DONATE

Memaparkan catatan dengan label Sirah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sirah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Papar semua catatan

Rabu, 13 Mei 2009

ULASAN RINGKAS MENGENAI KEKALAHAN MUSLIMIN PADA PEPERANGAN UHUD


1.0 Pendahuluan

Peristiwa kekalahan umat Islam di dalam Peperangan Uhud telah memberi banyak hikmah dan pengajaran kepada diri kita. Hal ini disebabkan pelbagai faktor kekalahan yang berlaku akibat kecuaian umat Islam sendiri. Walau bagaimanapun, peperangan ini telah menjadi suatu iktibar pada zaman Rasulullah S.A.W hinggalah kini di mana pengajarannya dapat diinterpretasikan di dalam kehidupan seharian.

Sebenarnya melalui kesukaran menghadapi kekalahan umat Islam di dalam peperangan uhud telah memberi inspirasi semangat kepada umat Islam yang terdahulu untuk bangkit memperbaiki kelemahan dari segi akidah, akhlak, ketenteraan, dan lain-lain lagi. Hal ini di mana melalui pengislahan dan muhasabah yang dilakukan oleh sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W bersama baginda memberikan impak positif kepada pembangunan dakwah Islam. Penulis akan cuba memberi ulasan tragedi kekalahan Perang Uhud sebagai renungan kita bersama.

2.0 Sejarah Kekalahan Umat Islam di dalam Peperangan Uhud

Menurut penulisan Ibnu Hisyam di dalam kitabnya “Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam” telah menyatakan bahawa Ibnu Ishaq berkata bahawa hadis tentang Perang Uhud ialah seperti dikatakan oleh Muhammad bin Muslim Az-Zuhri, Muhammad bin Yahya bin Hibban, Ashim bin Umar bin Qatadah, Al-Hushain bin Abdurrahman dan ulama-ulama lain menceritakan tentang Perang Uhud. Para ulama tersebut atau salah seorang dari mereka berkata, “Setelah orang-orang kafir Quraisy menderita kekalahan di Perang Badar, tokoh-tokoh mereka yang masih hidup pulang ke Makkah, dan Abu Sufyan bin Harb tiba di Makkah dengan kafilah dagangnya, maka Abdullah bin Abu Rabi’ah, Ikrimah bin Abu Jahal, dan Shafwan bin Umaiyyah berjalan bersama orang-orang Quraisy yang kehilangan ayah, anak, saudara di Perang Badar menemui Abu Sufyan bin Harb dan berkata kepadanya serta kepada para pedagang Quraisy yang ikut bersamanya :

“Hai orang-orang Quraisy, sesungguhnya Muhammad telah membunuh orang-orang terbaik kalian dan membinasakan orang-orang pilihan kalian. Oleh kerana itu, bantulah kami dengan kekayaan kalian untuk memeranginya. Mudah-mudahan kami boleh membalas dendam atas kematian orang-orang kita!”
Abu Sufyan bin Harb dan para pedagang Quraisy mengabulkan permintaan Abdullah bin Rabi’ah dan kawan-kawan. ”

Ibnu Ishak berkata, “Sebahagian ulama berkata kepadaku tentang Abu Sufyan bin Harb dan kawan-kawan, Allah Ta’ala menurunkan firman-Nya berikut:

Maksudnya:

Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.

Menurut Ibnu Hisyam lagi menyatakan bahawa Ibnu Ishak berkata, “Ketika Abu Sufyan bin Harb dan pedagang-pedagang Quraisy lainnya setuju memberi bantuan wang, maka orang-orang Quraisy sepakat memerangi Rasulullah S.A.W dengan ahabisy dan kabilah-kabilah yang patuh kepada mereka seperti Kinanah dan orang-orang Tihamah. ” Ibnu Ishak berkata lagi bahawa Jubair bin Al-Muth’im memanggil budak suruhannya iaitu Wahsyi, seorang ahli melempar tombak ala Habasyah dan lemparannya jarang sekali meleset dari sasaran. Dan berkata kepadanya: “Berangkatlah engkau bersama orang-orang Quraisy. Jika engkau bisa membunuh Hamzah, bapa saudara Muhammad, sebagai balas dendam atas kematian bapa saudaraku,yakni Thu’aimah bin Adi, maka engkau menjadi merdeka. ”

Ibnu Ishaq berkata, “Orang-orang Quraisy berangkat dengan seluruh kekuatan, tokoh-tokoh, ahabisy, dan para pengikutnya iaitu orang-orang dari Bani Kinanah dan orang-orang Tihamah. Mereka juga menyertakan isteri-isteri mereka sebagai penjaga agar mereka tidak melarikan diri dari medan perang. Abu Sufyan bin Harb yang menjadi komandan perang berangkat bersama isterinya, Hindun binti Utbah. Ikrimah bin Abu Jahal berangkat bersama isterinya, Ummu Hakim binti Al-Harits bin Hisyam bin Al-Mughirah. Al-Harits bin Hisyam bin Al-Mughirah berangkat bersama isterinya, Fatimah binti Al-Walid bin Al-Mughirah. Shafwan bin Umayyah berangkat bersama isterinya, Barzah binti Mas’ud bin Amr bin Umair Ats-Tsaqafi yang tidak lain adalah ibu Abdullah bin Shafwan bin Umaiyyah (Ibnu Hisyam berkata, “Ada yang mengatakan Ruqayyah.”). Amr bin Al-Ash berangkat bersama isterinya, Barithah bin Munabbih bin Al-Hajjaj yang tidak lain adalah ibu Abdullah bin Amr bin Al-Ash. Talhah bin Abu Talhah (Abu Talhah ialah Abdullah bin Abdul Uzza bin Utsman bin Abduddaar) berangkat bersama isterinya Sulafah binti Sa’ad bin Syuhaid Al-Anshariyah. Sulafah adalah ibu anak-anak Talhah; Musafi’, Al-Julas, dan Kilab yang kesemuanya tewas bersama ayah mereka. Khunas binti Malik bin Al-Mudharib, salah satu isteri Malik bin Hisl, keluar bersama anaknya, Abu Aziz bin Umair. Khunas binti Malik adalah ibu Mush’ab bin Umair. Amrah binti Alqamah , salah seorang wanita Bani Al-Harits bin Abdu Manat bin Kinanah, juga ikut berangkat. Setiapkali Hindun binti Utbah berjalan melewati Wahsyi, ia berkata, ‘Hai Abu Dasamah, sembuhkanlah dan carilah kesembuhan!’ Nama kuniyah (panggilan) Wahsyi ialah Abu Dasamah. Orang-orang Quraisy berjalan hingga tiba di dua mata air di gunung Lembah Sabkhah dari saluran air tepi lembah dengan mengadap Madinah.

Ibnu Ishaq berkata, “Para sahabat yang menginginkan pertemuan dengan orang-orang Quraisy tetap berada di tempat Rasulullah S.A.W hingga baginda masuk rumah kemudian mengenakan baju besi. Hari itu adalah hari jumaat dan itu terjadi ketika baginda selesai solat. Pada hari itu, salah seorang daripada kaum Ansar, Malik bin Amr yang merupakan salah seorang dari Bani Najjar meninggal dunia. Kemudian Rasulullah S.A.W memandikannya. Setelah itu, beliau menemui para sahabat dan mereka semua menyesal. Mereka berkata, “Kita telah memaksa Rasulullah S.A.W untuk keluar dan itu tidak cepat kami lakukan.” Ketika Rasulullah S.A.W bertemu para sahabat, mereka berkata, “Wahai Rasulullah, kami telah memaksamu keluar dan itu tidak segera kami lakukan. Jika engkau mahu, silakanlah duduk kembali (tidak usah keluar dari Madinah), mudah-mudahan Allah memberi selawat kepadamu.” Rasulullah S.A.W bersabda, “Jika seorang Nabi telah mengenakan baju besi, ia tidak segera menanggalkannya, namun ia wajib berperang.” Kemudian Rasulullah S.A.W berangkat dengan seribu sahabat-sahabatnya.” Ibnu Hisyam berkata, “Rasulullah S.AW menunjuk Ibnu Ummi Maktum untuk menjadi imam sementara bagi kaum muslimin di Madinah.”

Ibnu Ishaq berkata, “Ketika Rasulullah S.A.W bersama para sahabat tiba di Asy-Syauth (daerah antara Madinah dengan Uhud), Abdullah bin Ubai bin Salul beserta sepertiga pengikutnya memisahkan diri dari Rasulullah S.A.W. Abdullah bin Ubai bin Salul berkata, “ Dia (Rasulullah S.A.W) menurut pendapat sahabat-sahabatnya dan tidak menuruti pendapatku. Hai manusia, untuk apa kita membunuh diri kita sendiri di tempat ini?” Setelah itu, Abdullah bin Ubai bin Salul pulang ke Madinah bersama para pengikutnya, iaitu orang-orang yang munafik dan orang-orang yang ragu-ragu. Mereka dikejar oleh Abdullah bin Amr bin Haram saudara Bani Salimah yang kemudiannya berkata kepada mereka, “Hai kaumku, saya ingatkan kalian kepada Allah, hendaklah kalian tidak menjatuhkan kaum kalian dan Nabi kalian ketika ia telah dekat dengan musuh.” Mereka berkata, “Jika kami tahu kalian akan diperangi, kami pasti tidak akan menyerahkan kalian, namun kami melihat perang tidak akan terjadi.”

Ibnu Ishaq berkata, “Rasulullah S.A.W terus berjalan hingga singgah di jalan menuju Gunung Uhud, tepatnya di lembah yang dekat dengan Gunung Uhud dan menghadapkan markasnya ke Uhud. Baginda berkata, “Janganlah salah seorang daripada kalian berperang hingga aku menyuruhnya berperang.” Orang-orang Quraisy menghentikan unta dan kuda mereka di tanaman di Ash-Shamghah berdekatan dengan laluan kaum muslimin. Ibnu Ishaq berkata lagi bahawa, “Rasulullah S.A.W bersiap-siap perang bersama 700 para sahabat dan melantik Abdullah bin Jubair yang merupakan saudara Bani Amr bin Auf sebagai komandan pasukan pemanah. Ketika itu, Abdullah bin Jubair diberi sepasang pakaian putih dan jumlah pasukan pemanah adalah 50 orang. Rasulullah S.A.W bersabda kepada Abdullah bin Jubair, “Lindungi kami dari pasukan berkuda orang-orang Quraisy dengan anak panah kalian. Mereka tidak akan datang ke tempat kita dari belakang kita. Jika kita menang atau kalah, hendaklah engkau tetap di kedudukanmu. Kita tidak akan didatangi dari belakangmu!” Rasulullah S.A.W merapatkan kedua baju besinya dan menyerahkan bendera perang kepada Mush’ab bin Umair saudara Bani Abdudaar.”

Ibnu Ishaq berkata, “Kemudian Allah Ta’ala telah menurunkan pertolongan kepada kaum muslimin dan menepati janji-Nya kepada mereka. Kerana-Nya kaum muslimin berhasil membunuh orang-orang musyrikin dengan pedang-pedang mereka hingga memaksa mereka membuka pertahanan. Kekalahan telah menimpa kaum musyrikin secara tidak terelak. ” Ibnu Ishaq berkata lagi bahawa Yahya bin Abbad bin Abdullah bin Az-Zubair berkata kepadaku daripada ayahnya, Abbad, dari Abdullah bin Az-Zubair daripada Az-Zubair yang berkata, “Demi Allah, aku lihat gelang kaki Hindun binti Utbah dan teman-temannya tercicir tanpa diambil sedikitpun, dan tiba-tiba pasukan pemanah pergi ke berek musuh ketika berjaya mematahkan pertahanan musuh. Mereka membiarkan kedudukan belakang mereka menjadi sasaran pasukan berkuda musuh. Akhirnya kita didatangi pasukan berkuda musuh dari belakang kita dan seorang penyeru berseru, ‘Sesungguhnya Muhammad telah terbunuh.’ Kita pun kalah dan musuh mengalahkan kita setelah sebelumnya kita berjaya mengalahkan para pemegang bendera mereka hingga daripada kita mendekati musuh. ”

3.0 Ulasan mengenai Tragedi Kekalahan Muslimin pada Peperangan Uhud

Peperangan Uhud ternyata memang sarat dengan iktibar dan pengajaran yang amat bernilai untuk kaum muslimin. Hal ini disebabkan terdapat banyak ayat Al-Quran yang diturunkan menceritakan tentang sekitar peristiwa tersebut. Bagi Rasulullah S.A.W sendiri, peperangan tersebut memberi kesan mendalam pada diri baginda sehinggakan ketika menjelang wafatnya sekalipun baginda masih sempat mengingati tragedi peperangan tersebut. Melalui peperangan tersebut jugalah yang menyebabkan Rasulullah S.A.W kehilangan bapa saudaranya iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib.

Sesungguhnya peperangan tersebut merupakan ujian berat bagi kaum muslimin untuk mengetahui sejauhmana kemurnian akidah dan kedalaman iman seseorang. Dengan ujian yang berat itulah akan dapat membezakan kemunafikan daripada keimanan. Pertempuran sebenarnya di dalam perang Uhud ini sudah bermula apabila Abdullah bin Ubai dan rakan-rakannya menyatakan untuk mengundurkan diri. Apa yang dilakukan oleh Abdullah bin Ubai amat hina di sisi Islam. Dia melakukan pengkhianatan terhadap Islam tatkala agama Allah benar-benar memerlukan pejuang bagi membela agama suci itu. Tatkala itu juga kaum muslimin harus menerima dugaan berat untuk menyingkirkan unsur-unsur kejahatan daripadanya. Adalah atas kebijaksanaan Allah Ta’ala apabila dugaan berat tersebut yang terjadi di dalam peperangan Uhud adalah sebagai penyaringan iman seseorang. Hal ini jelas di dalam firman Allah iaitu:

Maksudnya:

Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada seorang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan ia tetap menguji kamu) sehingga ia memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (beriman). dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara Yang ghaib akan tetapi Allah memilih dari Rasul-Nya sesiapa Yang dikehendakiNya (untuk memperlihatkan kepadanya perkara-perkara yang ghaib). oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; dan kamu beriman dan bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar.

Pada masa kini, adalah amat sukar bagi kita untuk mengenal siapa kawan dan siapa lawan kita apabila musuh sebenar kita sendiri menyembunyikan sifat sebenar dan menzahirkan kebaikan untuk mengaburkan perspektif kita terhadapnya. Hal ini jelas seperti bak kata pepatah “musuh di dalam selimut” yang mana amat sukar bagi kita untuk mengesan musuh sebenar kita yang berpura-pura baik dengan kita. Sesungguhnya dilema seperti ini biasa dilalui oleh sebahagian kita di dalam persahabatan contohnya di mana terdapat istilah “kawan makan kawan”. Istilah ini sememangnya amat dibenci oleh semua insan di muka bumi ini bahkan sifat mengkhianati persahabatan adalah amat hina di sisi Islam. Namun kebanyakan di antara kita pernah mengalami situasi ini bahkan ditipu oleh sahabat sendiri. Di dalam menghadapi karenah sahabat-sahabat yang tidak setiakawan ini, maka kita perlulah berhati-hati di dalam pergaulan dengan memohon kepada Allah agar memelihara diri kita daripada diperdaya oleh sahabat yang khianat. Di samping itu, kita juga mungkin boleh mengenal sifat-sifat sahabat yang bersifat kemunafikan ini dengan apa yang pernah dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W di dalam hadisnya iaitu:

Dari Abu Hurairah R.A, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Tanda orang munafik ada tiga: bila berbicara, ia berdusta; bila berjanji, ia mengingkari; dan bila diberi kepercayaan (amanah), ia khianat. ”

Selain itu juga, peperangan Uhud juga memberi iktibar kepada kaum muslimin agar tidak terpedaya dengan hal-hal keduniaan. Tatkala umat Islam mendapat kemenangan dengan mengalahkan tentera kafir Quraisy di perang Uhud, sebilangan pemanah yang berkedudukan di atas bukit Uhud terlalai dengan perintah Rasulullah S.A.W kerana ingin merampas harta ghanimah musuh sehinggakan meninggalkan posisi mereka. Kesilapan ini telah diambil kesempatan oleh tentera musuh untuk menyerang kaum muslimin dari belakang yang telah menyebabkan kekalahan teruk. Allah Ta’ala telah menegur kesilapan kaum muslimin di dalam firman-Nya:

Maksudnya:

Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjinya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izin-Nya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan Sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurniaNya). dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurnia-Nya kepada orang-orang yang beriman.

Iktibar yang boleh diambil oleh diri kita pada masa kini di dalam menghadapi kehidupan yang penuh dengan pancaroba, semestinya banyak dengan dugaan keduniaan. Dugaan dunia yang kita hadapi adalah terdiri daripada tamakkan harta, pangkat, dan juga wanita. Tatkala diri dipenuhi dengan hawa nafsu, sudah pastinya diri akan jauh daripada petunjuk Allah. Oleh disebabkan itu, kita perlu berusaha meningkatkan ketaqwaan kepada Allah dengan memohon agar dijauhkan daripada sifat hubb Al-dunya (cintakan dunia) yang mana ia merupakan salah satu sifat mazmumah. Bukanlah di sini beerti, perkara keduniaan diketepikan secara mutlak. Namun keseimbangan hal dunia dengan hal akhirat (dengan sifat wasathiah) amat diperlukan bagi seseorang muslim pada masa kini di dalam menghadapi kehidupan harian. Hal ini diperkuatkan dengan hadis Rasulullah S.A.W diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A iaitu:

“ Bagiku berada di dunia ini ibarat seorang yang berjalan di tengah panas lalu singgah sebentar berteduh di bawah sepohon kayu yang rendang, selepas beristirehat barang seketika untuk menghilangkan penat, maka beredarlah dia meninggalkan pohon rendang itu dan meneruskan perjalanan ”

Pengajaran yang boleh kita ambil daripada tragedi peperangan Uhud juga ialah adalah perlu bagi kita mentaati arahan ketua tatkala menghadapi sesuatu perkara ataupun di dalam melakukan suatu gerak kerja. Di dalam peperangan Uhud telah menunjukkan teladan kepada kita bahawa pemanah-pemanah yang diamanahkan oleh Rasulullah S.A.W menjaga bukit Uhud tidak mematuhi arahan baginda S.A.W. Pada ketika lalainya mereka terhadap pesanan baginda telah menyebabkan pertahanan benteng muslimin menjadi rapuh yang memberi kesan kepada kekalahan umat Islam.

Iktibar yang boleh kita ambil untuk direalisasikan di dalam kehidupan masa kini ialah amat perlu bagi kita mentaati pemerintah selagi pemerintah itu tidak zalim dan tidak melakukan perkara maksiat. Allah telah memerintahkan kepada kaum muslimin untuk taat kepada penguasanya dengan syarat, selama mana penguasa tersebut tidak menampakkan kekafiran yang nyata. Firman Allah di dalam Al-Quran:

Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Allah juga memerintahkan agar kita bersabar menghadapi kezaliman mereka dan tetap berjalan di atas sunnah. Karena barangsiapa yang memisahkan diri dari jamaah dan memberontak kepada penguasanya maka matinya mati jahiliyyah . Dari Ibnu Abbas , dia berkata: Rasulullah bersabda:

“Barangsiapa yang melihat sesuatu yang tidak dia sukai dari penguasanya, maka bersabarlah! Karena barangsiapa yang memisahkan diri dari jamaah sejengkal saja, maka ia akan mati dalam keadaan mati jahiliyyah. ”

Di samping itu juga, terdapat pengajaran daripada peperangan Uhud ini kepada kaum muslimin iaitu peristiwa ini mengajar kaum muslimin agar tidak patah semangat dan hancur cita-cita dengan hanya mendengar khabar angin yang menyatakan Rasulullah S.A.W telah gugur di medan perang di mana disebarkan oleh orang-orang yang tidak tahu keadaan sebenar. Allah Ta’ala mencela orang-orang yang patah hati kerana mendengar khabar angin berkenaan kerana sikap tersebut tidak harus ada pada para pemilik akidah yang hak. Hal ini disebabkan seseorang muslim menganut Islam kerana akidah, bukannya mengikuti orang-orang tertentu. Allah memberi pengajaran kepada kaum muslimin tentang tragedi peperangan Uhud ini melalui ayat Al-Quran iaitu:

Maksudnya:

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa Yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).
Iktibar yang boleh kita boleh ambil di dalam pengajaran tersebut ialah perlu bagi kita agar tidak cepat mempercayai khabar cerita yang diperhebohkan oleh masyarakat sehinggalah kita dapati buktinya, maka barulah kita mempercayai berita tersebut. Sesungguhnya di dalam era kemajuan dan kecanggihan dunia tanpa sempadan yang direalisasikan melalui media massa seperti televisyen, radio, sistem pesanan ringkas, laman blog, dan lain-lain semestinya mengandungi banyak penyebaran khabar angin. Maka kita perlu hadapi segala pendedahan ini dengan mencari bukti bahawa berita-berita yang disampaikan adalah sahih dan tepat. Jika mendapati khabar yang didedahkan oleh media massa tidak benar, maka perlulah tidak mempercayainya.

4.0 Kesimpulan

Sesungguhnya melalui peristiwa tragedi kekalahan kaum muslimin di dalam peperangan uhud sedikit sebanyak memberikan pengajaran kepada kita untuk memperbaiki kesilapan hidup kita. Manusia tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan. Oleh disebakan itu Allah telah memberi ujian kepada kaum muslimin agar lebih berhati-hati di dalam menjalankan dakwah Islam supaya tidak lalai mentaati Allah dan Rasul-Nya.

Penulis berharap agar ulasan ini dijadikan iktibar kepada umat Islam di dalam menjalani kehidupan seharian. Melalui iktibar kisah perjuangan Rasulullah S.A.W dan para sahabat-sahabatnya di dalam memperjuangkan agama Allah patut kita contohi dari segi ketabahan dan kesukaran mereka menghadapi kekalahan perang Uhud dan kebangkitan semangat mereka semula dalam menyebarkan syiar Islam. Semoga penulisan ini memberi manfaat kepada umat Islam. Wallahu a’lam.

5.0 Rujukan

Al-Quran Al-Karim
Ibnu Hisyam, Abu Muhammad Abdul Malik bin Hisyam Al-Muafiri. 2001. Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam. Jilid 2. Penerbitan Darul Falah: Jakarta.
Muhammad Al-Ghazali. 1992. Terjemah Fiqhus Sirah. Penerbitan Asy-Syifa’: Semarang.
Ibnu Kathir, Abi Fida’ Ismail bin Kathir. 774 h . Sirah An-Nabawiyah. Matba’ah Isa Al-Babi Al-Halbi Wasyurkah : Kaherah.

Khamis, 17 Julai 2008

Bulan Rejab Bulan berlakunya Isra' mi'raj



1.0 PENDAHULUAN

Peristiwa Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam merupakan peristiwa besar yang menjadi ingatan setiap tahun oleh umat Islam menghayatinya. Peristiwa yang berlaku kepada baginda ini wajib dipercayai tanpa ada keraguan kerana mempercayai baginda Sallallahu alaihi wasallam adalah termasuk di dalam rukun iman. Menurut pendapat Mohd. Shauki Abdul Majid, peristiwa ini berlaku pada ketika Nabi berusia 53 tahun iaitu satu tahun lima bulan sebelum menjelang hijrahnya ke Madinah . Ia terjadi dalam usaha Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam mempersiapkan diri untuk mengembangkan risalah Islam yang begitu mencabar khususnya dalam menghadapi masyarakat Madinah, bukan hanya dari segi agama tapi juga dari segi etnik.

Peristiwa Isra’dan Mi’raj Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha pada 27 Rejab tahun kesepuluh selepas kenabian baginda Sallallahu alaihi wasallam , berlaku dalam waktu yang amat cepat dan ia merupakan satu peristiwa yang mengundang reaksi hebat dari kalangan orang kafir Quraisy ketika itu. Pelbagai tohmahan dilemparkan ke atas Nabi Sallallahu alaihi wasallam sehingga mencapai peringkat mengatakan nabi sebagai orang gila. Namun Allah telah memuliakan baginda dengan peristiwa tersebut. Perkara tersebut akan kita bincangkan dengan lebih teliti mengikut rentetan peristiwa berdasarkan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam. Semoga kita mendapat manfaat daripada implikasi peristiwa ini.


2.0 Pengenalan Peristiwa Mu’jizat Isra’ dan Mi’raj

Menurut Hassan Ali Nadwi Al-Husaini, Isra’ ialah perjalanan Nabi Sallallahu alaihi wasallam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis . Mi’raj pula ialah kenaikan Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam menembus lapisan langit tertinggi sampai batas yang tidak dapat dijangkau oleh ilmu semua makhluk untuk melawat alam langit untuk menyaksikan tanda-tanda kebesaran Allah Ta’ala dan menemui para Nabi. Firman Allah:
“…Tidak berpaling matanya dan tidak pula ia melewati batas. Sesungguhnya ia telah lihat sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang hebat… ”

Semua itu ditempuh dalam masa sehari semalam. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj merupakan jemputan terhormat dari Allah kepada Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam untuk menghiburkan hati baginda yang begitu sedih kerana tentangan dan penghinaan yang menyayat hati yang dihadapinya di Taif. Kesahihan peristiwa itu dibuktikan dengan wujudnya nas Al-Quran dan hadis. Firman Allah Ta’ala dalam surah Al-Isra’ iaitu:
“…Maha suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui…”

Terjadi silang pendapat tentang terjadinya mu’jizat ini. Apakah pada tahun kesepuluh kenabian atau sesudahnya. Menurut riwayat Ibnu Sa’d di dalam Thabaqat Al-Kubra-nya, peristiwa ini terjadi pada lapan belas bulan sebelum hijrah . Jumhur kaum Muslim atau Jumhur ahli Sunnah Wal Jama’ah telah sepakat bahawa perjalanan ini dilakukan Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam dengan jasad dan ruh. Menurut Hassan Ali Nadwi Al-Husaini, bukti yang menyatakan bahawa Nabi Sallallahu alaihi wasallam menjalani peristiwa Isra’ dan Mi’raj dengan jasad dan ruh ialah ketika Nabi Sallallahu alaihi wasallam memberitahu kepada kaum Quraisy tentang peristiwa yang dialaminya, terdapat di kalangan orang-orang Islam berasa sangsi sehingga ada di antara mereka yang murtad. Menurut Hassan Ali An-Nadwi mengatakan bahawa seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibnu Kathir iaitu kalaulah perjalanan Isra’ itu hanya dengan ruh sahaja atau dengan mimpi, sudah tentu tidak menjadi perkara ganjil kepada mereka kerana ia adalah perkara biasa manusia boleh melihat perkara-perkara ganjil yang tidak boleh berlaku dalam mimpi. Oleh sebab itu, ia merupakan salah satu mu’jizatnya yang mengagumkan yang telah dikurniakan Allah kepadanya .

Menurut Said Ramadhan Al-Buthiy,beliau mengatakan bahawa kisah perjalanan ini telah disebutkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim secara lengkap di dalam sahih Bukhari . Diriwayatkan bahawa dalam perjalanan ini Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam menunggang buraq . Disebutkan pula bahawa Nabi Sallallahu alaihi wasallam memasuki Masjidil Aqsa, lalu solat dua rakaat di dalamnya. Kemudian Malaikat Jibril datang kepadanya seraya membawa segelas khamar (arak) dan segelas susu. Lalu Nabi Sallallahu alaihi wasallam memilih susu. Setelah itu Jibril berkomentar dengan mengatakan “Engkau telah memilih fitrah”. Dalam perjalanan ini Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam naik ke langit pertama, kedua, ketiga, dan seterusnya sampai ke Sidratul Muntaha. Di sinilah kemudiannya Allah mewahyukan kepada Baginda Sallallahu alaihi wasallam apa yang telah diwahyukan seperti kewajipan solat lima waktu atas kaum muslim, di mana pada awalnya sebanyak lima puluh kali sehari semalam.

Keesokan harinya, Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam menyampaikan apa yang disaksikannya kepada kaum penduduk Makkah. Tetapi kaum Musyrikin mentertawakan dan mendustakan berita yang dibawa oleh baginda Sallallahu alaihi wasallam. Sehingga sebahagian mereka menentang Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam untuk membuktikan bagaimana gambaran Baitul Maqdis jika benar baginda telah pergi dan melakukan solat di dalamnya. Padahal ketika Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam menziarahi Baitul Maqdis, tidak pernah terlintas dalam fikiran baginda Sallallahu alaihi wasallam untuk menghafaz bentuk binaannya dan menghitung tiang-tiangnya. Namun Allah Maha Bijaksana memperlihatkan bentuknya dan gambaran Baitul Maqdis di hadapan Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam sehingga dengan mudah Baginda menjelaskan secara terperinci sebagaimana mereka minta.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda:
“…Ketika kaum Quraisy mendustakan aku, aku berdiri di Hijr (Isma’il), lalu Allah memperlihatkan Baitul Maqdis kepadaku. Kemudian aku khabarkan kepada mereka tentang tiang-tiangnya dari apa yang aku lihat…”.

Berita ini telah sampai kepada Abu Bakar oleh sebahagian kaum Musyrikin dengan harapan dia akan menolaknya. Akan tetapi, ternyata Abu Bakar menjawab:
“…Demi Allah, jika memang benar Muhammad yang mengatakannya, maka dia telah berkata benar, dan sesungguhnya aku akan membenarkannya lebih dari itu. Mengapa hal itu menghairankan kamu?… ”.

2.1 Perjalanan Isra’ dari Masjidil Haram Ke Masjidil Aqsa

Pada pagi hari dari malam Isra’ itu, Jibril datang kepada Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam mengajarkan cara solat dan menjelaskan waktu-waktunya. Sebelum disyari’atkan solat lima waktu, Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam melakukan solat dua rakaat di pagi hari dan dua rakaat di waktu petang sebagaimana dilakukan oleh Nabi Ibrahim ‘Alaihi Salam.

Menurut Muhammad bin Abdul Malik bin Hisyam berkata dengan membawakan pandangan Muhammad bin Ishaq Al-Mathlabi bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam melakukan isra’ dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa iaitu Baitul Maqdis ketika Islam telah tersebar luas di Makkah dan diseluruh kabilah-kabilah.
Menurut Ibnu Ishaq pula berkata bahawa hadis tentang isra’ Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam berasal daripada Abdullah bin Mas’ud, Abu Sa’id Al-Khudri, Aisyah binti Abu bakar, Muawiyyah bin Abu Sufian, Al-Hassan bin Al-hassan, Ibnu Syihab Az-zuhri, Qatadah, dan ulama’-ulama’ lainnya. Mereka semua meriwayatkan dari Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam tentang peristiwa isra’ yang baginda alami.

Daripada Abdullah bin Mas’ud berkata bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam dinaikkan ke atas buraq, iaitu haiwan yang mengangkut para nabi sebelum baginda. Buraq berjalan dengan kelajuan sejauh mata memandang dari setiap langkahnya. Baginda dinaikkan di atas buraq, kemudian baginda Sallallahu alaihi wasallam berjalan dengannya melihat tanda-tanda kebesaran Allah yang ada di langit dan bumi hingga perjalanan baginda terhenti di Baitul Maqdis. Di sana baginda Sallallahu alaihi wasallam bertemu dengan Ibrahim, Musa, dan Isa dalam kelompok para nabi yang sengaja dikumpulkan untuk bertemu baginda. Kemudian baginda bersolat bersama mereka. Setelah itu, tiga bejana didatangkan kepada baginda yang berisi susu, khamr (arak), dan air.
Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda:
“… Ketika bejana-bejana tersebut didatangkan kepadaku, aku mendengar seseorang berkata: “jika ia mengambil air, ia tenggelam dan tenggelam pula umatnya. Jika ia mengambil khamr (arak), ia mabuk dan mabuk pula umatnya. Jika ia mengambil susu, ia mendapatkan petunjuk dan umatnya juga mendapatkan petunjuk…”.


Lalu Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda:
“…kemudian aku mengambil bejana yang berisi susu dan meminumnya” Jibril berkata kepadaku: “Engkau telah mendapat petunjuk dan umatmu juga telah mendapat petunjuk, wahai Muhammad…” .

2.2 Peristiwa Mi’raj Dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha

Mengenai peristiwa mi’raj pula, Ibnu Hisyam membawakan pendapat Ibnu Ishaq yang mengatakan bahawa orang yang kejujurannya tidak Ibnu Ishaq ragui adalah riwayat dari Abu Sa’id Al-Khudri yang berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda:
“…Ketika aku telah menyelesaikan seluruh aktivitiku di Baitul Maqdis, aku melakukan mi’raj dan aku tidak pernah menyaksikan sesuatu yang lebih indah daripada peristiwa mi’raj. Mi’raj ialah sesuatu yang dilihat kedua mata salah seorang dari kamu semua ketika ia hendak meninggal dunia. Kemudian sahabatku (malaikat Jibril) membawaku naik ke mi’raj hingga perjalananku bersamanya tiba di salah satu pintu langit. Pintu langit tersebut bernama Al-Hafadzah. Pintu Al-Hafadzah dijaga oleh salah satu malaikat yang bernama Ismail yang membawahi dua belas ribu malaikat dan masing-masing di kalangan mereka juga terdapat dua belas ribu malaikat…”.
Ketika Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam menceritakan peristiwa mi’raj, baginda membacakan firman Allah Ta’ala :
“…Dan tidak ada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia sendiri…”
Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda lagi:
“…Ketika Jibril masuk bersamaku, malaikat Ismail bertanya, ‘Siapakah ini wahai Jibril?’. Malaikat Jibril menjawab, ‘Dia Muhammad’. Malaikat Ismail bertanya, “apakah dia telah diutus?” Malaikat Jibril menjawab, ‘Ya. Sudah.’ Malaikat Ismail mendoakan kebaikan untukku….”
Ibnu Hisyam juga menyatakan bahawa Ibnu Ishaq juga berkata bahawa ada sebahagian ulama’ berkata kepadanya dari orang yang berbual dengan Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda:
“…Para malaikat menyambut kedatanganku ketika aku telah memasuki langit bumi. Tidak satu pun malaikat melainkan ia tertawa dan memberi berita gembira. Ia berkata dengan baik dan mendoakan kebaikan hingga aku bertemu dengan salah satu dari malaikat, ia berkata seperti yang diperkatakan oleh para malaikat dan mendoakan untukku seperti doa para malaikat yang lain-lain. Cuma ia tidak ketawa dan aku tidak melihat berita gembira padanya seperti mana yang terlihat pada malaikat yang lain. Aku bertanya kepada malaikat Jibril, ‘Hai Malaikat Jibril, siapakah malaikat ini yang berkata seperti malaikat-malaikat lain namun ia tidak ketawa dan aku tidak melihat padanya berita gembira seperti yang aku lihat pada malaikat-malaikat lain?’ . Malaikat Jibril berkata kepadaku, ‘Jika ia tertawa kepada seseorang adalah sebelummu atau tertawa kepada orang lain sesudahmu, ia juga akan tertawa kepadamu, Cuma ia tidak akan ketawa di hadapanmu. Dialah malaikat penjaga neraka.’ Aku bertanya kepada Jibril tentang kedudukannya di sisi Allah seperti mana yang pernah dijelaskan Allah iaitu ‘Yang ditaati di sana (di alam malaikat) lagi dipercayai ’. ‘Kenapa engkau tidak memerintahkannya memperlihatkan neraka kepadaku?’ Malaikat Jibril berkata, ‘Ya.’ Kemudian Malaikat Jibril berkata, ‘Hai Malaikat perlihatkan neraka kepada Muhammad!’Lalu malaikat penjaga neraka pun membuka tabir neraka. Neraka tersebut mendidih dan meninggi hingga aku menduga bahawa neraka tersebut pasti akan mengambil apa saja. Aku berkata kepada Jibril, ‘Wahai Jibril, perintahkan malaikat tersebut mengembalikan neraka ke tempatnya semula.’ Malaikat Jibril pun memerintahkan kepada malaikat penjaga neraka itu dengan mengatakan kepadanya, ‘Padamkan neraka.’ Kemudian neraka kembali ke tempatnya semula. Proses pengembaliannya tidak lain seperti jatuhnya bayangan. Ketika ia telah masuk ke tempatnya semula, tabir dikembalikan semula kepadanya…. ”

Abu Sa’id Al-Khudri juga meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam telah melihat Nabi Adam Alaihis Salam ketika memasuki langit dunia. Baginda Sallallahu alaihi wasallam melihat Nabi Adam sedang duduk memerhatikan arwah anak keturunannya. Jika arwah tersebut dalam keadaan baik, maka Nabi Adam senang dengannya. Jika arwah itu dalam keadaan sebaliknya, maka baginda membencinya dan masam mukanya. Kemudian bertemu dengan Nabi Adam, Malaikat Jibril membawa Nabi Sallallahu alaihi wasallam naik ke langit kedua di mana baginda bertemu dengan Nabi Isa bin Maryam dan Nabi Yahya bin Zakaria. Pada langit ketiga pula baginda Sallallahu alaihi wasallam bertemu dengan Nabi Yusuf bin Ya’qub. Selepas itu, malaikat Jibril membawa baginda Sallallahu alaihi wasallam naik ke langit keempat. Pada langit keempat baginda Sallallahu alaihi wasallam bertemu dengan Nabi Idris . Kemudiaanya Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam membacakan ayat, Firman Allah:
‘…Dan Kami mengangkatnya ke tempat yang tinggi…’

Selepas bertemu dengan Nabi Idris, malaikat Jibril membawa baginda naik ke langit yang kelima. Di sana Nabi Sallallahu alaihi wasallam bertemu dengan Nabi Harun bin Imran yang kelihatan tampan memiliki janggut yang lebat memutih. Pada langit keenam pula, malaikat Jibril membawa baginda Sallallahu alaihi wasallam bertemu Nabi Musa bin Imran yang mempunyai rupa paras hidung yang mancung, badan yang tinggi, dan mempunyai kulit berwarna sawo matang. Kemudian itu malaikat Jibril membawa baginda naik ke langit yang ketujuh di mana baginda Sallallahu alaihi wasallam bertemu dengan Nabi Ibrahim yang kelihatan duduk di atas kursi sambil didatangi oleh tujuh puluh ribu malaikat di pintu Baitul Ma’mur .

Selepas Baginda Sallallahu alaihi wasallam bersma-sama Jibril naik ketujuh-tujuh langit tersebut, maka baginda seterusnya dibawa naik ke Sidratul Muntaha. Menurut Abdul Hadi Awang mengatakan bahawa pada malam bersejarah itu Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam juga telah menerima satu perintah yang sangat penting kepadanya dan umat Islam iaitu solat lima waktu yang diringankan oleh Allah daripada asalnya lima puluh solat di Sidratul Muntaha .

3.0 Implikasi daripada peristiwa Isra’ dan Mi’raj

Dari sudut sejarah, peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu dilihat sebagai suatu cubaan dari Allah Taala terhadap umat Islam dari sudut sejauh mana keimanan mereka terhadap Allah dan RasulNya. Menurut pendapat Imam As-Suyuti mengatakan bahawa peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu sedikit sebanyak telah menjejaskan keimanan sebahagian umat Islam terutamanya mereka yang masih lemah imannya.

Sesungguhnya memang tidak dinafikan bahawa peristiwa tersebut amat asing dan sukar diterima oleh akal fikiran. Al-Quran telah menyifatkannya sebagai suatu perkara yang kan menimbulkan fitnah kepada orang awam seperti ayat berkenaan melalui firman Allah Taala:
“…Dan tidaklah Kami jadikan pandangan (pada malam mi’raj) yang telah kami perlihatkan kepada kamu melainkan sebagai ujian bagi manusia…” .

Kecuali orang-orang yang mantap imannya seperti Abu Bakar sahaja yang mampu menilai dan memahami konsep ketuhanan yang melibatkan Qudrat dan Iradat Allah Taala. Beliau membenarkan apa perkhabaran berita daripada Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam. Oleh sebab itu, amat layak bagi beliau digelar As-Siddiq .

Hikmah-hikmah yang dapat dilihat melalui peristiwa Isra’ dan Mi’raj ialah ia meripakan kesempatan yang diberikan oleh Allah kepada para Nabi dan RasulNya untuk dapat menyaksikan beberapa kenyataan besar yang menandakan kekuasaan Allah terutama dalam perjuangan mereka menghadapi kekuatan kaum kafir yang berniat jahat untuk menghalang dakwah mereka.

Bukan itu saja, perjalanan isra’ Rasulullah ke Baitul Maqdis dan diangkat naik ke langit terselit beberapa rahsia dan hikmahnya. Antaranya ialah ia mempertandakan bahawa Baitul Maqdis bukanlah satu tempat biasa malahan ia merupakan tempat qudus dan suci di sisi Allah dan mempertandakan bahawa di sana tersemat satu pertalian yang erat kebangkitan Isa bin Maryam dengan risalah Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam. Peristiwa ini memberi suluhan cabaran kepada seluruh muslimin untuk membersihkan kembali kehormatan tanah suci dan mempertahankannya daripada genggaman tangan-tangan zionis.

Selain itu, hikmah daripada peristiwa Isra’ dan Mi’raj melambangkan ketinggian seseorang muslim, kerana semestinya seseorang muslim naik tinggi mengatasi segala kehendak dan keinginan dunia. Dengan itu, dia sekaligus berbeza dengan semua manusia lain disebabkan tinggi kedudukannya, tinggi cita-cita dan matlamatnya dengan akhlak yang unggul.

Implikasi terhadap penolakan atau keraguan akan peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu amat besar. Di antaranya ialah:

Pertama, ia boleh menjejaskan keimanan seseorang yang masih lemah imannya kerana percaya kepada Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam itu merupakan salah satu daripada Rukun Iman. Jadi apabila seseorang itu meragui berita yang disampaikan oleh Rasul, maka secara tidak langsung ia telah mencacatkan keyakinannya terhadap Rasul. Sedangkan segala apa yang disampaikan oleh Rasul itu adalah datangnya daripada Allah. Ini dapat dijelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah iaitu yang bermaksud:
“…Dan dia (Muhammad) tidak memperkatakan menurut kemahuan hawa nafsu. Segala yang diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya…” .

Kedua, penolakan terhadap peristiwa Mi’raj juga boleh menjejaskan status keislaman seseorang kerana ibadah solat yang menjadi salah satu daripada Rukun Islam adalah disyariatkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam pada malam tersebut. Ini bermakna peristiwa Mi’raj itu mempunyai pertalian yang begitu rapat dengan rukun Islam itu sendiri .

4.0 Kesimpulan

Sesungguhnya peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu merupakan salah satu mukjizat yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala kepada Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam. Dengan itu, peristiwa tidak boleh dirasionalkan dengan menggunakan akal fikiran kerana akal manusia tidak mampu untuk menilai kekuasaan Allah. Allah sengaja menguji mental umat Islam dengan peristiwa tersebut untuk menguji keimanan umat Islam terhadapNya dan RasulNya sehinggakan terdapat di kalangan segelintir orang Islam yang menafikan munasabahnya peristiwa itu. Mereka lupa bahawa itu dalah mukjizat Nabi Sallallahu alaihi wasallam.
Oleh yang demikian, apabila melihat keseluruhan peristiwa Isra’ dan Mi’raj, ia mempunyai mesej yang penting untuk direnungi oleh umat Islam. Hal ini disebabkan jika sekadar membaca sahaja tanpa merenungi pengajaran daripadanya, maka tidak akan timbul apa-apa faedahnya. Ini juga bersesuaian dengan saranan Al-Quran agar mengarahkan manusia sentiasa berfikir. Kita hendaklah ingat bahawa tidak ada satu pun yang mustahil bagi Allah melakukan sesuatu perkara. Jika Allah inginkan sesuatu, maka akan terjadilah ia.


5.0 Rujukan

Abdul Hadi Awang Muhammad. 2003. Fiqh Al-Harakah. jilid 1. Shah Alam.Dewan Pustaka Fajar.

Hassan Ali Nadwi Al-Husaini. 1997. Sirah Nabawiyyah. Selangor. Pustaka Reka Selangor.

Mohd. Shauki Abdul Majid. 1 September 2005 (27 Rejab 1426).Ulang tahun Mikraj Nabi ke S idratul Muntaha. Kuala Lumpur. Utusan Malaysia.

Muhammad bin Abdul Malik bin Hisyam. 2000. Fadhli Bahri. Sirah nabawiyyah Ibnu Hisyam. jilid 1. Jakarta . Penerbitan Darul Falah.

Muhammad bin Sa’ad bin Mani’ Al-Hasyimi Al-Basri. 1997. Tabaqat Al-kubra. jilid 1. Beirut. Penerbitan Darul Kotob Al-Ilmiyah

Muhammad bin Ismail Al-Bukhari. 1932. Sahih al-Bukhari. jilid 2. Kaherah. Matba’ah al-Uthmaniyyah Al-Misriyyah.

Mustafa As-Siba’ei. 2004. Perjalanan Hidup Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam Kajian dan Pengajian (Al-Sirah Al-Nabawiyyah). Alor Setar. Pustaka Darussalam.

Muhammad Said Ramadhan Al-Buthiy. 2003. Mohd Darus Sanawi. Fiqh Al-Sirah 1. jilid 1. Shah Alam. Dewan Pustaka Fajar.

Wan Kamal Mujani. 2002. Fiqh Sirah PY 1272. Ampang. Percetakan Asni Sdn Bhd.