DONATE

Jumaat, 22 April 2016

PENYALAHGUNAAN TANDA HALAL DI MALAYSIA

Penulis: Khadijah binti Radzuan
Siti Khadijah binti Adnan
Siti Khadijah binti Ismail

Produk halal kini semakin mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan mahupun antarabangsa berikutan kepercayaan masyarakat Muslim terhadap Pensijilan Halal Malaysia yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Sijil halal ini juga diperakui hingga ke peringkat antarabangsa kerana dikeluarkan oleh badan-badan yang berautoriti seperti JAKIM dan JAIN yang merupakan badan tunggal yang diiktiraf oleh kerajaan dengan adanya Akta Perihal Dagangan 2011.

Selain itu, peningkatan jumlah penduduk dunia yang majoritinya Islam menjadi satu faktor kepada keperluan sijil Halal tersebut di samping membantu pengguna mendapatkan produk yang halal, suci dan selamat digunakan. Pensijilan halal yang dikeluarkan oleh JAKIM diberikan kepada pengeluar, pengilang produk, pengedar, penjual, premis makanan, rumah sembelihan termasuklah dapur hotel yang dikategorikan sebagai premis makanan.

Penggunaan tanda atau logo halal hanya diberikankan kepada pemohon yang telah mendapat pensijilan yang diiktiraf.  Oleh yang demikian, mereka perlu mematuhi garis panduan halal secara menyeluruh seperti yang ditetapkan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia. Namun bagi mereka yang mengingkari piawaian tersebut adalah menjadi satu kesalahan di bawah seksyen 42 iaitu Penyalahgunaan tanda halal menurut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. Artikel ini akan mengupas isu penyalahgunaan tanda halal di Malaysia serta menfokuskan tentang lima isu penting berkaitan penyalahgunaan tersebut:

(i) Isu pengeluar sijil Halal yang tidak diiktiraf.

Terdapat beberapa syarikat swasta yang mengeluarkan sijil halal persendirian yang mengakibatkan kekeliruan dan keraguan tentang kesahihan sijil halal tersebut. Keratan akhbar Kosmo yang bertarikh 12 Julai 2006 mengenai sebuah syarikat swasta Bahtera Lagenda Sdn Bhd telah mengeluarkan sijil Halal yang tidak diiktiraf. Kesannya ia meninggalkan persoalan di kalangan masyarakat Islam tentang pihak yang bertanggungjawab dan berperanan utama dalam mengeluarkan sijil Halal yang diiktiraf di Malaysia. Rentetan itu, kerajaan telah memutuskan pada Ogos 2009 bahawa JAKIM adalah satu-satunya pengeluar Pensijilan Halal Malaysia yang diiktiraf dan tiada entiti lain yang boleh memberikan kesan sedemikian.

 (ii) Isu penggunaan logo Halal palsu

Dari aspek Logo Halal seperti mana yang tertakluk pada manual prosedur, ianya mesti menepati spesifikasi yang ditetapkan, dicetak dan dilabel dengan jelas pada setiap produk yang telah mendapat Pengesahan Sijil Halal. Namun segelintir pengeluar produk mengambil jalan mudah iaitu tidak melabel dengan menggunakan tanda atau logo halal JAKIM. Mereka mengambil kesempatan mengaburi mata pengguna dengan mencipta logo halal mereka yang tersendiri, contohnya yang dilaporkan dalam akhbar Sinar Harian pada 10 Jun 2014 iaitu produk bihun Cap Masjid keluaran sebuah kilang yang tidak mempunyai sijil halal yang sah menurut JAKIM. Menurut Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim pada masa itu, Hakimah Mohd Yusoff berkata bahawa produk bihun itu mengguna pakai logo halal sendiri pada pembungkusan dan ianya bertentangan dengan Akta Perihal Dagangan 2011 kerana mengelirukan pengguna dengan status halal produk tersebut.

 (iii) Isu sijil halal tamat tempoh

Bagi pemohon yang telah mendapat Pengesahan Sijil Halal daripada JAKIM, mereka dikehendaki mematuhi Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia yang ditetapkan. Tempoh sahlaku sijil halal tersebut adalah selama dua tahun dan akan terbatal sekiranya didapati melanggar prosedur pensijilan halal Malaysia. Namun terdapat pemilik yang tidak mengambil peduli akan tempoh sahlaku tersebut. Pemegang sijil tersebut hendaklah mengemukakan permohonan perbaharuan empat bulan sebelum tamat tempoh dan mana-mana pihak yang gagal untuk memperbaharuinya dan masih mempamerkan sijil halal tersebut boleh dianggap telah menyalahgunakan tanda halal. Sijil Pengesahan Halal boleh ditamatkan tempoh sahnya pada bila-bila masa sekiranya didapati menyalahi prosedur serta boleh disenaraihitamkan sekiranya gagal mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.

(iv) Isu penjualan sijil halal kepada pihak yang tidak diiktiraf

Terdapat segelintir pemegang sijil halal yang sah mengambil jalan singkat untuk mengaut keuntungan yang lebih besar dengan menjual sijil halal yang mereka perolehi kepada premis-premis makanan yang tidak tersenarai dalam Direktori Halal Malaysia. Sijil halal tersebut adalah tidak boleh diniagakan, diberi pinjam, ditukarmilik, dipalsukan, disalahgunakan atau dipinda dengan apa cara sekalipun menurut piawaian yang telah ditetapkan dalam manual prosedur tersebut.

(v) Isu premis yang tidak mengasingkan barangan halal dan tidak halal

Dalam hal pensijilan halal, kebersihan perkakas, peralatan, pengangkutan, kawasan pengeluaran dan persekitaran amat dititikberatkan dan syarikat-syarikat yang memohon perlu mengamalkan kod etika pekerja dan amalan kesihatan yang baik iaitu Good Hygiene Practices GHP seperti yang tertakluk dalam Malaysian Standard MS 1514: 2009. Namun terdapat sebahagian daripada pemilik sijil halal telah menyalahgunakan sijil halal yang dikeluarkan dengan mencampurkan produk makanan mereka yang halal dengan yang tidak halal. Contohnya pengusaha makanan yang tidak mengasingkan perkakas dan alatan dalam menyediakan makanan yang halal dan tidak halal. Selain itu, terdapat produk kicap ‘ABC Saus Manis’ yang didakwa menggunakan botol arak ianya juga memaklumkan produk tersebut adalah tiruan dan tidak menggunakan logo halal Jakim serta dikilangkan semula di kilang yang tidak berdaftar oleh pihak berkuasa tempatan menurut sumber yang dipetik dalam Sinar Harian pada Jun 2014.


Berdasarkan isu-isu yang dibincangkan di atas, beberapa usaha perlu dititikberatkan bagi membendung masalah penyalahgunaan tanda halal yang berlaku di negara ini. Bukan sahaja pihak kerajaan perlu memainkan peranannya, malah pengusaha juga pemilik perniagaan perlu terlibat dalam usaha membendung permasalahan ini. Pihak berkuasa perlu sentiasa melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap penggunaan sijil halal yang telah dikeluarkan bagi mengelakkan penyalahgunaan tersebut.  Tambahan lagi, pemantauan atau pemeriksaan secara mengejut juga perlu dilakukan dengan lebih kerap. Usaha seterusnya yang boleh dilakukan adalah dengan menguatkuasakan Akta Halal. Dengan adanya Akta Halal ini, ianya akan dapat memperkasakan undang-undang berkaitan penguatkuasaan, kawalan, pendakwaan, dan penyalahgunaan tanda halal. Akhir sekali, setiap premis yang memiliki pensijilan halal adalah perlu mempunyai seorang pegawai agama bagi menyelia proses pengeluaran produk halal dengan lebih berkesan. 

Tiada ulasan: