DONATE

Selasa, 28 Mac 2017

ISU-ISU PROSEDUR KES KESALAHAN MATRIMONI

NO.
ISU
KETETAPAN
ULASAN/MAKLUM BALAS
1.     
Ada beberapa Perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah dalam kes pengesahan pernikahan yang bersalahan dengan undang-undang di bawah sek 12 akta 303 agak mengelirukan. Perkara ini dapat dikesan apabila pihak-pihak datang ke JAWI untuk proses pendaftaran nikah.  Perkara ini berlaku disebabkan oleh prosedur permohonan bersama (tidak ada responden) yang diamalkan oleh mahkamah bagi permohonan pengesahan pernikahan menyebabkan keterangan pemohon tidak dicabar dan diterima oleh mahkamah. Adakah sesuai jika Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk dijadikan sebagai responden dalam permohonan tersebut.
Sidang mencadangkan supaya pendaftar nikah cerai rujuk negeri dijadikan sebagai responden dalam kes permohonan pengesahan nikah yang bersalahan dengan peruntukan undang-undang.  Cadangan ini akan diangkat kepada Bahagian Penyelarasan Undang-undang Jakim dan Ketua Pendaftar JKSM untuk tindakan selanjutnya.
Hasil penelitian Seksyen ini mendapati bahawa dalam menyelesaikan isu yang ditimbulkan mengenai pengesahan pernikahan yang bersalahan dengan undang-undang di bawah seksyen 12 Akta 303 dan disusuli dengan ketetapan sidang supaya PNCR dijadikan sebagai pihak responden  adalah wajar peruntukan seksyen 12, seksyen 31 dan seksyen 33 Akta 303 difahami dengan betul.

Seksyen 12 Akta 303 adalah berkaitan dengan perkahwinan yang tidak boleh didaftarkan. Peruntukan tersebut berbunyi seperti berikut:

“Seksyen 12. Perkahwinan yang tidak boleh didaftarkan

(1) Suatu perkahwinan yang melanggar dengan Akta ini tidak boleh didaftarkan di bawah Akta ini.

(2) Walau apa pun subseksyen (1) dan tanpa menjejaskan subseksyen 40(2), sesuatu perkahwinan yang telah diupacarakan berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian ini tetapi sebaliknya sah mengikut Hukum Syarak boleh didaftarkan di bawah Akta ini dengan perintah daripada Mahkamah.”

Hasil penelitian Seksyen ini mendapati bahawa menurut seksyen 12 (1) Akta 303, sesuatu perkahwinan yang melanggar dengan Akta ini tidak boleh didaftarkan di bawah Akta ini. Peruntukan ini telah dikecualikan oleh peruntukan  12 (2) iaitu  sesuatu perkahwinan yang telah diupacarakan berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian ini (iaitu BAHAGIAN II mengenai Perkahwinan) tetapi sebaliknya  sah mengikut hukum Syarak boleh didaftarkan di bawah Akta ini dengan perintah daripada Mahkamah.

Perkahwinan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan walaupun memenuhi rukun-rukun nikah  tetapi tidak mengikut peruntukan BAHAGIAN II Akta 303 pada asalnya tidak boleh didaftarkan. Walau bagaimanapun perkahwinan tersebut masih boleh didaftarkan jika ianya sah mengikut hukum syarak dengan perintah daripada mahkamah.

Sehubungan dengan itu, pihak-pihak hendaklah mendapatkan perintah mahkamah untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut melalui suatu permohonan berdasarkan kepada subseksyen 7(2) dan JADUAL KEDUA, Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 [Akta 585]. Selain itu, Arahan Amalan No.9 Tahun 2007 memperuntukkan mengenai amalan yang perlu diguna pakai oleh hakim-hakim syarie dalam permohonan pengesahan perkahwinan yang berlawanan dengan Akta/Enakmen/Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri.

Mengikut amalan semasa, tatacara permohonan pengesahan pernikahan dibuat secara permohonan bersama pihak-pihak terus kepada mahkamah tanpa melalui PNCR. Seksyen ini berpandangan bahawa amalan tersebut adalah tidak menepati peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Bagi pernikahan luar negara, selain daripada pernikahan di bawa seksyen 24, Akta 303 memperuntukkan bahawa sesuatu permohonan pengesahan pernikahan hendaklah dibuat di bawah seksyen 31 Akta 303 iaitu pihak-pihak perlu hadir di hadapan PNCR untuk mendaftarkan pernikahan tersebut. Jika PNCR meragui keesahan pernikahan tersebut, maka pihak-pihak hendaklah membuat permohonan pengesahan nikah mereka di Mahkamah syariah. Pada peringkat ini, PNCR boleh memohon sebagai pencelah atau menjadi pihak responden dalam kes tersebut untuk mengemukakan apa-apa maklumat yang ada dalam pengetahuannya atau membuat apa-apa bantahan berhubung dengan permohonan pengesahan nikah tersebut. Sebaliknya jika PNCR perpuashati selepas siasatannya bahawa pernikahan tersebut adalah sah dari segi hukum syarak, maka perkahwinan tersebut boleh diperintah untuk didaftarkan. Walau bagaimanapun pernikahan sedekian yang dilangsungkan bersalahan dengan peruntukan undang-undang adalah merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 40(2) Akta 303.


Sehubungan itu Seksyen ini mencadangkan supaya diadakan satu perbincangan semula di antara pihak JAKIM, JKSM dan Jabatan Agama Islam Negeri bagi menyelaraskan semula prosedur permohonan pengesahan nikah luar negara agar selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada.

2.     
Adakah Mahkamah berbidangkuasa untuk mendengar permohonan pengesahan nikah di bawah sek 12 akta 303 sekiranya ianya menjejaskan subseksyen 40(2) akta 303?  Apakah tafsiran kepada “tanpa menjejaskan subsekyen 40(2)”?.
Sidang bersetuju untuk memohon pandangan daripada Bahagian Penasihat, Seksyen Syariah, Jabatan Peguam Negara berhubung dengan tafsiran seksyen 12(2) “dan tanpa menjejaskan seksyen 40(2)” dalam Akta 303.
Subseksyen 12(1) Akta 303 memperuntukkan bahawa mana-mana perkahwinan yang melanggar mana-mana peruntukan dalam Akta 303 tidak boleh didaftarkan di bawah Akta 303. Subseksyen 12(1) Akta 303 berbunyi seperti yang berikut:

“Seksyen 12. Perkahwinan yang tidak boleh didaftarkan

(1) Suatu perkahwinan yang melanggar dengan Akta ini tidak boleh didaftarkan di bawah Akta ini.”.

Sungguhpun begitu, menurut subseksyen 12(2) Akta 303, jika sesuatu perkahwinan yang diuapacarakan itu berlawanan dengan mana-mana peruntukan dalam Akta 303 tetapi adalah sah mengikut hukum syarak maka ia boleh didaftarkan di bawah Akta 303 dengan perintah mahkamah. Subseksyen 12(1) Akta 303 yang berbunyi seperti berikut:


“Seksyen 12. Perkahwinan yang tidak boleh didaftarkan

(2) Walau apa pun subseksyen (1) dan tanpa menjejaskan subseksyen 40(2), sesuatu perkahwinan yang telah diupacarakan berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian ini tetapi sebaliknya sah mengikut Hukum Syarak boleh didaftarkan di bawah Akta ini dengan perintah daripada Mahkamah.”.

Berdasarkan peruntukan di atas, suatu perkahwinan yang sah mengikut hukum Syarak boleh didaftarkan di bawah Akta 303 dengan perintah mahkamah walaupun perkahwinan tersebut diupacarakan berlawanan dengan mana-mana peruntukan dalam Akta 303.
 
Bagi melaksanakan subseksyen 12(2) Akta 303 itu, permohonan pengesahan perkahwinan itu hendaklah dibuat di mahkamah bagi mendapatkan perintah pengesahan dan  satu perintah pendaftaran perkahwinan tersebut (jika perkahwinan itu didapati sah mengikut hukum syarak),  tanpa menjejaskan subseksyen 40(2) Akta 303 berbunyi seperti yang berikut:

“Seksyen 40. Kesalahan yang berhubungan dengan akad nikah perkahwinan

(2) Mana-mana orang yang berkahwin atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai akad nikah atau yang menjalani suatu bentuk akad nikah dengan sesiapa jua berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”.

Berdasarkan peruntukan tersebut, Seksyen ini berpandangan bahawa frasa “dan tanpa menjejaskan subseksyen 40(2)” dalam seksyen 12(2) bermaksud subseksyen 40(2) masih terpakai kepada mana-mana perkahwinan yang didaftarkan dengan perintah mahkamah. Ini bermakna, walaupun perkahwinan tersebut boleh didaftarkan di bawah subseksyen 12(2) Akta 303, perkahwinan itu adalah merupakan suatu kesalahan di bawah subseksyen 40(2) Akta 303 yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman sebagaimana yang diperuntukkan dalam subseksyen yang sama.

Oleh yang demikian, Seksyen ini berpandangan bahawa berdasarkan tafsiran subseksyen 12(2) Akta 303, mahkamah mempunyai kuasa untuk mendengar permohonan pengesahan nikah tanpa menafikan kuasa pendakwa untuk mendakwa mana-mana perkahwinan yang diupacarakan berlawanan dengan Akta 303 sebagai satu kesalahan di bawah subseksyen 40(2) Akta 303.

3.     
Terdapat beberapa pengesahan anak kariah yang dikeluarkan oleh Imam atau pihak yang berautoriti kepada mereka yang bukan tinggal di dalam kariah berkenaan.
Sidang bersetuju mencadangkan supaya pihak JAWI mengeluarkan satu garis panduan pengesahan anak kariah kepada pihak-pihak yang berkenaan.

-Tidak berkenaan-
4.     
Bagi warga asing yang tinggal di Wilayah Persekutuan dan telah berkahwin di negara masing-masing sebelum datang ke Malaysia.  Adakah pernikahan tersebut perlu disahkan dan didaftarkan di bawah Akta 303?
Sidang bersetuju untuk memohon pandangan daripada Bahagian Penasihat, Seksyen Syariah, Jabatan Peguam Negara berhubung dengan tafsiran seksyen 33 akta 303 sama ada ia terpakai kepada warganegara asing yang tinggal di Malaysia atau hanya untuk warganegara Malaysia sahaja.
Seksyen 33 Akta 303 memperuntukkan mengenai pendaftaran suka rela perkahwinan orang Islam yang diakadnikahkan dahulunya di bawah mana-mana undang-undang seperti yang berikut:

“Seksyen 33. Pendaftaran suka rela perkahwinan orang Islam yang diakadnikahkan dahulunya di bawah mana-mana undang-undang

(1) Walau apa pun peruntukan seksyen 6 dan seksyen 31, pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan mengikut Hukum Syarak yang diakadnikahkan di bawah mana-mana undang-undang sebelum atau selepas tarikh yang ditetapkan boleh, jika perkahwinan itu belum didaftarkan, memohon pada bila-bila masa kepada Pendaftar dalam borang yang ditetapkan untuk didaftarkan perkahwinan itu.”.

Berdasarkan peruntukan seksyen 33 Akta 303 itu, frasa “mana-mana undang-undang” adalah merujuk kepada maksud “undang-undang” sebagaimana yang ditafsirkan di bawah seksyen 66 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] seperti yang berikut:

“law” includes written law, the common law in so far as it is in operation in the Federation or any part thereof, and any custom or usage having the force of law in the Federation or in any part thereof.”.

Selanjutnya, seksyen yang sama juga memperuntukkan maksud “written law” seperti yang berikut:

“written law” means all Acts of Parliament, Ordinances and Enactments in force in the Federation or any part thereof and all subsidiary legislation made thereunder, and includes the Federal Constitution.”.

Berdasarkan peruntukan seksyen 66 Akta 388 di atas, Seksyen ini berpandangan bahawa frasa “law” dan “written law” hanya merujuk kepada undang-undang bertulis yang berkuatkuasa di Malaysia dan tidak terpakai kepada undang-undang yang lain. Oleh itu, Seksyen 33 Akta 303 hanya merujuk kepada pendaftaran suka rela perkahwinan orang Islam yang diakadnikahkan dahulunya di bawah mana-mana undang-undang di Malaysia sahaja.

Dalam hal ini, seksyen 33 Akta 303 adalah terpakai kepada warganegara Malaysia sahaja dan tidak terpakai kepada warga asing yang telah berkahwin di bawah undang-undang di negara masing-masing sebelum datang ke Malaysia. Oleh yang demikian, mana-mana warga asing yang menjalankan upacara perkahwinan menurut undang-undang di negara mereka sebelum datang ke Malaysia tidak perlu mendaftarkan perkahwinan mereka di bawah seksyen 33 Akta 303.

5.     
Bagi Perkahwinan di luar Kedutaaan Malaysia yang diakadnikahkan oleh jurunikah yang tidak dilantik di bawah Subsek. 28(3), sekiranya perkahwinan itu diendorskan di Kedutaan, adakah boleh dianggap seperti perkahwinan di Kedutaan dan memenuhi sek. 24 akta 303?
Sidang bersetuju mencadangkan supaya Bahagian Undang-Undang Jakim menggubalkan kaedah perkahwinan di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi Malaysia atau pejabat Konsul Malaysia di luar Negara bersesuaian dengan seksyen 24 A303.
Subseksyen 28(3) Akta 303 memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik mana-mana anggota staf diplomatik Malaysia di mana-mana negara untuk menjadi PNCR Orang Islam di negara itu. Peruntukan tersebut berbunyi seperti yang berikut :

“28(3) Pelantikan Ketua Pendaftar, Pendaftar, Timbalan dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju’ Orang Islam


“Yang di-Pertuan Agong boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, melantik mana-mana anggota staf diplomatik Malaysia di mana-mana negara untuk menjadi Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju’ Orang Islam bagi maksud Akta ini di negara itu.”.

Seksyen 24 Akta 303 pula memperuntukkan mengenai akad nikah perkahwinan di Kedutaan Malaysia, dsb., di luar negeri. Peruntukan tersebut berbunyi seperti yang berikut :

24(1) Tertakluk kepada subseksyen (2), perkahwinan boleh diakadnikahkan mengikut Hukum Syarak oleh Pendaftar yang dilantik di bawah subseksyen 28(3) di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi, atau Pejabat Konsul Malaysia di mana-mana negara yang telah tidak memberitahu Kerajaan Malaysia tentang bantahannya terhadap pengakadnikahan perkahwinan di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi, atau Pejabat Konsul itu.

(2) Sebelum mengakadnikahkan suatu perkahwinan di bawah seksyen ini, Pendaftar hendaklah berpuas hati—
(a) bahawa satu atau kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu adalah pemastautin Wilayah Persekutuan;
(b) bahawa tiap-tiap satu pihak mempunyai keupayaan untuk berkahwin mengikut Hukum Syarak dan Akta ini; dan
(c) bahawa, jika salah satu pihak bukan pemastautin Wilayah Persekutuan, perkahwinan yang dicadangkan itu, jika diakadnikahkan, akan dikira sebagai sah di tempat di mana pihak itu bermastautin.

(3) Tatacara bagi akad nikah dan pendaftaran perkahwinan di bawah seksyen ini hendaklah serupa dalam semua hal yang berkenaan dipakai bagi perkahwinan lain yang diakadnikahkan dan didaftarkan dalam Wilayah Persekutuan di bawah Akta ini seolah-olah Pendaftar yang dilantik untuk sesuatu negara asing adalah seorang Pendaftar untuk Wilayah Persekutuan.”.

Dalam perkara ini, isu yang dibangkitkan adalah mengenai sama ada perkahwinan yang dilangsungkan di luar Kedutaaan Malaysia dan diakadnikahkan oleh jurunikah yang tidak dilantik di bawah subsekyen 28(3) boleh dianggap seperti perkahwinan di Kedutaan dan memenuhi seksyen 24 Akta 303 sekiranya diendorskan di Kedutaan atau pun sebaliknya.

Berdasarkan penelitian, Seksyen ini mendapati bahawa prosedur pendaftaran perkahwinan di luar kedutaan Malaysia dan diakadnikahkan oleh jurunikah yang tidak dilantik di bawah subseksyen 28(3) telah diperuntukkan dalam seksyen 31 Akta 303.

Seksyen 31 Akta 303 menyatakan bahawa jika perkahwinan itu dilangsungkan di luar daripada Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi, atau Pejabat Konsul Malaysia, orang itu hendaklah mendaftarkan perkahwinan di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi, atau Pejabat Konsul Malaysia negara tersebut dalam masa enam bulan selepas tarikh perkahwinan itu. Selanjutnya, jika sebelum tamat tempoh enam bulan itu, salah satu atau kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu dijangkakan akan kembali ke negara ini, sedangkan perkahwinan itu belum didaftarkan di luar negeri, maka pendaftaran perkahwinan itu hendaklah dibuat dalam masa enam bulan setelah salah seorang atau kedua-dua mereka kembali ke tanah air.

Peruntukan seksyen 31 Akta 303 berbunyi seperti berikut :

Seksyen 31. Pendaftaran perkahwinan luar negeri oleh orang yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan

(1) Jika mana-mana orang yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan telah berkahwin di luar negeri dengan sah mengikut Hukum Syarak, bukannya suatu perkahwinan yang didaftarkan di bawah seksyen 24, maka orang itu hendaklah, dalam masa enam bulan selepas tarikh perkahwinan itu, hadir di hadapan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju’ Orang Islam yang berhampiran sekali atau yang terdapat dengan paling mudah di luar negeri untuk mendaftarkan perkahwinan itu, dan perkahwinan itu, setelah didaftarkan, hendaklah disifatkan sebagai didaftarkan di bawah Akta ini.

(2) Jika sebelum tamat tempoh enam bulan itu salah satu atau kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu dijangkakan akan kembali ke Wilayah Persekutuan dan perkahwinan itu belum didaftarkan di luar negeri, maka pendaftaran perkahwinan itu hendaklah berkuat kuasa dalam masa enam bulan selepas salah satu atau kedua-dua pihak itu mula-mula sampai di Wilayah Persekutuan dengan salah satu pihak itu atau kedua-dua pihak itu hadir di hadapan mana-mana Pendaftar dalam Wilayah Persekutuan dan—

(a) mengemukakan kepada Pendaftar itu surat perakuan nikah atau apa-apa keterangan, sama ada lisan atau dokumentar, yang boleh memuaskan hati Pendaftar bahawa perkahwinan itu telah berlaku;

(b) memberi apa-apa butir sebagaimana yang dikehendaki oleh Pendaftar untuk pendaftaran sewajarnya perkahwinan itu; dan

(c) memohon dalam borang yang ditetapkan supaya perkahwinan itu didaftarkan dan menandatangani akuan di dalamnya.

(3) Pendaftar boleh mengecualikan satu daripada pihak itu daripada hadir jika dia berpuas hati bahawa ada sebab yang baik dan cukup bagi pihak itu tidak hadir dan dalam hal yang demikian catatan dalam Daftar Perkahwinan hendaklah termasuk suatu pernyataan tentang sebab pihak itu tidak hadir.

(4) Selepas sahaja pendaftaran sesuatu perkahwinan di bawah seksyen ini, satu salinan sah catatan dalam Daftar Perkahwinan yang diperakui dan ditandatangani oleh Pendaftar hendaklah diserahkan atau dihantar kepada suami dan satu salinan lagi kepada isteri, dan satu lagi salinan sah yang diperakui hendaklah dihantar, dalam tempoh sebagaimana yang ditetapkan, kepada Ketua Pendaftar yang hendaklah menyebabkan semua salinan yang diperakui itu dijilid bersama untuk menjadi Daftar Perkahwinan Orang Islam Luar Negeri.

(5) Jika pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan yang dikehendaki didaftarkan di bawah seksyen ini tidak hadir di hadapan Pendaftar dalam tempoh yang dinyatakan dalam subseksyen (1), perkahwinan itu boleh, atas permohonan kepada Pendaftar, didaftarkan kemudian setelah dibayar apa-apa penalti yang ditetapkan.”.

Berdasarkan peruntukan seksyen 31 Akta 303 di atas, Seksyen ini berpandangan bahawa perkahwinan di luar kedutaan Malaysia yang diakadnikahkan oleh jurunikah yang tidak dilantik di bawah subseksyen 28(3) boleh dianggap atau disifatkan seperti perkahwinan di Kedutaan dengan syarat Pendaftar berpuas hati dengan surat perakuan nikah atau apa-apa keterangan, sama ada lisan atau dokumentar yang dikemukakan dan perkahwinan itu telah berlaku mengikut Hukum Syarak.

Kegagalan untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut dalam tempoh yang ditetapkan di dalam subseksyen 31(1) adalah merupakan suatu kesalahan di bawah seksyen 35 Akta 303 yang berbunyi seperti berikut :

“Seksyen 35. Tidak hadir di hadapan Pendaftar dalam masa yang ditetapkan

Mana-mana orang yang dikehendaki oleh seksyen 31 hadir di hadapan seorang Pendaftar tidak berbuat demikian dalam masa yang ditetapkan, melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”.

Walau bagaimanapun, kegagalan bagi mematuhi seksyen 35 tersebut tidak menghalang sesuatu perkahwinan itu untuk didaftarkan.  Salah satu atau kedua-dua pihak boleh mengemukakan permohonan kepada PNCR bagi mendaftarkan perkahwinan walaupun tempoh yang diperuntukkan di bawah subseksyen 31(1) dan (2) telah luput tertakluk  kepada seksyen 35 di atas.

Seksyen ini selanjutnya mendapati bahawa cadangan yang telah diputuskan dalam ketetapan Bengkel ini supaya Bahagian Undang-Undang Jakim menggubal kaedah perkahwinan di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi Malaysia atau pejabat Konsul Malaysia di luar Negara adalah bersesuaian dengan seksyen 24 Akta 303.


Seksyen ini berpandangan bahawa kaedah yang akan digubal itu boleh dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Majlis dan diwartakan. Kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk membuat kaedah-kaedah itu adalah seperti yang diperuntukkan dalam subseksyen 134(3) Akta 303 Kuasa bagi membuat kaedah-kaedah  yang berbunyi seperti berikut:

“134 (3) Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Majlis, boleh, melalui pemberitahuan dalamWarta, membuat kaedah-kaedah bagi maksud Akta ini dan, tanpa menyentuh keluasan yang tersebut itu, kaedah-kaedah itu boleh mengadakan peruntukan bagi—

(a) cara bagaimana Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju’ Orang Islam hendak menjalankan kuasa yang diberikan kepada mereka oleh Akta ini;
(b) ...
(c)...
(d)...
(e)...
(f)...
(g)...
(h)...
(i)....”. 

6.     
Pengesahan lafaz cerai mengambil masa yang lama sehingga menyebabkan tempoh iddah tamat.  Bolehkah mahkamah merekodkan rujuk yang berlaku (sekiranya ada) di dalam rekod perceraian sebaik sahaja pengesahan lafaz cerai dibuat oleh Mahkamah?
Sidang bersetuju mahkamah boleh merekodkan pengesahan rujuk yang tidak ada pertikaian di dalam kes pengesahan lafaz cerai.
Di Mahkamah Syariah, penetapan tempoh masa dalam kes permohonan pengesahan lafaz cerai tidak diperuntukkan atau diperundangkan secara jelas baik dalam Akta, Kaedah-kaedah mahupun dalam Arahan Amalan. Tempoh masa penyelesaian sesuatu kes adalah bergantung kepada kerjasama semua pihak yang terlibat di dalam kes itu iaitu pihak mahkamah, plaintif, defendan serta peguam syarie yang mewakili pihak-pihak (jika ada).
Tempoh penyelesaian kes turut dipengaruhi oleh pematuhan pihak-pihak terhadap prosedur yang ditetapkan di dalam Akta/Enakmen/Ordinan Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri-negeri.
Berdasarkan penelitian Seksyen ini, amalan yang diterima pakai oleh hakim-hakim syarie di dalam pendengaran kes pengesahan lafaz talaq di luar dan tanpa kebenaran mahkamah adalah berdasarkan kepada Arahan Amalan No. 10 Tahun 2007. Walau bagaimanapun, amalan tersebut hanya terhad kepada pengesahan lafaz talaq sahaja.
Berhubung isu sama ada pengesahan rujuk yang tiada pertikaian boleh dibuat dalam prosiding yang sama. Seksyen ini berpandangan bahawa pengesahan lafaz cerai dan pengesahan rujuk boleh didengar bersekali jika kedua-dua fakta tersebut dimasukkan dalam penyata tuntutan. Jika fakta berkenaan dengan rujuk tidak dimasukkan bersekali, maka penyata tuntutan tambahan atau pindaan terhadap penyata tuntutan boleh difailkan. Mahkamah boleh mendengar kedua-dua isu dalam satu perbicaraan demi kepentingan dan keadilan kepada pihak-pihak. Tindakan ini juga dapat menjimatkan masa dan kos pihak-pihak serta mahkamah.
Amalan ini didapati telah dilaksanakan di dalam beberapa kes di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Selangor. Sebagai contoh, di dalam satu kes yang tidak dilaporkan di Wilayah Persekutuan, di dalam pendengaran kes permohonan pengesahan lafaz cerai defendan mendakwa telah merujuk plaintif selepas cerai dilafazkan. Mahkamah dalam kes ini telah mendengar dua isu iaitu lafaz cerai dan lafaz rujuk  serentak. Begitu juga dalam kes Mal  Bil 100012-O54-212/2002 di negeri selangor. Walaupun dalam kes ini, pihak plaintif dan defendan tidak memohon untuk membuat pengesahan lafaz rujuk bagi perceraian kali yang pertama, namun setelah meneliti fakta kes, hakim bicara berpendapat bahawa pengesahan terhadap rujuk tersebut perlu dibicarakan dan direkodkan terlebih dahulu sebelum perbicaraan pengesahan lafaz cerai dan rujuk kali yang kedua diteruskan.
Selanjutnya Seksyen ini juga mencadangkan supaya permohonan pengesahan lafaz cerai hendaklah disegerakan pendengarannya. Perbicaraan boleh dijalankan  secara  inquisitorial atau siasatan mahkamah selaras dengan peruntukan subseksyen 55A Akta 303 yang berbunyi seperti berikut:
“Seksyen 55A. Pendaftaran perceraian di luar Mahkamah

(1) Walau apa pun seksyen 54, seseorang yang telah menceraikan isterinya dengan lafaz talaq di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah, hendaklah dalam masa tujuh hari dari pelafazan talaq itu melaporkan kepada Mahkamah.

(2) Mahkamah hendaklah mengadakan siasatan untuk memastikan sama ada talaq yang dilafaz itu adalah sah mengikut Hukum Syarak.

(3) …”

Berdasarkan peruntukan di atas, undang-undang telah menyatakan secara khusus bahawa perbicaraan kes pengesahan perceraian di luar mahkamah hendaklah dibuat secara siasatan mahkamah.  Melalui proses ini mahkamah boleh menjalankan siasatan dengan mengemukakan soalan atau dengan memanggil mana-mana orang bagi mengemukakan keterangan berdasarkan kepada peruntukan seksyen 27 Akta 585
Seksyen 127. Kuasa Mahkamah.
Demi kepentingan keadilan, Mahkamah boleh, pada mana-mana peringkat prosiding, memanggil mana-mana pihak untuk mengemukakan keterangan dan boleh memeriksa mana-mana tempat atau barang.”.
Seksyen 118 Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Akta 561 [Akta 561] memperuntukkan kuasa hakim untuk mengemukakan soalan atau memerintah pengemukaan.
“Seksyen 118. Kuasa Hakim untuk mengemukakan soalan atau memerintahkan pengemukaan.

Hakim boleh, untuk mengetahui atau mendapatkan bukti wajar mengenai fakta relevan, menanyakan apa-apa soalan yang dihasratinya, dalam apa-apa bentuk, pada bila-bila masa, kepada mana-mana saksi atau pihak, mengenai apa-apa fakta sama ada relevan atau tak relevan; dan boleh memerintahkan supaya dikemukakan apa-apa dokumen atau benda; dan mana-mana pihak atau ejen mereka tidak berhak membuat apa-apa bantahan terhadap mana-mana soalan atau perintah sedemikian, atau, tanpa kebenaran Mahkamah, memeriksa balas mana-mana saksi atas apa-apa jawapan yang diberikan dalam menjawab mana-mana soalan itu:

Dengan syarat bahawa penghakiman itu mestilah berasaskan fakta yang ditetapkan oleh Akta ini sebagai qarinah dan dibuktikan dengan sewajarnya”.

7.     
Pendaftar nikah, cerai dan rujuk tidak berpuashati dengan rekod perceraian mahkamah untuk didaftarkan di bawah seksyen 55 Akta 303.
Sidang bersetuju sekiranya pihak JAWI merasakan ada keraguan dalam rekod perceraian maka hendaklah mengemukakan permohonan semakan kepada Mahkamah Syariah.
Seksyen ini mendapati bahawa isu ini adalah isu berkaitan semakan terhadap perintah perceraian yang telah dikeluarkan oleh mahkamah  untuk didaftarkan.

Seksyen ini mendapati bahawa undang-undang membenarkan mana-mana perintah mahkamah disemak, demi kepentingan keadilan. Permohonan semakan dibuat ke Mahkamah Tinggi Syariah atau ke Mahkamah Rayuan Syariah yang mempunyai kuasa pengawasan dan penyemakan terhadap mahkamah-mahkamah bawahannya sepertimana yang diperuntukkan di bawah subseksyen 51 (1) dan subseksyen 53 (1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505] yang memperuntukkan seperti yang berikut:
“Seksyen 51. Bidang kuasa pengawasan dan peyemakan Mahkamah Tinggi Syariah.

(1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas semua Mahkamah Rendah Syariah dan boleh, jika nampaknya dikehendaki demi kepentingan keadilan, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, dalam mana-mana Mahkamah Rendah Syariah, memanggil dan memeriksa mana-mana rekod mengenainya dan boleh memberikan apa-apa arahan yang dikehendaki demi keadilan.”; dan

“Seksyen 53. Bidang kuasa pengawasan dan penyemakan Mahkamah Rayuan Syariah.

(1) Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas Mahkamah Tinggi Syariah dan boleh, jika nampaknya dikehendaki demi kepentingan keadilan, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, dalam Mahkamah Tinggi Syariah, memanggil dan memeriksa mana-mana rekod mengenainya dan boleh memberikan apa-apa arahan yang dikehendaki demi keadilan.”.

Berdasarkan peruntukan-peruntukan di atas, mahkamah, pihak-pihak atau mana-mana orang yang berkepentingan boleh memohon supaya mana-mana rekod mahkamah disemak semula demi kepentingan keadilan. Oleh itu bagi maksud perenggan ini, Seksyen ini berpandangan bahawa adalah perlu untuk dijelaskan siapakah orang yang berkepentingan dalam hal ehwal pendaftaran perceraian orang Islam.

Seksyen ini mendapati bahawa berdasarkan seksyen 55 Akta 303, kuasa untuk mendaftar atau membatalkan satu perintah peceraian hanya diberikan kepada Ketua Pendaftar NCR (KPNCR) Peruntukan itu berbunyi seperti yang berikut:


“Seksyen 55. Pendaftaran perceraian

Tiada lafaz talaq atau perintah perceraian atau pembatalan boleh didaftarkan melainkan Ketua Pendaftar berpuas hati bahawa Mahkamah telah membuat perintah muktamad berhubungan dengannya.”.

Berdasarkan peruntukan, KPNCR adalah merupakan orang yang berkepentingan dalam mengawal selia pendaftaran dan pembatalan perintah perceraian. Oleh itu KPNCR sebagai orang yang berkepentingan mempunyai locus untuk memfailkan semakan ke Mahkamah yang berbidang kuasa jika  dia berpuas hati wujud keraguan dalam rekod perceraian tersebut.

Jika PNCR tidak berpuas hati dan mendapati bahawa terdapat keraguan dalam rekod perceraian mahkamah untuk didaftarkan di bawah seksyen 55 Akta 303, KPNCR sebagai orang yang mengawal selia rekod tersebut hendaklah dimaklumkan agar permohonan semakan boleh dimulakan oleh KPNCR.

Menerusi pemerhatian, Seksyen ini juga mendapati bahawa tatacara bagi permohonan semakan ada juga diperuntukkan di dalam Arahan amalan No. 13 Tahun 2007 berkaitan Semakan Kes di Mahkamah Tinggi Syariah atau Di Mahkamah Rayuan Syariah dan juga Arahan Amalan No. 5 Tahun 2004 berkaitan Kehadiran Pihak-pihak  dan Wakil Semasa Prosiding Semakan Kes Mal.



8.     
Adakah menjadi kesusahan sekiranya rekod perceraian dihantar secara alam maya kepada JAWI di mana pihak-pihak boleh mendapatkan rekod tersebut di JAWI serta menguruskan urusan pendaftaran perceraian?
Sidang bersetuju supaya system e-Munakahat, e-Jinayat dan e-Syariah dihubungkan bagi tujuan penghantaran maklumat antara JAWI dan Mahkamah.
Seksyen ini bersetuju dengan ketetapan bengkel untuk menghubungkan sistem e-munakahat, e-jinayat dan e-syariah. Penghantaran melalui atas talian hanya boleh dilaksanakan bagi tujuan pentadbiran setelah kes selesai untuk tujuan perkongsian maklumat. Walau bagaimanapun, sesuatu perceraian atau lafaz talak yang dibuat di hadapan hakim syari’e, Mahkamah hendaklah menghantar satu salinan rekod penceraian tersebut kepada Pendaftar yang berkenaan dan Ketua Pendaftar untuk direkodkan. Ini diperuntukkan dalam seksyen 47 (4) Akta 303
Seksyen 47. Perceraian dengan talaq atau dengan perintah

(4) Mahkamah hendaklah merekodkan fakta satu talaq telah dilafazkan itu, dan hendaklah menghantarkan satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

9.     
Pemberian kebenaran berkahwin bagi pasangan yang ingin berkahwin di Thailand dan Indonesia.
Sidang bersetuju bahawa kuasa tersebut adalah di bawah bidangkuasa ketua pendaftar nikah cerai dan rujuk JAWI.
Seksyen ini bersetuju dengan ketetapan sidang yang berpandangan bahawa kuasa untuk memberikan kebenaran berkahwin di dalam dan juga luar negara bagi mana-mana individu yang bermastautin di Wilayah Persekutuan adalah KPNCR. Ini berdasarkan seksyen 20  Akta 303 yang memperuntukkan bahawa:

Seksyen 20. Tempat perkahwinan

(1) Tiada perkahwinan boleh diakadnikahkan kecuali dalam kariah masjid di mana pihak perempuan bermastautin, tetapi Pendaftar atau Hakim Syarie yang memberi kebenaran berkahwin di bawah seksyen 17 atau 18 boleh memberi kebenaran untuk perkahwinan itu diakadnikahkan di tempat lain, sama ada dalam Wilayah Persekutuan atau dalam mana-mana Negeri.

(2) Kebenaran di bawah subseksyen (1) bolehlah dinyatakan dalam kebenaran berkahwin yang diberi di bawah seksyen 17 atau 18.

(3) Walau apa pun peruntukan subseksyen (1), sesuatu perkahwinan itu bolehlah diakadnikahkan dalam kariah masjid selain kariah masjid di mana pihak perempuan bermastautin jika—

    (a) dalam hal di mana perempuan itu bermastautin dalam Wilayah Persekutuan, kebenaran berkahwin mengenai perkahwinan itu telah diberi di bawah seksyen 17 atau 18 dan kebenaran untuk perkahwinan itu diakadnikahkan dalam kariah masjid selain itu yang diberikan di bawah subseksyen (1); atau

    (b) dalam hal di mana perempuan itu bermastautin dalam sesuatu Negeri, kebenaran berkahwin mengenai perkahwinan itu dan kebenaran untuk perkahwinan itu diakadnikahkan dalam kariah masjid selain yang diberikan oleh pihak berkuasa yang sepatutnya bagi Negeri itu.



10.  
Adakah permohonan di bawah Sek. 16 dan kebenaran berkahwin di bawah sek. 17 akta 303 terpakai untuk pihak perempuan sahaja.
Sidang bersetuju bahawa permohonan dan kebenaran berkahwin di bawah seksyen 16 dan 17 akta 303 hendaklah terpakai kepada lelaki dan perempuan.
Seksyen ini bersetuju dengan ketetapan Sidang yang memutuskan bahawa permohonan dan kebenaran berkahwin di bawah seksyen 16 dan 17 Akta 303 hendaklah terpakai kepada lelaki dan perempuan. Ini adalah jelas dapat dilihat daripada peruntukan seksyen tersebut iaitu:

Seksyen 16. Permohonan untuk kebenaran berkahwin

(1) Apabila dikehendaki untuk mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan dalam Wilayah Persekutuan, tiap-tiap satu pihak kepada perkahwinan yang dicadangkan itu hendaklah memohon dalam borang yang ditetapkan untuk kebenaran berkahwin kepada Pendaftar bagi kariah masjid di mana pihak perempuan itu bermastautin.

(2) Jika pihak lelaki bermastautin di kariah masjid yang berlainan dari kariah masjid pihak perempuan, atau bermastautin di mana-mana Negeri, permohonannya hendaklah mengandungi atau disertai dengan kenyataan Pendaftar bagi kariah masjidnya atau oleh pihak berkuasa yang hak bagi Negeri itu, mengikut mana yang berkenaan, yang bermaksud bahawa sejauh yang dapat dipastikannya perkara yang disebut dalam permohonan itu adalah benar.

(3) Permohonan tiap-tiap satu pihak hendaklah disampaikan kepada Pendaftar sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh yang dicadangkan bagi perkahwinan itu, tetapi Pendaftar boleh membenarkan masa yang lebih singkat dalam mana-mana kes tertentu.

(4) Permohonan kedua-dua pihak hendaklah dianggap sebagai suatu permohonan bersama.

Seksyen 17. Mengeluarkan kebenaran berkahwin

Tertakluk kepada seksyen 18, Pendaftar, apabila berpuas hati tentang kebenaran perkara yang disebut dalam permohonan itu, tentang sahnya perkahwinan yang dicadangkan itu, dan, jika pihak lelaki itu sudah berkahwin, bahawa kebenaran yang dikehendaki oleh seksyen 23 telah diberi, hendaklah, pada bila-bila masa selepas permohonan itu dan setelah dibayar fi yang ditetapkan, mengeluarkan kepada pemohon kebenarannya untuk berkahwin dalam borang yang ditetapkan.

Ini juga adalah selaras dengan peruntukan seksyen 8 dan 18 Akta 303 yang memperuntukkan seorang lelaki yang belum mencapai umur 18 tahun dan seorang perempuan yang belum mencapai umur 16 tahun tidak boleh berkahwin di bawah Akta 303 melainkan dengan kebenaran bertulis daripada Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat perempuan itu bermastautin.

Kedua-dua peruntukan itu berbunyi seperti yang berikut:

“Seksyen 8. Umur minimum untuk perkahwinan

Tiada suatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.”.; dan



“Seksyen 18. Rujukan kepada dan tindakan oleh Hakim Syarie

(1) Dalam mana-mana kes berikut, iaitu—
(a) jika salah satu pihak kepada perkahwinan yang dicadangkan itu adalah di bawah umur yang dinyatakan dalam seksyen 8; atau
(b) ...; atau
(c) ...,
maka Pendaftar hendaklah, sebagai ganti bertindak di bawah seksyen 17, merujukkan permohonan itu kepada Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat perempuan itu bermastautin.”.

11.  
Mengapa Pegawai Penyiasat perlu menyiasat semula elemen lafaz perceraian dalam Sek. 124 sedangkan mahkamah telah memutuskan kes tersebut.
Sidang bersetuju pegawai penyiasat boleh membuat siasatan secara menyeluruh dan sekiranya terdapat kemusykilan semasa siasatan dijalankan pegawai penyiasat hendaklah menasihatkan pihak-pihak memfailkan permohonan semakan rekod perceraian tersebut di Mahkamah Syariah.


























Berdasarkan pemerhatian  Seksyen ini mendapati istilah Pegawai Penyiasat seperti yang dinyatakan dalam perenggan 11  tidak diperuntukkan dalam―
      i.        Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505];
    ii.        Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303];
   iii.        Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 [Akta 585];
   iv.        Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 561];
    v.        Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 560];
   vi.        Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Pesekutuan) 1997 [Akta 559]; dan
  vii.        Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 [Akta 355].

Dalam hal ini, istilah yang digunapakai adalah Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 2 Akta 505.

Seterusnya Seksyen ini mendapati bahawa isu di perenggan 11 ada kaitan dengan isu di perenggan 7 mengenai semakan terhadap rekod perceraian mahkamah untuk didaftarkan.

Berdasarkan isu di perenggan 7, KPNCR adalah orang yang berkepentingan dan mempunyai locus untuk memfailkan permohonan  semakan jika berpuas hati wujud keraguan di atas rekod perceraian mahkamah selari dengan peruntukan seksyen 55  Akta 303. 

Mengenai isu yang ditimbulkan iaitu kuasa PPA untuk menyiasat semula elemen lafaz perceraian dalam seksyen 124, Seksyen ini berpandangan bahawa kuasa PPA menurut undang-undang adalah seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 3  Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 560] iaitu untuk menyiasat semua kesalahan yang berada dalam bidang kuasa mahkamah menurut Akta 560. Peruntukan tersebut berbunyi seperti berikut :

“Seksyen 3. Perbicaraan kesalahan oleh Mahkamah.

Segala kesalahan yang atasnya Mahkamah mempunyai bidang kuasa hendaklah disiasat dan dibicarakan mengikut peruntukan yang terkandung dalam Akta ini.”.

Selain itu, kuasa  khusus PPA untuk menyiasat diperjelaskan lagi dalam BAHAGIAN IV - MAKLUMAT KEPADA PEGAWAI PENGUATKUASA AGAMA DAN KUASA MEREKA UNTUK MENYIASAT seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 54 sehingga seksyen 66 Akta 560 meliputi antaranya tatacara penerimaan maklumat dan siasatan.

Walau bagaimanapun, mengenai kuasa PPA untuk menyiasat semula elemen lafaz perceraian dalam seksyen 124 Akta 303, Seksyen ini berpandangan bahawa kuasa  PPA untuk menjalankan siasatan berdasarkan seksyen 3 dan Bahagian IV Akta 560 adalah terhad kepada menyiasat elemen kesalahan termasuklah butir-butir kesalahan yang dilakukan seperti masa, tempat, tarikh, bilangan kesalahan yang dilakukan dan bukannya berkaitan dengan elemen lafaz perceraian seperti penentuan lafaz soreh atau kinayah dan keadaan semasa melafazkan talak sama ada dengan niat atau tanpa niat yang merupakan kuasa Hakim Bicara. Tujuan siasatan oleh PPA berkaitan eleman kesalahan itu adalah untuk membuat pertuduhan bagi kesalahan melafazkan cerai tanpa kebenaran mahkamah.

Mengenai ketetapan supaya PPA menasihatkan pihak-pihak memfailkan permohonan semakan rekod perceraian di mahkamah Syariah sekiranya terdapat kemusykilan semasa siasatan, Seksyen ini berpandangan bahawa hal ini juga boleh dirujuk terus kepada KPNCR untuk membuat semakan.


12.  
Sejauh mana ketulenan surat perakuan nikah yang dikeluarkan oleh Thailand dan Indonesia?  Adakah mahkamah merujuk kepada mana-mana tempat yang mengeluarkan surat nikah tersebut seperti Majlis Agama Islam Songkhla, Narathiwat, Yala dll.
Sidang bersetuju bergantung kepada Hakim yang membicarakan kes tersebut sama ada berpuashati atau tidak.
Penerimaan sesuatu dokumen semasa perbicaraan bagi setiap kes adalah tertakluk kepada pembuktian ketulenan dokumen tersebut. Dalam hal ini, Mahkamah tertakluk kepada Akta Keterangan Mahkamah Syariah sama ada hendak menerima atau menolak sesuatu dokumen itu.

Berkaitan isu yang ditimbulkan,  seksyen ini berpandangan bahawa, dalam menentukan ketulenan sesuatu Surat Perakuan Nikah yang dikeluarkan oleh Thailand, Indonesia atau mana-mana negara, ianya  hendaklah dibuktikan menurut BAHAGIAN-II, BAB 3, KETERANGAN DOKUMENTAR, Akta Keterangan mahkamah Syariah(Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 561]. Selain itu, hakim bicara juga boleh merujuk kepada Arahan Amalan No 9 Tahun 2007 mengenai amalan pengesahan perkahwinan yang berlawanan dengan peruntukan Akta/Enakmen/Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam. Adalah menjadi tanggungjawab pihak-pihak untuk membuktikan kepada mahkamah berkenaan dengan ketulenan sesuatu dokumen yang dikemukakan dalam perbicaraan.

13.  
Jika sesuatu kes terdiri dari kategori di mana pernikahan yang berlaku sebelum Akta 303 berkuasa dan pernikahan kedua-dua OYDS berlaku ketika mereka Beragama bukan Islam, adakah Borang 5 perlu dikeluarkan?
Sidang bersetuju penyelarasan perlu dibuat antara Bahagian Penguatkuasaan dan Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga.
Seksyen ini berpandangan bahawa OYDS tidak melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] kerana semasa pernikahan kedua-dua OYDS berlaku, mereka bukan beragama Islam. Akta 303 hanya terpakai kepada orang Islam sahaja. Seksyen 4 Akta 303 menyebut―

“Kecuali sebagaimana diperuntukkan dengan nyata selainnya, Akta ini terpakai bagi semua orang Islam yang tinggal dalam Wilayah Persekutuan dan bagi semua orang Islam yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan tetapi tinggal di luar Wilayah Persekutuan.”.

Selain daripada itu, tiada apa-apa peruntukan undang-undang yang menyebut di bawah Akta ini bahawa undang-undang ini boleh berkuat kuasa ke belakang atau mempunyai kesan retrospektif memandangkan perkahwinan tersebut berlaku ketika pihak-pihak belum lagi memeluk agama Islam. Oleh itu, tindakan penguatkuasaan tidak boleh diambil terhadap kedua-dua OYDS.

Islam mengiktiraf perkahwinan seseorang yang dilakukan sekiranya memenuhi rukun-rukun nikah yang telah ditetapkan. Selain itu, perkahwinan antara suami-isteri yang dilakukan ketika mereka bukan Islam dan kemudian kedua-duanya  memeluk Islam juga diktiraf sah oleh hukum syarak tanpa memerlukan akad nikah yang baru.

Ibnu Rusyd dalam Bidayatul Mujtahid, Juz II halaman 39, Abu Ishaq Asy-Syirazi dalam Al-Muhadzdzab, Juz II halaman 52 dan As-Sayyid Al-Bakri dalam I’anah at-Thalibin, Juz III halaman 296, menyatakan bahawa menurut pendapat semua mazhab tanpa ada perbezaan pandangan lagi, jika ada pasangan suami isteri yang beragama selain Islam lalu masuk Islam secara bersama, maka akad nikah sebelum keduanya masuk Islam adalah sah dalam pandangan syariat Islam. Ibnul Qayyim dalam Zaadul Ma’ad mengatakan, apabila suami isteri masuk Islam secara bersama, maka pernikahan mereka dinyatakan sah. Tidak perlu ditanyakan keadaan bagaimana sebelum masuk Islam, apakah pernikahannya sah atau tidak? selagi tidak ada sebab yang membatalkan pernikahan tersebut. (lihat Zaadul Maad oleh Ibnul Qayyim, jilid V hal. 35). Pendapat di atas berdasarkan hadis-hadis Rasulullah Saw yang bermaksud:

“Dari Salim RA, dari ayahnya, bahawa Ghaylan bin Salamah telah masuk Islam dan dia mempunyai sepuluh isteri, lalu mereka masuk Islam bersama Ghaylan. Maka Nabi SAW memerintahkan Ghaylan untuk memilih empat orang di antara mereka.” (HR. Ahmad, At-Tirmidzi, dan dipandang sahih oleh Ibnu Hibban dan Al-Hakim) lihat As-Shan’ani, Subulus Salam, Juz III hal. 132; dan

“Bahawa ada seorang lelaki yang datang (kepada Rasulullah SAW) dalam keadaan muslim, kemudian datang pula isterinya dalam keadaan muslim. Lelaki itu lalu berkata,”Wahai Rasulullah SAW isteriku itu dulu masuk Islam bersamaku.” Maka Rasulullah lalu menyerahkan perempuan itu kepada lelaki tersebut.” (HR. At-Tirmidzi) lihat As-Sayyid Al-Bakri, Ianatuth Thalibin, Juz III hal. 296).

Selain daripada itu, menurut fatwa yang telah diputuskan melalui Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-10 yang bersidang pada 30 April 1975 telah membincangkan Suami Isteri Bukan Berugama Islam Kemudian kedua-duanya memeluk Ugama Islam. Persidangan telah memutuskan bahawa:

1. Nikah pasangan suami isteri yang bukan beragama Islam akan terputus jika salah seorang daripadanya memeluk agama Islam tetapi jika yang seorang lagi memeluk agama Islam juga dalam masa iddah itu maka kekal nikah mereka.

Oleh itu seksyen ini berpandangan bahawa pihak-pihak tidak melakukan apa-apa kesalahan sama ada dari segi undang-undang atau hukum syarak, maka perkahwinan tersebut hanya perlu didaftarkan sahaja tanpa perlu mengisi Borang 5.

14.  
Bagi kes di bawah Sek. 19 Akta 560, PPA telah memohon bon jaminan daripada Mahkamah.  Tetapi OYDS gagal hadir pada tarikh yang ditetapkan.  Adakah Mahkamah perlu mengeluarkan saman atau waran tangkap kepada OYDS?
Sidang bersetuju proses pendaftaran dan penetapan  tarikh sebutan kes adalah sama dengan kes-kes boleh tangkap yang lain.  (bergantung kepada tarikh bon jaminan mahkamah).
Seksyen ini mendapati isu berkaitan seksyen 19 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 560] adalah seperti berikut:-
Apabila mana-mana orang yang telah melakukan satu kesalahan yang tidak boleh ditangkap di hadapan Pegawai Penguat kuasa Agama (PPA) atau Polis, dan orang itu enggan memberikan maklumat dirinya seperti nama dan alamat kediamannya ataupun maklumat telah diberi tetapi PPA atau Polis ada sebab untuk mempercayai bahawa maklumat tersebut adalah palsu, dan orang itu tetap enggan memberikan maklumat yang benar, maka pada ketika itu orang itu boleh ditangkap. Dalam tempoh 24 jam dari masa tangkapan, orang itu hendaklah dibawa ke hadapan seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah terdekat. Hakim pada ketika itu boleh melepaskan orang itu setelah dikehendaki menyempurnakan suatu bon, dengan penjamin supaya orang itu hadir semula di hadapan Hakim.
Seksyen ini berpandangan, jika orang itu telah gagal hadir semula pada hari yang telah ditetapkan, maka ketidakhadiran orang itu telah menyebabkan satu pelanggaran kepada suatu bon yang telah ditetapkan oleh Hakim. Dalam hal ini, mahkamah boleh mengeluarkan Waran Tangkap terhadap orang itu dengan mengikut prosedur yang telah ditetapkan di dalam Akta 560, Bab 3 iaitu Darihal Proses Untuk Memaksa Kehadiran Berhubung Permohonan dan waran Tangkap mengikut seksyen 32 hingga seksyen 41 Akta 560 tersebut.
15.  
Lafaz taklik yang telah dilafazkan semasa Akad Nikah Perkahwinan di luar Negara (khusus di Thailand) tidak direkodkan semula didalam sijil nikah yang daftarkah di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Sidang bersetuju supaya Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga membuat penambahbaikan di dalam prosedur pendaftaran perkahwinan luar Negara bagi mengambilkira lafaz taklik yang telah dilafazkan semasa akad nikah di luar Negara dapat direkod dalam sijil nikah yang didaftarkan di Wilayah Persekutuan.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga, Cawangan Nikah, Cerai dan Ruju’, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, surat perakuan ta’liq yang telah dilafazkan semasa akad nikah di luar negara adalah tidak diiktiraf oleh undang-undang yang berkuat kuasa di negara ini. Justeru, surat perakuan ta’liq itu adalah tidak sah dan tidak boleh direkodkan dalam sijil nikah yang didaftarkan di Wilayah Persekutuan. Oleh itu, mana-mana pihak yang ingin mendaftarkan semula perkahwinan yang telah dilangsungkan di luar negara hendaklah melakukan semula lafaz ta’liq di hadapan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju’ Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28 Akta 303.
Sungguhpun begitu, difahamkan bahawa terdapat beberapa kes yang diputuskan oleh mahkamah telah menerima surat perakuan ta’liq yang dibuat di luar Negara dengan merujuk kepada seksyen 245 Akta 585 yang memperuntukkan bahawa mana-mana peruntukan yang tidak selaras dengan Hukum Syarak hendaklah terbatal setakat ketidakselarasan itu. Peruntukan tersebut berbunyi seperti berikut :
“Seksyen 245. Hukum Syarak


(1) Mana-mana peruntukan atau tafsiran peruntukan di bawah Akta ini yang tidak selaras dengan Hukum Syarak hendaklah terbatal setakat ketidakselarasan itu.

(2) Jika terdapat apa-apa lakuna atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata dalam Akta ini, Mahkamah hendaklah menggunakan Hukum Syarak.”.

Sehubungan itu, dalam isu penerimaan surat perakuan ta’liq yang dibuat di luar Negara dan berdasarkan kepada seksyen 245 Akta 585,  Seksyen ini berpandangan bahawa sungguhpun surat perakuan ta’liq yang dibuat di luar Negara tidak mendapat pengiktirafan undang-undang di negara ini, namun mengikut hukum Syarak, ia adalah dikira sah dan boleh diterimapakai oleh mahkamah dengan mengambil kira efek atau kesan akibat perlanggaran lafaz ta’liq tersebut. Berdasarkan hukum Syarak, sesuatu lafaz cerai samada secara ta’liq atau munjiz yang telah dilafazkan tidak boleh ditarik balik.


Selain itu, Seksyen ini berpandangan bahawa cadangan penambahbaikan yang disyorkan itu mampu memelihara dan melindungi hak dan kepentingan pihak-pihak kepada perkahwinan khususnya wanita apabila berlaku tuntutan perceraian. Ini juga adalah selaras dengan kehendak seksyen 50 Akta 303 yang memperuntukkan perceraian di bawah ta’liq atau janji seperti yang berikut:

“(1) Seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat surat perakuan ta’liq yang dibuat selepas berkahwin, memohon kepada Mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian telah berlaku.

(2) Mahkamah hendaklah memeriksa permohonan itu dan membuat suatu siasatan mengenai sahnya perceraian itu dan, jika berpuas hati bahawa perceraian itu adalah sah mengikut Hukum Syarak, hendaklah mengesahkan dan merekodkan perceraian itu dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.”.