Dari segi bahasa :
Penambahan atau lebihan,sebagaimana firman Allah swt dalam surah al Hajj ayat 5:
فإذا أنزلنا عليها الماء اهتزت وربت- ertinya : "dan apabila Kami telah turunkan air ke atasnnya(bumi),hiduplah bumi itu bertambahlah suburnya "
dan ayat 92 dari surah an nahlأن تكون أمة هي أربى من أمة- ertinya : " adanya satu golongan yang lebih banyak jumlahnya dari golongan yang lain "
Dari segi syarak :
Penambahan ke atas barang-barang tertentu( takrif di sisi Hanabilah )
Penambahan ke atas sesuatu barang tanpa memberi ganti semasa proses penukaran barang iaitu penambahan bagi sebelah pihak sahaja ( takrif di sisi Hanafiah ).
Takrifan fuqaha yang menyeluruh bagi riba adalah :
Penambahan ke atas modal yang disyaratkan kepada salah seorang yang melakukan urusan jual beli( penghutang ) tanpa memberi gantian atau tukaran bagi penambahan tersebut ekoran proses penukaran barang tertentu ataupun disebabkan kelewatan menghadirkan barang tukaran atau kedua-duanya sekali pada masa yang ditetapkan.
Dengan kata lain,riba adalah penambahan ke atas modal yang dibayar oleh penghutang kepada pemiutang pada masa yang ditetapkan dengan syarat dan ketetapan tertentu.
Hukum riba :
Riba adalah haram dengan persetujuan fuqaha tanpa sebarang perselisihan samada sedikit mahupun banyak.Pengharaman ini telah disabitkan di dalam Al quran,sunah dan ijma`.
Pengharaman ini berlaku secara berperingkat sepertimana pengharaman arak.Berikut ayat-ayat al Quran bagi pengharaman riba mengikut tertib peringkat pengharamannya :
1- " dan sesuatu riba(tambahan) yang kamu berikan supayanya ianya bertambah pada harta manusia maka riba itu tidak bertambah di sisi Allah,dan apa yang kamu berikan berupa zakat denagan mengharapkan keredahaan Allah maka itulah orang-orang yang dilipat gandakan pahalanya ". surah ar Rum 39 .
2- " maka disebabkan kezaliman mereka (orang-orang Yahudi),Kami haramkan mereka (makanan) yang elok yang mana telah dihalalkan bagi mereka dan kerana mereka banyak menghalang dari jalan Allah.dan disebabkan mereka memakan riba yang telah diharamkan serta mereka memakan harta manusia secara batil,Kami telah menyediakan untuk mereka siksa yang pedih ". surah an Nisa 160 -161 .
3- " wahai orang-orang yang beriman,janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat keuntungan " . surah ali Imran 130 .
4- " orang-orang yang memakan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan lantaran penyakit gila(tidak tenteram),ini kerana mereka mengatakan bahawa jual beli sama seperti riba padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba,mereka yang telah sampai kepadanya larangan tuhannya lalu terus berhenti maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu dan urusannya terserah kepada Allah,manakala orang yang masih mengulangi riba maka itulah penghuni-penghuni neraka,mereka kekal di dalamnya.Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah dan Allah tidak menyukai semua orang kafir yang selalu berbut dosa. " . surah al Baqarah 275- 276 .
- “wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki Riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidal meninggalkannya, istisharkanlah perang dengan Allah dan RasulNya” . surah al Baqarah : 278-279 .
Hadis-hadis yang mengharamkan riba juga terlalu banyak dan antaranya adalah :
- “Jauhilah tujuh dosa besar, Syirik, Sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina ( tanpa saksi adil) “ ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- "Dilaknat pemakan riba,pemberinya,penulisnya dan kedua saksinya,mereka semua sama dalam hal tersebut" ( Hadis dari Jabir bin Abdullah diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim.Lafaz ini dari Muslim )
- “ Riba mempunyai 73 pintu, Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya..” (Ibn Majah, 2/764 ; Al-Hakim, 2/37 Al-hakim: Sohih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim)
- "Sedirham riba yang dimakan anak Adam lebih teruk di sisi Allah dari 36 zina" ( Riwayat ad Daruqutni,al Baihaqi dan Ahmad )
Imam An-Nawawi rh berkata : “Telah Ijma’ seluruh ulama Islam tentang pengharaman Riba dan ianya termasuk dalam kategori dosa besar, dan dikatakan juga Riba diharamkan oleh semua agama , antara yang berpendapat demikian adalah Imam Al-Mawardi” .
Dapat difahami di sini bahawa riba adalah salah satu daripada dosa besar yang wajib dijauhi umat islam.Kesimpulan bagi nas-nas pengharaman riba di atas adalah seperti berikut :
a. Pemakan dan Pemberi Riba Perangi Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT :
Ertinya : “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki Riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidal meninggalkannya, istisharkanlah perang dengan Allah dan RasulNya”. al Baqarah 278-279 .
Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa yang enggan dan masih berdegil untuk meninggalkan saki baki riba dalam kehidupannya dengan sengaja, maka ia akan berada dalam posisi peperangan dengan Allah SWT dan RasulNya.
Zahir ayat ini juga membayangkan peperangan itu juga berlaku sejak di dunia lagi, amat malanglah bagi seseorang dan pemimpin yang kurang mengambil endah akan hal ini.
Ibn Abbas r.a diriwayatkan berkata :
Ertinya : “Akan dikatakan kepada pemakan riba di hari kiamat : ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah SWT” .
Berkata Abu Hanifah rh pula : “ Inilah ayat di dalam Al-Quran yang paling menakutkan” .
Imam Malik Bin Anas rh pula berkata :
Ertinya : “Telah ku membuka lembaran-lembaran Kitab Allah dan Sunnah Nabi SAW dan tidak ku dapati (dosa) yang lebih buruk dari Riba, kerana Allah SWT dalam mengistiharkan atau mengizinkan perang ke atasnya” .
Berkata Imam Qatadah rh : “ Allah menjanjikan ahli Riba dengan hukuman bunuh, dan akan mendapatkannya dimana sahaja mereka berada” .
b. Kehilangan Berkat Harta dan Kehidupan.
Allah SWT berfirman :
Ertinya : “Allah menghancurkan keberkatan kerana Riba dan menambahkan keberkatan dari sedeqah” . al Baqarah 276
Kehilangan berkat itu akan berlaku di dunia dan di akhirat:-
Di Dunia : Bentuk-bentuk kehilangan berkat harta orang terlibat dengan riba adalah dengan mudah hilang dan habisnya harta dari pemilik dalam bentuk yang tidak berfaedah, sehinggalah ia akan merasa miskin dan faqir (walaupun ia mempunyai wang yang banyak), antaranya juga harta tadi akan menjadi sebab ringanya pemilik untuk melakukan maksiat, kefasikan, dan menghinakan diri di sisi Allah SWT, hilanglah sifat amanah, cenderung kepada rasuah, penipuan, dan tamak haloba. Ia juga bakal di timpa ujian harat yang banyak, seperti di rompak, curi, khianat, dan doa orang yang terkena zalim darinya juga lebih maqbul.
Sabda Nabi SAW dari Ibn Mas’ud r.a :-
Ertinya : “Sesungguhnya Riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa ” .
Di Akhirat : Berkata Ibn Abbas r.a :
Ertinya : “Tidak diterima dari pemakan riba ( yang menggunakan harta riba tadi) sedeqahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya” .
c. Seperti Berzina Dengan Ibu Bapa Sendiri
Nabi SAW bersabda :
Ertinya : “ Riba mempunyai 73 pintu, Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya..”.
d. Lebih Berat dari 36 Kali Zina.
Nabi SAW bersabda :
Ertinya : “Satu dirham Riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk dari berzina sebanyak 36 kali ” .
e. Salah satu dari Tujuh Dosa Terbesar
Ia berdasarkan hadith nabi SAW :
Ertinya : “Jauhilah tujuh dosa besar, Syirik, Sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina ( tanpa saksi adil) “ ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan