DONATE

Ahad, 13 Mac 2016

POLIGAMI DARI SUDUT PROSEDUR DAN AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984: TUMPUAN DI WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN




Oleh: Ahmad Mahir bin Zanial


PENDAHULUAN


1.0       PENGENALAN 

Poligami dari sudut bahasa adalah menghimpunkan berbilang isteri dalam satu masa. Mengikut kamus dewan, poligami bererti amalan beristeri lebih daripada seorang pada masa yang sama. Dalam bahasa arab, poligami disebut Ta'addad al zawjat. Asal perkataan ta'addad bererti bilangan, manakala perkataan al zawjat diambil daripada perkataan al zawjah yang bererti isteri. Dua perkataan tersebut apabila digabungkan membawa erti isteri yang banyak atau berbilang-bilang. Maka poligami bolehlah dimaksudkan sebagai berkahwin lebih daripada seorang iaitu lawan kepada perkataan monogami yang membawa erti berkahwin dengan seorang wanita sahaja. Ia juga berlawanan dengan perkataan poliandri iaitu amalan bersuami lebih daripada seorang dalam satu-satu masa.

2.0       PENGAMALAN POLIGAMI DI MALAYSIA


Sebagaimana kebanyakan Negara-negara Islam yang lain, Malaysia tidak mengambil keputusan unutuk mengharamkan amalan poligami di kalangan masyarakatnya melalui penguatkuasaan undang-undang. Sebaliknya Malaysia menggubal undang-undang poligami bertujuan untuk mengawal amalan tersebut agar tidak berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini mengakibatkan amalan poligami menjadi tidak betul. Poligami bukanlah sesuatu yang asing di kalangan masyarakat Melayu Islam di Malaysia. Walaupun pengamal poligami tidak begitu ramai jika dibandingkan dengan jumlah perkahwinan, namun poligami sering menjadi perbahasan dan perdebatan. Bahkan kebanyakan wanita pada hari ini enggan ‘berkongsi suami’ menyebabkan poligami kurang direalisasikan.

Berdasarkan kiraan statistik menunjukkan bahawa negeri-negeri di Malaysia yang bersempadan dengan negara-negara jiran lain seperti Thailand dan Singapura mempunyai jumlah poligami yang tinggi. Sebagai contoh Kelantan, Kedah, dan Johor mempunyai jumlah yang tinggi berbanding dengan negeri-negeri yang lain. Walaubagaimanapun Terengganu yang tidak bersempadan dengan Negara lain juga mempunyai kadar yang tinggi. Di samping itu kajian yang dibuat menunjukkan bahawa pengurangan negeri-negeri lain tersebut bukanlah kerana pihak hakim yang menyekat daripada berpoligami, tetapi kerana kurangnya individu yang dapat melengkapi syarat-syarat yang dikehendaki oleh pihak mahkamah, kerana itu terdapt hampir separuh daripada permohonan berpoligami ditolak kerana pemohon tidak dapat memenuhi syarat-syarat berpoligami. Jadual 2 menunjukkan bilangan kes poligami yang ditolak oleh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Labuan. Kadar permohonan yang gagal adalah rendah jika dibandingkan dengan kadar permohonan yang diluluskan. Ini bermakna peluang bagi permohonan poligami ditolak adalah tipis.

Jadual 2: Bilangan kes Poligami yang ditolak oleh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Labuan (2006-2011)

JENIS KES
2006
2007
2008
2009
2010
2011
Yang Diluluskan
1
6
6
3
8
8
Tidak Berkemampuan
-
1
1
1
3
-
Tolak Permohonan
-
1
1
2
3
-
Dibatalkan
1
-
-
1
2
2
Pemohon Tarik Balik
-
-
1
2
-
1

Tiada Keputusan
-
-
-
-
-
1
(Dalam Prosiding)
Jumlah Pendaftaran
2
7
8
8
13
12

Sumber: Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Labuan

2.1       Syarat-Syarat Pengamalan Poligami Di Malaysia

Undang-undang Poligami yang diterima pakai sekarang mempunyai persamaan dengan Undang-undang yang diadaptasi di Pakistan. Seksyen 23(1)-(8) Akta Undang-undang Keluarga Islam ( Wilayah Persekutuan) 1984 (selepas ini dirujuk sebagai AUKIWP), mengandungi peruntukan-peruntukan khusus berkaitan poligami. Selain Kelantan, Terengganu, Perlis dan Perak, peruntukan seumpama ini juga diterima pakai oleh semua negeri-negeri di Malaysia. Oleh itu kebanyakan negeri mempunyai peruntukan jelas berkaitan keperluan pemohon mendapatkan kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah untuk berpoligami, contoh yang paling jelas ialah seksyen 23(1) AUKIWP 1984.

Dalam Seksyen 23(1), AUKIWP 1984 memperuntukkan dengan jelas tentang perkara ini. Campur tangan Mahkamah Syariah dalam memberi kebenaran berpoligami dibuat kerana masyarakat sendiri yang gagal untuk menjaga kebaikan poligami sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. Sekiranya perkahwinan poligami ini dibuat tanpa mendapat kebenaran daripada Mahkamah, maka dia akan dikenakan denda tidak melebihi RM 1000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
   
Bahkan seseorang isteri mempunyai hak untuk menuntut fasakh perkahwinannya jika terbukti suaminya berlaku tidak adil dalam perkahwinan poligaminya. Manakala dari segi pelaksananan dalam menguatkuasakan undang-undang tersebut, terdapat perbezaan antara satu negeri dengan negeri yang lain. Umpamanya Kelantan tidak memperuntukkan supaya suami yang ingin berpoligami perlu mendapat keizinan daripada isteri yang sedia ada. Pihak yang berkuasa berhujah bahawa syarat meminta keizinan daripada isteri yang sedia ada sebelum berpoligami bukan daripada Hukum Syarak.
   
Pandangan ini sebenarnya mengundang banyak masalah. Ini kerana perkara-perkara seperti memohon kebenaran mahkamah untuk berpoligami serta pendaftarannya juga tidak pernah disebut dalam al-Quran. Jadi sekiranya memohon keizinan daripada isteri-isteri mungkin ada kebaikannya. Malah ia jelas tidak bertentangan dengan hukum Syarak. Ini kerana tujuan diadakan peraturan-peraturan sedemikian adalah untuk mencari cara yang terbaik bagi mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penganiayaan melalui amalan poligami. Manakala di negeri lain pula, keizinan isteri sedia ada adalah perlu. Ketidakseragaman ini menyebabkan mereka yang ingin berpoligami akan lari ke tempat lain yang membenarkan poligami tanpa sebarang halangan.

Mahkamah berfungsi untuk menentukan apakah seorang suami mampu untuk mempunyai isteri lebih daripada seorang. Ini bertujuan untuk mempunyai isteri lebih daripada seorang. Ini bertujuan untuk menjaga kemaslahatan diri wanita dan memastikan bahawa perkahwinan poligami tersebut berlaku dalam kedaan yang adil dan sempurna. Peranan mahkamah hendaklah dilihat bukan sebagai penghalang kepada poligami tetapi sebagai kawalan terhadap amalan tersebut. Mahkamah perlu menjalankan penyiasatan terperinci sama ada suami mampu dari sudut kewangan dan mampu berlaku adil terhadap kedua-dua isteri dan anak-anaknya.

Kajian menunjukkan bahawa peruntukan mengenai poligami antara negeri-negeri tidak seragam. Ini dapat dilihat umpamanya negeri-negeri seperti Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Johor, Sarawak, Perlis dan Sabah telah memperuntukkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh Mahkamah Syariah sebelum sesuatu permohonan poligami diluluskan. Seksyen 23(3) Akta 1984, umpamanya telah memperuntukkan bahawa:
"Permohonan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu akuan menyatakan alasan-alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu patut dan perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan dn tanggungan kewangannya yang patut ditentukan, bilangan orang tanggungannya, temasuk orang-orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu, dan samada izin atau pandangan isteri atau isteri-isterinyan yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwinan yang dicadangkan itu"

Subseksyen 3 ini memberi gambaran sebenar di dalam borang permohonan poligami. Sesiapa sahaja yang membuat permohonan poligami mesti melengkapkan borang tersebut dengan maklumat-maklumat yang dikehendaki sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 23(3) ini. Umpamanya di dalam borang permohonan poligami di Wilayah Persekutuan, seorang pemohon dikehendaki memberi maklumat antara lainnya:
    -Maklumat peribadi pemohon dan bakal isteri yang akan dikahwininya.
    -Alasan-alasan mengapa perkahwinan poligami itu perlu
    -Latar belakang kewangan suami.
    -Tanggungan kewangan yang diberikan kepada isteri dan anak-anak yang sedia
ada dan juga bakal isteri, dan
   -Sama ada cadangan pernikahan poligami itu telah mendapat persetujuan daripada
isteri yang sedia ada.

Mengikut kajian yang dijalankan, lelaki yang berusia antara 20 hingga 30 tahun mencatatkan peratusan yang kecil untuk permohonan poligami. Bagi suami yang berusia antara 20 hingga 30 tahun, mereka masih lagi dalam usaha untuk membina rumahtangga yang baru bermula dan mungkin tiada masa memikir untuk menambah isteri baru. Kajian yang sama menunjukkan status pekerjaan ialah faktor yang diambil kira untuk seseorang memohon kebenaran untuk berpoligami. Sebagai contoh, kebanyakan pemohon adalah di kalangan mereka yang terlibat dalam sektor pengurusan dan profesionalnya yang rata-ratanya berpendapatan RM3000 ke atas. Terdapat juga keadaan apabila pemohon berpendapatan kurang daripada RM 2000 diberi kebenaran berpoligami kerana kos sara diri yang agak rendah di sesetengah negeri.

Secara ringkasnya, dapatlah disimpulkan daripada perbincangan di atas bahawa kebanyakan pemohon yang dibenarkan berpoligami ialah mereka yang berkemampuan untuk berlaku adil kepada pihak-pihak yang dikahwini dari segi material dan fizikal. Pendapatan yang agak kecil mungkin akan menyebabkan kesukaran untuk menanggung lebih daripada dua buah keluarga terutama di Bandar-bandar yang besar seperti Shah Alam dan Kuala Lumpur .

Walau bagaimanapun, kita mesti mengambil kira faktor dengan keadaan seseorang lelaki yang berkahwin di luar negara kerana menyedari kemungkinan besar bahawa permohonan untuk berpoligami mereka ditolak ekoran ketidak mampuan mereka dari perspektif Undang-undang. Ini disokong oleh data yang menunjukkan banyakknya perkahwinan yang dilakukan di Selatan Thailand dan di Medan Indonesia.


3.0       PROSEDUR PERMOHONAN POLIGAMI

Bagi lelaki yang ingin berpoligami, kebanyakan negeri mensyaratkan mereka membuat permohonan dan terdapat negeri-negeri tertentu dengan mahkamah akan mengeluarkan surat saman kepada isteri untuk hadir ke mahkamah bagi mendengar permohonan tersebut. Ini diperuntukkan dalam seksyen 23 (4)Akta 1984:

"Apabila menerima permohonan itu, mahkamah hendaklah memanggil pemohon dan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada supaya hadir apabila permohonan itu didengar, yang hendaklah dilakukan dalam mahkamah tertutup"

Ini bermakna, sesiapa sahaja yang membuat permohonan poligami melalui mahkamah di negeri-negeri tersebut, dengan sendirinya isteri atau isteri yang sedia ada akan mengetahuinya apabila mahkamah mengeluarkan surat saman tersebut sekalipun tidak diberitahu hasrat suami itu terlebih dahulu. Surat saman ini dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah kepada isteri sebagai langkah untuk memaklumkan bahawa suaminya ingin berpoligami.

Soal untuk mendapat tandatangan isteri untuk berpoligami tidak disebut dalam Undang-undang Keluarga Islam. Sebaliknya apa yang perlu ialah pengakuan daripada suami dibuat dengan menyatakan samada isterinya bersetuju ataupun tidak dengan permohonan itu. Apabila segala-galanya telah lengkap dan isteri telah datang pada hari perbicaraan dalam mahkamah tertutup, maka mahkamah akan meluluskan permohonan sekiranya pemohon dapat memenuhi syarat sebagaimana yang terdapat dalam seksyen 23(4) (a) (b) (c) (d) dan (e) iaitu:

a)       
Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu memandangkan kepada antara lain hal-hal keadaan yang berikut iaitu kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk memulihkan hak-hak persetubuhan atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.
                  b)
Bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syarak. Semua isteri dan orang tanggungannya termasuk orang-orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu.
                        c)
Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan Dharar Syarie kepada isteri-isteri yang sedia ada.

d)
Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan merendahkan secara langsung atau secara tidak langsung taraf kehidupan yang telah dinikmati seterusnya oleh isteri atau isteri-isteri dan orang-orang tanggungan yang sedia ada sekiranya perkahwinan itu tidak berlaku.

Oleh sebab itu sekiranya mahkamah berpuas hati bahawa seseorang pemohon itu telah mematuhi syarat-syarat dalam seksyen 23(4), maka mahkamah akan meluluskan permohonannya sekalipun isterinya tidak bersetuju permohonan poligami suaminya itu. Sebaliknya mahkamah juga akan tetap menolak permohonan poligami sekiranya syarat-syarat dalam seksyen 23 (4) tidak dapat dipenuhi sekalipun isterinya bersetuju dengan rela hati. Ini menunjukkan bahawa kebenaran dan keengganan isteri untuk membenarkan poligami suaminya adalah tidak mengikat Mahkamah Syariah. Sebaliknya maklumat yang diberi oleh isteri adalah sebagai keterangan yang boleh digunakan oleh mahkamh untuk membantu mahkamah membuat keputusan meluluskan atau menolak satu-satu permohonan poligami.



4.0       CONTOH KES

Dalam kes Aishah bte Abdul Rauf lwn Wan Mohd Yusof bin Wan Othman Jawatankuasa Rayuan Mahkamah Syariah Selangor telah membenarkan rayuan pemohon dan membatalkan perintah memberi kebenaran poligami oleh Y.A Hakim Mahkamah Rendah Syariah. Jawatankuasa Rayuan telah memutuskan bahawa keempat-empat syarat yang diperuntukkan dalam seksyen 23(4), Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor (No.4/48), itu adalah sama pentingnya dan mestilah dibuktikan secara berasingan. Ini kerana Y.A Hakim hanya mengambil perhatian terhadap syarat (b) tetapi mengabaikan syarat-syarat (a), (c) dan (d) . Bagi jawatankuasa Rayuan, pemohon telah gagal membuktikan apakah perkahwinan poligaminya itu sesuatu yang patut dan perlu sebagaimana dalam syarat (a). Pengakuan juga dibuat oleh pemohon dengan mengatakan bahawa isteri yang sedia ada tidak mempunyai sebarang kecacatan fizikal yang boleh menghalang daripada perhubungan kelamin serta tidak pernah ingkar terhadap keperluan batin suami. Oleh sebab itu pemohon tidak mempunyai suatu alasan yang munasabah mengapa harus berpoligami. Bukan setakat itu sahaja, Jawatankuasa Rayuan tidak berpuas hati dengan hanya pengakuan dibuat oleh pemohon terhadap syarat-syarat (c) dan (d). Pembuktian terhadap syarat-syarat (c) dan (d) perlu kepada saksi-saksi yang akan memberi keterangan terhadap ketakwaan pemohon kepada Allah dan sesama manusia. Syarat-syarat yang diperuntukkan dalam seksyen 23(4) ini pada pendapat Jawatankuasa Rayuan bertujuan untuk memastikan keadilan antara isteri-isteri yang dituntut sebagai wajib oleh al-Quran. Jawatankuasa tersebut menjelaskan bahawa seksyen 23(4) bukanlah bertujuan untuk menghapuskan poligami tetapi memperuntukkan syarat-syarat yang membina dengan harapan keadilan bagi keluarga Islam dapat tercapai dengan lebih berkesan lagi.

Manakala dalam kes Rajamah lwn Abd Wahab, mahkamah memutuskan bahawa pihak suami mesti membuktikan bahawa beliau memenuhi segala syarat untuk berpoligami seperti yang telah diperuntukkan oleh Undang-undang. Walau bagaimanapun, dalam kes Joan Mary Sulaiman lwn Sulaiman, Isteri memohon fasakh berdasarkan faktor-faktor berikut:
1.      Pihak responden telah gagal untuk menyediakan nafkah kepada beliau selama setahun
2.      Pihak responden telah gagal untuk melaksanakan tanggungjawab rumah tangganya sebagai seorang suami selama setahun tanpa sebab yang kukuh dan
3.      Pihak responden mengamalkan poligami dan telah gagal untuk berlaku adil terhadap responden mengikut tuntutan Hukum Syarak.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah meluluskan permohonan fasakh atas sebab yang dikemukakan oleh pihak isteri. Kes ini jelas menunjukkan dalam perkahwinan poligami yang terdapat penganiayaan terhadap isteri, isteri mempunyai hak untuk meminta fasakh. Sekiranya apa yang dinyatakan itu dapat dibuktikan, mahkamah akan mengeluarkan perintah penceraian. 

Berikut adalah contoh kes dalam tuntutan poligami berdasarkan kepada keputusan Mahkamah Syariah (Mahkamah Rayuan Selangor No.5 Tahun 1990. Di dalam kes ini pihak pemohon (suami) telah membuat permohonan kepada Hakim Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam untuk mendapat kebenaran bertulis berpoligami. Hakim telah memberi kebenaran berpoligami atas alasan:

-Pemohon (suami) ada kemampuan memberi nafkah zahir dan batin.
-Pemohon takut dari melakukan zina atau maksiat dengan wanita yang bukan
isterinya.
-Pihak Responden (isteri) merasa terkilan lalu membuat rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan , Mahkamah Syariah.

Mahkamah Rayuan akhirnya telah meluluskan rayuan pihak isteri dan membatalkan perintah kebenaran berpoligami yang telah diberi oleh hakim Mahkamah Rendah Syariah atas alasan suami tidak memenuhi ke semua 4 syarat yang dinyatakan dalam seksyen 23 (5) AUKIS, iaitu:

  1. Poligami adalah patut dan perlu kerana keuzuran isteri dari sudut seksual dan fizikal
  2. Suami mampu memberi nafkah untuk semua tanggungan dan bakal tanggungannya.
  3. Suami berupaya memberi layanan yang adil kepada semua isterinya.
  4. Poligami tidak akan menyebabkan dharar syarie kepada isteri yang sedia ada.

    Hakim Mahkamah Rendah hanya menekankan syarat (b) tetapi mengabaikan syarat (a), (c) dan (d) sedangkan menurut pertimbangan jawatankuasa Rayuan kesemua syarat-syarat itu mesti dipenuhi. Di dalam perbicaraan, tiada keterangan yang memuaskan daripada pihak suami mengenai syarat (a), (c), (d)

            Syarat-syarat ini sebenarnya dibuat bagi memastikan keadilan beristeri yang dituntut sebagai satu kewajipan oleh al-Quran. Ia tidak bertujuan untuk menghapuskan poligami tetapi ia bertujuan untuk membina harapan keadilan bagi keluarga Islam agar dapat dicapai dengan lebih berkesan. Oleh itu dengan kegagalan suami memenuhi satu syarat sahaja pun telah memadai bagi Hakim untuk menolak permohonan suami berpoligami.

Bagaimanapun terdapat beberapa buah negeri iaitu Wilayah Persekutuan, Selangor dan Pulau Pinang yang telah membatalkan seksyen 23(4) (e) kerana berpendapat seksyen ini didapati bertentangan dengan Syarak. Manakala bagi negeri-negeri yang lain, syarat (e) ini masih tetap dikekalkan. Di samping itu, bagi negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Perak, peraturan poligaminya berbeza dengan negeri-negeri yang lain. Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di Kelantan, Terengganu dan Perak tidak meletakkan syarat-syarat untuk berpoligami seperti yang dinyatakan di atas. Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan 1983 Cuma menyatakan dalam seksyen 19 bahawa:

"Tidak boleh seorang lelaki mengahwini seorang wanita lain di mana-mna tempat dia masih berkahwin kecuali dia mendapat kebenaran bertulis dari Mahkamah Kadi"

Enakmen tersebut juga tidak menyatakan keadaan-keadaan yang membolehkan mahkamah samada untuk membenarkan atau menolak sebarang permohonan untuk berpoligami. Seksyen 21 Enakmen Pentadbiran Undang-undang Keluarga Islam Terengganu 1985 juga mengandungi peruntukan yang sama dengan Enakmen di Kelantan. Sementara itu, seksyen 21 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perak 1984 dilihat secara perbandingan sebagai peruntukan yang longgar dalam mengawal selia institusi poligami. Seksyen tersebut menyatakan:

"Tidak dibolehkan bagi seseorang lelaki ketika masih dalam perkahwinan, berkahwin lain tanpa mendapat kebenaran bertulis dari hakim dengan membuat pengakuan di depan hakim bahawa beliau akan berlaku adil kepada isteri-isterinya"

Apa yang dapat difahami daripada intipati seksyen di atas ialah, seorang suami hanya perlu membuat pengakuan di depan hakim bahawa beliau akan berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Walaubagaimanapun secara praktikalnya tidaklah sebegitu mudah. Hakim atau pendaftar akan menemuduga lelaki tersebut dan isterinya bagi menentukan samada dia mempunyai kemampuan untuk berpoligami atau tidak. Sekiranya didapati lelaki tersebut tidak berupaya dari segi kewangan untuk menyara seorang lagi isteri dan keluarga, hakim biasanya akan menolak permohonannya.

Walau bagaimanapun dalam sesetengah kes yang mana isteri pemohon bersetuju suaminya berkahwin lain, maka hakim biasanya akan membenarkannya meskipun suami tidak berkemampuan dari segi kewangan. Kajian menunjukkan wanita yang bakal dikahwini rata-ratanya merupakan mereka yang mempunyai pekerjaan. Lelaki yang ingin berpoligami lebih tertarik kepada wanita yang mempunyai pekerjaan kerana mereka tidak perlu lagi menyediakan perbelanjaan yang tinggi untuk isteri baru mereka

Ketiadaan sebarang peraturan bertulis mahupun peruntukan undang-undang yang jelas memaksa hakim untuk menggunakan budi bicaranya dalam menentukan kedudukan sesuatu isu. Perkara sebegini memungkinkan wujudnya ketidakadilan kepada sesetengah pihak terutamanya isteri dan anak-anak kerana suami mungkin lebih memberatkan isteri yang baru. Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan bakal isteri ialah mereka yang belum berkahwin sebelum ini. Peratusan wanita yang pernah berkahwin untuk menjadi isteri kedua atau ketiga adalah sedikit dalam kes-kes poligami.


Kebanyakan negeri-negeri di Malaysia memperuntukkan bahawa penalti yang dikenakan bagi kesalahan berpoligami di luar kebenaran mahkamah ialah denda tidak lebih daripada RM 1000 atau penjara tidak lebih daripada 6 bulan atau kedua-duanya sekali Bagaimanapun bagi negeri Kelantan, Poligami di luar kebenaran mahkamah hanya dikenakan penalti yang paling rendah jika dibandingkan dengan negeri-negeri yang lain iaitu denda tidak lebih daripda RM300 atau penjara tidak lebih daripada satu bulan atau kedua-duanya. Manakala bagi negeri Kedah pula, penalti yang dikenakan ialah denda tidak lebih daripada RM 500 dan apa-apa pampasan yang masih terhutang. Bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak penalti yang dikenakan adalah agak tinggi iaitu denda tidak melebihi daripada RM 3000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya sekali. Bagaimanapun, Melaka tidak mengenakan sebarang penalti bagi mereka yang berpoligami di luar kebenaran mahkamah. Ini bermakna poligami di luar kebenaran mahkamah bukanlah suatu kesalahan di negeri Melaka.

Poligami di luar kebenaran mahkamah akan mengakibatkan perkahwinan tersebut tidak boleh didaftarkan . Seksyen 12 Akta Undang-undang Keluarga Islam memperuntukkan bahawa:
"Sesuatu perkahwinan yang bersalahan dengan Akta ini tidak boleh didaftarkan di bawah Akta ini"

Memandangkan poligami di luar kebenaran mahkamah adalah suatu kesalahan matrimoni yang melanggar seksyen 123 Akta 1984, maka sesiapa sahaja yang berpoligami tanpa mendapat kebenaran mahkamah terlebih dahulu, perkahwinannya tidak akan didaftarkan sekalipun perkahwinan itu adalah sah di sisi syarak. Kesannya ialah, sebarang tuntutan seperti nafkah di bawah Undang-undang berkenaan tidak dibenarkan. Ini kerana perkahwinan tersebut tidak sah di sisi undang-undang keluarga di Malaysia.
Peruntukan sedemikian telah menimbulkan masalah kepada isteri dan anak-anak daripada perkahwinan poligami yang tidak didaftarkan. Maka atas desakan masyarakat, peruntukan mengenai perkara tersebut telah dipinda. Pindaan yang dimaksudkan itu ialah perkahwinan poligami tanpa kebenaran mahkamah dibenarkan untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut tetapi tertakluk kepada penalti yang ditetapkan. Ini bermakna sebelum perkahwinan poligami tersebut didaftarkan, seseorang itu akan dikenakan penalti atas kesalahan berpoligami di luar kebenaran mahkamah. Negeri yang pertama sekali meminda peraturan tersebut ialah Kelantan iaitu pada tahun 1991, Wilayah Persekutuan dan Pulau pinang pada tahun 1994.

Manakala di Negeri-negeri lain seperti Melaka, Kedah, Perak, Pahang, Johor dan Sabah, pendaftaran tidak dibenarkan sekalipun mereka telah membayar penalti atas kesalahan berpoligami di luar kebenaran mahkamah. Bagi negeri Sarawak dan Perlis, penggubalan undang-undang terus memasukkan peruntukan untuk membenarkan pendaftaran kerana kedua-dua negeri ini mula menguatkuasakan Undang-undang di sekitar tahun 90-an. Bagaimanapun bagi negeri Terengganu, tidak disebut samada dibenarkan pendaftaran atau tidak.

Selain kesalahan ini, Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia juga mengenakan penalti ke atas suami yang tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Negeri Kedah telah mengenakan penalti yang paling rendah iaitu denda tidak melebihi daripada RM300 atau penjara tidak lebih daripada dua bulan atau kedua-duanya sekali. Manakala bagi negeri Kelantan, penaltinya ialah denda tidak melebihi RM 500 atau penjara tidak lebih daripada empat bulan atau kedua-duanya sekali. Penalti bagi kesalahan tidak berlaku adil kepada isteri-isteri adalah lebih berat sedikit daripada kesalahan berpoligami di luar kebenaran mahkamah bagi negeri Kelantan.

Undang-undang Keluarga Islam juga memberi hak kepada seseorang isteri untuk membubarkan perkahwinannya melalui fasakh. Bagaimanapun tidak semua negeri memperuntukkan secara jelas dan nyata bahawa seseorang isteri boleh menuntut fasakh atas alasan suami tidak berlaku adil antara isteri-isterinya. Hanya negeri-negeri seperti Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu, Johor, Sarawak, perlis dan Sabah telah memperuntukkan salah satu daripada alasan yang membolehkan fasakh ialah:

"Jika ia mempunyai lebih daripada seorang isteri, dia tidak melayani isteri berkenaan secara adil mengikut kehendak hukum Syarak"

Bagaimanapun bagi negeri-negeri seperti Kelantan, Melaka, Perak dan Pahang menerima pakai suatu peruntukan umum yang boleh digunakan bagi maksud ketidakadilan antara isteri-isteri iaitu:

"Apa-apa alasan lain yang diiktiraf sah bagi membubarkan atau bagi fasakh mengikut Hukum Syarak"



5.0       PENALTI POLIGAMI TANPA KEBENARAN

Adalah satu kesalahan bagi seseorang lelaki jika berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah Syariah. Penalti yang boleh dikenakan adalah berdasarkan kepada peruntukan seksyen 123 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, iaitu:
        -Denda tidak melebihi RM 1000 ATAU
        -Penjara tidk melebihi 6 bulan ATAU
        -Kedua-dua denda dan penjara.
Penalti ke atas lelaki berpoligami yang tidak mengikut Akta ataupun Enakmen sepertimana yang telah ditetapkan oleh negeri Selangor ialah di mana seseorang lelaki yang berpoligami tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada mahkamah boleh dihukum denda tidak lebih RM 1000 atau hukuman penjara tidak melebihi tempoh 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Selain itu, perkahwinan tersebut tidak boleh didaftarkan. Lelaki itu juga akan dikehendaki membayar dengan serta merta jumlah mas kahwin dan pemberian yang perlu dibayar kepada isteri atau isteri-isterinya.
   
Manakala penalti ke atas suami yang melanggar syarat dalam keizinan poligami (tidak berlaku adil) bagi negeri Selangor ialah di mana seseorang lelaki yang tidak memberi keadilan sewajarnya kepada isterinya mengikut hukum syarak adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM 1000 atau penjara dengan tidak melebihi tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagi penalti kepada kesalahan membuat sumpah atau maklumat palsu dalam mendapatkan kebenaran berkahwin di negeri Selangor ialah di mana seseorang yang dengan sengaja membuat sesuatu akuan atau penyataan yang palsu adalah melakukan kesalahan dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM1000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagi suami yang tidak adil boleh menjadi alasan untuk isteri memohon fasakh (pembubaran perkahwinan ) di Mahkamah Syariah. Di Selangor adalah seperti berikut:
""…..Jika ia mempunyai isteri lebih daripada seorang, ia tidak melayani isteri berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak hukum syarak…"
Kesalahan ini juga turut tertakluk kepada beberapa lagi kesalahan lain berkaitan dengan tatacara perkahwinan yang ditetapkan oleh akta di atas.


6.0       KESIMPULAN

Polemik poligami di Malaysia berpunca daripada ketidakfahaman masyarakat tentang konsep dan falsafah poligami sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. Bahkan di dalam media massa seperti rancangan drama di televisyen, bual bicara, dan dokumentari banyak menonjolkan poligami sebagai suatu yang sinis dan kurang diterima oleh masyarakat khususnya kaum hawa. Hal ini jelas apabila kita sering melihat kebanyakan rancangan di televisyen tatkala membicarakan pasal poligami, mereka hanya mengutarakan hal “berkongsi kasih” dan “ketidak adilan suami yang berpoligami”. Seharusnya peranan media massa perlu diperbaiki di mana perlu melihat kebaikan daripada prinsip poligami yang dianjurkan Islam.

Namun penulis tidak pernah menolak bahawa sememangnya wujud apa yang berlaku di Malyasia adalah pengamal poligami kebanyakannya tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh al-Quran dan Hadis serta apa yang diperuntukkan dalam Undang-undang Keluarga Islam. Atas sebab-sebab untuk berpoligami yang kadangkala tidak munasabah menyebabkan ramai yang cuba mempersoalkan poligami. Punca konflik poligami samada di Malaysia mahupun di mana-mana jua sebenarnya bertolak dari penghayatan tentang amalan keadilan dalam berpoligami. Ketidakfahaman tentang konsep keadilan dalam berpoligami dan juga keengganan suami untuk berlaku adil menyebabkan konflik poligami ini berlarutan sehingga menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat.

Apa yang pasti terdapat pengakuan yang dibuat oleh Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) bahawa mereka tidak menyekat dan menentang poligami sebaliknya mahukan pentadbiran berhubung dengan soal poligami tidak disalahgunakan. Ini diakui sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdul Hamid Othman pada masa itu bahawa "Penolakan oleh pertubuhan wanita sekarang bukanlah terhadap Hukum Syarak tetapi cara pelaksanaannya yang meliputi soal keadilan dan kebajikan isteri dan anak-anak". Kerana itu, selagi berlaku penyelewengan dan kezaliman akibat dari berpoligami, maka selagi itulah isu ini tidak akan habis dibincangkan. Keadaan ini agak berbeza dengan pandangan yang mengatakan bahawa isu poligami di Malaysia ialah isu remeh-temeh. Dan yang pastinya, kezaliman daripada berpoligami bukanlah kerana sistem tersebut tetapi kerana masyarakat yang gagal untuk menghayatinya.

Daripada perbincangan di atas jelas menunjukkan bahawa undang-undang dan penguatkuasaannya walau bagaimana cekap sekalipun tidak akan dapat menjawab pelbagai persoalan tentang penyalahgunaan poligami. Pendidikan sering dikatakan sebagai salah satu cara penyelesaian kepada masalah tersebut. Tetapi setakat ini tidak ada sebarang bukti yang kukuh yang menyokong kenyataan tersebut. Pemahaman mengenai poligami perlu diterapkan kepada masyarakat sebagai cara mengatasi masalah ibu tunggal tidak mendapat pembelaan dan penjagaan. Begitu juga dengan poligami juga dilihat mampu mengurangkan kadar wanita berusia yang masih belum berkahwin.


-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 Ragam Kehidupan Masyarakat di dalam Memohon Kebenaran Poligami

1)
Soalan :
ada persoalan yang sekian lama tak dirungkai ni..
kiranya kalau suami tidak mendapat keizinan daripada isteri pertama, dia kira telah melanggar undang-undang dan wajar dihukum. Kemudian, si suami telah menikah secara sembunyi di Perlis tanpa memberitahu isteri pertama. kemudian isteri pertama mengadu kepada pihak majlis agama islam negeri tetapi tentang perkara ini kepada pihak yang berkenaan. Malangnya, isteri pertama tidak mendapat hak sepenuhnya daripada pihak berkenaan oleh sebab pihak berkenaan bersubahat sama dengan isteri kedua (yang belum didaftarkan nikahnya di majlis agama islam negeri).lebih malang, isteri pertama tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada pihak berkenaan.
jadi, saya ingin bertanya, apakah status pernikahan suami itu tetap sah tanpa adanya persetujuaan daripada isteri pertama. keduanya, apakah hak isteri pertama apabila terang lagi nyata suami tidak mendapatkan persetujuaan daripadanya untuk berkahwin walhal beliau berhak tau. ketiga, apakah pihak berkenaan boleh disaman/diadukan kepada pihak atasan atas salah laku beliau di dalam kes ini kerana bersubahat dengan isteri kedua untuk merahsiakan perkara ini dan sekaligus isteri pertama tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
harap tuan boleh merungkai permasalahan ini. terima kasih.

Jawapan:
 Salam, Saudara
Persoalan saudara amat baik dan ianya relevan dari dulu, kini dan mungkin juga masa-masa akan datang. Hal sedemikian diakui sering terjadi dalam masyarakat kita dari dulu lagi. Persoalan tersebut memerlukan penjelasan panjang kerana ia melibatkan hukum syarak dan undang-undang. Namun, secara ringkasnya untuk persoalan pertama begini: Kesahihan suatu perkahwinan secara berpoligami untuk kedua, ketiga atau keempat tidak akan terjejas tanpa persetujuan dari isteri yang sedia ada. Apa yang penting adalah rukun2 pernikahan yang ditetapkan oleh Syarak dipenuhi.
Dengan kata lain, persetujuan isteri sedia ada bukanlah satu syarat kepada sahnya suatu pernikahan itu. Malah, persetujuan isteri untuk suaminya berpoligami juga bukanlah ASET paling bernilai untuk suami berpoligami. Ada ketikanya Mahkammah tidak memberi kebenaran berpoligami untuk suami walaupun isteri telah memberi persetujuannya kerana suami tidak punya kemampuan atau keupayaan di sisi syarak untuk berpoligami. Maknanya, ketika itu, andaikata suami berpoligami juga, dikuatiri bahawa suami, isteri, anak-anak dan bakal isteri akan berhadapan dengan mudarat besar seperti ketiadaan atau kekurangan nafkah dan lain2 lagi yg berkaitan.
Keduanya, jika suami didapati berkahwin berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah Syariah, si isteri atau mana-mana pihak berkepentingan mempunyai hak untuk mengadukan hal tersebut kepada Pegawai Penguatkuasa dan Penyiasatan Agama (PPA) di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam. Setelah aduan diterima, PPA akan membuat siasatan dan akan memanggil suami dan sesiapa sahaja orang yang boleh membantu siasatan. Jika berpuashati ada kesalahan yang telah dilakukan dan punya bukti kukuh, baharulah suami akan didakwa atas tuduhan berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah oleh Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam.
Menurut undang-undang Keluarga yang ada, pernikahan berpoligami tanpa kebenaran dari Mahkamah tidak boleh didaftarkan di bahagian Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama selagi mereka tidak dihadapkan ke Mahkamah. Bukan sahaja pasangan tersebut berhadapan dengan siasatan awal samada pernikahan mereka sah atau tidak, suami juga akan berhadapan kes jenayah syariah di Mahkamah. Sijil nikah tidak akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama melainkan semua proses perundangan telah dipatuhi.
Ketiganya: isu bersubahat dalam hal ini agak subjektif kerana ia melibatkan institusi agama. Boleh jadi pihak berkuasa agama juga ditipu atau diberikan butiran palsu oleh suami ketika hendak berkahwin baru. Boleh jadi suami mengemukakan suatu perakuan bujang ketika mengemukakan borang berkahwin. Siapa tahu?.. Dalam hal ini, si isteri berhak mendapatkan butiran lanjut dari Jabatan Agama berkaitan yang mengeluarkan sijil perkahwinan tersebut (Jika telah dikeluarkan) untuk mendapatkan gambaran sebenar.
Sesiapa jua yang tidak berpuashati dengan perjalanan suatu urusan pentadbiran kerajaan, mereka boleh membuat aduan kepada BIRO PENGADUAN AWAM yang terdapat di negeri berkenaan. Soal menyaman mana-mana pihak di Mahkamah, hal tersebut adalah hak individu. Sesiapapun berhak di sisi undang-undang untuk mengambil tindakan undang-undang tetapi harus dipastikan samada individu tersebut mempunyai asas yang kukuh untuk mengambil tindakan sedemikian. Jika hendak mengambil tindakan undang-undang, sebaiknya mendapatkan nasihat dari peguam berkaitan terlebih dahulu.
Harus diingat juga bahawa mengambil tindakan undang-undang di mahkamah lazimnya akan melalui proses yang agak komplikated seperti menghantar notis tuntutan (Notice of Demand), menfailkan saman, menyampaikan saman, memasukkan penyata pembelaan, sebutan, perbicaraan, hujahan, dan seterusnya penghakiman. Selepas penghakiman pula, timbul lagi proses untuk menguatkuasakan suatu penghakiman atau enforcement and execution of court’s order.
Seperkara lagi, andai pihak defendan atau pihak yang disaman (dituntut) tidak berpuashati dengan penghakiman mahkamah, ia berhak pula untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah yg lebih tinggi. Proses ini melibatkan kos dan masa yang agak panjang. Namun, tidak dinafikan bahawa suatu kes itu boleh diselesaikan dengan cepat sekiranya ada penyelesaian luar mahkamah (out of court settlement) di antara pihak-pihak yg bertikai. Penyelesaian tersebut boleh dicapai atas persetujuan pihak-pihak dan selepas itu, butiran persetujuan boleh dikemukakan kepada Mahkamah untuk direkodkan serta dijadikan sebagai Perintah atau Penghakiman Atas Persetujuan Bersama (Consent Judgment).
Semoga saudara mendapat manfaat dari sedikit penjelasan yang SAYA nyatakan dalam ruangan ini.
Wallahu a’lam
Terimakasih

2)
Soalan:
salam….
sya nak tau sekiranya sorg suami itu telah mendapat kebenaran dari isteri pertama untuk menikah lagi,isteri pertama telah m’izinkannya, dan borang poligami telah di isi dan d hantar ke kaunter dan tggu untuk hari perbicaraan tetapi bakal isteri ke-2 telah b’ubah fikiran ntuk tidak bernikah,atas sebab2 yang tertentu apakah tindakan yang akan di ambil oleh mahkamah dalam hal ni?? ada kah suami itu akan di ambil tindakan ataupun pada bakal isteri ke-2 tu??

Jawapan:
Walaykum salam wbt.
Persoalan dari saudari/puan Fiena amat menarik. Dalam kes permohonan kebenaran berpoligami, persetujuan dari isteri pertama tidak semestinya menjadi asas yang kukuh bagi mahkamah untuk meluluskan permohonan si suami. Terdapat juga kes di mana mahkamah menolak permohonan suami untuk diberi kebenaran berpoligami walaupun isteri yang sedia ada telah memberi persetujuannya di mahkamah. Ini kerana, suami tersebut tidak berkelayan untuk berpoligami. Andai berpoligami, nescaya mudarat lebih besar yang akan berlaku bukan saja di pihak suami, tetapi juga pada isteri sedia ada, bakal isteri dan anak-anak. Pelbagai lagi faktor dan keadaan yang perlu diambil kira oleh mahkamah.
Andai bakal isteri kedua menarik diri untuk meneruskan hasrat untuk berkahwin dengan lelaki tersebut, tidak ada apa-apa tindakan perundangan yang akan dikenakan ke atas suami, isteri sedia ada mahupun bakal isteri kedua. Kes tersebut boleh ditarik balik dan kes akan ditutup. Si suami tidak terhalang untuk menfailkan permohonan baru pada masa hadapan andai berhasrat untuk berpoligami. Namun, bakal isteri mestilah seorang yang telah ditentukan orangnya memandangkan undang-undang yang sedang berkuatkuasa menghendaki bukan sahaja isteri sedia ada dipanggil ke Mahkamah, malah bakal isteri dan juga wali kepada bakal isteri juga.
Semoga persoalan saudari Fiena terungkai dengan jawapan ini. Terimakasih.
Wassalam

3)
Soalan:
 Assalamualaikum…
Saya bertanya mengenai suami. Kami telah bernikah, tiba2 saya mengetahui yg suami saya sudah berkahwin sedangkan saya tidak tahu yg suami saya sudah berkahwin. Saya ditipu oleh suami saya dan isterinya baru tahu y suaminya baru bernikah. Kami sama2 kena tipu olehnya. JIka saya buat laporan pada pejabat agama apakah tindakan pada suami saya. Kalau boleh saya tidak mahu orang tua saya tahu hal ini.

Jawapan:
 Walaykum salam wbt.
Situasi yang berlaku ke atas Puan Sue memang berat bagi seorang isteri. Ia juga berlaku pada kebanyakan kaum wanita. Mereka telah tertipu oleh kata-kata manis seorang lelaki. si Lelaki sanggup berbohong mengatakan bahawa ia masih single, belum pernah kahwin, belum pernah bercinta dan berbagai lagi kata-kata manis dan meyakinkan teman wanitanya. Sampai ada kalanya, si lelaki sanggup bersumpah menggunakan kalimah Allah untuk meyakinkan bahawa ia masih bujang.
Yang penting baginya, ia dapat kahwin dengan buah hatinya. Yang penting cita-citanya tercapai. Soal isteri dan anak-anak di rumah ada makan atau tidak, semuanya tidak lagi menjadi penting. Yang penting ketika itu ialah, mendapatkan sekeping hati atas dasar cinta dan sayang kepada kekasihnya. Dengan pujuk rayu dan kata-kata sumpah, akhirnya teman wanita layu, kendur dan longlai. Akhirnya, kepercayaan seratus peratus pada kata-kata teman lelakinya kini berada dalam hati dan sanubarinya. Tiada ragu-ragu! Ia memang bujang!
Namun, bagi kes Puan Sue, ada dua kemungkinan yang SAYA boleh jangkakan. Pertamanya, samada perkahwinan Puan Sue dengan Suaminya telah melalui proses undang-undang seperti membuat permohonan kebenaran kahwin dari Jabatan Agama Islam Negeri. Keduanya, samada perkahwinan Puan Sue tidak melalu Jabatan Agama Islam tetapi melalui orang-orang tertentu atau lebih dikenali sendikit. Jika tidak melalui jabatan agama, lazimnya ia melibatkan jurunikah tak bertauliah.
Satu hal yang memeritkan bagi Puan Sue ialah, ia rupanya bukanlah isteri pertama, tetapi isteri kedua. Ini kerana, akhirnya tembelang suami akhirnya terkeluar juga. Baharulah Puan Sue sedar bahawa ia sebenarnya ditipu oleh kata-kata manis suaminya.
Dalam hal ini, SAYA menyarankan Puan Sue untuk melaporkan perkara ini pada Jabatan Agama Islam Negeri di mana Puan Sue bermastautin. Laporan penting untuk perkara-perkara berikut:
1. Memastikan samada perkahwinan Puan Sue dengan suami itu sah atau tidak di sisi Syarak?
2. Samada perkahwinan Puan Sue dengan suami adalah menurut undang-undang Keluarga Islam atau sebaliknya.
Kesahihan perkahwinan Puan perlu diketahui dalam hal ini. Ini kerana, jika tidak melalui Jabatan Agama, boleh jadi proses pernikahan yang dijalankan melalui orang lain (tak bertauliah) tidak menepati syarak. Contohnya, wali yang digunakan dalam perkahwinan tidak betul dari segi susunannnya. Jika hal ini terjadi, perkahwinan tersebut akan difaraq atau dibubarkan di Mahkamah.
Jika perkahwinan ini sah dari syarak, belum tentu ia menepati kehendak undang-undang. Contoh yang jelas, semua rukun nikah umpamanya telah dipenuhi. Namun, pasangan tidak ada memohon kebenaran berkahwin dari PEndaftar Perkahwinan di tempat di mana perkahwinan itu dilangsungkan. Satu lagi, suatu perkahwinan yang dijalankan di luar daerah, atau negeri dan bukan dari tempat asal kita, ia memerlukan pasangan tersebut mendapatkan kebenaran kehwin luar daerah atau negeri dari Pendaftar Perkahwinan tempat asal pasangan.
Ketiadaan kebenaran dari PEndaftar merupakan satu kesalahan dalam hal perkahwinan dan boleh didakawa atas kesalahan jenayah syariah di Mahkamah Syariah. Berikut kandungan penuh seksyen 40 Akta Keluarga Islam Wilayah Persekutuan sebagai rujukan bagi kesalahan berkaitan.
AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984
BAHAGIAN IV – PENALTI DAN PELBAGAI PERUNTUKAN YANG BERHUBUNGAN DENGAN AKAD NIKAH DAN PENDAFTARAN PERKAHWINAN
——————————————————————————–
Seksyen 40. Kesalahan yang berhubungan dengan akad nikah perkahwinan
(1) Mana-mana orang yang diketahuinya mengakadnikahkan atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai mengakadnikahkan atau menjalankan upacara, sesuatu perkahwinan—
(a) tanpa ada kebenaran berkahwin sebagaimana dikehendaki oleh seksyen 19; atau
(b) selainnya di hadapan sekurang-kurangnya dua orang saksi yang boleh dipercayai selain orang yang mengakadnikahkan perkahwinan itu,
melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
(2) Mana-mana orang yang berkahwin atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai akad nikah atau yang menjalani suatu bentuk akad nikah dengan sesiapa jua berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Jika perkahwinan itu sah, namun ia melibatkan kes poligami tanpa kebenaran Mahkamah, pasangan khususnya si lelaki boleh didakwa atas kesalahan jenayah syariah kerana berpoligami tenpa kebenaran Mahkamah. Jika sabit kesalahan, ia boleh dihukum denda tidak lebih seribu ringgit atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya. Berikut diperturunkan kandungan penuh seksyen 123 Akta berkenaan sebagai rujukan.

Seksyen 123. Poligami tanpa kebenaran Mahkamah
Seseorang lelaki, berkahwin lagi di mana-mana jua pun dalam masa perkahwinannya yang sedia ada masih berterusan tanpa mendapat kebenaran secara bertulis terlebih dahulu dari Mahkamah maka dia melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Implikasi terhadap perkahwinan yang sah tetapi tida menurut undang-undang ialah, perkahwinan itu tidak dapat didaftarkan kecuali semua proses undang-undang diikuti. Contohnya, pasangan tersebut akan didakwa terlebih dahulu atas perlanggaran-perlanggaran beberapa kesalahan yang telah dilakukan antaranya kahwin tanpa kebenaran, poligami tenpa kebenaran Mahkamah atau memberi keterangan palsu kepada pihak berkuasa agama bagi mendapatkan kebenaran berkahwin.
Bagi kesalahan memberikan keterangan palsu kepada Pendaftar Perkahwinan di Jabatan Agama Islam, contohnya mengaku bahawa ia masih bujang sedangkan ia sudahpun berkahwin, maka hukumannya jika disabitkan adalah sebagaimana tertera dalam seksyen 38 Akta yang sama.
Seksyen 38. Akuan atau pernyataan palsu untuk mendapatkan perkahwinan
“Mana-mana orang, bagi maksud mendapatkan suatu perkahwinan dilakukan di bawah Akta ini, dengan sengaja membuat sesuatu akuan atau pernyataan yang palsu, maka orang itu melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya”.
Lazimnya, setelah semua proses perundangn dilakukan, baharulah pekahwinan yang sah itu boleh didaftarkan. Bila didaftarkan, bolehlah pasangan tersebut menarik nafas lega kerana suatu sujil pernikahan dapat dikeluarkan.
Bagi SAYA, Puan Sue dan Isteri Pertama telah menjadi mangsa kepada suami. Perkahwinan dalam Islam mengandungi hikmah serta metlamat yang suci dan murni. Ia harus dilaksanakan dengan cara yang maaruf. Tiada istilah bohong-bohong atau tipu-tipu. Biasanya, rumahtangga akan porak poranda akibat sikap hipokrit, kepura-puraan atau sikap tidak jujur pasangan dalam rumahtangga. Jika si suami berjaya membohongi dua wanita dalam satu-satu sama (isteri pertama dan kedua), tidak mustahil baginya untuk berbohong untuk kesekian kalinya pada diri kita atau orang lain.
Namun, apa yang tidak sepatutnya berlaku telah berlaku. Jika Puan masih sayang dengan suami, berbincanglah sebaik-baiknya dengan suami. jelaskan apa yang telah berlaku dan apa yang kita kini ketahui. Jelaskan kesan undang-undang dan hukumnya. Sebaiknya, bawalah suami ke Jabatan Agama dan mengadulah atas apa yang telah berlaku. Tak payah lagi nak bersembunyi. Bersedialah untuk menempuh segala proses perundangan termasuk didakwa (terutama bagi si suami) agar perkahwinan tersebut dapat didaftar dan dikeluarkan sijil nikah0 jika ianya sah.
Bagi isteri pertama pula, Puan Sue ada baiknya datang untuk bertemu dengannya. Mohonlah bantuan mana-mana orang yang dipercayai sebagai orang tengah. Ini kerana ianya amat sesetif. Jelaskan keadaan Puan bahawa Puan juga adalah mangsa. Luahkan lah juga rasa sedih dan kesihan kepada isteri pertama kerana ia juga telah menjadi mangsa. Mungkin cara ini dapat meredakan ketegangan. Boleh jadi dengan mempunyai rasa yang sama, akan wujud ikatan hubungan dalam kehicupan bermadu secara harmoni dan bahagia.
Wallahu a’lam. Semoga nasihat dan pendapat ini dapat meleraikan sedikit sebanyak konflik yang dihadapai oleh Puan Sue.

4)
Soalan:
salam…
sy ingin poligami. isteri prtama telah m’izinkan dan borang poligami sudah di isi n htar di kanuter brape lama untuk tggu hari prbicaraan adakah ambil masa brbulan atau brtahun..
jukalu bleh sy ingin nikah thn dpan..

J: Wa’alaykum salam wbt,
Terimakasih atas pertanyaan saudara Din di atas. Dalam kes ini, Din telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kebenaran berpoligami di Mahkamah Syariah. Isteri yang sedia ada telah bersetuju. Soalnya, setelah permohonan difailkan di mahkamah, berapa lama si pemohon perlu menunggu kesnya didengar di mahkamah? Dalam hal ini, saudara Din pula berhasrat untuk bernikah tahun hadapan.
Dalam hal ini, SAYA melihat bahawa saudara Din telah melakukan tindakan yang betul menurut undang-undang yang sedang berkuatkuasa. Perkahwinan berpoligami perlu mendapatkan kebenaran bertulis dari hakim syarie dari Mahkamah Syariah di negeri di mana perkahwinan tersebut hendak dilangsungkan.
Lazimnya, menurut piagam pelanggan Mahkamah, suatu permohonan atau tuntutan itu akan didengar atau disebut dalam tempoh 21 hari dari tarikh penfailan kes. Lazimnya juga, satu tarikh sebutan atau pendengaran pertama kali akan diberikan terus pada hari yang sama sebaik suatau permohonan atau tuntutan itu difailkan. Walau bagaimanapun, hal ini juga bergantung kepada kekosongan atau ruang yang tersedia bagi Mahkamah bagi mendengar suatu kes.
Ada ketikanya, Mahkamah perlukan masa tertentu untuk menetapkan tarikh sebutan atau pendengaran atau perbicaraan suatu kes. Ini kerana, ada ketikanya pegawai Mahkamah termasuk pendaftar atau hakim terlibat dalam kursus atau program-program rasmi dan penting pada waktu tertentu.
Dalam hal ini, Saudara Din perlu mendapatkan maklumat dari Mahkamah dari masa ke semasa untuk mendapatkan tarikh sebutan atau pendengaran kes tersebut sekiranya belum diberikan. Bawalah bersama no. kes tersebut sebagai rujukan di Mahkamah untuk memudahkan carian fail dan maklumat.
Notis panggilan yang dikeluarkan Mahkamah pula perlu diserahkan kepada isteri sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri dan mana-mana orang yang diarahkan oleh Mahkamah. Notis tersebut amat penting untuk membolehkan kes tersebut dapat didengar di Mahkamah. Ketidakpatuhan prosedur ini boleh menyebabkan kes tersebut akan ditangguhkan ke suatu tarikh lain. Notis tersebut mestilah diserahkan sendiri ke diri individu terbabit. Soal ia hendak menerima atau tidak, itu bukanlah masalah kerana apa yang penting, si penyerah boleh menunjukkan di hadapan orang itu akan notis itu dan meletakkan notis tersebut dihadapan orang tersebut SEKIRANYA orang tersebut enggan menerima.
Suatu affidavit perakuan telah menyerahkan dokumen tersebut hendaklah dibuat selepas itu di mahkamah. Jika individu yang dipanggil itu tidak hadir di Mahkamah pada tarikh sebutan, mahkamah boleh meneruskan pedengaran kes tersebut walaupun tanpa kehadiran orang yang dipanggil. Ini kerana penyerahan dokumen telah dianggap sah menurut undang-undang.
Walaupun demikian, tempoh penyerahan notis berkenaan hendaklah pula tidak kurang dari 3 hari sebelum tarikh sebutan atau pendengaran kes berkenaan. Jika kurang, maka penyerahan masih dianggap tidak sempurna. Perkara seperti ini sememangnya masih ramai yang tidak sedar atau tidak mengetahuinya.
Apabila penyerahan dokumen telah disempurnakan menurut prosedur dan undang-undang, kes tersebut boleh dijalankan walau tanpa kehadiran orang yang dipanggil. Sebab itu, perlu ditekankan di sini bahawa amat rugilah sekiranya isteri yang sedia ada,tidak atau enggan hadir di mahkamah untuk pendengaran kes poligami suaminya. Ini kerana, si isteri telah menadikan haknya di sisi syarak dan undang-undang untuk memberi respon atau maklum balas mengenai permohonan suami.
Semestinya isteri sedia ada kena hadir di Mahkamah untuk memberikan maklumat yang sebenar. Maklumat penting yang sewajarnya diberikan di Mahkamah ialah mengenai kemampuan suami dari zahir dan batin untuk berpoligami. Maklumat itu pula harus diberikan sejujur-jujurnya. Ini kerana, isteri sedia ada adalah orang yang banyak mengetahui hal ehwal keadaan suaminya. Maklumat si isteri itu pula dapat didengar sendiri oleh bakal isteri kedua, ketiga atua keempat bersama-sama dengan wali kepada bakal isteri.
Semua maklumat dapat dikongsi. Proses ini telus dan bakal isteri serta wali kepada bakal isteri boleh berfikir semula semasak-masaknya samada hendak meneruskan perkahwinan tersebut atau tidak. Ini kerana mereka telah mendapat maklumat mengenai keberadaan si suami.
Satu keistimewaan dan keunikan dalam kes berpoligami di mahkamah syariah ialah, apabila semua pihak yang terlibat dipanggil bersama dalam satu-satu masa. Inilah yang dikatakan telus. Isteri sedia ada dan bakal isteri serta wali kepada bakal isteri dapat bertemu “face to face” dalam mahkamah. Prosiding atau pendengaran kes pula dijalankan dalam mahkamah TERTUTUP samada dalam dewan atau dalam kamar hakim. Orang lain tidak akan dibenarkan masuk mendengar atau menyaksikan kes itu.
Lazimnya, kes akan berjalan lancar dan jarang sekali berlaku pergaduhan. Ini kerana isteri sedia ada boleh jadi dapat merasakan bahawa proses yang dijalankan tidak ada unsur berat sebelah atau rahsiah atau sembunyi-sembunyi. Ia dapat bersemuka sendiri dengan bakal isteri dan wali kepada bakal isteri. Dari aspek psikologi, isteri sedia ada mendapat semangat dan kekuatan untuk berdepan dengan situsi berkenaan kerana ia dilakukan secara bersemuka. Pandangan dan responnya diambil kira dan diberi perhatian yang sepatutnya oleh Mahkamah.
Isteri pertama berhak untuk bersetuju atau tidak dengan permohonan suaminya. Perlu dijelaskan bahawa persetujuan isteri sedia ada tidak semestinya akan menjadikan permohonan suami itu berjaya. Persetujuan isteri hanyalah sebahagian dari banyak perkara yang harus dipertimbangkan oleh Mahkamah samada nak meluluskan atau tidak permohonan berpoligami itu. Terdapat juga kes-kes di mana mahkamah menolak permohonan suami untuk berpoligami walaupun isteri sedia ada telah memberi persetujuannya.
Ini kerana, mahkamah juga pelu melihat kepada keperluan perkahwinan itu sendiri, kemampuan serta kesan-kesan jangkamasa pendek dan panjang akbibat berpoligami itu. Sekiranya suami diizinkan berpoligami dan poligami itu pula jelas mengundang kemudaratan besar dalam hidup suami, isteri sedia ada, anak-anak mereka dan bakal isteri, maka mahkamah berhak untuk menolak permohonan tersebut walaupun isteri telah bersetuju.
Tidak ada istilah isteri telah menurunkan tandatangan untuk bersetuju permohonan itu. Apa yang penting, isteri kena hadir di mahkamah dan berikan maklumat yang sebenar mengenai kedudukan suaminya. Ini untuk kebaikan semua. Tidak akan ada yang teraniaya sepertimana yang lazimnya kita dengar dari orang.
Orang yang berkedudukan tinggi, berpangkat tinggi, bergaji besar tidak semestinya akan diberi keizinan berpoligami jika sekiranya dari aspek lain ia tidak mampu. Apalah ertinya berpoligami sekiranya dari aspek fizikal ia sudah tidak mampu? Jika bakal isteri masih muda dan si suami pula sudah berumur dan terbukti ia sudah tidak berkemampuan untuk melakukan hubungan kelamin, apakah kewajaran untuk membenarkan poligami? Namun, hal ini hanyalah sebahagian dari aspek yang akan diambil pertimbangan. Boleh jadi juga aspek fizikalnya lemah, namun hal tersebut dimaklumui dan dipersetujui atau diredhai semua pihak termasuk bakal isteri. Boleh jadi keputusan mahkamah adalah sebaliknya. Ia suatu yang amat subjektif. Segalanya adalah budi bicara mahkamah setelah semua aspek diambil kira.
Dalam hal ini, SAYA menyarankan agar saudara Din bersabar serta mendapatkan maklumat mengenai tarikh sebutan atau pendengaran kes tersebut dari masa ke semasa. Elakkan dari berurusan dengan “Orang Tengah” yang boleh jadi ingin mengambil kesempatan ke atas indivdu yang berurusan dalam hal-hal begini. Bertemulah terus dengan kakitangan atau pegawai mahkamah untuk hal tersebut.
Begitu juga, patuhilah segala prosedur yang telah ditetapkan. Ikuti arahan yang diberikan mahkamah. Inshaa Allah, jika semuanya dipatuhi, proses pendengaran dapat dijalankan dengan lancar. Jika sekiranya saudara Din merasakan mampu untuk berpoligami, jelaskan sejujur-jujurnya kepada mahkamah nanti. Jangan berikan maklumat yang tidak benar kerana keberkatan rumahtangga bermula dengan perbuatan dan tindakan kita di peringkat awal.
Soal permohonan tersebut diluluskan atau sebaliknya, terimalah dengan redha. Jika tidak diluluskan, Saudara Din masih mempunyai hak untuk merayu di Mahkamah yang lebih tinggi iaitu Mahkamah Rayuan Syariah. Saudara Din boleh mengemukakan kes secara peribadi atau melalui khidmat guaman syarie. Jika dapat, elakkan dari mengambil tindakan drastik seperti menceraikan isteri pertama sekiranya berlaku kesulitan dalam mendapatkan kebenaran berpoligami.
Andai Mahkamah memberi kebenaran berpoligami, perkahwinan tersebut bolehlah dilaksanakan dalam tempoh yang diberikan dalam perintah mahkamah tersebut. Lazimnya, surat kebenaran tersebut sah untuk digunakan selama sebulan dari tarikh ia dikeluarkan. Namun, ini bergantung kepada masa yang ditentukan oleh Mahkamah itu sendiri.
Setelah semuanya dilakukan, berserahlah kepada Allah di samping sentiasa menjaga kebajikan isteri yang sedia ada dan anak-anak. Tingkatkan amal dan iman kepada Allah.
Berdoalah banyak-banyak dan mohonlah agar Allah memberikan jalan terbaik dalam hidup saudara Din dan keluarga. Ini kerana, hal berpoligami suatu perkara yang berat dan melibatkan kesan kepada banyak individu-individu terdekat kita. Cabarannya banyak tetapi boleh dihadapi dalam keadaan tenang.
Semoga penjelasan ini dapat memberi sedikit kelegaan terhadap persoalan saudara Din di atas.
Wallahu a’lam.

5)
S: assalamualaikum..!
saya nk bertanya pandangan tuan/puan tentang kebingungan saya, dimana saya mempunyai 3 org ank dgn bekas isteri. dan skrg saya sudah berkawin baru. tetapi saya telah majukn utk poligami dan disetujui oleh isteri saya skrg. dan saya telah buatkn permohonan ke mahkahmah tinggi syariah.. dlm masa yg sama saya mempunyai masalh dimana isteri saya skrg berhutang dgn sy sebyk RM25 ribu SEBELUM berkahwin dan skrg dia tk bayr dan membuatkn kami bergaduh.. janji tk di tunai.. dan ank tiri saya tidak menganggap saya bapa tiri nya.., baru2 ni ank tiri saya hendak memukul saya kerana saya bertengkar dgn isteri tentang hutang yg beliau buat tu.
dan hasrat saya utk poligami adalah utk membesarkn ank2 saya bersama ibu mereka yg mereka sayangi dan ank2 saya selalu bertanya bila abah nk berkahwin semula dgn ibu..
tetapi , bila berlaku pergaduhan sehingga ank tiri saya nk pukul saya ..saya berasa mcm nk bercerai dgn isteri skrg.. walaubagaimana pun saya terlalu sayangkn isteri saya.. saya bingung dgn keputusan saya sendiri… saya ingin pandangan tuan/puan dlm masalah saya ini..!

J: Wa’alaykum salam wbt.
Terimakasih atas persoalan Saudara Syukri di atas. Masalah yang Saudara Syukri hadapi itu memang berat kerana saudara terpaksa berhadapan dengan 5 persoalan. Pertamanya berpoligami dengan isteri terdahulu yang telah diceraikan. Keduanya tindakan isteri baru yang tidak dapat membayar hutang RM25,000 yang dipinjamkan sebelum perkahwinan. Ketiganya, tindakan anak-anak isteri baru yang tidak menerima atau mengiktiraf saudara sebagai bapa tiri mereka, malah bertindak agresif untuk memukul saudara. Keempat, adanya desakan dari anak-anak saudara dengan isteri terdahulu agar saudara meneruskan perkahwinan semula dengannya. Kelimanya, adanya perasaan saudara untuk menceraikan saja isteri baru.
Bagi persoalan pertama, jika nak berpoligami, saudara kenalah memohon kebenaran bertulis dari Mahkamah Syariah di mana saudara bermastautin atau di tempat di mana saudara hendak berkahwin. Persetujuan dari isteri baru merupakan salah satu kekuatan saudara dalam permohonan tersebut walaupun ia tidaklah semestinya mengikat mahkamah untuk meluluskannya. Ini kerana,banyak faktor yang perlu diambilkira oleh mahkamah sebelum meluluskan permohonan tersebut.
Bagi persoalan kedua, pinjaman yang diberikan kepada isteri baru sebelum perkahwinan adalah hak saudara. Saudara boleh menuntutnya di mahkamah. Namun persoalan yang timbul adalah bidangkuasa mahkamah. Mahkamah mana yang berbidangkuasa mendengar tuntutan hutang antara suami isteri, samada mahkamah syariah atau mahkamah sivil. Dalam hal ini, perlu diingat bahawa hutang yang diberikan adalah ketika sebelum adanya ikatan suami isteri saudara dengan isteri baru. SAYA sarankan agar saudara mendapatkan khidmat peguam untuk menguruskan persoalan ini. Mereka mempunyai akses untuk membuat penyelidikan dan mendapatkan bahan-bahan otoriti perundangan mengenainya.
Satu cadangan dari SAYA ialah gunakan isu hutang itu ketika dalam prosiding poligami di mahkamah nanti. adakan persetujuan antara saudara dan isteri baru mengenai penyelesaian hutang tersebut. Apabila diadakan penetapan jumlah nafkah semasa untuk isteri, saudara mintalah agar nafkah tersebut dipotong dari hutangnya sehingga ia selesai tanpa menafikan pemberian nafkah semasa seperti biasa mengikut kemampuan saudara.
Bagi persoalan ketiga, soal tindakan anak tiri, saudara kenalah bijaksana menghadapinya. Penglibatan orang ketiga yang dilihat dihormati dan dipercayai oleh semua pihak boleh digunakan untuk meredakan masalah. Jika saudara dapat berlembut, boleh jadi mereka juga akan berlembut dengan saudara. Mungkin juga saudara boleh memberi jaminan kepada mereka agar mengurangkan sedikit atau sebahagian besar jumnlah bayaran balik hutang ibu mereka kepada saudara sebagai tanda sikap berlembut dan toleransi saudara. Namun, ini perlukan pengorbanan tinggi.
Jika anak-anak tersebut memukul saudara, laporkan sahaja kepada pihak polis sebagai jalan terakhir. ini kerana, ia melibatkan keselamatan diri dan harta. Namun, risiko tetap ada. Laporan kepada pihak polis boleh jadi akan menyebabkan hubungan akan lebih keruh dan lebih-lebih lagi dengan isteri yang sedia ada.
Bagi persoalan keempat, desakan anak-anak untuk saudara berkahwin semula dengan istrei terdahulu (ibu mereka) harus dihadapi dengan tenang. Mohonlah petujuk dan pertolongan dari Allah untuk memberikan jalan terbaik. Boleh jadi, perkahwinan kali kedua dengan isteri terdahulu membawa hikmah besar dalam hidup saudara nanti kerana adanya ikatan kukuh saudara anak beranak. Dalam hal ini, saudara boleh teruskan permohonan poligami di mahkamah syariah.
Bagi persoalan kelima, hal perceraian adalah jalan terakhir. Mohonlah petunjuk dari Allah. Solat istikharah. Minta hidayah samada nak bercerai atau tidak. Jika nak bercerai, mohonlah kebenaran di mahkamah syariah. Dapatkan kaunseling atau pendapat dari kaunselor di jabatan agama sebelum bertindak. Tidak ada faedahnya meneruskan perkahwinan yang hanya membawa kepada kemudaratan. Hikmah perkahwinan adalah untuk mencapai ketenangan selain mendapat zuriat dan sebagainya.
SAYA harap, pandangan ini dapat direnung dan semoga dapat memberi sedikit kekuatan dan harapan pada saudara Syukri.
Wallaahu a’lam

6)
S: Salam,
saya ingin bertanya, adakah kebenaran untuk berpoligami bagi lelaki yang telah berkahwin itu dibuat kepada Pejabat Pendaftar nikah di mana tempat ingin bernikah?..contohnya ingin mengadakan upacara akad nikah d Negeri Perlis sedangkan beliau berasal dari Setapak, Kuala Lumpur.

J: Wa’alaykum salam wbt.
Untuk pengetahuan Syasya, kebenaran berpoligami secara bertulis hendaklah diperolehi dari Hakim Syarie di Mahkamah Syariah di mana pernikahan itu akan dilangsungkan. Maknanya, si lelaki itu perlu memohon kebenaran berpoligami di Mahkamah Syariah Perlis. Kebenaran berkahwin di luar daerah walau bagaimanapun perlu diperolehi dari Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) bagi si lelaki kerana ia berkahwin di luar dari Wilayah Persekutuan. Kebenaran Kahwin Luar Daerah itu pula hanya perlu diperolehi dari Pendaftar Perkahwinan dari Wilayah Persekutuan (bukan mahkamah syariah).
Wallaahu a’lam

7)
S: salam
saya merancang ingin berkahwin dengan seorang lelaki yang telah beristeri, tetapi dia tidak mahu isterinya mengetahui kehadiran saya sebelum pernikahan kami dan saya tidak bercadang untuk berkahwin luar dari kawasan saya di Kuala Lumpur. apa yang perlu kami lakukan? untuk makluman tuan, dia dan isterinya tidak pernah tinggal serumah sejak mula berkahwin dan keadaan makin meruncing sekarang, isterinya kerap kali minta cerai tetapi dia tidak mahu melakukannya kerana maruah dan takut malu, lebih lagi mereka mempunyai seorang anak yang berusia hampir 4 tahun.

J: Walaykum salam wbt.
Jika Cik Iza hendak berkahwin dengan lelaki yang telah beristeri, hal tersebut tidak salah di sisi hukum syarak dan undang-undang yang sedang berkuatkuasa ketika ini. Apa yang perlu dilakukan ialah pastikan lelaki pilihan hati itu membuat permohonan untuk mendapatkan kebenaran berpoligami dari Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Mengenai tindakan lelaki tersebut untuk menyembunyikan hal kehadiran Cik Iza dari pengetahuan isterinya sebelum menikah dengan Cik Iza, tindakan sedemikian adalah tidak tepat dan boleh mendatangkan kesulitan dalam proses berpoligami.
Menurut undang-undang keluarga Islam Wilayah Persekutuan, untuk memohon kebenaran berpoligami, isteri yang sedia ada mesti dipanggil ke Mahkamah untuk memberi respon dan kenyataan mengenai permohonan suami. Satu notis panggilan ke Mahkamah mesti diserahkan terlebih dahulu kepada si isteri. Soal si isteri hadir nanti atau tidak bukanlah menjadi masalah untuk kes itu diteruskan. Yang penting notis panggilan tersebut telah benar-benar diserahkan kepadanya menurut kehendak undang-undang. Sebab itu, amat rugilah jika isteri yang sedia ada tidak menghadirkan diri ke Mahkamah apabila dipangil. Oleh itu, tiada jalan di sisi undang-undang untuk menyembunyikan perkahwinan kedua itu dari pengetahuan isteri sedia ada.
Anak lelaki tersebut bersama isterinya kini berumur 4 tahun. Jika sejak awal perkahwinan lagi, pasangan tersebut sudah tidak tinggal serumah, bermakna bahawa tempoh mereka tinggal berasingan sudah terlalu lama. 3-4 tahun hidup berasingan, tidak tidur serumah suatu tempoh yang lama bagi pasangan suami isteri.
Bagi SAYA, rumahtangga mereka sudah berada di tahap yang parah. Segala hal dan tanggungjawap suami isteri sepertimana digariskan oleh Hukum Syarak dan undang-undang tidak lagi dapat dinikmati atau ditunaikan. Apalah makna perkahwinan seperti ini? Ada baiknya satu keputusan dibuat oleh pasangan tersebut samada nak teruskan perkahwinan tersebut atau tidak. Jika nak teruskan, mereka kenalah berusaha menghidupkan semula rumahtangga mereka. Mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat agama dan kaunseling dari pihak yang berkelayakan. Mereka harus serius dalam rumahtangga mereka.
Jika tidak mampu mempertahankan rumahtanga, mereka boleh menamatkan perkahwinan tersebut dengan mengemukakan permohonan untuk bercerai di Mahkamah Syariah. Jika keduanya bersetuju atau suka sama suka bercerai, kes tersebut akan menjadi lebih mudah. Tidak guna memepertahankan rumahtangga yang ternyata hanya mendatangkan lebih banyak fitnah dan kemudaratan kepada pasangan. Soal isteri minta cerai tapi suami pula enggan keana takut tercalar maruah dan malu bukanlah tindakan yang bijak. Mempertahankan rumahtangga dalam keadaan sedemikian rupa di mana tiada pembaikan dilakukan si suami bukanlah tindakan yang betul. Itu hanya memburukkan keadaan dan tidak ada penghujungnya.
Sebenarnya, bila suami bertindak mempertahankan rumahtangga dalam keadaan sedemikian, ia secara tanpa sedar sedang menyusahkan dirinya sendiri. Ini kerana ia terpaksa memohon kebenaran berpoligami. Dan belum pasti kebenaran tersebut akan diberikan oleh mahkamah. Begitu juga, belum tentu isteri bersetuju dengan permohonan tersebut. Ini juga salah satu cabaran buat si suami.
Mengenai alasan ada anak berumur 4 tahun, hal tersebut bukan satu alasan kukuh untuk bercerai. Ia harus menjadi pertimbangan sebelum bercerai namun ia bukanlah satu sebab terbesar untuk mempertahankan rumahtangga apabila keadaan rumahtangga telah nyata teruk dan tidak mendatangkan apa-apa maslahah atau kebaikan. Jika berlaku perceraian, anak tersebut tetap dan masih punya ibu dan bapanya. yang bercerai hanyalah suami dan isteri. Hal ini juga dilihat tidak akan menjejaskan secara teruk keberadaan jiwa si anak memandangkan si anak telah terbiasa dengan suasana tidak melihat ayah dan ibunya tinggal serumah hampir 4 tahun.
Oleh itu, jika hendak berkahwin, biarlah mengikut aturan undang-undang. Elakkan dari menyembunyikan perkahwinan tersebut. Zahirkan sahaja dan biarlah pihak Mahkamah menentukannya. Wallahu a’lam.

8)
S: salam
bolehkah saya failkan perceraian atau fasakh atas alasan saya takut tidak dapat menunaikan tanggungjawab saya sebagai isteri setelah suami saya berkahwin lagi.
bila waktu yang sesuai untuk failkan, sebelum atau sesudah suami berkahwin. ini kerana sejak suami menyatakan hasrat untuk berkahwin lagi, saya telah banyak menyakitkan hati dia
dengan harapan suami akan menarik hasrat dia. saya juga melihat dia tidak mampu dan adil dalam berpoligami.

J: Walaykum salam wbt.
Terimakasih atas pertanyaan Puan Liza di atas. Fasakh adalah suatu bentuk pembubaran perkahwinan. Ia bukan seperti talaq yang akan menggugurkan talaq 1 atau 2 atau 2. Bila perkahwinan itu difasakhkan, si suami tidak boleh merujuk isteri walaupun isteri masih dalamn eddah. Kedua pihak hanya boleh kembali sebagai suami isteri dengan jalan pernikahan semula.
Mengenai hasrat puan untuk menfailkan permohonan fasakh atas alasan takut tidak dapat menunaikan tanggungjawap puan sebagai isteri setelah suami berkahwin lagi, perlu dijelaskan di sini bahawa fasakh itu sendiri mempunyai alasan tersendiri. Tuntutan Fasakh lazimnya boleh disabitkan oleh Mahkamah hanya setelah Mahkamah Syariah berpuashati bahawa ada alasan yang kukuh dari pihak isteri atau suami untuk membubarkan pernikahan tersebut. Undang-Undang Keluarga Islam di setiap negeri di Malaysia telah memperuntukkan alasan-alasan khusus untuk menfasakhkan pernikahan di mahkamah. Berikut dipetik undang-undang berkenaan untuk panduan:
AKTA 303
AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984
BAHAGIAN V – PEMBUBARAN PERKAHWINAN
Seksyen 52. Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh
(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu—
(a) bahawa tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;
(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
(c) bahawa suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;
(d) bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
(f) bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali mujbirnya sebelum dia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu;
[Pin. Akta A902:s.16]
(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain—
(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau
(ii) berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; atau
(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau
(iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu daripada menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau
(v) menghalang isteri daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau
(vi) jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak;
(i) bahawa walau pun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya;
(j) bahawa isteri tidak memberi keizinan akan perkahwinan itu atau keizinannya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak;
(k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguhpun berkebolehan memberi keizinan yang sah, adalah seorang yang kecelaruan mental, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [Ord. 31 tahun 1952] bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, atau Ordinan Lunatik bagi Wilayah Persekutuan Labuan [Sabah Bab 74] dan kecelaruan mentalnya adalah daripada suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin;
[Pin. Akta A828:s.5]
(l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.
(1A) Mana-mana orang yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapatkan perintah bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh atas alasan bahawa isteri menjadi tidak upaya yang menghalang persetubuhan.
[Mas. Akta A902:s.16]
(2) Tiada apa-apa perintah boleh dibuat atas alasan dalam perenggan (1)(c) sehingga hukuman itu telah dikemukakan dan suami telahpun menjalani satu tahun daripada hukuman itu.
(3) Sebelum membuat suatu perintah atas alasan dalam perenggan (1)(e) Mahkamah hendaklah, atas permohonan suami, membuat suatu perintah menghendaki suami memuaskan hati Mahkamah dalam tempoh enam bulan dari tarikh perintah itu bahawa dia tidak lagi mati pucuk, dan jika suami memuaskan hati Mahkamah sedemikian dalam tempoh itu, tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas alasan itu.
(4) Tiada apa-apa perintah boleh dibuat atas mana-mana alasan dalam subseksyen (1) jika suami memuaskan hati Mahkamah bahawa isteri, dengan mengetahui bahawa adalah terbuka kepadanya untuk mendapatkan perkahwinan itu ditolak, telah bertingkah laku terhadap suaminya dengan cara yang menyebabkan suami mempercayai dengan munasabah bahawa isteri tidak akan menolak perkahwinan itu, dan bahawa adalah tidak adil kepada suami jika dibuat perintah itu.
Jika dilihat kepada peruntukan di atas, jelas bahawa alasan untuk fasakh mestilan melihat kepada sebab-sebab khusus dari pihak yang dituntut atau suami dalam kes ini. Tindakan isteri untuk menfasakhkan pernikahan disebabkan isteri tidak dapat menunaikan tanggunjawapnya kepada suami tidak ada dalam senarai alasan di atas. Oleh yang demikian, SAYA mencadangkan kepada Puan untuk melihat dan meneliti mana-mana alasan yang bersesuaian dengan diri puan sepertimana dinyatakan dalam Seksyen 52 di atas. Jika ada alasan yang berkaitan samada satu atau lebih, Puan bolehlah bertindak untuk menfailkan tuntutan fasakh di Mahkamah Syariah. Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa setiap tuntutan memerlukan pembuktian menurut undang-undang keterangan Islam dan undang-undang negeri yang sedang berkuatkuasa.
Mengenai masa untuk menfailkan tuntutan tersebut, hal tersebut terserahlah kepada Puan. Jika telah ada salah satu alasan di atas, Puan boleh menfailkan tuntutan fasakh di Mahkamah Syariah pada bila-bila masa. Tidak perlu tunggu sehingga suami berkahwin lagi.
Mengenai poligami, hal tersebut adalah ketentuan Allah SWT. Ia disyariatkan oleh Allah. Ia dibenarkan kepada mana-mana suami yang mempunyai kemampuan zahir dan batin. Apabila ia dibenarkan, hukum tersebut tidak boleh dipertikaikan sama sekali. Ini kerana ditakuti tindakan mengingkarinya atau mempertikaikannya boleh menjejaskan akidah seorang Muslim. Apa yang boleh dipertikai adalah soal kemampuan dan kewajaran suami untuk berpoligami. Sebab itu, isteri tidak perlu risau atau takut jika sekiranya dipanggil ke Mahkamah untuk memberikan keterangan dan respon mengenai hasrat suami untuk berpoligami.
Jika dipanggil ke Mahkamah, isteri harus hadir dan kemukakan respon anda sebagai isteri. Andalah yang lebih banyak mengetahui tinggi rendah suami anda. Anda yang lebih tahu mampu atau tidak suami dari segi belanja dan nafkah batin. Sebagai isteri, ambillah peluang untuk menjelaskan kepada Mahkamah kedudukan sebenar suami agar dapat dipertimbangkan oleh Mahkamah. Masalah yang sering timbul ialah, isteri enggan atau tidak mahu datang ke Mahkamah Syariah apabila dipanggil untuk memberikan respon mengenai permohonan poligami si suami. Sayugia diingatkan bahawa tidak kurang permohonan kebenaran berpoligami dari suami telah ditolak oleh Mahkamah walaupun isteri yang sedia ada bersetuju dengan perkahwinan tersebut. Ini kerana, mahkamah melihat kepada kemampuan si suami. Mahkamah lazimnya melihat samada perkawinan tersebut membawa dharar atau mudarat besar kepada suami dan ahli keluarganya jika sekiranya poligami di izinkan.
Mengenai tindakan isteri yang sering menyakiti suami dengan harapan agar suami tidak jadi berpoligami, hal tersebut tidak boleh diambil ringan. Janganlah kerana gara-gara suami baru berhasrat berpoligami, isteri sudah buat macam-macam tindakan yang jelas bertentangan dengan kehendak syarak. Asasnya isteri kena taat ke suami selagi suami tidak menyuruhnya melakukan perkara yang bertentangan dengan agama Islam. Banyak sekali hadis-hadis nabi SAW yang menyatakan betapa isteri wajib taat kepada suami. Jangan sampai suami meninggal dunia atau isteri meninggal dunia secara tiba-tiba sedangkan suami tidak redha atau masih menyimpan sakit hati terhadap isteri. Hadith Nabi SAW yang menyatakan bahawa isteri dapat masuk syurga apabila mengerjakan solat lima waktu, berpuasa, menjaga kemaluan dan taat kepada suami tidak boleh diabaikan begitu saja. Nabi juga ada memesankan kepada kita bahawa jika manusia diperintahkan untuk sujud kepada manusia, nescaya isterilah yang akan disuruh sujud kepada suami.
Ingatan-ingatan dari Nabi itu sesungguhnya mempunyai makna dan nilai yang amat tinggi apabila diperhati dan dihalusi. Justeru, saya menasihatkan agar Puan berhentilah dari terus menyakiti suami gara-gara untuk menghalangnya dari berpoligami. Carilah pendekatan lain yang lebih mendekatkan rasa sayang dan cinta suami kepada Puan. Tunjukkan keperihatinan yang tinggi kepada suami. Jangan kerana nak halang suami berpoligami, akhirnya rumahtangga yang telah dibina sekian lama berkecai begitu saja.
Semoga pandangan ini ada manfaatnya. Wallahu a’lam.

9)
S: Suami saya berusia 46 tahun dan sedang menjalin hubungan dengan seorang wanita berusia 32 tahun. Saya adalah seorang mualaf. Usia perkahwinan kami sudah menjangkau 22 tahun. Permohonan utk berpoligami telah pun dihantar oleh suami saya. Antara tujuan berpoligami yang dinyatakannya adalah 1. mengikut sunnah nabi 2. menambah bilangan ahli keluarga 3. mendapat keizinan isteri….kalau dibaca tujuan2nya ini, nak tergelak pun ada..nampak sgt banyak perkara ttg berpoligami ni dia tak tau..
Dari segi kemampuan zahir dan batin, kalau batin, tak ada masalah! Tetapi dari segi kewangan, gaji yang diterima setiap bulan adalah kurang dari RM2300, anak ada empat orang, Seorang di sekolah rendah, seorang lagi di sekolah menengah dan yang seorang lagi sedang menunggu keputusan SPM. Semua perempuan. Yang sulung lelaki, sudah bekerja. Harta lain memang tidak ada. Hanya mengharapkan gaji setiap bulan untuk perbelanjaan keluarga. Wanita yang hendak dikahwini itu memanglah bujang dan bekerja. Wanita ini dengan relanya memberikan kad ATMnya untuk digunakan oleh suami saya. Dimana maruah dan harga diri suami saya????????????? Sangat memalukan namun saya bertahan demi anak-anak.
Adakah nanti pihak mahkamah syariah akan memberikan keizinan kepada suami saya untuk berpoligami bila mengetahui keadaan kewangan suami saya seperti itu serta tujuan-tujuannya berpoligami. Apakah lagi perkara lain yang diambil kira oleh mahkamah syariah untuk memberikan kebenaran?

J: Wa’alaykumussalam wbt.
Terimakasih atas pertanyaa Puan di atas. Jika Puan dipanggil ke mahkamah Syariah nanti, pastikan Puan hadir. Adalah satu kerugian dan kesilapan besar andai kata si isteri tak mahu hadir semasa pendengaran permohonan kebenaran berpoligami. Keterangan dari isteri sedia ada mengenai kemampuan si suami sangat penting. Ini kerana, isterilah orang paling banyak tahu tentang hal ehwal dan keupayaan dan kemampuan suami.
Jika Puan hendak membantah, nyatakan kepada hakim apakah sebab Puan tak setuju. Beritahu secara jujur akan kesan yang bakal berlaku baik kesan ke atas nafkah dan lain-lain.
Banyak perkara yang dipertimbangkan Mahkamah sebelum memberi kebenaran berpoligami kepada suami. Jangan sampai nanti poligami itu membawa mudarat lebih besar kepada semua pihak. lainlah jika suami memang berkemampuan dari segi fizikal mahupun mental. Mampu dari segi nafkah mahupun batin.
Alasan seperti belum ada zuriat setelah berkahwin bertahun-tahun, atau isteri sakit yang tidak memungkin berlakunya hubungan kelamin dan lain-lain yang menasabah adalah antara perkara yang lazimnya diberi perhatian lebih oleh mahkamah.
Semoga penjelasan ini memberi manfaat buat Puan.

Maklumbalas Komen:
Assalamualaikum…terima kasih diatas pandangan yang diberi.
Saya telah pun selesai mengikuti proses permohonan poligami suami saya. Namun sia-sia bagi saya kerana proses tersebut telah dicemari sendiri oleh suami saya dan pasangannya apabila mereka bernikah juga sebelum selesai proses tersebut…mereka bernikah 10 hari selepas keterangan diambil oleh pihak mahkamah syariah walhal kes sepatutnya didengar oleh hakim 7 minggu selepas keterangan diambil. Saya mengesyaki ada suatu komplot oleh pihak perempuan agak pernikahan tersebut dijalankan secara sembunyi.Kononnya pegawai yang mengambil keterangan tersebut mengatakan bahawa mereka sudah boleh bernikah kerana pihak isteri pertama setuju. (saya memang ada mengatakan pada pegawai tersebut bahawa saya ‘TERPAKSA’ bersetuju tapi saya tidak menyatakan mengapa….saya terpaksa rahsiakan utk menjaga nama suami) 7 minggu kemudian itu kononnya hanya utk mengambil hitam putih.
Pada tarikh pendengaran kes oleh hakim, ternyata hakim sendiri tidak dapat membenarkan kerana melihat kepada kemampuan suami dari segi kewangan. Apa yang agak mengecewakan saya adalah keputusan utk memberi kebenaran dipulangkan kepada saya. Seperti yang saya kata awal tadi, saya TERPAKSA bersetuju kerana sebabnya adalah perempuan itu sudah mengandung…..pada mulanya….kali kedua saya terpaksa membenarkan kerana mereka sudah pun menikah. Saya mungkin nampak bodoh di sini tetapi saya terpaksa menimbangkan banyak perkara. Kalau saya dedahkan pernikahan mereka, kes mahkamah lagi dan akan menjejaskan pekerjaan suami (anak2 juga jadi mangsa), kalau saya tidak setuju, mereka sudah pun menikah dan suami saya tetap akan merayu ke mahkamah tinggi. saya pun masih terpaksa turun naik mahkamah sedangkan hasilnya tetap sama. Suami tetap kahwin dengan perempuan itu…..
Saya hanya mengharapkan balasan dari Allah sekiranya mereka melakukan ini semua untuk menganiaya dan mempermainkan saya terutama perempuan itu kerana saya tahu kelicikannya…. .Allah Maha Besar dan Maha Mengetahui…

Komen Penulis kepada yang bertanya:
Wa’alaykumsalam wbt.
Terimakasih atas maklumbalas terbaru dari Puan Suri dalam respon bil. 24 di atas. Semasa dipanggil ke Mahkamah, Puan Suri mempunyai hak untuk bersetuju atau tidak terhadap permohonan kebenaran berpoligami dari suami. Di mahkamah, sebaiknya suatu keterangan yang benar diberikan walaupun pahit.
SAYA melihat Puan dalam keadaan tertekan ketika memberi keterangan di hadapan hakim. Perkataan Puan “terpaksa bersetuju” jelas menunjukkan bahawa Puan memberi keterangan kepada hakim perkara yang Puan sendiri tidak suka atau setujui. Bagaimanapun, persetujuan Puan sebenarnya bukanlah satu sebab kuat bagi Hakim untuk meluluskan permohonan kebenaran berpoligami. Ini kerana banyak lagi perkara lain yang diambil kira oleh Hakim sebagaimana yang telah SAYA terangkan sebelumnya.
Jika benar suami dan pasangannya bernikah awal sebelum ada keputusan rasmi atau bertulis dari mahkamah, hal tersebut sepatutnya tak berlaku. Ini kerana tindakan bernikah lebih awal adalah mendahului keputusan mahkamah. Selagi mahkamah belum membuat keputusan, selagi itulah kebenaran berpoligami belum wujud. Jika diteruskan juga pernikahan, bermakna suami dan pasangannya telah melanggar undang-undang keluarga Islam. Mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana bernikah berpoligami tanpa kebenaran dari mahkamah. Suami boleh didakwa atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, manakala isteri kedua boleh didakwa atas kesalahan bernikah tanpa kebenaran pendaftar pernikahan.
Jelas bahawa pernikahan telah dilaksanankan sebelum proses mahkamah syariah selesai. Andaikata kebenaran berpoligami diberikan oleh Mahkamah selepas berlakunya pernikahan tersebut, suami tetap tidak terlepas dari tindakan undang-undang. Pernikahan tersebut akan berhadapan dengan masalah di mana Pendaftar Pernikahan tidak akan mendaftarkan pernikahan, tidak akan dikeluarkan sijil nikah sehinggalah pendakwaan dilakukan ke atas suami.
Seksyen 23 Enakmen Undang_undang Keluarga Islam jelas memperuntukkan perkara ini. Cuba lihat kandungan seksyen tersebut untuk lebih lanjut:
Seksyen 23. Poligami
(1) Tiada seorang pun lelaki semasa wujudnya suatu perkahwinan boleh, kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada Mahkamah, membuat akad nikah perkahwinan yang lain dengan perempuan lain.
(2) Tiada perkahwinan yang diakadnikahkan tanpa kebenaran bawah subseksyen (1) boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini melainkan jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkahwinan sedemikian adalah sah mengikut Hukum Syarak dan Mahkamah telah memerintah supaya perkahwinan itu didaftarkan tertakluk kepada seksyen 124.
(3) Subseksyen (1) terpakai bagi perkahwinan dalam Negeri Sabah seseorang lelaki yang bermastautin dalam atau di luar Negeri Sabah dan perkahwinan di luar Negeri Sabah seseorang lelaki yang bermastautin dalam Negeri Sabah.
(4) Permohonan untuk kebenaran hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu iqrar menyatakan alasan-alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut atau perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan, bilangan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu, dan sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwinannya yang dicadangkan itu.
(5) Apabila menerima permohonan itu, Mahkamah hendaklah memanggil pemohon, isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri, dan mana-mana orang lain yang difikirkan oleh Mahkamah boleh memberi keterangan mengenai perkahwinan yang dicadangkan itu supaya hadir apabila permohonan itu didengar, yang hendaklah dilakukan dalam Mahkamah tertutup, dan Mahkamah boleh memberi kebenaran yang dipohon itu jika berpuas hati-
(a) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut atau perlu, memandang kepada, antara lain, hal-hal keadaan yang berikut, iaitu, kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;
(b) bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syarak, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;
(c) bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan adil kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syarak; dan
(d) bahawa perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syar’ie kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.
(6) Satu salinan permohonan di bawah subseksyen (4) dan iqrar yang dikehendaki oleh subseksyen itu hendaklah disampaikan bersama dengan surat panggilan ke atas tiap-tiap isteri yang sedia ada.
(7) Mana-mana pihak yang terkilan atau tidak puas hati dengan apa-apa keputusan Mahkamah boleh merayu terhadap keputusan itu mengikut cara yang diperuntukkan di bawah Enakmen Tatacara Mal 2004.
(8) Mana-mana orang yang membuat akad nikah bersalahan dengan subseksyen (1) hendaklah membayar dengan serta-merta semua jumlah mas kahwin dan pemberian yang kena dibayar kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada, dan jika jumlah itu tidak dibayar sedemikian, boleh dituntut sebagai hutang.
(9) Acara bagi akad nikah dan pendaftaran sesuatu perkahwinan di bawah seksyen ini adalah serupa dalam serba perkara dengan yang dipakai bagi perkahwinan-perkahwinan lain yang diakadnikahkan dan didaftarkan dalam Negeri Sabah di bawah Enakmen ini.
(10) Tiap-tiap Mahkamah yang memberi kebenaran atau memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan di bawah seksyen ini, hendaklah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan-
(a) untuk menghendaki seseorang untuk membuat pembayaran nafkah kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada; atau
(b) untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang telah diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan.
Pendakwaan ke atas suami yang berpoligami tanpa kebenaran pula adalah berdasarkan kepada Seksyen 124 enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Seksyen berkenaan menyatakan sebagaimana berikut:
Seksyen 124. Poligami tanpa kebenaran Mahkamah
Jika seseorang lelaki berkahwin lagi di mana-mana juapun dalam masa perkahwinannya yang sedia ada masih berterusan tanpa mendapat kebenaran secara bertulis terlebih dahulu daripada Mahkamah maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu
Untuk makluman Puan, segala proses pendakwaan dan penggantungan dari pendaftaran pernikahan yang baru itu tertakluk kepada adanya suatu aduan kepada pihak Pendaftar Perkahwinan dan juga Penguatkuasa Agama di jabatan agama Islam Negeri. Puan sebagai orang yang mengetahui hal tersebut berhak untuk melaporkan hal pernikahan kedua tersebut untuk mendapatkan keadilan.
Terserahlah kepada Puan untuk bertindak. Paling baik, dapatkan pandangan dari mana-mana peguam syarie atau terus saja mendapatkan pandangan lebih awal dari pihak Pendaftar Pernikahan di Negeri Puan.
Semoga penjelasan ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada Puan. wallahu a’lam.


10)
S: assalamualaikum…
saya mempunyai hubungan dengan kekasih hati merangkap suami orang hampir 6 tahun..Keluarga saya membenarkan saya bernikah dengan syarat pernikahan ini dilangsungkan dalam negeri.(pahang)
Masalah kami ialah hampir 4 tahun dia memohon kebenaran berpoligami dari isterinya tapi maki hamun dan sepak terajang yang diterimanya.Malah isterinya mengugut akan bomohkan kami berdua jika perkahwinan ini berlaku.Hal ini merungsingkan kami krn keluarga saya mahu mengadakan majlis perkahwinan pertengahan tahun ini kerana umur saya yg makin meningkat dan masalah kesihatan orang tua. Apa yg perlu kami lakukan supaya kami dapat berkahwin tanpa perlu ke luar negara?. Terima kasih.

J: Wa’alaykumusssalam wbt. SAYA terharu akan kesungguhan dan harapan yang tinggi Cik Es untuk bernikah secara sah menurut hukum syarak dan undang-undang. Dalam kes saudari Es, pastikan bakal suami saudari mengemukakan permohonan kebenaran berpoligami di Mahkamah Syariah di mana pihak suami bermastautin atau yang terdekat bagi memudahkan pihak isteri sedia ada dipanggil dan datang ke mahkamah syariah semasa pendengaran kes.
Soal maki hamun atau sepak terajang dari isteri sedia ada tidak menjejaskan usaha untuk menfailkan kes kebenaran berpoligami di mahkamah. Biarlah mahkamah yang menentukan samada suami tersebut layak atau tidak berpoligami. Ini kuasa mahkamah memutuskannya, bukan isteri sedia ada. yang penting, setiap kali mahkamah panggil, hadirlah dan beri kerjasama kepada mahkamah.
Jika ada jodoh, pasti tak kan ke mana. Jodoh, ajal, rezeqi segalanya telah ditentukan oleh Allah. Jika Allah kehendaki, maka pasti akan berlaku. Serahkan kepada Allah untuk memudahkan urusan ini. banyak-banyaklah berdoa kepada Allah agar hati isteri sedia ada dilembutkan. Bersangka baik itu lebih banyak manfaatnya di kemudian hari berbanding bersangka buruk dari peringkat awal.
Wallahu a’lam.


Catat Ulasan