DONATE

Isnin, 13 Mac 2017

Nafkah: Apa yang perlu suami dan isteri tahu

Oleh: Syapik Hassan

PENGERTIAN RINGKAS NAFKAH

Apakah itu nafkah?

Nafkah ialah membelanjakan harta untuk sesuatu yang baik, atau untuk dirinya dan untuk orang-orang yang di bawah tanggungannya seperti isteri atau anak. [Imam Nawawi dalam Raudah at-Talibin, 6/449]

KEPADA SIAPAKAH NAFKAH ITU PATUT DISALURKAN?

Nafkah itu dibahagikan kepada dua jenis, iaitu nafkah untuk diri sendiri dan juga nafkah untuk orang lain. Nafkah kepada orang lain itu dibahagikan pula kepada 4 pembahagian. Dan keutamaan tersebut adalah nafkah ke atas diri sendiri, sebagaimana hadis:
Dari Jabir radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada seorang lelaki Bani Udzrah: “Manfaatkanlah harta ini untuk dirimu, maka berikanlah jika ada lebihan kepada ahli keluargamu, dan jika mempunyai lebihan daripadanya berikanlah kepada kerabatmu.” [Riwayat Muslim, 13/486]

Jumhur ulama’ mengatakan, kewajiban nafkah terhadap orang lain terjadi disebabkan oleh tiga perkara, iaitu hubungan perkahwinan, hubungan kerabat (kekeluargaan), dan hubungan milik (tuan terhadap hambanya). [Imam Nawawi, Raudah at-Talibin, 6/449]
Ringkasnya orang-orang di bawah tanggungan ini ialah:

1. Isteri
2. Anak
3. Hamba yang kita miliki
4. Ibu/bapa yang faqir – akan diulas lanjut kemudian


BERAPAKAH NILAI NAFKAH YANG DITETAPKAN SYARA’?

Tiada penetapan nilai, hanya ada penetapan perkara apa yang wajib ditunaikan sahaja, antaranya ialah makan minum, pakaian, tempat tinggal, dan sebagainya. Semuanya berdasarkan kemampuan si suami. Tidaklah Islam memaksa suami menyediakan makanan yang nilainya sekian-sekian, pakaian yang materialnya dan harganya sekian-sekian. Ada kes isteri kata baju kain ni tak best, nak kain yang itu (lebih mahal), lepas tu bagi alasan ia nafkah suami yang wajib. Tidak!! Ini berdasarkan dua dalil:

“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa (suami) pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu (isteri) itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.” [Surah Al-Baqarah, ayat 233]
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” [Surah At-Talaaq, ayat 7]
Menurut As-Syeikh Muhammad al-Khatib As-Syarbini di dalam kitab Mughni al-Muhtaj (4/542), bahawa suami wajib menunaikan hak-hak isteri iaitu terdiri dari tujuh perkara:

1. Makanan
2. Bahan-bahan dapur seperti rempah-ratus, bawang, minyak masak, garam, gula, asam, termasuk lauk-pauk dan sebagainya
3. Pembantu bagi isteri yang kebiasaannya mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu)
4. Pakaian
5. Alat-alat pembersih badan dan pencuci pakaian, sikat dan sebagainya
6. Perkakas-perkakas rumah seperti perkakas bilik air, perkakas tidur dan sebagainya
7. Tempat tinggal (rumah)
Kita hurai satu persatu, InsyaAllah.


NAFKAH MAKANAN

Suami wajib memberi nafkah makanan kepada isterinya dengan makanan yang asasi bagi sesebuah negara, contohnya di negara kita, beras. Jumlah nafkah yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya sama dengan jumlah kafarah sumpah yang dibayar kepada setiap orang iaitu satu mudd [kitab Al-Majmu’: 19/360] iaitu kira-kira bersamaan 566.85 gram. Ini berdasarkan firman Allah:

“…Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu…” [Surah Al-Maidah, ayat 89]

Bagi suami yang mampu/kaya, dia wajib memberi nafkah sebanyak dua mudd bersamaan 1133.70 gram. Manakala suami yang tidak mampu hanya wajib memberi satu mudd iaitu 566.85 gram bagi setiap hari. Adapun orang pertengahan, wajib membayar 1 setengah mudd bersamaan 850.275 gram. [Imam Nawawi, Raudhah At-Talibin: 6/450 & Al-Majmu’: 19/358]

Walau bagaimanapun adalah harus pula memberi nafkah itu dengan segera atau melambatkannya tertakluk kepada persetujuan suami isteri tersebut. [Kitab Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu: 10/7389]

Menurut Imam As-Syirazi pula adalah harus bagi suami memberi beras itu dengan sebarang nilaian harga jika suami dan isteri bersetuju, bermaksud pasangan perlu mewujudkan persefahaman dan sepakat dalam nilai harga makanan yang suami perlu berikan. [Kitab Al-Muhazzab: 4/607-608]

Mengenai makanan daging, menurut Imam Nawawi, suami wajib memberikannya kepada isteri. Berdasarkan perkataan Imam Syafie, suami yang kurang mampu hendaklah memberikannya seminggu sekali dan sunat memberikannya pada hari Jumaat. [Raudhah At-Talibin: 6/452]. Namun “daging” itu tidaklah tertakluk pada daging lembu semata-mata (orang melayu paham “daging” tu daging lembu je)








NAFKAH BAHAN DAPUR

Termasuk dalam kategori makanan itu ialah lauk-pauk, rempah-ratus, minyak masak dan sebagainya. Dari itu suami juga wajib menyediakan alat dapur seperti tempat memasak, pinggan mangkuk dan yang berkaitan dengannya.
[Imam Nawawi, Raudhah At-Talibin: 6/ 453].

Adapun kewajipan ini gugur jika suami memberikan isteri makanan sudah siap, setiap hari (contoh: beli kat kedai atau delivery atau upah orang lain masak).


NAFKAH MENYEDIAKAN PEMBANTU

Imam Nawawi ada mengatakan bahawa perempuan itu ada dua jenis, iaitu perempuan yang kebiasaannya mempunyai pembantu (khadam/orang gaji) dan perempuan yang tidak mempunyai pembantu. Jadi, menurut mazhab Syafie tidak wajib menyediakan pembantu bagi isteri jika suami tidak mampu. Walau bagaimanapun suami dituntut menyediakan pembantu jika isteri dari keluarga yang kebiasaannya mempunyai pembantu, ataupun sebelumnya (sebelum berkahwin) telah mempunyai pembantu, itupun dalam keadaan jika suami mampu. [Raudhah At-Talibin: 6/453-455]

Dalam hal ini, suami juga dituntut (wajib) membayar nafkah bagi pembantu tersebut seperti bayaran gaji, makan minum, dan pakaian (sekali setiap enam bulan). [Raudhah At-Talibin: 6/453-455]

Imam As-Syirazi pula menyebutkan bahawa suami sepatutnya menyediakan seorang pembantu sahaja bagi isterinya dan pembantu itu adalah seorang perempuan atau seorang lelaki yang mempunyai hubungan mahram dengan si isteri. [Al-Majmu’: 19/367]
Namun, mari kita lihat hadis di bawah:

Dari Ali bin Abi Thalib, dia berkata: “Sesungguhnya Fatimah pernah mengadu kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, meminta kepada baginda seorang pembantu. Lalu baginda bersabda: “Bagaimana jika aku tunjukkan sesuatu yang lebih baik untuk mu daripada seorang pembantu; iaitu kamu bertasbih kepada Allah sebanyak tiga puluh tiga kali ketika hendak tidur, bertahmid (memuji Allah) sebanyak tiga puluh tiga kali dan membaca takbir kepada Allah sebanyak tiga puluh empat kali.” Dari sanad berbeza yakni dari Musaddad dari Yahya dari Syu’bah dari Al Hakam dari Ibnu Abu Laila dari Ali, terdapat tambahan baginda Rasulullah saw bersabda pada akhir hadis “Hal itu adalah lebih baik bagi kalian daripada seorang pembantu.” [Riwayat Al-Bukhari, 49/2822, no. 4943]

Baginda tidak menggalakkan suami isteri mengambil pembantu jika mereka dalam keadaan tidak mampu atau susah sebagaimana kehidupan Saidatina Fatimah dan Saidina Ali. Jika kita mampu/kaya, maka adalah dipersilakan untuk mengambil pembantu.



NAFKAH PAKAIAN
Ulama’ sepakat mengatakan, nafkah pakaian bergantung pada kemampuan suami kerana tidak ada nas yang menentukan kadar atau jumlahnya, walaubagaimanapun menurut mereka, hakim atau qadhi boleh menentukan kadar dan jumlahnya itu dengan mempertimbangkan keadaan dan kemampuan suami. [Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu: 10/7389]
Menurut Imam Asy-Syirazi bahawa suami wajib memberikan pakaian kepada isterinya pada setiap enam bulan sekali dengan makna yang lain dua kali dalam setahun. [Al-Muhazab: 4/613].
Walau bagaimanapun Asy-Syirazi menyebutkan bilangan minimum pakaian yang wajib diberikan oleh suami (seumur hidup isteri) adalah tiga helai pakaian pada musim panas dan empat pada musim sejuk iaitu gamis yang menutup seluruh badan, qina’ (tudung) yang menutup kepala, seluar atau kain menutup badan dan jubah (long outer garment) pada musim sejuk. [Al-Majmu’: 19/362]

Termasuk dalam kategori pakaian yang wajib disediakan itu ialah milhafah (selimut), wisadah (bantal), labid (hamparan permaidani yang tebal untuk tidur atau tilam), hasyir (tikar) dan lain-lain keperluan. [Al-Majmuk: 19/362]



NAFKAH TEMPAT TINGGAL, ALAT PEMBERSIH BADAN, DAN PERKAKAS RUMAH

Suami wajib menyediakan tempat tinggal atau rumah untuk isterinya sama ada dengan membeli, menyewa, meminjam, atau mendapatkannya melalui wakaf. [Mughni Al-Muhtaj: 3/550]

Dalil tentang kewajipan nafkah tempat tinggal ini dari firman Allah: “Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya – surah ni kisah pasal talaq) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu…” [Surah At-Talaaq, ayat 6]

Huraian daripada ayat ini, ulama’ menyandarkan isteri yang diceraikan itu dikekalkan di dalam rumah yang sama didiaminya ketika sebelum diceraikan (apabila dibandingkan dengan hadis-hadis), maka ia menjadi dalil tentang nafkah tempat tinggal.
Tentang alat pembersih badan dan perkakas rumah:

Ulama’ juga sepakat mensyaratkan bahawa rumah yang disediakan itu hendaklah sempurna sebagaimana kelazimannya. Yakni yang mempunyai kemudahan-kemudahan seperti dapur dan perkakasnya, bilik air (tandas) serta kemudahan-kemudahannya, alat-alat pencuci, peralatan makan minum dan lain-lain, kecuali bagi suami yang tidak mampu mengadakan kemudahan-kemudahan tersebut. [Mughni Al-Muhtaj: 4/550; & Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu: 10/7393]


Tentang tinggal rumah asing atau bersama mertua:

Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa sebaiknya suami menyediakan tempat tinggal yang berasingan daripada keluarga ibu bapa kedua-dua belah pihak. Ini sebagaimana perbuatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang tidak menempatkan isteri-isterinya di rumah mertua baginda.

Namun sebahagian ulama’ pula berpendapat, keutamaan suami adalah berkhidmat dan mentaati ibunya, maka dalam hal ini, isteri wajib mengikut suaminya jika suaminya tinggal bersama ibu bapanya, jika situasi dan keadaan memerlukan si suami tinggal di situ.
Berdasarkan hadis; Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya: “Hak siapakah yang lebih utama patut diberikan oleh seorang isteri?” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Suaminya.” Apabila ditanya mengenai hak siapakah yang lebih utama patut diberikan oleh suami, baginda menjawab: “Ibunya.” [Riwayat Al-Hakim]

Hadis ini menunjukkan bahawa keutamaan suami itu wajiblah diberikan kepada ibunya, sekaligus bapanya juga. Jadi, si isteri seharusnya berlapang dada dan bersabar atas karenah mertua, memandangkan itu adalah tanggungjawab suami anda. Anda pasti tidak mahu suami anda menjadi anak derhaka atau pelaku dosa kepada ibu bapanya, lantas menyebabkan si suami dibalas dengan balasan neraka di akhirat kelak. Duhai isteri, mampukah anda melihat suami anda dicampak ke dalam neraka hanya kerana ingin menurut keinginan anda dengan membelakangi keinginan ibu bapanya? Pasti tidak.
Adapun, jika berlaku banyak masalah dan ketegangan antara si isteri dan mertua, si suami perlulah mencari jalan penyelesaian yang sebaik-baiknya. Si suami bolehlah membawa anak isterinya keluar dan tinggal di tempat lain jika keadaan terlalu teruk dan meruncing, namun haruslah berbincang dan memperjelaskan sejelas-jelasnya kepada ibu bapa, bahawa bukan niatnya untuk menyakiti hati ibu bapa tetapi si suami harus menjaga hati 3 jiwa ini.



BOLEHKAH ISTERI AMBIL DUIT SUAMI SENYAP-SENYAP?

Boleh, tapi hanya sekadar perlu sahaja untuk membeli barang keperluan. “Keperluan”  ya! Gelang emas, subang emas, jam Vincci, beg tangan LV, semua tu bukan keperluan.


Dalilnya:

Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, dia berkata: Hindun telah berkata kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Wahai Rasulullah, Abu Sufyan adalah seorang lelaki yang kedekut. Dia tidak memberikan kecukupan nafkah padaku dan anakku, kecuali jika aku mengambil dari hartanya dengan tanpa pengetahuannya.” Lalu baginda shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ambillah dari hartanya sekadar untuk memenuhi keperluanmu dan juga anakmu.” [Riwayat Bukhari dalam kitab Sahihnya, Bab Nafkah, no. 4945]


ISTERI YANG TIDAK BERHAK MENERIMA NAFKAH

Isteri yang nusyuz tidak layak menerima nafkah daripada suami. Sepanjang tempohnya nusyuz sehinggalah si isteri meminta maaf atau sehingga suami memaafkannya dan redha kepadanya, maka barulah si isteri berhak menerima nafkah.
Berikut adalah perkara yang menyebabkan isteri tidak berhak menerima nafkah sebagaimana yang dinyatakan Imam Nawawi [Al-Majmu’: 19/244-247]:

1. Apabila isteri berpindah dari rumah suaminya ke rumah lain tanpa alasan syar’ie atau pergi (musafir) tanpa izin suami
2. Apabila isteri berpuasa sunat tanpa izin suami
3. Apabila isteri itu nusyuz
Contoh-contoh perkara nusyuz:
1. Menolak ajakan suami untuk bersetubuh
2. Isteri benci kepada suami
3. Tidak melakukan apa yang disuruh suami yang tidak bertentangan dengan syara’, walaupun menolak untuk membuat air kopi atau teh
4. Isteri menengking suami dengan nada suara tinggi
5. Isteri keluar rumah tanpa izin
6. Isteri melawan kata-kata suami
7. Menjauhkan diri dari suaminya / tak mahu layan suaminya
8. Meminta cerai kerana suami telah / ingin berkahwin lain
9. Isteri berkata kesat pada suami
10. Menceritakan keaiban suami kepada orang lain
11. Tidak membenarkan suami menyentuh dirinya ketika suami mahu
12. Isteri enggan berpindah ikut suami ke rumah lain di tempat lain
13. Isteri bermasam muka dengan suami
14. Membenarkan seseorang yang suami tidak suka masuk ke dalam rumah
15. Tidak mengendahkan panggilan suami
16. Mempunyai hubungan rahsia dengan lelaki lain


Ulama’ juga sepakat mengatakan bahawa isteri yang dipenjarakan kerana melakukan kejahatan atau seumpamanya tidak wajib diberikan nafkah. [Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu: 10/7382]


Dalil isteri wajib taat suami:

Hadis dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri menolak untuk pergi (kepada suaminya), malaikat melaknatnya (isteri) sehingga (masuk) waktu pagi.” [Riwayat Bukhari]
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila seorang isteri mengerjakan solat lima waktu, berpuasa bulan ramadhan, memelihara kehormatannya dan taat serta patuh kepada suaminya, akan dimasukkan ke dalam syurga.” [Riwayat Ibnu Hibban dan Thabrani]
Dari Ummu Salamah, isteri baginda Nabi, berkata bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Mana-mana isteri yang mati dalam keadaan suaminya redha kepadanya, dia akan masuk syurga” [Riwayat At-Tirmidzi]



CARA SUAMI MENANGANI ISTERI NUSYUZ

“Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka dari tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka.” [Surah An-Nisaa’, ayat 34]
Dari ayat ini, Allah beri panduan kepada suami step by step untuk hadapi isteri nusyuz:

1. Nasihat
2. Kalau tak makan nasihat, jangan tidur bersama dan jangan mendekatinya (berjimak)
3. Kalau degil jugak, pukul


Dan syarat dalam memukul itu pula:

1. Tidak menyebabkan luka dan patah (atau kerosakan organ dalaman)
2. Tidak berterusan dan bertalu-talu
3. Tidak pukul pada satu tempat sahaja berulang-ulang
4. Tidak pukul bahagian mukanya dan kemaluannya
5. Tidak menggunakan benda keras, seperti rotan atau kayu atau besi atau kuali.


Dilarang memukul isteri jika tidak menepati syarat-syarat ini, sebagaimana hadis:
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Adakah patut seseorang kamu memukul isterinya seperti memukul seorang hamba, kemudian dia meniduri isterinya di waktu malamnya?” [Riwayat Bukhari dan Muslim]


Tiada ulasan: