Oleh: Muhammad Hanif bin Md Lateh
2.1 Sejarah Hidup Al-Hajjaj
2.1.1 Biodata Al-Hajjaj Bin Yusuf
al- Hajjaj lahir pada permulaan dawlah bani Umayyah, iaitu pada tahun 41 H bersamaan 661 M[1]. Nama sebenar beliau adalah Abu Muhammad Al-Hajjaj Bin Yusuf Bin Al-Hakam Bin Abi Aqil Bin Mas`ud Bin `Amir Bin Mu`tab Bin Malik Bin Ka`ab Bin `Amru Bin Saa`d Bin A`uf Bin Qusai dan lebih kita kenali sebagai al-Hajjaj juga digelar sebagai Abi Muhammad. Beliau berasal dari kabilah Tsaqif, dilahirkan dan dibesarkan di Taif di sebuah perkampungan yang dinamakan Al-Kausar[2].
Al-Hajjaj dibesarkan di Taif, dan kehidupan beliau berlangsung dalam suasana yang ilmiah, berikutan ayahnya merupakan seorang guru. Perkara ini adalah menjadi kebiasaan dalam amalan budaya kaum samada di Negara Arab mahupun di Tanah Melayu ini sendiri, walaupun begitu ia bukanlah satu kemestian. Selain itu juga, keluarga al-Hajjaj memiliki kedudukan yang tersendiri dalam kaum kabilahnya di Taif. Islam di Taif tidak perlu kita ragui lagi kerana kawasan tersebut telah dibuka oleh Nabi Muhammad SAW pada tahun ke 8 Hijrah bersama beberapa sahabat lain seperti Salman al-Farisi[3]. Selain ayahnya yang bernama Yusuf bin Al-Hakam, ibu kepada al-Hajjaj pula adalah Fari`ah binti Humam bin `Urwah bin Mas`ud[4], Fari`ah merupakan janda kepada al-Mughirah bin Syu`bah[5] dan seterusnya mengahwini Yusuf al-Hakam iaitu bapa kepada al-Hajjaj, dan dikatakan Fari`ah ibu al-Hajjaj juga merupakan dari kalangan bani Tsaqif[6]. Al-Hajjaj mempunyai 2 orang adik beradik, abangnya bernama Muhammad[7] dan adiknya bernama Zainab, perkahwinan pula direkodkan beliau berkahwin semasa menjadi penguasa di Madinah dan direkodkan mempunyai beberapa orang isteri, antaranya adalah Ummu Kalsum yang dikahwini semasa di Madinah, Ummu Kalsum merupakan anak kepada Abdullah bin Ja`far Bin Abi Talib, selain itu beliau juga pernah mengahwini ummu Al-Julas anak kepada Abdullah ibn Khalid Al-Asid, selain itu isterinya yang lain yang pernah dikahwini adalah Ummu Aban atau Hamida anak kepada Nu`man ibn Bashir, janda kepada Rauh ibn Zinba`[8]. Dalam permasalahan sejarah hidup Al-Hajjaj ianya kurang dirakamkan dengan jelas oleh ramai ahli sejarah kerana penulis berpendapat bahawa kehidupan beliau sebelum menjadi gabenor tidak mendapat perhatian kerana beliau hanyalah seorang rakyat biasa yang hidup dalam kerajaan Umayyah pada masa tersebut.
Kehidupan al-Hajjaj dalam proses pembesaran beliau dikatakan tidak berjalan dalam keadaan yang baik, melalui keadaan hidup yang selalu ditimpa penyakit-penyakit yang pelbagai termasuklah kecacatan. Darah adalah perkara yang menjadi kelaziman beliau, semenjak hari pertama dilahirkan lagi, maka darah menjadi salah satu perkara biasa bagi beliau. Kehidupan yang sebegini menjadi antara pendorong kepada pembentukan sahsiah peribadi al-Hajjaj yang keras walaupun semasa kecil beliau digambarkan sebagai seorang yang penakut, cengeng atau mudah menangis dan sebagainya. Dalam hal ini, perkara ini dipersetujui dalam beberapa buku sejarah hidup beliau yang terkini. Walaupun begitu, di dalam beberapa buku sejarah silam, ianya kurang disebutkan secara jelas[9]. Kehidupan al-Hajjaj ketika telah dewasa bermula dengan karier sebagai seorang guru, mengikut jejak langkah ayahnya yang juga menjadi guru samada di masjid ataupun maktab. Begitu juga dengan abang beliau yang bernama Muhammad turut menjadi guru di masjid mahupun sekolah. Dan diberitakan bahawa Al-Hajjaj merupakan seorang anak yang di didik dan diasuh dengan pengetahuan agama islam yang mendalam, antaranya beliau merupakan seorang ahli bahasa, juga merupakan ahli tafsir, hadis serta maghazi dan sirah. Perkara ini bukanlah satu perkara yang mustahil kepada al-Hajjaj untuk menguasainya kerana beliau tinggal di Taif yang mana kedudukan Taif amatlah hampir kepada Mekah dan Madinah yang menjadi pusat perkembangan agama Islam selain dari Iraq, dan jika diambil kira kedudukan ahli keluarganya yang merupakan ahli dalam bidang agama[10].
Al-Hajjaj yang membesar di pelbagai tempat, selain dari Taif iaitu di Mekah dan Madinah telah mencambahkan kehidupan yang diisi dengan cahaya islam, walaupun begitu ia tidak membunuh sikap keras hati dalam diri al-Hajjaj bin Yusuf. Di usia 22 tahun[11], al-Hajjaj mula menceburkan diri sebagai tentera kepada kerajaan bani umayyah yang mana sikap keras dan beraninya bertepatan walaupun masih di usia yang amat muda. Selain dari sikapnya yang cintakan agama, berani, beliau juga terkesan dengan kehadiran beberapa tokoh dari kalangan kaumnya seperti Syu`bah bin Mughirah, Ziyad, dan Al-Mukhtar Ibn Abi `Ubaid as-Saqafi. Selepas menyertai peperangan yang pertama bagi pihak Umayyah, beliau menyertai pula peperangan di Ar-Rabadhah pada 65 H. Al-Hajjaj selepas menyertai peperangan di Harrah dan Ar-Rabadhah, beliau mendapat tempat sebagai kakitangan kerajaan di Bandar Tabala yang bertempat di Tihama, walaubagaimanapun beliau balik ke Taif dan seterusnya menyertai pasukan polis dan mendapat tempat sebagai ketua dalam pasukan Aban ibn Marwan[12].
Pada awalnya al-Hajjaj adalah sebagaimana bangsa Arab yang lain, kerana beliau turut mewarisi ayahnya dalam bidang ilmiah. Selain itu beliau juga turut menyertai pasukan ketenteraan bersama ayahnya dalam peperangan bagi kerajaan Umayyah. Penglibatan al-Hajjaj pada peringkat awal dalam ketenteraan dan seterusnya dalam pasukan polis merupakan batu asas kepada beliau sebelum menceburi bidang pentadbiran di dalam kerajaan Umayyah.
2.1.2 Penglibatan Awal Al-Hajjaj Dalam Kerajaan
Penglibatan Al-Hajjaj telah disebutkan pada peringkat awal dalam bidang ketenteraan dan kemudiannya sebagai sebahagian dari pasukan polis (Shurtah). Melalui pasukan polis yang diketuai oleh Ruh ibn Zinba` atau Rauh Ibn Zinba`. Rauh Ibn Zinba`[13] merupakan komander atau ketua pegawai pasukan polis pada masa tersebut adalah individu yang bertanggungjawab memperkenalkan Al-Hajjaj kepada kepimpinan tertinggi iaitu Khalifah Abdul Malik Bin Marwan dalam tahun 70 H. Pada awalnya di zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin Muawiyyah (sebelum khalifah Abdul Malik bin Marwan), al-Hajjaj diperintahkan oleh khalifah Yazid untuk memerangi tentera Saidina Al-Hussin dan menangkap cucu Rasulullah S.A.W itu agar dihadapkan kepadanya. Pada ketika itu al-Hajjaj hanya tentera biasa. Perintah tersebut disambut oleh al-Hajjaj lalu memerangi tentera saidina al-Hussin. Ketika memerangi tentera cucu Rasulullah S.A.W di Karbala, al-Hajjaj telah menemui Saidina al-hussin Radhiallahu anh lalu memancung kepala cucu kesayangan baginda S.A.W. Kepala Saidina Al-Hussin disepak-sepak oleh al-Hajjaj dengan zalim lalu dipersembahkan kepala tersebut kepada khalifah Yazid bin Muawiyah. Alangkah terkejutnya Khalifah Yazid yang terkesima dengan keadaan kepala cucu Rasulullah S.A.W diperlaku kejam oleh al-Hajjaj dan merasa kecewa dengan tindakan al-Hajjaj tersebut. Ketegasan al-Hajjaj membunuh saidina al-hussin memberi impak baru di dalam pemerintahan khalifah umawi di mana khalifah umayyah telah melantik al-hajjaj sebagai ketua tentera setelah Rauh ibn zinba'.
Keadaan ketenteraan yang lemah dari segi disiplin pada masa tersebut yang mendorong perkenalan Al-Hajjaj Bin Yusuf dengan khalifah melalui Rauh ibn Zinba`. Keadaan ketenteraan pada masa tersebut amat lemah disiplinnya, iaitu tidak lagi menurut arahan ketua secara total menyebabkan berlaku kepincangan dalam kepimpinan ketenteraan. Sedangkan pada masa ini, ketenteraan yang berdisiplin tinggi amat penting demi menjamin kekuatan yang menyeluruh dalam menghadapi pemberontakan dan penentangan dari segenap pelusuk negara. Antara gerakan yang paling berleluasa adalah gerakan Abdullah Bin Zubair yang mengiktiraf dirinya sebagai khalifah di Mekah. Dan dalam tahun 70 H, Al-Hajjaj dikenalkan kepada Khalifah dan mendapat mandat bagi mengetuai ketenteraan pasukan tentera Dawlah Umayyah bagi menghadapi tentangan dalaman dan luaran. Antara penentangan yang berjaya diselesaikan atau yang pernah ditempuh Al-Hajjaj adalah menentang puak Khawarij pada 73 H, menewaskan Abdullah Bin Zubair juga dalam tahun yang sama, dan sebelum itu berjaya menawan dan menewaskan gerakan al-Mukhtar di Kufah pada 70 H[14].
Begitulah secara ringkas berkenaan penglibatan awal al-Hajjaj di dalam kerajaan, jalinan hubungan pada peringkat antara Al-Hajjaj dan Khalifah membuahkan hasil yang
Amat memberangsangkan yang mana beliau dilantik oleh khalifah untuk jawatan gabenor bagi beberapa buah kawasan yang akan kita tinjau selepas ini.
2.1.3 Al-Hajjaj Sebagai Gabenor
Kerjaya Al-Hajjaj sebagaimana yang kita telah ketahui ia bermula bilaman al-Hajjaj dilantik menjadi ketua pasukan tentera dan telah berjaya dalam beberapa siri penentangan terhadap pembelot mahupun penentang kepada Dawlah Umayyah. Kejayaan beliau telah mendorong khalifah melantik beliau sebagai gabenor di beberapa kawasan. Kedudukan beliau sebagai panglima yang dikenali dengan keberanian disamping beberapa panglima lain seperti Muhallab dan Abdul Aziz.
Al-Hajjaj memulakan karier sebagai gabenor di Kufah dalam tahun 71 H[15], apabila Kufah berjaya ditawan oleh pasukan di bawah pimpinan Abdul Malik sendiri. Hal ini dinyatakan oleh Dr Hasanuddin Ahmed, walaupun begitu di dalam beberapa sumber lain dinyatakan bahawa Al-Hajjaj memulakan karier sebagai gabenor di Mekah, sebaik tertewasnya Abdullah Bin Zubair di tangan beliau. Beliau memulakan kerjaya sebagai gabenor di Mekah pada tahun 73 H, dan penguasa kawasan Madinah semasa itu disandang oleh Tariq ibn Amr. Perjalanan hidup al-Hajjaj, apabila pada tahun berikutnya beliau dilantik sebagai gabenor bagi kawasan Madinah, dan sekaligus bermakna al-Hajjaj sebagai penguasa kawasan Hijaz semasa itu. Hal ini terjadi apabila Tariq ibn Amr dipecat oleh Khalifah Abdul Malik pada tahun 74 H, dan Al-Hajjaj mula menyandang jawatan tersebut pada tahun yang sama. Perkara ini dirakamkan oleh imam Ibn Asir, dalam penulisannya yang bertajuk Al-Kamil Fi Tarikh, di awal-awal penulisan beliau bagi tahun 74 H beliau telah merakamkan peristiwa ini walaupun ianya disebutkan al-Hajjaj hanya berada selama sebulan di Madinah. Antara sebab beliau hanya bertahan sebulan di Madinah adalah penentangan penduduk terhadap perilaku kejam beliau terhadap Jabir Bin Abdullah, Anas Bin Malik dan Sahl Ibn Sa`ad, dan lain-lain bentuk hukuman yang dijatuhkan beliau keatas penduduk sehingga membawa campur tangan khalifah[16].
Selepas dari menjadi gabenor di Hijaz, al-Hajjaj seterusnya dilantik sebagai gabenor di Iraq pada tahun yang berikutnya iaitu pada 75 H. al-Hajjaj ditugaskan sebagaikan gabenor untuk mewakili kawasan di dalam Iraq, melainkan Khurasan dan Sajistan yang mana ia diserahkan kepada wakilnya iaitu Muhallab Ibn Abi Safrah. Pengutusan Al-Hajjaj ke Iraq adalah untuk menghadapi beberapa perkara, antaranya adalah penentangan puak Khawarij di Kufah, penetangan Rutbil di Kabul, kes Abdul Rahman Al-Ash`at bersekongkol dengan Rutbil, serta penentangan Amru Bin Al-As[17]. Itu adalah beberapa peristiwa yang menjadi antara sebab Al-Hajjaj ke Iraq, kerana dunia Islam pada masa tersebut telah mengetahui akan ketegasan al-Hajjaj, walaupun selalu disebutkan tindakan beliau sebagai kekejaman. Beliau menjadi gabenor di Iraq selepas kematian Bashar ibn Marwan, saudara lelaki kepada Abdul Malik pada awal tahun 75 H. beliau menjadi gabenor di Iraq sehinggalah kepada tahun 95 H, iaitu melalui pemerintahan khalifah Abdul Malik dan juga Walid Bin Abdul Malik. Al-Hajjaj meninggal dunia pada bulan Syawal tahun 95 H iaitu dalam jawatan sebagai gabenor mewakili Al-Walid Abdul Malik di Iraq[18].
Kematian Al-Hajjaj pada 95 H disebabkan sakit barah disambut dengan pelbagai reaksi oleh umat islam, dari lapisan tertinggi hingga rakyat jelata, samada ia positif dan negatif. Terdapat beberapa pandangan lagi menyatakan bahawa al-Hajjaj mati setelah membunuh ulama' terbesar pada zamannya iaitu Sa'id bin Jubair rahimahullah. Diriwayatkan bahawa setelah al-Hajjaj membunuh Sa'id, dirinya sentiasa diganggu dengan bayangan Sa'id yang menyebabkan dirinya tidak tenang lalu Allah timpakan kesakitan ke atasnya. ini dirakamkan di dalam kitab Kamil Fi Tarikh, selain itu juga dari kitab ini juga dirakamkan kritikan mahupun pujian terhadap al-Hajjaj dan secara keseluruhan dirakamkan bahawa Al-Hajjaj merupakan seorang yang sentiasa dekat kepada Allah, juga diberitakan bahawa Al-Hajjaj melaksanakan semuanya adalah kerana Allah SWT. Wallahu Taa`la a`la wa a`lam.
2.2 Keadaan Umayyah Zaman Abdul Malik
Khalifah Abdul Malik naik menjadi khalifah bagi menggantikan Marwan Bin Al-Hakam sebagai khalifah ke 5 bagi Dawlah Bani Umayyah. Pemerintahan beliau berlangsung dari tahun 65 H sehingga 86 H, dan kedudukan beliau sebagai khalifah dicabar dengan kedudukan kukuh Abdullah Bin Al-Zubair di Hijaz yang bermula sejurus penentangan beliau semasa pemerintahan Yazid Bin Muawiyah lagi. Abdul Malik sebelum menjawat jawatan kahlifah bani Umayyah merupakakn seorang alim dalam bidang fiqh di madinah, sebaris dengan Said Ibn Musayyab dan Urwah Ibn Az-Zubair yang mana Urwah juga merupakan seorang sejarawan aliran Madrasah Madinah peringkat awal. Dalam tempoh 21 tahun pemerintahan beliau, pelbagai cabaran dalam politik yang terpaksa dihadapi beliau, yang mana kita akan tinjau sebentar lagi sahaja[19].
Keadaan politik semasa ini berada dalam keadaan yang tidak menetu, kerana ia masih lagi di peringkat awal pemerintahan dawlah bani Umayyah, umat islam masih terkesan dengan pelbagai perkara yang berlaku sebelum. Pelbagai sentimen masih lagi mempengaruhi pemikiran penduduk, sekaligus menjadi keadaan politik yang tidak stabil. Antara yang paling hebat berlaku adalah penguasaan Abdullah Bin Zubair di Mekah, malahan beliau turut diakui oleh sebahagian penduduk sebagai khalifah yang sebenar bagi umat islam. Abdullah bin al-Zubair memberontak pada zaman Yazid Bin Muawiyah, dan ia tidak berjaya diselesaikan pada zamannya kerana selepas menjatuhkan Abdullah Bin Hanzalah di Madinah, dan mula menyerang Mekah selepas itu, beliau meninggal dunia. Dan penguasaan Abdullah Ibn Zubair berterusan sehinggalah kepada zaman Abdul Malik, dan hal ini berjaya diselesaikan oleh Al-Hajjaj Bin Yusuf pada tahun 73 H.
Selain dari itu, golongan Syiah yang berpusat di Kufah turut memberontak, ia adalah susulan dari tragedi di Karbala` yang membawa kepada kematian Hussein Bin Ali. Abdul Malik berjaya menyelesaikan konflik ini pada awal pemerintahannya selepas kumpulan Syiah di bawah pimpinan Sulaiman ibn Surad tewas kepada panglima Umayyah, Ubaidillah ibn Ziyad dalam siri pertempuran di Ain Wardah. Pemberontakan yang ketiga adalah gerakan al-Mukhtar, dan secara ringkasnya gerakan ini merupakan gerakan serpihan dari golongan Syiah. Gerakan al-Mukhtar dinisbahkan kepada Al-Mukhtar ibn Abi Ubaid As-Saqafi dan ia dipimpin oleh Ibrahim Al-Ashtar yang diberitakan merupakan seorang panglima yang gagah di medan perang, hal ini dibuktikan sekiranya kita melihat kepada peperangan di Sungai Khazr dan Mausil dimana keduanya berlaku antara gerakan al-Mukhtar dan juga tentera Umayyah, yang mana kedua-duanya dipimpin oleh Ubaidillah ibn Ziyad serta Husein ibn Numair.
Selain dari beberapa gejolak yang berlaku seperti diatas, dua perkara lain yang berlaku ialah konflik Abdul Malik dengan Amru Ibn Said al-As yang menuntut jawatan khalifah daripada Abdul Malik, beliau menuntut kedudukan khalifah kerana menurut muktamar pemilihan khalifah oleh umat islam yang berlangsung di Al-Jabiyah pada zaman Al-Marwan ibn Al-Hakam, pewarisnya adalah Khalid Ibn Yazid dan akan diikuti Amru ibn Said Al-As, walaupun begitu Al-Marwan sendiri memutuskan untuk melantik anaknya sebagai khalifah dan sekaligus menafikan keputusan di Al-Jabiyah. Konflik lain tidak kurang hebat adalah tentang keengganan Rutbil yang memegang kekuasaan di Kabul,yang mana kerajaan di Kabul enggan membayar ufti sebagaimana yang dipersetujui dan hal ini berjaya diselesaikan oleh Al-Hajjaj dengan menghantar Abdul Rahman Al-Ash`at bagi memerangi Rutbil di Kabul, walaupun Rutbil berjaya dikalahkan ianya diikuti pula pemberontakan Abdul Rahman sendiri[20].
Begitulah beberapa peristiwa yang berlaku dalam zaman pemerintahan khalifah Abdul Malik ibn Marwan. Hal diatas membuktikan keadaan yang tidak stabil dalam period pemerintahan beliau, selain dari itu juga beberapa perkara lain adalah keadaan perhubungan antarabangsa Bani Umayyah, seperti tidak memenuhi tuntutan kerajaan Rom bagi menukar bentuk kepala surat dalam surat yang dihantar kepada Rom, sekaligus menghentikan import dinar dari Rom.
2.3 Keadaan Politik Di Iraq Era Al-Hajjaj
Keadaan politik di Iraq secara amnya merujuk kepada keadaan yang berlaku di dalam dawlah Bani Umayyah seperti yang telah penulis sebutkan secara ringkas sebelum ini. Akan tetapi dalam bahagian ini, penulis akan membincangkan konflik atau krisis yang berlaku dalam tempoh pemerintahan al-Hajjaj di Iraq secara lebih mendalam.
Yang pertama adalah berkenaan Rutbil[21], Rutbil merupakan penguasa di kawasan Kabul dan beliau telah bersetuju membayar ufti kepada kerajaan Bani Umayyah dan orang yang bertanggungjawab memantau kawasan ini adalah Al-Hajjaj bin Yusuf selaku gabenor di kawasan Iraq pada masa tersebut. Konflik antara kedua pihak timbul apabila Rutbil enggan membayar ufti sebagaimana yang dijanjikan, sebaliknya memberontak dan bertindak menetang dawlah Umayyah di Iraq. Peristiwa ini berlaku semasa Al-Hajjaj selaku gabenor di Iraq, dan diselesaikan al-Hajjaj dengan menyrang Rutbil sebanyak dua kali pada tahun 76 dan 78 H, walaubagaimanapun ianya menemui kegagalan, sehinggalah serangan yang diketuai Abdul Rahman Al-Ash`at terhadap Rutbil pada tahun 80 H. serangan buat kali ketiga membuahkan hasil, akan tetapi Abdul Rahman Al-Ash`at sebaliknya bertindak memberontak dan menentang Al-Hajjaj ibn Yusuf. Penentangan Abdul Rahman Al-Ash`at berlaku dalam beberapa siri, dan pasukan kerajaan diketuai Al-Hajjaj sendiri. Dalam beberapa siri penentangan, al-Hajjaj tewas di Basrah berikutan sokongan yang diberikan penduduk terhadap Abdul Rahman Al-Ash`at, pada tahun 82 H, kemuncak kepada konflik ini bilamana Abdul Rahman dan pasukan ditewaskan di Iraq oleh pasukan pimpinan Al-Hajjaj serta sokongan kuat penduduk terhadap al-Hajjaj ibn Yusuf, dan hal ini memaksa Abdul Rahman Al-Ash`at berundur ke Kabul dan mendapatkan perlindungan dari Rutbil. Al-Hajjaj lantas mengirim surat kepada Rutbil supaya menyerahkan Abdul Rahman al-Ash`at kepada beliau serta tidak melindungi Abdul Rahman Al-Ash`at, akhirnya Abdul Rahman Al-Ash`at bertindak membunuh diri dan hanya kepalanya yang dihantar kepada Al-Hajjaj di Iraq[22].
Antara lainnya, keadaan di Iraq dan kedudukan al-Hajjaj turut dicabar oleh gerakan al-Khawarij. Gerakan ini sebagaimana yang kita sedia maklum bermula semenjak zaman Ali Ibn Abi Talib lagi, dan ianya berterusan sehingga menimbulkan penentangan golongan Khawarij[23] terhadap al-Hajjaj di Iraq. Penentangan golongan al-Khawarij mula berkembang semasa pemerintahan Muawiyah ibn Abi Sufyan lagi, akan tetapi pada peringkat ianya dapat dibendung. Pemberontakan golongan ini mula tidak dapat dikawal selepas kematian Yazid ibn Muawiyah dan lemahnya pentadbiran Abdullah ibn Ziyad di Basrah , bilamana perkembangan gerakan ini berleluasa di Kufah dan Basrah. sehinggalah tiba kepada zaman Abdul Malik Ibn Marwan yang mana golongan ini memberontak di Kufah dan Basrah yang dipimpin oleh Nafi` Ibn al-Azariq, lalu dinisbahkan kepada kumpulan Al-Azariqah. Kumpulan ini bijak mengambil peluang memperluaskan gerakan menentang Bani Umayyah pada 64 H sejajar dengan kebangkitan Abdullah ibn Zubair di Mekah. Pada zaman Abdul Malik, gerakan mereka di Kufah dan Basrah gagal dikekang oleh Bashar ibn Marwan sebagai penguasa di Kufah manakala Khalid ibn Abdullah Ibn Khalid ibn Asid di Basrah. Hal ini mula ditangani oleh Al-Hajjaj sebaik memasuki Iraq pada tahun 75 H, beliau memulakan dengan ancaman keras bahawa beliau akan menghapuskan golongan Azariqah yang menjadi penentang. Bermula dengan serangan psikologi terhadap penduduk dan penyokong gerakan Azariqah telah menyebabkan mereka mula berpecah sedikit demi sedikit, dan al-Hajjaj berjaya menghapuskan bentuk-bentuk pemberontakan daripada kumpulan ini kira-kira pada tahun 78 H. Rentetan peristiwa ini bermula semenjak angkatan perang al-Hajjaj diketuai Muhallab ibn Abi Sufrah berjaya menewaskan kumpulan yang diketuai Qatari ibn Fujaah, diikuti Abdul Rabih Kabir. Setelah kedua sayap utama kumpulan Azariqah ditumbangkan, ianya menjadikan kumpulan ini berpecah kepada beberapa bahagian dan antaranya adalah pasukan di bawah pimpinan Shabib ibn Yazid yang akhirnya ditewaskan juga dan memaksa beliau melarikan diri ke Ahwaz, dalam tahun 78 H angkatan al-Hajjaj yang diketuai Sufyan ibn Abrad Berjaya menjejaki Shabib dan sekaligus menamatkan krisis kerajaan berhadapan dengan Azariqah dan juga Safariyah berjaya dipadamkan[24].
Selain dari tiga krisis yang dibincangkan diatas, beberapa krisis lain adalah seperti pemberontakan Matraf ibn Mughirah ibn Syu`bah, penentangan Anas ibn Malik dan sebagainya yang hanyalah merupakan penentangan kecil tidak sebagaimana penentangan Ibn Ash`at dan Khawarij, bahkan para sejarawan turut meletakkan penentangan Khawarij sebagai salah satu faktor kejatuhan dawlah Umawi, dan perlu difahami di sini bahawa penentangan Khawarij yang telah penulis sebutkan diatas hanyalah merupakan peristiwa yang berlaku dalam tempoh pentadbiran al-Hajjaj bilamana beliau berjaya mengawal, mengekang serta menyekat pemberontakan dari golongan ini dan tidaklah menghapus kesemua pengikut mereka, bahkan segala idelogi mereka terus menjadi wadah kehidupan cuma ianya tidak dipraktik secara meluas akibat kekangan yang dihadapi.
3. Pentadbiran Al-Hajjaj di Iraq
3.1 Polisi Pentadbiran
Polisi pentadbiran zaman al-Hajjaj adalah sejajar berdasarkan kepada dasar kerajaan Umawi, sebagaimana pelan perancangan pentadbiran semenjak zaman Muawiyah ibn Abi Sufiyan walaupun ianya berubah pada pemerintahan seterusnya kerana dasar kerajaan secara umum biasanya berorientasikan kepada sifat pemimpin tertinggi, seterusnya kepada keadaan sosial, politik dan ekonomi.
Yang pertama, dasar kerajaan pada zaman Abdul Malik dan Al-Walid adalah menghapuskan semua penentang. Hal ini bermaksud kerajaan mengamalkan sikap tidak mempunyai sebarang kompromi terhadap penentang, ianya adalah seperti amalan ISA di Malaysia, sesiapa yang dilihat menetang akan di tangkap dan di dalam kerajaan Umawi sesiapa yang dilihat bertindak menentang samada ia dari aspek penentangan terhadap kerajaan, penentangan terhadap khalifah dan lain-lain. Dan dalam hal ini, penulis melihat ianya berbentuk penetangan yang bermotif politik, samada dengan niat mengancam kedudukan pemerintah, mahupun dengan niat menjatuhkan kerajaan. Menghapuskan penentang dalam konteks di sini bukanlah merangkumi penetangan dari sudut percanggahan pendapat, penentangan terhadap polisi dan sebagainya, akan tetapi ia lebih khusus terhadap penetangan atau ancaman yang bersifat ketenteraan. Dalam hal ini, penghapusan penentang mungkin menjadi salah satu polisi kerajaan kerana pada masa ini amat banyak berlakunya penentangan yang bersifat ketenteraan yang boleh mengancam kedudukan, kewibawaan serta kedaulatan kerajaan, sebagaimana yang kita sedia maklum, al-Hajjaj dikatakan telah membunuh lebih 100 ribu jiwa sepanjang tempoh 20 tahun pemerintahan beliau di Iraq, dan hampir kesemua adalah golongan penentang yang bersifat ketenteraan, dan polisi ini berjaya dilaksana hampir 80 peratus oleh al-Hajjaj berikutan kawasan yang paling banyak timbul penetangan adalah di kawasan beliau.
Yang kedua, dasar kerajaan adalah pemusatan kuasa secara kolektif, yang dimaksudkan disini adalah dawlah Umayyah berkuasa melalui kerjasama dalam kumpulan, dan setiap kejayaan bukanlah terdorong dari khalifah sahaja, tetapi ianya mestilah merupakan hasil kesatu paduan bersama-sama. Hal ini secara mudah penulis ambil contoh ialah pengutusan Abdul Rahman Al-Ash`at untuk menewaskan Rutbil di Kabul, sebelum serangan dilakukan terhadap Rutbil, ia melalui proses keizinan dari khalifah, dan kesepakatan antara kepimpinan tertinggi, lalu barulah Abdul Rahman dipilih, sedangkan Al-Hajjaj sendiri amat berkemampuan untuk menjalankan misi terbabit kerana kita ketahui sebelum beliau berada di Iraq dan Hijaz, beliau merupakan kepimpinan dalam ketenteraan Umayyah. Demikianlah contoh kepada pemusatan kuasa secara kolektif, iaitu gerak kerja berkumpulan dan bergandingan antara satu dengan yang lain. Secara keseluruhan penulis merumuskan bahawa dasar kerajaan iaitu pemusatan kolektif timbul selepas diwujudkan Sistem Wizarah, iaitu kerajaan bukan sahaja ditadbir oleh khalifah yang kemudian dibantu beberapa penasihat dari kalangan sahabat mahupun tabi`in. akan tetapi system wizarah lebih merupakan satu system yang telah menetapkan beberapa perkara iaitu adanya wazir bagi mentadbir di bahagian pentadbiran di peringkat pusat, adanya gabenor di setiap wilayah selain dari pusat kerajaan, juga adanya amir ataupun gabenor juga yang bertindak untuk memantau keadaan dan perjalanan sesuatu wilayah. Begitulah antara contoh yang dapat penulis kemukakan berkaitan pemusatan kolektif.
Yang ketiga adalah kerajaan Umayyah juga menyeragamkan sistem bahasa, iaitu mengguna pakai bahasa arab sebagai bahasa rasmi di setiap kawasan jajahan takluk bagi menggantikan bahasa asing yang digunakan sebelum ini. Seperti yang kita ketahui, bahawa di dalam urusan rasmi di setiap jabatan kerajaan sebelum ini menggunakan bahasa tempatan, dan kebanyakan menggunakan bahasa parsi, dan Abdul Malik ibn Marwan telah bertindak menukar bahasa rasmi dalam setiap urusan di jabatan kerajaan secara seragam di setiap kawasan Umawi. Dasar yang ketiga ini juga berjaya dilaksanakan dengan jayanya, dan pelbagai implikasi positif berjaya dihasilkan. Selain daripada membantu perkembangan bahasa arab ke kawasan luar, penggunaan bahasa arab sebenarnya secara tidak langsung menguatkan kedudukan Umayyah semasa itu, hal ini kita lihat sebagai dasar yang berani, iaitu dapat dilihat bahawa kerajaan lain, seperti rom contohnya terpaksa tunduk kepada kehendak penggunaan bahasa arab, walaupun ia mendapat bantahan maharaja Rom pada peringkat awal, selain itu juga, penggunaan bahasa arab membantu perkembangan ilmu pengetahuan pada masa tersebut, kerana pusat perkembangan ilmu pada peringkat awal adalah di Madinah dan seterusnya Iraq iaitu di Basrah, antara yang kita dapat lihat adalah anak kepada sahabat Rasulullah SAW iaitu Urwah Ibn Zubair ibn Awwam[25] yang mana beliau sememangnya sudah terkenal sebagai ahli hadis, sekaligus merupakan ahli sejarawan aliran Madrasah Madinah peringkat awal, Urwah lahir pada 24 H dan meninggal ketika berumur 71 tahun, setahun sebelum kematian al-Hajjaj iaitu pada tahun 94 H. Pelbagai impak sebenarnya akan dapat dilihat sekiranya kita perhalusi lagi pelaksanaan bahasa arab sebagai bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan, antara tokoh bahasa arab yang lahir di dalam kerajaan Umawi adalah Sibawaih dan Khalil ibn Ahmad al-Farahidi[26]. Wallahu a`lam.
Begitulah antara tiga polisi yang dapat penulis bincangkan, ianya berlaku dalam dua era pentadbiran iaitu Abdul Malik ibn Marwan dan juga Al-Walid ibn al-Malik, dan al-Hajjaj merupakan orang penting dalam kerajaan yang berusaha melaksanakan dasar kerajaan, dan selama dua puluh tahun beliau berada di Iraq, boleh dikatakan bahawa kesemua polisi Umawi yang disebutkan diatas berjaya dilaksanakan dengan jayanya.
3.2 Isu Pentadbiran Al-Hajjaj
Isu pentadbiran al-Hajjaj adalah antara perkara penting yang mendorong penulis menulis kertas kerja ini. Isu yang dimaksudkan dalam bahagian ini adalah isu tentang perkara yang terjadi dari tindakan al-Hajjaj samada semasa menjadi gabenor atau sebelum dari itu. Dan isu tersebut samada ianya berkaitan dengan Al-Hajjaj secara langsung ataupun tidak ataupun ianya berlaku semasa al-Hajjaj menjadi ‘orang kerajaan’. Penulis akan cuba membawa keluar beberapa isu yang boleh diputar belit untuk memburukkan al-Hajjaj menurut riwayat-riwayat di dalam kitab Al-Bidayah wa An-Nihayah karangan imam Ibn Kasir.
1) Pembunuhan Umayr ibn Dabi` Al-Tamimi al-Hanzaliy
Al-Hajjaj membunuh Umayr pada awal ketibaan beliau di Iraq sebagai gabenor. Di dalam sesetengah buku sejarah, Al-Hajjaj dikatakan membunuh Umayr dan memancung kepalanya kerana beliau enggan memberi taat setia kepada Al-Hajjaj selaku gabenor, selain itu Al-Hajjaj dikatakan kejam kerana telah memenggal kepala seorang yang sudah tua dan Umayr hidup semenjak zaman Uthman RA lagi. Al-Hajjaj dituduh menyalah guna kuasa beliau terhadap seorang musuh peribadi. Sedangkan mengikut catatan Imam Ibn Kasir, Umayr merupakan salah seorang dari kelompok yang memerangi Uthman RA dan mengikut hukum islam ia wajar dibunuh walaupun ia tidak dapat dilaksanakan oleh Ali Karamallahu Wajhah semasa pemerintahannya.
2) Peperangan memerangi penduduk di Qantarah Ramaharmuz
Penduduk yang diketuai Abdullah Ibn Jarud adalah antara golongan yang menentang pembunuhan Umayr pada asalnya, dan seterusnya pembunuhan seorang lelaki yang menempelak Al-Hajjaj. Dan peristiwa perang ini berlaku dalam bulan Sya`ban tahun 75 H, susulan dari perang ini Abdullah ibn Jarud serta beberapa orang kanannya telah mati dalam pertempuran. Hal ini, secara ringkasnya adalah reaksi segera al-Hajjaj, supaya golongan yang memihak Khawarij tidak terus bertambah, sedangkan Khawarij adalah pihak yang sedang pesat mempengaruhi penduduk, oleh itu jika reaksi seperti itu tidak dilakukan, mungkin Khawarij mempunyai masa yang banyak untuk mempengaruhi penduduk secara keseluruhan[27].
3) al-Hajjaj berlaku zalim terhadap Abdul Rahman Al-Ash`at
Dalam hal ini, al-Hajjaj dikatakan sering tidak sependapat dengan Abdul Rahman, dan dikatakan sering menghina Abdul Rahman dan menimbulkan rasa tidak puas hati kepada Abdul Rahman. Lalu pemberontakan Abdul Rahman Al-Ash`at sebenarnya dikatakan berpunca daripada layanan Al-Hajjaj terhadap beliau. Analisa yang dapat dikemukakan di sini adalah, krisis berlaku apabila al-Hajjaj melarang tindakan Abdul Rahman al-Ash`at yang bertindak menduduki beberapa kawasan dalam Negara Turki, sedangkan Al-Hajjaj tidak bersetuju sama sekali terhadap tindakan tersebut, oleh itu Abdul Rahman Al-Ash`at bertindak menentang al-Hajjaj. Dan sangat besar kemungkinan ada unsur hasutan daripada Raja Rutbil kepada Abdul Rahman untuk berpaling tadah, lebih-lebih lagi diriwayatkan Raja Rutbil pernah mengutus surat kepada Abdul Rahman serta berkemungkinan sekali kekuatan tentera yang menjangkau 33000 berkuda dan 120000 orang berjalan kaki menjadikan Abdul Rahman bersemangat untuk menentang, dan Abdul Rahman sendiri sangat mengetahui kekuatan tentera yang tinggal di Iraq, wallahu a`la wa a`lam.
Dalam bahagian ini, sesungguhnya banyak isu yang boleh dikupas lagi, akan tetapi kesuntukan masa menyebabkan hanya 3 isu yang sempat diketengahkan. Wallahu a`lam.
4. Perekonomian Zaman Umayyah
Sistem ekonomi pada zaman pemerintahan Umayyah boleh dikatakan akan dalam keadaan yang stabil, kerana jika kita lihat aliran import dan eksport barangan berjalan dengan baik, dan itu menandakan bahawa keadaan Umawi dari segi komposisi ekonomi adalah berada di aras yang baik, yang mana ekonomi yang kuat menyebabkan inflasi berkurangan. Dalam bahagian ini kita akan sama-sama cuba melihat akan hal ehwal ekonomi pada zaman Umawi ini.
4.1 Keadaan Ekonomi Umayyah
Ekonomi di Umayyah pada masa pemerintahan Abdul Malik dan al-Walid secara umumnya berada dalam keadaan baik, dan hal ini ditambah dengan tindakan bijak khalifah dalam urusan import eksport dengan kerajaan Rom lebih-lebih lagi. Sumber kepada kemajuan ekonomi pada masa pemerintahan Abdul Malik dan al-Walid terbahagi kepada beberapa sumber yang akan penulis sebutkan selepas ini.
Antara sumber pendapatan tetap yang didapati dawlah Umawi adalah seperti Kharaj[28], iaitu cukai tanah seterusnya adalah Jizyah iaitu berbentuk cukai perlindungan dan ia biasanya dikenakan kepada penduduk bukan islam yang bermastautin di dalam kerajaan, seterusnya pula adalah zakat, samada ia zakat harta, perniagaan dan lain-lain[29].
Selain daripada beberapa perkara yang penulis katakana sebagai sumber tetap kepada kerajaan, dan jika berlaku perubahan ia tidaklah menjangkau perbezaan yang terlalu ketara. Dan antara lain yang juga merupakan sumber kepada kerjaan Umawi adalah harta rampasan perang ataupun Ghanimah, dan dalam sejarah pemerintahan Abdul Malik dan al-Walid sememangnya banyak bentuk peperangan berlaku antara pihak kerajaan dan penentang, dan sekaligus bersesuaian dengan dasar yang dibawa oleh kerajaan. Selain dari sumber ghanimah, antara lain adalah beberapa sektor ekonomi yang berjaya dibangunkan di kawasan jajahan takluk Umawi. Antara sektor utama adalah seperti sektor pertanian yang berlaku di Iraq, di Iraq ia mendapat tumpuan khusus daripada al-Hajjaj selaku gabenor di sana. Selain pertanian, sektor pembuatan barangan hiasan, dan perhiasan yang menggunakan emas dan perak merupakan kegiatan ekonomi yang pesat, sektor pembuatan senjata juga tidak ketinggalan pada masa tersebut. Selain itu, kerjasama ekonomi di antara Umawi dan Rom juga tercatat di dalam buku penulisan Yaqut al-Hamawi apabila beliau menceritakan bagaimana terhentinya import kertas ke negara Rom dan bagaimana terhentinya juga import pembuatan matawang dari Rom.
Begitulah dia sekilas pandang berkenaan sumber ekonomi kerajaan Umayyah pada masa pemerintahan Abdul Malik dan Al-Walid. Dan seterusnya kita boleh cuba memantau apakah dia sektor ekonomi yang berkembang baik di Iraq dalam era pemerintahan al-Hajjaj dalam bahagian yang seterusnya.
4.2 Sumber Ekonomi Di Iraq
Iraq mempunyai pelbagai sumber ekonomi, secara umumnya ia juga adalah seperti mana yang berlaku dalam daerah lain. Ekonomi Umawi sebahagian besar mempunyai sangkut paut dengan Iraq kerana Iraq adalah wilayah cukup luas dan besar. Iraq merangkumi beberapa kawasan sebagaimana yang kita telah sebutkan sebelum ini. Ekonomi pada zaman al-Hajjaj di Iraq boleh dikatakan stabil dari peringkat awal walaupun berlakunya pelbagai insiden dalaman pada masa tersebut. Dikatakan dalam keadaan stabil adalah kerana jika kita lihat bahawa perubahan matawang yang dilakukan al-Hajjaj pada awal kemasukan beliau ke Iraq adalah antara perkara yang membuktikan bahawa keadaan ekonomi stabil, kerana sekiranya keadaan ekonomi dan matawang Umawi merosot, tidak mungkin dilakukan pertukaran matawang baru, walaupun hal ini kita sedari dimulakan sedikit awal oleh Abdul Malik sendiri, akan tetapi di Iraq dijalankan secara langsung oleh al-Hajjaj, bahkan ianya diperluaskan kepada setiap wilayah.
Sumber ekonomi di Iraq datangnya daripada beberapa bentuk, iaitu seperti mana juga sumber kepada kerajaan Umawi iaitu dalam bentuk Kharaj dan lain-lain. Dan Kharaj di Iraq sudah tentu memberikan pulangan besar kerana berdasarkan kepada keluasan wilayah, dan as-Shalaby mengatakan bahawa Kharaj dari Iraq pada zaman Al-Hajjaj mencapai sehingga 18 juta Dirham dan ia terus meningkat dan dalam tahun 95 H ia mencapai jumlah 25 juta Dirham dan walaupun begitu berlaku defisit kepada hasil keluaran Iraq jika dibandingkan dalam zaman Muawiyah, hal ini dikatakan berpunca daripada banyaknya penetangan dan lain yang turut memusnahkan sebahagian sumber ekonomi. Selain dari hasil negeri dalam bentuk perdagangan dan sebagainya, pertanian adalah salah satu dari sumber yang penting dari Iraq, al-Hajjaj telah memberi perhatian terhadap beberapa perkara utama dalam merencana pembangunan industri pertanian di Iraq iaitu ia termasuklah insentif kerajaan kepada petani, galakan berupa modal, pembaikan sistem pengairan, serta biaya dalam bidang penyelidikan pertanian. Selain itu sumber kepada Iraq adalah Ghanimah, walaupun tidak ada sumber tepat berkenaan dengan hasil ghanimah dari Iraq, akan tetapi jika disandar kepada lebih dari 20 peperangan maka hasil dari Iraq dalam bentuk Ghanimah juga semestinya memberi hasil yang cukup gah. Selain itu, sumber dalam bentuk Jizyah adalah sentiasa meningkat dari masa ke semasa, pada peringkat awal ianya sekitar 720000 di Iraq, dan meningkat sejajar dengan pembukaan wilayah dari masa ke semasa, dan di bahagian asia selatan yang dibuka, hasil Jizyahnya adalah hampir kepada 50 juta Dirham iaitu termasuk Khawarizm, Bukhara dan lain-lain lagi. Selain daripada sumber secara umum yang telah disebutkan, kedudukan Kufah sebagai salah sebuah wilayah Iraq turut perlu diberi perhatian, kerana Kufah mempunyai pusat perdagangan antarabangsa iaitu di Hirah, perkembangan Basrah juga tidak boleh diabaikan kerana Basrah juga turut menjadi tumpuan perdagangan. Beberapa tempat ini merupakan pusat perdagangan untuk pedagang besar dari Negara Parsi dan Hind juga dari Rom dan Yunan. Walaupun pada zaman Al-Hajjaj, perkembangannya tidak sangat memberangsangkan, akan tetapi sedikit sebanyak ia memberi pulangan kepada kerajaan[30].
Demikianlah secara ringkas berkenaan hasil keluaran Iraq dalam bidang ekonomi, dan penulis percaya bahawa sumber ekonomi dari Iraq pada masa tersebut memberi sebahagian sumbangan besar kepada kewangan bagi Dawlah Umawi khusunya pada zaman Abdul Malik dan al-Walid sebagai khalifah.
5. Kesan Al-Hajjaj Bin Yusuf Sebagai Gabenor
Al-Hajjaj pernah menjadi gabenor di dua tempat utama, iaitu di Hijaz dan juga di Iraq. Tugas beliau di Hijaz yang merangkumi Madinah, Mekah, Yaman dan jugaYamamah, berlangsung selama kira-kira setahun sehingga dua tahun manakala beliau bertugas di Iraq yang turut merangkumi Kufah dan Basrah, belaiu sebagai gabenor di bawah pemerintahan khalifah Abdul Malik ibn Marwan sehingga tahun 86 H, dan kontraknya diteruskan juga pada masa dan zaman Al-Walid ibn Abdul Malik sehinggalah kematian Al-Hajjaj pada tahun 95 H.
5.1 Al-Hajjaj Di Hijaz
Tempoh pemerintahan al-Hajjaj yang singkat semasa berada di Hijaz tidak memungkinkan beliau untuk melakukan pelbagai perubahan yang besar. Beliau mula berkuasa sebagai gabenor pada bulan Jamadil Akhir tahun 73 H sehingga kepada Rejab tahun 75 H, yang paling utama adalah kemasukan al-Hajjaj telah berjaya menukar kepimpinan di Mekah dan Madinah daripada berada di bawah kekuasaan Abdullah ibn Zubair. Serangan al-Hajjaj di Mekah telah mengakibatkan kemusnahan kepada ka`bah kerana serangan yang menggunakan manjanik dari luar kawasan, dan ketika waktu tersebut Abdullah bersama pengikutnya bertahan di kawasan ka`bah[31].
Yang kedua adalah pembinaan semula ka`bah oleh al-Hajjaj semasa beliau bertugas di Mekah sebagai gabenor. Ka`bah yang musnah disebabkan serangan ke atas Abdullah ibn Zubair sekaligus menyebabkan Ka`bah musnah dan terbakar. Al-Hajjaj mula membina ka`bah selepas mendapat perkenan daripada Abdul Malik, dan dibina menurut cirri-ciri yang dibina oleh Abdullah ibn Zubair, walaupun begitu ia diubah supaya bersesuaian dengan ka`bah yang wujud pada zaman Nabi yang dibina oleh Quraisy. Ka`bah yang dibina semula al-Hajjaj bertahan sehingga kepada zaman Sultan Murad IV dari Dawlah Uthmaniyah iaitu kira-kira tahun 1039 H[32]. selain itu, Al-Hajjaj juga sempat membina sebuah masjid iaitu Masjid Bani Salamah[33].
5.2 Al-Hajjaj Di Iraq
Sepanjang tempoh pemerintahan al-Hajjaj, ia telah meninggalkan kesan yang pelbagai kepada masyarakat di kawasan Iraq. Antara kesan yang paling mendalam adalah kemakmuran dan kesetiaan kepada kerajaan, hal ini bermula sebaik beliau sampai di dalam bulan Ramadan tahun 75 H bilamana beliau memberi tekanan psikologi yang amat kuat kepada penduduk Iraq mahupun Syam. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa keadaan di wilayah Iraq tidak berada di dalam posisi yang aman dan stabil, dan menjadi salah satu faktor pengutusan beliau ke Iraq adalah demi memelihara keamanan berikutan wujudnya pelbagai kekacauan termasuklah pemberontakan dan lain-lain. Hal ini dianggap berjaya diselesaikan dalam tempoh 20 tahun pemerintahan al-Hajjaj, dan penulis percaya bahawa salah satu faktor adalah polisi al-Hajjaj yang ternyata keras dan tidak ada langsung unsur kompromi.
Selain daripada itu, antara perkara yang mula dilakukan al-Hajjaj semasa menduduki Iraq dalam tahun 75 H adalah membuat matawang dirham, hal ini dicatat oleh al-Balazuri dalam kitabnya Futuh al-Buldan, beliau mencatatkan bahawa al-Hajjaj telah menempa matawang dirham pada akhir tahun 75 H, dan ia mula dibuat serta diedar di seluruh kawasan Iraq pada tahun 76 H. al-Hajjaj juga membuat dinar di atas arahan Abdul Malik dan dinar tersebut dinamakan Dinar Dimashqiyah, selain itu juga al-Hajjaj membuat pembaharuan terhadap ukiran di atas matawang iaitu pada permulaannya beliau menulis Bismillah dan pada tahun berikutnya beliau menulis di atas matawang itu dengan tulis Allah Ahad, Allah Al-Samad[34].
Selain dari kesan di atas, al-Hajjaj dalam 10 tahun terakhir pemerintahannya di Iraq mula melakukan era perluasan kuasa, kebanyakan ianya berlaku dalam tahun 85 H sehingga 95 H, hal ini disebabkan Al-Hajjaj pada peringkat awal menumpukan kepada hal perpaduan di peringkat dalaman. Era perluasan kuasa ini, biasanya dilakukan melalui beberapa orang panglima atau orang kanan al-Hajjaj, iaitu Muhallab ibn Abi Safrah, Qutaibah ibn Muslim dan juga Muhammad Al-Qasim. Antara yang pernah dibuka adalah kawasan Bandar Balkh dan Bandar Shas, yang mana ia mempunyai sungai yang masing-masing dinamakan Saihun dan Jaihun, yang mana pada masa sekarang kawasan tersebut adalah di dalam Negara Uzbekistan iaitu kawasan Amudarya dan Sirdarya. Kedua kawasan yang disebutkan ini dibuka oleh Muhallab dalam tempoh 2 tahun melalui dua ekspidisi pembukaan, dan peristiwa ini berlaku selepas Muhallab berjaya menewaskan Azariqah, selain itu Muhallab juga berjaya membuka Multan di kawasan Sind yang mana ia adalah sebuah wilayah jajahan Hindu. Antara lain kawasan yang berjaya dibuka secara ringkasnya oleh Qutaibah ibn Muslim adalah Shas, Bukhara, Samarkand, Khawarizm dan lain-lain di kawasan asia sehinggalah ke perbatasan sempadan negeri China. Dan begitu juga dengan Muhammad al-Qasim yang berjaya membuka wilayah Sind pada tahun 89 H, ekspidisi pembukaan beliau adalah selama kira-kira 5 tahun dan berjaya merangkumi beberapa kawasan seperti Dibl, Nairawan, Mahran dan lain-lain lagi[35]. Demikianlah beberapa kawasan yang berjaya dibuka dan penerangan ringkas mengenainya, dan penulis ingin menekankan bahawa pada zaman al-Hajjaj, kejayaan merentasi jalan ke India merupakan langkah awal yang membawa kepada bertapaknya kedudukan kerajaan Islam di sana, walaupun telah ada ekspedisi sedemikian sebelum ini, akan tetapi ia hanyalah bercorak dakwah dan bukan berbentuk pembukaan yang menjadi tapak kepada kerajaan Islam. Dan suka ditekankan di sini bahawa, pembukaan yang berlaku dalam tempoh pemerintahan al-Hajjaj di Iraq adalah merupakan salah satu pembukaan jalan perdagangan diantara Negara Asia secara keseluruhan, dan sejajar dengan pembukaan jalan perhubungan ia sekaligus dapat mempertingkatkan produktiviti kerajaan.
DONATE
Memaparkan catatan dengan label Tamadun Islam. Papar semua catatan

Jumaat, 23 Oktober 2009
Khamis, 28 Mei 2009
Kerajaan Nasriyyah (1238-1492M) di Granada
Oleh: EZAD AZRAAI JAMSARI

ABSTRAK
Suasana sekeliling Sepanyol pada abad ke-13M dan ke-14M berada dalam
keadaan kucar-kacir. Kestabilan politik menjadi idaman setiap kerajaan,
sama ada kerajaan Islam atau Kristian. Masing-masing berusaha untuk
memperkukuhkan kedudukan dan pengaruh di kalangan kuasa lain agar
kuasa mutlak mereka menjadi kenyataan. Kerajaan Nasriyyah (1238-1492M)
sendiri misalnya, giat berusaha untuk mengekal dan meneruskan kuasa
pemerintahannya sebagai suatu kuasa Islam yang berdiri megah sehingga
berlanjutan selama hampir dua setengah abad. Pencapaian ini adalah tempoh
pemerintahan paling lama yang pernah dialami oleh kerajaan Islam di
Granada semenjak Islam tiba di bumi Sepanyol pada tahun 711M. Sepanjang
tempoh hampir dua setengah abad, kerajaan Nasriyyah berada di bawah
pemerintahan 22 orang sultan. Artikel ini bertujuan untuk membincangkan
latar belakang geografi Granada, suasana politik Andalus pada awal abad
ke-13M, penubuhan kerajaan Nasriyyah dan tempoh pemerintahan sultansultan
yang dibahagikan kepada tiga tahap, iaitu era pengukuhan dan
pemantapan, era kemajuan dan kegemilangan serta era kemerosotan dan
kejatuhan.
ABSTRACT
There was havoc, chaos and confusion in Spain’s political arena in the 13th
and 14th century. Political stability was the dream and wish of each kingdom,
both Muslims and Christians. Each party struggled to strengthen its position
and influence on others in order to gain absolute power. The Nasrid Kingdom
(1238-1492) for example, had put in great effort to sustain and maintain its
ruling power as the one and only Islamic power to survive for nearly two and
a half centuries. This achievement is perceived as the longest reign of Islamic
power in Granada since Islam first set it steps in Spain in the year 711. In the
two and a half century period, 22 sultans ruled the Nasrid Kingdom. This
article discusses the geographical background of Granada, the political arena
in Andalus in the early 13th century and the formation of the Nasrid government,
in addition to the duration of power by the sultans which can be divided
into three stages, which are the powerful and strengthening era, the glorious
and magnificent era, and the declining era and its fall.
PENDAHULUAN
Kerajaan Nasriyyah, juga dikenali sebagai kerajaan Banu Nasr atau Banu al-
Ahmar, ialah kerajaan Islam terakhir yang memerintah Andalus bermula pada
tahun 1238 hingga 1492M (635-897H). Pada zaman pemerintahan kerajaan ini,
Andalus telah mencapai era kemuncak kegemilangan tamadun kesenian Islam
dengan terbinanya istana Alhambra (al-Hamra’) di puncak Banjaran Sierra
Nevada (Jabal Shalir/al-Thalj) di Granada yang tetap menjadi the artistic genius
of Muslim Spain (Chejne 1974: 360). Kerajaan ini, yang dikenali sebagai Nasrid
Dynasty atau the Kingdom of Granada dalam bahasa Inggeris, muncul ketika
kekuasaan Islam di Sepanyol sedang mengalami keruntuhan. Kerajaan demi
kerajaan dan kota demi kota jatuh ke tangan pihak Kristian yang melancarkan
gerakan menawan semula kawasan kekuasaan Islam.
Di samping itu, kerajaan Nasriyyah juga telah melalui perit getir dalam
membangunkan sebuah peradaban insani, di samping menentukan jatidiri
bangsanya sendiri. Kegemilangan tamadun Islam ketika ini mencakupi pelbagai
aspek kehidupan manusia seperti pengurusan politik dan pentadbiran,
perkembangan intelektualisme dan pendidikan, penguasaan bahasa dan
kesusasteraan Arab, kerancakan aktiviti ekonomi dan perdagangan, perancangan
urbanisasi dan pertanian serta pegangan agama dan budaya tempatan yang
utuh. Meskipun demikian, kerajaan Nasriyyah telah berjaya mengekalkan kuasa
pemerintahannya sendiri dalam keadaan yang begitu meruncing di
persekitarannya. Pemerintah Kristian (Castile, Aragon, Navarre, Leon dan
Portugal) sentiasa menyerang kerajaan ini dan fenomena tersebut telah memberi
impak negatif terhadap pentadbiran dan pemerintahan Islam di Granada. Mereka
acapkali menyerang – menerusi usaha La Reconquista – kawasan-kawasan
pemerintahan Islam dengan matlamat menghapuskan Islam dan mengambil semula
tanah jajahan yang sebelum ini diduduki Islam. Usaha ini disokong padu pemimpin
tertinggi Kristian, Pope di Rome, dengan melancarkan the Crusades (Perang
Salib) ke atas dunia Islam. Dengan kepintaran dan kemahiran para pemimpin
kerajaan Nasriyyah menggunakan helah politik dan kebijaksanaan mereka
berinteraksi dengan pihak Kristian di sekeliling, kerajaan ini mampu bertahan
selama hampir dua setengah abad dalam memperjuangkan kedaulatan agama
Islam di Eropah.
LATAR BELAKANG GEOGRAFI GRANADA

Kerajaan Nasriyyah berpusat di Granada atau Gharnatah dalam bahasa Arab
yang terletak di tenggara Semenanjung Iberia. Granada turut dikenali dengan
Ighranatah atau Aghranatah (Ibn al-Khatib 1973, 1: 91; Ibn al-Khatib 1347H:
12). Perkataan Granada dipercayai berasal daripada perkataan Latin, iaitu granata
yang membawa maksud buah delima. Ini memandangkan Granada dipenuhi
dengan kebun delima yang digambarkan sebagai sebuah pohon berbuah lebat
dan amat cantik. Pandangan yang menyatakan kecantikan kota Granada ini
disokong oleh kebanyakan ahli geografi Arab seperti al-Hamawi (1997: 383)
yang menggambarkannya sebagai sebuah daerah yang cantik, disaliri oleh
sungai-sungai yang bercabang-cabang.
Meskipun demikian, seorang orientalis Sepanyol bernama Francisco Simonet
(CInan 1966: 22), berpandangan bahawa Granada dirujuk kepada era pemerintahan
kaum Goth berasal daripada gabungan dua perkataan, iaitu ghar dan natah.
Ghar merujuk kepada sebuah kampung lama dalam wilayah Élvira pada zaman
pemerintahan Rom. Manakala natah pula, ialah ungkapan yang ditambah oleh
orang Arab kepada kampung tersebut. Apabila digabungkan, terhasillah
perkataan Gharnatah. Perselisihan para sejarawan dalam menamakan sesuatu
bandar adalah disebabkan oleh perbezaan dalam sebab-sebab penamaan dan
juga kepelbagaian andaian dalam penamaan tersebut (al-Nuqrat t.th.: 56).
Pada peringkat awal ketibaan Islam di Andalus, Granada hanyalah sebuah
bandar kecil dalam wilayah Élvira dan kemudian berkembang pesat menjadi
sebuah bandar yang memainkan peranan utama dalam pergolakan umat Islam di
Andalus (al-Qalqashandi 1915, 5: 216). Daripada sebuah bandar, Granada
kemudian menjadi nama bagi wilayah menggantikan nama Élvira. Kota Granada
terletak di kawasan tercantik di tenggara Semenanjung Iberia. Di sebelah timur, ia
mengadap Lautan Mediterranean dan di sebelah selatan pula, ia menjalar hingga
ke pinggiran Gibraltar. Manakala di sebelah barat ia memanjang hingga ke Sierra
Morena. Kawasan pergunungan di Granada tidak rata dan dipenuhi bukit-bukau
yang curam serta berada pada aras yang tinggi dari Sungai Guadalquivir. Antara
bandar yang terletak berhampiran sungai ini ialah Jaén, Baeza dan Úbeda. Bandar-bandar ini kekal menjadi medan pertelingkahan dan perebutan kuasa di antara
pihak Islam dan Kristian (Farhat 1981: 11-12). Antara bandar yang terletak di
bawah pemerintahan kerajaan Nasriyyah ialah Loja, Priego, Guádix, Juliana,
Almunécar, Baza, Málaga dan Ronda (al-Maqqari 1988, 1: 148-149 & 165; Ibn al-
Khatib 1347H: 18-19).
Granada juga dikenali sebagai Sham al-Andalus atau Dimashq al-Andalus
disebabkan kemasyhurannya dengan keindahan taman-taman dan kebun-kebun.
Suasana ini mempunyai pengaruh yang besar dalam diri penduduk Granada
sehingga keindahannya diumpamakan dengan keindahan daerah-daerah di Timur.
Perumpamaan ini diperjelaskan oleh al-Maqqari (1988, 1: 117) dalam kitabnya,
Nafh al-Tib min Ghusn al-Andalus al-Ratib.

Keindahan Granada, sebagaimana yang digambarkan oleh Ibn al-Khatib
(1347H: 12 & 14; 1973, 1: 96) amat menakjubkan. Granada lebih dikenali sebagai
sebuah kawasan subur yang dipenuhi dengan pelbagai jenis tanaman dan
tumbuhan. Sebanyak 36 anak sungai telah mengairi Granada melalui Banjaran
Sierra Nevada. Antara sungai yang terkenal ialah Sungai Genil (Nahr Shanil)
yang menjadi sumber inspirasi para penyair dan sasterawan Andalus. Selain
Sungai Genil, terdapat juga Sungai Eldarro (Nahr Hiddaruh) yang mengalir dari
sebelah timur Andalus (al-Nuqrat t.th.: 57; CInan 1966: 23). Malah, penjelasan
yang sama dibuat oleh Navagiero (Dickie 1992a: 105) dengan kenyataannya:
Outside the city, in the Vega, there are large orchards and plantations irrigated with the water of canals led off the two rivers referred to [the Darro and the Genil], which also operate many flour mills; so that everywhere Granada abounds in water from rivers or from springs.
ANDALUS AWAL ABAD KE -13 MASIHI

Pada tahun 1224M, setelah kematian Khalifah Abu Yacqub Yusuf II al-Mustansir
bi Allah, kerajaan al-Muwahhidun sebagai pemerintah Islam di Andalus pada
ketika itu, mula mengalami zaman kemerosoton dan kejatuhan. Bumi Andalus
kemudiannya menjadi rebutan antara pihak Islam dan Kristian dalam menentukan
kuasa pemerintahan yang mutlak. Ini menjadikan Andalus berada dalam keadaan
perpecahan dan tidak aman. Andalus juga turut menjadi rebutan pemerintahpemerintah
Islam.
Antara mereka yang berusaha untuk menjadi pemimpin utama Andalus ialah
Abu Jamil Zayyan b. Mardanish. Pada tahun 1229M, beliau menjadikan Valencia,
Denia dan daerah sekelilingnya sebagai pusat pergerakan. Namun, beliau gagal
dalam usaha ini dan terpaksa melepaskan Valencia pada 27 Safar 635H/9 Oktober
1238M kepada pihak Kristian Aragon. Peristiwa ini berlaku setelah bantuan
yang beliau minta daripada Amir Abu Zakariyya, pemerintah kerajaan Hafsiyyah
di Tunisia, dihalang oleh tentera Kristian. Kemudian, James I of Aragon menawan
Denia, Alicante, Cartagena dan Oriuela di antara tahun-tahun 641-644H/1244-
1246M. Kesempatan ini digunakan sebaik mungkin oleh pihak Castile untuk
memasuki Murcia pada 1243M setelah para pemimpin Murcia bersetuju untuk
berada di bawah penguasaan Castile. Ferdinand III of Castile telah mewakilkan
anaknya, Alfonso X, untuk menjalankan tugas ini dan peristiwa tersebut
menandakan bahawa seluruh bahagian timur Andalus berada di bawah
penguasaan Kristian (cInan 1966: 36).
Di samping itu, Abu cAbd Allah Muhammad b. Yusuf b. Hud al-Judhami
berusaha untuk menerajui pemerintahan Andalus dengan menjadikan Murcia
sebagai pusat pemerintahannya. Setelah Banu Hud kehilangan Saragosa pada
tahun 1118M, keluarga ini berada di bawah pemerintahan Kristian selama beberapa
dekad. Perwatakan Ibn Hud amat terpengaruh dengan kehidupannya sebagai
seorang bangsawan Arab, iaitu memiliki sifat-sifat yang tegas, berani, pemurah
dan mahir dalam urusan diplomasi serta hal-ehwal peperangan (Ibn al-Khatib
1974, 2: 129).
Kemudian pada tahun 1228M, Ibn Hud yang juga dikenali sebagai Amir al-
Mu’minin Sayf al-Dawlah al-Mutawakkil cala Allah, telah menawan Murcia
daripada wakil kerajaan al-Muwahhidun ketika itu bernama al-Sayyid Abu alcAbbas.
Dari Murcia, Ibn Hud memperluaskan kuasanya ke Cordova, Seville,
Granada, Almería, Ceuta, Algeciras, Jaén, Merida dan Badajoz. Beliau menguaruarkan
untuk membebaskan bumi Andalus daripada pemerintahan al-
Muwahhidun dan cengkaman kekejaman pihak Kristian. Di samping itu, Ibn Hud
turut bertekad untuk melaksanakan syariah Islamiah secara meluas. Justeru,
beliau telah memaklumkan Khalifah cAbbasiyyah di Baghdad, al-Mustansir,
mengenai penguasaannya terhadap bandar-bandar ini dan khalifah telah
membalas dengan isi kandungan surat yang panjang sebagai pengakuan (Chejne
1974: 88-90; CInan 1966: 31).
Pada tahun 1229M, pihak al-Muwahhidun tewas dalam pertempuran mereka
dengan Ibn Hud. Ini menyebabkan kota Seville telah dirampas dan berada di
bawah kuasa pemerintahan Ibn Hud. Namun Ibn Hud tidak berkemampuan untuk
berhadapan dengan kekuatan pihak Kristian. Ini dibuktikan apabila Raja Léon,
Alfonso IX, telah menyerang kawasan barat Andalus dengan memasuki bandar
Merida dan mengepungnya. Ibn Hud cuba untuk mempertahankan Merida tetapi
beliau kalah dalam pertempuran dengan pihak Léon. Seterusnya, pihak Léon
juga menawan kota Badajoz (1230M). Ferdinand III, yang juga anak kepada
Alfonso IX of Léon, telah mengambil kesempatan atas ketidakstabilan kuasa Ibn
Hud ini dengan menawan beberapa wilayah Andalus. Beliau beranggapan
bahawa Ibn Hud perlu dihapuskan memandangkan hanya Ibn Hud sahaja yang
dianggap sebagai pemimpin utama umat Islam di Andalus pada masa itu. Namun
demikian, Ibn Hud masih berjaya meluaskan kuasanya ke kawasan pantai Andalus
termasuklah Alméria dan Granada (1231M). Beliau kemudiannya membina semula
kekuatan tenteranya di Jerez dan berperang dengan pihak Kristian di sana. Ibn
Hud tewas buat kali kedua dan kesempatan ini diambil oleh Ferdinand III dengan
menawan kota Ubéda (1234M).
Pada ketika ini, pihak Kristian mencari jalan untuk menawan kota metropolitan
Cordova. Walaupun Cordova pada ketika itu berada di bawah kekuasaan Ibn
Hud, namun tidak terdapat pun seorang pemimpin yang mampu membentuk satu
kekuatan menentang kekuasaan pihak Kristian. Dalam keadaan tidak menentu
dan penuh krisis ini, penduduk Cordova telah meminta bantuan daripada Ibn
Hud dan seterusnya bersetuju untuk memberi ketaatan kepadanya. Pihak Kristian
Castile menyedari permasalahan yang dihadapi oleh penduduk Cordova. Ini
menyebabkan mereka bersiap sedia dengan memperkemaskan kekuatan tentera
untuk menyerang kota metropolitan Islam, Cordova. Perancangan ini diteruskan
dengan menyerang bahagian timur kota ini yang terkenal dengan nama al-
Sharqiyyah. Serangan yang dilakukan pada waktu malam ini telah membuahkan
hasil kepada pihak Kristian. Mereka berjaya menawan sebahagian menara dan
istana yang terletak di pinggir kota tersebut. Dalam membuat persediaan rapi
untuk mempertahankan kota ini daripada dirampas oleh pihak musuh Kristian,
penduduk Cordova telah mengambil inisiatif dengan menghantar utusan kepada
Ibn Hud meminta bantuannya. Ibn Hud telah mengarahkan bala tenteranya
menuju ke Écija berdekatan kota Cordova tetapi setibanya di sana, Ibn Hud tidak
mengambil sebarang tindakan untuk menyerang pihak Kristian (cInan 1966: 32).
Mengikut cInan (1966: 32), terdapat sesetengah riwayat mengatakan bahawa
Ibn Hud menyedari kehebatan dan kekuatan bala tentera pihak musuh
menyebabkan beliau telah menarik diri daripada membuat sebarang serangan.
Riwayat lain pula mengatakan bahawa ketika Ibn Hud menghampiri kota Cordova,
beliau telah menerima permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada Abu
Jamil Zayyan b. Mardanish di Valencia. Ini menyebabkan beliau telah beralih
pandangan ke Valencia kerana beliau berpendapat peluang untuk memenangi
peperangan di sana lebih mudah berbanding di Cordova. Akibatnya, pihak Kristian
telah mengepung Cordova selama beberapa bulan, dan penduduk Cordova telah
sedaya upaya mempertahankan kota ini demi maruah agama, bangsa dan negara.
Malangnya, mereka terpaksa menyerahkan kota Cordova kepada pihak
Kristian setelah kepungan yang terlalu lama dan kegagalan mereka untuk
mendapatkan bantuan. Peristiwa malang ini berlaku pada 23 Shawwal 633H/29
Jun 1236M. Kekalahan umat Islam di Cordova ini menjadi satu tamparan hebat
kepada pemerintahan Islam di Andalus kerana sebelum ini, kota Cordova ialah
pusat pemerintahan Islam Andalus semenjak casr al-Wulat lagi (CInan 1966: 34).
PENUBUHAN KERAJAAN NASRIYYAH DI GRANADA

Pada ketika umat Islam mengalami kekalahan di Cordova ini, Ibn Hud berhadapan
dengan kuasa Ibn al-Ahmar di Arjona. Kemunculan penguasaan Ibn al-Ahmar
ini sebenarnya tidak bermula di Granada, tetapi di Arjona pada 26 Ramadan
629H/18 April 1232M. Pekan terpencil ini terletak di barat laut daerah Jaén dan
selatan daerah Andújar (Harvey 1990: 20) dan merupakan kubu pertahanan bagi
kota Cordova di sebelah timur (al-Hajji 1983: 517). Di pekan inilah, Muhammad b.
Yusuf b. Nasr al-Khazraji, atau lebih dikenali sebagai Ibn al-Ahmar, berjaya menjadi
pemimpin di kampung halamannya sendiri. Dari sinilah, beliau berjaya meluaskan
kuasanya ke kawasan-kawasan selatan Andalus seperti kota-kota Jaén, Guádix
dan Baeza kerana ia berdekatan dengan Arjona dan berjauhan daripada serangan
pihak musuh Kristian (Latham 1993, 7: 1021).
Pada peringkat awal, Ibn al-Ahmar merasakan perlu untuk mendapatkan
perlindungan dan naungan daripada pemerintahan yang lebih kuat, tidak kira
kuasa Islam ataupun pihak musuh Kristian. Sesetengah riwayat melaporkan
bahawa Ibn al-Ahmar telah mencontohi tindakan Ibn Hud dengan mengaku
tunduk dan memohon pengiktirafan Khalifah CAbbasiyyah di Baghdad terhadap
pemerintahannya di Andalus. Kesan daripada tindakan tersebut, Ibn al-Ahmar
telah berjaya memperluaskan pemerintahannya dengan menduduki wilayahwilayah
Carmona, Cordova dan Seville pada tahun 629H/1231M dan ini
membolehkan beliau menerima kesetiaan dan ketaatan penduduk wilayah-wilayah
tersebut; itu pun hanya dalam tempoh yang singkat sahaja. Ini kerana Cordova
dan Seville telah beralih arah untuk menyokong dan memberi ketaatan kepada
Ibn Hud. Pada ketika inilah berlaku satu pemberontakan di Seville di bawah
pimpinan al-Qadi Abu Marwan al-Bajji. Kesempatan ini telah digunakan oleh Ibn
al-Ahmar dengan sebaik mungkin dengan bergabung tenaga bersama-sama al-
Bajji menentang kuasa Ibn Hud. Mereka berdua telah berjaya menewaskan Ibn
Hud dalam beberapa pertempuran. Kelicikan Ibn al-Ahmar dalam berpolitik amat
jelas apabila beliau berjaya memperdayakan al-Bajji dengan helah politiknya
supaya al-Bajji dipinggirkan dan dirancang pembunuhannya secara rahsia. Tidak
lama kemudian, iaitu pada tahun 629H/1232M, Ibn al-Ahmar berjaya memperoleh
ketaatan daripada penduduk Jerez, Málaga dan kawasan berdekatan. Pada ketika
ini, kepimpinan dan urusan pentadbiran kota Seville dan kota-kota di bahagian
barat Andalus dipegang oleh pemimpin-pemimpin tempatan dan terdapat di
kalangan mereka ini yang segera menunduk patuh dan mendapatkan perlindungan
Ibn al-Ahmar. Situasi ini membenarkan Ibn al-Ahmar membentuk kuasa
ketenteraan yang kuat lagi hebat yang terdiri daripada gerombolan tentera berkuda
dan tentera berjalan kaki (Ibn al-Khatib 1347H: 31).
Suatu perkara yang menarik ialah dalam sesetengah peristiwa, Ibn al-Ahmar
telah mengambil pendekatan untuk berbaik-baik dengan Ibn Hud, malah beliau
telah menyatakan ketaatan dan kesetiaan kepadanya. Hal yang berlaku pada
tahun 631H/1234M ini disebabkan Ibn al-Ahmar beranggapan bahawa kuasa
Ibn Hud mula bertambah dan tampak hebat dengan kuasa pemerintahannya
yang melangkaui hingga ke bahagian barat dan selatan Andalus. Malangnya
pada tahun 1238M, Ibn Hud meninggal dunia dan kuasa pemerintahan kerajaan
yang diwarisinya mula lemah dan berkurangan. Kesempatan ini digunakan Ibn
al-Ahmar dengan sebaik mungkin untuk membina kekuasaannya sendiri di bumi
Andalus. Pada ketika inilah, penduduk Granada bangun memberontak di bawah
pimpinan Ibn Khalid menentang kepemimpinan Gabenor Ibn Hud yang bernama
cUtbah b. Yahya al-Mughili. Penentangan dilakukan kerana dasar pentadbiran
dan polisi pemerintahan cUtbah al-Mughili yang amat membebankan dan
peribadinya yang kurang disenangi dan bersifat amat zalim. Mereka berjaya
menawan istana cUtbah al-Mughili dan membunuhnya. Setelah pemberontakan
tersebut berjaya, mereka telah memberi ketaatan dan kesetiaan kepada Ibn al-
Ahmar dan menjemputnya datang ke Granada. Ibn al-Ahmar segera menyahut
jemputan tersebut dan tiba di Granada ketika gelincir matahari pada akhir Ramadan
635H/April 1238M. Pada tarikh ini juga, bermulalah penglibatan secara langsung
Ibn al-Ahmar dalam urusan pentadbiran dan pemerintahan di Granada. Tidak
lama selepas kejayaan menguasai kota Granada, Ibn al-Ahmar berjaya pula
menawan kota Alméria dengan menewaskan serangan ketenteraan Gabenor Ibn
Hud, iaitu Ibn al-Ramimi melalui kepungan selama beberapa ketika. Ini
menyebabkan Ibn al-Ramimi lari ke Tunisia melalui jalan laut untuk mendapatkan
perlindungan pemerintah di sana (cInan 1966: 39-40; Ibn al-Khatib 1347H: 35).
Satu perkara yang mendukacitakan ialah orak-arik yang berlaku di Andalus
pada abad ke-13 dan ke-14M telah menyebabkan kuasa pemerintahan Islam mula
berkurangan dan penguasaan semula kuasa Kristian yang berleluasa. Ketenatan
perpaduan umat Islam menjadi faktor penting kepada kemunculan kuasa-kuasa
kecil Islam dan suasana sebegini dipenuhi pula dengan semangat perpecahan
semata-mata untuk memenuhi hasrat pemimpin tertentu yang tamakkan kuasa.
Hal ini berlaku terutamanya di Murcia dan bahagian timur Andalus. Pada tahun
640H/1243M, Murcia telah diserahkan kepada Ferdinand III of Castile. Beliau
telah mewakilkan anaknya, Alfonso X, untuk memeterai beberapa perjanjian
dengan Gabenor Murcia, Muhammad b. cAli b. Hud, serta wakil-wakil pemimpin
kota Alicante, Cartagena dan Oriuela agar memberi persetujuan untuk mengiktiraf
penguasaan kuasa Kristian Castile ke atas wilayah-wilayah tersebut, di samping
menjelaskan pembayaran ufti. Inilah realiti yang berlaku di Andalus; umat Islam
menghadapi pelbagai tekanan khususnya yang dilakukan oleh kuasa Kristian
dengan menggadaikan tanah air sendiri semata-mata menjamin kelangsungan
kuasa yang terbatas di bumi Eropah.
Dari pandangan pihak Kristian, terutamanya Ferdinand III of Castile, gerakan
Ibn al-Ahmar perlu diberi perhatian dan dihentikan dengan segera. Ini kerana
setelah kematian Ibn Hud, Ibn al-Ahmar ialah satu-satunya pemimpin Islam
Andalus yang masih berkuasa dan sentiasa menentang kuasa-kuasa Kristian
menyebabkan usaha serangan oleh pihak Castile telah diperhebatkan. Ferdinand
III telah bertindak dengan menyerang dan menghancurkan kubu-kubu
pertahanan kota Jaén. Tindakan Ferdinand ini menyebabkan Ibn al-Ahmar telah
ke Martos yang telah dikuasai oleh pihak Kristian Castile dengan bala tenteranya
yang besar dan melakukan kepungan ke atas bandar tersebut. Pihak Kristian
tidak mengaku kalah dan tetap mara memberi bantuan kepada pihak Martos lalu
menyebabkan Ibn al-Ahmar terpaksa meningkatkan kepungan di Martos.
Akhirnya, berlakulah satu pertempuran yang hebat dan kemenangan berada di
pihak Ibn al-Ahmar. Kekalahan pihak Kristian ini tidak mematahkan semangat
mereka. Ferdinand III telah menghantar anaknya, Alfonso X untuk menyerang
semula wilayah Jaén dan berjaya menawan kubu Arjona dan kawasan sekitarnya
serta mengepung kota Granada pada tahun 642H/1244M. Pada tahun berikutnya,
mereka menyerang Jaén dan berjaya menawannya. Kekuatan tentera Kristian
dalam menguasai kota Jaén dan daerah selatan Andalus ini amat merungsingkan
Ibn al-Ahmar, apatah lagi mereka berjaya mengepung kota Granada. Ini
menyebabkan beliau dengan segera mengambil langkah berbaik-baik dan
berdamai dengan Raja Ferdinand III. Ibn al-Ahmar bersetuju untuk memberi
ketaatan dan kesetiaan kepada pemerintahan Castile (cInan 1966: 41-42). Ibn al-
Ahmar telah menjadikan Granada sebagai an enduring political entity dan a
tributory kingdom (Latham 1993, 7: 1021).
Hal ini dimeteraikan dalam Perjanjian Jaén pada tahun 1246M antara keduadua
belah pihak yang melibatkan persetujuan Ibn al-Ahmar untuk memberi
bantuan ketenteraan apabila pihak Castile memerlukannya, dan pembayaran ufti
sebanyak 150,000 maravedis setiap tahun kepada Ferdinand III. Malah Ibn al-
Ahmar juga telah memberikan ‘taatsetia’nya kepada Ferdinand III (Chejne 1974:
90-91; CInan 1966: 42-43). Ibn al-Ahmar telah bersetuju menyerahkan Jaén, Arjona,
Porcuna, Priego, Higuera dan La Frontera sebagai cagaran kepada pihak Castile.
Kerajaan Nasriyyah (1238-1492M) di Granada
Dengan penyerahan kawasan-kawasan ini sebagai cagaran pada tahun 643H/
1245M, Ferdinand III telah bersetuju untuk berdamai dengan Ibn al-Ahmar selama
20 tahun. Meskipun tempoh ini dipertikaikan, Harvey (1990: 25) menegaskan
bahawa pemerintah Nasriyyah sememangnya memerlukan tempoh tersebut untuk
memulihkan keadaan. Dalam tempoh ini, era pemerintahan Ibn al-Ahmar berada
dalam keadaan aman damai dan tenteram (cInan 1966: 42-43). Burns (1973: 288)
bertanggapan bahawa keseluruhan tindak-tanduk Ibn al-Ahmar dalam
menyelamatkan kedudukannya sebagai pemerintah tunggal daerah Granada ialah
suatu perkara yang wajar diimplimentasikan oleh seorang ahli politik yang licik
lagi pintar. Ini dilakukan semata-mata untuk menjamin survival pemerintahan
kerajaan Nasriyyah berkekalan di Andalus.
PEMERINTAHAN KERAJAAN NASRIYYAH
Kerajaan Nasriyyah diperintah oleh seramai 22 orang sultan, bermula dari tahun
1238M hingga 1492M. Pada peringkat awal, sultan-sultan kerajaan Nasriyyah
berusaha bersungguh-sungguh untuk menstabilkan kedudukan politik dan
pentadbiran negara. Setelah kedudukan negara dan kerajaan terjamin aman dan
stabil, usaha pengukuhan dan pemantapan dilaksanakan agar kerajaan bertambah
kuat dan utuh. Pada ketika inilah, kerajaan Nasriyyah mencapai era kecemerlangannya
dalam tamadun dunia dan ini telah memberi implikasi positif
kepada perubahan tamadun Eropah selepasnya, terutama terhadap
perkembangan kesenian dan seni bina Barat. Namun beberapa elemen negatif
yang menular di kalangan para sultan, pemimpin negara, pentadbir, tentera dan
faktor luaran seperti keganasan kuasa Kristian, semua ini telah menyumbang
kepada kemerosotan dan kejatuhan kerajaan Nasriyyah di Andalus, sebagai
sebuah kerajaan berdaulat.
PENGUKUHAN DAN PEMANTAPAN
Pada zaman ini, kerajaan Nasriyyah berada di bawah pemerintahan sultan-sultan
yang memberi sumbangan besar dalam mewujudkan pola-pemerintahan penuh
taktik dengan matlamat untuk memperkukuhkan integriti mereka di Andalus. Era
ini menampakkan kesungguhan dan kewibawaan yang dimiliki oleh para
pemerintah kerajaan Nasriyyah, terutamanya Ibn al-Ahmar. Beliau telah berjaya
menubuhkan kerajaan Nasriyyah secara rasmi di Andalus pada tahun 635H/
1238M dan kerajaan ini terus berkekalan dengan dikelilingi kuasa-kuasa Kristian
sehingga kejatuhannya pada tahun 1492M.
Permasalahan seterusnya yang dihadapi oleh sultan kedua kerajaan
Nasriyyah, Muhammad II b. Muhammad b. Yusuf b. Nasr b. Qays al-Khazraji
(1273-1302M) atau lebih dikenali sebagai Muhammad al-Faqih, ialah menghadapi
serangan hebat kuasa Kristian terhadap kerajaan Nasriyyah. Beliau turut resah
dengan campur tangan pemerintah Banu Marin, Sultan Abu Yusuf Yacqub bin
cAbd al-Haqq, ketika memberi bantuan ketenteraan kepada Granada dengan
hasrat sampingan untuk menguasai Granada (Andalus). Malah, pemberontakan
Banu Ashqilulah juga telah mengganggu kelancaran pemerintahannya, hasil
kesinambungan penentangan yang dilakukan semenjak zaman ayahnya lagi.
Dengan kepintaran yang dimilikinya, Muhammad al-Faqih berjaya mengatasi
semua permasalahan ini. Permasalahan dengan pemerintah Banu Marin berkait
rapat dengan pemberontakan yang dilakukan oleh Banu Ashqilulah. Perlu
diketahui bahawa permainan politik pada zaman Muhammad al-Faqih ini penuh
dengan helah. Pada satu masa Muhammad al-Faqih bergabung tenaga dengan
Sultan Abu Yusuf YaCqub menentang pihak Banu Ashqilulah. Pada masa yang
lain, beliau bersekutu pula dengan Alfonso X of Castile menyerang pemerintah
Banu Marin dan Banu Ashqilulah (Ibn al-Khatib 1347H: 44-46; Harvey 1990).
Penyelesaian diperoleh apabila Sultan Abu Yusuf YaCqub meninggal dunia dan
tampuk pemerintahan dipegang oleh anaknya, Sultan Abu YaCqub Yusuf. Sultan
baru ini telah mengamalkan dasar dan prinsip berbaik-baik dengan pemerintah
kerajaan Nasriyyah. Di samping itu juga, Banu Marin pada ketika itu menghadapi
masalah dalaman yang berlaku selepas kematian Sultan Abu Yusuf YaCqub,
menyebabkan mereka telah melepaskan penguasaan terhadap bandar Tarifa dan
Algeciras. Manakala, keluarga Ashqilulah pula setelah tidak diberi bantuan oleh
kerajaan Kristian Castile, mereka telah lari meninggalkan Guádix menuju ke Maghrib
(Ibn al-Khatib 1956: 287-291). Latham (1993, 7: 127) menyatakan bahawa
perumpamaan yang boleh dibuat terhadap permasalahan dan pergolakan kerajaan
Nasriyyah ini ialah seperti sebuah permainan yang disertai oleh empat pihak
(kerajaan Nasriyyah, kerajaan Banu Marin, Banu Ashqilulah dan pihak Kristian
Castile); pelbagai aturan dan undang-undang dibuat tetapi masing-masing
melanggari dan mengingkarinya.
Dalam hubungan dengan pihak Kristian pula, memandangkan keadaan pihak
Kristian Castile pada ketika ini bergolak dengan permasalahan dalaman,
Muhammad al-Faqih berjaya memeterai beberapa perjanjian perdamaian dan
gencatan senjata. Perjanjian ini dibuat setelah kematian Alfonso X (1252-1284M),
iaitu setelah takhta kerajaan disandang oleh anaknya, Sanco IV (1284-1295M)
dan cucunya, Ferdinand IV (1295-1312M).
Sultan ketiga kerajaan Nasriyyah, Muhammad III b. Muhammad b.
Muhammad b. Yusuf b. Nasr b. Qays al-Khazraji (1302-1309M) atau lebih dikenali
sebagai Muhammad al-Makhluc, telah digulingkan kerana kelemahan beliau
dalam bidang pentadbiran (Chejne 1974: 99). Baginda yang terkenal sebagai
seorang sarjana dan penyair, ketika menaiki takhta mengidap sejenis penyakit
mata akibat tabiat berjaga malam. Oleh kerana tekanan penyakit ini, beliau
dikatakan telah bersikap kasar (al-fazazah dan al-qaswah). Para pembesar negara
berpendapat bahawa beliau tidak lagi layak untuk menerajui kerajaan Nasriyyah,
lebih-lebih lagi pada ketika ini, yang berkuasa pada hakikatnya ialah wazir
baginda, Abu CAbd Allah Muhammad b. al-Hakim. Ini menyebabkan mereka menyingkir dan membunuh Ibn al-Hakim dan seterusnya menyerbu istana sultan dan menggulingkan Muhammad al-MakhluC. Baginda kemudiannya dipindahkan ke Almunecar dan meninggal dunia di sana akibat serangan jantung (Ibn al-Khatib 1347H: 53-54; Ibn al-Khatib 1973, 1:547-548, 552-555).
Pemerintah kerajaan Nasriyyah keempat, Nasr b. Muhammad II b. Muhammad
b. Yusuf b. Nasr b. Qays al-Khazraji (1309-1314M) ialah seorang yang berperwatakan
mulia dan gemar melakukan kebajikan. Pada zaman pemerintahannya,
baginda berhadapan dengan tentangan pihak Castile-Aragon dan Castile-Banu
Marin. Kota Algeciras dan Gibraltar telah ditawan pihak Kristian Castile pada
tahun 1309M dan ini menyebabkan Nasr bersetuju untuk membayar cukai dan
memberi kesetiaan kepada Ferdinand IV of Castile. Suasana sebegini menyebabkan
Nasr mengambil langkah berbaik-baik dengan Banu Marin dan memohon bantuan
ketenteraan daripada mereka dengan mengembalikan Ceuta kepada mereka dan
mengahwinkan saudara perempuan baginda dengan Sultan Abu al-RabiC al-
Marini. Akibatnya, pihak Kristian mengalami kerugian daripada serangan tersebut
dan mereka terus meninggalkan Algeciras pada tahun 1310M. Satu perjanjian
dimeterai antara Nasr dengan pihak Kristian dengan persetujuan bahawa pihak
Kristian akan membayar ganti rugi peperangan kepada kerajaan Nasriyyah (Ibn
al-Khatib 1347H: 62-63; Chejne 1974: 100).
Tidak lama setelah Nasr berjaya menyelesaikan masalah luaran negara dan
mengembalikan keamanan di Granada, beliau berhadapan pula dengan ‘fitnah’
dalaman, iaitu pengisytiharan anak saudaranya, IsmaCil I b. Faraj, sebagai
pemerintah di Málaga. Ismail I b. Faraj b. IsmaCil b. Yusuf b. Nasr b. Qays al-
Khazraji (1314-1325M) menjadi Amir al-Muslimin kerajaan Nasriyyah kelima
dengan menangkap bapa saudaranya, Nasr, dan memaafkannya serta melantik
beliau sebagai gabenor di Guádix. Satu peperangan telah berlaku antara kerajaan
Nasriyyah dengan bantuan panglima Banu Marin, Abu Sacid cUthman b. al-cUla,
dengan pihak Kristian di bawah pimpinan Don Pedro dan Don Juan, panglima
tentera kerajaan Kristian Castile. Peperangan hebat ini berlaku pada tahun 716H/
1316M di Guádix dan pihak Kristian telah mengalami kekalahan. Kedua-dua
panglima tentera Kristian Castile telah terbunuh dalam pertempuran tersebut.
Suatu perkara yang menakjubkan ialah bilangan orang Islam yang syahid dalam
pertempuran ini amat sedikit bilangannya, iaitu sekitar 13 orang daripada jumlah
keseluruhan tentera berkuda yang mencecah 1,500 orang (al-Maqqari 1988, 1:
449-452). Pemerintahan zaman Ismacil I berjaya memenangi dan menawan semula
beberapa daerah daripada pihak Kristian seperti Baeza (1324M), Orce, Huescar,
Galera dan Martos (1325M). Namun pada tahun terakhir ini, baginda telah dibunuh
oleh sepupunya yang juga gabenor Algeciras, Muhammad b. Ismacil b.
Muhammad (Latham 1993, 7: 1023).
Kerajaan Nasriyyah seterusnya diperintah oleh Muhammad IV b. Ismacil b.
Faraj b. Ismacil b. Yusuf b. Nasr b. Qays al-Khazraji (1325-1333M) yang baru
berumur sembilan tahun ketika menaiki takhta. Memandangkan baginda masih
kecil, kuasa pemerintahan terletak pada kekuasaan pembimbing dan wazir baginda
bernama Ibn al-Mahruq. Namun, setelah tiga tahun ditabalkan menjadi pemerintah
Nasriyyah, baginda telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Ibn al-Mahruq.
Harvey (1990: 187) menjelaskan bahawa pada masa pemerintahan Muhammad
IV, pihak Kristian telah merancang untuk menyerang Granada melalui international
crusades yang dipersetujui oleh pihak Castile, Aragon, Navarre, Perancis,
England dan Bohemia. Namun, pakatan antarabangsa ini terbengkalai kerana
tiada kesepakatan sesama mereka lalu menyebabkan pihak Castile sahaja yang
melakukan serangan ke atas kerajaan Nasriyyah (1330M). Mereka berjaya
menawan Teba, bahagian barat Antequera. Dalam serangan ini, Muhammad IV
telah memohon bantuan Banu Marin, yang pada masa yang sama sedang
berhadapan dengan pemberontakan dalaman. Sungguhpun begitu, pemerintah
kerajaan Banu Marin pada ketika ini, Sultan Abu al-Hasan cAli b. cUthman (731-
752H/1331-1351M) yang merupakan sultan yang paling berkuasa dalam
pemerintahan Banu Marin di Maghrib telah memberi bantuan kepada kerajaan
Nasriyyah. Kepungan yang dilakukan oleh tentera Banu Marin ke atas pihak
Castile di Gibraltar telah memaksa pihak Kristian bersetuju untuk menandatangani
perdamaian dengan kerajaan Nasriyyah. Selepas itu Granada berada dalam keadaan
aman damai selama lebih kurang 15 tahun. Pada masa inilah, Muhammad IV
berjaya menawan semula kota-kota seperti Cabra, Priego, Ronda dan Marbella.
Walau bagaimanapun, peperangan ini telah mendedahkan pertelingkahan
antara Muhammad IV dengan shaykh al-ghuzah, cUthman b. Abi al-cUla (Makki
1992: 80). Harvey (1990: 188-189) dengan penuh kehairanan mempersoalkan
tindakan Granada memohon bantuan kerajaan Banu Marin yang sepatutnya
dilakukan oleh shaykh al-ghuzah, tetapi sebaliknya dilaksanakan sendiri oleh
Sultan Muhammad IV. Ketidaksepakatan antara dua pemimpin ini menyebabkan
berlakunya perancangan untuk meminggirkan Muhammad IV sehingga membawa
kepada kematiannya. Menurut Harvey lagi, the Christian Chronicle jelas
menyebut bahawa pakatan untuk membunuh Muhammad IV telah dilakukan
oleh dua orang anak cUthman, iaitu Abotebe (Abu Thabit) dan Ibrahim kerana
tidak bersetuju dengan perlakuan sultan yang santap bersama raja Castile dan
memakai pakaian pemberian raja tersebut ketika merundingkan perdamaian. Pada
ketika inilah, hajib Abu Nucaym Ridwan, segera ke istana di Granada dan menama
serta mengisytiharkan adik Muhammad IV yang bongsu, Yusuf I, sebagai
pemerintah Nasriyyah seterusnya (Shabanah 1969: 51).
KEMAJUAN DAN KEGEMILANGAN
Pada peringkat ini, kedudukan kerajaan Nasriyyah telah mencapai kestabilan
politik dan pemerintahan seimbang melalui kebijaksanaan para sultannya.
Meskipun negara berhadapan dengan pelbagai serangan oleh pihak Krsitian,
kerajaan Nasriyyah tetap mampu bertahan dan berjaya meninggikan kegemilangan
kesenian Islam dan keagungan nilai intelektualisme penduduk Granada melalui
peradaban manusia yang tiada tolok bandingnya.

Setelah kedudukan pemerintahan kerajaan Nasriyyah mula stabil dan lebih
mantap, pemerintah-pemerintah seterusnya mengekalkan bentuk pemerintahan
sedia ada dengan kamahiran mereka mengambil setiap peluang yang ada, sama
ada peluang itu diperoleh daripada pihak kerajaan Banu Marin di Afrika Utara
mahupun kerajaan-kerajaan Kristian di sekelilingnya. Kematian Muhammad IV
digantikan dengan adiknya, Sultan Abu al-Hajjaj Yusuf b. Ismacil b. Faraj b.
Ismacil b. Yusuf b. Nasr b. Qays al-Khazraji (1333-1354M) (Ibn al-Khatib 1347H:
89). Zaman pemerintahan Sultan Abu al-Hajjaj Yusuf I digambarkan oleh Harvey
(1990: 190) sebagai permulaan zaman kegemilangan tamadun Islam di Granada.
Akan tetapi pada masa yang sama, pemerintahannya telah mengalami satu
peristiwa yang amat menyedihkan, iaitu kekalahan tentera Islam yang paling
dahsyat sepanjang pemerintahan kerajaan Nasriyyah di Granada kepada pihak
Kristian Castile dalam the Battle of the Rio Salado pada tahun 1340M.
Menurut Latham (1993, 7: 1023), tindakan pertama yang diambil oleh Sultan
Yusuf I setelah pertabalan ialah menyingkir keseluruhan Banu Abi al-cUla ke
Tunisia dan melantik Yahya b. cUmar b. Rahhu daripada Banu Rahhu b. cAbd al-
Haqq sebagai shaykh al-ghuzah menggantikan tempat Abu Thabit. Tindakan
Sultan Yusuf I seterusnya ialah mengadakan perjanjian damai dengan pihak
Kristian Castile dan kesultanan Banu Marin di Maghrib. Pada tahap ini, dapat
diperhatikan kedudukan Granada yang dianggap sebagai bahan cagaran di antara
dua kuasa terbabit. Pihak Castile amat memerlukan perjanjian sedemikian untuk
berhadapan dengan pemberontakan dalaman di kalangan para bangsawan negara.
Manakala pihak Banu Marin pula berhasrat untuk memperluaskan kuasa
pemerintahannya ke Andalus. Oleh yang demikian, masing-masing meningkatkan
kekuatan tentera laut mereka dan Selat Gibraltar menjadi idaman mereka. Dalam
keadaan demikian, angkatan laut Castile di bawah pimpinan admiralnya, Alfonso
Jofre Tenorio, telah menyerang gabungan tentera laut Granada dan Banu Marin,
tetapi telah kalah teruk dengan kematian Jofre sendiri. Kesempatan ini digunakan
sebaik mungkin oleh pemerintah Banu Marin, Abu al-Hasan, untuk menyeberangi
selat Gibraltar dengan seluruh kaum kerabatnya dan seterusnya mengepung
kota Tarifa pada tahun 740H/1340M (Harvey 1990: 192). Sultan Yusuf I telah
bergabung tenaga dengan Sultan Abu al-Hasan di Tarifa untuk menawan semula
kota tersebut. Alfonso XI of Castile telah diberi bantuan segera oleh bapa
mertuanya, Alfonso IV of Portugal dan berlakulah peperangan sengit pada 7
Jumada al-Ula 740H/30 Oktober 1340M yang lebih dikenali sebagai the Battle of
the Río Salado atau the Battle of Tarifa. Dalam peperangan tersebut, pihak
Granada dan Banu Marin telah tewas teruk di tangan kuasa Kristian Castile.
Dengan kekalahan tentera Islam di Tarifa, pihak Kristian Castile melalui usaha
ketenteraan Alfonso X dan bantuan kerajaan-kerajaan Kristian Eropah lain, telah
mengepung dan menyerbu Algeciras. Ini memandangkan kedudukannya yang
amat strategik dan penting sebagai sebuah pelabuhan di perairan selat Gibraltar.
Akhirnya pada 745H/1344M, kota Algeciras telah jatuh ke tangan pihak Castile.
Malah kemenangan sebegini menjadikan kerajaan Kristian Castile begitu
bersemangat untuk menawan semula kota Gibraltar yang dilakukan pada tahun
750H/1349M. Namun demikian, usaha ini terbengkalai kerana Alfonso XI telah
meninggal dunia pada tahun 1350M (Makki 1992: 80).
Kekalahan teruk pihak Islam dalam pertempuran the Battle of the Rio Salado
cukup memeritkan lagi keadaan umat Islam di Granada. Ambrosio Huici Miranda
(Harvey 1990: 193-194) melalui kajian autoritatifnya menjelaskan bahawa jumlah
tentera Islam ketika itu ialah seramai 67,000 orang, iaitu 7,000 orang terdiri daripada tentera Granada dan selebihnya seramai 60,000 orang ialah tentera Banu Marin.
Pecahan jumlah tentera pihak Kristian pula ialah kepada tentera berjalan kaki
seramai 12,000 orang dan tentera berkuda berjumlah 8,000 orang. Meskipun
jumlah tentera Kristian jauh lebih kecil berbanding dengan tentera Islam, tetapi
serangan penuh sistematik tentera berkuda pihak Kristian menyebabkan tentera
Islam tewas. Serangan bentuk ini ialah gaya serangan yang sangat sesuai dengan
golongan masyarakat aristokrat Barat Eropah. Tentera berkuda mereka amat
terlatih dan dilengkapi dengan pelbagai jenis peralatan perang yang berat. Tentera
berkuda pihak Islam pula kurang dilengkapi dengan senjata ringan dan ini memberi
kelebihan kepada pihak musuh. Kekalahan ini juga menyebabkan Sultan Abu al-
Hasan terpaksa pulang semula ke Maghrib dan Sultan Yusuf I pula telah pulang
ke Granada.
Walaupun kota Tarifa dan Algeciras telah berada di bawah kekuasaan pihak
Kristian, namun pemerintahan Islam di Granada berjaya memulihkan kekuatannya
pada zaman pemerintah kelima kerajaan Nasriyyah, iaitu era pemerintahan Sultan
Muhammad V b. Yusuf b. Ismail b. Faraj b. Ismail b. Yusuf b. Nasr b. Qays al-
Khazraji (1354-1359M, 1362-1391M) yang lebih dikenali sebagai Sultan
Muhammad al-Ghani bi Allah (Ibn al-Khatib 1347H: 100; Makki 1992: 80).
Setelah mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Nasriyyah, Sultan Muhammad V
yang mempunyai kewibawaan dan kebijaksanaan mentadbir negara telah meletakkan dasar agar mengamalkan konsep berbaik-baik dengan pihak Kristian Castile, yang pada ketika itu berada di bawah pemerintahan Peter I the Cruel (1350-1369M). Ini bertentangan dengan amalan biasa kerajaan sebelum ini yang sentiasa menumpukan kepada hubungan antarabangsa dua hala dengan pihak Aragon. Pada masa yang sama, Peter I of Castile sedang berkonfrantasi dengan Peter IV of Aragon (1336-1387M). Dasar yang dipegang oleh kerajaan Nasriyyah ketika ini telah menyelamatkan keadaan dan seterusnya memberi peluang baik kepadanya untuk meneruskan kelangsungan pemerintahannya di Andalus.
Kemahiran Sultan Muhammad V mengeksploitasi situasi sebegini menyebabkan
beliau berjaya mencampuri urusan dalaman kerajaan-kerajaan Kristian sendiri.
Polisi pemerintahannya ini diimplimentasikan oleh hajibnya yang terkenal, Abu
al-Nucaym Ridwan b. cAbd Allah al-Nasri, dan wazirnya yang terbilang, Lisan
al-Din b. al-Khatib al-Salmani (Harvey 1990: 207). Malah peluang ini digunakan
pada peringkat awal pemerintahan untuk mewujudkan hubungan diplomatik yang
lebih baik dengan kerajaan Banu Marin. Ini dapat diperhatikan menerusi perutusan
Kerajaan Nasriyyah (1238-1492M) di Granada Ibn al-Khatib oleh Sultan Muhammad V untuk bertemu Sultan Abu cInan di Fas pada tahun 755H/1354M (Latham 1993, 7: 1024).
Walau bagaimanapun, pada Ramadan 760H/Ogos 1359M, ketika Sultan
Muhammad V sibuk membuat persiapan untuk menyerang Aragon bagi membantu
pihak Castile yang angkatan lautnya ketika itu sedang berlabuh di Málaga,
baginda telah digulingkan oleh satu pakatan revolusi istana. Pemerintahan
kerajaan Nasriyyah telah diambil alih oleh adik tirinya bernama Ismacil II b. Yusuf
b. Ismacil b. Faraj b. Ismail b. Yusuf b. Nasr b. Qays al-Khazraji (1359-1360M).
Pemerintahannya memakan masa beberapa bulan sahaja disebabkan
kepimpinannya yang amat lemah. Bukan setakat itu sahaja, Muhammad VI el
Bermejo yang sebelum ini telah membantu dan merancang penggulingan Sultan
Muhammad V, telah membunuh Ismacil dan adiknya, Qays, pada 8 ShaCban 761H/
24 Jun 1360M (Ibn al-Khatib 1347H: 108-109; Latham 1993, 7: 1024; Harvey 1990:
209). Baginda yang merupakan menantu Sultan Yusuf I (ipar dan sepupu kepada
Ismacil II), menaiki takhta dengan menggunakan gelaran Muhammad al-Ghalib
bi Allah (1360-1362M). Pada zaman pemerintahannya, baginda telah memihak
kepada Kristian Aragon. Tindakannya ini amat tidak disenangi oleh Peter I of
Castile menyebabkan Peter I telah memberi bantuan kepada Muhammad V yang
dibuang negeri ke Fas untuk kembali memerintah di Granada. Sultan Muhammad
V berjaya memerintah semula Granada buat kali kedua pada Jumada al-Thaniyah
763H/Mac 1362M, iaitu setelah Muhammad VI el Bermejo menyerah diri kepada
Peter I dan seterusnya dihukum bunuh di Tablada, berdekatan kota Seville pada
April 1360M (Latham 1993, 7: 1024; Harvey 1990: 210-211).
Pertelingkahan kuasa antara Castile dan Aragon telah digunakan sebaik
mungkin oleh Sultan Muhammad V dengan bijak. Baginda telah memberikan
pertolongan kepada Peter I dengan menyerang Murcia pada tahun 763H/1362M.
Pada tahun 767H/1366M, perang saudara tercetus antara Peter I dengan adiknya,
Enrique de Trastamara, yang menuntut takhta pemerintahan Castile. Peluang
kedua ini turut diambil Muhammad V dengan melakukan beberapa serangan ke
atas pihak pemberontak yang menentang Peter I dan berjaya menyerang Utrera,
Jaén dan Úbeda serta mengepung Baeza dan Cordova. Malah baginda hampirhampir
dapat menguasai kota Cordova (769H/1368M).
Antara usaha baginda yang paling jelas untuk memperkukuhkan pemerintahan kerajaan Nasriyyah ialah kejayaan baginda menawan semula Algeciras pada tahun 770H/1369M (Makki 1992: 81). Pada masa ini juga, kedudukan kerajaan Banu Marin di Fas dalam
keadaan tidak stabil dengan pergolakan dalaman. Peluang ini, bahkan digunakan
sebaik mungkin Muhammad V untuk mencampuri urusan pemerintahan di Maghrib. Beliau berjaya menjadi penimbang tara dalam perlantikan sultan Banu Marin. Beliau juga berjaya menduduki Gibraltar dan menghapuskan jawatan shaykh al-ghuzah. Dengan itu, terhapuslah kewujudan kuasa ketenteraan Banu Marin di Andalus. Kemuncak kecemerlangan pemerintahan Sultan Muhammad al-Ghani bi Allah di Granada ialah sebagaimana yang digambarkan oleh Makki (1992: 81):
Thanks to the wise policy of Muhammad V, Granada enjoyed a lengthy peace it had
never before experienced, permitting the Nasrid sultan to undertake many building projects, including the construction of the greater part of the Qasr al-Hamra’ – the Alhambra – and to give attention to culture and the sciences. During his reign the kingdom also enjoyed great economic prosperity with the strengthening of friendly relations between it and the Muslim kingdoms of the Maghrib and the east: the Zayyanid state in Tlemcen, the Hafsids in Tunisia and the Mamluks in Egypt.
KEMEROSOTAN DAN KEJATUHAN
Kegemilangan kerajaan Nasriyyah tidak kekal lama apabila kerajaan ini mula
merosot setelah kematian Sultan Muhammad V pada 16 Januari 1391M (Harvey
1990: 219). Pengganti-penggantinya terdiri daripada sultan-sultan yang lemah
dan gagal menyamai tahap kepimpinannya yang berjaya menggabungkan
diplomasi politik dan penggunaan kuasa ketenteraan pada masa yang diperlukan.
Meskipun demikian, Makki (1992: 81-82) menjelaskan bahawa secara umumnya,
suasana politik di Granada pada ketika ini masih stabil dan tidak banyak berubah
hingga membolehkannya bertahan hampir setengah abad selepas itu (793-820H/
1391-1417M). Dalam tempoh tersebut, kerajaan Nasriyyah berada di bawah
pemerintahan tiga orang sultan, iaitu Yusuf II (1391-1392M), Muhammad VII
(1392-1408M) dan Yusuf III (1408-1417M). Pada masa yang sama juga kedudukan
pemerintahan kerajaan Kristian Castile berada dalam keadaan lemah dan berbalah
sesama mereka sendiri dalam perebutan takhta, sama ada di kalangan para
pengganti raja atau pihak pemberontak golongan aristokrat.
Bagaimanapun, setelah kekuatan kerajaan Kristian Castile mula pulih, mereka
mula bertindak untuk menyerang dan menawan kubu kuat kerajaan Nasriyyah,
iaitu Antequera pada tahun 813H/1410M. Ini diikuti pula dengan kemenangan
tentera Kristian Castile dalam peperangan La Higueruela. Perjalanan sejarah
kerajaan Nasriyyah dalam period berikutnya, iaitu bermula pada 820H/1417M
hingga 897H/1492M, dipenuhi dengan ‘kekusutan’ dan bersifat kompleks lagi
rumit. Kebanyakan sejarawan kontemporari seperti Latham (1993), Harvey (1990),
Makki (1992), cInan (1966) dan Watt (1967) telah mengklasifikasikan tempoh ini
sebagai saat perpecahan dalaman kerajaan Nasriyyah yang menyebabkan sistem
pemerintahannya merosot, malah jatuh ke tangan Kristian Katholik pada tahun
1492M. Menjelang pertengahan abad ke-15M, kerajaan Castile yang dipimpin
oleh Henry IV (1454-1474M), anak John II, mula mengatur serangan hebat ke
atas kerajaan Nasriyyah antara tahun 1455 hingga 1457M. Sedangkan pada waktu
tersebut, kerajaan Nasriyyah menghadapi masalah dalaman yang serius kerana
perebutan takhta pemerintahan di kalangan kerabat Banu Nasr sendiri, iaitu
antara Abu Nasr Sacd (1454-1464M) dan Muhammad XI el Chiquito (1451-1452,
1453-1454M). Pada ketika ini (1450-an), kerajaan Nasriyyah mempunyai dua
orang pemerintah. Muhammad XI mengusai kawasan Granada, Málaga dan
Alméria termasuk kota Alhambra. Manakala SaCd menguasai kawasan Archidona
hingga ke Ronda di samping memperoleh sokongan kuat daripada Banu Sarraj
Kerajaan Nasriyyah (1238-1492M) di Granada dan pihak kerajaan Castile. Pada tahun 1455M, konflik ini berakhir apabila Muhammad XI tidak disukai oleh para bangsawan dan penduduk Granada hingga menyebabkan beliau terpaksa melarikan diri dari kota tersebut. Akan tetapi beliau telah terperangkap dalam satu serangan mengejut oleh anak Sacd, Abu al-Hasan cAli (1464-1482M), lalu dihukum bunuh. Peluang ini digunakan dengan sebaiknya oleh Sacd dengan menguasai Granada seluruhnya (Harvey 1990: 261-265). Akibat daripada pertelingkahan ini, Gibraltar yang merupakan pengkalan terakhir perhubungan Granada dengan kerajaan Islam di Afrika Utara telah ditakluki
kerajaan Kristian Castile pada tahun 866H/1462M (Hills 1974: 95).
Kekuatan Banu Marin di Maghrib, Banu cAbd al-Wad di Tilimsan dan
kerajaan Banu Hafs di Tunisia mula lemah bersama-sama kejatuhan Granada,
menyebabkan kerajaan Nasriyyah terpaksa bersendirian dalam menghadapi
kemaraan tentera Kristian yang lebih besar (Makki 1992: 82). Pada ketika ini juga,
kerajaan Kristian Castile yang baru kematian raja mereka, iaitu Henry IV (1454-
1474M) telah digantikan oleh saudara perempuannya, Isabella (1474-1504M). Di
Aragon pula, dengan kematian John II (1458-1479M), takhta dimiliki oleh anaknya,
Ferdinand V (1479-1516) yang juga suami kepada Isabella of Castile. Dengan
demikian, kedua-dua kerajaan ini telah berjaya disatukan dan menamatkan
permusuhan selama beberapa abad antara kedua-dua kerajaan tersebut. Di bawah
pemerintahan Isabella dan Ferdinand yang mendapat gelaran Catholic Monarchs,
serangan ke atas kerajaan Nasriyyah di Granada semakin diperhebatkan
(Latham 1993, 7: 1026). Setelah melalui peperangan demi peperangan, akhirnya
pada 29 Safar 897H bersamaan 1 Januari 1492M, Granada telah diserahkan kepada
pihak Kristian Castile oleh sultan terakhir kerajaan Nasriyyah, Sultan Abu cAbd
Allah Muhammad XII (1482, 1486-1492M) yang lebih dikenali di Barat sebagai
Boabdil. Kejatuhan Granada membawa makna berakhirnya kerajaan Islam di
Sepanyol buat selama-lamanya setelah bertapak hampir lapan kurun di Eropah.
Bagi kerajaan Kristian, khususnya Castile, kejatuhan ini merupakan kejayaan
mutlak mereka yang diidam-idamkan, demi melengkapkan kempen Reconquista
yang dilancarkan beberapa abad sebelum ini.

KESIMPULAN
Kemunculan Ibn al-Ahmar atau Muhammad I b. Yusuf b. Nasr al-Khazraji di
Arjona pada tahun 18 April 1232M menyaksikan detik permulaan kuasa
pemerintahan Banu Nasr di kalangan para pemerintah semasa. Orak-arik yang
berlaku di sekelilingnya tidak pernah mematahkan semangat Ibn al-Ahmar untuk
meneruskan cita-citanya mewujudkan sebuah pemerintahan Islam di bumi
Andalus. Dengan kejatuhan kekuasaan kerajaan al-Muwahhidun di Andalus
pada akhir abad ke-11M, Ibn al-Ahmar bersama para pemimpin Islam di wilayahwilayah
lain seperti Ibn Hud al-Judhami di Seville dan Ibn Mardanish di Valencia
sedang bersaing antara satu sama lain untuk menjadi pemimpin Islam tunggal di
Eropah.
Dengan kematian Ibn Hud pada tahun 1238M dan penyerahan kota
Valencia oleh Ibn Mardanish kepada James I of Aragon pada tahun yang sama,
telah memberi peluang besar kepada Ibn al-Ahmar untuk menjadi pemimpin
tunggal bagi seluruh masyarakat Islam di Andalus. Tambahan pula, kejatuhan
kota metropolitan Cordova (1236M) dan Seville (1248) telah menjadikan Granada
satu-satunya wilayah yang paling selamat untuk didiami oleh orang Islam.
Menerusi penumpuan terhadap corak pemerintahan para sultan Nasriyyah
pada era pengukuhan dan pemantapan serta era kemajuan dan kegemilangan,
penulis mendapati dalam tempoh berkenaan, iaitu sekitar seratus lima puluh
tahun yang pertama, kerajaan Nasriyyah berjaya meletakkan asas yang kukuh
dalam penubuhannya.
Di samping itu juga, kerajaan ini berjaya menentukan polisi hubungan dalaman dan antarabangsa yang bijaksana dalam pemerintahannya. Dengan paparan sedemikian, penulis mendapati bahawa para sultan yang memerintah Granada pada era pengukuhan dan pemantapan ialah penentu kepada corak pemerintahan kerajaan Nasriyyah seterusnya. Antara para sultan yang memerintah pada era ini ialah seperti Sultan Muhammad II al-
Faqih, Sultan Muhammad III al-Makhluc, Sultan Abu al-Juyush Nasr, Sultan Ismail I dan Sultan Muhammad IV. Sewajarnya penghargaan perlu ditujukan khusus kepada Sultan Muhammad II kerana beliau bertanggungjawab mewujud dan menyusun institusi pentadbiran kerajaan Nasriyyah secara efisien dan berkesan. Ini dapat dilihat kepada penubuhan institusi Diwan al-Insha’. Usaha ini diteruskan pula pada era kemajuan dan kegemilangan kerajaan Nasriyyah.
Pada masa ini terdapat dua orang sultan yang amat terkenal dan dianggap sebagai
zaman kegemilangan kerajaan Nasriyyah, iaitu Sultan Yusuf I al-Mu’ayyad bi
Allah dan Sultan Muhammad V al-Ghani bi Allah. Pada zaman pemerintahan
mereka, Granada terkenal sebagai pusat utama ilmu pengetahuan di Eropah, di
samping terbinanya sebuah istana yang masyhur dengan keindahannya di
seluruh alam buana, iaitu Alhambra.
RUJUKAN
cAbd al-Rahman cAli, al-Hajj,. 1983. al-Tarikh al-Andalusi min al-fath al-Islami hatta
suqut Gharnatah. al-Qahirah: Dar al-ICtisam.
Burns, Robert Ignatius. 1973. Islam under the crusaders. New Jersey: Princeton University
Press.
Chejne, Anwar G. 1974. Muslim Spain: It’s history and culture. Minneapolis: The
University of Minnesota Press.
CInan, Muhammad CAbd Allah. 1966. Nihayat al-Andalus wa tarikh al-carab almutanassirin.
al-Qahirah: Mu’assasat al-Khanji.
Dickie, James. 1992a. Granada: A case study of Arab urbanism in Muslim Spain. Dlm.
Jayyushi, Salma Khadra (pnyt.). The legacy of Muslim Spain, hlm. 88-111. Leiden:
E.J. Brill.
Farhat, Yusuf Shukri. 1981. Gharnatah fi zill Bani al-Ahmar: Dirasah hadariyyah. Bayrut:
al-Mu’assasah al-JamiCiyyah li al-Dirasat wa al-Nashr wa Tawzic.
Kerajaan Nasriyyah (1238-1492M) di Granada 21
al-Hamawi, Yaqut b. cAbd Allah. 1997. Mucjam al-buldan. Jil. 3. Bayrut: Dar Ihya’ al-
Turath al-cArabi.
Harvey, L. P. 1990. Islamic Spain 1250 to 1500. Chicago: The University of Chicago
Press.
Hills, George. 1974. Rock of contention. London: Robert Hale & Company.
Ibn al-Khatib, Lisan al-Din. 1347H. al-Lamhah al-badriyyah fi al-dawlah al-Nasriyyah.
Sunt. al-Khatib, Muhibb al-Din. al-Qahirah: al-MatbaCah al-Salafiyyah.
Ibn al-Khatib, Lisan al-Din. 1956. Kitab aCmal al-aClam fi man buyica qabl al-ihtilam min
muluk al-Islam. Sunt. E. Levi-Provencal. Bayrut: Dar al-Makshuf.
Ibn al-Khatib, Lisan al-Din. 1973. al-Ihatah fi akhbar Gharnatah. Sunt. CInan, Muhammad
cAbd Allah. Jil. 1. al-Qahirah: Mu’assasat al-Khanji.
Ibn al-Khatib, Lisan al-Din. 1974. al-Ihatah fi akhbar Gharnatah. Pnyt. cInan, Muhammad
cAbd Allah. Jil. 2. al-Qahirah: Mu’assasat al-Khanji.
Ibn Khaldun, CAbd al-Rahman. 1968. Tarikh Ibn Khaldun. Jil. 1-7. Bayrut: Dar al-Kitab
al-Lubnani.
Imamuddin, S.M. 1974. A political history of Muslim Spain. Karachi: Najmahsons.
Jayyushi, Salma Khadra (pnyt.). 1992. The legacy of Muslim Spain. Leiden: E.J. Brill.
Kennedy, Hugh. 1998. Muslim Spain and Portugal: A political history of al-Andalus.
London: Addison Wesley Longman Limited.
Lane-Poole, Stanley. 1967. The Moors in Spain. Beirut: Khayat Book & Publishing Co.
Latham, J. D. 1993. Nasrids. Dlm. The Encyclopaedia of Islam, hlm. 1020-1028. Jil. 7.
Leiden: E.J. Brill.
Makki, Mahmoud A. 1992. The political history of al-Andalus (92-897/711-1492).
Dlm. Jayyushi, Salma Khadra (pnyt.). The legacy of Muslim Spain, hlm. 3-87.
Leiden: E.J. Brill.
al-Maqqari, Shihab al-Din Ahmad b. Muhammad. 1988. Nafh al-tib min ghusn al-Andalus
al-ratib. Pnyt. cAbbas, Ihsan. Jil. 1-8. Bayrut: Dar Sadir.
al-Nuqrat, cAli Muhammad. t.th. Ibn al-Jayyab al-Gharnati: Hayatuh wa shicruh.
Banghazi: Dar al-Kutub al-Wataniyyah.
al-Qalqashandi. 1915. Subh al-acsha. Jil. 5. al-Qahirah: al-Matbacah al-Amiriyyah.
Shabanah, Muhammad Kamal. 1969. Yusuf al-Awwal Ibn al-Ahmar: Sultan Gharnatah.
al-Qahirah: Lajnat al-Bayan al-cArabi.
Watt, W. Montgomery & Cachia, Pierce. 1967. A history of Islamic Spain. Edinburgh:
Edinburgh University Press.

Langgan:
Catatan (Atom)