DONATE

Selasa, 10 Mei 2022

HAK-HAK WANITA DALAM PERWARISAN ISLAM


 


1. PENDAHULUAN

 

Ilmu faraidh atau ilmu pusaka merupakan cabang ilmu yang tidak kurang penting dalam Islam. al-Quran al-karim sebagi pegangan asas individu Islam, menerusi beberapa ayatnya telah menjelaskan hukum-hukum waris dan keadaan setiap pewaris dengan begitu terperinci. Allah S.W.T tidak membiarkan hambaNya menguruskan sendiri harta peninggalan si mati, sebaliknya ditetapkan bahagian pusaka kerana Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana akan keadaan hambaNya. Syariat Islam juga telah memberi hak kepada wanita dalam pusaka. Allah S.W.T berfirman :

 

 

 

Maksudnya: “orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah)”

 

 

Ayat ini menegaskan bahawa wanita juga mempunyai hak dalam mewarisi harta peninggalan ibubapa ataupun kaum kerabat mereka. Kadar atau bahagian pusaka wanita yang berbeza-beza dalam keluarga sama ada sebagai ibu atau adik atau kakak atau anak mahupun isteri diperjelaskan melalui al-Quran al-Karim. Di antara ayat yang memfokuskan kadar bahagian atau hak para pewaris ialah ayat 11, 12 dab 176 surah al-Nisa’. 

 

2. PENGERTIAN PUSAKA

 

Ilmu pusaka di dalam bahasa Arab dikenali dengan nama “ilmu faraidh”atau ‘ilmu mirath”. Al-mirath menurut bahasa bermaksud perpindahan sesuatu dari seseorang individu kepada seorang yang lain atau dari satu kaum kepada kaum yang lain. Perpindahan ini meliputi harta atau ilmu atau kebesaran ataupun kemuliaan (H.Zaid Husein. t.th. 26). Ini dibuktikan oleh sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud “ Para ulama adalah pewaris nabi dan sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dirham mahupun dinar, tetapi mereka mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambilnya sesungguhnya dia telah mengambil bahagian yang banyak”.

 

Manakala maksud faraid atau mirath dari sudut istilah ialah ilmu yang menentukan tiap-tiap hak dari pusaka. Ia merupakan satu bentuk perkiraan yang telah di tetapkan oleh syarak mengenai pembahagian harta peninggalan si mati kepada waris-waris yang layak menerimanya ( Zainal Abidin.1993.1).

Sementara pusaka menurut Kamus Dewan ialah segala harta benda yang ditinggalkan oleh orang yang telah meninggal (kamus dewan. 2002.1074)

 

 

3. RUKUN DAN SYARAT PUSAKA

 

Rukun pusaka terbahagi kepada tiga iaitu ( Barraj.1999.159) :

 

a). Si mati iaitu orang yang meninggalkan pusaka

 

b). Waris iaitu individu yang menerima pusaka

 

c). Harta iaitu harta atau barang atau nilai yang dipusakakan.

 

Manakala syarat pusaka adalah seperti berikut (al-Sabuniyy .1993. 40) :

 

a). Diyakini kematian orang yang meninggalkan pusaka dengan sebenarnya atau secara

      hukum.

 

b). Diyakini bahawa pewaris masih hidup selepas matinya si mati walaupun beberapa        minit sahaja.

 

c.) Mengetahui tentang keadaan ahli waris yang menerima pusaka denga jelas.

 

 

4. SEBAB MENDAPAT PUSAKA

 

Syariat Islam menetapkan tiga2 sebab yang membolehkan seseorang individu mendapat pusaka. Sebab-sebab ini adalah seperti berikut (al-Syalabiyy .1978. 62-65) :

 

a). Melalui perkahwinan yang sah dan akad ini berterusan sehingga ke hari kematian suami atau isteri.

 

Ikatan perkahwinan yang sah melayakkan isteri mewarisi harta suami sama ada telah berlaku persetubuhan atau sebaliknya.

 

Seorang isteri yang berada dalam tempoh iddah talak rajciyy atau talak bain juga layak mewarisi harta suaminya. Begitu juga halnya dengan isteri yang ditalak oleh suaminya yang sedang sakit tenat (maradh al-maut) dengan talak bain – tetapi bukan atas kehendak isteri - juga layak menerima pusaka peninggalan suaminya.

 

b). Melalui sebab keturunan atau kerabat. Termasuk dalam kerabat si mati ialah usul si mati iaitu bapa, datuk dan ke atas, furuc si mati iaitu anak, cucu, cicit dan ke bawah dan juga furuc usul si mati iaitu adik beradik, bapa dan ibu saudara. Kerabat atau keturunan ini meliputi lelaki dan perempuan.

 

c). Melalui wala’ iaitu tuan kepada hamba yang telah dibebaskan apabila hamba tersebut meninggal dan dia tidak meningglkan waris, maka tuan lamanya berhak menerima harta peninggalannya3.

 

 

 

 

4. HAK WANITA DALAM PUSAKA

 

Kedudukan wanita Kedudukan wanita yang dipandang hina pada zaman jahiliyyah telah berubah dengan kedatangan Islam. Islam telah memartabatkan kedudukan kaum hawa sehinggakan salah satu surah di dalam al-Quran dinamakan dengan al-Nisa’ yang bermaksud wanita. Wanita pada zaman jahiliyyah tidak memiliki hak dalam mewarisi harta peninggalan suami mahupun keluarga. Tetapi Islam sebagai din al-hanif telah memberikan mereka hak dalam penerimaan harta pusaka. Syariat Islam telah membariskan senarai waris wanita yang layak menerima harta peninggalan si mati. Mereka ialah anak perempuan, cucu perempuan dari anak lelaki, ibu, nenek sebelah ibu, nenek sebelah bapa, adik-beradik perempuan seibu sebapa, adik-beradik perempuan sebapa, adik-beradik perempuan seibu, isteri dan puan bagi hamba4.

 

4.1       HAK WANITA DALAM PUSAKA SEBAGAIMANA YANHAK WANITA DALAM PUSAKA SEBAGAIMANA YANG DIJELASKAN DALAM AYAT 11 SURAH AL-NISA’

 

Ayat 11 surah al-Nisa' dimulai dengan firman Allah yang berbunyi    -

 

 

Ertinya:"Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anakmu".

 

Terkandung di dalam ayat ini pembahagian kadar pusaka kepada anak-anak sama ada perempuan mahupun lelaki. Daripada ayat ini dapat dikeluarkan beberapa keadaan pusaka yang diterima oleh wanita. Keadaan-keadaan ini adalah seperti berikut :

 

1.    Perempuan mendapat bahagian separuh daripada apa yang diterima oleh anak lelaki. Ini dapat difahami daripada firman Allah yang berbunyi :  

 

 

 

 

Maksudnya : "seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan".

 

Ada beberapa hikmah di sebalik penetapan ini (Hassan Abbas & Fadil Abbas.1991.322). Antaranya ialah :

 

 a).Orang lelaki wajib membayar maskahwin (mahar) kepada wanita dan mereka diwajibkan menyediakan tempat tinggal,makanan dan pakaian kepada isteri dan anak-anak.

 

b). Lelaki lebih memerlukan kewangan yang banyak untuk menampung kehidupan seharian seperti memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, serta menampung kos rawatan dan pembelajaran ahli keluarga.

 

c).Perempuan tidak perlu mengeluarkan nafkah atau menanggung seseorang. Sebaliknya perempuan ditanggung oleh bapa atau walinya sekiranya belum berkahwin dan perbelanjaan selepas berkahwin merupakan tanggungjawab suami.

 

Perkara di atas jelas menunjukkan keadilan syariat Islam. Allah yang bersifat maha pengasih dan penyayang tidak sekali-sekali menzalimi hambanya. Syariat Islam datang dengan keadilan dan tidak mendiskriminasi mana-mana pihak. Walaupun jika dilihat secara kasar wanita mendapat bahagian yang sedikit berbanding lelaki tetapi sebenarnya pusaka yang mereka perolehi adalah milik mereka semata-mata dan ia tidak perlu dikongsi dengan pihak lain. Sebaliknya lelaki dibebani dengan tanggungjawab kewangan yang banyak terutama selepas mendirikan rumahtangga. Justeru wajarlah mereka mendapat bahagian pusaka yang lebih berbanding wanita.

 

2. Penentuan kadar pusaka yang layak diterima oleh anak perempuan yang lebih daripada dua. Perkara ini disebut menerusi ayat yang berbunyi:

 

 

4

Maksudnya : "dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan, jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka dia memperoleh separuh harta".

 

Ayat ini menegaskan tentang hak anak perempuan5 dalam pusaka. Terdapat tiga kadar pusaka yang telah digariskan oleh Islam bagi anak perempuan iaitu satu perdua, dua pertiga dan mewarisi harta pusaka dengan cara tacsib.

 

Anak perempuan akan mendapat satu perdua daripada harta peninggalan bapa atau ibunya dengan beberapa syarat iaitu :

 

i.              tidak ada anak lelaki atau casabah.

 

ii.             hanya dia seorang sahaja dan tidak memiliki adik-beradik perempuan.

 

Manakala dua orang anak perempuan atau lebih akan mendapat dua pertiga daripada bahagian pusaka. Anak perempuan akan mewarisi harta pusaka dengan cara tacsib sekiranya dia memiliki adik beradik lelaki, di mana adik beradik lelaki akan mendapat dua bahagian manakala perempuan mendapat satu bahagian.

 

Selain daripada kadar pusaka yang diperolehi oleh anak perempuan, difahami daripada ayat ini juga kadar pusaka yang diperolehi oleh cucu perempuan. Ini kerana cucu akan mengambil tempat anak perempuan sekiranya anak perempuan si mati telah tiada.

 

Kadar bahagian pusaka cucu perempuan adalah sama dengan kadar bahagian pusaka anak perempuan iaitu sama ada satu perdua atau dua pertiga atau pewariasan menerusi tacsib.

 

 

Contoh pewarisan anak perempuan

 

a). Seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan seorang anak perempuan, seorang isteri, bapa dengan meninggalkan wang berjumlah $480.

 

 

 

Anak perempuan        Isteri                Bapa

1/2                   1/8                   1/6 + Baki (5/24)

 

 

Cara pengiraan : 1/2 + 1/8 + 1/6 = 12+3+ 4 = 19/24

24

$480 bahagi 24= $20 bagi setiap satu bahagian. Oleh sebab itu anak perempuan mendapat $240, isteri mendapat $60 dan bapa $180.

