DONATE

Isnin, 12 Julai 2010

TANGGUNGJAWAB MAJIKAN BERHUBUNGAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN DI TEMPAT KERJA DI BAWAH SYARIAH/PERUNDANGAN ISLAM

Oleh: Sheikh Ahmad Afiq bin Sheikh Yahaya

Pengenalan

Islam adalah agama yang syumul dan mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia merangkumi hubungan manusia dengan Al-Khaliq(Pencipta), manusia sesama manusia, individu dan masyarakat, pekerja dan majikan, rakyat dan pemimpin dan sebagainya.
Setiap bentuk perhubungan dalam sistem Islam melibatkan dua dimensi iaitu tidak terlepas dari hubungannya dengan Allah dengan makhluk sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Maksudnya, setiap hubungan manusia dengan manusia adalah termasuk dan dikira sebagai sebahagian ibadat yang telah diperintahkan oleh Allah dan akan mendapatkan ganjaran secara langsung atau tidak langsung dari-Nya. (Wan Ali Wan Jusoh et al. )


Manusia berfungsi sebagai khalifah Allah. Istilah khalifah membawa maksud manusia bertugas sebagai pengurus dan pengelola berbagai urusan kehidupan baik pada peringkat individu, keluarga, organisasi, masyarakat atau Negara. Oleh itu, sebagai khalifah Allah, manusia bertanggungjawab untuk mengurus tadbir kehidupannya agar sistem hidup berada dalam keadaan teratur dan mempunyai struktur yang menjamin kestabilan dan kefungsiannya. Prinsip asas yang diajar oleh Islam untuk menjamin kestabilan, keselamatan, kesihatan dan seterusnya kefungsian sama ada bagi manusia iaitu pekerja atau makhluk lain adalah perlakuan dan tindakan manusia hendaklah berteraskan prinsip keadilan, kebenaran dan terarah menuju kepada Pencipta Allah s.w.t.. Andai kata berada diluar ruang ini boleh menyebabkan manusia tersasar daripada jalan yang benar, jalan yang lurus jalan yang menjanjikan perolehan nikmat dan selamat seperti maksud firman Allah dalam surah Al-Fatihah ayat 6 hingga 7. (Khalijah Mohd Salleh et al.) Pengaruh mengurus dan mentadbir secara Islam ini akan melahirkan sebuah organisasi pekerjaan yang bertata tertib dan berperadaban tinggi.


Pekerjaan Menurut Islam

Islam menggalakkan umatnya bekerja dan berusaha maka keseluruhan tindakan dan amalan manusia yang melibatkan pekerjaan harian untuk mencari rezeki termasuk di dalam pengertian ibadat. Pekerjaan dan tugasan tersebut dilaksanakan dengan tekun, jujur dan ikhlas semata-mata kerana ianya satu yang dituntut oleh Allah dan Rasulullah s.a.w. . Di antara kriteria yang perlu menjadikan sesuatu kerja itu termasuk dalam ibadat ialah:
1) Pekerjaan tersebut mestilah halal dan bertepatan dengan syara’.
2) Pekerjaan tersebut dikerjakan dengan niat yang ikhlas bagi mencari keredhaan Allah
3) Pekerjaan tersebut dilaksanakan dengan tekun, cekap dan professional serta penuh ihsan.
4) Dalam pekerjaan tersebut mestilah mengambilkira prinsip-prinsip syara seperti adil, amanah, bertanggungjawab, syura dalam membuat keputusan dan seterusnya.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud :
“ Mencari sara hidup yang halal adalah satu kewajipan di samping kewajipan-kewajipan yang difardhukan.” (Riwayat Al-Tabrani dan Al-Baihaqi)

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi:

“Allah sukakan hamba-Nya yang bekerja (secara professional). Barang siapa yang bertungkus lumus mencari sara hidup keluarganya maka ia seperti seorang mujahid pada jalan Allah.” (Riwayat Imam Ahmad)

Menurut Abdul Ghani Shamsuddin et al 1989, Islam sangat mengutamakan kerja yang professional dan dilaksanakan dengan penuh tekun atau disebut sebagai itqan iaitu tekun, cermat, teliti dan kemas. Contoh yang terbaik boleh dilihat pada kehidupan peribadi Rasulullah sendiri dalam semua hal sama ada dalam urusan ibadat, bernegara, mengurus tadbir, mengurus keluarga, dan sebagainya. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari bahawa Rasulullah memunggah pasir untuk menjadikan kubu-kubu sehingga tertutup kulit perut baginda, bahkan baginda sanggup mengikat perut dan diselit dengan batu-batu untuk menahan lapar dalam masa peperangan Khandak. (Said Ramadhan Al-Buthi et al.)

Tafsiran Majikan dan Pekerja dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994

Majikan ertinya majikan langsung atau majikan utama atau kedua-duanya. Majikan langsung berhubungan dengan pekerja yang diambil khidmat oleh atau melaluinya, ertinya seseorang yang telah mengakuijanji untuk melaksanakan, di tempat kerja di mana majikan utama menjalankan perdagangan, perniagaan, profesion, vokasion, pekerjaan atau pencariannya di bawah pengawasan majikan utama atau ejennya, kesemua atau mana-mana bahagian apa-apa kerja yang biasanya menjadi sebahagian daripada kerja perdagangan, perniagaan, profesion, vokasion, pekerjaan atau pencarian itu dan termasuklah seseorang yang olehnya perkhidmatan seseorang pekerja yang telah membuat kontrak perkhidmatan dengannya dipinjamkan atau disewakan untuk sementara kepada majikan utama. Majikan utama ertinya pemunya suatu industri atau orang yang dengannya seseorang pekerja telah membuat kontrak perkhidmatan dan termasuklah:

1) Pengurus, ejen atau orang yang bertanggungjawab bagi pembayaran gaji atau upah kepada seseorang pekerja
2) Penghuni sesuatu tempat kerja
3) Wakil di sisi undang-undang pemunya atau penghuni yang telah meninggal dunia
4) Mana-mana kerajaan di Malaysia, jabatan mana-mana kerajaan itu, pihak berkuasa tempatan atau badan berkanun.


Pekerja ertinya seseorang yang diambil kerja yang diberi gaji di bawah kontrak perkhidmatan mengenai atau yang yang berkaitan dengan kerja suatu industri yang baginya Akta ini terpakai dan :

a) yang diambil kerja secara langsung oleh majikan utama mengenai apa-apa kerja industri itu, atau yang bersampingan dengan atau sebagai permulaan bagi atau yang berkaitan dengan kerja industri itu, sama ada kerja itu dilakukan oleh pekerja itu di tempat kerja atau di tempat lain.

b) yang diambil kerja oleh atau melalui seseorang majikan langsung di tempat kerja industry itu atau di bawah pengawasan majikan utama atau ejennya mengenai kerja yang biasanya menjadi sebahagian daripada kerja industri itu, atau yang menjadi permulaan bagi kerja yang dijalankan dalam atau bersampingan dengan maksud industri itu

c) yang perkhidmatannya dipinjamkan atau disewakan sementara kepada majikan utama oleh orang yang dengannya orang yang perkhidmatannya dipinjamkan atau disewakan itu telah memasuki suatu kontrak perkhidmatan.


Hubungan Pekerja dengan Majikan

Prinsip am berkenaan hubungan antara kedua-dua pihak ini adalah seorang majikan bertanggungjawab secara vikarius ke atas perbuatan pekerjanya yang terbit daripada pekerjaannya, sama ada perbuatan itu diarahkan oleh majikannya atau tidak. Ini ditegaskan oleh Lord Reid dalam kes Staveley Iron and Chemical Co. lwn. Jones Ltd., dimana dia berkata, “ Adalah menjadi satu peraturan undang-undang bahawa seorang majikan bertanggungjawab terhadap kerugian yang dialami oleh pihak ketiga akibat dari perbuatan atau kecuaian pekerjanya yang terbit daripada pekerjaannnya, walaupun dia(majikan) tidak melakukan kesalahan tersebut.” Ini bermakna bahawa supaya majkan bertanggungjawab, perbuatan ataupun kecuaian pekerja itu mestilah terbit daripada pekerjaannya.

Kewajipan Majikan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 memperuntukkan tentang kewajipan majikan, orang yang bekerja sendiri dan pekerja. Kewajipan Majikan ini dinyatakan dalam seksyen 15,16, 17 atau 18 . Kegagalan untuk mematuhi akta ini boleh membawa kepada hukuman penjara selama dua tahun atau denda RM20 000.00 atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 memperuntukkan bahawa adalah menjadi kewajipan setiap majiakan dan setiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan setakat yang boleh dipraktikkan, keselamatan , kesihatan dan kebajikan pekerja-pekerjanya di tempat kerja. Menurut Kamal Halili, kewajipan majikan termasuk:

1) Pengadaan dan penyengaraan loji dan sistem kerja setakat yang boleh dipraktikkan, selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan.
2) Pembuatan perkiraan bagi menjamin, setakat yang boleh dipraktikkan, keselamatan dan ketiadaan risiko kepada kesihatan dengan penggunaan atau pengendalian, penanganan, penyimpanan dan pengangkutan loji dan bahan
3) Pengadaan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan sebagaimana yang perlu untuk memastikan, setakat yang boleh dipraktikkan, keselamatan dan kesihatan pekerjanya yang sedang bekerja
4) Setakat yang boleh dipraktikkan, berkenaan dengan mana-mana tempat kerja di bawah kawalan majikan atau orang yang bekerja sendiri, penyenggaraannya dalam keadaan yang selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan dan pengadaan dan penyenggaraan cara masuk ke dalamnya dan keluar darinya yang selamat tanpa risiko sedemikian
5) Pengadaan dan penyenggaraan persekitaran pekerjaan bagi pekerja-pekerja yang setakat yang boleh dipraktikkan, selamat, tanpa risiko kepada kesihatan, dan memadai berkenaan dengan kemudahan bagi kebajikan mereka yang sedang bekerja.
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 juga telah menggariskan bahawa majikan perlu menyediakan satu dasar am secara bertulis berkenaan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Dasar am yang telah dibentuk itu, perlu disemak dan dikaji semula dari semasa ke semasa.


Apakah yang dimaksudkan dengan “setakat yang boleh praktik”? Majikan tidak dikehendaki mengambil langkah yang luar biasa ketika menjalankan kewajipannya seperti yang diperlukan dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Ertinya boleh dipraktikkan berdasarkan akta dengan mengambil kira:

1) Teruknya bahaya atau risiko
2) Keadaan pengetahuan mengenai bahaya atau risiko itu dan apa-apa cara untuk menghapuskan atau mengurangkan bahaya risiko itu
3) Ada tidaknya dan kesesuaian cara untuk menghapuskan atau mengurangkan bahaya atau risiko itu
4) Kos untuk menghapuskan atau mengurangkan bahaya risiko itu

Sabda Rasulullah s.a.w
“Sebaik usaha ialah usaha seorang pengusaha apabila ia bersifat jujur dan nasihat-menasihati”

Pekerjaan Menurut Konsep Islam

Kerja menurut konsep Islam adalah segala yang dilakukan oleh manusia yang meliputi kerja untuk dunia dan kerja untuk akhirat. Kerja untuk dunia terbahagi kepada dua iaitu bercorak aqli (mental) atau bercorak jasmani adalah dipandang penting dan mulia di sisi Islam asal sahaja dibolehkan oleh syarak. Islam mewajibkan kerja ke atas seluruh umatnya tanpa mengira darjat, keturunan atau warna kulit, kerana seluruh umat manusia adalah sama di sisi Allah, melainkan ketaqwaannya. Masyarakat Islam adalah sama-sama bertanggungjawab dan bekerjasama melalui kerja masing-masing. Berdasarkan kebolehan dan kelayakan bidang masing-masing kerana segala kerja mereka adalah bersumberkan iman dan bertujuan untuk melaksanakan amal soleh. Kerja adalah asas penilaian manusia dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya sebagai khalifah Allah untuk memakmurkan bumi ini sekaligus beribadat kepada Allah. Kerja juga merupakan cara yang tabi’i untuk manusia mencari nafkah bagi menyara hidup dan keluarga melalui berbagai sektor pekerjaan dan perusahaan yang sedia terbuka peluangnya dengan persediaan dan kemudahan alam yang Allah sediakan di atas muka bumi ini.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
“Tidaklah ada makanan seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari hasil usaha tangannya sendiri” (Riwayat Bukhari)

Islam menjadikan kerja sebagai tuntutan fardhu atas semua umatnya selaras dengan dasar persamaan yang diisytiharkan oleh Islam bagi menghapuskan sistem membeza-bezakan manusia mengikut darjat atau kasta dan warna kulit.

