DONATE

Selasa, 30 September 2008

Khutbah Raya pada 1 Syawal 1429

“ AIDIL-FITRI HARI KEMENANGAN BAGI UMAT ISLAM ”
( 01 Oktober 2008 / 01 SYAWAL 1429H )


*اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, * اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ
*اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, *وَللهِ الْحَمْدُ

اَللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ للهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاَ.
لاَ اِلَهَ إِلاَّّ اللهُ وَحْدَهُ,
صَدَقَ وَعْدَهُ,
وَنَصَرَ عَبْدَهُ,
وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ.
أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ الله ُ وَحْدَهُ َلا شَرِيْكَ لَهُ, وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَالتَّابِعِينَ وَتَابِعِيْهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلىَ يَوْمِ الدِّيْنِ.

أَمَّا بَعْدُ, فَيَا عِبَادَ الله إِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَاَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.


Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Pada hari yang mulia ini, semua umat Islam di seluruh dunia menyambut hari raya idilfitri yang merupakan hari kemenangan bagi kita semua, kerana telah berjaya menempuh satu ujian yang berat. Sebulan lamanya kita telah berpuasa dengan penuh keikhlasan dan kesabaran dalam menempuh pelbagai ujian dan dugaan, ini semata-mata untuk mencari keredhaan Allah S.W.T.


اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, وَللهِ الْحَمْدُ

Muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian,

Ketahuilah bahawa tidak ada yang lebih menggembirakan kita semua melainkan puasa yang kita laksanakan itu diterima oleh Allah S.W.T. Kita hendaklah sentiasa berdoa semoga Allah S.W.T. menerima segala amalan puasa kita pada tahun ini agar lebih baik dari tahun-tahun yang sebelumnya. Maka pada hari ini kita tambahkan lagi kegembiraan itu dengan ucapan pujian serta kesyukuran kepada Allah, iaitu dengan menunaikan zakat fitrah, melakukan solat sunat hari raya, bersedekah, mengeratkan silaturrahim dan sebagainya. Inilah pengisian penting di hari raya dan inilah yang dimaksudkan kegembiraan bagi orang yang berpuasa. Hal ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah S.A.W. yang berbunyi:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضَعْفٍ, قَالَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ : إِلاَّ الصَّوْمُ فَإِنَّهُ لِيْ وَأَنَا أَجْزِيْ بِهِ, يَدْعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِيْ, لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ : فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ, وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبَّهِ, وَلَخُلُوْفُ فِيْهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ مِنْ رِيْحِ الْمِسْكِ. (رواه البخاري ومسلم)
Maksudnya:
“Semua amalan anak Adam a.s. digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya sehingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza wa Jalla berkata : “melainkan ibadat berpuasa (sahaja), kerana ianya untukku dan aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanan kerana-Ku ”. Bagi orang yang berpuasa mereka akan mendapat dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah Taala daripada bau kasturi.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, وَللهِ الْحَمْدُ

Muslimin dan muslimat yang dihormati sekalian,

Setelah selesai kita berpuasa sebulan pada tahun ini, marilah kita berazam agar segala amalan pada bulan Ramadhan dapat kita terus melakukan sepanjang tahun. Kita tidak mahu amalan di bulan Ramadhan itu hanya dijadikan sebagai adat yang akan dilaksanakan setahun sekali sahaja, bahkan bulan Ramadhan itu sebenarnya adalah sebagai latihan untuk kita amalkan sepanjang masa. Amalan berpuasa bukan sekadar sebagai amalan menahan diri dari makan dan minum atau menjauhi tuntutan-tuntutan biologi semata-mata, tetapi ia adalah suatu bentuk pendidikan untuk menyemai dan mengukuhkan kesedaran dan kewujudan Allah S.W.T. Kesedaran berlandaskan ketakwaan inilah membimbing seseorang ke arah menghasilkan tingkah laku yang baik dan terpuji, di samping tampil sebagai seseorang yang berbudi pekerti, mulia dan menjadi teladan kepada semua.


اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, وَللهِ الْحَمْدُ

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Islam telah mensyariatkan kita semua memulakan pagi hari raya dengan melaksanakan sembahyang sunat hari raya yang mana terkandung di dalamnya ucapan-ucapan syukur, zikir dan doa. Pada hari ini juga, jelas kelihatan semua umat Islam gembira dan riang, dipenuhi dengan suasana ceria dan mesra serta masing-masing saling berkunjungan dan mengucapkan selamat antara satu sama lain. Islam juga menganjurkan umatnya mengambil kesempatan dari hari raya ini dengan memupuk perasaan kasih muhibbah antara satu sama lain, lebih-lebih lagi kepada kedua ibu bapa, kaum keluarga, jiran tetangga, sahabat handai dan masyarakat yang ada di sekeliling kita tanpa mengira pangkat dan usia. Sama-samalah kita manfaatkan kesempatan di hari yang mulia ini untuk bermaaf-maafan dan berbakti sesama manusia yang mungkin jarang sekali kita lakukan di masa-masa yang lain supaya matlamat perayaan hari raya ini akan tercapai.

Di antara amalan-amalan yang sangat dituntut untuk dilakukan dalam kita menyambut hari raya ini ialah:

1. Memperbanyakkan ucapan takbir, tasbih dan tahmid kepada Allah Taala.
2. Amalan ziarah menziarahi bagi mengeratkan hubungan silaturrahim.
3. Memohon kemaafan serta bersedia memberi maaf kepada yang meminta.
4. Amalan bersedekah kepada golongan yang memerlukan.
5. Mengelakkan diri dari melakukan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh agama.

Oleh yang demikian, alangkah rugi serta amat dukacita sekiranya terdapat di kalangan umat Islam pada hari ini yang meraikan hari raya tanpa mengikut panduan yang digariskan oleh Islam. Di antaranya ialah seperti lalai dengan hiburan sehingga lupa mengingati Allah Taala, melakukan pembaziran dalam berbelanja sehingga menyebabkan terpaksa menanggung hutang dan sebagainya.

Oleh kerana itu, Islam mengingatkan kita supaya sentiasa berjimat cermat dengan mewujudkan sifat merancang di dalam berbelanja supaya jangan kita dibebani dengan hutang yang banyak dan menyulitkan untuk membayarnya. Ini kerana kesan hutang yang banyak dan tidak mampu untuk dibayar boleh menyebabkan kita akan diburu oleh pemiutang yang mana boleh mengancam nyawa sendiri dan keluarga.

اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, وَللهِ الْحَمْدُ

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Islam mengajar umatnya walau di mana sahaja berada supaya taat dalam melaksanakan perintah Allah Taala dan meninggalkan larangan-Nya serta sentiasa menjalinkan hubungan baik sesama manusia. Dalam hal ini sekiranya terdapat di kalangan umat Islam atau sesiapa sahaja yang ditimpa kesusahan atau musibah, maka hendaklah segera dibantu samada dari segi tenaga mahu pun kewangan.

Namun begitu, kita merasa amat dukacita bila masih terdapat di kalangan umat Islam di beberapa pelusuk dunia pada hari ini tidak dapat menyambut hari raya sebagaimana sepatutnya kerana mereka sentiasa terbelenggu dengan peperangan, penderitaan, ditimpa pelbagai musibah, kemiskinan dan bermacam lagi. Bahkan sepanjang Ramadhan yang baru sahaja berlalu, masih terdapat di kalangan umat Islam yang hidup di negara-negara yang ditimpa musibah hanya mampu berpuasa dan menyambut hari raya dalam suasana yang dihimpit oleh rasa ketakutan, kekurangan dan serba kedhaifan.

Oleh itu, sebagai umat Islam di negara ini, marilah kita bersyukur kepada Allah Taala kerana kita tidak merasai semua itu dan dapat menikmati kehidupan yang baik serta dapat berhari raya dalam suasana aman tenteram.


Muslimin dan muslimat yang berbahagia sekalian,

Akhirnya, bersempena pada hari yang mulia ini, marilah sama-sama kita sucikan jiwa dengan kembali kepada fitrah sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Selain itu, kita juga hendaklah mengawasi diri dan keluarga kita agar tidak hanyut dengan perkara-perkara yang melalaikan kerana ianya boleh mencacatkan suasana menyambut hari raya.

Firman Allah SWT. dalam surah Ibrahim, ayat : 7


Maksudnya:
“Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”.


بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَآنِ الْعَظِيْمِ, وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ, إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا, وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ, وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ, وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ, فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.


خطبة كدوا عيد الفطرى

* اللهُ أَكْبَر، اللهُ أَكْبَر، اللهُ أَكْبَر * اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
* اللهُ أَكْبَر، وَللهِ الْحَمْدُ.

الْحَمْدُ للهِ الَّذِى لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الأَخِرَةِ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَه، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ سَيِّدُ الْخَلائِقِ وَالْبَشَرِ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ ﭐلْمُتَّقُوْن.

مسلمين دان مسلمات يغ بربهاضيا،
سباضايمان كيت سديا معلوم، رمضان دافت ممبنتوق كمولياءن دان كقواتن جيوا، دمكينله جوض دغن مغلواركن زكاة يغ واجب سام اد زكاة فطرة اتاو زكاة هرتا ترماسوق عملن2 لاءين سفرتي صدقة، صلاة سونة دان سباضايث. هندقث هاري اين بوكنله منجادي نقطه كفد عملن2 يغ دلاكوكن دبولن رمضان. سباليقث دتروسكن د بولن2 برايكوتث. نبى محمد صلى الله عليه وسلم ساغت منكنكن تنتغ فواسا سونة انم هاري دبولن شوال برداسركن حديث يغ دروايتكن اوليه امام ابو داود دري ابو ايوب رضي الله عنه:

" مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ بِسِتٍّ مِنْ شَوَّالٍ فَكَأَنَّمَا صَامَ الدَّهْرَ. "

مقصودث: "سسيافا يغ برفواسا دبولن رمضان، كمدين مغيكوتيث دغن برفواسا انم هاري دبولن شوال، مك سأوله-اوله دي برفواسا سفنجغ تاهون."

اضام إسلام مغنجوركن اضر مشاركت إسلام هيدوف برساتو فادو، بركاسيه سايغ، براخلاق مليا دان تيدق اد فراساءن بنخي-ممبنخي، برفواق-فواق، ممندغ فغكت دان درجت. فرمان الله دالم سورة الحجرات ايات 11:


مقصودث: "واهاي اورغ2 يغ برايمان، جاغنله سكومفولن اورغ لاكي2 مرندهكن كومفولن يغ لاءين، بوليه جادي يغ دترتاواكن ايت لبيه باءيق دري مريك. دان جاغن فولا سكومفولن فرمفوان مرندهكن كومفولن لاءينث، بوليه جادي يغ درندهكن ايت لبيه باءيق. دان جاغنله سوكا منخلا ديريمو سنديري دان جاغن ممغضيل دغن ضلرن يغ مغاندوغ ايجيقن. سبورق-بورق فغضيلن اداله (فغضيلن) يغ بوروق سسوده ايمان دان بارغسياف يغ تيدق برتوبة، مك مريك ايتوله اورغ2 يغ ظاليم."

اخيرث، ماريله سام2 كيت مغمبيل كسمفتن عيد الفطرى المبارك اين اونتوق كيت ممفرتيغكتكن هوبوغن دغن الله سبحانه وتعالى دغن ممبريكن كوميتمن يغ فادو كفد فرينته2 الله سبحانه وتعالى، بضيتو جوض هوبوغن سسام ماءنسي دغن مغهيدوفكن عملن برمعاف-معافن دان ممفركوكوهكن هوبوغن صلة الرحيم. سموض كهيدوفن كيت دبركتي الله سبحانه وتعالى ددنيا دان اخيرة. سلامت هاري راي عيد الفطرى.

اللهُ أَكْبَر، اللهُ أَكْبَر، اللهُ أَكْبَر، وَللهِ الحَمْد.

إِنَّ اللهَ وَمَلآئِكَتَهُ يُصَلُّوْنَ عَلىَ النَّبِىِّ، يآأَيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوْا صَلُّوْا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوْا تَسْلِيْمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

وَارْضَ اللَّّهُمَّ عَنِ الصَّحَابَةِ وَالْقَرَابَةِ أَجْمَعِيْنَ. وَعَنِ التَّابِعِيْنَ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ اْلأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَاْلأَمْوَات. اَللَّهُمَّ أَنْزِلِ الرَّحْمَةَ وَالسَّكِيْنَةَ وَالسَّلاَمَةَ وَالْعَافِيَةَ عَلَى مَلِكِنَا،

سري فدوك بضيندا يغ دفرتوان اضوغ الواثق بالله توانكو ميزان زين العابدين ابن المرحوم سلطان محمود المكتفي بالله شاه. دان راج فرمايسوري اضوغ توانكو نور زاهيره سرتا فوترا فوتريث.

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ مَالِيْزِيَّا وَسَائِرَ بِلاَدِ الْمُسْلِمِيْنَ طَيِّبَةً آمِنَةً مُطْمَئِنَّةً رَخِيَّةً.

اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ وَاَهْلِكِ الْكَفَرَةَ وَالْمُنَافِقِيْنَ اَعْدَاءَكَ اَعْدَآءَ الدِّيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرْ اِخْوَانَنَا الْمُجَاهِدِيْنَ فِيْ لُبْنَانِ، وَفَلَسْطِيْن، وَعِرَاق وَأَفْغَانِسْطَان، وَفِي أَيِّ مَكَانِ الَّذِيْنَ يُجَاهِدُوْنَ فِى سَبِيْلِكَ وَالَّذِيْنَ بَذَلُوْا نُفُوْسَهُمْ فِى دِيْنِكَ. رَبَّنَا آتِنَا فىِ الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى اْلأَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَآئِ ذِى الْقُرْبىَ، وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَآءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْىِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوْهُ عَلىَ نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُوْنَ.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، لاَ إِلَهَ إلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ.

Jumaat, 26 September 2008

PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA MENURUT ADAT PERPATIH DAN SYARIAH

2.1 PENGENALAN

Keunikan Negeri Sembilan adalah dengan sistem Adat Perpatihnya. Namun, ia juga diamalkan di sesetengah daerah di Melaka. Adat ini telah diamalkan sejak zaman-berzaman dan telah diwarisi dari generasi yang terdahulu secara oral. Adat ini dipercayai berasal daripada Minangkabau iaitu sebuah negeri yang terletak di tengah-tengah sebelah barat pulau Sumatera Indonesia. Adat Perpatih adalah satu cara hidup yang lengkap baik dari sistem sosial, jenayah, muamalat, sistem pembahagian harta pusaka, perhubungan di antara suku dan lain-lain lagi.

Kertas kerja ini akan cuba mengkaji dan menilai sistem pembahagian harta pusaka menurut Adat Perpatih. Kertas kerja ini akan mengkaji sistem ini dari aspek sejarah, konsep pembahagian, waris-waris yang terdapat di dalam sistem ini, hak waris-waris dan lain-lain lagi.

2.2 SEJARAH MENGENAI ADAT PERPATIH

Adat Perpatih adalah suatu adat yang diamalkan di Negeri Sembilan, Alor Gajah dan Naning di negeri Melaka. Bagi mereka yang mengamalkan adat ini, pengertian adat di dalam ‘Adat Perpatih’ mengandungi makna yang luas dan pengertian yang amat mendalam. Bagi mereka, Adat Perpatih ini bukan sahaja merangkumi tatatertib dan peraturan-peraturan yang bersangkut paut dengan kebiasaan dan kelaziman yang kecil-kecil seperti memotong tali pusat, mencukur anak, pantang larang dan lain-lain lagi. Tetapi sebenarnya ia merangkumi seluruh kehidupan mereka dari sekecil-kecil peraturan hinggalah sebesar-besar peraturan termasuklah segala undang-undang yang berkaitan dengan pemerintahan negeri. Ianya adalah seolah-olah seperti ‘Perlembagaan’ bagi sesuatu negeri.

Menurut sejarah, Adat Perpatih adalah berasal dari Minangkabau iaitu sebuah negeri yang terletak di tengah-tengah sebelah barat pulau Sumatera Indonesia. Kisah ini telah diceritakan di dalam pantun mereka yang masyur:

Akan hilir ke Inderagiri
Semalam di Padang Panjang
Di mana Adat mula berdiri?
Di Periangan, Padang Panjang

Beratus-ratus tahun dahulu, dikatakan bahawa ramai orang-orang Minangkabau merantau meninggalkan negeri mereka. Mereka merantau ke serata tempat termasuklah ke Semenanjung Tanah Melayu. Setelah mereka merantau, mereka pun membuka penempatan yang baru untuk mereka menetap. Di antara negeri yang mereka menetap ialah Negeri Sembilan hinggalah ke daerah Naning di Melaka. Dari situ, mereka telah memulakan kehidupan mereka dan mula mengembangkan zuriat mereka sehinggalah sekarang. Orang-orang di Minangkabau memang terkenal dengan sikapnya yang berpegang teguh dengan peraturan dan adat yang diamalkan di negeri mereka. Oleh yang demikian, mereka cuba mengamalkan dan memperkenalkan pula peraturan dan adat mereka walaupun mereka berada ditempat yang baru. Bagi mereka adat itu mestilah dipertahankan biar apa pun yang terjadi. Seperti kata semboyan mereka: “Biar mati anak asalkan jangan mati adat”. Maka dari situlah keturunan dan adat mereka berkembang sehinggalah hari ini dengan meletakkan Adat Perpatih sebagai perlembagaan mereka.

Cara hidup yang diamalkan oleh mereka adalah hidup berkaum-kaum atau bersuku-suku. Setiap suku mempunyai nama sukunya masing-masing dan setiap satu suku adalah merupakan satu ikatan kekeluargaan. Dikatakan suku-suku yang terdapat di dalam Adat Perpatih ialah sebanyak 12 suku semuanya. Suku-suku tersebut ialah:

1. Biduanda (‘Dondo) atau waris (wareh)
2. Batu Hampar (‘Tu-ampar)
3. Paya Kumboh (Payo Kumboh)
4. Mungkal
5. Tiga Nenek ( Tigo Nenek )
6. Seri Melenggang ( Somolenggang )
7. Seri Lemak ( Solomak )
8. Batu Belang (‘Tu-Bolang)
9. Tanah Datar ( Tolatar )
10. Anak Acheh (‘Nak-Cheh)
11. Anak Melaka (‘Nak-Molako)
12. Tiga Batu ( Tigo Batu )

Setiap suku itu dipecahkan kepada beberapa bahagian kecil yang dipanggil Perut dan tiap-tiap satu Perut dipecahkan lagi kepada Ruang dan seterusnya dipecahkan lagi pula kepada Rumpun. Setiap Perut dalam satu-satu suku itu mempunyai ketuanya masing-masing yang diberi gelaran Buapak. Manakala setiap anggota atau ahli di dalam Perut itu dikenali sebagai Anak Buah. Dan di atas Buapak pula mempunyai ketuanya sendiri yang dikenali sebagai Lembaga. Dan di atas Lembaga pula terdapat Undang yang memerintah setiap daerah atau dikenali sebagai luak. Kedudukan Undang di dalam luaknya tidak ubah seperti raja dalam negeri-negeri lain. Undang itu mesti menjalankan pentadbiran dan pemerintahan luaknya secara berunding dengan Lembaga-lembaga di dalam luaknya.




2.3 SEBAB DINAMAKAN ADAT PERPATIH

Adat Perpatih diberi nama sempena pengasasnya iaitu orang yang telah mengatur dan menyusun peraturan dan undang-undang yang dikenali sebagai Adat Perpatih. Beliau ialah Dato’ Perpatih atau dikenali sebagai Dato’ Perpatih Nan Sebatang.

Diceritakan bahawa pada zaman dahulu di Minangkabau terdapat dua orang adik-beradik seibu. Di antara kedua adik-beradik tersebut Dato’ Temenggung atau Dato’ Ketemenggungan sebagai anak yang sulung dan Dato’ Perpatih sebagai adik bongsu. Kedua-dua adik-beradik ini telah mewarisi tahkta daripada ayahandanya. Kedua-duanya adalah terdiri daripada kalangan bangsawan dan bijaksana. Ini seperti dikatakan di dalam gurindam yang berbunyi:

Siapa yang cerdik bijaksana?
Pertama Dato’ Perpatih,
Kedua Dato’ Temenggung,
Yang mengetahui jalan dua terepar.

Dikatakan bahawa kedua-duanya memiliki perwatakan dan corak pemerintahan yang berbeza. Contohnya, Dato’ Temenggung tetap berpegang teguh kepada peraturan lama tehadap pembahagian harta pusaka, dimana lelaki mendapat lebih banyak daripada perempuan sedangkan Dato’ Perpatih menyerahkan segala harta pusaka itu kepada kaum perempuan sahaja. Disebabkan perbezaan inilah yang menyebabkan mereka sentiasa berselisih pendapat sehinggakan Minangkabau terpaksa dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama iaitu dibahagian pesisir pantai diperintah oleh Dato’ Temenggung dengan corak pemerintahannya yang datang dari atas. Manakala bahagian kedua iaitu dibahagian darat pula diperintah oleh Dato’ Perpatih dengan mengamalkan corak pemerintahan melalui bawah iaitu melalui rundingan. Maka dari situlah terjadinya dua jenis adat di Minangkabau iaitu adat Temenggung dan Adat Perpatih yang diambil sempena nama pengasas adat masing-masing.

2.4 JENIS HARTA DI DALAM ADAT PERPATIH

Harta ialah sesuatu yang dimiliki oleh seseorang semasa ia hidup samada ianya dimiliki secara sempurna atau tidak. Ia juga boleh didapati secara fizikal ataupun kepentingan seperti saham dan lain-lain. Apabila dia sudah meninggal dunia, harta tersebut akan bertukar kepada harta pusaka. Harta pusaka adalah harta peninggalan si mati meliputi tanah, wang, saham dan harta dalam bentuk benda seperti emas, rumah, kereta dan lain-lain lagi. Dalam Adat Perpatih, harta terbahagi kepada empat jenis iaitu:

1. Harta pusaka adat: lazimnya merujuk kepada tanah kepunyaan sesuatu suku. Harta ini di warisi turun temurun daripada ibu kepada anak perempuan atau kepada saudara perempuan terdekat si mati.
2. Harta pembawa: harta kepunyaan lelaki samada tanah atau sebagainya semasa carian bujang, pemberian ibu bapanya atau harta bahagiannya hasil dari pembahagian harta carian daripada perkahwinan yang dahulu.
3. Harta dapatan: harta kepunyaan perempuan, khususnya tanah pusaka yang diwarisi, harta carian sewaktu belum berkahwin, sewaktu janda dan juga bahagian yang diperolehinya sewaktu bercerai.
4. Harta carian laki bini: harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri. Termasuk dalam harta carian ini juga segala harta yang ditambah oleh harta pembawa dan harta dapatan.

Tetapi, ada juga penulis dan pengkaji yang membahagikan jenis harta di dalam Adat Perpatih ini kepada dua, antaranya ialah M. B. Hooker iaitu:

1. Carian bujang: carian bujang ialah harta yang dicari oleh seseorang semasa dia
belum berkahwin.
2. Carian laki bini: carian laki bini ialah harta yang dicari bersama semasa di dalam perkahwinan. Dimana kedua-dua suami isteri ini ada kepentingan bersama. Apabila berlaku perceraian, maka harta ini akan dibahagikan kepada keduanya.

Di bawah harta carian laki bini ini pula terbahagi kepada dua iaitu:

a) Harta pembawa: harta persendirian yang dimiliki oleh orang lelaki. Harta itu di bawa olehnya sehinggalah dia mendirikan rumah tangga. Harta pembawa ini terdiri daripada tiga jenis harta iaitu:

i. Harta yang diperolehinya sendiri atau lebih dikenali sebagai carian bujang.
ii. Harta yang didapatinya daripada hasil perkahwinannya yang lalu.
iii. Harta yang diperolehinya daripada keluarganya.

b) Harta dapatan: harta yang dimiliki oleh orang perempuan dan dibawanya sehingga ke dalam perkahwinan. Ia diperolehi melalui tiga cara iaitu:

i. Harta yang didapatinya semasa dara, perceraian, ataupun janda dan dikenali sebagai carian bujang atau janda.
ii. Harta yang didapatinya hasil daripada perkahwinan yang lalu, dan
iii. Harta pusaka adat

Kesemua harta ini akan menjadi harta pusaka apabila pemilik harta tersebut meninggal dunia. Mengikut Hans Dieter-Evers yang mengkaji sistem tanah pusaka di Minangkabau, konsep pusaka boleh diklasifikasikan kepada dua jenis, iaitu pusaka tinggi dan pusaka rendah. Harta pusaka tinggi adalah harta yang telah dimiliki oleh lebih dari satu generasi perempuan sementara harta pusaka rendah adalah harta yang belum diperturunkan atau diwariskan lagi tetapi harta ini ada potensi untuk menjadi harta pusaka
tinggi. Harta ini akan menjadi harta pusaka tinggi setelah ianya diperturunkan kepada anak-anak perempuan. Manakala kaum lelaki hanya boleh mewarisi jawatan di dalam sesuatu suku dan mengambil manfaat daripada harta pusaka adat.

2.5 WARIS-WARIS DI DALAM ADAT PERPATIH

Waris ialah orang-orang yang terdekat dan mempunyai hubungan dengan si mati yang mana mereka ini berhak mendapat bahagian di dalam pembahagian harta pusaka. Di dalam Adat Perpatih, waris terbahagi kepada kepada empat iaitu:

1. Anak perempuan si mati: jika anak perempuan si mati hanya seorang, maka semua harta pusaka tersebut akan dimiliki olehnya. Jika si mati mempunyai ramai anak perempuan, maka harta tersebut akan dibahagikan secara persetujuan bersama. Jika tidak ada persetujuan, harta tersebut akan dibahagikan secara sama rata.
2. Waris ikrab: waris ikrab ialah kakak dan adik perempuan si mati. Jika si mati tidak meninggalkan anak perempuan, maka harta tersebut akan turun kepada waris ikrab.
3. Waris bersanak: jika waris ikrab tidak ada, harta itu akan dibahagikan kepada waris bersanak yang terdekat mengikut susunan iaitu:

a) Sanak ibu: sanak ibu ialah keluarga satu pupu.
b) Sanak datuk: sanak datuk ialah keluarga dua pupu.
c) Sanak nenek: anak nenek ialah keluarga tiga pupu.
d) Sanak moyang: sanak moyang pula ialah keluarga empat pupu.

4. Anak angkat: harta pusaka juga boleh diwarisi oleh anak angkat dengan syarat kesemua waris di atas tidak ada atau jika waris yang berhak bersetuju bahagian tersebut ‘diberi’ kepada anak angkat berkenaan. Perkatakaan ‘diberi’ merujuk kepada bahagian yang telah diperuntukan di dalam harta pusaka. Anak angkat yang boleh mewarisi harta pusaka ialah anak angkat yang telah dikedimkan dengan ‘kedim adat’ dan ‘kedim pusaka’ sahaja.

2.6 KONSEP HARTA PUSAKA DI DALAM ADAT PERPATIH

Sebelum kita melihat kepada cara pembahagian harta pusaka di dalam Adat Perpatih, adalah perlu bagi kita untuk memahami beberapa konsep harta pusaka di dalam adat ini.

Pertama sekali adalah kesemua harta pusaka adat adalah hak kepada suku dan bukan hak individu. Berdasarkan konsep ini kita dapati bahawa Adat Perpatih telah menafikan hak milik individu terhadap harta pusaka adat. Manakala harta yang tidak dikategorikan sebagai harta pusaka adat pula seperti kereta, cincin, wang, saham dan lain-lain boleh dibahagikan kepada waris-waris si mati tanpa mendapat persetujuan daripada Lembaga. Adat Perpatih telah mengiktirafnya sebagai hak milik individu kerana ia hasil daripada usahanya sendiri. Hak milik harta pusaka adat yang diberikan kepada masyarakat adat itu adalah hak milik yang terhad. Sehinggakan dalam pembahagian atau pemindahan hak milik, seseorang itu terpaksa mendapatkan persetujuan waris dan Lembaga. Dalam pemindahan hak milik melalui penjualan, waris dan Lembaga berhak menahan penjualan tersebut. Adat melarang harta pusaka adat dijual kepada anggota suku lain. Adat hanya membenarkan pemindahan hak milik berlaku dalam lingkungan suku itu sahaja.

Secara praktiknya, seorang ketua adat tidak pernah membenarkan harta pusaka adat sesuatu suku berpindah milik kepada suku lain. Sekiranya tidak dapat dielakkan, Lembaga akan membenarkan penjualan dengan syarat si pembeli dari suku lain itu bersetuju berkedim pada waris terdekat harta pusaka adat berkenaan dan seterusnya diakui sebagai anggota suku Lembaga tersebut. Oleh itu, harta pusaka adat itu tidak akan berpindah milik kepada suku lain. Selain dari itu, sekiranya pembeli tersebut tidak mempunyai anak perempuan untuk mewarisi tanah pusaka tersebut, tanah itu akan diwarisi semula oleh waris tuan tanah yang menjualnya dahulu. Tanah itu tidak boleh dituntut oleh waris pembeli samada kakak, adik perempuan atau ibunya. Mereka ini tidak berhak ke atas tanah tersebut kerana mereka dianggap berlainan suku. Jika pembeli itu mempunyai anak angkat, anak angkat tersebut tidak berhak ke atas tanah tersebut kecuali Lembaga, Buapak dan waris-waris penjual membenarkan anak angkat pembeli itu dikedimkan kepada waris penjual. Begitu juga jika anak perempuan pembeli yang dilahirkan sebelum pembelian tersebut, ia juga tidak berhak mewarisi tanah pusaka tersebut kecuali ia mahu dikedimkan bersama pada suku penjual. Hanya anak perempuan pembeli yang dilahirkan selepas pembelian dan perkediman dilakukan yang berhak mewarisi tanah pusaka kerana anak perempuan tersebut telah diakui sebagai anggota suku yang baru.

Keduanya ialah mengikut Adat Perpatih, harta carian atau harta pusaka bukan adat setelah diwarisi oleh anggota perempuan akan dianggap sebagai harta pusaka adat. Jika tanah yang dibeli itu ialah tanah pusaka yang dibeli dari suku yang lain, maka pusaka itu akan dinamakan sebagai ‘pusaka tebusan’. Bagi tanah carian yang bukan pusaka, tanah itu akan menjadi tanah pusaka setelah si ibu meninggal dan harta itu pula diwarisi oleh anak perempuannya. Jika tanah bukan pusaka itu kepunyaan si bapa, tanah itu masih dikategorikan sebagai tanah bukan pusaka jika diwarisi oleh anggota lelaki, tetapi setelah diwarisi oleh keturunan anggota perempuan tanah itu akhirnya akan menjadi tanah pusaka adat suku perempuan berkenaan.

Yang ketiga ialah wanita adat sahaja yang berhak untuk mewarisi harta pusaka adat. Merujuk kepada prinsip Adat Perpatih yang utama, keturunan dikira dari nasab ibu dimana perempuan itu yang melahirkan ahli-ahli suku dan menentukan maruah suku tersebut. Oleh itu mereka harus diberikan jaminan hidup. Adat Perpatih juga menetapkan bahawa dalam perceraian suami isteri, anak tetap tinggal dengan ibu atau saudara perempuan ibunya. Memandangkan dari segi tanggungjawab ini, adat menetapkan wanita sahaja yang berhak mewarisi tanah pusaka. Hak mewarisi ini juga adalah kerana memandangkan tanggungjawab wanita terhadap saudara lelakinya seperti dalam perbilangan adat:
Cicir dipungut, hilang dicari
Nyawa, darah waris yang punya
rugi, laba isteri yang punya.

Perempuan yang mewarisi tanah pusaka dikehendaki menunaikan tanggungjawab yang dikenali sebagai ‘hutang pusaka’, antaranya ialah belanja mengisi adat yang berhubung dengan kesalahan perkahwinan, membayar hutang lelaki bujang yang telah meninggal, memberikan tempat tinggal di rumahnya semasa lelaki itu tidak berkahwin, perbelanjaan upacara menyelanggarakan kematian, perbelanjaan menuntut ilmu agama dan membantu dalam perbelanjaan menunaikan haji ke Mekah. Oleh sebab tanah pusaka dianggap kepunyaan Perut atau suku, perempuan yang mewarisi tanah itu hanya berhak mengusahakan tanah tersebut untuk keperluan hidup. Ia tidak berhak untuk menggadai atau menjual kecuali dibenarkan oleh waris-waris dan ketua adat.

Adat Perpatih juga menetapkan bahawa hak milik hanya boleh dipindahkan kepada anggota perempuan masyarakat adat. Sekiranya ada tanah yang hendak dijual, yang boleh membelinya ialah wanita adat sahaja. Dalam hal ini, keutamaan diberi kepada waris ikrab. Manakala bagi orang lelaki pula, adat membenarkan waris lelaki mendapatkan ‘hak pakai’ pada tanah pusaka. Ia boleh mengusahakan tanah tersebut untuk mendapatkan hasil semasa ia hidup. Hak pakai adalah bergantung kepada dua keadaan. Pertama, dengan persetujuan waris perempuan yang jauh kerana ketiadaan waris ikrab untuk mewarisi harta tersebut dan kedua, tanah pusaka itu mempunyai waris ikrab tetapi oleh sebab tertentu waris ikrab membenarkan saudara lelaki mereka untuk mengambil hasil sebahagian daripada tanah pusaka itu. Selain mendapat hak pakai, waris lelaki juga berhak untuk mewarisi jawatan-jawatan seperti Undang, Lembaga yang terdapat di dalam sukunya sahaja.

Keempat ialah tanah pusaka dengan anak angkat. Adat Perpatih mengiktiraf pengambilan anak angkat tetapi adat tidak menentukan bahawa dia berhak mewarisi tanah pusaka ibu angkatnya. Mengikut adat, anak angkat samada melalui ‘kedim tarik’ atau ‘kedim adat dan pusaka’ dinafikan sebagai ‘waris pusaka’. Generasi kedua barulah dianggap sebagai waris pusaka. Oleh itu, anak angkat tidak boleh mewarisi harta pusaka tetapi adat membenarkan anak angkat ‘diberi’ harta termasuk harta pusaka adat. ‘Diberi’ merujuk kepada bahagian yang diperuntukan manakala mewarisi merujuk kepada bahagian yang masih belum diperuntukan. Anak angkat yang boleh mendapat hak milik ke atas harta pusaka adat ialah anak angkat yang telah dikedimkan dengan ‘kedim adat’ dan ‘kedim pusaka’ sahaja.

2.7 CARA PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA MENURUT ADAT PERPATIH

Sebelum ini kita telah melihat pembahagian harta di dalam Adat Perpatih dan apabila pemilik harta tersebut telah meninggal dunia, maka harta tersebut telah terbahagi kepada dua iaitu harta pusaka bukan adat dan harta pusaka adat. Harta pusaka adat juga dikenali sebagai ‘tanah pusaka’ kerana ia melibatkan tanah-tanah seperti tanah sawah, dusun buahan, tanah pertanian dan lain-lain lagi.

1. Harta Pusaka Bukan Adat

Konsep hak milik terhadap harta pusaka bukan adat adalah berbeza dari konsep hak milik ke atas harta pusaka adat. Adat mengiktiraf hak milik individu ke atas harta pusaka bukan adat. Individu itu bebas untuk menjual, menggadai atau mewariskan kepada sesiapa yang dia ingin berikan. Keistimewaan sedemikian terus kekal dinikmati oleh individu itu selagi tanah tersebut kekal dalam perwarisan pada anggota lelaki. Harta pusaka bukan adat selain tanah pula bebas diberikan kepada sesiapa sahaja dan boleh dipusakai oleh anggota lelaki dan perempuan. Ia tidak akan menjadi harta pusaka adat meskipun jatuh ke tangan anggota perempuan. Dalam pembahagian tanah bukan pusaka, penyelesaian adalah seperti berikut:

Apabila berlaku perceraian samada cerai hidup atau mati, harta dapatan akan dikembalikan kepada isteri atau waris isteri. Harta pembawaan akan dikembalikan kepada suami atau waris suami. Harta carian pula akan dibahagikan mengikut sama rata. Tetapi jika harta itu adalah ‘pusaka tebusan’, tanah itu tidak tertakluk kepada pembahagian kerana tanah itu adalah milik isteri. Jika pembahagian itu adalah kerana kematian, bahagian ke atas harta pusaka bukan adat akan terpulang kepada anak si mati yang tinggal. Sekiranya si mati tidak ada meninggalkan anak, semua harta pusaka bukan adat itu akan dimiliki oleh suami atau isteri yang tinggal. Penyelesaian sedemikian terdapat di dalam perbilangan adat:

Pembawa kembali
Dapatan tinggal
Carian bahagi
Mati laki tinggal ke bini
Mati bini tinggal ke laki

Melihat pula pada sistem pemberian, tuan tanah adalah berhak untuk memberi dan menghadiahkannya kepada sesiapa yang ia inginkan.

2. Harta Pusaka Adat

Dalam amalan perwarisan tanah pusaka, penyelesaian atau pembahagian harta pusaka adat akan dilakukan seperti berikut.

Pertama: Lembaga akan menentukan waris-waris yang berhak ke atas tanah pusaka si mati. Mengikut prinsip di dalam Adat Perpatih mengatakan bahawa perwarisan tanah adat adalah berdasarkan kepada waris perempuan terdekat. Waris perempuan terdekat yang dimaksudkan ialah anak perempuan si mati. Perbilangan adat ada mengatakan:

Harta pusaka turun kepada anak
Tiada anak waris ikrab
Tiada waris ikrab waris bersanak
Tiada waris bersanak terpulang kepada suku

Sekiranya si mati tidak meninggalkan anak perempuan, harta itu akan diwarisi oleh waris ikrab. Jika si mati tidak mempunyai waris ikrab, sistem perwarisan akan diturunkan kepada waris bersanak yang terdekat dengan mengikut susunan dimulai dengan sanak ibu, sanak datuk, sanak nenek dan akhir sekali ialah sanak moyang. Sekiranya semua waris-waris ini tiada, tanah ini dinamakan sebagai ‘pusaka pupus’ dan waris lelaki mengikut susunan terdekat berhak menuntut bahagian mereka ke atas tanah tersebut. Mereka tidak boleh mewarisi harta itu, tetapi mereka boleh mengambil hasil tanah tersebut sepanjang hayat mereka atau diserahkan kepada budi bicara Lembaga untuk menyelasaikannya dengan menjualkan tanah tersebut kepada anggota suku. Baki hasil dari penjualan itu akan dibahagikan kepada waris-waris lelaki yang berhak.

Kedua: Lembaga akan menyiasat samada si mati ada meninggalkan hutang atau tidak. Jika si mati ada meninggalkan hutang, waris-waris yang berhak ke atas tanah pusaka si mati itu dikehendaki bersama-sama menyelesaikan hutang si mati terlebih dahulu. Perempuan yang mewarisi tanah pusaka dikehendaki menunaikan tanggungjawab yang dikenali sebagai ‘hutang pusaka’, antaranya ialah belanja mengisi adat yang berhubung dengan kesalahan perkahwinan, membayar hutang lelaki bujang yang telah meninggal, perbelanjaan upacara menyelanggarakan kematian, ‘membeli haji’ iaitu melaksanakan haji jika si mati tidak berkesempatan menunaikannya dan lain-lain lagi. Jika si mati meninggal dunia tanpa melaksanakan hutang tersebut, maka waris-waris yang tinggal dikehendaki menyelesaikan hutang si mati sebelum pembahagian dilakukan.

Tanah pusaka juga boleh dijual sekiranya waris yang berhak itu tidak mampu membayar hutang si mati. Lembaga mengikut budi bicaranya akan menjual sebahagian tanah pusaka tersebut mengikut kadar yang cukup untuk menyelesaikan hutang si mati. Jika terdapat baki, ia akan dibahagikan semula kepada waris-waris yang berhak. Tujunnya adalah menjaga nama baik si mati dan juga nama baik keturunannya dan anggota suku yang tinggal.

Adat Perpatih telah menentukan peraturan bagaimana penjualan harus dilaksanakan iaitu dengan memberikan keutamaan kepada waris, mengikut susunan hubungan terdekat:

1) Keutamaan mestilah diberikan kepada waris-waris ikrab.
2) Jika tiada waris ikrab yang mampu membeli tanah tersebut peluang akan dibuka kepada waris bersanak yang empat mengikut susunan.
3) Jika tiada waris di atas yang mampu membeli tanah itu, maka peluang itu akan dibuka kepada anggota lain di dalam suku yang sama.
4) Jika tidak ada yang mampu membelinya, maka jalan terakhir ialah dengan menjualnya kepada suku yang dua belas.

Bagi harta pusaka adat suku yang dua belas, penjualan hanya diberikan kepada anggota perempuan sahaja.

Harta pusaka adat tidak dibenarkan dijual atau digadai tanpa melalui syarat-syarat tertentu. Penjualan hanya dibolehkan atas syarat:

1. Keperluan untuk menguruskan kematian.
2. Keperluan untuk menunaikan haji ke Mekah.
3. Keperluan untuk menjaga maruah seperti membaiki rumah pusaka yang telah runtuh dan menguruskan perkahwinan anak perempuan yang telah lanjut umur.
4. Keperluan membayar denda bagi kesalahan besar yang telah dilakukan oleh waris lelaki.

Syarat ini adalah bertujuan supaya tanah pusaka tidak berpindah milik kepada suku lain dan untuk menjaga maruah suku.

Ketiga: apabila hutang si mati telah dijelaskan, barulah tanah pusaka itu dibahagikan sama rata kepada waris-waris tersebut. Di sini kita dapati bahawa Adat Perpatih telah mengamalkan prinsip sama rata dalam sistem pembahagian tanah pusaka. Sistem pembahagian harta pusaka adat kepada waris yang berhak adalah berdasarkan kepada prinsip sama rata. Jika waris yang berhak hanya seorang, maka ia akan mewarisi kesemua harta tersebut. Tetapi jika yang berhak itu lebih dari seorang, harta itu akan dibahagikan mengikut jumlah yang berhak tanpa memberi keistimewaan kepada sesiapa. Sekiranya si mati meninggalkan dua bidang tanah pusaka yang berlainan tempat dan berbeza dari segi nilai ekonominya, pembahagian boleh dibuat melalui dua cara. Pertamanya ialah kedua-dua waris boleh membuat penyelesaian secara muafakat untuk menentukan hak masing-masing. Keduanya ialah jika tiada persetujuan maka tiap-tiap bidang tanah itu akan dibahagikan sama rata.

Keempat: jika si mati mempunyai anak angkat yang telah dikedimkan, adat telah memberikan kebenaran baginya untuk ‘diberi’ hak di dalam harta pusaka adat. Dalam menyelesaikan harta pusaka yang akan dilakukan sesudah kematian ibu angkat itu, tanah pusaka yang telah sedia diperuntukan kepada anak angkat itu akan diberikan menjadi milik pusaka anak angkat tersebut. Tanah pusaka si mati bahagian lain adalah terpulang kepada waris yang berhak mengikut susunan. Bahagian ini juga boleh ‘diberikan’ kepada anak angkat si mati jika waris sudah pupus atau jika waris yang berhak bersetuju bahagian tersebut diberikan kepada anak angkat berkenaan.

2.8 KESIMPULAN

Setelah kita melihat kepada sistem pembahagian harta pusaka menurut Adat Perpatih di atas, dapatlah kita fahami bahawa pembahagian menurut adat ini mempunyai sistem yang teratur dan dapat diterima oleh masyarakat adat. Antara ciri utama yang terdapat di dalam sistem ini ialah dengan mementingkan dan mengutamakan kaum perempuan dalam pembahagian harta pusaka. Ini kerana di dalam adat mereka, kaum perempuan mempunyai tanggungjawab yang lebih besar daripada kaum lelaki. Dan seharusnya mereka diberikan harta pusaka bagi memudahkan mereka melaksanakan tanggungjawab tersebut. Namun, harta pusaka adat di dalam Adat Perpatih bukanlah milik muktamad waris, bahkan ianya milik suku mereka. Waris hanya sekadar menjaga dan menjadi pemegang amanah sahaja. Manakala harta pusaka bukan adat pula adalah milik muktamad waris dan ianya tidak terikat dengan undang-undang adat di dalam menggunakannya. Jadi, seharusnya jelaslah kepada kita tentang cara pembahagian menurut Adat Perpatih ini.


PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA MENURUT SYARAK


3.1 PENDAHULUAN

Pembahagian harta pusaka menurut syarak dikenali dengan faraid atau ilmu al-mawarith. Ilmu ini berlainan dan unik jika dibandingkan dengan ilmu-ilmu pembahagian harta pusaka yang lain kerana ianya diturunkan oleh Allah s.w.t dan disampaikan oleh rasulnya iaitu Nabi Muhammad s.a.w Ilmu faraid ini wajib diikuti oleh semua umat Islam kerana ianya datang daripada Allah dengan dalil dan tanda-tanda yang jelas.

Sebelum datangnya agama Islam, sistem pembahagian harta pusaka adalah belandaskan hawa nafsu. Harta pusaka hanya diberi kepada kaum lelaki, melalui perjanjian dan anak angkat sahaja. Manakala kaum yang lemah seperti orang perempuan, mereka tidak ada hak di dalam pembahagian. Maka ini menimbulkan ketidakadilan dan penindasan. Oleh itu, ilmu ini diturunkan bagi melindungi kepentingan dan bagi mengelakkan berlakunya penindasan. Ilmu faraid ini jelas diwahyukan kepada umat Islam dengan turunnya ayat al-mawarith iaitu surah al-Nisa’ ayat 11, 12, dan 176. Dan selepas itu telah berlaku beberapa pembaharuan di dalam ilmu faraid dan ianya terus kekal dan diamalkan sehingga sekarang. Di dalam kajian ini akan dijelaskan mengenai definisi, sumber ilmu, waris-waris, cara pembahagian harta pusaka dan hak-hak yang berkaitan dengannya.

3.2 KONSEP HARTA PUSAKA MENURUT SYARAK

1. Definisi Ilmu Faraid Atau Ilmu Al-Mawarith

Perkataan al-mawarith adalah kata jama’ daripada perkataan mirath atau irth iaitu kata terbitan kepada waritha. Ia membawa dua maksud, pertamanya al-baqiyyah iaitu peninggalan atau yang kekal dan keduanya al-intiqal iaitu perpindahan sesuatu daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Perkataan mirath dari segi istilah bermaksud kaedah-kaedah daripada fiqh dan hisab yang dapat mengetahui orang-orang yang berhak. Manakala perkataan al-faraid merupakan kata jama’ daripada perkataan faridah yang bermaksud kadar yang tetap. Dari segi istilah bermaksud bahagian yang ditetapkan kepada waris-waris mengikut hukum syarak. Ada juga yang mendefinisikan ilmu faraid sebagai penetapan kadar warisan bagi ahli waris berdasarkan ketentuan syarak yang tidak bertambah kecuali dengan al-radd dan tidak berkurang kecuali dengan ‘awl Ilmu faraid mencakupi tiga unsur penting di dalamnya:

1. Pengetahuan tentang kerabat-kerabat yang menjadi ahli waris.
2. Pengetahuan tentang bahagian setiap ahli waris, dan;
3. Pengetahuan tentang cara menghitung yang dapat berhubung dengan pembahagian harta waris.

Oleh itu, ilmu al-mawarith atau ilmu faraid adalah merupakan satu disiplin ilmu yang membawa seseorang itu mengetahui tentang waris-waris yang berhak terhadap harta pusaka dan kadar yang wajib bagi setiap waris yang berhak itu.





2. Pensyariatan Pembahagian Harta Pusaka

Allah s.w.t telah mensyariatkan pembahagian harta pusaka di dalam al-Quran untuk diamalkan oleh umat Islam. Ayat-ayat ini juga dikenali sebagai ayat al-mawarith. Antaranya ialah di dalam surah al-Nisa’ ayat 11, 12 dan 176:


“Allah mensyari'atkan bagimu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anakmu, iaitu : bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan, jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka 2/3 dari harta yang ditinggalkan. Dan jika anak perempuan itu seorang saja, maka ia memperolehi separuh harta. Dan bagi ibu-bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya 1/6 dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu-bapanya (sahaja), maka ibunya mendapat 1/3. Jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara (adik-beradik), maka ibunya mendapat 1/6. (Pembagian-pembagian tersebut di atas) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang ia buat dan sesudah dibayar hutangnya. (Tentang) ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”.


“Dan bagimu (suami-suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika Isteri-isterimu itu mempunyai anak, maka kamu mendapat seperempat dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. Para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperoleh seperlapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu. Jika seseorang mati, baik lelaki mahupun perempuan yang tidak meninggalkan bapa dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara laki-laki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu sahaja), maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka berkongsi dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris). (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syari'at yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha mengetahui lagi Maha Penyantun”.


“Mereka meminta fatwa kepadamu (tentang kalalah). Katakanlah: "Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalalah (iaitu): jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang laki-laki mempusakai (seluruh harta saudara perempuan), jika ia tidak mempunyai anak; tetapi jika saudara perempuan itu dua orang, maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh yang meninggal. Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri dari) saudara-saudara lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara lelaki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu.”





3. Sebab Turunnya Ayat Al-Mawarith

Riwayat-riwayat yang menceritakan sebab turunnya ayat al-mawarith cukup banyak dan berbagai-bagai, diantaranya ialah sebagaimana yang diriwayatkan dari Bukhari dan Muslim bahawa:

Isterinya (Sacad bin Al-Rabii’u) datang kepada Rasulullah s.a.w dengan membawa dua orang anak perempuannya dari Sacad kemudian dia bertanya:
“Ya Rasulullah, dua anak perempuan ini anaknya Sacad bin Al-Rabii’u, ayah mereka terbunuh dalam perang Uhud sebagai syahid dan bapa saudaranya mengambil hak waris miliknya dengan tidak memberikan hak warisnya sedikitpun, padahal dia tidak akan boleh menikah kecuali ada harta, maka Rasulullah menjawab: “Allah lah yang akan menentukan hukum atas mereka, maka turunlah ayat waris iaitu: “Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anakmu”.
Kemudian Rasulullah s.a.w mengutus utusan kepada bapa saudara mereka dan menyuruhnya untuk memberi kedua anak perempuan Sacad sebanyak 2/3 dari harta warisnya dan ibunya 1/8 dan bakinya adalah milikmu.
(H.R Bukhari dan Muslim)

Dan diriwayatkan pula bahawa ayat waris ini turun pada masalah: Abdul Rahman bin Thabit, katanya:

“Saudaraku husan Al-Syacir meninggal dunia dan meninggalkan isteri bernama Ummu Kahhah, dan lima saudara perempuan, kemudian datang ahli waris dari pihak suami dan mengambil seluruh harta peninggalannya, maka Ummu Kahhah melaporkannya kepada Rasulullah, maka turunlah ayat-ayat waris itu”
(H.R Ibnu Jarir)

Bagaimanapun, ayat-ayat al-mawarith ini turun kerana golongan perempuan diharamkannya daripada mendapatkan harta perwarisan.

4. Rukun-Rukun Pewarisan

Di dalam sistem pembahagian harta pusaka menurut syarak, terdapat rukun-rukunnya yang tersendiri. Tanpa rukun-rukun ini, pembahagian harta pusaka tidak boleh berlaku. Rukun-rukun tersebut terbahagi kepada tiga iaitu al-muwarrith, al-warith dan al-mawruth.

a) al-Muwarrith

al-Muwarrith iaitu pewaris yang mati samada secara hakiki, hukmi atau taqdiri. Mati secara hakiki ialah kematian seseorang itu dapat disaksikan dengan mata kasar oleh sekurang-kurangnya dua orang saksi atau terdapat tanda-tanda kematiannya seperti ada kubur. Mati secara hukmi ialah kematian seseorang itu diputuskan oleh hakim atau qadi berdasarkan beberapa faktor seperti seseorang itu hilang tanpa diketahui sekian lama setelah diadakan pemeriksaan yang sepatutnya. Manakala mati secara taqdiri pula ialah kematian seseorang itu melalui tanggapan atau andaian seperti bayi yang dilahirkan mati kerana perbuatan jenayah ke atas ibunya.

b) al-Warith

al-Warith merupakan orang yang akan mewarisi harta peninggalan si mati (pewaris) dengan adanya salah satu daripada sebab-sebab pewarisan dan tidak mempunyai salah satu daripada halangan-halangan pewarisan. Waris hendaklah hidup semasa kematian pewarisnya walaupun seketika samada hidup secara hakiki atau taqdiri. Hidup secara taqdiri ialah kewujudan seseorang itu berdasarkan andaian yang munasabah seperti anak atau janin dalam kandungan ibunya.
c) al-Mawruth

al-Mawruth ialah harta benda atau hak-hak yang ditinggalkan oleh pewaris yang akan diwarisi oleh waris-warisnya. Sebahagian ulama’ menyebutnya dengan perkataan mirath atau irth. Harta benda yang ditinggalkan oleh pewaris terdiri daripada harta alih dan harta tak alih. Harta alih termasuklah wang, kenderaan, saham dan lain-lain lagi. Manakala harta tak alih pula termasuklah tanah, bangunan dan lain-lain. Termasuk di dalam kategori warisan ialah harta-harta atau hak-hak yang mungkin dapat diwariskan, seperti hak qisas, hak menahan barang yang belum diselesaikan hutangnya dan hak menahan barang gadaian.

5. Syarat Pewarisan

Syarat ialah apa yang lazim daripada ketiadaannya tidak ada hukum dan tidak lazim daripada adanya ada hukum atau tidak adanya. Apabila syarat-syarat ini tidak dipenuhi, maka pembahagian harta pusaka tidak dapat dijalankan. Syarat pewarisan di dalam syarak terbahagi kepada 3 iaitu:

a) Pewaris mati: disyaratkan bahawa orang yang mewarisi harta tersebut mestilah meninggal dunia. Mati di sini ialah sama ada mati secara hakiki, secara hukmi atau taqdiri.

i. Mati secara hakiki: mati secara hakiki ialah kematian seseorang itu dapat disaksikan dengan mata kasar oleh sekurang-kurangnya dua orang saksi atau terdapat tanda-tanda kematiannya seperti ada kubur atau wujud mayatnya.
ii. Mati secara hukmi: mati secara hukmi ialah kematian seseorang diputuskan oleh hakim atau qadi berdasarkan keterangan-keterangan yang ada padanya. Begitu juga jika hakim menatapkan kematian seseorang yang menghilang tanpa diketahui tempatnya dan keadaannya.
iii. Mati secara taqdiri: mati secara taqdiri ialah kematian seseorang itu melalui tanggapan atau andaian seperti anak kandungan yang lahir mati dengan sebab perbuatan jenayah ke atas ibunya. Maka syarak telah mewajibkan ghurrah iaitu seorang hamba lelaki atau perempuan dengan dikira 1/10 daripada diat yang sempurna sama ada anak kandungan itu lelaki ataupun perempuan.

b) Waris hendaklah hidup: waris hendaklah hidup secara hakiki iaitu dilihat dengan mata kasar secara berterusan setelah kematian pewaris atau secara taqdiri seperti anak kandungan di dalam perut ibunya. Ini dikira sebagai golongan waris walaupun dia hidup bukan secara hakiki kerana mungkin pewarisnya mati sebelum ditiupkan roh ke dalamnya.

c) Mengetahui status dan tiada halangan perwarisan: sebelum pembahagian harta pusaka dilakukan, kita mestilah mengetahui status ahli waris terlebih dahulu seperti suami, isteri, ahli kerabat dan turutannya. Tidak boleh kita katakana bahawa: “si mati mempunyai seorang saudara lelaki” tanpa mengetahui sama ada si mati masih lagi mempunyai ahli-ahli waris lain seperti ibu, nenek dan sebagainya. Ini kerana bahagian yang diterima oleh ahli waris berbeza mengikut statusnya. Setiap seorang ahli waris mempunyai bahagiannya sendiri seperti ‘asabah, ashab al-furud dan ada sebahagiannya terhijab daripada menerima pembahagian.



6. Sebab-Sebab Pewarisan

Setelah memenuhi rukun-rukun pewarisan, segala harta peninggalan si mati tidak boleh dibahagikan kepada sesiapa pun kecuali mempunyai salah satu daripada sebab-sebab pewarisan. Tujuan utama sebab-sebab ini ialah untuk memelihara harta si mati daripada dibahagikan kepada mereka yang tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan si mati dan memberi hak kepada mereka yang berhak. Dengan ini akan wujudlah keadilan dalam pembahagian harta pusaka.

a) Kerabat atau keturunan

Hubungan kerabat di antara pewaris dengan waris berlaku disebabkan kelahiran atau juga dikenali dengan hubungan nasab atau darah. Hubungan kerabat merupakan sebab yang terkuat bagi membolehkan seseorang itu mewarisi harta peninggalan si mati. Ini kerana hubungan kerabat tidak boleh dihilangkan tidak sebagaimana hubungan perkahwinan yang boleh terputus disebabkan berlaku perceraian. Golongan kerabat ini terbahagi kepada tiga iaitu:

i. furu’ atau cabang kepada si mati termasuklah anak, cucu sehinggalah ke bawah samada lelaki atau perempuan, besar atau kecil.
ii. usul atau asal kepada si mati termasuklah ibu, bapa, datuk dan nenek sehinggalah ke atas.
iii. hawashi atau waris sisi kepada si mati termasuklah saudara-saudara samada lelaki atau perempuan, bapa saudara, anak saudara dan lain-lain.

Kesemua golongan di atas akan mendapat hak atau habuan mereka daripada harta pusaka berdasarkan kedudukan mereka. Ada golongan yang mendapat lebih dan ada yang kurang bergantung kepada kekuatan hubungan mereka dengan si mati. Begitu juga ada dikalangan mereka yang mendapat bahagian mereka secara fardu sahaja seperti ibu, ada yang mendapat fardu dan ‘asabah seperti bapa, ada yang mendapat bahagian secara ‘asabah sahaja seperti anak lelaki, anak lelaki daripada anak lelaki dan lain-lain.

Kerabat yang dimaksudkan di sini ialah kerabat hakiki. Oleh itu undang-undang pusaka Islam tidak mengiktiraf anak angkat untuk menerima harta pusaka keluarga angkatnya. Demikian juga anak zina dan anak lican, kedua-duanya tidak dianggap sebagai ahli waris yang sah dalam undang-undang pusaka Islam. Walaubagaimanapun, anak zina dan lican boleh mewarisi harta pusaka ibunya dan waris lain sebelah ibunya sahaja, tetapi tidak boleh mewarisi harta pusaka bapa penzina atau bapa yang menafikannya dan ahli waris sebelah bapa mereka.

b) Perkahwinan

Iaitu perkahwinan yang sah antara dua pasangan (suami dan isteri), walaupun belum terjadi persetubuhan. Manakala perkahwinan yang fasid dan yang bathil tidak boleh saling mewarisi. Maka perkahwinan menyebabkan lelaki dan wanita dapat saling mewarisi selama mana akadnya masih wujud. Apabila isteri tersebut telah ditalakkan dengan talak raj’i, maka ia tidak akan menjadi penghalang kepada keduanya untuk saling mewarisi, sama ada suaminya mentalakkan isterinya dalam keadaan sihat ataupun sakit. Jika isterinya telah ditalakkan dengan talak ba’in, maka ijmak ulama’ mengatakan bahawa mereka tidak dapat saling mewarisi di antara satu sama lain kerana ikatan perkahwinan mereka sudah tidak ada lagi.

Mengikut mazhab Syafi’i, isteri yang diceraikan dengan talak bain semasa sihat atau marad al-maut tidak berhak mendapat perwarisan. Menurut mazhab Hanafi pula, isteri masih mempunyai hak perwarisan jika ia dalam tempoh iddah bain. Jika tempoh iddah sudah berakhir, maka hak perwarisan akan gugur. Pendapat mazhab Hanbali mengatakan bahawa isteri masih mempunyai hak perwarisan walaupun tempoh iddah bain isterinya sudah berakhir selagimana dia tidak berkahwin dengan lelaki lain atau murtad. Manakala menurut mazhab Maliki, isteri mempunyai hak perwarisan secara mutlak sama ada ketika suami meninggal dunia dia masih berada dalam masa iddah-nya atau sudah berakhir atau dia sudah berkahwin dengan lelaki lain.

c) Wala’ atau pembebasan hamba

Ijmak ulama’ mengatakan bahawa jika seseorang itu memerdekakan hamba, maka ia berhak mewarisi harta peninggalan bekas hambanya apabila ia tidak mempunyai waris lain. Pewarisan ini hanya berlaku dalam bentuk ‘asabah sahaja iaitu ia menjadi waris ‘asabah jika terdapat waris-waris lain kepada bekas hamba itu tidak menghabiskan semua harta yang ditinggalkan. Pembebasan hamba ini juga disebut sebagai ‘asabah sababiyyah. Walaubagaimanapun, pewarisan ini hanyalah untuk tuan kepada bekas hamba sahaja, sebaliknya bekas hamba tersebut tidak boleh mewarisi harta bekas tuannya. Ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Sesungguhnya hak wala’ itu hanya bagi orang yang telah memerdekakan hamba” (H.R al-Bukhari)

d) Baitulmal

Para ahli fuqaha’ berselisih pendapat tentang bolehkah baitulmal mewarisi harta peninggalan. Dalam hal ini ada tiga pendapat:

Pertama: baitumal sebagai dibolehkan mewarisi secara mutlak sama ada baitulmal yang beroganisasi ataupun tidak. Jika seorang muslim meninggal dunia dan tidak mempunyai seorang pun ahli waris yang mewarisi harta peninggalannya, maka baitulmal berhak mewarisi harta peninggalan tersebut dan menggunakannya untuk kemaslahatan kaum muslimin. Pendapat ini dikemukakan oleh ulama’ mazhab Maliki dan Imam Syafi’i dalam qaul qadim.

Kedua: baitulmal menjadi ahli waris jika dia beroganisasi. Jika seorang muslim meninggal dunia dengan tidak memiliki ahli waris, maka harta tersebut akan diwarisi oleh baitulmal, bukan atas dasar kemaslahatan atau kepentingan sosial tetapi untuk diwarisi oleh kaum muslimin secara ushubah. Pendapat ini dikemukakan oleh Imam Syafi'i melalui qawl jadid. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud:

“Aku adalah ahli waris orang yang tidak mempunyai ahli waris. Aku dapat membayar dendanya dan mewarisinya.”

Meskipun Rasulullah s.a.w menjadi ahli waris orang yang tidak mempunyai ahli waris, namun beliau tidak mewarisi untuk dirinya sendiri. Akan tetapi harta peninggalan yang beliau warisi dibahagikan untuk kepentingan kaum muslimin kerana kaum muslimin juga dibebani kewajipan membayar diyat untuk si mati seperti ‘asabah dalam lingkungan kerabat. Oleh itu, penguasa dapat menyimpan seluruh atau sebahagian harta peninggalan di baitulmal atau dia mengkhususkan dari harta peninggalan kepada orang yang dikehendakinya.

Ketiga: baitulmal tidak boleh menerima harta peninggalan secara mutlak sama ada ia beroganisasi ataupun tidak. Ini adalah pendapat ulama’ di dalam mazhab Hanafi dan Hanbali. Mereka ini bersandarkan kepada firman Allah s.w.t di dalam surah al-Anfal ayat 75.


“Dan orang-orang yang beriman sesudah itu kemudian berhijrah serta berjihad bersamamu maka orang-orang itu termasuk golonganmu. Orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat) di dalam Kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala sesuatu.”

Berdasarkan ayat di atas, baki harta peninggalan dikembalikan kepada ashab al-furud atau diwariskan kepada dhawi al-arham. Jika tidak ada seorang pun waris dari ashab al-furud, ‘asabah atau dhawi al-arham, maka harta itu akan diberikan kepada baitulmal. Pemberian ini bukan bermaksud bahawa baitulmal merupakan ahli waris, tetapi baitulmal dianggap sebagai penjaga harta waris sehingga ahli waris si mati itu diketahui.

7. Penghalang Kepada Pewarisan

Penghalang kepada pewarisan ialah seseorang waris yang berhak pada asalnya, tetapi telah terhalang daripada mendapatkan hak pewarisan oleh sebab-sebab tertentu. Perkara yang menghalang dari mendapat hak pewarisan terbahagi kepada empat perkara iaitu:

a) Perhambaan: perhambaan adalah menegah seseorang daripada mempusakai. Tidak kira samada ia perhambaan penuh atau tidak. Oleh itu, tidak ada pusaka mempusakai di antara orang merdeka dengan hamba kerana perhambaan adalah menafikan keahlian memiliki. Hamba sebagai harta yang dimiliki tidaklah sesuai menjadi pemilik kerana yang dimiliki itu adalah menunjukkan kepada kelemahan, sedangkan yang memiliki adalah menunjukkan kepada kekuasaan dan kehebatan. Oleh itu, kedua-dua ini adalah bertentangan. Sebagaimana firman Allah Ta’ala di dalam surah an-Nahl ayat 75:

“Allah membuat perumpamaan dengan seorang hamba sahaya yang dimiliki yang tidak dapat bertindak terhadap sesuatupun dan seorang yang kami beri rezeki yang baik dari kami, lalu dia menafkahkan sebahagian dari rezeki itu secara sembunyi dan secara terang-terangan, adakah mereka itu sama?, segala puji hanya bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tiada mengetahui”.

Dan berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud:

“Hamba itu tidak memiliki melainkan perceraian”.

b) Membunuh: jika ahli waris membunuh muwarrith, maka ia tidak boleh menerima warisan daripada orang yang dibunuhnya. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Tidak ada pusaka bagi si pembunuh”
(H.R Malik dan Ahmad dari ‘Umar)

Kaedah fiqhiyyah menetapkan:

“Orang yang menyegerakan sesuatu sebelum waktunya nescaya dihukum dengan tidak diberikan kepadanya apa yang diingini segera menerimanya”

Menurut ulama’ mazhab Maliki, hanya pembunuhan yang disengajakan sahaja yang terhalang dari mendapatkan warisan, manakala pembunuhan yang tidak disengajakan tidak terhalang bagi mendapatkan warisan. Menurut mazhab Hanbali pula, setiap pembunuhan yang dikenakan qisas, diyat atau kafarat sahaja yang terhalang dari mendapatkan warisan, sedangkan pembunuhan yang tidak dikenakan apa-apa hukuman di atas tidak terhalang daripada mendapat warisan. Manakala menurut mazhab Syafi’i pula ialah segala jenis pembunuhan akan terhalang daripada mendapatkan perwarisan walaupun ia hanya bertindak sebagai saksi.

c) Berlainan agama: iaitu antara orang Islam dan orang kafir. Orang kafir tidak berhak mendapat warisan dari orang Islam, begitu juga sebaliknya. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Orang Islam tidak mendapat warisan dari harta orang kafir dan orang kafir tidak mendapat warisan dari harta orang Islam”
(H.R. Muttafaqun ‘alaihi)

Menurut sebahagian ulama’, orang Islam boleh menerima warisan dari orang kafir, tetapi orang kafir tidak boleh menerima warisan daripada orang Islam. Mereka berpendapat bahawa agama Islam itu tinggi dan tidak ada agama yang lebih tinggi daripadanya. Ini ialah pendapat Marwi daripada Muaz bin Jabal r.a. Maka pendapat yang diterima ialah pendapat yang pertama iaitu pendapat jumhur yang diamalkan dengan hadis nabawi yang jelas. Kerana asas perwarisan ialah bantu-membantu dan ini menafikan di antara orang Islam dan bukan Islam.

Manakala bagi orang yang murtad, ijma’ ulama’ mengatakan mereka tidak boleh mewarisi harta pusaka. Jumhur fuqaha’ dari mazhab Maliki, Syafi'i dan sahih daripada mazhab Hanbali mengatakan bahawa orang Islam tidak boleh mewarisi harta orang murtad. Manakala bagi mazhab Hanafi pula mengatakan bahawa orang Islam boleh mewarisi harta orang murtad dan ini adalah pendapat Marwi.

3.3 Jenis Harta Pusaka Di Dalam Syarak

Harta pusaka di dalam Islam juga disebut sebagai harta peninggalan. Dari segi bahasa, peninggalan ini disebut di dalam bahasa Arab dengan perkataan ‘al-tarikah’ yang membawa maksud peninggalan. Dari segi istilah pula bermaksud apa yang ditinggalkan oleh seseorang selepas kematiannya sama ada dia mempunyai hutang ataupun tidak. Ada juga yang mendefinisikan al-tarikah ini sebagai apa sahaja yang ditinggalkan oleh seseorang setelah kematiannya sama ada berbentuk wang atau barang.

Di dalam syarak, ulama’ telah berselisih pendapat mengenai harta yang termasuk di dalam harta peninggalan ini, antaranya:

1. Mazhab Syafi'i: segala apa yang menjadi kepunyaan si mati semasa dia hidup, kemudian ditinggalkan untuk pewaris-pewarisnya sama ada berbentuk harta benda, hak kepunyaan, pengkhususan dan termasuklah segala apa yang termasuk di dalam miliknya setelah kematiannya. Di dalam kitabnya Nihayatul Muhtaj ada menyebutkan:

“Peninggalan si mati ialah apa yang ditinggalkan untuk orang yang kemudian daripadanya dari suatu hak seperti jenayah, tuduhan berzina, atau ikhtisas atau harta seperti arak yang telah menjadi cuka setelah kematiannya, diyat yang diambil dari pembunuhan kerana diyat itu termasuk di dalam pemilikannya. Begitu juga apa yang termasuk di dalam simpanannya semasa dia hidup.”

2. Mazhab Maliki: hak yang boleh dibahagikan dan menjadi milik orang yang berhak mendapatkannya (waris) setelah orang yang memilikinya dahulu itu mati.

3. Mazhab Hanbali: peninggalan si mati juga dikenali sebagai ‘al-muarith’ iaitu perkara yang dipusakai yang mana ia berhak diambil alih dari si mati dan disebut juga dengan ‘al-turath’ yang bermaksud peninggalan atau pusaka.

4. Mazhab Hanafi: apa yang ditinggalkan oleh si mati yang terdiri daripada harta-harta yang bebas dari bersangkut paut dengan hak orang lain seperti hutang. Maka harta ini tidaklah dikira sebagai harta peninggalan. Oleh itu haruslah dijelaskan segala hutang si mati dan dilaksanakan wasiatnya, kemudian baki dari harta tersebut barulah dibahagi-bahagikan kepada ahli waris. Manakala diyat yang wajib dengan sebab membunuh secara tidak sengaja atau sengaja tetapi telah diberi pengampunan supaya membayar diyat, maka harta tersebut juga termasuk di dalam harta peninggalan si mati.

3.4 Hak-Hak Yang Berkaitan Dengan Harta Pusaka

Apabila seseorang itu meninggal dunia, hartanya tidak boleh dibahagikan kepada ahli-ahli waris selagi belum diselesaikan beberapa hak yang berkaitan dengan harta tersebut. Hak-hak tersebut perlu diselesaikan mengikut urutan. Dan urutan yang harus dipenuhi adalah seperti berikut:

1. Perbelanjaan pengkebumian dan pengurusan jenazah

Perbelanjaan tersebut merangkumi proses memandikan, mengkafankan, mengebumi dan lain-lain perbelanjaan yang diperlukan untuk menguruskan jenazah. Walaupun dalam al-Quran tidak menjelaskan sama sekali berkenaan jumlah sesuatu pengurusan jenazah, namun ijtihad dari jumhur ulama’ menetapkan bahawa perbelanjaan pengurusan jenazah adalah perkara pertama yang harus dilakukan. Muhammad bin Hasan al-Syaibaniy, salah seorang pengikut Abu Hanifah berpendapat bahawa pengurusan jenazah dari keluarga seseorang tidak dibebankan kepada hartanya sendiri, tetapi dibebankan kepada harta keluarganya. Jika keluarga itu tidak mempunyai harta, maka perbelanjaan itu akan ditanggung oleh walinya. Keperluan dan pembiayaan terhadap jenazah juga akan berbeza-beza sesuai mengikut keadaan jenazah, samada jenazah itu seorang yang kaya atau miskin, lelaki atau perempuan.

2. Pelunasan hutang

Para ulama’ sepakat mengatakan bahawa segala hutang dengan orang lain perlu dijelaskan sebelum pembahagian harta pusaka dilakukan. Walau bagaimanapun, ulama’ berselisih pendapat mengenai hutang-hutang terhadap Allah yang tiada kaitan dengan manusia seperti zakat, kaffarah dan nazar.

a) Ulama’ Hanafi mengatakan bahawa pembayaran hutang terhadap Allah tidak boleh diambil dari harta peninggalannya, bahkan hutang tersebut gugur dengan sebab kematian orang itu. Ini kerana ia merupakan ibadat dan ibadat itu gugur dengan sebab kematian. Tetapi jika si mati berwasiat supaya hutangnya terhadap Allah perlu dijelaskan, maka dalam keadaan ini wajib diambil dari harta pusakanya itu.
b) Jumhur ulama’ pula mengatakan bahawa hutang-hutang terhadap Allah wajib dijelaskan sebagaimana hutang terhadap manusia walaupun si mati tidak berwasiat. Walau bagaimanapun, mereka berselisih pendapat tentang hutang yang mana perlu didahulukan jika hutang-hutang terhadap Allah dan hutang-hutang terhadap manusia itu berhimpun. Menurut ulama’ Syafi'i, hutang terhadap Allah perlu didahulukan pembayarannya terhadap hutang sesama manusia. Manakala menurut ulama’ Maliki, hutang terhadap Allah dijelaskan setelah hutang sesama manusia dilangsaikan. Ini bermakna, hutang sesama manusia perlu didahulukan daripada hutang terhadap Allah. Sedangkan menurut ulama’ Hanafi, hutang terhadap Allah dan manusia mempunyai kedudukan yang sama.

3. Pelaksanaan wasiat

Setelah dilaksanakan hutang, maka tindakan seterusnya ialah melaksanakan segala wasiat si mati. Tentang perlaksanaan wasiat ini terdapat di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 180:

“Diwajibkan atas kamu, apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu bapa dan karib kerabatnya secara ma'ruf, (Ini adalah) kewajiban atas orang-orang yang bertakwa.”

Dalam ayat ini Allah s.w.t menyatakan wasiat untuk kedua ibu bapa dan kerabat yang pada umumnya adalah ahli waris sebagaimana yang terdapat dalam surah al-Nisa’ ayat 11,12 dan 176. Kemudian pelaksanaan ayat 180 surah al-Baqarah yang bersifat umum ini dibatasi oleh hadith Nabi dari Abu Umamah menurut riwayat Ahmad yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah berikan kepada setiap orang yang berhak itu akan haknya, maka tidak boleh wasiat untuk ahli warith”

Akan tetapi, para fuqaha’ termasuk Imam Syafi'i dan Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat bahawa wasiat kepada ahli waris sah dengan syarat telah mendapat keizinan daripada ahli waris yang berhak.

Dan kadar wasiat yang dibenarkan ialah sebanyak 1/3 jika tanpa persetujuan ahli waris. Jika mendapat persetujuan ahli waris, maka jumlah wasiat boleh melebihi 1/3. Kadar 1/3 ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Sepertiga dan sepertiga itu banyak, sesungguhnya lebih baik bagi kamu meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya daripada meninggalkan mereka dalam keadaan miskin yang meminta-minta kepada orang lain”
(H.R Muslim)

4. Harta sepencarian

Di Malaysia, harta sepencarian diterima sebagai hak yang perlu dijelaskan sebelum pembahagian harta pusaka. Harta sepencarian asalnya adalah daripada adat Melayu dan ia kemudiannya ia diterima pakai di dalam hukum syarak. Ini berdasarkan kaedah fiqh yang bermaksud ‘adat itu boleh dijadikan hukum’ dan ‘pensabitan dengan adat seperti sabit dengan nas’. Pembahagian harta sepencarian ini terdapat di dalam setiap Undang-undang keluarga Islam Negeri-negeri. Contohnya menurut S. 58(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa:

“Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan antara pihak-pihak itu”.

Pembahagian ini boleh dilakukan apabila berlaku perceraian hidup atau mati. Penentuan kadar yang akan diperolehi oleh salah satu pihak adalah bergantung kepada budibicara mahkamah. Walau bagaimanapun menurut S. 58(2) mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang:

a) Takat sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta atau kerja bagi memperolehi aset itu;
b) Apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
c) Keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada, dan, tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.

Begitu juga, mahkamah mempunyai kuasa untuk membahagikan harta yang diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal salah satu pihak sahaja. Contohnya, isteri hanya menjadi suri rumahtangga sepenuh masa dan tidak memperolehi apa-apa aset tetapi memberi sumbangan kepada kebajikan keluarga dalam memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga. Kadar penentuan harta sepencarian itu tidak akan dibahagi sama banyak sebagaimana pihak yang berusaha untuk memperolehi aset itu. Ini dapat dilihat di dalam S. 58(3) dan 58(4) Akta Undang-undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

3.5 Waris-Waris Menurut Syarak

Ahli-ahli waris di dalam syarak terdiri daripada golongan lelaki dan perempuan. Dan mereka ini mempunyai bahagiannya tersendiri sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah Ta’ala. Golongan ahli waris lelaki ialah terdiri seramai 15 orang, manakala golongan ahli waris perempuan ialah terdiri seramai 10 orang semuanya.


Golongan ahli waris lelaki:
1. Anak lelaki
2. Anak lelaki dari anak lelaki dan ke bawah
3. Bapa
4. Datuk ke atas
5. Saudara lelaki seibu sebapa
6. Saudara lelaki sebapa
7. Saudara lelaki seibu
8. Anak lelaki daripada saudara lelaki seibu sebapa
9. Anak lelaki daripada saudara lelaki sebapa
10. Bapa saudara seibu sebapa
11. Bapa saudara sebapa
12. Anak lelaki daripada saudara lelaki seibu sebapa
13. Anak lelaki daripada saudara lelaki sebapa
14. Suami
15. Mu’tiq (tuan lelaki yang telah memerdekakan hambanya)

Golongan ahli waris perempuan:
1. Anak perempuan
2. Anak perempuan daripada anak lelaki ke bawah
3. Ibu
4. Nenek dan ke atas daripada nasab ibu
5. Nenek dan ke atas daripada nasab bapanya
6. Saudara perempuan seibu sebapa
7. Saudara perempuan sebapa
8. Saudara perempuan seibu
9. Isteri
10. Mu’tiqah (tuan perempuan yang telah memerdekakan hambanya)

Daripada semua golongan ahli waris yang terdapat di atas, dapatlah kita mengkategorikannya kepada 3 bahagian iaitu ashab al-furud, ‘asabah dan dhawi al-arham. Berdasarkan dari 3 bahagian atau kumpulan inilah pembahagian harta pusaka akan dilakukan dan urutan penerima waris juga mengikut 3 bahagian ini. Makna serta bahagian yang akan diterima oleh kesemua waris ini akan dijelaskan di dalam bab yang ketiga dibawah tajuk ‘Cara Pembahagian Harta Pusaka Menurut Syarak’.

3.6 Cara Pembahagian Harta Pusaka Menurut Syarak

Cara pembahagian harta pusaka menurut syarak adalah berdasarkan kepada waris-waris yang tergolong di dalam tiga bahagian dibawah ini:

1. Ashab al-furud

Dari segi bahasa, ashab al-furud berasal dari dua perkataan iaitu ashab dan al-furud. Perkataan ashab adalah jama’ dari sahib yang beerti yang mempunyai atau yang memiliki. Manakala perkataan al-furud pula adalah jama’ dari al-fard yang membawa beberapa pengertian, antaranya ialah ketetapan, kewajipan, bahagian atau habuan dan belahan atau potongan. Oleh itu, apabila kedua-dua perkataan ini digabungkan dan menjadi ashab al-furud, maka ia beerti mereka yang mempunyai bahagian atau habuan yang telah ditetapkan.

Manakala dari segi istilah pula, perkataan ashab al-furud bermaksud ahli-ahli waris yang mendapat bahagian atau habuan daripada harta pusaka yang telah ditetapkan oleh al-Quran, al-Sunnah dan ijma’. Mereka akan menerima bahagian mereka mengikut apa yang telah ditetapkan tanpa berlaku pengurangan kecuali dalam masalah al-‘awl atau pertambahan kecuali dalam masalah al-radd.

Oleh itu, waris yang termasuk di dalam ashab al-furud ini ialah waris yang telah ditetapkan bahagiannya di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Bahagian yang telah ditetapkan ini terbahagi kepada enam bahagian iaitu 1/2, 1/4, 1/8, 2/3, 1/3 dan 1/6. Dan waris-waris yang termasuk di dalam kumpulan ini ialah suami, isteri, ibu, bapa, datuk, nenek, anak perempuan, anak perempuan daripada anak lelaki, saudara perempuan seibu sebapa, saudara perempuan sebapa, saudara lelaki seibu dan saudara perempuan seibu. Dan pembahagian setiap ahli waris ini merujuk kepada enam bahagian yang telah ditetapkan seperti dibawah:

a) Bahagian satu perdua (1/2)

Ahli waris yang akan menerima bahagian 1/2 ialah seramai lima orang iaitu, suami, anak perempuan, anak perempuan dari anak lelaki, saudara perempuan seibu sebapa dan saudara perempuan sebapa.

i. Suami

Suami akan memperolehi bahagian 1/2 dengan syarat tidak ada bersama-sama keturunan si mati. Keturunan si mati yang dimaksudkan ialah anak lelaki, anak perempuan, cucu lelaki dari anak lelaki dan cucu perempuan dari anak lelaki serta generasi dibawahnya (furu’). Dalil yang menunjukkan bahagian suami ialah di dalam surah al-Nisa’ ayat 12:

“Dan bagimu (suami-suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak..”

ii. Anak perempuan

Anak perempuan akan mendapat bahagian 1/2 jika memenuhi dua syarat. Pertama, tidak ada bersamanya anak lelaki dan kedua tidak ada bersamanya anak perempuan yang lain. Ini bersesuaian dengan firman Allah di dalam surah al-Nisa’ ayat 11.

“Jika anak perempuan itu seorang saja, maka ia memperoleh separuh harta…”

iii. Anak perempuan dari anak lelaki

Waris ini akan mendapat bahagian 1/2 jika memenuhi 3 syarat. Pertama, tidak ada bersamanya anak lelaki dari anak lelaki, kedua jika ianya seorang dan ketiga jika tidak ada bersamanya saudara perempuan seibu sebapa atau anak perempuan.

Dalil yang menetapkan bahagian anak perempuan dari anak lelaki ialah ijma’ ulama’ yang menjelaskan bahawa anak lelaki dari anak lelaki (lelaki atau perempuan) mengambil tempat anak di dalam waris mewarisi, penghalang dan ta’sib. Anak lelaki daripada anak lelaki seperti anak lelaki dan anak perempuan daripada anak perempuan seperti anak perempuan.

iv. Saudara perempuan seibu sebapa

Akan mendapat bahagian 1/2 jika memenuhi tiga syarat. Pertama, tidak ada bersamanya saudara lelaki seibu sebapa, kedua jika ianya seorang dan ketiga tidak ada ahli waris usul dan furu’.


“Mereka meminta fatwa kepadamu (tentang kalalah). Katakanlah: "Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalalah (iaitu): jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkannya ….”

v. Saudara perempuan sebapa

Akan mendapat bahagian 1/2 jika memenuhi empat syarat. Pertama, tidak ada bersamanya saudara lelaki sebapa, kedua jika seorang, ketiga tidak ada ahli waris usul dan furu’ dan keempat tidak ada saudara perempuan seibu sebapa.

Dalil yang menunjukkan saudara perempuan sebapa mendapat 1/2 ialah berdasarkan ijma’ ulama’ yang menyamakan saudara perempuan sebapa dengan saudara perempuan seibu sebapa.

b) Bahagian seperempat (1/4)

Mereka yang mendapat bahagian 1/4 ini terdiri daripada 2 orang iaitu suami dan isteri.

i. Suami

Suami akan mendapat bahagian 1/4 jika si mati (isteri) meninggalkan anak dan ke bawah. Dalil yang menunjukkan bahagian ini ialah dalam surah al-Nisa’ ayat 12:


“Jika Isteri-isterimu itu mempunyai anak, maka kamu mendapat seperempat dari harta yang ditinggalkannya….”


ii. Isteri

Isteri akan mendapat bahagian 1/4 jika si mati (suami) tidak meninggalkan anak dan ke bawah. Dalil yang menunjukkan bahagian isteri ini ialah di dalam surah al-Nisa’ ayat 12:

“Para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak…”

c) Bahagian seperlapan (1/8)

Ahli waris yang akan mendapat bahagian ini hanya seorang sahaja iaitu isteri. Isteri akan mendapat bahagian ini apabila si mati (suami) meninggalkan anak dan ke bawah. Dalil yang menunjukkan bahagian ini ialah di dalam surah al-Nisa’ ayat 12:


“Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperoleh seperlapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu…”

d) Bahagian dua per tiga (2/3)

Ahli waris yang mendapat bahagian 2/3 ialah seramai empat orang. Mereka semua terdiri dari kalangan perempuan. Mereka ialah dua orang anak perempuan atau lebih, dua orang anak perempuan dari anak lelaki atau cicit perempuan dari anak lelaki atau lebih, dua orang saudara perempuan seibu sebapa atau lebih dan dua orang saudara perempuan sebapa atau lebih.

i. Dua orang anak perempuan atau lebih

Anak perempuan akan mendapat bahagian 2/3 apabila tidak ada bersama mereka anak lelaki yang akan menjadikannya ‘asabah bi ghair. Dalil yang membenarkan bahagian ini terdapat di dalam surah al-Nisa’ ayat 11:

“Jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan…”

ii. Dua orang anak perempuan dari anak lelaki atau lebih

Mereka ini akan mendapat bahagian mereka jika mereka memenuhi tiga syarat. Pertama, mereka itu hendaklah berjumlah dua orang atau lebih. Kedua ialah tidak ada ahli waris yang menjadikan mereka ‘asabah bi al-ghair iaitu anak lelaki dari anak lelaki. Ketiga ialah tidak ada bersama mereka keturunan si mati yang lebih tinggi darjatnya iaitu anak lelaki, anak perempuan, anak lelaki daripada anak lelaki dan anak perempuan daripada anak lelaki dua orang atau lebih.

Dalil yang mengatakan mereka mendapat bahagian 2/3 ini ialah berdasarkan qias atas dua orang anak perempuan. Kerana apabila anak perempuan tidak ada, anak perempuan daripada anak lelaki yang akan menggantikan tempatnya.




iii. Dua orang saudara perempuan seibu sebapa atau lebih

Mereka akan mendapat bahagian 2/3 jika mereka memenuhi tiga syarat. Pertama, tidak ada anak lelaki, anak perempuan, bapa atau datuk (iaitu tidak ada waris usul dan furu’). Kedua ialah tidak ada saudara lelaki seibu sebapa dan ketiga tidak ada dua atau lebih anak perempuan atau anak perempuan daripada anak lelaki. Dalil yang menentukan bahagian ini ialah di dalam surah al-Nisa’ ayat 176:


“Tetapi jika saudara perempuan itu dua orang, Maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan…”

iv. Dua orang saudara perempuan sebapa atau lebih

Mereka ini akan mendapat bahagian 2/3 jika tidak ada bersama mereka anak si mati, bapa atau datuk (ahli waris usul dan furu’). Kedua ialah tidak ada bersama mereka saudara lelaki sebapa dan ketiga ialah tidak ada dua orang atau lebih anak, cucu, saudara lelaki dan perempuan seibu sebapa. Dalil yang menunjukkan bahagian mereka ini ialah surah al-Nisa’ ayat 176:

“Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri dari) saudara-saudara lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara laki-laki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan…”




e) Bahagian sepertiga (1/3)

Waris yang akan mendapat bahagian 1/3 ini ialah seramai dua orang iaitu ibu dan saudara lelaki dan perempuan seibu.

i. Ibu

Ibu akan mendapat bahagian 1/3 jika dia memenuhi 3 syarat. Pertama, tidak ada bersamanya anak lelaki, anak perempuan, anak lelaki dan anak perempuan daripada anak lelaki dan ke bawah. Kedua ialah tidak ada dua orang atau lebih saudara si mati baik lelaki atau perempuan sama ada seibu sebapa, sebapa, seibu atau campuran. Dalil yang menunjukkan bahagian ibu ini terdapat di dalam surah al-Nisa’ ayat 11:

“Jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu-bapanya (sahaja), maka ibunya mendapat sepertiga….”

ii. Saudara lelaki dan perempuan seibu

Saudara lelaki dan perempuan seibu hanya akan mewarisi 1/3 jika ia memenuhi tiga syarat iaitu hendaklah saudara seibu itu seramai dua orang atau lebih, samada kedua-duanya lelaki ataupun perempuan atau seorang lelaki dan seorang perempuan. Kedua, tidak mewarisi bersama-sama dengan ahli waris keturunan si mati iaitu anak lelaki, anak perempuan, anak lelaki dan anak perempuan dari anak lelaki dan ke bawah. Dan ketiga ialah tidak mewarisi bersama-sama dengan waris usul iaitu bapa, datuk dan ke atas. Dalil yang membenarkan bahagian ini ialah di dalam surah al-Nisa’ ayat 12:


“Jika seseorang mati, baik laki-laki maupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara laki-laki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika Saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka berkongsi dalam yang sepertiga itu”

f) Bahagian seperenam (1/6)

Ahli yang akan mendapat bahagian sebanyak 1/6 ini ialah seramai tujuh orang. Mereka ialah bapa, ibu, datuk, nenek, anak perempuan daripada anak lelaki, saudara perempuan sebapa dan saudara lelaki dan perempuan seibu.

i. Bapa

Bapa akan mewarisi bahagian 1/6 jika memenuhi 1 syarat iaitu mewarisi bersama-sama waris si mati yang lain samada lelaki atau perempuan. Jika bapa mewarisi bersama ahli waris lelaki, maka dia akan mendapat bahagian 1/6 dan jika mewarisi bersama ahli waris yang perempuan sahaja, maka bapa akan mendapat bahagian 1/6 dan baki harta. Dengan syarat selepas harta tersebut dibahagikan kepada ashab al-furud. Dalil yang menetapkan bahagian bapa ini terdapat di dalam surah al-Nisa’ ayat 11:

“Dan untuk dua orang ibu-bapa, bagi masing-masingnya seperenam dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak…”

ii. Ibu

Ibu akan mendapat bahagian 1/6 jika mewarisi bersama-sama ahli waris yang lain samada lelaki atau perempuan, seorang atau lebih. Dalil yang menetapkan bahagian ibu ini sama dengan dalil yang menunjukkan bahagian bapa.

iii. Datuk

Para ulama menyatakan datuk ini sebagai ‘jadd sahih’ iaitu bapa kepada bapa yang hubungan nasabnya terus dari bapa ke atas tanpa diselangi oleh perempuan. Datuk akan mewarisi bahagian 1/6 jika memenuhi dua syarat. Pertama, jika dia mewarisi bersama-sama dengan ahli waris yang lain seperti anak lelaki dan perempuan dan ke bawah. Kedua tidak ada bersama-samanya bapa. Jika datuk mewarisi bersama bapa, maka dia akan terhalang daripada mendapat harta peninggalan.

Dalil yang menetapkan bahagian datuk ini terdapat di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imran bin Husain bahawa seorang lelaki mendatangi Nabi menanyakan tentang bahagian pewarisannya. Baginda bersabda:

“Sesungguhnya cucu lelaki dari anak lelakiku telah meninggal dunia. Berapakah bahagian warisan yang aku terima darinya?” Nabi s.a.w menjawab, “kamu mendapat bahagian seperenam”

iv. Seorang anak perempuan dari anak lelaki atau lebih

Anak perempuan dari anak lelaki akan mendapat bahagian 1/6 jika memenuhi dua syarat. Pertama, tidak ada bersamanya anak lelaki daripada anak lelaki yang akan menjadikannya ‘asabah bi al-ghair. Kedua tidak ada anak lelaki si mati. Anak perempuan daripada anak lelaki ini akan mendapat 1/6 jika si mati mempunyai seorang anak perempuan dan terhalang jika si mati mempunyai anak perempuan lebih dari seorang. Dalil yang menetapkan bahagiannya ialah hadith yang diriwayatkan Imam Bukhari dalam kitab Sahih-nya dan imam yang lain seperti berikut:

“Huzail bin Syarhabil berkata, Abu Musa al-Asy’ari r.a. ditanya tentang bahagian warisan anak perempuan, anak perempuan daripada anak lelaki dan saudara perempuan. Lalu Abu Musa menjawab: “anak perempuan dan saudara perempuan mendapatkan bahagian separuh, dan datanglah kepada Ibnu Mas’ud, nescaya dia akan mengikut pendapatku”. Kemudian Ibnu Mas’ud r.a. ditanya tentang perihal yang sama dan diberitahukan mengenai pendapat Abu Musa, maka dia menjawab: “sungguh, aku orang yang tersesat dan bukanlah termasuk ke dalam orang yang memberikan petunjuk. Sesungguhnya, dalam masalah ini aku akan memberikan hukum sesuai dengan ketentuan yang disabdakan, “Anak perempuan memperolehi bahagian separuh, anak perempuan dari anak lelaki memperolehi bahagian seperenam sebagai penyempurnaan 2/3, dan sisanya untuk saudara perempuan.” Setelah itu kami kembali mendatangi Abu Musa untuk mengkhabarkan pendapat Ibnu Mas’ud. Lalu Abu Musa berkata: “janganlah kalian menanyakan kepadaku selama berita ini tidak ada pada kalian.”

v. Seorang saudara perempuan sebapa atau lebih

Ahli waris ini akan memperolehi bahagian sebanyak 1/6 jika mereka memenuhi dua syarat. Pertama, hendaklah dia mewarisi bersama-sama saudara perempuan seibu sebapa yang mewarisi tetap, separuh. Kedua, dia tidak bersama-sama dengan mu’asib-nya iaitu saudara lelaki sebapa. Dalil yang menetapkan bahagian ahli waris ini ialah berdasarkan ijma’ para ulama’ yang mengqiaskan masalah ini pada anak perempuan daripada anak lelaki yang mewarisi bersama-sama dengan anak perempuan.



vi. Saudara lelaki dan perempuan seibu

Saudara lelaki dan perempuan seibu akan mendapat bahagian 1/6 jika mereka memenuhi tiga syarat. Pertama, tidak mewarisi bersama-sama ahli waris keturunan si mati secara mutlak (furu’). Kedua, tidak bersama-sama dengan ahli waris usul dari golongan lelaki. Dan ketiga ialah jika saudara seibu itu hanya seorang. Dalil yang menetapkan bahagiannya ialah di dalam surah al-Nisa’ ayat 12:


“Jika seseorang mati, baik lelaki mahupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara lelaki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu…”

vii. Nenek

Yang dimaksudkan dengan nenek disini ialah ‘jaddah sahih’, iaitu waris usul perempuan yang dipertalikan kepada si mati tanpa memasukkan datuk yang ghair sahih. Contoh dari nenek yang sahih adalah ibunya ibu dan ibunya bapa. Nenek akan mendapat 1/6 jika dia mewarisi tidak bersama-sama dengan ibu. Jika dia mewarisi bersama ibu, maka ia akan terhalang. Dalil yang mengatakan bahagian nenek ini ialah Nabi s.a.w telah memberikan hak waris kepada nenek seperenam bahagian, melalui hadith yang diriwayatkan oleh al-Khamsah, kecuali al-Nasa’i dan hadith yang dimaksudkan dianggap sahih oleh al-Tirmizi. Nabi s.a.w juga telah menetapkan bahagian warisan untuk dua orang nenek adalah seperenam.
(H.R. Abu Daud dari ‘Ubadah bin al-Shamith)

2. ‘Asabah

Perkataan ‘asabah boleh dilihat dari dua sudut iaitu dari segi bahasa dan istilah. Dari segi bahasa, perkataan ‘asabah adalah jama’ daripada perkataan ‘asib yang beerti kaum kerabat lelaki disebelah bapa. Ia dinamakan sedemikian kerana mereka ini mengelilingi seseorang itu pada masa merbahaya untuk memberi perlindungan dan memelihara daripada musuh. Dengan sebab itu, seorang lelaki apabila dia mempunyai hubungan keturunan dengan seseorang yang lain dengan perantaraan lelaki, maka ia disebut ‘asabah kepadanya. Ulama’ menggunakan perkataan ‘asabah untuk menunjukkan kepada seseorang walaupun perkataan ini adalah sesuatu perkataan jama’. Ini kerana ia mengambil tempat jama’ dalam mengambil pusaka. Begitu juga syarak menyebutkan perempuan itu ‘asabah dalam sesetengah keadaan walaupun perkataan ‘asabah itu pada asalnya menunjukkan kepada jama’ lelaki.

Manakala ‘asabah menurut istilah ilmu pusaka pula ialah waris-waris yang tidak dinyatakan bahagian mereka daripada harta pusaka. Mereka kadangkala menerima semua harta pusaka apabila tiada ahli waris ashab al-furud, kadangkala mengambil baki harta setelah diberikan kepada ashab al-furud dan kadangkala tidak memperolehi sebarang harta apabila ia telah dihabiskan oleh ashab al-furud. Hubungan waris ‘asabah dengan si mati adalah sangat kuat kerana hubungan kekerabatan mereka dipertali atau dihubungkan melalui perantaraan bapa.

‘Asabah ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu ‘asabah nasabiyyah dan ‘asabah sababiyyah.

a) ‘Asabah nasabiyyah (keturunan) iaitu waris si mati yang mempunyai hubungan darah (kerabat) dengannya yang terdiri daripada golongan lelaki tanpa diselangi oleh perempuan seperti anak lelaki, anak lelaki daripada anak lelaki, bapa, datuk, saudara lelaki seibu sebapa dan anak lelakinya, saudara lelaki sebapa dan seterusnya. Begitu juga waris ashab al-furud perempuan ketika bersama-sama dengan saudara lelakinya seperti anak perempuan ketika bersama anak lelaki, saudara perempuan sebapa ketika saudara lelaki sebapa dan seterusnya. Firman Allah S.W.T di dalam surah al-Nisa’ ayat 176:

“Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri dari) saudara-saudara lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara lelaki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan”

‘Asabah nasabiyyah ini terbahagi pula kepada tiga bahagian, iaitu:

i. ‘Asabah bi al-Nafs iaitu menjadi ‘asabah dengan dirinya sendiri adalah setiap lelaki yang sangat dekat hubungan kekerabatannya dengan si mati yang tidak diselangi oleh seorang perempuan. Mereka adalah lelaki yang telah disepakati oleh para ulama’ yang dapat mewarisi secara ‘asabah, kecuali suami dan saudara seibu. Jumlah mereka seramai 12 orang iaitu anak lelaki, anak lelaki daripada anak lelaki dan ke bawah, bapa, datuk dan ke bawah, saudara seibu sebapa, saudara sebapa, anak lelaki saudara seibu sebapa, anak lelaki saudara sebapa dan ke bawah, bapa saudara seibu sebapa sebelah bapa dan sebapa ke atas, anak lelaki bapa saudara seibu sebapa dan sebapa dan ke bawah.

Terdapat tiga hukum yang berkaitan dengan ahli waris ‘asabah bi al-nafs ini.

• Pertama: mereka akan mengambil seluruh harta peninggalan jika seorang. Ini berdasarka firman Allah di dalam surah al-Nisa’ ayat 176.
• Kedua: mereka akan menjadi ‘asabah dengan dirinya sendiri apabila berkumpul dengan waris ashab al-furud , maka mereka akan mendapat baki daripada ashab al-furud. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

“Berikan bahagian-bahagian tetap kepada orang yang berhak, jika ada, sisanya untuk ahli waris lelaki dari keturunan si mati”
(H.R. Muttafaqun ‘alaih)

• Ketiga: mereka ini tidak akan mendapat sedikitpun daripada baki harta pusaka jika waris ashab al-furud mengambil semua harta pusaka, kecuali saudara seibu sebapa dalam masalah musyarakah.

ii. ‘Asabah bi al-ghair iaitu ‘asabah di sebabkan oleh waris lain. Waris ‘asabah ini terdiri daripada ashab al-furud perempuan yang telah ditetapkan bahagiannya. Mereka akan menerima ‘asabah ketika mewarisi bersama-sama dengan waris-waris lelaki (‘asabah bi al-nafs) yang sedarjat dengan mereka.

Waris-waris yang termasuk dalam golongan ini ialah waris perempuan yang menerima fardu 1/2 ketika seorang dan 2/3 ketika dua orang dan lebih. Mereka terdiri daripada empat orang iaitu:

• Anak perempuan (seorang atau lebih) ketika mewarisi bersama dengan anak lelaki yang sedarjat atau setaraf dengannya.
• Anak perempuan daripada anak lelaki (seorang atau lebih) ketika mewarisi bersama-sama dengan anak lelaki daripada anak lelaki.
• Saudara perempuan seibu sebapa (seorang atau lebih) ketika mewarisi bersama-sama dengan saudara lelaki seibu sebapa.
• Saudara perempuan sebapa (seorang atau lebih) ketika mewarisi bersama-sama dengan saudara lelaki sebapa.

Oleh itu, waris-waris ashab al-furud yang dinyatakan di atas tidak lagi boleh mewarisi atas sifat mereka sebagai ashab al-furud ketika mewarisi bersama-sama dengan waris-waris lelaki yang sedarjat dengan mereka. Dengan ini, mereka akan di ta’sibkan oleh waris lelaki iaitu mengambil baki harta menurut perimbangan satu bahagian waris lelaki menyamai dua bahagian waris perempuan. Dalil yang mensyariatkan pembahagian ‘asabah bi al-ghair ini terdapat di dalam surah al-Nisa’ ayat 176 yang terdapat di atas.

iii. ‘Asabah ma’a al-ghair iaitu ‘asabah bersama dengan yang lain. Ia bermaksud waris perempuan yang menerima ‘asabah dengan sebab berkumpul bersama-sama dengan waris perempuan yang lain. Waris-waris yang terlibat dalam bentuk ‘asabah ini hanya dua orang iatu saudara perempuan seibu sebapa dan saudara perempuan sebapa. Mereka akan mewarisi secara ‘asabah apabila mewarisi bersama-sama dengan anak perempuan (seorang atau lebih) atau anak perempuan daripada anak lelaki (seorang atau lebih) atau bersama dengan kedua-duanya sekali.

Dalil yang menunjukkan bahagian ‘asabah ma’a al-ghair ini adalah berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Ibn Mascud mengenai seorang mati meninggalkan seorang anak perempuan, seorang anak perempuan dari anak lelaki dan seorang saudara perempuan seibu sebapa yang bermaksud:

“Bagi seorang anak perempuan 1/2, seorang anak perempuan dari anak perempuan 1/6 dan apa yang baki itu untuk saudara perempuan”
(H.R. al-Bukhari)

Oleh yang demikian, waris-waris ‘asabah ma’a ghair akan mengambil baki harta jika masih ada dan tidak lagi boleh lagi mewarisi atas sifat mereka atas sifat ashab al-furud. Manakala anak perempuan atau anak perempuan dari anak lelaki yang menta’sibkannya tetap akan mengambil fardu masing-masing.

b) ‘Asabah sababiyyah atau juga dikenali dengan ‘qarabah hukmiyyah’ iaitu ‘asabah bagi orang yang memerdekakan hamba. Ini bermakna orang yang memerdekakan hamba (lelaki atau perempuan) boleh mewarisi daripada hamba yang dimerdekakannya. Tetapi hamba yang dimerdekakan itu tidak boleh mewarisi daripada orang yang memerdekakannya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Sesungguhnya hak wala’ itu hanya bagi orang yang telah memerdekakan hamba” (H.R. al-Bukhari)

Dalam ‘asabah sababiyyah, tuan hamba akan mewarisi harta si mati (hamba yang dimerdekakan) sekiranya si mati tidak meninggalkan seorang pun waris samada waris keturunan (termasuk dhawi al-arham) atau perkahwinan (suami isteri).

3. Dhawi Al-Arham

Dari segi bahasa, perkataan al-arham merupakan kata jama’ dari al-rahim yang beerti tempat kandungan anak. Dengan itu, dhawi al-arham beerti mereka yang mempunyai hubungan kerabat atau darah termasuk ashab al-furud, asabah dan waris-waris lain. Manakala dari segi istilah ulama’ faraid, dhawi al-arham ialah waris yang mempunyai hubungan kerabat atau darah dengan si mati selain daripada ashab al-furud dan ‘asabah samada lelaki atau perempuan. Contohnya, anak lelaki dan perempuan kepada anak perempuan, anak lelaki dan perempuan daripada saudara-saudara perempuan, bapa saudara sebelah ibu, ibu saudara sebelah ibu dan bapa, bapa kepada ibu dan lain-lain lagi.

a) Golongan Waris Dhawi Al-Arham

Waris-waris dhawi al-arham adalah seperti berikut:
i. Anak-anak samada lelaki atau perempuan daripada anak perempuan dan seterusnya.
ii. Anak-anak samada lelaki atau perempuan daripada saudara perempuan samada seibu sebapa, sebapa atau seibu.
iii. Anak perempuan kepada saudara-saudara lelaki samada seibu sebapa, sebapa atau seibu.
iv. Anak perempuan kepada bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa, sebapa atau seibu.
v. Bapa saudara sebelah bapa seibu.
vi. Bapa saudara sebelah ibu samada seibu sebapa, sebapa atau seibu.
vii. Ibu saudara sebelah ibu samada seibu sebapa, sebapa atau seibu.
viii. Ibu saudara sebelah bapa samada seibu sebapa, sebapa atau seibu.
ix. Datuk yang tidak sahih seperti bapa kepada ibu dan seterusnya.
x. Nenek yang tidak sahih iaitu hubungannya dengan si mati diselangi oleh datuk yang tidak sahih seperti ibu kepada bapa kepada ibu.
xi. Anak lelaki kepada saudara lelaki atau perempuan seibu.

b) Syarat Pewarisan Waris Dhawi Al-Arham

Syarat pewarisan bagi dhawi al-arham ini terbahagi kepada dua iaitu:
i. Waris ashab al-furud tidak ada kerana jika sekiranya terdapat waris ashab al-furud, maka dia akan mengambil bahagiannya sebagai ashab al-furud dan bakinya dengan cara al-radd. Pengambilan secara al-radd ini didahulukan dari pemberian harta pusaka kepada waris dhawi al-arham.
ii. Waris ‘asabah tidak ada kerana jika sekiranya terdapat waris ‘asabah maka semua harta pusaka akan diberikan kepadanya apabila dia bersendirian dan akan mengambil baki harta bila bersama dengan ashab al-furud.

Walau bagaimanapun, sekiranya yang mewarisi itu hanya salah seorang daripada suami atau isteri, maka salah seorang daripada mereka akan mengambil bahagian mereka sebagai ashab al-furud dan bakinya akan diberikan kepada waris dhawi al-arham. Ini kerana kedudukan waris dhawi al-arham dalam penerimaan harta pusaka didahulukan dari al-radd kepada salah seorang daripada suami atau isteri.

c) Kaedah Pewarisan Waris Dhawi Al-Arham

Di kalangan ulama’ jumhur yang membolehkan waris dhawi al-arham mewarisi harta pusaka berbeza pendapat dalam menentukan cara pewarisan mereka. Perbezaan tersebut seperti berikut:

i. Kaedah Ahl al-Rahim

Dasar pembahagian harta pusaka kepada mereka ialah setiap waris dhawi al-arham berkongsi secara sama rata kerana pewarisan mereka semata-mata atas dasar hubungan darah (rahim) dengan si mati. Di samping itu, syarak tidak menetapkan kadar tertentu kepada mereka sebagaimana yang ditetapkan kepada waris ashab al-furud.

Contohnya, seorang mati meninggalkan anak perempuan kepada anak perempuan, anak perempuan daripada saudara perempuan seibu sebapa, anak perempuan kepada saudara lelaki seibu sebapa, ibu saudara sebelah bapa seibu sebapa, ibu saudara sebelah ibu seibu sebapa dan anak lelaki daripada saudara lelaki seibu. Oleh itu, menurut kaedah ini, mereka semua mendapat harta pusaka secara sama rata.
ii. Kaedah ini juga dikenali sebagai kaedah penggantian kerana mereka meletakkan anak keturunan si mati daripada golongan dhawi al-arham pada tempat orang tua mereka yang menghubungkan mereka dengan si mati samada dari ashab al-furud atau ‘asabah. Berdasarkan kaedah ini, hendaklah diberikan bahagian harta pusaka kepada waris-waris dhawi al-arham sama seperti apa yang diberikan kepada mereka yang menghubungkannya dengan si mati samada secara fardu atau ‘asabah dan bahagian seorang lelaki dua kali ganda bahagian perempuan (2:1).

Contohnya, seorang mati meninggalkan bapa saudara sebelah ibu seibu sebapa dan ibu saudara sebelah bapa seibu sebapa. Maka dalam kes ini si mati seolah-olah meninggalkan ibu dan bapa. Dengan ini, bapa saudara sebelah ibu seibu sebapa mendapat 1/3 dan bakinya (2/3) diberikan kepada ibu saudara sebelah bapa seibu sebapa.

iii. Kaedah ini melihat kepada kedekatan dan kekuatan hubungan di antara waris dhawi al-arham dengan si mati samada dari segi jihat (pihak), tingkatan atau kekuatan hubungan darah (qarabah) sepertimana yang berlaku dalam pewarisan ‘asabah. Oleh itu, kaedah ini diutamakan mereka yang dekat hubungan kekerabatannya dengan si mati dan kemudian mereka yang lebih kuat hubungan kekerabatannya.

Kaedah ahl al-qarabah ini diqiaskan kepada jihat-jihat waris ‘asabah bi al-nafs mengikut turutannya seperti berikut:
• Jihat al-bunuwwah: iaitu anak keturunan si mati seperti anak perempuan daripada anak perempuan, anak lelaki kepada anak perempuan dan seterusnya ke bawah.
• Jihat al-ubuwwah: iaitu waris-waris yang terdiri dari datuk dan nenek yang tidak sahih sehinggalah seterusnya ke atas.
• Jihat al-ukhuwwah: iaitu anak keturunan daripada saudara-saudara lelaki seperti anak perempuan daripada saudara lelaki, anak lelaki kepada saudara perempuan dan seterusnya ke bawah.
• Jihat al-‘umumah dan al-khu’ulah: iaitu ibu saudara sebelah bapa, ibu dan bapa saudara sebelah ibu dan anak-anak mereka serta waris yang sama kedudukannya dengan mereka seperti anak perempuan daripada bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa atau sebapa.

3.7 KESIMPULAN

Pembahagian harta pusaka menurut syarak ini telah disyari’atkan oleh Allah Ta’ala untuk diamalkan dan menjadi panduan oleh umat Islam. Sistem ini juga amat unik jika dibandingkan dengan sistem lain kerana di dalam sistem pembahagian ini mengandungi ciri-cirinya yang tersendiri. Contohnya, ianya bersumberkan kepada wahyu dari Allah Ta’ala dan ianya tidak direka atau dicipta oleh manusia itu sendiri. Kerana jika ianya direka oleh manusia, sudah tentu ianya akan terdedah kepada kesilapan dan ketidakadilan. Pembahagian menurut syarak juga telah menetapkan bahawa mereka yang mempunyai hubungan yang rapat dengan si mati sahaja yang layak untuk menjadi waris bagi memastikan saudara-saudara si mati tidak hidup di dalam kesusahan. Selain itu, ia juga mempunyai rukun, syarat dan sebab pewarisannya yang tersendiri bagi memastikan sistem ini memberikan keadilan kepada manusia. Selain menggariskan sebab-sebab yang melayakkan seseorang itu menerima harta pusaka, sistem ini juga turut menggariskan penghalang kepada seseorang dari mendapatkan harta pusaka. Ini bagi memastikan bahawa waris-waris yang sepatutnya mendapat harta pusaka tidak tertindas.

Di dalam pembahagian harta pusaka menurut Islam, ia tidak menghadkan harta-harta yang boleh menjadi harta pusaka selagi ianya tidak bercanggah dengan ketetapan syarak. Ia juga memberikan kebebasan kepada waris-waris untuk menggunakan bahagian yang diterimanya tanpa boleh dihalang oleh orang lain. Jelaslah di sini bahawa pembahagian harta pusaka menurut syarak ini adalah satu pembahagian yang sempurna dan menepati kehendak manusia.