DONATE

Isnin, 7 Julai 2014

HUKUMAN ALTERNATIF DARI PERSPEKTIF MAHKAMAH SYARIAH


Penulis: Mohd Nadzri bin Haji Abdul Rahman P.M.C (NSDK)
               HMTS WP Kuala Lumpur



1.    PENDAHULUAN

 

1.1.        Pertengahan tahun 2009 dahulu kita pernah dikejutkan dengan kes yang membabitkan Muhammad Syafiq  Abdul Wahab, seorang pemuda berusia 20 tahun yang pada mulanya telah dihukum 10 sebatan selepas mengaku bersalah merompak seorang pelajar menggunakan pisau. Akhbar The Star pada 26 Jun 2009 telah melaporkan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah menjatuhkan hukuman sebat ke atas Mohammad Syafiq di mana hukuman sebatan akan dijalankan oleh Hakim sendiri. Hukuman tersebut kemudiannya digantikan  dengan hukuman 200 jam khidmat masyarakat termasuk mencuci tandas serta membersihkan taman awam dan tapak pasar malam.[2]

 

1.2       Satu ketika juga sekitar 2008, kita dikejutkan juga dengan satu kes Syariah yang membabitkan Kartika Sari Dewi Sukarno yang diarah menjalani hukuman khidmat masyarakat di Rumah kanak-kanak Tengku Ampuan Fatimah di Alor Akar, Kuantan atas perkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bagi menggantikan hukuman enam sebatan atas kesalahan meminum arak.[3]

 

1.3       Terdahulu, Berita Harian pada 12 Julai 2007 melaporkan bahawa Timbalan menteri pada masa itu, Datuk Wira Abu Seman Yusop telah mengumumkan bahawa pesalah yang dikenakan hukuman penjara kurang daripada tiga bulan dibenar melaksanakan hukuman alternatif dengan melakukan kerja komuniti harian. Laporan berita tersebut mengulas bahawa langkah itu adalah tepat pada masanya kerana pasti memberikan kebaikan dalam pelbagai aspek. Manfaatnya antara lain dapat menyelamatkan wang rakyat daripada dibelanjakan membiayai banduan, mengurangkan kesesakan dalam penjara, mendekatkan pesalah kepada kerja kebajikan dan yang terpenting dapat mengelakkan pesalah terbabit daripada igauan trauma institusi penjara.[4] 

 

1.4       Isu hukuman alternatif bukanlah satu isu baru di negara kita. Perkara ini telah menjadi perbincangan utama ilmuan  dari pelbagai disiplin ilmu termasuklah dari kalangan  orang awam sejak dahulu. Di peringkat mahkamah sivil, perkara ini telah lama dilaksanakan. Sistem parol juga telah diperkenalkan sejak 2008 sebagai alternatif kepada hukuman penjara yang semakin sesak. Di Mahkamah Syariah, ia masih asing walau pun telah ada beberapa kes yang dilaksanakan.

 

1.5       Bagi tujuan Bengkel ini, kertas ini cuba mengupas sedikit sebanyak mengenai hukuman alternatif khususnya dari perspektif Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan).

 

 

2.            HUKUMAN DARI PERSPEKTIF SYARAK

 

2.1       Dalam sistem perundangan Islam, hukuman disebut sebagai 'uqubah, iaitu perkataan Arab yang  yang berasal dari kata akarnya  'aqb yang bermaksud ‘suatu perkara yang datang selepas yang lain’; ini kerana, hukuman menyusuli pelanggaran had yang ditetapkan oleh syariah. Inilah sebabnya kenapa Undang-undang Jenayah Islam dipanggil 'uqubah.[5]

 

            'Abd al-Qadir 'Awdah mendefinisikan 'uqubah sebagai ‘satu balasan yang ditetapkan oleh syarak ke atas mereka yang melanggar dan mengingkari perintah Allah dengan tujuan untuk menjaga kemaslahatan umum.’[6]

 

            Menurut Ibn Humam pula, hukuman atau 'uqubah ialah langkah pencegahan sebelum kesalahan dilakukan dan menjadi balasan selepas melakukannya. Kesan dari pengetahuan mengenai peruntukan undang-undang yang menghalang perlakuan jenayah dan jika jenayah telah dilakukan ada peruntukan yang akan mencegah penjenayah daripada mengulangi perbuatannya.

 

2.2       Dari takrifan-takrifan tersebut bolehlah dirumuskan bahawa segala bentuk hukuman yang dipraktikkan dianggap sebagai satu balasan dari Allah, yang ditetapkan melalui wahyu-Nya ke atas mereka yang melanggar segala perintah larangan dan meninggalkan segala suruhanNya dan ia mempunyai kaitan rapat dengan keseluruhan corak kehidupan agama Islam itu sendiri. Hukuman disyariatkan dengan tegas demi menjaga kepentingan kehidupan yang sempurna seperti yang dituntut oleh Islam, kehidupan manusia mesti diatur sesuai dengan fitrah manusia sendiri agar ia tidak malampaui batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak

 

 

3.            FALSAFAH HUKUMAN MENURUT PANDANGAN SYARAK

 

3.1         Secara umumnya, setiap perbuatan baik atau jahat pasti akan mendapat balasannya tersendiri sama ada balasan di dunia atau akhirat. Apa-apa kesalahan yang dilakukan bertentangan dengan hukum Syarak atau undang-undang yang digubal untuk mengawal selia kehidupan manusia yang selaras dengan hukum Syarak mempunyai bentuk hukumannya yang telah digariskan dalam Al-Quran dan sunnah sebagai panduan. Dalam ayat 7-8, surah al-Zalzalah Allah S.W.T. berfirman–[7]

`yJsù ö@yJ÷ètƒ tA$s)÷WÏB >o§sŒ #\øyz ¼çnttƒ ÇÐÈ   `tBur ö@yJ÷ètƒ tA$s)÷WÏB ;o§sŒ #vx© ¼çnttƒ ÇÑÈ  

‘maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya) dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)’

 

3.2         Menurut perspektif Islam, hukuman dalam Islam bertujuan untuk menimbulkan rasa keinsafan serta menguji keimanan, ketaatan dan penyerahan diri kepada Allah s.w.t. Ia berasaskan kepada prinsip-prinsip asas seperti yang berikut:[8]

 

(a)       berasaskan panduan Allah dan bukannya hasil pemikiran manusia manakala dalam kes-kes yang melibatkan hukuman ta’zir, budi bicara hakim masih tertakluk kepada panduan al-Quran dan sunnah untuk memastikan kesempurnaan dan keberkesanan hukuman;

 

(b)       berteraskan pemeliharaan lima aspek kehidupan iaitu menjaga agama, nyawa, akal fikiran, keturunan dan harta benda. Menurut Imam al-Ghazali, sesuatu yang termasuk dalam penjagaan kelima-lima aspek kehidupan ini dikatakan maslahah; dan

 

(c)        menggabungkan hukuman dunia dan hukuman akhirat. Islam tidak hanya bergantung kepada hukuman dunia semata-mata malah memberi penekanan terhadap hukuman akhirat iaitu dalam bentuk amaran yang lebih ketat.

 

4.    OBJEKTIF HUKUMAN TERHADAP PESALAH

 

4.1       Objektif sesuatu hukuman yang dikenakan ke atas pesalah antara lain adalah bertujuan untuk [9]

(a)  mengelakkan pesalah daripada mengulangi kesalahan;

(b)  memberikan pengajaran kepada orang lain supaya tidak melakukan kesalahan yang sama;

(c)  melindungi keselamatan dan kepentingan awam termasuk nyawa, akal, keturunan dan harta benda;

(d) memelihara maruah dan kedaulatan agama; dan

(e) memberikan hukuman yang setimpal di atas jenayah atau kesalahan yang dilakukan oleh seseorang pesalah.

 

5.            BIDANG KUASA HUKUMAN DI MAHKAMAH SYARIAH

 

5.1         Di Malaysia, mahkamah Syariah mempunyai  bidang kuasa bagi perkara-perkara tertentu yang berada di bawah bidang kuasa mal atau  bidang kuasa jenayah. Bidang kuasa tersebut termaktub dalam butiran 1, Senarai Kedua, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. 

 

5.2       Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 Seksyen 2 (Disemak-1988) [Akta 355] adalah terpakai kepada semua Mahkamah Syariah di negeri-negeri yang menghadkan kuasa tersebut. Seksyen 2 Akta 355 memperuntukkan:

 

Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis:

Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.”.

 
6.            HUKUMAN ALTERNATIF


6.1         Hukuman alternatif adalah termasuk di bawah kategori hukuman ta’zir. Hukuman alternatif adalah hukuman yang mengandungi unsur-unsur pemulihan selain daripada denda, sebatan dan penjara seperti kaunseling, kerja khidmat masyarakat, kelas fardhu ain, kelas pemantapan akidah dan program di masjid.[10] Hukuman alternatif juga didefinisikan sebagai satu perintah ke atas seorang pesalah untuk melakukan sesuatu, sama ada secara afirmatif atau peninggalan seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang.[11]

 

6.2       Hukuman alternatif adalah perlu kerana pelbagai manfaat dapat diperoleh daripada pelaksanaan hukuman ini. Ia tidak menjejaskan kehidupan pesalah dalam masyarakat apabila ia berfungsi sebagai alternatif kepada hukuman pemenjaraan. Selain itu, hukuman alternatif dalam bentuk perintah pemulihan juga memberi ruang kepada pesalah-pesalah untuk memperbaiki diri supaya menjadi warga yang patuh terhadap undang-undang dan hukum syarak. Ia juga merupakan suatu bentuk pendidikan kepada pesalah-pesalah supaya mereka dapat dibentuk menjadi insan yang berguna menerusi ilmu yang disampaikan dan pengalaman melakukan kerja kebajikan. Ia juga dapat meningkatkan fungsi masjid dan ahli kariah dalam proses pemulihan. Disamping itu, pesalah-pesalah juga boleh meneruskan kehidupan untuk bekerja bagi menyara diri serta keluarga dalam tempoh menjalani pemulihan yang telah ditetapkan oleh mahkamah. Ia juga dapat menjimatkan perbelanjaan yang terlibat dalam pelaksanaan hukuman pemenjaraan selain boleh menjadi penyelesaian kepada gejala sosial kerana terdedah kepada suasana pemulihan diri.[12]

 

6.3         Dalam perbincangan fiqh, hukuman alternatif dirujuk sebagai ‘uqubah badaliyyah iaitu hukuman ganti apabila hukuman asal tidak dapat dilaksanakan kerana tidak memenuhi elemen yang diperlukan untuk menjatuhkannya.[13] Misalnya apabila elemen-elemen yang dikehendakki untuk mengenakan hukuman hudud telah tidak dipenuhi (contoh wujud keraguan dalam kes zina atau pencuri yang bertangan kudung), maka sebagai gantinya, hukuman berbentuk ta’azir boleh dikenakan seperti penjara. Begitu juga dalam kes membabitkan hukuman qisas. Sebagai alternatif kepada qisas, diyat boleh dikenakan dalam kes sengaja apabila mangsa atau keluarganya memaafkan pesalah.[14]

 

6.4         Menurut, Dr Siti Zubaidah Ismail,[15] Dalam konteks Mahkamah Syariah, istilah hukuman alternatif boleh memberi pelbagai maksud, antaranya ialah:

(i)            alternatif  atau ganti kepada kegagalan membayar denda yang dikenakan, maka sebagai alternatif pesalah akan dipenjarakan; atau

(ii)          ganti hukuman lain yang difikirkan sesuai apabila membabitkan pesalah kali pertama dan juga pesalah juvana, tertakluk kepada bon jaminan yang dikeluarkan;

(iii)         pusat pemulihan akhlak atau pemulihan akidah di pusat bimbingan Islam sebagai ganti hukuman asal (setakat ini hanya wujud di Selangor).[16]

           
6.5       Dalam konteks semasa pula, di mahkamah sivil, hukuman alternatif ini dikaitkan dengan perintah khidmat masyarakat. Hukuman sebegini ditujukan kepada Pesalah Muda yang berumur 18 tahun ke atas dan dibawah umur 21 tahun yang mana perintah khidmat masyarakat itu  dikeluarkan oleh mahkamah. Jabatan Kebajikan Masyarakat  akan menentukan institusi yang sesuai  untuk mereka menjalani  khidmat masyarakat (membabitkan aktiviti pembersihan, perapian, pelayanan dan sebagainya) seperti rumah orang tua,  pusat pemulihan OKU, rumah kanak-kanak, rumah anak yatim dan lain-lain. Perintah Khidmat Masyarakat ini bertujuan untuk mencegah pesalah muda daripada mengulangi kesalahan jenayah pada masa hadapan, Elemen yang terkandung di dalam perintah khidmat masyarakat ini adalah:

(a)        Hukuman (punishment)- melalui pelucutan masa lapang pesalah dan memberikan suatu tanggungjawab ke atas mereka untuk dilaksanakan. Hukuman yang diberikan bukan mengikut keselesaan dan keperluan pesalah tetapi berdasarkan kesesuaian;

(b)          Pemulihan (rehabilitation)- dengan merangsang tanggungjawab sosial dan menjadikan program khidmat masyarakat sebagai suatu pengalaman berfaedah kepada pesalah muda;

(c)          Penginsafan (reparation)- dengan mewujudkan ruang bagi pesalah muda menjalani pemulihan akhlak dan menawarkan faedah nyata kepada masyarakat.[17]



7             HUKUMAN ALTERNATIF DI BAWAH UNDANG-UNDANG SYARIAH DI MALAYSIA

 

7.1       Kuasa Mahkamah Syariah untuk melaksanakan hukuman alternatif boleh didapati  dalam Akta/Enakmen Tatacara Jenayah Syariah  dan Enakmen/ Akta Kesalahan Jenayah Syariah di setiap negeri di Malaysia. Semua Negeri kecuali Kedah dan Perlis telah menerima dan menguatkuasakan Akta/Enakmen Tatacara  dan Kesalahan Jenayah Syariah di bawah model undang-undang seragam yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-raja. Di Wilayah persekutuan misalnya, rujukan dibuat kepada Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 560] dan Akta  Kesalahan Jenayah Syariah     (Wilayah-Wilayah persekutuan) 1997 [Akta 559]. Didapati ada tujuh ruang di mana hukuman alternatif boleh direalisasikan.

 

(a)          Pemenjaraan Sebagai Alternatif Kegagalan Membayar denda

 

Apabila seseorang pesalah dikenakan hukuman denda dan gagal atau enggan melunaskannya, maka mahkamah boleh, sebagai alternatif, mengarahkan agar pesalah tersebut dipenjarakan. Seksyen 122(1)(b)  Akta 560 menjelaskan tempoh pemenjaraan yang boleh dikenakan. Seksyen tersebut memperuntukkan:

 

(b)           tempoh yang baginya Mahkamah mengarahkan pesalah itu dipenjarakan kerana keingkaran membayar denda tidak boleh melebihi skala yang berikut:

 


(i)             jika kesalahan itu boleh dihukum dengan pemenjaraan –

Jika tempoh maksimum pemenjaraan -

Tempohnya tidak boleh melebihi -

tidak melebihi enam bulan

tempoh maksimum pemenjaraan

melebihi enam bulan tetapi tidak melebihi dua tahun

enam bulan

melebihi dua tahun

satu perempat daripada tempoh maksimum pemenjaraan

8      Jika kesalahan itu tidak boleh dihukum dengan pemenjaraan -

Jika denda itu-

Tempohnya tidak boleh melebihi

tidak melebihi dua ratus ringgit

satu bulan

melebihi dua ratus ringgit tetapi tidak melebihi lima ratus ringgit

dua bulan

melebihi lima ratus ringgit

enam bulan

 


            (c)        hukuman pemenjaraan yang dikenakan kerana keingkaran membayar denda hendaklah tamat bilamana denda itu sama ada dibayar atau dilevikan melalui proses undang-undang;

            (d)        jika, sebelum habis tempoh hukuman pemenjaraan yang ditetapkan kerana keingkaran membayar denda, apa-apa bahagian denda itu dibayar atau dilevikan sehinggakan tempoh pemenjaraan yang dijalani kerana keingkaran membayar denda itu adalah tidak kurang kadarnya berbanding bahagian denda yang masih tidak dibayar itu, maka hukuman penjara itu hendaklah ditamatkan;

            (e)        denda itu, atau mana-mana bahagiannya yang masih tidak dibayar, bolehlah dilevikan pada bila-bila masa dalam masa enam tahun selepas hukuman itu dijatuhkan, dan kematian pesalah itu hendaklah melepaskannya daripada denda itu.

(2) Waran untuk melevikan sesuatu denda boleh dilaksanakan di mana-mana tempat di Malaysia, tetapi jika ia dikehendaki dilaksanakan di luar Wilayah-Wilayah Persekutuan, ia hendaklah diendorskan bagi maksud itu oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah atau Hakim Mahkamah Rendah Syariah.

 

           (b)        Hukuman Terhadap Pesalah Muda

 
Hakim boleh memberikan pertimbangan yang khusus apabila melibatkan pesalah muda yang berusia di bawah 18 tahun. Anggapan umum ialah pesalah muda seelok-eloknya dielakkan daripada hukuman penjara atau diasingkan daripada banduan dewasa kerana mereka lebih memerlukan kepada pemulihan dan pendidikan. Ini telah mendorong kepada penubuhan institusi khusus untuk pesalah kanak-kanak yang di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat seperti Sekolah Tunas Bakti (Jenayah biasa) dan di bawah kelolaan Jabatan Penjara Malaysia seperti sekolah Henry Gurney (jenayah berat)

 

Bagi Pesalah Muda Syariah, suatu teguran wajar boleh diberikan ataupun bon berkelakuan baik boleh dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah dengan jaminan daripada kedua ibu bapa atau penjaganya, tertakluk kepada jenis kesalahan yang disabitkan. Selain itu, ibu bapa yang didapati cuai sehingga mengakibatkan anaknya terbabit dengan kesalahan jenayah Syariah juga boleh dikenakan denda yang tidak melebihi dua ratus ringgit. Seksyen 128 Akta 560 memperuntukkan:

 

(1)        Apabila mana-mana pesalah muda disabitkan di hadapan mana-mana Mahkamah atas apa-apa kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman denda atau pemenjaraan, Mahkamah itu hendaklah, sebagai ganti apa-apa tempoh pemenjaraan kerana keingkaran membayar denda atau hukuman pemenjaraan -

(a)        memerintahkan pesalah itu dilepaskan selepas teguran wajar diberikan jika difikirkan patut oleh Mahkamah; atau

(b)        memerintahkan pesalah itu diserahkan kepada ibu atau bapa atau penjaganya atau saudara dewasanya yang terdekat atau kepada mana-mana orang lain, sebagaimana yang ditetapkan oleh Mahkamah, apabila ibu atau bapa, penjaga, waris atau orang lain itu menyempurnakan bon dengan penjamin, sebagaimana yang dikehendaki oleh Mahkamah, bahawa dia akan bertanggungjawab bagi kelakuan baik pesalah itu selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua belas bulan atau, tanpa menghendaki mana-mana orang mengikat apa-apa bon, membuat suatu perintah berkenaan dengan pesalah itu yang memerintahnya supaya berkelakuan baik selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua tahun dan mengandungi apa-apa arahan kepada pesalah itu mengikut jenis syarat-syarat yang disebut dalam perenggan 130 (a), (b) dan (c) yang difikirkan oleh Mahkamah itu patut diberikan.

(2)       Mahkamah yang di hadapannya seorang pesalah muda disabitkan boleh, sebagai tambahan atau sebagai ganti menghukum pesalah itu mengikut cara yang diperuntukkan dalam seksyen ini, mengenakan ke atas ibu atau bapa atau penjaganya denda yang tidak melebihi dua ratus ringgit dalam mana-mana kes yang Mahkamah itu, selepas siasatan ringkas, berpuas hati bahawa ibu atau bapa atau penjaga itu telah, dengan sebab mereka cuai dalam menjaganya dengan sepatutnya atau selainnya, menyumbang kepada salah laku pesalah itu:


Dengan syarat bahawa tiada ibu atau bapa atau penjaga boleh didenda tanpa dia diberi peluang untuk didengar dan, jika dia berhasrat demikian, mengemukakan keterangan untuk membela dirinya.

 
(c)  Hukuman Terhadap Pesalah Kali Pertama

 

Pertimbangan untuk meringankan hukuman juga boleh diberikan oleh hakim apabila melibatkan pesalah kali pertama. Hukuman itu hendaklah sesuatu yang dianggap suaimanfaat untuk pesalah berkenaan dengan mengambilkira latarbelakang pesalah itu. Lazimnya hukuman ini membabitkan perintah berkelakuan baik. Seksyen 129 Akta 560 memperuntukkan:

(1)        Apabila mana-mana orang yang bukan seorang pesalah muda telah disabitkan di hadapan mana-mana Mahkamah atas apa-apa kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan, maka jika didapati oleh Mahkamah itu bahawa dengan mengambil kira watak, latar belakang, umur, kesihatan atau keadaan mental pesalah itu atau kepada hakikat ringannya jenis kesalahan itu atau kepada apa-apa hal keadaan peringan yang dalamnya kesalahan itu telah dilakukan adalah suaimanfaat bahawa pesalah itu dilepaskan dalam cubaan akhlak untuk berkelakuan baik, Mahkamah boleh, dengan tidak menghukumnya serta-merta dengan apa-apa hukuman, mengarahkan supaya pesalah itu dilepaskan apabila dia mengikat bon dengan penjamin-penjamin dan sepanjang apa-apa tempoh sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah untuk hadir dan menerima penghakiman jika dan apabila dipanggil dan sementara itu hendaklah berkelakuan baik.

(2)        Jika Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk memperlakukan pesalah itu berkenaan dengan kesalahan asalnya berpuas hati bahawa pesalah itu telah tidak mematuhi mana-mana syarat bonnya, ia bolehlah mengeluarkan suatu waran bagi pemberkasannya.

(3)   mana-mana pesalah apabila diberkas dengan mana-mana waran sedemikian hendaklah, jika tidak dibawa dengan serta-merta ke hadapan Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menghukumnya, dibawa ke hadapan seorang Hakim, dan Hakim itu boleh sama ada menahannya melalui waran sehingga masa dia dikehendaki oleh bonnya untuk hadir bagi penghakiman atau sehingga bersidangnya Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menguruskan kesalahan asalnya, atau boleh membenarkan dia mengikat jamin dengan penjamin yang mencukupi dengan syarat dia hadir bagi penghakiman.

(4)        Pesalah itu, apabila ditahan sedemikian, boleh dipenjarakan dan waran tahanannya hendaklah memerintahkan supaya dia dibawa ke hadapan Mahkamah yang di hadapannya dia terikat untuk hadir bagi penghakiman atau untuk memberikan jawapan tentang kelakuannya sejak dia dilepaskan.

 

(d)       Hukuman Alternatif Bagi Pesalah Wanita Yang Disabitkan Kesalahan Berkaitan Tatasusila

 

Bagi wanita yang telah disabitkan dengan kesalahan berkaitan tatasusila seperti sumbang  mahram, pelacuran, persetubuhan dan sebagainya, Mahkamah boleh menggantikan hukuman asal  atau hukuman tambahan  daripada hukuman asal dengan mengkomitkan wanita itu ke pusat bimbingan bersekali dengan hukuman penjara. Seksyen 56 Akta 559 memperuntukkan:

Jika Mahkamah telah mensabitkan mana-mana orang perempuan atas suatu kesalahan di bawah Bahagian IV, Mahkamah itu boleh, sebagai ganti atau sebagai tambahan bagi apa-apa hukuman yang ditentukan bagi kesalahan itu, memerintahkan orang perempuan sedemikian dikomitkan ke suatu rumah diluluskan selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi enam bulan sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu; tetapi jika apa-apa tempoh pemenjaraan dikenakan sekali dengan komital itu, tempohnya tidaklah boleh melebihi agregat tiga tahun.

 

(e)          Hukuman Alternatif bagi Pesalah terbabit Dengan Kesalahan Akidah

 

Seksyen 55 Akta 559 menetapkan kuasa mahkamah untuk mengkomitkan orang yang disabitkan sebagai pesalah akidah ke pusat pemulihan akidah,[18] iaitulah mereka yang terbabit dengan kesalahan pemujaan salah, mendakwa orang bukan Islam untuk mengelak tindakan, takfir, doktrin palsu dan dakwaan palsu. Seksyen tersebut menyebut:

 

Jika Mahkamah telah mensabitkan mana-mana orang atas suatu kesalahan di bawah Bahagian II atau di bawah seksyen 7, 8, 9 atau 31, Mahkamah itu boleh, sebagai ganti hukuman atau sebagai tambahan bagi apa-apa hukuman yang ditentukan bagi kesalahan itu, memerintahkan mana-mana orang sedemikian dikomitkan ke pusat pemulihan diluluskan untuk menjalani apa-apa kaunseling atau pemulihan selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi enam bulan sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu; tetapi jika apa-apa hukuman pemenjaraan dikenakan sekali dengan kaunseling atau pemulihan, tempohnya tidaklah boleh melebihi agregat tiga tahun

 


     (f)    Kuasa YDPA Meringankan Hukuman

 

Seksyen 133 Akta 560 memperuntukkan Kuasa untuk meringankan hukuman. Seksyen tersebut menyebut:


Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Mufti boleh, tanpa persetujuan orang yang telah dihukum, meringankan mana-mana satu daripada hukuman yang berikut dengan menggantikannya dengan mana-mana hukuman yang disebut selepasnya, iaitu -

(a)   sebat;

(b)    pemenjaraan;

(c)    denda.

 

(g)         Kuasa Di Bawah Akta Tatacara Jenayah Syariah

 

Selain daripada enam peruntukan yang terdapat di bawah Akta 559, Akta 560 juga memberikan sedikit ruang untuk Mahkamah Syariah mempertimbangkan hukuman terhadap pesalah yang dibicarakan. Seksyen 97 Akta 559 memberikan kuasa untuk mahkamah melepaskan pesalah yang telah dibuktikan bersalah, tetapi belum disabitkan.[19] Seksyen tersebut memperuntukkan:

 

(1)        Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam seksyen 96, Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa yang terkandung dalam seksyen ini.

(2)        Apabila mana-mana orang dipertuduh di hadapan Mahkamah atas suatu kesalahan yang boleh dihukum oleh Mahkamah itu, dan Mahkamah mendapati bahawa pertuduhan itu telah dibuktikan, tetapi berpendapat bahawa dengan mengambil kira watak, latar belakang, umur, kesihatan atau keadaan mental orang yang dipertuduh itu, atau kepada hakikat ringannya jenis kesalahan itu, atau kepada hal keadaan peringan yang dalamnya kesalahan itu telah dilakukan, adalah tak suaimanfaat untuk mengenakan apa-apa hukuman selain daripada suatu hukuman nominal atau bahawa adalah suaimanfaat melepaskan pesalah itu dalam cubaan akhlak, Mahkamah boleh, tanpa merekodkan suatu sabitan, membuat perintah -

(a)        membuang pertuduhan atau aduan itu selepas apa-apa teguran atau amaran kepada pesalah itu sebagaimana yang difikirkan patut oleh Mahkamah;

(b)        memerintahkan pesalah itu ditahan di suatu rumah kebajikan yang diluluskan oleh Majlis selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi enam bulan sebagaimana yang difikirkan patut oleh Mahkamah; atau

(c)        melepaskan pesalah itu dengan syarat dia mengikat bon, dengan penjamin-penjamin, untuk berkelakuan baik selama apa-apa tempoh, yang tidak melebihi tiga tahun, sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu, dan hadir supaya direkodkan sabitan dan dijatuhkan hukuman apabila dipanggil pada bila-bila masa dalam tempoh itu.

(3)        Mahkamah boleh, sebagai tambahan kepada mana-mana perintah itu, memerintahkan pesalah itu membayar apa-apa pampasan bagi kecederaan atau bagi kerugian, yang tidak melebihi jumlah wang satu ribu ringgit, atau membayar apa-apa kos prosiding itu sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah atau membayar pampasan dan kos itu kedua-duanya.

(4)        Jika Mahkamah berpuas hati melalui maklumat yang diberikan dengan sumpah bahawa pesalah itu tidak mematuhi mana-mana syarat bonnya, ia boleh mengeluarkan waran bagi pemberkasan pesalah itu.

(5)        Mana-mana pesalah apabila diberkas dengan mana-mana waran sedemikian hendaklah, jika tidak dibawa dengan serta-merta ke hadapan Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menghukumnya, dibawa ke hadapan seorang Hakim yang boleh -

(a)        sama ada menahannya melalui waran sehingga masa dia dikehendaki oleh bonnya untuk hadir bagi penghakiman atau sehingga bersidangnya Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menguruskan kesalahan asalnya, mengikut mana-mana yang berlaku dahulu; atau

(b)        membenarkan dia diikat jamin dengan penjamin yang mencukupi dengan syarat dia hadir bagi penghakiman.

(6)        Pesalah itu, apabila ditahan sedemikian, boleh dipenjarakan dan waran tahanannya hendaklah memerintahkan bahawa dia hendaklah dibawa ke hadapan Mahkamah yang di hadapannya dia terikat untuk hadir bagi penghakiman atau untuk memberikan jawapan tentang kelakuannya sejak dia dilepaskan.

 

7.2       Dari penjelasan di atas, kita dapati hanya terdapat dua ruang  Kuasa bagi Mahkamah Syariah berhubung dengan perintah alternatif bagi tujuan bengkel ini, iaitu –

(i)    kuasa mahkamah untuk mengkomitkan orang yang disabitkan ke pusat pemulihan diluluskan hanyalah terhad kepada kesalahan tertentu di bawah seksyen 55 Akta 559;[20] dan

(ii)  Perintah  untuk berkelakuan baik seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 128 (pesalah muda) dan seksyen 129 Akta 560[21] (pesalah kali pertama)

 
 

8.            KAEDAH PELAKSANAAN HUKUMAN ALTERNATIF DI MAHKAMAH SYARIAH

 

8.1       Kaedah pelaksanaan hukuman alternatif di Mahkamah Syariah boleh dilihat dari sudut pengeluaran bon berkelakuan baik dan menjaga keamanan  dan perintah pemulihan  akhlak dan akidah yang dikeluarkan.

 

8.1.1    Bon Berkelakuan Baik Dan Menjaga Keamanan

 

(a)          Perintah hukuman alternatif di Mahkamah Syariah lazimnya  membabitkan bon, iaitu sama ada berkelakuan baik atau bon menjaga keamanan. Melalui pengeluaran bon ini, syarat-syarat pengawasan kepada pesalah boleh dikenalpasti. Seksyen 130  Akta 560 menetapkan seperti berikut:

 

Apabila mana-mana orang dikehendaki oleh mana-mana Mahkamah supaya menyempurnakan suatu bon dengan penjamin-penjamin, dan dalam bon itu orang yang menyempurnakannya mengikat dirinya untuk menjaga keamanan atau mengikat dirinya untuk berkelakuan baik, Mahkamah boleh menghendaki supaya dimasukkan dalam bon itu satu daripada syarat-syarat yang berikut atau lebih, iaitu –

(a)    suatu syarat bahawa orang itu hendaklah berada di bawah pengawasan seseorang lain yang dinamakan dalam bon itu selama apa-apa tempoh yang dinyatakan dalamnya;

(b)   apa-apa syarat bagi memastikan apa-apa pengawasan yang difikirkan oleh Mahkamah patut dikenakan;

(c)   apa-apa syarat mengenai tempat kediaman, pekerjaan, pergaulan, penjauhan daripada minuman keras atau dadah atau mengenai apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Mahkamah patut dikenakan.

 

(b)          Sungguhpun demikian, Mahkamah perlu juga menyemak sama ada penjamin yang hendak diperakui itu dapat menjamin pesalah akan berkelakuan baik sepanjang masa yang ditetapkan iaitu tidak melebihi dua belas bulan.

 

(c)          Menurut seksyen 129 Akta 560, apabila seseorang disabitkan dengan kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan, maka pesalah itu boleh dilepaskan dalam cubaan akhlak untuk berkelakuan baik.

 

(d)          Namun, faktor-faktor tertentu perlu diambil kira sebelum hukuman ini dijatuhkan. Cubaan akhlak untuk berkelakuan baik boleh ditafsirkan sebagai perintah pemulihan. Mahkamah perlu menjelaskan hukuman tersebut kepada pesalah dengan menyatakan bentuk pemulihan yang perlu dijalani dan tempoh yang perlu disempurnakan. Selain itu, hakim perlu memerintahkan badan-badan tertentu yang perlu memantau pesalah-pesalah ini.

 

8.1.2     Perintah Pemulihan Akhlak Dan Akidah

 

(a)          Selain bon, kaedah pelaksanaan hukuman alternatif di Mahkamah Syariah juga boleh dibuat dengan memerintahkan agar pesalah dihantar ke pusat pemulihan. Sesuatu yang menarik untuk kita beri perhatian ialah apabila Pesalah Syariah diperintahkan dihantar ke pusat pemulihan atau pusat bimbingan Islam yang ada untuk menjalani bimbingan moral dan akidah. Atas premis bahawa pelanggaran undang-undang adalah suatu maksiat akhlak dan juga akidah, maka pertimbangan diberikan oleh mahkamah agar pesalah itu sebagai ganti kepada pemenjaraan (mengelak daripada bergaul dengan banduan lain) atau denda- diberi kaunseling, nasihat dan peluang untuk membaiki diri dari segi rohani. Ini merupakan satu aspek yang boleh diperkembangkan lagi dan digunakan oleh Mahkamah Syariah.[22]

 

(b)          Seksyen 55 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] mempunyai kuasa untuk mengkomitkan orang yang disabitkan kesalahan di bawah Bahagian II (berkaitan akidah) atau di bawah seksyen 7 (menghina agama Islam), 8 (mempersendakan al-Quran atau hadith), 9 (menghina pihak berkuasa agama)  atau 31  (takfir) Akta tersebut ke pusat pemulihan untuk menjalani apa-apa kaunseling atau pemulihan. Seksyen 55 Akta 559 memperuntukkan:

 

Jika Mahkamah telah mensabitkan mana-mana orang atas suatu kesalahan di bawah Bahagian II atau di bawah seksyen 7, 8, 9 atau 31, Mahkamah itu boleh, sebagai ganti hukuman atau sebagai tambahan bagi apa-apa hukuman yang ditentukan bagi kesalahan itu, memerintahkan mana-mana orang sedemikian dikomitkan ke pusat pemulihan diluluskan untuk menjalani apa-apa kaunseling atau pemulihan selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi enam bulan sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu; tetapi jika apa-apa hukuman pemenjaraan dikenakan sekali dengan kaunseling atau pemulihan, tempohnya tidaklah boleh melebihi agregat tiga tahun.

 

(c)          Selain itu Mahkamah Syariah juga berkuasa mengeluarkan perintah  untuk berkelakuan baik seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 128 (pesalah muda) dan seksyen 129 Akta 560 (pesalah kali pertama).

 

9.            HUKUMAN ALTERNATIF SELAIN AKTA 559 DAN  AKTA 560

 

9.1       Persoalan yang timbul ialah sama ada boleh atau tidak  kuasa Mahkamah Syariah diperluaskan untuk mengeluarkan perintah alternatif berbentuk pemulihan/ pendidikan/perintah komuniti kepada semua pesalah selain  yang disabitkan di bawah kesalahan jenayah Syariah di bawah Akta 560 dan Akta 559 seperti  kesalahan di bawah Akta 303 atau undang-undang bertulis lain sebagai suatu hukuman alternatif atau tambahan kepada hukuman sedia atau gabungan kepada hukuman-hukuman tersebut?

 

9,2       Saya berpendapat walaupun tajuk seksyen 129 menyebutkan mengenai Pesalah Pertama, namun kandungan seksyen berkenaan tidaklah terikat kepada pesalah pertama sahaja. Akta 560 adalah undang-undang prosedur umum yang terpakai untuk semua bentuk kesalahan yang dibicarakan di Mahkamah Syariah. Justeru itu, seksyen 129 sudah tentunya boleh digunakan terhadap semua pesalah (selain pesalah muda) yang boleh dihukum dengan pemenjaraan termasuklah kesalahan-kesalahan penalti di bawah Akta Undang-Undang Keluarga [Akta 303] dan perintah-perintah pemenjaraan yang melibatkan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah serta penghinaan mahkamah.

 

9.3       Dari segi  falsafah hukuman Syariah pula, hukuman  alternatif berbentuk  pemulihan adalah salah satu bentuk hukuman yang selaras dengan prinsip asas dan objektif hukuman dalam Islam.

 

9.4       Ia bertujuan untuk menjaga maslahah manusia dan merupakan suatu bentuk hukuman yang bukan hanya dapat menghukum pesalah tetapi merupakan suatu bentuk pendidikan dan proses tarbiyyah diri. Bentuk hukuman yang dibuat melalui perintah pemulihan seperti ini merupakan suatu pendekatan yang baik dan murni dan amat penting dalam usaha untuk menimbulkan rasa keinsafan dan kesedaran diri yang tinggi di kalangan pesalah-pesalah supaya tidak lagi mengulangi untuk melakukan kesalahan.

 

9.5       Perintah pemulihan yang dicadangkan ini adalah suatu perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah sebagai suatu hukuman alternatif atau tambahan kepada hukuman sedia ada. Penguatkuasa, Pendakwa, peguam Syarie dalam kes penguatkuasaan perintah atau pesalah sendiri boleh memohon kepada   Hakim untuk mengeluarkan perintah pemulihan di bawah seksyen 129 Akta 560 sebagai hukuman alternatif atau tambahan kepada hukuman sedia ada di bawah undang-undang kesalahan syariah, undang-undang keluarga Islam dan  lain-lain  undang-undang di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah  bertepatan dan mengikut kehendak hukum Syarak.

 

10.         BENTUK HUKUMAN ALTERNATIF

 

10.1      Di bawah seksyen 55 Akta 559, bentuk hukuman alternatif dinyatakan secara umum  bahawa pesalah boleh dikomitkan ke pusat pemulihan untuk menjalani apa-apa kaunseling atau pemulihan. Seksyen tersebut menyebut:

 

“……….untuk menjalani apa-apa kaunseling atau pemulihan selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi enam bulan sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu;….”

 

10.2      Ini bermaksud, hukuman yang  boleh dijalani oleh pesalah mungkin berbentuk  kaunseling atau pemulihan. Walau bagaimanapun, tiada penjelasan lanjut berhubung maksud kaunseling atau pemulihan yang boleh dikenakan. Oleh itu, pemulihan mungkin boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk yang difikirkan sesuai dan wajar oleh mahkamah.

 

10.3    Apa-apa kaunseling atau pemulihan’ itu adalah  bentuk hukuman alternatif yang boleh dikembangkan dan difikirkan untuk kebaikan semua pihak. Antara bentuk yang dicadangkan ialah:

(a)       pemurnian rohani (pendidikan, ceramah agama, tazkirah, menghadiri kuliah, dsb)

(b)       khidmat masyarakat (melaksanakan kerja-kerja amal, dsb)

(c)       kaunseling khusus

(d)       pemulihan akidah, kelas fardhu ain, dsb

(e)       program masjid,  rumah anak yatim, orang tua dsb.

(f)        penganjuran program-program khusus bagi tujuan pemulihan dll.

 

 

11.         TEMPAT ATAU INSTITUSI BAGI MENGUATKUASAKAN HUKUMAN ALTERNATIF

 

11.1      Menurut seksyen 54 [Akta 559], Mahkamah boleh menetapkan mana-mana tempat atau institusi, menjadi pusat pemulihan untuk mengkomitkan orang yang disabitkan bersalah.Penetapan tempat atau institusi pemulihan itu hendaklah diwartakan oleh Majlis. Seksyen tersebut menyebut:


Majlis boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, menetapkan mana-mana tempat atau institusi, menjadi pusat pemulihan diluluskan atau rumah diluluskan bagi maksud Akta ini.

 

11.2      Sungguhpun seksyen ini agak umum dan tidak menjelaskan dengan lebih lanjut maksud yang dikehendaki dengan tempat yang boleh dijadikan sebagai pusat pemulihan, namun, seksyen ini memberi kuasa kepada Mahkamah  untuk memerintahkan mana-mana tempat yang difikirkan sesuai untuk dijadikan tempat pemulihan bagi pesalah dengan syarat tempat itu diwartakan. 

 

11.3      Selain dari tempat atau institusi, Seksyen 56 [Akta 559]  juga menyebut tentang kuasa mahkamah untuk mengkomitkan pesalah perempuan ke ‘rumah’ diluluskan.  Rumah diluluskan yang disebut oleh Akta tidak dijelaskan maksudnya di dalam Akta ini. Rumah tersebut mungkin juga bermaksud institusi atau badan berkebajikan termasuk masjid sebagaimana yang mungkin dimaksudkan oleh seksyen 54 Akta yang sama.

 

11.4      Walau bagaimanapun, Seksyen 56 ini dikhususkan hanya kepada pesalah pere-mpuan sahaja. Manakala kesalahan yang dimaksudkan pula adalah kesalahan yang berhubungan dengan kesusilaan iaitu Seksyen 20 sehingga  29 Akta 559. Penetapan maksud  rumah diluluskan’  memerlukan satu garis panduan yang jelas dan teliti untuk dilaksanakan dalam sistem keadilan jenayah Syariah di Malaysia.[23]

 

 

 

12.         MEREALISASIKAN HUKUMAN ALTERNATIF MELALUI PERINTAH MAHKAMAH SYARIAH

 

12.1    Bagi merealisasikan hukuman alternatif seperti yang dicadangkan, Agensi-agensi berkaitan perlulah mengambil inisiatif ke hadapan dan berganding bahu dalam melaksanakannya.

 

12.2    Institusi kehakiman Syariah seperti JKSM dan Mahkamah Syariah Negeri-negeri perlulah memainkan peranan penting dalam memutuskan hukuman yang adil bagi pesalah-pesalah di samping berperanan untuk memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk berubah  ke arah kebaikan melalui perintah pemulihan yang dikeluarkan mengikut apa yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

 

12.3    Selain itu Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) juga  perlu menyediakan program komprehensif untuk pemulihan/pendidikan/kaunseling/kerja-kerja amal bagi memudahkan mahkamah mengeluarkan perintah. Satu Jawatankuasa tertentu  perlu dibentuk bagi menyusun dan merangka program pemulihan atau modul yang berkesan dengan pemantauan yang rapi dalam melaksanakan Perintah alternatif tersebut.

 

12.4    Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) perlu bertindak kehadapan dengan memberi perhatian yang lebih kepada Bahagian-bahagian seliaannya seperti  Penguatkuasaan, Pendakwaan, Masjid, Baitulmal dan sebagainya agar komitmen dan kerjasama ke arah tujuan tersebut berjalan dengan lancar dan lebih sistematik.

 

12.5    Penyediaan modul yang terancang dan teliti perlu dibuat sebelum langkah pelaksanaan diambil bagi mengelakkan kerumitan atau masalah sampingan yang bakal timbul.

 

12.6    Prinsip ‘Blue Ocean Strategy’ atau BOS perlu diterap antara agensi yang terlibat dalam menjalinkan kerjasama bagi memastikan hukuman alternatif berjalan dengan baik dan lancar. Hubungan antara Agensi seperti Mahkamah Syariah, JKSM, JAKIM, JAWI,  Jabatan Kebajikan Masyarakat, institusi penjara, rumah-rumah pemulihan, rumah anak yatim, rumah orang-orang tua dan sebagainya perlu dijalin terutamanya dalam merangka modul kerohanian dan sahsiah diri selain dari kerja-kerja amal yang bakal dilakukan oleh pesalah. ATM melalui KAGAT (atau PDRM)  mungkin patut dilibat sama dalam memenuhi kehendak modul tersebut.

 

13.      PENUTUP

 

13.1    Hukuman alternatif seperti pemurnian sakhsiah diri, penetapan akidah, kaunseling, khidmat masyarakat dan sebagainya merupakan satu hukuman pilihan yang dicadangkan dalam sistem keadilan jenayah Syariah di Malaysia. Walau bagaimanapun, pelaksanaannya perlu mengambil kira pelbagai aspek dan disesuaikan dengan keadaan semasa. Berdasarkan bidang kuasa Mahkamah Syariah, hukuman ini mungkin boleh dilaksanakan di bawah peruntukan Seksyen 54, 55 dan 56 [Akta 559] dan Seksyen 129, 130 [Akta 560].

 

13.2    Peruntukan ini dilihat boleh diperincikan berdasarkan keputusan atau perintah mahkamah. Hukuman ini juga dilihat mempunyai prospek yang cerah untuk dilaksanakan pada masa hadapan.

 

13.3    Justeru, di harap kertas ini dapat memberi ruang atau implikasi kepada semua peserta bengkel untuk memerah idea dalam mepertimbangkan pelaksanaan hukuman alternatif dengan memberi input yang berguna kearah mencapai satu impak bagi memastikan objektif sesuatu hukuman tercapai dan mampu memberi kesan kepada pesalah jenayah Syariah.

 






[1] Kertas ini dibentangkan untuk Bengkel Penyediaan Modul Pelaksanaan Hukuman Alternatif, anjuran  Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di The Legend Resort Cherating, Pahang Darul Makmur pada 23-25/2/2014


[2]  Analisis: Pesalah Kes Ringan Wajar Kena Kerja Amal, Berita Harian, 9Julai 2007, Lihat juga http://www.bharian.com.my/articles/Analisis_Pesalahkesringanwajarkenakerjaamal/Article/ Akses pada 19/2/2014.

 


[3]   Khidmat Masyarakat Ganti Enam Sebatan, Berita Harian, 2 April 2010, Lihat juga  http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Khidmatmasyarakatgantienamsebatan/Article diakses pada 19/2/2014


[4] Pesalah Kes Ringan Wajar Kena kerja Amal,  Berita Harian, 12/7/2012. Lihat juga http://www.bharian.com.my/articles/Analisis_Pesalahkesringanwajarkenakerjaamal/Article/ diakses pada 19/2/2014


[5] Abdur Rahman I.Doi, Shariah: The Islamic Law, 1996, Kuala Lumpur: A.S. Nordeen, hal, 221


[6] 'Abd al-Qadir 'Awdah, Criminal Law In Islam, Delhi: International  Islamic Publisher, hal. 609.


[7]    al-Quran, surah al-Zalzalah, 99:7-8


[8] Zainuddin Jaafar, Hukuman Mengikut Undang-Undang Syariah, Al-Ahkam, Undang-Undang Pentadbiran Keadilan Jenayah Di Malaysia, Jilid 2, Prof. Ahmad Ibrahim dll, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, 145-148.


[9] Haji Mahamad Naser bin Disa, Perintah Pemulihan Sebagai Hukuman Alternatif, Persidangan           Penguatkuasa Dan Pendakwa JAWI, 13 Mac 2012,  Corus Paradise Resort, Port Dickson, 12/3/2013

 


[10]    Noor Huda Roslan. Hukuman Alternatif: Dari Perspektif Syara’ dan Undang-undang Jenayah Syariah di Malaysia. Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah Tahun 1434H/2013M. 6 Mac 2013


[11]    Awang Armadajaya bin Awang Mahmud. Hukuman Alternatif: Satu Perbandingan di antara Mahkamah Sivil dan Syariah. Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah Tahun 1434H/2013M. 6 Mac 2013


[12]    Ibid. Lihat juga Haliza A.Shukor, Nabilah Yusof, Intan Nadia Ghulam Khan, Hasnizam Hashim, Kahwin Lari: Satu cadangan Keperluan Hukuman Alternatif, Proceeding of the Global Conference on Business, Economics and Social Sciences (GBSR 2013) 25-26 June 2013, Kuala Lumpur. Hal. 228.


[13]    Ahmad Fathi Bahansiy, al-Hudud Fi al-Islam, Kaherah: Muassasah al-Khalij al-Arabi (1986),


[14]   Siti Zubaidah Ismail, Dr, Hukuman Alternatif Dari Perspektif  Undang-Undang Syariah, [2011]4 ShLR, xxix.


[15]  Pensyarah kanan  merangkap Ketua Jabatan Syariah Dan Undang-Undang, Akademi Pengajian   Islam, Universiti Malaya


[16]  Pusat Pemulihan Akidah Baitul Iman di Ulu Yam Selangor dan Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di Sabak Bernam Selangor.



[18] Pesalah akidah adalah merujuk kepada mereka yang telah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Syariah atas  mana-mana kesalahan berkaitan akidah di bawah Akta kesalahan Jenayah Syariah yang sedang berkuatkuasa. Lihat Dr. Zubaidah Ismail, Hukuman Alternatif Dari Perspektif Undang-Undang Syariah, [2011] 4 ShLR xxxiv


[19] Lihat Siti Zubaidah Ismail, Hukuman Alternatif Dari Perspektif Undang-Undang Syariah, [2011] 4 ShLR , xxxv


[20] Rujuk perenggan 7.1 (e)


[21] Rujuk perenggan 7.1 (b) dan 7.1 (c)


[22] Siti Zubaidah, Hukuman Alternatif Dari Perspektif Undang-Undang Syariah, [2011] 4 ShLR, xxxvii


[23] Nurbazla Ismail & Mohd Al-Adib Samuri, Prospek Hukuman Perintah Khidmat Masyarakat Di Mahkamah Syariah, dalam Prosiding Kolokium Antarabangsa Siswazah Pengajian Islam (KASPI 2013) 13 November 2013 , hal. 624