Oleh: Sheikh Ahmad Afiq bin Sheikh Yahaya
Pengenalan
Islam adalah agama yang syumul dan mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia merangkumi hubungan manusia dengan Al-Khaliq(Pencipta), manusia sesama manusia, individu dan masyarakat, pekerja dan majikan, rakyat dan pemimpin dan sebagainya.
Setiap bentuk perhubungan dalam sistem Islam melibatkan dua dimensi iaitu tidak terlepas dari hubungannya dengan Allah dengan makhluk sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Maksudnya, setiap hubungan manusia dengan manusia adalah termasuk dan dikira sebagai sebahagian ibadat yang telah diperintahkan oleh Allah dan akan mendapatkan ganjaran secara langsung atau tidak langsung dari-Nya. (Wan Ali Wan Jusoh et al. )
Manusia berfungsi sebagai khalifah Allah. Istilah khalifah membawa maksud manusia bertugas sebagai pengurus dan pengelola berbagai urusan kehidupan baik pada peringkat individu, keluarga, organisasi, masyarakat atau Negara. Oleh itu, sebagai khalifah Allah, manusia bertanggungjawab untuk mengurus tadbir kehidupannya agar sistem hidup berada dalam keadaan teratur dan mempunyai struktur yang menjamin kestabilan dan kefungsiannya. Prinsip asas yang diajar oleh Islam untuk menjamin kestabilan, keselamatan, kesihatan dan seterusnya kefungsian sama ada bagi manusia iaitu pekerja atau makhluk lain adalah perlakuan dan tindakan manusia hendaklah berteraskan prinsip keadilan, kebenaran dan terarah menuju kepada Pencipta Allah s.w.t.. Andai kata berada diluar ruang ini boleh menyebabkan manusia tersasar daripada jalan yang benar, jalan yang lurus jalan yang menjanjikan perolehan nikmat dan selamat seperti maksud firman Allah dalam surah Al-Fatihah ayat 6 hingga 7. (Khalijah Mohd Salleh et al.) Pengaruh mengurus dan mentadbir secara Islam ini akan melahirkan sebuah organisasi pekerjaan yang bertata tertib dan berperadaban tinggi.
Pekerjaan Menurut Islam
Islam menggalakkan umatnya bekerja dan berusaha maka keseluruhan tindakan dan amalan manusia yang melibatkan pekerjaan harian untuk mencari rezeki termasuk di dalam pengertian ibadat. Pekerjaan dan tugasan tersebut dilaksanakan dengan tekun, jujur dan ikhlas semata-mata kerana ianya satu yang dituntut oleh Allah dan Rasulullah s.a.w. . Di antara kriteria yang perlu menjadikan sesuatu kerja itu termasuk dalam ibadat ialah:
1) Pekerjaan tersebut mestilah halal dan bertepatan dengan syara’.
2) Pekerjaan tersebut dikerjakan dengan niat yang ikhlas bagi mencari keredhaan Allah
3) Pekerjaan tersebut dilaksanakan dengan tekun, cekap dan professional serta penuh ihsan.
4) Dalam pekerjaan tersebut mestilah mengambilkira prinsip-prinsip syara seperti adil, amanah, bertanggungjawab, syura dalam membuat keputusan dan seterusnya.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud :
“ Mencari sara hidup yang halal adalah satu kewajipan di samping kewajipan-kewajipan yang difardhukan.” (Riwayat Al-Tabrani dan Al-Baihaqi)
Sabda Rasulullah s.a.w. lagi:
“Allah sukakan hamba-Nya yang bekerja (secara professional). Barang siapa yang bertungkus lumus mencari sara hidup keluarganya maka ia seperti seorang mujahid pada jalan Allah.” (Riwayat Imam Ahmad)
Menurut Abdul Ghani Shamsuddin et al 1989, Islam sangat mengutamakan kerja yang professional dan dilaksanakan dengan penuh tekun atau disebut sebagai itqan iaitu tekun, cermat, teliti dan kemas. Contoh yang terbaik boleh dilihat pada kehidupan peribadi Rasulullah sendiri dalam semua hal sama ada dalam urusan ibadat, bernegara, mengurus tadbir, mengurus keluarga, dan sebagainya. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari bahawa Rasulullah memunggah pasir untuk menjadikan kubu-kubu sehingga tertutup kulit perut baginda, bahkan baginda sanggup mengikat perut dan diselit dengan batu-batu untuk menahan lapar dalam masa peperangan Khandak. (Said Ramadhan Al-Buthi et al.)
Tafsiran Majikan dan Pekerja dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994
Majikan ertinya majikan langsung atau majikan utama atau kedua-duanya. Majikan langsung berhubungan dengan pekerja yang diambil khidmat oleh atau melaluinya, ertinya seseorang yang telah mengakuijanji untuk melaksanakan, di tempat kerja di mana majikan utama menjalankan perdagangan, perniagaan, profesion, vokasion, pekerjaan atau pencariannya di bawah pengawasan majikan utama atau ejennya, kesemua atau mana-mana bahagian apa-apa kerja yang biasanya menjadi sebahagian daripada kerja perdagangan, perniagaan, profesion, vokasion, pekerjaan atau pencarian itu dan termasuklah seseorang yang olehnya perkhidmatan seseorang pekerja yang telah membuat kontrak perkhidmatan dengannya dipinjamkan atau disewakan untuk sementara kepada majikan utama. Majikan utama ertinya pemunya suatu industri atau orang yang dengannya seseorang pekerja telah membuat kontrak perkhidmatan dan termasuklah:
1) Pengurus, ejen atau orang yang bertanggungjawab bagi pembayaran gaji atau upah kepada seseorang pekerja
2) Penghuni sesuatu tempat kerja
3) Wakil di sisi undang-undang pemunya atau penghuni yang telah meninggal dunia
4) Mana-mana kerajaan di Malaysia, jabatan mana-mana kerajaan itu, pihak berkuasa tempatan atau badan berkanun.
Pekerja ertinya seseorang yang diambil kerja yang diberi gaji di bawah kontrak perkhidmatan mengenai atau yang yang berkaitan dengan kerja suatu industri yang baginya Akta ini terpakai dan :
a) yang diambil kerja secara langsung oleh majikan utama mengenai apa-apa kerja industri itu, atau yang bersampingan dengan atau sebagai permulaan bagi atau yang berkaitan dengan kerja industri itu, sama ada kerja itu dilakukan oleh pekerja itu di tempat kerja atau di tempat lain.
b) yang diambil kerja oleh atau melalui seseorang majikan langsung di tempat kerja industry itu atau di bawah pengawasan majikan utama atau ejennya mengenai kerja yang biasanya menjadi sebahagian daripada kerja industri itu, atau yang menjadi permulaan bagi kerja yang dijalankan dalam atau bersampingan dengan maksud industri itu
c) yang perkhidmatannya dipinjamkan atau disewakan sementara kepada majikan utama oleh orang yang dengannya orang yang perkhidmatannya dipinjamkan atau disewakan itu telah memasuki suatu kontrak perkhidmatan.
Hubungan Pekerja dengan Majikan
Prinsip am berkenaan hubungan antara kedua-dua pihak ini adalah seorang majikan bertanggungjawab secara vikarius ke atas perbuatan pekerjanya yang terbit daripada pekerjaannya, sama ada perbuatan itu diarahkan oleh majikannya atau tidak. Ini ditegaskan oleh Lord Reid dalam kes Staveley Iron and Chemical Co. lwn. Jones Ltd., dimana dia berkata, “ Adalah menjadi satu peraturan undang-undang bahawa seorang majikan bertanggungjawab terhadap kerugian yang dialami oleh pihak ketiga akibat dari perbuatan atau kecuaian pekerjanya yang terbit daripada pekerjaannnya, walaupun dia(majikan) tidak melakukan kesalahan tersebut.” Ini bermakna bahawa supaya majkan bertanggungjawab, perbuatan ataupun kecuaian pekerja itu mestilah terbit daripada pekerjaannya.
Kewajipan Majikan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 memperuntukkan tentang kewajipan majikan, orang yang bekerja sendiri dan pekerja. Kewajipan Majikan ini dinyatakan dalam seksyen 15,16, 17 atau 18 . Kegagalan untuk mematuhi akta ini boleh membawa kepada hukuman penjara selama dua tahun atau denda RM20 000.00 atau kedua-duanya sekali.
Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 memperuntukkan bahawa adalah menjadi kewajipan setiap majiakan dan setiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan setakat yang boleh dipraktikkan, keselamatan , kesihatan dan kebajikan pekerja-pekerjanya di tempat kerja. Menurut Kamal Halili, kewajipan majikan termasuk:
1) Pengadaan dan penyengaraan loji dan sistem kerja setakat yang boleh dipraktikkan, selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan.
2) Pembuatan perkiraan bagi menjamin, setakat yang boleh dipraktikkan, keselamatan dan ketiadaan risiko kepada kesihatan dengan penggunaan atau pengendalian, penanganan, penyimpanan dan pengangkutan loji dan bahan
3) Pengadaan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan sebagaimana yang perlu untuk memastikan, setakat yang boleh dipraktikkan, keselamatan dan kesihatan pekerjanya yang sedang bekerja
4) Setakat yang boleh dipraktikkan, berkenaan dengan mana-mana tempat kerja di bawah kawalan majikan atau orang yang bekerja sendiri, penyenggaraannya dalam keadaan yang selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan dan pengadaan dan penyenggaraan cara masuk ke dalamnya dan keluar darinya yang selamat tanpa risiko sedemikian
5) Pengadaan dan penyenggaraan persekitaran pekerjaan bagi pekerja-pekerja yang setakat yang boleh dipraktikkan, selamat, tanpa risiko kepada kesihatan, dan memadai berkenaan dengan kemudahan bagi kebajikan mereka yang sedang bekerja.
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 juga telah menggariskan bahawa majikan perlu menyediakan satu dasar am secara bertulis berkenaan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Dasar am yang telah dibentuk itu, perlu disemak dan dikaji semula dari semasa ke semasa.
Apakah yang dimaksudkan dengan “setakat yang boleh praktik”? Majikan tidak dikehendaki mengambil langkah yang luar biasa ketika menjalankan kewajipannya seperti yang diperlukan dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Ertinya boleh dipraktikkan berdasarkan akta dengan mengambil kira:
1) Teruknya bahaya atau risiko
2) Keadaan pengetahuan mengenai bahaya atau risiko itu dan apa-apa cara untuk menghapuskan atau mengurangkan bahaya risiko itu
3) Ada tidaknya dan kesesuaian cara untuk menghapuskan atau mengurangkan bahaya atau risiko itu
4) Kos untuk menghapuskan atau mengurangkan bahaya risiko itu
Sabda Rasulullah s.a.w
“Sebaik usaha ialah usaha seorang pengusaha apabila ia bersifat jujur dan nasihat-menasihati”
Pekerjaan Menurut Konsep Islam
Kerja menurut konsep Islam adalah segala yang dilakukan oleh manusia yang meliputi kerja untuk dunia dan kerja untuk akhirat. Kerja untuk dunia terbahagi kepada dua iaitu bercorak aqli (mental) atau bercorak jasmani adalah dipandang penting dan mulia di sisi Islam asal sahaja dibolehkan oleh syarak. Islam mewajibkan kerja ke atas seluruh umatnya tanpa mengira darjat, keturunan atau warna kulit, kerana seluruh umat manusia adalah sama di sisi Allah, melainkan ketaqwaannya. Masyarakat Islam adalah sama-sama bertanggungjawab dan bekerjasama melalui kerja masing-masing. Berdasarkan kebolehan dan kelayakan bidang masing-masing kerana segala kerja mereka adalah bersumberkan iman dan bertujuan untuk melaksanakan amal soleh. Kerja adalah asas penilaian manusia dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya sebagai khalifah Allah untuk memakmurkan bumi ini sekaligus beribadat kepada Allah. Kerja juga merupakan cara yang tabi’i untuk manusia mencari nafkah bagi menyara hidup dan keluarga melalui berbagai sektor pekerjaan dan perusahaan yang sedia terbuka peluangnya dengan persediaan dan kemudahan alam yang Allah sediakan di atas muka bumi ini.
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
“Tidaklah ada makanan seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari hasil usaha tangannya sendiri” (Riwayat Bukhari)
Islam menjadikan kerja sebagai tuntutan fardhu atas semua umatnya selaras dengan dasar persamaan yang diisytiharkan oleh Islam bagi menghapuskan sistem membeza-bezakan manusia mengikut darjat atau kasta dan warna kulit.
Firman Allah:
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang termulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang taqwa.” (Surah Al Hujurat, ayat 13)
Firman Allah lagi:
“Dan katakanlah wahai Muhammad, beramallah kamu akan segala apa yang diperintahkan, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah At Taubah, ayat 105)
Islam juga meningkatkan tuntutan kerja itu hingga ke tahap kewajipan agama. Oleh itu, tahap iman sentiasa dikaitkan oleh Al-Quran dengan amal soleh atau perbuatan baik. Ini bererti Islam itu adalah akidah yang mesti diamalkan dan amalan yang mesti berakidah secara tidak terpisah.
Islam Menjamin Keselamatan dan Kesihatan Pekerja.
Sabda Rasulullah s.a.w.
“Tidak boleh membuat bahaya kepada diri sendiri, dan tidak boleh membahayakan orang lain…” (Riwayat Muslim)
Di bawah Tort, tuntutan adalah berdasarkan kecuaian majiakan. Untuk membuktikan kecuaian majikan pekerja bekenaan mesti membuktikan bahawa
a) Mempunyai tugas/kewajipan berhati-hati
b) Dia telah memecah tugas/kewajipan tersebut
c) Pekerja mengalami kecederaan/kematian akibat daripada kegagalan menunaikan tugas/kewajipan tersebut.
Remedi yang biasa dituntut oleh pekerja ialah ganti rugi. Ganti rugi akan dikurangkan jika pekerja didapati menyumbang kepada kecederaan yang dialami, iaitu pekerja juga sedikit sebanyak bertanggungjawab terhadap bencana tersebut.
Firman Allah:
“Pada hari ini Kami tutup mulut mereka, dan Kami berbicara dengan tangan mereka dan menjadi saksi kaki mereka, tentang apa-apa yang telah mereka kerjakan”
Terdapat dua prinsip asas dalam Al-Quran dan Hadith berkenaan majikan dan juga pekerja (master servant). Majikan perlu membayar penuh upah atas perkhidmatan yang diberikan manakala pekerja perlu bekerja dengan ikhlas dan amanah.
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
“Upah kerja mesti dibayar kepadanya(pekerja) sebelum peluh dibadannya kering”
Sabda Rasulullah s.a.w lagi bermaksud:
“Adalah menjadi tanggungjawab tuan(majikan), memberikan kerja kepada pekerjanya, apa yang mudah dibuat olehnya. Mereka tidak sepatutnya diberikan kerja yang menyebabkan kesihatan mereka terjejas) (Riwayat Ibnu Majah)
Islam bukan sahaja memelihara hak seorang pekerja tetapi juga majikan. Telah ditetapkan dalam Islam supaya perlunya nilai-nilai seperti bertanggungjawab, jujur dan kemuliaan dalam menjalankan setiap tugasan atau pekerjaan.
Majikan ialah orang yang mengambil satu atau lebih pekerja untuk bekerja dengannya. Pekerja seseorang yang mengusahakan sesuatu kerana mencari nafkah, orang yang memegang sesuatu jawatan dalam perkhidmatan awam atau swasta, lazimnya untuk mendapatkan bayaran atau memperoleh pendapatan.
Secara umumnya, hubungan majikan pekerja dalam syariat Islam terikat dalam acuan yang disebut sebagai hablun minan nas (hubungan interpersonal) yang mesti dijaga oleh kedua-dua pihak. Kesempurnaan hubungan manusia dengan manusia ini hanya akan tercapai setelah manusia sempurna hubungannya dengan Allah (hablun min Allah). Dan begitu juga sebaliknya, tidak akan sempurna hubungan manusia dengan Khaliqnya melainkan sempurna hubungan manusia sesama manusia.
Dari kaca mata Islam, majikan dan pekerja umpama satu anggota dalam ikatan persaudaraan, yang mampu memadamkan perasaan prejudis dan mengelakkan pekerja diperah keringat untuk kepentingan sendiri.
Kata Nabi Syuib a.s. kepada Nabi Musa a.s. dalam firman Allah:
“Aku tidak hendak memberati kamu. Dan kamu dengan izin Allah akan mendapati ku termasuk orang-orang yang baik” (Surah Al-Qasas, ayat 27)
Ini bermakna, Islam amat menekankan supaya setiap muslim tidak mengkesampingkan prinsip-prinsip kemanusiaan, keadilan dan kesaksamaan seperti maksud berikut:
1) Majikan tidak harus membebani pekerja dengan sesuatu beban kerja yang memang tidak mampu dilaksanakan oleh pekerja tersebut.
2) Majikan seharusnya sentiasa mengutamakan kebajikan kepada pekerja
3) Ganjaran dan dorongan perlu diberikan kepada pekerja setimpal dengan kerja yang dilakukan.
Menurut Maulana Manazir Ahsan Gilani, salah seorang ulama abad ke-20 telah membuat beberapa peraturan berhubungan dengan undang-undang pekerjaan dalam Islam.
1) Majikan dan pekerja mestilah menganggap mereka sebagai bersaudara. Persaudaraan Islam ini mestilah wujud pada setiap tahap.
2) Majikan dan pekerja adalah taraf setaraf sekurang-kurangnya dalam keperluan asasi. Pekerja patut memperolehi apa yang dimakan oleh majikan dan pakaian seperti yang dipakai majikan.
3) Masa dan tempoh kerja mestilah dalam batas kemampuan manusia.
4) Sekiranya jenis pekerjaan itu sukar dilakukan oleh pekerja, ini tidaklah bermakna pekerjaan itu mesti ditinggalkan atau pekerja dipaksa melakukan persetujuan bersama dan pekerja hendaklah diberikan semua bentuk pertolongan dan bantuan.
Tanggungjawab Majikan dan Pekerja
Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya:
“Setiap kamu adalah pemimpin, setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan kepada jagaannya, seorang pemimpin yang menjaga manusia, ia bertanggungjawab terhadap rakyatnya, seorang lelaki bertanggungjawab di atas keluarganya, seorang wanita adalah penjaga di rumah suaminya dan ia bertanggunjawab atas jagaannya. Seorang khadam penjaga harta-benda tuannya dan ia bertanggungjawab atas jagaannya. Setiap kamu adalah pemimpin(penjaga) dan setiap kamu akan ditanya tentang jagaan yang berada dibawahnya.”(Riwayat Bukhari, Muslim dan banyak lagi)
Menurut Hakim Mohd Said hubungan majikan dan pekerja Islam telah menggariskan beberapa prinsip yang perlu dipatuhi iaitu:
1) Majikan dan pekerja melakukan akad (kontrak). Layanan yang baik kepada pekerja dan pekerja bertanggungjawab melakukan kerja dengan penuh dedikasi.
2) Majikan hendakalah memenuhi kewajipan dari aspek kewangan serta menjaga kebajikan pekerja manakala pekerja mestilah memenuhi tanggungjawabnya dengan cara bekerja bersungguh-sungguh.
Firman Allah:
“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah” (Surah Al-Qasas,ayat 26)
Pekerja Menurut Undang-undang Tort Islam
Menurut perundangan Islam, para fuqaha telah membahagikan pekerja kepada dua kategori iaitu:
1) Ajir khass (ejen peribadi atau pekerja eksklusif)
2) Ajir mushtarak (kontraktor bebas)
Menurut Abdul Basir Mohamad, ajir khass bermakna seorang yang bekerja dengan orang lain pada masa tertentu, atau seorang yang diambil untuk bekerja kepada orang yang punya (majikan) dan dibayar gaji berdasarkan kepada tempoh masa dia berkhidmat.Contohnya, pegawai kerajaan atau pegawai swasta yang berkhidmat sepanjang tempoh perkhidmatan. Manakal ajir mushtarak ialah orang yang dilantik tidak terikat dengan syarat bekerja untuk majikan tersebut, tetapi upah yang dibayar apabila tugas selesai dilaksanakan. Contohnya, seperti kontraktor binaan yang bekerja sehingga selesai projek yang diberikan.
Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Melalui Budaya Kerja Kolektif
Bagi mencapai matlamat kesihatan dan kesihatan di tempat kerja, majikan mahupun pekerja mestilah bersama-sama berusaha mewujudkan suasana dan budaya kerja yang baik seperti yang disarankan oleh Al-Quran dan Sunnah. Contohnya:
1) Mujahadah. Semangat dan keazaman yang tinggi atau nekad dalam melaksanakan kerja bagi melepasi sasaran kerja.
2) Muraqabah. Penelitian dan perhatian bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas supaya tidak berlawanan dengan syariat selari .
3) Muhasabah. Penilaian yang dibuat terhadap pekerjaan yang dilaksanakan dari sudu pencapaian dan kekurangan yang dikenalpasti.
4) Jamaah. Majikan dan pekerja berusaha menghidupkan semangat budaya kerja secara kolektif untuk kepentingan organisasi iaitu dengan berganding bahu dalam menjalankan pekerjaan untuk menambahbaik keselamatan dan kesihatan ditempat kerja.
5) Ukhwah. Setiap anggota organisasi perlu diletakkan sebagai bersaudara supaya setiap orang daripadanya merasakan tanggungjawab di antara satu sama lain dalam melaksanakan tugas untuk ingat-mengingati dalam perihal keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Pekerja bekerja dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab bagi menjayakan perusahaan yang dilakukan dan majikan pla mempunyai rasa kasih dan menghormati pekerja sebagai saudara yang membantunya dan menuai hasil bagi menampung hidupnya.
6) Ta’awun. Bantu-membantu dalam melaksanakan tugas organisasi demi mencapai kejayaan. Sifat negatif dan mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan perlu dielakkan bagi mengelakkan semua anggota daripada menyumbang kepada kerugian organisasi.
Tort Dalam Al-Quran dan Sunnah
Sabda Rasulullah s.a.w. dalam khutbah wida’:
“ Sesungguhnya darah kamu, harta benda kau dan kehormatan kamu adalah haram dicerobohi sesama kamu sepertimana haramnya kepada kamu (melakukan pencerobohan) pada hari ini, dalam bulan ini dan dalam negeri ini.”
Dalam hadith yang lain pula :
“Tiada kemudaratan dan tidak dimudaratkan.”
Berdasarkan hadith yang dinyatakan , undang-undang Islam sangat perihatin mengawal, melindungi dan menjaga harta benda, serta kehormatan manusia daripada dicerobohi.
Konsep Tanggungan Dalam Undang-undang Tort Islam
Tanggungan
Dalam bahasa Arab tanggungan diistilahkan sebagai daman. Dari sudut bahasa, daman bererti tanggungan dan tanggungjawab. Dari sudut bahasa, daman bererti tanggungan atau tanggungjawab. Istilah daman ini diserasikan dengan dengan perkataan liabiliti yang memberi erti tanggungjawab,tanggungan atau kewajipan.
Menurut Abdul Basir Mohamad daman bermaksud kewajipan (iltizam/obligation). Pengertian ini telah digunakan bagi maksud yang lebih luas, iaitu sinonim dengan al-haq al-shakhsi (hak persendirian), taghrim (denda), mujib (tanggungjawab), dayn (hutang), daman(ganti rugi) dan sebagainya.
Para Fuqaha berpendapat daman dari sudut bahasa boleh dibahagikan kepada aspek jaminan iaitu kafalah dan ganti rugi iaitu gharamah.
Tanggungan Tegas (al-mas’uliyyah al shakhsiyyah)
Dalam syariat Islam, seseorang itu bertanggungan terhadap sebarang perbuatan atau tindakan atau tingkah lakunya, sebarang perbuatan atau peninggalan yang melibatkan dirinya dan tidak ditanggung orang lain. Ibadat sembahyang itu adalah suatu tuntutan kewajipan ke atas individu dan andai kata seseorang itu mengabaikan sembahyang maka dia yang bertanggungan secara tegas atas keingkaran tidak mengerjakannya. Begitu juga dalam kesalahan tort, maka dialah yang bertanggungan secara tegas, sama ada dikenakan hukuman qisas, diyat atau ta’zir mengikut jenis kesalahan yang telah dilakukannya.
Asas Tanggungan Tegas
Firman Allah:
“Dan ketahuilah seseorang pemikul tidak memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).” (Surah Al-An’am ayat 164)
Setiap orang bertanggungjawab terhadap sebarang perkara yang dilakukan dan seseorang itu tidak bertanggungjawab terhadap perbuatan lain.(Al-Maududi) Seseorang tidak boleh menafikan tanggungan atau tidak boleh berdalih terhadap tanggungan yang dibebankan ke atasnya setelah terbukti bahawa dia dengan sengaja telah melakukan perbuatan yang didakwa itu.
Firman Allah:
“Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalelas di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah Al-Syura, ayat 42)
“(Tiap-tiap balasan berdasarkan kaedah): Sesiapa yang mengerjakan amal salih, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu.” (Surah Al-Jathiyah, ayat 15)
“Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 286)
“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah Al-Zalzalah, ayat 7 hingga 8)
Islam telah menegaskan bahawa seseorang itu tidak bertanggungan terhadap tindakan tort orang lain, melainkan tindakan tort yang dilakukan oleh dirinya sahaja. Terdapat hadith-hadith yang menyokong dan menegaskan kewujudan prinsip tanggungan tegas ini.
Sabda Rasulullah bermaksud:
“Engkau tidak akan melakukan kesalahan ke atasnya dan dia tidak akan melakukan kesalahn ke atas engkau.”
Sabda Rasulullah s.a.w. lagi bermaksud:
“Bapa tidak melakukan kesalahan ke atas anaknya dan anaknya tidak melakukan kesalahan ke atas bapanya.”
Dalam undang-undang tort Inggeris, tanggungan pihak defendan dalam undang-undang tort Islam berasaskan prinsip “kesalahan” atau “kesilapan”. Pihak defendan bertanggungan kerana telah melakukan kecuaian secara sengaja atau tidak sengaja. Semua fuqaha mazhab beretuju bahawa seseorang itu tidak bertanggungan terhadap sesuatu kecederaan atau kerosakan yang disebabkan olehnya, melainkan ada unsur kecuaian (tafrit) atau pencerobohan (ta’addi) pada pihaknya.
Bagi menentukan sama ada seseorang yang didakwa itu bersalah atau tidak, elemen niat terlebih dahulu perlu ditentukan. Seperti mana yang dinyatakan dalam hadith berikut:
" Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : " Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : - ' Hanya amalan-amalan itu adalah ( bergantung ) kepada niat, dan hanya bagi setiap manusia itu apa ( balasan ) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia menikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya.” (Riwayat Al-Bukhari)
Namun begitu, terdapat pengecualian bagi prinsip umum hal tersebut. Ini dapat dijelaaskan melalui kes-kes yang mana pihak defendan dibebankan dengan tanggungan tegas terhadap kemudharatan yang berlaku secara tidak sengaja, yang tidak tertakluk kepada perlunya wujud elemen niat salah ataupun kecuaian.
Penjelasan tanggungan tegas daripada para fuqaha:
1) Sekiranya seseorang itu menggunakan haknya, dia telah melakukan suatu perbuatan yang mendatangkan risiko bahaya kepada orang lain atau kepada harta bendanya, dia akan bertanggungan terhadap sebarang kerosakan dan kecederaan yang berlaku. Seseorang iu wajib memastikan keselamatan orang lain sekalipun ketika menggunakan haknya sendiri. Contohnya, seseorang yang membawa muatan pasir melalui jalan raya. Sekiranya pasir tersebut jatuh ke atas pengguna jalan raya yang lain boleh menyebabkan kecederaan, pihak yang membawa pasir tersebut bertanggungan terhadap kecederaan tersebut.
2) Untuk tindakan berbahaya, pihak pelaku akan bertanggungan terhadap kemudaratan yang mungkin terjadi.
3) Sekiranya seseorang itu merosakkan sesuatu barang kepunyaan orang lain sama da secara sengaja atau tidak sama ada kerosakan itu berlaku ketika barang itu dalam amanahnya kepadanya untuk menjaganya, pihak yang merosakkannya bertanggungan.
4) Sekiranya seseorang menenggelamkan orang lain atau menyebabkan sekumpulan orang mati kelemasan dengan membuka pintu empangan air atau dengan membiarkan api kebakaran merebak atau dengan meruntuhkan sesebuah bangunan dan semua tindakan itu telah mengakibatkan kehilangan nyawa orang ramai, pihak yang melakukan tindakan sedemikian bertanggungan atas tindakannya itu.
5) Jika seseorang tergelincir lalu terjatuh ke atas harta benda milk orang lain dan menyebabkan harta benda itu mengalami kerosakan, dia bertanggungan terhadap kerosakan itu.
6) Jika seseorang merosakkan harta benda orang lain disebabkan tersalah anggapan dengan mempercayai bahawa harta benda itu kepunyaannya, dia tetap bertanggungan terhadap kerosakan tersebut.
7) Sekiranya seseorang membawa masuk sesuatu benda secara sah ke atas tanah kepunyaannya, seperti longgokan batu atau sejumlah air, atau dia menggali lubang di situ yang secara semulajadinya boleh menyebabkan jirannya mengalami kemudaratan atau jika benda-benda iu terlepas masuk ke atas tanah jirannya, maka dia bertanggungan terhadap sebarang kerosakan yang berlaku disebabkan keadaan-keadaan sedemikian.
8) Ibn Qudamah melaporkan:
“Ajir mushtarak(kontraktor bebas) bertanggungan terhadap kerosakan yang disebabkan tindakannya, dan pengangkut barangan bertanggungan terhadap barang yang terjatuh daripada pegangannya. Pemandu unta bertanggungan terhadap sebarang kerosakan yang disebabkan oleh unta yang dipandunya itu atau dengan sebab tali ikatan barang di atas belakang unta itu terputus.”
Syarat-syarat Liabiliti dalam Kes Liabiliti Vikarius
1. Mesti terdapat kontrak (aqad) di antara majikan dan pekerja. Ini merujuk kepada definisi yang telah digariskan oleh Ibn Qudamah seperti yang telah dinyatakan sebelum ini.
“Seseorang yang membuat perjanjian kontrak ke atas dirinya pada masa tertentu, dan majikan yang layak untuk memperoleh manfaat darinya untuk tempoh masa tersebut.”
Dalam undang-undang Inggeris, kontrak terbahagi kepada dua jenis iaitu:
1) Kontrak Perkhidmatan
2) Kontrak Untuk Perkhidmatan
Lord Denning berkata, “Adalah mudah untuk mengenalpasti satu kontrak perkhidmatan tetapi adalah sukar untuk membezakan kontrak perkhidmatan dan kontrak untuk perkhidmatan. Kapten sebuah kapal, seorang pemandu dan wartawan bekerja di bawah sebuah kontrak perkhidmatan tetapi pemandu sebuah kapal, pemandu teksi dan penyumbang artikel kepada mana-mana surata khabar semua bekerja di bawah kontrak untuk perkhidmatan. Elemen yang umum yang terdapat dalam semua situasi ini adalah di bawah kontrak perkhidmatan, pihak yang berkenaan bekerja sebagai sebahagian daripada organisasi dan kerjanya merupakan bahagian penting daripada organisasi tersebut. Manakala, di bawah kontrak untuk perkhidmatan, walaupun kerja itu dibuat untuk organisasi tersebut tetapi ia adalah kerja sampingan sahaja.
Dalam kes Ready Mixed Concrete Ltd lwn. Minister of Pensions dan National Insurance, mahkamah memutuskan bahawa terdapat 3 syarat yang mesti dipatuhi bagi mewujudkan satu kontrak perkhidmatan iaitu:
1) Pekerja bersetuju menyediakan perkhidmatan dan kemahirannya kepada majikan sebagai balasan kepada apa-apa bayaran yang diterima.
2) Pekerja bersetuju secara nyata ataupun tersirat bahawa dalam melaksanakan tugasnya terdapat sedikit elemen kawalan yang munasabah oleh majikannya,
3) Lain-lain syarat dalam kontrak mestilah konsisten dengan status kontrak itu sebagai kontrak perkhidmatan.
Jika salah satu syarat ini tidak ada maka kontrak yang wujud ialah kontrak untuk perkhidmatan.
2. Perilaku salah atau perilaku tort disebabkan tindakan pekerja.
Kita perlu mengetahui bahawa tindakan kecuaian yang dilakukan oleh pekerja boleh berlaku dalam 2 situasi. Pertama, tindakan kecuain boleh berlaku disebabkan pekerja bekerja dalam kawasan milik majikan dibawah kontrak di antara mereka, dan yang kedua, pekerja bekerja dalam kawasan milik pihak ketiga dengan kontrak diantara pekerja dan dan majikannya. Dalam situasi kontrak perkhidmatan tersebut, sekiranya pekerja menerima kerosakan hartabenda orang lain atau melibatkan kecederaan seseorang dalam waktu bekerja tanpa terdapatnya ta’addi(pencerobohan) atau kecuaian, pekerja tersebut tidak menanggung liabiliti tetapi majikan terpaksa menanggung liabiliti vikarius. Liabiliti vikarius bermaksud seseorang yang bertanggunjawab ke atas kesalahan yang dibuat oleh orang lain walaupun orang it bukan salah satu pihak yang melakukan torts itu ataupun tidak langsung melakukan perbuatan tersebut.
Dalam kes Ricketts lwn Thomas Tilling Ltd. (1915) 1 K.B. 644, plaintif telah menerima kecederaan daripada bas yang dipandu oleh konduktor bas dengan kebenaran pemandu bas. Konduktor bas tersebut telah memandu bas tersebut ke satu hujung jalan untuk memusing kedudukan bas. Akibat daripada tindakan tersebut telah merosakkan kaki lima dan menyebabkan kecederaan kepada plaintif. Mahkamah telah memutuskan bahawa defendan bertanggungjawab ke atas kecederaan yang dialami oleh plaintif atas sebab kecuaian pemandu bas membenarkan orang yang tidak kompeten atau tidak layak untuk memandu bas tersebut.
Dalam kes Century Insurance Co lwn. Northern Ireland Road Transport Board (1942) A.C. 509, tindakan tort yang melibatkan lori tangki petrol yang meletup hingga menyebabkan garaj dan rumah berdekatan musnah. Majikan bertanggungjawab secara vikarius dan menanggung liabiliti atas kerosakan yang diterima dalam tempoh khidmat pemandu lori tangki tersebut.
Adalah dipastikan bahawa tiada percanggahan berkenaan tindakan salah atau tort pekerja sama ada dalam Syariah Islam mahupun undang-undang Inggeris.
3. Terdapatnya kecederaan (darar) kepada pihak ketiga semasa melakukan pekerjaan .
Menurut Wahbah Al-Zuhaili,
“Majikan bertanggungjawab bagi setiap kerja yang dilakukan oleh pekerja bila terdapatnya kontrak (aqad ijarah), dan kecederaan (darar) terhasil akibat daripada kerja yang dilakukan di mana, alatan yang digunakan, tempat kerja dan kaedah kerja yang dilakukan adalah mengikut amalan kerja normal harian, atau majikan mengarahkan sesuatu yang dilampaui daripada skop kerja, jika dua hukum ini tidak dapat dibuktikan, maka majikan tidak menanggung liabiliti.”
Majikan hanya bertanggungjawab terhadap kerosakan yang disebabkan oleh tindakan pekerja yang mana tindakan tersebut di dalam tempoh khidmat pekerja tersebut.
Para fuqaha bersetuju melalui manuskrip Al-Hidayah bahawa:
“Ajir khass tidak menanggung liabiliti terhadap kerosakan yang berlaku semasa keharirannya (fi yadih) (tanpa ada tindakan penyumbang) dan dia tidak menanggung liabiliti diatas kerosakan yang berlaku akibat daripada tindakannya sendiri (min amalih)”
Al-Babarti telah menghuraikan maksud “ kerosakan yang berlaku akibat daripada tindakannya sendiri(min amalih)” melalui contoh yang dibawakan seperti kes yang melibatkan peralatan kerja rosak semasa tempoh pekerja bertugas (fi amalih) . Fuqaha kontemporori bersetuju dengan syarat liabiliti vikarius melibatkan majikan dan pekerja. Ibn Abidin menghuraikan tentang “bi amalih” dengan mengatakan bahawa “kerja yang dibenarkan untuk diselesaikan” dan sekiranya pekerja melakukan sesuatu diluar skop ke tindakan yang terbit daripada pekerjaan , pekerja itu sendiri akan menanggung liabiliti kerana dikira sebagai melakukan sesuatu diluar bidang pekerjaan.
Contohnya, sekiranya seorang ajir khass menyalakan lampu atas mematuhi arahan majikannya, dan lampu tersebut jatuh dan membasahkan kain tenunan (thiyab al-qisarah), liabiliti bukan pada pekerja tersebut, majikan menanggung liabiliti vikarius kerana menyalakan lampu itu satu tugas dibenarkan(bi idhnih) seorang penenun, tetapi sekiranya lampu itu jatuh dan membasahi kain selain kain fuller, liabiliti adalah atas ajir khass kerana terdapat aktiviti ultra vires tanpa wujudnya sebarang kebenaran. Ini adalah diluar tindakan yang terbit daripada pekerjaan
Dalam undang-undang Inggeris, majikan tidak menanggung liabiliti atas tindakan tort yang dilakukan oleh pekerja melainkan ianya tindakan yang terbit daripada pekerjaan. Liabiliti ditanggung majikan secara mutlak dan tegas, sama ada terdapatnya elemen kecuaian diatas kecuaian pekerjanya ataupun bagi pihaknya.
Kedua-dua undang-undang Syariah dan Inggeris bersetuju bahawa majikan hanya menanggung liabiliti untuk tort yang dilakukan oleh pekerja melainkan ianya tindakan yang terbit daripada pekerjaan. Sekiranya diluar bidang tugas, majikan akan terlepas daripada liabiliti. Cuma, yang membezakan kedua undang-undang Syariah dan Inggeris ini ialah konsep berkaitan “within the course of employment”( tindakan yang terbit daripada pekerjaan). Terdapat juga perbezaan konsep berkenaan kecuaian (negligence). Dalam Islam, sekiranya kecuaian daripada pihak pekerja, majikan tidak akan menanggung liabiliti vikarius. Ini merupakan elemen yang penting dalam Islam.Walaupun ianya dalam tindakan yang terbit daripada pekerjaan, tetapi dilaksanakan dengan cuai, majikan bebas daripada liabiliti. Mahkamah akan melihat elemen ini secara berasingan sebelum membuat keputusan dalam kes berkaitan.
Sebaliknya dalam undang-undang tort Inggeris, elemen kecuaian bukanlah satu elemen penting bila keadaan tindakan yang terbit daripada pekerjaan wujud. Walaupun terdapat elemen kecuaian pihak pekerja, mahkamah hanya akan melihat kecuaian tersebut adalah tindakan yang terbit daripada pekerjaan atau tidak. Liabiliti akan ditanggung oleh majikan walaupun pekerja melakukan kerjanya secara cuai. Elemen tindakan yang terbit daripada pekerjaan ini lebih diutamakan berbanding elemen kecuai dalam undang-undang Inggeris.
4. Tindakan tort yang dilakukan pekerja untuk manfaat majikan
Dalam undang-undang Syariah menggunakan prinsip liabiliti vikarius, majikan yang menerima manfaat daripada pekerjanya menanggung liabiliti vikarius sekiranya pekerja membuat tindakan yang terbit daripada pekerjaan. Contohnya, sekiranya majikan mengarahkan pekerja untuk menggali telaga, dan ada orang yang terjatuh ke dalam telaga tersebut, maka liabiliti ditanggung oleh majikan. Ini kerana, kerja tersebut dilakukan atas untuk manfaat dan arahan majikan tersebut.
Terdapat persetujuan pandangan kedua-dua undang-undang Islam dan Inggeris dalam membincangkan maksud manfaat daripada kerja yang dilakukan pekerja untuk majikan. Kedua-dua undang-undang bersetuju bahawa pekerja mesti bekerja atau melakukan pekerjaan. Walaubagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan secara terperinci yang mana Islam tidak menggariskan tanggungjawab vikarius liabiliti sekiranya pekerja melakukan tindakan dengan cuai walaupun dia melakukan pekerjaan untuk manfaat majikannya. Manakala, dalam undang-undang Inggeris pula, elemen kecuaian tidak diutamakan untuk pekerja yang melakukan tindakan untuk manfaat majikannya dalam tindakan yang terbit daripada pekerjaan.
5. Kerja yang dilakukan oleh pekerja mematuhi undang-undang
Dalam Islam, adalah menjadi satu keutamaan pekerja melakukan kerja yang diberikan oleh majikan mematuhi undang-undang (mashru’). Sekiranya melibatkan harta benda orang lain, arahan majikan tersebut boleh diabaikan oleh pekerja kerana undang-undang Islam tidak membenarkan satu kerja dibuat yang melibatkan harta benda orang lain melainkan dengan persetujuan orang itu.
Sekiranya seseorang mengarahkan orang lain untuk memegang harta benda orang lain secara tidak sah, orang yang memegang harta benda itu menanggung liabiliti kerana arahan orang pertama dianggap tidak wujud. Dalam apa-apa situasi pun arahan wujud, liabiliti tidak ditanggung oleh pemberi arahan.
Dalam kes tertentu, pekerja menanggung liabiliti sekiranya pekerja tersebut melibatkan kerosakan harta benda pihak ketiga melalui arahan majikan, pekerja tersebut layak untuk membuat permohonan gantirugi daripada majikan sekiranya dia tidak tahu bahawa tindakan itu tidak mematuhi undang-undang. Contohnya, sekiranya majikan mengarahkan pekerja menggali telaga dalam sebuah tanah yang dimiliki oleh orang lain, pekerja tersebut menganggap bahawa ianya kepunyaan majikannya, maka majikannya itu bertanggungjawab terhadap tindakan pekerjanya.
Sekiranya pekerja menyedari bahawa tindakan majikan itu melanggar undang-undang, liabiliti akan ditanggung oleh pekerja bukan majikan. Contohnya, majikan mengarahkan pekerja menggali telaga di jalanraya dan majikan menyedari keadaan tersebut melanggar undang-undang, pekerja tersebut menanggung liabiliti sekiranya berlaku kerosakan. Secara ringkasnya, dapatlah diketahui bahawa undang-undang Islam ini mengutamakan mahkamah untuk melihat kes ini secara menyeluruh sebelum keputusan dibuat.
Kesimpulan
Al-Quran merupakan sumber rujukan utama undang-undang Islam. Sunnah Rasulullah s.a.w. merupakan rujukan kedua terpenting selepas Al-Quran manakala ijmak ulama pula menjadi sumber rujukan ketiga dan seterusnya qias merupakan sumber rujukan keempat. Undang-undang Islam bermatlamat untuk mewujudkan keharmonian dan keselesaan kehidupan, manakala dalam konteks pekerjaan, Islam sangat mengutamakan konsep bekerja dengan selamat dan sihat malah semestinya tidak bertentangan dengan syara’.
Firman Allah bermaksud:
“… dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.
Perbaikilah segala usaha dan perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi
orang yang berusaha supaya baik amalannya” (Surah Al-Baqarah, ayat 195)
Islam juga menetapkan tanggungjawab bersama majikan dan pekerja untuk mengelakkan kemudaratan sedaya mungkin. Budaya keselamatan dan tuntutan berhati perlu diamalkan di tempat kerja bagi wujudkan suasana tempat kerja yang selamat dan sihat.
Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya:
“Setiap kamu adalah pemimpin, setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan kepada jagaannya, seorang pemimpin yang menjaga manusia, ia bertanggungjawab terhadap rakyatnya, seorang lelaki bertanggungjawab di atas keluarganya, seorang wanita adalah penjaga di rumah suaminya dan ia bertanggunjawab atas jagaannya. Seorang khadam penjaga harta-benda tuannya dan ia bertanggungjawab atas jagaannya. Setiap kamu adalah pemimpin(penjaga) dan setiap kamu akan ditanya tentang jagaan yang berada dibawahnya.”(Riwayat Bukhari, Muslim dan banyak lagi)
Rujukan
1) Abdul Basir Mohamad.1999.. Undang-undang Tort Islam
2) Abdul Basir Mohamad. Vicarious Liability: A Study On Employer and Employee in The Islamic And English Law of Tort
3) Abdul Basir Mohamad.2000. Strict Liability in The Islamic Law of Tort
4) Wan Ali Wan Jusoh.Hubungan Majikan dan Pekerja dari Perspektif Islam
5) Rahim Dino Mahar. 2005.Dignity of Labour in Islam
6) Hj Ahmad Hj Awang.1988. Konsep Bekerja Menurut Pandangan Islam.Sinaran Islam.
7) Mustafa Abdul Rahman. Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya)
8) Said Ramadhan Al-Buthi. Sirah Nabawiyyah
9) Khairul Azhar Idris. Akauntabiliti Menurut Perspektif Islam
10) Khalijah Mohd Salleh. 2009. Sains Tauhidik: Model, Ciri-ciri, Kegiatan dan Amalan. Seminar Pendidikan Sains dan Teknologi Maklumat (STeM’09) Kongres Pengajaran dan Pembelajaran UKM 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan