepanjang apa-apa tempoh sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah untuk hadir dan menerima penghakiman jika dan apabila dipanggil dan sementara itu hendaklah berkelakuan baik.”.

129(2) Jika Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk memperlakukan pesalah itu berkenaan dengan kesalahan asalnya berpuas hati bahawa pesalah itu telah tidak mematuhi mana-mana syarat bonnya, ia bolehlah mengeluarkan suatu waran bagi pemberkasannya.

129(3) Mana-mana pesalah apabila diberkas dengan mana-mana waran sedemikian hendaklah, jika tidak dibawa dengan serta-merta ke hadapan Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menghukumnya, dibawa ke hadapan seorang Hakim, dan Hakim itu boleh sama ada menahannya melalui waran sehingga masa dia dikehendaki oleh bonnya untuk hadir bagi penghakiman atau sehingga bersidangnya Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menguruskan kesalahan asalnya, atau boleh membenarkan dia mengikat jamin dengan penjamin yang mencukupi dengan syarat dia hadir bagi penghakiman.


129 (4) Pesalah itu, apabila ditahan sedemikian, boleh dipenjarakan dan waran tahanannya hendaklah memerintahkan supaya dia dibawa ke hadapan Mahkamah yang di hadapannya dia terikat untuk hadir bagi penghakiman atau untuk memberikan jawapan tentang kelakuannya sejak dia dilepaskan.

Syarat-syarat Pengawasan

Seksyen 130. Syarat bon.




Apabila mana-mana orang dikehendaki oleh mana-mana Mahkamah supaya menyempurnakan suatu bon dengan penjamin-penjamin, dan dalam bon itu orang yang menyempurnakannya mengikat dirinya untuk menjaga keamanan atau mengikat dirinya untuk berkelakuan baik, Mahkamah boleh menghendaki supaya dimasukkan dalam bon itu satu daripada syarat-syarat yang berikut atau lebih, iaitu –

a) suatu syarat bahawa orang itu hendaklah berada di bawah pengawasan seseorang lain yang dinamakan dalam bon itu selama apa-apa tempoh yang dinyatakan dalamnya;

b)apa-apa syarat bagi memastikan apa-apa pengawasan yang difikirkan oleh Mahkamah patut dikenakan;

c)apa-apa syarat mengenai tempat kediaman, pekerjaan, pergaulan, penjauhan daripada minuman keras atau dadah atau mengenai apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Mahkamah patut dikenakan.


Perintah Pemulihan – Boleh diperluaskan?

Bolehkah kuasa mahkamah diperluaskan untuk mengeluarkan perintah pemulihan kepada semua pesalah yang disabitkan di bawah kesalahan jenayah Syariah, kesalahan di bawah Akta 303 atau undang-undang bertulis lain sebagai suatu hukuman alternatif atau tambahan kepada hukuman sedia atau gabungan kepada hukuman-hukuman tersebut ?


Hanya Pesalah Pertama?

Walaupun tajuk s 129 menyebutkan mengenai Pesalah Pertama, namun kandungan seksyen berkenaan tidak terikat kepada pesalah pertama sahaja. Akta 560 adalah undang-undang prosedur umum yang terpakai untuk semua bentuk kesalahan yang dibicarakan di mahkamah Syariah. Justeru, s 129 boleh digunakan terhadap semua pesalah (bukan pesalah muda) yang boleh dihukum dengan pemenjaraan.

Adakah Perintah Pemulihan selaras dengan falsafah hukuman Syariah?
Perintah pemulihan adalah salah satu bentuk hukuman yang selaras dengan prinsip asas dan objektif hukuman dalam Islam. Ia bertujuan untuk menjaga maslahah manusia dan merupakan suatu bentuk hukuman yang bukan hanya dapat menghukum pesalah tetapi merupakan suatu bentuk pendidikan dan proses tarbiyyah diri. Bentuk hukuman yang dibuat melalui perintah pemulihan seperti ini merupakan suatu pendekatan yang baik dan murni dan amat penting dalam usaha untuk menimbulkan rasa keinsafan dan kesedaran diri yang tinggi di kalangan pesalah-pesalah supaya tidak lagi mengulangi untuk melakukan kesalahan.

Perintah pemulihan yang dicadangkan ini adalah suatu perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah Syariah sebagai suatu hukuman alternatif atau tambahan kepada hukuman sedia ada. Penguatkuasa dan Pendakwa atau pesalah sendiri boleh memohon kepada Hakim untuk mengeluarkan perintah pemulihan di bawah s. 129 Akta 560 sebagai hukuman alternatif atau tambahan kepada hukuman sedia ada di bawah undang-undang kesalahan syariah, undang-undang keluarga Islam dan lain-lain undang-undang di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah bertepatan dan mengikut kehendak hukum Syarak.


Justifikasi Perintah Pemulihan


Menurut prinsip hukuman dalam Islam, suatu hukuman alternatif seperti hukuman untuk menjalani pemulihan ini boleh dikategorikan sebagai hukuman ta’zir. Hukuman tersebut boleh diputuskan oleh hakim terhadap seseorang yang melanggar undang-undang dan ia adalah tertakluk kepada panduan daripada Al-Quran dan sunnah.


Keberkesanan Hukuman Penjara


Berhubung dengan pelaksanaan hukuman ke atas pesalah-pesalah jenayah Syariah dan pesalah di bawah undang-undang keluarga Islam yang dikenakan hukuman penjara, mereka akan ditempatkan bersama-sama dengan banduan lain memandangkan tiada penjara khusus yang disediakan untuk pesalah-pesalah ini. Ini telah mengakibatkan kesesakan di dalam penjara kerana penjara merupakan tempat untuk menjalani hukuman dan menebus kesilapan tanpa mengira jenis kesalahan yang dilakukan.


Kesan Negatif


Tidak dapat dinafikan juga bahawa hukuman penjara, dalam sesetengah keadaan, dapat meninggalkan kesan negatif yang mendalam bukan sahaja ke atas individu terbabit, tetapi juga kepada keluarga dan masyarakat. Antara kesan negatif yang timbul ialah ia dapat merenggangkan hubungan kekeluargaan, menyukarkan bekas banduan mendapatkan pekerjaan serta menyukarkan bekas banduan diterima dan mendapat tempat dalam masyarakat.

Banduan muda yang kurang pengetahuan dan pertama kali dimasukkan ke dalam penjara bagi kesalahan kecil pula dikhuatiri akan terpengaruh dan dipengaruhi oleh banduan lain seterusnya mengakibatkan mereka menjadi lebih agresif dan liar apabila dibebaskan.

Perintah Pemulihan dapat memberi peluang kepada pesalah yang terlibat untuk menginsafi kesalahan mereka dan berinteraksi dengan masyarakat secara terkawal dalam menjalani kehidupan mereka dengan rasa yakin. Dalam hal ini, Jabatan Penjara Malaysia juga berpandangan bahawa penjara seharusnya dijadikan sebagai hukuman terakhir dalam menegakkan sistem keadilan jenayah.


Hukuman Denda – Kurang Berkesan


Hukuman denda yang dijatuhkan oleh mahkamah Syariah sering dianggap tidak berkesan untuk memberi pengajaran kepada pesalah-pesalah yang sabit kesalahan di bawah undang-undang Syariah mahupun kepada masyarakat.

Hukuman denda seringkali dapat diselesaikan oleh pesalah-pesalah yang mempunyai kemampuan untuk membayar kadar denda yang dikenakan tanpa dapat menimbulkan rasa keinsafan dalam diri mereka terhadap kesalahan yang dilakukan. Andaipun hukuman denda tersebut dapat menimbulkan kesedaran, ia hanya melibatkan individu/pesalah itu sendiri tanpa melibatkan peranan sosial masyarakat yang dapat memberikan iktibar kepada mereka secara umumnya.


Manfaat Perintah Pemulihan


Antara manfaat yang dapat diperoleh daripada pelaksanaan perintah pemulihan sebagai hukuman alternatif, tambahan atau gabungan kepada hukuman yang sedia ada ke atas pesalah-pesalah jenayah Syariah ialah–

a. Ruang untuk menginsafi diri

Memberi ruang kepada pesalah-pesalah untuk memperbaiki diri supaya menjadi warga yang patuh terhadap undang-undang dan hukum Syarak.
Pesalah-pesalah yang menjalani perintah pemulihan akan diberi bimbingan untuk membentuk akidah dan sahsiah diri yang mantap melalui program-program yang ditentukan. Program-program yang berbentuk kerohanian seperti menghadiri ceramah, solat jemaah dan qiamullail merupakan antara cadangan program yang diharap dapat menginsafkan diri mereka serta memantapkan iman;

b. Tanggung jawab MAIN; memelihara kemaslahatan umat

Merupakan suatu bentuk pendidikan kepada pesalah-pesalah supaya mereka dapat dibentuk menjadi insan yang berguna menerusi ilmu pengetahuan yang disampaikan, pengalaman-pengalaman baru melakukan kerja-kerja kebajikan dan sebagainya.
Pesalah akan memperoleh ilmu bermanfaat yang diharap dapat mendidik mereka menjadi ketua keluarga ataupun ahli keluarga yang bertanggungjawab dan berakhlak mulia setelah mereka selesai menjalani perintah pemulihan tersebut.


c. Tingkatkan fungsi Mesjid dan ahli kariah untuk Islah

Penglibatan anggota masyarakat dalam proses pemulihan pasti dapat meningkatkan rasa tanggungjawab sosial di kalangan masyarakat. Sebagai contoh, imam-imam serta ahli jawatankuasa masjid yang dilantik dan diberi kuasa oleh Majlis Agama Islam Negeri dapat membantu dan berganding bahu dalam memberikan komitmen terhadap proses pemulihan pesalah-pesalah. Ini secara tidak langsung akan dapat mendekatkan pesalah-pesalah dengan anggota masyarakat melalui kerja sosial yang dijalankan;


d. Tugas dan tanggungjawab seharian tidak terjejas

Dalam tempoh menjalani pemulihan yang telah ditetapkan oleh mahkamah, pesalah-pesalah juga boleh meneruskan kehidupan untuk bekerja bagi menyara diri serta keluarga.Secara psikologinya, hukuman ini dapat mengelakkan timbulnya tekanan perasaan bahawa mereka akan kehilangan pekerjaan akibat daripada hukuman yang diterima. Secara tidak langsung, keluarga mereka juga tidak akan terabai disamping tidak akan merasa tertekan akibat rasa tersisih daripada masyarakat.


e. Penjimatan perbelanjaan


Beban dan tanggungan kewangan kerajaan yang tinggi akibat daripada pembiayaan makanan kepada banduan dan hal ehwal pengurusannya dapat dijimatkan.Namun begitu tanggungjawab pemulihan dapat difokuskan secara pendekatan Islam oleh MAIN, JAIN dan Mesjid serta dibantu oleh NGO Islam secara efektif.Produktiviti pesalah dapat ditingkatkan dengan mendedahkan beliau kepada persekitaran yang memupuk semangat berdikari.


Solusi Kepada Gejala Sosial


Di era pasca-modernism ini, krisis gejala sosial adalah merupakan impak secara langsung akibat dari kejutan budaya dan perubahan nilai dan pemikiran yang melanda masyarakat termasuk golongan wanita. Gejala sosial yang berlaku pada hari ini bolehlah disifatkan sebagai amalan jahiliyyah di era globalisasi yang serba maju dan moden. Dalam era pembebasan dari kawalan agama ini, wanita semakin terdedah kepada budaya hedonisme iaitu suka berfoya-foya dan berhibur dengan keterlaluan, terjebak dalam amalan seks bebas atau zina, hamil tanpa nikah, buang bayi, ketagihan arak, dadah rokok, judi, , bahan-bahan lucah, rogol dan banyak lagi masalah sosial yang cukup membimbangkan.

Menurut Prof.Ulung Negara Tan Sri Prof.Muhammad Kamal Hasan –
Aliran-aliran yang ingin melemahkan pengaruh nilai-nilai budaya, agama dan moral tempatan itu dibawa masuk oleh unsur-unsur ekonomi kapitalistik tempatan atau antarabangsa yang mementingkan keuntungan kewangan semata-mata tanpa mempedulikan isu tanggungjawab sosial atau moral. Pelbagai saluran akan digunakan untuk mencapai matlamat ekonomi dan budaya bebas mereka, termasuk industri-industri pengiklanan, perfileman, fesyen, muzik, hiburan, pelancongan, media cetak, media elektronik dan Internet.”.

Fakta yang dikeluarkan oleh pelbagai agensi Kerajaan membuktikan bahawa betapa meruncingnya gejala sosial yang melanda masyarakat khususnya yang melibatkan golongan wanita, antara lain, seperti yang berikut:

(a) perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) 2011, mencatatkan jumlah kelahiran anak tidak sah taraf yang didaftarkan antara tahun 2006-2010 adalah sebanyak 234,647. Daripada jumlah tersebut, seramai 80,979 atau 34.5% adalah bayi yang ibu kandungnya beragama Islam. Jumlah anak luar nikah pasangan Islam menunjukkan pola meningkat dalam tempoh lima tahun sejak tahun 2006 (Berita Harian, 21 Mac 2011);

(b) sebanyak 280 kes buang bayi dilaporkan bagi tahun 2005 hingga April 2010 di seluruh negara (PDRM 2010). Setiap kali berakhirnya sambutan yang membabitkan kemeriahan pada sebelah malamnya di negara ini, tiga bulan selepas itu akan menyaksikan peningkatan kes buang bayi dan mengandung anak luar nikah. Tempoh ini ibarat “musim mengawan” kerana tiga bulan selepas itu rumah perlindungan dan seluruh negara akan mencatat kes buang bayi sama ada masih hidup atau janin yang dibuang dalam semak, belakang rumah, pusat pembuangan sampah, bawah pokok, dalam longkang dan juga tandas;

(c) data yang dikeluarkan oleh Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pada tahun 2005 menunjukkan kes pelacuran kanak-kanak dengan purata 150 – 160 gadis tempatan yang di tahan setiap tahun. Dianggarkan 150 ribu wanita terbabit dalam kegiatan pelacuran dengan sejumlah besarnya adalah wanita dewasa;

(d) PDRM 2010 juga telah mencatatkan jumlah kes rogol bagi tahun 2008 hingga April 2010 adalah sebanyak 8227 kes. Kes mencabul kehormatan juga menunjukkan statistik yang tinggi iaitu sebanyak 4894 kes dilaporkan bagi tahun 2008 hingga April 2010 di seluruh negara; dan

Cabaran : Tentangan Terhadap Undang-undang Moral Berasaskan Agama.

“Kerajaan Tidak Berhak Mengawasi Akhlak” (25 Mac 2005)
Terdapat segelintir anggota masyarakat yang menolak kawalan peraturan agama dalam membentuk moral rakyat dan sebaliknya memperjuangkan hak kebebasan individu. Sekelompok masyarakat yang terdiri dari 52 badan bukan kerajaan (NGO), 4 Parti politik pembangkang, 21 orang wakil rakyat termasuk beberapa orang menteri Persekutuan dan seramai 237 individu dari berbagai latar belakang telah mempertikaikan tindakan kerajaan memasukkan beberapa jenis larangan agama dalam undang-undang jenayah Syariah.

Golongan ini tidak mempertikaikan penguatkuasaan undang-undang moral lain yang terkandung dalam kanun keseksaan dan akta-akta lain yang disebutkan di atas. Mereka hanya menentang penguatkuasaan undang-undang moral berasaskan agama. Antara lain golongan ini berpendapat;

“… peranan kerajaan, serta penggunaan undang-undang agama dan undang-undang munisipal oleh pihak kerajaan, untuk mendefinisikan dan mengawal akhlak rakyatnya. Memaksa dan menakut-nakutkan rakyat supaya mematuhi undang-undang tersebut tidak akan membawa kepada masyarakat yang lebih berakhlak; sebaliknya tindakan tersebut akan menghasilkan masyarakat yang berada dalam ketakutan serta rakyat yang bersifat submisif dan hipokrit.”

“Kami menentang penggunaan aparatus kerajaan, serta individu dan kumpulan yang dilantik untuk membantu dalam mengawal akhlak. Cara seseorang berpakaian serta bagaimana, di mana dan dengan siapa mereka memilih untuk bergaul adalah perkara peribadi dan pilihan persendirian.”

Golongan yang menolak polisi moral lantang bersuara jika pihak berkuasa melaksanakan tugas dalam membendung aktiviti tidak bermoral sebaliknya jika berlaku peningkatan masalah sosial mereka hanya menyepi diri dan menuding jari ke arah pihak lain termasuk pihak kerajaan sebagai tidak prihatin terhadap masalah sosial masyarakat.



Cabaran : Kurang keberkesanan penguatkuasaan undang-undang


Selain daripada polemik penguatkuasaan undang-undang Syariah yang acap kali disensasikan oleh pihak-pihak tertentu, adalah didapati bahawa kelemahan penguatkuasaan undang-undang menjadi antara punca kepada gejala sosial yang masih berleluasa. Sebagai contoh, saban hari masyarakat didedahkan melalui media massa dengan berita-berita mengenai serbuan dan tangkapan ke atas wanita-wanita yang terlibat dalam kegiatan pelacuran, aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral dan sebagainya. Ada kalanya tangkapan dibuat berulang kali di premis atau tempat yang sama, seolah-olah tangkapan tersebut langsung tidak memberi kesan kepada pemilik premis dan pihak-pihak lain yang berkaitan.

Kurangnya keberkesanan penguatkuasaan undang-undang berkaitan moral bukan menunjukkan kelemahan undang-undang tersebut tetapi ia adalah disebabkan faktor kelemahan antara lain, dari segi pentadbiran seperti kekurangan pegawai penguat kuasa, kurang latihan atau kemahiran dan sebagainya.



Cabaran : Kelemahan dalam pelaksanaan hukuman


Dalam hal ini, adalah diperhatikan bahawa peruntukan mengenai hukuman dalam undang-undang moral kurang memberi kesan kepada pesalah yang terbabit, khususnya dalam kes-kes yang melibatkan kesalahan jenayah Syariah. Sebagai contoh, hukuman denda di mahkamah Syariah berada dalam lingkungan antara satu ribu ringgit sehingga dua ribu ringgit sahaja dan Hakim bicara pada kebiasaannya memutuskan hukuman yang lebih rendah dari jumlah hukuman yang diperuntukkan. Malah hukuman maksimum 5 ribu ringgit atau 3 tahun penjara atau 6 sebatan tidak pernah dijatuhkan oleh mana-mana mahkamah Syariah. Selain dari tidak mampu memberi pengajaran dan mencegah orang lain daripada melakukannya berulang kali, hukuman sedemikian juga menjadi bahan kritikan orang ramai. Akibatnya, matlamat untuk membanteras jenayah Syariah tidak tercapai. Kadar hukuman yang dikenakan kepada pesalah di mahkamah Syariah yang jauh lebih rendah berbanding mahkamah sivil membuatkan masyarakat memandang ringan akan keberkesanan undang-undang itu sendiri.

Berhubung dengan pelaksanaan hukuman ke atas pesalah-pesalah jenayah Syariah dan pesalah di bawah undang-undang keluarga Islam yang dikenakan hukuman penjara, mereka akan ditempatkan bersama-sama dengan banduan lain memandangkan tiada penjara khusus yang disediakan untuk pesalah-pesalah ini. Keadaan Ini telah mengakibatkan kesesakan di dalam penjara kerana penjara merupakan tempat untuk menjalani hukuman dan menebus kesilapan tanpa mengira jenis kesalahan yang dilakukan. Tidak dapat dinafikan juga bahawa hukuman penjara, dalam sesetengah keadaan, dapat meninggalkan kesan negatif yang mendalam bukan sahaja ke atas individu terbabit, tetapi juga kepada keluarga dan masyarakat.

Antara kesan negatif yang timbul ialah ia dapat merenggangkan hubungan kekeluargaan, menyukarkan bekas banduan mendapatkan pekerjaan serta menyukarkan bekas banduan diterima dan mendapat tempat dalam masyarakat. Banduan muda yang kurang pengetahuan dan pertama kali dimasukkan ke dalam penjara bagi kesalahan kecil pula dikhuatiri akan terpengaruh dan dipengaruhi oleh banduan lain seterusnya mengakibatkan mereka menjadi lebih agresif dan liar apabila dibebaskan.


Penambahbaikan Dalam Agenda Pemulihan Peranan dan Tanggungjawab Institusi


i. Institusi kehakiman Syariah .

Suatu institusi yang perlu memainkan peranan yang amat penting dalam memutuskan hukuman yang adil bagi pesalah-pesalah di samping berperanan untuk memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk berubah ke arah kebaikan melalui perintah pemulihan yang dikeluarkan mengikut apa yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

ii. Peranan MAIN

MAIN perlu menyediakan program komprehensif untuk pemulihan bagi memudahkan mahkamah mengeluarkan perintah.
Satu Jawatankuasa khas di bawah MAIN perlu dibentuk bagi menyusun dan merangka program pemulihan yang berkesan dengan pemantauan yang rapi dalam melaksanakan Perintah Pemulihan.

MAIN berkuasa untuk membuat peraturan berhubung dengan pelaksanaan perintah pemulihan yang dikeluarkan oleh mahkamah Syariah di bawah Akta 505. Peraturan yang dibuat boleh melibatkan, antara lain, perkara-perkara yang berhubung dengan–

(a) pelantikan pegawai penyelia oleh Majlis Agama Islam Negeri seperti imam masjid, ketua kampung atau mana-mana orang yang berkelayakan untuk menyelia pesalah yang menjalani perintah pemulihan di mana-mana pusat pemulihan atau rumah yang diluluskan;

(b)penyediaan laporan oleh pegawai penyelia kepada mahkamah berhubung dengan pemulihan yang dijalankan ke atas orang yang diselia.
Dalam konteks ini, mahkamah akan mengeluarkan perintah kepada pegawai penyelia yang dilantik untuk membuat seliaan dan menyediakan laporan dari semasa ke semasa ke atas orang yang menjalani perintah pemulihan.
Sehubungan dengan itu, pesalah yang terlibat perlu melapor diri kepada pegawai penyelia yang dilantik untuk setiap program yang diarahkan sepanjang tempoh mereka menjalani perintah pemulihan dan laporan ini kemudiaannya akan dihantar ke mahkamah;

(c)Penetapan masa untuk menjalani pemulihan. Pesalah yang telah dikenakan perintah pemulihan hendaklah semasa perintah tersebut berkuatkuasa melaporkan diri pada hari, masa dan tempat yang ditetapkan sebagaimana yang dinyatakan dalam peraturan yang akan digubal oleh Majlis kelak. Mana-mana pesalah yang melanggar mana-mana peraturan di dalam perintah pemulihan akan dimaklumkan kepada mahkamah. Mahkamah boleh membatalkan perintah tersebut serta mengkomitkan pesalah tersebut dengan hukuman penjara; dan

iii. Penguatkuasa perlu lebih agresif memainkan peranan nahi munkar secara efisyen dan berhemah.

iv. Pendakwaan perlu memastikan lebih ramai tertuduh disabitkan dan dikenakan perintah pemulihan.

v. Institusi mesjid perlu berubah ke arah pusat kecemerlangan dan islah ummah dengan melibatkan anggota masyarakat setempat termasuk NGO.



Manfaat Umum dan Menyeluruh


Secara keseluruhannya, perintah pemulihan yang akan dilaksanakan terhadap pesalah-pesalah yang terlibat dilihat akan dapat memberi banyak manfaat dan meninggalkan kesan positif bukan sahaja kepada pesalah-pesalah terbabit malah masyarakat. Hukuman ini juga lebih efektif bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang bersahsiah tinggi dan dapat memupuk serta meningkatkan rasa kebertanggungjawaban dalam diri setiap warga masyarakat.


Perbezaan Perintah Khidmat Masyarakat / Perol


Berbeza dengan konsep perintah khidmat masyarakat dan Perol yang dilaksanakan di bawah undang-undang sivil, perintah pemulihan yang dicadangkan ini adalah untuk kesalahan-kesalahan di bawah Akta/Enakmen Negeri-Negeri dan hendaklah terpakai kepada pesalah yang sabit kesalahannya di bawah apa-apa kesalahan jenayah Syariah atau kesalahan di bawah Akta 303.


Modul Kerohanian dan Sahsiah Diri


Selain daripada modul khidmat masyarakat, modul kerohanian dan sahsiah diri ini adalah suatu modul yang perlu dirangka untuk membina jati diri serta sahsiah mulia yang mantap di kalangan pesalah yang terlibat. Beberapa program yang dicadangkan untuk dilaksanakan adalah seperti yang berikut:

(i) mengadakan sesi tazkirah dan kaunseling kelompok di kalangan para pesalah jenayah yang akan meningkatkan lagi kesedaran mereka tentang ketaatan kepada agama, syariat Islam, undang-undang Syariah dan undang-undang negara;

(ii) mengadakan sesi muhasabah diri yang boleh membantu mereka untuk menginsafi diri mereka serta kembali semula kepada jalan yang diredhai Allah yang berpandukan pada al-Quran dan Sunnah;

(iii) pesalah-pesalah juga boleh diarahkan untuk mengikuti kelas-kelas agama dan fardhu ain serta kelas bimbingan Al-Quran untuk melengkapkan diri mereka dengan ilmu asas fardhu ain dan agama Islam. Sebagai contoh, mereka hendaklah menyempurnakan solat fardhu secara berjemaah, dilatih menjadi bilal dan imam dan juga mengikuti setiap program yang dianjurkan oleh masjid atau surau seperti program qiyamullail;

(iv) dan lain-lain yang difikirkan wajar.


Modul Khidmat Masyarakat


Antara modul yang dicadangkan untuk dipertimbangkan ialah–


Berdasarkan cadangan yang dikemukakan ini, para pesalah yang sabit kesalahannya di bawah apa-apa kesalahan jenayah Syariah akan diperintahkan oleh mahkamah Syariah untuk menjalani pemulihan di mana-mana tempat atau institusi yang menjadi pusat pemulihan atau rumah yang diluluskan sebagaimana yang ditetapkan dalam bon.
Pusat pemulihan atau rumah yang diluluskan adalah termasuk surau, masjid, madrasah atau rumah kebajikan yang telah diluluskan melalui pemberitahuan dalam warta oleh Majlis Agama Islam Negeri sebagai pusat pemulihan atau rumah yang diluluskan untuk menjalani perintah pemulihan tersebut.


Dalam konteks ini, modul pemulihan yang boleh dipertimbangkan ialah melalui pelaksanaan kerja-kerja khidmat masyarakat seperti membersihkan tempat-tempat yang diarahkan dan kawasan persekitarannya, membaik pulih kerosakan dan menghias kawasan sekitar seperti mengecat bangunan dan menanam pokok. Melalui modul ini, para pesalah jenayah akan dapat menanam azam untuk memperbaiki diri serta mengubah cara hidup mereka ke arah hidup yang lebih bermanfaat dan sempurna.


Perencanaan penuh teliti dan pelaksanaan secara sistematik.

Bagi menjamin keberkesanannya, modul perintah pemulihan hendaklah direncanakan dengan keazaman yang tinggi oleh MAIN dan perlu dilaksanakan dengan sistematik oleh Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, pakar-pakar kaunseling atau motivasi atau ahli-ahli qaryah yang telah ditentukan dan dilantik oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri.

Tiada ulasan: