DONATE

Ahad, 14 Julai 2013

KONSEP PUSAKA DI DALAM PENTADBIRAN HARTA PUSAKA FELDA: PANDANGAN ULAMA KONTEMPORARI





 

KONSEP HARTA PUSAKA


2.1 PENGENALAN
      
Harta pusaka mempunyai definisi dan maksud yang tersendiri mengikut perspektif Islam dan sivil. Ia amat penting untuk membezakan harta pusaka dengan harta-harta yang lain agar jelas dapat dibezakan. Di dalam bab ini akan menyentuh beberapa definisi pusaka atau harta pusaka menurut Islam dan harta pusaka menurut undang-undang ciptaan manusia (civil law). Selain itu juga, di dalam bab ini juga penulis akan menyentuh aspek pensyariatan pusaka di dalam Islam, hak-hak yang berkaitan sebelum dibahagikan harta pusaka, jenis-jenis harta pusaka, dan juga peruntukan undang-undang berkaitan harta pusaka yang digunakan di negara kita kini.

2.2       DEFINISI HARTA PUSAKA

2.2.1    Definisi Harta Pusaka Menurut Islam

Pusaka atau al-mīrāth (الميراث) dari segi bahasa pada makna al-masdar (المصدر) bermaksud al-baqā (البقاء) iaitu kekal dan perpindahan suatu daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Al-mīrāth (الميراث) merupakan ism mafcul (إسم المفعول) yang bermaksud asal atau baki.[1] Dari segi istilah pula pusaka bermaksud sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati daripada harta benda dan hak-hak yang akan diwarisi oleh

ahli-ahli waris disebabkan kematian pewaris.[2] Ada pendapat yang lain menyatakan bahawa pusaka atau al-mīrāth pada istilah ialah perpindahan pemilikan daripada si mati kepada para warisnya yang masih hidup sama ada yang ditinggalkan itu berbentuk harta yang boleh dipindahkan, harta yang tidak boleh dipindahkan, ataupun sesuatu hak yang ditetapkan oleh syarak (seperti hak khiyār dalam jual beli, hak shufcah, dan hak qisās).[3]

Menurut istilah ilmu farāid, harta pusaka juga dikenali sebagai al-tārikah. Dari segi bahasa, al-tārikah bermaksud segala apa yang ditinggalkan atau dibiarkan oleh si mati.[4] Manakala definisi al-tārikah dari segi istilah syarak pula berlaku perselisihan dalam menentukan maknanya. Perselisihan tersebut dapat dilihat seperti berikut iaitu menurut jumhur fuqaha’ (iaitu Al-Mālikiyyah, Al-Shāficiyyah, dan Al-Hanābilah) mendefinisikan al-tārikah ialah segala sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati termasuklah harta benda atau hak-hak miliknya.[5] Kesemuanya ini akan diwarisi sama ada oleh waris atau bukan waris.[6]

           Mengikut mazhab Hanafi pula telah mendefinisikan al-tārikah sebagai segala harta dan hak-hak kebendaan yang menjadi milik si mati. Harta itu termasuklah harta alih dan harta tak alih serta hutang-hutang yang belum dijelaskan oleh orang lain kepadanya. Namun terdapat sesetengah pendapat mengatakan bahawa al-tārikah ialah segala harta yang ditinggalkan oleh si mati setelah diselesaikan hutang dan wasiatnya. Oleh itu, al-tārikah menurut pendapat jumhur ulama ialah harta peninggalan si mati yang telah bersih dari hutang dan wasiat serta ia akan diwarisi oleh waris-warisnya yang masih hidup.[7]

            Menurut Imam Al-Ramli iaitu ulama mazhab Shafici di dalam kitab penulisannya Nihayāt Al-Muhtaj telah mendefinisikan harta pusaka sebagai:


Apa-apa yang ditinggalkan (oleh si mati) untuk orang kemudian daripadanya sesuatu hak seperti jenayah, tuduhan zina, atau ikhtisas, atau mal seperti arak yang telah menjadi cuka setelah matinya, diyat yang diambil daripada pembunuhnya kerana diyat termasuk di dalam miliknya. Begitu juga apa yang termasuk ke dalam pukatnya yang telah dipasangnya ketika di masa hidupnya.[8]

2.2.2    Pensyariatan Pusaka Di Dalam Islam

Pensyariatan pusaka di dalam undang-undang pusaka Islam adalah terkandung di dalam Al-Quran. Ia dapat dilihat di dalam surah an-Nisa’ ayat 11, 12, 176 yang dikenali sebagai ayat al-Mawārith. Ketiga-tiga ayat tersebut telah menjelaskan secara terperinci (yang juga dikenali sebagai ayat mufassal) tentang pusaka di dalam Islam termasuklah ahli waris, bahagian-bahagian mereka, dan sebab perwarisan. Contoh firman Allah s.w.t di dalam ayat 11, 12, 176 surah an-Nisa’ iaitu:

Maksudnya:

Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.[10]



Maksudnya:

Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu. Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris).[12] Allah menetapkan wasiat itu (sebagai ketetapan dari Allah). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyantun.




Maksudnya:

Mereka meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad mengenai masalah Kalālah).[14] Katakanlah: "Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalālah itu, Iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh si mati; dan ia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. Kalau saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan". Allah menerangkan kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.


            Menurut Ibnu Kathīr telah memberikan tafsiran yang jelas di dalam kitabnya iaitu Tafsir Al-Quran Al-cAẓim bahawa hukum asal dalam sistem faraid adalah seperti apa yang dinyatakan di dalam Surah An-Nisa’ ayat 11 dan 12.[15] Menurut pandangan Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Dr. Harussani bin Zakaria juga menegaskan bahawa pembahagian harta pusaka berdasarkan faraid adalah suatu keutamaan yang perlu dipatuhi tanpa sebarang bantahan kerana ia adalah qatci.[16] Malahan pula menurut Noh bin Abdullah berdasarkan penulisannya di dalam majalah Dewan Masyarakat telah mengambil pandangan Sheikh Mahmud bin Ahmad dalam buku Economic of Islam menyatakan bahawa pembahagian harta pusaka yang ditetapkan Allah adalah adil yang mana dapat membantu ekonomi Islam.[17]

            Di samping itu, terdapat beberapa ayat lain yang menjelaskan tentang pensyariatan pusaka, tetapi tidak menyatakan secara terperinci dan hanya berbentuk umum (yang dikenali juga sebagai ayat mujmal).[18] Antaranya ialah firman Allah s.w.t yang berbunyi:

Maksudnya:

Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka mereka dari golongan kamu. Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut Kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
 
Maksudnya:

Bagi orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan (ditentukan oleh Allah).

            Selain daripada nas-nas Al-Quran di atas, terdapat beberapa hadis Rasulullah S.A.W yang menerangkan tentang waris-waris dan bahagian masing-masing. Antaranya hadis daripada cAbdullah Ibnu Mascūd, Rasulullah S.A.W bersabda:

للإبنة النصف ولإبنة الإبن السدس وما بقي فللأخت[21]

Maksudnya:

            Bagi seseorang anak perempuan ½, seseorang anak perempuan kepada anak lelaki (cucu perempuan) 1/6 dan baki (casabah) itu untuk seorang saudara perempuan.


Hadis yang diriwayatkan daripada cAbdullah Ibnu cAbbas, sabda Rasulullah S.A.W:

ألحقوا الفرائض بأهلهما فما بقي فهو لأولى رجل ذكر[22]




Maksudnya:

Berikanlah harta pusaka kepada orang-orang yang berhak, sesudah itu bakinya adalah untuk waris lelaki yang lebih utama.

            Di samping itu juga, ijmāc ulama saling bersepakat mengenai pensyariatan pusaka. Jika terdapat masalah pembahagian pusaka yang tidak jelas di dalam Al-Qur’an dan As-sunnah, maka ia akan dapat diselesaikan melalui ijmāc ulama dan ijtihad mereka. Contohnya seperti kedudukan saudara-saudara yang mewarisi bersama datuk. Hal ini tidak jelas di dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah. Oleh itu, kebanyakan sahabat-sahabat dan imam-imam mazhab berpendapat bahawa saudara-saudara itu mendapat harta pusaka secara muqasamah[23] dengan datuk. Ini adalah mengikut pendapat Zayd bin Thābit, cUmar Al-Khaṭṭāb, cAlī bin Abī Ṭalib, dan Ibnu Mascud. Pendapat tersebut diikuti oleh Imam Malik, Al-Auzaci, Abū Yūsuf, As-Shafici, dan Ahmad bin Hanbal.[24]

            Terdapat juga ulama yang sepakat mengatakan bahawa anak lelaki kepada anak lelaki (iaitu cucu lelaki) adalah seperti anak lelaki tatkala ketiadaan ayahnya (anak lelaki) dan anak perempuan kepada anak lelaki (iaitu cucu perempuan) seperti anak perempuan ketika ketiadaannya.[25]


2.3       JENIS-JENIS HARTA PUSAKA

Berdasarkan undang-undang yang terdapat di Malaysia telah menunjukkan bahawa harta pusaka dibahagikan kepada tiga jenis iaitu harta pusaka kecil, harta pusaka besar (dikenali juga harta pusaka biasa), dan harta pusaka ringkas. Undang-undang yang merujuk kepada ketiga-tiga jenis harta pusaka ialah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, Akta Probet dan Pentadbiran 1959, dan Akta Perbadanan Amanah Raya 1995.

2.3.1    Harta Pusaka Kecil

Harta pusaka kecil ialah harta yang ditinggalkan oleh si mati tanpa wasiat yang terdiri daripada harta tak alih sahaja atau campuran di antara harta alih dan harta tak alih yang jumlah nilainya tidak melebihi RM 2 juta (sebelum ini jumlah nilainya tidak melebihi RM600,000).[26] Undang-undang yang dipakai dalam pentadbiran harta pusaka kecil ialah Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (dahulunya dipegang oleh Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi) mengikut peredaran dari semasa ke semasa. Tuntutan pembahagian harta pusaka kecil bagi orang-orang Islam dan bukan Islam boleh dibuat di Pejabat Pusaka Kecil yang terdapat di dalam Pejabat Tanah Daerah di hadapan Pegawai Penyelesai Pusaka.[27] Terdapat 36 unit pembahagian pusaka kecil di seluruh Malaysia yang mana setiap unit mengawasi dua atau tiga daerah. Terdapat juga daerah yang tidak mempunyai Unit Pusaka Kecil, justeru itu urusan penerimaan permohonan Borang A dan Borang P adalah dibuat melalui Pejabat Tanah di daerah masing-masing.[28] Unit ini diletakkan di bawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) serta Pembangunan Koperasi. Kebiasaannya tuntutan atau permohonan pembahagian harta pusaka kecil dibuat di Pejabat Tanah di mana harta tak alih si mati terletak.[29] Sekiranya si mati mempunyai tanah yang banyak merata tempat sama ada di negeri yang sama atau negeri yang berlainan, maka daerah yang mempunyai nilai harta si mati yang paling tinggi akan mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan pembahagian harta pusaka kecil si mati tersebut.[30]

            Setiap permohonan untuk pembahagian harta pusaka kecil hendaklah dibuat di dalam borang khas iaitu Borang A. Borang ini boleh didapati secara percuma di Pejabat Tanah ataupun Unit Pembahagian Pusaka Kecil yang berdekatan dengan tempat tinggal pemohon. Setiap permohonan tidak dikenakan bayaran pendaftaran semasa pendaftaran dibuat.[31] Permohonan tersebut akan dihantar ke Pejabat Pendaftaran Pusat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk tujuan merekod dan ia juga bertujuan mengelakkan pertindihan kes. Semasa mengemukakan borang A terdapat beberapa dokumen yang perlu disertakan iaitu[32]:

a.         Dokumen bukti kematian si mati yang telah meninggal dunia seperti sijil kematian atau permit pengkebumian, surat sumpah oleh dua orang saksi bebas yang menyaksikan jenazah dikebumikan (terpakai bagi kematian semasa pendudukan Jepun atau sebelumnya) ataupun perintah anggapan kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi (terpakai bagi keadaan di mana kematian tanpa kubur, si mati hilang di laut, hilang semasa pendudukan Jepun, mati ketika tragedi 13 Mei 1969, tragedi Muassem, dan sebagainya). Perintah ini hanya boleh diperolehi selepas 7 tahun dari tarikh orang tersebut hilang dan tiada dengar perkhabaran berita.[33]

b.         Salinan dokumen hak milik keluaran seperti contohnya geran tanah bagi harta tak alih[34] dan jika terdapat harta alih mestilah disokong oleh dokumen-dokumen yang menunjukkan pegangan harta alih si mati seperti pegangan buku bank, geran pendaftaran kenderaan, sijil saham, penyata KWSP, dan sebagainya.

c.         Salinan Kad Pengenalan waris-waris, surat beranak (jika ada), dan surat nikah pasangan si mati.

d.         Sekiranya pembahagian hendak dibuat mengikut hukum faraid, pemohon yang terdiri daripada waris-waris si mati perlulah mendapatkan sijil faraid daripada Mahkamah Syariah yang berdekatan.


              Menurut seksyen 8 Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, orang yang berhak memfailkan tuntutan pembahagian harta pusaka kecil ialah[35]:

a.         Waris-waris pusaka si mati (benefisiari) seperti suami ataupun isteri, ibu atau bapa, dan Majlis Agama Islam (baitulmal) jika tiada waris yang berhak menerima pusaka si mati.

b.         Si Pemiutang (creditors) dan pengkaveat yang telah memasukkan kaveat atau perintah halangan ke atas tanah kerana menuntut kepentingan atau hak ke atas tanah si mati.

c.         Si pembeli (yang membeli melalui perjanjian jual beli yang sah ataupun melalui perjanjian lisan yang sah tetapi pindah milik belum dapat dibuat sebelum si mati meninggal dunia).

d.         Orang-orang ataupun badan-badan yang berkepentingan dalam tanah kepunyaan si mati seperti pemegang gadaian dan pajakan. Contohnya seperti pihak bank.

e.         Penghulu atau pegawai tempatan dengan arahan pentadbir tanah di bawah seksyen 18 Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 terpakai apabila di dalam tempoh enam bulan selepas kematian si mati. Tiada sebarang prosiding diambil untuk mendapatkan probet atau surat kuasa mentadbir pusaka ataupun permohonan untuk pembahagian di bawah Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955.

f.          Amanah Raya Berhad (terpakai apabila waris si mati membuat tuntutan melalui ARB).[36]

2.3.2    Harta Pusaka Besar (Biasa)

Harta pusaka besar atau dikenali juga harta pusaka biasa merupakan semua jenis harta peninggalan si mati yang jumlah nilainya RM 2 juta atau lebih sama ada terdiri daripada harta tak alih semuanya atau harta alih kesemuanya atau campuran kedua-duanya ataupun harta pusaka yang jumlah nilaiannya kurang daripada RM 2 juta tetapi si mati ada meninggalkan wasiat.[37] Pentadbirannya tertakluk kepada Akta Probet dan Pentadbiran 1959. Permohonan hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil yang berhampiran dengan tempat tinggal si mati untuk mendapatkan sama ada probet (surat kuasa wasiat bagi orang bukan Islam), surat kuasa mentadbir pusaka (bagi pusaka tanpa wasiat), ataupun surat kuasa tadbir dengan wasiat berkembar (bagi si mati yang meninggalkan wasiat untuk sebahagian hartanya.[38]

            Bagi orang yang beragama Islam, si mati hanya boleh mewasiatkan hartanya tidak melebihi 1/3 daripada harta kepada pihak-pihak yang lain selain daripada waris-warisnya kecuali dengan persetujuan di kalangan ahli waris. Dokumen-dokumen yang diperlukan semasa membuat tuntutan harta pusaka besar sama dengan dokumen-dokumen yang diperlukan semasa menuntut harta pusaka kecil termasuklah surat wasiat terakhir si mati. Permohonan boleh dibuat oleh waris-waris si mati atau si pemiutang sama ada secara persendirian, melalui khidmat peguam, ataupun menerusi Amanah Raya Berhad (ARB). Setiap permohonan hendaklah didaftarkan di Pejabat Pendaftaran Pusat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menentukan sama ada harta pusaka tersebut telah dituntut atau sebaliknya.[39]

            Kebiasaannya orang yang diberi probet (wasiat) atau surat kuasa mentadbir pusaka disyaratkan mendapatkan seorang atau dua orang penjamin kecuali bagi Pegawai Penyelesai Pusaka dan ARB. Jika sekiranya pempetisyen mengalami kesulitan mendapatkan penjamin-penjamin yang layak dan sesuai, maka dia bolehlah memohon kepada mahkamah bagi mendapatkan perintah pengecualian daripada mengemukakan penjamin-penjamin atau pendapat khidmat penjamin profesional iaitu seperti syarikat insuran atau institusi-institusi bank dengan bayaran yuran yang telah ditetapkan oleh syarikat atau institusi tersebut berdasarkan jumlah harta pusaka.[40]

            Surat kuasa mentadbir pusaka dan surat kuasa probet hanya boleh dikeluarkan apabila perintah pengecualian penjamin telah diperolehi dan bon (surat ikatan ikrar) pentadbiran telah ditandatangani oleh pempetisyen. Setelah pempetisyen telah memperoleh surat kuasa tersebut, maka dia hendaklah mendaftarkan dirinya di pejabat tanah supaya semua surat-surat hak milik tersebut didaftarkan atas nama pempetisyen sebagai wakil peribadi si mati.[41] Pempetisyen juga bertanggungjawab untuk memohon membuat satu perintah pembahagian terhadap harta pusaka mengikut hukum faraid ataupun Ordinan Pentadbiran Harta Pusaka kepada mahkamah sebaik sahaja dia menyenaraikan semua aset harta si mati.


2.3.3    Harta Pusaka Ringkas

Harta pusaka ringkas ialah harta pusaka yang jumlah nilainya tidak melebihi RM 2 juta yang terdiri daripada harta alih sahaja tanpa wasiat seperti wang tunai, saham-saham, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB), kereta, wang simpanan di dalam bank atau lain-lain, dan sebagainya. Permohonan untuk pembahagian harta pusaka ringkas ini hendaklah dibuat melalui Pengarah Perbadanan Amanah Raya Berhad.[42]

            Terdapat satu peruntukan khas dalam Akta Probet dan Pentadbiran 1959 yang memberi kuasa kepada pemegang Amanah Raya Berhad untuk mentadbir dan menyelesaikan harta pusaka ringkas tanpa perlu membuat permohonan surat kuasa mentadbir daripada Mahkamah Tinggi Sivil. Pembahagian harta pusaka tersebut dibuat kepada waris-waris yang berhak mengikut kadar tertentu seperti mana yang dinyatakan di dalam sijil faraid daripada mahkamah syariah.[43]

2.4       KESIMPULAN

Setelah kita melihat definisi-definisi harta pusaka menurut undang-undang Islam dan undang-undang ciptaan manusia, maka dapatlah kita lihat di sini bahawa terdapat persamaan dari segi definisi tersebut iaitu harta pusaka merupakan harta peninggalan si mati yang meninggal dunia. Melalui bab ini juga, kita dapat memahami hak-hak si mati sebelum harta peninggalannya dibahagikan kepada ahli waris mengikut pandangan ulama secara umum. Di samping itu juga, kita dapat mengenal beberapa peruntukan yang digunakan berkaitan dalam pengurusan dan pembahagian harta pusaka di negara kita.



[1] Muhammad Mustafā Shalābi, Ahkām al-mawārith bayna al-fiqh wa al-qānun, dar al-nahdah al-cArabiyyah, Beirut, 1978, hlm 21.
[2] Mohd Ridzuan Awang, Undang-Undang dan Pentadbiran Pusaka, Wasiat, dan Wakaf, Pengajian Jarak Jauh, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2003, hlm 100.

[3] Al-Khaṭib al-Sharbinīy, Shamsuddin Muhammad ibn Muhammad, Mughnī Muhtāj ilā macanīy alfāz al-Minhaj, jil.4, Dar al-Kutub al-cIlmiyyah, Beirut, 1994, hlm 8.

[4] Majmac al-Lughah al-cArabiyyah, al-Mucjam al-wāsit, juz 1, Sharikat al-Iclanat al-Sharqiyyah, t.tp, 1985, hlm 8

[5] Ibn cArfah, Muhammad ibn Ahmad ibn cArfah Ad-Dusūkī Al-Malikī, Hāsyiyyah Al-Dusūkī cala Al-Syarh Al-Kabīr, jilid 4, Dar Ihyā’ Al-Kutub Al-cArabiyyah, Kaherah, t.th,  hlm 457.

[6] Mohd Zamro Muda & Mohd Ridzuan Awang, Undang-Undang Pusaka Islam Pelaksanaan di Malaysia, Syarikat Percetakan Putrajaya Sdn. Bhd, Bangi, 2006, hlm 2.
[7] Al-Sabunī, Sheikh Muhammad cAli, al-Mawārith fi as-Sharicah fi Dhau’i al-Kitāb wa as-Sunnah, edisi kelima, Dar As-Sabunī, Makkah al-Mukarramah, 1987, hlm 32.

[8] Al-Ramlī, Syihabuddin, Nihayāt al-Muhtaj, juz 6, Mustafā al-Bābī al-Halabī Wa Aulāduh, Kaherah, 1938, hlm 3.
[9] Al-Qur’an al-Karīm, An-nisa’ 4: 11.

[10] Semua terjemahan ayat-ayat Al-Qur’an dalam tulisan ini berdasarkan Tafsir Pimpinan Al-Rahman kepada pengertian Al-Qur’an, edisi kesembilan, (Kuala Lumpur; Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, 1995). [Semua terjemahan ayat al-Qur’an dalam tulisan ini dibuat oleh penulis kecuali kalau dinyatakan sebaliknya.]
[11] Al-Qur’an al-Karīm, An-nisa’ 4: 12.

[12] Iaitu  memberi mudharat kepada waris itu seperti tindakan-tindakan: a) mewasiatkan lebih daripada satu pertiga harta pusaka.  b) berwasiat dengan maksud mengurangi harta pusaka, sekalipun kurang dari satupertiga akan tetapi apabila ada  niat mengurangi hak waris, juga tidak diperbolehkan.

[13] Al-Qur’an al-Karīm, An-nisa’ 4: 176.

[14] Kalālah ialah seseorang mati yang tidak meninggalkan ibu bapa dan anak, tetapi ada saudara perempuan seibu sebapa atau sebapa. Pendapat ini dipersetujui oleh para fuqaha’. Lihat Muhammad Jawad Mughniah, at-Tafsir al-Kasyif, jil.2, Dar al-cilm lil Malāyīn, Beirut, 1968, hlm 261 dan 507.

[15] Ibnu Kathīr, Al-Hafiẓ cImaduddin Abī al-Fidā’ Ismacil ibn Kathīr al-Qarshi al-Dimashqi, Tafsir Al-Quran Al-cAẓīm, jil.1, Dar Ihya’ al-Kutub al-cArabiyah, Mesir, t.th, hlm 457.

[16] Noorzila Jamaluddin & Nor Shamsinor Baharin, Undang-Undang Pastikan Waris Jalankan Tanggungjawab, Al-Islam, Utusan Karya Sdn. Bhd, Kuala Lumpur, Julai 2004/Jamadilawal 1425, hlm 25.

[17] Noh Abdullah, Pemecahan Tanah Pusaka dalam Islam, Dewan Masyarakat, bil.4, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 15 April 1974, hlm 35.

[18] As-Sabunī, Sheikh Muhammad cAli, 1987, hlm 15.

[19] Al-Qur’an al-Karīm, Al-Anfal 8: 75.

[20] Al-Qur’an al-Karīm, An-nisa’ 4: 7.

[21] Ibnu Hajar Al-cAsqalanī, Ahmad ibn cAli, Fath Al-Bari’ bi Sharh Sahih Bukhārī, juz 13, Dar Al-Fikr, Beirut, 1992, hlm 510.

[22] Muslim, Sahih, Imam Abī Husīn Muslim ibn Al-Hajjaj Al-Qusyairiy An-Nisāburiy, Kitab Al-Fara’id, bab Alhiqu Al-Fara’id bi Ahlihā famā baqiya Falil ‘Ula Rajulun Zakarun, Al-Musnad As-Sohih Al-Mukhtasar min As-Sunani binaqliy Al-cadl cani Ar-Rasulullah Sallallahu cAlayhi Wasallam, juz 11, Dar ibn Hazm, Beirut, 1998, hlm 52.

[23] Muqasamah beerti dibahagikan sama rata bersama-sama antara saudara-saudara dengan datuk.
[24] Mustofā Al-Bughō & Mustofā Al-Khin, Bab cilm Al-Fara’id, Fiqh Al-Manhājīy cala Madhhab Al-Imam As-Syaficiy, jilid kedua, Dar Al-Qalam, Damsyiq, 1998, hlm 268.

[25] Imam An-Nawawīy, Abī Zakariyā Yahya bin Sharaf an-Nawawīy, Minhaj al-Ṭolibīn wa cUmdah al-Muftīn fi al-Fiqh, Matbacah Dar Ihya’ al-Kutub al-cArabiyah, jil.1, Mesir, t.th, hlm 75 .

[26] Nilai had RM 2 juta bagi harta pusaka kecil merupakan pindaan terbaru daripada Sidang Parlimen Malaysia yang  telah berkuatkuasa dan diwartakan pada 1 September 2009. Sila lihat Sittaparam, R, “RM2m limit to Small Estates From Sept 1”, akhbar New Sunday Times, 16 Ogos 2009, hlm 13.
[27]Pawancheek Merican, Distribution of Intestate Estate Under The Small Estates (Distribution) Act 1955, Malayan Law Journal, Petaling Jaya, 2007, hlm 91.

[28]Buku Panduan Permohonan Harta Pusaka Kecil, Seksyen Pembahagian Pusaka Kecil, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, putrajaya, 2009, hlm 1.

[29] Seh Nilamuddin Hassan, Menganalisis Trend Permohonan Pembahagian Harta Pusaka Kecil dan Mendapatkan Kaedah Peramalan Terbaik Serta Kesannya Ke Atas Bebanan Kerja Pegawai Pembahagian Pusaka Semenanjung Malaysia, Tesis Sarjana Program Sains Pengurusan, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia, Sintok, 2004, hlm 36-37.

[30] Mohd Ridzuan Awang, Pentadbiran dan Pengurusan Harta Undang-Undang Islam di Malaysia; Undang-Undang Tanah Islam: Pendekatan Perbandingan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1994, hlm 355.

[31] Sebelum ini setiap permohonan akan dikenakan yuran pendaftaran permohonan sebanyak RM10.00 bagi bagi borang A dan borang P. Namun bermula 1 September 2009, yuran daftar permohonan bagi borang A dan borang P tidak akan dikenakan lagi untuk setiap permohonan.
[32] Mohd. Fitri Abdul Rahman, Bagaimana Mengurus Harta Pusaka, PTS Professional Publishing Sdn. Bhd, Kuala Lumpur,  2007, hlm 43-45.

[33] Seksyen 108, Akta Keterangan 1950.

[34] Salinan dokumen hak milik harta tak alih hendaklah diakui sah oleh Pejabat Tanah atau Percukaian Carian Rasmi yang menunjukkan pegangan harta tak alih si mati atau surat perjanjian bagi rumah yang belum ada hakmilik yang berasingan.

[35] Sila lihat seksyen 8, Akta Pembahagian Harta Pusaka Kecil Tahun 1955.

[36] Walaupun ARB ini hanya ada bidangkuasa untuk mengeluarkan perintah pembahagian dalam bentuk “Surat Arahan atau Surat Akuan” bagi “harta pusaka ringkas” tetapi bagi “harta pusaka kecil” dia boleh mengemukakan permohonan. Sila lihat Sulaiman Kadimi, Prosedur Pembahagian Harta Pusaka Kecil di Malaysia, kertas kerja Prosiding Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat, dan Wakaf, anjuran MAIDAM & Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM, 18 &19 Oktober 2008, hlm 38.

[37] Tanpa terikat kepada batasan nilai yang dinyatakan, sebarang harta si mati orang-orang bukan Islam yang mengandungi wasiat di bawah Ordinan Wasiat No. 38 Tahun 1959 bukan lagi ditakrifkan sebagai pusaka kecil. Ia dianggap sebagai pusaka besar dan menjadi tanggungjawab Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun peruntukan tersebut tidak boleh dipakai bagi kematian seorang Islam kerana ianya bertentangan dengan syarat dan  peraturan pewasiatan dalam Islam. Sila lihat Portal Rasmi Jabatan Ketua Pengarah dan Galian (Persekutuan), Kementerian Sumber Asli dan Tanah, 2009, http://www.kptg.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=95%3Apengumuman&catid=1%3Aberita-terkini&lang=ms [1 Oktober 2009].

[38] Rafidah Mohamad Cusairi @ Khushairi, Isu-Isu Pengurusan Pembahagian Harta Pusaka Orang-Orang Islam di Malaysia: Satu Kajian di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kertas kerja Seminar Penyelidikan Jangka Pendek 2003, anjuran Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam UM, Kuala Lumpur, 11-12hb Mac 2003, hlm 2.

[39] Mohd Ridzuan Awang, 1994, hlm 354.

[40] Wan Mohamed Wan Mustapha, Undang-Undang yang Bersangkutan dengan Pentadbiran Harta di Malaysia Sebagai Kajian Untuk Diselaraskan dengan Undang-Undang Islam, kertas kerja Seminar Perundangan Islam, anjuran Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM, bangi, 8-10hb Ogos 1981, hlm 13.

[41] Sila lihat seksyen 346, Kanun Tanah Negara 1965.

[42] Sila lihat seksyen 17, Akta Perbadanan Amanah Raya 1995.

[43] Mohd Zamro Muda & Mohd Ridzuan Awang, 2006, hlm 209.







PENGURUSAN HARTA PUSAKA DI KAWASAN PENEMPATAN BERKELOMPOK FELDA KEMAHANG TIGA DAN KAJIAN KES MENGENAINYA


4.1              PENGENALAN

Harta pusaka merupakan suatu aset peninggalan yang penting yang diwariskan daripada si mati kepada para warisnya. Berdasarkan kepada nas Al-Quran dan As-sunnah telah menetapkan cara pembahagian adalah mengikut ketetapan hukum faraid. Namun begitu bagi peneroka-peneroka FELDA telah terdapat suatu akta khas iaitu Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 yang telah menetapkan bahawa tanah pusaka yang ditinggalkan oleh arwah peneroka hendaklah diturunkan kepada dua orang ahli waris sahaja. Hal ini telah menimbulkan masalah bagi para ahli waris lain yang berhak ke atas harta pusaka bapa mereka (peneroka) di mana terpaksa berbincang untuk memilih dua orang di antara mereka untuk mewarisi tanah pusaka tersebut.
           
Di samping itu juga, Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 telah mempengaruhi pengurusan harta pusaka bagi penduduk-penduduk Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok FELDA khususnya FELDA Kemahang Tiga. Bahkan terdapat kes-kes pengurusan harta pusaka penduduk FELDA Kemahang Tiga yang masih belum diselesaikan lagi. Justeru itu di dalam bab ini, penulis mendedahkan ketetapan yang digariskan di dalam Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960, prosedur pengurusan harta pusaka bagi penduduk FELDA Kemahang Tiga berlandaskan akta tersebut, kes contoh berkaitan hasil kajian penulis ketika di FELDA itu, serta menyenaraikan permasalahan yang dihadapi oleh pihak FELDA dan waris-waris peneroka ketika menjalankan proses pengurusan harta pusaka.

4.2       SEKATAN-SEKATAN YANG DITETAPKAN AKTA TANAH (KAWASAN-KAWASAN PENEMPATAN BERKELOMPOK) 1960 KEPADA PEMILIKAN TANAH PENEROKA FELDA

Sebelum kita mengetahui prosedur pengurusan harta pusaka penduduk FELDA khususnya FELDA Kemahang Tiga, maka adalah lebih baik untuk kita mengenal dahulu sekatan-sekatan yang telah ditetapkan oleh Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 kepada pemilikan tanah bagi peneroka-peneroka FELDA. Sekatan-sekatan yang diperuntukkan tersebut tidak memungkinkan semua ahli waris peneroka mendaftarkan nama-nama mereka dalam geran tanah itu. Bahkan dalam masa yang sama juga tanah tersebut tidak boleh dibahagi-bahagikan sempadan dan sebagainya.

            Menurut Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 atau dikenali juga sebagai Land (Group Settlement Areas) Act 1960 (Act 530) telah memperuntukkan sekatan bahawa segala hak pemilikan tanah yang diperolehi oleh peneroka FELDA daripada pihak FELDA adalah tidak bersifat mutlak. Walaupun surat hak milik tanah telah diserahkan, namun peneroka tidak boleh secara bebas membuat urus niaga ke atas tanah tersebut seperti menjual, mencagar, atau memindah milik secara sesuka hati. Hal ini disebabkan surat hak milik tanah tersebut mengandungi pernyataan sekatan kepentingan yang memberitahu bahawa segala urus niaga ke atas tanah yang diberi hak milik itu hanya dapat dilakukan dengan kebenaran Pihak Berkuasa Negeri. Justeru itu sekiranya peneroka bercadang ingin membuat urus niaga ke atas tanah-tanah mereka yang telah mendapat hak milik, maka mereka perlu membuat permohonan kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk tujuan demikian.[1]

            Tujuan sekatan oleh kerajaan negeri dilakukan ialah untuk mengelak penyalahgunaan tanah yang telah diberi hak milik kepada para peneroka. Selain itu, syarat khas perjanjian di antara pihak FELDA dengan peneroka telah termeterai semasa pemberian surat hak milik tanah di mana telah disebutkan bahawa syarat khas tersebut ialah Syarat Nyata yang terkandung dalam surat hak milik tanah seperti berikut iaitu “Tanah ini mestilah ditadbir oleh Lembaga Tanah Persekutuan, sebuah Badan Berkanun yang ditubuhkan di bawah Undang-Undang Kemajuan Tanah 1955 (No.20/1956)…”

            Syarat Nyata demikian telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri sebagaimana yang termaktub dalam peruntukan Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960. Hal ini bermaksud bahawa keputusan memperuntukkan pentadbiran rancangan tanah FELDA yang telah diberi hak milik kepada FELDA adalah merupakan kehendak Kerajaan Negeri.

            Terdapat beberapa sekatan yang dimasukkan di dalam Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960, yakni bertujuan bagi menjamin pembangunan tanah pertanian agar dilaksanakan secara berterusan dengan pengeluaran hasil yang maksimum bagi memberi keuntungan kepada peneroka. Di antara sekatan-sekatan tersebut ialah:

a.         Seksyen 14 yang memperuntukkan tidak membenarkan Pegangan Luar Bandar dikeluarkan kepada lebih daripada dua orang pemegang yang dikira sebagai pegangan bersama atau pemilik bersama.[2]

b.         Seksyen 15 pula memperuntukkan kawasan Pegangan Desa tidak boleh pada bila-bila masa dibelah bahagi (subdivided or partitioned). Sekyen ini juga tidak membenarkan pegangan desa dipajak (leased) sebahagian atau kesemuanya.[3]

c.         Seksyen 17 akta tersebut mengehadkan penggunaan kawasan Pegangan Luar Bandar hanya untuk tanaman tertentu sahaja seperti yang dipersetujui dalam perjanjian antara Kerajaan Negeri atau Agensi Pelaksana. Kawasan tersebut tidak boleh digunakan selain daripada tujuan yang telah dipersetujui di dalam perjanjian.[4]

d.         Seksyen 7 (3) pula mengehadkan penggunaan Pegangan Bandar hanya untuk kegunaan perumahan, kegunaan awam, perdagangan, industri atau kegunaan-kegunaan lain seperti yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri.[5]

Mengikut seksyen 19, Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960, individu yang layak memiliki tanah rancangan FELDA adalah seorang warganegara Malaysia yang tidak memiliki tanah kecuali tanah desa yang luasnya tidak melebihi dua ekar atau satu lot tanah bandar untuk tapak rumah atau kedua-duanya sekali. Namun begitu, syarat ini tidak terlalu ketat dan ianya bergantung kepada dasar kerajaan. Pada asalnya menurut seksyen 15 Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 menyatakan bahawa tanah rancangan FELDA tidak boleh dipecah sempadan, tidak boleh dipegang secara bahagian yang tidak dipecahkan, dan tidak boleh dipajak atau disewakan sama ada semua atau sebahagian daripadanya. Pindaan akta dalam tahun 2002, seksyen 15 (2A) menyatakan Pihak Berkuasa Negeri boleh membenarkan peneroka dan isteri atau bekas isteri atau waris didaftarkan sebagai pemegang bersama dengan syarat permohonan dibuat melalui Borang AA.[6]

Berdasarkan seksyen 11 Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960, beberapa syarat khas dikenakan kepada peneroka. Di antara syarat yang telah ditetapkan adalah peneroka perlu membayar cukai atau bayaran tahunan dan perlu mematuhi syarat yang ditetapkan bagi mengelakkan penarikan balik pegangan dan pembatalan hakmilik seperti yang ternyata dalam undang-undang tanah negeri.[7] Bagi tanah-tanah yang dikeluarkan hakmilik kepada peneroka, sekatan kepentingan dikenakan berkaitan hakmilik lot kediaman dan lot ladang saling mengikat antara satu sama lain. Ini bererti, sebarang urus niaga di atas tanah rancangan FELDA tidak boleh dibuat secara berasingan. Hal ini kerana, segala urusniaga mestilah dibuat secara bersama bagi setiap suratan hakmilik yang dipunyai oleh peneroka.


4.2.1    Beberapa Persoalan yang Timbul dan Pandangan Ulama Berkenaan Isu Sekatan-Sekatan Akta Tanah

Berdasarkan sekatan-sekatan yang telah ditetapkan oleh Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960, maka penulis tertarik untuk menimbulkan dua persoalan yang mana telah ditimbulkan oleh penulisan Zulkifli bin Mohamad di dalam kertas kerjanya di Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat, dan Wakaf pada 2008 yang bertajuk “Isu Pusaka Tanah Rancangan FELDA: Kajian Kes FELDA Lurah Bilut Bentong Pahang Darul Makmur”. Di dalam kertas kerja tersebut beliau telah mengemukakan dua persoalan iaitu mengenai: [8]

a.         Apakah status sebenar pemilikan tanah FELDA oleh peneroka dengan syarat-syarat begitu ketat mengikut akta yang ditetapkan?

b.         Adakah peruntukan sekatan-sekatan yang ditetapkan oleh Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 adalah selari dengan kehendak Islam khususnya kontrak akad di dalam Islam dan juga hukum faraid?

Melalui penelitian penulis melalui pengkajian kertas kerja Zulkifli bin Mohamad berkenaan persoalan pertama yang ditimbulkan, maka penulis bersetuju dengan pandangan beliau yang menjelaskan bahawa status sebenar pemilikan peneroka terhadap tanah FELDA adalah merupakan pemilikan manfaat sahaja bukannya pemilikan tanah sempurna (milk al-tam). Penulis juga berpendapat sedemikian kerana pemilikan secara manfaat oleh peneroka merupakan suatu keizinan daripada pihak pemerintah iaitu pihak berkuasa negeri dan agensi FELDA kepada pihak peneroka untuk mengusahakan tanah serta mendapatkan manfaat daripada tanah tersebut sehinggalah tamat tempoh pajakan selama 99 tahun (tertakluk pada Surat Perjanjian Antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan dengan peneroka). Bahkan disebabkan pemilikan tanah FELDA oleh peneroka hanya pemilikan manfaat sahaja menyebabkan terdapat banyak syarat ketat yang ditetapkan oleh akta perlu dipatuhi kerana hakikatnya tanah tersebut adalah milik kerajaan.[9]

Berkaitan dengan persoalan yang kedua pula, penulis berpendapat bahawa peruntukan sekatan-sekatan hak milik dalam Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 adalah selari dengan kehendak Islam khususnya kontrak akad di dalam Islam. Hal ini jelas kerana setiap peruntukan sekatan yang digubal adalah bertujuan untuk kemaslahatan kerajaan dan kebaikan rakyat iaitu bermatlamat mencapai pembukaan tanah ladang secara berskala besar bagi membasmi kemiskinan rakyat serta memajukan ekonomi negara. Penulis tidak berpendapat bahawa melalui sekatan-sekatan yang ditetapkan oleh akta tersebut adalah bertujuan untuk menzalimi para peneroka kerana akad perjanjian telah termeterai ketika mana peserta peneroka ingin menyertai tanah rancangan FELDA. Malahan pula akad perjanjian tersebut sudah sedia maklum dan dipersetujui oleh para peneroka mengikut apa yang telah ditetapkan Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.

Terdapat empat jenis surat perjanjian yang perlu ditandatangani oleh peneroka. Surat perjanjian tersebut adalah seperti berikut:[10]

a.         Surat Perjanjian Mula Masuk ke Tanah Rancangan

Surat perjanjian ini terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama perlu ditandatangani sebaik sahaja peneroka memasuki ke tanah rancangan. Terdapat peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh setiap peneroka dari mula mereka memasuki tanah rancangan sehingga kebun mengeluarkan hasil. Ini bermakna peneroka tersebut perlu bermastautin di tanah rancangan, diberi bayaran sara hidup, mematuhi tatatertib serta keperluan menandatangani Surat Perjanjian Tambahan apabila tanah rancangan telah mengeluarkan hasil.

Bahagian kedua pula ditandatangani selepas tanah rancangan mengeluarkan hasil. Surat perjanjian ini mengandungi peraturan tambahan selepas tanah rancangan peneroka mengeluarkan hasil di mana mereka akan didaftarkan dalam Buku Daftar Pegangan (Register of Holding) sebagai pemegang pegangan desa sehingga peneroka menjelaskan hutang dan menerima surat hakmilik, seperti bayaran kembali, penjualan hasil, mengerjakan ladang, mematuhi tatatertib yang telah ditetapkan, hak pewarisan dan pengeluaran surat hakmilik.

b.         Surat Perjanjian Berkuatkuasa Selepas Hakmilik

Surat perjanjian ini ditandatangani semasa permohonan hakmilik bagi peneroka sedang diproses oleh FELDA. Ianya mengandungi persetujuan peneroka bagi membenarkan dan membolehkan FELDA mentadbir tanah rancangan serta memberi perkhidmatan kepada peneroka semasa menunggu hakmilik diserahkan oleh Kerajaan Negeri.


c.         Surat Perjanjian Tanam Semula

Perjanjian tanam semula ini ditandatangani sebelum kerja-kerja tanam semula dilaksanakan. Surat perjanjian ini mengandungi persetujuan peneroka supaya FELDA mengendalikan kerja-kerja tanam semula bagi tanah rancangan mereka termasuk kemudahan pinjaman sara hidup, bekalan benih dan penjualan hasil.

d.         Surat Perjanjian Pindaan

Perjanjian ini mengandungi persetujuan peneroka mengubah Sistem Hakmilik Kumpulan kepada Sistem Hakmilik Lot. Perjanjian ini ditujukan kepada tanah rancangan sawit sistem blok yang awalnya diberikan hakmilik secara kumpulan. Pada tahun 1988, hakmilik kumpulan telah digantikan dengan hakmilik lot individu.[11] Ia ditandatangani oleh peneroka yang dahulunya di bawah Sistem Hakmilik Kumpulan bagi membolehkan urusan pemberian lot atau Hakmilik Lot dilaksanakan.


4.2.2    Beberapa Pandangan Ulama Kontemporari Berkenaan Isu Perwarisan Pusaka Orang Islam Mengikut Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960


Dari sudut hal perwarisan harta pusaka orang Islam pula, penulis telah menemukan dua pandangan ulama masa kini yang khilaf berkenaan dengan sekatan akta tersebut terhadap perwarisan harta pusaka peneroka yang meninggal dunia. Pandangan dua orang ulama yang terkemuka iaitu Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaylī (penulis kitab al-Fiqh al-Islāmīy wa Adillatuh) dan al-Sheikh Dr. cIkrima bin Sacid Ṣobri (Mufti Palestin) ini penulis petik daripada kertas kerja Zulkifli bin Mohamad memandangkan ia penting untuk dibahaskan. Ketika mana diajukan persoalan tentang mengehadkan perwarisan hanya dua nama sahaja yang boleh didaftarkan pada geran tanah arwah peneroka, adakah ia seiring dengan syariat ataupun sebaliknya, maka Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaylī telah berpendapat bahawa amalan ini tidak bertentangan dengan syariat kerana ia hanya bersifat pentadbiran sahaja. Beliau turut mengulas bahawa yang paling utama ialah penama yang didaftarkan sebagai pemilik geran tanah perlu mengagih-agihkan hasil berkenaan mengikut faraid atau kadar yang dipersetujui oleh ahli-ahli waris si mati yang lain. Berbeza pula dengan pandangan yang dikemukakan oleh al-Sheikh Dr. cIkrima bin Sacid Ṣobri ketika ditanyakan persoalan tersebut, maka beliau berpendapat bahawa amalan tersebut tidak wajar kerana boleh menimbulkan pertelingkahan di kalangan ahli waris.[12]

Pandangan al-Sheikh Dr. cIkrima bin Sacid Ṣobri disokong dengan pendapat yang diutarakan di dalam tesis sarjana yang ditulis oleh Yusuf bin Ramli di mana beliau juga menyatakan bahawa amalan mengehadkan perwarisan hanya kepada dua penama sahaja adalah tidak wajar. Antara sebab-sebab dianggap tidak wajar amalan tersebut bagi beliau kerana:[13]

a.         Memberikan semua tanah pusaka peninggalan si mati kepada dua orang sahaja pengganti dengan mengenepikan hak-hak ahli waris yang lain adalah bertentangan dengan prinsip hukum faraid. Prinsip hukum faraid telah menetapkan bahawa semua ahli waris berhak mestilah diberi hak bahagian mereka.

b.         Walaupun terdapat pembahagian saguhati diberikan kepada ahli-ahli waris yang tidak dilantik menjadi pengganti, tetapi mendapat saguhati yang tidak sama nilainya dengan hak habuan ahli waris dalam harta pusaka si mati, maka ia adalah bertentangan dengan hukum pembahagian harta pusaka di dalam Islam. Sekalipun Islam membenarkan tolak ansur dibuat dalam pembahagian harta pusaka iaitu ahli waris boleh meminta menarik diri daripada menerima cain harta pusaka itu dengan gantian harta lain yang mempunyai nilai yang sama dengan hak bahagiannya.

c.         Dengan hanya memberikan hak perwarisan harta pusaka si mati kepada ahli-ahli waris yang berumur 18 tahun ke atas beerti FELDA telah menafikan hak anak-anak si mati yang belum menjangkau umur tersebut untuk mewarisi harta pusaka si mati. Dalam Islam semua anak si mati tidak kira sama ada dirinya lelaki atau perempuan ataupun khuntha sekalipun, maka mereka berhak menerima harta pusaka si mati hinggakan walaupun anak masih dalam kandungan ibunya.[14]

Menurut pandangan penulis sendiri berkenaan dengan sekatan yang ditetapkan oleh Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 di dalam perwarisan tanah pusaka peneroka, maka penulis lebih cenderung menyatakan tindakan atau amalan sekatan seksyen 14 (2) akta itu tidak bertentangan dengan syariat. Hal ini disebabkan  terdapat dua keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan iaitu sidang yang diadakan pada 13 hingga 14 haribulan April 1982[15] dan sidang diadakan pada 21 haribulan Jun 1995 telah memutuskan bersetuju bahawa amalan perwarisan harta yang dilaksanakan oleh Rancangan FELDA yang berdasarkan Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 adalah tidak bertentangan dengan syarak kerana persetujuan meletakkan satu penama (sebelum pindaan) itu dibuat atas persepakatan semua ahli waris.[16]

Namun begitu ia bukanlah bermakna penulis bersetuju sepenuhnya dengan apa yang tertakluk pada sekatan akta ini kerana ada kalanya wujudnya sekatan seperti ini menimbulkan kesusahan terhadap ahli-ahli waris ketika mana ingin menjalankan pembahagian harta pusaka. Bahkan Islam merupakan agama yang mudah bagi penganutnya, maka sudah pasti segala aturan yang ditetapkan syarak lebih praktikal berbanding dengan undang-undang ciptaan manusia. Walaupun sekatan tersebut hanyalah bersifat pentadbiran sekalipun, penulis berpendapat beberapa penambahbaikan terhadap akta tersebut perlu dilakukan agar ia lebih selari dengan hukum syarak serta memudahkan pengurusan harta pusaka si mati. Hal ini perlu agar pengurusan harta pusaka peneroka FELDA tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk diselesaikan terutama mengelak daripada berlaku pertelingkahan sesama ahli waris si mati.

4.2.3    Pendaftaran Pegangan (Register of Holding) dan Bayaran Tahunan Disatukan (Consolidated Annual Charge) ke atas Peneroka FELDA

Hampir kesemua rancangan pembangunan tanah kawasan berkelompok yang dikendalikan oleh FELDA adalah menurut prinsip yang diperuntukkan di dalam Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960. Tanaman yang biasanya diusahakan di setiap tanah rancangan seluruh negeri adalah seperti tanaman kelapa sawit, getah, tebu, dan koko. Kebiasaannya setelah calon peserta peneroka mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri dan permohonan penyertaannya diproses oleh FELDA, maka seorang peneroka diperuntukkan dengan sebidang tanah pertanian seluas lebih kurang enam hingga sepuluh ekar serta sebidang tanah lagi untuk rumah kediaman.

Justeru itu selepas diberikan tanah pertanian untuk dimajukan, maka tiap-tiap peserta rancangan tanah FELDA akan dibuka satu daftar pegangan (Register of Holding) dan menempatkan mereka di kawasan rancangan tersebut. Nama-nama peserta peneroka akan didaftarkan dalam Buku Daftar Pegangan (Register of Holding) sebagai tanda bahawa mereka mempunyai kepentingan atau faedah di atas tanah yang diusahakan. Jika surat hakmilik yang dikeluarkan merupakan hakmilik individu, maka Buku Daftar Pegangan (Register of Holding) adalah di dalam borang A di bawah seksyen 12 (1) Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.[17] Apa-apa pindaan ke atas nama dalam Buku Daftar Pegangan boleh dibuat apabila berlaku perkara-perkara berikut melalui kebenaran pegawai yang diberi kuasa seperti Pengurus Rancangan FELDA, Pentadbir Tanah Daerah, atau Pihak Berkuasa Negeri:

a.         Pindahmilik melalui “Assignment of Right” dengan menggunakan borang C.[18]

b.         Menyerahkan balik kepentingan pegangan kepada FELDA atau Pihak Berkuasa Negeri dengan menggunakan borang khas.

c.         Pindahmilik berganti (Cross Transfer) atau menukar lot kelapa sawit, getah, dusun, dan lot rumah di antara peserta dalam rancangan berkenaan.

d.         Perintah penyingkiran kerana melanggar syarat perjanjian di bawah seksyen 22 Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.[19]

 Sebelum ladang-ladang yang diusahakan oleh peneroka mengeluarkan hasil, maka peneroka akan dibayar elaun sara hidup sebagai upah kerja. Peneroka dibayar sekurang-kurangnya RM 175 sebulan berasaskan 25 hari bekerja atas kadar RM 7 sehari. Elaun sara hidup tersebut adalah sebahagian daripada kos pembangunan utama yang akan dibayar semula oleh peneroka kelak setelah ladang tanaman mereka mengeluarkan hasil. Jadi setelah ladang penanaman peneroka mula mengeluarkan hasil, maka mereka tidak lagi menerima elaun sara hidup dan dikehendaki membayar perbelanjaan-perbelanjaan premium seperti:[20]

a.         Kos pembangunan pertanian termasuk pembersihan tanah dan menanam, kerja-kerja penjagaan yang dilakukan oleh kontraktor.

b.         Kos pembinaan rumah dan tapak rumah.

c.         Elaun sara hidup yang diterima oleh peneroka sebelum ladang mengeluarkan hasil

d.         Kos baja, bahan kimia, peralatan ladang yang dibekalkan.[21]

Pembayaran bagi kos-kos tersebut boleh dijelaskan secara beransur-ansur dengan cara Bayaran Tahunan Disatukan (Consolidated Annual Charge). Bayaran ini mula dijelaskan oleh peneroka FELDA setelah tanah rancangan mereka itu mengeluarkan hasil, kebiasaannya selepas tempoh enam tahun daripada tarikh pembukaan rancangan. Tempoh bayaran CAC (Consolidated Annual Charge) adalah selama 15 tahun. Kebiasaannya pihak pengurusan FELDA akan membuat potongan terus melalui paysheet bulanan atas kadar RM 9 bagi ukuran 10 ekar tanah.[22] Hak milik tanah itu akan hanya didaftarkan dan dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah negeri masing-masing setelah tanah itu diukur dan bayaran CAC sudah dijelaskan sepenuhnya. Peneroka yang telah membayar habis bayaran CAC (Consolidated Annual Charge) juga akan menerima geran tanah yang diberikan oleh pejabat FELDA namun masih terikat dengan surat perjanjian yang telah termeterai antara peneroka dengan FELDA.[23]




4.3       PROSEDUR PENGURUSAN HARTA PUSAKA PENDUDUK FELDA KEMAHANG TIGA MENGIKUT AKTA TANAH (KAWASAN-KAWASAN PENEMPATAN BERKELOMPOK) 1960

Mana-mana orang yang mempunyai tanah di bawah Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 sama ada telah mendapat surat hakmilik ataupun masih didaftarkan dalam buku daftar pegangan jika berlaku kematian ke atas dirinya, maka hartanya itu telah dicampurkan dengan harta-harta lain lalu nilainya tidak melebihi RM 2 juta. Jadi pembahagian harta pusakanya itu adalah tertakluk di bawah Akta Pembahagian Pusaka Kecil 1955 iaitu di bawah bidangkuasa Unit Pembahagian Pusaka Kecil yang terletak di dalam Pejabat Tanah dan Jajahan. Sekiranya harta tersebut dicampurkan dengan harta lain dan nilainya kurang dari RM 2 juta tetapi ada meninggalkan wasiat di bawah Will Ordinance 1959, maka pembahagian hartanya tertakluk di bawah Akta Probet dan Pentadbiran 1959 iaitu di bawah bidangkuasa Mahkamah Tinggi.[24]

Pengurusan pembahagian atau penurunan tanah pusaka di bawah Buku Daftar Pegangan Desa (Register of Holding) dalam rancangan pembangunan FELDA yang tertakluk di bawah Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 adalah berkisar di sekitar seksyen 14, 15, dan 19 akta tersebut. Seperti mana yang kita sedia maklum, seksyen 14 (2) Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 hanya membenarkan dua penama didaftarkan di dalam buku Daftar Pegangan (Register of Holding) adalah masih baru dalam masyarakat kita.[25] Di samping itu, perlu juga diingati bahawa tanah pusaka si mati peneroka FELDA tidak boleh dicagarkan, dijual beli, dan tidak boleh dibahagi-bahagikan secara pecah milik. Malah di dalam Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 hanya menetapkan bahawa tanah-tanah yang diusahakan oleh peneroka hanya dibolehkan untuk menukarkan hak milik sahaja.[26] Hal ini bermakna tanah FELDA yang diusahakan oleh peneroka tidak boleh dibahagikan secara faraid. Jadi apabila berlaku kematian kepada mana-mana peneroka, maka ahli-ahli waris yang berhak ke atas harta pusaka itu hendaklah membuat persetujuan untuk menyerahkan hakmilik tanah itu kepada dua orang sahaja di kalangan mereka bagi menggantikan tempat si mati. Jika ahli-ahli waris tidak bersetuju untuk menyerahkannya kepada dua orang waris pengganti, maka hasil tanaman daripada tanah itu hendaklah dijual dan harga jualannya itu dibahagikan mengikut undang-undang peribadi si mati. Jadi bagi si mati yang beragama Islam, maka undang-undang pembahagian harta pusaka adalah mengikut hukum faraid.[27]

             Perbicaraan terhadap pembahagian harta pusaka peneroka yang meninggal dunia bagi penduduk FELDA Kemahang Tiga dibuat di Pejabat Tanah Jajahan Tanah Merah iaitu di Unit Pembahagian Pusaka Kecil. Prosedur pengurusan harta pusaka bagi penduduk FELDA Kemahang Tiga bermula tatkala si mati (peneroka) meninggal dunia dan pihak FELDA mengetahui kematian si mati. Pengurus FELDA Kemahang Tiga secepat mungkin berusaha menekankan kepada mencari pengganti yang sesuai daripada kalangan ahli waris bagi menggantikan peneroka yang meninggal dunia. FELDA melakukan demikian jika peneroka yang mati tersebut masih belum habis menjelaskan Bayaran Tahunan Disatukan (Consolidated Annual Charge) dan nama si mati masih ada di dalam buku Daftar Pegangan Desa. Hal ini disebabkan FELDA masih ada kepentingan dalam tanah yang diusahakan si mati, maka segala pengurusan dokumen mengenai pemindahan milik harta pusaka si mati adalah dikendalikan oleh FELDA itu sendiri.[28]

Pada peringkat awalnya, Pengurus FELDA Kemahang Tiga akan melaporkan kematian peneroka kepada Pengarah Jabatan Ukur, Tanah, dan Penempatan Peneroka di ibu pejabat FELDA dengan menggunakan borang tertentu. Kemudian Pengurus FELDA Kemahang Tiga akan mengarahkan Penyelia Ladang (Bahagian Pusaka) FELDA Kemahang Tiga untuk mengumpulkan dokumen-dokumen penting si mati daripada ahli-ahli waris si mati seperti:[29]

a.         Dokumen bukti kematian si mati yang telah meninggal dunia seperti sijil kematian atau permit pengkebumian, ataupun perintah anggapan kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi (terpakai bagi keadaan di mana kematian tanpa kubur atau si mati hilangkan diri). Perintah ini hanya boleh diperolehi selepas 7 tahun dari tarikh orang tersebut hilang dan tiada dengar perkhabaran berita.[30]

b.         Salinan dokumen hak milik berkenaan tanah pusaka FELDA, buku Daftar Pegangan, borang-borang yang berkaitan dengan penurunan hakmilik tanah pusaka kepada dua orang penama sahaja iaitu borang A iaitu borang menamakan dua penama yang mengambil alih milik tanah si mati, borang F iaitu borang proses mentadbir, dan borang khas persetujuan ahli keluarga si mati. Borang-borang tersebut disediakan di Pejabat FELDA.

c.         Salinan Kad Pengenalan waris-waris, surat beranak jika ada, dan surat nikah pasangan si mati.

d.         Sekiranya pembahagian hendak dibuat mengikut hukum faraid, pemohon yang terdiri daripada waris-waris si mati perlulah mendapatkan sijil faraid daripada Mahkamah Syariah yang berdekatan.

            Setelah segala dokumen penting telah dikumpulkan oleh Penyelia Ladang (Bahagian Pusaka), maka Pengurus FELDA Kemahang Tiga akan memeriksa kembali dokumen-dokumen yang telah dikumpulkan lalu membuat pengesahan ke atas setiap helaian dokumen tersebut. Selepas itu, Pengurus FELDA Kemahang Tiga atau Penyelia tersebut sebagai wakil berserta dengan seorang kerani akan memanggil ahli-ahli waris yang hanya berumur lebih 18 tahun ke atas sahaja untuk memilih pengganti milik tanah dan menerangkan berkenaan tentang kedudukan tanah pusaka dalam Buku Daftar Pegangan (Register of Holding) si mati di bawah Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960. Ahli-ahli waris yang sudah mempunyai pekerjaan yang tetap dan ahli-ahli waris yang cacat juga turut dipanggil hadir dalam pemilihan pengganti tersebut. Di sini hendaklah difahami bahawa pihak FELDA Kemahang Tiga hanyalah berperanan mengumpulkan dokumen, mengesahkannya, dan mengumpulkan semua waris si mati untuk memilih dua pengganti terdahulu sebelum dibicarakan di Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah. Selepas daripada pengumpulan itu, maka pihak FELDA tidak akan mencampuri proses perbicaraan ketika di Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah.[31]

Selepas mendengar penjelasan pihak pejabat FELDA Kemahang Tiga berkenaan harta pusaka si mati, maka para ahli waris yang ingin membuat tuntutan harta pusaka si mati dikehendaki mendaftarkan diri dan kes di Unit Pembahagian Pusaka Kecil yang terletak di dalam Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah tanpa perlu membayar yuran pendaftaran kes iaitu sebanyak RM 10. Kemudian, para ahli waris dikehendaki mengisi borang A di hadapan Pegawai Penyelesai Pusaka di Unit Pembahagian Pusaka Kecil dalam pejabat tanah tersebut.[32] Apabila sudah mendaftarkan kes, maka tarikh perbicaraan akan ditetapkan oleh pihak unit tersebut. Ketika mana tarikh perbicaraan telah pun tiba, semua ahli waris si mati yang menuntut dikehendaki hadir untuk menjalani proses perbicaraan di hadapan Pegawai Penyelesai Pusaka.[33]

Pada peringkat permulaan perbicaraan, Pegawai Penyelesai Pusaka akan menyuruh para ahli waris yang hadir untuk mengangkat sumpah bahawa mereka adalah ahli waris si mati. Dalam perbicaraan tersebut, Pegawai Penyelesai Pusaka akan menjelaskan juga kedudukan tanah pusaka tersebut dalam Buku Daftar Pegangan (Register of Holding) si mati di bawah Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960. Maka selepas itu, Pegawai Penyelesai Pusaka akan meminta para ahli waris untuk membuat perbincangan dan persetujuan mengenai dua orang pengganti yang akan menggantikan tempat si mati serta memiliki tanah tersebut. Hal ini berdasarkan apa yang termaktub di dalam seksyen 14 (2) Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960. Setelah mendapat persetujuan semua ahli waris yang hadir dalam perbicaraan itu tentang dua orang yang akan menggantikan tempat si mati (kebiasaannya yang menggantikan itu ialah isteri si mati[34] dan seorang anak), maka mereka dikehendaki menandatangani satu borang khas iaitu borang E untuk tujuan itu. Setelah nama kedua-dua waris yang dipilih tersebut didaftarkan di dalam Buku Daftar Pegangan Desa, maka kedua-dua mereka akan menerima segala faedah dan tanggungan serta baki bayaran CAC (Consolidated Annual Charge) yang belum dijelaskan oleh si mati dahulu.[35]

Jika tiada persepakatan di antara ahli waris dalam menentukan dua orang pengganti yang mengambil alih tanah pusaka si mati, maka Pegawai Penyelesai Pusaka boleh menangguhkan perbicaraan itu kepada suatu tarikh lain yang difikirkan sesuai untuk memberi peluang kepada ahli-ahli waris membuat rundingan. Jika pesetujuan tidak dicapai juga melalui rundingan antara ahli-ahli waris, maka urusan pemilihan dua orang pengganti ini akan dirujukkan kembali kepada pihak Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah untuk membuat keputusan mengenai orang yang akan dilantik menggantikan tempat peneroka. Jadi apabila perbicaraan diadakan kembali, maka Pegawai Penyelesai Pusaka akan membuat perintah dengan melantik dua orang pengganti yang akan bertanggungjawab ke atas tanah pusaka tersebut. Perintah tersebut merupakan perintah sementara dan sekiranya ada permohonan ulang bicara, ia boleh membatalkan perintah tersebut dengan melantik dua orang pentadbir baru atau perintah-perintah lain yang sesuai dengan undang-undang.[36] Justeru itu perlulah diingatkan juga bahawa perlantikan dua orang pengganti tersebut adalah sebagai pentadbir atau pemegang amanah sahaja di mana segala manfaat dan hasil jualan ladang tersebut akan diagih-agihkan secara faraid atas kadar yang dipersetujui oleh ahli-ahli waris.[37] Sekiranya salah seorang atau dua pemegang amanah sanggup untuk membayar hak harta yang sepatutnya diterima oleh para waris lain lalu waris-waris bersetuju dengan harga yang dicadangkan, maka Pegawai Penyelesai Pusaka boleh mengeluarkan perintah supaya dua orang pemegang amanah tersebut membayar hak bahagian waris lain mengikut hukum faraid kepada mereka yang berhak. Perintah tersebut adalah dengan menggunakan borang T. Ini merupakan cara terakhir bagi menyelesaikan pembahagian pusaka FELDA berdasarkan jualan atas kawalan FELDA.[38]

Oleh kerana tanah yang diperuntukkan kepada setiap peneroka tanah rancangan FELDA adalah dianggap sebagai harta sepencarian, maka kebiasaannya isteri kepada si mati akan diberi keutamaan untuk dilantik sebagai pengganti bersama dengan seorang anak. Jika si mati ada meninggalkan lebih daripada seorang isteri, maka dalam menentukan siapa pengganti di kalangan mereka akan diputuskan melalui rundingan persetujuan isteri-isteri tersebut. Sekiranya persetujuan itu tidak dicapai, maka dua orang yang dilantik sebagai pengganti dikehendaki membayar saguhati kepada balu-balu yang tidak dilantik mengikut kadar yang telah mereka persetujui bersama. Pada akhir prosedur perbicaraan mengenai kes pembahagian harta pusaka, segala keputusan kes pusaka yang diputuskan oleh Pegawai Penyelesai Pusaka Kecil akan menjadi simpanan pejabat Unit Pembahagian Harta Pusaka Kecil dan juga akan dihantarkan ke Mahkamah Tinggi Sivil untuk tujuan direkodkan.[39]

Menurut temubual yang penulis adakan bersama Encik Aziz bin Umar iaitu selaku Penyelia Ladang (Bahagian Pusaka) FELDA Kemahang Tiga, beliau menyatakan bahawa pihaknya bersama Pengurus FELDA Kemahang Tiga hanya menguruskan dokumen-dokumen hak milik si mati peneroka serta borang-borang tertentu berkenaan penurunan hak milik tatkala mengetahui berita kematian. Beliau juga menyatakan bahawa segala perbicaraan berkenaan pemilihan dua orang waris yang akan mengambil alih mengikut seksyen 14 (2) Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 dan pembahagian harta pusaka para ahli waris si mati adalah di bawah bicara kuasa sepenuhnya oleh Unit Pembahagian Pusaka Kecil di Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah iaitu di hadapan Pegawai Penyelesai Pusaka. Tempoh satu kes pusaka menurut beliau mengambil masa enam bulan untuk menunggu penyelesaian kes pengurusan harta pusaka bagi peneroka FELDA yang meninggal dunia.[40]





[1] Sulaiman Kadimi,  Pembahagian Harta Orang-Orang Yang Telah Mati dan Mempunyai Tanah di bawah Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) Tahun 1960, kertas kerja Seminar Kebangsaan Pengurusan Harta Dalam Islam, anjuran Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam UKM & Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Bangi, 8 & 9 Ogos 2006, hlm 46.
[2] Seksyen 14 (1) Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 menyatakan bahawa tertakluk pada subseksyen (2), pegangan luar bandar boleh dikeluarkan kepada seorang sahaja yang dibenarkan mengikut peruntukan di bawah seksyen 19 dan tidak dibenarkan tuan punya bersekutu memiliki pada bila-bila masa. Seksyen 14 (2) pula menyatakan pegangan desa boleh dikeluarkan dan bersekutu memiliki oleh tidak lebih dua orang pemegang. Sila lihat seksyen 14, Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.

[3] Seksyen 15 (1) Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 menyatakan tanah yang terkandung dalam pegangan luar bandar tidak boleh pada bila-bila masa dibelah bahagi. Manakala seksyen 15 (2) akta itu juga menyatakan bahawa tertakluk pada subseksyen (2A) dan (2B), bahawa tanah yang terkandung dalam pegangan luar bandar tidak boleh dipegang secara undivided shares. Sila lihat seksyen 15, Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.

[4] Sila lihat seksyen 17, Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.

[5] Sila lihat seksyen 7 (3), Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.

[6] Seksyen 15 (2A) menyatakan bahawa Kerajaan Negeri membenarkan pegangan desa dipegang oleh pemegang dan isterinya, bekas isterinya, atau warisnya sebagai pemegang bersama, permohonan terdapat pada borang AA. Sila lihat seksyen 15 (2A), Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.

[7] Sila lihat seksyen 11 (1) dan 11 (2), Akta Tanah (Kawasan-Kawasan  Penempatan Berkelompok) 1960.

[8] Zulkifli Mohamad, Isu Pusaka Tanah Rancangan FELDA: Kajian Kes FELDA Lurah Bilut Bentong Pahang Darul Makmur, kertas kerja Prosiding Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat, dan Wakaf, anjuran MAIDAM & Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM, Bangi, 18 &19 Oktober 2008, hlm 208-209.
[9] Zulkifli Mohamad, 18 &19 Oktober 2008, hlm 208-209.
[10]Low Siong Khim, Hakmilik Tanah GSA FELDA dan Isu Kelewatan Pengeluarannya. Kajian Kes: Tanah Rancangan FELDA di Negeri Johor, Tesis Sarjana Sains Pentadbiran Dan Pembangunan Tanah  Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformasi, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, 2007, hlm 24-25.
[11] Sistem hakmilik kumpulan telah digantikan dengan sistem hakmilik individu disebabkan seseorang peneroka tidak dapat menentukan secara khusus bahagian mana kepunyaan di dalam sistem hakmilik kumpulan kerana di dalam hakmilik tersebut diperuntukkan seluas 200 hingga 250 ekar tanah untuk 20 hingga 25 orang peneroka FELDA. Oleh disebabkan itu, pada 30 haribulan Oktober 1988, Kerajaan Persekutuan telah membuat keputusan bahawa sistem blok di rancangan FELDA dibatalkan dan peneroka-peneroka FELDA akan diberikan hakmilik secara individu ke atas tanah yang mereka usahakan dalam rancangan FELDA. Keputusan tersebut diumumkan oleh Allahyarham Tun Ghafar Baba ketika Perhimpunan Agung UMNO tahun itu.
[12] Zulkifli Mohamad, 18 &19 Oktober 2008, hlm 211.

[13] Yusof Ramli, Pemakaian Hukum Faraid dan Pentadbiran Harta Pusaka Umat Islam di Semenanjung Malaysia: Penekanan Kepada Pelaksanaannya di Negeri Selangor, Tesis Sarjana Pengajian Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2007, hlm 297.
[14]  Yusof Ramli, 2007, hlm 298.

[15] Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang diadakan pada 13-14 April 1982 telah bersetuju dengan cadangan untuk mengehadkan pemilikan tanah pertanian seluas setengah ekar kepada seorang pemilik sahaja. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah mengambil ingatan bahawa pembahagian harta pusaka yang bercorak tanah tidak dapat diselesaikan secara hak milik, maka pihak berkuasa boleh selesaikan dengan apa jua cara asalkan sesuai dengan syarak. Malah di dalam Islam, pembahagian harta pusaka tidak semestinya bercorak bahagi tanah, jadi pembahagian boleh dibuat mengikut bahagian syer ahli-ahli waris. Sila lihat Arshad Ayub, Nik Mohd Zain Nik Yusof, & Mohd Helmi Md. Hussain, Harta Perolehan dari Agensi-Agensi Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah, Kertas kerja Seminar Faraid Peringkat Kebangsaan, anjuran Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM, Bangi, 4hb-5hb Jun 1983, hlm 8.

[16]  Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-38 yang bersidang pada 21 Jun 1995 bersetuju bahawa amalan yang dilaksanakan di tanah Rancangan FELDA mengenai “Perwarisan Harta” berdasarkan Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 adalah tidak bercanggah dengan syarak kerana persetujuan meletakkan satu penama dibuat melalui persepakatan semua yang terlibat. Sekiranya tiada persetujuan waris-waris untuk perlantikan seorang penama, maka harta pusaka itu dijual dan hasil daripada penjualan dibahagikan kepada ahli waris mengikut bahagian faraid.Sila lihat Mohd. Zaidi Ramli, Wajibkah Hasil Pusaka Tanah FELDA Diagih-agihkan Kepada Adik Beradik, Ruangan Anda Musykil, Al-Islam, Utusan Karya Sdn. Bhd, Bangi, September 2009/Ramadan 1430H, hlm 80.
[17] Sila lihat seksyen 12 (1), Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.

[18] Sila lihat seksyen 24 (1), Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.

[19] Sila lihat seksyen 22, Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.
[20] Ahmad Raddi Abdullah, Sistem Pemberian Hakmilik Tanah FELDA Kemahang Mengikut Pandangan Islam, Tesis Sarjana Muda Syariah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1997, hlm 65.

[21] Sila lihat seksyen 20 (2), Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.

[22] Jadi ukuran satu ekar tanah FELDA yang dibangunkan peneroka adalah bernilai RM 0.90 sen sahaja.

[23] Temu bual bersama Encik Che Noh Che Pa, Pengurus FELDA Kemahang Tiga pada 28 haribulan September 2009.
[24] Sulaiman Kadimi, 8 & 9 Ogos 2006, hlm 47.

[25] Jika sebelum pindaan akta tersebut dilakukan, terdapat seksyen 16 yang telah dikeluarkan di mana menetapkan bahawa hanya membenarkan seorang sahaja penama yang didaftarkan bagi geran tanah pusaka si mati peneroka. Akan tetapi setelah pindaan menetapkan hanya dua penama dibenarkan untuk mewarisi tanah pusaka peneroka. Sila lihat seksyen 14 (2) Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.
[26] Abdul Wahid Md. Ali, Pentadbiran Pesaka: Satu Penilaian dan Pelaksanaannya di Daerah Maran Pahang, Tesis Sarjana Muda Syariah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1986, hlm 57.

[27] Yusof Ramli, 2007, hlm 289.

[28] Temu bual bersama Encik Che Noh Che Pa, Pengurus FELDA Kemahang Tiga pada 28 haribulan September 2009.
[29]Temu bual bersama Encik Aziz Umar, Penyelia Ladang (Bahagian Pusaka) FELDA Kemahang Tiga pada 28 haribulan September 2009.

[30] Seksyen 108, Akta Keterangan 1950.
[31] Temu bual bersama Encik Aziz Umar, Penyelia Ladang (Bahagian Pusaka) FELDA Kemahang Tiga pada 28 haribulan September 2009.

                [32] Borang A yang diisi di hadapan Pegawai Penyelesai Pusaka Kecil ialah borang harta pusaka kecil dan menyertakan segala dokumen yang diperlukan untuk pengurusan pusaka di dalam borang tersebut.

[33] Temu bual bersama Encik Che Noh Che Pa, Pengurus FELDA Kemahang Tiga pada 28 haribulan September 2009.
[34] Jikalau isteri si mati tidak sempurna seperti gila, sakit, dan sebagainya, maka anak akan dilantik mengikut persetujuan ahli-ahli waris yang lain.

[35]Sulaiman Kadimi, 8 & 9 Ogos 2006, hlm 48-49.

[36] Temu bual bersama Encik Che Noh Che Pa, Pengurus FELDA Kemahang Tiga pada 28 haribulan September 2009.
[37] Zulkifli Mohamad, 18 &19 Oktober 2008, hlm 213.

[38] Sulaiman Kadimi, 8 & 9 Ogos 2006, hlm 52.

[39] Temu bual bersama Encik Che Noh Che Pa, Pengurus FELDA Kemahang Tiga pada 28 haribulan September 2009.
[40] Temu bual bersama Encik Aziz Umar, Penyelia Ladang (Bahagian Pusaka) FELDA Kemahang Tiga pada 28 haribulan September 2009.