DONATE

Rabu, 6 April 2016

JAMINAN MAHKAMAH: BAGAIMANA ANDA MENGURUSKANNYA DAN PROSEDUR PERLUCUTAN HAK BON

Oleh : AHMAD BASYIR BIN YAAKUB


JAMINAN MAHKAMAH: BAGAIMANA ANDA MENGURUSKANNYA DAN PROSEDUR PERLUCUTAN HAK BON

1)      APA  DIA JAMINAN?
Ialah wang pelepasan sementara kepada orang tertuduh dengan mengemukakan cagaran yang mencukupi dan akujanji penjamin untuk mengemukakan orang tertuduh  setiap hari perbicaraan. Perjanjian di antara penjamin dan Mahkamah dipanggil bon jaminan Syarat-syarat jaminan dan jumlah jaminan adalah terletak atas budi bicara Mahkamah.  Ia bergantung pada latar belakang sesuatu kes. [1]

2)   TUJUAN JAMINAN
Seseorang itu adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan dia bersalah.  Oleh itu jaminan akan diberikan untuk membebaskan orang tertuduh dan pada masa yang sama membuatkan penjamin memasukkan cagaran untuk menentukan kehadiran orang tertuduh ke Mahkamah.

3)      JAMINAN DALAM KESALAHAN-KESALAHAN YANG BOLEH DIJAMIN  (BAILABLE OFFENCE)
Bagi kesalahan-kesalahan seperti ini, orang tertuduh boleh dibebaskan dengan jaminan kerana ia adalah hak orang tertuduh.  Apabila orang tertuduh dipertuduhkan di Mahkamah maka Mahkamah akan menentukan jumlah jaminan yang ditawarkan.  Sesiapa yang layak bolehlah menjamin orang tertuduh.  Jika tidak penjamin orang tertuduh akan ditahan di penjara sehingga kes selesai dibicarakan.

4)      SYARAT-SYARAT JAMINAN DAN SIAPAKAH BOLEH MENJADI PENJAMIN  
Seorang dewasa (berumur 18 tahun ke atas) Seorang warganegara (jika bukan warganegara ia tertakluk  kepada syarat yang ditetapkan oleh Mahkamah) Mengemukakan jumlah jaminan yang ditetapkan oleh Mahkamah. Jumlah jaminan yang cukup  seperti yang ditetapkan oleh Mahkamah bolehlah dikemukakan dalam bentuk: Simpanan Tetap (fixed deposit)atau suatu jumlah wang yang boleh berada dalam Akaun Simpanan yang mana jika  ada kad ATM hendaklah diserahkan kepada Mahkamah.
Geran tanah(kekal/sementara) tidak termasuk Lesen Tumpangan Sementara (TOL) dan jika geran tanah dimiliki secara berkongsi semua pengkongsi mesti memberi persetujuan untuk dijadikan cagaran.  Laporan  penilai harta hendaklah dikemukakan untuk membolehkan Mahkamah menentukan nilai tanah dalam geran tanah itu mencukupi  meliputi  jumlah jaminan yang ditetapkan itu.
Faham semua syarat jaminan yang ditetapkan oleh Mahkamah.
Menandatangani bon jaminan. Pasport antarabangsa/terhad orang tertuduh jika diperlukan.   [2]

5)   CARA MENGURUSKAN JAMINAN
Selepas Mahkamah mengumumkan jumlah jaminan yang dikenakan ke atas orang tertuduh, penjamin perlu pergi ke kaunter pendaftaran berkenaan sama ada di Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Majistret. Kad pengenalan penjamin serta akaun jaminan dalam bentuk yang dinyatakan hendaklah dibawa bersama-sama. Pihak pendaftaran berkenaan akan mengisikan butiran peribadi penjamin dan orang tertuduh di dalam sebuah buku jaminan yang dipanggil bon jaminan. Penjamin dan  tertuduh akan diterangkan syarat-syarat jaminan oleh Pendaftar/Majistret dan kemudian penjamin dan tertuduh perlu menurunkan tandatangan ke atas bon jaminan tersebut dan satu kad rujukan akan diberikan kepada penjamin dan ia hendaklah disimpan dengan baik untuk apa-apa urusan berkait jaminan tersebut. [3]
Jaminan yang diberi akan disimpan oleh Mahkamah sehingga kes selesai  dan tuntutan cagaran boleh dibuat oleh penjamin dengan mengemukakan kad rujukan tadi.

6)   TANGGUNGJAWAB PENJAMIN
Tanggungjawab utama seorang penjamin ialah menentukan kehadiran orang tertuduh di Mahkamah.  Tanggungjawab lain akan diterangkan sebelum bon jaminan ditandatangani.
 
7)   RISIKO PENJAMIN
Jika penjamin gagal mematuhi mana-mana syarat jaminan misalnya gagal memastikan kehadiran orang tertuduh di Mahkamah atau gagal mengemukakan barang kes pada hari perbicaraan atau sebutan maka jaminan boleh dilucutkan kepada Kerajaan oleh Mahkamah.  Sebelum merampas wang jaminan Mahkamah akan memberi peluang kepada penjamin  untuk  memberi penjelasan mengapa wang jaminan tidak patut dirampas dan selepas itu adalah terpulang kepada budi bicara Mahkamah sama ada untuk meranpas keseluruhan wang jaminan atau sebahagiannya ataupun tidak sama sekali [4]
 
8)JENIS-JENIS JAMINAN LAIN
8.1)      Jaminan Terhadap Barang Kes
Ia melibatkan jaminan barang-barang kes yang akan menjadi eksibit Mahkamah seperti kenderaan, barang-barang kemas dan sebagainya.  Melalui jaminan ini tuan punya boleh menyimpan barang-barang tersebut sendiri dengan syarat perlu mengemukakan di Mahkamah apabila Mahkamah memerintahkan berbuat demikian.
 
8.2)      Jaminan Berupa Hukuman
Ia adalah bagi kes-kes tertentu seperti di bawah Akta Mahkamah Juvana, Kanun Acara Jenayah dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang diputuskan oleh Mahkamah supaya  hukuman/perintah dalan bentuk pengenaan syarat jaminan kesalahan kepada Mahkamah oleh pihak yang berkenaan, iaitu tertuduh atau pesalah dibenarkan jaminan berkelakuan baik atau diletak di bawah pengawasan seseorang dalam tempoh tertentu.


8.3 Jaminan Bagi Kes Sivil
Ia adalah untuk memastikan kehadiran penghutang penghakiman ke Mahkamah untuk menjawab tuntutan sivil ke atasnya setelah  beliau gagal hadir di Mahkamah.
 
8.4 Jaminan Sementara Menunggu Tempoh Rayuan

Ia adalah merupakan syarat yang boleh dikenakan oleh sesebuah Mahkamah untuk membolehkan tertuduh, yang telah dijatuhkan hukuman oleh Hakim Mahkamah Sesyen atau Majistret tetapi tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah itu dan ingin membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi, menggantungkan pelaksanaan hukuman itu sehinggalah Mahkamah Tinggi membuat keputusan atas rayuan tersebut.  Jika seseorang tertuduh ingin merayu  terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, maka jaminan ini boleh dikenakan oleh Mahkamah Tinggi bagi maksud yang sama.

Bagi jaminan eksibit, jaminan di dalam kes sivil,jaminan berbentuk hukuman dan jaminan sementara menunggu rayuan ia masing-masing mempunyai bon yang berbeza  dan akan diuruskan oleh pihak Pendaftar/Majistret sementara lain-lain proses adalah sama seperti dalam mengurus jaminan untuk orang tertuduh.

9) TATACARA JAMINAN
Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, seksyen 23 telah memperuntukkan bahawa:
“Tiada seseorang pun  yang telah ditangkap oleh Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis di bawah Akta ini boleh dilepaskan kecuali atas bon atau jaminan atau di bawah perintah bertulis seorang Hakim atau Ketua Penguatkuasa Agama atau seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor”[5]


Terdapat perbezaan yang besar antara Akta Prosedur Jenayah Syariah 1997 dan Kanun Prosedur Jenayah (Bab 6 ).

Dalam Kanun Prosedur Jenayah, terdapat jadual yang jelas yang menyenaraikan jenis-jenis kesalahan “boleh dijamin” dan yang “tidak boleh jamin”. Manakala dalam APJS 1997 tidak ada takrifan mengenai kesalahan boleh jamin dan tidak boleh jamin ataupun jadual pembahagian seperti dalam Kanun Prosedur Jenayah. Ini bermakna kesemua kesalahan –kesalahan jenayah Syariah adalah merupakan kesalahan yang boleh jamin. Kesan daripada itu Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis yang membuat tangkapan atau penahanan dalam kes jenayah Syariah dan  Mahkamah Syariah tidak boleh untuk tidak memberi jaminan kepada orang yang ditangkap atau ditahan atau hadir atau dibawa hadir kepadanya. Kesalahan boleh jamin adalah kesalahan yang memberi hak kepada orang yang ditangkap dilepaskan atas jaminan.

Walau bagaimanapun, jika jaminan tidak boleh diterima oleh orang yang ditangkap, misalnya, apabila dia tidak boleh mengemukakan penjamin-penjamin atau tidak mampu memenuhi syarat-syarat jaminan, maka dia tidak boleh dilepaskan. Seksyen 185 menggunakan perkataan ;-

` bersedia pada bila-bila masa semasa dalam jagaan pegawai itu atau pada mana-mana peringkat mahkamah itu memberikan jaminan’ .

 Oleh itu, walaupun pegawai itu atau mahkamah itu `hendaklah’ melepaskannya atas jaminan, orang itu mesti bersedia dan berupaya untuk menerimanya. Jika orang itu berupaya memenuhi jaminan itu dia boleh dilepaskan atas jaminan tersebut. Jika dia gagal memenuhinya dia akan ditahan sehingga perbicaraannya. Oleh itu pilihan yang ada ialah dengan mengenakan syarat-syarat jaminan yang ketat untuk memastikan orang-orang yang dijamin itu hadir pada masa yang ditetapkan.

9.1)            Akuan tidak  bersalah

Apabila tertuduh enggan mengaku atau membuat akuan tidak bersalah , suatu tarikh akan ditetapkan untuk perbicaraan.[6] pendakwa perlu menawarkan jaminan  kepada tertuduh 
sementara menunggu perbicaraan atau tidak. Samamada jaminan dibenarkan bergantung kepada kesalahan yang dituduh keatas tertuduh .

Secara amnya ,terdapat tiga kategori kesalahan –kesalahan yang berkaitan dengan jaminan . peruntukan mengenai jaminan dinyatakan dalam seksyen 378 hingga 394 KTJ;-.

9.2)            Kesalahan boleh jamin;-

Kesalahan boleh jamin ditakrifkan  dalam seksyen 2.KTJ seperti  berikut;-
Suatu kesalahan yang ditunjukkan sebagai boleh jamin dalam jadual pertama kepada kanun ini atau yang dijadikan boleh jamin oleh mana-mana undang-undang lain yang berkuatkuasa pada masa Ini.

Jika seseorang tertuduh itu yang telah melakukan kesalahan boleh jamin ditangkap dan dituduh di mahkamah,dan dia bersedia untuk memberikan jaminan ,mahkamah atau pihak polis hendaklah melepaskan dengan jaminan.Ini ialah hak automatic tertuduh sama ada tertuduh adalah warga Negara Malaysia atau orang asing.Dengan ini dinasihatkan supaya satu jumlah jaminan tunai yang lebih tinggi ditawarkan jika tertuduh itu merupakan orang asing atau jika tertuduh merupakan seorang warga Negara Malaysia yang dipercayai secara munasabah akan melarikan diri .mahkamah tidak boleh mengenakan apa-apa syarat dalam jaminan untuk suatu kesalahan boleh jamin.contohnya penyerahan passport tertuduh.

9.3 )           Kesalahan tak boleh jamin .
2.1  Terdapat tiga kategori kesalahan tak boleh jamin yang berkaitan dengan budi bicara mahkamah dalam pemberian jaminan .

1-         Jika terdapat alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa tertuduh bukan seorang yang berumur dibawah 16 tahun atau yang bukan merupakan seorang yang sakit atau tidak berupaya, telah didapati bersalah atas suatu tuduhan kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman mati atau hukuman penjara seumur hidup ,mahkamah mempunyai budi bicara untuk memberikan jaminan

2-         Jika didapati tiada apa-apa alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa tertuduh bersalah atas kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman mati atau hukuman penjara seumur hidup,mahkamah mempunyai budi bicara untuk memberikan jaminan.

3-         Semua kesalahan tak boleh jamin kecuali boleh dihukum dengan hukuman mati atau hukuman penjara seumur hidup, tertakluk kepada budi bicara mahkamah dalam pemberian jaminan.

9.4)            Kesalahan yang tak boleh jamin sama sekali;-

Dalam kategori ketiga, baik mahkamah mahupun pihak polis tidak mempunyai budi bicara untuk membenarkan jaminan kerana statut tertentu memperuntukkan dengan nyata bahawa jaminan tidak akan dibenarkan bagi kesalahan tertentu,contohnya,seksyen 12 Akta Senjata Api(penalty lebih berat)1971 dan seksyen 41 B Akta Dadah Berbahaya 1952.[7]

10) Permohonan jaminan ;– prosedur

Persoalan mengenai permohonan jaminan timbul apabila seseorang tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan atau meminta dibicarakan atau apabila tertuduh mengaku salah tetapi kes ditangguhkan sementara menunggu pengemukaan laporan yang diperlukan sebelum hukuman dijatuhkan. Prosedur bagi permohonan jaminan adalah seperti berikut;-

Sebagai rukun am. semua jaminan di mahkamah rendah dibuat secara lisan di dalam mahkamah terbuka sama ada oleh tertuduh sendiri atau oleh peguam tertuduh jika dia (tertuduh)diwakili.(perhatian:pada praktiknya, tertuduh tidak perlu berkata apa-apa dan mahkamah akan melaksanakan perkara yang perlu sebagaimana dalam 1.2 di bawah)

Mahkamah akan bertanya kepada pihak pendakwa sama ada apa-apa jaminan ditawarkan dan terma-terma tawaran itu.

Pihak pendakwa akan menjawab seperti berikut:
Pihak pendakwa akan mencadangkan suatu amaun jaminan berserta bilangan penjamin.Jika jaminan yang ditawarkan itu terlalu tinggi,tertuduh atau peguamnya akan memohon supaya amaun jaminan dikurangkan.Kemudianya mahkamah akan memutuskan amaun jaminan dan bilangan penjamin yang dikehendaki dan apa-apa syarat lain sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sebagai alternatif, pihak pendakwa boleh menentang jaminan dan boleh memberikan sebab bagi penentanganya itu.[8]

11)             Bagaimana untuk menjadi penjamin/bailor?Beberapa garis panduan tentang kehendakkan seseorang penjamin telah dinyatakan oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam brosur Mahkamah siri 4 seperti berikut;

11.1)          Seseorang dewasa (berumur 18 tahun keatas).
11.2)          Seseorang warganegara (jika bukan warganegara,orang itu tertakluk kepada syarat yang dikenakan oleh mahkamah).
11.3)          Memberikan amaun jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah.
11.4)          Amaun jaminan yang mencukupi yang ditetapkan oleh mahkamah boleh diberikan dalam bentuk berikut;-
11.5)          Resit Simpanan Tetap atau mana-mana buku akaun simpanan yang mempunyai amaun yang mencukupi bersama-sama dengan kad ATM , jika ada, hendaklah dideposit di mahkamah.
11.6)          Hakmilik tanah tidak termasuk Tanah Pemilikan Sementara .Jika tanah dipunyai bersama ,kesemua pemunya bersama hendaklah memberikan persetujuan mereka bagi hak milik yang di simpan sebagai jaminan. Laporan penilaian hendaklah dikemukakan untuk membolehkan mahkamah memastikan samaada nilai tanah adalah cukup untuk menjelaskan amaun jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah.
11.7)          Penjamin / Bailor memahami semua syarat jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah.
11.8)          Penjamin/Bailor hendaklah menyerahkan passport antarabangsa/terhad milikan tertuduh jika perlu.[9]


12)             Bentuk Jaminan;-

Jika jaminan diberikan kepada seseorang tertuduh bagi kesalahan tak boleh jamin, dia dikehendaki menyempurnakan Bon dengan atau tanpa penjamin, mengikut mana-mana yang berkenaan dalam borang(mutatis mutandis)yang ditetapkan oleh borang XXXIX Jadual Kedua KTJ. Mahkamah boleh juga membenarkan tertuduh mendepositkan sejumlah apa-apa amaun sebagaimana yang telah ditetapkan oleh mahkamah sebagai ganti kepada penyepurnaan bon itu;seksyen 403 KTJ.[10]

13)             Melanggari jaminan ;-

Apabila seseorang tertuduh yang dilepaskan dengan jaminan tidak hadir di mahkamah,pegawai pendakwa wajib memohon waran bagi penagkapan tertuduh itu dan suatu notis tunjuk sebab keatas penjamin / Bailor tertuduh. [11]Sebelum waran penangkapan dikeluarkan ,pegawai pendakwa hendaklah menyaksikan mahkamah bahawa tertuduh telah dimaklumkan tentang tarikh pendengaran dengan cara yang sempurna.
Apabila tertuduh dibawa ke mahkamah dibawah suatu waran penangkapan dan penjamin/bailor hadir dibawah suatu notis tunjuk sebab, mahkamah akan meminta tertuduh menjelaskan sebab dia tidak hadir di mahkamah pada hari yang telah di tetapkan untuk memutuskan sama ada jaminan yang ditawarkan patut dibatalkan.



14)       DARI HAL JAMINAN DAN PROSEDUR MENGENAI PELUCUTKAN BON SEK199.AKTA PROSEDUR JENAYAH SYARIAH 1997 [AKTA 560]

DARI HAL JAMINAN

      Terdapat beberapa peruntukan khusus dalam akta prosedur jenayah syariah berhubung dengan jaminan iaitu s.185 sehingga ke peringkat rayuan s.191. dan s.198 sehingga s.200 iaitu peringkat rayuan terhadap perintah, namun kertas kerja ini lebih memfokuskan kearah perbincangan dibawah s.199 iaitu seperti berikut;-

Seksyen 199 APJS 1997[akta 560]


Prosedur mengenai pelucuthakan bon.

            Bilamana :-
(a)dibuktikan sehingga Mahkamah yang daripadanya suatu bon di bawah Akta ini telah diambil berpuas hati; atau

(b)jika bon itu adalah bagi kehadiran di Mahkamah, dibuktikan sehingga Mahkamah itu berpuas hati,

bahawa bon telah terlucuthak, Mahkamah itu hendaklah merekodkan alasan pembuktian itu dan boleh meminta mana-mana orang yang terikat dengan bon itu supaya membayar penaltinya atau menunjukkan sebab mengapa penalti itu tidak patut dibayar.

Jika sebab yang mencukupi tidak ditunjukkan atau penalti itu tidak dibayar, orang yang terikat sedemikian boleh, dengan perintah Mahkamah yang mengeluarkan waran itu, dipenjarakan di dalam penjara sivil selama suatu tempoh yang boleh sampai enam bulan.

Mahkamah boleh, menurut budi bicaranya, meremitkan mana-mana bahagian penalti yang disebut itu, dan menguatkuasakan pembayaran sebahagiannya sahaja.

Tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh disifatkan menghalang penalti, atau mana-mana bahagiannya, mana-mana bon di bawah Akta ini didapatkan di bawah peruntukan undang-undang yang berhubungan dengan prosedur sivil yang sedang berkuatkuasa.[12]

15)             Bab Jamin dan Prosedur mengenai pelucuthakanbon dibawah Kanun Prosedur Jenayah [akta 593]/

Bab Jamin

                  Dalam bab ini terdapat beberapa seksyen  yang berkaitan dengan jamin iaitu s.387,s.388,s.389.s390,s.392,s.393,s.394,Kanun Prosedur Jenayah [Akta 593], namun perkara yang dibincangkan ialah berkaitan s.404 iaitu prosedur mengenai perlucutan Bon.

      Lihat seksyen 404 KTJ.Prosedur mengenai perlucutan bon;-

Apabila –
(a)    dibuktikan dengan memuaskan hati mahkamah yang sesuatu bon dibawah kanun ini telah diambil;atau

            (b)        apabila bon adalah untuk hadir di mahkamah ,dibuktikan dengan memuashati mahkamah ,

Bahawa bon tersebut telah dilucutkan , Mahkamah hendaklah merekodkan alasan-alasan bukti itu dan boleh memanggil mana-mana orang yang terikat dengan bon itu untuk membayar penaltinya itu atau menunjukkan sebab mengapa penalty itu tidak harus dibayar. Jika ditunjukkan sebab-sebab yang mencukupi dan penalty itu tidak di bayar , mahkamah boleh terus mengambil tindakan untuk mendapatkan wang dengan mengeluarkan sesuatu waran penahanan dan penjualan harta yang di miliki oleh orang itu.

Waran boleh disempurnakan dalam had bidangkuasa tempatan mahkamah yang mengeluarkanya dan hendaklah memberi kuasa bagi distres dan jualan mana-mana harta yang dimiliki oleh orang itu di luar had itu apabila diendors oleh Majistret dalam had bidangkuasa tempatan dijumpai harta itu.

Jika Penalti tidak dibayar dan tidak boleh didapati dengan penahanan dan jualan itu, orang yang terikat boleh , dengan perintah mahkamah yang mengeluarkan waran itu dikenakan di penjara dalam penjara sivil bagi tempoh yang boleh sampai enam bulan.

Mahkamah pada bicaranya , bolehlah megampunkan mana-mana juga bahagian penalty yang tersebut itu dan mengenakan bayaran bahagian itu sahaja.

Seksyen ini tidak mengandungi apa-apa yang boleh menahan penalty atau mana-mana juga bahagian bon itu dibawah kanun ini daripada didapatkan balik dibawah peruntukan undang-undang berhubung dengn prosedur sivil yang sedang berkuatkuasa.[13]

16)             PROSEDUR PELUCUTHAKAN SESUATU BON BAGI KEHADIRAN DI MAHKAMAH

(a)                Statut ;404 KTJ.
(b)               Kes-kes:
(i)                 PP v Khor Eve & anor [1964]MLJ 220
(ii)               Ramli &Anor v PP [1969] 1 MLJ 42
(iii)             Ahmad Khasiran v PP [1951] MLJ 108
(iv)             Dato Haji harun bin Idris & Ors v PP Federal court Criminal Appeals Nos 19 of 1976 and II of 1977 [1978] 1 MLJciii
(v)               R v Chow Fook lay [1951] MLJ 137
(vi)             Khor Hoon Guan & Anor v R [1950]MLJ 85
(vii)           A one & Ors v PP [2000] 3 MLJ 614.
c)         langkah-langkah
            i)          bailor /penjamin dibawa ke mahkamah apabila notis kepada bailor untuk tunjuk sebab disampaikan . Jurubahasa mahkamah akan memanggil nama bailor itu yang kemudianya akan berdiri di luar kandang orang salah, seperti mana mana defenden dalam kes saman.
            ii)         pada permulaan prosiding pelucuthakan , majistret /hakim Mahkamah sesyen akan bertanya kepada bailor itu samaada dia mengaku telah meyempurnakan bon jaminan  bagi tertuduh ,jika dia menafikan, keterangan hendaklah diambil untuk membuktikanya.
            iii)        sebagai amalan , pegawai pendakwa membantu Mahkamah dalam prosiding pelucuthakan ini dengan memanggil saksi yang tertentu, biasanya pendaftar yang meyaksikan penyempurnaan bon jaminan dan kerani mahkamah yang menterjemahkan dan menerangkan bon itu kepada bailor/penjamin. Bagi tujuan ini , bon jaminan itu hendaklah dikemukakan sama ada melalui pendaftar yang menyaksikan penyempurnaan bon jaminan itu atau kerani mahkamah yang menyediakan bon jaminan itu. Saksi yang dipanggil oleh pendakwa hendaklah memberikan keterangan bahawa bailor/penjamin yang hadir di mahkamah itu ialah orang yang menjadi penjamin bagi tertuduh dan telah menyempurnakan bon jaminan itu. Bahawa kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai penjamin juga telah diterangkan kepadanya oleh kerani mahkamah,Bon jamin itu akan dikemukakan dan ditanda sebagai barang kes[14].

                        d)         penjamin/bailor kemudianya diberi peluang untuk memeriksa balas saksi-saksi yang baru sahaja memberikan keterangan tentang bon jaminan itu .tujuanya mungkin untuk membuktikan bahawa bailor/penjamin tidak memahami sepenuhnya kewajipan dan tanggungjawab sebagai bailor.

            e)         Jika mahkamah diyakinkan bahawa ;
                        i)          bon jamin telah disempurnakan dengan baik oleh bailor itu;
                        ii)         bailor itu memahami tanggungjawab dan kewajipan seorang bailor;
                        iii)        dia gagal untuk mengemukakan tertuduh dimahkamah pada hari yang tertentu , maka bolehlah dikatakan bahawa ia telah dibuktikan dengan keyakinan mahkamah bahawa bon itutelah dilucuthakan.

f)         Mahkamah hendaklah merekod alasan bagi bukti itu dan boleh memanggil bailor untuk membayar penalty atau tunjuk sebab mengapa penalty tidak patut dibayar; seksyen 404 KTJ.

g)         bailor kemudianya mengambil tempat , bersumpah dan memberi keterangan .dia boleh memanggil keterangan lanjut dan prosedurnya sama dengan mana-mana perbicaraan , walaupun prosiding sedemikian bukanlah perbicaraan, dan tiada pertuduhan perlu disediakan;[15]
h)         di akhir prosiding tunjuk sebab, jika mahkamah diyakinkan bahawa sebab yang mencukupi telah ditunjukan bagi membantah pelucuthakan, mahkamaah akan mengetepikan perintah pelucuthakan mahkamah akan samaada melepaskan bailor itu daripada semua kewajipanya atau terus membenarkanya memberikan jaminan bagi tertuduh jika jaminan bagi tertuduh tidak dibatalkan oleh mahkamah sebelumnya.
i)          jika tiada sebab yang mencukupi ditunjukkan ,mahkamah hendaklah mengambil kira semua hal keadaan bagi menentukan berapa banyakkah dari jumlah jaminan itu yang perlu dibayar oleh bailor, mahkamah boleh memerintahkan bailor supaya membayar sama ada jumlah penuh atau sebahaagianya daripada jumlah jaminan itu’[16].

17)             Di bawah seksyen 405 KTJ .rayuan daripada perintah;-
Semua perintah yang dibuat di bawah seksyen 404 KTJ oleh mana-mana juga majistret bolehlah dirayu ke Mahkamah tinggi.








                    

FOCUS - 1 of 19 DOCUMENTS

© 2008 LexisNexis Asia (a division of Reed Elsevier (S) Pte Ltd)

The Malayan Law Journal

PDF Print Format

ROYAYA BTE ABDULLAH & ANOR v PUBLIC PROSECUTOR

[2005] 2 MLJ 670

CRIMINAL APPEAL NO 42-49 OF 2002

HIGH COURT (KUALA LUMPUR)

DECIDED-DATE-1: 19 JANUARY 2004

HELILIAH MOHD YUSOF J

CATCHWORDS:
Criminal Procedure - Bail bond - Forfeiture - Accused absconded - Whether sufficient cause shown - Whether amount to be forfeited

HEADNOTES:
The two bailors stood surety for one Novel Michael Thomas for the amount of RM10,000. When the accused failed to turn up in court, the session court judge had ordered that the sum of RM5,000 be forfeited and the balance returned to the first bailor. Dissatisfied, they appealed.
Held, allowing the appeal:
(1)   The breach of the bond must be viewed on a material date, the date
      being 5 September 2001 when the bailors knew that they had to be
      present in court on 5 September 2001 and still had the responsibility
      of securing or at least attempting to secure the attendance. However,
      it is noted that prior to 25 July 2001 the bailors had made attempts to
      remind the accused of his attendance. The first appellant had
      completely entrusted her belief on the second appellant that the
      accused was a reliable person (see para 42).
(2)   The delay had also been caused by the various interlocutory
      applications for revision and hearing on preliminary objections which
      gave the accused even greater opportunity to abscond. Therefore it is
      proper to ask whether sufficient reason had been shown. There are
      circumstances to consider what a fair amount is to be forfeited. The
      first appellant being bound should realise that the obligation of a
      surety is very serious. However the rights of the bailors could be
      mitigated by the circumstances that on record there was also delay in
      the warrant of arrest being issued. The matter is unfortunate as some
      of the delay is not attributed to the bailors' efforts (see para 44).
(3)   The amount of RM5000 that has been forfeited be set aside and be
      substituted with an amount of RM2500. The first appellant is therefore
      to be refunded for the amount of RM2500 (see para 45).
[Bahasa Malaysia summary(s.404 KAJ) Perlucutan Bon
Dua orang bailor bertindak sebagai penjamin untuk Novel Michael Thomas bagi jumlah RM10,000. Apabila tertuduh gagal untuk hadir di mahkamah, hakim mahkamah sesyen telah memerintahkan agar jumlah RM5,000 dirampas  [*671]  dan baki dipulangkan kepada bailor pertama. Berasa tidak puas hati, mereka telah merayu.
Diputuskan, membenarkan rayuan tersebut:
(1)   Perlanggaran bon hendaklah diteliti pada hari matan, iaitu pada 5[#xA0]
      September 2001 apabila bailor-bailor tersebut mengetahui mereka
      dikehendaki hadir di mahkamah pada 5 September 2001 dan masih mempunyai
      tanggungjawab untuk hadir atau sekurang-kurangnya cuba untuk hadir di
      mahkamah. Namun begitu, sebelum 25 Julai 2001 bailor-bailor tersebut
      telah berusaha untuk mengingatkan tertuduh berhubung kehadirannya.
      Mahkamah berpendapat bahawa perayu pertama meletak kepercayaan
      sepenuhnya ke atas perayu kedua yang tertuduh adalah seorang yang boleh
      diharap (lihat perenggan 42).
(2)   Kelewatan itu juga disebabkan oleh pelbagai permohonan interlokutori
      untuk kajian semula dan perbicaraan berhubung bantahan awal telah
      memberikan lebih peluang kepada tertuduh untuk melarikan diri. Oleh itu
      adalah betul untuk bertanya sama ada alasan yang mencukupi telah
      diberikan. Wujud keadaan untuk meneliti jumlah adil yang patut
      dirampas. Perayu pertama yang terikat sepatutnya menyedari bahawa
      tanggungjawab penjamin adalah suatu yang serius. Namun begitu hak-hak
      bailor tersebut boleh dimitigasikan oleh keadaan-keadaan yang atas
      rekod terdapat juga kelewatan dalam pengeluaran waran tangkapan.
      Perkara ini dikesali kerana kelewatan ini bukan salah bailor-bailor
      tersebut keseluruhannya. (lihat perenggan 44).
(3)   Jumlah RM5000 yang dirampas untuk diketepikan dan digantikan dengan
      jumlah RM2500. Perayu pertama oleh itu telah dibayar balik dengan
      sejumlah RM2500 (lihat perenggan 45).]

Notes
For cases on bail bond forfeiture, see 5(1) Mallal's Digest (4th Ed, 2004 Reissue) paras 872-889.
[#xA0]

Cases referred to
Fateh Chand Wadhumal v Emperor 41 Cr LJ 802
Khor Ewe Suan v PP [1964] MLJ 220
PP v Chou Tai Chuan [1988] 1 MLJ 511
Rv Knightsbridge Crown Court [1980] Cr LR 715
R v Waltham Forest Justises; ex p Parfrey [1980] Cr LR 571
Ramlee v PP [1969] 1 MLJ 42

Legislation referred to
Criminal Procedure Code ss 393(1),(4), 404(1)
Penal Code s 420
Saiful Hazmi (Deputy Public Prosecutor) (Attorney General's chambers) for the appellants.
Edmund Bon (Chooi & Co) for the respondent.



LAMPIRAN   A
ENAKMEN PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM 1986

(SEKSYEN 107 (2) )
BON JAMINAN UNTUK HADIR MAHKAMAH

No. .............................
No. Laporan ..............................

Saya ..................................... No. Kad Pengenalan ........................... yang duduk di ............................ yang kena tuduh dengan kesalahan .................................... di bawah seksyen ............................... dengan ini mengikrar diri saya sendiri untuk hadir di hadapan Mahkamah Tinggi Syar'iah / Rendah Syar'iah ................................ pada pukul ............... pada .............. haribulan ............. akan datang ini pada menjawab tuduhan yang tersebut itu, dan akan terus hadir sehingga Mahkamah itu memberi perintah yang lain dan sekiranya saya mungkir berbuat demikian maka saya mengikat diri saya bahawa wang saya sebanyak $ .............. akan menjadi rampasan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan.

Tarikh : H/M ........................

No. resit .........................
............................................
Pegawai Penguatkuasa Syar'iah/
Pegawai Polis
..............................
Tandatangan Orang
yang Kena Tuduh

Saya / kami (1) ......................................... No. Kad Pengenalan ............................. alamat ............................. (2) ................................... No. Kad Pengenalan ............................... alamat .............................. dengan ini mengisytiharkan diri saya / bersama-sama dan masing-masing kami dan tiap-tiap seorang dari kami, sebagai penjamin / penjamin-penjamin bagi .................................. yang tersebut bahawa ia akan hadiri di hadapan Mahkamah Tinggi Syar'iah / Rendah Syar'iah ................................. pada jam dan hari tersebut di atas untuk menjawab tuduhan terhadapnya dan akan terus hadir sehingga Mahkamah itu memberi perintah yang lain, dan sekiranya ia mungkir berbuat demikian maka dengan ini saya / kami bersama-sama dan masing-masing mengikat diri akan membiayai wang sebanyak $ ................. sebagai rampasan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan.

Tarikh: H/M ............................
Tandatangan penjamin
(1)
................................................
atau penjamin-penjamin
(2)
................................................
........................................
Pegawai Penguatkuasa Syar'iah
Pegawai Polis
Bertarikh 15 Oktober 1989.
[MB. TR. (S) 6 / 60 Bhg. 8; PUN. TR. (S) 142/2]
Dengan Titah Perintah,
DATO' SERI AMAR DIRAJA,
Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad,
Menteri Besar,
Terenggan
                    






[1] garis panduan tentang kehendakkan seseorang penjamin
oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam brosur Mahkamah siri 4 .
[2] garis panduan tentang kehendakkan seseorang penjamin
oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam brosur Mahkamah siri 4 .
[3] garis panduan tentang kehendakkan seseorang penjamin                                                                                                                                   
oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam brosur Mahkamah siri 4 .
[4] garis panduan tentang kehendakkan seseorang penjamin
oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam brosur Mahkamah siri 4 .
[5] S.23 Akta prosedur jenayah Syariah wilayah persekutuan 1997.
[6] Pendakwaan Jenayah mahkamah rendah , Teo Seng Eng;ms 25/KTJ s173(c)
[7] Pendakwaan Jenayah di dalam Mahkamah Rendah , Teo Seng Eng ms;27
[8] Pendakwaan jenayah di dalam Mahkamah Rendah; Teo Seng eng ; m/s;28 bab 1.
[9] garis panduan tentang kehendakkan seseorang penjamin telah dinyatakan oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam brosur Mahkamah siri 4
[10] kanun prosedur jenayah akta593 ms;206 s .403
[11] Pendakwaan Jenayah mahkamah rendah , Teo Seng Eng/ms29./phang yong fook vs PP(1988)1 MLJ 267.
[12] Akta prosedur jenayah syaria 1997 .s.199.
[13] Kanun Prosedur Jenayah s.404 ,perlucutan hak bon , ms;206
[14] [ Khoor Hong Guan & Anor v R [1950]MLJ220;.]
[15] [sarkar on Criminal Prosedur ( Edisi ke-7)m/s 1318.]
[16] [Tanggungjawab bailor dalam  Datuk haji Harun bin Idris & Ors v PP Federal Courts Criminal Apeeals Nos 19 of 1976 and 11 of 1977 [1978]1 MLJ cliii.
Catat Ulasan