DONATE

Isnin, 28 Disember 2015

Kesan dan Akibat Penyebaran Fahaman dan Ideologi Golongan Anti Hadis terhadap masyarakat Islam khususnya di Malaysia

BAB I


PENDAHULUAN


1.1       PENGENALAN

Islam merupakan agama yang syumul meliputi segala aspek kehidupan umat manusia yang relevan dan sesuai diaplikasikan pada setiap zaman dan pada setiap tempat tanpa melihat perbezaan pada warna kulit, bangsa mahupun keturunan. Sebagai seorang muslim adalah menjadi satu kewajipan dalam mematuhi dan mengikuti serta mengamalkan segala peraturan yang terkandung di dalam agama ini bagi mendapatkan keberkatan dan limpahan rahmat Allah SWT di sepanjang kehidupan ini lantas menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

            Kehidupan umat Islam adalah bertunjangkan kepada akidah dan syariat yang benar iaitu beriman kepada Rukun Iman yang enam dan lima Rukun Islam. Kesemuanya ini adalah berdasarkan kepada dua sumber Islam yang utama iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Nabi Muhammad SAW bersabda dalam suatu Hadith yang bermaksud:

“Daripada Abu Hurairah, daripada Nabi Muhammad SAW, baginda bersabda: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Rasulullah SAW.”
                            (Riwayat Malik)

            Namun, sebaliknya jika umat Islam tidak lagi berpegang kepada kedua-dua sumber utama ini lantas meragui dan menafikan kesahihan kedua-duanya mahupun salah satu daripadanya sebagai sumber utama hukum Islam, maka ditakuti saat itu umat Islam akan berdepan dengan musibah yang besar iaitu berlaku penyelewengan dan kesesatan dalam beragama lalu tertutup ruang taufik dan hidayah Allah SWT.
           
            Dari zaman ke zaman, perpecahan dalam kelompok manusia ini sentiasa berlaku dan serangan demi serangan terhadap Islam terus berlangsung. Syubhat demi syubhat terus dilancarkan oleh musuh-musuh Islam sama ada dari luar atau dalam kelompok umat Islam itu sendiri. Bermula dari zaman para sahabat di mana perpecahan mula terjadi melalui pelbagai fitnah yang ditimbulkan oleh golongan pemberontak terhadap sebuah daulah pemerintahan Islam. Kemudian munculnya puak khawarij, Syi’ah, Muktazilah, Murji’ah dan seterusnya.

            Sehinggalah ke zaman ini, tidak kurang pelbagai syubhat-syubhat yang membiak dan mengelirukan pemahaman terhadap Islam terus dilancarkan ke tengah-tengah benak minda umatnya. Perkara tersebut tidak lain dan tidak jauh bezanya dengan pelbagai jenis makar yang ditimbulkan sejak mula kemunculan Islam 1400 tahun dahulu lagi. Namun, sedikit bezanya hanya kini ianya muncul dengan pelbagai jenis nama-nama yang berlainan. Dengan label dan tanda branding yang mampu memikat hati dan jiwa umat Islam yang jauh daripada ilmu. Dengan helah dan gerak kerja yang sedikit berbeza.

            Namun, asas-asas dan method pemikiran yang membina kelompok-kelompok mereka tidak jauh berbeza dengan perpecahan dan kesesatan yang mula-mula timbul di dalam sejarah umat Islam. Antara yang terkenal pada masa ini adalah seperti gerakan feminisme, liberalisme agama, Hizbut Tahrir, Jemaah al-Quran, pelbagai jenis gerakan tarekat, gerakan anti hudud, gerakan pejuang hudud, dan pelbagai lagi jenis jenama yang dipopularkan. Sejarah telah membuktikan kepada kita betapa bahayanya fahaman-fahaman yang melampau dan menyeleweng daripada Islam sebenar terhadap kesucian akidah dan syariat Islam dan kestabilan dalam sesebuah negara.

            Di antara mereka yang mahu kita sentuh dan tangkis syubhat-syubhatnya adalah sebuah gerakan yang menolak dan meninggalkan penggunaan hadis-hadis dan sunnah-sunnah Rasulullah SAW dalam mengambil serta mengaplikasikan agama. Lebih tepat lagi golongan anti hadis adalah mereka yang sama sekali meragui dan menolak terus hadis Nabi Muhammad SAW sebagai salah satu sumber utama dalam Islam. Kini golongan ini kembali tampil dan berani besuara semula di negara kita dengan lontaran kefahaman yang sangat mengelirukan bagi mencapai agendanya yang tersendiri.
           
            Antara lain, golongan mereka ini dikenali dengan nama Qur’aniyun atau Golongan Anti Hadis. Sebenarnya hal ini adalah sebagaimana yang diberitahu melalui sabda Rasulullah SAW sendiri :
           
“Ketahuilah sesungguhnya diturunkan kepada ku al-Quran dan yang semisalnya bersamanya (as-Sunnah), ketahuilah akan datang seseorang yang kenyang duduk di atas pembaringannya berkata: “Berpegang teguhlah kepada al-Quran ini saja, semua yang kamu perolehi daripadanya akan kehalalan, maka halalkanlah dan yang kamu perolehi daripadanya suatu keharaman maka haramkanlah”.
                                                            (Hadis Riwayat Ahmad, 4/131 dan Abu Daud, 5/11)

            Realitinya perkara ini merupakan suatu isu besar yang amat membimbangkan jika tidak ditangani secara bijaksana dan bersungguh-sungguh maka ia akan menjadi barah yang merasuk pemikiran masyarakat khususnya umat Islam di Malaysia seterusnya menggugat keharmonian agama Islam dan kestabilan negara.




1.2       PERMASALAHAN KAJIAN

Dalam kajian ini, penulis akan melihat kepada isu permasalahan yang timbul daripada aliran pemikiran anti hadis dari pelbagai sudut secara telus dan terperinci. Penulisan ini juga menjurus kepada kesan dan akibat yang wujud hasil daripada penyebaran fahaman dan ideologi golongan anti hadis terhadap masyarakat Islam khususnya di Malaysia.

Selain itu juga penulisan ini akan melihat kepada sebarang solusi yang dirasakan patut dan perlu bagi menangani isu ini secara konkrit dan menyeluruh demi menjaga kesucian agama Islam daripada sebarang penyelewengan oleh musuh-musuh Islam yang tidak pernah berhenti untuk menghancurkannya.

            Secara umumnya Malaysia adalah sebuah Negara Islam yang berpegang dengan fahaman akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab Syafie dalam soal Syariah. Namun, dewasa ini negara dikejutkan dengan beberapa siri ideologi-ideologi yang melampau bahkan bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah antaranya fahaman golongan anti hadis. Kesan daripada masalah ini telah mewujudkan kekeliruan, salah faham dan percanggahan terhadap fahaman agama dari kalangan masyarakat Islam terutamanya di Malaysia.
           
            Perkara ini amat membimbangkan kerana memberi kesan negatif kepada keharmonian agama Islam dan negara dan dikhuatiri ianya akan berkembang dan menular ke segenap lapisan masyarakat Islam di Malaysia terutamanya golongan akademik dan intelek seterusnya diterima pakai oleh mereka untuk diamalkan.

            Oleh yang demikian, menyedari permasalahan ini, penulis amat terpanggil untuk merungkai dan menganalisis secara ilmiah satu persatu kajian hukum yang berkaitan methodologi yang digunakan oleh golongan fahaman anti hadis ini, tujuan dan matlamat mereka, imbasan sejarah serta kesannya terhadap masyarakat Islam di Malaysia. Disamping itu juga, penulis bakal merungkai dengan lebih terperinci berkaitan perbahasan hukum daripada kitab-kitab ulama silam dan ulama kontemporari.


1.4       PERSOALAN KAJIAN

Berdasarkan permasalahan kajian di atas, maka persoalan kajian yang boleh ditimbulkan dalam kajian ini adalah seperti berikut:

a)         Apakah yang dimaksudkan dengan golongan anti hadis yang dikatakan sebagai aliran pemikiran yang menyalahi dan menyanggahi Islam sebenar?

b)         Bagaimana golongan anti hadis ini muncul dan menulardi Malaysia?

c)         Apakah kesan dan akibat fahaman anti hadis terhadap keharmonian agama Islam dan kestabilan negara serta pengamalannya?


            OBJEKTIF KAJIAN

a)                  Mengenalpasti asal usul, sejarah kemunculan, matlamat dan agenda, serta method dan sumber hukum yang terdapat dalam fahaman anti hadis.

b)                  Menjelaskan bagaimana fahaman dan golongan anti hadis ini muncul dan menular di Malaysia.

c)                  Menganalisis kesan dan akibat fahaman anti hadis terhadap keharmonian agama Islam dan kestabilan Negara serta pengamalannya.


1.6       LIMITASI KAJIAN

Sewaktu melakukan kajian ini, antara limitasi kajian adalah:

a)                  Bidang Kajian

Kajian ini akan memberi fokus kepada aliran fahaman anti hadis yang mana kajian akan dibuat menjurus kepada asal-usul dan latar belakang fahaman ini, faktor-faktor kemunculannya di dalam dunia Islam, strategi dan methodologi golongan anti hadis dalam menyebarkan fahaman mereka, pelopor dan pendokong kepada fahaman anti hadis di Malaysia yang secara langsung memberi kesan terhadap kefahaman agama Islam di kalangan umat Islam di Malaysia.  

Selain itu juga, penulis akan meneliti pandangan syarak dan mengambil kira pandangan-pandangan serta fatwa-fatwa ulama silam dan ulama kontemporari melalui kitab-kitab dan penulisan mereka terhadap fahaman ini khususnya dalam merungkai sejauhmana akibat dan kesannya terhadap akidah dan syariat umat Islam di Malaysia.

b)                  Lokasi Kajian                       

Bagi merealisasikan kajian ini, Penulis memfokuskan kajian dibuat hanya di dalam negara sahaja tanpa melibatkan secara khusus negara-negara lain sepanjang di dalam kajian ini dilaksanakan. Ini kerana penulis melihat sehingga ke hari ini negara sedang diancam dengan pelbagai ideologi ajaran sesat dan cubaan penyelewengan akidah di kalangan umat Islam di Malaysia. Kita dapat lihat sepertimana maklumat yang terdapat melalui media elektronik iaitu media cetak dan semasa yang menunjukkan gejala ini semakin serius dan membimbangkan kita.


1.7       METODOLOGI KAJIAN

Dalam usaha untuk menyiapkan penulisan ini, Penulis telah menggunakan beberapa kaedah atau metodogi kajian dalam proses untuk mengumpul maklumat dan data-data yang diperlukan. Diantara kaedah atau metodologi kajian yang digunakan oleh Penulis dalam menghasilkan kajian ini ialah mrnggunakan reka bentuk kajian berbentuk kualitatif.

            Menurut Ahmad Sunawari long, kajian kualitatif adalah kajian yang cenderung kepada metode pengumpulan data melalui pemerhatianataupun penganalisaan kandungan dokumen. Teknik-Teknik tersebut digunakan secara bersama atau secara berasingan

1.7.1    Kaedah Pengumpulan Data

Kaedah pengumpulan data telah digunakan bagi mndapatkan maklumat dan data yang diperlukan bagi menyiapkan kajian ini. Kaedah ini digunakan bagi mendapat maklumat dan data yang relevan dan tepat serta memenuhi kehendak kajian yang dihasilkan oleh Penulis. Kaedah pengumpulan data ini boleh diperolehi oleh Penulis melalui tiga cara iaitu :-

a)         Kajian Perpustakaan

Pengumpulan maklumat dan data yang dibuat melalui penyeledikan di perpustakaan bagi mendapatkan maklumat awal berkaitan dengan penulisan yang dibuat. Rujukan-rujukan tersebut adalah terdiri daripada pelbagai rujukan yang kebanyakan adalah berbentuk ilmiah. Kajian perpustakaan ini merupakan penyumbang input yang terbesar sepanjang Penulis menyiapkan kajian ini. Diantara perpustakaan yang dikunjungi oleh Penulis bagi mendapatkan bahan adalah di Perpustakaan Tun Seri Lanang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Perpustakaan Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perpustakaan Akademi Imigresen Malaysia, Port Dickson dan Perpustakaan Negara, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

b)         Kajian Pemerhatian

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat Tahun 2005, pemerhatian adalah berasal daripada perkataan perhati yang membawa maksud mempedulikan, mengendahkan, menaruh minat. Ia juga ditakrifkan sebagai melihat dengan teliti dan mengamatinya. Penulis membuat pemerhatian melalui pembacaan kitab-kitab ilmiah, lembaran akhbar, ceramah dan kata-kata ahli dan tokoh agama serta data daripada Bahagian Penguatkuasaan dan Bahagian pendakwaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

            Kaedah pemerhatian ini dianggap penting kepada Penulis bagi mendapatkan gambaran sebenar kefahaman golongan anti hadis terhadap agama Islam. Kajian ini juga didapati menyumbang maklumat dan data yang tepat sekaligus membantu Penulis mendapatkan input yang berkesan dalam menyiapkan kajian ini secara keseluruhannya.



c)         Kaedah Temubual

Ia merupakan satu kaedah untuk mendapatkan maklumat dan data secara langsung dari pihak-pihak yang terlibat dalam proses penangkapan dan pendakwaan yang dibuat oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Bahagian pendakwaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terhadap ahli-ahli fahaman anti hadis.

1.7.2    Kaedah Analisis Data

Kaedah analisis data adalah merupakan kaedah yang tidak kurang pentingnya dalam penghasilan kajian ini. Kaedah ini adalah bertujuan untuk menghuraikan data dan maklumat yang diperolehi selain membuat kesimpulan yang berkaitan dengan permasalahan yang timbul dalam kajian ini. Terdapat tiga cara yang digunapakai oleh Penulis melalui kaedah analisis data ini iaitu :

a)         Kaedah Deduktif ialah pandangan umum terhadap sesuatu perkara dan      ianya    merupakan gambaran awal yang dibuat oleh pengkaji yang         membawa kepada kesimpulan menyeluruh.

b)         Kaedah Induktif ialah membina kesimpulan awal melalui satu atau lebih     fakta yang ditemui oleh pengkaji terhadap sesuatu sampel kajian.

c)         Kaedah Komparatif ialah aktiviti penyelidikan yang dijalankan secara perbandingan yang dibuat diantara sesuatu isu dari sudut yang berbeza. Peruntukan undang-undang diwujudkan bagi menjaga kemaslahatan dan kebajikan manusia secara keseluruhannya.





1.8       KESIMPULAN

Secara umumnya, penulisan ini adalah merupakan kajian dari sudut teori dan realiti pengamalan golongan anti hadis dalam menjalani kehidupan sebagai seorang muslim berdasarkan kepada perspektif syarak dan peruntukan undang-undang semasa. Selain itu, kajian ini juga adalah bertujuan untuk melihat sejauhmana akibat dan kesan yang timbul hasil daripada penularan fahaman ini terhadap akidah dan syariat umat Islam di Malaysia yang umum mengetahui umat Islam di Malaysia adalah berpegang kepada fahaman Ahli sunnah Wal Jamaah sekaligus mampu mengancam imej dan kredibiliti Institusi Eksekutif dan Perundangan Negara.






BAB DUA

SEJARAH KEMUNCULAN PEMIKIRAN ANTI HADIS


PENDAHULUAN

Golongan anti hadis bukanlah satu yang asing dalam Islam, malah ia telah mula bertapak sejak zaman awal Islam lagi. Secara umumnya, golongan ini cuba untuk menangkis autoriti hadis sebagai sumber perundangan Islam yang kedua selepas al-Quran. Justeru, mereka menyeru seluruh umat Islam agar berpegang dan beramal dengan ajaran yang terdapat di dalam al-Quran semata-mata. Hal ini telah membawa implikasi yang besar bukan sahaja kepada Syariah malah kepada akidah. Kepincangan terhadap disiplin ilmu Islam juga jelas terbukti apabila tidak menerima sebarang bentuk pentafsiran terhadap al-Quran melalui kitab-kitab tafsir muktabar. Bahkan, hanya berasaskan penaakulan melalui akal serta turut mengambil kira realiti kehidupan semasa dengan maksud bahawa tidak semua hukum-hakam yang terdapat di dalam al-Quran dianggap bersesuaian dengan kehidupan umat Islam kini. Di dalam bab ini penulis cuba menghuraikan berkenaan siri kemunculan fahaman ini, bermula dari zaman Rasulullah SAW sehingga abad ke 19, matlamat dan agenda sebenar mereka, methodologi dan sumber-sumber yang diterima dan digunapakai dalam penetapan hukum-hakam seterusnya punca dan faktor yang mempengaruhi fahaman ini.[1]




SEJARAH KEMUNCULAN ANTI HADIS


Pada zaman Rasulullah SAW, bibit-bibit kemunculan golongan ini dapat ditinjau di kalangan kaum Quraisy yang telah mendustakan ajaran Baginda serta melemparkan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas. Namun, mereka ini tidaklah dikategorikan sebagai anti hadis kerana telah nyata akidah mereka yang tidak beriman terhadap ajaran Islam itu sendiri.
           
            Semasa zaman Sahabat r.a., terdapat seorang yang bernama Umaiyah bin Khalid yang cuba mencari penyelesaian terhadap seluruh permasalahan dengan hanya merujuk kepada al-Quran sahaja. Dia telah membincangkan hal tersebut dengan Abdullah bin Umar r.a. Namun, Ibnu Umar telah mengingatkannya agar menerima dan melaksanakan apa-apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW Sungguhpun begitu, ia hanyalah dalam ruang lingkup pandangan peribadi seseorang dan tidaklah berkembang dalam bentuk kumpulan atau gerakan.
           
            Al-Hasan berkata, semasa Imran bin Husain sedang mengajar hadis, terdapat seorang yang meminta agar tidak perlu mengajar hadis, memadai dengan al-Quran sahaja. Imran menjawab, "Engkau dan sahabat-sahabat engkau boleh membaca al-Quran. Mahukah engkau mengajarkanku sembahyang dan syarat-syaratnya kepadaku? Atau zakat dan syarat-syaratnya? Engkau selalu tidak hadir. Sedangkan Rasulullah s.a.w. telah mewajibkan zakat begini.. begini.." Orang itu menjawab, "Terima kasih, aku baru sedar." Pada kemudian harinya, orang itu menjadi seorang ahli fikah.
           
            Seterusnya, golongan ini telah muncul secara berkelompok dalam kurun kedua Hijrah. Mereka ini berorientasikan kepada dua perkara iaitu penolakan terhadapa hadis yang bersifat bukan Mutawatir seperti Hadis Ahad, seterusnya mereka yang mendakwa bahawa hadis bukanlah penerang atau penguat kepada al-Quran bahkan dianggap sebagai hukum yang terpisah daripada al-Quran.
           
            Pada zaman berkenaan , orang yang mula-mula berdebat dengan golongan berkenaan ialah al-Imam al-Syafie r.a. Beliau telah berjaya mematahkan idea-idea palsu yang dikemukakan oleh anti hadis sehingga mereka kembali bersetuju dengan hujah-hujah beliau seterusnya berpegang kepada hadis Rasulullah S.A.W. Selepas kurun ke 11 Hijrah, muncul semula fahaman ini yang dipelopori oleh segolongan Orientalis di Iraq dengan slogan menolak hadis. Situasi yang sama turut berlaku di Mesir pada zaman Sheikh Muhammad Abduh (1849-1905).
           
            Hal ini muncul ekoran rancaknya keraguan yang ditimbulkan oleh penjajah Barat di hati sebahagian umat Islam ketika mana mereka menjajah negara mereka. Tujuan utamanya ialah untuk melumpuhkan kekuatan umat Islam yang ketika itu berada dalam keadaan lemah. Bertitik tolak daripada itu, Dr Tawfiq Sidqi telah menulis dua makalah di dalam majalah “al-Manar” bilangan 7 dan 12 yang bertajuk “Ajaran Islam ialah al-Quran sahaja”. Beliau telah mengemukakan dalil-dalil dari al-Quran dengan motif agar tidak berpegang kepada hadis.
Pada tahun 1929, Dr Ahmad Amin telah menulis di dalam bukunya yang bertajuk “Fajr al-Islam” yang menyentuh berkenaan hadis dan percampuran antara yang hak dan yang batil mengenainya. Pendapat tersebut kekal sehinggalah beliau meninggal dunia.
           
            Perihal berkenaan keraguan terhadap hadis ini telah disebarkan pula oleh seorang yang bernama Ismail Adham di dalam risalahnya yang bertajuk “Tarikh al-Sunnah” pada tahun 1934. Beliau menyebut bahawa hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab-kitab hadis itu bukanlah ada asasnya bahkan boleh diragui bahawa terdapat padanya unsur-unsur pemalsuan hadis. Terdapat di kalangan cendekiawan Islam yang menuntut di Eropah yang telah terpengaruh dengan ajaran anti hadis ini. Sebagai contoh, Rashad Khalifa yang berkelulusan biokimia dari Amerika Syarikat dan berasal dari Mesir telah memperkenalkan kod 19 yang merupakan satu penyelewengan besar dalam pentafsiran al-Quran. Beliau turut menyatakan bahawa terdapat penambahan kepada al-Quran pada surah al-Taubah iaitu pada dua ayat yang terakhir. Hal ini kerana menurutnya ayat-ayat tersebut tidak dapat diselaraskan melalui kod 19 itu.
           
            Menurut beliau lagi, hadis bukan sahaja dianggap palsu malah ia merupakan ciptaan Iblis. Maka, sesiapa yang mempercayai hadis bermakna mempercayai ajaran Iblis. Pendapat-pendapat beliau yang menyeleweng terhadap hadis itu dapat dilihat melalui buku-buku tulisannya seperti “Miracle of the Quran: Significance of the Mysterious Alphabets”, “The Computer Speaks: God's Message to the World”, “Qur'an: The Final Scripture”, “Qur'an: Visual Presentation of the Miracle”, “Qur'an, Hadith” and “Islam dan Qur'an: The Final Testament”.

PUNCA DAN FAKTOR YANG MEMPENGARUHI FAHAMAN ANTI HADIS

Antara faktor terpenting yang mempengaruhi perkembangan fahaman ini ialah terpengaruh dengan idea-idea yang yang dikemukakan oleh orientalis Barat. Sebagai contoh, Dr. Rashad Khalifa yang bukan berlatarbelakangkan Pengajian Islam telah cuba untuk membahas isu-isu yang berkaitan dengan sumber perundangan hukum Islam yang ternyata hanyalah berasaskan kajian saintifik beliau serta penaakulan akal semata-mata. Walhal, hukum Islam bukanlah boleh diukur keberkesanannya berdasarkan anggapan atau pemikiran yang bersifat terhad malah ia merupakan wahyu daripada Allah S.W.T. yang tidak boleh dikritik apatah lagi untuk menafikannya secara mutlak.

            Malah, terdapat beberapa orientalis sebelum beliau seperti Ignaz Goldziher dan Joseph Schacht yang telah mengkritik keautoritian hadis sebagai sumber hukum dengan menyatakan bahawa hadis merupakan ajaran palsu yang muncul antara 200-250 tahun selepas kewafatan Nabi S.A.W. dan kemudian dikaitkan dengan Baginda. Mereka juga mendakwa kitab-kitab hadis sahih tidak mengandungi kata-kata atau perbuatan Nabi SAW, bahkan ia mengandungi anggapan atau tekaan pengumpul-pengumpul hadis seperti al-Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Imam al-Tirmizi, Imam Abu Daud, Imam al-Nasa’i dan Imam Ibnu Majah sebagai hadis sahih atau riwayat-riwayat sahih mengenai kata-kata dan perbuatan Nabi S.A.W.
           
            Jelas di sini bahawa mereka cuba mengaitkan kebenaran fakta dengan akal pemikiran dalam membuktikan bahawa sesuatu kebenaran yang tersimpan dan muncul semula selepas beberapa ketika boleh terdedah dengan unsur-unsur kekurangan atau penyelewengan. Dalam erti kata yang mudah, kebenaran itu tidak semestinya bersifat kekal malah perlu dikaji semula akan kesahihannya agar bersesuaian dengan keperluan akal dan keadaan kehidupan semasa.




BAB TIGA

PEMIKIRAN ANTI HADIS DI MALAYSIA

PENDAHULUAN

Tonggak asas Islam ialah al-Qur’an dan al-Sunnah. Usaha mana-mana pihak untuk  merosakkan asas ini senantiasa wujud, lebih-lebih lagi berkaitan dengan al-sunnah. Sebagai  contoh, di Malaysia, terdapat idea, pandangan, buku, risalah dan kumpulan yang dianggap cuba menidakkan autoriti al-sunnah, mempertikaikan keabsahan bahkan melemparkan tomahan-tomahan liar ke atas al-sunnah. Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa agama Islam  di Malaysia telah mengharamkan anti hadith. Ini kerana ia telah merobohkan asas penting dalam Islam, lebih-lebih jika dilihat peranannya dalam agama.

KEMUNCULAN ANTI HADIS DI MALAYSIA

PELOPOR GERAKAN ANTI HADIS DI MALAYSIA

Pergerakan anti hadis di Malaysia telah dipelopori oleh Kassim Ahmad, iaitu seorang pengasas Parti Sosialis Rakyat Malaysia yang  berasal dari Kulim, Kedah. Beliau pernah belajar di Universiti Malaya, Singapura dan aktif dalam University Socialist Club. Disertasi beliau bertajuk 'Perwatakan Hang Tuah' pada 1950an mencabar persepsi tradisional Melayu bahawa Hang Tuah seorang hero.[2] Beliau pernah menjadi pegawai penyelidik DBP dan menyusun buku Hikayat Hang Tuah. Selepas itu bertugas sebagai pensyarah di School of Oriental and African Studies, Universiti London, London.

            Pandangan, pemahaman dan idea beliau berkaitan hadis Nabi SAW banyak menimbulkan kontroversi kerana bercanggah dengan agama Islam. Beliau bersama-sama rakan-rakannya seperti Othman Ali dan Abdul Manan Harun mula mengembangkan fahaman ini pada tahun 1985. Awal ideanya telah dikembangkan menerusi penulisan artikel yang bertajuk “Penolakan Teori Ahli-ahli Hadis” di dalam ruangan “Berani Kerana Benar” dalam akhbar Watan. Pada September 1985, Kassim Ahmad telah menganjurkan sebuah Majlis Diskusi yang membahaskan berkenaan “Teori Hadis” di Pejabat ALIRAN (ALIRAN KESEDARAN RAKYAT) di Jalan Sungai Nibong, Bayan Baru, Pulau Pinang dan juga di rumah beliau sendiri di No. 8, Jalan Gajah, Tanjung Bunga, Pulau Pinang. Berikutan itu, beliau telah dikecam oleh para ulama’ atas doktrin sesatnya itu dan pihak kerajaan telah membatalkan beberapa siri ceramah beliau yang telah dirancang untuk diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor Darul Ehsan.
           
            Seterusnya pada bulan Mei 1986, Kassim Ahmad telah menulis sebuah buku yang bertajuk “Hadis: Satu Penilaian Semula” terbitan Media Intelek Sdn. Bhd. Di dalam buku tersebut, Kassim menceritakan bagaimana ia mendapat idea berkenaan penilaian semula hadis berasaskan pembacaannya melalui buku-buku tulisan Dr. Rashad Khalifa seperti “The Computer Speaks: God’s Message to the World”, “Quran The Final Scripture”, “Quran, Hadith and Islam” dan “Quran Visual Presentation of the Miracle”. Beliau juga cuba untuk membuktikan andaiannya bahawa hadis merupakan satu perkara yang diada-adakan dan dikaitkan dengan Nabi Muhammad S.A.W serta dianggap sebagai salah satu dari punca perpecahan dan kemunduran umat Islam. Atas faktor ini, maka kerajaan telah mengharamkan buku tersebut melalui Warta Kerajaan bertarikh 10 Julai 1986.

            Selepas buku ini diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri, Kassim Ahmad telah \ menubuhkan Jema’ah al-Quran Malaysia atau lebih dikenali sebagai JAM di Universiti Malaya, Kuala Lumpur yang kemudiannya diikuti dengan Persatuan Falsafah Malaysia. Motif penubuhannya ialah menyeru umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia kembali kepada ajaran Tuhan dalam kitab suci-Nya iaitu al-Quran.
           
            Tidak cukup dengan itu, ideologi mereka juga mendapat dokongan beberapa Public Figure di Malaysia yang memang terpengaruh dengan idealism sosialisme iaitu fahaman yang menentang dominant tradition dalam segenap perkara. Mereka terdiri dari pelbagai kerjaya (seperti guru, wartawan, penulis bebas, jurutera, peguam dan sebagainya) yang kononnya ingin kelainan dan pembaharuan dalam pemikiran Islam di Malaysia. Mereka memang sejak mula mengagumi Kassim Ahmad - dikatakan mempunyai pemikiran yang sepuluh tahun lebih advance daripada manusia biasa. Contoh yang kerap diberikan adalah pandangan Kassim Ahmad di dalam kajiannya tentang kisah pertikaman Hang Jebat dengan Hang Tuah.

            Semasa kajian ini dihasilkan pada tahun 1970, semua pihak menentang pandangan Kassim Ahmad yang menyatakan Hang Jebat berada dipihak yang benar berbanding dengan Hang Tuah kerana berpegang teguh dengan prinsip raja yang adil disembah dan raja yang zalim disanggah. Mengikut pendokong Kassim Ahmad, ternyata sepuluh tahun kemudiannya apabila timbul isu imuniti raja-raja Melayu,[3] pandangan Kassim Ahmad ini memang diterima ramai.

            Di peringkat awalnya, penganut JAM ini memang diberi ruang yang luas untuk menyebarkan fahaman ini dalam media massa di Malaysia, khususnya akhbar media perdana. Contohnya Syed Akbar Ali (ahli jawatankuasa pusat JAM) telah diberi ruang (kolum) khusus dalam akhbar Berita Minggu. Ia mempergunakan kolum ini untuk menyebarkan fahaman JAM.[4] Namun begitu, apabila mendapat tentangan daripada pelbagai NGO Islam kolum ini kemudiannya telah ditutup.[5] Akibatnya, perkembangan JAM ini menjadi semakin lemah dan kurang mendapat sokongan daripada masyarakat awam.

            Dalam perkembangan terbaharu, JAM ini telah bergabung dengan gerakan Liberalism lain di Malaysia dengan bertopengkan gerakan pembaharuan Islam berhadapan dengan budaya taqlid yang diamalkan oleh majoriti umat Islam. Mereka cuba menarik perhatian umat Islam dengan mengemukakan teori bahawa ajaran Islam memadai dengan hanya berpandukan al-Quran serta kajian saintifik menerusi akal. Walau bagaimanapun, awal-awal lagi pertubuhan ini gagal didaftarkan kerana tidak mendapat kebenaran daripada Kerajaan Malaysia.

            Pada Oktober 1992, Selepas banyak berdebat dengan pelbagai pihak berwibawa, akhirnya beliau dengan pendirian yang sama telah menulis sebuah buku yang bertajuk 'Hadis : Jawapan Kepada Pengkritik', terbitan Media Intelek Sdn. Bhd. Beliau sebenarnya mengkritik penggunaan hadis sebagai sumber perundangan Islam. Maka, kerajaan sekali lagi telah mengharamkan buku berkenaan melalui Warta Kerajaan yang bertarikh 21 April 1994.

            Dalam perkembangan yang lain, Othman Ali telah menghasilkan karyanya yang bertajuk “Bacaan” yang merupakan terjemahan dari kalimah al-Quran. Keseluruhan kandungan “Bacaan” ini adalah himpunan “tafsiran selapis” beliau terhadap setiap bilah ayat al-Quran yang berbahasa Arab. Oleh itu, kerajaan telah mengharamkannya melalui warta bertarikh 22 Julai 1995.
Seterusnya pada 11 Jun 1995.




FAKTOR-FAKTOR PENOLAKAN HADIS OLEH KASSIM AHMAD

Terdapat beberapa faktor tertentu yang dikemukakan bagi menolak autoriti hadis sebagai sumber perundangan Islam. Namun, ia boleh ditinjau melalui tiga sudut pandangan iaitu akidah, syariah dan akhlak. Antaranya ialah:


5.1 Akidah

a) Kassim Ahmad menganggap hadis merupakan satu penyelewengan daripada ajaran-ajaran Nabi Muhammad S.A.W. dan tidak boleh diterima sebagai sumber perundangan Islam. Malahan, ia dianggap muncul selepas kewafatan Rasulullah S.A.W. lalu dikaitkan dengan Baginda.

b) Al-Quran adalah wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. melalui Malaikat Jibril serta dianggap telah lengkap, sempurna dan terperinci. Oleh itu, al-Quran tidak memerlukan sebarang bentuk penghuraian mahupun pentafsiran.

c) Beliau juga beranggapan bahawa umat Islam telah menyeleweng dari ajaran Tuhan yang sebenar. Ajaran Tuhan yang sebenar adalah semasa zaman Nabi Muhammad S.A.W. sebagai Nabi terakhir serta yang dibawa oleh Baginda ialah al-Quran dan tidak ada yang lain daripada itu.

d) Malahan, hadis dianggap sebagai satu catatan sejarah yang boleh dan perlu dikaji oleh para penyelidik untuk memahami dan menilai zaman itu.

e) Lafaz dua Kalimah Syahadah yang diucapkan oleh umat Islam kini adalah dilarang oleh al-Quran kerana syahadah yang diwajibkan hanyalah لا إله إلا الله .

f) Beliau turut menolak kepercayaan kepada Qada’ dan Qadar yang merupakan salah satu perkara terpenting dalam Rukun Iman. Hanya kerana ia dinyatakan melalui hadis lalu dianggap bertentangan dengan apa yang terdapat di dalam al-Quran) Tafsiran berkenaan kalimah dalam surah al-Baqarah ayat 2
ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ ٢
yang ditafsirkan oleh al-Imam al-Syafie sebagai sunnah atau hadis adalah tidak munasabah. Kassim Ahmad telah merujuk tafsiran oleh Maulana Muhammad Ali yang menyatakan bahawa kalimah ) ٱلۡكِتَٰبُ ( adalah salah satu nama .
h) Seterusnya, beliau menghuraikan maksud ayat al-Quran dalam surah al-Nisa’ ayat 59 iaitu:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah…
Beliau menyatakan bahawa kita disuruh mentaati Rasul ialah mentaati perutusannya dan bukan mentaati Nabi Muhammad S.A.W.

i) Dengan merujuk surah al-Ahzab ayat 21:
لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا ٢١
Maksudnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik,

Beliau menyatakan bahawa ayat ini tidak bermaksud untuk merujuk kepada gerak geri dan kelakuan Nabi Muhammad S.A.W. seperti cara beliau makan, pakai, tidur dan sebagainya. Ia sebenarnya merujuk kepada keyakinan, pegangan, pendirian dan perjuangan. Malahan, semua kelakuan dan gerak geri seseorang itu ditentukan oleh faktor-faktor seperti kebudayaan, pendidikan, semasa, tempat dan perbuatan.

5.2 Syariah

a) Menolak sebarang bentuk kaifiat solat daripada hadis malahan beliau menganggap amalan solat ini telah diwarisi sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. lagi. Seterusnya, bilangan waktu solat hanyalah tiga kali sehari semalam dan bukan lima kali serta bilangan rakaat yang boleh dikerjakan dengan minimum satu rakaat sahaja. Manakala, bahasa yang digunakan semasa mengerjakan solat adalah tidak terhad kepada bahasa Arab sahaja bahkan boleh menggunakan apa jua bahasa termasuk semasa membaca surah al-Fatihah.

b) Kassim Ahmad dalam satu kenyataannya di dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14 Ogos 1995, telah menyatakan bahawa wanita Muslimah boleh memakai apa sahaja pakaian walaupun hal keadaannya mendedahkan anggota tubuh badan dengan syarat ia hendaklah bersopan dan tidak menyalahi adat serta budaya masyarakat setempat. Menurutnya, aurat ialah menutup bahagian sulit yang menjadi perkara sumbang kepada masyarakat jika didedahkan. Beliau juga turut menyebut bahawa tanda pada aurat ialah wuduk. Dengan berasaskan penaakulan beliau, sekiranya kepala itu ditutup nescaya Allah tidak menyuruh agar menyapunya.

5.3 Akhlak

a) Menurut golongan ini lagi, apa-apa bentuk penghormatan, penghargaan mahupun kecintaan terhadap Rasulullah S.A.W. tidak bermakna untuk mendewa-dewakan Baginda sehingga meletakkan kata-kata dan perbuatan Baginda sebagai wahyu dan setaraf dengan al-Quran.

b) Seorang pengikut anti Hadis bernama Wadan Kassim dalam tulisannya di dalam akhbar Berita Harian bertarikh 14 Julai 1995 telah meyamakan kedudukan ulama’ dengan pendita-pendita berdasarkan pemahamannya terhadap ayat al-Quran.

c) Puan Kalsom Abd. Rahman telah menulis sepucuk surat kepada BAHEIS bertarikh 15 Disember 1994 yang antara lainnya menyatakan bahawa kedudukan Rasulullah S.A.W. adalah sama seperti posmen yang hanya menyampaikan ajaran al-Quran tanpa perlu kepada sebarang bentuk penghuraian mengenainya.

d) Golongan anti hadis ini tidak menghuraikan penjelasan mereka menurut disiplin-disiplin ilmu yang telah digariskan oleh Islam. Ia hanya menggunakan pendalilan secara aqli dan kaedah saintifik semata-mata tanpa berpandukan al-Quran, Hadis, Ijma‘ Ulama’ dan Qiyas. Di samping itu, mereka juga tidak merujuk kepada kitab-kitab muktabar dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran dan perkara-perkara yang berkaitan dengan akidah dan syariah. Malahan mereka hanya merujuk kepada buku-buku yang ditulis oleh orientalis barat seperti Dr. Rashad Khalifa, Ignaz Goldziher dan Joseph Schacht.

HUJAH-HUJAH PENYANGGAHAN

Terdapat beberapa hujah yang boleh dikemukakan di sini bagi menjawab beberapa tuduhan palsu yang dilemparkan oleh golongan anti hadis mengenai peranan hadis sebagai sumber kedua dalam perundangan Islam. Antaranya ialah:

a) Semua ayat-ayat al-Quran yang diturunkan ada yang bersifat mujmal, mutlak dan umum dan bukanlah semua ayat didatangkan secara terperinci sepertimana yang didakwa. Rasulullah S.A.W. telah diutuskan yang antaranya sebagai penghurai dan pentafsir kepada ayat-ayat al-Quran yang bersifat mujmal dengan ayat-ayat yang bersifat bayan serta ayat-ayat yang bersifat mutlak dengan ayat-ayat yang bersifat muqayyad dan ayat-ayat yang bersifat umum dengan ayat-ayat yang bersifat khusus. Segala bentuk ibadat tidak dapat dilaksanakan tanpa bimbingan hadis. Sebagai contoh, kaifiat ibadat solat banyak diperolehi melalui hadis sedangkan ayat yang terkandung di dalam al-Quran hanyalah perintah untuk mengerjakan solat yang bersifat mujmal.

b) Terdapat beberapa tafsiran berkenaan kalimah (ٱلۡكِتَٰبُ) . Antaranya ialah sepertimana yang dinyatakan di dalam kitab Tafsir al-Khazin bahawa Qatadah telah menafsirkan bahawa kalimah )ا ٱلۡكِتَٰبُ ( ialah al-Sunnah iaitu hadis. Manakala di dalam Tafsir al-Baghawi, Mujahid telah menafsirkannya sebagai orang yang faham al-Quran. Muqatil pula menyatakan bahawa ia merupakan beberapa peringatan dan hukum yang ada dalam al-Quran. Seterusnya, Qutaibah pula menafsirkannya sebagai ilmu dan amal. Semua ini merupakan tafsiran daripada Tabi‘in yang merupakan anak-anak murid kepada seorang sahabat yang bernama Abdullah bin Abbas r.a.

c) Kalimah (وَأَطِيعُواْ) dalam surah al-Nisa', ayat 59 adalah bersifat menyeluruh dan bukanlah hanya dengan taat kepada perutusan Baginda semata-mata malah ia turut mencakupi agar taat kepada perkataan, perbuatan dan persetujuan Rasulullah S.A.W. yang dikategorikan sebagai Sunnah.

c)      Kalimah (أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ  ) dalam surah al-Ahzab ayat 21 merujuk kepada segala bentuk perbuatan Rasulullah S.A.W. yang bersifat ) التشريع ( sebagai contoh ikutan kepada umatnya. Ia menjadi perundangan Islam yang wajib ditaati dan dilaksanakan oleh umat Islam. Manakala, gerak-geri dan kelakuan Baginda yang merupakan kebiasaan kepada manusia bukanlah dianggap sebagai Syariat yang wajib untuk diikuti. Begitu juga perkara-perkara tertentu yang dikhususkan kepada Baginda seperti mengahwini wanita tanpa mahar adalah keizinan yang diberi oleh Allah S.W.T. khusus kepada Baginda.


BAB EMPAT
AKIBAT DAN KESAN  PEMIKIRAN ANTI HADIS DI MALAYSIA

Pengaruh Pemikiran Golongan Antihadis terhadap umat Islam di Malaysia

Pemikiran antihadis bukanlah bersumberkan al-Qur'an, sunah dan sumber-sumber syariat Islam yang lain. Pemikiran antihadis dan sekutu-sekutunya kalau diukur dan dikategorikan, ia paling baik pun berada pada kedudukan yang ketiga daripada empat[6] aliran besar pemikiran Islam. Aliran tersebut ialah aliran yang melebihkan akal daripada wahyu. Dalam banyak perkara mereka sebenarnya berada pada kedudukan yang keempat iaitu aliran yang menggunakan akal semata-mata dan tidak menghiraukan nas. Pemikiran antihadis walaupun ia bermula daripada luar iaitu datang daripada orientalis yang secara jelas menjadi musuh Islam, ia telah berkembang biak dalam kepompong Islam. Pemikiran ini telah menjadi duri dalam daging yang telah merobek kesucian Islam dan bila-bila masa sahaja ia boleh menghancurkan syariat Islam. Pengaruh GAH kepada umat Islam dapat dilihat menerusi kewujudan pemikiranpemikiran mereka dalam benak umat Islam. Umat Islam di Lembah Klang yang mempunyai latar belakang yang berbeza kadang kala tidak menyedari bahawa sesetengah pegangan pemikiran mereka itu adalah pemikiran GAH. [7]Hasil kajian yang lalu mendapati pengaruh pemikiran GAH kepada umat Islam secara keseluruhannya berada pada tahap pengaruh yang rendah (min=1.22, sp=0.423) yang diwakili oleh 78.9% responden. Situasi ini berlaku pada kedua-dua kategori iaitu akidah dan syariat. Pengaruh GAH yang sederhana rendah, sederhana tinggi dan tinggi hanya didapati pada sejumlah yang sedikit di kalangan umat Islam di Lembah Klang iaitu kira-kira 21.1%. Kajian ini juga mendapati pengaruh GAH dalam akidah adalah lebih tinggi daripada pengaruh GAH dalam syariat.


a. Akidah


Pengaruh GAH dalam akidah adalah pengaruh yang berkaitan dengan kepercayaan dan pegangan yang dalam kajian ini meliputi; asas-asas Islam, keistimewaan para nabi dan perkara-perkara ghaib. Pengaruh pemikiran GAH kepada umat Islam dalam akidah secara keseluruhannya berada pada tahap terpengaruh yang rendah yang diwakili oleh 71.6% responden. Pengaruh GAH yang sederhana rendah melibatkan kirakira 27.3% responden. Manakala pengaruh yang sederhana tinggi dan tinggi hanya didapati pada sebilangan kecil responden (1.1%).[8] Adalah didapati satu isu sahaja yang mempunyai tahap pengaruh yang sederhana rendah iaitu isu nabi hanya mempunyai satu mukjizat sahaja iaitu Al-Qur'an. Manakala, isu-isu yang lain berada pada tahap pengaruh yang rendah. Kejayaan GAH mempengaruhi akidah umat Islam terbukti apabila didapati terdapat segelintir daripada responden yang tidak memperakui bahawa seorang nonmuslim yang ingin memeluk Islam mesti mengucap dua kalimah syahadat. Menurut GAH, syahadat bukanlah penentu keislaman seseorang. Syahadat bagi mereka bukanlah perkara yang dirukunkan dengan hujah ia tidak disebut di dalam Al-Qur'an. Bagi mereka, untuk menjadi seorang Islam haruslah menerima petunjuk daripada Allah iaitu apa yang disuratkan-Nya dalam Al-Qur'an. Hasil kajian ini mendapati kira-kira 21.1% tidak berani memperakui bahawa hadis adalah sumber hukum Islam. GAH menolak hadis sebagai sumber hukum dengan berpandangan hadis bukanlah hujah sehingga boleh dijadikan sumber hukum dan sebagainya seperti Al-Qur'an. Terdapat banyak hadis-hadis (menurut mereka) yang bercanggah dengan Al-Qur'an. Penemuan pengkaji ini berlainan dengan penemuan Deden Suparman (2003), beliau telah menemukan kesemua responden (100%) mengakui bahawa hadis adalah undang-undang dan hujah dalam Islam. Perbezaan dapatan ini boleh jadi disebabkan oleh keterhadan jumlah responden beliau yang berjumlah 100 orang berbanding dengan jumlah responden pengkaji iaitu 800 orang. Penemuan pengkaji ini dikuatkan lagi dengan sebuah e-mail yang dihantar oleh seorang pemuda kepada pengendali laman web e-bacaan. Asalnya pemuda ini seorang yang bersetuju dengan hadis Nabi S.A.W. kemudian beliau berpegang pula bahawa rujukan umat Islam hanyalah Al-Qur’an.

Kajian ini mendapati sedikit sahaja daripada responden tidak memperakui bahawa qada’ dan qadar adalah rukun iman. Menurut pandangan GAH, rukun iman yang sebenar ialah lima perkara iaitu; beriman kepada Allah, beriman kepada rasul, beriman kepada malaikat, beriman kepada kitab, dan beriman kepada hari kiamat. Beriman kepada qada’ dan qadar adalah tambahan yang tidak pernah dinyatakan oleh Allah. GAH juga berpemikiran para nabi adalah manusia biasa yang tidak mempunyai apa-apa keistimewaan. Sehubungan dengan itu, didapati sedikit daripada responden tidak memperakui kemaksuman para nabi. Menurut pemikiran GAH, jika para nabi itu maksum, mereka bukan lagi manusia, bolehkah mereka menjadi teladan kepada manusia? Terdapat sedikit daripada responden yang tidak berani memperakui bahawa Nabi S.A.W. boleh memberi syafaat di hari akhirat. Menurut GAH, pada hari Kiamat, semua manusia sama di hadapan Tuhan. Tiada siapa yang boleh menolong orang lain, dan Nabi Muhammad tidak mempunyai syafaat pada hari itu, seperti yang didakwa dalam hadis. Kajian juga mendapati kurang separuh daripada responden yang tidak memperakui bahawa Nabi S.A.W. mempunyai mukjizat selain daripada Al-Qur'an. GAH berpendapat, mukjizat-mukjizat lain seperti bulan terbelah adalah satu pembohongan, sekiranya kejadian ini betul-betul berlaku, nescaya ia turut disaksikan oleh orang lain di serata dunia.

            Bertunjangkan akal semata-mata, GAH telah menolak beberapa perkara ghaib. Penolakan maklumat ghaib ini telah mula meresap ke dalam pemikiran umat Islam. Melalui kajian ini, didapati sedikit daripada responden tidak berani memperakui kemunculan Imam Mahdi satu masa kelak. Segelintir daripada mereka pula tidak mengakui bahawa Dajjal akan muncul satu ketika nanti. GAH tidak percaya dengan kedatangan

            Imam Mahdi dan Dajjal di akhir zaman kerana ketiadaan kenyataan tersebut dalam Al-Qur'an. Bagi mereka, kewujudan fakta berkenaan dengan kemunculan Imam Mahdi dan Dajjal dalam hadis-hadis Nabi tidak boleh mengatasi Al-Qur'an. Berhubung dengan kewujudan azab kubur pula didapati segelintir daripada mereka tidak memperakuinya. Iktikad GAH ialah azab kubur adalah sesuatu yang dongeng dan ciptaan palsu ulama terdahulu. Bagi mereka, Allah tidak akan menghukum manusia sebelum dibicarakan di Padang Mahsyar. Mati ibarat tidur dan jangka waktu antara mati dengan hari pembalasan bagi mereka (yang sudah mati) adalah terlalu cepat. Kajian juga mendapati sedikit daripada responden tidak mengakui kemunculan Nabi Isa a.s. di akhir zaman. Nabi Isa bagi GAH telah wafat dan mereka mempertikaikan kenyataan hadis yang menjelaskan bahawa Nabi Isa akan turun semula ke bumi dan membunuh Dajjal.

b. Syariat


Pengaruh GAH dalam syariat adalah pengaruh yang berkaitan dengan pengamalan dan hukum-hakam dan dalam kajian ini difokuskan kepada; ibadat, syariat Islam dan hukum. Pengaruh pemikiran GAH kepada umat Islam dalam syariat secara keseluruhannya juga berada pada tahap pengaruh yang rendah (min=1.23, sp=0.446) yang diwakili oleh 77.5% responden. Pengaruh GAH yang sederhana rendah berlaku pada kira-kira 21.8% responden. Manakala pengaruh yang sederhana tinggi dan tinggi hanya didapati pada sebilangan kecil responden iaitu 0.6% dan 0.1%. Kajian ini mendapati dua isu sahaja yang mempunyai tahap pengaruh yang sederhana rendah iaitu isu berkhatan tidak disyariatkan dan isu ulama tidak semestinya orang yang pakar dalam agama. Manakala, isu-isu yang lain berada pada tahap pengaruh yang rendah.

            Kejayaan GAH mempengaruhi umat Islam dalam perkara syariat disokong lagi apabila didapati tidak kesemua responden bersetuju dengan pensyariatan solat lima waktu sehari semalam. Terdapat sebilangan kecil (0.9%) daripada responden tidak memperakuinya. Bagi GAH atau sebahagian daripada mereka, sembahyang yang disyariatkan ialah tiga sahaja iaitu; Maghrib, Isyak dan Fajar. Menurut mereka juga, cara solat dalam Al-Qur'an adalah senang serta mudah diubah menurut keadaan dan keikhlasan diri. Umpamanya bilangan rakaat. Ia tidak disebut sama sekali dalam Al-Qur'an, dan dengan ini ia memberi peluang kepada umat untuk menunjukkan keikhlasan dalam melakukan solat mereka, sama ada untuk memanjangkan atau memendekkannya.[9] Menurut Kassim Ahmad (Jun 2000 ):

Sesetengah anggota kita masih tidak jelas tentang perkara ini. Harus kita faham bahawa salat itu berasal dari Nabi Ibrahim (Al-Qur'an, 2:127-28), bukan dari Nabi Muhammad, seperti yang didakwa dalam hadis. Salat diturunkan generasi demi generasi dari Nabi Ibrahim hingga ke Nabi Muhammad dan seterusnya hingga datang kepada kita sekarang. Oleh yang demikian, salat itu sudah menjadi satu cara sembahyang yang khusus bagi orang Islam. Cara yang kita terima turun-temurun ini boleh dipakai dengan syarat cara itu tidak bercanggah dengan ajaran Al-Qur'an. Umpamanya, waktu, wuduk, berpakaian elok, berdiri mengadap qiblat, bacaan dengan suara sederhana, tidak menyeru selain Allah, rukuk dan sujud itu disebut dalam Al-Qur'an. Yang lain yang tidak disebut, seperti apa yang patut dibaca dan rakaat, dan dengan demikian boleh kita lakukan mengikut kelaziman atau mengikut kesesuaian.

            GAH juga menolak beberapa amalan sunat. Pemikiran GAH ini telah meresap ke dalam fikiran umat Islam. Menerusi kajian ini, didapati segelintir daripada responden tidak memperakui kelebihan amalan pada malam laylah al-qadr. Bagi GAH, penantian malam tersebut adalah sia-sia kerana malam laylah al-qadr berlaku sekali sahaja iaitu pada malam diturunkan al-Qur'an. Berhubung dengan amalan selawat ke atas nabi pula didapati segelintir daripada mereka juga tidak memperakui kesunatannya. Berselawat ke atas nabi dianggap mendewakannya dan ini adalah dilarang. Manakala pemakaian jubah, serban dan janggut pula didapati sedikit daripada mereka tidak berani memperakui bahawa amalan tersebut adalah sunah nabi S.A.W. Menurut GAH, amalan ini adalah amalan orang Arab yang tiada kaitan dengan Islam, cuma kebetulan Nabi S.A.W. itu orang Arab lalu baginda memakai pakaian tersebut.

            Menerusi kajian ini, didapati terdapat kurang daripada 30% daripada responden tidak berani membuat pengakuan bahawa ajaran-ajaran Islam yang ada sekarang merupakan wahyu daripada Allah dan ajaran RasulNya. Malah segelintir daripada mereka pula bersetuju bahawa kebanyakan amalan tersebut adalah ciptaan para ulama dan bersetuju agar ajaran-ajaran Islam yang sedia ada dinilai semula. Menurut GAH, penilaian semula harus dibuat agar bertepatan dengan zaman dan menyenangkan semua pihak. Kewujudan pengaruh GAH pada segelintir umat Islam disemarakkan lagi apabila didapati segelintir responden tidak boleh memperakukan bahawa pembacaan Al-Qur'an mestilah dalam bahasa Arab. Mereka bersetuju bahawa Al-Qur'an semestinya di baca dalam bahasa Melayu dan bukan dalam bahasa Arab. GAH menuduh kemunduran umat Islam sekarang ialah kerana membaca Al-Qur'an dalam bahasa Arab. Menurut mereka, pembacaan Al-Qur'an dalam bahasa Arab menyebabkan pembacanya yang berbangsa Melayu dan tidak tahu bahasa Arab tidak akan memahami kandungan Al-Qur'an. Sekiranya, mereka tidak memahami Al-Qur'an, bagaimana mereka boleh melaksanakan perintah Allah dalam Al-Qur'an.
            Kajian juga mendapati kurang daripada 30% daripada responden tidak berani mengutarakan bahawa sesiapa yang menolak hadis bermakna ia juga menolak Al-Qur'an. Malah segelintir daripada mereka mengatakan menolak hadis tidak bermakna seseorang itu turut menolak Al-Qur'an. GAH berpandangan, menolak hadis/sunah sebagai sumber teologi dan perundangan sama sekali tidak bermakna merendahkan nabi atau tidak menghormatinya. Malah penolakan ini ialah untuk membersihkan nabi daripada ajaran palsu yang telah dikaitkan kepada beliau. Menurut mereka lagi, Al-Qur'an sebuah kitab yang lengkap, sempurna dan terperinci dan tidak memerlukan kitab-kitab lain untuk menyempurnakan dan melengkapkannya. Kajian Deden (2003) pula mendapati kesemua responden bersetuju bahawa mereka yang menolak hadis bererti turut menolak Al-Qur’an dan Nabi S.A.W. Berhubung dengan takrif ulama didapati sedikit daripada responden bersetuju bahawa ulama ialah orang yang mahir dalam sesuatu bidang yang tidak semestinya dalam bidang keagamaan. Menurut GAH, ulama, dalam bahasa Tuhan, bermakna orang yang berilmu, terpelajar, atau pakar dalam sesuatu bidang, sementara sarjana-sarjana atau doktor-doktor agama tidak termasuk dalam golongan ini


            Sebagaimana yang diketahui sebelum ini, GAH turut menolak beberapa hukum yang telah lama disepakati oleh para ulama Islam. Penolakan terhadap beberapa hukum ini turut tersebar ke dalam pemikiran umat Islam. Kajian ini mengukuhkan lagi teori tersebut. Melalui kajian ini, didapati kurang separuh daripada responden tidak berani mengakui kesunatan amalan berkhatan. Segelintir daripada mereka pula mengatakan bahawa amalan tersebut tidak disunatkan. Bagi GAH, amalan berkhatan sama ada untuk lelaki atau perempuan adalah tidak disyariatkan. Mereka berhujah sedemikian kerana tiada nas dalam Al-Qur'an yang mewajibkan perkara ini. Dalam e-mail yang dihantar oleh seorang lelaki kepada pengendali laman web e-bacaan, beliau menyatakan keraguannya terhadap hukum berkhatan dan mempersoalkan kenapa umat Islam mesti mengikuti amalan orang Yahudi itu.
            Dalam permasalahan hukuman rejam bagi penzina yang sudah kahwin pula didapati segelintir (kurang daripada 10%) daripada responden tidak mengakuinya dan tidak mempersetujui pelaksanaan hukuman tersebut. GAH berpendapat, hukuman terhadap pasangan penzina, sama ada telah berkahwin atau tidak ialah seratus rotan sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Al-Qur'an. Hadis Nabi S.A.W. telah membezakan antara dua penzina; penzina yang telah berkahwin dihukum rejam dan penzina yang belum berkahwin disebat seratus sebatan. Perbezaan ini tidak pernah pun dinyatakan oleh Al-Qur'an dan hadis tidak boleh mengatasinya. Hadis yang bercanggah dengan Al-Qur'an ini dikira hadis palsu. Kajian juga mendapati sedikit daripada responden tidak mengakui bahawa amalan murtad wajar dihalang dan mereka tidak bersetuju dengan tindakan tersebut. GAH menolak pelaksanaan hukuman bunuh bagi kesalahan murtad kerana hukuman tersebut tidak dinyatakan dalam Al-Qur'an. Sebaliknya nas Al-Qur'an (menurut mereka) mengharuskan manusia memilih agama masing-masing tanpa boleh dipaksa mereka memeluk sesuatu agama termasuk Islam. Bagi mereka kebebasan beragama adalah mutlak dan tiada dikenakan hukuman di dunia ini.
           
            Berhubung dengan aurat wanita pula, kajian ini mendapati segelintir daripada responden mengakui bahawa rambut wanita tidak termasuk dalam aurat. Kajian ini turut mendapati sedikit daripada mereka mengakui bahawa mereka tidak menjaga aurat mereka. Walaupun kebanyakan responden bersetuju berhubung dengan kewajipan menjaga aurat, namun demikian didapati hanya 83.7% daripada mereka yang menutup aurat. Berbanding dengan golongan lelaki, golongan wanita merupakan golongan yang paling ramai tidak menjaga aurat. Mengikut pandangan GAH, wanita muslim boleh memakai apa sahaja pakaian walaupun mendedahkan anggota-anggota berkenaan dengan syarat ia hendaklah bersopan dan tidak menyalahi adat serta budaya masyarakat setempat. Aurat menurut mereka ialah menutup bahagian sulit yang apabila kita dedahkan menjadi sumbang kepada masyarakat. Kewujudan fahaman yang songsang seperti GAH sekurang-kurangnya telah mengelirukan segelintir umat Islam. Mereka asalnya berpegang bahawa rambut wanita termasuk dalam aurat tetapi kini mula mempertikaikan kesahihannya. Dalam hal ini, Abdullah Nasih Ulwan (1988) menjelaskan bahawa gejala pendedahan aurat yang
berleluasa melalui pelbagai fesyen pakaian yang menjolok mata merupakan antara fitnah yang mengancam usaha mendidik akhlak yang mulia di kalangan remaja.



saranan dan kesimpulan
SARANAN

Pada akhir kajian ini, dikemukakan beberapa saranan kepada pihak-pihak yang berkenaan agar ia dapat dimanfaatkan seterusnya tindakan lanjut dapat diambil agar fahaman anti hadis ini dapat dikekang daripada terus merebak ke dalam jiwa umat Islam seluruhnya.

7.1 Individu
a) Pemantapan ilmu agama secara menyeluruh perlu dilipatgandakan dengan menghadiri kelas-kelas pengajian agama sama ada di masjid mahupun di surau.
b) Sentiasa berhubung dengan institusi-institusi agama seperti Bahagian Penyelidikan, di Jabatan Agama Islam negeri-negeri, Jabatan Mufti, atau melalui badan-badan bukan kerajaan atau NGO dan sebagainya bagi memperoleh sumber maklumat yang tepat berkaitan dengan isu-isu agama seperti ini.
c) Memberi pendedahan awal berkaitan bahayanya anti hadis kepada ahli keluarga dalam memastikan institusi keluarga tidak rapuh dek kegersangan akidah seterusnya bagi melahirkan modal insan yang berjiwa murni dengan pegangan rohani yang kukuh dan sejati.
d) Bekerjasama dengan pihak berkuasa agama melalui aduan maklumat sekiranya terdapat gejala anti hadis yang berlaku agar ia dapat dibendung di peringkat lebih awal.


7.2 Masyarakat
a) Sentiasa mengingatkan atau menasihati anggota setempat agar tidak terlibat dalam apa-apa jua doktrin yang bertentangan dengan agama Islam.
b) Peranan komuniti setempat seperti JKKK , Rukun Tetangga juga tidak terkecuali dalam memastikan setiap aktiviti yang dijalankan oleh penduduk setempat tidak bertentangan dengan nilai-nilai Islam.
c) Bekerjasama dengan pihak berkuasa agama dalam menyalurkan maklumat sekiranya terdapat aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan ajaran Islam dari semasa ke semasa agar tindakan awal dapat diambil seterusnya dapat dilumpuhkan secara tuntas dan bersepadu.

7.3 Institusi-institusi Agama
a) Mengadakan program-program kesedaran tentang bahayanya gejala anti hadis dan fahaman-fahaman lain yang menyeleweng kepada masyarakat sama ada forum, seminar mahupun diskusi agar masyarakat dapat mengetahui hakikat sebenar bahaya anti hadis.
b) Mengedarkan risalah dan buku kepada masyarakat ataupun melalui penulisan artikel di akhbar-akhbar sebagai perkongsian maklumat mengenai bahaya anti hadis serta fahaman-fahaman lain yang bertentangan dengan ajaran Islam.
c) Memantapkan juga program-program tentang bahaya anti hadis ini di kalangan pelajar di institusi-institusi pengajian tinggi atau IPTA agar para pelajar tidak terkeliru dengan unsur-unsur penolakan hadis sebagai sumber hukum dalam Islam seterusnya memantapkan lagi kefahaman mereka tentang nilai-nilai ajaran Islam yang sebenar.

d) Mengadakan program dialog dengan golongan anti hadis bagi mendedahkan hakikat kebenaran mengenai peranan hadis sebagai sumber hukum dalam perundangan Islam. Hal ini penting bagi memastikan agar mereka dapat menilai semula pegangan mereka yang salah dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar seterusnya dapat melumpuhkan lagi pergerakan ini daripada terus tersebar di kalangan umat Islam.

7.4 Pihak Berkuasa Agama
a) Melakukan pemantauan secara berperingkat terhadap pergerakan dan perkembangan golongan anti hadis dari semasa ke semasa.
b) Mengadakan sesi kaunseling bersama golongan anti hadis di Pusat Pemulihan Akidah bagi memastikan agar mereka mendapat bimbingan dan gambaran yang betul mengenai hadis dan kedudukan Baginda sebagai utusan Allah S.W.T.
c) Bekerjasama dengan pihak berkuasa yang lain seperti Polis Diraja Malaysia atau PDRM dalam menjalankan siasatan dan melakukan tangkapan terhadap mereka yang terlibat dengan fahaman anti hadis ini.

FATWA-FATWA PENGHARAMAN ANTI HADITH

Fatwa-fatwa berkenaan pengharaman anti hadith adalah seperti berikut: Johor (1.J.P.U.51
91996), Kelantan (3. NO.4040 (1996), Melaka (2. No. 78 (1996), Pahang (1. No. 720 (1996), Perak (1. No. 139 (1996), Pulau Pinang (7. No. 519 (1996), Selangor (3. Sel. P.U.21 (1995)  (4. Sel. P.U.46 (1995), Wilayah Persekutuan (3. P.U.(B)51. (1996).[10]

            Sebagai contoh, negeri Kedah mengisytiharkan (Rujukan: Minit Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa majlis Agama Islam Negeri Kedah 30 September 1995) bahawa:

i. Mana-mana orang atau kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku Hadis: satu Penilaian Semua, Hadis: Jawapan Kepada Pengkritik, Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu, Hadith Dalam Al-Qur’an, Bacaan, the Computer Speaks-God’s Message to the World atau risalah Iqra’ adalah MURTAD.

ii. Mana-mana orang Islam adalah dilarang:
a.       Untuk mengajar, mempelajari, mengamalkan, berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku Hadis: Satu Penilaian Semua, Hadis: Jawapan kepada pengkritik, Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu, Hadith dalam al-Qur’an, Bacaan, the Computer Speaks-God’s Message to the World atau Risalah Iqra’.
            b. Untuk mencetak, menerbitkan, memiliki, menyebarkan atau mengedarkan buku
   Hadis: Satu Penilaian Semua, Hadis: Jawapan kepada pengkritik, Pendedahan
   kebenaran adalah dari Tuhanmu, Hadith dalam al-Qur’an, Bacaan, the Computer Speaks-God’s Message to the World atau risalah Iqra’ atau manamana bahagiannya termasuk;
   i.   apa-apa bentuk versi atau variasinya,
   ii.  apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa,
   iii. apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada manamana
   buku itu pada atau apa-apa bahan sama ada bahan cetak atau elektronik
   atau selainnya atau melalui apa-apa media atau

iii. untuk menjadi anggota atau memimpin mana-mana kumpulan yang tersebut di dalam perenggan (1) atau membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan kumpulan sedemikian.

            Begitu juga Fatwa di Selangor berkaitan. Buku “Hadis Satu Penilaian Semula” oleh Kassim Ahmad. Ia menyatakan bahawa:[11]

               1) Buku “HADIS SATU PENILAIAN SEMULA” yang ditulis oleh Kassim Ahmad        didapati mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman yang bertentangan dengan            aqidah dan syariat Islam serta boleh mengelirukan dan menyesatkan masyarakat         Islam   dan oleh itu adalah diharamkan.
2) Orang Islam dilarang mengamalkan apa-apa ajaran, pandangan atau fahaman yang terkandung dalam buku itu.
3) Orang Islam dilarang menyimpan, menyalin atau memberikan ceramah tentang isi kandungan buku itu.

            Secara umumnya fatwa-fatwa pengharaman tersebut telah diselaraskan di peringkat pusat dan diterima pakai di peringkat negeri. Ini jelas dengan melihat kandungannya serta perkataan dan ayat-ayat yang digunakan.

Dari contoh fatwa di atas, boleh dirumuskan bahawa:
            1. Berpegang dengan ajaran yang terkandung dalam bahan-bahan anti hadith adalah murtadز
            2. Orang Islam dilarang daripada mengajar, mempelajari, mengamalkan, berpegang atau menyebarkan ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam bahanbahan anti hadithز
            3. Orang Islam dilarang daripada mencetak, menerbitkan, memiliki, menyebarkan atau mengedarkan bahan-bahan anti hadith dalam apa-apa versi/variasi, terjemahan, publisiti (bercetak/elekronik)
            4. Orang Islam dilarang daripada menganggota atau memimpin pertubuhan anti hadith.

            Pemerhatian terhadap fatwa negeri Kedah di atas dan lain-lain negeri menjelaskan bahawa fatwa-fatwa tersebut amat terperinci bagi tujuan menangani ajaran yang menyeleweng yang bertentang dengan Islam. Justeru difahami kenapa pihak berkuasa agama di peringkat pusat dan negeri berusaha bagi menangani, mengawal dan akhirnya mengharamkannya. Malangnya, fatwa-fatwa tersebut setakat yang diketahui tidak dikuatkuasakan sepenuhnya. Selepas pengeluaran fatwa dan kritikan daripada banyak pihak, Kassim Ahmad and JAM menyepi tetapi produktif. Idea dan pemikiran mereka seterusnya dimuatkan di beberapa tapak di Internet.


8. KESIMPULAN

            Sebagai rumusan akhir, dapat disimpulkan bahawa memang diakui bahawa gerakan Anti Hadis lebih merupakan peniru dan hanya menghasilkan reproduction teori serta pandangan yang dibawa oleh orientalism silam. Mereka ini adalah penyambung suara orientalism klasik yang sememangnya memusuhi Islam. Tambah buruk lagi, walaupun sarjana orientalis moden menolak semua teori orientalism klasik yang sesat – Gerakan Anti Hadis masih enggan berubah dan tetap berpegang dengan pandangan mereka. Ini menyebabkan Gerakan Anti Hadis ini telah menjadi musuh kerana kejahilan mereka sendiri yang bakal merosakkan ajaran Islam.

            Walaupun terdapat di kalangan pendokong fahaman ini yang telah dan sedang diambil tindakan undang-undang ke atasnya namun tidaklah bermakna bahawa gerakan ini akan lumpuh secara serta merta. Selagi ada pengikutnya, sudah tentu akan muncul pula pendokong lain di kalangan mereka yang akan menghidupkannya serta cuba untuk meracuni fikiran umat Islam dengan pendekatan yang berlainan. Dalam hal ini Rasulullah S.A.W. telah menegaskan melalui hadis Baginda:
Maksudnya: Daripada Miqdam bin Ma‘dikariba r.a. berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda: “Hampir tiba di suatu masa di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersanda di atas katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya sebuah hadis daripada hadisku maka ia berkata: “Pegangan kami dan kamu hanyalah Kitabullah (al-Quran) sahaja. Apa yang dihalalkan oleh al-Quran kami halalkan dan apa yang ia haramkan maka kami haramkan.” Kemudian Nabi S.A.W. melanjutkan sabdanya: “Padahal apa yang diharamkan oleh Rasulullah S.A.W. samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah S.W.T.” (Riwayat Abu Daud)

            Namun begitu, kesedaran yang tinggi perlu ada dalam diri setiap Muslim terhadap peri pentingnya peranan hadis dalam perundangan Islam bahkan dalam kehidupan manusia itu sendiri. Hal ini kerana, ia bukan sahaja untuk tujuan perlaksanaan ibadah semata-mata malah turut mempengaruhi pegangan iktikad terhadap ajaran Islam. Justeru, semua umat Islam perlu berganding bahu dalam memastikan pegangan yang kukuh terhadap al-Quran dan al-Sunnah dapat ditingkatkan demi menjaga kedaulatan ajaran Islam daripada sebarang bentuk penyelewengan.





[1] 1 Kertas ini dibentangkan di Wacana Pengukuhan Nilai-Nilai Islam –Bicara dan Khutbah bersama Mufti S.S Tan Sri Dato Seri (Dr) Haji Harussani Haji Zakaria pada 25 April 2014 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
[2] http://ms.wikipedia.org/wiki/Kassim_Ahmad
[3] Maklumat lanjut tentang hal ini boleh didapati dalam Ahmad Fawzi Mohd. Basri, (1996) “ Perubahan nilai dalam budaya politik Melayu “, dalam Ahmad Fawzi Mohd. Basri (ed.), NilaiOrang Melayu, Sintok : Sekolah Pembangunan Sosial, UUM, h. 90-101
[4] Zulkifli Mohd,(2002) Anti Sunnah Movement And Its Impact On The Muslim Ummah, Kuala Lumpur : Panawira Sdn Bhd, h. 58-62
[5] Lihat (2002), Kontroversi Mengenai Memo Kepada Majlis Raja-Raja Melayu : Islam Dicabar, Rasulullah S.A.W. Dan Ulama Dihina, Persatuan Ulama Malaysia dan Persatuan Ulama Kedah, Pulau Pinang, h. 1-5
[6] Empat aliran tersebut ialah: 1. Aliran yang bersumberkan wahyu semata-mata, 2. Aliran yang bersumberkan wahyu dan akal, di mana wahyu sebagai asas dan akal sebagai pembantu, 3. Aliran yang bersumberkan akal sebagai asas dan wahyu sebagai penyokong, 4. aliran yang bersumberkan akal semata-mata. Lihat: Abdul Rahman Hj. Abdullah, Falsafah Dan Kaedah Pemikiran, Universiti Sains Malaysia, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. Edisi ke-2, 2005, hlm. 95-99.

[7] Mohd Al’ikhsan bin Ghazali, Sunnah Nabi: Realiti Dan Cabaran Semasa, hlm: 54
[8] Mohd Al’ikhsan bin Ghazali, Sunnah Nabi: Realiti Dan Cabaran Semasa, hlm : 54
[9] http://www.e-bacaan.com/artikel_solat.htm (30 Oktober 2008)

[10] Lihat Koleksi Fatwa Usuluddin. Jild I: Ajaran Salah, Tarikat. UM.I/XU/628/1.
[11] Rujukan Pewartaan : Sel.P.U.21.(Tarikh Pewartaan : 14 September 1995)