Artikel ini untuk bacaan umum yang
mana ianya memfokuskan kepada proses dan prosedur tuntutan nafkah di mahkamah
syariah. Ianya juga akan menyatakan secara ringkas jenis-jenis nafkah, definisi
dan tempohnya.
Nafkah dari segi bahasa mengikut
tafsiran dalam kitab Fiqh Manhaji menyebut perkataan nafkah adalah diambil dari
perkataan infaq yang bermaksud mengeluarkan. Dari segi istilahnya,
nafkah bermaksud setiap apa yang dihajati oleh manusia seperti
makan minum, pakaian dan tempat tinggal.
Nafkah juga bermaksud saraan hidup
yang mana ianya satu keperluan manusia. Manusia memerlukan makanan, pakaian dan
tempat tinggal yang merupakan asas untuk hidup.
Kita percaya yang semua orang maklum
bahawa tanggungjawab memberi nafkah adalah tertangung ke atas kaum lelaki. Baik
suami ataupun bapa. Suami bertanggungan menanggung nafkah isteri, bapa pula
bertanggungan menanggung nafkah anak.
Dalam ayat 34 Surah An nisa yang
bermaksud:
“ kaum lelaki adalah pemimpin dan
pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah
melebihkan orang-orang lelaki atas orang-orang perempuan, dan juga kerana
orang-orang lelaki telah membelanjakan dan memberi nafkah sebahagian dari harta
mereka.
Sabda Rasulullah S.A.W di dalam
hadith yang diriwayatkan oleh al Tirmidzi yang bermaksud :
“Dan hak-hak isteri ke atas kamu
(suami) hendaklah berbuat baik ke atas mereka (isteri-isteri) dan kewajipan ke
atasmu memberi makan dan pakaian mereka menurut yang sesuai”.
Kelayakan isteri menerima nafkah
adalah atas sebab wujudnya ikatan pernikahan yang sah. Dalam kitab Fiqh sunnah
Jilid 4 muka surat 236 menyebut:
Syarat-syarat perempuan yang berhak
menerima nafkah suami adalah seperti berikut:
1 Ikatan pernikahan yang sah,
2 Menyerahkan dirinya kepada suami
3 suaminya dapat menikmati dirinya
4 tidak menolak apabila diajak
berpindah ke tampat yang dikehendaki
suaminya
5 kedua-duanya saling dapat menikmati
kehidupan suami isteri
NAFKAH DALAM PERKAHWINAN VS NAFKAH
SELEPAS PERCERAIAN
Nafkah dalam tempoh perkahwinan
dengan selepas perceraian secara dasarnya tidak ada beza dari segi konsep
nafkahnya. Ianya masih dianggap sebagai keperluan dan saran hidup. Masa
berkahwin ianya untuk keperluan hidup, selepas bercerai pun ianya masih sama.
Orang yang menanggungnya juga sama iaitu kaun lelaki.
Apa yang sedikit membezakan hanyalah
pada nafkah isteri. Pada nafkah anak ianya tetap sama. Mari kita lihat apa
perbezaannya sekali imbas.
Nafkah isteri dalam tempoh kahwin
dipanggil nafkah isteri manakala untuk selepas bercerai tiada lagi nafkah
isteri tetapi dipanggil nafkah iddah untuk bekas isteri.
Nafkah isteri diwajibkan selagi mana
tempoh perkahwinan itu wujud iaitu selagimana ikatan perkahwinan itu ada selagi
itulah nafkah itu diwajibkan. Nafkah iddah pula hanya untuk tempoh iddah yang
mana akan tamat bila tamatnya tempoh iddah.
Bagi nafkah anak, ianya tetap sama.
Nafkah anak tidak ada perbezaan samada dalam tempoh perkahwinan atas selepas
perceraian.
TATACARA MENUNTUT NAFKAH DI MAHKAMAH
SYARIAH
Di mahkamah syariah ada 4
jenis tuntutan yang melibatkan nafkah difailkan iaitu (1) Nafkah
isteri (2) Nafkah Iddah (3) Nafkah tertunggak (4) Nafkah anak. Memandangkan
nafkah tertanggung atas kaum lelaki, semua tuntutan nafkah di mahkamah syariah
difailkan oleh kaum wanita samada isteri, bekas isteri dan ibu. Tiada tuntutan
nafkah yang difailkan suami atau bapa. Berikut saya kongsikan beberapa langkah
dan cara menuntut nafkah di mahkamah syariah.
PROSESNYA
Ø Kenal pasti dulu nafkah apa yang puan bercadang hendak tuntut di
mahkamah. Sebab kalau tidak tahu nafkah apa yang hendak di tuntut anda akan
stuck semasa hendak mengisi borang mahkamah. Anda kena tahu samada hendak
tuntut nafkah anak, nafkah iddah atau tunggakan nafkah.
Ø Jika anda telah pasti apa yang hendak dituntut, pegi ke mahkamah
syariah berdekatan tempat anda bermastautin. Jika anda tinggal di Petaling
jaya, pergilah ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling jaya. Begitulah bagi
mahkamah di tempat lain.
Ø Minta borang tuntutan nafkah di kaunter. Jika anda hendak
tuntut nafkah anak, mintalah borang tuntutan nafkah anak, jika nak tuntut
nafkah iddah mintalah borang nafkah iddah. Ianya mudah jika anda telah pasti
apa tuntutan yang hendak dituntut.
Ø Isi borang dalam 3 salinan (boleh juga isi satu kemudian
buat copy lagi 2). Semua dokumen pun kena ada 3 copy. Dokumen asas yang kena
bawa adalah ic, surat nikah @ surat cerai, surat beranak anak-anak (jika ada
anak). Ingat bawa 3 copy setiap satu.
Ø Anda isi sahaja tempat kosong dalam borang itu. Borang mahkamah
mungkin nampak rumit bagi yang tidak biasa, tetapi ianya mudah difahami sebab
dah disediakan ruang kosong untuk anda isi.
Ø Sudah siap isi hantar sahaja semula di kaunter untuk difailkan. Bayar fees untuk
pendaftaran sekitar RM40-RM50 kemudian dapatkan tarikh untuk hadir ke mahkamah
(tidak lebih dari 21 hari dari tarikh difailkan).
KADAR DAN KIRAAN NAFKAH
Dalam pengalaman saya mengendalikan
kes-kes di mahkamah syariah, bila membicarakan isu nafkah, kadar nafkahlah yang
selalu menjadi persoalan orang awam. Berapa kadar nafkah yang hendak dipohon?
Macamana nak kira? Berapa yang hendak dituntut?
Tuntutan nafkah tiada cara kiraan
yang khusus dan juga tiada kadar yang khusus ditetapkan hokum syarak. Undang-undnag
juga tidak menetapkan kadar tersebut. Apa yang diperuntukkan hanyalah kewajipan
memberi nafkah. Justeru itu, berkaitan dengan kadar ianya bergantung kepada
keperluan dan kemampuan.
Justeru, artikel ini akan berkongsi
sedikit info mengenai perkara tersebut berdasarkan sedikit ilmu yang saya ada.
Ingin saya tekankan di sini bahawa setipa orang berbeza cara tuntutan dan
kiraannya. Ada orang awam atau Peguam Syarie yang meletakkan kiraannya sendiri
berbeza dengan orang lain. Ini sesuatu yang biasa. Bak kata pepatah “lain
padang lain belalang” lain orang lain caranya. Apa yang
saya kongsikan hanya sebagai panduan sahaja.
Di bawah ini saya tunjukkan contoh
kiraan yang anda boleh guna sebagai panduan.
(1) Makan minum
Kiraan untuk makan minum diambil
secara harian sebab hari-hari kena makan. Anda boleh letak kiraanya begini
Contoh RM 15 sehari (Pagi
RM 5 + Tengahari RM 5 + Malam RM 5) x 30 hari = RM 450.00
(2) Pakaian
Untuk pakaian, syarak meletakkan
nafkah dari segi pakaian adalah memadai dengan dua persalinan setahun. Jadi,
anda boleh letakkan satu jumlah yang kecil untuk sebulan. Contohnya RM20
sebulan. Jadi bila cukup 6 bulan ianya menjadi RM 120.00 jadi bolehlah anda
membeli baju, seluar, kasut dan sebagainya.
(3) Tempat tinggal
Bagi kadar tempat tinggal, anda boleh mengambil kiraan mengikut kadar
sewa atau kadar bayaran bulanan pinjaman. Contoh sewa RM 500. Jadi jumlah ini
anda boleh letakkan sebagai kadar nafkah tempat tinggal.
Jika anda menuntut nafkah anak, hanya
keperluan anak sahaja yang dituntut. Tidak boleh masukkan sekali kepeluan ibu.
Sebagai contoh sebuah rumah didiami oleh ibu dan anak (2 orang). Anda perlu
asingkan nafkah tempat tinggal antara ibu dan anak. Jadi jika ibu menyewa
sebuah rumah sewa berharga RM 400. Tuntutan nafkah anak hanya RM 200 kerana RM
400 dibahagi 2 = 200.
Jika tempat tinggal telah disediakan, jadi nafkah ini tidak perlu lagi
dituntut.
(4) Yuran Sekolah
Bagi tuntutan nafkah anak, kos pendidikan anak-anak boleh dituntut. Justeru,
yuran persekolahan boleh diletakkan dalam tuntutan nafkah anak-anak. Ini
kebiasaannya bagi anak-anak yang bersekolah di sekolah berbayar.
(5) Wang saku
Wang saku dituntut untuk keperluan anak dan perbelanjaan mereka di
sekolah. Cara kiraan yang boleh diambil adalah dengan mengambil kira berapa
duit belanja yang diberikan kepaa anak setiap hari persekolahan.
Contohnya: RM 4 x 20 hari persekolahan = RM 80.00
Tuntutan nafkah tahunan.
Selain tuntutan secara bulanan, anda juga boleh menuntut keperluan
tahunan terutamanya untuk anak-anak. Pembayaran untuk keperluan ini juga
dibayar secara tahunan iaitu hanya setahun sekali. Anda boleh menuntut nafkah
secara tahunan bagi keperluan awal persekolahan dan juga perayaan.
(6) Perbelanjaan awal sekolah
Perbelanjaan ini untuk tuntutan dalam nafkah anak. Ianya meliputi
keperluan untuk membeli buku-buku persekolahan, pakaian, kasut, dan juga
pendaftaran yuran awal masuk persekolahan. Tidak dinafikan kos untuk awal
persekolahan semakin tinggi. Justeru anda boleh menuntut dari bapa untuk
menanggung kos tersebut. Kadar untuk tuntutan ini boleh dianggarkan mengikut
kos masuk sekolah untuk tahun-tahun sebelumnya.
Jika anda telah dibekalkan dengan senarai keperluaan anda untuk masuk
sekolah, boleh gunakan jumlah yang dinyatakan dalam senarai tersebut sebagai
tuntutan perbelanjaan awal persekolahan.
(7) Perayaan
Tuntutan kos untuk perayaan ini juga boleh dituntut untuk keperluan
anak-anak. Kebiasaannya ianya hanya untuk perayaan Aidilfitri. Anda boleh
memohon untuk kos pembelian baru raya. Contohnya RM 200 untuk seorang anak.
Justeru, jika anda menuntut nafkah anak, anda boleh meletakkan kadar
untuk makan minum, pakaian, tempat tinggal, wang saku, pendidikan, dan
perayaan. Anda boleh jumlahkan dan letakkannya sebagai tuntutan
nafkah.
Contohnya:
Makan minum RM 10x 30 =RM 300
Tempat
tinggal =RM
200
Pakaian =RM 50
Wang saku RM 4x
20 =RM 80
-------------
TOTAL RM
630.00
--------------
Yang penting apa yang anda letakkan sebagai tuntutan di mahkamah ada
asas kiraannya. Jika anda tuntut nafkah makan minum RM 300 sebulan,
anda perlu jelaskan pada mahkamah macamaana anda kirakan RM 300
tersebut. jadi anda bolehlah rujuk panduan di atas supaya mudah
untuk anda menjawab nanti.
Suka saya ingatkan bahawa kadar nafkah yang dituntut biarlah dalam
kemampuan pembayarnya. Hakim yang mengendalikan kes juga bukan sahaja melihat
berapa keperluan bekas isteri atau anak, tetapi juga melihat tahap kemampuan
pembayarnya. Oleh itu, pertimbangan perlu diberikan dalam menuntut nafkah. Ada
ketikanya anda menuntut kadar yang tinggi tetapi mahkamah berikan hanya
sedikit. Ini kerana mahkamah menilai juga tahap kemampuan pembayarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan