DONATE

Rabu, 21 Mac 2012

PENERAPAN AKIDAH DI DALAM KELUARGA ISLAM: SUATU PANDANGAN

Oleh: Che Faizal bin Che Malik


PENDAHULUAN


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Tuhan yang telah mengutuskan seorang nabi yang menjadi asbab rahmat sekalian alam, Nabi Muhammad s.a.w. Ya Allah, berilah segala pujiMu kepada ahli keluarga baginda, para sahabatnya dan pengikut sunnahnya sehingga hari kiamat.

Sebagaimana yang kita maklum, umat Islam hari ini berhadapan dengan pelbagai perkembangan- perkembangan baru dan cabaran moden. Cabaran ini datang daripada berbagai sudut kahidupan manusia sejagat seperti pemikiran, hiburan, permainan, fesyen, media massa, harta benda, populariti dan berbagai lagi. Mereka seolah-olah hilang arah dan tuntunan selepas kebanyakan mereka tidak lagi mengikut Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan. Justeru, bagi mengembalikan keadaan umat yang sejahtera dan beramal soleh, penerapan nilai-nilai akidah Islamiah dilihat amat penting sebagai asas atau formulasi yang amat berkesan bagi tujuan mencapai matlamat berkenaan.


DEFINISI AKIDAH ISLAMIAH

Akidah berasal daripada kata dasar ‘‘aqada’ yang bermaksud ‘simpulan’ atau materi yang merujuk kepada sesuatu yang teguh dan mantap (Ibrahim 1972).
Dari sudut istilah, akidah ialah keyakinan yang bersungguh bahawa Allah s.w.t. adalah Tuhan segalanya. Maha bahawa Allah sahaja yang berhak disembah dan dirujuk segalaa amalan (Muhammad Nu’aim 1991).

Ibn Taimiyah (1263) pula mendefinisikan akidah sebagai perkara yang dibenarkan oleh jiwa, hati menjadi tenang kerananya, beroleh keyakinan di hati penganutnya dan tidak bercampur dengan sebarang keraguan.

‘Nilai-nilai akidah’ adalah nilai yang terhasil daripada seorang yang berakidah. Iaitu keyakinan, pemikiran, tujuan, serta amalan zahir atau batin baik pada diri, keluarga, masyarakat, negara dan seluruh dunia.

‘Pemantapan nilai-nilai akidah’ ialah usaha untuk menjadikan nilai-nilai tersebut agar dapat dihayati dalam keseluruhan hidup Muslim baik secara individu, masyarakat dan negara.
Masyarakat Islam pula ialah satu masyarakat yang majoritinya adalah penganut Islam.
Justeru itu tugasan ini cuba untuk melihat amalan masa kini bagi pengukuhan nilai-nilai akidah dalam masyarakat Islam.


MEMBINA KELUARGA ISLAM BERASASKAN NILAI-NILAI AKIDAH ISLAMIAH YANG TEPAT


Keluarga Islam adalah keluarga yang dibangun atas dasar ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Taala, yang mana pemahaman asas anggotanya adalah hanya mencari keredhaan Allah Subhanahu wa Taala, dan yang di atur oleh peraturan-Nya. Setiap anggota keluarga Islam ini menjalankan hak dan kewajiban masing-masing sesuai dengan peraturan Allah Subhanahu wa Taala. Ketaatan ini dimulakan dari sejak awal, iaitu dari sejak menentukan kriteria pasangan hidup, proses memilih, khitbah (meminang), pernikahan, serta proses menjalani kehidupan rumahtangga, iaitu sentiasa berada di jalan kebenaran, jalan Allah Subhanahu wa Taala.


Motivasi awal yang sebenarnya merupakan asas untuk membangun kehidupan rumahtangga yang kukuh. Dalam hal ini, Islam menetapkan bahwa motivasi seseorang melangsungkan kehidupan suami-isteri adalah untuk melaksanakan salah satu dari bentuk ibadah kepada Allah Subhanahu wa Taala. Kehidupan pernikahan adalah kehidupan persahabatan antara seorang suami dan isterinya. Suami menjadi sahabat kepada isterinya dan isteri menjadi sahabat kepada suaminya secara sempurna dalam seluruh aspek kehidupan. Allah telah menjadikan pernikahan sebagai tempat ketenangan bagi pasangan suami isteri, sebagaimana firman-Nya:


”Di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah diciptakan-Nya untuk kalian isteri-isteri dari diri kalian sendiri—supaya kalian cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya di antara kalian rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” [ Surah ar-Rum [30]: 21
Seterusnya kita akan membincangkan bagaimana untuk kita membentuk keluarga yang sesuai dengan tuntutan Allah Subhanahu wa Taala, iaitu sebuah keluarga yang berasaskan ideologi Islam. Disini, terdapat beberapa perkara dan cara yang sepetutnya diketahui oleh seluruh umat bagi mencapai perkara tersebut antaranya adalah:

Pertama, asas dari pernikahan tersebut adalah akidah Islam, bukan manfaat ataupun kepentingan. Dengan menjadikan Islam sebagai landasan, maka segala sesuatu yang terjadi dalam keluarga tersebut dirujuk kembali pada Islam.

Kedua, adanya visi dan misi yang sama antara suami isteri tentang hakikat, tujuan hidup dan berkeluarga dalam Islam.

Ketiga, memahami dengan benar fungsi dan kedudukan masing-masing dalam keluarga dan berusaha sedaya upaya menjalankannya sesuai dengan tuntutan Allah dan Rasul-Nya.

Keempat, menjadikan Islam dan syariatnya sebagai penyelesaian terhadap seluruh permasalahan yang terjadi dalam kehidupan berkeluarga. Halal dan haram dijadikan landasan dalam melakukan sesuatu, bukan hawa nafsu.

Kelima, mengamalkan amar makruf nahi mungkar di antara sesama anggota keluarga sehingga seluruh anggota keluarga sentiasa berjalan pada landasan Islam.

Keenam, menghiasi rumah dengan membiasakan melakukan amalan-amalan sunnah, seperti membaca al-Quran, bersedekah, melakukan solat sunnah, dan sebagainya.

Ketujuh, sentiasa berdoa kepada Allah dan bersabar dalam apa jua situasi

PERANAN AQIDAH DALAM MEMBINA KELUARGA DAN MASYARAKAT ISLAM YANG HARMONI

Sebelum memilih sesuatu jalan, adalah lebih baik untuk diselidiki terlebih dahulu jalan tersebut supaya tidak tersesat. Begitulah diibaratkan dengan pegangan seseorang, jika salah dipilih maka akan musnahlah kehidupan. Oleh itu mari kita selami pengertian aqidah yang betul dari sisi agama Islam.

Dari segi syarak’ pula, aqidah bermakna segala perkara yang dengannya dapat dipercayai sepenuhnya (Tasdiq) hingga kepadanya boleh menenangkan hati dan perasaan. Kedudukan aqidah setaraf dengan keyakinan yang sama sekali tidak bercampur dengan syak, keraguan dan kebimbangan.

Keyakinan ini pula hendaklah sentiasa berpaksikan kepercayaan kepada Allah kerana Dialah Allah, pemilik hati kita dan Yang Empunya agama agung yakni Islam.
Istilah “aqidah Islam” membawa erti kepercayaan dan keyakinan terhadap Yang Maha Pencipta selain pengakuan bahawa Allah itu adalah Robb dan Ilah.

Namun, aqidah Islam masih tidak lengkap jika seseorang itu tidak menaruh kepercayaan secara seratus peratus terhadap nama-nama Allah, sifat-sifatNya selain mempercayai rukun-rukun Iman yang lain iaitu beriman kepada Malaikat, Kitab-kitab, para Rasul, Hari Kiamat dan qadak qadar Allah.


1. KELUARGA

“Siapa yang berkahwin (berumah tangga) maka sempurnalah separuh agamanya”
-hadith nabi-

Islam sebagai al-Din adalah agama yang menaruh perhatian sangat besar dalam pemupukan nilai dan membangun aqidah sebuah keluarga. Institusi keluarga dalam Islam, adalah unit paling asas yang memainkan peranan penting dalam proses pembentukan perilaku individu. Jika baik, sejahtera dan bahagia sebuah keluarga maka akan baik, sejahtera dan bahagialah generasi yang dilahirkan dalam suatu masyarakat, berbangsa dan bernegara. Sekiranya aqidah keluarga berpecah belah maka pengaruh sosial akan dirasakan oleh masyarakat dan generasi berikutnya. Oleh itu, maju atau mundurnya suatu negara adalah berdasarkan kepada keberhasilan pembangunan aqidah kekeluargaan tersebut.

Membangun aqidah keluarga pada hakikatnya merupakan proses dan usaha untuk membentuk individu dan keluarga muslim yang sihat rohani dan jasmaninya, berilmu dan beramal soleh yang bertujuan untuk membentuk insan dan generasi yang beradab. Penggunaan paradigma pendidikan Islam dalam membangun aqidah keluarga adalah sangat penting kerana aqidah keluarga dapat dianggap islami apabila segala prinsip, kepercayaan dan apa yang diamalkannya dalam keluarga tersebut berasaskan pula perlaksanaan pendidikan Islam. Orang tua sebagai pendidik pertama dalam sebuah keluarga merupakan penentu yang akan memperkenalkan kepada anak berbagai corak pemikiran, pemahaman serta pelaksanaan nila-nilai, tradisi dan agama yang difahami dan diamalkannya kelak.

Justeru itu, kedudukan orang tua dalam aqidah kekeluargaan dalam sudut pandang Pendidikan Islam bukan hanya sekedar memperoleh predikat sebagai Ibu dan Bapa yang memiliki tanggung jawab dalam memenuhi keperluan fizikal dan material saja. Tapi yang lebih penting adalah bagaimana orang tua berserta seluruh elemen keluarga lainnya dalam satu masa supaya berperanan dan berfungsi sebagai muaddib, murobbi, mu’allim dan mursyid bagi anak-anaknya.

Adanya keperibadian dan keunikan bagi individu manusia itu memang diakui , tetapi pada waktu yang sama , setiap individu diberi hak-hak yang tidak boleh dilampaui , kepentingan-kepentingan yang tidak boleh menggannggu kepentingan yang lebih utama , yakni hak masyarakat dan lingkungannya.

Sebahagian keluarga di Malaysia masih mengekalkan usaha memantapkan anak-anak kecil mereka dengan nilai-nilai keIslaman. Kanak-kanak diajar mengenal Allah sejak usia awal lagi, Pendidikan ini diberi kepada anak-anak secara tidak formal seperti memberitahu anak-anak bahawa Allah yang menjadikan kita dan seluruh alam. Justeru pendidikan akidah anak-anak lebih ditumpukan kepada tauhid rububiyyah selain menyelitkan tauhid uluhiyah dan asma wal sifat.

“Dan (Ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi nasihat kepadanya yang telah dirakamkan oleh Allah subhanahu wa taala di dalam Al-Quran yang berbunyi:

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman Yang besar". Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun; (dengan Yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya Engkau mempersekutukan denganku sesuatu Yang Engkau - Dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah Engkau taat kepada mereka; dan bergaulah Dengan mereka di dunia Dengan cara Yang baik. dan Turutlah jalan orang-orang Yang rujuk kembali kepadaKu (dengan Tauhid dan amal-amal Yang soleh). kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu Segala Yang kamu telah kerjakan. (Luqman menasihati Anaknya Dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, Sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau Yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di Dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana Sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi amat meliputi akan Segala Yang tersembunyi. "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan Yang mungkar, dan Bersabarlah atas Segala bala bencana Yang menimpamu. Sesungguhnya Yang demikian itu adalah dari perkara-perkara Yang dikehendaki diambil berat melakukannya. "Dan janganlah Engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang Yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".

Surat Luqman secara umum, terutama ayat 13-19 difahami sebagai surat yang harus dibaca saat prosesi aqiqah atau kesyukuran atas kelahiran seorang anak, dengan harapan bahwa sang ayah nantinya dapat meneladani tokoh Luqman yang diabadikan wasiatnya dan sang anak juga dapat mengikuti petuah dan nasehat seperti halnya anak Luqman.


Tentu pemahaman ini dapat diterima, mengingat secara tekstual ayat-ayat ini memang berbicara secara khusus tentang pesan Luqman dalam konteks mendidik anak sesuai dengan pesan Al-Qur’an.

Selain itu, pesan Luqman dalam surat ini sebenarnya adalah pesan Allah yang dibahasakan melalui lisan Luqman Al-Hakim sehingga sifatnya mutlak dan mengikat pesan Luqman dalam bentuk perintah bererti perintah Allah, demikian juga nasihatnya dalam bentuk larangan pada masa yang sama adalah juga larangan Allah yang harus dihindari.

Firman Allah Subhanahu Wa Taala :

“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”. ( Surah Yunus ayat 62 )


Kanak-kanak pada usia awal dilatih menghormati ibu bapa dan orang tua. Anak-anak seawal 4 atau 5 tahun sudahpun diajar mengaji Al-Quran. Bagi ibu bapa yang kurang ilmu Al-Quran, mereka akan dihantar ke kelas-kelas Al-Quran untuk diajar mengenal huruf-huruf Al-Quran dan seterusnya diajar membacanya.


Selain itu ramai yang mengajar anak mereka bersolat dan pada bulan puasa ramai yang mengajak anak mereka berpuasa samada berpusa penuh ataupun separuh hari. Bahkan ada ibu bapa yang mendidik anak mereka yang masih kecil dengan memakaikan pakaian yang menutup aurat. Ini merupakan contoh nilai-nilai akidah yang diterapkan ibu bapa dalam masyarakat Islam hari ini kepada anak mereka yang masih kecil.


Pada masa anak-anak mereka masih kecil iaitu berusia bawah 10 tahun inilah anak-anak akan dididik dengan nilai-nilai Islam. Malangnya apabila anak semakin meningkat remaja, anak-anak semakin dibiarkan, ramai ibu bapa yang sudah mula tidak begitu mengambil serius pendidikan anak-anak mereka setelah anak-anak mereka mula meningkat remaja dan mula bercampur dengan rakan-rakan sebaya. Ramai ibu bapa seolah-olah menganggap bahawa anak-anak mereka sudahpun matang untuk hidup lalu dan membuat keputusan sendiri lalu mereka memejam sebelah mata sahaja bila melihat anak mereka meninggalkan solat dan membuka aurat, seolah-olah anak-anak itu bukan lagi di bawah tanggungjawab mereka.

Ada juga ibu bapa yang cepat mengajar anak-anak mereka bersolat dan berpuasa pada usia anak kecil lagi, mereka meninggalkan sudut terpenting iaitu akidah anak-anak. Anak-anak tidak diajar mengenal Allah terlebih dahulu sebaliknya melakukan ibadat. Lalu untuk apa ibadat itu diajar, ini boleh memberi kesan kepada anak itu sehingga ia dewasa, beribadah bukan kerana Allah kerana itulah yang mula-mula diajar orang tua mereka.


Bagi sesetengah ibu bapa, apabila menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan atau sekolah agama, mereka seolah-olah menganggap cukuplah apa yang dipelajari di sekolah, lalu mereka tidak lagi mementingkan penerapan nilai-nilai akidah kepada anak-anak mereka. Padahal ianya bertentangan dengan Firman Allah s.w.t. yang menyruh seseorang itu menjaga tanggungannya :


“Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan”. ( Surah At-Tahrim, 66 :6 )


Di zaman moden dan pelbagai kesibukan ini, semakin ramai ibu bapa yang tidak lagi mengambil berat pemantapan nilai-nilai akidah anak-anak mereka. Ada juga yang lebih sibuk berusaha untuk menjadikan anak mereka seorang yang pintar, jaguh atau artis tanpa memikirkan pemantapan akidah anak-anak.


CADANGAN


Sepatutnya pemantapan akidah anak-anak merupakan suatu perkara yang perlu dititik beratkan tambahan lagi pada zaman yang sangat mencabar ini. Dan ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan akidah anak-anak kerana anak-anak ini berada dalam kawalan mereka dan ia menjadi tanggungjawab keatas mereka.


Ibu bapa seharusnya mendidik anak-anak sebagaimana dilakukan oleh Lukmanul Hakim sebagaimana firman Allah Taala :

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman Yang besar". Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun; (dengan Yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). ( Surah Luqman, 31 : 13-14)


Ayat ini menunjukkan bahawa Luqman mendidik anak-anaknya dengan teratur dan bertahap. Perkara pertama yang didahulukan dalam nasihat Luqman kepada anknya ialah tauhid, kemudtan diikuti mentaati dua ibu bapa. Kemudiannya bersyukur, ibadah dan akhlak. Begitulah caranya ibu bapa mendidik anak-anak mereka, mendahulukan yang penting daripada yang kurang penting.
Dalam memantpakan nilai akidah kepada anak-anak, Luqman menggunakan pendekatan memberikan nasihat dengan cara yang baik. Antara nilai-nilai akidah yang diterapkan oleh Luqman ialah mentauhidkan Allah, berbuat baik kepada ibu bapa, bersyukur dan berterima kasih, mendidikan solat, melakukan amar makruf nahi mungkar, bersabar dan menjaga kahlak. Ini menunjukkan ibu bapa perlu memantapkan akidah anak-anak mereka dengan memberikan didikan agama yang sepenuhnya kepada anak-anak mereka. Jika mereka tidak mampu, maka perlu diserahkan kepada yang mampu seperti pihak sekolah dan sebagainya.


Ibu bapa perlulah memantapkan nilai akidah kepada anak-anak melalui sunnah yang dinasihatkan oleh Rasullullah s.a.w. :

‘Perintahkanlah anakmu melaksanakan solat pada saat mereka berusia tujuh tahun dan pukullah mereka bila enggan mengerjakannya pada saat mereka berusia sepuluh tahun.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Ini menunjukkan cara didikan trerhadap anak-anak yang diajar oleh Rassullullah saw. Selain dengan nasihat, ibu bapa juga boleeh memukul mereka dengan ccara yang sepatutmya dengan niat untuk mendidik anak itu. Dan cara pululan itu ada caranya dan tidak boleh semberono memukul anak-anak.Ibu bapa juga perlulah mengawasi pergaulan anak-anak mereka di luar bersama rakan-rakan mereka. Ini penting bagi mengelakkan anak-anak daripada melakukan perkara yang boleh menggugat nilai akidah anak-anak.

Amalan amar makruf nahi munkar perlulah wujud dalam keluarga muslim. Ianya perlu dilakukan secara bertahap, berhikmah dan mengikut kesesuaian anak-anak. Kesesuaian mendidika anak ini dinyatakan oleh Saidina Ali r.a. mengatakan :

Maksudnya : Bermainlah dengan anakmu pada tujuh tahun yang pertama, disiplinkan mereka pada tujuh tahun yang kedua dan jadilah teman mereka pada tujuh tahun yang ke tiga.


2. SISTEM PENDIDIKAN


Sekolah merupakan institusi pendidikan yang kedua kepada anak-anak Muslim selepas dididik oleh keluarga di rumah. Pada peringkat awal iaitu pra persekolahan, pemantapan nilai akidah berjaya dilakukan dengan baik oleh sebahagian sekolah yang majoritinya penganut Islam terutamanya di Pusat Asuhan Tunas Islam dan Taman Asuhan Kanak-kanak Islam. Di sini mereka dimantapkan dengan nilai-nilai akidah seperti diajar mengenal Allah dan kekuasaannya, diajar membaca ayat-ayat Al-Quran, dod-doa dan zikir-zikir harian serta akhlak yang baik. Dan anak-anak pada tahap ini cukup cepat mengamalkannya di rumah pula seperti amalan membaca doa-doa harian.

Di peringkat persekolahan pula, pemantapan nilai-nilai akidah boleh berlaku secara rasmi atau tidak rasmi. Pemantapan nilai-nilai akidah secara tidak rasmi adalah melalui nasihat yang disampaikan oleh guru di perhimpunan dan sebagainya.Bagi pendidikan secara rasmi, mata pelajaran pendidikan Islam yang mempunyai sukatan bab-bab akidah, syariah, tilawah Al-Quran, hadis, akhlak, sirah dan jawi. Silibus ini diajar secara berperingkat dan secara berterusan.

Pendidikan Islam menjadi salah satu mata pelajaran teras di sekolah-sekolah. Ianya merupakan mata pelajaran yang wajib diikuti oleh semua pelajar beragama Islam dan wajib diambil dalam peperiksaan. Namun ia bukanlah satu mete pelajaran yang diwajibkan lulus dalam peperiksaan seperti wajibnya seseorang calon peperiksaan itu mendapat sekurang-kurangnya kredit bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Keadaan ini menyebabkan wujudnya para pelajar yang tidak mengendahkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan mengambil mata pelajaran tersebut unuk memenuhi syarat sahaja.

Para pelajar di negeri-negeri seperti Selangor dan Johor pada peringkat sekolah rendah kebanyakannya dihantar ke sekolah-sekolah agama petang bagi memantapkan nilai-nilai akidah dalam diri pelajar. Di sekolah ini, para pelajar akan diajar pelbagai nilai-nilai akidah seperti ilmu usulluddin, syariah dan akhlak.Di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Pulau Pinang, diadakan kelas Kemahiran Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di sekolah rendah. Ia mengambil masa selama 6 jam setiap minggu dengan berfungsi memantapkan nilai-nilai akidah kepada para pelajar seperti melalui pendidikan Al-Quran, hadis, akidah, syariah , akhlak dan sirah.

Bermula tahun 2005, Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan program J-QAF di sekolah-sekolah terpilih di seluruh Malaysia, dan diperluaskan ke seluruh Malaysia bermula 2006. Ia merupakan sebuah program yang menekankan aspek pemantapan nilai-nilai akidah syang teras iaitu memfokuskan kepada pendidikan jawi, fardhu ain, pendidikan al-quran dan bahasa arab. Walau bagaimanapun, ia mempunyai sukatan, modul dan jadual tersendiri. Malangnya ia masih perlu menggunakan peruntukan jadual waktu yang sedia ada iaitu 180 minit seminggu untuk sekolah kebangsaan, 150 minit untuk sekolah jenis kebangsaan, 240 minit seminggu untuk sekolah menengah bagi menengah rendah dan 160 bagi pelajar menegah atas sekolah menengah. Peruntukan ini ternyata tidak mencukupi untuk menjalankan pemantapan nilai-nilai akidah kepada pelajar.

Bagi memantapkan nilai=nilai akidah dalam masyarakat Islam, telah ditubuhkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) bagi melahirkan golongan professional ulama’. SMKA ditubuhkan pada 1977 bagi tujuan mendidik pelajar dengan nilai-nilai akidah. Kini sudah terdapat 55 buah SMKA di seluruh Malaysia.Walaupun pelbagai usaha memantapkan sistem pendidikan bagi tujuan pemantapan akidah, masih banyak lagi kepincangan yang berlaku. Masih banyak kes-kes jenayah yang melibatkan pelajar seperti buli dan kes-kes penzinaan, ponteng, lumba haram, ponteng dan lepak.

Selain itu, wujud juga sekolah-sekolah agama swasta, Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) serta sekolah-sekolah tahfiz. Malangnya pada tahun 2000, bantuannn kerajjjan terhadap Sekolah Agama Rakyattt oleh kerajaan menyebabkan pusat pemantapan nilai-nilai akidah itu terpaksa mencari dana kewangan sendiri dan ada yang terpaksa ditutup atas faktor itu.

Satu masalah besar besar dalam usaha memantapkan nilai akidah ialah tidak wujudnya integrasi antara Pendidikan Islam dengan ilmu-ilmu lain seperti sains, matematik, sejarah, bahasa dan geografi. Ilmu-ilmu ini diasingkan dan tidak dikaitkan dengan nilai-nilai akidah. Ini menyebabkan para pelajar hanya akan mempelajari nilai-nilai akidah secara langsung melalui mata pelajaran Pendidikan Islam sahaja.


CADANGAN


Pendidikan di peringkat sekolah perlulah diintegrasikan dengan Islam kerana agama Islam itu merupakan rahmat bagi sekalian alam dan tidak pernah bercanggah dengan fakta semasa. Integrasi ilmu ini bermaksud semua ilmu dibahas mengikut cara pemikiran Islam yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Contohmya apabila kita membahaskan sejarah perjuangan menentang penjajah, kita perlu melihat kepada nilai-nilai tauhid yang diserapkan dalam diri setiap pejuang tanah air yang bangkit menentang penjajajh seperti Tuk Janggut di Kelantan dan Haji Abdur rahman Limbong di Terengganu. Kita patut mendidik pelajar bagaimana dengan semangat jihad itu mereka berjaya menyemarakkan semangat rakyat untuk bangun menentang penjajah.

Selain itu, di sekolah-sekolah perlula diwujudkan peringkat peringkat-peringkat pemantapan nilai akidah dalam kalangan pelajar dengan program di luar kelas seperti usrah, mukhayyam, tamrin dan nadwah. Badan-badan dakwah sepertimana yang ditubuhkan di sekolah-sekolah agama perlulah diwujudkan juga di sekolah-sekolah kebangsaan.

Mata pelajaran Pendidikan Islam juga perlu ditambah masanya agar semua ilmu-ilmu asas penerapan nilai-nilai Islam dapat dilaksanakan dalam masa yang mencukupi.
Di samping itu, mata pelajaran Pendidikan Islam perlulah dijadikan mata pelajaran wajib lulus atau kredit bagi peperiksaan-peperiksaan utama sebagaimana yang dilakukan terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan Pengajian Am dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia.

Guru-guru yang bukan mengajar Pendidikan Islam juga perlulah sama-sama membantu dalam memantapkan nilai-nilai akidah dalam kalangan pelajar. Mereka perlu mengintegrasikan ilmu-ilmu yag dajar dengan nilai-nilai akidah. Mereka juga boleh menyelitkan nilai-nilai akidah dalam pengajaran mereka.

Bagi memantapkan akidah dalam kalangan pelajar, suasana persekitaran sekolah perlulah disesuaikan dengan suasana Islam. Wujudkan budaya memberi salam dan ukhwwah islamiyah di sekolah. Selain itu, kebersihan persekitaran sekolah juga perlulah dijaga. Ini kerana sekolah merupakan tempat melahirkan dai yang akan turun ke arena masyarakat bagi memantapkan akidah masyarakat.


3. KERAJAAN

Kerajaan Malaysia walaupun sering dinafikan oleh banyak pihak sebagai sebuah negara Islam lantaran keengganan pihak kerajaan meninggalkan undang-undang sekular dan mengambil undang-undang Islam sebagai sumber perundangan. Namun banyak juga program pemantapan nilai-nilai akidah yang dijalankan oleh kerajaan baik oleh Bahagian Agama Kementerian Perdana Menteri sendiri mahupun oleh agensi-agensi milik kerajaan dan bantuan kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Bagi kerajaan negeri pula, mereka mempunyai agensi-agensi seperti majlis-majlis agama negeri, jabatan-jabatan Islam negeri dan lembaga zakat negeri. Semua agensi kerajaan samada kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri melaksanakan program-program tertentu bagi memantapkan akidah masyarakat.

Agensi-agensi kerajaan ini banyak mengadakan seminar, forum dan kusus berkenaan pemantapan nilai-nilai akidah ke seluruh negara. Program-program ini membahaskan pelbagai tajuk seperti akidah, syariah, perbezaan pendapat, akhlak dan pengurusan Islam. Malangnya kebanyakan program yang dianjurkan seperti seminar dan kursus hanya melibatkan golongan tertentu seperti pembuat keputusan dan para pendidik, ia dilihat tidak sampai kepada penyertaan dari peringkat akar umbi iaitu golongan rakyat.Kerajaan juga mengadakan program sambutan Maulidur Rasul dan Awal Hijrah secara besar-besaran dengan perhimpunan dan perarakan.

Agensi-agensi kerajaan juga berdakwah melalui media massa seperti televisyen dan radio. Institut Kefahaman Islam Malaysia misalnya mempunyai stesen radionya sendiri iaitu IKIM.fm yang bersiaran ke seluruh negara. JAKIM juga banyak menerbitkan rancangan-rancangan keagamaan di Stesen Radio Televisyen Malaysia seperti Rancangan Bicara Ad-Din, At-Tijarah dan Al-Bayan selain siaran langsung program Musabaqah Tilawah Al-Quran dan Sambutan Maal Hijrah. Rancangan-rancangan ini sangat bermanfaat kepada pemantapan nilai-nilai akidah dalam masyarakat.

Antara kelemahan rancangan-rancangan ini ialah ia membataskan perbahasan dalam masalah-masalah tertentu sahaja seperti akidah, syariah dan akhlak sahaja.Ia jarang sekali atau tidak pernah membahaskan isu-isu yang tidak kurang pentingnya dalam kehidupan umat Islam kini seperti isu jihad, politik islam, undang-undang hudud dan qisas serta isu-isu seperti rasuah, penyelewengan, riba dan sebagainya.

Sebagai sebuah badan Islam, agensi-agensi ini juga bertindak terhadap isu-isu yang berlaku seperti kes murtad, ajaran sesat, sumbang mahram, gejala sosial dan sebagaina. Mereka membuat perbincangan dan mencari penyelesaian terhadap masalah-masalah yang timbul. Jabatan-jabatan agama setiap negeri juga menubuhkan skuad pencegah maksiat yang diberikan berbagai nama. Tugasnya ialah melakukan serbuan keatas pelaku-pelaku maksiat seperti khalwat dan sebagainya. Apabila sesuatu isu yang berlaku tidak jelas dari sudut hukumnya, seperti isu yoga, maka agensi seperti JAKIM akan bertindak dengan memanggil ahli-ahli Majlis Fatwa Kebangsaan bagi mengadakan mesyuarat bagi membuat satu kata putus berkenaan isu tersebut.

Malangnya tindakan badan-badan agama ini seolah-olah bersikap pilih kasih apabila mereka bersungguh-sungguh membasmi ajaran sesat yang dibawa secara tradisional seperti Ayah Pin dan Al-Arqam tetapi pada masa yang sama tidak bersuara terhadap isu-isu yang melibatkan aliran pemikiran sesat moden seperti yang dibawa oleh Sisters In Islam, Astora Jabat dan Kassim Ahmad suatu waktu dulu.

Badan-badan Islam kepunyaan kerajaan ini juga menerbitkan buku-buku, jurnal-jurnal, artikel-artikel dan pelbagai majalah untuk memantapkan nilai-nilai akidah dalam masyarakat. Terbitan badan-badan ini membicarakan tentang ilmu agama, isu semasa dan lain-lain berasaskan prisip Islam. Antara contoh penerbitan mereka ialah Majalah Sinar Rohani oleh JAKIM dan Majalah Pengasuh oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Walau bagaimanapun, terbitan ini sangat susah untuk didapati di kedai-kedai buku biasa yang perlu dilanggan, justeru mesej yang disampaikan tidak tersebar kepada semua.

Agensi-agensi ini juga bertanggungjawab memberikan panduan kepada orang-orang Islam. Contohnya JAKIM telah menerbitkan Panduan Menghadiri Majlis Perayaan Bukan Islam.
Selain itu, kerajaan juga memberikan peruntukan kepada agensi tertentu seperti JAKIM dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) bagi tujuan mendidik saudara baru tentang Islam. Malangnya pendidikan kepada saudara baru tidak berlaku kepada semua, ada diantara masyarakat Orang Asli yang hidup di kawasan pedalaman telah ditinggalkan begitu saja tanpa sebarang didikan agama setelah mereka diIslamkan (Shah Kirit 2009).


CADANGAN


Bagi memperkemaskan nilai-nilai Islam kepada rakyat, sesebuah kerajaan itu perlulah terlebih dahulu menerapkan nilai-nilai Islam itu dalam pentadbirannya. Justeru pihak kerajaan perlu mengambil Islam sebagai dasar dalam pemerintahannya sebagaimana Firman Allah s.w.t. :

Maksudnya : Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan, sesungguhnya ia musuh kamu yang nyata. ( Surah Al-Baqarah, 2 : 208 )

Kerajaan perlu komited memantapkan nilai-nilai akidah dalam masyarakat. Kerajaan perlu menyekat segala perkara yang boleh menggugat akidah masyarakat Islam di Malaysia. Segala ajaran sesat baik secara tradisi seperti ajaran Ayah Pin dan Al-Arqam daan juga fahaman kontemporari seperti sekularisme, pluralisme, liberalisme, komunisme dan feminisme seperti yang dibawa oleh Sisters In Islam atau orang-orang perseorangan perlulah diharamkan secara keseluruhannya.

Kerajaan juga perlulah membasmi isme-isme yang merosakkan yang datang melalui hiburan dan media massa. Filem-filem dan artis-artis yang boleh merosakkan akhlak remaja Muslim perlulah disekat daripada memasuki negara ini. Bahan-bahan dalam media massa juga perlu ditapis agar ia tidak merosakkan akidah umat Islam. Program-program seperti Akademi Fantasia, Raja Lawak, One In A Million, Mentor dan gangstarz perlulah diharamkan atau diubah konsep kepada yang lebih Islamik dan mencambah keintelektualan masyarakat. Konsert-konsert seperti Jom Heboh dan program kebudayaan yang tidak bermanfaat perlulah diharamkan terus ataupun diubah konsepnya kepada Islam.

Kerajaan juga perlu melaksanakan program pemantapan akidah sehingga ke peringkat melibatkan masyarakat keseluruhannya. Kerajaan boleh melakukan kerjasama dengan NGO dan masyarakat bagi menjayakan program tersebut. Kerajaan juga boleh memberikan peruntukan sepatut dan secukupnya kepada jabatan agama, NGO Islam dan sekolah untuk digunakan bagi tujuan mengadakan program pemantapan nilai-nilai akidah. Program terhadap kakitangan kerajaan juga perlu diadakan mengikut agensi masing-masing.


4. MASJID DAN PERANANNYA DALAM PEMBENTUKAN KEKUATAN AKIDAH UMAT ISLAM SEJAGAT.


Menurut Islam dan seperti yang diterangkan dalam sirah, masjid merupakan tempat mulia bagi orang Islam dan sebagai pusat kegiatan orang Islam. Oleh itu, masjid memainkan peranan penting dalam usaha membina kekuatan akidah, perpaduan dan memajukan umat Islam.

Masjid di Malaysia berfungsi sebagai pusat berkumpulnya orang-orang yang mempunyai komitmen untuk melaksanakan Islam pada setiap waktu solat dan pusat berkumpul umat Islam sempena hari Jumaat untuk Solat Jumaat. Solat berjamaah merupakan ibadah yang sangat dituntut dalam Islam dan merupakan satu nilai-nilai akidah yang perlu ada bagi seorang Muslim. Antara nilai yang dibina ialah ketaatan kepada Allah, perpaduan umat Islam dan kepatuhan kepada pimpinan.

Masjid juga menjadi tempat menuntut ilmu-ilmu yang bercorak Islamik seperti ilmu tauhid, syariah, akhlak, tafsir, hadis dan bacaan Al-Quran. Ini merupakan ilmu-ilmu penting dan kebanyakannya bersifat fardhu ain kepada setiap Muslim. Inilah contoh cara masjid memantapkan nilai-nilai akidah dalam masyarakat.

Masjid juga mengadakan sambutan-sambutan hari kebesaran Islam seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, Nuzul Al-Quran dan awal Hijrah. Program yang paling biasa diadakan bagi menyambut hari kebesaran Islam ini selain solat dan khutbah pada kedua hari raya ialah program ceramah agama.

Fungsi masjid sebagai medan pemantapan nilai-nilai akidah masyarakat Islam masih lemah, masjid tidak berjaya menarik golongan masyarakat terutamanya remaja untuk datang ke masjid. Masjid dilihat kalah kepada dari segi kehadiran dengan konsert-konsert, pasaraya dan pusat-pusat hiburan.


Masjid dilihat tidak begitu mesra kepada kanak-kanak dan remaja. Sesetengah masjid tidak menggalakkan para jamaah membawa kanak-kanak ke masjid kerana menjadi punca kebisingan. Kanak-kanak yang belum berkhatan dianggap boleh membatalkan solat orang lain jika bersentuhan dengannya, padahal tiada suatupun dalil tentang perkara sebegitu.
Dalam pengajaran di masjid, hanya ilmu-ilmu berkaitan keagamaan sahaja diajar. Ini boleh menimbulkan persepsi bahawa ilmu-ilmu Islam itu hanyalah akidah, ibadah dan akhlak padahal Islam itu rahmat untuk sekalian alam.


CADANGAN


Masjid di Malaysia perlu memainkan peranan semaksima mungkin dalam usaha memantapkan nilai-nilai akidah dalam masyarakat. Masjid di Malaysia perlu memainkan peranan sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman sahabat :

“Masjid Nabi itu ialah madrasah dakwah, demikian juga merupakan pejabat negara Islam, padanya Nabi memberi kerja kepada penganggur, ilmu kepada yang jahil, pertolongan kepada fakir, memandu urusan kesihatan dan kemasyarakatan, menyebarkan informasi kepada umat, bertemu dengan diplomat asing, mengatur tentera di medan perang, juga menghantar pendakwah dan perwakilan untuk perdamaian” ( Al Qaradhawai 1977 ).

Masjid perlu mesra pelanggan kepada semua hatta terhadap orang bukan Islam sekalipun. Pelbagai aktiviti perlu dijalankan agar masyarakat tidak terasa janggal untuk datang ke masjid. Masjid perlu mengadakan hari terbuka dan bertemu pelanggan. Masjid perlu menganjurkan belbagai program bagi mendekati masyarakat.

Para remaja dan pelajar perlu digalakkan untuk mengikuti program di masjid. Program untuk remaja dan pelajar di masjid perlu ditingkatkan. Para pelajar perlu digalakkan belajar dan belajar secara berkumpulan di masjid. Dengan cara mendekat dan menyibukkan golongan ini dengan aktiviti di masjid akan dapat menghadkan mereka dengan aktiviti tidak berfaedah dan juga mengurangkan gejala sosial dalam kalangan remaja.

Masjid tidak seharusnya menjadi tempat untuk belajar ilmu agama semata-mata, masjid juga perlu menjadi tempat untuk belajar ilmu keduniaan seperti ekonomi, rumahtangga, teknologi, sejarah dan sains. Memang benar semua ilmu tersebut boleh dipelajari di luar daripada masjid, tetapi sejauh mana tempat-tempat pengajian ilmu-ilmu tersebut mengintegrasikan ilmu yang diajar dengan nilai-nilai akidah ataupun sekurang-kurangnya membentuk akhlak yang baik? Jawapannya hampir tidak ada yang melakukan sedemikian. Justeru itu, jika ilmu-ilmu ini diajar di masjid-masjid, pihak masjid boleh mengusahakan pengintegrasian antara ilmu dunia dan akhirat ini bagi memantapkan kaidah dalam kalangan masyarakat. Dan Islam akan difahami sebagai agama yang tidak memisahkan kehidupan dunia dan akhirat.

Ahli-ahli jawatankuasa masjid juga perlu melakukan upacara ziarah ahli qaryah mereka sebagai cara mengeratkan silaturrahim dan menyebarkan dakwah. Mereka juga perlu bertanyakan ahli-ahli qaryah mereka dan berusaha menyelesaikannya. Ini boleh menyebabkan ahli qaryah mengenali pimpinan amsjid dan dakwah lebih mudah untuk dijalankannya. Apabila pimpinan masjid rapat dengan ahli qaryah, akan mudah tersebar dakwah dan mereka akan lebih selesa untuk datang bersolat dan belajar di masjid.


5. PERTUBUHAN-PERTUBUHAN ISLAM

Di Malaysia wujudnya berbagai jenis pertubuhan Islam yang antara lain berusaha memantapkan nilai-nilai akidah dalam masyarakat Islam. Antaranya ialah parti politik Islam seperti Parti Islam Se-Malaysia dan NGO-NGO Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia dan Jamaah Islah Malaysia.

Bagi tujuan memantapkan nilai-nilai akidah dalam masyarakat Islam, pertubuhan-pertubuhan ini menganjurkan belbagai kempen. Antaranya ialah seperti kempen ‘Anda Bijak Jauhi Zina’ oleh Jamaah Islah Malaysia. Ini merupakan satu kempen kepada para remaja supaya menjauhi zina.
Pertubuhan-pertubuhan ini juga menganjurkan pelbagai seminar bagi membincangkan pelbagai isu semasa, agama, pendidikan dan lain-lain. ABIM contohnya menganjurkan berbagai seminar berkenaan syariah, perundangan dan pendidikan seperti Seperti Seminar Pelaksanaan Hukum Syariah pada 25 Oktober 2009, disamping pelbagai seminar pemantapan nilai-nilai akidah yang dijalankan sejak penubuhannya pada 1971.

Pertubuhan-pertubuhan Islam juga merupakan badan yang paling sensitif dan agresif membantah sebarang perkara yang menggugat agama Islam. Contohnya pada 5 ogos 2008, beratus-ratus orang hadir pada perhimpunan di hadapan Bangunan Majlis Peguam kerana membantah penganjuran Forum Awam Memeluk Islam oleh Majlis Peguam. Perhimpunan ini dianjurkan oleh pertubuhan-pertubuhan Islam seperti PAS, JIM, ABIM, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia dan Pertubuhan Peguam Pembela Islam. Hasil perhimpunan ini, para pimpinan pertubuhan Islam berkumpul dan membuat deklarasi menubuhkan Majlis Angkatan Antara Pertubuhan Islam (Mapan).

Begitu juga dalam kes-kes murtad dan pandangan menyeleweng terhadap Islam seperti yang dibawa oleh Sisters In Islam. Muktamar Pas pada Jun 2009 telah meluluskan satu usul bagi meminta Majlis Fatwa mengkaji kedudukan Sisters In Islam dan mengharamkannya sekiranya dilihat bercanggah dengan Islam.

Antara kelemahan amalan pemantapan akidah bagi pertubuhan-pertubuhan Islam ialah dari sudut akses programnya kepada masyarakat. Kebanyakan seminar dan forum yang diadakan oleh pertubuhan-pertubuhan ini kebanyakannya tidak disebarkan secara meluas kepada masyarakat. Ini menyebabkan segala program yang dianjurkan oleh pertubuhan-pertubuhan ini hanya melibatkan penyertaan ahli pertubuhan sahaja, bukan melibatkan masyarakat keseluruhan.

Kelemahan juga berlaku apabila pertubuhan-pertubuhan Islam ini terlalu banyak dan tidak bersatu. Mereka membawa haluan masing-masing walaupun tidak dinafikan sering berlaku kerjasama antara mereka dalam aktiviti atau program-program tertentu. Ini menyebabkan ada sesuatu sudut yang ditumpukan oleh banyak pertubuhan dan ada sesuatu sudut yang tidak ditumpukan oleh mana-mana persatuan atau persatuan yang terhad kemampuannya sahaja.


CADANGAN


Pertubuhan-pertubuhan Islam di Malaysia perlu bersatu walaupun bukan dibawah satu persatuan, tapi dibawah satu gabungan sepertimana gabungan parti politik iaitu Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Mereka mesti berbincang dan membahagikan skop masing-masing untuk diperjuangkan. Contohnya ABIM dan JIM bagi menyebarkan dakwah kepada masyarakat Islam, PERKIM untuk dakwah kepada bukan Islam, Persatuan Pengguna Islam Malaysia untuk kepenggunaan, Yayasan Amal untuk Kebajikan, PAS untuk politik Islam, Persatuan Peguam Pembela Islam bagi isu-isu perundangan dan Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia untuk para mahasiswa.
Pertubuhan-pertubuhan Islam juga perlu lebih bersungguh, sensitif dan agresif dalam membela agama Islam dan memantapkan nilai-nilai akidah dalam masyarakat. Mereka perlulah turun untuk melakukan program pemantapan nilai-nilai akidah untuk semua anggota masyarakat. Program-program yang dijalankan juga perlu disebarkan secara meluas.
Pertubuhan-pertubuhan Islam juga perlu berfungsi membuat ‘check and balance’ untuk program-program pemantapan akidah yang dilakukan oleh kerajaan. Mereka perlulah memberi teguran kepada kerajaan sekiranya apa yang dilakukan oleh kerajaan itu silap, tidak berjaya atau tidak mendapat sambutan. Dengan itu pihak kerajaan boleh melakukan penambahbaikan.
Pertubuhan-pertubuhan Islam juga perlu juga melaksanakan program pemantapan akidah melalui media massa baik melalui media nasional mahupun media alternatif. Mereka boleh menyebarkan dakwah melalui laman-laman web dan blog. Mereka juga boleh menerbitkan rancangan televisyen untuk tujuan dakwah. Kita juga ingin lihat mereka menerbitkandrama-drama atau filem yang bercorak Islamik bagi tujuan dakwah.


KESIMPULAN


Tidak dapat disangkal lagi kebenarannya bahawa akidah merupakan asas yang sangat penting kepada agama Islam.Akidah telah menjadi penentu serta pengukur keimanan dan ketaqwaan seseorang dalam ibadah seharian , dan sesungguhnya Islam tidak akan pernah sempurna tanpa akidah.Kewujudan akidah sememangnya menjadi pelengkap bagi agama yang suci ini.Hakikat keimanan yang sebenar hanya boleh dicapai dan dirasai melalui penghayatan yang mendalam terhadap akidah Islam , maka tanpa akidah yang mantap dan kukuh , kemanisan iman dan nikmat Islam itu tidak akan dapat dirasai oleh seseorang manusia.Hal ini kerana akidah memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk peribadi seseorang.Seorang muslim atau muslimah yang mempunyai akidah yang mantap akan sentiasa mengamalkan rukun iman yang enam dalam hidup seharian mereka.Dengan lengkap dan sempurnanya aspek – aspek ini , maka sekaligus ia juga akan menjadikan manusia terutamanya umat Islam lebih menghalusi dan memahami serta menghayati dengan lebih mendalam lagi berkenaan urusan perhubungan di antara sesama manusia dengan Allah s.w.t.

Hal ini jelas membuktikan bahawa akidah merupakan sesuatu elemen yang sangat penting yang juga melambangkan imej sebenar Islam kepada agama – agama lain.Pembangunan yang merangkumi serta meliputi sifat kerohanian dan material yang menjurus terus kepada pembangunan insan juga akan dapat dilaksanakan dengan sempurna.Maka jelaslah terbukti bahawa akidah merupakan tunjang utama dalam pembangunan ummah yang sekaligus menyumbang kepada kegemilangan tamadun Islam pada masa dahulu , kini dan selamanya.


PENUTUP


Telah banyak program-program yang dijalankan untuk memantapkan nilai-nilai akidah dalam kalangan masyarakat hari ini. Walau bagaimanapun, kebanyakan program yang dijalankan tidak menyeluruh dan ada antaranya yang terhad untuk kawasan-kawasan tertentu juga. Semua pihak perlulah bermuhasabah dan mengkaji sejauh mana keberkesanan program yang mereka jalankan, adakah ianya hanya sekadar melepaskan batuk ditangga, ataupun tidak mencapai objektif yang ditetapkan.
Pendapat dan kajian semua pihak haruslah diterima dengan hati yang terbuka oleh pihak yang berkenaan. Seperti Firman Allah s.w.t. :

Maksudnya : “Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan Yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan Yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang Yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang Yang berakal sempurna”. ( Az-Zumar, 39 :18 )
Amalan pemantapan nilai-nilai akidah di Malaysia perlulah ditambah dan diperkemaskan agar tujuannya tercapai.











RUJUKAN

2. Abdul Latif Muda dan Rosmawati Ali @ Mat Zin, 1998. Pengantar Ilmu Tauhid. Kuala Lumpur : Pustaka Salam.
3. http://www.quranexplorer.com/quran/
4. Yusuf Al-Qaradhawi, 1977. Ibadah Dalam Islam. Kuala Lumpur : Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
5. Al – Qur’an Al – Karim dan terjemahannya
6. http://www.islam.gov.my/
7. Ustaz Ishak Din dan Prof. Dato’ Dr. Harun Din , 1995 , Permasalahan Aqidah Tauhid , Kuala Lumpur , Darul Nukman.
8. Haji Said Haji Ibrahim , 1996 , Aqidah Ahli Sunnah Waljama’ah , Kuala Lumpur , Darul Ma’rifah.
9. Che Haslina Binti Abdullah , Buku Teks CTU 101 “Prinsip-prinsip Asas Islam” , Bab 2 ‘Aqidah Teras Pembangunan Muslim.

Jumaat, 9 Mac 2012

PERINTAH PEMULIHAN SEBAGAI HUKUMAN ALTERNATIF

PENULIS OLEH TUAN HAJI MOHAMAD NASER BIN DISA

Falsafah hukuman dalam Syariah

Secara umumnya, setiap perbuatan baik atau jahat pasti akan mendapat balasannya tersendiri sama ada balasan di dunia atau akhirat. Apa-apa kesalahan yang dilakukan bertentangan dengan hukum Syarak atau undang-undang yang digubal untuk mengawal selia kehidupan manusia yang selaras dengan hukum Syarak mempunyai bentuk hukumannya yang telah digariskan dalam Al-Quran dan sunnah sebagai panduan. Dalam ayat 7-8, surah Az-Zalzalah Allah S.W.T. berfirman–

“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarahpun, niscaya dia akan melihat balasannya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarahpun, niscaya dia akan melihat balasannya pula.”.

Menurut perspektif Islam, hukuman dalam Islam bertujuan untuk menimbulkan rasa keinsafan serta menguji keimanan, ketaatan dan penyerahan diri kepada Allah s.w.t. Ia berasaskan kepada prinsip-prinsip asas seperti yang berikut:

(a) berasaskan panduan Allah dan bukannya hasil pemikiran manusia manakala dalam kes-kes yang melibatkan hukuman ta’zir, budi bicara hakim masih tertakluk kepada panduan Al-Quran dan sunnah untuk memastikan kesempurnaan dan keberkesanan hukuman;

(b) berteraskan pemeliharaan lima aspek kehidupan iaitu menjaga agama iaitu agama Islam, menjaga nyawa, menjaga akal fikiran, keturunan dan harta benda. Menurut Imam Al-Ghazali, sesuatu yang termasuk dalam penjagaan kelima-lima aspek kehidupan ini dikatakan maslahah; dan

(c) menggabungkan hukuman dunia dan hukuman akhirat. Islam tidak hanya bergantung kepada hukuman dunia semata-mata malah memberi penekanan terhadap hukuman akhirat iaitu dalam bentuk amaran yang lebih ketat.

Objektif Hukuman

Objektif sesuatu hukuman yang dikenakan ke atas pesalah adalah, antara lain, bertujuan untuk–

(a) mengelakkan pesalah daripada mengulangi kesalahan mereka;
(b) memberikan pengajaran kepada orang lain supaya tidak melakukakan kesalahan yang sama;
(c) melindungi keselamatan dan kepentingan awam termasuk nyawa, akal, keturunan dan harta benda;
(d) memelihara maruah dan kedaulatan agama; dan
(e) memberikan hukuman yang setimpal di atas jenayah atau kesalahan yang dilakukan oleh seseorang pesalah.


Bidang Kuasa Mahkamah Syariah

Di Malaysia, mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa bagi perkara-perkara tertentu yang berada di bawah bidang kuasa mal atau bidang kuasa jenayah.
Bidang kuasa tersebut termaktub dalam butiran 1, Senarai Kedua, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 Seksyen 2 (Disemak-1988) [Akta 355] adalah terpakai kepada semua mahkamah Syariah di negeri-negeri yang menghadkan kuasa tersebut. Seksyen 2 Akta 355 memperuntukkan –


S 2. Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah

Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis:

Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.”.

Perintah Pemulihan


Kuasa mahkamah Syariah berhubung dengan perintah pemulihan –

i. kuasa mahkamah untuk mengkomitkan orang yang disabitkan ke pusat pemulihan diluluskan hanyalah terhad kepada kesalahan tertentu s 55 Akta 559.

ii. Perintah untuk berkelakuan baik seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 128 (pesalah muda) dan seksyen 129 Akta 560 (pesalah kali pertama) .

s 55 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] mempunyai kuasa untuk mengkomitkan orang yang disabitkan kesalahan di bawah Bahagian II atau di bawah seksyen 7,8,9 atau 31 Akta tersebut ke pusat pemulihan untuk menjalani apa-apa kaunseling atau pemulihan.
Seksyen 55 Akta 559

• Kuasa Mahkamah untuk mengkomitkan orang yang disabitkan ke pusat pemulihan diluluskan

• Jika Mahkamah telah mensabitkan mana-mana orang atas suatu kesalahan di bawah Bahagian II atau di bawah seksyen 7, 8, 9 atau 31,Mahkamah itu boleh, sebagai ganti hukuman atau sebagai tambahan bagi apa-apa hukuman yang ditentukan bagi kesalahan itu, memerintahkan mana-mana orang sedemikian dikomitkan ke pusat pemulihan diluluskan untuk menjalani apa-apa kaunseling atau pemulihan selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi enam bulan sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu; tetapi jika apa-apa hukuman pemenjaraan dikenakan sekali dengan kaunseling atau pemulihan, tempohnya tidaklah boleh melebihi agregat tiga tahun.”.

Bon Jaminan Berkelakuan Baik

s.128 Akta 560 – Pesalah Muda

Bagi pesalah-pesalah muda pula, s 128 Akta [Akta 560] memberikan kuasa kepada mahkamah bagi menggantikan apa-apa tempoh pemenjaraan kerana keingkaran membayar denda atau hukuman pemenjaraan untuk mengeluarkan perintah, antara lain, seperti melepaskan pesalah muda tersebut selepas teguran wajar diberikan atau memerintahkan pesalah itu supaya berkelakuan baik selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua tahun.


Seksyen 128. Pesalah muda

(1) Apabila mana-mana pesalah muda disabitkan di hadapan mana-mana Mahkamah atas apa-apa kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman denda atau pemenjaraan, Mahkamah itu hendaklah, sebagai ganti apa-apa tempoh pemenjaraan kerana keingkaran membayar denda atau hukuman pemenjaraan–

(a) memerintahkan pesalah itu dilepaskan selepas teguran wajar diberikan jika difikirkan patut oleh Mahkamah; atau

(b) memerintahkan pesalah itu diserahkan kepada ibu atau bapa atau penjaganya atau saudara dewasanya yang terdekat atau kepada mana-mana orang lain, sebagaimana yang ditetapkan oleh Mahkamah, apabila ibu atau bapa, penjaga, waris atau orang lain itu menyempurnakan bon dengan penjamin, sebagaimana yang dikehendaki oleh Mahkamah,
bahawa dia akan bertanggungjawab bagi kelakuan baik pesalah itu selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua belas bulan atau, tanpa menghendaki mana-mana orang mengikat apa-apa bon, membuat suatu perintah berkenaan dengan pesalah itu yang memerintahnya supaya berkelakuan baik selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua tahun dan mengandungi apa-apa arahan kepada pesalah itu mengikut jenis syarat-syarat yang disebut dalam perenggan 130 (a), (b) dan (c) yang difikirkan oleh Mahkamah itu patut diberikan.

s. 128 (2)


•(2) Mahkamah yang di hadapannya seorang pesalah muda disabitkan boleh, sebagai tambahan atau sebagai ganti menghukum pesalah itu mengikut cara yang diperuntukkan dalam seksyen ini, mengenakan ke atas ibu atau bapa atau penjaganya denda yang tidak melebihi dua ratus ringgit dalam mana-mana kes yang Mahkamah itu, selepas siasatan ringkas, berpuas hati bahawa ibu atau bapa atau penjaga itu telah, dengan sebab mereka cuai dalam menjaganya dengan sepatutnya atau selainnya, menyumbang kepada salah laku pesalah itu:

Dengan syarat bahawa tiada ibu atau bapa atau penjaga boleh didenda tanpa dia diberi peluang untuk didengar dan, jika dia berhasrat demikian, mengemukakan keterangan untuk membela dirinya.”.


s.129 Akta 560 – Bukan Pesalah Muda

• Kuasa untuk melepaskan mana-mana orang (bukan seorang pesalah muda) yang telah disabitkan atas apa-apa kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan

• mengambil kira watak, latar belakang, umur, kesihatan atau keadaan mental pesalah itu atau kepada hakikat ringannya jenis kesalahan itu atau kepada apa-apa hal keadaan peringan

• adalah suaimanfaat kepada pesalah itu untuk diperintahkan diletakkan dalam cubaan untuk berkelakuan baik



“Seksyen 129. Pesalah kali pertama


(1) Apabila mana-mana orang yang bukan seorang pesalah muda telah disabitkan di hadapan mana-mana Mahkamah atas apa-apa kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan, maka jika didapati oleh Mahkamah itu bahawa dengan mengambil kira watak, latar belakang, umur, kesihatan atau keadaan mental pesalah itu atau kepada hakikat ringannya jenis kesalahan itu atau kepada apa-apa hal keadaan peringan yang dalamnya kesalahan itu telah dilakukan adalah suaimanfaat bahawa pesalah itu dilepaskan dalam cubaan akhlak untuk berkelakuan baik.

Mahkamah boleh, dengan tidak menghukumnya serta-merta dengan apa-apa hukuman, mengarahkan supaya pesalah itu dilepaskan apabila dia mengikat bon dengan penjamin-penjamin dan sepanjang apa-apa tempoh sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah untuk hadir dan menerima penghakiman jika dan apabila dipanggil dan sementara itu hendaklah berkelakuan baik.”.

129(2) Jika Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk memperlakukan pesalah itu berkenaan dengan kesalahan asalnya berpuas hati bahawa pesalah itu telah tidak mematuhi mana-mana syarat bonnya, ia bolehlah mengeluarkan suatu waran bagi pemberkasannya.

129(3) Mana-mana pesalah apabila diberkas dengan mana-mana waran sedemikian hendaklah, jika tidak dibawa dengan serta-merta ke hadapan Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menghukumnya, dibawa ke hadapan seorang Hakim, dan Hakim itu boleh sama ada menahannya melalui waran sehingga masa dia dikehendaki oleh bonnya untuk hadir bagi penghakiman atau sehingga bersidangnya Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menguruskan kesalahan asalnya, atau boleh membenarkan dia mengikat jamin dengan penjamin yang mencukupi dengan syarat dia hadir bagi penghakiman.


129 (4) Pesalah itu, apabila ditahan sedemikian, boleh dipenjarakan dan waran tahanannya hendaklah memerintahkan supaya dia dibawa ke hadapan Mahkamah yang di hadapannya dia terikat untuk hadir bagi penghakiman atau untuk memberikan jawapan tentang kelakuannya sejak dia dilepaskan.

Syarat-syarat Pengawasan

Seksyen 130. Syarat bon.




Apabila mana-mana orang dikehendaki oleh mana-mana Mahkamah supaya menyempurnakan suatu bon dengan penjamin-penjamin, dan dalam bon itu orang yang menyempurnakannya mengikat dirinya untuk menjaga keamanan atau mengikat dirinya untuk berkelakuan baik, Mahkamah boleh menghendaki supaya dimasukkan dalam bon itu satu daripada syarat-syarat yang berikut atau lebih, iaitu –

a) suatu syarat bahawa orang itu hendaklah berada di bawah pengawasan seseorang lain yang dinamakan dalam bon itu selama apa-apa tempoh yang dinyatakan dalamnya;

b)apa-apa syarat bagi memastikan apa-apa pengawasan yang difikirkan oleh Mahkamah patut dikenakan;

c)apa-apa syarat mengenai tempat kediaman, pekerjaan, pergaulan, penjauhan daripada minuman keras atau dadah atau mengenai apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Mahkamah patut dikenakan.


Perintah Pemulihan – Boleh diperluaskan?

Bolehkah kuasa mahkamah diperluaskan untuk mengeluarkan perintah pemulihan kepada semua pesalah yang disabitkan di bawah kesalahan jenayah Syariah, kesalahan di bawah Akta 303 atau undang-undang bertulis lain sebagai suatu hukuman alternatif atau tambahan kepada hukuman sedia atau gabungan kepada hukuman-hukuman tersebut ?


Hanya Pesalah Pertama?

Walaupun tajuk s 129 menyebutkan mengenai Pesalah Pertama, namun kandungan seksyen berkenaan tidak terikat kepada pesalah pertama sahaja. Akta 560 adalah undang-undang prosedur umum yang terpakai untuk semua bentuk kesalahan yang dibicarakan di mahkamah Syariah. Justeru, s 129 boleh digunakan terhadap semua pesalah (bukan pesalah muda) yang boleh dihukum dengan pemenjaraan.

Adakah Perintah Pemulihan selaras dengan falsafah hukuman Syariah?
Perintah pemulihan adalah salah satu bentuk hukuman yang selaras dengan prinsip asas dan objektif hukuman dalam Islam. Ia bertujuan untuk menjaga maslahah manusia dan merupakan suatu bentuk hukuman yang bukan hanya dapat menghukum pesalah tetapi merupakan suatu bentuk pendidikan dan proses tarbiyyah diri. Bentuk hukuman yang dibuat melalui perintah pemulihan seperti ini merupakan suatu pendekatan yang baik dan murni dan amat penting dalam usaha untuk menimbulkan rasa keinsafan dan kesedaran diri yang tinggi di kalangan pesalah-pesalah supaya tidak lagi mengulangi untuk melakukan kesalahan.

Perintah pemulihan yang dicadangkan ini adalah suatu perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah Syariah sebagai suatu hukuman alternatif atau tambahan kepada hukuman sedia ada. Penguatkuasa dan Pendakwa atau pesalah sendiri boleh memohon kepada Hakim untuk mengeluarkan perintah pemulihan di bawah s. 129 Akta 560 sebagai hukuman alternatif atau tambahan kepada hukuman sedia ada di bawah undang-undang kesalahan syariah, undang-undang keluarga Islam dan lain-lain undang-undang di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah bertepatan dan mengikut kehendak hukum Syarak.


Justifikasi Perintah Pemulihan


Menurut prinsip hukuman dalam Islam, suatu hukuman alternatif seperti hukuman untuk menjalani pemulihan ini boleh dikategorikan sebagai hukuman ta’zir. Hukuman tersebut boleh diputuskan oleh hakim terhadap seseorang yang melanggar undang-undang dan ia adalah tertakluk kepada panduan daripada Al-Quran dan sunnah.


Keberkesanan Hukuman Penjara


Berhubung dengan pelaksanaan hukuman ke atas pesalah-pesalah jenayah Syariah dan pesalah di bawah undang-undang keluarga Islam yang dikenakan hukuman penjara, mereka akan ditempatkan bersama-sama dengan banduan lain memandangkan tiada penjara khusus yang disediakan untuk pesalah-pesalah ini. Ini telah mengakibatkan kesesakan di dalam penjara kerana penjara merupakan tempat untuk menjalani hukuman dan menebus kesilapan tanpa mengira jenis kesalahan yang dilakukan.


Kesan Negatif


Tidak dapat dinafikan juga bahawa hukuman penjara, dalam sesetengah keadaan, dapat meninggalkan kesan negatif yang mendalam bukan sahaja ke atas individu terbabit, tetapi juga kepada keluarga dan masyarakat. Antara kesan negatif yang timbul ialah ia dapat merenggangkan hubungan kekeluargaan, menyukarkan bekas banduan mendapatkan pekerjaan serta menyukarkan bekas banduan diterima dan mendapat tempat dalam masyarakat.

Banduan muda yang kurang pengetahuan dan pertama kali dimasukkan ke dalam penjara bagi kesalahan kecil pula dikhuatiri akan terpengaruh dan dipengaruhi oleh banduan lain seterusnya mengakibatkan mereka menjadi lebih agresif dan liar apabila dibebaskan.

Perintah Pemulihan dapat memberi peluang kepada pesalah yang terlibat untuk menginsafi kesalahan mereka dan berinteraksi dengan masyarakat secara terkawal dalam menjalani kehidupan mereka dengan rasa yakin. Dalam hal ini, Jabatan Penjara Malaysia juga berpandangan bahawa penjara seharusnya dijadikan sebagai hukuman terakhir dalam menegakkan sistem keadilan jenayah.


Hukuman Denda – Kurang Berkesan


Hukuman denda yang dijatuhkan oleh mahkamah Syariah sering dianggap tidak berkesan untuk memberi pengajaran kepada pesalah-pesalah yang sabit kesalahan di bawah undang-undang Syariah mahupun kepada masyarakat.

Hukuman denda seringkali dapat diselesaikan oleh pesalah-pesalah yang mempunyai kemampuan untuk membayar kadar denda yang dikenakan tanpa dapat menimbulkan rasa keinsafan dalam diri mereka terhadap kesalahan yang dilakukan. Andaipun hukuman denda tersebut dapat menimbulkan kesedaran, ia hanya melibatkan individu/pesalah itu sendiri tanpa melibatkan peranan sosial masyarakat yang dapat memberikan iktibar kepada mereka secara umumnya.


Manfaat Perintah Pemulihan


Antara manfaat yang dapat diperoleh daripada pelaksanaan perintah pemulihan sebagai hukuman alternatif, tambahan atau gabungan kepada hukuman yang sedia ada ke atas pesalah-pesalah jenayah Syariah ialah–

a. Ruang untuk menginsafi diri

Memberi ruang kepada pesalah-pesalah untuk memperbaiki diri supaya menjadi warga yang patuh terhadap undang-undang dan hukum Syarak.
Pesalah-pesalah yang menjalani perintah pemulihan akan diberi bimbingan untuk membentuk akidah dan sahsiah diri yang mantap melalui program-program yang ditentukan. Program-program yang berbentuk kerohanian seperti menghadiri ceramah, solat jemaah dan qiamullail merupakan antara cadangan program yang diharap dapat menginsafkan diri mereka serta memantapkan iman;

b. Tanggung jawab MAIN; memelihara kemaslahatan umat

Merupakan suatu bentuk pendidikan kepada pesalah-pesalah supaya mereka dapat dibentuk menjadi insan yang berguna menerusi ilmu pengetahuan yang disampaikan, pengalaman-pengalaman baru melakukan kerja-kerja kebajikan dan sebagainya.
Pesalah akan memperoleh ilmu bermanfaat yang diharap dapat mendidik mereka menjadi ketua keluarga ataupun ahli keluarga yang bertanggungjawab dan berakhlak mulia setelah mereka selesai menjalani perintah pemulihan tersebut.


c. Tingkatkan fungsi Mesjid dan ahli kariah untuk Islah

Penglibatan anggota masyarakat dalam proses pemulihan pasti dapat meningkatkan rasa tanggungjawab sosial di kalangan masyarakat. Sebagai contoh, imam-imam serta ahli jawatankuasa masjid yang dilantik dan diberi kuasa oleh Majlis Agama Islam Negeri dapat membantu dan berganding bahu dalam memberikan komitmen terhadap proses pemulihan pesalah-pesalah. Ini secara tidak langsung akan dapat mendekatkan pesalah-pesalah dengan anggota masyarakat melalui kerja sosial yang dijalankan;


d. Tugas dan tanggungjawab seharian tidak terjejas

Dalam tempoh menjalani pemulihan yang telah ditetapkan oleh mahkamah, pesalah-pesalah juga boleh meneruskan kehidupan untuk bekerja bagi menyara diri serta keluarga.Secara psikologinya, hukuman ini dapat mengelakkan timbulnya tekanan perasaan bahawa mereka akan kehilangan pekerjaan akibat daripada hukuman yang diterima. Secara tidak langsung, keluarga mereka juga tidak akan terabai disamping tidak akan merasa tertekan akibat rasa tersisih daripada masyarakat.


e. Penjimatan perbelanjaan


Beban dan tanggungan kewangan kerajaan yang tinggi akibat daripada pembiayaan makanan kepada banduan dan hal ehwal pengurusannya dapat dijimatkan.Namun begitu tanggungjawab pemulihan dapat difokuskan secara pendekatan Islam oleh MAIN, JAIN dan Mesjid serta dibantu oleh NGO Islam secara efektif.Produktiviti pesalah dapat ditingkatkan dengan mendedahkan beliau kepada persekitaran yang memupuk semangat berdikari.


Solusi Kepada Gejala Sosial


Di era pasca-modernism ini, krisis gejala sosial adalah merupakan impak secara langsung akibat dari kejutan budaya dan perubahan nilai dan pemikiran yang melanda masyarakat termasuk golongan wanita. Gejala sosial yang berlaku pada hari ini bolehlah disifatkan sebagai amalan jahiliyyah di era globalisasi yang serba maju dan moden. Dalam era pembebasan dari kawalan agama ini, wanita semakin terdedah kepada budaya hedonisme iaitu suka berfoya-foya dan berhibur dengan keterlaluan, terjebak dalam amalan seks bebas atau zina, hamil tanpa nikah, buang bayi, ketagihan arak, dadah rokok, judi, , bahan-bahan lucah, rogol dan banyak lagi masalah sosial yang cukup membimbangkan.

Menurut Prof.Ulung Negara Tan Sri Prof.Muhammad Kamal Hasan –
Aliran-aliran yang ingin melemahkan pengaruh nilai-nilai budaya, agama dan moral tempatan itu dibawa masuk oleh unsur-unsur ekonomi kapitalistik tempatan atau antarabangsa yang mementingkan keuntungan kewangan semata-mata tanpa mempedulikan isu tanggungjawab sosial atau moral. Pelbagai saluran akan digunakan untuk mencapai matlamat ekonomi dan budaya bebas mereka, termasuk industri-industri pengiklanan, perfileman, fesyen, muzik, hiburan, pelancongan, media cetak, media elektronik dan Internet.”.

Fakta yang dikeluarkan oleh pelbagai agensi Kerajaan membuktikan bahawa betapa meruncingnya gejala sosial yang melanda masyarakat khususnya yang melibatkan golongan wanita, antara lain, seperti yang berikut:

(a) perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) 2011, mencatatkan jumlah kelahiran anak tidak sah taraf yang didaftarkan antara tahun 2006-2010 adalah sebanyak 234,647. Daripada jumlah tersebut, seramai 80,979 atau 34.5% adalah bayi yang ibu kandungnya beragama Islam. Jumlah anak luar nikah pasangan Islam menunjukkan pola meningkat dalam tempoh lima tahun sejak tahun 2006 (Berita Harian, 21 Mac 2011);

(b) sebanyak 280 kes buang bayi dilaporkan bagi tahun 2005 hingga April 2010 di seluruh negara (PDRM 2010). Setiap kali berakhirnya sambutan yang membabitkan kemeriahan pada sebelah malamnya di negara ini, tiga bulan selepas itu akan menyaksikan peningkatan kes buang bayi dan mengandung anak luar nikah. Tempoh ini ibarat “musim mengawan” kerana tiga bulan selepas itu rumah perlindungan dan seluruh negara akan mencatat kes buang bayi sama ada masih hidup atau janin yang dibuang dalam semak, belakang rumah, pusat pembuangan sampah, bawah pokok, dalam longkang dan juga tandas;

(c) data yang dikeluarkan oleh Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pada tahun 2005 menunjukkan kes pelacuran kanak-kanak dengan purata 150 – 160 gadis tempatan yang di tahan setiap tahun. Dianggarkan 150 ribu wanita terbabit dalam kegiatan pelacuran dengan sejumlah besarnya adalah wanita dewasa;

(d) PDRM 2010 juga telah mencatatkan jumlah kes rogol bagi tahun 2008 hingga April 2010 adalah sebanyak 8227 kes. Kes mencabul kehormatan juga menunjukkan statistik yang tinggi iaitu sebanyak 4894 kes dilaporkan bagi tahun 2008 hingga April 2010 di seluruh negara; dan

Cabaran : Tentangan Terhadap Undang-undang Moral Berasaskan Agama.

“Kerajaan Tidak Berhak Mengawasi Akhlak” (25 Mac 2005)
Terdapat segelintir anggota masyarakat yang menolak kawalan peraturan agama dalam membentuk moral rakyat dan sebaliknya memperjuangkan hak kebebasan individu. Sekelompok masyarakat yang terdiri dari 52 badan bukan kerajaan (NGO), 4 Parti politik pembangkang, 21 orang wakil rakyat termasuk beberapa orang menteri Persekutuan dan seramai 237 individu dari berbagai latar belakang telah mempertikaikan tindakan kerajaan memasukkan beberapa jenis larangan agama dalam undang-undang jenayah Syariah.

Golongan ini tidak mempertikaikan penguatkuasaan undang-undang moral lain yang terkandung dalam kanun keseksaan dan akta-akta lain yang disebutkan di atas. Mereka hanya menentang penguatkuasaan undang-undang moral berasaskan agama. Antara lain golongan ini berpendapat;

“… peranan kerajaan, serta penggunaan undang-undang agama dan undang-undang munisipal oleh pihak kerajaan, untuk mendefinisikan dan mengawal akhlak rakyatnya. Memaksa dan menakut-nakutkan rakyat supaya mematuhi undang-undang tersebut tidak akan membawa kepada masyarakat yang lebih berakhlak; sebaliknya tindakan tersebut akan menghasilkan masyarakat yang berada dalam ketakutan serta rakyat yang bersifat submisif dan hipokrit.”

“Kami menentang penggunaan aparatus kerajaan, serta individu dan kumpulan yang dilantik untuk membantu dalam mengawal akhlak. Cara seseorang berpakaian serta bagaimana, di mana dan dengan siapa mereka memilih untuk bergaul adalah perkara peribadi dan pilihan persendirian.”

Golongan yang menolak polisi moral lantang bersuara jika pihak berkuasa melaksanakan tugas dalam membendung aktiviti tidak bermoral sebaliknya jika berlaku peningkatan masalah sosial mereka hanya menyepi diri dan menuding jari ke arah pihak lain termasuk pihak kerajaan sebagai tidak prihatin terhadap masalah sosial masyarakat.



Cabaran : Kurang keberkesanan penguatkuasaan undang-undang


Selain daripada polemik penguatkuasaan undang-undang Syariah yang acap kali disensasikan oleh pihak-pihak tertentu, adalah didapati bahawa kelemahan penguatkuasaan undang-undang menjadi antara punca kepada gejala sosial yang masih berleluasa. Sebagai contoh, saban hari masyarakat didedahkan melalui media massa dengan berita-berita mengenai serbuan dan tangkapan ke atas wanita-wanita yang terlibat dalam kegiatan pelacuran, aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral dan sebagainya. Ada kalanya tangkapan dibuat berulang kali di premis atau tempat yang sama, seolah-olah tangkapan tersebut langsung tidak memberi kesan kepada pemilik premis dan pihak-pihak lain yang berkaitan.

Kurangnya keberkesanan penguatkuasaan undang-undang berkaitan moral bukan menunjukkan kelemahan undang-undang tersebut tetapi ia adalah disebabkan faktor kelemahan antara lain, dari segi pentadbiran seperti kekurangan pegawai penguat kuasa, kurang latihan atau kemahiran dan sebagainya.



Cabaran : Kelemahan dalam pelaksanaan hukuman


Dalam hal ini, adalah diperhatikan bahawa peruntukan mengenai hukuman dalam undang-undang moral kurang memberi kesan kepada pesalah yang terbabit, khususnya dalam kes-kes yang melibatkan kesalahan jenayah Syariah. Sebagai contoh, hukuman denda di mahkamah Syariah berada dalam lingkungan antara satu ribu ringgit sehingga dua ribu ringgit sahaja dan Hakim bicara pada kebiasaannya memutuskan hukuman yang lebih rendah dari jumlah hukuman yang diperuntukkan. Malah hukuman maksimum 5 ribu ringgit atau 3 tahun penjara atau 6 sebatan tidak pernah dijatuhkan oleh mana-mana mahkamah Syariah. Selain dari tidak mampu memberi pengajaran dan mencegah orang lain daripada melakukannya berulang kali, hukuman sedemikian juga menjadi bahan kritikan orang ramai. Akibatnya, matlamat untuk membanteras jenayah Syariah tidak tercapai. Kadar hukuman yang dikenakan kepada pesalah di mahkamah Syariah yang jauh lebih rendah berbanding mahkamah sivil membuatkan masyarakat memandang ringan akan keberkesanan undang-undang itu sendiri.

Berhubung dengan pelaksanaan hukuman ke atas pesalah-pesalah jenayah Syariah dan pesalah di bawah undang-undang keluarga Islam yang dikenakan hukuman penjara, mereka akan ditempatkan bersama-sama dengan banduan lain memandangkan tiada penjara khusus yang disediakan untuk pesalah-pesalah ini. Keadaan Ini telah mengakibatkan kesesakan di dalam penjara kerana penjara merupakan tempat untuk menjalani hukuman dan menebus kesilapan tanpa mengira jenis kesalahan yang dilakukan. Tidak dapat dinafikan juga bahawa hukuman penjara, dalam sesetengah keadaan, dapat meninggalkan kesan negatif yang mendalam bukan sahaja ke atas individu terbabit, tetapi juga kepada keluarga dan masyarakat.

Antara kesan negatif yang timbul ialah ia dapat merenggangkan hubungan kekeluargaan, menyukarkan bekas banduan mendapatkan pekerjaan serta menyukarkan bekas banduan diterima dan mendapat tempat dalam masyarakat. Banduan muda yang kurang pengetahuan dan pertama kali dimasukkan ke dalam penjara bagi kesalahan kecil pula dikhuatiri akan terpengaruh dan dipengaruhi oleh banduan lain seterusnya mengakibatkan mereka menjadi lebih agresif dan liar apabila dibebaskan.


Penambahbaikan Dalam Agenda Pemulihan Peranan dan Tanggungjawab Institusi


i. Institusi kehakiman Syariah .

Suatu institusi yang perlu memainkan peranan yang amat penting dalam memutuskan hukuman yang adil bagi pesalah-pesalah di samping berperanan untuk memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk berubah ke arah kebaikan melalui perintah pemulihan yang dikeluarkan mengikut apa yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

ii. Peranan MAIN

MAIN perlu menyediakan program komprehensif untuk pemulihan bagi memudahkan mahkamah mengeluarkan perintah.
Satu Jawatankuasa khas di bawah MAIN perlu dibentuk bagi menyusun dan merangka program pemulihan yang berkesan dengan pemantauan yang rapi dalam melaksanakan Perintah Pemulihan.

MAIN berkuasa untuk membuat peraturan berhubung dengan pelaksanaan perintah pemulihan yang dikeluarkan oleh mahkamah Syariah di bawah Akta 505. Peraturan yang dibuat boleh melibatkan, antara lain, perkara-perkara yang berhubung dengan–

(a) pelantikan pegawai penyelia oleh Majlis Agama Islam Negeri seperti imam masjid, ketua kampung atau mana-mana orang yang berkelayakan untuk menyelia pesalah yang menjalani perintah pemulihan di mana-mana pusat pemulihan atau rumah yang diluluskan;

(b)penyediaan laporan oleh pegawai penyelia kepada mahkamah berhubung dengan pemulihan yang dijalankan ke atas orang yang diselia.
Dalam konteks ini, mahkamah akan mengeluarkan perintah kepada pegawai penyelia yang dilantik untuk membuat seliaan dan menyediakan laporan dari semasa ke semasa ke atas orang yang menjalani perintah pemulihan.
Sehubungan dengan itu, pesalah yang terlibat perlu melapor diri kepada pegawai penyelia yang dilantik untuk setiap program yang diarahkan sepanjang tempoh mereka menjalani perintah pemulihan dan laporan ini kemudiaannya akan dihantar ke mahkamah;

(c)Penetapan masa untuk menjalani pemulihan. Pesalah yang telah dikenakan perintah pemulihan hendaklah semasa perintah tersebut berkuatkuasa melaporkan diri pada hari, masa dan tempat yang ditetapkan sebagaimana yang dinyatakan dalam peraturan yang akan digubal oleh Majlis kelak. Mana-mana pesalah yang melanggar mana-mana peraturan di dalam perintah pemulihan akan dimaklumkan kepada mahkamah. Mahkamah boleh membatalkan perintah tersebut serta mengkomitkan pesalah tersebut dengan hukuman penjara; dan

iii. Penguatkuasa perlu lebih agresif memainkan peranan nahi munkar secara efisyen dan berhemah.

iv. Pendakwaan perlu memastikan lebih ramai tertuduh disabitkan dan dikenakan perintah pemulihan.

v. Institusi mesjid perlu berubah ke arah pusat kecemerlangan dan islah ummah dengan melibatkan anggota masyarakat setempat termasuk NGO.



Manfaat Umum dan Menyeluruh


Secara keseluruhannya, perintah pemulihan yang akan dilaksanakan terhadap pesalah-pesalah yang terlibat dilihat akan dapat memberi banyak manfaat dan meninggalkan kesan positif bukan sahaja kepada pesalah-pesalah terbabit malah masyarakat. Hukuman ini juga lebih efektif bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang bersahsiah tinggi dan dapat memupuk serta meningkatkan rasa kebertanggungjawaban dalam diri setiap warga masyarakat.


Perbezaan Perintah Khidmat Masyarakat / Perol


Berbeza dengan konsep perintah khidmat masyarakat dan Perol yang dilaksanakan di bawah undang-undang sivil, perintah pemulihan yang dicadangkan ini adalah untuk kesalahan-kesalahan di bawah Akta/Enakmen Negeri-Negeri dan hendaklah terpakai kepada pesalah yang sabit kesalahannya di bawah apa-apa kesalahan jenayah Syariah atau kesalahan di bawah Akta 303.


Modul Kerohanian dan Sahsiah Diri


Selain daripada modul khidmat masyarakat, modul kerohanian dan sahsiah diri ini adalah suatu modul yang perlu dirangka untuk membina jati diri serta sahsiah mulia yang mantap di kalangan pesalah yang terlibat. Beberapa program yang dicadangkan untuk dilaksanakan adalah seperti yang berikut:

(i) mengadakan sesi tazkirah dan kaunseling kelompok di kalangan para pesalah jenayah yang akan meningkatkan lagi kesedaran mereka tentang ketaatan kepada agama, syariat Islam, undang-undang Syariah dan undang-undang negara;

(ii) mengadakan sesi muhasabah diri yang boleh membantu mereka untuk menginsafi diri mereka serta kembali semula kepada jalan yang diredhai Allah yang berpandukan pada al-Quran dan Sunnah;

(iii) pesalah-pesalah juga boleh diarahkan untuk mengikuti kelas-kelas agama dan fardhu ain serta kelas bimbingan Al-Quran untuk melengkapkan diri mereka dengan ilmu asas fardhu ain dan agama Islam. Sebagai contoh, mereka hendaklah menyempurnakan solat fardhu secara berjemaah, dilatih menjadi bilal dan imam dan juga mengikuti setiap program yang dianjurkan oleh masjid atau surau seperti program qiyamullail;

(iv) dan lain-lain yang difikirkan wajar.


Modul Khidmat Masyarakat


Antara modul yang dicadangkan untuk dipertimbangkan ialah–


Berdasarkan cadangan yang dikemukakan ini, para pesalah yang sabit kesalahannya di bawah apa-apa kesalahan jenayah Syariah akan diperintahkan oleh mahkamah Syariah untuk menjalani pemulihan di mana-mana tempat atau institusi yang menjadi pusat pemulihan atau rumah yang diluluskan sebagaimana yang ditetapkan dalam bon.
Pusat pemulihan atau rumah yang diluluskan adalah termasuk surau, masjid, madrasah atau rumah kebajikan yang telah diluluskan melalui pemberitahuan dalam warta oleh Majlis Agama Islam Negeri sebagai pusat pemulihan atau rumah yang diluluskan untuk menjalani perintah pemulihan tersebut.


Dalam konteks ini, modul pemulihan yang boleh dipertimbangkan ialah melalui pelaksanaan kerja-kerja khidmat masyarakat seperti membersihkan tempat-tempat yang diarahkan dan kawasan persekitarannya, membaik pulih kerosakan dan menghias kawasan sekitar seperti mengecat bangunan dan menanam pokok. Melalui modul ini, para pesalah jenayah akan dapat menanam azam untuk memperbaiki diri serta mengubah cara hidup mereka ke arah hidup yang lebih bermanfaat dan sempurna.


Perencanaan penuh teliti dan pelaksanaan secara sistematik.

Bagi menjamin keberkesanannya, modul perintah pemulihan hendaklah direncanakan dengan keazaman yang tinggi oleh MAIN dan perlu dilaksanakan dengan sistematik oleh Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, pakar-pakar kaunseling atau motivasi atau ahli-ahli qaryah yang telah ditentukan dan dilantik oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri.