DONATE

Isnin, 12 Oktober 2009

Jual Beli & Kaitan Dengannya



2.2 Konsep Jual Beli Dalam Islam

2.2.1 Definisi Jual Beli


Jual beli dari segi bahasa ialah pertukaran sesuatu dengan sesuatu sama ada kedua-duanya dalam bentuk benda atau bukan benda sama ada redha atau tidak.

Dari segi istilah pula, jual beli didefinisikan sebagai akad yang merujuk kepada pertukaran sesuatu harta dengan harta yang lain bagi tujuan pemilikan kekal. Ini bermaksud dalam akad tersebut mestilah wujud pertukaran harta untuk tujuan pemilikan. Jual beli juga mesti membabitkan sesuatu yang syarak menilainya sebagai harta. Jual beli ini juga perlu membabitkan pemilikan dan penyerahan hak milik dan tidak boleh ditetapkan untuk tempoh tertentu sahaja.

2.2.2 Rukun Jual Beli

Rukun jual beli ialah :
1) Penjual
2) Pembeli
3) Benda yang dijual
4) Harga
5) Sighah


2.2.3 Syarat-syarat Jual beli

Antara syarat bagi penjual dan pembeli ialah:
1. Waras iaitu baligh, berakal dan boleh menguruskan harta dengan baik.
2. Bebas membuat pilihan ketika mengikat kontrak.
3. Bebas melakukan jual beli
4. Penjual dan pembeli adalah individu yang berlainan.
5. Boleh melihat
6. Pembeli hendaklah beragama Islam jika barang yang dibeli itu ialah al-quran.

Syarat-syarat barang jualan dan harganya:

1. Barangan yang dijual mestilah dalam bentuk harta yang bernilai menurut syarak.
2. Barangan jualan hendaklah wujud ketika kontrak jual beli dimeterai.
3. Barangan jualan tersebut mestilah barangan yang bermanfaat menurut syarak dan uruf (kebiasaan orang ramai).
4. Barangan tersebut hendaklah boleh diserahkan daripada segi fizikal dan syarak.
5. Pihak yang berkontrak mestilah orang yang mempunyai kuasa ke atas barangan yang ingin dijual beli sama ada kuasa sebagai seorang penjaga atau kuasa sebagai pemilik.
6. Barangan tersebut mestilah dalam pengetahuan kedua-dua belah pihak.



Syarat-syarat sighah kontrak

1. Tidak wujud tempoh yang lama antara penawaran (ijab) dan persetujuan (qabul) yang boleh menggambarkan pada adatnya penawaran tersebut tidak diterima.
2. Perlu wujud persamaan antara persetujuan oleh pembeli dan penawaran oleh penjual dalam semua sudut.
3. Kesahihan jual beli tersebut tidak boleh dikaitkan dengan sebarang syarat atau dihadkan untuk tempoh tertentu.


2.2 Bayc al-Istisnac

2.2.1 Definisi bayc al-Istisnac



Menurut Bahasa

Pengertian al-istisnac dari segi bahasa ialah menyuruh atau meminta membuat sesuatu barangan. Manakala sesuatu barangan itu pula merupakan hasil kerja atau hasil usaha seseorang tukang atau pengusaha. Perkataan al-istisnac ini diambil dari perkataan sanaca yang bermaksud membuat, menghasilkan atau membina sesuatu. Allah s.w.t telah menggunakan perkataan sanaca ini iaitu dalam firmannya:

Maksudnya:

“….(begitulah) perbuatan Allah yang membuat dengan kukuh tiap-tiap sesuatu.


Menurut Ibn Manzur dalam kitabnya Lisan al-Arab, al-istisnac berlaku apabila seseorang menerima atau menggalakkan atau menyebabkan seseorang lain membuat sesuatu. Manakala menurut al-Fairuzabadi dalam kitabnya al-Qamus al-Muhit, al-istisnac ialah apabila seseorang meminta sesuatu dibuat untuk dirinya. Dalam bayc al-istisnac istilah bagi pembeli atau penempah barang ialah al-mustasnac. Tukang atau penjual barang pula dipanggil al-sanic. Manakala barangan pula dipanggil al-masnuc.

Dalam kata lain al-Istisnac merupakan tempahan terhadap sesuatu barang seperti menempah sepasang baju, sebuah rumah, sebuah katil dan sebagainya. Jual beli ini telah dilaksanakan oleh masyarakat kita sejak zaman-berzaman lagi dan berterusan sehingga kini.


Menurut Istilah

Dari sudut istilah pula, para ulama’ berselisih pendapat kerana berbeza fahaman tentang pensyariatannya. Oleh yang demikian ada di kalangan mereka yang memberikan definisi al-istisnac secara istilahi dan juga sebaliknya. Majoriti ulama’ mazhab membicarakan al-istisnac di bawah topik al-salam dan mereka tidak memberikan satu definisi khusus kepadanya. Sebaliknya ia dibincangkan dalam konteks kontrak salam iaitu apabila menjual sesuatu yang disifatkan dalam tanggungan yang berupa tempahan. Oleh itu, mereka menganggapnya sebagai kontrak salam pada pembuatan sedangkan kontrak salam berbentuk umum tidak mengkhusus kepada pembuat sahaja.

Namun begitu, mazhab hanafi mendefinisikannya sebagai akad ke atas barang yang ditempah sebagai hutang (dhimmah), dengan syarat membuat mengikut apa yang diminta. Fuqaha Hanbali pula menggunakan perkataan al-istisnac dengan maksud ia dikategorikan sebagai jual beli sesuatu dengan syarat. Bagi mereka ia tidak sama dengan al-salam.

Manakala Fuqaha Maliki dan Syafie mengkategorikannya sebagai bayc al-salam dengan mengambil definisi dan hukum-hukumnya dari bayc al-salam. Konsep al-istisnac sama dengan bayc al-salam dari segi keduanya adalah operasi tempahan barang. Cuma apa yang membezakan keduanya ialah jenis-jenis barang yang ditempah lebih umum jenisnya berbanding al-istisnac yang mana objek adalah khusus terhadap barang-barang yang ditempah khas dan begitu juga barang tempahan itu tidak semestinya daripada benda yang wujud dan beredar di pasaran.

Dalam era pembiayaan bank moden dan dunia pengkorporatan masa kini, barang-barang yang terlibat dan boleh diaplikasikan dalam kontrak istisnac adalah luas dan banyak. Ianya boleh diaplikasikan dalam industri berteknologi tinggi seperti industri penerbangan, lokomotif, industri perkapalan dan sebagainya. Barangan istisnac juga boleh terdiri daripada jenis mesin pengeluaran yang berbeza di kilang-kilang besar dan kedai-kedai pertukangan. Kontrak istisnac juga boleh diaplikasikan terhadap pembinaan bangunan perumahan, hospital, sekolah dan universiti.

Dari aspek pembayaran, al-istisnac membenarkan bayaran secara bertangguh dan tidak perlu menentukan tempoh bagi membuat dan menyerahkannya. Manakala bayaran bayc al-salam mestilah dibayar sekaligus semasa akad. Jelasnya bayc al-salam merupakan penangguhan terhadap penyerahan komuditi atau barang dengan pembayaran dilakukan lebih awal.

Al-Zuhaili mengatakan bahawa al-istisnac adalah suatu akad untuk membeli sesuatu yang akan dibuat oleh tukang berkenaan dan bahan serta kerja adalalah daripadanya (tukang) ataupun suatu akad yang dilakukan bersama seorang tukang untuk membuat satu kerja tertentu yang menjadi tanggungan ke atas dirinya.

Akad tersebut akan menjadi upahan (ijarah) bukan lagi tempahan pertukangan sekiranya bahan pembuatan itu terdiri daripada orang yang meminta kerja itu dilakukan, bukan daripada tukang itu sendiri. Ataupun dengan kata lain ianya hanya akan menjadi al-istisnac apabila tukang yang menerima tempahan ini membuatnya dengan menggunakan bahan-bahan kepunyaannya sendiri dan sekiranya sebaliknya ianya menjadi upahan.

Sebahagian fuqaha’ lain mengatakan bahawa perkara yang menjadi asas akad ini ialah kerja itu sahaja, kerana tempoh kerja adalah berkehendakkan supaya pertukangan dilakukan. Ia merupakan satu kerja.

Akad tempahan ini terlaksana dengan adanya ijab dan qabul daripada kedua pihak yang menempah dan pihak tukang yang akan membuatnya. Orang yang akan membeli sebagai penempah pertukangan (mustasnac ) dan orang yang menjual pula sebagai tukang (sonic) dan barang yang dibeli pula sebagai barang tempahan (masnuc). Contohnya apabila A dan B bersetuju untuk membuat kasut, permaidani, rumah dan sebagainya. Contoh yang lain ialah perkakas rumah seperti perabut di mana Hasan (penempah) dan Husin (pembuat) untuk membuat set bilik tidur atau kerusi. Maka segala bahan yang akan digunakan untuk membuat perabut tersebut akan disediakan oleh Husin. Akad ini hanya berlaku terhadap benda-benda yang biasa dan orang ramai selalu berurusan dengannya.

Mengikut pendapat yang lebih sahih di kalangan ulama’ Hanafi, ia adalah satu jual beli, bukannya janji untuk menjual dan bukan juga upahan. Perkara yang diakadkan ialah barang yang diminta supaya dibuat itu, bukannya kerja yang dilakukan oleh tukang yang membuat. Dengan kata lain, ia bukanlah upaha bagi kerja. Oleh kerana itu, adalah harus jika tukang berkenaan mengemukakan suatu yang sama bentuk dan sifatnya dengan yang dikehendaki, yang bukan dibuat olehnya ataupun yang telah dibuat olehnya sebelum akad.



2.2.2 Hukum Dan Dalil Pensyariatan Istisnac


Ulama’ yang mengharuskan akad al-istisnac adalah berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad s.a.w. bahawa baginda pernah meminta dibuatkan cincin sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:

عن ابن عمر رضي الله عنهما أن رسول الله صلى الله عليه وسلم اصطنع خاتما من ذهب وكان يلبسه فيجعل فصه في باطن كفه فصنع الناس خواتم ثم إنه جلس على المنبر فنزعه فقال: ((إني كنت ألبس هذا الخاتم وأجعل فصه من داخل)) فرمى به ثم قال: والله لا ألبسه أبدا)) فنبذ الناس خواتيمهم.


Maksudnya:
Daripada Ibn Umar Radhiyallahu canhuma bahawa Rasullullah s.a.w minta dibuatkan cincin dari emas. Beliau memakainya dan meletakkan batu mata cincin di bahagian dalam telapak tangan. Orang-orang pun membuat cicin. Kemudian beliau duduk di atas mimbar, melepas cincinnya dan bersabda: “Sesungguhnya aku tadi memakai cincin ini dan aku letakkan batu mata cincin di bahagian dalam telapak tangan,” Kemudian beliau membuang cincinnya dan bersabda, “Demi Allah, aku tidak akan memakainya selamanya.” Kemudian orang-orang pun membuang cincin mereka.

Dalam an-Nihayah fi Gharibil-Hadis di sebutkan:
اصطنع الرسول صلى الله عليه وسلم خاتما من ذهب.

Maksudnya:
“Rasulullah s.a.w minta dibuatkan cincin dari emas.”

Ibn al-Atsir menyatakan bahawa maksudnya beliau memerintahkan dibuatkan cincin untuknya.

Al-Kaisani dalam kitab Bada’I ash-Shana ‘i menyatakan bahawa al-istisnac telah berlaku secara ijmac sejak zaman Rasulullah s.a.w. tanpa ada yang menyangkal.

Menurut qias akad pertukangan adalah diharuskan kerana ia adalah suatu jual beli benda yang tiada seperti akad tempahan dan jual beli benda yang tiada adalah tidak diharuskan kerana Rasulullah s.a.w. melarang daripada menjual sesuatu yang tidak wujud lagi. Bagi ulama’ Hanafi, ia adalah harus berdasarkan istihsan, kerana ia sudah menjadi amalan biasa yang dilakukan oleh orang ramai pada setiap masa tanpa sebarang bantahan. Dengan ini pula ia menjadi sebagai satu ijmac dikalangan umat Islam terhadap keharusannya, dengan itu qiyas diketepikan, kerana Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda:

لا تجتمع أمتي على ضلالة
Maksudnya:
Umatku tidak bersekata atas suatu perkara yang sesat.

Kata Ibnu Mascud, “ Apa yang dilihat oleh Umat Islam sebagai baik, maka ia adalah baik di sisi Allah.

Mengikut pendapat ulama’ Maliki, Syafie dan Hanbali, akad tempahan pertukangan ini adalah sah atas aqad tempahan dan amalan biasa manusia. Dalam aqad ini dikenakan syarat yang sama seperti dalam aqad salam. Di antara syaratnya ialah hendaklah menyerahkan semua harganya dalam majlis aqadnya.

Mengikut ulama Syafie, aqad ini tetap dikira sah sama ada ditentukan waktu bagi menyerahkan barangan yang ditempah itu ataupun tidak, iaitu diserahkan segera.


2.2.3 Khilaf Ulama’ Mengenai Pensyariatan al-Istisnac

Ulama’ berbeza pendapat mengenai pensyariatan al-Istisnac di mana terdapat dua pendapat tentang pensyariatan kontrak al-Istisnac ini. Satu golongan berpendapat kontrak ini tidak harus berdasarkan kepada qiyas yang mengkehendaki sedemikian. Golongan yang tidak mengharuskan kontrak tempahan pertukangan secara terang-terangan ialah ulama Mazhab Syafie.

Selain daripada Mazhab Syafie, wujud juga penolakkan daripada sebahagian ulama Mazhab Maliki dan Hanbali. Mereka mengaitkan kontrak tempahan dengan kontrak salam dan oleh yang demikian, bagi mereka, menempah sesuatu barang hendaklah mengikut prosedur hukum kontrak salam.

Ini adalah kerana mereka menganggap bahawa tidak mungkin istisnac ini sebagai kontrak jual beli kerana ia merupakan jual beli benda yang tiada di tangan (bayc al-Macdum) dan tidak juga sebagai salam. Begitu juga tidak mungkin ianya seperti kontrak sewaan atau upah disebabkan mengambil upah ke atas kerja yang dimiliki atau dilakukan sendiri oleh orang yang mengambil upah.

Al-Zuhaili dalam kitab al-fiqh al-Islami Wa Adillatuha juga menyatakan perkara yang sama di mana ulama-ulama Mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali menolak penggunaan al-istisnac bahkan mereka mengaitkan jualan tersebut dengan jualan salam.

Namun begitu, ulama Mazhab Maliki mensyaratkan supaya tidak dinyatakan tukang tertentu yang akan membuatnya dan juga tidak dinyatakan bahan-bahannya yang tertentu semasa membuat tempahan. Mereka juga tidak mengharuskan kontrak tempahan sebagaimana yang difahami oleh Mazhab Hanafi.

Sepertimana ulama mazhab Maliki, ulama Syafie telah meletakkan syarat supaya barang yang hendak ditempah itu mestilah terdiri daripada bahan mentah yang sejenis yang tidak boleh bercampur-campur dengan jenis lain bagi mengharuskan kontrak al-Istisnac dan sekiranya bercampur daripada beberapa jenis, ia mestilah boleh diterangkan dengan jelas setiap bahagian dan sifat-sifatnya.

Ulama Mazhab Hanbali juga sekata dengan dua pendapat di atas yang mengatakan tidak sah urusniaga tempahan barang kerana ia tergolong dalam kategori menjual barang yang tiada ditangan.

Pandangan kedua terdiri daripada golongan ulama mazhab Hanafi yang mengharuskan kontrak tempahan berdasarkan istihsan, sebagaimana yang telah dinyatakan dalam tajuk pensyariatan al-istisnac terdahulu, iaitu amalan yang merujuk kepada ijmac al-camali sejak zaman Nabi s.a.w. hinggalah sekarang tanpa ada apa-apa bantahan.

Disamping itu terdapat juga hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ibn Mascud yang mengatakan bahawa sekiranya sesuatu perkara itu baik di sisi orang mukmin, maka baik di sisi Allah s.w.t. dan juga hadis yang menunjukkkan baginda melakukan perbuatan menempah sebentuk cincin.

Selain itu tempahan ini juga sebenarnya mengandungi ciri-ciri kontrak sewaan dan juga kontrak jual beli dan ini bererti ia mengandungi pengertian dua kontrak yang harus iaitu al-ijarah dan al-salam. Oleh sebab kedua-dua kontrak ini harus maka ciri yang ada pada kontrak tempahan yang juga menyamai ciri kedua-dua kontrak tersebut juga harus.

Dr. Ahmad al-Husadri dalam kitabnya yang bertajuk cilmu al-iqtisadi menyatakan bahawa selain daripada ulama Hanafi, kontrak ini juga diharuskan oleh ulama mazhab Maliki dan Hanbali. Ini bercanggah dengan apa yang dinyatakan oleh al-Zuhayli.

Sebagai kesimpulannya, memang terdapat pro dan kontra dalam pensyariatan al-istisnac di mana ulama mazhab Syafie telah menolak secara terang-terangan manakala ulama mazhab Hanafi telah mengharuskan kontrak tersebut.


2.2.4 Rukun-rukun Istisnac

Menurut ulama’ mazhab Hanafi dan mazhab Hanbali, rukun-rukun akad al-istisnac ialah ijab dan qabul dan disyaratkan di dalamnya apa-apa syarat yang terkandung di dalam akad jual beli dan upah.

Manakala ulama’ mazhab Maliki meletakkan rukun-rukun akad al-istisnac sama seperti yang terdapat dalam rukun-rukun akad upahan iaitu:
i. Pihak yang berakad (penempah dan tukang)
ii. Sighah (ijab dan qabul)
iii. Benda yang diakadkan


2.2.5 Syarat-syarat Akad Tempahan Pertukangan

Untuk menjadikan akad tempahan pertukangan ini sah, maka dikenakan beberapa syarat tertentu. Ia terbahagi kepada syarat umum dan syarat khusus. Syarat umum sama seperti syarat jual beli biasa seperti yang dijelaskan oleh penulis dalam tajuk konsep jual beli. Manakala syarat-syarat khusus untuk bayc al-istisnac adalah seperti berikut:

1) Menjelaskan jenis benda yang hendak dibuat, bentuk, kadar dan sifatnya, kerana ia merupakan barang jualan yang wajib dimaklumi. Syarat ini amat penting bagi menghilangkan unsur al-jahalah yang boleh membatalkan kontrak bayc al-istisnac dan mengelakkan daripada berlaku perbalahan di kemudian hari antara pihak yang berakad.

2) Hendaklah ia terdiri daripada barang yang biasa ditempah manusia seperti barang kemas, kasut, bekas minuman, keperluan binatang, barang-barang kenderaan dan barang-barang pengangkutan yang lain dan sebagainya. Menurut Ahmad al-Hajj al-Kurdi, al-masnuc mestilah sesuatu barang yang boleh berkembang bersesuaian dengan keperluan masyarakat. Tidak harus menempah sesuatu benda yang tidak biasa ditempah secara istisnac seperti al-Dibs (getah angur) kerana tidak biasa dilakukan oleh manusia, tetapi harus menempahnya secara salam. Pada zaman sekarang, istisnac terhadap pakaian sah kerana ia sudah menjadi satu kebiasaan dalam muamalat.

3) Hendaklah ia tidak dibataskan dengan waktu tertentu. Sekiranya penyerahan barang yang ditempah buat itu ditetapkan tempohnya, maka mengikut pendapat Imam Abu Hanifah, ia telah bertukar menjadi akad tempahan salam serta perlu memenuhi semua syarat untuk tempahan, seperti perlu menerima serahan harganya dalam majlis, tidak ada hak untuk kedua mereka yang berakad untuk melakukan khiyar apabila tukang telah menyerahkan barang yang ditempah buat itu sejajar dengan apa yang dinyatakan dalam akad. Alasan yang dipegang oleh Abu Hanifah dalam pendapatnya ini ialah apabila orang yang berakad menetapkan tempoh, maka ia telah mengemukakan makna tempahan salam. Yang diambil kira dalam semua jenis akad ialah maksud dan maknanya, bukan bentuk ungkapannya. Oleh itu, apabila ia menetapkan tempoh pada masa meminta atau menempah seorang tukang untuk membuat sesuatu perkara yang tidak harus dibuat tempahan pertukangan, seperti meminta seorang tukang sulam atau tukang jahit supaya menyulam atau menjahit sehelai baju dengan kerjanya sendiri, maka semua berpendapat bahawa ia akan bertukar menjadi tempahan.

Muhammad Ibn Hasan Al-Syaybani dan Imam Abu Yusuf menyatakan bahawa syarat had tempoh bayc al-istisnac dibolehkan kerana ia merupakan satu adat kebiasaan yang dilakukan oleh orang ramai. Jika dilihat kepada keperluan dunia moden hari ini, penentuan tempoh penyerahan barang amat bersesuian bagi menjamin keberkesanan dalam urusniaga al-istisnac.


Penulis juga berpandangan bahawa pendapat yang kedua ini adalah selaras dengan tuntutan kehidupan yang praktikal. Oleh itu, ia lebih utama untuk digunakan dalam aktiviti muamalat pada masa kini.

4) Barang mentah untuk menghasilkan al-masnuc mestilah disediakan oleh pekilang atau pengusaha. Sekiranya bahan mentah disediakan oleh pihak pembeli, kontrak ini akan menjadi kontrak al-ijarah.

5) Tempat penyerahan barangan yang ditempah mesti ditentukan jika ia memerlukan perbelanjaan dan pengurusan pengangkutan bagi menghindarkan pertelingkahan dikalangan penjual dan pembeli.

6) Bayc al-Istisnac tidak mensyaratkan pembayaran dilakukan dengan segera iaitu pada masa kontrak dibuat. Namun, pembayaran boleh dibuat sedikit semasa akad sebagai pendahuluan atau menangguhkannya atau dibuat secara berperingkat. Apa yang penting ialah harga barang ditentukan semasa akad.

7) Bayc al-Istisnac tidak mensyaratkan penjual menghasilkan sendiri barang yang ditempah. Penjual boleh meminta pihak ketiga menghasilkan barang tempah mengikut segala spesifikasi yang diminta oleh pembeli. Contohnya, dalam kes pihak bank bertindak sebagai pembeli kepada pemaju perumahan atas dasar bayc al-istisnac tetapi pembayaran dilakukan secara sepenuhnya oleh bank. Pihak bank kemudiannya menjual rumah tersebut kepada pelanggan dengan cara bayc al-istisnac di mana pembayaran dibuat secara berperingkat-peringkat kerana bayc al-istisnac tidak mensyaratkan pembayaran penuh di awal akad atau kontrak.


2.2.6 Sifat Akad Tempahan Pertukangan

Terdapat dua pendapat yang menyentuh mengenai sifat akad al-istisnac. Pendapat pertama mengatakan bahawa ianya adalah daripada jenis akad yang tidak mengikat iaitu tidak wajib bagi pembuat untuk menjualnya kepada penempah dan sebaliknya bagi penempah untuk tidak membelinya. Manakala pendapat yang kedua ialah pendapat yang bertentangan dengan pendapat pertama yang mana sifat akad al-istisnac dikira mengikat bagi kedua-dua belah pihak.

Sifat akad tempahan pertukangan adalah suatu kadar yang tidak mengikat sama ada sebelum dan selepas selesai melakukan kerja pertukangan. Setiap orang dari kedua mereka yang berakad mempunyai hak membuat pilihan (khiyar) sama ada mahu meneruskan akad ataupun memansuhkan dan menukarnya sebelum pihak yang meminta pembuatan itu melihat barang yang telah dibuat.

Disebabkan akad berkenaan tidak mengikat dan yang menjadi objek akad pula bukanlah barang yang tertentu itu, bahkan suatu yang bersamaan dan menjadi tanggungan ke atas tukang, maka dengan itu hukumnya harus sekiranya tukang yang membuat barangan itu menjual barang yang dibuatnya itu sebelum ianya dilihat oleh orang yang menempah barang tersebut.

Namun demikian hak khiyar bagi tukang atau pembuat barangan itu akan sendirinya gugur apabila tukang membawa barang yang dibuat kepada penempahnya kerana semasa dia (si tukang ) membawa kepadanya (si penempah) maka bererti dia telah rela supaya barang tersebut untuk penempah berkenaan. Pada masa itu mengikut Abu Hanifah dan Muhammad penempah berhak membuat pilihan sama ada mahu menerimanya atau mahu menolaknya dan memansuhkan akad kerana ia telah pun membeli barang yang ia tidak melihat, oleh itu ia berhak membuat pilihan (khiyar).

Ini berbeza dengan tukang, kerana ia adalah menjual barang yang tidak dilihat. Oleh itu dia tidak berhak membuat pilihan.

Pendapat yang kedua pula mengatakan bahawa akad tempahan pertukangan ini merupakan satu akad yang mengikat (lazim). Ini bermakna apabila penempah melihat barangnya, maka dia tidak berhak untuk membuat pilihan jika barang tersebut menepati seperti apa yang diminta dan mengikut segala syaratnya. Ia menepati seperti jualan al-salam (tempahan) yang mana penempah tidak berhak untuk melakukan khiyar ru’yah bagi menghindarkan kemudharatan yang mungkin menimpa tukang kerana terpaksa memusnahkan bahan yang digunakan bagi menyiapkan barang tempahan tersebut yang telah pun dibuat menepati permintaan penempah. Lagipun ada juga kemungkinan barang yang telah dibuat itu terpaksa dibuang disebabkan tidak terdapat orang lain yang sanggup membelinya. Pendapat ini telah dikeluarkan oleh Abu Yusuf.

Walaupun begitu, pendapat dan alasan yang dikeluarkan oleh Abu Yusuf itu telah cuba ditolak oleh pendapat yang pertama dengan mengatakan bahawa kemudaratan yang akan menimpa penempah dengan sebab tidak boleh membuat pilihan (khiyar) adalah lebih besar berbanding dengan yang menimpa tukang atau pembuat barang itu. Ini adalah kerana mengikut hujahnya dalam apa cara pun ia berkemungkinan boleh menjual apa yang telah dibuatnya kepada orang lain.

Menurut penilaian yang telah dibuat oleh al-Zuhayli juga pendapat peribadi penulis dan juga penulisan-penulisan terkini di internet. Pendapat Abu Yusuf ini yang telah dipilih oleh al-Majalah al-Ahkam al-cAdliyyah itu adalah lebih tepat dan lebih sesuai untuk digunakan di zaman yang moden ini. Ianya dapat menghalang daripada timbulnya pertelingkahan dan pertelagahan antara kedua pihak yang telah berakad dan juga bagi mengelakkan kemudaratan akan menimpa pihak yang membuat atau tukang tersebut.

Selain itu, akad lazim dianggap dapat mengelakkan kerugian yang dialami oleh tukang barang tersebut kerana sudah semestinya dia akan menggunakan segala sumber-sumber yang ada untuk menyiapkan barang tersebut. Kerugian yang dialami ketika penempah membatalkan kontrak tersebut tanpa ada alasan yang kukuh walaupun barang menepati ciri-ciri yang dikehendaki di dalam akad.

Keinginan dan selera manusia berbeza mengikut perbezaan sesuatu benda, baik dari segi saiz, bentuk dan caranya. Jadi ini akan membebankan kepada pembuat untuk mencari pembeli yang mempunyai keinginan yang sama ataupun memerlukan barang yang telah ditolak oleh oleh penempah. Selain itu, pendapat ini adalah selaras dan sesuai dengan dasar adanya kuasa ikatan bagi setiap akad secara umum dalam syariah, disamping ia selaras suasana masa kini yang melibatkan tempahan bagi pembuatan barang-barang besar dan mempunyai harga yang sangat tinggi, seperti kapal-kapal, kapal terbang dan sebagainya yang tentunya tidak munasabah dalam tempahan seperti ini akad perjanjian tidak mengikat.


2.2.7 Hukum Al-Istisnac

Sabit hukuman atau sah hak bagi pihak yang membuat tempahan, apabila tukang yang membuat barang tersebut membawa barang yang ditempahnya secocok ataupun sama dengan apa yang dikehendaki dan dengan sifat yang disyaratkan di dalam akad yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak di awal kontrak. Namun demikian, pensabitan tadi tidaklah berlaku sehinggalah terputus khiyar ru’yah untuknya apabila melihat. Jika penempah barang berpuashati maka dia boleh mengambilnya dan jika sebaliknya maka dia boleh untuk tidak mengambilnya.

Bagi pihak tukang pula, mengikut zahir riwayat, apabila penempah telah melihat dan bersetuju serta redha dengan barang yang telah dibuat berdasarkan kriteria-kriteria yang telah dinyatakan dan dipersetujui di dalam akad, maka pemilikkan terus sabit. Pembuat barang tidak mempunyai sebarang hak untuk membuat pilihan selepas itu.


2.2.8 Perkara-perkara Yang Mengakhiri dan Membatalkan Akad

Terdapat beberapa perkara yang membatalkan dan mengakhiri proses akad al-Istisnac
iaitu:
i. Berakhirnya akad tempahan ini dengan kematian tukang yang membuat barang itu dan penempahnya.
ii. Apabila barang tempahan diserahkan kepada penempah dan pihak penempah menerima barang tempahan tersebut.
iii. Apabila hilang atau gugurnya salah satu daripada syarat-syarat sahnya akad al-istisnac.
iv. Apabila salah satu daripada kedua pihak menarik diri sebelum pelaksanaan kontrak.
v. Sepertimana perkara-perkara yang membatalkan kontrak upahan.


2.3 Perkaitan Antara Bayc al-Istisnac dan Bayc al-Salam

Memandangkan konsep pelaksanaan akad al-istisnac menyerupai dan seakan-akan jual beli salam, maka penulis ingin menyelitkan sedikit perkaitan antara al-istisnac dan al-salam. Hubungan ini boleh dikaitkan merujuk kepada definisi, pensyariatan, rukun, syarat persamaan dan perbezaan antara keduanya.


2.3.1 Definisi bayc al-Salam


Bayc al-Salam adalah berasal daripada perkataan arab iaitu sallama atau aslama yang bermaksud membayar wang pendahulan sebelum penyerahan barang. Selain daripada kata akar tersebut terdapat satu lagi perkataan yang mempunyai maksud yang sama iaitu aslafa atau salafa. Pada hakikatnya penggunaan kedua-dua perkataan tersebut adalah membawa makna yang sama, cuma pembawaan penggunaan istilah tersebut di tempat yang berlainan yang membezakan kedua-duanya. Perkataan salaf digunakan oleh penduduk Iraq manakala salam popular dikalangan penduduk hijaz.

Berdasarkan kepada definisi tersebut, bolehlah di ertikan bayc al-salam berlaku dalam keadaan seseorang pembeli membayar barang atau nilai tertentu untuk mendapatkan barang yang dikehendaki dengan sifatnya tertentu pada masa akan datang. Terdapat juga ulama yang mendefinisikannya sebagai satu jenis kontrak yang melewatkan penyerahan barang yang dikontrakkan dengan mendahulukan harga dalam majlis akad. Dengan maksud yang lebih ringkas, seseorang itu menempah barang dari penjual dengan menjelaskan bayaran terlebih dahulu dan menangguhkan barangan untuk kesuatu tempoh. Ini belawanan dengan bayc al-muajjal yang menangguh bayaran.

Ulama Syafie dan Hanbali mendefinisikannya sebagai satu akad ke atas suatu perkara yang disifatkan dalam tanggungan (al-dhimmah) serta bertangguh dengan harganya diterima majlis akad berkenaan.

Ulama Maliki pula mendefiniskan al-salam sebagai jualan yang didahulukan harga dan ditangguhkan barangan kesuatu tempoh.

Ulama mazhab Hanafi pula mengatakan ia sebagai jual beli bertangguh dengan tukaran yang disegerakan.

Berdasarkan kepada definisi yang telah dijelaskan di atas, maka disimpulkan bahawa al-salam ialah satu kontrak ke atas suatu barang yang dinyatakan sifat-sifatnya dalam tanggungan secara bertangguh dengan harganya diterima dalam majlis akad.


2.3.2 Pensyariatan akad bayc al-salam

Asas pensyariatan akad tempahan terdapat di dalam al-quran dan al-sunnah serta ijmac ulama.

Dalam asas al-quran terkandung ayat yang berhubung dengan penghutang, berdasarkan firman Allah s.w.t. :

Maksudnya:
Wahai orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu….

Sewaktu mentafsir ayat ini Ibn Abbas telah berkata, “ Aku bersaksi bahawa tempahan yang terjamin untuk suatu tempoh yang tertentu telah dihalalkan oleh Allah dalam al-quran dan telah diberikan kebenaran untuknya.” Beliau kemudian membaca ayat ini.

Asas daripada al-Sunnah pula ialah, hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah tiba ke Madinah, sedang peduduknya mengamalkan tempahan terhadap buah untuk tempoh setahun, dua tahun ataupun tiga tahun. Baginda lalu bersabda:

عن ابن عباس رضي الله عنهما قال قدم النبى صلى الله عليه وسلم المدينة وهم يسلفون بالثمر السنتين والثلاث فقال من أسلف فى شيء ففى كيل معلوم ووزن معلوم إلى أجل معلوم.

Maksudnya:
Nabi memasuki Madinah dan mendapati mereka (orang-orang) Madinah) membuat urusniaga salam buah-buahan dua tahun dan tiga tahun, lalu Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa membuat urusniaga hutang piutang (salam) pada suatu benda maka hendaklah urusniaga itu mengikut sukatan yang tertentu da timbangan yang tertentu serta tempahan yang tertentu”.
Asas ijmac pula, sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn al-Mundhir, “Para ahli ilmu yang kami tahu, adalah telah ijmac bahawa tempahan adalah harus.” Lagipun orang ramai memerlukan akad ini kerana pemilik tanaman, buah-buahan dan perniagaan sangat memerlukan kepada perbelanjaan untuk mereka ataupun tanaman mereka dan sebagainya, sementara menanti buahnya masak, maka tempahan diharuskan bagi memenuhi keperluan mereka .

Akad tempahan ini adalah pengecualian daripada kaedah asal yang tidak mengharuskan jualan barang yang tidak ada kerana ternyata ia mempunyai kepentingan dari segi ekonomi bagi memberikan kelonggaran dan kemudahan kepada orang ramai.


2.3.3 Rukun dan syarat

Terdapat empat rukun jual beli salam iaitu pihak yang mengikat kontrak, sighah kontrak, modal yang di bayar dan barangan yang ditempah. Kesemua rukun-rukun ini mempunyai syarat-syarat tertentu.

1. Rukun pertama: Pihak yang mengikat kontrak (pembeli dan penjual)

Pembeli ialah orang yang mendahulukan wangnya untuk mendapatkan barangan yang dikehendaki. Dalam istilah arb dikenali sebagai muslim.

Penjual ialah orang yang menerima wang sebagai bayaran kepada barangan yang akan diberikan . Dalam istilah arab dikenali sebagai muslam ilaih. Kedua-dua pihak ini terikat denga syarat-syarat yang ditetapkan kepada pembeli dan penjual dalam kontrak jual beli iaitu berakal, baligh, sukarela dan sebagainya.

Walaubagaimanapun dalam jual beli salam tidak dikenakan syarat boleh melihat. Oleh itu orang buta boleh melakukan jual beli salam tetapi tidak boleh membuat jual beli biasa. Ini kerana dalam jual beli biasa kedua-dua pihak disyaratkan melihat barangan yang dijual sementara dalam jual beli salam barangan tersebut hanya dinyatakan sifat-sifatnya sahaja. Jadi sifat-sifat ini boleh diketahui dengan cara mendengar. Sementara ketika menerima pula, orang buta boleh mewakilkan kepada sesiapa sahaja bagi memastikan sifat-sifat yang dinyatakan itu wujud.


2. Rukun kedua: Sighah kontrak

Sighah kontrak ialah penawaran (ijab) dan persetujuan(qabul). Contohnya, pemilik modal berkata: Saya dahulukan RM1,000.00 ini untuk mendapat 100 helai baju yang sifat-sifatnya seperti berikut. Manakala penerima pula berkata: Saya setuju atau saya terima pembayaran yang didahulukan ini atau sighah yang seumpamanya.

Penawaran dan persetujuan in juga terikat dengan syarat-syarat yang bagi sighah kontrak jual beli biasa seperti mesti berada dalam satu tempat, wujud persamaan antara penawaran dengan persetujuan dan sebagainya. Cuma terdapat syarat tambahan dalam jual beli salam iaitu sighah tersebut mesti menyatakan lafaz salam atau salaf dan tidak sah jika menggunakan lafaz lain.

Selain itu, kontrak ini juga disyaratkan tidak mengandungi sebarang khiyar syarat. Maksudnya kontrak tersebut mestilah kontrak penuh kerana khiyar syarat hanya dibenarkan bagi kontrak jual beli biasa sahaja. Ia tidak boleh disamakan dengan jual beli yang lain. Dengan itu, khiyar syarat di sini kekal dengan hukum asalnya iaitu tidak dibenarkan.

Selain itu dalam jual beli salam, modal perlu diberikan dalam majlis kontrak sedangkan jika khiyar syarat wujud dalam kontrak ini, perkara ini boleh menghalang maksud tersebut. Ini kerana khiyar syarat menghalang penerima modal daripada memperolehi hak penuh terhadap modal tersebut. Penerimaan modal tersebut mungkin hanya sekadar bayangan dan ini akan menyebabkan kedua-dua pihak berpisah sebelum kontrak tersebut sempurna dimeterai, prosedur ini tidak dibenarkan. Dengan ini, kontrak jual beli salam yang membabitkan syarat khiyar dianggap tidak sah.

Walaubagaimanapun khiyar majlis pula boleh diadakan dalam kontrak jual beli salam kerana khiyar tersebut tamat apabila kedua-dua pihak berpisah. Dengan itu, perpisahan kedua-dua pihak menunjukkan kontrak tersebut telah sempurna. Jadi tidak wujud percanggahan antara khiyar majlis dengan syarat-syarat yang ditetapkan dalam jual beli salam.


3. Rukun ketiga: Modal

Modal ialah bayaran yang dibuat oleh pembeli sebagai mendahulukan bayaran kepada penjual. Antara syarat-syaratnya ialah:

a) Jumlah dan bentuk pembayaran hendaklah dimaklumi oleh kedua-dua pihak.
Contohnya bayaran yang dibuat ialah RM1000.00. Jika bayaran yang dibuat menggunakan barangan yang boleh disukat atau ditimbang seperti gandum, gula atau sebagainya, jumlah sukatan dan timbangan perlu dinyatakan. Contohnya 2,000 cupak atau 2,000 kati. Selain itu, kualiti barangan tersebut juga perlu dinyatakan.

Jika bayaran tersebut boleh dilihat contohnya pembeli membayar seguni gandum bagi mendapat barangan tertentu ataupun pembeli menggunakan dirham, pembeli disyaratkan menyatakan jumlah bayaran tersebut tetapi tidak perlu menyebut sifat, jenis dan spesifikasi barangan tersebut kerana keterangan boleh digantikan dengan penglihatan.

b) Penyerahan modal oleh pembeli dan penerimaan modal penjual perlu dalam masa kontrak iaitu sebelum mereka berpisah secara fizikal kerana penyerahan ini adalah objektif asal dalam jual beli salam.

Jika penyerahan ini tidak berlaku, bermakna tidak wujud kontrak jual beli. Sebaliknya ia berubah kepada menjual hutang dengan hutang yang tidak dibenarkan. Penerimaan tersebut disyaratkan mestilah penerimaan yang hakiki. Jika modal itu dipindahkan (hawalah) daripada pihak ketiga yang berhutang dengan pembeli supaya dibayar kepada penjual, maka ia tidak sah. Ini kerana pemindahan hutang (hawalah) tidak termasuk dalam kategori “menerima” (al-Qabdhu)


4. Rukun keempat: Barangan yang ditempah

Barangan yang ditempah ialah barangan yang dijual dalam kontrak dan penjual berjanji menyerahkannya kepada pembeli sebagai timbale balik kepada modal yang dibayar sebagai bayaran yang didahulukan. Syarat-syarat yang ditetapkan ialah:

a) Barang tersebut mestilah boleh dinyatakan sifat-sifat dan ciri-cirinya.
b) Barangan tersebut mestilah dikenalpasti jenis, kualiti, jumlah dan sifat oleh kedua-dua pihak.
c) Barangan tersebut tidak bercampur dengan pelbagai barangan berlainan jenis.
d) Barangan tersebut mestilah diperhutangkan iaitu barangan dalam tanggungan (zimmah) yang hanya dinyatakan sifat tanpa merujuk kepada barangan tertentu.
e) Barangan tersebut mampu diserahkan.
f) Tempoh penyerahan perlu ditetapkan.
g) Tempat penyerahan perlu ditetapkan.



2.3.4 Syarat-syarat harga bagi barang tempahan


Mengikut Imam Abu Hanifah, jual salam ialah beli sesuatu barang dengan cara hutang. Antara Syarat-syaratnya ialah:

1. Orang yang memesan barang itu hendaklah menjelaskan sifat-sifat barang yang dipesan itu dan memberikan pendahuluan harga barang tersebut di dalam majlis akad.

2. Barang yang dipesan itu hendaklah ada di dalam pesanan ketika itu dan berterusan ada sehingga sampai waktu penyerahannya. Ini mengelakkan daripada sebarang penipuan. Sekiranya barang itu tidak ada dalam masa perjanjian itu dibuat ataupun pada masa tarikh penyerahan, maka mengikut sebahagian pendapat mazhab Hanafi perjanjian tersebut terbatal. Manakala menurut pendapat mazhab Syafie orang yang membuat pesanan itu boleh membuat pilihan sama ada menunggu sehingga barang tersebut diperolehi atau membatalkan perjanjian tersebut dan menuntut balik cengkeram yang telah dibayar.

3. Bayaran juga hendaklah secara bertangguh.

4. Orang yang memesan itu hendaklah menjelaskan dengan jelas jenis barang yang dipesan seperti kapas, gandum, atau sebagainya serta jumlahnya sama ada mengikut timbangan, sukatan, atau bilangan

5. Menentukan tempat penyerahan.

6. Sekirannya penjual itu meningal dunia maka perjanjian itu terbatal. Ini seperti hutang juga apabila orang yang memberi hutang itu meninggal dunia maka hutang tersebut terbatal dengan sendirinya.


2.3.5 Persamaan antara bayc al-salam dengan bayc al-istisnac

Apabila melihat sekali imbas, antara kontrak al-salam dan al-istisnac sememangnya ada diantara kita yang sukar untuk membezakannya dan menganggapnya adalah sama. Ini adalah kerana kedua-dua kontrak tersebut daripada konsep asasnya adalah merupakan sebuah akad jualan yang berbentuk tempahan terhadap suatu barang yang macdum (yakni tidak wujud sewaktu akad). Oleh sebab itulah majoriti ulama mazhab membicarakan al-istisnac di bawah topik al-salam dan mereka tidak memberikan satu definisi khusus kepadanya. Sebaliknya ia dibincangkan dalam konteks kontrak salam iaitu apabila menjual sesuatu yang disifatkan dalam tanggungan yang berupa tempahan.

Persamaan kedua yang boleh dilihat ialah dari segi fungsi kedua-dua kontrak tersebut iaitu ianya diharuskan kerana keperluan orang ramai. Kontrak al-istisnac dan al-salam adalah dua buah kontrak di mana ianya memberikan kemudahan kepada orang ramai yang inginkan sesuatu barang yang macdum dan menghendaki barangan tersebut mengikut citarasa sendiri.

Selain itu ianya juga memberikan jaminan adanya barangan tersebut di suatu masa yang akan datang dan dewasa ini ianya merupakan satu kelebihan dan keperluan khususnya kepada peniaga ataupun pengilang-pengilang di mana mereka memerlukan bekalan barangan yang berkekalan untuk diproses dan kemudiannya dipasarkan kepada umum. Sekiranya bekalan berkurangan ataupun tiada maka mereka akan menghadapi masalah untuk menghasilkan sesuatu produk.


2.3.6 Perbezaan Antara Bayc al-Istisna’ dengan Bayc al-Salam

Meskipun bayc al-Istisnac ini sama seperti bayc al-salam, yang mana keduanya merupakan jualan barang yang tidak wujud dan diharuskan kerana keperluan orang ramai, akan tetapi terdapat beberapa perbezaan antara keduanya. Antara perbezaan yang jelas kelihatan ialah :
1. Benda yang dijual dalam akad tempahan (al-salam) adalah barang yang tidak tentu yang menjadi tanggungannya, baik ia merupakan bahan yang disukat, ditimbang atau dibilang. Dalam tempahan pertukangan (al-Istisnac ) pula, ia barangan tertentu seperti upah membuat alatan rumah, kasut, menjahit baju dan sebagainya.

2. Dalam akad tempahan (salam) disyaratkan penerima harga tempahan dilakukan di majlis akad, iaitu si penempah barangan tersebut perlu menyerahkan kesemua harga bayaran bagi barangan tersebut ketika kontrak dipersetujui dan ini tidak disyaratkan dalam penerimaan tempahan pertukangan (istisnac).

3. Akad salam adalah mengikat (lazim) iaitu tidak boleh dibatalkan setelah dipersetujui. Manakala akad istisnac adalah tidak mengikat iaitu boleh dibatalkan sekiranya tukang belum memulakan kerja-kerja pertukangan.

4. Bayc al-istisnac tidak memerlukan syarat adanya tempoh yang tertentu dan ini berbeza daripada yang dinyatakan dalam akad bayc al-salam yang mana disyaratkan adanya tempoh waktu yang tertentu kepada orang yang menerima tempahan untuk menyerahkan barang tempahan tersebut mengikut tempoh yang telah dipersetujui.

5. Bayc al-Salam tidak boleh ditukar dengan barang yang sama seperti gandum dengan gandum, kentang dengan kentang dan sebagainya. Manakala dalam Bayc al-Istisnac dibolehkan.


2.4 Perbezaan di antara al-Istisnac dan Ijarah (upah)

Seperti yang telah dijelaskan terdahulu yang mana di dalam istisnac pihak tukang akan membuat barang tempahan tersebut dengan menggunakan bahan-bahan kepunyaannya sendiri atau dengan kata lain bahan tersebut adalah miliknya dan bukan milik si penempah. Sekiranya bahan untuk membuat barang yang ditempah itu adalah milik si penempah makan kontrak tersebut bukan lagi dipanggil kontrak istisnac (tempahan) sebaliknya ia telah bertukar menjadi kontrak upahan (ijarah). Oleh yang demikian, perbezaan antara istisnac dan ijarah ialah sumber bahan untuk membuat barang tempahan tersebut sama ada ianya datang daripada penempah ataupun milik tukang tersebut.


2.5 Kesimpulan

Walaupun terdapat khilaf dalam pensyariatan al-istisnac dalam kontrak-kontrak jual beli atau mumalat Islam, namun dapatlah disimpulkan bahawa al-istisnac adalah merupakan salah satu kontrak muamalah yang dibenarkan dalam perundangan Islam. Penggunaan kontrak istisnac di setiap zaman menunjukkan bahawa kontrak ini adalah kontrak yang biasa digunakan dan memberikan faedah yang berterusan kepada orang ramai dalam urusan jual beli khususnya jual beli yang melibatkan jualan macdum ataupun jualan barang yang tiada. Ianya merupakan satu kontrak yang mampu berkembang di zaman ini di mana urusniaga yang biasa diamalkan dewasa ini adalah melibatkan barangan yang tiada. Istisnac boleh digunakan sebagai kontrak pembiayaan untuk projek pembangunan perumahan, industri berteknologi tinggi dan sebagainya. Ianya memberikan banyak manfaat kepada orang ramai yang mana kebanyakkan mereka tidak mempunyai modal untuk memulakan sesuatu projek lalu mereka boleh menggunakan kontrak ini disebabkan pembiayaan ini memberikan kelonggaran dari segi pembayaran yang mana pembayaran secara ansuran adalah dibenarkan yakni yang menggunakan kontrak bayc bithman ajil iaitu jualan bertangguh.

Ahad, 11 Oktober 2009

Pembahagian Hadis: Suatu Pengenalan Ringkas



PENDAHULUAN

1.1 LATAR BELAKANG

Perkembangan ilmu sentiasa berterusan dari semasa ke semasa dan ianya tidak akan lupus sehinggalah berlakunya kiamat. Manusia sentiasa perlukan ilmu kerana ianya akan mendekatkan lagi diri seseorang itu dengan Penciptanya. Maksud firman Allah S.W.T :

“Diangkat oleh Allah S.W.T orang-orang yang beriman di antara Kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu dengan beberapa darjat ”Al Mujadalah : 11

Islam merupakan agama yang mementingkan ilmu pengetahuan seperti yang ternyata di dalam wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah S.W.T. : Maksud firman Allah S.W.T :

Bacalah (Ya Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang Menciptakan (segala makhluk yang di alam ini. Bacalah dan pelajarilah kejadian itu dengan tuntunan Tuhanmu) Yang telah mencipta (menjadikan) manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu Yang Amat Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan (perantaraan) kalam Yang mengajar manusia segala apa yang tidak (belum) diketahui. Al ‘Alaq : 1 – 5

Al-Qur'an dan al-Hadith merupakan dua sumber ilmu yang terdapat di dalam Islam. Segala ilmu yang bersumberkan nas-nas al-Qur'an dan al-Hadith dikenali sebagai ilmu naqli. Kebenaran yang terkandung di dalamnya merupakan kebenaran yang bersifat mutlak dan di luar jangkaan pengetahuan manusia.

Pengumpulan hadith-hadith Nabi S.A.W sebagai sumber rujukan Islam dimulai oleh Ali bin al-Mawafi ( 234 H ) iaitu guru kepada Imam al-Bukhari. Bermula daripada situlah lahirnya usaha-usaha untuk memisahkan hadith-hadith yang benar dan palsu yang terdapat dalam masyarakat. Ekoran itu maka lahirlah beberapa kitab Hadith yang masyhur seperti al jami’ as Sahih susunan Imam al-Bukhari ( 256 H ) dan al Jami’ as-Sahih susunan Imam Muslim ( 261 H ) . Kedua-dua kitab tersebut dikenali dengan nama as-Sahahain

Selepas kitab ini maka lahirlah pula empat buah kitab yang di namakan As-). الصحيحين( ( 275 H ), Sunan Al Tirmizi ( 271 Abi Daud) iaitu Sunan ن ناإلربعة (al-Arba’ah Sunnan

H ), Sunan An-Nasa’i ( 303 H ) dan Sunan Ibnu Majah ( 277 H ). Kitab-kitab as-Sahahain
الكتب (as-Sittah ini juga dinamakan oleh ulamak sebagai al-Kutub al-Arba’ahdan Sunan ).

Ternyata dalam perkembangan ilmu hadith Imam al-Bukhari dan Imam Muslim telah mendokong pengumpulan hadith-hadith sahih yang datang daripada Nabi Muhammad
S.A.W.

1.2 PERNYATAAN MASALAH

Kitab-kitab sahih al-Bukhari dan Muslim telah memuatkan beratus-ratus kategori dari berbagai-bagai bab yang menyentuh persoalan iman hinggalah kepada akhlak. Penggumpulan kepelbagaian hadith-hadith ini telah banyak membantu umat Islam membuat rujukan dalam bidang-bidang yang berkenaan.

Walau bagaimanapun sehingga hari ini belum terdapat satu penulisan pun yang mengasingkan bidang-bidang yang terdapat dalam kitab-kitab sahih al-Bukhari dan Muslim sebagai sebuah buku.

Permasalahan iman dan aqidah merupakan topik yang sentiasa menjadi perbincangan dalam masyarakat. Walau bagaimanapun konsep mentakhrijkan hadith daripada riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dalam bab iman dan akidah masih belum dilakukan lagi di negara ini. Oleh itu Penyelidikan ini menjuruskan kepada ‘mentakhrijkan’ hadith-hadith dalam bab iman dan aqidah agar ianya akan mempermudahkan lagi kefahaman umat Islam dalam bidang ini.

1.3 OBJEKTIF PENYELIDIKAN

1 Menyusun hadith-hadith sahih riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim dalam bab iman dan aqidah.

2 Menyenaraikan tajuk-tajuk tertentu dalam bab iman dan aqidah bersama-sama dengan matan hadith.


1.4 SKOP DAN BATASAN PENYELIDIKAN

Penyelidikan ini hanya ditumpukan terhadap hadith-hadith yang sahih sahaja yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim. Bidang Penyelidikan hanya difokuskan terhadap persoalan iman dan aqidah sahaja.


Definisi Istilah

Terdapat beberapa konsep dan istilah yang perlu diperjelaskan oleh penyelidik bagi menerangkan dengan lebih tepat kehendak dan keperluan perkara yang dibincangkan dalam Penyelidikan ini.
Takhrij

“ Takhrij ” bermaksud menyusun ataupun menyaring. Dalam Penyelidikan ini pengkaji akan melakukan penyaringan terhadap hadith-hadith sahih sahaja dalam bab iman dan aqidah.

Hadith
Dalam kitab Manhatul al Mughis Fi ‘iImi Hadith menyatakan bahawa hadith bermaksud perkataan, perbuatan dan pengakuan (taqrir) Rasulullah S.A.W. Sesetengah ulama menambah sifat-sifat Rasulullah S.A.W sendiri sebagai termasuk di dalam pengertian hadith.

Aqidah
Mengikut Kamus Dewan aqidah bermaksud keyakinan dan kepercayaan sepenuh hati terhadap sesuatu perkara. Apabila dirujuk terhadap kaca mata Islam ianya menjuruskan kepada keyakinan terhadap Allah S.W.T sebagai Pencipta dan Pentadbir segala-galanya.
Keimanan

Mengikut kamus dewan iman bermaksud kepercayaan akan adanya Allah dan mematuhi segala perintahNya. Keimanan pula membawa erti keyakinan dan ketetapan hati terhadap sesuatu. Maka dalam pengertian ini ianya menjuruskan kepada keyakinan dan ketetapan hati terhadap Allah S.W.T.

BAB DUA
HADITH SAHIH, HASAN, DHAIF
2.1 PENGENALAN

Hadith jika dilihat dari satu sudut kesahihannya daripada Rasulullah S.A.W. dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu hadith yang makbul (diterima) dan mardud (tidak diterima).

1. Hadith yang makbul pula dibahagikan kepada dua iaitu:

i. Sahih
ii. Hasan

2. Hadith yang mardud ialah hadith dhaif.


2.1.1 HADITH SAHIH:
Hadith sahih ialah Hadith yang mempunyai sanad yang berhubung daripada seorang perawi kepada perawi yang lain sehingga akhir sanad melalui perawi-perawi yang adil dan dhabit. Hadith itu pula tidak syaz dan ‘illah (tidak cacat).

Apa yang dimaksudkan dengan syaz ialah suatu hadith yang diriwayatkan oleh seorang yang thiqah tetapi hadith ini bertentangan dengan hadith yang diriwayatkan oleh orang yang lebih thiqah atau bertentangan dengan hadith yang diriwayatkan oleh beberapa orang thiqah.

‘Illah pula ialah kecacatan yang terdapat dalam sesuatu hadith yang menjadikan hadith itu tidak boleh diterima. Apabila tidak terdapat salah satu daripada lima perkara ini, suatu hadith itu tidak boleh dihukum sebagai sahih.


2.1.2 HADITH HASAN

Para ulama telah banyak memberi ta’rif mengenai hadith hasan. Di antara ta'rif-ta'rif itu yang lebih mudah dan jelas ialah ta’rif yang diberikan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-asqalabi. Beliau menjelaskan hadith Sahih li zatih ialah hadith yang berhubung sanadnya dari perawi yang adil dan dhabit kepada perawi yang adil dan dhabit. Hadith itu juga tidak mempunyai ‘illah dan tidak syaz. Seterusnya beliau menjelaskan jika perawi itu tidak juga mempunyai kekuatan ingatan ( khaf al-dhabit ) hadith yang diriwayatkan adalah hasan.

Daripada keterangan al-Hafiz Ibn Hajar di atas, dapat difahamkan bahawa hadith hasan ialah hadith yang mempunyai sanad yang berhubung daripada seorang perawi kepada perawi yang lain sehingga akhir sanad, melalui perawi-perawi yang adil dan mempunyai ingatan yang kurang sempurna, tidak syaz dan tidak mempunyai ‘illah.


2.1.2.1 CIRI-CIRI HADITH HASAN

Hadith hasan memerlukan lima perkara yang berikut:
1 Perawi setiap hadith itu mestilah berhubung diantara satu dengan yang lain.
2 Perawi itu mestilah adil.
3 Perawi itu tidak mempunyai kekuatan ingatan yang sempurna. Misalnya, hadith sahih memerlukan kekuatan menghafaz tidak kurang daripada 95%. Oleh yang demikian, hadith yang diriwayatkan oleh orang yang mempunyai kekuatan menghafaz hanya 85% sahaja adalah hadith hasan. Manakala hadith yang diriwayatkan oleh orang yang memiliki kekuatan menghafaz kurang daripada jumlah tersebut adalah lemah (dhaif).

4 Terhindar daripada syaz.
5 Tidak mempunyai ‘illah.


2.1.3 HADITH DHAIF.

Hadith dhaif ialah hadith yang tidak mempunyai ciri-ciri hadith sahih dan hasan. Kedhaifan sesuatu hadith sama ada disebabkan sanadnya tidak berhubung atau kerana sebab yang lain:

1. Tidak bersambung di antara seorang perawi dengan perawi yang lain.
2. Perawi tidak adil
3. Perawi tidak dhabit.
4. Mempunyai syaz.
5. Mempunyai ‘illah


2.2 PENGERTIAN HADITH SAHIH

Sahih menurut bahasa, lawan saqiem iaitu yang sihat, lawannya yang sakit dan bermakna haq iaitu lawan batil.

Definisi Ibn al-Shalah, Abu Amr Ibn al-Shalah mengatakan hadith sahih adalah musnad yang sanadnya bersambung melalui periwayatan orang yang adil lagi dhabit dari orang yang adil lagi dhabit (pula) sampai hujungnya, tidak syaz dan tidak mu’all (tidak ‘illah). Definisi menurut Imam Nawawi yang meringkaskan definisi Ibn al-Shalah:
Ertinya:
“Hadith sahih adalah hadith yang bersambung sanadnya melalui (periwayatan) orang-orang yang adil lagi dhabit tanpa syaz dan ‘illah).


. Bahagian Hadis Dhaif


Hadis-hadis dhaif mempunyai banyak bahagiannya iaitu:

1. Dhaif kerana tidak bersambung sanadnya. Ini termasuklah muallaq, munqati’, dan mursal.
2. Dhaif kerana terdapat perawi tidak adil. Ini termasuk munkar dan mudlis.
3. Dhaif kerana terdapat perawi tidak dhaif . Ini termasuk mudhtarab, maklub dan madruh.
4. Dhaif kerana syaz sama ada pada sanadnya atau pada matan atau kedua-duanya sekali.


Apa yang dimaksudkan dengan orang-orang yang adil lagi dhabit adalah dari perawi dalam sanad itu, iaitu yang diriwayatkan oleh perawi yang adil lagi dhabit dari perawi yang adil lagi dhabit (pula) dari awal sampai akhirnya. Definisi daripada Dr. M. ‘Ajaj al-Khatib pula memberi pengertian hadith yang muttasil sanadnya melalui periwayatan perawi thiqah dari perawi (lain) yang thiqah pula, sejak awal sampai akhir sanad tanpa syaz dan tanpa ‘illah.

Sahih menurut bahasa adalah dari kata shahha, yashihhu, suhhan wa shahahan, yang menurut bahasa bererti yang sihat, yang selamat, yang benar, yang sah dan yang sempurna. Para ulama biasa menyebut bahawa sahih ini sebagai lawan kepada kata dari saqiem (sakit). Maka kata hadith sahih menurut bahasa ialah hadith yang sah, hadith yang sihat atau hadith yang selamat.

Secara terminologi, hadith sahih didefinisikan oleh Ibn Shalah sebagai hadith yang disandarkan kepada Nabi yang sanadnya bersambung, diriwayatkan oleh perawi yang adil dan dhabit, diterima dari perawi yang adil dan dhabit hingga sampai akhir sanad, tidak ada kejanggalan dan tidak ber’illah. Ibn Hajar al-Asqalani mendefinisikan bahawa hadith sahih sebagai hadith yang diriwayatkan oleh seorang yang adil, sempurna kedhabitannya, bersambung sanadnya, tidak ber’illah dan tidak syaz.

Al-Qasimi juga mengemukakan definisi yang cukup ringkas yang hampir sama dengan yang dikemukakan al-Asqalani. Menurut beliau, hadith sahih ialah hadith yang bersambung sanadnya, diriwayatkan dan diterima daripada perawi yang adil lagi dhabit serta selamat atau terhindar dari kejanggalan dan ‘illah. Para ulama mendefinisikan hadith sahih sebagai hadith musnad yang mempunyai sanad yang bersambung dan diriwayatkan oleh perawi yang adil lagi dhabit daripada perawi yang adil lagi dhabit (dan begitulah seterusnya) hingga sampai kepada Rasulullah S.A.W., sahabat atau generasi selepas sahabat dan hadith berkenaan bukan hadith syaz atau hadith mu’allal. Hadith sahih juga ialah hadith yang diriwayat oleh periwayat-periwayat yang adil lagi dhabit (mempunyai ketepatan dan ingatan yang kuat). Sementara sanadnya hendaklah bersambung-sambung serta tidak cacat dan tidak syaz (janggal) yang bermula daripada awal hingga akhirnya. Al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan bahawa hadith sahih ialah hadith yang diriwayatkan oleh orang-orang yang adil, kuat ingatannya, bersambung-sambung terus sanadnya kepada Nabi S.A.W., tidak ada sesuatu yang cacat dan tidak bersalahan riwayat itu dengan riwayat orang yang lebih rajih daripadanya. Maksud hadith sahih yang lain ialah hadith diriwayatkan oleh perawi yang adil dan tidak mempunyai ingatan yang kuat serta sanadnya bersambung antara satu sama lain dan tidak mempunyai kejanggalan dan kecacatan.


2.3 PEMBAHAGIAN HADITH SAHIH

Hadith sahih terbahagi kepada dua iaitu sahih li zatih dan sahih li ghairih. Hadith sahih li zatih ertinya yang sah kerana zatnya, iaitu yang sahih dengan tidak ada bantuan keterangan lain. Menurut istilah, iaitu satu hadith yang sanadnya bersambung dari permulaan sampai akhir, diceritakan oleh orang-orang yang adil, dhabit yang sempurna, serta tidak ada syaz dan tidak ada yang tercela.


2.3.1 SAHIH LI ZATIH

Sahih li zatih ialah hadith yang asalnya sahih dan kesahihannya itu sesuatu yang asal bukan disebabkan oleh sebab faktor yang lain.

Didapati perawi-perawinya adalah thiqah (adil dan dhabit) dan yang thabit pula pengambilan hadith daripada seorang perawi kepada gurunya iaitu bersambung antara setiap perawi. Hadith itu tidak mempunyai sebarang kecacatan yang boleh menjejaskan kesahihannya. Dengan kata lainnya, hadith ini mencukupi syarat bagi hadith sahih.
Hadith sahih li zatih (sahih dengan sendirinya) juga hadith yang memiliki sifat-sifat qabul yang paling tinggi. Secara jelasnya hadith ini mempunyai kesinambungan pada sanadnya, pemindahan hadith tersebut dilakukan oleh seorang perawi yang adil, sabar dan sempurna dari awal hingga akhir, setiap perawi tidak ada yang tertinggal dan perawi itu mendengar daripada gurunya dan hadith ini juga diakui kesahihannya oleh imam yang mentashihkan hadith.


2.3.2 SAHIH LI GHAIRIH

Sahih li ghairih ialah yang asalnya tidak sahih tetapi disebabkan oleh faktor-faktor yang tertentu ia menjadi sahih. Pada asalnya, hadith ini ialah hadith hasan, tetapi disebabkan terdapat tariq lain yang yang meriwayatkan hadith ini, maka martabat hadith meningkat menjadi sahih. Oleh itu ia dinamakan hadith sahih li ghairih.

Dalam sanad hadith ini, terdapat Muhammad bin Amru. Menurut ulama hadith meskipun beliau bersifat adil, namun ingatannya tidak cukup kuat (dhabit). Oleh itu hadith ini menurut sanad ini dihukumkan sebagai hadith hasan.

Walau bagaimanapun hadith ini diriwayatkan melalui beberapa thariq, iaitu terdapat tariq lain yang meriwayatkan daripada Abu Hurairah, juga thariq yang meriwayatkan daripada Rasulullah S.A.W. selain Abu Hurairah.

Hadith ini telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abdullah Bin Yusuf daripada Malik daripada Abu Zinab daripada al-A’raj daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W..

Oleh itu hadith yang diriwayatkan melalui Muhammad Bin Amru yang pada asalnya hadith hasan, menjadi hadith sahih disebabkan beberapa thariq lain yang sahih. Oleh yang demikian ia dinamakan sahih li ghairih.

Hadith hasan akan menjadi sahih li ghairih hanyalah apabila terdapat thariq lain yang lebih kuat iaitu sahih, atau yang seumpamanya iaitu hasan sepertinya, sekiranya terdapat thariq lain yang lemah, maka hadith hasan itu tidak boleh menjadi hadith sahih li ghairih.

Hadith sahih li ghairih ( sahih kerana yang lain ) pula ialah hadith yang dikira sahih berdasarkan kepada perkara luar dan hadith berkenaan tidak mempunyai sifat-sifat qabul yang paling tinggi. Contohnya, sekiranya hadith hasan diriwayatkan daripada pelbagai turuq (saluran) yang dapat menyokong antara satu sama lain sehingga boleh meningkatkan darjat hasan kepada sahih. Ia juga sama dengan hadith hasan li zatih iaitu yang memenuhi syarat-syarat hadith sahih seluruhnya kecuali para periwayatnya semua sekali atau sebahagian daripada mereka kurang dhabit (daya ingatan dan hafalan), tetapi dengan kejujuran periwayatnya dan mendapat sokongan satu riwayat lain yang serupa atau lebih kuat. Sanadnya juga mempunyai kesinambungan.


2.4 SYARAT-SYARAT PENERIMAAN HADITH-HADITH SAHIH
2.4.1 PERAWINYA BERSIFAT ADIL

Keadilan di sini ialah orang yang selalu memelihara perbuatan, taat dan menjauhi perbuatan maksiat. Mereka juga menjauhi dosa-dosa kecil yang dapat merosakkan agama dan sopan-santun mereka. Mereka juga tidak melakukan perkara-perkara mubah yang dapat menggugurkan iman kepada qadar dan mengakibatkan penyesalan, dan tidak pula mengikut pendapat salah satu mazhab yang bertentangan dengan dasar syara’.
Seseorang periwayat yang bersifat adil ialah seorang yang beragama Islam, akil baligh, tidak pernah melakukan dosa-dosa besar, sentiasa taat kepada Allah, menjauhi maksiat dan dosa-dosa kecil yang menodai kesucian agama, tidak melakukan perkara-perkara yang menjejaskan keimanan, tidak melakukan perkara-perkara yang menjatuhkan kehormatan agama dan tidak mengikut pendapat mazhab yang berlawanan dasar syarak.

2.4.2 PERAWINYA MEMPUNYAI INGATAN YANG SEMPURNA

Ingatan yang sempurna ialah orang yang kuat ingatannya. Untuk mengambil sesuatu hadith, para muhaddithin mensyaratkan dalam mengambil suatu hadith, hendaklah diambil dari hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang bersifat adil lagi dhabit.
Maksudnya ialah seorang periwayat itu dapat menyampaikan hadith yang diterima daripada syeikhnya dengan tepat dan sempurna, tanpa terlebih atau terkurang, daya ingatannya lebih kuat daripada sifat lupanya dan kebenarannya lebih banyak daripada kesalahannya. Kedhabitan seseorang periwayat itu dapat diketahui dengan pengisytiharan dan pengakuan ahli-ahli hadith yang thiqah.

Keadilan seseorang periwayat itu dapat diketahui melalui pengisytiharan dan pengakuan orang ramai seperti pengakuan orang ramai terhadap keahlian imam-imam yang empat. Dhabit berlaku sama ada dhabit kitab (penjagaan buku) iaitu jika sesuatu hadith itu diterima secara catitan atau tulisan buku (kitab) periwayat itu dikehendaki memelihara dengan sempurna bermula daripada hadith itu diterima oleh gurunya (syeikh) hingga disampaikan kepada periwayat yang lain (murid-muridnya). Dhabit yang satu lagi ialah dhabit ingatan atau hafalan iaitu periwayat itu betul-betul hafal hadith yang diterima daripada gurunya sehingga hadith itu disampaikan kepada periwayat yang lain.

Kesimpulannya maksud dhabit itu ialah periwayat itu tidak pelupa, betul-betul ingat, mempunyai ketepatan dan penguasaan secara penuh akan hadith yang diterimanya disampaikan kepada periwayat lain.


2.4.3 SANAD HADITH BERSAMBUNG DAN SENTIASA BERTURUTAN

Yang dimaksudkan dengan sanad bersambung-sambung ialah sanad yang selamat dari keguguran. Dengan kata lain, bahawa tiap-tiap perawi dapat saling bertemu dan menerima secara langsung dari guru yang memberi.

Keadaan bersambung sanad ini berlaku dari awal sanad, tabaqat pertama (sahabat) hingga kepada periwayat terakhir yang menuliskan hadith tersebut tanpa tertinggal walaupun seorang periwayat (tanpa terputus). Dari keterangan di atas hadith mursal iaitu hadith yang gugur sanad daripada golongan sahabat, dan menurut pendapat yang paling rajih, hadith mursal dikategorikan dalam hadith dha’if, bukan hadith sahih.


2.4.4 TERHINDAR DARIPADA SYAZ (TIDAK JANGGAL)

Kejanggalan sesuatu hadith bergantung kepada pertentangan antara sesuatu hadith yang perawi yang diriwayatkan oleh perawi yang makbul dengan hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang lebih kuat disebabkan perawinya lebih ramai.
Maksudnya ialah sesuatu hadith yang diriwayatkan oleh seorang periwayat yang thiqah berada dalam keadaan syaz (janggal) berbanding dengan hadith yang diriwayatkan oleh periwayat-periwayat lain yang lebih thiqah (yang lebih dipercayai benar perkhabarannya ) daripadanya, sama ada syaz itu berlaku pada sanad atau matan hadith.


2.4.5 TIDAK BER'ILLAH

‘Illah ialah suatu keadaan (berupa kecacatan) yang menghalang sesuatu hadith untuk diakui sebagai hadith sahih. Umpamanya hadith yang diriwayatkan secara bersambung tetapi tertinggal seorang atau lebih periwayat. Ataupun dalam sanadnya terdapat seorang yang fasiq atau tidak sempurna ingatannya (tidak dhabit) dan sebagainya. Contohnya meriwayatkan hadith secara muttasil terhadap hadith mursal atau terhadap munqati’ dan sebaliknya.

Jika sesuatu hadith itu memenuhi kelima-lima syarat tersebut, ia boleh dikategorikan pada darjah dan tahap sahih yang boleh dijadikan hujah dan sandaran hukum.


2.5 TARAF HADITH SAHIH

Taraf hadith sahih adalah berbeza. Para muhaddithin telah memperkenalkan hadith daripada hadith yang lebih sahih. Mereka percaya bahawa hadith sahih berbeza antara satu sama lain berdasarkan kepada kekuatan sifat-sifat yang membolehkan hadith itu dihukum sahih. Berhubung dengan perbezaan taraf ini, Imam al-Nawawi tidak meluaskan perbincangan. Sebaliknya beliau hanya membahagikan hadith-hadith sahih itu kepada 7 bahagian, mengikut turutan antaranya:

i.Taraf kesahihan yang paling tinggi ialah hadith-hadith yang diriwayatkan yang
disepakati antara al-Bukhari dan Muslim.

ii.Diikuti oleh hadith yang hanya diriwayatkan oleh al-Bukhari sahaja..

iii.Hadith yang diriwayatkan oleh Muslim sahaja.

iv.Hadith yang memenuhi syarat yang dikenakan oleh al-Bukhari dan Muslim walaupun
hadith berkenaan tidak diriwayatkan oleh mereka.

v.Hadith-hadith yang memenuhi syarat yang dikenakan oleh al-Bukhari sahaja.

vi.Hadith yang memenuhi syarat yang dikenakan oleh Muslim sahaja.

vii.Hadith yang dihukum sahih oleh imam lain (ulama).

Perbezaan hadith sahih ini juga dilihat berdasarkan kepada negeri-negeri kelahiran, terutama ( difokuskan kepada bandar ) perawi itu sendiri. Sebilangan besar ulama memutuskan bahawa hadith yang paling sahih ialah hadith yang diriwayatkan oleh penduduk Madinah yang digelar sebagai negeri al-Sunnah al-Musyarrafah.

Ibn Taimiyyah menegaskan dengan katanya, “Para ahli hadith bersetuju mengatakan bahawa hadith yang paling sahih ialah hadith yang diriwayatkan oleh penduduk Basrah, dan diikuti penduduk Syam.” Al-Khatib al-Baghdadi ada menegaskan dengan katanya bermaksud, “Turuq hadith yang paling sahih ialah yang diriwayatkan oleh penduduk dua tanah haram Makkah dan Madinah. Ini kerana sedikit sahaja berlaku tadlis di kalangan mereka.”

Para ulama hadith berselisih pendapat berhubung dengan sanad yang paling sahih. Berdasarkan ini maka kita tidak boleh memutuskan bahawa sanad yang paling sahih adalah dikhususkan kepada seorang sahabat sahaja.


2.6 TOKOH-TOKOH HADITH

Pada kurun ketiga Hijrah, lahirlah ramai penghimpun dan pengumpul hadith. Walau bagaimanapun yang lebih terkenal di antaranya ialah:

i. Imam al-Bukhari ( 194 H – 256 H )
ii. Imam Muslim (206 H – 261 H )
iii. Imam Abu Daud ( 202 H – 275 H )
iv.Imam Tirmizi (209 H – 279 H )
v.Imam Nasa’i ( 215 H – 303 H )
vi.Imam Ibn Majjah ( 209 H – 273 H )

2.7 KITAB-KITAB HADITH SAHIH

Antara kitab-kitab yang dikumpulkan untuk hadith sahih ialah:

i.Sahih al-Bukharii.
ii.Sahih Muslim
iii.Sahih Ibn Huzaimah
iv.Sahih ibn Hibban
v. Al-sunan as- Sahahu li Sa’di Ibn as-Sukan

2.7.1 RASIONAL MENGETAHUI LATAR BELAKANG PERAWI

Sesungguhnya setiap sesuatu itu mempunyai sejarah tersendiri, sama ada baik mahupun sebaliknya, demikian juga dengan sejarah hidup periwayat. Mengetahui tentang sejarah hidup serta latar belakang setiap periwayat hadith adalah amat penting kerana untuk kita menerima atau menggunakan hadith tersebut sebagai hujah, maka ianya perlu nyata akan kesahihan hadith tersebut. Martabat seseorang perawi itu dinilai oleh para ulama terlebih dahulu sebelum hadith diterima. Jadi, kita telah ketahui bahawa penerimaan sesuatu hadith itu bukanlah boleh dibuat secara main-main tetapi ianya dibuat secara teliti dan berhati¬hati.

Bagi periwayat hadith, orang tersebut mestilah mematuhi syarat-syarat yang berikut iaitu, seseorang itu hendaklah mempunyai ilmu yang mendalam di dalam ilmu agama, serta memahami dengan baik al-Qur'an, as-Sunnah dan pengambilan hukum yang berkaitan daripada kedua-dua sumber tersebut. Seseorang itu juga hendaklah seorang yang bertaqwa, مجروح(majruh), wara' dan tidak dicaci serta dicela. Sesorang itu juga hendaklah sentiasa menjaga agama dan tidak ta'asub kepada mana-mana perawi serta mengetahui sebab yang membawa kepada taraf adil dan tercela atau sebab yang membawa kepada al-Jarh wa al-Ta'dil.


2.7.2 IMAM AL-BUKHARI

2.7.2.1 RIWAYAT HIDUP IMAM AL-BUKHARI

Nama penuh beliau ialah Muhammad Bin Ismail Bin Ibrahim Bin al-Mughirah Bin Bardizbah al-Ja’fa al-Bukhari. Perkataan al-Bukhari diambil daripada perkataan Bukhara iaitu nama suatu tempat di wilayah Uzbekistan. Beberapa orang ulama di dalam pelbagai bidang ilmu lahir dari daerah ini. Pada zaman itu tempat ini dianggap sebagai tempat yang bersejarah. Maka perkataan al-Bukhari ialah nisbah kepada Bukhara.

Imam al-Bukhari telah dilahirkan di Bukhara pada bulan Syawal tahun 194 H. Beliau meninggal dunia pada bulan Syawal tahun 256 H, iaitu setelah berusia 62 tahun. Beliau dilahirkan dari kalangan keluarga yang bertaqwa dan alim. Kedua-dua ibu bapanya adalah dari kalangan orang-orang yang soleh dan sentiasa menghampirkan diri kepada Allah. Bapanya meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi dan beliau diasuh oleh ibunya. Bapanya alim dalam bidang hadith. Beliau mempelajari hadith dari ulama-ulama yang agung pada masa itu seperti Hamad Bin Zaid dan Malik Bin Anas. Seorang tokoh hadith yang terkemuka pada masa itu, Abdullah Bin al-Mubarak menjadi sahabat karib beliau.

Ibn Hibban ( Muhammad Bin Hibban ) iaitu salah seorang ulama hadith yang terkenal telah mencatitkan nama bapa Imam al-Bukhari di dalam kitabnya al-Thiqat, “Bahawa Ismail ( bapa Imam al-Bukhari ) adalah seorang yang dikenali sebagai seorang yang soleh dan warak. Sewaktu hampir ajalnya beliau ada menerangkan kepada seorang kawannya yang bernama Uhaid Bin Hafs bahawa tidak terdapat di dalam hartanya milik yang haram dan yang syubhah walau satu dirham sekalipun.

Ibu Imam al-Bukhari juga seorang yang solehah, sentiasa menghampirkan diri kepada Allah. Imam al-Bukhari pada masa kecilnya terkena penyakit mata dan beliau tidak dapat melihat. Kemudian pada suatu ketika ibunya telah bermimpi bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s. baginda menerangkan kepadanya bahawa penyakit anaknya itu akan sembuh disebabkan doa yang banyak daripada ibu yang solehah.

2.7.2.2 LATAR BELAKANG PENDIDIKAN IMAM AL-BUKHARI

Imam al-Bukhari pada masa kecilnya adalah seorang kanak-kanak yang cerdik. Beliau belajar sejak berumur sepuluh tahun atau kurang sedikit daripada itu. Tempat beliau belajar ialah di dar al-Kitab. Ketika itu beliau mula menghafaz banyak hadith Rasulullah S.A.W..

Keinginan yang mendalam untuk mendalami pengajian dalam bidang hadith semakin meningkat. Ini menjadikan beliau selalu berulang-alik menemui guru-guru hadith yang terdapat di tempatnya seperti Muhammad Salam al-Bikundy, Abdullah Bin Muhammad al-Musandy, Harun Bin al-Ash’as dan Muhammad Yusuf al-Bikundy.

Pada masa beliau berumur sebelas tahun beliau telah dapat membetulkan kesilapan seorang guru yang bernama al-Dakhily. Al-Dakhily menerangkan kepada penuntutnya “Sufian mengambil hadith daripada Abi al-Zubair dan Abi al-Zubair mengambil dari Ibrahim", kata Imam al-Bukhari, “Abu Zubair tidak meriwayatkan daripada Ibrahim." Guru itu mengherdiknya dan al-Bukhari menjawab, “Silalah tuan guru rujuk kepada yang asal jika yang asal itu ada pada tuan.” Setelah guru itu merujuk kepada yang asal dan didapati apa yang dikatakan oleh al-Bukhari itu betul lalu ia berkata kepada al-Bukhari, “Siapakah yang sebenarnya yang meriwayatkan hadith itu, wahai kanak-kanak?” Jawab al-Bukhari, “Yang sebenarnya ialah al-Zubair iaitu al-Zubair Bin Adi yang mengambil hadith daripada Ibrahim.” Kemudian tuan guru pun mengambil kalamnya dan membetulkan kesilapannya.

Setelah Imam al-Bukhari berusia enam belas tahun beliau telah dapat menghafaz kitab-kitab yang ditulis oleh Ibn al-Mubarak dan Waki’. Kedua-duanya adalah yang termasyhur. Dalam usia yang sama juga beliau bersama-sama ibu dan saudara lelakinya yang tua yang bernama Ahmad telah pergi ke Makkah kerana menunaikan haji. Ibu dan saudaranya balik ke Bukhara setelah selesai mengerjakan haji, tetapi Imam al-Bukhari terus menetap di Makkah untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang hadith.

Di Makkah beliau telah dapat belajar dengan ulama-ulama hadith yang masyhur seperti Abu al-Walid Ahmad Bin Muhammad al-Azraqi dan Ismail Bin Salim al-Sayigh. Kemudian Imam al-Bukhari berziarah ke Madinah al-Munawwarah untuk bertemu dengan ulama-ulama hadith di sana di samping menziarahi makam Rasulullah. Di tempat yang mulia ini, Imam al-Bukhari telah mula menunjukkan bakatnya dalam bidang penulisan yang mana beliau telah menulis kitab yang memperkatakan tentang perawi-perawi hadith, sama ada thiqah atau dhaif yang dinamakan tarikh al-Takbir. Untuk lebih jelas berhubung dengan perkara ini maksudnya “Setelah aku berusia lapan belas tahun aku menulis kitab berhubung dengan qadhiah-qadhiah sahabat dan tabi’in kemudian aku mengarang kitab tarikh, di Madinah al-Munawwarah di sebelah makam Rasulullah S.A.W.. Aku menulis kitab ini pada malam sewaktu bulan sedang menyinari alam.

Setelah menetap di Madinah al-Munawwarah pada beberapa ketika Imam al-Bukhari terus menyambung dan meluaskan ilmu pengetahuannya mengenai hadith ke negeri-negeri lain termasuklah Hams, Damsyik, Mesir, Naisabur, Baghdad, Basrah, Kuffah, dan Wasit.
Menyentuh tentang guru-guru Imam al-Bukhari, sesungguhnya beliau mempelajari hadith daripada guru-guru yang unggul dalam bidang ini. Beliau mengambil hadith daripada 1,080 orang ulama. Guru-guru Imam al-Bukhari itu adalah terdiri daripada ulama-ulama yang thiqah (adil dan dhabit) sahaja, beliau tidak mengambil hadith daripada mereka yang tidak thiqah sekalipun banyak mempunyai ilmu.

2.7.2.3 GURU-GURU IMAM AL-BUKHARI

Di Bukhara iaitu tempat tumpah darahnya sendiri beliau telah belajar daripada Muhammad Bin Salam al-Bikundy, Muhammad Bin Yusuf, Harun bin al-Ash’as dan yang lain-lain. Di Balakh, Muky Ibn Ibrahim, Yahya Bin Basyr, Qutibah Bin Sa ‘id dan lain-lainnya.

Di Marwa, Ali Bin al-Hasan, Abdan Bin Abdullah, Muhammad Bin Muqatil dan lain¬lainnya. Di al-Ray, Ibrahim Bin Musa al-hafiz dan lain-lainnya. Di Baghdad, Sarih, Affan, Muhammad Bin Isa al-Toba’ dan lainnya. Di Basrah, Abi ‘Asim al-Nabil, Badl Bin al-Mahrab, Muhammad Bin Abdullah al-Ansari dan lain-lainnya. Di Kuffah, Abu Na ‘im, Thallaq Bin Ghanam, al-Hasan Bin al-Rabi’, Khilada Bin Yahya, Qabisah dan lain-lainnya. Di Makkah, Al-Hamidy dan dari al-Hamidy al-Bukhari mempelajari fikh al-Syafi’i, di Makkah juga beliau telah belajar daripada Abu al-Walid Ahmad Bin Muhammad Bin al-Azraqy, Abdullah Bin Yazid al-Marqy, Ismail Bin Salim al-Soi’ dan lain-lainnya. Di Wasit, Hasan Bin Abdullah, Sa’id Bin Abdullah dan lain-lainnya. Di Mesir, Ahmad Bin Salih, Uthman Bin Salih, Ahmad Bin Syabib dan lain-lain. Di Naisabur, Yahya Bin Yahya al-Tamimy, Basyr Bin al-Hakam, Ishaq Bin Rahuyah, Muhammad Bin Yahya al-Zahly dan lain-lain. Di Madinah al-Munawwarah, Abd al-‘Aziz al-Ausi, Matraf Bin Abdullah, Ibrahim Bin al-Mazur al-Huzaimy, Yahya Bin Qi’ah dan lain-lain.


2.7.2.4 KEISTIMEWAAN IMAM AL-BUKHARI

Imam al-Bukhari terkenal sebagai seorang ahli hadith yang mahir dan dapat memahami hadith-hadith Rasulullah dengan mendalam sekali. Beliau juga dapat membezakan di antara hadith yang cacat “ma’al” dan hadith yang sahih, mengenali perawi-perawi secara terperinci dengan mengenali sifat-sifat mereka sama ada thiqah atau tidak. Beliau dapat memahami serta hafaz hadith-hadith Rasulullah beserta dengan sanadnya sekali sehinggakan beliau digelar amirul mu’minin fi al-hadith.
Ketinggian ilmu Imam al-Bukhari dalam bidang hadith tersebar luas. Beliau mempunyai akal yang bijaksana, ketekunan dan ketabahan, serta galakan daripada ibunya selain menjadi pewaris bapanya dalam mengembangkan ilmu hadith.

Al-Subky telah menceritakan daripada seorang yang mengenali al-Imam al-Bukhari secara hampir iaitu seorang teman belajarnya Hasyd dan seorang teman lain. Kata mereka, “Kami bertanya al-Bukhari, mengapa kamu telah begitu lama tidak menulis hadith? “ Imam al-Bukhari menjawab, “Cuba kamu ambil hadith yang telah kamu tulis." Setelah kami ambil hadith itu yang berjumlah lebih daripada lima belas ribu, maka al-Bukhari pun membacakan hadith itu semua dan kami memperbetulkan hadith yang kami tulis itu melalui hafaznya. Kemudian katanya kepada kami “ Adakah saya sia-siakan masa selama ini?" Dengan itu kami mengakui bahawa al-Bukhari mempunyai kelebihan yang begitu istimewa.

Satu ujian besar telah dikenakan oleh para ulama Baghdad kepada beliau di mana sebagai ujian untuk menguji kekuatan ingatannya. Apabila sampai di sana beliau telah bertemu dengan mereka dan mereka meminta supaya beliau mengadakan pertemuan ilmiah. Setelah dipersetujui mereka pun memanggil ahli-ahli hadith yang terkenal supaya hadir ke majlis tersebut. Sebelum sampai masa yang ditetapkan, para ulama telah memilih seratus hadith yang dicampur-adukkan di antara matan satu hadith dengan sanad hadith yang lain, kemudian seratus hadith itu dibahagikan kepada sepuluh orang ahli hadith. Setelah sampai masa yang ditentukan maka sepuluh orang yang telah ditetapkan tadi pun bertanya kepada al-Bukhari secara bergilir-gilir, setiap seorang sepuluh soalan, kemudian setelah habis sepuluh soalan yang pertama, berpindah kepada orang yang kedua dan (Aku) .أدرى( hanya menjawab “ Al-Bukharibegitulah seterusnya sehingga selesai. Imam
tidak tahu).

Setelah selesai semua soalan dikemukan, al-Bukhari mengulang semula semua soalan-soalan itu sebagaimana yang mereka lafazkan, kemudian matan hadith beserta sanadnya yang asal dikembalikan dengan betul. Menurut Ibn Hijr perkara yang menghairankan ialah bagaimana beliau menghafaz semua matan dan sanadnya yang dicampur-adukkan itu satu persatu sehingga akhir, kebolehan beliau menghafaz segala sanadnya dan matannya yang betul ini memang sewajarnya diperakui kerana beliau seorang hafiz. Para ulama yang hadir begitu mengagumi kehebatan kekuatan ingatan dan ketinggian ilmunya dan mereka mengiktiraf kelebihan al-Bukhari.

Sebanyak empat ratus orang ahli hadith di Samarkand telah bersatu untuk mencari kelemahan al-Bukhari namun hasilnya tetap gagal. Sehubungan itu pengaruh al-Bukhari semakin tersebar luas sehingga setiap tempat yang beliau berada, ramai para ulama sama ada dari ahli hadith atau pun yang lainnya, meminta supaya beliau memberikan kuliyah mengenai hadith. Di Basrah umpamanya beliau telah dijemput untuk mengadakan majlis ilmiah yang dihadiri beribu-ribu orang termasuk muhadithun, hafiz, fuqaha’ dan ahli fikr. Kemudian beliau merencanakan hadith kepada mereka. Apa yang sangat menarik perhatian mereka ialah hadith yang direncanakan oleh Imam al-Bukhari ialah dari hadith ahli Basrah tetapi belum pun mereka ketahui dan beliau menerangkan sanad hadith yang mereka ketahui ialah begini-begini. Sedangkan sanad dari si polan ini belum lagi diketahui oleh mereka. Imam al-Bukhari juga telah menghafaz lebih kurang 100,000 hadith sahih dan 200,000 hadith yang tidak sahih. Beliau menghafaz hadith sahih untuk dijadikan hujah manakala hadith yang tidak sahih dihafaz untuk menolak dijadikan hujah.

2.7.2.5 PANDANGAN ULAMA TERHADAP IMAM AL¬BUKHARI


Sebagai seorang yang telah diberi gelaran amirul mu’minin fi al-hadith sudah tentu banyak sanjungan para ulama terhadapnya. Di sini diperhatikan beberapa pandangan ulama terhadap beliau:

1. Menurut Imam Ibn Huzaimah yang dinukil oleh al-Subky “aku tidak pernah melihat di bawah langit yang terbentang luas ini seorang manusia yang lebih alim dalam bidang hadith selain Muhammad Bin Ismail ( al-Bukhari ).”

2. Menurut Imam Ahmad Bin Hanbal yang dinukilkan oleh al-Subky “terdapat empat orang huffaz dari Khursan iaitu Abu Zar’ah, Muhammad Bin Ismail (al-Bukhari ), al-Daramy dan al-Hasan Bin Shuja’ al-Bahly.”

3. Menurut Muhammad Bin Salam sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Subky “Apabila terdapat budak ini ( al-Bukhari ) di dalam majlisku, aku merasa gelisah dan sentiasa rasa takut sehinggalah ia keluar.”

4. Menurut Ya’kub Bin Ibrahim al-Dawarqy “Al-Bukhari adalah fakih umat Muhammad.”

5. Imam Muslim telah berjumpa al-Bukhari lantas mencium dahinya di antara matanya dan katanya “Izinkan aku mencium kedua kakimu wahai guru bagi segala guru, ketua kepada segala ahli hadith dan yang dapat mengetahui segala kecacatan hadith.”

6. Menurut Salim Bin Mujahid yang dinukilkan oleh al-Subky “Aku belum pernah melihat sejak enam puluh tahun, orang yang lebih alim, wara’, dan lebih zuhud daripada Muhammad Bin Ismail.”

7. Menurut Abdullah Bin Abdul Rahman al-Daramy yang dinukilkan oleh Hijr “Aku telah banyak melihat ulama di Makkah, Kuffah, Basrah, tetapi belum pernah melihat orang yang lebih alim daripada Muhammad Bin Ismail.”

8. Menurut Imam al-Tirmizi yang dinukilkan oleh Ibn Hijr “Allah telah menjadikan engkau sebagai perhiasan kepada umat Muhammad ini.” Katanya lagi, “Aku belum
)رجال(dan rijal)علل(pernah melihat orang yang lebih memahami tentang ilal
selain Muhammad Bin Ismail.”

1 Menurut seorang tokoh hadith yang bernama Muhammad Bin Basyar yang dinukilkan oleh Ibn Hijr “Al-Bukhari adalah orang yang paling fakih pada zaman kami.”

2 Menurut al-Musnady yang telah dinukilkan oleh Ibn Hijr “Muhammad Bin Ismail adalah seorang imam dan sesiapa yang tidak mengatakan dia bukan imam maka hendaklah engkau meragui orang itu.”


2.7.2.6 HASIL KARYA IMAM AL-BUKHARI

Al-Bukhari telah memberi sumbangan yang besar kepada umat Islam. Dengan karyanya yang begitu banyak dan sangat bernilai. Di antara karyanya yang paling masyhur di kalangan umat Islam dan mendapat penilaian yang begitu tinggi ialah sahih Al-Bukhari. Malah karyanya yang lain ialah:
1 Raf’u al-Yadin fi al-Solat
2 Qiraat khalf al-Imam
3 Al-Tarikh al-Wast
4 Kitab al-Syurbah
5 Asamy al-Sahabat
6 Biral wa al-Din
7 Al-Tafsir al-Kabir
8 Khalq af ‘al al-Ibad
9 Kitab al-Alal
10 Qadha ya al-Sahabat wa al-Tabi ‘in
11 Kitab al-Musnad al-kabir
12 Kitab al-Wahdan
13 Kitab al-Mabsut
14 Kitab al-Hibbah
15 Kitab al-Kany
16 Kitab al-Fawaid
17 Al-Adabul mufrad
18 Al-Tarikh al-Saghir
19 Al-Tarikh al-Kabir
20 Kitab al-Dhua ‘fa’

2.7.2.7 SAHIH AL-BUKHARI.


Sahih Al-Bukhari, sebagaimana yang dikatakan oleh para ulama adalah merupakan kitab yang paling tinggi dari segi kesahihannya. Dengan lain perkataannya tidak terdapat sebuah kitab yang lebih sahih daripada sahih al-Bukhari selepas al-Qur’an.
Kitab ini disusun oleh imam al-Bukhari setelah beliau benar-benar mahir dan pakar dalam bidang hadith. Kitab ini disusun setelah beliau menjelajah ke merata negeri untuk menambah kemahiran beliau dalam bidang hadith. Penyusunan kitab ini mengambil masa yang begitu lama sekali. Tersusunnya kitab ini yang hanya mengandungi hadith-hadith sahih serta dengan penelitian yang begitu tinggi dan rapi yang hanya dapat dilakukan oleh orang yang benar-benar alim sahaja, memang selayaknya Imam al-Bukhari digelar sebagai amirul mukminin fi al-hadith.

Sahih al-Bukhari adalah karya Imam al-Bukhari yang paling dihargai dan merupakan sumbangan yang amat besar kepada umat Islam. Kitab ini telah pun tersebar ke seluruh dunia. Umat Islam, khususnya para ulama bertanggungjawab untuk memahami dan menganalisa hadith-hadith yang terdapat di dalamnya untuk dijadikan panduan hidup, demi meninggikan kedudukan umat Islam dan kebahagian mereka di dunia dan akhirat.

2.7.2.8 JUMLAH HADITH SAHIH AL-BUKHARI

Hadith sahih al-Bukhari mengandungi sebanyak 9,082 hadith termasuk yang terulang. Jumlah ini tidak termasuk hadith yang mauquf kepada sahabat, dan hadith maqtu’ kepada tabi’in dan selepas mereka. Hadith al-Bukhari yang mausul dan tidak berulang berjumlah 159 hadith. مرفوع(marfu’) dan معلق(muallaq2 berjumlah 602 hadis.


.7.2.9 TEMPOH PENULISAN SAHIH AL-BUKHARI

Imam al-Bukhari mengambil masa yang begitu lama iaitu selama enam belas tahun untuk menulis sahihnya. Hadith-hadith yang dikumpulkan itu diambil daripada sebanyak 600, 000 hadith yang didapatinya.

Perkara yang paling menarik ialah setiap hadith yang dimasukkan ke dalam sahihnya itu ialah hadith yang benar-benar telah diyakini sahnya, dan sebelum beliau memasukkan hadith itu ke dalam sahihnya, beliau beristikharah terlebih dahulu kepada Allah dengan sembayang dua rakaat.

Dari pengakuan Imam al-Bukhari di atas jelas menunjukkan bahawa hadith yang terdapat di dalam sahih al-Bukhari adalah hadith-hadith sahih sahaja. Para ulama telah membuat kajian yang mendalam terhadap sahih al-Bukhari dan mereka mengakui pengesahan dan hadith sahih al-Bukhari itu.

Pengumpulan sahih al-Bukhari dimulakan di Makkah kemudian usaha itu diteruskan semasa beliau di Madinah dan di Basrah sehingga beliau balik ke tempat asalnya, Bukhara.


2.7.2.10 CARA PENULISAN

Hadith-hadith yang terdapat dalam sahih al-Bukhari ialah hadith sahih. Pengesahan suatu hadith dinilai dari dua aspek:

i. Sanad
ii. Matan Sanad ialah jalan untuk sampai kepada matan hadith, dan matan pula ialah nas yang disampaikan sama ada nas itu perkataan, perbuatan, ikrar atau lainnya. Dari segi sanad disyaratkan hadith sahih mestilah:

a. Sanad sahih al-Bukhari :

i. Muttasil al-sanad segala perawinya berhubung.
ii. Perawi-perawinya itu mestilah adil.
iii. Perawinya itu mestilah dhabit.

Imam Abu al-Fadhl mengatakan, “Sesungguhnya al-Bukhari dan Muslim serta ahli hadith selepas kedua-duanya, tidak pernah mengatakan, “Aku mensyaratkan perawi-perawi yang terdapat di dalam kitab ini menurut syarat-syarat tertentu, tetapi diketahui syarat-syarat itu berdasarkan kajian kitab-kitab mereka.” Daripada kajian tersebut diketahui bahawa al-Bukhari dan Muslim mensyaratkan perawi-perawi itu hendaklah thiqah dan kethiqahan mereka tidak diperakui oleh para ulama yang thiqah. Kedua-duanya tidak mensyaratkan bahawa perawi-perawi yang mengambil hadith itu lebih dari seorang, tetapi perawi itu mestilah thiqah. Sanadnya hendaklah berhubung di antara satu sama lain sehinggalah sampai kepada sahabat yang menyampaikan sesuatu hadith daripada Rasulullah S.A.W.. Hanya Muslim meriwayatkan hadith-hadith yang diriwayatkan daripada perawi-perawi yang ditinggalkan oleh al-Bukhari. Sungguh pun begitu beliau telah menghilangkan keraguan yang dihadapkan kepada perawi-perawi itu.


b. Matan hadith

Sebagaimana yang telah disebutkan bahawa para ulama telah membuat kaedah-kaedah untuk mengesan hadith palsu dari segi matan, atau dengan lain perkataan membezakan matan hadith sahih daripada yang tidak sahih. Namun perlu diketahui bahawa penekanan yang lebih untuk mengetahui hadith yang palsu ialah melalui sanad. Apabila sanad hadith itu sahih, maka matan hadith itu diterima atau sekurang-kurangnya tawaquf.
Perlu diambil perhatian bahawa nas yang dibahaskan untuk diterima atau ditolak itu ialah yang berhubung dengan Muhammad S.A.W.. Rasulullah tidak boleh disamakan dengan manusia yang lain kerana baginda mendapat wahyu daripada Allah. Maka untuk menerima sesuatu yang dihubungkan kepada Rasulullah tidak seharusnya menggunakan ukuran yang diberikan kepada manusia biasa. Kemungkinan sesuatu yang diperkatakan oleh Rasulullah S.A.W. itu belum dapat diterima oleh akal pada masa itu tetapi akan diterima kebenarannya selepasnya kelak. Satu perkara harus diketahui bahawa ilmu pengetahuan dan akal manusia terbatas dan tidak menandingi ilmu dan wahyu Allah.

2.7.3 IMAM MUSLIM

2.7.3.1 RIWAYAT HIDUP IMAM MUSLIM

Nama sebenar Imam Muslim ialah Muslim Bin al-Khajjaj Bin Muslim al-Qushairi al-Nisabury. Imam Muslim lahir pada tahun 206 Hijrah dan meninggal dunia pada usia 55 tahun iaitu pada hari Ahad bersamaan 5 Rejab tahun 261 Hijrah. Beliau dikebumikan di sebuah kampung yang dikenali sebagai kampung Nasr Abad di luar kota Naisabur. Keluarga beliau merupakan golongan ahli ulama. Bapa beliau iaitu al-Khajjaj adalah merupakan antara ahli ulama yang masyhur di zaman itu. Imam Muslim telah mengarang kitab as-Sahih yang terkenal dengan kitab Sahih Muslim dan merupakan kitab yang kedua terkenal selepas Sahih al-Bukhari.


2.7.3.2 PENDIDIKAN IMAM MUSLIM

Sebagai seorang ulama, Imam Muslim telah mempelajari ilmu hadith mulai tahun 218 H di negeri beliau sendiri. Selain daripada negeri beliau sendiri, negeri yang menjadi tempat pengajian Imam Muslim ialah Hijjaz, Iraq, Syam, Mesir dan beberapa negara lain. Guru-guru Imam Muslim ialah Yahya Bin Yahya al-Nisabury, Qathibah Bin Saad, Abdullah Bin Muslimah al-Qa`naby, Ahmad Bin Yunus, Sa`id Bin Mansur dan banyak lagi yang telah menjadi guru kepada Imam Muslim sepanjang pengajiannya dalam ilmu hadith.
Selain guru yang telah disebutkan, guru yang sentiasa didampingi oleh Imam Muslim ialah Imam al-Bukhari yang ketika itu telah datang ke Naisabur. Imam Muslim telah belajar dan menyanjung tinggi gurunya itu sebagai seorang tokoh ilmu hadith yang masyhur dan begitu dihormati. Sewaktu berlakunya perselisihan faham antara Imam al-Bukhari dan al-Zihli yang juga merupakan guru Imam Muslim dalam masalah Ibadat Makhluqah, al-Zihli telah melarang murid-muridnya daripada mempelajari ilmu bersama Imam al-Bukhari. Namun demikian Imam Muslim telah keluar daripada majlis ilmu tersebut di khalayak ramai kerana tidak berpuas hati atas tindakan gurunya dan memulangkan segala hadith dan tidak meriwayatkan hadith al-Zihli dalam sahihnya.


2.7.3.3 PANDANGAN ULAMA TERHADAP IMAM MUSLIM

Imam Muslim mendapat sanjungan dan menjadi seorang yang disegani dan dihormati di kalangan para ulama serta umat Islam memandangkan keluasan ilmunya dalam bidang hadith, kematangan beliau dalam mengkritik dan menjawab segala masalah yang timbul dalam ilmu hadith khususnya hadith sahih, dhaif dan hasan. Menurut Ishak Bin Mansur sebagaimana yang dinukil oleh Ibn Hajr, “Kami sentiasa mendapat kebaikan selagi engkau masih hidup”.

Selain itu, menurut Muhammad Bin Abdul Wahab telah berkata Ibn Hajr “Muslim adalah daripada kalangan golongan ulama, beliau merupakan gedung ilmu dan seorang yang mulia.” Muslimat Bin al-Qasim berpendapat “Imam Muslim adalah seorang yang thiqah dan dihormati oleh para ulama.”

Al-Khatib pula telah berkata, “Muslim telah mengikuti jejak Imam al-Bukhari, memperhatikan serta mempelajari ilmunya dan menempuh jalan yang dilaluinya.” Di sini, Imam Muslim bukannya seorang pengikut Imam al-Bukhari tetapi disifatkan sebagai tokoh ilmu hadith yang masyhur selepas Imam al-Bukhari. Beliau mempunyai sifat serta ciri-ciri yang tersendiri dalam menyusun kitab serta kaedah baru yang belum diperkenalkan oleh orang lain.


2.7.3.4 KARYA-KARYA IMAM MUSLIM

Imam Muslim telah mengarang banyak buku mengenai hadith-hadith sahih yang merupakan kitab-kitab yang masyhur di seluruh negara Islam. Beliau mengarang kitabnya bersama ilmu pengetahuannya yang sangat luas mengenai ‘ilah-‘ilah dan kaitan dalam selok – belok ilmu hadith. Antara kitab-kitab karangannya ialah:

1. Kitab Asma wa al-Kuna
2. Kitab Afradh al-Sami`in
3. Kitab al-Iqran
4. Kitab al-Intifa` bi Julud al-Saba`
5. Kitab Awlad al- Sahabat
6. Kitab Awham al-Muhaddithin
7. Kitab al-Tarikh
8. Kitab al-Tamyiiz
9. Kitab al-Jami` al-Kubra `ala al-Abwab
10. Kitab Rijal `Urwah
11. Kitab al-`Alal
12. Kitab al-Mukhadharin
13. Kitab al-Musnad al-Kabir
14. Kitab al-Wakhdani
15. Kitab al-Sahih al-Musnad


2.7.3.5 KITAB SAHIH IMAM MUSLIM

Sahih Muslim adalah sebuah kitab hadith yang tidak asing di kalangan ahli hadith selepas kitab sahih al-Bukhari, kerana ketinggian pengesahan dan kesahihannya. Isi kandungannya juga sepertimana kitab sahih al-Bukhari iaitu hanya hadith-hadith yang sahih sahaja dikumpulkan, sepertimana katanya “ )

ا اأخرت تا االحدث ثن نح حن نا اى ى maksudnya “ Aku kumpulkan hadith ini dari yang د دن نه هى ىال .يب بى ىصحته(
sahih sahaja supaya aku dan orang yang menulis hadith daripada aku mempunyai satu kumpulan hadith yang tidak diragui kebenarannya."


2.7.3.6 BILANGAN SAHIH MUSLIM

Menurut al-Khatib al-Baghdadi bahawa beliau telah mengumpulkan hadith yang terdapat di dalam sahihnya itu daripada 300,00 hadith yang telah dipelajarinya. Daripada jumlah tersebut, beliau telah memilih 4,000 hadith, tidak termasuk yang terulang.


2.8 HADITH SAHIH YANG TERDAPAT DI DALAM SAHIH AL-BUKHARI DAN SAHIH MUSLIM

Satu perkara yang sepatutnya diperhatikan bahawa Imam al-Bukhari dan Muslim tidak mensyaratkan kedua-dua sahih mereka. Hafiz ibn Katsir (774H), menerangkan bahawa Imam al-Bukhari dan Muslim mengakui akan pengesahan beberapa hadith yang tidak terdapat di dalam sahih mereka. Imam Tirmizi dan tokoh-tokoh yang lain telah mengatakan bahawa Imam al-Bukhari telah mengakui beberapa hadith yang tidak terdapat di dalam sahihnya sebagai hadith sahih.

Imam al-Bukhari berkata sebagaimana yang dinukil oleh al-Sayuti:

"Aku tidak masukkan hadith-hadith ke dalam jami’ (Sahih al-Bukhari) kecuali hadith yang sahih dan aku tinggalkan banyak hadith sahih kerana takut kitabku itu terlampau panjang."

Imam Muslim pula pernah menerangkan sebagaimana yang dinukil oleh al-Sayuti :

“ Tidak semua hadith yang sahih menurut pandanganku itu, aku masukkan ke dalam kitabku ini, tetapi apa yang aku masukkan ialah hadith yang diijma’kan oleh ulama."

Untuk menjelaskan lagi maksud perkataan Imam Muslim itu, perlu dilihat perkataan yang dinukil oleh Imam Nawawi daripada Muslim katanya “Aku kumpulkan maksudnya hadith-hadith ke dalam kitab ini, dan hadith-hadith itu adalah sahih. Tetapi aku tidak mengatakan hadith-hadith yang aku tidak memasukkan ke dalam kitab ini adalah dhaif."

2.8.1 KEHUJAHAN HADITH UNTUK BERAMAL

Apabila thabit suatu hadith itu sebagai hadith sahih ia adalah menjadi hujah dan wajib beramal dengannya sekalipun hadith itu ahad.

a. Kedudukan Hadith Sahih Dalam Perundangan.
Kita boleh berhujah dengan hadith sahih kerana:

i. Hadith ini berada dalam susunan yang iltizam dengan kesahihan apabila perawinya
terdiri daripada orang thiqah seperti sahih al-Bukhari dan sahih Muslim.

ii. Hadith ini diakui kesahihannya oleh imam yang boleh dipercayai mentashihkan hadith dan terkenal sebagai seorang yang tidak cuai.

iii. Hadith ini tidak menyeleweng dan menepati kesahihan dan kebenaran hadith
daripada Rsulullah S.A.W..

Kesemua pengasas mazhab-mazhab berkenaan walaupun tidak sama dari sudut hafalan dan pengetahuan telah berijma’ bahawa setiap hadith yang sahih mestilah didahului ke atas qias dan ijtihad sendiri. Setiap imam menegaskan, “Apabila terdapat hadith yang sahih maka dengan sendirinya ia adalah mazhabku”.

Imam al-Syafie berkata, penggabungan antara sunnah dengan kitab Allah bukan sahaja dalam urusan halal dan haram tetapi juga pada setiap urusan tasyri’ (perundangan), yang penting Rasulullah S.A.W. tidak akan menghalalkan sesuatu melainkan perkara yang dihalalkan oleh Allah di dalam kitabNya dan tidak akan mengharamkan sesuatu melainkan perkara yang diharamkan oleh Allah di dalam kitabNya. Al-Quran dan al-Hadith adalah sama kerana kedua-duanya adalah wahyu daripada Allah S.W.T berdalilkan kepada firman Allah yang bermaksud:

‘Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).
(Surah al-Najm 53:4)


Pengetahuan para sahabat terhadap sunnah adalah tidak sama. Berdasarkan kepada pengetahuan yang ada para sahabat mempunyai cara yang berlainan antara satu sama lain ketika memberi alasan terhadap sesetengah hukum, menentukan bacaan dan makna bagi satu-satu perkataan dan sejauh mana ijtihad serta istinbat yang mereka lakukan itu bersesuaian dengan sunnah Rasulullah S.A.W.


b. Kehujahan Hadith Ahad.

Sesetengah hadith ahad termasuk dalam kategori hadith sahih. Oleh itu daari segi penerimaannya sama taraf dengan hadith-hadith sahih yang lain.
Syarat yang paling penting yang pernah dikenakan oleh Imam al-Ra’yi ke atas hadith ahad ialah hadith tersebut hendaklah tidak bertentangan dengan usul yang telah diijma’kan sesudah diteliti segala sumber (hukum) syarak. Hadith ahad tidak bertentangan dengan keumuman dan zahir al-Quran. Hadith ahad tidak bertentangan dengan hadith masyhur, sama ada kata-kata mahupun perbuatan Rasulullah S.A.W.. Hadith ahad juga tidak bertentangan dengan amalan yang diwarisi turun-temurun antara para sahabat dengan tabi’in di seluruh negeri. Hadith berkenaan tidak pernah ditolak oleh mana-mana sahabat sebagai hujah dengan hadith yang diriwayatkan oleh mereka (sahabat). Tidak berlaku penambahan pada hadith berkenaan oleh mana-mana perawi secara persendirian, sama ada pada matan mahupun sanad.


. .. Contohnya Ibn Mas’ud telah ditanya tentang masalah seorang isteri yang kematian suaminya sebelum mas kahwinnya ditetapkan. Lalu beliau menjawabnya: “aku tidak pemah melihat Rasulullah s.a.w menghukumkan perkara seperti ini.” Ini menyebabkan mereka berselisih pendapat dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan jawapan bagi masalah ini selama sebulan. Maka Ibn Mas’ud berijtihad dan menghukumkan supaya isteri berkenaan diberi mahar ( mas kahwin) mengikut nilai mahar yang diberikan oleh suami berkenaan kepada isteri-isterinya yang lain. Isteri berkenaan juga mempunyai edah dan berhak menerima pusaka. Tiba-tiba Ma’aqal bin Yasar berdiri dan menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w sendiri pernah menjatuhkan hukuman seperti itu kepada seorang perempuan kaum mereka. Ibn Mas’ud merasa sangat gembira apabila mendengarnya. Kadangkala ijtihad seorang sahabat muwafaqah iaitu sejajar dengan hadis, seperti yang terdapat dalam riwayat al-Nassa’i berhubung dengan masalah seperti di atas. Banyak perselisihan berlaku dan para Tabi’in cuba juga mentaufiqkan (menyelaraskan) serta menjelaskan antara pendapat yang bercanggah dengan sebaik mungkin. Di sini dapat diketahui bahawa setiap negeri mempunyai mazhab dan imamnya masing-masing. Daripada imamlah diminta sebarang fatwa bagi setiap masalah yang timbul.

Imam Malik bin Anas adalah seorang imam dari Madinah al-Munawwarah yang digelar sebagai Dar al-sunnah al-Musyarrafah dan kitab karangannya yang bernama al-Muwatta’ dianggap cara ilmu menurut pandangan ahli al-hadith. Beliau telah berhujah tentang hadith secara amali dan tatbiqi (praktik). Imam Malik berpendapat bahawa khabar atau hadith ahad adalah (sabit) secara qat’i yang mendatangkan ilmu yang yakin dan beramal secara wajib.

Ahmad bin Hanbal dalam kitab Musnadnya menunjukkan kedudukan sunnah yang begitu agung dalam bidang tasyri’. Apabila beliau mendapati ada nas, beliau akan memberi fatwa mengikut kehendak nas berkenaan dan tidak menghiraukan pendapat sesiapa sahaja yang bertentangan dengan nas. Keterangan di atas menguatkan lagi pendapat bahawa beliau adalah imam yang besar dan terkemuka, begitu arif dengan kedudukan hadith. Masyarakat menganggapnya sebagai sumber kedua bagi tasyri’ (perundangan).

Ramai sahabat, tabi’in, imam yang menggunakan hadith dalam menyelesaikan sesuatu hukum. Namun masih lagi menjadi khilaf di kalangan mereka ke atas keyakinan hadith ahad. Kita boleh menggunakan hadith ahad sebagai sumber hukum namun ada syarat-syaratnya. Kebanyakannya ramai yang menolak hadith ahad dan masih sangsi akan keyakinannya. Contohnya Abu Bakar pernah menolak hadith yang diriwayatkan oleh al-Mughirah tentang pusaka yang dapat diterima oleh pihak (perempuan), sehingga ia diperkuatkan lagi oleh khabar atau hadith yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Maslamah.

Sebenarnya sahabat berhujah dengan hadith ahad dan beramal dengan kandungannya. Mereka didapati sukar untuk menerima sebahagian hadith dan menolaknya semata-mata kesangsian, mencari keyakinan dan begitu berhati-hati dalam meriwayatkan hadith. Kita tidak boleh menerima hadith ahad sewenang-wenangnya. Banyak perkara yang perlu diteliti agar hadith itu betul-betul boleh dijadikan hujah. Sekiranya sesuatu hadith itu sahih maka ia akan menjadi satu sumber bagi sumber-sumber hukum. Tidak perlu lagi kita membandingkan dengan sumber lain seperti qias kerana qias itu sekadar menyokong dan menguatkan sumber kedua (hadith) itu.

Beramal dengan hadith ahad yang sahih adalah sah. Jumhur ulama berpendapat khabar ahad yang thiqah adalah menjadi hujah dan wajib beramal dengannya. Sebahagian ulama seperti Imam Ahmad, al-Harith Bin Asad al-Muhasibi, al-Hussin Bin ‘Ali al-Karabisi, Abu Sulaiman dan Malik berpendapat bahawa hadith ahad adalah qat’i yang pasti mendatangkan ilmu yakin. Ibn Hazm menegaskan: “Sesungguhnya khabar ahad yang diriwayatkan oleh perawi adil yang diambil daripada perawi yang sama sifatnya sehinggalah sampai kepada Rasulullah S.A.W. pasti mendatangkan ilmu yang yakin dan sekaligus wajib beramal dengannya.” Khatib al-Baghdadi menegaskan bahawa wajib beramal dengan hadith ahad yang sahih dan boleh dijadikan sebagai hujah.

Hadith sahih boleh dijadikan hujah dengan beberapa sebab antaranya khabar ahad adalah sah sanadnya, malahan juga dengan khabar yang kuat atau disokong oleh berbagai sebab dan keadaan. Ulama muhaqqiqun menganggap hadith seperti ini adalah hadith ilmu yang yakin (qat’i). Malahan mereka mengatakannya lebih kuat daripada sudut ilmu yang memberi keyakinan berbanding turuq yang banyak tetapi tidak sampai kepada peringkat mutawatir. Namun demikian mereka lebih mengutamakan hadith-hadith yang tidak dikritik oleh para huffaz dan tidak mengandungi makna yang bertentangan yang tidak membolehkannya ditarjihkan antara satu sama lain. Ini kerana adalah mustahil dua hadith yang bertentangan dikira sebagai benar tanpa ditarjihkan antara satu sama lain.


BIBLIOGRAFI

Abu Lubabah Husein, (1988), al-Jurh Wa ta'dil, Terengganu., Yayasan Islam Terengganu.
Al-Khathib, M. ‘Ajaj, Dr. (1999), Keutamaan Ilmu-Ilmu Hadis, Johor Bharu, Badan Cemerlang. Al-Shiddieqy, T.M. Hasbi Prof. Dr. (1987), Pokok-pokok Ilmu Dirayah Hadith, Jakarta,
Penerbit Bulan Bintang. Buda @ Odah, (1995), Ulumul Hadis, Kuala Lumpur, Perpustakaan Negara Malaysia. Huda Muhsin, (1985), Pengenalan Hadith as-Sunan as-Sittah, Kuala Lumpur, Dewan
Bahasa dan Pustaka. Mahmud Yunus, Prof. Dr. H., (t.t) Tafsir Quran Karim, Selangor, Klang Book Centre
M. Syuhudi Ismail, Dr. ( 1987), Kaedah Kesahihan Hadis, Selangor, Thinkers Library. Pustaka Media Jaya. Zulkifli Ahmad, (1996), Pendidikan Al-Qur’an dan As-Sunnah, Perak PC CD-ROM, Kumpulan Hadis Riwayat Bukhory & Muslim, Al-Qur'an 6.50 & al-Hadis
(Versi Indonesia) PC CD-ROM, Quran Collection, Muqadam al-Qur'an – al-Bayan – Hadith, M 029.