NO.
|
ISU
|
KETETAPAN
|
ULASAN/MAKLUM BALAS
|
1.
|
Ada beberapa Perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah
dalam kes pengesahan pernikahan yang bersalahan dengan undang-undang di bawah
sek 12 akta 303 agak mengelirukan. Perkara ini dapat dikesan apabila
pihak-pihak datang ke JAWI untuk proses pendaftaran nikah. Perkara ini berlaku disebabkan oleh prosedur
permohonan bersama (tidak ada responden) yang diamalkan oleh mahkamah bagi
permohonan pengesahan pernikahan menyebabkan keterangan pemohon tidak dicabar
dan diterima oleh mahkamah. Adakah sesuai jika Pendaftar Nikah Cerai dan
Rujuk dijadikan sebagai responden dalam permohonan tersebut.
|
Sidang mencadangkan supaya pendaftar nikah cerai
rujuk negeri dijadikan sebagai responden dalam kes permohonan pengesahan
nikah yang bersalahan dengan peruntukan undang-undang. Cadangan ini akan diangkat kepada Bahagian
Penyelarasan Undang-undang Jakim dan Ketua Pendaftar JKSM untuk tindakan
selanjutnya.
|
Hasil penelitian Seksyen ini mendapati bahawa dalam menyelesaikan isu
yang ditimbulkan mengenai pengesahan pernikahan yang bersalahan dengan undang-undang
di bawah seksyen 12 Akta 303 dan disusuli dengan ketetapan sidang supaya PNCR
dijadikan sebagai pihak responden adalah wajar peruntukan seksyen 12, seksyen
31 dan seksyen 33 Akta 303 difahami dengan betul.
Seksyen 12 Akta 303 adalah berkaitan dengan perkahwinan yang tidak
boleh didaftarkan. Peruntukan tersebut berbunyi seperti berikut:
“Seksyen 12. Perkahwinan yang tidak boleh didaftarkan
(1)
Suatu perkahwinan yang melanggar dengan Akta ini tidak boleh didaftarkan di
bawah Akta ini.
(2)
Walau apa pun subseksyen (1) dan tanpa menjejaskan subseksyen 40(2), sesuatu
perkahwinan yang telah diupacarakan berlawanan dengan mana-mana peruntukan
Bahagian ini tetapi sebaliknya sah mengikut Hukum Syarak boleh didaftarkan di
bawah Akta ini dengan perintah daripada Mahkamah.”
Hasil penelitian
Seksyen ini mendapati bahawa menurut seksyen 12 (1) Akta 303, sesuatu perkahwinan yang melanggar dengan Akta ini tidak boleh
didaftarkan di bawah Akta ini. Peruntukan ini telah dikecualikan oleh
peruntukan 12 (2) iaitu sesuatu perkahwinan yang telah diupacarakan
berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian ini (iaitu BAHAGIAN II
mengenai Perkahwinan) tetapi sebaliknya sah mengikut hukum Syarak boleh didaftarkan
di bawah Akta ini dengan perintah daripada Mahkamah.
Perkahwinan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan
walaupun memenuhi rukun-rukun nikah tetapi tidak mengikut peruntukan BAHAGIAN II
Akta 303 pada asalnya tidak boleh didaftarkan. Walau bagaimanapun perkahwinan
tersebut masih boleh didaftarkan jika ianya sah mengikut hukum syarak dengan
perintah daripada mahkamah.
Sehubungan dengan itu, pihak-pihak
hendaklah mendapatkan perintah mahkamah untuk mendaftarkan perkahwinan
tersebut melalui suatu permohonan berdasarkan kepada subseksyen 7(2) dan JADUAL KEDUA, Akta Tatacara Mal
Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 [Akta 585]. Selain itu, Arahan Amalan No.9 Tahun 2007
memperuntukkan mengenai amalan yang perlu diguna pakai oleh hakim-hakim
syarie dalam permohonan pengesahan perkahwinan yang berlawanan dengan
Akta/Enakmen/Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri.
Mengikut amalan semasa, tatacara permohonan pengesahan pernikahan dibuat secara
permohonan bersama pihak-pihak terus kepada mahkamah tanpa melalui PNCR. Seksyen
ini berpandangan bahawa amalan tersebut adalah tidak menepati peruntukan
undang-undang yang sedia ada.
Bagi
pernikahan luar negara, selain daripada pernikahan di bawa seksyen 24, Akta
303 memperuntukkan bahawa sesuatu permohonan pengesahan pernikahan hendaklah
dibuat di bawah seksyen 31 Akta 303 iaitu pihak-pihak perlu hadir di hadapan
PNCR untuk mendaftarkan pernikahan tersebut. Jika PNCR meragui keesahan
pernikahan tersebut, maka pihak-pihak hendaklah membuat permohonan pengesahan
nikah mereka di Mahkamah syariah. Pada peringkat ini, PNCR boleh memohon
sebagai pencelah atau menjadi pihak responden dalam kes tersebut untuk
mengemukakan apa-apa maklumat yang ada dalam pengetahuannya atau membuat
apa-apa bantahan berhubung dengan permohonan pengesahan nikah tersebut.
Sebaliknya jika PNCR perpuashati selepas siasatannya bahawa pernikahan
tersebut adalah sah dari segi hukum syarak, maka perkahwinan tersebut boleh
diperintah untuk didaftarkan. Walau bagaimanapun pernikahan sedekian yang
dilangsungkan bersalahan dengan peruntukan undang-undang adalah merupakan
satu kesalahan di bawah seksyen 40(2) Akta 303.
Sehubungan itu Seksyen ini mencadangkan supaya diadakan
satu perbincangan semula di antara pihak JAKIM, JKSM dan Jabatan Agama Islam
Negeri bagi menyelaraskan semula prosedur permohonan pengesahan nikah luar
negara agar selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada.
|
2.
|
Adakah Mahkamah berbidangkuasa untuk mendengar
permohonan pengesahan nikah di bawah sek 12 akta 303 sekiranya ianya
menjejaskan subseksyen 40(2) akta 303?
Apakah tafsiran kepada “tanpa
menjejaskan subsekyen 40(2)”?.
|
Sidang bersetuju untuk memohon pandangan daripada
Bahagian Penasihat, Seksyen Syariah, Jabatan Peguam Negara berhubung dengan
tafsiran seksyen 12(2) “dan tanpa menjejaskan seksyen 40(2)” dalam Akta 303.
|
Subseksyen
12(1) Akta 303 memperuntukkan
bahawa mana-mana perkahwinan yang melanggar mana-mana peruntukan dalam Akta
303 tidak boleh didaftarkan di bawah Akta 303. Subseksyen 12(1) Akta 303
berbunyi seperti yang berikut:
“Seksyen 12. Perkahwinan yang tidak boleh didaftarkan
(1) Suatu
perkahwinan yang melanggar dengan Akta ini tidak boleh didaftarkan di bawah
Akta ini.”.
Sungguhpun
begitu, menurut subseksyen 12(2) Akta 303, jika sesuatu perkahwinan yang
diuapacarakan itu berlawanan dengan mana-mana peruntukan dalam Akta 303
tetapi adalah sah mengikut hukum syarak maka ia boleh didaftarkan di bawah
Akta 303 dengan perintah mahkamah. Subseksyen 12(1) Akta 303 yang berbunyi
seperti berikut:
“Seksyen 12. Perkahwinan yang tidak boleh didaftarkan
(2) Walau apa
pun subseksyen (1) dan tanpa menjejaskan subseksyen 40(2), sesuatu
perkahwinan yang telah diupacarakan berlawanan dengan mana-mana peruntukan
Bahagian ini tetapi sebaliknya sah mengikut Hukum Syarak boleh didaftarkan di
bawah Akta ini dengan perintah daripada Mahkamah.”.
Berdasarkan
peruntukan di atas, suatu perkahwinan yang sah mengikut hukum Syarak boleh
didaftarkan di bawah Akta 303 dengan perintah mahkamah walaupun perkahwinan
tersebut diupacarakan berlawanan dengan mana-mana peruntukan dalam Akta 303.
Bagi
melaksanakan subseksyen 12(2) Akta 303 itu, permohonan pengesahan perkahwinan
itu hendaklah dibuat di mahkamah bagi mendapatkan perintah pengesahan dan satu perintah pendaftaran perkahwinan
tersebut (jika perkahwinan itu didapati sah mengikut hukum syarak), tanpa menjejaskan subseksyen 40(2) Akta
303 berbunyi seperti yang berikut:
“Seksyen 40. Kesalahan yang berhubungan dengan akad
nikah perkahwinan
(2) Mana-mana
orang yang berkahwin atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai akad nikah atau
yang menjalani suatu bentuk akad nikah dengan sesiapa jua berlawanan dengan
mana-mana peruntukan Bahagian II melakukan suatu kesalahan dan hendaklah
dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak
melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”.
Berdasarkan
peruntukan tersebut, Seksyen ini berpandangan bahawa frasa “dan tanpa menjejaskan subseksyen 40(2)”
dalam seksyen 12(2) bermaksud subseksyen 40(2) masih terpakai kepada
mana-mana perkahwinan yang didaftarkan dengan perintah mahkamah. Ini bermakna,
walaupun perkahwinan tersebut boleh didaftarkan di bawah subseksyen 12(2)
Akta 303, perkahwinan itu adalah merupakan suatu kesalahan di bawah
subseksyen 40(2) Akta 303 yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan
hukuman sebagaimana yang diperuntukkan dalam subseksyen yang sama.
Oleh yang
demikian, Seksyen ini berpandangan bahawa berdasarkan tafsiran subseksyen
12(2) Akta 303, mahkamah mempunyai kuasa untuk mendengar permohonan
pengesahan nikah tanpa menafikan kuasa pendakwa untuk mendakwa mana-mana perkahwinan
yang diupacarakan berlawanan dengan Akta 303 sebagai satu kesalahan di bawah
subseksyen 40(2) Akta 303.
|
3.
|
Terdapat beberapa pengesahan anak kariah yang
dikeluarkan oleh Imam atau pihak yang berautoriti kepada mereka yang bukan
tinggal di dalam kariah berkenaan.
|
Sidang bersetuju mencadangkan supaya pihak JAWI
mengeluarkan satu garis panduan pengesahan anak kariah kepada pihak-pihak
yang berkenaan.
|
-Tidak
berkenaan-
|
4.
|
Bagi warga asing yang tinggal di Wilayah
Persekutuan dan telah berkahwin di negara masing-masing sebelum datang ke
Malaysia. Adakah pernikahan tersebut
perlu disahkan dan didaftarkan di bawah Akta 303?
|
Sidang bersetuju untuk memohon pandangan daripada
Bahagian Penasihat, Seksyen Syariah, Jabatan Peguam Negara berhubung dengan
tafsiran seksyen 33 akta 303 sama ada ia terpakai kepada warganegara asing
yang tinggal di Malaysia atau hanya untuk warganegara Malaysia sahaja.
|
Seksyen 33 Akta
303 memperuntukkan mengenai pendaftaran suka rela perkahwinan orang Islam
yang diakadnikahkan dahulunya di bawah mana-mana undang-undang seperti yang
berikut:
“Seksyen 33. Pendaftaran suka rela
perkahwinan orang Islam yang diakadnikahkan dahulunya di bawah mana-mana
undang-undang
(1) Walau apa pun peruntukan seksyen 6 dan
seksyen 31, pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan mengikut Hukum Syarak yang
diakadnikahkan di bawah mana-mana undang-undang sebelum atau selepas tarikh
yang ditetapkan boleh, jika perkahwinan itu belum didaftarkan, memohon pada
bila-bila masa kepada Pendaftar dalam borang yang ditetapkan untuk
didaftarkan perkahwinan itu.”.
Berdasarkan
peruntukan seksyen 33 Akta 303 itu, frasa “mana-mana
undang-undang” adalah merujuk kepada maksud “undang-undang” sebagaimana
yang ditafsirkan di bawah seksyen 66 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388]
seperti yang berikut:
““law” includes written law, the common law in so far as it is in
operation in the Federation or any part thereof, and any custom or usage
having the force of law in the Federation or in any part thereof.”.
Selanjutnya,
seksyen yang sama juga memperuntukkan maksud “written law” seperti
yang berikut:
““written
law” means all Acts of Parliament, Ordinances and Enactments in force in the
Federation or any part thereof and all subsidiary legislation made
thereunder, and includes the Federal Constitution.”.
Berdasarkan
peruntukan seksyen 66 Akta 388 di atas, Seksyen ini berpandangan bahawa frasa
“law” dan “written law” hanya merujuk kepada undang-undang
bertulis yang berkuatkuasa di Malaysia dan tidak terpakai kepada
undang-undang yang lain. Oleh itu, Seksyen 33 Akta 303 hanya merujuk kepada
pendaftaran suka rela perkahwinan orang Islam yang diakadnikahkan dahulunya
di bawah mana-mana undang-undang di Malaysia sahaja.
Dalam hal ini,
seksyen 33 Akta 303 adalah terpakai kepada warganegara Malaysia sahaja dan
tidak terpakai kepada warga asing yang telah berkahwin di bawah undang-undang
di negara masing-masing sebelum datang ke Malaysia. Oleh yang demikian,
mana-mana warga asing yang menjalankan upacara perkahwinan menurut
undang-undang di negara mereka sebelum datang ke Malaysia tidak perlu mendaftarkan
perkahwinan mereka di bawah seksyen 33 Akta 303.
|
5.
|
Bagi Perkahwinan di luar Kedutaaan Malaysia yang
diakadnikahkan oleh jurunikah yang tidak dilantik di bawah Subsek. 28(3),
sekiranya perkahwinan itu diendorskan di Kedutaan, adakah boleh dianggap
seperti perkahwinan di Kedutaan dan memenuhi sek. 24 akta 303?
|
Sidang bersetuju mencadangkan supaya Bahagian
Undang-Undang Jakim menggubalkan kaedah perkahwinan di Kedutaan, Suruhanjaya
Tinggi Malaysia atau pejabat Konsul Malaysia di luar Negara bersesuaian
dengan seksyen 24 A303.
|
Subseksyen 28(3)
Akta 303 memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik
mana-mana anggota staf diplomatik Malaysia di mana-mana negara untuk menjadi PNCR
Orang Islam di negara itu. Peruntukan tersebut berbunyi seperti yang berikut
:
“28(3) Pelantikan Ketua Pendaftar,
Pendaftar, Timbalan dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju’
Orang Islam
“Yang di-Pertuan Agong boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, melantik
mana-mana anggota staf diplomatik Malaysia di mana-mana negara untuk menjadi
Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju’ Orang Islam bagi maksud Akta ini
di negara itu.”.
Seksyen 24 Akta
303 pula memperuntukkan mengenai akad nikah perkahwinan di Kedutaan Malaysia,
dsb., di luar negeri. Peruntukan tersebut berbunyi seperti yang berikut :
“ 24(1) Tertakluk kepada subseksyen (2),
perkahwinan boleh diakadnikahkan mengikut Hukum Syarak oleh Pendaftar yang
dilantik di bawah subseksyen 28(3) di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi, atau
Pejabat Konsul Malaysia di mana-mana negara yang telah tidak memberitahu
Kerajaan Malaysia tentang bantahannya terhadap pengakadnikahan perkahwinan di
Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi, atau Pejabat Konsul itu.
(2) Sebelum mengakadnikahkan suatu perkahwinan di bawah seksyen ini, Pendaftar hendaklah berpuas hati—
(a) bahawa satu atau kedua-dua pihak
kepada perkahwinan itu adalah pemastautin Wilayah Persekutuan;
(b) bahawa tiap-tiap satu pihak
mempunyai keupayaan untuk berkahwin mengikut Hukum Syarak dan Akta ini; dan
(c) bahawa, jika salah satu pihak bukan
pemastautin Wilayah Persekutuan, perkahwinan yang dicadangkan itu, jika
diakadnikahkan, akan dikira sebagai sah di tempat di mana pihak itu
bermastautin.
(3) Tatacara bagi akad nikah dan pendaftaran perkahwinan di bawah seksyen
ini hendaklah serupa dalam semua hal yang berkenaan dipakai bagi perkahwinan
lain yang diakadnikahkan dan didaftarkan dalam Wilayah Persekutuan di bawah
Akta ini seolah-olah Pendaftar yang dilantik untuk sesuatu negara asing
adalah seorang Pendaftar untuk Wilayah Persekutuan.”.
Dalam perkara ini, isu yang dibangkitkan
adalah mengenai sama ada perkahwinan yang dilangsungkan di luar Kedutaaan
Malaysia dan diakadnikahkan oleh jurunikah yang tidak dilantik di bawah
subsekyen 28(3) boleh dianggap seperti perkahwinan di Kedutaan dan memenuhi
seksyen 24 Akta 303 sekiranya diendorskan di Kedutaan atau pun sebaliknya.
Berdasarkan
penelitian, Seksyen ini mendapati bahawa prosedur pendaftaran perkahwinan di
luar kedutaan Malaysia dan diakadnikahkan oleh jurunikah yang tidak dilantik
di bawah subseksyen 28(3) telah diperuntukkan dalam seksyen 31 Akta 303.
Seksyen 31 Akta
303 menyatakan bahawa jika perkahwinan itu dilangsungkan di luar daripada Kedutaan, Suruhanjaya
Tinggi, atau Pejabat Konsul Malaysia, orang itu hendaklah mendaftarkan
perkahwinan di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi, atau Pejabat Konsul Malaysia
negara tersebut dalam masa enam bulan selepas tarikh perkahwinan itu.
Selanjutnya, jika sebelum tamat tempoh enam bulan itu, salah satu atau
kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu dijangkakan akan kembali ke negara
ini, sedangkan perkahwinan itu belum didaftarkan di luar negeri, maka
pendaftaran perkahwinan itu hendaklah dibuat dalam masa enam bulan setelah
salah seorang atau kedua-dua mereka kembali ke tanah air.
Peruntukan seksyen 31 Akta 303 berbunyi seperti berikut :
Seksyen
31. Pendaftaran perkahwinan luar negeri oleh orang yang bermastautin dalam
Wilayah Persekutuan
“(1) Jika mana-mana orang yang bermastautin
dalam Wilayah Persekutuan telah berkahwin di luar negeri dengan sah mengikut
Hukum Syarak, bukannya suatu perkahwinan yang didaftarkan di bawah seksyen
24, maka orang itu hendaklah, dalam masa enam bulan selepas tarikh
perkahwinan itu, hadir di hadapan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan
Ruju’ Orang Islam yang berhampiran sekali atau yang terdapat dengan paling
mudah di luar negeri untuk mendaftarkan perkahwinan itu, dan perkahwinan itu,
setelah didaftarkan, hendaklah disifatkan sebagai didaftarkan di bawah Akta
ini.
(2) Jika sebelum tamat tempoh enam bulan itu salah satu atau kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu dijangkakan akan kembali ke Wilayah Persekutuan dan perkahwinan itu belum didaftarkan di luar negeri, maka pendaftaran perkahwinan itu hendaklah berkuat kuasa dalam masa enam bulan selepas salah satu atau kedua-dua pihak itu mula-mula sampai di Wilayah Persekutuan dengan salah satu pihak itu atau kedua-dua pihak itu hadir di hadapan mana-mana Pendaftar dalam Wilayah Persekutuan dan—
(a) mengemukakan kepada Pendaftar
itu surat perakuan nikah atau apa-apa keterangan, sama ada lisan atau
dokumentar, yang boleh memuaskan hati Pendaftar bahawa perkahwinan itu telah
berlaku;
(b) memberi apa-apa butir sebagaimana yang dikehendaki oleh Pendaftar untuk
pendaftaran sewajarnya perkahwinan itu; dan
(c) memohon dalam borang yang
ditetapkan supaya perkahwinan itu didaftarkan dan menandatangani akuan di
dalamnya.
(3) Pendaftar boleh mengecualikan satu daripada pihak itu daripada hadir
jika dia berpuas hati bahawa ada sebab yang baik dan cukup bagi pihak itu
tidak hadir dan dalam hal yang demikian catatan dalam Daftar Perkahwinan
hendaklah termasuk suatu pernyataan tentang sebab pihak itu tidak hadir.
(4) Selepas sahaja pendaftaran sesuatu perkahwinan di bawah seksyen ini, satu salinan sah catatan dalam Daftar Perkahwinan yang diperakui dan ditandatangani oleh Pendaftar hendaklah diserahkan atau dihantar kepada suami dan satu salinan lagi kepada isteri, dan satu lagi salinan sah yang diperakui hendaklah dihantar, dalam tempoh sebagaimana yang ditetapkan, kepada Ketua Pendaftar yang hendaklah menyebabkan semua salinan yang diperakui itu dijilid bersama untuk menjadi Daftar Perkahwinan Orang Islam Luar Negeri. (5) Jika pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan yang dikehendaki didaftarkan di bawah seksyen ini tidak hadir di hadapan Pendaftar dalam tempoh yang dinyatakan dalam subseksyen (1), perkahwinan itu boleh, atas permohonan kepada Pendaftar, didaftarkan kemudian setelah dibayar apa-apa penalti yang ditetapkan.”.
Berdasarkan
peruntukan seksyen 31 Akta 303 di atas, Seksyen ini berpandangan bahawa
perkahwinan di luar kedutaan Malaysia yang diakadnikahkan oleh jurunikah yang
tidak dilantik di bawah subseksyen 28(3) boleh dianggap atau disifatkan seperti perkahwinan di Kedutaan dengan syarat Pendaftar berpuas hati dengan
surat perakuan nikah atau apa-apa keterangan, sama ada lisan atau
dokumentar yang dikemukakan dan perkahwinan itu telah berlaku mengikut Hukum
Syarak.
Kegagalan untuk mendaftarkan perkahwinan
tersebut dalam tempoh yang ditetapkan di dalam subseksyen 31(1) adalah
merupakan suatu kesalahan di bawah seksyen 35 Akta 303 yang berbunyi seperti
berikut :
“Seksyen 35. Tidak hadir di hadapan
Pendaftar dalam masa yang ditetapkan
Mana-mana orang yang dikehendaki oleh seksyen 31 hadir di hadapan seorang Pendaftar tidak berbuat demikian dalam masa yang ditetapkan, melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”.
Walau bagaimanapun, kegagalan bagi mematuhi seksyen 35
tersebut tidak menghalang sesuatu perkahwinan itu untuk didaftarkan. Salah satu atau kedua-dua pihak boleh
mengemukakan permohonan kepada PNCR bagi mendaftarkan perkahwinan walaupun tempoh
yang diperuntukkan di bawah subseksyen 31(1) dan (2) telah luput
tertakluk kepada seksyen 35 di atas.
Seksyen ini selanjutnya mendapati bahawa cadangan
yang telah diputuskan dalam ketetapan Bengkel ini supaya Bahagian
Undang-Undang Jakim menggubal kaedah perkahwinan di Kedutaan, Suruhanjaya
Tinggi Malaysia atau pejabat Konsul Malaysia di luar Negara adalah bersesuaian
dengan seksyen 24 Akta 303.
Seksyen ini berpandangan bahawa kaedah yang
akan digubal itu boleh dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Majlis
dan diwartakan. Kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk membuat kaedah-kaedah itu
adalah seperti yang diperuntukkan dalam subseksyen 134(3) Akta 303 Kuasa bagi membuat kaedah-kaedah yang berbunyi seperti berikut:
“134 (3) Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Majlis, boleh, melalui
pemberitahuan dalamWarta,
membuat kaedah-kaedah bagi maksud Akta ini dan, tanpa menyentuh keluasan yang
tersebut itu, kaedah-kaedah itu boleh mengadakan peruntukan bagi—
(a) cara bagaimana Pendaftar
Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju’ Orang Islam hendak menjalankan kuasa yang
diberikan kepada mereka oleh Akta ini;
(b) ...
(c)...
(d)...
(e)...
(f)...
(g)...
(h)...
(i)....”.
|
6.
|
Pengesahan lafaz cerai mengambil masa yang lama
sehingga menyebabkan tempoh iddah tamat.
Bolehkah mahkamah merekodkan rujuk yang berlaku (sekiranya ada) di
dalam rekod perceraian sebaik sahaja pengesahan lafaz cerai dibuat oleh
Mahkamah?
|
Sidang bersetuju mahkamah boleh merekodkan
pengesahan rujuk yang tidak ada pertikaian di dalam kes pengesahan lafaz
cerai.
|
Di Mahkamah Syariah, penetapan tempoh masa dalam
kes permohonan pengesahan lafaz cerai tidak diperuntukkan atau diperundangkan
secara jelas baik dalam Akta, Kaedah-kaedah mahupun dalam Arahan Amalan. Tempoh
masa penyelesaian sesuatu kes adalah bergantung kepada kerjasama semua pihak yang
terlibat di dalam kes itu iaitu pihak mahkamah, plaintif, defendan serta
peguam syarie yang mewakili pihak-pihak (jika ada).
Tempoh penyelesaian kes turut dipengaruhi oleh pematuhan
pihak-pihak terhadap prosedur yang ditetapkan di dalam Akta/Enakmen/Ordinan
Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri-negeri.
Berdasarkan penelitian Seksyen ini, amalan yang
diterima pakai oleh hakim-hakim syarie di dalam pendengaran kes pengesahan
lafaz talaq di luar dan tanpa kebenaran mahkamah adalah berdasarkan kepada
Arahan Amalan No. 10 Tahun 2007. Walau bagaimanapun, amalan tersebut hanya
terhad kepada pengesahan lafaz talaq sahaja.
Berhubung isu sama ada pengesahan rujuk yang
tiada pertikaian boleh dibuat dalam prosiding yang sama. Seksyen ini berpandangan
bahawa pengesahan lafaz cerai dan pengesahan rujuk boleh didengar bersekali
jika kedua-dua fakta tersebut dimasukkan dalam penyata tuntutan. Jika fakta
berkenaan dengan rujuk tidak dimasukkan bersekali, maka penyata tuntutan tambahan
atau pindaan terhadap penyata tuntutan boleh difailkan. Mahkamah boleh
mendengar kedua-dua isu dalam satu perbicaraan demi kepentingan dan keadilan
kepada pihak-pihak. Tindakan ini juga dapat menjimatkan masa dan kos
pihak-pihak serta mahkamah.
Amalan ini didapati telah dilaksanakan di dalam
beberapa kes di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Selangor. Sebagai
contoh, di dalam satu kes yang tidak dilaporkan di Wilayah Persekutuan, di
dalam pendengaran kes permohonan pengesahan lafaz cerai defendan mendakwa
telah merujuk plaintif selepas cerai dilafazkan. Mahkamah dalam kes ini telah
mendengar dua isu iaitu lafaz cerai dan lafaz rujuk serentak. Begitu juga dalam kes Mal Bil 100012-O54-212/2002 di negeri selangor.
Walaupun dalam kes ini, pihak plaintif dan defendan tidak memohon untuk
membuat pengesahan lafaz rujuk bagi perceraian kali yang pertama, namun
setelah meneliti fakta kes, hakim bicara berpendapat bahawa pengesahan
terhadap rujuk tersebut perlu dibicarakan dan direkodkan terlebih dahulu
sebelum perbicaraan pengesahan lafaz cerai dan rujuk kali yang kedua
diteruskan.
Selanjutnya Seksyen ini juga mencadangkan supaya
permohonan pengesahan lafaz cerai hendaklah disegerakan pendengarannya.
Perbicaraan boleh dijalankan
secara inquisitorial atau siasatan mahkamah selaras dengan peruntukan
subseksyen 55A Akta 303 yang berbunyi seperti berikut:
“Seksyen 55A.
Pendaftaran perceraian di luar Mahkamah
(1) Walau apa pun seksyen 54, seseorang yang telah menceraikan isterinya dengan lafaz talaq di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah, hendaklah dalam masa tujuh hari dari pelafazan talaq itu melaporkan kepada Mahkamah. (2) Mahkamah hendaklah mengadakan siasatan untuk memastikan sama ada talaq yang dilafaz itu adalah sah mengikut Hukum Syarak. (3) …”
Berdasarkan peruntukan di atas, undang-undang
telah menyatakan secara khusus bahawa perbicaraan kes pengesahan perceraian
di luar mahkamah hendaklah dibuat secara siasatan mahkamah. Melalui proses ini mahkamah boleh
menjalankan siasatan dengan mengemukakan soalan atau dengan memanggil
mana-mana orang bagi mengemukakan keterangan berdasarkan kepada peruntukan seksyen 27 Akta 585
“Seksyen
127. Kuasa Mahkamah.
Demi kepentingan keadilan, Mahkamah
boleh, pada mana-mana peringkat prosiding, memanggil mana-mana pihak untuk
mengemukakan keterangan dan boleh memeriksa mana-mana tempat atau barang.”.
Seksyen 118 Akta Keterangan Mahkamah Syariah
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Akta 561 [Akta 561] memperuntukkan kuasa
hakim untuk mengemukakan soalan atau memerintah pengemukaan.
“Seksyen 118. Kuasa Hakim untuk mengemukakan
soalan atau memerintahkan pengemukaan.
Hakim boleh, untuk mengetahui atau mendapatkan bukti wajar mengenai fakta relevan, menanyakan apa-apa soalan yang dihasratinya, dalam apa-apa bentuk, pada bila-bila masa, kepada mana-mana saksi atau pihak, mengenai apa-apa fakta sama ada relevan atau tak relevan; dan boleh memerintahkan supaya dikemukakan apa-apa dokumen atau benda; dan mana-mana pihak atau ejen mereka tidak berhak membuat apa-apa bantahan terhadap mana-mana soalan atau perintah sedemikian, atau, tanpa kebenaran Mahkamah, memeriksa balas mana-mana saksi atas apa-apa jawapan yang diberikan dalam menjawab mana-mana soalan itu: Dengan syarat bahawa penghakiman itu mestilah berasaskan fakta yang ditetapkan oleh Akta ini sebagai qarinah dan dibuktikan dengan sewajarnya”. |
7.
|
Pendaftar nikah, cerai dan rujuk tidak
berpuashati dengan rekod perceraian mahkamah untuk didaftarkan di bawah
seksyen 55 Akta 303.
|
Sidang bersetuju sekiranya pihak JAWI merasakan
ada keraguan dalam rekod perceraian maka hendaklah mengemukakan permohonan
semakan kepada Mahkamah Syariah.
|
Seksyen ini mendapati bahawa isu ini adalah isu berkaitan semakan terhadap perintah perceraian yang telah
dikeluarkan oleh mahkamah untuk
didaftarkan.
Seksyen ini mendapati
bahawa undang-undang membenarkan mana-mana perintah mahkamah disemak, demi
kepentingan keadilan. Permohonan semakan dibuat ke Mahkamah Tinggi Syariah
atau ke Mahkamah Rayuan Syariah yang mempunyai kuasa pengawasan dan
penyemakan terhadap mahkamah-mahkamah bawahannya sepertimana yang
diperuntukkan di bawah subseksyen 51 (1) dan subseksyen
53 (1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan)
1993 [Akta 505] yang memperuntukkan seperti yang berikut:
“Seksyen 51. Bidang kuasa pengawasan dan peyemakan Mahkamah Tinggi
Syariah.
(1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas semua Mahkamah Rendah Syariah dan boleh, jika nampaknya dikehendaki demi kepentingan keadilan, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, dalam mana-mana Mahkamah Rendah Syariah, memanggil dan memeriksa mana-mana rekod mengenainya dan boleh memberikan apa-apa arahan yang dikehendaki demi keadilan.”; dan
“Seksyen 53. Bidang kuasa pengawasan dan penyemakan Mahkamah Rayuan
Syariah.
(1) Mahkamah Rayuan Syariah
hendaklah mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas Mahkamah
Tinggi Syariah dan boleh, jika nampaknya dikehendaki demi kepentingan
keadilan, sama ada atas kehendaknya
sendiri atau atas kehendak
mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat
dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, dalam
Mahkamah Tinggi Syariah, memanggil dan memeriksa mana-mana rekod mengenainya
dan boleh memberikan apa-apa arahan yang dikehendaki demi keadilan.”.
Berdasarkan
peruntukan-peruntukan di atas, mahkamah, pihak-pihak atau mana-mana orang
yang berkepentingan boleh memohon supaya mana-mana rekod mahkamah disemak
semula demi kepentingan keadilan. Oleh
itu bagi maksud perenggan ini, Seksyen ini berpandangan bahawa adalah perlu
untuk dijelaskan siapakah orang yang berkepentingan dalam hal ehwal
pendaftaran perceraian orang Islam.
Seksyen ini mendapati bahawa berdasarkan seksyen 55 Akta 303, kuasa untuk
mendaftar atau membatalkan satu perintah peceraian hanya
diberikan kepada Ketua Pendaftar NCR (KPNCR) Peruntukan itu berbunyi seperti
yang berikut:
“Seksyen 55. Pendaftaran perceraian
Tiada lafaz talaq atau
perintah perceraian atau pembatalan boleh didaftarkan melainkan Ketua Pendaftar berpuas hati bahawa Mahkamah
telah membuat perintah muktamad berhubungan dengannya.”.
Berdasarkan peruntukan,
KPNCR adalah merupakan orang yang berkepentingan dalam mengawal selia
pendaftaran dan pembatalan perintah perceraian. Oleh itu KPNCR sebagai orang
yang berkepentingan mempunyai locus untuk
memfailkan semakan ke Mahkamah yang berbidang kuasa jika dia berpuas hati wujud keraguan dalam rekod
perceraian tersebut.
Jika PNCR tidak berpuas hati dan mendapati bahawa terdapat keraguan
dalam rekod perceraian mahkamah untuk didaftarkan di bawah seksyen 55 Akta
303, KPNCR sebagai orang yang mengawal selia rekod tersebut hendaklah
dimaklumkan agar permohonan semakan boleh dimulakan oleh KPNCR.
Menerusi pemerhatian, Seksyen ini juga mendapati
bahawa tatacara bagi permohonan semakan ada juga diperuntukkan di dalam
Arahan amalan No. 13 Tahun 2007 berkaitan Semakan Kes di Mahkamah Tinggi
Syariah atau Di Mahkamah Rayuan Syariah dan juga Arahan Amalan No. 5 Tahun
2004 berkaitan Kehadiran Pihak-pihak
dan Wakil Semasa Prosiding Semakan Kes Mal.
|
8.
|
Adakah menjadi kesusahan sekiranya rekod
perceraian dihantar secara alam maya kepada JAWI di mana pihak-pihak boleh
mendapatkan rekod tersebut di JAWI serta menguruskan urusan pendaftaran
perceraian?
|
Sidang bersetuju supaya system e-Munakahat,
e-Jinayat dan e-Syariah dihubungkan bagi tujuan penghantaran maklumat antara
JAWI dan Mahkamah.
|
Seksyen ini bersetuju dengan ketetapan bengkel
untuk menghubungkan sistem e-munakahat, e-jinayat dan e-syariah. Penghantaran
melalui atas talian hanya boleh dilaksanakan bagi tujuan pentadbiran setelah kes selesai untuk tujuan perkongsian maklumat. Walau
bagaimanapun, sesuatu perceraian atau lafaz talak yang dibuat di hadapan
hakim syari’e, Mahkamah hendaklah menghantar satu salinan rekod penceraian
tersebut kepada Pendaftar yang berkenaan dan Ketua Pendaftar untuk
direkodkan. Ini diperuntukkan dalam seksyen 47 (4) Akta 303
Seksyen 47. Perceraian dengan talaq atau
dengan perintah
(4) Mahkamah
hendaklah merekodkan fakta satu talaq telah dilafazkan itu, dan hendaklah
menghantarkan satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang
berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.
|
9.
|
Pemberian kebenaran berkahwin bagi pasangan yang
ingin berkahwin di Thailand dan Indonesia.
|
Sidang bersetuju bahawa kuasa tersebut adalah di
bawah bidangkuasa ketua pendaftar nikah cerai dan rujuk JAWI.
|
Seksyen ini bersetuju dengan ketetapan sidang yang berpandangan bahawa kuasa untuk memberikan kebenaran berkahwin di dalam dan
juga luar negara bagi mana-mana individu yang bermastautin di Wilayah
Persekutuan adalah KPNCR. Ini berdasarkan seksyen 20 Akta 303 yang memperuntukkan bahawa:
“Seksyen 20. Tempat
perkahwinan
(1) Tiada perkahwinan boleh
diakadnikahkan kecuali dalam kariah masjid di mana pihak perempuan
bermastautin, tetapi Pendaftar atau Hakim Syarie yang memberi kebenaran
berkahwin di bawah seksyen 17 atau 18 boleh memberi kebenaran untuk
perkahwinan itu diakadnikahkan di tempat lain, sama ada dalam Wilayah
Persekutuan atau dalam mana-mana Negeri.
(2) Kebenaran di bawah
subseksyen (1) bolehlah dinyatakan dalam kebenaran berkahwin yang diberi di
bawah seksyen 17 atau 18.
(3) Walau apa pun peruntukan
subseksyen (1), sesuatu perkahwinan itu bolehlah diakadnikahkan dalam kariah
masjid selain kariah masjid di mana pihak perempuan bermastautin jika—
(a) dalam hal di mana perempuan itu
bermastautin dalam Wilayah Persekutuan, kebenaran berkahwin mengenai
perkahwinan itu telah diberi di bawah seksyen 17 atau 18 dan kebenaran untuk
perkahwinan itu diakadnikahkan dalam kariah masjid selain itu yang diberikan
di bawah subseksyen (1); atau
(b) dalam hal di mana perempuan itu
bermastautin dalam sesuatu Negeri, kebenaran berkahwin mengenai perkahwinan
itu dan kebenaran untuk perkahwinan itu diakadnikahkan dalam kariah masjid
selain yang diberikan oleh pihak berkuasa yang sepatutnya bagi Negeri itu.
|
10.
|
Adakah permohonan di bawah Sek. 16 dan kebenaran
berkahwin di bawah sek. 17 akta 303 terpakai untuk pihak perempuan sahaja.
|
Sidang bersetuju bahawa permohonan dan kebenaran
berkahwin di bawah seksyen 16 dan 17 akta 303 hendaklah terpakai kepada
lelaki dan perempuan.
|
Seksyen ini bersetuju
dengan ketetapan Sidang yang memutuskan bahawa permohonan dan kebenaran
berkahwin di bawah seksyen 16 dan 17 Akta
303 hendaklah terpakai kepada lelaki dan perempuan. Ini adalah jelas
dapat dilihat daripada peruntukan seksyen tersebut iaitu:
Seksyen 16. Permohonan untuk
kebenaran berkahwin
(1) Apabila dikehendaki
untuk mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan dalam Wilayah Persekutuan, tiap-tiap satu pihak kepada
perkahwinan yang dicadangkan itu hendaklah memohon dalam borang yang
ditetapkan untuk kebenaran berkahwin kepada Pendaftar bagi kariah masjid di
mana pihak perempuan itu bermastautin.
(2) Jika pihak lelaki
bermastautin di kariah masjid yang berlainan dari kariah masjid pihak perempuan,
atau bermastautin di mana-mana Negeri, permohonannya hendaklah mengandungi
atau disertai dengan kenyataan Pendaftar bagi kariah masjidnya atau oleh
pihak berkuasa yang hak bagi Negeri itu, mengikut mana yang berkenaan, yang
bermaksud bahawa sejauh yang dapat dipastikannya perkara yang disebut dalam
permohonan itu adalah benar.
(3) Permohonan tiap-tiap
satu pihak hendaklah disampaikan kepada Pendaftar sekurang-kurangnya tujuh
hari sebelum tarikh yang dicadangkan bagi perkahwinan itu, tetapi Pendaftar boleh
membenarkan masa yang lebih singkat dalam mana-mana kes tertentu.
(4) Permohonan kedua-dua pihak hendaklah dianggap sebagai suatu
permohonan bersama.
Seksyen 17. Mengeluarkan
kebenaran berkahwin
Tertakluk kepada seksyen 18,
Pendaftar, apabila berpuas hati tentang kebenaran perkara yang disebut dalam
permohonan itu, tentang sahnya perkahwinan yang dicadangkan itu, dan, jika
pihak lelaki itu sudah berkahwin, bahawa kebenaran yang dikehendaki oleh
seksyen 23 telah diberi, hendaklah, pada bila-bila masa selepas permohonan
itu dan setelah dibayar fi yang ditetapkan, mengeluarkan kepada pemohon
kebenarannya untuk berkahwin dalam borang yang ditetapkan.
Ini juga adalah
selaras dengan peruntukan seksyen 8 dan 18 Akta
303 yang memperuntukkan seorang lelaki yang belum mencapai umur 18 tahun dan
seorang perempuan yang belum mencapai umur 16 tahun tidak boleh berkahwin di
bawah Akta 303 melainkan dengan kebenaran bertulis daripada Hakim Syarie yang
mempunyai bidang kuasa di tempat perempuan itu bermastautin.
Kedua-dua peruntukan
itu berbunyi seperti yang berikut:
“Seksyen 8. Umur minimum untuk perkahwinan
Tiada suatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.”.; dan
“Seksyen 18. Rujukan kepada dan tindakan oleh Hakim Syarie
(1) Dalam mana-mana kes
berikut, iaitu—
(a) jika salah satu pihak kepada perkahwinan yang dicadangkan itu adalah di
bawah umur yang dinyatakan dalam seksyen 8; atau
(b) ...; atau
(c) ...,
maka Pendaftar hendaklah, sebagai ganti bertindak di
bawah seksyen 17, merujukkan permohonan itu kepada Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat perempuan
itu bermastautin.”.
|
11.
|
Mengapa Pegawai Penyiasat perlu menyiasat semula
elemen lafaz perceraian dalam Sek. 124 sedangkan mahkamah telah memutuskan
kes tersebut.
|
Sidang bersetuju pegawai penyiasat boleh membuat
siasatan secara menyeluruh dan sekiranya terdapat kemusykilan semasa siasatan
dijalankan pegawai penyiasat hendaklah menasihatkan pihak-pihak memfailkan
permohonan semakan rekod perceraian tersebut di Mahkamah Syariah.
|
Berdasarkan
pemerhatian Seksyen ini mendapati istilah Pegawai Penyiasat seperti yang dinyatakan
dalam perenggan 11 tidak diperuntukkan
dalam―
i.
Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta
505];
ii.
Akta Undang-Undang Keluarga Islam
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta
303];
iii.
Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 [Akta
585];
iv.
Akta Keterangan Mahkamah Syariah
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta
561];
v.
Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 1997 [Akta 560];
vi.
Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah
Pesekutuan) 1997 [Akta 559]; dan
vii.
Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965
[Akta 355].
Dalam
hal ini, istilah yang digunapakai adalah Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA)
seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 2 Akta 505.
Seterusnya
Seksyen ini mendapati bahawa isu di perenggan
11 ada kaitan dengan isu di perenggan 7 mengenai semakan terhadap rekod perceraian mahkamah untuk
didaftarkan.
Berdasarkan
isu di perenggan 7, KPNCR adalah orang yang berkepentingan dan mempunyai locus
untuk memfailkan permohonan semakan
jika berpuas hati wujud keraguan di atas rekod perceraian mahkamah selari
dengan peruntukan seksyen 55 Akta 303.
Mengenai
isu yang ditimbulkan iaitu kuasa PPA untuk menyiasat
semula elemen lafaz perceraian
dalam seksyen 124, Seksyen ini berpandangan bahawa kuasa PPA menurut
undang-undang adalah seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 3 Akta Tatacara Jenayah Syariah
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta
560] iaitu untuk menyiasat semua kesalahan yang berada dalam bidang kuasa
mahkamah menurut Akta 560. Peruntukan tersebut berbunyi seperti berikut :
“Seksyen 3. Perbicaraan kesalahan oleh Mahkamah.
Segala kesalahan yang atasnya Mahkamah mempunyai bidang kuasa hendaklah disiasat dan dibicarakan mengikut peruntukan yang terkandung dalam Akta ini.”.
Selain
itu, kuasa khusus PPA untuk menyiasat
diperjelaskan lagi dalam BAHAGIAN IV - MAKLUMAT KEPADA PEGAWAI
PENGUATKUASA AGAMA DAN KUASA MEREKA UNTUK MENYIASAT seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 54
sehingga seksyen 66 Akta 560 meliputi antaranya tatacara penerimaan maklumat
dan siasatan.
Walau bagaimanapun, mengenai kuasa PPA untuk
menyiasat semula elemen lafaz perceraian dalam seksyen 124 Akta 303, Seksyen
ini berpandangan bahawa kuasa PPA
untuk menjalankan siasatan berdasarkan seksyen 3 dan Bahagian IV Akta 560 adalah
terhad kepada menyiasat elemen
kesalahan termasuklah butir-butir kesalahan yang dilakukan
seperti masa, tempat, tarikh, bilangan kesalahan yang dilakukan dan bukannya
berkaitan dengan elemen lafaz perceraian seperti penentuan lafaz soreh atau
kinayah dan keadaan semasa melafazkan talak sama ada dengan niat atau tanpa
niat yang merupakan kuasa Hakim Bicara. Tujuan
siasatan oleh PPA berkaitan eleman kesalahan itu adalah untuk membuat
pertuduhan bagi kesalahan melafazkan cerai tanpa kebenaran mahkamah.
Mengenai
ketetapan supaya PPA menasihatkan pihak-pihak memfailkan permohonan semakan
rekod perceraian di mahkamah Syariah sekiranya terdapat kemusykilan semasa
siasatan, Seksyen ini berpandangan bahawa hal ini juga boleh dirujuk terus
kepada KPNCR untuk membuat semakan.
|
12.
|
Sejauh mana ketulenan surat perakuan nikah yang
dikeluarkan oleh Thailand dan Indonesia?
Adakah mahkamah merujuk kepada mana-mana tempat yang mengeluarkan
surat nikah tersebut seperti Majlis Agama Islam Songkhla, Narathiwat, Yala
dll.
|
Sidang bersetuju bergantung kepada Hakim yang
membicarakan kes tersebut sama ada berpuashati atau tidak.
|
Penerimaan sesuatu dokumen semasa
perbicaraan bagi setiap kes adalah tertakluk kepada pembuktian ketulenan
dokumen tersebut. Dalam hal ini, Mahkamah tertakluk kepada Akta Keterangan
Mahkamah Syariah sama ada hendak menerima atau menolak sesuatu dokumen itu.
Berkaitan isu yang ditimbulkan, seksyen ini berpandangan bahawa, dalam
menentukan ketulenan sesuatu Surat Perakuan Nikah yang dikeluarkan oleh Thailand,
Indonesia atau mana-mana negara, ianya hendaklah dibuktikan menurut BAHAGIAN-II, BAB 3, KETERANGAN DOKUMENTAR,
Akta Keterangan mahkamah
Syariah(Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 561]. Selain itu, hakim bicara
juga boleh merujuk kepada Arahan Amalan No 9 Tahun 2007 mengenai amalan
pengesahan perkahwinan yang berlawanan dengan peruntukan Akta/Enakmen/Ordinan
Undang-Undang Keluarga Islam. Adalah menjadi tanggungjawab pihak-pihak
untuk membuktikan kepada mahkamah berkenaan dengan ketulenan sesuatu dokumen
yang dikemukakan dalam perbicaraan.
|
13.
|
Jika sesuatu kes terdiri dari kategori di mana
pernikahan yang berlaku sebelum Akta 303 berkuasa dan pernikahan kedua-dua
OYDS berlaku ketika mereka Beragama bukan Islam, adakah Borang 5 perlu
dikeluarkan?
|
Sidang bersetuju penyelarasan perlu dibuat antara
Bahagian Penguatkuasaan dan Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga.
|
Seksyen ini berpandangan bahawa OYDS tidak melakukan apa-apa
kesalahan di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan)
1984 [Akta 303] kerana semasa
pernikahan kedua-dua OYDS berlaku, mereka bukan beragama Islam. Akta 303
hanya terpakai kepada orang Islam sahaja. Seksyen 4 Akta 303 menyebut―
“Kecuali sebagaimana diperuntukkan dengan nyata
selainnya, Akta ini terpakai bagi semua
orang Islam yang tinggal dalam Wilayah Persekutuan dan bagi semua orang
Islam yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan tetapi tinggal di luar Wilayah
Persekutuan.”.
Selain daripada itu, tiada apa-apa peruntukan
undang-undang yang menyebut di bawah Akta ini bahawa undang-undang ini boleh
berkuat kuasa ke belakang atau mempunyai kesan retrospektif memandangkan perkahwinan
tersebut berlaku ketika pihak-pihak belum lagi memeluk agama Islam. Oleh itu,
tindakan penguatkuasaan tidak boleh diambil terhadap kedua-dua OYDS.
Islam
mengiktiraf perkahwinan seseorang yang dilakukan sekiranya memenuhi
rukun-rukun nikah yang telah ditetapkan. Selain itu, perkahwinan antara
suami-isteri yang dilakukan ketika mereka bukan Islam dan kemudian
kedua-duanya memeluk Islam juga diktiraf sah oleh hukum syarak tanpa
memerlukan akad nikah yang baru.
Ibnu Rusyd
dalam Bidayatul Mujtahid, Juz II
halaman 39, Abu Ishaq Asy-Syirazi dalam Al-Muhadzdzab, Juz II halaman 52 dan As-Sayyid Al-Bakri dalam I’anah at-Thalibin, Juz III halaman 296,
menyatakan bahawa menurut pendapat semua mazhab tanpa ada perbezaan pandangan
lagi, jika ada pasangan suami isteri yang beragama selain Islam lalu masuk
Islam secara bersama, maka akad nikah sebelum keduanya masuk Islam adalah sah
dalam pandangan syariat Islam. Ibnul Qayyim dalam Zaadul Ma’ad mengatakan,
apabila suami isteri masuk Islam secara bersama, maka pernikahan mereka
dinyatakan sah. Tidak perlu ditanyakan keadaan bagaimana sebelum masuk Islam,
apakah pernikahannya sah atau tidak? selagi tidak ada sebab yang membatalkan
pernikahan tersebut. (lihat Zaadul Ma‟ad oleh Ibnul
Qayyim, jilid V hal. 35). Pendapat di atas berdasarkan hadis-hadis Rasulullah
Saw yang bermaksud:
“Dari Salim RA, dari ayahnya, bahawa Ghaylan bin Salamah telah masuk
Islam dan dia mempunyai sepuluh isteri, lalu mereka masuk Islam bersama
Ghaylan. Maka Nabi SAW memerintahkan Ghaylan untuk memilih empat orang di
antara mereka.” (HR. Ahmad, At-Tirmidzi, dan dipandang sahih oleh Ibnu Hibban
dan Al-Hakim) lihat As-Shan’ani, Subulus Salam, Juz III hal. 132; dan
“Bahawa ada seorang lelaki yang datang (kepada Rasulullah SAW) dalam
keadaan muslim, kemudian datang pula isterinya dalam keadaan muslim. Lelaki
itu lalu berkata,”Wahai Rasulullah
SAW isteriku itu dulu masuk Islam bersamaku.” Maka Rasulullah lalu
menyerahkan perempuan itu kepada lelaki tersebut.” (HR. At-Tirmidzi) lihat
As-Sayyid Al-Bakri, I‟anatuth
Thalibin, Juz III hal. 296).
Selain daripada
itu, menurut fatwa yang telah diputuskan melalui Persidangan Jawatankuasa
Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-10 yang
bersidang pada 30 April 1975 telah membincangkan Suami Isteri Bukan Berugama
Islam Kemudian kedua-duanya memeluk Ugama Islam. Persidangan telah memutuskan
bahawa:
1. Nikah pasangan suami isteri yang bukan beragama Islam akan terputus
jika salah seorang daripadanya memeluk agama Islam tetapi jika yang
seorang lagi memeluk agama Islam juga dalam masa iddah itu maka kekal nikah
mereka.
Oleh itu seksyen ini berpandangan bahawa pihak-pihak
tidak melakukan apa-apa kesalahan sama ada dari segi undang-undang atau hukum
syarak, maka perkahwinan tersebut hanya perlu didaftarkan sahaja tanpa perlu
mengisi Borang 5.
|
14.
|
Bagi kes di bawah Sek. 19 Akta 560, PPA telah
memohon bon jaminan daripada Mahkamah.
Tetapi OYDS gagal hadir pada tarikh yang ditetapkan. Adakah Mahkamah perlu mengeluarkan saman
atau waran tangkap kepada OYDS?
|
Sidang bersetuju proses pendaftaran dan penetapan
tarikh sebutan kes adalah sama dengan
kes-kes boleh tangkap yang lain.
(bergantung kepada tarikh bon jaminan mahkamah).
|
Seksyen ini mendapati isu berkaitan seksyen 19
Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 560] adalah seperti berikut:-
Apabila mana-mana orang yang telah melakukan satu
kesalahan yang tidak boleh ditangkap di hadapan Pegawai Penguat kuasa Agama (PPA)
atau Polis, dan orang itu enggan memberikan maklumat dirinya seperti nama dan
alamat kediamannya ataupun maklumat telah diberi tetapi PPA atau Polis ada
sebab untuk mempercayai bahawa maklumat tersebut adalah palsu, dan orang itu
tetap enggan memberikan maklumat yang benar, maka pada ketika itu orang itu
boleh ditangkap. Dalam tempoh 24 jam dari masa tangkapan, orang itu hendaklah
dibawa ke hadapan seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah terdekat. Hakim pada
ketika itu boleh melepaskan orang itu setelah dikehendaki menyempurnakan
suatu bon, dengan penjamin supaya orang itu hadir semula di hadapan Hakim.
Seksyen ini berpandangan, jika orang itu telah
gagal hadir semula pada hari yang telah ditetapkan, maka ketidakhadiran orang
itu telah menyebabkan satu pelanggaran kepada suatu bon yang telah ditetapkan
oleh Hakim. Dalam hal ini, mahkamah boleh mengeluarkan Waran Tangkap terhadap
orang itu dengan mengikut prosedur yang telah ditetapkan di dalam Akta 560,
Bab 3 iaitu Darihal Proses Untuk Memaksa Kehadiran Berhubung Permohonan dan
waran Tangkap mengikut seksyen 32 hingga seksyen 41 Akta 560 tersebut.
|
15.
|
Lafaz taklik yang telah dilafazkan semasa Akad
Nikah Perkahwinan di luar Negara (khusus di Thailand) tidak direkodkan semula
didalam sijil nikah yang daftarkah di Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan.
|
Sidang bersetuju supaya Bahagian Perkahwinan dan
Pembangunan Keluarga membuat penambahbaikan di dalam prosedur pendaftaran
perkahwinan luar Negara bagi mengambilkira lafaz taklik yang telah dilafazkan
semasa akad nikah di luar Negara dapat direkod dalam sijil nikah yang
didaftarkan di Wilayah Persekutuan.
|
Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Bahagian Perkahwinan dan
Pembangunan Keluarga, Cawangan Nikah, Cerai dan Ruju’, Jabatan Agama Islam
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, surat perakuan ta’liq yang telah dilafazkan
semasa akad nikah di luar negara adalah tidak diiktiraf oleh undang-undang
yang berkuat kuasa di negara ini. Justeru, surat perakuan ta’liq itu adalah
tidak sah dan tidak boleh direkodkan dalam sijil nikah yang didaftarkan di
Wilayah Persekutuan. Oleh itu, mana-mana pihak yang ingin mendaftarkan semula
perkahwinan yang telah dilangsungkan di luar negara hendaklah melakukan
semula lafaz ta’liq di hadapan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju’
Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28 Akta 303.
Sungguhpun begitu, difahamkan bahawa terdapat beberapa
kes yang diputuskan oleh mahkamah telah menerima surat perakuan ta’liq yang
dibuat di luar Negara dengan merujuk kepada seksyen 245 Akta 585 yang memperuntukkan
bahawa mana-mana peruntukan yang tidak selaras dengan Hukum Syarak hendaklah
terbatal setakat ketidakselarasan itu. Peruntukan tersebut berbunyi seperti
berikut :
“Seksyen 245. Hukum
Syarak
(1) Mana-mana peruntukan atau tafsiran peruntukan di bawah Akta ini yang tidak selaras dengan Hukum Syarak hendaklah terbatal setakat ketidakselarasan itu. (2) Jika terdapat apa-apa lakuna atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata dalam Akta ini, Mahkamah hendaklah menggunakan Hukum Syarak.”.
Sehubungan itu, dalam isu penerimaan surat perakuan ta’liq yang dibuat di
luar Negara dan berdasarkan kepada seksyen 245 Akta 585, Seksyen ini berpandangan bahawa sungguhpun surat
perakuan ta’liq yang dibuat di luar Negara tidak mendapat pengiktirafan
undang-undang di negara ini, namun mengikut hukum Syarak, ia adalah dikira sah
dan boleh diterimapakai oleh mahkamah dengan mengambil kira efek atau kesan
akibat perlanggaran lafaz ta’liq tersebut. Berdasarkan hukum Syarak, sesuatu
lafaz cerai samada secara ta’liq atau munjiz yang telah dilafazkan tidak
boleh ditarik balik.
Justeru, Seksyen ini bersetuju dengan ketetapan Sidang supaya Bahagian
Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga membuat penambahbaikan berhubung dengan
prosedur pendaftaran perkahwinan luar negara dengan mengambil kira lafaz
taklik yang telah dilafazkan semasa akad nikah di luar negara kerana ia
melibatkan hukum Syarak.
Selain itu, Seksyen ini berpandangan bahawa cadangan
penambahbaikan yang disyorkan itu mampu memelihara dan melindungi hak dan
kepentingan pihak-pihak kepada perkahwinan khususnya wanita apabila berlaku tuntutan
perceraian. Ini juga adalah selaras dengan kehendak seksyen 50 Akta 303 yang
memperuntukkan perceraian di bawah ta’liq atau janji seperti yang berikut:
“(1) Seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat
perceraian menurut syarat-syarat surat perakuan ta’liq yang dibuat selepas
berkahwin, memohon kepada Mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang
demikian telah berlaku.
(2) Mahkamah hendaklah memeriksa permohonan itu dan membuat suatu siasatan mengenai sahnya perceraian itu dan, jika berpuas hati bahawa perceraian itu adalah sah mengikut Hukum Syarak, hendaklah mengesahkan dan merekodkan perceraian itu dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.”. |
DONATE
Selasa, 28 Mac 2017
ISU-ISU PROSEDUR KES KESALAHAN MATRIMONI
Langgan:
Catatan (Atom)