Firman Allah:
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang termulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang taqwa.” (Surah Al Hujurat, ayat 13)

Firman Allah lagi:
“Dan katakanlah wahai Muhammad, beramallah kamu akan segala apa yang diperintahkan, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah At Taubah, ayat 105)

Islam juga meningkatkan tuntutan kerja itu hingga ke tahap kewajipan agama. Oleh itu, tahap iman sentiasa dikaitkan oleh Al-Quran dengan amal soleh atau perbuatan baik. Ini bererti Islam itu adalah akidah yang mesti diamalkan dan amalan yang mesti berakidah secara tidak terpisah.


Islam Menjamin Keselamatan dan Kesihatan Pekerja.

Sabda Rasulullah s.a.w.
“Tidak boleh membuat bahaya kepada diri sendiri, dan tidak boleh membahayakan orang lain…” (Riwayat Muslim)

Di bawah Tort, tuntutan adalah berdasarkan kecuaian majiakan. Untuk membuktikan kecuaian majikan pekerja bekenaan mesti membuktikan bahawa

a) Mempunyai tugas/kewajipan berhati-hati
b) Dia telah memecah tugas/kewajipan tersebut
c) Pekerja mengalami kecederaan/kematian akibat daripada kegagalan menunaikan tugas/kewajipan tersebut.

Remedi yang biasa dituntut oleh pekerja ialah ganti rugi. Ganti rugi akan dikurangkan jika pekerja didapati menyumbang kepada kecederaan yang dialami, iaitu pekerja juga sedikit sebanyak bertanggungjawab terhadap bencana tersebut.

Firman Allah:
“Pada hari ini Kami tutup mulut mereka, dan Kami berbicara dengan tangan mereka dan menjadi saksi kaki mereka, tentang apa-apa yang telah mereka kerjakan”
Terdapat dua prinsip asas dalam Al-Quran dan Hadith berkenaan majikan dan juga pekerja (master servant). Majikan perlu membayar penuh upah atas perkhidmatan yang diberikan manakala pekerja perlu bekerja dengan ikhlas dan amanah.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
“Upah kerja mesti dibayar kepadanya(pekerja) sebelum peluh dibadannya kering”

Sabda Rasulullah s.a.w lagi bermaksud:
“Adalah menjadi tanggungjawab tuan(majikan), memberikan kerja kepada pekerjanya, apa yang mudah dibuat olehnya. Mereka tidak sepatutnya diberikan kerja yang menyebabkan kesihatan mereka terjejas) (Riwayat Ibnu Majah)

Islam bukan sahaja memelihara hak seorang pekerja tetapi juga majikan. Telah ditetapkan dalam Islam supaya perlunya nilai-nilai seperti bertanggungjawab, jujur dan kemuliaan dalam menjalankan setiap tugasan atau pekerjaan.

Majikan ialah orang yang mengambil satu atau lebih pekerja untuk bekerja dengannya. Pekerja seseorang yang mengusahakan sesuatu kerana mencari nafkah, orang yang memegang sesuatu jawatan dalam perkhidmatan awam atau swasta, lazimnya untuk mendapatkan bayaran atau memperoleh pendapatan.

Secara umumnya, hubungan majikan pekerja dalam syariat Islam terikat dalam acuan yang disebut sebagai hablun minan nas (hubungan interpersonal) yang mesti dijaga oleh kedua-dua pihak. Kesempurnaan hubungan manusia dengan manusia ini hanya akan tercapai setelah manusia sempurna hubungannya dengan Allah (hablun min Allah). Dan begitu juga sebaliknya, tidak akan sempurna hubungan manusia dengan Khaliqnya melainkan sempurna hubungan manusia sesama manusia.

Dari kaca mata Islam, majikan dan pekerja umpama satu anggota dalam ikatan persaudaraan, yang mampu memadamkan perasaan prejudis dan mengelakkan pekerja diperah keringat untuk kepentingan sendiri.

Kata Nabi Syuib a.s. kepada Nabi Musa a.s. dalam firman Allah:

“Aku tidak hendak memberati kamu. Dan kamu dengan izin Allah akan mendapati ku termasuk orang-orang yang baik” (Surah Al-Qasas, ayat 27)

Ini bermakna, Islam amat menekankan supaya setiap muslim tidak mengkesampingkan prinsip-prinsip kemanusiaan, keadilan dan kesaksamaan seperti maksud berikut:

1) Majikan tidak harus membebani pekerja dengan sesuatu beban kerja yang memang tidak mampu dilaksanakan oleh pekerja tersebut.
2) Majikan seharusnya sentiasa mengutamakan kebajikan kepada pekerja
3) Ganjaran dan dorongan perlu diberikan kepada pekerja setimpal dengan kerja yang dilakukan.
Menurut Maulana Manazir Ahsan Gilani, salah seorang ulama abad ke-20 telah membuat beberapa peraturan berhubungan dengan undang-undang pekerjaan dalam Islam.
1) Majikan dan pekerja mestilah menganggap mereka sebagai bersaudara. Persaudaraan Islam ini mestilah wujud pada setiap tahap.
2) Majikan dan pekerja adalah taraf setaraf sekurang-kurangnya dalam keperluan asasi. Pekerja patut memperolehi apa yang dimakan oleh majikan dan pakaian seperti yang dipakai majikan.
3) Masa dan tempoh kerja mestilah dalam batas kemampuan manusia.
4) Sekiranya jenis pekerjaan itu sukar dilakukan oleh pekerja, ini tidaklah bermakna pekerjaan itu mesti ditinggalkan atau pekerja dipaksa melakukan persetujuan bersama dan pekerja hendaklah diberikan semua bentuk pertolongan dan bantuan.


Tanggungjawab Majikan dan Pekerja


Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya:

“Setiap kamu adalah pemimpin, setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan kepada jagaannya, seorang pemimpin yang menjaga manusia, ia bertanggungjawab terhadap rakyatnya, seorang lelaki bertanggungjawab di atas keluarganya, seorang wanita adalah penjaga di rumah suaminya dan ia bertanggunjawab atas jagaannya. Seorang khadam penjaga harta-benda tuannya dan ia bertanggungjawab atas jagaannya. Setiap kamu adalah pemimpin(penjaga) dan setiap kamu akan ditanya tentang jagaan yang berada dibawahnya.”(Riwayat Bukhari, Muslim dan banyak lagi)

Menurut Hakim Mohd Said hubungan majikan dan pekerja Islam telah menggariskan beberapa prinsip yang perlu dipatuhi iaitu:
1) Majikan dan pekerja melakukan akad (kontrak). Layanan yang baik kepada pekerja dan pekerja bertanggungjawab melakukan kerja dengan penuh dedikasi.
2) Majikan hendakalah memenuhi kewajipan dari aspek kewangan serta menjaga kebajikan pekerja manakala pekerja mestilah memenuhi tanggungjawabnya dengan cara bekerja bersungguh-sungguh.

Firman Allah:
“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah” (Surah Al-Qasas,ayat 26)

Pekerja Menurut Undang-undang Tort Islam

Menurut perundangan Islam, para fuqaha telah membahagikan pekerja kepada dua kategori iaitu:
1) Ajir khass (ejen peribadi atau pekerja eksklusif)
2) Ajir mushtarak (kontraktor bebas)
Menurut Abdul Basir Mohamad, ajir khass bermakna seorang yang bekerja dengan orang lain pada masa tertentu, atau seorang yang diambil untuk bekerja kepada orang yang punya (majikan) dan dibayar gaji berdasarkan kepada tempoh masa dia berkhidmat.Contohnya, pegawai kerajaan atau pegawai swasta yang berkhidmat sepanjang tempoh perkhidmatan. Manakal ajir mushtarak ialah orang yang dilantik tidak terikat dengan syarat bekerja untuk majikan tersebut, tetapi upah yang dibayar apabila tugas selesai dilaksanakan. Contohnya, seperti kontraktor binaan yang bekerja sehingga selesai projek yang diberikan.

Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Melalui Budaya Kerja Kolektif

Bagi mencapai matlamat kesihatan dan kesihatan di tempat kerja, majikan mahupun pekerja mestilah bersama-sama berusaha mewujudkan suasana dan budaya kerja yang baik seperti yang disarankan oleh Al-Quran dan Sunnah. Contohnya:
1) Mujahadah. Semangat dan keazaman yang tinggi atau nekad dalam melaksanakan kerja bagi melepasi sasaran kerja.
2) Muraqabah. Penelitian dan perhatian bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas supaya tidak berlawanan dengan syariat selari .
3) Muhasabah. Penilaian yang dibuat terhadap pekerjaan yang dilaksanakan dari sudu pencapaian dan kekurangan yang dikenalpasti.
4) Jamaah. Majikan dan pekerja berusaha menghidupkan semangat budaya kerja secara kolektif untuk kepentingan organisasi iaitu dengan berganding bahu dalam menjalankan pekerjaan untuk menambahbaik keselamatan dan kesihatan ditempat kerja.
5) Ukhwah. Setiap anggota organisasi perlu diletakkan sebagai bersaudara supaya setiap orang daripadanya merasakan tanggungjawab di antara satu sama lain dalam melaksanakan tugas untuk ingat-mengingati dalam perihal keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Pekerja bekerja dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab bagi menjayakan perusahaan yang dilakukan dan majikan pla mempunyai rasa kasih dan menghormati pekerja sebagai saudara yang membantunya dan menuai hasil bagi menampung hidupnya.
6) Ta’awun. Bantu-membantu dalam melaksanakan tugas organisasi demi mencapai kejayaan. Sifat negatif dan mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan perlu dielakkan bagi mengelakkan semua anggota daripada menyumbang kepada kerugian organisasi.

Tort Dalam Al-Quran dan Sunnah

Sabda Rasulullah s.a.w. dalam khutbah wida’:
“ Sesungguhnya darah kamu, harta benda kau dan kehormatan kamu adalah haram dicerobohi sesama kamu sepertimana haramnya kepada kamu (melakukan pencerobohan) pada hari ini, dalam bulan ini dan dalam negeri ini.”
Dalam hadith yang lain pula :
“Tiada kemudaratan dan tidak dimudaratkan.”
Berdasarkan hadith yang dinyatakan , undang-undang Islam sangat perihatin mengawal, melindungi dan menjaga harta benda, serta kehormatan manusia daripada dicerobohi.

Konsep Tanggungan Dalam Undang-undang Tort Islam

Tanggungan


Dalam bahasa Arab tanggungan diistilahkan sebagai daman. Dari sudut bahasa, daman bererti tanggungan dan tanggungjawab. Dari sudut bahasa, daman bererti tanggungan atau tanggungjawab. Istilah daman ini diserasikan dengan dengan perkataan liabiliti yang memberi erti tanggungjawab,tanggungan atau kewajipan.
Menurut Abdul Basir Mohamad daman bermaksud kewajipan (iltizam/obligation). Pengertian ini telah digunakan bagi maksud yang lebih luas, iaitu sinonim dengan al-haq al-shakhsi (hak persendirian), taghrim (denda), mujib (tanggungjawab), dayn (hutang), daman(ganti rugi) dan sebagainya.
Para Fuqaha berpendapat daman dari sudut bahasa boleh dibahagikan kepada aspek jaminan iaitu kafalah dan ganti rugi iaitu gharamah.


Tanggungan Tegas (al-mas’uliyyah al shakhsiyyah)


Dalam syariat Islam, seseorang itu bertanggungan terhadap sebarang perbuatan atau tindakan atau tingkah lakunya, sebarang perbuatan atau peninggalan yang melibatkan dirinya dan tidak ditanggung orang lain. Ibadat sembahyang itu adalah suatu tuntutan kewajipan ke atas individu dan andai kata seseorang itu mengabaikan sembahyang maka dia yang bertanggungan secara tegas atas keingkaran tidak mengerjakannya. Begitu juga dalam kesalahan tort, maka dialah yang bertanggungan secara tegas, sama ada dikenakan hukuman qisas, diyat atau ta’zir mengikut jenis kesalahan yang telah dilakukannya.
Asas Tanggungan Tegas

Firman Allah:
“Dan ketahuilah seseorang pemikul tidak memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).” (Surah Al-An’am ayat 164)

Setiap orang bertanggungjawab terhadap sebarang perkara yang dilakukan dan seseorang itu tidak bertanggungjawab terhadap perbuatan lain.(Al-Maududi) Seseorang tidak boleh menafikan tanggungan atau tidak boleh berdalih terhadap tanggungan yang dibebankan ke atasnya setelah terbukti bahawa dia dengan sengaja telah melakukan perbuatan yang didakwa itu.

Firman Allah:
“Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalelas di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah Al-Syura, ayat 42)

“(Tiap-tiap balasan berdasarkan kaedah): Sesiapa yang mengerjakan amal salih, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu.” (Surah Al-Jathiyah, ayat 15)

“Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 286)

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah Al-Zalzalah, ayat 7 hingga 8)

Islam telah menegaskan bahawa seseorang itu tidak bertanggungan terhadap tindakan tort orang lain, melainkan tindakan tort yang dilakukan oleh dirinya sahaja. Terdapat hadith-hadith yang menyokong dan menegaskan kewujudan prinsip tanggungan tegas ini.

Sabda Rasulullah bermaksud:
“Engkau tidak akan melakukan kesalahan ke atasnya dan dia tidak akan melakukan kesalahn ke atas engkau.”
Sabda Rasulullah s.a.w. lagi bermaksud:
“Bapa tidak melakukan kesalahan ke atas anaknya dan anaknya tidak melakukan kesalahan ke atas bapanya.”

Dalam undang-undang tort Inggeris, tanggungan pihak defendan dalam undang-undang tort Islam berasaskan prinsip “kesalahan” atau “kesilapan”. Pihak defendan bertanggungan kerana telah melakukan kecuaian secara sengaja atau tidak sengaja. Semua fuqaha mazhab beretuju bahawa seseorang itu tidak bertanggungan terhadap sesuatu kecederaan atau kerosakan yang disebabkan olehnya, melainkan ada unsur kecuaian (tafrit) atau pencerobohan (ta’addi) pada pihaknya.

Bagi menentukan sama ada seseorang yang didakwa itu bersalah atau tidak, elemen niat terlebih dahulu perlu ditentukan. Seperti mana yang dinyatakan dalam hadith berikut:

" Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : " Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : - ' Hanya amalan-amalan itu adalah ( bergantung ) kepada niat, dan hanya bagi setiap manusia itu apa ( balasan ) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia menikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Namun begitu, terdapat pengecualian bagi prinsip umum hal tersebut. Ini dapat dijelaaskan melalui kes-kes yang mana pihak defendan dibebankan dengan tanggungan tegas terhadap kemudharatan yang berlaku secara tidak sengaja, yang tidak tertakluk kepada perlunya wujud elemen niat salah ataupun kecuaian.

Penjelasan tanggungan tegas daripada para fuqaha:

1) Sekiranya seseorang itu menggunakan haknya, dia telah melakukan suatu perbuatan yang mendatangkan risiko bahaya kepada orang lain atau kepada harta bendanya, dia akan bertanggungan terhadap sebarang kerosakan dan kecederaan yang berlaku. Seseorang iu wajib memastikan keselamatan orang lain sekalipun ketika menggunakan haknya sendiri. Contohnya, seseorang yang membawa muatan pasir melalui jalan raya. Sekiranya pasir tersebut jatuh ke atas pengguna jalan raya yang lain boleh menyebabkan kecederaan, pihak yang membawa pasir tersebut bertanggungan terhadap kecederaan tersebut.

2) Untuk tindakan berbahaya, pihak pelaku akan bertanggungan terhadap kemudaratan yang mungkin terjadi.

3) Sekiranya seseorang itu merosakkan sesuatu barang kepunyaan orang lain sama da secara sengaja atau tidak sama ada kerosakan itu berlaku ketika barang itu dalam amanahnya kepadanya untuk menjaganya, pihak yang merosakkannya bertanggungan.

4) Sekiranya seseorang menenggelamkan orang lain atau menyebabkan sekumpulan orang mati kelemasan dengan membuka pintu empangan air atau dengan membiarkan api kebakaran merebak atau dengan meruntuhkan sesebuah bangunan dan semua tindakan itu telah mengakibatkan kehilangan nyawa orang ramai, pihak yang melakukan tindakan sedemikian bertanggungan atas tindakannya itu.

5) Jika seseorang tergelincir lalu terjatuh ke atas harta benda milk orang lain dan menyebabkan harta benda itu mengalami kerosakan, dia bertanggungan terhadap kerosakan itu.

6) Jika seseorang merosakkan harta benda orang lain disebabkan tersalah anggapan dengan mempercayai bahawa harta benda itu kepunyaannya, dia tetap bertanggungan terhadap kerosakan tersebut.

7) Sekiranya seseorang membawa masuk sesuatu benda secara sah ke atas tanah kepunyaannya, seperti longgokan batu atau sejumlah air, atau dia menggali lubang di situ yang secara semulajadinya boleh menyebabkan jirannya mengalami kemudaratan atau jika benda-benda iu terlepas masuk ke atas tanah jirannya, maka dia bertanggungan terhadap sebarang kerosakan yang berlaku disebabkan keadaan-keadaan sedemikian.

8) Ibn Qudamah melaporkan:
“Ajir mushtarak(kontraktor bebas) bertanggungan terhadap kerosakan yang disebabkan tindakannya, dan pengangkut barangan bertanggungan terhadap barang yang terjatuh daripada pegangannya. Pemandu unta bertanggungan terhadap sebarang kerosakan yang disebabkan oleh unta yang dipandunya itu atau dengan sebab tali ikatan barang di atas belakang unta itu terputus.”

Syarat-syarat Liabiliti dalam Kes Liabiliti Vikarius

1. Mesti terdapat kontrak (aqad) di antara majikan dan pekerja. Ini merujuk kepada definisi yang telah digariskan oleh Ibn Qudamah seperti yang telah dinyatakan sebelum ini.
“Seseorang yang membuat perjanjian kontrak ke atas dirinya pada masa tertentu, dan majikan yang layak untuk memperoleh manfaat darinya untuk tempoh masa tersebut.”
Dalam undang-undang Inggeris, kontrak terbahagi kepada dua jenis iaitu:

1) Kontrak Perkhidmatan
2) Kontrak Untuk Perkhidmatan


Lord Denning berkata, “Adalah mudah untuk mengenalpasti satu kontrak perkhidmatan tetapi adalah sukar untuk membezakan kontrak perkhidmatan dan kontrak untuk perkhidmatan. Kapten sebuah kapal, seorang pemandu dan wartawan bekerja di bawah sebuah kontrak perkhidmatan tetapi pemandu sebuah kapal, pemandu teksi dan penyumbang artikel kepada mana-mana surata khabar semua bekerja di bawah kontrak untuk perkhidmatan. Elemen yang umum yang terdapat dalam semua situasi ini adalah di bawah kontrak perkhidmatan, pihak yang berkenaan bekerja sebagai sebahagian daripada organisasi dan kerjanya merupakan bahagian penting daripada organisasi tersebut. Manakala, di bawah kontrak untuk perkhidmatan, walaupun kerja itu dibuat untuk organisasi tersebut tetapi ia adalah kerja sampingan sahaja.
Dalam kes Ready Mixed Concrete Ltd lwn. Minister of Pensions dan National Insurance, mahkamah memutuskan bahawa terdapat 3 syarat yang mesti dipatuhi bagi mewujudkan satu kontrak perkhidmatan iaitu:

1) Pekerja bersetuju menyediakan perkhidmatan dan kemahirannya kepada majikan sebagai balasan kepada apa-apa bayaran yang diterima.
2) Pekerja bersetuju secara nyata ataupun tersirat bahawa dalam melaksanakan tugasnya terdapat sedikit elemen kawalan yang munasabah oleh majikannya,
3) Lain-lain syarat dalam kontrak mestilah konsisten dengan status kontrak itu sebagai kontrak perkhidmatan.
Jika salah satu syarat ini tidak ada maka kontrak yang wujud ialah kontrak untuk perkhidmatan.

2. Perilaku salah atau perilaku tort disebabkan tindakan pekerja.
Kita perlu mengetahui bahawa tindakan kecuaian yang dilakukan oleh pekerja boleh berlaku dalam 2 situasi. Pertama, tindakan kecuain boleh berlaku disebabkan pekerja bekerja dalam kawasan milik majikan dibawah kontrak di antara mereka, dan yang kedua, pekerja bekerja dalam kawasan milik pihak ketiga dengan kontrak diantara pekerja dan dan majikannya. Dalam situasi kontrak perkhidmatan tersebut, sekiranya pekerja menerima kerosakan hartabenda orang lain atau melibatkan kecederaan seseorang dalam waktu bekerja tanpa terdapatnya ta’addi(pencerobohan) atau kecuaian, pekerja tersebut tidak menanggung liabiliti tetapi majikan terpaksa menanggung liabiliti vikarius. Liabiliti vikarius bermaksud seseorang yang bertanggunjawab ke atas kesalahan yang dibuat oleh orang lain walaupun orang it bukan salah satu pihak yang melakukan torts itu ataupun tidak langsung melakukan perbuatan tersebut.

Dalam kes Ricketts lwn Thomas Tilling Ltd. (1915) 1 K.B. 644, plaintif telah menerima kecederaan daripada bas yang dipandu oleh konduktor bas dengan kebenaran pemandu bas. Konduktor bas tersebut telah memandu bas tersebut ke satu hujung jalan untuk memusing kedudukan bas. Akibat daripada tindakan tersebut telah merosakkan kaki lima dan menyebabkan kecederaan kepada plaintif. Mahkamah telah memutuskan bahawa defendan bertanggungjawab ke atas kecederaan yang dialami oleh plaintif atas sebab kecuaian pemandu bas membenarkan orang yang tidak kompeten atau tidak layak untuk memandu bas tersebut.

Dalam kes Century Insurance Co lwn. Northern Ireland Road Transport Board (1942) A.C. 509, tindakan tort yang melibatkan lori tangki petrol yang meletup hingga menyebabkan garaj dan rumah berdekatan musnah. Majikan bertanggungjawab secara vikarius dan menanggung liabiliti atas kerosakan yang diterima dalam tempoh khidmat pemandu lori tangki tersebut.
Adalah dipastikan bahawa tiada percanggahan berkenaan tindakan salah atau tort pekerja sama ada dalam Syariah Islam mahupun undang-undang Inggeris.


3. Terdapatnya kecederaan (darar) kepada pihak ketiga semasa melakukan pekerjaan .

Menurut Wahbah Al-Zuhaili,
“Majikan bertanggungjawab bagi setiap kerja yang dilakukan oleh pekerja bila terdapatnya kontrak (aqad ijarah), dan kecederaan (darar) terhasil akibat daripada kerja yang dilakukan di mana, alatan yang digunakan, tempat kerja dan kaedah kerja yang dilakukan adalah mengikut amalan kerja normal harian, atau majikan mengarahkan sesuatu yang dilampaui daripada skop kerja, jika dua hukum ini tidak dapat dibuktikan, maka majikan tidak menanggung liabiliti.”

Majikan hanya bertanggungjawab terhadap kerosakan yang disebabkan oleh tindakan pekerja yang mana tindakan tersebut di dalam tempoh khidmat pekerja tersebut.

Para fuqaha bersetuju melalui manuskrip Al-Hidayah bahawa:
“Ajir khass tidak menanggung liabiliti terhadap kerosakan yang berlaku semasa keharirannya (fi yadih) (tanpa ada tindakan penyumbang) dan dia tidak menanggung liabiliti diatas kerosakan yang berlaku akibat daripada tindakannya sendiri (min amalih)”

Al-Babarti telah menghuraikan maksud “ kerosakan yang berlaku akibat daripada tindakannya sendiri(min amalih)” melalui contoh yang dibawakan seperti kes yang melibatkan peralatan kerja rosak semasa tempoh pekerja bertugas (fi amalih) . Fuqaha kontemporori bersetuju dengan syarat liabiliti vikarius melibatkan majikan dan pekerja. Ibn Abidin menghuraikan tentang “bi amalih” dengan mengatakan bahawa “kerja yang dibenarkan untuk diselesaikan” dan sekiranya pekerja melakukan sesuatu diluar skop ke tindakan yang terbit daripada pekerjaan , pekerja itu sendiri akan menanggung liabiliti kerana dikira sebagai melakukan sesuatu diluar bidang pekerjaan.

Contohnya, sekiranya seorang ajir khass menyalakan lampu atas mematuhi arahan majikannya, dan lampu tersebut jatuh dan membasahkan kain tenunan (thiyab al-qisarah), liabiliti bukan pada pekerja tersebut, majikan menanggung liabiliti vikarius kerana menyalakan lampu itu satu tugas dibenarkan(bi idhnih) seorang penenun, tetapi sekiranya lampu itu jatuh dan membasahi kain selain kain fuller, liabiliti adalah atas ajir khass kerana terdapat aktiviti ultra vires tanpa wujudnya sebarang kebenaran. Ini adalah diluar tindakan yang terbit daripada pekerjaan

Dalam undang-undang Inggeris, majikan tidak menanggung liabiliti atas tindakan tort yang dilakukan oleh pekerja melainkan ianya tindakan yang terbit daripada pekerjaan. Liabiliti ditanggung majikan secara mutlak dan tegas, sama ada terdapatnya elemen kecuaian diatas kecuaian pekerjanya ataupun bagi pihaknya.
Kedua-dua undang-undang Syariah dan Inggeris bersetuju bahawa majikan hanya menanggung liabiliti untuk tort yang dilakukan oleh pekerja melainkan ianya tindakan yang terbit daripada pekerjaan. Sekiranya diluar bidang tugas, majikan akan terlepas daripada liabiliti. Cuma, yang membezakan kedua undang-undang Syariah dan Inggeris ini ialah konsep berkaitan “within the course of employment”( tindakan yang terbit daripada pekerjaan). Terdapat juga perbezaan konsep berkenaan kecuaian (negligence). Dalam Islam, sekiranya kecuaian daripada pihak pekerja, majikan tidak akan menanggung liabiliti vikarius. Ini merupakan elemen yang penting dalam Islam.Walaupun ianya dalam tindakan yang terbit daripada pekerjaan, tetapi dilaksanakan dengan cuai, majikan bebas daripada liabiliti. Mahkamah akan melihat elemen ini secara berasingan sebelum membuat keputusan dalam kes berkaitan.

Sebaliknya dalam undang-undang tort Inggeris, elemen kecuaian bukanlah satu elemen penting bila keadaan tindakan yang terbit daripada pekerjaan wujud. Walaupun terdapat elemen kecuaian pihak pekerja, mahkamah hanya akan melihat kecuaian tersebut adalah tindakan yang terbit daripada pekerjaan atau tidak. Liabiliti akan ditanggung oleh majikan walaupun pekerja melakukan kerjanya secara cuai. Elemen tindakan yang terbit daripada pekerjaan ini lebih diutamakan berbanding elemen kecuai dalam undang-undang Inggeris.

4. Tindakan tort yang dilakukan pekerja untuk manfaat majikan

Dalam undang-undang Syariah menggunakan prinsip liabiliti vikarius, majikan yang menerima manfaat daripada pekerjanya menanggung liabiliti vikarius sekiranya pekerja membuat tindakan yang terbit daripada pekerjaan. Contohnya, sekiranya majikan mengarahkan pekerja untuk menggali telaga, dan ada orang yang terjatuh ke dalam telaga tersebut, maka liabiliti ditanggung oleh majikan. Ini kerana, kerja tersebut dilakukan atas untuk manfaat dan arahan majikan tersebut.
Terdapat persetujuan pandangan kedua-dua undang-undang Islam dan Inggeris dalam membincangkan maksud manfaat daripada kerja yang dilakukan pekerja untuk majikan. Kedua-dua undang-undang bersetuju bahawa pekerja mesti bekerja atau melakukan pekerjaan. Walaubagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan secara terperinci yang mana Islam tidak menggariskan tanggungjawab vikarius liabiliti sekiranya pekerja melakukan tindakan dengan cuai walaupun dia melakukan pekerjaan untuk manfaat majikannya. Manakala, dalam undang-undang Inggeris pula, elemen kecuaian tidak diutamakan untuk pekerja yang melakukan tindakan untuk manfaat majikannya dalam tindakan yang terbit daripada pekerjaan.

5. Kerja yang dilakukan oleh pekerja mematuhi undang-undang

Dalam Islam, adalah menjadi satu keutamaan pekerja melakukan kerja yang diberikan oleh majikan mematuhi undang-undang (mashru’). Sekiranya melibatkan harta benda orang lain, arahan majikan tersebut boleh diabaikan oleh pekerja kerana undang-undang Islam tidak membenarkan satu kerja dibuat yang melibatkan harta benda orang lain melainkan dengan persetujuan orang itu.

Sekiranya seseorang mengarahkan orang lain untuk memegang harta benda orang lain secara tidak sah, orang yang memegang harta benda itu menanggung liabiliti kerana arahan orang pertama dianggap tidak wujud. Dalam apa-apa situasi pun arahan wujud, liabiliti tidak ditanggung oleh pemberi arahan.

Dalam kes tertentu, pekerja menanggung liabiliti sekiranya pekerja tersebut melibatkan kerosakan harta benda pihak ketiga melalui arahan majikan, pekerja tersebut layak untuk membuat permohonan gantirugi daripada majikan sekiranya dia tidak tahu bahawa tindakan itu tidak mematuhi undang-undang. Contohnya, sekiranya majikan mengarahkan pekerja menggali telaga dalam sebuah tanah yang dimiliki oleh orang lain, pekerja tersebut menganggap bahawa ianya kepunyaan majikannya, maka majikannya itu bertanggungjawab terhadap tindakan pekerjanya.

Sekiranya pekerja menyedari bahawa tindakan majikan itu melanggar undang-undang, liabiliti akan ditanggung oleh pekerja bukan majikan. Contohnya, majikan mengarahkan pekerja menggali telaga di jalanraya dan majikan menyedari keadaan tersebut melanggar undang-undang, pekerja tersebut menanggung liabiliti sekiranya berlaku kerosakan. Secara ringkasnya, dapatlah diketahui bahawa undang-undang Islam ini mengutamakan mahkamah untuk melihat kes ini secara menyeluruh sebelum keputusan dibuat.


Kesimpulan


Al-Quran merupakan sumber rujukan utama undang-undang Islam. Sunnah Rasulullah s.a.w. merupakan rujukan kedua terpenting selepas Al-Quran manakala ijmak ulama pula menjadi sumber rujukan ketiga dan seterusnya qias merupakan sumber rujukan keempat. Undang-undang Islam bermatlamat untuk mewujudkan keharmonian dan keselesaan kehidupan, manakala dalam konteks pekerjaan, Islam sangat mengutamakan konsep bekerja dengan selamat dan sihat malah semestinya tidak bertentangan dengan syara’.

Firman Allah bermaksud:
“… dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.
Perbaikilah segala usaha dan perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi
orang yang berusaha supaya baik amalannya” (Surah Al-Baqarah, ayat 195)

Islam juga menetapkan tanggungjawab bersama majikan dan pekerja untuk mengelakkan kemudaratan sedaya mungkin. Budaya keselamatan dan tuntutan berhati perlu diamalkan di tempat kerja bagi wujudkan suasana tempat kerja yang selamat dan sihat.
Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya:

“Setiap kamu adalah pemimpin, setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan kepada jagaannya, seorang pemimpin yang menjaga manusia, ia bertanggungjawab terhadap rakyatnya, seorang lelaki bertanggungjawab di atas keluarganya, seorang wanita adalah penjaga di rumah suaminya dan ia bertanggunjawab atas jagaannya. Seorang khadam penjaga harta-benda tuannya dan ia bertanggungjawab atas jagaannya. Setiap kamu adalah pemimpin(penjaga) dan setiap kamu akan ditanya tentang jagaan yang berada dibawahnya.”(Riwayat Bukhari, Muslim dan banyak lagi)


Rujukan

1) Abdul Basir Mohamad.1999.. Undang-undang Tort Islam
2) Abdul Basir Mohamad. Vicarious Liability: A Study On Employer and Employee in The Islamic And English Law of Tort
3) Abdul Basir Mohamad.2000. Strict Liability in The Islamic Law of Tort
4) Wan Ali Wan Jusoh.Hubungan Majikan dan Pekerja dari Perspektif Islam
5) Rahim Dino Mahar. 2005.Dignity of Labour in Islam
6) Hj Ahmad Hj Awang.1988. Konsep Bekerja Menurut Pandangan Islam.Sinaran Islam.
7) Mustafa Abdul Rahman. Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya)
8) Said Ramadhan Al-Buthi. Sirah Nabawiyyah
9) Khairul Azhar Idris. Akauntabiliti Menurut Perspektif Islam
10) Khalijah Mohd Salleh. 2009. Sains Tauhidik: Model, Ciri-ciri, Kegiatan dan Amalan. Seminar Pendidikan Sains dan Teknologi Maklumat (STeM’09) Kongres Pengajaran dan Pembelajaran UKM 2009

Isnin, 5 Julai 2010

KAEDAH PEMBUKTIAN DALAM KES HUDUD

Oleh : Paizah Haji Ismail


ABSTRACT

There have been discussions among Islamic jurists whether the court is bound to certain guidelines in deciding the methods of evidence in criminal cases. The purpose of this article is to shine some light on this issue especially with connection to certain evidence, which is not accepted by some Islamic jurists. For the purpose, every single opinion has been analysed together with others in a method of comparative study. The analysis shown that although there are some differences in detail between the jurists, yet principally they agreed that the Islamic Syariah has imposed various conditions in matters related to Hudud cases for the sake of justice. For the purpose of contemporary fiqh the diference in opinion between jurists can be considered as a starting point towards a contemporary development in the subject mater.


Pendahuluan

Kaedah pembuktian bermaksud cara yang digunakan bagi membuktikan kesalahan dihadapan mahkamah. Sebagai suatu kaedah bagi tujuan khusus, ia mungkin berbeza daripada “pembuktian” dalam konsepnya yang umum. Kerana, dalam konsepnya yang umum, pembuktian tidak semestinya di hadapan mahkamah dan tidak terikat dengan cara-cara tertentu. Sedangkan dalam konsepnya yang khusus ini ia perlu dilakukan di hadapan mahkamah dan perlu menggunakan cara-cara yang tertentu.

Ini bererti, kadangkala sesuatu “kebenaran” pada pandangan mahkamah tidak sama dengan realiti sebenar di luar mahkamah. Dengan kata lain, kadangkala apa yang diputuskan oleh mahkamah bertentangan dengan realiti sebenar di luar mahkamah. Semuanya terhenti atas samada realiti yang sebenar di luar mahkamah itu berjaya dibuktikan dengan cara-cara tertentu yang ditetapkan oleh undang-undang yang terpakai bagi mahkamah berkenaan.

Sehubungan dengan ini mahkamah sebenarnya berhadapan dengan dua nilai. Pertamanya, nilai keadilan. Berasaskan kepada nilai ini apa juga cara perlu digunakan asalkan keadilan itu dapat ditegakkan sementara nilai kedua pula ialah kemantapan atau kestabilan urusan guaman yang dilakukan. Berasaskan kepada nilai ini hakim perlu terikat dengan cara-cara tertentu dan bagaimana dia menilai hujah-hujah yang dikemukakan agar dia lebih telus dan terdapat keselarasan yang jelas di kalangan para hakim dalam menentukan hukuman.

Di bawah sistem kehakiman konvensional, terdapat berbagai pandangan dalam usaha mencari penyelesaian di antara dua nilai ini.1 Ada yang berpendapat mahkamah perlu bebas dalam mencari kebenaran dan tidak patut terikat dengan kaedah pembuktian tertentu. Ada pula yang berpendapat sebaliknya, iaitu mahkamah perlu terikat dengan kaedah tertentu yang digariskan oleh undang-undang berkenaan. Selain itu ada pula pendapat yang membezakan antara kes-kes jenayah dan kes-kes sivil. Berasaskan kepada pandangan ini, dalam kes-kes jenayah mahkamah perlu bebas sepertimana yang dicadangkan oleh pandangan pertama tadi sementara dalam kes-kes sivil mahkamah perlu terikat dengan kaedah-kaedah tertentu sebagaimana yang disarankan oleh pandangan kedua.


Kaedah Pembuktian Dalam Kes Hudud Pandangan Syariah Islam


Dr. Ahmad Mu'afi dalam buku beliau Min al-Fiqh al-Jina’i Bayna al-Syari‘ah al-Islamiyah wa al-Qanun2 menyebut, Syariah Islam lebih cenderung kepada mengikat mahkamah dengan kaedah pembuktian tertentu dalam kes-kes jenayah. Walau bagaimanapun, terdapat pandangan yang sebaliknya iaitu yang diutarakan oleh Ibn al-Qayyim dalam bukunya I‘lam al-Muwaqqi‘in dan al-Turuq al-Hukmiyyah.

Dalam I‘lam al-Muwaqqi‘in3 Ibn al-Qayyim menyebut:

“Dalam semua persoalan, Syariah Islam bertujuan untuk menjelaskan kebenaran walau dengan apa cara sekalipun, dan tidak akan menolak apa-apa sekalipun, dan tidak akan menolak apa-apa kebenaran apabila ada dalil yang jelas mengenainya. Kerana dengan penolakan seperti itu hak-hak Allah atau hambanya akan hilang atau terganggu. Sebenarnya kelahiran kebenaran itu tidak hanya bergantung kepada perkara tertentu sahaja. Oleh kerana itu tidak perlu ditentukan kaedah tertentu dalam menjelaskan kebenaran sedangkan kaedah lain juga boleh memainkan peranan yang sama tanpa apa-apa perbezaan.”

Dalam al-Turuq al-Hukmiyyah4 pula beliau menegaskan:

“Apabila tanda-tanda keadilan itu telah jelas, baik dengan apa cara sekalipun maka itulah Syariat dan agama Allah. Kerana Allah SWT lebih mengetahui, lebih bijaksana dan lebih adil dari hanya menentukan kaedah tertentu dalam memperjelaskan keadilan dan tanda-tandanya sedangkan ada cara-cara lain lagi yang lebih berkesan dan lebih telus. Malah Allah telah memperjelaskan bahawa apa yang penting ialah menegakkan keadilan itu sendiri di antara para hambanya dan supaya manusia berlaku adil. Maka apa sahaja cara yang boleh menegakkan keadilan dan kesaksamaan ia adalah kehendak
agama dan tidak bertentangan dengannya."



Tertarik dengan pandangan Ibn al-Qayyim ini, Dr. Ahmad Fathi Bahnasi5 berpendapat dalam Syariat Islam mahkamah tidak terikat dengan apa-apa kaedah tertentu dalam membuktikan kesalahan. Sebaliknya ia mempunyai kebebasan untuk menerima apa sahaja keterangan yang boleh memperjelaskan kebenaran.

Bagi memperjelaskan lagi prinsip terbuka berkenaan Dr. Bahansi menukilkan penegasan-penegasan Ibn al-Qayyim selanjutnya sepertimana berikut:

"Syariat Islam tidak hanya membataskan kepada kesaksian dua orang lelaki dalam menentukan kebenaran samada dalam kes-kes penumpahan darah, harta, perzinaan ataupun dalam kes-kes hudud. Malah para Khalifah al-Rasyidun dan para sahabat Rasulullah yang lain pernah menjatuhkan hukuman dalam kes zina berasaskan mengandung dan dalam kes minum arak berasaskan bau dan muntah."

Begitulah juga apabila didapati barang curi pada seseorang, orang tersebut lebih perlu dihukum dengan hukuman hudud daripada orang yang mengandung (tanpa suami) dan orang yang ada bau arak (di mulutnya). Segala bentuk gejala bau arak ada pada gejala terdapatnya barang curi pada seseorang, malah dengan cara yang lebih tegas. Ini kerana keraguan yang terdapat pada gejala mengandung, misalnya disebabkan oleh persetubuhan secara paksa atau secara “syubhah”, begitu juga yang ada pada gejala bau mulut dalam kes minum arak tidak ada dalam kes penemuan barang curi pada seseorang.

Para Khalifah al-Rasyidun dan para sahabat Rasulullah SAW sebenarnya tidak mengambil kira dengan keraguan seperti ini. Kerana pengambilkiraan keraguan seperti ini boleh membuka jalan ke arah penolakan kesaksian para saksi atas alasan yang sama. Kerana keraguan dalam kesaksian sebenarnya lebih besar daripada keraguan yang ada dalam keterangan-keterangan di atas tadi. Maksudnya, kalau keterangan-keterangan seperti tadi ditolak maka keterangan saksi lebih utama ditolak.”


Maka berasaskan prinsip yang terbuka ini Dr. Ahmad Fathi Bahansi berpendapat ada tujuh cara yang boleh digunakan dalam membuktikan kes jenayah, iaitu kesaksian, pengakuan, bahan bukti (qarinah), keterangan pakar (al-khibrah), pengetahuan hakim, dokumen ( al-kitabah) dan sumpah. Semuanya ini boleh disebut dalam satu istilah yang sama, iaitu keterangan (al-bayyinah).7

Bagaimanapun, dalam penulisan ini tumpuan akan diberikan kepada keterangan-keterangan yang boleh diterima dalam kes-kes hudud sahaja memandangkan persoalan yang dibincangkan di sini khusus tentang jenayah hudud, iaitu:

1. Keterangan Saksi (al-Syahadah)

Dalam al-Quran Allah berfirman:

Maksudnya:

“Maka hendaklah kamu bersaksikan dua saksi lelaki dari kalangan kamu”

Surah al-Baqarah (2) : 282


Firman Allah lagi:

Maksudnya:

“Maka hendaklah kamu melantik saksi dari kalangan yang adil di antara kamu”

Surah al-Talaq (65) : 2


Dalam hadis, antara lain Rasulullah SAW pernah bersabda kepada pihak pendakwa:
Maksudnya:

شا هداك أو يمينه

“Dua saksi kamu atau sumpahnya (yang terdakwa)"

(Riwayat Bukhari)


Selain di atas terdapat berbagai -bagai ayat dan hadis yang memberi pengertian yang sama, iaitu menunjukkan bahawa keterangan saksi merupakan suatu asas yang perlu diterima dalam menentukan keputusan di mahkamah. Dengan kata lain, ia mengikut hakim dalam membuat keputusan apabila segala syarat yang diperlukan dipenuhi.

Berasaskan kedudukan ini, seseorang yang layak memberi keterangan sebagai saksi berkewajipan memberi keterangan yang diperlukan oleh mahkamah. Dalam kes-kes sivil atau dalam istilah yang lebih tepat, kes-kes yang melibatkan hak individu kewajipan itu berlaku apabila dia diminta memberi keterangan berkenaan. Sementara dalam kes-kes yang melibatkan hak awam (Haqqullah) pula kewajipan berlaku walaupun tanpa diminta. Ini kerana ia merupakan hak yang boleh dituntut oleh pendakwa.8

Bagaimanapun, dalam kes-kes hudud secara khusus, seseorang boleh memilih samada mahu memberi keterangan berkenaan secara sukarela (Hisbah) atau sebaliknya dengan tujuan untuk melindungi maruah pihak yang melakukan kesalahan berkenaan. Malah terdapat hadis-hadis Rasulullah SAW yang memberi erti bahawa langkah melindungi maruah dengan cara tidak memberi keterangan seperti itu lebih diutamakan (afdal).

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda9:

من ستر عورة أخيه المسلم ستر الله عورته يوم القيامة

Maksudnya:

“Sesiapa yang melindungi (maruah) seseorang muslim Allah akan melindungi di dunia dan di akhirat”

(Riwayat Ibn Majah)


Dalam suatu hadis yang lain baginda Rasululah SAW bersabda kepada seorang yang bernama Huzal al-Aslami apabila orang tersebut membuat keterangan kesaksian di hadapan baginda.

Sabda Rasulullah SAW:
لو ستر ته ثوبك كان خيرا لك

Maksudnya:

“Kalau kamu lindunginya dengan pakaian kamu tentu sekali lebih baik bagi kamu.”

(Riwayat Abu Daud)

Perbezaan antara kes hudud dan kes-kes lain ini mempunyai asas yang jelas. Dalam kes-kes yang melibatkan hak individu, ada hak yang akan luput kalau sekiranya orang yang sepatutnya menjadikan saksi enggan memberi keterangan. Sebaliknya dalam kes hudud kehilangan hak seperti itu tidak akan berlaku, maka perlindungan terhadap maruah tertuduh wajar diutamakan

Kes mengambil harta orang telah dijadikan contoh yang praktikal oleh sesetengah fuqaha bagi menghuraikan perkara ini. Kalau sekiranya orang yang sepatutnya menjadi saksi dalam kes berkenaan tidak bersedia langsung untuk memberi keterangan, hak tuan punya harta untuk mendapatkan kembali hartanya yang diambil orang itu luput begitu sahaja. Tetapi kalau sekiranya saksi berkenaan memberi keterangan berasaskan jenayah mencuri, dia tidak bersikap melindungi maruah saudaranya yang dituduh dalam kes itu. Maka sebaik-baiknya dia memberi keterangan untuk menegakkan kes sivil sahaja, iaitu mengambil harta orang secara tidak sah10 yang tidak melibatkan tertuduh yang tidak segan silu melakukan kejahatan berkenaan. Kerana mereka yang seperti itu tidak perlu dilindungi maruahnya dan perlu dihapuskan.11

Bagaimanapun, untuk layak menjadi saksi seseorang itu perlu memenuhi syarat tertentu. Bagi para fuqaha12 syarat-syarat tersebut dikategorikan kepada dua. Pertamanya kelayakan mempunyai maklumat ( ) dan keduanya kelayakan memberi
keterangan tentang maklumat berkenaan.



Untuk menjadi layak mempunyai atau memiliki maklumat berkenaan seseorang itu perlu waras, iaitu seorang dewasa yang tidak gila. Dengan kata lain, kanak-kanak dan orang gila tidak layak mempunyai maklumat berkenaan.

Untuk layak memberi keterangan pula, seseorang itu perlu seorang yang waras baligh, adil, maksudnya seorang yang tidak terkenal sebagai jahat, beragama, iaitu tidak pernah melakukan dosa besar atau sentiasa melakukan dosa kecil, bermaruah iaitu tidak berkelakuan tidak sopan dan sebagainya.13

Selain itu dia perlu benar-benar tahu tentang kes berkenaan dan semestinya lelaki serta tidak dipaksa memberi keterangan berkenaan.14

Dalam memberi keterangan, saksi tidak boleh menggunakan kecuali maklumat yang dia benar-benar tahu. Para fuqaha menyebut pengetahuan seperti itu dapat diperolehi melalui dua cara, iaitu melihat sendiri atau mendengar sendiri apa yang berlaku.15
Adalah menjadi tanggungjawab hakim untuk menyoal saksi berkenaan kalau sekiranya dalam keterangan yang diberikan itu terdapat keraguan atau hal yang tidak jelas. Dalam kes mencuri misalnya hakim perlu mempastikan bagaimana perbuatan itu berlaku bagi mengelak kemungkinan apa yang dilakukan oleh yang tertuduh itu bukan perbuatan mencuri yang boleh dikenakan hukuman hudud. Begitu juga tentang bila kejadian itu berlaku, untuk mempastikan bahawa pendakwaan telah dibuat dalam tempoh yang belum luput, dan sebagainya.16


Khusus dalam kes zina, para saksi perlu disoal secara berasingan untuk mempastikan setiap mereka bercakap benar dengan menegaskan masing-masing melihat sendiri dengan jelas perbuatan berkenaan. Selain daripada kes zina, hakim boleh menyoal para saksi itu secara berasingan atau sebaliknya.17

Dari segi bilangan saksi, tidak semua kes memerlukan bilangan yang sama. Dalam kes zina, bilangan saksi yang diperlukan ialah empat. Syaratnya mereka mestilah melihat kejadian itu pada waktu yang sama dan sama-sama datang pada waktu yang sama untuk memberi keterangan. Bilangan yang sama juga diperlukan pada pandangan sesetengah para fuqaha dalam kes-kes liwat. Kerana bagi mereka perbuatan meliwat juga merupakan zina. Sementara pada pandangan sebahagian para fuqaha lain hanya perlu dua sahaja. Perbezaan pendapat ini berlaku juga dalam kes-kes lesbian dan menyetubuhi binatang.18

Dalam kes-kes selain hudud, bilangan yang diperlukan dua sahaja. Bagaimanapun dalam kes qadhf perlu ada perbezaan antara dua hal. Pertamanya untuk mensabitkan bahawa perbuatan qadhf itu sendiri benar-benar berlaku. Dalam hal ini dua orang saksi sudah memadai. Hal kedua ialah untuk mensabitkan bahawa yang kena qadhf itu seorang penzina. Bagi tujuan ini empat orang saksi diperlukan.19

2. Pengakuan (al-Iqrar)

Dalam al-Quran Allah berfirman:

Maksudnya:

“Dan hendaklah orang yang berhutang itu mengimlakkan
(apa yang akan ditulis itu) dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya dan janganlah dia mengurangi sedikitpun daripada hutangnya”

Surah al-Baqarah (2): 282 Dalam suatu ayat yang lain pula Allah berfirman:


Maksudnya:

“Jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri.”

Surah al-Nisa’ (4): 135

Dalam hadis Rasulullah SAW, pengakuan Ma‘iz telah diterima oleh Baginda Rasulullah SAW sebagai asas kepada sabitan jenayah zina ke atas lelaki itu yang kemudiannya direjam.20 Sementara dalam hadis al-‘Asaif pula Rasulullah SAW bersabda:

أغد يا أنيس إلى أمرأة هذا فأن أعترفت فارجمها. قال فغدا عليها فاعترفت فأمربها رسول الله صلى الله عليه وسلم فرجمت

Maksudnya:

“Pergilah wahai Unais - seorang lelaki dari Aslam - kepada isteri orang ini (yang menuduh isterinya berzina). Kalau dia mengaku rejamlah dia. Unais lalu pergi menemui perempuan itu. Perempuan itu telah mengaku, laku Rasulullah SAW memerintahkan supaya direjam dan dia lalu direjam.”21

(Riwayat Muslim)


Semuanya ini menunjukkan bahawa pengakuan (Iqrar) diterima sebagai asas dalam mensabitkan kes, termasuk dalam kes-kes hudud. Bagaimanapun, untuk diterima oleh mahkamah ia perlu memenuhi syarat-syarat tertentu.

Antara syaratnya ialah orang yang membuat pengakuan melakukan jenayah itu mestilah seorang yang waras dan cukup umur. Berasaskan syarat ini pengakuan kanak-kanak di bawah umur, orang gila dan orang bodoh (al-ma’tuh) tidak sah, iaitu tidak boleh diterima oleh mahkamah.22

Selain daripada itu, mestilah pengakuan berkenaan dalam bentuk kata-kata, bukan dalam bentuk tulisan atau isyarat. Bagaimanapun, para fuqaha tidak sependapat tentang pengakuan orang bisu melalui isyarat yang boleh difahami. Bagi mazhab Syafi‘i ia boleh diterima tetapi bagi mazhab Hanafi ia sebaliknya.23

Satu syarat lain ialah bahawa pengakuan itu sendiri munasabah, iaitu selaras dengan kebiasaan hidup yang ada. Misalnya, pengakuan berzina oleh seorang yang tidak mempunyai alat kelamin tidak boleh diterima kerana amat jelas sekali dia berbohong.24

Adalah menjadi kewajipan ke atas hakim untuk menyoal orang yang membuat pengakuan itu untuk mengetahui samada dia memahami apa yang dikatakan olehnya itu, mempunyai objektif yang jelas, juga memahami implikasinya, termasuk yang berkait dengan hukuman. Malah, khusus dalam kes-kes hudud hakim di sunatkan memandu orang yang membuat pengakuan itu supaya menarik balik pengakuan tersebut kerana tiada siapa yang akan menanggung kerugian dengan penarikan balik pengakuan seperti itu. Ini mermandangkan bahawa hudud menyentuh hak Allah (masyarakat) dan tidak menyentuh apa-apa hak individu.25


Walau bagaimanapun, pengakuan hanya akan melibatkan pihak yang membuat pengakuan itu sahaja dan tidak sekali-kali akan melibatkan pihak ketiga. Kalau sekiranya seorang lelaki membuat pengakuan berzina dengan seorang perempuan tertentu kesalahan tersebut hanya akan sabit ke atas dirinya sahaja dan tidak atas perempuan itu, kecuali kalau perempuan itu juga mengaku.26
Mengikut pendapat yang rajih, untuk diterima oleh mahkamah sebagai asas menentukan hukuman, pengakuan sepertimana yang dibincangkan di atas perlu dilakukan dalam kontek pendakwaan yang ada. Misalnya dalam kes mencuri semata-mata mengaku mencuri tanpa didahului oleh adanya aduan atau dakwaan oleh pihak yang menjadi mangsa pencurian tersebut, pengakuan itu tidak boleh diterima. Bagaimanapun, sesetengah para fuqaha tidak berpendapat pendakwaan merupakan syarat perlu bagi penerimaan pengakuan.27

Satu syarat lain bagi penerimaan pengakuan sebagai asas penentuan hukuman ialah bahawa pengakuan itu mestilah dilakukan dengan pilihan sendiri dan tidak dipaksa. Dengan kata lain yang lebih tepat ia tidak dipengaruhi oleh sesuatu yang mencacatkan kebebasan memilih seperti paksaan, mabuk, gila dan sebagainya.28

Dari segi bilangan kali pengakuan itu sendiri supaya boleh diterima sebagai asas hukuman oleh mahkamah terdapat keperluan berbeza di antara satu jenayah dengan jenayah yang lain. Dalam kes zina misalnya yang diperlukan ialah sebanyak empat kali. Ini berasaskan kepada hadis Rasulullah SAW dalam kes Ma‘iz, dimana sesudah pengakuan itu berlaku sebanyak empat kali barulah Rasulullah SAW menerimanya. Walau bagaimanapun, ada juga para ulama yang tidak melihat kekerapan itu sebagai syarat penerimaan. Mereka berhujah dengan hadis al-‘Asaif dan al-Ghamidiyah. Dalam hadis-hadis tersebut tiada sebutan tentang bilangan pengakuan yang dimaksudkan.29

Dalam kes-kes mencuri dan meminum arak sesetengah para fuqaha mensyaratkan dua kali pengakuan. Bagaimanapun, pandangan terbanyak mengatakan dalam kes-kes seperti ini soal bilangan tidak berbangkit. Perbezaan pendapat seperti ini berlaku juga dalam kes qadhf. Ia berpunca daripada tanggapan yang berbeza-beza tentang hadis-hadis Rasulullah SAW dalam kes-kes seperti itu.

Tentang cara melakukan pengakuan pula, para fuqaha berbeza pendapat samada hakim wajar bertanya tentang bilakah kesalahan yang diakui itu berlaku. Kalangan yang mengatakan tidak wajar memberi alasan kerana soalan itu tidak perlu. Ini kerana keperluan soalan seperti itu ketika saksi memberi keterangan ialah untuk menentukan bahawa keterangan saksi itu berlaku dalam tempoh masa yang dibenarkan, iaitu sebelum luput jangka waktu tertentu ( al-Taqadum). Sedangkan pengakuan tidak terikat dengan tempoh luput.

Bagi mereka yang berpendapat wajar pula, soalan seperti itu memang ada faedahnya, iaitu untuk mempastikan bahawa jenayah yang diakui itu berlaku dalam tempoh pengaku berkenaan layak memikul tanggung jenayah, misalnya sesudah dia cukup umur.30
Selain tentang bila, hakim juga perlu bertanya tentang bagaimana. Ini untuk mempastikan bahawa orang yang membuat pengakuan itu benar-benar faham maksud jenayah yang diakui oleh beliau melakukannya itu. Dalam kes perzinaan, misalnya soalan yang perlu dikemukakan ialah tentang apa itu yang dimaksudkan dengan “zina” itu sendiri, bagaimana dia melakukan dan dengan siapa dia dilakukan. Malah keadaan beliau semasa melakukannya, samada dalam keadaan sebagai seorang muhsan atau sebaliknya.31

Dalam hadis Mu‘adh, soalan seperti ini jelas sekali ditanyakan oleh Rasulullah SAW apabila lelaki itu berulang kali membuat pengakuan berzina di hadapan baginda Rasulullah SAW.

Malah sebahagian besar para fuqaha berpendapat boleh bagi hakim mendorong orang yang membuat pengakuan itu supaya menarik balik pengakuannya. Ada riwayat yang mengatakan Khalifah ‘Umar Ibn al-Khattab apabila berhadapan dengan seorang yang di bawa menemuinya atas tuduhan mencuri terus bertanya orang itu” Awak mencuri? Katakan tidak” Kata orang itu “Tidak”. Beliau lalu membiarkan orang itu pergi. Khalifah Abu Bakr, Abu Hurairah, Ibn Mas‘ud dan Abu al-Darda’ juga diriwayatkan sebagai mempunyai pandangan yang sama. Sayidina ‘Ali pula diriwayatkan telah mengherdik seorang yang telah membuat pengakuan mencuri di hadapannya dan menghalau orang itu dari sisinya.32

Dalam kes di mana pengakuan itu dibuat di luar mahkamah, dan kemudian pihak yang membuat pengakuan itu menafikan pengakuan berkenaan, pengakuan itu boleh disabitkan melalui kaedah pensabitan biasa, seperti melalui saksi dan sebagainya. Sehubungan dengan ini para fuqaha berbeza pendapat kalau hal seperti ini melibat kes perzinaan. Bagi sesetengah para fuqaha ia boleh disabitkan melalui dua orang saksi. Kerana itulah keperluan biasa dalam penerimaan keterangan saksi. Bagaimanapun, bagi golongan satu lagi, empat saksi diperlukan, kerana bilangan sebanyak itu diperlukan bagi mensabitkan kes zina melalui keterangan33 saksi.

Bagaimanapun, pengakuan yang dibuat di mahkamah itu sendiri boleh ditarik balik setakat yang menyentuh hak Allah (awam) semata-mata. Contohnya dalam kes zina dan minum arak. Bagaimanapun, kalau kes berkenaan menyentuh hak individu, seperti qadzaf dan mencuri ia tidak boleh ditarik balik.


Pada pandangan para fuqaha ada beberapa tindakan yang dianggap sebagai menarik balik pengakuan yang telah dibuat iaitu:34

1. Menyebut sendiri penarikan balik itu sebelum atau ketika hukuman berkenaan sedang dijalankan.
2. Cabut lari sewaktu hukuman sedang dijalankan. Walau bagaimanapun kalau perbuatan melarikan diri itu dilakukan sebelum hukuman itu dilaksanakan dia perlu ditangkap semula kecuali dia dengan jelas menyatakan menarik balik pengakuannya itu.

3. Berlaku percanggahan dalam pengakuan-pengakuan yang dilakukan oleh beliau. Dalam keadaan seperti ini penarikan balik pengakuan dikira telah berlaku.

3. Bukti Keadaan (al-Qarinah)

Dalam bahasa Arab, istilah yang digunakan ialah Qiranah. Dari segi bahasa ia memberi erti perkaitan yang rapat dan berterusan.

Kedudukannya sebagai bukti terhadap sesuatu jenayah sentiasa tidak sama. Kerana ia berkait rapat dengan sekuat mana ianya berkait dengan jenayah itu sendiri. Kadangkala ia memberi suatu petunjuk yang amat meyakinkan sekali, dan kadang-kadang ia hanya memberi petunjuk yang bersifat kemungkinan kecil sahaja. Bagaimanapun, semuanya ini banyak dipengaruhi oleh kebijaksanaan seseorang membuat penilaian terhadapnya.

Di kalangan para fuqaha Islam, tokoh yang paling memberi perhatian kepada kedudukan “bukti” (Qarinah) ini sebagai satu jenis keterangan yang boleh digunakan di mahkamah ialah Ibn al-Qayyim al-Jauziyah. Dalam buku beliau al-Turuq al-Hukmiyyah Fi al-Siyasah al-Syar‘iyyah beliau menghuraikan dengan panjang lebar bagaimana jenis keterangan seperti ini perlu diterima oleh mahkamah termasuk dalam kes-kes hudud.

Kata beliau, apa yang dimaksudkan dengan keterangan ( al-bayyinah) ialah apa saja yang boleh menjelaskan kebenaran. Ia tidak semestinya dalam bentuk saksi samada satu dua atau empat. Malah dalam al-Quran sendiri tidak pernah istilah “al-Baiyinah” itu digunakan bagi pengertian saksi.

Malah, kata beliau lagi, hadis Rasulullah SAW yang menyebut bermaksud supaya pihak pendakwa mengemukakan hujah untuk membuktikan kebenaran dakwaannya itu. Meskipun antara hujah atau alasan yang dimaksudkan ialah keterangan saksi, tetapi ini tidak menolak penerimaan terhadap keterangan-keterangan dari jenis lain juga. Malah ada kemungkinan keterangan-keterangan jenis lain, terutama keterangan yang bersifat bukti kejadian (qarinat al-hal) lebih meyakinkan daripada keterangan saksi.35

Bagaimanapun, para fuqaha berbeza pendapat tentang masalah penerimaan “bukti” (qarinah) ini, terutama dalam kes-kes hudud. Persoalan yang timbul ialah sejauh mana asas penerimaannya dalam al-Quran dan al-Sunnah dan samada ia tidak bertentangan dengan prinsip “menolak hudud kerana ada syubhah” (Dar’ al-
Hudud bi al-Syubhat).

Dalam kes penzinaan, perbezaan pendapat begitu ketara sekali tentang masalah ini. Jumhur fuqaha iaitu yang terdiri daripada para fuqaha mazhab Hanafi, Syafi‘i dan Hanbali menolak keterangan jenis ini secara total. Bagaimanapun, mazhab Maliki berpendapat ia pada asasnya boleh diterima kecuali ada bukti yang menunjukkan ianya tidak boleh diterima.

Dalam kitab-kitab fiqh terdapat perbincangan yang menarik tentang kes perempuan yang tidak bersuami hamil. Para fuqaha mazhab Maliki berpendapat kalau sekiranya wanita itu adalah wanita tempatan dan tidak ada bukti yang menunjukkan dia dipaksa melakukan hubungan seks dia boleh dihukum hudud berasaskan bukti tersebut. Asas yang mereka pegang ialah kata-kata Khalifah ‘Umar r.a. “Hukuman rejam wajib (dilaksanakan) ke atas sesiapa sahaja yang berzina, samada lelaki atau perempuan kalau sekiranya dia muhsan apabila ada keterangan saksi (al-baiyyinah) atau dia mengandung atas atau ada pengakuan”.36

Dalam al-Muwatta’ al-Imam Malik menyebut:

“Saya mendapat maklum bahawa (Khalifah) ‘Uthman Ibn ‘Affan r.a. telah dibawa kepadanya seorang perempuan yang melahirkan anak selepas baru mengandung enam bulan.

Beliau memerintahkan supaya perempuan itu direjam.

Kemudian ‘Ali r.a. berkata kepadanya, perempuan itu tidak boleh direjam kerana Allah SWT berfirman “Tempoh mengandung dan menyusu selama tiga puluh bulan” dan firman Allah SWT lagi: “Ibu-ibu akan menyusui anak-anak mereka dua tahun penuh bagi mereka yang mahu menggenapkan (tempoh) penyusuan. Maka, kata Ali r.a. tempoh maksimum mengandung ialah enam bulan.Lalu perempuan itu tidak boleh dihukum rejam. Uthman lalu mengarahkan supaya perempuan itu dibawa kembali. Bagaimanapun, dia telah direjam sebelum itu.”37

Bagaimanapun, perbezaan pendapat ini mungkin boleh diselesaikan dengan baik berasaskan kemajuan sains dan teknologi sekarang ini, termasuk dalam sains penyiasatan sendiri. Apa yang penting ialah untuk menentukan tanpa keraguan yang munasabah samada kehamilan berkenaan berlaku akibat perzinaan atau sebaliknya.

Dalam jenayah mencuri berlaku perbincangan di kalangan para fuqaha apabila terdapat barang curi dalam simpanan (hiyazah) tertuduh yang mendakwa bahawa barang itu miliknya sendiri. Mengikut pendapat sesetengah para fuqaha, dakwaan bahawa barang itu adalah miliknya sendiri merupakan suatu keraguan yang boleh menggugurkan hudud daripadanya.38 Bagaimanapun, persoalannya kalau begitulah hukumannya tidaklah ia akan membuka ruang yang luas kepada para pencuri untuk melepaskan diri daripada hukuman hudud dengan berdusta mengatakan bahawa barang berkenaan miliknya?

Dalam bukunya al-Turuq al-Hukmiyyah, Ibn al-Qayyim menjawab:

“Para imam dan khalifah al-Rasyidin sentiasa menjatuhkan hukuman potong tangan apabila barang curi berkenaan didapati berada dalam simpanan tertuduh. Bukti (al-qarinah) ini sebenarnya lebih kuat daripada saksi dan pengakuan. Kerana keterangan saksi dan pengakuan itu merupakan penyataan yang mungkin betul dan mungkin tidak. Sedangkan keberadaan harta berkenaan bersama tertuduh merupakan kenyataan yang jelas dan tidak boleh diragui lagi.”39

Dalam jenayah minum arak pula perbincangan timbul dalam kes apabila terdapat bau arak dimulut tertuduh atau dia muntahkan arak. Mengikut pendapat sesetengah para fuqaha hukuman hudud tidak boleh dikenakan ke atas orang berkenaan kerana ada keraguan samada bau tersebut benar-benar bau arak. Malah terdapat juga keraguan samada dia meminum arak itu atas pilihannya sendiri atau kerana keliru atau terpaksa. Ini adalah pandangan jumhur fuqaha, termasuk mazhab Abu Hanifah, al-Syafi‘i dan al-Thauri.40 Sementara golongan kedua pula berpendapat bahawa qarinah seperti itu boleh diterima sebagai asas hukuman hudud ke atas tertuduh. Antara mereka yang berpendapat seperti ini ialah mazhab Maliki dan sestengah para fuqaha mazhab Hanbali.41

Mengikut Ibn al-Qayyim, ini adalah amalan yang diwarisi sejak daripada khulafa al-Rasyidin lagi.42

Agak jelas sekali perbezaan-perbezaan pendapat ini berlaku kerana tidak ada dalil-dalil khusus daripada al-Quran atau al-Sunnah mengenai persoalan seperti itu. Segala pandangan banyak berdasarkan kepada ijtihad yang berasaskan dalil-dalil umum al-Quran dan al-Sunnah dan penganalisaannya terhadap realiti hidup dan kehakiman pada waktu itu. Maka pada masa ini tradisi ijtihad ini perlu dilanjutkan supaya keadilan dapat ditegakkan dengan sebaik-baiknya.

4. Kenyataan Pakar (al-khibrah)

Dalam beberapa keadaan hakim memerlukan pandangan pakar bagi memberi nasihat dalam hal-hal tertentu untuk menghilangkan keraguan. Kebenaran untuk mendengar nasihat pakar ini terkandung dalam pengertian umum ayat.


Maksudnya:

“Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui”

Surah al-Nahl (16): 43 Dalam al-Mabsut al-Sarakhsi menyebut:

“Apabila pemerintah merasa ragu tentang harga barang yang dicuri itu dan para pakar juga berbeza pendapat tentangnya, di mana sebahagian daripada mereka menyebut ianya bernilai sepuluh dirham, sementara sebahagian yang lain mengatakan kurang dari itu, pencuri itu tidak boleh dihukum potong tangan. Kerana syarat cukup nisab perlu diambil kira secara hakiki, di mana ia dikira tidak tercapai kalau

sekiranya para penilai berbeza pendapat tentangnya.”43

Kata Ibn al-Humam:

“Dalam Muwatta’nya, Malik meriwayatkan daripada ‘Abdullah Ibn Abi Bakr daripada bapanya daripada ‘Imrah

binti ‘Abd al-Rahman bahawa seseorang telah mencuri buah utrujjah pada zaman ‘Uthman Ibn ‘Affan. ‘Uthman
meminta supaya buah itu dinilai, lalu ia dinilai sebanyak kurang tiga dirham dua belas dinar. Beliau lalu memotong

tangan orang itu.”44

Kata Ibn Qudamah:

“Apabila ada perbezaan pendapat samada luka (yang dialami) itu parah atau tidak atau ada perbezaan pendapat tentang penyakit yang dihidapi seseorang, sekurang-kurangnya dua orang doktor perlu memberi pandangan masing-masing. Bagaimanapun, kalau hanya ada seorang

doktor sahaja, seorang pun cukup.”45


Kata Ibn al-Qayyim:

“Para guru saya menjelaskan dalam keadaan yang memerlukan, kesaksian seorang lelaki tanpa sumpah pun boleh diterima. Pandangan ini dinukilkan oleh al-Kharqi dalam Mukhtasarnya. Kata beliau: Keterangan seorang doktor yang adil boleh diterima dalam menentukan kadar luka sekiranya pandangan seorang doktor lagi tidak dapat diperolehi.”46

Semua kenyataan di atas menunjukkan bahawa para fuqaha berpendapat pendapat pakar boleh diterima sebagai satu keterangan di mahkamah yang boleh menjadi asas kepada keputusan menjatuhkan hukuman hudud ke atas pesalah.

5. Pengetahuan Hakim (Ma‘lumat al-Qadi)

Apa yang dimaksudkan di sini bukanlah maklumat yang diperolehi oleh hakim bicara melalui proses perbicaraan kes berkenaan. Apa yang dimaksudkan ialah maklumat yang diperolehi oleh hakim berkenaan di luar mahkamah sebagai seorang biasa. Contohnya hakim berkenaan melihat sendiri kejadian itu atau telah mendengar tentangnya dairpada orang ramai.

Para fuqaha berbeza pendapat tentang pekara ini, samada boleh diterima sebagai asas penentuan hukum atau sebaliknya.

Mengikut pendapat dalam mazhab al-Syafi‘i, apa sahaja pengetahuan yang diperolehi oleh hakim berkenaan secara biasa tidak boleh digunakan sebagai asas penentuan hukum. Tetapi kalau sekiranya maklumat itu diperolehi melalui dua orang saksi yang dikenalinya sebagai bersifat adil dia boleh menggunakan maklumat dari luar mahkamah itu sebagai asas kepada hukuman.

Dalam mazhab Hanafi, maklumat seperti itu tidak boleh digunakan dalam kes-kes hudud walaupun boleh dalam kes-kes yang berkait dengan hak individu. Sebabnya kerana jenayah hudud menyentuh hak Allah (masyarakat umum), sedangkan hakim mewakili kepentingan mereka.


Lain pula pendapat mazhab Zahiri. Bagi mazhab ini hakim perlu menggunakan maklumat peribadinya itu dalam semua kes termasuk kes-kes hudud. Kata Ibn Hazm, asas yang paling kukuh ialah pengetahuannya sendiri, kemudian pengakuan, dan kemudian baru keterangan saksi.47


6. Dokumen (al-Kitabah)

Yang dimaksudkan ialah dokumen yang boleh menjadi dalil kepada berlakunya jenayah berkenaan. Antara contohnya ialah tulisan yang mengandungi pengakuan tertuduh melakukan jenayah berkenaan.

Walaupun ada pandangan yang menerima dokumen sebagai salah satu bentuk keterangan yang boleh mensabitkan kesalahan dalam kes-kes sivil namun dalam kes-kes jenayah mereka berpendapat hanya tulisan dalam bentuk pengakuan sahaja yang boleh diterima. Itupun hanyalah sebagai satu pengakuan (al-Iqrar) sahaja. Kata Ahmad Fathi Bahnasi, kalau sekiranya tulisan itu mengandungi pengakuan melakukan jenayah hudud dan yang tertuduh mengaku itu adalah tulisannya maka dengan itu dia dianggap telah melakukan dua pengakuan. Tetapi kalau yang tertuduh menafikan bahawa itu adalah pengakuannya maka dia dianggap sebagai telah menafikan atau menarik balik pengakuannya yang terdahulu.48


7. Sumpah (al-Yamin)

Mengikut para fuqaha, ada tiga jenis sumpah yang mungkin berlaku di mahkamah. Pertamanya, sumpah pendakwa, keduanya sumpah yang terdakwa, dan yang ketiganya sumpah saksi.

Sumpah pihak pendakwa boleh berlaku dalam dua bentuk. Pertamanya dalam bentuk “qasamah”. Ia bermaksud sumpah bagi tujuan untuk mensabitkan kesalahan ke atas yang terdakwa berasaskan bukti awal (al-Lawth) yang ada.

Secara popularnya sumpah qasamah ini berlaku dalam kes pembunuhan. Ulama berbeza pendapat samada ia merupakan cara untuk mensabitkan kes atau menolak sabitan kes itu.


Dalam jenayah hudud ia hanya boleh berbangkit dalam kes mencuri. Itupun dengan syarat ada bukti awal (al-lawth), iaitu keberadaan barang yang dicuri bersama tertuduh.

Secara lebih jelasnya, adalah menjadi kaedah umum dalam Syariat Islam pihak pendakwa perlu membawa saksi untuk membuktikan dakwaannya. Kalau tidak, dakwaan itu tidak boleh disabitkan. Walau bagaimanapun, dalam kes mencuri ini pendakwa akan diberi peluang untuk bersumpah dengan syarat ada bukti bahawa barang yang dicuri itu ada bersama yang tertuduh (al-lawth).

Walau bagaimanapun, ia tidak boleh mensabitkan hukuman hudud itu sendiri, iaitu potong tangan. Sebaliknya ia sekadar boleh mensabitkan hukuman yang berkait dengan masalah kehartaan sahaja, iaitu memulangkan balik harta yang dicuri itu kalau masih ada atau membayar ganti rugi kalau sudah musnah.49

Bentuk kedua ialah sumpah yang ditolak (al-yamin al-mardudah). Sumpah seperti ini boleh berlaku dalam kes mencuri juga dan dalam kes qadhf. Secara prinsipnya kalau A mendakwa B dengan satu kesalahan tetapi tidak ada saksi untuk mensabitkan kesalahan itu, dan B pula tidak mengaku salah, tidak ada kesalahan yang boleh disabitkan. Tetapi dalam kes tuduhan mencuri, hakim, atas permintaan pendakwa boleh meminta yang kena tuduh bersumpah untuk membersihkan dirinya daripada tuduhan tersebut. Kalau dia bersumpah dia akan terlepas daripada tuduhan itu. Tetapi kalau dia enggan bersumpah dia akan dianggap “nukul” iaitu enggan menggunakan peluang bersumpah untuk membersihkan dirinya. Dengan itu juga bererti sumpah itu dipulangkan kembali kepada pendakwa.

Walau bagaimanapun, sumpah seperti ini hanya boleh mensabitkan hukuman ganti rugi harta sahaja dan bukan hukuman hudud, iaitu potong tangan.50
Dalam kes qadhf, kalau pihak yang melakukan qadhf itu tidak mempunyai saksi untuk menyokong tuduhannya dia boleh meminta pihak yang kena qadhf bersumpah membersihkan


Kaedah Pembuktian Dalam Kes Hudud

dirinya. Kalau pihak yang kena qadhf itu enggan bersumpah qadhf itu dikira benar dan pihak yang melakukan qadhf akan dikira benar dan pihak yang melakukan qadhf akan terlepas daripada hukuman qadhf. Ini adalah pandangan mazhab Syafi‘i. Kata mereka, sumpah seperti ini hanya boleh berlaku dalam kes qadhf sahaja dan tidak dalam kes-kes hudud yang lain. Ini kerana qadhf itu sendiri adalah pencerobohan terhadap kepentingan individu, tidak seperti jenayah hudud yang lain di mana pihak dicerobohi di dalamnya ialah kepentingan awam.51

Sebaliknya para fuqaha mazhab lain tidak berpendapat begitu. Bagi mereka, sumpah seperti ini tidak boleh diterima pakai dalam apa sahaja kes hudud, termasuk kes qadhf. Namun ada juga di kalangan mereka yang mengatakan boleh tetapi tidak melibatkan hukuman hudud, cuma ta’zir sahaja.52

Sumpah pihak yang kena dakwa pula tidak boleh berlaku dalam kes hudud. Kerana tujuan hakim meminta yang terdakwa bersumpah hanyalah untuk bertindak balik sekiranya dia enggan atas dasar berlaku keengganan (nukul) yang boleh mengembalikan peluang bersumpah itu kepada pihak yang mendakwa. Tetapi oleh kerana dalam kes hudud sumpah yang dikembalikan (al-yamin al-mardudah) itu tidak boleh diterima pakai maka sumpah yang terdakwa tidak berbangkit.53

Bagaimanapun, dalam kes mencuri sumpah seperti ini boleh diterima pakai bagi tujuan mensabitkan hukuman ganti rugi harta yang dicuri sahaja dan bukan hukuman hudud potong tangan, iaitu sama dengan sumpah qasamah yang dihuraikan di atas.54


Penutup

Samada Mahkamah terikat atau sebaliknya dengan kaedah tertentu dalam menerima dan menolak pembuktian dalam kes-kes hudud suatu persoalan yang masih boleh diperbincangkan. Kerana ia merupakan masalah khilafiah yang telah diperdebatkan oleh para ulama sejak zaman klasik lagi.

Namun apa yang penting dalam konteks tulisan ini ialah Islam mempunyai kaedah yang ketat dalam menerima apa-apa keterangan yang boleh nensabitkan mana-mana kes Hudud. Pertamanya kerana Islam mahu mempastikan keadilan berlaku di Mahkamah dalam kadar yang maksimum. Selain daripada itu ialah kerana Hudud merupakan jenayah berat yang perlu ditangani dengan penuh hati-hati agar ia dapat diurus dengan berkesan.

Bagi tujuan yang sama Islam meletakkan syarat-syarat yang ketat dalam menerima apa saja keterangan baik berupa saksi, pengakuan atau bukti keadaan (qarinah) meskipun dalam konsep biasa kaedah-kaedah seperti ini merupakan kaedah-kaedah yang kukuh. Namun selain daripada itu Islam juga membuka ruang bagi perkembangan kaedah pembuktian ini dengan menerima pengetahuan Hakim sendiri, dokumen, pendapat pakar dan sumpah sebagai bahan bukti yang layak diterima. Bagaimana pun para fuqaha berbeza pendapat dalam perkara ini. Bagi kita sekarang perbezaan pendapat ini boleh dijadikan sebagai asas bagi memperbaharui pandangan fiqh selaras dengan kemajuan dan kepentingan semasa. Pokoknya ialah keadilan perlu ditegakkan dan dalam menegakkan keadilan tidak sepatutnya mana-mana pihak teraniaya.

Begitulah hudud, suatu kaedah hukumman yang dikatakan berat. Namun apabila dilihat aspek pembuktiannya ternampak bahawa apa yang dilihat sebagai berat itu tidak sangat menggerunkan kerana ia dikawal oleh kaedah pembuktian yang ketat bagi menjamin keadilan tidak tercemar.