 

b). Seorang perempuan meninggal dunia dan meninggalkan suami, seorang anak lelaki, seorang anak perempuan, seorang adik lelaki kandung dan seorang ibu saudara sebelah ibu dengan meninggalkan wang berjumlah $800.

 

Suami              Anak perempuan        Anak Lelaki     Adik lelaki        Ibu saudara

1/4                   Baki dengan                         Baki dengan         Terhalang             Terhalang                                                                              cara tacsib                             cara tacsib             dengan anak         dengan anak

lLelaki                    lelaki

 

Cara pengiraan : $800 bahagi 4 = $200 bahagian untuk suami. Baki duit sebanyak $600 bahagi 3 = $200. Oleh itu anak perempuan mendapat $200 manakala anak lelaki mendapat $400.

 

 

c). Ahmad meninggal dunia dan meninggalkan seorang isteri, empat orang anak perempuan , seorang adik perempuan kandung dan bapa dengan meningglkan wang berejumlah $4800.

 

Isteri    4 orang anak perempuan                   Adik perempuan         Bapa

1/8                   2/3                                           Terhalang dengan               1/6 + Baki (1/24)

 bapa

 

Cara pengiraan : 1/8+2/3+1/6 = 3+16+4 = 23/24

        24

 

$4800 bahagi 24 = $200 bagi setiap satu bahagian. Oleh itu isteri mandapat $600, $3200 untuk 4 orang anak perempuan ($800 setiap seorang) dan bapa mendapat sebanyak $1000.

 

 

3.   Kadar bahagian pusaka yang layak diambil oleh Ibu menerusi firman Allah:

  

 

 

Maksudnya : "dan untuk kedua-dua orang ibubapa, bagi masing-masing satu perenam dari harta yang ditinggalkan, jika orang yang meninggal mempunyai anak ;jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibubanya (sahaja), maka ibunya mendapat sepertiga; jika orang yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat seperenam".

 

Ayat di atas menjelaskan bahawa kadar pusaka ibu terbahagi kepada dua iaitu 1/6 atau 1/3. Ibu akan mendapat 1/3 daripada harta pusaka dengan dua syarat. Pertama si mati tidak mempunyai anak atau cucu sama ada perempuan atau lelaki atau ke bawah. Kedua, si mati tidak mempunyai dua orang atau lebih adik beradik lelaki atau perempuan seibu sebapa atau sebapa atau seibu.

 

Manakala kadar 1/6 akan diterima oleh ibu si mati dalam dua keadan:

 

i).    sekiranya si mati mempunyai anak atau cucu sama ada perempuan atau lelaki

 

ii)    jika si mati mempunyai dua orang atau lebih adik beradik lelaki atau perempuan seibu sebapa atau sebapa atau seibu.

 

Contoh pewarisan ibu

 

a). Aminah telah meninggal dunia dan meninggalkan ibu, bapa, kakak seibu sebapa dan abang seibu dengan meningglkan wang sejumlah $3000.

 

Bapa                            ibu                  Kakak seibu sebapa               abang sebapa

Baki dengan (5/6)           1/6                   terhalang  dengan bapa                     terhalang dengan bapa

cara tacsib                                                              

 

 Cara pengiraan : $3000 bahagi 6 = $500 untuk setiap bahagian pusaka. Dalam keadaan ini ibu mendapat 1/6 kerana si mati memiliki adik-beradik seramai dua orang. Oleh sebab itu ibu mandapat $500 daripada wang peninggalan si mati. Manakala bapa mendapat baki peninggalan iaitu sebanyak $2500.

 

b). Ali telah meninggal dunia dan meningglakan bapa, ibu dan adik lelaki seibu sebapa dengan meninggalkan wang sejumlah $2100.

 

Bapa                            Ibu                   adik lelaki seibu sebapa

Baki dengan (2/3)           1/3                  terhalang dengan bapa

Cara tacsib

 

 

Cara pengiraan : $2100 bahagi 3 = $700. Dalam keadaan ini ibu mendapat 1/3 kerana si mati tidak mempunyai anak dan hanya mempunyai seorang adik lelaki sahaja. Oleh itu ibu mendapat $700 manakala bapa mendapat baki wang iaitu $1400.

 

 

4.2       HAK WANITA DALAM PUSAKA SEBAGAIMANA YANG DIJELASKAN DALAM AYAT 12 SURAH AL-NISA’

Di dalam ayat 12 surah al-Nisa' terdapat dua hukum yang berkaitan dengan hak wanita dalam pusaka. Pertama hak isteri terhadap harta peninggalan suami dan kedua hak adik-beradik perempuan seibu ke atas pusaka si mati.

 

    

Ertinya :"para isteri memperolehi seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperoleh seperlapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu"

 

Ayat di atas menjelaskan bahawa isteri mendapat 1/4 daripada harta peninggalan suami sekiranya suami tidak memiliki anak. Jumhur ulama bersepakat mengatakakan bahawa anak di dalam ayat tersebut bermaksud furuc waris6 iaitu anak atau anak kepada anak lelaki dan ke bawah, sama ada furuc waris berasal daripada isteri tersebut atau isteri yang lain (Zaidan.1994.267). Sekiranya suami mempunyai furuc waris, maka isteri hanya layak mendapat 1/8.

 

 Contoh Pewarisan Isteri

 

a). Omar meninggal dunia dan meninggalkan seorang isteri, ibu dan adik lelaki kandung dengan meninggalkan wang berjumlah $1200.

 

Isteri                            Ibu                               Adik lelaki kandung

1/4                               1/3 baki                       (5/12)

 

Cara pengiraan : 1/4 + 1/3 = 3+4 = 7/12

12

 

$1200 bahagi 12 = $100 bagi setiap saham. Oleh itu isteri mandapat $300, ibu mendapat $400 dan adik lelaki kandung mendapat $500.

 

b). Seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan 3 orang anak perempuan, dua orang isteri, ibu dan bapa serta meninggalkan wang berjumlah $540.

 

3 anak perempuan                  2 isteri                         ibu       bapa

2/3                               1/8                               1/6       1/6+ baki

 

Cara pengiraan : 2/3 + 1/8 + 1/6 + 1/6 = 16+3+4+4 = 27/24 (masalah cailah)

24

 

$540 bahagi 27 = $20 bagi setiap satu bahagian. Oleh itu 3 orang anak perempuan mendapat $320 ($106.66 bagi setiap seorang), 2 orang isteri mendapat $60 ($30 setiap seorang), ibu dan bapa masing-,masing mendapat $80.

 

Selain daripada kadar pusaka yang diterima oleh isteri, terkandung juga dalam ayat 12 surah al-Nisa’ pembahagian kadar pusaka bagi adik-baradik perempuan seibu bagi si mati. Ini ditegaskan melalui ayat yang berbunyi :

 

 

 Maksudnya : " Jika seseorang mati, baik lelaki mahupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara lelaki (seibu sahaja) atau seorang saudara perempuan (seibu sahaja), maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris7)"

 

Ulama sependapat mengenai makna "Kalakah" di dalam ayat di atas iaitu seseorang meninggal dunia tanpa meninggalkan ayah (asl) mahupun anak (furc)(Ibn Kathir.1994.610) Ulama juga bersepakat menngatakan bahawa "akh" dan "ukht" di dalam ayat ini ialah adik beradik lelaki dan perempuan sebelah ibu sahaja kerana adik beradik seibu sebapa atau sebapa menerima pusaka dengan cara tacsib (al-Qurtubiyy. 1995.68).

 

Perlu ditegaskan disini, adik beradik seibu tidak layak mendapat pusaka si mati sekiranya si mati memiliki ayah (asl) mahupun anak (furc). Mereka juga tidak layak mendapat pusaka sekiranya terdapat mawanic al-irth (penghalang daripada mendapat pusaka) seperti mereka kafir atau membubuh (Barraj. 1999.357).

 

Kadar yang diperolehi oleh adik beradik lelaki mahupun perempuan Kadar yang diperolehi oleh adik beradik lelaki mahupun perempuan seibu ialah 1/6 atau 1/3. Apabila si mati meninggalkan seorang adik beradik lelaki seibu atau seorang adik beradik perempuan seibu maka masing-masing mendapat 1/6. Dan apabila si mati meninggalkan sekurang-kurangnya dua orang adik beradik seibu lelaki mahupun perempuan, maka mereka mendapat 1/3 daripada harta si mati yang dibahagi sama rata.

 

4.3       HAK WANITA DALAM PUSAKA SEBAGAIMANA YANG DIJELASKAN DALAM AYAT 176 SURAH AL-NISA’

Ayat 176 berbunyi :

 

 

 

Maksudnya : "mereka meminta fatwa kepadamu (tentang kalalah). Katakanlah:"Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalakah (iaitu):jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkan, dan saudaranya yang lelaki mempusakai (seluruh harta saudara perempuan), jika ia tidak mempunyai anak; tetapi ika saudaraperempuan itu dua orang, maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan. Dan jika mereka (ahli waris terdiri dari) saudara-saudara lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara lelaki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu".

 

Ayat di atas membicarakan tentang pewarisan "kalalah" iaitu bahagian yang diperolehi oleh adik beradik seibu sebapa atau adik beradik sebapa apabila si mati tidak meninggalkan ayah (asl) mahupun anak (furc). Perbezaan antara pewarisan "kalalah" dalam ayat ini dan ayat 12 ialah ayat 12 membicarakan tentang kadar pusaka yang diterima oleh adik beradik seibu manakala ayat 176 ini membicarakan tentang kadar yang diperoleh oleh adik beradik seibu sebapa atau sebapa.

 

Daripada ayat di atas difahami bahawa kadar pusaka adik beradik perempuan seibu sebapa adalah seperti berikut (Barraj 1999.364) :

 

i) mendapat separuh dengan syarat :

 

- hanya dia seorang yang mewarisi pusaka si mati

 

- tidak ada 'asabah bersamanya

 

- tidak ada orang yang menghalangnya daripada mendapat pusaka

 

ii) mendapat dua pertiga sekiranya mereka dua orang atau lebih dengan syarat tidak ada 'asabah bersamanya dan tidak ada orang yang menghalangnya daripada mendapat pusaka

 

iii) al-tacsib bi al-ghair sekiranya perempuan tersebut mendapat pusaka dengan cara 'asabah bersama adik beradik lelaki kandung, maka mereka mendapat semua harta peninggalan dengan mengambil kira bahawa lelaki mendapat dua bahagian dan perempuan mendapat satu bahagian.

 

iv) al-tacsib maca al-ghair sekiranya adik beradik perempuan kandung si mati tidak mendapat pusaka dengan cara 'asabah bersama adik beradik lelaki kandung si mati dan si mati mempunyai furc waris perempuan seperti anak perempuan, cucu perempuan kepada anak lelaki atau kedua-duanya sekali sama ada seorang mahupun ramai, maka adik beradik perempuan seibu sebapa mendapat baki daripada harta yang diambil oleh furc waris perempuan.

 

v) Adik beradik perempuan seibu sebapa terhalang daripada mendapat pusaka dengan wujudnya furc waris lelaki walaupun ada barsamanya 'asabah. Begitu juga mereka terhalang dengan adanya bapa si mati dan datuk.

 

Manakala kadar pusaka adik beradik perempuan sebapa adalah seperti berikut (Zaidan.1994.307) :

i) mendapat separuh dengan syarat :

 

- hanya dia seorang sahaja yang mewarisi harta peninggalan si mati

 

- tidak ada adik beradik lelaki sebapa yang menjadi 'asabah bersamanya

 

- tidak ada furc waris perempuan yang menjadi 'asabah bersamanya

 

- si mati tidak memiliki adik beradik perempuan seibu sebapa

 

- tidak ada sesiapa yang menghalangnya daripada menerima harta pusaka si mati.

 

ii) mendapat dua pertiga sekiranya bilangan adik beradik perempuan sebapa melebihi dua orang dan si mati tidak memiliki adik beradik perempuan kandung serta tidak terdapat adik lelaki sebapa yang menjadi 'asabah bersamanya dan tidak terhalang dengan wujudnya bapa.

 

ii) mendapat satu perenam berkongsi dengan adik beradik perempuan seibu ebapa sama ada dia seorang atau ramai yang mewarisi harta si mati. Keadaan ini berlaku sekiranya tiada 'asabah.

 

iv) tacsib dengan adik beradik lelaki sebapa sama ada seorang atau lebih dan sama ada perempuan tersebut seorang atau lebih, maka mereka mendapat pusaka sepenuhnya sekiranya si mati tidak meninggalkan waris lain atau mereka mendapat baki setelah waris si mati mengambil bahagian masing-masing. Harta yang diambil oleh adik beradik perempuan dan lelaki sebapa ini dibahagi dengan kadar dua nisbah satu.

 

v) tacsib bersama anak perempuan atau cucu perempuan si mati dan ke bawah,maka adik beradik perempuan sebapa mendapat baki harta yang telah diambil oleh anak perempuan dan cucu perempuan si mati.

 

vi) tidak layak mendapat pusaka kerana dihalang oleh dua orang adik beradik perempuan seibu sebapa si mati atau dihalang oleh bapa, datuk9 dan anak lelaki si mati. Adik beradik perempuan sebapa bagi si mati juga terhalang dengan adanya adik beradik perempuan dan lelaki seibu sebapa si mati.

 

 

4.4       KEADAAN DI MANA WANITA MENDAPAT SAMA ATAU LEBIH BAHAGIAN PUSAKA BERBANDING LELAKI

Dalam sesetengah keadaan, wanita boleh mendapat harta peninggalan si mati lebih daripada apa yang telah ditetapkan oleh syarak. Berikut adalah keadaan yang membolehkan wanita mendapat harta peninggalan lebih berbanding lelaki :

 

1.    Kedua ibubapa akan mendapat 1/6 sekiranya si mati mempunyai anak. Adik beradik seibu mendapat bahagian yang sama tidak kira lelaki atau perempuan.

 

2.    Melalui hibah. Menurut Kamus Dewan hibah bermaksud pemberian hak (harta) secara sukarela kepada orang lain dengan tujuan baik (2002.453). Seorang wanita boleh mendapat bahagian pusaka harta peninggalan si mati sebagaimana yang ditetapkan oleh al-Quran dan pada waktu yang sama dia juga boleh mendapat harta tersebut dengan cara hibah. Sebagai contoh seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan isteri, ayah, seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Sebelum meninggal lelaki tersebut telah menghadiahkan beberapa hartanya kepada anak perempuannya. Dalam keadan ini anak perempuan tersebut bukan sahaja mendapat bahagian pusaka dengan cara tacsib (berkongsi) dengan adik beradik lelaki tetapi dia juga berhak mengambil hibah yang telah diberikan si mati semasa hayatnya.

 

3.    Perempuan boleh mendapat lebih daripada bahagian pusaka yang telah ditetapkan melalui takharuj.

 

Takharuj bererti persetujuan oleh seorang pewaris atau kesemua pewaris untuk menarik diri daripada mengambil haknya dalam pusaka sebaliknya pewaris tersebut menerima sesuatu sebagai ganti, sama ada gantian tersebut diambil daripada peninggalan pusaka atau tidak. (Zaidan.1994.420). Dalam kata lain, pewaris menggugurkan haknya daripada mengambil harta pusaka. Telah diriwayatkan bahawa Abdul Rahman bin cAuf mempunyai empat orang isteri. Semasa beliau dalam keadaan sakit teruk (marad al-maut), beliau telah menceraikan salah seorang isterinya iaitu tamadir bint al-asbagh dan Abdul Rahman bin cAuf meninggal ketika tamadir dalam iddah. Maka dia layak menerima harta peninggalan Abdul Rahman sebanyak 1/8. dan tamadir setuju menerima 1/4 daripada 1/8 bahagiannya, lalu dikeluarkan 83 ribu dinar sebagai gantiannya (al-Syalabiyy.1978.366).

 

Berdasarkan konsep takharuj ini, wanita boleh mendapat harta pusaka lebih daripada apa yang ditetapkan oleh syarak.

 

 

Pengiktirafan wanita dan hak mereka mewarisi ini dirakamkan oleh dua buah hadis Rasulullah s.a.w yang kemungkinan berlaku pada waktu yang hampir sama, iaitu tidak lama selepas perang Uhud. Menurut satu riwayat, sebab turunnya ayat ini adalah kerana seorang Ansar yang bernama Aus bin Thabit al-Ansari telah meninggal dunia dan meninggalkan seorang isteri yang bernama Ummu Kahlah, tiga orang anak perempuan dan dua orang saudara lelaki yang bernama Suwaid dan ‘Arfajah. Ummu Kahlah telah melaporkan kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata,  

“ Ya Rasulullah! Aus bin Thabit telah meninggal dunia. Dia meninggalkan 3 orang anak perempuan dan seorang isteri iaitu saya. Saya tidak mempunyai suatu apa pun untuk mereka, padahal harta pusaka yang ditinggalkan boleh dikatakan banyak. Tetapi telah dikuasai oleh Suwaid dan ‘Arfajah. Sedikit pun mereka tidak memberikannya kepada kami sehinggakan anak-anak yang dalam jagaan saya itu tidak makan dan tidak minum ”

Rasulullah s.a.w telah memanggil keduanya dan bertanyakan hal tersebut. Mereka menjawab,  



“ Ya Rasulullah! Anak dia tidak tahu menunggang kuda, tidak berdaya menanggung beban dan tidak dapat menewaskan musuh. Kamilah yang berhak kepada pusaka, bukan dia. ”


Sebab-sebab turunnya ayat

“ Bagi orang laki-laki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan. ” (An-Nisa : 7)

 

Kemudian ayat tersebut diturunkan untuk menjelaskan bahawa bukan orang lelaki sahaja layak menerima harta pusaka, sebaliknya orang perempuan juga berhak menerima pusaka. Cuma yang berbeza samada banyak atau sedikit. Berbalik kepada peristiwa di atas, setelah mendengar jawapan mereka, Rasulullah s.a.w berkata,  

“ Janganlah kamu bahagikan harta Aus itu sedikitpun kerana sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian anak-anaknya dari peninggalannya, dan ini belum lagi diterangkan ”



Namun ayat tersebut belum lagi menerangkan secara jelas bahagian-bahagian pusaka yang layak diterima oleh wanita. Kemudian barulah ayat-ayat berikut diturunkan, yang menerangkan dengan panjang lebar tentang pembahagian harta pusaka. Al-Quran menyatakan: 

“Allah mensyari'atkan bagimu tentang (pembagian pusaka untuk) anak-anakmu. Iaitu : bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bahagikan mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan ...” (An-Nisa : 11)



Seterusnya Al-Quran menyatakan 

“ ...Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperoleh seperlapan dari harta yang kamu tinggalkan... (An-Nisa : 12)

 

 

 

 

Menurut satu lagi riwayat, antara sebab turunnya ayat di atas adalah mengenai isteri Sa’ad bin Rabi’. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir, katanya : isteri Sa’ad bin Rabi’ telah menemui Rasulullah s.a.w dan berkata, 

“Ya Rasulullah, ini adalah dua orang anak perempuan Sa’ad bin Rabi’. Bapa budak-budak ini telah mati syahid kerana ikut bertempur bersama tuan hamba di Uhud. Bapa saudara mereka berdua telah mengambil harta mereka sehingga tidak ada yang ditinggalkannya untuk mereka. Kedua-dua budak ini tidak dapat berkahwin kecuali mereka ada harta.” 


Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda “Allah akan memutuskan perkara ini.”

Selepas turunnya ayat mawarith, Rasulullah s.a.w. mengutus kepada bapa saudara mereka dan bersabda " Berikan dua-pertiga kepada kedua anak perempuan Sa`ad dan seperlapan kepada ibu mereka dan selebihnya untuk kamu”.


Keprihatinan Islam

Sehubungan dengan ini kita dapati Islam memberikan beberapa hak kepada wanita. Malah Al-Quran sendiri dengan jelas memberikan bahagian hak kepada wanita terutama anak perempuan, ibu dan isteri walaupun agak terbatas. Dalam kes di atas, lebihan daripada harta pusaka, setelah ditolak bahagian isteri dan dua orang anak perempuan, diberikan kepada saudara lelaki Sa`d bin Ar-Rabi`. Ini adalah kerana saudara lelaki merupakan ‘asabah’ (akan diterangkan dalam bahagian ‘asabah) yang menghabiskan lebihan harta pusaka.

Mungkin ada di antara pembaca yang terkejut kerana dalam kes tersebut bahagian saudara melebihi daripada bahagian isteri. Malah dalam keadaan tertentu bahagian saudara lelaki melebihi bahagian isteri sehingga tiga kali ganda. Sebagai contoh, katakan seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan seorang isteri, seorang anak perempuan dan seorang saudara lelaki. Dalam keadaan ini, merujuk kepada ayat 11 dan 12 Surah An-Nisa, isteri akan mendapat satu perlapan, seorang anak perempuan setengah dan selebihnya, iaitu tiga perlapan adalah bahagian saudara lelaki.

Kesaksamaan

Sebaliknya apa yang berlaku di zaman moden ini ialah sistem kekeluargaan telah menjadi kucar kacir kerana sesetengah wanita menuntut hak yang sama dengan lelaki tetapi mereka ingin mengekalkan tanggungjawab yang sedikit. Sebagai contoh seorang wanita Muslim inginkan hak untuk bekerja, meninggalkan rumah dan mendapatkan gaji tetapi mereka menuntut agar suami menanggung semua perbelanjaan rumah dan menyara anak-anak sehinggakan kadang-kadang sang suami terpaksa menanggung hutang yang banyak sedangkan sang isteri dapat menyimpan wang dan membeli perhiasan yang mahal.

Begitu juga dengan sesetengah pihak lelaki; mereka mahukan bahagian dua kali ganda saudara perempuan mereka tetapi menyerahkan kepada saudara perempuan untuk menjaga ibu tua yang telah kematian suami. Keporakperandaan sesuatu keluarga ini terjadi kerana berpunca daripada sikap cintakan dunia dan kebendaan dan tidak mempunyai keyakinan kepada ketetapan dan peraturan yang Allah telah berikan melalui Al-Quran dan As-Sunnah.

Sesetengah pihak menyarankan agar sistem kekeluargaan dan sistem perwarisan dirombak untuk menyesuaikan dengan zaman moden dengan mencadangkan agar bahagian lelaki diberikan sama banyak dengan bahagian wanita. Mereka seterusnya mencadangkan juga agar wanita (isteri) hendaklah bertanggungjawab dalam memberi nafkah anak-anak dan menyediakan perbelanjaan isirumah serta lain-lain perbelanjaan termasuk pendidikan anak-anak.

Malah inilah yang telah berlaku di barat. Sehubungan dengan ini, amatlah wajar bagi setiap orang menyedari bahawa Allah lebih mengetahui tentang perkara yang berkaitan dan sebijak mana pun manusia mereka tidak dapat menandingi ilmu Allah. Berhubung dengan harta pusaka, Al-Quran menyatakan :

“ ....Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi MahaBijaksana” (An-Nisa : 11). Seterusnya Al-Quran menyatakan, “....(Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syari'at yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi MahaPenyantun” (An-Nisa : 12).

 

Teliti

Perlu diingatkan bahawa Al-Quran bukan sahaja menyatakan dengan jelas hak wanita yang terdekat iaitu ibu, isteri dan anak perempuan, tetapi juga menyatakan bahagian-bahagian untuk kaum wanita yang lain iaitu saudara perempuan. Al-Quran juga memperuntukkan hak saudara-saudara perempuan dalam keadaan-keadaan tertentu; sebagai contoh, jika simati tidak mempunyai anak. Sehubungan dengan ini Al-Quran menyatakan :

“Mereka meminta fatwa kepadamu tentang kalalah. Katakanlah :"Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalalah (iaitu) : jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang laki-laki mempusakai (seluruh harta saudara perempuan), jika ia tidak mempunyai anak; tetapi jika saudara perempuan itu dua orang,maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh yang meninggal. Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri dari) saudara-saudara laki dan perempuan, maka bahagian seorang saudaralaki-laki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu” (An-Nisa : 176)

 

 

Ayat ini menunjukkan kepada kita seolah-olah saudara perempuan mengambil tempat anak perempuan jika simati tidak mempunyai anak perempuan. Walaubagaimanapun, para ulama kita menyatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan “saudara lelaki” dan “saudara perempuan” ialah saudara sekandung; iaitu saudara seibu sebapa. Jika tiada saudara kandung, ianya diertikan kepada saudara sebapa. Ayat tersebut tidak berlaku kepada saudara (lelaki atau perempuan) seibu kerana hak-hak saudara perempuan seibu sebapa telah dinyatakan dalam ayat 12 Surah An-Nisa :  

“..........Jika seseorang mati, baik laki-laki maupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara laki-laki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris). .......” (An-Nisa : 12)

 

Berdasarkan jadual ini, selain daripada dua golongan waris yang dikecualikan sebagaimana dinyatakan, kesemua mereka adalah tertakluk kepada formula “waris lelaki mendapat dua bahagian waris wanita”. Bagi tujuan memudahkan penelitian formula ini, berikut ialah jadual ringkas nisbah pembahagian hak pusaka waris lelaki dan wanita.

Jenis Waris

Bhgn. Lelaki (2)

Bhgn. Wanita (1)

Keadaan

Suami/isteri

1/2

 

1/4

 

Tiada anak

 

 

1/4

1/8

Adaanak

Datuk/nenek

1/3

1/6

Lebih daripada 2 orang saudara

Anak Lelaki/perempuan

Asabah (1)

1/2

Seorang

Saudara kandung atau sebapa/seibu

2/3

1/3

Lebih daripada 2 orang

Ummariyatān

1/2

1/4

AdaIsteri

(Bapa/ibu)

1/3

1/6

Adasuami

 

Berasaskan konsep yang tidak mutlak ini, juga telah timbulnya persoalan di dalam masalah ‘Ummariyyatān iaitu apakah asas yang dipegang oleh mereka yang memberikan bahagian bapa mengatasi ibu dalam nisbah 2:1, sedangkan terdapatnya keadaan ibu mendapat bahagian yang sama banyak dengan bapa. Justeru, kewujudan nas yang memberikan bahagian yang sama rata menunjukkan mereka dalam keadaan yang tertentu boleh berada pada satu tahap yang sama dan keutamaan bapa ke atas ibu bukanlah mutlak. Tambahan pula tiada nas yang menyatakan bapa sentiasa mengatasi ibu dan sebaliknya.  Kewujudan zahir nas Syarak yang menyatakan ibu berhak mendapat 1/3 daripada pusaka berbanding bapa yang menerima ‘asabah menunjukkan ibu boleh mengatasi bahagian pusaka bapa atau dengan kata lain, waris perempuan dalam sesetengah keadaan boleh mengatasi waris lelaki. Jelaslah bahawa wanita mendapat hak keistimewaan dalam Islam. Hak pusaka wanita diiktiraf secara tersurat dan terjamin melalui bahagian fardu. Terdapat 8 daripada 11 waris yang menerima secara fardu adalah wanita sedangkan kebanyakan waris lelaki adalah penerima ‘asabah.

 

Kelebihan penerima  fardu adalah waris akan tetap mewarisi sedangkan penerima ‘asabah mewarisi daripada baki harta dan kemungkinan mereka tidak sempat mewarisi kerana harta pusaka telah habis dibahagikan. Pun begitu, dalam sesetengah keadaan wanita juga akan menerima bahagian pusaka secara ‘asabah iaitu mereka akan mewarisi bersama-sama dengan waris lelaki yang setaraf melalui ‘asabah bighairihi dan mewarisi dalam sesetengah keadaan mewarisi bersama waris wanita lain melalui ‘asabah ma’a ghairihi. Bentuk dan kaedah pewarisan wanita ini menunjukkan kecaknaan Islam kepada wanita khususnya bagi menjamin kebajikan dan masa depan mereka berbanding waris lelaki yang lain. Berikut ialah rajah yang menunjukkan waris-waris dari kalangan wanita dan lelaki mengikut keutamaan;

 

Jaminan Islam kepada Hak Pusaka Wanita

 

Perlu diketahui, hak pusaka dan pemilikan ke atas harta diberikan Islam kepada wanita lebih awal daripada apa yang berlaku di Barat. Berdasarkan the Encyclopaedia Americana, Undang-undang Common law Inggeris yang awal memperuntukkan bahawa kesemua harta yang dimiliki oleh seseorang wanita sebelum berkahwin akan bertukar menjadi harta suami setelah mereka berkahwin. Suami mempunyai hak ke atas hasil sewaan ke atas hartanah milik isterinya dan segala manfaat yang diperolehi daripadanya. Di Eropah, hanya sekitar tahun 1870-an barulah undang-undang ini mula dipinda dan wanita dibenar memiliki harta sama ada secara pusaka, wasiat atau kontrak. Perancis pula sehingga tahun 1938 baru meminda undang-undang lama ini. Sedangkan Islam telah mempunyai undang-undang dan perakuan khusus bahawa wanita mempunyai hak kehartaan sejak kedatangan Islam lagi kira-kira tahun 670M.

 

 

 

 

 

Pada zaman moden dan serba maju kini, Islam telah diserang dengan ideologi dan prinsip songsang seperti gerakan emansipasi wanita yang menuntut hak yang sama rata di antara lelaki dan wanita. Dalam hal ini, hukum pusaka Islam telah diserang apabila memberi wanita pusaka yang kurang daripada lelaki. Alasan mereka wanita sudah maju dan mampu berdiri sama tinggi serta duduk sama rendah dengan lelaki. Oleh itu, golongan-golongan feminisme ini mendakwa hukum Islam tidak adil iaitu berat sebelah. Perlu diketahui bahawa keadilan dalam Islam adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya, bukan bermaksud sama rata atau beri sama banyak. Justeru, walaupun wanita menerima pusaka kurang dari lelaki tetapi hakikatnya harta pusaka yang diterima itu akan menjadi hak milik peibadi seseorang wanita sepenuhnya. Mereka tidak perlu menyerahkannya kepada suami atau anak-anaknya, sedangkan lelaki menerima pusaka bukan hanya untuk dirinya tetapi juga perlu menggunakan harta tersebut sebagai nafkah untuk isteri dan anak-anaknya. Ini menunjukkan hikmah yang terlepas pandangan oleh mereka yang berfahaman sekular yang cuba memburukkan Islam. Padahal Islam mempunyai sistem yang utuh dan tersusun yang sukar diketahui bagi mereka yang berfikiran cetek dan dangkal. Dalam hal ini orang Islam tidak menentukan sendiri hak-hak kemanusiaan mereka tetapi semuanya diketahui melalui petunjuk Allah dalam Al-Qur’an dan Hadis. Sesungguhnya hak dari Allah yang paling tepat, yang akan mendatangkan kebaikan bagi individu dan masyarakat dalam kehidupan dunia. Allah SWT ada berfirman dalam ayat 216 surah al-Baqarah yang bermaksud : “(Dan) mungkin kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan mungkin kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui”.

 

Tiada ulasan: