DONATE

Selasa, 10 Mei 2022

Kajian Isu Permohonan Pengesahan Nikah Warganegara Asing/ Orang Pelarian Rohingya /Orang Pelarian UNHCR

 

 

BAB 1

PENDAHULUAN

 

 

            1.0       PENGENALAN

 

Malaysia merupakan sebuah negara yang menjadi tumpuan masyarakat luar untuk mencari rezeki dan mendapatkan perlindungan kerana Malaysia sehingga kini merupakan negara yang aman dan damai. Sehubungan itu boleh dikatakan Malaysia merupakan negara yang berbilang bangsa dan yang bukan sahaja terhad kepada kaum Melayu, China dan India malahan warganegara asing sama ada yang datang secara sah atau tidak sah serta  orang  pelarian. Berdasarkan statistik yang dibuat pada tahun 2008, jumlah warganegara asing yang bekerja di Malaysia adalah sebanyak 2,062,596[1]. Statistik yang diperoleh daripada pejabat UNHCR di Malaysia jumlah orang  pelarian Rohingya beragama Islam yang mendapat perlindungan  daripada UNHCR yang tinggal di Malaysia adalah seramai 8769 orang dari tahun 2006-2010[2]. Pelarian yang berdaftar dan memegang kad UNHCR tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang yang melibatkan kesalahan imigresen melainkan melakukan kesalahan jenayah, mereka diadili secara sama rata sebagaimana warga tempatan yang lain. Tempoh sah kad UNHCR adalah selama 3 tahun dan kad tersebut perlu diperbaharui. Anak yang lahir dari perkahwinan Rohingya juga perlu didaftarkan bagi membolehkan anak-anak tersebut mendapatkan kad UNHCR.

 

Selain itu, terdapat warganegara asing yang telah lama menetap di Malaysia, keadaan ini secara tidak langsung mendorong hubungan peribadi antara warganegara asing dengan penduduk tempatan dan sesama mereka. Hasil hubungan tersebut terdapat sebilangan mereka yang melangsungkan akad nikah di luar Malaysia tanpa kebenaran pihak berkuasa agama negeri atas pelbagai alasan. Keadaan ini menyebabkan terdapat permohonan pengesahan nikah daripada warganegara asing dan orang  pelarian yang menetap di Malaysia. Namun sehingga kini belum ada kajian dibuat untuk melihat sejauh mana permohonan mereka diterima di mahkamah-mahkamah syariah di Malaysia.

 

Pada 16 November 2009, satu Resolusi Isu Pendaftaran Perkahwinan Yang Tidak Mengikut Undang-undang Dan Isu Perkahwinan Di Luar Negara telah diadakan yang dihadiri oleh Ketua-ketua Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk serta Ketua- Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia.

 

Rentetan daripada resolusi tersebut Mesyuarat Ketua Pendaftar Seluruh Malaysia Kali ke-42 yang telah diadakan di Hotel Awana Genting Highland, Pahang bersetuju supaya Bahagian Dasar dan Penyelidikan menjalankan penyelidikan dalam menyelesaikan isu yang berbangkit mengenai pengesahan perkahwinan warganegara asing di Malaysia, orang  pelarian Rohingya/orang  pelarian yang mendapat perlindungan daripada United Nation High Commissioner For Refugees (UNHCR) tentang kebaikan dan pelaksanaannya.

                      

 

            1.1       PERNYATAAN MASALAH

 

Perkahwinan merupakan elemen yang sangat dititik beratkan oleh hukum syarak bagi menjaga nasab dan mengelakkan kemudaratan kepada umat Islam sejagat tanpa mengira kaum dan bangsa. Namun begitu kedengaran pelbagai masalah timbul dalam urusan perkahwinan dan permohonan pengesahan nikah yang berlaku di antara sesama warganegara asing, warganegara asing dengan warga tempatan, sesama orang  pelarian atau perkahwinan orang  pelarian dengan warga tempatan. Kajian ini bertujuan mengkaji punca kuasa dari segi peruntukan undang-undang dan bagaimana untuk menangani dan mencari jalan yang terbaik dalam menyelesaikan isu pendaftaran permohonan  pengesahan nikah warganegara asing  di Malaysia, orang  pelarian Rohingya/orang  pelarian yang mendapat perlindungan daripada United Nation High Commissioner For Refugees (UNHCR) ini serta melihat kesan pengesahan nikah warganegara asing, orang  pelarian Rohingya/UNHCR ini kepada masyarakat Malaysia dan  negara.

 

 

            1.2       PERSOALAN KAJIAN      

 

Berdasarkan pernyataan masalah seperti yang digariskan di atas, maka kajian ini berpandukan kepada persoalan-persoalan seperti berikut:-

 

                     i.        Apakah punca kuasa atau peruntukan undang-undang yang terpakai di dalam pengesahan nikah warganegara asing di Malaysia, orang  pelarian Rohingya/orang  pelarian yang mendapat perlindungan daripada United Nation High Commissioner For Refugees (UNHCR)?

 

                    ii.        Sejauh manakah mahkamah syariah menerima pendaftaran pengesahan nikah warganegara asing di Malaysia, orang  pelarian Rohingya/orang  pelarian yang mendapat perlindungan daripada United Nation High Commissioner For Refugees (UNHCR)?

 

                   iii.        Apakah implikasi senario pengesahan nikah warganegara asing di Malaysia, orang  pelarian Rohingya/orang  pelarian yang mendapat perlindungan daripada United Nation High Commissioner For Refugees (UNHCR)?

 

                   iv.        Apakah mekanisme atau cadangan yang boleh membantu dalam menangani masalah pengesahan nikah warganegara asing di Malaysia, orang  pelarian Rohingya/orang  pelarian yang mendapat perlindungan daripada United Nation High Commissioner For Refugees (UNHCR)?

 

 

            1.3       OBJEKTIF KAJIAN

 

Pada dasarnya kajian ini dirancang dan dikendalikan dengan tujuan menghasilkan fakta, maklumat, cadangan dan perakuan yang sah dan boleh dipercayai bagi membantu jabatan mengemukakan cadangan bagi menyelesaikan masalah permohonan pengesahan nikah warganegara asing, orang  pelarian Rohingya/orang  pelarian UNHCR menurut kehendak syarak dan undang-undang untuk memenuhi objektif-objektif berikut:

 

                      i.        Mengenal pasti isu-isu pengesahan nikah warganegara asing, orang  pelarian Rohingya/orang  pelarian UNHCR.

 

                    ii.        Mengenal pasti punca kuasa atau peruntukan undang-undang  yang terpakai di dalam pengesahan nikah warganegara asing, orang pelarian Rohingya/orang  pelarian UNHCR.

 

                   iii.        Mengkaji sejauh mana mahkamah syariah menerima pendaftaran pengesahan nikah warganegara asing di Malaysia, orang  pelarian Rohingya/orang  pelarian yang mendapat perlindungan daripada United Nation High Commissioner For Refugees (UNHCR).

 

                   iv.        Mengkaji implikasi dan senario perkahwinan warganegara asing, orang pelarian Rohingya/orang  pelarian UNHCR yang berlaku di Malaysia.

 

                    v.        Mengemukakan cadangan dan mekanisme yang boleh membantu dalam menangani masalah perkahwinan dan pengesahan nikah warga negara asing, orang pelarian Rohingya/orang pelarian UNHCR.

            1.4       KEPENTINGAN KAJIAN

           

Penemuan daripada hasil kajian ini diharap akan dapat dijadikan input untuk:-

 

                      i.        Mewujudkan garis panduan proses pendaftaran pengesahan nikah bagi warganegara asing/ orang  pelarian di mahkamah syariah.

 

                    ii.        Mengesyorkan agensi yang terlibat menyelaraskan garis panduan tersebut di mahkamah syariah dan di pejabat agama di seluruh Malaysia.

 

                   iii.        Meningkatkan kesedaran kepada agensi-agensi terlibat dalam urus tadbir mengenai hal ehwal warganegara asing dan orang  pelarian.

 

 

            1.5       DEFINISI ISTILAH

 

Bahagian ini mendefinisikan istilah-istilah yang sering digunakan di dalam penulisan laporan kajian bagi memudahkan pemahaman. Istilah-istilah tersebut adalah seperti berikut:

 

                     i.        Pengesahan nikah

Pengesahan adalah kata terbitan daripada perkataan sah yang membawa erti lulus pada sisi undang-undang (adat, hukum dan lain-lain), lawan batal (sembahyang, puasa dan sebagainya), benar, pasti, nyata. Manakala pengesahan ialah perbuatan atau hal mengesahkan[3].

 

                    ii.        Warganegara asing

Menurut Kamus Dewan, warganegara  ialah  rakyat sesebuah negara (yang terdiri daripada penduduk asli tempatan ataupun orang asing yang telah diterima menjadi rakyat mengikut undang-undang): ~ Malaysia[4]. Manakala asing membawa erti berlainan, terpisah, tersendiri; berasa diri ~ (di sesuatu tempat) berasa diri terpisah atau bukan sebahagian daripada tempat yang berkenaan;  berasal (datang) dari daerah atau negeri lain, bukan tempatan, bukan anak negeri: banyak bangsa ~ di negeri ini; tanaman modal ~;  bukan dari dunia ini: makhluk ~; tidak seperti yang biasa terdapat (dilakukan, diamalkan, dan lain-lain): amalan-amalan yg ~ bagi masyarakat Melayu;[5]

Oleh itu warganegara asing ditakrifkan sebagai rakyat yang bukan berasal dari anak tempatan atau negeri.

 

                  iii.        Orang  pelarian

Orang  pelarian menurut Konvensyen 1951 Berkaitan Status Orang  pelarian ialah seorang yang mempunyai kebimbangan berasas terhadap penganiayaan disebabkan oleh bangsa, agama, kewarganegaraan, keahlian dalam kumpulan sosial tertentu atau pandangan politiknya, berada di luar negara asalnya dan tidak boleh atau enggan menggunakan perlindungan yang ditawarkan oleh negara itu, atau kembali ke sana kerana takut kepada penganiayaan.

Perisytiharan Cartagena 1984 telah menambah definisi orang  pelarian dalam Konvensyen 1951 merangkumi “orang yang meninggalkan negara mereka kerana nyawa, keselamatan atau kebebasan mereka terancam oleh keganasan am, pencerobohan asing, konflik dalaman, pencabulan hak asasi manusia yang berat atau keadaan yang mengganggu ketenteraman awam secara serius[6].

    

 

 

                  iv.        United Nation High Commissioner for Refugees (UNHCR)

Merupakan sebuah pertubuhan kemanusiaan dan bukan politik yang diberi mandat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk melindungi dan membantu orang  pelarian mencari penyelesaian terhadap pahit getir mereka. UNHCR diberi mandat untuk menyediakan perlindungan antarabangsa kepada orang  pelarian dan mencari penyelesaian jangka panjang untuk masalah mereka melalui statutnya yang telah diterima oleh Perhimpunan Agung PBB pada Disember 1950[7].

 

                    v.        Rohingya

Rohingya ialah satu kaum Muslim yang tinggal di Arakan yang terletak di Barat Burma (Myanmar). Mereka berpegang kepada mazhab Hanafi. Ketika pemerintahan Junta Burma pada tahun 1978, kaum Rohingya telah ditindas dan hak mereka sebagai rakyat Burma telah dinafikan oleh pemerintah. Bermula saat itu kaum Rohingya telah menjadi orang  pelarian[8].

 

                  vi.        Pemohon 1

Orang yang memulakan tindakan di dalam sesuatu permohonan

 

                 vii.        Pemohon 2

Merujuk kepada pasangan pemohon 1

 

               viii.        In pari materia

 in consonance, in harmony, on the same matter, read as one, read in tandem,  read together

Di dalam perkara yang sama.

 

 

BAB 2

SOROTAN LITERATUR

 

 

            2.1       PENDAHULUAN

 

Sejak dekad 1960-an, faktor ekonomi yang membentuk industri-industri internasional, membawa kepada perubahan populasi migrasi khususnya ke Malaysia. Kedatangan migrasi penduduk Asia Tenggara tanpa izin ke Malaysia pada awalnya bertujuan untuk meningkatkan ekonomi mereka.[9]

 

Populasi migrasi  ke Malaysia telah meningkat setiap tahun. Mereka terdiri daripada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), pelajar-pelajar asing, pekerja-pekerja kontrak berpermit, para pelancong asing dan juga orang  pelarian. Kebanjiran mereka meningkatkan lagi beberapa masalah budaya sosial masyarakat setempat. Kepelbagaian budaya dan agama di kalangan warganegara asing ini, menimbulkan isu persoalan baru khususnya berkaitan hal-hal perkahwinan dan pengesahan pernikahan di kalangan mereka. Pihak kerajaan telah menyedari hakikat ini dan beberapa siri bengkel dan resolusi cuba dicapai dengan mengadakan beberapa bengkel bersama agensi yang terlibat.[10]

 

Bagi isu orang  pelarian pula, khususnya bagi orang  pelarian beragama Islam, seolah-olah tidak ada penyelesaian yang pasti di kalangan mereka. Pernikahan yang diupacarakan sesama sendiri dengan melantik kadi serta menentukan wali di kalangan mereka menjadi petanda bahawa komuniti ini semakin berkembang. Hal ini berpunca daripada ketiadaan garis panduan yang jelas berhubung prosedur pernikahan warganegara asing dan orang  pelarian di Jabatan Agama Islam Negeri-negeri[11].

Sebelum kajian ini dijalankan, terdapat artikel bertajuk “Faktor Penyebab Perkahwinan Tanpa Kebenaran Di Luar Negara[12] yang sedikit sebanyak menyebut  permohonan pengesahan nikah yang difailkan oleh warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warganegara asing.

 

Namun begitu, artikel tersebut lebih memfokuskan faktor-faktor warganegara Malaysia berkahwin di luar negara dan balik ke Malaysia untuk membuat permohonan pengesahan nikah di Malaysia yang mana antara faktor berkahwin di luar negara kerana mereka berkahwin dengan warga asing yang mempunyai beberapa prosedur yang perlu dipatuhi jika ingin berkahwin dengan warga Malaysia .

 

Majalah al-Islam keluaran November 2009 juga telah mengupas isu orang  pelarian Rohingya di dalam menyelesaikan masalah pengurusan perkahwinan dan pendaftaran perkahwinan masyarakat mereka.[13] Maklumat di dalam majalah tersebut banyak membantu di dalam penulisan kajian ini. Ini kerana terdapat orang  pelarian Rohingya sama ada telah berkahwin di luar negeri bersama pasangan warganegara asing atau warganegara Malaysia atau kedua-duanya orang  pelarian berkahwin  di Malaysia dengan cara mereka sendiri ingin membuat pengesahan pernikahan perkahwinan di Malaysia. Justeru, kajian dibuat untuk melihat isu tersebut dari sudut peruntukan undang-undang di Malaysia, kesan pengesahan nikah mereka jika dibenarkan atau tidak dibenarkan oleh mahkamah syariah di negara ini dan cadangan penambahbaikan bagi mengatasi permasalahan perkahwinan orang  pelarian di Malaysia.

 

 

 

            2.2       Isu Pendaftaran Pernikahan Warganegara Asing/ Orang pelarian

 

Sejauh mana Undang-undang Keluarga Islam dan Undang-undang Pentadbiran Islam negeri-negeri terpakai kepada mereka masih menjadi persoalan dasar dalam negara. Beberapa pihak yang terlibat seperti Jabatan Agama Islam negeri-negeri dan Mahkamah Syariah masih lagi tidak mencapai satu tujuan yang sama dalam perkara ini. Persoalan yang masih diberi perhatian adalah:-

 

(a)  Perkahwinan yang melibatkan kedua-duanya warganegara asing.

(b)  Perkahwinan yang melibatkan salah seorang warganegara asing dengan orang tempatan.

(c)  Perkahwinan yang melibatkan kedua-duanya orang  pelarian.

(d)  Perkahwinan yang melibatkan salah seorang  orang pelarian dengan orang tempatan.[14]

 

Walau bagaimanapun, isu-isu ini masih di dalam peringkat perbincangan kajian yang menyeluruh sedang diusahakan dalam beberapa aspek tertentu iaitu:-

 

(a)  Punca kuasa di dalam peruntukan undang-undang yang terpakai yang melibatkan warganegara asing/orang  pelarian Rohingya/Orang  pelarian UNHCR.

 

(b)  Sejauh manakah mahkamah syariah menerima pendaftaran pengesahan nikah warganegara asing di Malaysia, orang  pelarian Rohingya/orang  pelarian yang mendapat perlindungan daripada United Nation High Commissioner For Refugees (UNHCR).

 

(c)  Mengenal pasti implikasi pengesahan pernikahan warganegara asing/orang  pelarian Rohingya/orang  pelarian UNHCR yang berlaku di dalam negara.

 

(d)  Mengemukakan cadangan dan mekanisme yang boleh membantu dalam menangani masalah perkahwinan dan pengesahan nikah warga negara asing, orang  pelarian Rohingya/orang  pelarian UNHCR.[15]

 

Status orang  pelarian di Malaysia menurut Akta Imigresen 1959 menyatakan bahawa orang  pelarian adalah sama dengan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), di mana hak orang  pelarian sama ada di bawah kerjasama UNHCR atau pun tidak, adalah dianggap sebagai bukan warganegara[16]. Tambahan pula Malaysia bukan sebagai negara-negara anggota kepada Konvensyen Berkaitan Status Orang  pelarian 1951 dan/atau Protokol 1967[17].

 

Perkara ini menyukarkan lagi pemahaman pemakaian undang-undang yang terpakai terhadap orang pelarian khususnya yang beragama Islam dalam menentu arah hubungannya dengan undang-undang pentadbiran Islam dalam negeri. Maka tidak hairanlah kelompok orang pelarian yang beragama Islam seperti Orang pelarian Rohingya mengambil pendekatan melantik ‘imam’ sendiri untuk mengendalikan upacara pernikahan sesama mereka tanpa pengawasan atau pemantauan badan berkuasa agama.

 

 

 

 

 

 

2.3     Ringkasan

 

Warganegara asing mahupun orang  pelarian yang mendiami negara ini seharusnya mempunyai pengawasan yang teratur dalam tatacara hubungan perkahwinan. Pengiktirafan terhadap mereka boleh menimbulkan pelbagai implikasi yang berbeza yang memberi kesan kepada taraf kewarganegaraan, jalinan hubungan sosial, hak-hak istimewa dan seterusnya hak menentukan hala tuju politik dan pentadbiran negara. Justeru, penilaian serta pemahaman yang mendalam bagi mengurus tadbir hal ehwal warganegara asing dan orang pelarian ini perlu diberi perhatian serius demi untuk menjaga kebajikan sosial mereka sendiri dan juga untuk kepentingan negara pada masa ini dan akan datang.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

BAB 3

METODOLOGI KAJIAN

 

 

            3.0       PENDAHULUAN

Metodologi kajian merupakan kaedah pelaksanaan sesuatu kajian. Perbincangan pada bab ini antaranya merangkumi reka bentuk, populasi dan pensampelan serta penganalisisan data.

 

 

            3.1       REKA BENTUK KAJIAN

Kajian ini dijalankan dengan menggunakan dua (2) kaedah utama iaitu kaedah analisis dokumen dan kaedah kualitatif. Kaedah Analisis dokumen meliputi rujukan terhadap statut dan penganalisisan terhadap fail kes permohonan pengesahan nikah yang melibatkan warganegara asing dan orang pelarian yang terdapat di Mahkamah Rendah Syariah (MRS) Kuala Lumpur, MRS Batu Pahat Johor, MRS Bandar raya dan MRS Seberang Perai Tengah Kepala Batas Pulau Pinang, MRS Dungun, MRS Kuala Terengganu, MRS Besut dan MRS Kuala Berang, Terengganu dan MRS Tawau Sabah.

 

Penganalisisan terhadap fail kes bertujuan untuk mendapatkan maklumat sosio-demografi seperti jantina, umur, status kewarganegaraan pemohon 1 dan 2, negara pemohon 1 dan 2, pekerjaan pemohon 1 dan 2 dan dokumen yang diperlukan oleh mahkamah dalam kes permohonan pengesahan nikah. Manakala analisis terhadap statut amat penting untuk meneliti punca kuasa dan bidang kuasa yang berkaitan dengan kajian dari perspektif undang-undang dan hukum syarak.

 

 

 

Kaedah kualitatif pula melibatkan temu bual secara mendalam dengan pegawai agensi luar seperti pegawai di JAKIM, Jabatan Imigresen, Bahagian Perundangan Keluarga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Wisma Putra dan wakil komuniti orang pelarian. Di samping itu kaedah kualitatif juga melibatkan perbincangan kumpulan fokus bersama pegawai UNHCR, JAWI (Bahagian Nikah, Cerai dan Rujuk) dan  hakim syarie seramai 11 orang serta 4 orang ketua pendaftar.

 

Kajian ini menggunakan reka bentuk gabungan secara berturutan yang melibatkan dua fasa seperti berikut:-

 

i.      Fasa pertama  : Analisis dokumen yang meliputi rujukan terhadap statut dan penganalisisan terhadap fail kes yang telah ditetapkan.                  

ii.     Fasa kedua  : kajian kualitatif melibatkan perbincangan kumpulan fokus dan individu yang terlibat serta maklum balas secara bertulis daripada Ketua Pendaftar JKSN/MSN melibatkan pendirian mahkamah sama ada menerima atau menolak permohonan pendaftaran nikah warganegara asing atau orang pelarian.

 

 

            3.1.1   FASA PERTAMA

Fasa pertama kajian melibatkan analisis dokumen yang meliputi rujukan terhadap statut dan penganalisisan terhadap fail kes yang telah ditetapkan dengan menggunakan borang maklumat kes untuk mengumpulkan data daripada sampel kajian.

 

            3.1.2   BORANG MAKLUMAT KES

Pasukan penyelidik telah membina item-item bagi setiap bahagian di dalam borang maklumat kes untuk mengumpulkan data daripada sampel kajian. Secara ringkas kandungan borang maklumat kes terdiri daripada (tujuh) 7 bahagian seperti yang ditunjukkan di dalam jadual 1 di bawah:-

 

Jadual 1: Kandungan borang maklumat kes

Bil

Bahagian

Pengukuran

Bilangan item

1

Bahagian Ā

Maklumat Am fail kes

8

2

Bahagian B1

Bahagian B2

Status Pemohon 1 dan 2

Negara Pemohon 1 dan 2

5

1

3

Bahagian C

 Pekerjaan Pemohon 1 dan 2

6

4

Bahagian D

Khidmat Guaman

4

5

Bahagian E

Dokumen yang diguna pakai oleh mahkamah

11

6

Bahagian F

Status Kes

2

7

Bahagian G

Rujukan Mahkamah

4

Jumlah

41

 

 

            3.2       POPULASI DAN PERSAMPELAN

Populasi bagi kajian ini adalah terdiri daripada 2393 kes permohonan pengesahan nikah yang melibatkan warganegara asing seluruh Malaysia dari tahun 2006-2010. Manakala hanya  1081 kes dijadikan sebagai sampel. Antara lokasi yang dipilih ialah di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MSWPKL), MRS Batu Pahat Johor, MRS Bandaraya di Georgetown dan  MRS Seberang Perai Utara Kepala Batas, Pulau Pinang, MRS Dungun, MRS Kuala Terengganu, MRS Besut dan MRS Kuala Berang , Terengganu, MRS Gombak Barat, Selangor dan MRS Tawau Sabah yang mewakili seluruh Malaysia.

 

Pemilihan lokasi adalah berdasarkan bilangan statistik tertinggi dari tahun 2006-2010 yang diperoleh daripada Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi, JKSM.

 

Berdasarkan Jadual Penentuan saiz sampel oleh Krejcie & Morgan (1970), daripada jumlah populasi yang diperoleh sebanyak 2393 sekurang-kurangnya 331 responden adalah memadai untuk mewakili populasi yang besar[18]. Walau bagaimana pun, penyelidik membuat keputusan untuk memilih sebanyak 1081 fail kes secara rawak sebagai sampel kajian. Jumlah sampel kajian ini telah melebihi sampel yang dikehendaki.

 

 

            3.3       ANALISIS DATA FASA PERTAMA           

        Data dari borang maklumat kes dipindahkan kepada komputer menggunakan perisian Statistical Package For Social Science (SPSS) versi 18. Manakala penganalisisan data dibuat dengan menggunakan statistik deskriptif.

 

 

           3.4       FASA KEDUA

     Fasa kedua kajian dilakukan secara kualitatif melibatkan temu bual bersama pegawai agensi luar seperti pegawai di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Imigresen, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Wisma Putra, mantan Ketua Pendaftar MSWP KL dan wakil orang pelarian yang menetap di Selayang, Selangor. Temu bual juga dibuat secara berkumpulan atau dikenali sebagai focus group discussion (FGD) kepada pegawai Bahagian Nikah Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), pegawai United Nation High Commissioner Refugees (UNHCR), hakim syarie seramai 11 orang  serta 3 orang ketua pendaftar. Kajian ini dibuat untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, mengetahui permasalahan dan mendapatkan cadangan penambahbaikan bagi kajian ini.

 

Perbincangan secara berkumpulan telah dijalankan di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor, Pejabat UNHCR Kuala Lumpur, Jabatan Kehakiman Syariah Pulau Pinang dan Jabatan Kehakiman Syariah Sabah serta JAWI.

 

Fasa kedua kajian ini juga turut mendapatkan maklum balas secara bertulis melibatkan pendirian mahkamah syariah seluruh Malaysia.

 

Borang maklum balas telah diedarkan kepada Ketua Pendaftar JKSN/MSN Seluruh Malaysia bagi mendapatkan maklumat berkenaan pendirian mahkamah syariah sama ada menerima atau menolak permohonan pendaftaran nikah bagi warga negara asing atau orang pelarian Rohingya/ UNHCR.

 

Maklum balas ini dilaksanakan rentetan terdapat cadangan penambahbaikan semasa pembentangan laporan awal kajian ini bertarikh 8 Mac 2012 bertujuan bagi melengkapkan hasil laporan kajian ini.

 

 

            3.5       PENGUMPULAN DATA DAN ANALISIS DATA KEDUA

Setiap perbincangan di dalam kumpulan fokus yang telah dijalankan mengambil masa selama 1 hingga 2 jam setengah. Temu bual bersama kumpulan fokus ini membuka ruang kepada responden memberi pandangan dan cadangan mereka berkenaan persoalan yang diajukan. Segala pandangan dan percakapan mereka telah dirakam dengan alat perakam yang mana penyelidik perlu memindahkan maklumat verbal kepada bentuk penulisan bagi memudahkan penyelidik membuat analisis berdasarkan pandangan mereka. Isu-isu yang ditimbulkan di dalam sesi perbincangan kumpulan fokus ini seperti berikut:-

 

                  i.        Punca kuasa atau peruntukan undang-undang yang terpakai di dalam pengesahan nikah warganegara asing, orang pelarian Rohingya/orang  pelarian UNHCR.

 

                ii.         Masalah dan halangan yang timbul di dalam pengesahan nikah warganegara asing, orang pelarian Rohingya/orang pelarian UNHCR.

 

               iii.        Implikasi perkahwinan warganegara asing, orang pelarian Rohingya/orang pelarian UNHCR di Malaysia.

 

               iv.        Cadangan yang boleh membantu dalam menangani masalah pengesahan nikah warga negara asing, orang  pelarian Rohingya/orang  pelarian UNHCR.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

BAB 4

DAPATAN KAJIAN

 

 

            4.0       PENDAHULUAN

   Oleh kerana kajian ini dibahagikan kepada dua fasa seperti yang dijelaskan dalam Bab 3, maka dapatan kajian juga dibahagikan kepada dua bahagian seperti berikut:-

 

i.        Dapatan fasa pertama – analisis dokumen terhadap statut dan fail kes

ii.      Dapatan fasa kedua – analisis kajian kualitatif

 

4.1       DAPATAN FASA PERTAMA

   Dapatan fasa pertama kajian adalah berdasarkan data yang diperoleh daripada borang maklumat kes. Daripada sejumlah 2393 fail kes permohonan pengesahan nikah yang disasarkan sebanyak 1081 fail kes yang melibatkan permohonan pengesahan nikah warganegara asing dan orang pelarian daripada tahun 2006-2010 berjaya dianalisis. Dapatan pada fasa pertama ini dibahagikan kepada 7 bahagian seperti berikut:-

 

i.              Ciri sosio-demografi responden

ii.            Status Pemohon 1 dan 2

iii.           Negara Pemohon 1 dan 2

iv.           Pekerjaan Pemohon 1 dan 2

v.            Khidmat Guaman

vi.           Dokumen yang diguna pakai oleh mahkamah

vii.          Status Kes

viii.         Rujukan Mahkamah

 

 

4.1.1   Ciri sosio-demografi responden

Ciri sosio-demografi adalah maklumat am atau latar belakang responden. Dalam kajian ini, maklumat sosio-demografi responden yang dikumpulkan adalah umur pemohon 1 dan 2, jantina pemohon 1 dan 2 dan lokasi kajian.

 

a.         Umur

 

Berdasarkan Jadual 2, daripada 1081 kes pengesahan nikah yang melibatkan warganegara asing dan orang pelarian, pemohon 1 yang berumur dalam lingkungan 41 tahun ke atas mencatatkan peratus tertinggi iaitu sebanyak 45.4% dan pemohon yang berumur kurang daripada 18 tahun mencatatkan peratus terendah iaitu sebanyak 0.6%. Jadual 2 di bawah menunjukkan taburan umur pemohon 1.

 

Jadual 2: Taburan Umur Pemohon 1

UMUR PEMOHON 1

Umur

Bil

%

<18

6

.6

19-30

225

20.8

31-40

325

30.1

>41

491

45.4

Tidak dinyatakan

34

3.1

Jumlah

1081

100.0

 

 

Kajian mendapati pemohon 2 yang berumur antara 31-40 tahun merupakan pemohon yang mencatatkan peratus tertinggi iaitu sebanyak 43.9%. Walau bagaimanapun pemohon yang berumur kurang daripada 18 tahun merupakan pemohon yang terendah sama seperti pemohon 1 iaitu sebanyak 0.4%  Jadual 3 di bawah menunjukkan taburan umur pemohon 2.

 

Jadual 3: Taburan umur Pemohon 2

UMUR PEMOHON 2

Umur

Bil

%

<18

4

.4

19-30

353

32.7

31-40

475

43.9

>41

188

17.4

Tidak dinyatakan

61

5.6

Jumlah

1081

100.0

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

b.    Perbandingan umur dengan jantina di antara Pemohon 1 dan Pemohon 2

 

Jadual 4 di bawah menunjukkan lelaki yang berumur melebihi 41 tahun lebih cenderung berkahwin di luar negara dengan warganegara asing dan orang pelarian iaitu sebanyak 43.4%. Manakala 8.1% adalah pemohon wanita berumur lingkungan 19-30 tahun. Walau bagaimanapun 34 pemohon tidak dinyatakan umurnya.

 

Jadual 4: Perbandingan umur dan jantina Pemohon 1

Perbandingan Umur Dan Jantina Pemohon 1

Umur Pemohon 1

Jantina pemohon1

Jumlah

% Di Antara Jantina Pemohon 1

L

%

P

%

<18

1

.1

5

.5

6

.6%

19-30

140

13.4

85

8.1

225

21.5%

31-40

249

23.8

76

7.3

325

31.0%

>41

454

43.4

37

3.5

491

46.9%

Jumlah

844

80.6

203

19.4

1047

100.0%

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Manakala bagi pemohon 2, lelaki dan wanita yang berumur dalam lingkungan 31-40 tahun merupakan individu yang mempunyai peratus tertinggi dalam kes ini iaitu 9.0% bagi pemohon lelaki dan 37.5% bagi pemohon wanita seperti yang ditunjukkan di dalam jadual 5 di bawah. Walau bagaimanapun 61 pemohon 2 tidak dinyatakan umurnya.

 

Jadual 5: Perbandingan umur dan jantina Pemohon 2

Perbandingan Umur Dan Jantina Pemohon 2

Umur Pemohon 2

Jantina pemohon 2

Jumlah

% Di Antara Jantina Pemohon 2

L

%

P

%

<18

0

.

4

.4

4

.4%

19-30

55

5.4

298

29.2

353

34.6%

31-40

92

9.0

383

37.5

475

46.56%

>41

48

4.7

140

13.7

188

18.43%

Jumlah

195

19.1

830

80.9

1020

100.0%

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

c.         Jantina Pemohon 1 dan 2

 

Pemohon 1 merupakan individu yang memulakan prosiding atau individu yang memulakan pendaftaran kes. Manakala pemohon 2 kebiasaannya pasangan kepada pemohon 1. Berdasarkan kajian daripada 1081 sampel fail kes yang dianalisis didapati lelaki lebih mendominasi sebagai pemohon 1 yang mana seramai 870 orang (80.5%) daripada keseluruhan permohonan. Manakala selebihnya iaitu 211 orang (19.5%) adalah perempuan seperti yang ditunjukkan di dalam jadual 6 di bawah.

 

 

                                                                                                                 

                                                                                                                 

Jadual 6 : Bilangan Jantina Pemohon 1

Jantina

Bil

Peratus

Lelaki

870

80.5

Perempuan

211

19.5

Jumlah      

1081

100.0

 

 

Manakala wanita lebih ramai sebagai pemohon 2 di dalam kes ini iaitu sebanyak 80.5% manakala lelaki sebagai pemohon kedua hanya 19.5%. seperti yang ditunjukkan di dalam jadual 7 di bawah.

 

Jadual 7: Bilangan Jantina Pemohon 2

Jantina

Bilangan

Peratus

Lelaki

211

19.5

Perempuan

870

80.5

Jumlah

1081

100.0

 

 

d.         Lokasi Kajian

 

Kajian mendapati daripada 1081 sampel yang melibatkan kes permohonan pengesahan nikah warganegara asing dan orang  pelarian didapati MSWP KL mencatatkan peratus tertinggi sebanyak 61.9% diikuti dengan negeri Terengganu (MRS Kuala Terengganu, Dungun, Besut dan Kuala Berang) sebanyak 15.7%. Carta 8 menunjukkan taburan peratus mahkamah yang mendengar kes permohonan pengesahan nikah warganegara asing dan orang  pelarian dalam kajian ini.

 

 

 

Carta 8: Peratus Mahkamah Yang Mendengar Permohonan Pengesahan Nikah Warganegara Asing Dan Orang  Pelarian

 

 

e.         Mahkamah Yang Menerima Pendaftaran Warganegara Asing

 

Kajian mendapati semua negeri seperti yang dinyatakan di atas menerima pendaftaran permohonan pengesahan nikah yang melibatkan warganegara asing yang mana MSWP Kuala Lumpur mencatatkan bilangan tertinggi bagi pemohon 1 dan 2 seramai 674 orang, diikuti 162 orang di negeri Terengganu. Manakala negeri Selangor mencatatkan bilangan terendah iaitu sebanyak 22 kes sahaja. Jadual 9 menunjukkan bilangan warganegara asing yang mendaftar di negeri-negeri tersebut.

 

 

 

 

 

Jadual 9: Taburan mahkamah yang menerima pendaftaran kes permohonan pengesahan nikah daripada warganegara asing

 

 

Mahkamah Kajian

Pemohon 1

Pemohon2

Jumlah

MRS Kuala Lumpur

47

627

674

MRS Batu Pahat

2

59

61

MRS Tawau Sabah

16

39

55

MRS Bandaraya, Jawi dan Kepala Batas Pulau Pinang

2

70

72

MRS Dungun, Kuala Berang,Besut, Kuala Terengganu,Terengganu

5

157

162

MRS Gombak Barat, Kuang Selangor

0

22

22

Jumlah

72

974

1046

 

 

 

f.          Mahkamah Yang Mempunyai Pendaftaran Kes Permohonan Pengesahan Nikah Daripada Orang  Pelarian

 

Kajian mendapati hanya 3 buah negeri yang mempunyai pendaftaran permohonan pengesahan nikah yang melibatkan orang pelarian yang mana MRS Tawau Sabah mencatatkan bilangan tertinggi iaitu seramai 27 orang. manakala bagi negeri Terengganu seramai 5 orang dan Pulau Pinang seramai 3 orang pemohon. Jadual 10 di bawah menunjukkan taburan bilangan mahkamah yang menerima pendaftaran pengesahan nikah yang melibatkan orang  pelarian.

 

 

 

 

 

 

            Jadual 10: Taburan mahkamah  yang menerima pendaftaran orang  pelarian UNHCR/Rohingya

Mahkamah Kajian

Pemohon 1

Pemohon2

Jumlah

MRS Kuala Lumpur

0

0

0

MRS Tawau Sabah

10

17

27

MRS Batu Pahat

0

0

0

MRS Bandaraya, Jawi dan Kepala Batas Pulau Pinang

0

3

3

MRS Dungun, Kuala Berang,Besut, Kuala Terengganu,Terengganu

2

3

5

MRS Gombak Barat, Kuang Selangor

0

0

0

Jumlah

12

23

35

 

 

         4.1.2.     Status Pemohon 1 dan Pemohon 2

Kajian mendapati warganegara Malaysia merupakan bilangan pemohon 1 tertinggi di dalam permohonan pengesahan nikah iaitu sebanyak  61.7% (667). Ini diikuti oleh warganegara asing yang telah mendapat status pemastautin tetap atau (PR) sebanyak 30.5% (327). Manakala orang pelarian Rohingya merupakan pemohon yang paling rendah peratusnya iaitu 0.2% (2). Jadual 11 di bawah menunjukkan taburan pemohon 1 mengikut status.

 

Jadual 11: Taburan Pemohon 1 mengikut status

Status

Bil

%

Malaysia

667

61.7

Asing

72

6.7

Pemastautin Tetap

330

30.5

Orang pelarian UNHCR

10

.9

Orang pelarian Rohingya

2

.2

Jumlah

1081

100.0

 

 

 

 

 

 

 

Manakala warganegara asing mencatatkan peratus tertinggi sebagai pemohon 2 iaitu 90.4% (974). Orang pelarian Rohingya mencatat peratus terendah sebagai pemohon 2 iaitu sebanyak 0.5% (5). Jadual 12 di bawah menunjukkan taburan pemohon 2 mengikut status. Walau bagaimanapun terdapat 4 pemohon tidak dinyatakan status pemohon.

 

Jadual 12: Taburan Pemohon 2 mengikut status

Status

Bil

%

Malaysia

44

4.1

Warganegara Asing

974

90.4

Pemastautin Tetap

36

3.3

Orang  pelarian UNHCR

18

1.7

Orang  pelarian Rohingya

5

.5

Jumlah

1077

100.0

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Jadual 13 di bawah mendapati warganegara Malaysia ramai yang berkahwin dengan warganegara asing jika dibandingkan dengan pemastautin tetap dan orang pelarian iaitu sebanyak 630. Manakala pemastautin tetap lebih cenderung berkahwin dengan warganegara asing jika dibandingkan dengan warganegara Malaysia dan orang pelarian iaitu sebanyak 309.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Jadual 13: Perbandingan status antara Pemohon 1 dan Pemohon 2

Status  Pemohon 1

Status  Pemohon 2

Malaysia

Asing

PR

Orang  pelarian UNHCR

Orang  pelarian Rohingya

Jumlah

 

Malaysia

0

630

16

14

3

663

 

Warganegara Asing

31

34

5

2

0

72

 

Pemastautin Tetap

6

309

15

0

0

330

 

Orang pelarian UNHCR

7

1

0

2

0

10

 

Orang pelarian Rohingya

0

0

0

0

2

2

 

Jumlah

44

974

36

18

5

1077

 

 

 

         4.1.3.     Negara Pemohon 1 dan 2

 

Kajian mendapati pemohon 1 yang mempunyai peratus tertinggi di dalam permohonan pengesahan nikah yang melibatkan warganegara asing dan orang  pelarian ialah warganegara Malaysia iaitu sebanyak 61.7% (667) dan diikuti oleh warganegara Indonesia sebagai pemohon 1 tertinggi iaitu 29.7 % (321). Manakala peratus paling rendah iaitu 0.2% (2) adalah daripada negara Myanmar. Lain-lain negara seperti Singapura, Pakistan, Brunei, Croatia, Iran, Jepun, Maldives dan Sepanyol. Jadual 14 di bawah menunjukkan taburan pemohon 1 mengikut negara.

 

 

 

 

 

 

 

Jadual 14: Taburan pemohon 1 mengikut negara

Negara

Bil

%

Malaysia

667

61.7

Indonesia

321

29.7

India

45

4.2

Lain-lain

15

1.4

Filipina

14

1.3

Thailand

11

1

Myanmar

2

.2

Tidak dinyatakan

6

.6

Jumlah

1081

100.0

 

 

Manakala bagi pemohon 2, warganegara Indonesia mencatatkan peratus tertinggi iaitu 55.4% (599), diikuti dengan warganegara Thailand sebanyak 15.3%(165). Orang pelarian daripada Myanmar mencatatkan peratus paling rendah iaitu 1.3%(14).  Lain-lain negara ialah seperti Kemboja, Britain, Australia, Sri Lanka, Sudan, Syria, Turki, Rusia, Maghribi, Lebanon, Maldives, New Zealand, Arab Saudi, Singapura, Tanzania, Amerika Syarikat, Algeria, Belarus, Belgium, China, Mesir, Finland, Perancis, Jepun dan Jordan. Jadual 15 di bawah menunjukkan taburan pemohon 2 mengikut negara.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Jadual 15: Taburan pemohon 2 mengikut negara

Negara

Bil

%

Indonesia

599

55.4

Thailand

165

15.3

India

95

8.8

Malaysia

44

4.1

Filipina

41

3.8

Bangladesh

27

2.5

Pakistan

23

2.1

Myanmar

14

1.3

Lain-Lain

49

4.5

Tidak dinyatakan

24

2.2

Jumlah

1081

100.0

                                                         

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

           

            4.1.4   Dokumen Yang Diguna pakai Oleh Mahkamah

Kajian mendapati dokumen yang diterima pakai oleh mahkamah di dalam pendaftaran dan pendengaran kes permohonan pengesahan nikah adalah seperti berikut:-

                              i.                Kad pengenalan

                            ii.                Pasport

                           iii.                Surat pengesahan status dari kedutaan

                           iv.                Sijil nikah luar negara

                            v.                Surat pengesahan permastautinan

                           vi.                Surat daripada Majlis Agama yang mengeluarkan sijil nikah luar negara

                          vii.                Kad UNHCR

                         viii.                Surat keterangan nikah daripada Konsulat

                           ix.                Visa

                            x.                Terjemahan surat nikah (jika perlu)

            4.1.5.  Rujukan Mahkamah

 

Berdasarkan kajian yang dijalankan terdapat hakim syarie yang mencatatkan bidang kuasa yang dirujuk sama ada melalui nas-nas syarak atau berdasarkan statut yang terpakai di dalam penerimaan dan pendengaran kes permohonan pengesahan nikah yang melibatkan warganegara asing dan orang pelarian. Antaranya adalah seperti berikut:-

 

                     i.        Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303)

 

·                     Seksyen 4 - Pemakaian

Kecuali sebagaimana diperuntukkan dengan nyata selainnya, Akta ini terpakai bagi semua orang Islam yang tinggal dalam Wilayah Persekutuan dan bagi semua orang Islam yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan tetapi tinggal di luar Wilayah Persekutuan.

 

·   Seksyen 6 - Perkahwinan yang masih berterusan hendaklah disifatkan sebagai didaftarkan di bawah Akta ini dan boleh dibubarkan hanya di bawah Akta ini.

(1) Tiada apa-apa jua dalam Akta ini boleh menyentuh sahnya sesuatu perkahwinan Islam yang telah diakadnikahkan di bawah mana-mana jua undang-undang di mana-mana jua pun sebelum tarikh yang ditetapkan.

 

(2) Perkahwinan sedemikian, jika sah di bawah undang-undang yang di bawahnya ia telah diakadnikahkan, hendaklah disifatkan sebagai didaftarkan di bawah Akta ini.

 

(3) Tiap-tiap perkahwinan sedemikian, melainkan jika tidak diakui di bawah undang-undang yang di bawahnya ianya telah diakadnikahkan, hendaklah berterusan sehingga dibubarkan.

                    ii.        Seksyen 12 in pari materia dengan seksyen 12 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003(EUUKIS) dan fasal 12 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Johor 2003 (EUUKIJ).

 

·      Perkahwinan yang tidak boleh didaftarkan

1) Sesuatu perkahwinan yang bersalahan dengan Akta ini tidak boleh didaftarkan di bawah Akta ini.

 

2) Walau apa pun subseksyen (1) dan tanpa menjejaskan seksyen 40(2), sesuatu perkahwinan yang telah diupacarakan berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian ini tetapi sebaliknya sah mengikut Hukum Syarak boleh didaftarkan di bawah Akta ini dengan perintah daripada Mahkamah.

 

·   Seksyen 25 - Pendaftaran

Perkahwinan selepas tarikh yang ditetapkan tiap-tiap orang yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan dan perkahwinan tiap-tiap orang yang tinggal di luar negeri tetapi bermastautin dalam Wilayah Persekutuan hendaklah didaftarkan mengikut Akta ini.

 

·   Seksyen 31 - Pendaftaran perkahwinan luar negeri oleh orang yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan.

1) Jika seseorang yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan telah berkahwin di luar negeri dengan sah mengikut Hukum Syarak, bukannya satu perkahwinan yang didaftarkan di bawah seksyen 24, maka orang itu hendaklah, dalam masa enam bulan selepas tarikh perkahwinan itu, hadir di hadapan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Rujuk' Orang Islam yang berhampiran sekali atau yang terdapat dengan paling senang di luar negeri untuk mendaftarkan perkahwinan itu, dan perkahwinan itu, setelah didaftarkan, hendaklah disifatkan sebagai didaftarkan di bawah Akta ini.

 

2) Jika sebelum tamat tempoh enam bulan itu salah satu atau kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu dijangkakan akan kembali ke Wilayah Persekutuan dan perkahwinan itu belum didaftarkan di luar negeri, maka pendaftaran perkahwinan itu hendaklah dibuat dalam masa enam bulan selepas salah satu atau kedua-dua pihak itu mula-mula sampai di Wilayah Persekutuan dengan cara pihak itu atau kedua-dua pihak itu hadir di hadapan mana-mana Pendaftar dalam Wilayah Persekutuan dan :-

(a) mengemukakan kepada Pendaftar itu surat perakuan nikah atau apa-apa keterangan, sama ada lisan atau dokumentar, yang boleh memuaskan hati Pendaftar bahawa perkahwinan itu telah berlaku;

(b) memberi apa-apa butir sebagaimana yang dikehendaki oleh Pendaftar untuk pendaftaran sewajarnya perkahwinan itu; dan

(c) memohon dalam borang yang ditetapkan supaya perkahwinan itu didaftarkan dan menandatangani akuan di dalamnya.

 

3) Pendaftar boleh mengecualikan satu daripada pihak-pihak itu daripada hadir jika dia berpuas hati bahawa ada sebab-sebab yang baik dan cukup bagi pihak itu tidak hadir dan dalam hal yang demikian catatan dalam Daftar Perkahwinan hendaklah termasuk suatu pernyataan tentang sebab pihak itu tidak hadir.

 

4) Selepas sahaja pendaftaran sesuatu perkahwinan di bawah seksyen ini, satu salinan sah catatan dalam Daftar Perkahwinan yang diperakui dan ditandatangani oleh Pendaftar hendaklah diserahkan atau dihantar kepada suami dan satu salinan lagi kepada isteri, dan satu lagi salinan sah yang diperakui hendaklah dihantar, dalam tempoh sebagaimana yang ditetapkan, kepada Ketua Pendaftar yang hendaklah menyebabkan semua salinan-salinan yang diperakui itu dijilid bersama untuk menjadi Daftar Perkahwinan Orang Islam Luar Negeri.

 

5) Jika pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan yang dikehendaki didaftarkan di bawah seksyen ini tidak hadir di hadapan Pendaftar dalam tempoh yang dinyatakan dalam subseksyen (1), perkahwinan itu boleh, atas permohonan kepada Pendaftar, didaftarkan kemudian setelah dibayar apa-apa penalti yang ditetapkan

 

·   Seksyen 33 - Pendaftaran sukarela perkahwinan-perkahwinan orang Islam yang diakadnikahkan dahulunya di bawah mana-mana undang-undang.

1) Walau apa pun peruntukan seksyen 6 dan seksyen 31, pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan mengikut Hukum Syarak yang diakadnikahkan di bawah mana-mana undang-undang sebelum atau

 selepas tarikh yang ditetapkan boleh, jika perkahwinan itu belum didaftarkan, memohon pada bila-bila masa kepada Pendaftar dalam borang yang ditetapkan untuk didaftarkan perkahwinan itu.

 

2) Pendaftar boleh menghendaki pihak-pihak kepada perkahwinan itu hadir di hadapannya dan mengemukakan apa-apa keterangan yang dikehendakinya mengenai perkahwinan itu, sama ada lisan atau dokumentar, dan memberi apa-apa butir lain sebagaimana yang dikehendaki olehnya.

 

3) Pendaftar boleh, setelah puas hati tentang kebenaran pernyataan-pernyataan yang terkandung dalam permohonan itu, mendaftarkan perkahwinan itu dengan mencatatkan butir-butir mengenainya dalam Daftar Perkahwinan yang ditetapkan bagi maksud ini.

 

4) Catatan perkahwinan dalam Daftar Perkahwinan itu hendaklah ditandatangani oleh Pendaftar yang membuat catatan itu dan oleh kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu, jika dapat hadir, jika tidak, oleh mana-mana satu pihak yang hadir di hadapan Pendaftar.

5) Selepas perkahwinan itu didaftarkan, satu salinan catatan dalam Daftar Perkahwinan yang diperakui dan ditandatangani oleh Pendaftar dan dimeterai dengan meterai jawatannya hendaklah diserahkan atau dihantar kepada suami dan satu salinan lagi kepada isteri dan satu salinan ketiga hendaklah dihantar kepada Ketua Pendaftar.

 

6)Pendaftar tidak boleh mendaftarkan sesuatu perkahwinan di bawah seksyen ini jika dia berpuas hati bahawa perkahwinan itu adalah tidak diakui di bawah Akta ini.

 

·         Seksyen 40 - Kesalahan-kesalahan berhubungan dengan akad nikah perkahwinan

1) Seseorang yang dengan diketahuinya mengakadnikahkan atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai mengakadnikahkan atau menjalankan upacara sesuatu perkahwinan:-

(a) tanpa ada kebenaran berkahwin sebagaimana dikehendaki oleh seksyen 19; atau

(b) di hadapan selain dari di hadapan sekurang-kurangnya dua orang saksi yang boleh dipercayai di samping orang yang mengakadnikahkan perkahwinan itu, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

 

2) Seseorang yang berkahwin atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai akad nikah atau yang menjalani sesuatu cara akad nikah dengan sesiapa jua berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

 

·         Seksyen 108 - Pengiktirafan perkahwinan orang Islam yang dilakukan di luar Wilayah Persekutuan.

1) Sesuatu perkahwinan orang Islam yang dilakukan di luar Wilayah Persekutuan, lain daripada perkahwinan yang diakadnikahkan di sesuatu Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi, atau Pejabat Konsul Malaysia di bawah seksyen 24 hendaklah diiktiraf sebagai sah bagi segala maksud Akta ini jika-

(a) perkahwinan itu telah dilakukan mengikut cara yang dikehendaki atau dibenarkan oleh undang-undang tempat di mana ia telah dilakukan;

(b) tiap-tiap satu pihak itu ada mempunyai, pada masa perkahwinannya itu, keupayaan berkahwin di bawah undang-undang tempat bermastautinnya; dan

(c) jika salah satu pihak itu adalah seorang pemastautin di Wilayah Persekutuan, kedua-dua pihak ada mempunyai keupayaan berkahwin mengikut Akta ini.

 

                   iii.        Enakmen Undang-undang Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu 1985(EUUPKI)

 

·         Seksyen 10 - Perkahwinan tak sah

Sesuatu perkahwinan adalah tak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, menurut Hukum Syara', untuk menjadikannya sah.

 

·         Seksyen 11 - Persetujuan dikehendaki

Sesuatu perkahwinan adalah tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini melainkan kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu telah bersetuju terhadapnya, dan sama ada-

(a) wali pihak perempuan telah bersetuju terhadap perkahwinan itu mengikut Hukum Syara'; atau

(b) Hakim Syar'i yang mempunyai bidang kuasa di tempat di mana pihak perempuan itu bermastautin atau seseorang yang diberi kuasa secara am atau khas bagi maksud itu oleh Hakim Syarie itu telah, selepas penyiasatan wajar di hadapan semua pihak yang berkenaan, memberi persetujuannya terhadap perkahwinan itu sebagai wali Raja mengikut Hukum Syara', persetujuan tersebut boleh diberi jika wali tidak dapat dikesan atau enggan memberi persetujuannya tanpa sebab yang cukup.

 

·         Seksyen 107 - Pengiktirafan perkahwinan orang Islam yang dilakukan di luar Terengganu.

(1) Sesuatu perkahwinan orang Islam yang dilakukan di luar Malaysia, lain daripada perkahwinan yang diakadnikahkan di sesuatu Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi, atau Pejabat Konsul Malaysia di bawah seksyen 22, hendaklah diiktiraf sebagai sah bagi segala maksud Enakmen ini jika ia adalah sah menurut Hukum Syara'.

 (2) Sesuatu perkahwinan orang Islam yang dilakukan di mana-mana Negeri lain di Malaysia hendaklah diiktiraf sebagai sah bagi segala maksud Enakmen ini jika ia adalah sah di bawah undang-undang Negeri itu.

 

 

                  iv.        Arahan Amalan No.9 Tahun 2007

Amalan Pengesahan Perkahwinan Yang Berlawanan Dengan Peruntukan Akta / Enakmen / Ordinan Undang-undang Keluarga Islam

2. Berdasarkan peruntukan sub seksyen 12(2) Akta/Enakmen/ Ordinan Undang-undang Keluarga Islam, Hakim boleh mengesahkan perkahwinan yang telah diupacarakan berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II Akta / Enakmen / Ordinan Undang-undang Keluarga Islam dan membuat perintah mengenai kesahihan perkahwinan tersebut atas permohonan mana-mana pihak untuk tujuan pendaftaran.

 

 

 

         4.2          DAPATAN FASA KEDUA

 

Dapatan fasa kedua adalah berdasarkan data yang dikumpulkan melalui perbincangan kumpulan fokus dengan pegawai JAWI (Bahagian Nikah Cerai dan Rujuk), pegawai UNHCR, hakim syarie dan ketua pendaftar di JKSN/MSN. Perbincangan kumpulan fokus telah diadakan di lima lokasi iaitu Pulau Pinang, Tawau, Sabah, Johor Bahru, Batu Pahat dan Kuala Terengganu. Sesi perbincangan kumpulan fokus juga dijalankan dengan menumpukan isu-isu berikut:-

                              i.                Punca kuasa atau peruntukan undang-undang yang terpakai di dalam pengesahan nikah warganegara asing, orang pelarian Rohingya/orang pelarian UNHCR.

                            ii.                Masalah dan halangan  yang timbul di dalam pengesahan nikah warganegara asing, orang  pelarian Rohingya/orang pelarian UNHCR

                           iii.                Implikasi perkahwinan warganegara asing, orang  pelarian Rohingya/orang pelarian UNHCR yang berlaku di Malaysia.

                           iv.                Cadangan yang boleh membantu dalam menangani masalah pengesahan nikah warga negara asing, orang  pelarian Rohingya/orang  pelarian UNHCR.

 

Analisis data kepada perbincangan kumpulan fokus dapat dibahagikan kepada tujuh (7) bahagian seperti berikut:-

                              i.                Punca kuasa atau peruntukan undang-undang yang terpakai serta prosedur di jabatan di dalam pengesahan nikah warganegara asing, orang pelarian Rohingya/orang pelarian UNHCR.

                            ii.                Pendirian mahkamah yang menerima pendaftaran warganegara asing, orang pelarian Rohingya/orang pelarian UNHCR di dalam permohonan pengesahan nikah.

                           iii.                Pendirian mahkamah yang tidak menerima pendaftaran warganegara asing, orang  pelarian Rohingya/orang pelarian UNHCR di dalam permohonan pengesahan nikah.

                           iv.                Dokumen yang diperlukan atau yang diterima pakai oleh mahkamah di dalam mendengar permohonan pengesahan nikah.

                            v.                Masalah dan halangan  yang timbul di dalam pengesahan nikah warganegara asing,orang  pelarian Rohingya/orang  pelarian UNHCR

                           vi.                Implikasi perkahwinan warganegara asing, orang  pelarian Rohingya/orang  pelarian UNHCR yang berlaku di Malaysia.

                          vii.                Cadangan penambahbaikan yang boleh membantu dalam menangani masalah pengesahan nikah warga negara asing, orang  pelarian Rohingya/orang  pelarian UNHCR.

 

 

           4.2.1     PUNCA KUASA ATAU PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG YANG DIGUNA PAKAI

 

Hasil kajian telah mengenal pasti beberapa punca kuasa dan prosedur yang telah diguna pakai dalam isu berkaitan pengesahan nikah di kalangan warganegara asing atau orang pelarian. Punca kuasa yang dimaksudkan di sini adalah peruntukan undang-undang bertulis sama ada dalam negara atau luar negara, manakala prosedur pula adalah merujuk kepada prosedur yang diguna pakai secara umum di mahkamah syariah mahu pun di agensi-agensi jabatan kerajaan lain. Punca-punca kuasa dan prosedur-prosedur tersebut adalah seperti berikut:

 

4.2.1.1 Hukum Syarak

 

Secara umumnya, sesuatu pernikahan itu adalah sah selagi mana ia memenuhi syarat dan rukun nikah yang digariskan oleh syarak. Oleh yang demikian, selagi mana sesuatu pernikahan di kalangan warga negara asing atau orang pelarian itu mengikut hukum syarak, maka ianya dikira sah. Walau bagaimana pun, sesuatu pernikahan itu hendaklah disahkan di mahkamah dan mahkamah pula akan berpandukan undang-undang bertulis semasa iaitu undang-undang syariah negeri yang sedang berkuat kuasa seperti Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-wilayah Persekutuan 1997 dan lain-lain peruntukan yang berkaitan.

 

Di dalam kes rayuan Rizal bin Solih lwn. Lismawati binti Ahmad Sayuti (kes tidak dilaporkan), mahkamah rayuan dalam penghakimannya telah menyatakan “isu bidang kuasa seseorang hakim atau satu-satu mahkamah bukan hanya sekadar merupakan ketentuan mengikut undang-undang, malah ianya adalah juga melibatkan penghakiman mengikut hukum syarak.” Hakim YA. Tuan Haji Mukhyuddin bin Ibrahim dalam kes ini telah merujuk kitab al-Qada’ fi al-Islam oleh Muhammad Salam Madkhur, terbitan Maṫbacah al-cAlamiyah, Kaherah 1964, m/s 54 iaitu “menurut hukum syarak, untuk menjadikan satu-satunya perkahwinan itu sah hendaklah memenuhi rukun-rukun nikah.”

 

Sehubungan dengan itu, hukum syarak dan undang-undang syariah bertulis sebenarnya adalah berkait rapat di antara satu sama lain. Dalam erti perkataan lain, undang-undang syariah negeri yang diwartakan adalah berdasarkan hukum syarak dan ia tidak boleh bertentangan dengan apa yang telah ditetapkan. Hatta sekiranya terdapat lakuna di dalam peruntukan undang-undang syariah negeri, syarak adalah tempat yang dirujuk.

 

Hasil temu bual yang dijalankan, rata-rata responden telah menyatakan bahawa hukum syarak adalah punca kuasa yang perlu dirujuk memandangkan ia mengatasi undang-undang lain. Ini jelas seperti mana ditegaskan oleh responden-responden berikut :

 

“ Makna kata mana-mana orang-orang Islam dan selagi mana perkahwinan itu menepati hukum syarak maka boleh diiktiraf dari segi undang-undang  kita lah. Itu saja bagi saya, yang penting itu ha… ‘’

“ ...oleh kerana kerajaan sekarang ni bawah Akta Imigresen sebab Akta Imigresen telah buat satu garis panduan bahawa mereka yang tidak..atau sedang permit kerja tidak boleh berkahwin dalam masa..semasa datang bekerja kan tapi perkara itu tidak menjadi satu asas bagi mahkamah untuk mempertimbangkan untuk tidak meluluskan sebab mahkamah berpandukan hukum syarak je dia tidak melihat kepada akta lain dia tidak peduli apa isunya macam PBB tadi…”

 

Selain itu juga, terdapat responden yang berpendapat bahawa kaedah maslahah boleh diguna pakai di samping ijtihad hakim itu sendiri dalam menyelesaikan isu pengesahan nikah di kalangan warganegara asing mahu pun orang  pelarian sebagaimana ditegaskan oleh responden berikut ;

                                                               

“ ...kita meletakkan hukum syarak tu bermastautin tu tak kira dia warganegara ke asalkan dia tu Muslim. Memang daripada China pun daripada China dari Tanah Besar datang ke Terengganu , dia nak wali hakim contohnya, dia nak berkahwin dengan orang Terengganu pun kita terima dan kita beri dia wali hakim atas dasar maslahah…”

 

Selain itu, terdapat juga responden yang berpendapat bahawa isu pengesahan nikah di kalangan warganegara asing dan orang pelarian ini adalah berdasarkan elemen rukun nikah itu sendiri seperti mana ditegaskan berikut:

 

“ Rukun nikah tu sendiri tu tamam, sempurna, status sekali apa benda awak pun, rukun nikah kata sah, sah lah. Kita tak boleh nak tolak. Pokok pangkal dia pada rukun. aaa.. rukun nikah tu yang kita pegang. Tu.. yang saya boleh respond lah…”

 

 

 

 

4.2.1.2   Enakmen Undang-undang Syariah Negeri

 

Perihal atau urusan perkahwinan atau pernikahan adalah di bidang kuasa negeri sepertimana yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan. Sehubungan dengan itu, setiap negeri di Malaysia mempunyai undang-undang Syariah sendiri dan ianya hanya berkuat kuasa di negeri masing-masing.

 

Secara umumnya, tiada peruntukan yang khusus dalam undang-undang syariah negeri di Malaysia ini yang menghalang sesuatu pengesahan pernikahan di kalangan warganegara asing dan orang pelarian itu. Namun begitu, terdapat peruntukan yang jelas dalam undang-undang syariah negeri yang menetapkan prosedur atau tatacara pendaftaran dan pengesahan sesuatu pernikahan. Contohnya, seksyen 11 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) Akta 303 / 1984 telah memperuntukkan:

 

 “sesuatu perkahwinan adalah tak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, menurut Hukum Syarak, untuk menjadikannya sah”.

 

Peruntukan tersebut adalah sama (in pari materia) dengan seksyen 10 Enakmen Undang-undang Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu, Enakmen 12 / 1985. Di dalam satu kes pengesahan nikah di MRS Dungun, Terengganu, No. Kes : 11002-010-0176-2006, Pemohon 1 (perempuan) adalah warganegara Malaysia manakala Pemohon 2 (lelaki) pula merupakan orang pelarian Rohingya di bawah UNHCR. Mahkamah dalam kes ini telah mensabitkan pernikahan di antara pemohon-pemohon adalah sah di sisi hukum Syarak setelah berpuas hati dengan keterangan saksi iaitu merupakan wali Pemohon 1 di samping dokumen-dokumen seperti kad pengenalan, kad dan surat sokongan UNHCR dan surat nikah di Selatan Thailand telah diserahkan sebagai bahan bukti. Selain itu, mahkamah di dalam kes ini telah mengaplikasikan seksyen 10 dan seksyen 105 Enakmen 12 tersebut.

Selain itu, seksyen 10 dan seksyen 107 (1) Enakmen 12 juga telah diguna pakai dalam dua kes pengesahan nikah yang melibatkan orang  pelarian Rohingya di MRS Besut iaitu Kes No. 11001-010-0173-2007 dan 11001-010-0167-2008. Apa yang menariknya, kesemua pemohon dalam kedua-dua kes ini adalah orang  pelarian Rohingya. Dalam erti perkataan lain, pernikahan tersebut adalah sesama orang  pelarian. Mahkamah telah memutuskan bahawa pernikahan yang dilangsungkan dalam kedua-dua kes ini adalah sah di sisi Syarak.

 

Bagi kes no. 11001-010-0167-2008, mahkamah dalam kes ini telah mensabitkan kes pernikahan di antara pemohon adalah sah menurut hukum Syarak dengan berdasarkan mazhab Hanafi. Antara bukti yang dikemukakan dalam kes ini adalah Kad UNCHR, surat pengesahan Qaryah sebagai bukti permastautinan, surat nikah luar negara, surat akuan, surat daripada ABIM dan sijil ijab qabul daripada Jawatankuasa Pusat Pengajian Al-Tariqatul Hanafiah.

 

Selain itu, seksyen 12 (1) Akta 303 telah menyatakan:

 “sesuatu perkahwinan yang bersalahan dengan Akta ini tidak boleh didaftarkan di bawah Akta ini‘’

 

dan subseksyen (2) seksyen yang sama pula memperuntukkan:

 

 walau apa pun subseksyen (1) dan tanpa menjejaskan seksyen 40(2), sesuatu perkahwinan yang telah diupacarakan berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian ini tetapi sebaliknya sah mengikut Hukum Syara' boleh didaftarkan di bawah Akta ini dengan perintah daripada Mahkamah”.

 

Peruntukan tersebut juga in pari materia dengan  peruntukan undang-undang syariah negeri lain seperti seksyen 12, Enakmen 2, tahun 2003 (Selangor) dan seksyen 12 Enakmen 17 Tahun 2003 (Johor). Manakala di Pulau Pinang, terdapat juga dua kes yang melibatkan pengesahan pernikahan di kalangan orang  pelarian Rohingya iaitu No. kes : 07002-010-0692-2006 (MRS Seberang Perai Utara) dan No. kes : 07001-010-0470-2008 (MRS Timur Laut). Mahkamah di dalam kedua-dua kes tersebut telah mensabitkan pernikahan di antara pemohon-pemohon adalah sah mengikut hukum syarak. Mahkamah juga dalam kes ini telah mengguna pakai seksyen 12 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Pulau Pinang yang mana peruntukan tersebut adalah in pari materia dengan seksyen 12 Akta 303.

 

Selain itu, mahkamah syariah juga terikat dengan undang-undang prosedur seperti Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560) dan Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 561) yang menyatakan dengan jelas prosedur-prosedur yang dipatuhi dalam prosiding termasuk kes pengesahan nikah agar sesuatu kes itu berjalan dengan lancar dan mengikut lunas perundangan. Keterangan saksi dan dokumentar yang berkaitan dengan undang-undang keterangan amat penting dalam kes pengesahan nikah lebih-lebih lagi melibatkan pernikahan di luar negara di kalangan warga negara asing mahu pun orang  pelarian.

 

Isu pengesahan pernikahan menjadi lebih rumit bagi orang pelarian memandangkan mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan yang khusus berkaitan dengan sesuatu kenegaraan seperti kad pengenalan dan pasport melainkan kad UNHCR. Justeru, keadaan ini menyukarkan pernikahan mereka disahkan di mahkamah syariah memandangkan ia gagal didaftarkan disebabkan masalah dokumen tersebut. Namun begitu ia bukan satu halangan memandangkan sudah terdapat beberapa kes pengesahan nikah melibatkan pasangan Rohingya yang telah disabitkan sah pernikahan mereka seperti mana kes di MRS Besut, Terengganu.

 

Ringkasnya, isu pengesahan pernikahan di kalangan warganegara asing dan orang pelarian adalah berkait rapat dengan isu bidang kuasa mahkamah yang melibatkan isu permastautinan. Sekiranya mahkamah berbidang kuasa mendengar kes mereka, maka mahkamah tiada masalah dalam mengesahkan pernikahan selagi mana syarat-syarat dan rukun-rukun nikah itu dipatuhi sebagaimana digariskan oleh syarak.

 

Hasil daripada temu bual yang dijalankan juga kebanyakan responden telah menyatakan Enakmen Undang-undang Syariah Negeri hendaklah diguna pakai terutama dalam perkara berkaitan isu permastautinan dan bidang kuasa mahkamah. Secara umumnya, sesuatu perkahwinan bertentangan dengan Enakmen maka tidak boleh didaftarkan sebagaimana dinyatakan oleh responden berikut :

 

“ Isunya di Johor ini mula berbangkit daripada Enakmen Keluarga Islam Negeri Johor, arr Enakmen yang diluluskan tahun 2003 seksyen 12 mengatakan bahawa mana-mana pernikahan yang dilangsungkan yang tidak bertepatan dalam enakmen ini di bawah bahagian 2, maka tidak boleh didaftarkan kecuali dengan pengesahan mahkamah…”

 

Rata-rata responden berpendapat bahawa taraf permastautinan pihak-pihak atau pemohon-pemohon dalam kes pengesahan nikah merupakan syarat penerimaan kes mereka berdasarkan bidang kuasa mahkamah. Ia jelas diperuntukkan dalam Enakmen Undang-undang Syariah Negeri seperti mana dinyatakan oleh responden-responden berikut:

             

“ Kalau seksyen 4 tu sebut orang mastautin, maksudnya siapa sahaja,dia tak sebut tentang warganegara, dia tak sebut tentang dari mana orang tu... dia tak nyatakan pemisahan undang-undang tu... bidang kuasanya er... berdasarkan bukan kewarganegaraan tidak, tapi bidang kuasa undang-undang dalam negeri itu, berdasarkan siapa yang duduk dalam negeri tersebut. Sama ada orang tu rakyat negeri tersebut ataupun bukan. Sesiapa saja. Maknanya kalau duduk kat dalam wilayah Johor, maka tertakluk undang-undang tersebut.”

“ Dalam Seksyen 12 tu untuk pengesahan nikah tu tak ada sedikit pun arahan untuk perintah itu didaftarkan..tak ada arahan pun so kalau lah tujuan dia semata-mata untuk daftarkan nikah tujuan dia tak semestinya Pejabat Agama tak boleh terima sebab perintah mahkamah takde perintah untuk daftar so itu tujuan dia so kalau pengesahan nikah ni tak ada masalah saya ingat tak ada sedikit pun isu-isu untuk sahkan nikah untuk warganegara asing…”

 

“ seksyen 244 ni berkaitan dgn hukum syarak. Hukum syarak makna bila ada lakuna je bila ada kelompangan dalam undang-undang contoh dari segi kes bermastautin tak disebut detail macam mana kita kembali kepada hukum syarak. Hukum syarak bagaimana keadaannya selagi mana dia tu orang Islam kita terima. Bila kita lihat dari segi maslahahnya tatacara mal seksyen 244 hukum syarak memang kita boleh buat lah...”

 

Kenyataan-kenyataan responden di atas pula disokong oleh responden berikut :

 

“ Tiada undang-undang atau enakmen yang mengatakan tidak boleh mengesahkan pernikahan. Sepatutnya selagi hukum syarak dipatuhi, mesti boleh disahkan. Tapi saya rasa tu adalah public policy. Ia bukan sebahagian undang-undang itu sendiri…”

 

“Sebenarnya memang undang-undang syariah mengatakan semua orang Islam adalah tertakluk pada bidang kuasa mahkamah Syariah, tak kisah Islam tu sebagai warganegara asing ataupun tempatan. Selagi dia menganut agama Islam, memang mahkamah syariah berbidang kuasa...”

 

 

 

 

 

4.2.1.3   Arahan Amalan

 

Dalam kes pengesahan pernikahan, Arahan Amalan Bil. 9, tahun 2007 adalah amat relevan dan berkaitan dengan amalan pengesahan pernikahan yang bersalahan dengan Akta. Arahan Amalan tersebut menyatakan bahawa:

 

 “sekiranya pemohon gagal mengemukakan wali, juru nikah, saksi-saksi atau dokumen yang diperlukan, hakim hendaklah menentukan sahnya perkahwinan yang dipohon berdasarkan peruntukkan mengenai qarinah dalam Akta/Enakmen/Ordinan Keterangan Mahkamah Syariah negeri atau Arahan Amalan No. 2 tahun 2006 - Amalan Sumpah Mahkamah Syariah. ‘’

 

Arahan Amalan adalah merupakan arahan-arahan bercetak yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie bagi tujuan penyelarasan pentadbiran kehakiman di Mahkamah Syariah seluruh Malaysia. Hasil daripada temu bual yang dijalankan, terdapat responden yang secara umumnya merujuk Arahan Amalan dalam perkara berkaitan isu pengesahan nikah di kalangan warganegara asing dan orang pelarian sebagaimana dinyatakan berikut :

 

“ Dari segi proses perbicaraan dah ada dalam Arahan Amalan Tahun 2007. Proses perbicaraan pengesahan kahwin.”

 

 

4.2.1.4   Undang-undang Sivil dan Konvensyen Antarabangsa

 

Undang-undang sivil yang dimaksudkan di sini adalah undang-undang di negara ini selain daripada undang-undang Syariah. Dalam kes yang melibatkan orang pelarian dan warganegara asing, undang-undang yang sinonim dengan orang asing ialah Akta Imigresen.

Maklum balas daripada Jabatan Imigresen Malaysia, no rujukan IM.101/HQ-G/1130/1/1-4(97) bertarikh 16 November 2011 menyatakan bahawa jabatan ini telah mengeluarkan Pekeliling Imigresen Terhad bil 10 tahun 2006 yang memberi kuasa kepada Pengarah Imigresen Negeri untuk mengeluarkan surat pengesahan pas oleh pemohon warganegara asing yang ingin berkahwin di Malaysia tidak termasuk pemegang pas lawatan (kerja sementara), Jabatan ini hanya membuat pengesahan bahawa pas yang dipegang adalah sah dan masih berlaku (valid). Jabatan Imigresen tidak boleh membuat apa-apa pengesahan bagi warganegara asing yang berstatus pelarian kerana mereka tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk tinggal di Malaysia.

 

 

Konvensyen 1951 Berkaitan Status Orang Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)

 

Perkara 16 Konvensyen tersebut telah menyatakan bahawa seseorang  rang pelarian itu mempunyai akses ke mahkamah di dalam negara (yang menandatangani konvensyen) yang didiami. Walau bagaimanapun kerajaan Malaysia tidak menandatangani konvensyen tersebut sebagaimana negara lain.[19]

 

Hasil daripada temu bual yang dijalankan, terdapat responden yang secara umumnya merujuk Konvensyen Bagi Status Orang pelarian 1951 (PBB) dalam perkara berkaitan isu pengesahan nikah di kalangan warganegara asing dan orang  pelarian sebagaimana dinyatakan berikut :

                                              

“ Apabila orang pelarian ini dan juga orang  pelarian yang di bawah PBB ini dia seolah-olah ditafsir sebagai orang pelarian dia tiada undang-undang ke atas diri dia dan dia tidak terikat dengan undang- undang di negara itu seolah-olah kalaulah dia nak buat pengesahan nikah undang-undang mana kita nak pakai dan konsep PBB dia tidak terpakai undang-undang ke atas diri dia itu yang dipanggil orang  pelarian. Bagi kes yang kedua orang  pelarian Rohingya dan orang  pelarian bawah PBB ini perkara ini sudah jelas dan ia sudah berdasarkan piagam yang telah digariskan oleh PBB…”

 

“ Jadi perkara ini yang berkaitan sama ada bila dia mai (datang) orang  pelarian ini sama ada untuk bagi mahkamah ini menerima sama ada dia ketika itu personal law undang-undang yang terpakai personal law ini sama ada terpakai kepada dia atau tidak pada ketika itu sebelum mahkamah …sebagai pengalaman untuk membicarakan perkara itu dengan lebih lanjut personal law itu terpakai atau tidak, kalau terpakai fine, dia akan pergi kepada step kedua iaitu hukum syarak dan sebagainya untuk menentukan sama ada undang-undang ini terpakai pada dia atau tidak itu aje bagi saya.”

 

 

4.2.1.5   Prosedur Pendaftaran Kes

                                     

Hasil daripada temu bual yang dijalankan, terdapat juga responden yang secara umumnya berpendapat bahawa permohonan pihak-pihak bagi kes pengesahan nikah di kalangan warganegara asing dan orang pelarian boleh diterima selagi mana mereka Islam dan pemastautin sebagaimana dinyatakan berikut :

 

“ Warganegara asing aa..saya sendiri pun banyak bicara pada tahun 2003 banyak terima kes contohnya dari Thailand, daripada UNHCR pun ada satu dan kita terima sebab dia diperakukan bahawa dia dah tinggal Terengganu melebihi tarikh sekian dan mahkamah menganggap bahawa dia telah bermastautin. Jadi secara overallnya memanglah kita terima dan kita meletakkan hukum syarak tu bermastautin tu tak kira dia warganegara ke asalkan dia tu Muslim…”

 

Ini ditegaskan pula responden-responden berikut :

      

saya setuju, cuma sebab apa-apa pun permohonan, beban bukti atas pemohon buktikan sebab tu pada saya peringkat pendaftaran jangan tolok, kita terima je, cukup syarat kita terima je. asasnya permastautinan dan juga seksyen tadi permastautinan tadi jadi kita terima.

 

“ contohnya dia dapat jugaklah kalau ada I/C merah biasanya yang boleh daftar ni hak yang dapat I/C merah..PR…”

 

 

Hasil kajian juga telah mendapati bahawa bagi kes pengesahan nikah, terdapat hanya satu pemohon sahaja yang merupakan pemastautin negeri tersebut dan pasangannya pula boleh dijadikan saksi bagi kesnya. Ini jelas seperti mana dinyatakan oleh responden berikut :

 

“ kalau boleh direview kes tu mungkin 2006 pandangan dia lain kan, kalau pandangan sekarang ni pemohon dia sorang aje sepatutnya pemohon tu hanyalah pemastautin Pulau Pinang ajelah yang pasangan dia tu jadi saksi tak dinamakan sebagai pemohon lelaki tu sebab kalau pemohon ada dua dia jadi campur-campurlah betul tak…”

 

 

 

 

 

 

 

4.2.1.6            Prosedur Perbicaraan Kes

                                     

Hasil daripada temu bual yang dijalankan, terdapat responden yang secara umumnya menyatakan bahawa keterangan lisan oleh pihak-pihak atau pun saksi-saksi adalah penting dalam membuat keputusan sebagaimana ditegaskan oleh responden berikut :

 

“...setakat ni kita wajib keterangan lisan..”

 

Selain itu juga, mahkamah akan meneliti permohonan pihak-pihak dari sudut permastautinan, dokumentasi, saksi-saksi dan juru nikah dalam membuat sesuatu keputusan bagi kes pengesahan nikah di kalangan warganegara asing dan orang  pelarian sepertimana dinyatakan oleh responden-responden berikut:

                                                                                              

“ Orang yang menentukan wilayah mastautin tu hakim sendiri. Jadi pergi mahkamah, beri keterangan, mahkamah soal, sumpah, jadi kita boleh perintahkan pihak-pihak, tentukan sah ke tak sah…”

 

“ Saya setuju macam tn. K. ambik keterangan dengan saksi-saksinya dan sebagainya. Sebab kalau kita nilai bergantung pada surat nikoh semata-mata tak boleh pakai. Kahwin surat nikah  Songkla tu…”

           

“ Dia orang... kalau dia datang mahkamah pun memang pernikahan itu tak boleh diisbatkan, sebab tak cukup dokumen, tak boleh panggil saksi, tak boleh panggil juru nikah yang mewalikan, jadi kat situ arr... syarat-syarat, prosedur-prosedur yang perlu dilaksanakan, jadi dia nampak kat situ, memang dia tak, kalau dia masuk buat permohonan pun, dia arr.. sia-sia saja…”

 

 

4.2.2   PENDIRIAN MAHKAMAH YANG MENERIMA PENDAFTARAN WARGANEGARA ASING, ORANG  PELARIAN ROHINGYA/ORANG  PELARIAN UNHCR DI DALAM PERMOHONAN PENGESAHAN NIKAH.

 

            Mahkamah yang menerima warganegara asing, orang pelarian Rohingya/orang pelarian UNHCR di dalam permohonan pengesahan nikah menyatakan beberapa sebab dan alasan penerimaan pendaftaran mereka. Antaranya seperti berikut:-

 

i.          Mahkamah syariah boleh mendengar permohonan pengesahan nikah daripada warganegara asing dan orang pelarian jika undang-undang diri terpakai kepada seseorang individu seperti yang dinyatakan oleh responden berikut:

 

“...sebagai pengalaman untuk membicarakan perkara itu dengan lebih lanjut personel law itu terpakai atau tidak kalau terpakai fine dia akan pergi kepada step kedua iaitu hukum syarak dan sebagainya lah kan  untuk menentukan sama ada undang-undang ini terpakai pada dia atau tidak itu aje bagi saya”...

 

            ii.         Mahkamah syariah boleh menerima pendaftaran permohonan pengesahan nikah apabila didapati salah seorang pihak yang memohon adalah di kalangan warganegara Malaysia seperti yang ditegaskan oleh responden berikut:

 

“…Kalau salah satu pihak warganegara Malaysia dia mudah aje sebab isu personel law itu terpakai ke atas diri dia so yang tu kalau dia mohon dia perlu..perkara-perkara yang dia biasa perlu ada seperti surat nikah itu tak jadi masalah yang begitu besar yang jadi masalahnya saya ingat bagi kadang-kadang ianya terbabas ke mahkamah berhubung dengan kedua-duanya warganegara asing...”.

iii.        Pemohon terdiri daripada warganegara asing yang telah mendapat taraf penduduk tetap (PR) sebagaimana yang dinyatakan oleh responden-responden berikut:

 

“Kalau PR kita terima. Anggap dia bermastautin dalam negeri Johor”.

 

“… saya anggap itu, orang itu ar.. warga asing yang berstatus PR arr... termasuk dalam bidangkuasa ar.. boleh.. boleh.. ar... apa... boleh didengar permohonan dia lah, dia termasuk bidangkuasa mahkamah lah...”.

 

            iv.        Mahkamah syariah menerima pendaftaran semua orang Islam tanpa mengira warganegara Malaysia, warganegara asing yang mendapat PR atau tidak atau orang  pelarian asalkan telah bermastautin seperti yang dinyatakan oleh responden-responden berikut:

 

“...permastautinan ni tafsiran asasnya ialah pertama sekali dari segi kita sendiri dia adalah warganegara, yang pertama warganegara Malaysia tu sendiri bermastautin di mana, dan yang kedua kalau dia warganegara asing dia datang ke Malaysia dan dia tinggal sini bermastautin itu bagi kes-kes yg biasa lah. dan dalam masalah permastautinan ni disebabkan takdo tafsiran yg khusus, biasanya kita ada pengesahan jkk, pengesahan drpd ketua mukim bahawasanya dia telah bermastautin di tempat tu berapa lama, berapa lama, kebiasaannya kalau dia buat permohonan di mahkamah, permohonan itu akan diterima lah...”

 

            v.      Perkahwinan warganegara asing dengan warganegara Malaysia boleh didaftarkan di pejabat agama dengan syarat mereka  telah didakwa bawah seksyen 40 (2) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (AUUKIWP) 1984 seperti yang dinyatakan oleh responden berikut:

    “Sekarang ini yang kita terima tiada lagi yang seorang Malaysia dengan seorang warga Rohingya tiada lagi, maknanya kalau berlaku sekalipun kita akan rujuk mungkin kepada KPS, untuk bagaimana sama ada ia tidak menjejaskan 40(2), kalau benda boleh terjejas, maknanya tidak boleh didaftarkan dengan sewajarnya maksud tidak terjejaskan 40(2), seseorang itu menepati kehendak-kehendak yang terkandung dalam Akta 303, kalau di Selangor, ayat dia lain sikit, tapi memberi maksud yang lebih kurang sama, tapi saya tak ingat...”.

 

         vi.          Manakala Jabatan Agama Islam Selangor melalui surat bertarikh 29 November 2011, no rujukan (62) dlm.JAI.Sel.BUUK/02/006 Jld.2 menerima pendaftaran perkahwinan daripada orang pelarian yang mendapat perlindungan daripada UNHCR dengan syarat mereka mematuhi prosedur yang telah ditetapkan seperti berikut:-

a)    memiliki Kad UNHCR;

b)    surat /kad perakuan Islam(jika mualaf);

c)    surat kebenaran berkahwin daripada Pejabat UNHCR;

d)    Sijil Kursus Pra Perkahwinan (jika ada);

e)    surat kebenaran berkahwin daripada Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Negeri Selangor;

f)     keputusan ujian saringan HIV;

g)    2 orang saksi (seorang warganegara Malaysia dan seorang daripada UNHCR);

h)    pengesahan pemastautin tinggal di negeri Selangor tidak kurang daripada 4 hari atau lebih di dalam kariah di mana permohonan dibuat dan surat akuan sumpah berkanun jika status pemohon adalah duda/janda; dan

i)     surat akuan sumpah pernikahan ibu bapa sekiranya pemohon adalah anak sulung atau wali pernikahan adalah abang yang sulung (hanya jika pemohon perempuan).

 

4.2.3   PENDIRIAN MAHKAMAH SYARIAH YANG TIDAK MENERIMA PENDAFTARAN WARGANEGARA ASING, ORANG PELARIAN ROHINGYA/ORANG PELARIAN UNHCR DI DALAM PERMOHONAN PENGESAHAN NIKAH

 

           Berdasarkan temu bual yang dijalankan terdapat pandangan yang pro dan kontra terhadap isu ini. Berikut adalah pendirian mahkamah syariah atau jabatan agama Islam yang tidak menerima pendaftaran warganegara asing, orang  pelarian Rohingya/orang  pelarian UNHCR di dalam permohonan pengesahan nikah:-

 

            i.          Jabatan agama hanya menerima pendaftaran nikah warganegara asing yang mempunyai pas lawatan sosial dan tidak menerima pendaftaran kes bagi warganegara asing yang mempunyai permit kerja sebagaimana yang dinyatakan oleh responden berikut:

“Tapi kalau yang mari dengan pas sosial boleh, tapi yang permit je yang tak boleh..permit macam datang sebagai buruh macam pembantu rumah, kerja kilang, pembantu kedai tu tak boleh”.

                          

“..tapi kalau kerja macam pensyarah tu boleh yang tu datang sebagai..apa tu ha yang tu takde masalah, boleh kahwin tapi dia orang ada jalankan..dia orang balik negara dia tukar dia punya visa dia..dia mari pas lawatan dia bolehlah kahwin tapi dia kena batal dulu dia punya permit sebab dengan permit dia tak boleh kahwin”

 

            ii.         Mahkamah syariah tidak perlu membuat pengesahan nikah warganegara asing sekiranya kedua-dua pemohon warganegara asing telah bernikah di luar negara atau di negara mereka sendiri kerana surat nikah luar negara diiktiraf dan tidak perlu bagi mereka untuk membuat pengesahan nikah di Malaysia seperti yang ditegaskan oleh responden-responden berikut:

 

“Dari awal lagi dah tak leh daftar dah. Itu berdasarkan pemahaman saya tentang pemakaian enakmen ni la. Tak tau pula kalau saya silap… Sebab memang dah surat nikah tu dah diiktiraf, memang betul, kenapa nak mengesahkan lagi?”.

 

Responden seterusnya menyatakan seperti berikut:

                                              

“kadang-kadang banyak permohonan yang kita terima kita tolak berkenaan warganegara asing dia nikah sama-sama depa di Thailand contohnya warganegara Bangla nikah dengan Indonesia nikah di Thailand tapi buat pengesahan di sini banyak kalau di Wilayah, di Selangor masa pengalaman saya di Wilayah dulu pun jadi banyak berlaku, jadi kes seperti itu terlepas ke dewan mahkamah bila kita menyiasat perkara pertama yang menjadi isu utama pada mahkamah ketika itu adalah soal personel law dia pada ketika itu dia tidak terikat langsung dengan undang-undang di Wilayah Persekutuan ataupun undang-undang Pulau Pinang untuk family law pada ketika itu, sebab dia bukan bertujuan domisil, sebab konsep domisil semua diambil kira kerana niat dia datang pada ketika itu adalah untuk bekerja, niat dia kan datang untuk bekerja sebab itu dia dapat pas bekerja, so personal law pada ketika itu tidak terpakai kepada dia kecuali kalau dia datang pada ketika itu memang untuk tinggal menetap di Malaysia, maka personal law terpakai untuk dia”.

 

            iii.        Terdapat jabatan agama Islam yang tidak menerima pendaftaran nikah pemohon yang terdiri daripada orang pelarian kerana tiada dokumen diri seperti yang dinyatakan oleh responden berikut:

“...Yang warganegara asing banyaklah, warga negara Rohingya sebab kita tolak, kita tak terimalah…”.

 

“Ok, bagi permohonan, sekarang ini kita consult kepada Rohingya, permohonan tu ada di JAWI, tetapi kita tidak terimalah permohonan itu disebabkan ada beberapa sebab yang timbul apabila kita nak terima permohonan untuk mendaftarkan perkahwinan sebagainya lah, jadi timbul masalah di situlah, jadi kita tidak terima permohonan itulah, dia lebih kepada masalah sebab kita tengok kepada pengenalan diri, sama ada passport, I/C dan sebagainya yang boleh memberi satu pengenalan diri kepada pemohon yang diterima secara rasminya oleh negara kita, yang terima secara legal di Malaysia kita tengok pada Rohingya ni dia tidak ada pengenalan diri…”

 

 

            iv.        Terdapat jabatan agama Islam yang tidak menerima pendaftaran nikah jika salah seorang pihak tiada dokumen diri seperti yang dinyatakan oleh responden berikut:

 

“...secara biasa prosedur biasa permohonan kahwin ni halangan pihak Rohingya adalah tentang pengenalan diri tu, jadi kalau satu pihak macam, contoh pihak perempuan tak ada pengenalan diri yang kita boleh diiktiraf oleh kerajaan sendiri. Memang kita tidak terima permohonan dan tidak memberi kebenaran berkahwin di sini, setakat inilah, setakat yang saya uruskan seingat saya begitulah…”.

 

            v.         Terdapat jabatan agama Islam yang tidak menerima pendaftaran pernikahan sekiranya kedua-dua pemohon warganegara asing seperti yang dinyatakan oleh responden-responden berikut:

 

“...sekiranya kedua-dua warga asing kita tidak akan mendaftarkan pernikahan di Thailand, Indonesia pada majlis agama tersebut yang mengesahkan pernikahan tersebut.”

           

Responden berikut menjelaskan seperti berikut:

 

“YY: tapi kalau dia dua-dua warga asing bernikah di sini dan dia nak daftar nikah di sini pun tak boleh jugak kan?

Ā: tak boleh jugak kan”.

 

 

4.2.4   MASALAH DAN HALANGAN YANG TIMBUL DALAM PENGESAHAN NIKAH WARGANEGARA ASING, ORANG PELARIAN ROHINGYA/ ORANG PELARIAN UNHCR

 

Hasil analisis data yang didapati melalui perbincangan kumpulan fokus (FGD) di bahagikan kepada lima permasalahan seperti  berikut:-

 

i.              Ketiadaan garis panduan yang jelas

ii.            Masalah Birokrasi/Pentadbiran

iii.           Pentafsiran dan Perundangan (Sivil & Syariah)

iv.           Polisi Wisma Putra berkenaan status orang  pelarian.

 

i.          Ketiadaan garis panduan yang jelas

 

Antara perkara yang dibangkitkan ialah tiada pentafsiran yang jelas terhadap perkataan “mastautin” dan “warganegara” serta tiada garis panduan atau dasar yang jelas berhubung isu pengesahan nikah warganegara asing dalam undang-undang. Garis panduan atau dasar tersebut mestilah berdiri di atas semangat perundangan bertulis sedia ada supaya permasalahan tersebut dapat ditangani berpandukan punca kuasa yang jelas.

Terdapat responden yang menyatakan bahawa ketiadaan pentafsiran yang jelas terhadap perkataan “mastautin” dalam undang-undang sepertimana yang dijelaskan oleh responden berikut:

 

“….Saya pun kalau ikut bicara tak banyok dari segi pengesahan nikah ni tapi saya setuju dengan pendapat sahabat saya tadi. Memang kita bermastautin ni kita takdok satu tafsiran yang jelas, memang apa pun (tak jelas)..”

 

Ketiadaan pentafsiran undang-undang yang jelas juga turut disentuh oleh responden yang lain berhubung pihak-pihak yang ingin mengemukakan apa-apa tuntutan mahu pun permohonan di mahkamah syariah mestilah “warganegara” sepertimana yang dijelaskan oleh responden berikut:

 

“…Undang-undang tidak menafsirkan bahawa dia mesti warganegara…”  

 

Selain daripada itu, terdapat responden yang menyatakan tentang ketiadaan garis panduan atau dasar yang jelas berhubung isu pengesahan nikah warganegara asing, malah ia diputuskan mengikut ijtihad hakim-hakim, terdapat di kalangan mereka yang menerima dan ada yang menolak pengesahan tersebut sepertimana yang dijelaskan oleh responden berikut:

                        

“…Pada ketika itu ada setengah-setengah dia tidak ada garis panduan yang jelas aaa…berkaitan dengan perkara itu jadi oleh kerana itu setengah hakim menerima ada setengah hakim tu menolak..”

 

Responden seterusnya menyatakan:-

“…tak ada. Mungkin hakim berbeza la.. ada hakim terima, ada hakim tak terima”.

 

 

ii.         Masalah Birokrasi Pentadbiran

 

Antara perkara yang dibangkitkan responden ialah masalah pemahaman petugas kaunter terhadap perkembangan undang-undang semasa, arahan-arahan amalan yang dikeluarkan, tidak dapat mendaftarkan kes dan mengesahkan perkahwinan di Kuala Lumpur dan Selangor tetapi di negeri-negeri lain dibenarkan, kad UNHCR tidak digunakan bagi urusan perkahwinan, birokrasi di jabatan agama dan pada masa yang sama tidak menghiraukan perintah yang dikeluarkan mahkamah.

 

Terdapat responden yang menyentuh tentang peranan dan pemahaman petugas kaunter terhadap perkembangan undang-undang semasa dan arahan-arahan amalan yang dikeluarkan sepertimana yang dijelaskan oleh responden berikut:

 

“…bagi pendaftaran bagi pembantu Pendaftar LS17 dia tidak nampak isu-isu perkembangan undang-undang semasa, dia tidak tahu apa garis panduan yang dikeluarkan oleh PBB pada hari ini…”

 

Responden seterusnya menyatakan:-

 

“…Kadang-kadang bagi kebanyakan kes, bukan kes ini saja kes-kes lain pun dia tidak nampak ingredient yang perlu ada contohnya sebagai contohlah ada Arahan Amalan yang dikeluarkan oleh JKSM berkenaan kes-kes faraid munasakhat kes-kes faraid biasa. JKSM telah mengeluarkan arahan kes-kes munasakhat ni pergi ke Mahkamah Tinggi di Mahkamah Rendah dia tidak nampak kes munasakhat itu sedangkan itu seharian sebab kes-kes seperti itu mereka sepatutnya tahu dan itu merupakan kes permohonan biasa di Mahkamah-mahkamah Rendah dan apabila dia nampak dia terus bila dia main-main janji faraid terus aje.. dia tak perasan munasakhat ke apa sebab bidang tugas dia tidak perlu menyiasat pada ketika itu dia hanya datang menerima itu sahaja itu saja dia punya tugas lah…”

 

Isu ketiadaan garis panduan dan dasar yang selari di setiap jabatan agama seluruh negeri juga timbul menyebabkan petugas kaunter tiada maklumat yang jelas hingga mengakibatkan para pelanggan berurusan di kaunter-kaunter yang tidak sepatutnya sepertimana yang dijelaskan oleh responden berikut:

 

“…ini tak konsisten dengan semua negeri. Ada negeri yang tiada masalah. Ada kes dia pergi kat jabatan agama, tapi jabatan agama kemungkinan kurang faham,dia tak tau pasal orang  pelarian ni, so dia macam tak layan sangat la. Dia suruh dia orang ni pergi balik JPN, pergi imigresen,mintak pasport. So, kat situ orang  pelarian ni keliru. Macam tak guna la kalau dorang pergi pejabat agama…” 

 

Terdapat responden yang menyatakan bahawa orang Rohingya tidak dapat mendaftarkan kes serta mengesahkan pernikahan mereka kerana Jabatan Agama Islam di Kuala Lumpur dan Selangor  menerima surat pekeliling dari pihak Imigresen yang menyatakan status mereka hanya sementara sepertimana yang dijelaskan oleh responden berikut:

 

            “…tapi tempat-tempat di Selangor dan Wilayah ni ada dapat surat pekeliling yang mengatakan bahawa memandangkan orang  pelarian ni statusnya adalah status sementara, pernikahannya tidak boleh disahkan dan didaftarkan. Walaupun hukum syarak telah dipatuhi…”

 

Responden seterusnya menyatakan:-

 

            “…Saya rasa dalam 2005, 2006 dari Imigresen. Imigresen yang hantar surat tu, kita tak benarkan orang Rohingya berkahwin dengan orang tempatan sebab mereka takut orang  pelarian akan mohon taraf penduduk tetap. Tapi surat pekeliling tu sepatutnya tak dipatuhi kerana mereka tidak ada kuasa kecuali dari mahkamah..”

 

Sekali lagi isu tidak seragam undang-undang dan dasar juga turut disentuh oleh responden memandangkan terdapat beberapa buah negeri selain Kuala Lumpur dan Selangor menerima pendaftaran kes dan mengesahkan pernikahan mereka tanpa menyentuh beberapa aspek penting dalam hukum syarak sepertimana yang dijelaskan oleh responden berikut:

 

            “…Di sini. Malaysia. Inilah masalah yang serius. Perkahwinan tidak dapat disahkan walaupun ikut hukum syarak, perkahwinan sah. S: kes tu di tolak masa pendaftaran atau dalam mahkamah? D: Masa pendaftaran. Kalau dah masuk mahkamah tu, prosesnya untuk dibatalkan perkahwinan tu dan mesti berkahwin semula tapi bukan di tempat yang tidak boleh didaftarkan lah. Perkahwinan yang lain, yang disahkan adalah di luar Selangor dan KL, ada di Melaka, kebanyakannya di Kedah, saya rasa. Kelantan dan Terengganu pun ada. Kebanyakan disahkan dan boleh didaftar..”

 

 

            Responden seterusnya menyatakan:-

 

          “…ye, memang ada. Sebab itulah kami sekarang ni, selalunya bila orang  pelarian ni datang, berjumpa dengan kami tentang masalah tidak boleh didaftarkan pernikahan dikatakan tidak sah, memang ada kes di mana pernikahan terpaksa difarakkan dan mesti bernikah semula tapi bukan di Selangor dan kuala lumpur tapi mesti bernikah di Kedah, Melaka..”

 

Terdapat responden yang menyatakan birokrasi dari sudut pentadbiran bahawa kad UNHCR tidak diterima dalam urusan perkahwinan di Malaysia, malah pihak berkuasa terbabit tetap mahukan pasport berbanding kad UNHCR dalam urusan tersebut. Responden juga turut mengkritik karenah birokrasi semasa berurusan di pejabat UNHCR sepertimana yang dijelaskan oleh responden berikut:

 

            “…Ada tak pernah terjadi, orang Myanmar ni nak pergi daftar di Mahkamah Syariah? A: Ada dengar. Dulu ada seorang kawan, dia cintakan orang Melayu, dia orang Myanmar, tapi dia pergi banyak kali, mereka minta passport. KL ke Selangor? Ingat tak? A: saya tak ingat. Maknanya dia nak pasport? Kad UNHCR? A: tak nak…”

 

            Responden seterusnya menyatakan:-

 

“…A: Cina punya orang, kristian punya orang. Dia kristian punya orang dia mau cepat-cepat urus. Kita orang Islam pegi a, ah takboleh la, tutup la. Hal la, ha busuk..banyak masalah. Banyak masalah. Dia lebih utamakan non-muslim punya la. Ermm..itulah pasal ini..”

 

Dapatan ini juga turut menemui terdapat pejabat agama tidak menghormati keputusan pengesahan pernikahan yang dikeluarkan pihak mahkamah syariah. Terdapat juga karenah birokrasi di jabatan agama sepertimana yang dijelaskan oleh responden berikut:

 

“…Jadi sepatutnya kita mesti menghormati mahkamah syariah, macam kita buat keputusan bukan kita nak pandai-pandai nak mengesahkan..”

                       

 

 

 

Responden seterusnya menyatakan:-

 

“…sebab gini hok saya nampok orang mahkamah ni kita dah latih tengok syariah dulu, tengok maslahah orang ramai, syarak dok atas tapi mentaliti pejabat agama tu lain kan. Sebab itu dia mungkin tengok kursus. Kursus ni memang dapat duit. K: sedangkan bende tu bukan undang-undang, kursus kawin bukan undang-undang, hiv pun bukan undang-undang. Ia sekadar proses...”

 

 

iii.        Pentafsiran dan Perundangan (Sivil & Syariah)

                       

            (a)  Masalah Pentafsiran Enakmen Atau Undang-undang

 

Masalah pentafsiran enakmen atau undang-undang yang terpakai dari sudut permastautinan wujud kerana undang-undang itu menjadi punca kuasa kepada sesuatu prosiding terutamanya kes-kes di bawah bidang kuasa mahkamah syariah. Bidang kuasa itu hanya terhad kepada orang Islam yang bermastautin di sesebuah negeri atau yang tinggal di negeri tersebut seperti mana dijelaskan oleh responden berikut:

 

“…saya tak pernah kendalikan kes itu cuma ia akan timbul masalah dari segi tafsirkan kerana adakah enakmen kita terpakai kepada dia itu  perlu ditafsirkanlah perlu ada tafsiranlah sebab dalam enakmen tak ada membezakan sama ada warganegara  Malaysia ataupun yang ada cuma orang Islam yang bermastautin di Pulau Pinang atau pun yang tinggal di negeri Pulau Pinang..

 

Responden yang lain juga turut menyatakan bahawa undang-undang tidak memberi garis panduan yang jelas sama ada hanya berbidang kuasa ke atas warganegara atau sebaliknya tetapi hanya mengehadkan kepada mana-mana orang Islam yang bermastautin di sesebuah negeri  sepertimana yang dinyatakan responden berikut:-

 

“…dari segi undang-undang tidak ada penafsiran khusus dan dari segi penerimaannya tu secara longgar la setakat ni. Maknanya bila ada akuan permastautin dari JKK dari mukim tu yang mengatakan dia dah bermastautin dalam tempoh berapa lama biasanya kita akan terima sama ada dia warganegara ke bukan warganegara ke rakyat X ke, bukan rakyat X, warganegara asing dan kes-kes yang melibatkan orang  pelarian pun itu ada juga yang kita terima bila melibatkan orang Islam lah..”

 

(b)       Masalah Berkaitan Undang-undang Imigresen

 

Prosiding mahkamah syariah juga terpaksa ditangguhkan apabila melibatkan undang-undang Imigresen contohnya salah satu pihak warganegara berkahwin dengan bukan warganegara yang memegang permit kerja sepertimana yang dinyatakan responden berikut:-

 

“..macam di Imigresen macam contohnya bagi pasangan perempuan warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warganegara asing macam Bangladesh, Indonesia yang cuma bekerja atas dasar permit kerja jadi ada kes tu melibatkan kontrak kerja jadi bila timbul masalah tu dia jadi…kita pun terikat dengan Imigresen jugak jadi itu yang mendatangkan masalah pada warganegara kita..”

 

Responden seterusnya menyatakan:-

 

          “…seksyen 12(2) tu adalah umum dia tidak kira janji orang tu adalah orang Islam, tapi oleh kerana kerajaan sekarang ni bawah akta Imigresen sebab akta imigresen telah buat satu garis panduan bahawa mereka yang tidak..atau sedang permit kerja tidak boleh berkahwin dalam masa..semasa datang bekerja kan..”

 

 

(c) Masalah Pemakaian Undang-undang Jenayah dan Mal Ke Atas Orang  pelarian

 

Antara perkara yang dibangkitkan responden adalah masalah pemakaian undang-undang jenayah dan mal ke atas orang pelarian sepertimana yang dinyatakan responden berikut:-

 

“..sebab kalau satunya kemudian nak ambil tindakan untuk kes-kes jenayah tu tidak akan diambil tindakan..dalam mal tu, sesiapa yang melangsungkan pernikahan dia di Pulau Pinang pada ketika itu, kenapa dalam kes jenayah tidak mendapat kebenaran menikah dengan UNHCR, dia dakwa, saya tidak bersalah..Undang-undang pada ketika itu tidak terpakai kepada saya..dia boleh larikan diri ..kenapa mal kita boleh terima..”

 

(d) Mahkamah Syariah Tiada Kuasa Mentafsir Undang-undang

 

Terdapat juga responden yang menyatakan mahkamah syariah tiada kuasa untuk mentafsir undang-undang sedia ada kerana kuasa itu hanya diberikan kepada mahkamah sivil sahaja seperti mana yang dinyatakan responden berikut :-

 

“…aa kita kena ingat pentafsiran mahkamah kita tidak ada bidang kuasa, hahahaha, mana ada kita bidang kuasa penafsiran. Mahkamah sivil saja yang ada bidang kuasa mentafsirkan undang-undang.

 

 

(e) Tiada Arahan Amalan Yang Jelas Berkaitan Isbat Nikah

 

Antara perkara yang dibangkitkan responden adalah masalah tiada Arahan Amalan berkaitan isbat nikah sama ada memulakan prosiding mahkamah syariah atau di pejabat agama seperti mana yang dinyatakan responden berikut:-

 

“..tidak ada satu arahan amalan saya rasa yang dikeluarkan..ada tak? Ada tak? Tidak ada kan..tidak ada satu arahan amalan pun yang mengarahkan semua isbat nikah tu mesti terus kepada mahkamah tidak ada sampai sekarang..”

 

 

iv         Polisi Wisma Putra berkenaan status orang pelarian.

 

Antara perkara yang dibangkitkan oleh responden juga bahawa pihak Wisma Putra tidak pernah mengadakan perjanjian dengan pihak UNHCR, Wisma Putra tidak mengiktiraf orang pelarian Rohingya serta Wisma Putra juga menganggap orang  pelarian Rohingya itu sebagai PATI sepertimana maklum balas yang diterima daripada Wisma Putra melalui surat no. rujukan fail: SR(800) RCSCD (S) 681-2 bertarikh 13 Oktober 2011 memberi gambaran yang jelas tentang pendirian Malaysia berkaitan orang pelarian seperti berikut:

 

“Bagi orang  pelarian, golongan ini merupakan golongan yang melarikan diri daripada negara asal mereka bagi mendapatkan perlindungan daripada negara lain di atas sebab-sebab seperti agama, politik, bangsa, warga negara dan juga ahli kepada sesebuah badan sosial atau politik. Walau bagaimanapun, Kerajaan Malaysia tidak pernah mengiktiraf orang  pelarian di Malaysia dan Pemegang Kad UNHCR yang tinggal di Malaysia turut dikenali sebagai PATI.”

 

Manakala temu bual bersama pegawai di Bahagian Pembangunan Sosial, Keluarga dan Komuniti, JAKIM juga menyatakan perkara yang sama seperti berikut:

 

“…dalam Mesyuarat Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk kita juga pernah bincang dalam mesyuarat berkaitan warganegara asing ni cuma kita pernah buat satu bahan yang berkaitan warganegara asing tapi tak masuk Rohingya rasanya kita bincang kita tanya pihak Wisma Putra dia bagitau bagi dia Rohingya ni dikira PATI maka apabila sebut PATI ni mereka ni tidak diiktiraf lagi pulak dia tidak ada perjanjian dengan UNHCR...”

 

Responden seterusnya menyatakan:-

 

“…kita pun dapat surat dari Wisma Putra mereka ni adalah PATI jadi secara macam tu ajelah yang kita buat atas dasar Islam ajelah..”

 

 

4.2.5   KESAN KE ATAS PENERIMAAN DAN PENOLAKAN PENGESAHAN NIKAH

 

Dalam menangani isu permohonan pendaftaran pengesahan nikah warganegara asing, orang pelarian Rohingya dan UNHCR terdapat beberapa perkara boleh mendatangkan implikasi yang perlu diberi perhatian. Antara perkara yang dibangkitkan ialah kesan terhadap penerimaan dan penolakan pengesahan nikah tersebut oleh Mahkamah Syariah terhadap warga negara Malaysia dan warga negara asing.

 

 

 

i.          KESAN PENERIMAAN PENGESAHAN NIKAH TERHADAP WARGA NEGARA MALAYSIA DAN WARGA NEGARA ASING

 

a. Warganegara Malaysia akan terpinggir

 

Responden menyatakan terdapat keadaan yang mana warganegara tempatan akan terpinggir sekiranya warga negara asing, orang  pelarian Rohingya/ UNHCR mendapat kemudahan-kemudahan sebagai mana bumiputera seperti mendapat taraf kerakyatan, sijil kelahiran anak, kad pengenalan seperti mana yang dijelaskan oleh responden berikut:

 

“mereka dapat bantuan kewangan, boleh buat loan, kita kalau pergi hospital berape..tapi kalau warganegara asing kan, berape kena bayar kalau anak tu dapat i/c, surat beranak kena RM300 ingat RM300 tu mahal, tu kalau biasa, kalau operation..itu kemudahan-kemudahan mmm..itu tujuan dia. Kalau saya tanya ni masa di mahkamah, ni kenapa ni..untuk sekolah anak lagi, nak dapat rumah PPRT DBKL pun kan jadi, itu akan menyebabkan satu hari nanti, warganegara Malaysia akan jadi terpinggirlah kalau duduk di Kuala Lumpur”.

            Pendapat responden lain berkaitan isu ini antaranya:

 

“effect dia satunya akan dapat kemudahan-kemudahan sebagaimana bumiputera. Sekarang ini memang ramai orang nak dapatkan kemudahan macam bumiputera sebab negara kita aman, mudah dapat permit kan macam bumiputera kan dapat lesen penjaja tak ada persaingan dengan negara luar kan”.

 

 

 

 

b. Mendapat keistimewaan warganegara

 

Kesan yang timbul yang dibangkitkan oleh responden ialah, tujuan warganegara asing, orang pelarian Rohingya/UNHCR ini membuat pengesahan nikah adalah untuk mendapatkan keistimewaan warganegara. Contohnya mendapatkan sijil kelahiran anak, kemudahan sekolah seperti pinjaman buku teks dan kemudahan hospital dari segi rawatan percuma seperti mana yang dijelaskan oleh responden berikut:

 

“pihak warganegara asing ni membuat permohonan pengesahan nikah ini banyak salah satunya untuk mendapatkan surat beranak anak, untuk dapatkan warganegara, untuk dapatkan kemudahan-kemudahan yang dia akan dapat dari pengesahan nikah, sekolah”.

 

            Responden lain juga menyatakan perkara yang sama seperti berikut:

 

“contohnya nikah di Indonesia lama dah, kemudian buat pengesahan nikah semata-mata untuk anak belajar, untuk dapatkan lesen, untuk dapatkan teksi, penjaja, mmm sekolah, permit dan sebagainya itu tujuan dia, tujuan utamalah, sedangkan kahwin memang pada ketika itu dia bukan warganegara Malaysia, pada ketika itu dia nikah kat sana, tiba-tiba mai kat sini, dua-dua mai kat sini, dulu memang dia tak pernah pun datang ke Malaysia, datang ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ataupun ke Pulau Pinang, tiba-tiba nak sekolah anak nak surat nikah, nak kena ada surat beranak anak that’s why dia buat permohonan itu”.

 

Terdapat juga responden yang membangkitkan isu untuk menyambung pas lawatan. Contohnya seperti berikut:

 

“Kalau bagi warga asing ni, sebab dia nak sambung dia punya pas lawatan atau nak dapatkan surat beranak anak. Sebab dah ada anak takde bende tu, tak dapat surat beranak. Anak tak boleh sekolah”.

 

ii.         KESAN PENOLAKAN PENGESAHAN NIKAH TERHADAP WARGA NEGARA ASING / ORANG PELARIAN ROHINGYA DAN UNHCR

 

a.         Kesan terhadap anak pasangan

 

Isu ini merupakan isu yang paling banyak mendapat maklum balas daripada responden. Antaranya pernyataan daripada beberapa orang responden berikut:

 

“Ada suami larikan anak, bila buat report polis, polis cakap suami ada hak. Tapi anak-anak tu 2 tahun, perlukan ibu dia. So sape yang ada kuasa. Kita pun tak boleh pergi ke Mahkamah Syariah”.

 

“Kebanyakan anak-anak yang lahir di Malaysia memang takde nama bapa dia sebab takde surat pernikahan yang boleh diberi kepada hospital”.

 

“banyok yang anak-anak terutamanya macam anak-anak Rohingya tu anok dia terbiar tak boleh masuk sekolah selagi mana tak dok sebarang pengesahan kahwin. sekolah tak terima. kira dia orang terbiar macam tu la”.

 

 

 

 

 

b.         Penyakit sosial

 

Isu penolakan pengesahan nikah ini dikhuatiri turut menyumbang kepada gejala sosial. Antara isu yang dibangkitkan oleh responden seperti berikut:

 

“dadah bende tu banyok. Budak-budak tu bila hok sekoloh pun dok jadi, ni tah lagi pendidikan takdok, pelajaran memang terbiar sungguh kalu kita. Jadi kalu saya memang masalah sungguh aaa. Penyakit sosial ni banyoklah, dadah la banyok mende”.

 

“Dia akan bagi kesan kepada kita jugok dalam masa panjang. Dia orang ni kita tak beri hok dia orang pun dia orang akan membesar dia orang akan hidup tetap bawa motor bawak kereta tapi takde lesen secara komunis gitu jaa.”

 

 

c. Kepentingan umat Islam terabai

 

Kesan penolakan pengesahan nikah akan memberi impak kepada kepentingan umat Islam seperti mana pernyataan responden berikut:

 

            “kita nak selamatkan orang Islam, masa depan dia”.

 

 

d.         Kesan terhadap Mahkamah Syariah

 

Terdapat responden yang menyatakan kesan penolakan pengesahan nikah akan memberi tanggapan negatif terhadap Mahkamah Syariah seperti mana pernyataan berikut:

 

“tapi sebeno saya tak setuju awal-awal tolak. Orang Islam pandang Mahkamah Syariah guane. Mahkamah Syariah sebab orang nampok kalu kita tak selesai dia tok leh gi pejabat tanoh..dia takleh gie pejabat pendaftaran isu ni isu kita ok.”

 

 

e.         Keselamatan Negara

 

Terdapat juga responden yang membangkitkan isu keselamatan negara seperti mana pernyataan responden berikut:

 

“Ya la kita terikat dengan Kementerian Dalam Negeri, tak boleh sebab kita terikat dengan..dari segi hukum takde masalah, kita dah bincang dengan JKSM pun, dia orang kata kalau orang pejabat agama kata boleh, kita ok, tak jadi masalah pun, tapi kita terikat dengan dasar negara. Dasar negara tu lah yang kita tak boleh atas dasar-dasar keselamatan.”

 

 

4.2.6   MAKLUM BALAS BERKAITAN PENDIRIAN MAHKAMAH SYARIAH SAMA ADA MENERIMA ATAU MENOLAK PENDAFTARAN WARGA NEGARA ASING, ORANG PELARIAN ROHINGYA/UNHCR DI DALAM PERMOHONAN PENGESAHAN NIKAH DI MAHKAMAH SYARIAH.

 

Berdasarkan data yang dikumpulkan melalui borang maklum balas yang dihantar kepada  Ketua Pendaftar JKSN/MSN bagi mengetahui pendirian mahkamah syariah sama ada menerima atau menolak pendaftaran warga negara asing, orang pelarian Rohingya/UNHCR di dalam permohonan pengesahan nikah.

 

Maklum balas yang diterima daripada JKSN/MSN di kumpul serta dianalisis dan dikategorikan kepada dua seperti berikut:-

 

                              i.                Negeri yang menerima permohonan pendaftaran pengesahan nikah

                            ii.                Negeri yang menolak permohonan pendaftaran pengesahan nikah.

 

 

Jadual 16: Status Pendirian Mahkamah Syariah

Kategori

Bil

%

Negeri Yang Menerima

10

71.4

Negeri Yang Menolak

4

28.6

Jumlah

14

100

 

Jadual 16 menunjukkan sepuluh (10) daripada empat belas (14) buah negeri menerima permohonan pengesahan nikah daripada warga negara asing, orang pelarian Rohingya dan orang pelarian UNHCR. Manakala 4 buah negeri lagi menolak permohonan pengesahan nikah daripada warga negara asing, orang pelarian Rohingya dan orang pelarian UNHCR.

 

i. Negeri yang menerima permohonan pendaftaran pengesahan nikah.

Analisis data mendapati sepuluh (10) buah negeri menerima permohonan pengesahan nikah iaitu Terengganu, Johor, Sarawak, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Perak.

 

Asas bagi negeri yang menerima permohonan pendaftaran pengesahan nikah ialah pembuktian permastautinan. Berbeza di Wilayah Persekutuan, bagi orang pelarian disyaratkan mereka mendapat pengesahan salinan dokumen daripada pihak Imigresen atau pihak berkuasa yang mengeluarkan untuk tujuan pendaftaran kes, seperti yang berlaku di Labuan bagi pelarian-pelarian Filipina yang memegang dokumen IMM13 bagi memastikan dokumen tersebut sah dan sentiasa diperbaharui.

 

Senarai negeri yang menerima permohonan pendaftaran pengesahan nikah melibatkan warga negara asing, orang pelarian Rohingya/ UNHCR boleh dilihat dalam Jadual 17 di bawah:

 

Jadual 17: Negeri Yang Menerima Permohonan Pendaftaran Pengesahan Nikah

BIL

NEGERI

MENERIMA PERMOHONAN PENDAFTARAN

1.

TERENGGANU

JKSN Terengganu tiada halangan untuk menerima kes permohonan pengesahan nikah warga negara asing asalkan pemohon mempunyai dokumen seperti kad pengenalan atau pasport serta dapat membuktikan permastautinan berdasarkan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam mengenai pemakaian.

 

Asas permohonan pengesahan dan pendaftaran pernikahan merujuk kepada Seksyen 42 (b) Enakmen Undang-undang Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu 1985. Undang-undang syariah negeri adalah terpakai kepada warganegara asing dan orang pelarian selagi mana mereka Islam sebagaimana subseksyen 12(2) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 dan mempunyai taraf permastautinan yang sah di dalam sesebuah negeri tersebut. Justeru itu, proses atau prosedur undang-undang adalah sama dengan kes yang melibatkan warganegara.

 

Pengesahan pernikahan di kalangan warganegara asing dan orang pelarian adalah sah mengikut hukum syarak selagi mana ia memenuhi semua syarat dan rukun nikah tanpa mengira status pemohon atau pihak-pihak.

 

2.

JOHOR

JKSN Johor menerima tanpa berdolak dalik pendaftaran warganegara asing, orang pelarian Rohingya/UNHCR di dalam permohonan pengesahan nikah.

 

3.

SARAWAK

JKSN Sarawak akan mempertimbangkan permohonan pengesahan nikah warganegara asing, pelarian Rohingya /UNHCR jika sekiranya permohonan menepati peruntukan seksyen 3 Ordinan Undang-undang Keluarga Islam 2001 iaitu mengenai permastautinan.

 

4.

NEGERI

SEMBILAN

JKSNS berpendapat bahawa panduan asas bagi permohonan adalah jelas iaitu seksyen bidang kuasa dan permastautinan. JKSNS mengambil pendekatan sebagaimana yang dilakukan oleh pentadbiran JHEAINS  dalam mengendalikan permohonan perkahwinan bagi yang bukan warganegara.

 

5.

SELANGOR

Jakess menerima pendaftaran warga asing, orang pelarian Rohingya/UNHCR bagi permohonan pengesahan nikah dengan syarat dibuktikan permastautinan pemohon yang berkenaan.

 

6.

WILAYAH

PERSEKUTUAN

MSWP bersetuju dengan cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam penemuan kajian yang berkaitan. Walau bagaimanapun bagi pelarian, disyaratkan mereka mendapat pengesahan salinan dokumen pengenalan diri daripada pihak Imigresen atau pihak berkuasa yang mengeluarkan untuk tujuan pendaftaran kes. Sebagai contoh di Labuan, pelarian-pelarian di Filipina yang memegang Dokumen IMM13, mereka perlu mendapatkan salinan dokumen berkenaan daripada Imigresen untuk tujuan pendaftaran kes. Pengesahan tersebut penting untuk memastikan yang dokumen tersebut adalah dokumen yang sah dan sentiasa diperbaharui dari masa ke semasa.

 

7.

P. PINANG

JKSN Pulau Pinang berpendirian bahawa Mahkamah akan mendaftar, mendengar dan memutuskan pengesahan nikah dari mana-mana orang yang kompeten dari sudut perundangan untuk berbuat demikian melainkan diperuntukkan selainnya.

(JKSN PP dan Bahagian NCRBRR, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam telah membuat keputusan melalui Mesyuarat Penyelarasan Undang-undang Keluarga Islam Pulau Pinang bahawa pengesahan nikah dengan tujuan untuk pendaftaran hendaklah terlebih dahulu dirujuk kepada Bahagian PNCBRR. Sekiranya kes tersebut dirujuk/dipanjangkan ke Mahkamah, maka mahkamah akan mendengar permohonan untuk mengesahkan nikah. Walau bagaimanapun, ia tertakluk kepada Seksyen 4 EUUKIPP 2004.

Isu pengesahan nikah dan pendaftaran nikah yang tersebut di atas sehingga kini belum di bawa ke pengetahuan pihak kerajaan negeri dan MAIPP).

 

8.

SABAH

Mahkamah Syariah Negeri Sabah menerima pendaftaran warga asing, orang pelarian Rohingya/UNHCR dalam permohonan  pengesahan nikah.

 

9.

MELAKA

MSN Melaka tiada halangan untuk menerima pendaftaran permohonan pengiktirafan pengesahan nikah warga negara asing, orang pelarian Rohingya/ UNHCR dengan syarat disokong oleh dokumen permastautinan, dokumen permohonan dan dokumen-dokumen sokongan daripada Pejabat Kedutaan Negara berkenaan.

 

10.

PERAK

RESOLUSI PERBINCANGAN PENGESAHAN NIKAH WARGANEGARA ASING

Agensi terlibat dengan perbincangan ini ialah

·      Jabatan Pendaftaran Negara

·      Jabatan Imigresen

·      Jabatan Agama Islam Perak

·      Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak

 

1.                  Mahkamah Syariah Negeri Perak menerima pendaftaran pengesahan nikah warganegara asing. Pendaftaran tersebut meliputi

ü  Kedua-dua pihak adalah warganegara asing

ü  Salah satu pihak warganegara asing

 

2.                  Bagi pendaftaran pengesahan nikah pihak-pihak adalah warganegara asing, dibenarkan untuk mereka mendaftar bagi mengesahkan pernikahan mereka. Sekiranya pernikahan tersebut diakui, mahkamah akan sahkan nikah tersebut tanpa perintah daftar.

 

3.                  Bagi pendaftaran pengesahan nikah salah satu pihak adalah warganegara asing, Mahkamah boleh sahkan pernikahan dan perintah daftar boleh dikeluarkan oleh kerana perundangan sedia ada memberi hak dari segi pemakaian.

 

4.                  Bagi pendaftaran nikah pula amalan di Jabatan Agama Islam Perak menolak pendaftaran nikah sekiranya kedua-dua pihak adalah warganegara asing. Namun begitu bagi salah satu pihak pula ianya boleh didaftarkan.

 

5.                  Jabatan Kehakiman Syariah diamanahkan untuk menyediakan kertas kerja berkenaan dengan pengesahan nikah di Perak bagi tujuan menggalakkan individu yang terlibat dengan pernikahan diluar negara mendaftar agar tidak berlaku sebarang permasalahan dikemudian hari.

 

 

 

ii. Negeri yang menolak permohonan pendaftaran pengesahan nikah

Analisis data mendapati terdapat empat (4) buah negeri telah menolak permohonan pendaftaran pengesahan nikah daripada warga negara asing, orang pelarian Rohingya/UNHCR iaitu Kelantan, Kedah, Pahang dan Perlis. Walau bagaimanapun Pahang dan Perlis menetapkan syarat menerima pendaftaran sekiranya salah seorang pasangan adalah warganegara Malaysia atau penduduk tetap (PR) dan bermastautin di dalam negeri. Senarai negeri yang menolak permohonan pendaftaran pengesahan nikah seperti di Jadual 18 di bawah:-

 

 Jadual 18: Negeri Yang Menolak Permohonan Pendaftaran Pengesahan Nikah

BIL

NEGERI

MENOLAK PERMOHONAN PENDAFTARAN

1.

KELANTAN

Mahkamah Syariah di JKSN Kelantan menolak pendaftaran warganegara asing, orang pelarian Rohingya/ UNHCR di dalam permohonan pengesahan nikah.

2.

KEDAH

JKSN Kedah tidak bersetuju dengan pengesahan nikah warganegara asing di dalam permohonan pengesahan nikah.

3.

PAHANG

JKSN Pahang pada masa ini tidak menerima (menolak) pendaftaran warganegara asing, orang pelarian rohingya/UNHCR dalam permohonan pengesahan nikah. Walau bagaimana pun, Jabatan menerima pendaftaran sekiranya salah seorang pasangan adalah warganegara Malaysia.

4.

PERLIS

JAIPs dan JKSNPs bersetuju untuk tidak menerima permohonan pengesahan nikah warganegara asing/ orang pelarian Rohingya disebabkan implikasi undang-undang berlanjutan daripada pengesahan nikah yang dikeluarkan.

Pengecualian bagi kes-kes berikut:

Salah seorang daripada pasangan merupakan penduduk tetap (PR) atau warganegara Malaysia dan bermastautin di dalam negeri.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

BAB 5

                        RUMUSAN, PERBINCANGAN, KESIMPULAN DAN CADANGAN

 

 

            5.0      PENDAHULUAN

 

Bab ini menerangkan rumusan, perbincangan, kesimpulan terhadap hasil dapatan kajian serta cadangan penambahbaikan yang boleh diambil untuk kebaikan jabatan.

 

 

5.1       RUMUSAN DAN PERBINCANGAN

 

5.1.1   Hasil kajian mendapati sepuluh (10) daripada empat belas (14) buah negeri iaitu Terengganu, Wilayah Persekutuan, Selangor, Melaka, Sabah, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Negeri Sembilan dan Perak menerima pendaftaran kes permohonan pengesahan nikah melibatkan warganegara asing, orang pelarian Rohingya/UNHCR.

 

5.1.2   Berdasarkan analisis fail permohonan pengesahan nikah daripada tahun 2006-2010 di enam (6) buah negeri, hanya tiga (3) buah negeri iaitu Pulau Pinang, Terengganu dan Sabah yang menerima pendaftaran pengesahan nikah yang dibuat oleh orang pelarian sama ada orang pelarian Rohingya atau orang pelarian lain yang mendapat perlindungan UNHCR dengan kuantiti yang sedikit iaitu hanya 35 kes. Namun begitu, ketiadaan kes pengesahan nikah yang dipohon oleh orang pelarian di dalam tempoh 2006-2010 di MRS Batu Pahat Johor tidak bermakna JKSN Johor menghalang orang pelarian daripada membuat permohonan asalkan mereka berjaya membuktikan permastautinan kerana terdapat kes yang dibicarakan melibatkan orang pelarian sebelum ini. Ini diakui oleh hakim-hakim syarie dan ketua pendaftar di mahkamah berdasarkan perbincangan kumpulan fokus.

 

Amalan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hanya menerima pendaftaran pengesahan nikah individu yang mempunyai dokumen seperti kad pengenalan atau pasport. Namun begitu secara peribadi mantan Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan menyatakan mahkamah boleh menerima permohonan pengesahan nikah yang dipohon oleh orang pelarian asalkan mereka berjaya membuktikan permastautinan dan berdasarkan seksyen 4 Akta 303 mengenai pemakaian.

 

Hasil kajian juga mendapati bagi orang-orang pelarian di Wilayah Persekutuan disyaratkan mereka mendapat pengesahan salinan dokumen daripada pihak Imigresen atau pihak berkuasa yang mengeluarkan untuk tujuan pendaftaran kes, seperti yang berlaku di Labuan bagi pelarian-pelarian Filipina yang memegang dokumen IMM13 bagi memastikan dokumen tersebut sah dan sentiasa diperbaharui.

 

5.1.3 Dari sudut punca kuasa atau perundangan, tiada punca kuasa yang khusus yang menyatakan dengan jelas mengenai pengesahan nikah yang melibatkan warganegara asing mahu pun orang pelarian. Namun demikian, undang-undang Syariah negeri yang sedia ada adalah punca kuasa atau sumber rujukan bagi mahkamah syariah membuat keputusan bagi kes pengesahan nikah di kalangan warganegara asing dan orang pelarian.

 

5.1.4 Hasil penemuan melalui analisis dokumen (fail kes) di enam buah negeri iaitu Terengganu, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Sabah dan Wilayah Persekutuan, majoriti mahkamah di negeri-negeri tersebut mengguna pakai peruntukan undang-undang Syariah negeri yang sedia ada dalam mengendalikan pernikahan di kalangan warganegara asing dan orang pelarian dengan merujuk Bahagian II, Undang-undang Keluarga /Pentadbiran Keluarga Islam seperti seksyen 6, 10, 12 (2), 18 dan 23 bagi membuat keputusan di samping keterangan saksi dan dokumen-dokumen yang berkaitan dengan pernikahan.

 

          Selain itu, hasil temu bual yang dijalankan mendapati majoriti responden bersetuju bahawa hukum syarak perlu dijadikan rujukan utama dalam kes pengesahan nikah. Di samping itu, keterangan lisan pihak-pihak, saksi-saksi pernikahan dan dokumen-dokumen pernikahan adalah prosedur penting yang perlu dilaksanakan dalam kes pengesahan pernikahan di kalangan warganegara asing dan orang pelarian.

 

5.1.5   Dari aspek kesan penerimaan dan penolakan pengesahan nikah warganegara asing, orang pelarian Rohingya/UNHCR, kajian mendapati maklum balas yang diterima daripada Wisma Putra melalui surat no. rujukan fail: SR(800) RCSCD (S) 681-2 bertarikh 13 Oktober 2011 memberi gambaran yang jelas tentang pendirian Malaysia berkaitan orang pelarian seperti berikut:

 

“Bagi orang  pelarian, golongan ini merupakan golongan yang melarikan diri daripada negara asal mereka bagi mendapatkan perlindungan daripada negara lain di atas sebab-sebab seperti agama, politik, bangsa, warga negara dan juga ahli kepada sesebuah badan sosial atau politik. Walau bagaimanapun, Kerajaan Malaysia tidak pernah mengiktiraf orang pelarian di Malaysia dan Pemegang Kad UNHCR yang tinggal di Malaysia turut dikenali sebagai PATI.”

 

5.1.6   Perkara 18 Perlembagaan Persekutuan mengenai peruntukan am tentang pendaftaran boleh mengurangkan kebimbangan responden-responden mengenai kesan penerimaan pendaftaran pengesahan  nikah warganegara asing dan orang pelarian berkaitan isu kewarganegaraan. Perkara ini dijelaskan seperti berikut:

 

(1) Tiada seorang pun yang berumur lapan belas tahun atau lebih boleh didaftarkan sebagai warganegara di bawah Perlembagaan ini sehinggalah dia telah mengangkat sumpah yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.

(2) Kecuali dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan, tiada seorang pun yang telah melepaskan atau yang telah dilucutkan kewarganegaraannya di bawah Perlembagaan ini atau yang telah melepaskan atau yang telah dilucutkan kewarganegaraan Persekutuan atau kewarganegaraan bagi Persekutuan sebelum Hari Merdeka di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 boleh didaftarkan sebagai warganegara di bawah Perlembagaan ini.

(3) Seseorang yang didaftarkan sebagai warganegara di bawah Perlembagaan ini menjadi warganegara melalui pendaftaran mulai dari hari dia didaftarkan sedemikian.

 

Manakala Perkara 15 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan  kewarganegaraan melalui pendaftaran (isteri dan anak warganegara) seperti berikut:

(1) Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh mana-mana perempuan bersuami yang suaminya seorang warganegara, maka perempuan itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika perkahwinan itu masih wujud dan suaminya itu seorang warganegara pada permulaan bulan Oktober 1962, atau jika dia memuaskan hati Kerajaan Persekutuan—

(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan sepanjang tempoh dua tahun sebelum tarikh permohonan itu dan berniat hendak berbuat demikian secara tetap; dan

(b) bahawa dia berkelakuan baik.

(2) Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh ibu atau bapa atau penjaga mana-mana orang yang di bawah umur dua puluh satu tahun, maka Kerajaan Persekutuan boleh menyebabkan orang itu didaftarkan sebagai warganegara jika sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibu bapanya sekarang (atau pada masa kematiannya) seorang warganegara.

(3) Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh ibu atau bapa atau penjaga seseorang yang di bawah umur dua puluh satu tahun, maka orang itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika dia dilahirkan sebelum permulaan bulan Oktober 1962 dan bapanya sekarang (atau pada masa kematiannya) seorang warganegara dan juga seorang warganegara pada permulaan bulan itu (jika hidup pada masa itu), dan jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa orang itu biasanya bermastautin di Persekutuan dan berkelakuan baik.

(4) Bagi maksud Fasal (1), kemastautinan sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak hendaklah dikira sebagai kemastautinan di Persekutuan.

(5) Sebutan dalam Fasal (1) mengenai perempuan bersuami ialah sebutan mengenai perempuan yang perkahwinannya telah didaftarkan mengikut mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa di Persekutuan, termasuklah mana-mana undang-undang sedemikian yang berkuat kuasa sebelum Hari Merdeka, atau mengikut mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak: Dengan syarat bahawa Fasal ini tidaklah terpakai jika perempuan itu memohon supaya didaftarkan sebagai warganegara sebelum permulaan bulan September 1965, atau apa-apa tarikh kemudiannya sebagaimana yang ditetapkan melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong, dan jika pada tarikh permohonan itu dia biasanya bermastautin di Negeri Sabah dan Sarawak.

5.1.7   Garis panduan yang tidak jelas serta perundangan yang tidak mentafsirkan maksud sebenar kepada perkataan-perkataan tertentu dalam isu ini menjadi punca kekeliruan kepada pihak pelaksana, akhirnya tafsiran dan kefahaman peribadi dijadikan asas membenarkan atau menidakkan sesuatu prosiding dan tatacara pentadbiran.

 

            5.1.8   Masalah birokrasi di peringkat agensi pelaksana, menyebabkan masyarakat dalam atau luar negara menjadi keliru, bingung dan akhirnya memberikan tanggapan negatif terhadap institusi-institusi kerajaan yang pada awalnya dianggap dapat memberi dan menyampaikan perkhidmatan terbaik seperti yang diwar-warkan kepada masyarakat malangnya harapan yang setinggi gunung itu berkecai di pertengahan jalan.

 

5.1.9   Kajian mendapati setiap kelahiran yang berlaku di Malaysia hendaklah didaftarkan tidak kira sama ada warganegara Malaysia atau bukan warganegara Malaysia berdasarkan Seksyen 7 (1) Akta Pendaftaran Kelahiran Dan Kematian 1957 (Akta 299) memperuntukkan seperti berikut:

 

“Subject to the provisions of this part, the birth of every child born in Malaysia shall be registered by the Registrar for the registration area in which the child was born by entering in a register in duplicate in manner prescribed such particulars concerning the birth as may be prescribed; and different registers shall be used and different particulars may be prescribed for livebirths and stillbirths respectively”:

  Provided that, where a living child is found exposed and no information as to the place birth is available, the birth shall be registered by the Registrar for the registration area in which the child found.”

 

Permohonan pendaftaran kelahiran juga hendaklah didaftarkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh kelahiran kanak-kanak tersebut seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 8 Akta 299  seperti berikut:

 

“It shall be the duty of every qualified informant to give to the Registrar, before the expiration of a period of fourteen days from the date of the birth, the prescribed information concerning the birth and in the presence of the Registrar to sign the register:”

 

5.1.10 Dapatan kajian mendapati warganegara asing dan orang pelarian juga mempunyai hak untuk mendapatkan rawatan perubatan di klinik/hospital-hospital kerajaan. Maklum balas yang diterima dari Wisma Putra menyatakan seperti berikut:

 

“tidak dinafikan hak untuk mendapat rawatan di klinik/hospital-hospital kerajaan dengan diberi potongan caj sebanyak 50% daripada kadar yang dikenakan ke atas golongan ekspatriat. Vaksinasi kepada kanak-kanak adalah diberi secara percuma.”

 

Selain itu kementerian kesihatan juga mengenakan caj rawatan hospital kerajaan untuk orang asing dengan kadar bayaran tertentu seperti mana yang diperuntukkan dalam Fees Act (Medical) 1951 for Foreigners. [20]

 

5.1.11 Anak-anak orang  pelarian tidak disekat untuk mendapatkan kemudahan pelajaran di sekolah-sekolah komuniti yang dikendalikan oleh UNHCR dengan kerjasama badan-badan bukan Kerajaan.

 

5.1.12 Sesetengah pejabat agama Islam hanya mengeluarkan surat perakuan nikah bagi orang pelarian Rohingya. Namun begitu tiada garis panduan bagi mengeluarkan surat perakuan yang seragam dikeluarkan oleh JAKIM berkaitan perkara ini.

 

5.1.13 Wisma Putra melalui suratnya juga turut menjelaskan hak-hak lain orang pelarian yang berada di Malaysia seperti berikut:

 

                                      i.        tidak dapat dinafikan kebebasan bergerak dan tidak ditahan melainkan terlibat dengan aktiviti yang melanggar undang-undang. Dalam keadaan berlakunya sesuatu penahanan, proses verifikasi akan dilakukan secepat mungkin dengan kerjasama pihak UNHCR;

 

                                    ii.        tidak dihantar kembali ke negara asal selari dengan prinsip non-refoulement  melainkan secara sukarela (voluntary return);

 

                                   iii.        Walau bagaimanapun, akses kepada pekerjaan adalah tidak dibenarkan. Ini adalah untuk mengelakkan ianya daripada menjadi ‘faktor penarik’ dan dianggap sebagai lesen mudah untuk mencari pekerjaan di Malaysia; dibandingkan mereka yang perlu melalui prosedur ketat bagi mendapat permit kerja. Di samping peraturan ini, adalah bagi memastikan pemegang kad UNHCR tidak mengambil kesempatan daripada kemudahan ini untuk terus menetap di Malaysia yang boleh mendedahkan negara kepada ancaman risiko keselamatan dan masalah sosial.

 

 

5.2       KESIMPULAN

 

Berdasarkan rumusan dan perbincangan daripada dapatan kajian, kesimpulan penting yang diperoleh daripada kajian ini seperti berikut:

 

5.2.1   Asas bagi permohonan pengesahan dan pendaftaran pernikahan merujuk kepada seksyen 2, 4, 12(2) dan 40 (2) Akta 303 dan seksyen di dalam enakmen negeri yang in pari materia  dengan seksyen-seksyen yang disebutkan. Undang-undang syariah negeri adalah terpakai kepada warganegara asing dan orang pelarian selagi mana mereka Islam dan mempunyai taraf pemastautin yang sah di dalam sesebuah negeri tersebut. Justeru itu, proses atau prosedur undang-undang adalah sama dengan kes yang melibatkan warganegara.

 

5.2.2   Pengesahan pernikahan di kalangan warganegara asing dan orang pelarian adalah sah mengikut hukum syarak selagi mana ia memenuhi semua syarat dan rukun nikah tanpa mengira status pemohon atau pihak-pihak. Namun begitu pendaftaran perkahwinan yang berlaku di luar negara oleh pemohon warganegara asing yang berkahwin dengan warganegara asing atau pemastautin tetap berkahwin dengan warganegara asing di luar negara hanya boleh didaftarkan sekiranya mematuhi seksyen 12 (2) dan memenuhi kehendak seksyen 40(2) Akta 303.

 

5.2.3   Berdasarkan seksyen 12(2) Akta 303 juga pendaftaran pernikahan boleh didaftarkan ke pejabat agama selepas mendapat perintah daripada mahkamah syariah.

 

5.2.4   Semua mahkamah syariah di Malaysia menerima pendaftaran kes pengesahan nikah yang dibuat oleh warganegara asing yang telah bermastautin di Malaysia.

 

5.2.5   Tidak semua mahkamah syariah di Malaysia menerima pendaftaran kes permohonan pengesahan nikah daripada orang  pelarian sama ada orang  pelarian tersebut mendapat perlindungan daripada UNHCR atau pun tidak.

 

5.2.6   Kesemua kes yang melibatkan orang pelarian yang ditemui dalam kajian ini telah berjaya didaftarkan dan kesemua pernikahan mereka telah disabitkan sah oleh mahkamah terbabit seperti di negeri Terengganu dan negeri Sabah.

 

5.2.7   Bilangan pendaftaran kes permohonan pengesahan nikah daripada warganegara asing lebih banyak dan jauh berbeza daripada pendaftaran kes yang dipohon oleh orang pelarian. Keadaan ini berlaku disebabkan bilangan warganegara asing yang berada di Malaysia adalah lebih ramai jika dibandingkan dengan bilangan orang pelarian. Di samping itu, amalan orang pelarian menjalankan sendiri proses perkahwinan di kalangan komuniti mereka tanpa melibatkan pendaftaran di mahkamah syariah dan di pejabat agama.

 

5.2.8   Pertambahan dan perkembangan warganegara asing dan orang-orang pelarian yang berada di dalam negara ini semakin meningkat setiap tahun serta tidak ada satu institusi pemantau yang menyeluruh bagi pengurusan golongan ini membuatkan beberapa kelemahan pengurusan dapat dikenal pasti. Oleh yang demikian kajian ini merupakan pencetus idea dan sumbangan kepada pihak yang berwajib untuk memperhalus dan memperbaiki sistem tadbir urus golongan warganegara asing dan orang pelarian supaya satu sistem yang sistematik dapat diwujudkan dan diikuti oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab.

 

5.2.9   Masalah dan halangan yang timbul di dalam pengesahan nikah warganegara asing dan orang pelarian seperti ketiadaan garis panduan yang jelas mengenai tafsiran ‘mastautin’ secara terperinci, masalah birokrasi/pentadbiran yang berlaku di mahkamah syariah dari segi pemahaman di kaunter ,pentafsiran dan perundangan (Sivil & Syariah) serta penipuan dan sindiket nikah palsu merupakan faktor penyebab mahkamah syariah negeri sukar untuk membuat keputusan sama ada untuk menerima pendaftaran kes daripada orang pelarian dan warganegara asing.

 

5.2.10 Ketiadaan penyeragaman, garis panduan yang jelas terhadap panduan atau dasar berhubung isu pengesahan nikah warganegara asing dalam undang-undang untuk dijadikan sebagai dokumen rujukan pentadbiran agensi agama yang terlibat.

 

5.2.11 Permohonan untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan  bukanlah sesuatu yang mudah diperoleh dengan hanya mendaftar pernikahan warganegara asing atau orang pelarian tetapi ia memerlukan syarat-syarat dan prosedur lain yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia sebagaimana yang dinyatakan di dalam Perkara 18 Perlembagaan Persekutuan.

 

5.2.12 Kerajaan Malaysia tidak pernah mengiktiraf orang pelarian di Malaysia dan Pemegang Kad UNHCR yang tinggal di Malaysia turut dikenali sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Walau bagaimanapun orang pelarian yang mendapat perlindungan daripada UNHCR masih mempunyai hak-hak seperti mendaftarkan kelahiran anak yang lahir di Malaysia, kemudahan pelajaran di sekolah-sekolah komuniti, rawatan perubatan di klinik atau hospital kerajaan dengan caj-caj tertentu sama ada mereka telah mendaftar pernikahan atau pun tidak.

 

5.2.13 Berdasarkan Konvensyen 1951 Berkaitan Status Orang  pelarian, adalah tidak menjadi kesalahan kepada mahkamah syariah negeri yang tidak menerima pendaftaran kes daripada orang pelarian kerana Malaysia tidak menandatangani perjanjian di dalam konvensyen tersebut. Namun begitu permohonan pengesahan nikah warganegara asing dan orang pelarian Rohingya/UNHCR yang dilaksanakan di Mahkamah Syariah  adalah wajar diterima bagi menjaga kemaslahatan umat.

 

 

5.3       CADANGAN PENAMBAHBAIKAN

 

Berikut merupakan beberapa cadangan penambahbaikan yang perlu diberi perhatian oleh JKSM/JKSN/MSN dan agensi-agensi yang berkaitan.

 

i.          JKSM mengeluarkan satu arahan amalan atau tatacara permohonan yang menyelaraskan semua mahkamah syariah negeri boleh menerima pendaftaran pengesahan nikah yang dibuat oleh warganegara asing dan orang pelarian dengan syarat mereka hendaklah berjaya membuktikan taraf permastautinan.

 

ii.           Pindaan terhadap tafsiran ‘bermastautin’ di dalam akta/enakmen/ordinan hendaklah diperincikan seperti mengenai tempoh permastautinan, status pemastautin sama ada taraf warganegara atau sebaliknya bagi menentukan bidang kuasa sesebuah mahkamah.

iii.        Alasan Penghakiman yang melibatkan orang pelarian Rohingya seperti kes Habsah binti Hashim lwn. Md. Yusuf bin Md. Sharif, Norhayati binti Idris lwn Na, Nurul Suraya binti Muhammad lwn .Mohd Siddiq bin Nubi Hassan, Mohamed Shakir bin Mubarak Ali dan Fatimah binti Elyas ,Kubir Ahmad bin Oli Mohammad dan Shahida Begum binti Mumtaz Ali di MRS Besut, MRS Dungun, MRS Seberang Perai Utara dan MRS Bandaraya boleh dijadikan panduan bagi kes pengesahan pernikahan di kalangan orang pelarian pada masa kini dan akan datang.

 

5.3.4   Mewujudkan kerjasama di antara JKSM dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Majlis Keselamatan Negara, JAKIM, Jabatan Imigresen, Wisma Putra dan Pejabat UNHCR bagi mengeluarkan satu arahan atau surat pekeliling berkaitan isu pendaftaran pengesahan nikah warganegara asing dan orang pelarian.

 

5.3.5   Mengesyorkan supaya JAKIM melalui mesyuarat Ketua Pendaftar Nikah Cerai Rujuk  Seluruh Malaysia menyelaraskan format surat perakuan nikah bagi warganegara asing dan orang pelarian untuk diguna pakai di semua pejabat agama Islam seluruh Malaysia.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

BIBLIOGRAFI

 

Hidayat Purnama, Kertas Kerja Pendatang Tanpa Izin Indonesia di Malaysia Satu Eksploitasi Tenaga Kerja di Asia Tenggara, 2002

 

http://en.wikipedia.org/wiki/Rohingya_people, 18.08.2011

 

http://myais.fsktm.um.edu.my/7536/, 24/3/2010, Amir Husin Md Nor, and Siti Safwati Mohd Shari, (2006) Faktor Penyebab Perkahwinan Tanpa Kebenaran Di Luar Negara: Satu Kajian di Mahkamah Rendah Syariah Muar.

 

http://www.epu.gov.my/populationandlabourforce, 19.9.2011.

 

http://www.moh.gov.my/

 

http://www.sageperformance.com/drjeffallen/DrA/Teaching/5480/samplesize.htm.21.11.2011

 

JAKIM, KESUMA,Kertas Laporan Resolusi Isu Pendaftaran Perkahwinan Yang Tidak Mengikut Undang-undang dan Isu Perkahwinan di Luar Negara, 2009

 

Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2007, Edisi Keempat,

 

Kate Jastram dan Marilyn Achiron, Perlindungan Buat Orang Orang Pelarian:Panduan Undang-undang Antarabangsa Bagi Orang Orang Pelarian, Terbitan Kesatuan Antara Parlimen Dengan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Orang pelarian, versi Bahasa Inggeris

 

Kertas Cadangan Kajian Mengenai isu Perkahwinan dan Pengesahan Nikah Warganegara Asing/Orang orang pelarian Rohingya/Orang orang pelarian UNHCR, JKSM, 2010

 

Kertas Laporan Resolusi Isu Pendaftaran Perkahwinan Yang Tidak Mengikut Undang-undang dan Isu Perkahwinan di Luar Negara, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial Dan Pengurusan Masjid (KESUMA)  JAKIM, 17.11.2009

 

Krejcie, R. V., & Morgan, D. W. (1970). Determining Sample Size For Research Activities, Educational and Psychological Measurement, 30, 607-610.

 

Mikhael, Pegawai UNHCR Malaysia, Breakdown of All Active Rohingya Registered between 2006 to 2010 by Gender and Age.

 

Nor Shamsinor Baharin, Pelarian Rohingya: Tuntut Daftar Nikah Elak Kahwin Cincai, Majalah Al-Islam, November 2009

 

Seksyen 55E (7). Akta Imigresen 1959 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963

(Erika Feller, Irene Khan, Stephane Jaquemet, Philippe Leclerc 2005).

 



[2] Mikhael, Pegawai UNHCR Malaysia, Breakdown of All Active Rohingya Registered between 2006 to 2010 by Gender and Age

                                                                                                                                                                             

[3] Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2007, Edisi Keempat, muka surat 1365

[4] Ibid, muka surat 1801

[5] Ibid, muka surat 84

[6] Kate Jastram dan Marilyn Achiron, Perlindungan Buat Orang Orang Pelarian:Panduan Undang-Undang Antarabangsa Bagi Orang Orang Pelarian, , Terbitan Kesatuan Antara Parlimen Dengan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Perubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Orang Orang pelarian, muka surat 2 versi Bahasa Inggeris,

[7] Ibid, muka surat 14-15

[9]  Hidayat Purnama, Kertas Kerja Pendatang Tanpa Izin Indonesia di Malaysia Satu Eksploitasi Tenaga Kerja di Asia Tenggara, 2002

[10] JAKIM, KESUMA,Kertas Laporan Resolusi Isu Pendaftaran Perkahwinan Yang Tidak Mengikut Undang-Undang dan Isu Perkahwinan di Luar Negara, 2009

[11] Nor Shamsinor Baharin, Pelarian Rohingya: Tuntut Daftar Nikah Elak Kahwin Cincai, Majalah Al-Islam, November 2009, muka surat 20.

[13] Op.cit, muka surat 20-25.

[14] Kertas Laporan Resolusi Isu Pendaftaran Perkahwinan Yang Tidak Mengikut Undang-undang dan Isu Perkahwinan di Luar Negara, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial Dan Pengurusan Masjid (KESUMA)  JAKIM, 17.11.2009

[15] Kertas Cadangan Kajian Mengenai isu Perkahwinan dan Pengesahan Nikah Warganegara Asing/Orang orang pelarian Rohingya/Orang orang pelarian UNHCR, JKSM, 2010

[16] Seksyen 55E (7).Akta Imigresen 1959 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963

[17] (Erika Feller, Irene Khan, Stephane Jaquemet, Philippe Leclerc 2005).

 

[18] http://www.sageperformance.com/drjeffallen/DrA/Teaching/5480/samplesize.htm.21.11.2011; Krejcie, R. V., & Morgan, D. W. (1970). Determining sample size for research activities. Educational and Psychological Measurement, 30, 607-610.

[19] Kate Jastram dan Marilyn Achiron, Perlindungan Buat Orang Orang Pelarian:Panduan Undang-Undang Antarabangsa Bagi Orang Orang Pelarian, muka surat 103

[20] http://www.moh.gov.my/

Tiada ulasan: