DONATE

Isnin, 20 Mac 2017

PERBANDINGAN MAKSIM PERUNDANGAN DAN QAWAID FIQHIYYAH (KAEDAH FIQH): PENGAMALAN DI MAHKAMAH SYARIAH

Oleh: Mohd Istajib bin Mokhtar


PENDAHULUAN

Maksim perundangan adalah seerti dengan qawa‟id fiqhiyyah atau dalam istilah undang-undangnyadikenali sebagai legal maxim. Manakala, Maksim Perundangan Inggeris atau Latinsering kali digunakan oleh pengamal undang-undang bagi menunjukkan keindahan keadilan perundangan sivil di Malaysia. Walaupun Maksim Perundangan Inggeris ini berbagai-bagai, namun maksim perundangan yang relevan dengan keterangan dan pembuktian di Mahkamah Syariah adalah terhad dan kebanyakannya menyamai dengan penggunaan kaedah fiqhiyyah secara praktikalnya. Kaedah-kaedah fiqhiyyah pula merupakan kaedah-kaedah yang bersifat umum yang mengumpulkan masalah-masalah fiqh terperinci yang memudahkan para ulama ‟untuk mengistinbathkan hukum bagi sesuatu masalah dengan cara mengklasifikasikan masalah itu di bawah suatu kaedah. Melalui kaedah yang telah diperincikan inilah, hakim-hakim dapat membuat ijtihad yang relevan dengan keadaan semasa. Kaedah-kaedah ini juga telah digunakan oleh para hakim untuk memutuskan sesuatu kes di Mahkamah Syariah.

Di samping itu, walaupun terdapat banyak kaedah-kaedah fiqhiyyah, tetapi hakim-hakim hanya menggunakan kaedah fiqhiyyah yang relevan dan bersesuaian dengan kes-kes yang hendak diputuskan. Ini untuk memastikan prosedur yang digunakan dalam undang-undang keterangan bukan sahaja memenuhi kehendak syarak bahkan menepati aturan undang-undang yang digunapakai di Mahkamah. Hal ini juga kerana Undang-Undang Keterangan di Malaysia merupakan adaptasi dari undang-undang keterangan sivil yang menggunapakai prosedur dan terma-termanya tetapi berbeza dari segi praktikal dan perlaksanaannya. Oleh itu, rujukan kepada hukum syarak amat perlu dengan menggunakan kaedah fiqhiyyah ini agar kes- kes yang diputuskan lebih tepat disebabkan ada kaedah-kaedah fiqh yang menyokongnya.

Selain itu juga, kaedah-kaedah fiqhiyyah yang digunakan oleh para hakim dalam ijtihad mereka adalah daripada dua sumber utama iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Kaedah yang terhasil daripada dua sumber ini mampu menyelesaikan semua kesulitan yang timbul dari segenap aspek kehidupan manusia termasuklah dalam sistem kehakiman. Oleh itu, dalam bab seterusnya, akan dibincangkan beberapa kaedah fiqhiyyah yang sentiasa digunakan oleh hakim-hakim dalam prosedur keterangan dan pembuktian di Mahkamah.



BAB 1

1.1 MAXIM PERUNDANGAN YANG RELEVAN DENGAN KETERANGAN DAN
PEMAKAIAN DI MAHKAMAH SYARIAH

1. AUDI ALTERAM PARTEM

Maksim perundangan ini merupakan antara maksim yang utama dalam undang-undang keterangan, bukan sahaja dari aspek Undang-undang Keterangan Sivil, bahkan dari aspek Undang-undang Keterangan Islam. Secara istilahnya, Audi Alteram Partem bermaksud mendengar keterangan kedua belah pihak, iaitu kedua-dua belah pihak diberikan hak yang sama memperdengarkan hujah mereka di depan hakim. Dengan cara ini, hakim dapat menghakimi dengan adil dan saksama dan bukan semata-mata berdasarkan keterangan satu pihak saja yang ternyata membawa kepada keputusan yang berat sebelah.

Dalam termenologi Islam, maksim ini ternyata merupakan konsep yang sama yang telah digariskan dan dinyatakan di dalam Islam itu sendiri secara umum. Di dalam surah Al-Hujuraat

Allah S.W.T telah berfirman :

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang Fasik membawa suatu
berita, Maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada
suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas
perbuatanmu itu.”

Semua sistem perundangan menetapkan bahawa segala pertikaian hendaklah diputuskan setelah kedua-dua belah pihak diberi peluang untuk memberi keterangan masing-masing. Peraturan ini dibuat bagi menjamin keadilan kepada semua pihak. Islam amat menitik beratkan peraturan ini, sehinggalah terdapat banyak sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. yang juga merupakan sumber kedua perundangan Islam menyatakan betapa penting dan perlunya seseorang hakim mendengar keterangan kedua-dua belah pihak. Sebagai contoh, satu riwayat daripada Abu Daud bahawa Saidina Ali berkata kepada Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :-

“Ya Rasulullah, tuan mengutuskan aku ke Yaman untuk menjadi Qadi sedangkan aku
masih muda dan tidak mengetahui tentang kehakiman.”

Rasulullah bersabda :
“Sesungguhnya Allah akan memberikan hidayah-Nya kepada hati engkau dan
menetapkan lidah mu. Jika datang dua orang yang bertikai duduk di hadapan kamu, maka
janganlah engkau menjatuhkan hukuman sehinggalah engkau mendengar hujah dan
keterangan pihak kedua seperti engkau mendengar pihak pertama, kerana itulah yang
lebih layak dilakukan agar jelas bagi kamu untuk menjatuhkan hukuman.”

Prinsip ini dapat dilihat di dalam kes Haslinda binti Alias v Johdi Mathew Byrne @ yahya bin Abdullah (1999) 13 JH 47. Dalam memutuskan sama ada Mahkamah boleh memberi keizinan kes ini didengar secara sebelah pihak (ex-parte) dan seterusnya mengeluarkan perintah ex-parte,

YA Hakim Bicara telah merujuk kepada hadis di atas dan menyatakan bahawa:

“Hadis tersebut dengan jelas memberikan panduan kepada seseorang hakim dalam mengendalikan proses perbicaraan iaitu hukuman tidak boleh dijatuhkan dan penghakiman tidak boleh diberikan melainkan semua pihak telah diberi peluang yang sama untuk membela membela diri dan mengemukakan keterangan dan hujahnya, kerana hukuman yang adil tidak dapat ditegakkan jika keterangan dan hujah semua pihak tidak diberikan dengan jelas dan memuaskan dan mereka diberikan peluang secara adil.”

Kes ini secara jelas menunjukkan bahawa kedua-dua pihak mendapat hak dan peluang yang sama dalam membela diri di mahkamah. Ini bertepatan dengan hadis seperti yang diatas. Konsep mendengar kedua belah pihak atau Audi Alteram Partem ini secara praktikalnya digunapakai oleh mahkamah dalam kebanyakan kes yang dibicarakan di mahkamah.



2. EI INCUMBIT PROBATIO QUI DICIT, NON QUI NEGAT

Maksim ini membawa maksud Sesiapa yang menegaskan mestilah membuktikan”, maksim ini juga secara tidak langsung adalah merupakan antara maksim yang digunapakai di dalam keterangan di mahkamah. Maksim perundangan ini juga menyamai maksim perundangan Islam yang digunapakai di Mahkamah Syariah iaitu al-bayyinah „ala al-muddaie wa al-yamin „ala man ankara „alaih.

Maksim ini mengkehendaki seseorang yang mendakwa hendaklah membuktikan dakwaannya. Jika dilihat pada Seksyen 72 Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah persekutuan sebagai contoh, Seksyen tersebut memperuntukkan mengenai beban untuk mengemukakan keterangan dalam sesuatu kes mal terletak pada orang yang mengatakan atau menegaskan fakta tersebut dan orang yang mengangkat sumpah adalah untuk menafikan sesuatu fakta itu. Begitu juga jika dilihat pada Seksyen 75 yang menyatakan bahawa beban membuktikan tentang fakta tertentu adalah terletak pada orang yang berkehendakkan Mahkamah mempercayai tentang kewujudan fakta itu. Misalan yang diberikan ialah A berhasrat supaya mahkamah mempercayai bahawa pada pada masa yang berkenaan itu dia berada di suatu tempat lain. Maka dia mestilah membuktikannya.


3. ACTUS NON FACIT REUM NISI MENS SIT REA

Maksim ini membawa maksud sesuatu perbuatan tidak akan menyebabkan seseorang bersalah melainkan mindanya juga bersalah. Maksim ini digunapakai terutamanya dalam kes jenayah, dimana elemen means rea atau mental seseorang diambilkira dalam mensabitkan sesuatu kesalahan. Maksim ini juga dapat kita katakan menyamai dengan konsep al-amru bimaqosidiha iaitu setiap perkara dinilai berdasarkan niatnya

Selain daripada itu, maksim perundangan ini juga digunapakai di dalam kes mal yang lain di mana elemen niat atau mental memainkan peranan dalam menentukan sabit atau tidak sesuatu perkara. Contohnya apabila seseorang lelaki melafazkan cerai dengan lafaz kinayah, contohnya “pergilah balik rumah mak kau”, atau “keluar dari rumah ni”, maka tidak dapat tidak hakim perlu bertanyakan pada si suami sama ada dia melafazkan perkataan tersebut dengan niat untuk menceraikan isterinya atau tidak, kerana mungkin niatnya adalah sebaliknya. Hakim perlu mensabitkan kes seperti ini dengan melihat kepada elemen niat atau
mental seseorang di mana bertepatan dengan maksim perundangan ini.


4. QUOD CONSTAT CLARE NON DEBET VERIFICARI

Maksim ini membawa maksud “sesuatu yang jelas dan nyata tidak perlu dibuktikan”. Maksim ini juga digunapakai di Mahkamah Syariah sebagai fakta yang tidak perlu dibuktikan. Di dalam proses perbicaraan, adakalanya sesuatu fakta itu diterima tanpa sebarang keterangan. Ia diiktiraf oleh mahkamah sebagai satu nyataan berasas yang tidak perlu dibuktikan kesahihannya, keadaan ini samada kerana fakta tersebut seawalnya telah diiktiraf oleh nas perundangan atau kerana ia suatu yang boleh diterima secara logik (munasabah) atau kerana ia merupakan fakta yang biasanya diterima.

Undang-Undang Keterangan mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan Seksyen 43 memperuntukkan bahawa tiada fakta yang mengenainya Mahkamah akan memberikan pengiktirafan kehakiman perlu dibuktikan. Pengktirafan kehakiman berarti penerimaan kebenaran sesuatu fakta yang diketahui umum serta masyhur atau yang terbit dari sumber yang berautoriti sehingga menyebabkan bukti mengenainya tidak diperlukan. Contohnya Sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 yang diiktiraf dan diketahui umum. Peruntukkan Seksyen 45 pula menyatakan bahawa fakta yang diakui tidak perlu dibuktikan iaitu merujuk kepada iqrar. Maksim ini juga boleh dikatakan menyamai dengan beberapa prinsip Kaedah Fiqhiyyah yang lain iaitu antaranya ialah “Sesuatu yang telah sabit melalui kebiasaan adalah sabit mengikut dalil syarak”.


BAB II
1.1 DEFINISI DAN KONSEP QAWA’ID FIQHIYYAH

Qawa‟id fiqhiyyah merupakan prinsip amali syar‟ie yang menyeluruh dan meliputi semua juzu‟ dibawahnya dengan nyata. Ianya juga merupakan pendekatan secara “horizontal” atau melintang dalam perbahasan hukum fiqh. Qawa‟id fiqhiyyah ini juga merupakan hasil kajian terhadap nusus, ijma‟ dan fatwa para ulama‟ dan mencari prinsip kesamaan yang mengaitkan hukum-hakam syara‟ yang mempunyai sifat atau „illah hukum yang sama.

Perkataan al-qawa‟id al-fiqhiyyah merupakan satu istilah yang terdiri daripada dua perkataan iaitu al-qawa‟id dan al-fiqhiyyah. Menurut para fuqaha‟ pula, perkataan kaedah bererti hukum yang digunakan secara majoriti yang meliputi kebanyakan pecahan-pecahannya supaya diketahui akan hukumnya. Dalam memberi pengertian bagi perkataan al-qawa‟id, para fuqaha‟ telah mengungkapkan satu kaedah iaitu yang bermaksud hukum yang kebiasaannya dipraktikkan ke atas kebanyakan bahagian-bahagiannya atau cabang-cabangnya.

Manakala perkataan al-fiqhiyyah pula adalah berasal daripada perkataan al-fiqh yang bermaksud faham. Menurut al-Ghazali, ilmu al-fiqh adalah suatu ilmu syariah (undang-undang Allah) yang bersangkut paut dengan pengetahuan furu(cabang) agama. Justeru, berdasarkan pengertian-pengertian yang telah dibentangkan di atas, dapat dirumuskan bahawa apabila kedua-dua perkataan itu digabungkan (dari sudut bahasa) menjadi satu istilah baru yang mewakili satu disiplin ilmu yang berasingan, maka ia bermaksud satu susunan kaedah yang berkaitan dengan hukum-hukum fiqh yang diambil daripada dalil-dalil yang terperinci. Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa kaedah fiqhiyyah ialah sebagai satu himpunan atau susunan kaedah yang bersifat kulli (umum) yang terangkum di dalamnya sejumlah masalah fiqh dan melaluinya dapat diketahui hukum-hukum bagi masalah-masalah fiqh yang tercakup di dalam ruang lingkup atau ruang cakupannya.



1.2 QAWA’ID FIQHIYYAH DALAM UNDANG-UNDANG KETERANGAN ISLAM

Seperti yang kita maklumi, masalah cabang dalam perundangan Islam adalah pelbagai, ianya akan terus bertambah dari semasa ke semasa. Masalah ini perlulah diselesaikan dan diberikan jawapan berdasarkan kehendak perundangan Islam. Antara cara mengatasinya ialah dengan merujuknya kepada masalah cabang lain yang mempunyai persamaan daripada segi sebab, sifat dan hukumnya. Selepas itu, dirujuk pula hukum yang berbentuk menyeluruh atau asas yang merupakan sebahagian daripadanya. Di samping itu, hukum asas atau menyeluruh ini adalah yang berkaitan dengan kaedah perundangan iaitu al-qawa‟id fiqhiyyah. Oleh itu, kadah perundangan Islam ialah hukum yang berbentuk menyeluruh atau asas yang terkandung di dalamnya banyak hukum cabang yang bertaburan. Melalui kaedah ini, ianya akan mempermudahkan ulama‟ untuk menyelesaikan persoalan fiqh yang timbul. Terdapat banyak kaedah perundangan Islam yang boleh dijadikan asas dan panduan dalam usaha kita untuk memahami dan melaksanakan kehendak undang-undang keterangan Islam.Antaranya ialah:

a) Setiap perkara dinilai berdasarkan niatnya.

Kaedah tersebut telah menjelaskan bahawa setiap pekerjaan zahir atau batin yang ingin dilakukan oleh seseorang perlu disertai dengan niat mahupun motif yang tertentu. Oleh sebab itu, setiap perbuatan mukallaf itu amat bergantung kepada apa yang diniatkannya, bahkan para ulamafiqh sepakat berpendapat bahawa sesuatu pekerjaan yang telah diniatkan, namun pekerjaan tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana sesuatu kesukaran (masyaqqah) yang mendatang, maka ia tetap diberikan ganjaran. Manakala, dari aspek yang lain, seseorang yang mempunyai niat untuk melakukan dosa besar seperti membunuh, namun tidak sempat melakukannya kerana dia dibunuh terlebih dahulu oleh musuhnya, niatnya itu tetap dikira.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Apabila dua Muslim bertarung dengan saling menghunus pedang, yang terbunuh dan
yang membunuh, kedua-duanya dimasukkan ke dalam neraka. Aku bertanya; Wahai
Rasulullah! ini adalah balasan bagi orang yang membunuh (masuk neraka adalah patut),
tetapi bagaimana dengan keadaan orang yang dibunuh? Baginda menjawab; kerana ia juga
berazam untuk membunuh lawannya.”

Hadith di atas telah menerangkan bahawa kemahiran analitikal yang merupakan komponen utama pemikiran kritis telah diterapkan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w mengajar umat Islam agar bersikap teliti dalam menilai sesuatu perkara. Hadith ini sekaligus menuntut para hakim supaya membuat analisis kritis dalam meneliti setiap fakta kes yang dikemukakan kepadanya. Ia perlu juga melihat kepada faktor niat atau maksud sebenar sesuatu tindakan yang dilakukan oleh seseorang.

Selain itu, dalam kes seperti pembunuhan ini, para hakim perlu menentukan hukumnya berdasarkan qarinah (bukti-bukti) yang terzahir menerusi tindakan si pembunuh sebagai refleksi daripada apa yang diniatkannya di dalam hati, sama ada pembunuhan tersebut dilakukan secara sengaja, menyerupai sengaja ataupun tidak sengaja. Sebagai contoh, dalam sesuatu kes bunuh, hakim boleh bergantung kepada fakta-fakta berkaitan, seperti A dilihat berlari keluar dari rumah B dalam keadaan baju yang dipakainya berlumuran darah sedangkan mereka diketahui memang mempunyai hubungan yang tidak baik. Aspek pembuktian ini merupakan suatu indikator yang sangat penting dalam bidang kehakiman lebih khusus dalam kes pelaksanaan hukum hudud, qisas dan ta`zir, selaras dengan ajaran Islam yang sangat menekankan aspek ini dalam mensabitkan sesuatu hukuman ke atas seseorang yang dituduh di mahkamah.


Hal ini begitu signifikan kerana ianya akan menjadikan seseorang hakim bertindak secara objektif atau dalam kata lain, ia bersikap adil dan tidak bias (tidak berat sebelah) dalam mengendalikan sesuatu perbicaraan dan adil dalam menjatuhkan hukuman keseksaan ke atas pelaku jenayah tersebut di mahkamah. Di samping itu, ia turut berfungsi untuk mengakhiri pertikaian dan memulangkan hak kepada si pendakwa. Ini juga berdasarkan kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Katakanlah: “Tunjukkanlah bukti kebenaranmu jika kamu adalah orang yang benar”.


Selain itu, kaedah ini juga didapati selaras dengan konsep pemikiran logik yang telah dikemukakan oleh Mohd Yusof Hasan. Pemikiran logik adalah proses penaakulan yang membawa kepada suatu keputusan seperti idea, fakta dan keputusan. Ia juga melibatkan proses menyusurgalurkan keterangan-keterangan untuk mengenalpasti masalah seterusnya memikirkan jalan bagi menyelesaikan masalah tersebut. Manakala, antara proses untuk menyusurgalurkan keterangan tersebut ialah mengenalpasti aspek niat di sebalik sesuatu perbuatan seseorang.

Selain itu, hadith tersebut juga secara tidak langsung telah mempersembahkan stail pemikiran kritis, iaitu stail historis di mana ianya digunakan dalam mencari sebab dan akibat sesuatu peristiwa dan kejadian. Menerusi cara pemikirian kritis yang ditonjolkan ini, hasil daripada data ataupun maklumat yang bersifat fizikal dan bukan fizikal dianalisis dan kemudian hasilnya akan dikupas serta diterjemahkan oleh hakim berdasarkan fenomena yang berlaku.

Dalam hal ini, seseorang hakim perlu meneliti secara mendalam aspek niat seseorang sehingga berlaku atau tercetusnya sesuatu peristiwa. Berdasarkan pengambilkiraan aspek ini, wajar sekali perakuan Rasulullah s.a.w menerusi hadithnya di atas bahawa orang yang dibunuh itu layak untuk dimasukkan ke dalam api neraka kerana ia turut mempunyai keazaman yang kuat untuk membunuh saudaranya itu.


b) Kemudharatan dihapuskan

Kaedah tersebut walaupun dilihat ringkas dan mudah, tetapi sebenarnya telah membawa kepada terhasilnya pelbagai jalan penyelesaian dalam keempat-empat dimensi fiqh (rubu‟ fiqhiyyah) iaitu merangkum rubu‟ ibadat, munakahat, mua‟malat dan jinayat. Ini kerana semua taklif atau tanggungjawab syara‟ dibina di atas dasar untuk menegah serta menolak kemudaratan dan bahaya.

Sebagai contoh, seorang yang menyebarkan ajaran sesat, sudah tentu akan membawa mudarat yang besar kepada masyarakat disebabkan pemikiran songsang yang dibawanya. Tindakannya itu bukan hanya dapat memecahbelahkan masyarakat, malah lebih buruk lagi, ia boleh merosakkan masyarakat itu sendiri. Dalam kes ajaran sesat misalnya, mereka perlu menjatuhkan hukuman ke atas pembawa ajaran tersebut yang sesuai dengan kesalahannya, demi menjaga kemaslahatan masyarakat dan mengelakkan mereka dari terkena mudarat yang lebih besar sekiranya tiada sebarang tindakan diambil ke atas mereka yang telah bertindak menyebarkannya dalam masyarakat.


c) Yakin tidak boleh dihilangkan dengan syak.

Menurut kaedah ini, jika kita mengatakan seseorang itu bersalah, maka hendaklah dibuktikan kesalahannya kerana seseorang itu tidak dikira bersalah sehinggalah dibuktikan kesalahannya. Tuduhan atau sangkaan tanpa bukti tidak boleh menghilangkan atau menafikan keyakinan asal iaitu seseorang itu tidak bersalah. Sebagai contoh, seseorang itu tidak berhutang melainkan setelah dibuktikan sebaliknya. Kaedah ini telah dijadikan asas dalam menentukan berat beban pembuktian yang diperlukan dalam sesuatu kes, di samping sebagai pembelaan kepada pihak yang dituduh atau didakwa. Selain itu juga, kaedah ini turut diperturunkan oleh Imam al-Suyuti di dalam kitabnya al-asybah wa al-nazair.


d) Pada asalnya, seseorang itu bebas daripada sebarang tanggungan.

Berdasarkan kaedah ini, ianya telah mejelaskan bahawa pada asalnya seseorang itu bebas daripada sebarang tanggungan melainkan setelah dibuktikan sebaliknya. Ini bermakna, beban membukti terletak pada orang yang mendakwa.14 Jika pendakwa gagal membuktikan dakwaannya, maka sumpah (al-yamin) adalah ke atas pihak yang didakwa. Dalam situasi tersebut, pihak yang didakwa adalah lebih utama untuk melaksanakan sumpah kerana ia berada di pihak yang kuat berdasarkan kaedah fiqhiyyah ini iaitu “seseorang itu bebas daripada sebarang tanggungan”.

Namun, sekiranya pihak yang mendakwa berubah daripada pihak yang lemah kepada pihak yang kuat seperti dalam kes „lauth‟ atau ketika pihak yang didakwa enggan bersumpah selepas diminta berbuat demikian atau ketika pihak yang mendakwa bersama seorang saksi lelaki, maka sumpah (al-yamin) disyariatkan bagi pihak yang lebih kuat antara dua pihak yang
bersumpah. Oleh itu, kaedah ini merupakan kaedah yang penting di dalam Undang-undang Keterangan Islam dalam memutuskan sesuatu kes.


e) Sesiapa yang syak (ragu) sama ada telah melakukan sesuatu atau tidak pada asalnya
dia tidak melakukannya.


Kaedah ini menjelaskan sesiapa dalam keadaan ragu-ragu sama ada telah melakukan sesuatu atau tidak. Maka, ianya hendaklah dibina atas keyakinan iaitu bahawa dia tidak melakukannya. Sebagai contoh, apabila seseorang itu ragu-ragu sama ada telah melakukan sesuatu atau tidak, maka hendaklah dibina atas keyakinan bahawa dia tidak melakukannya kerana yang menjadi persoalan ialah yang tidak melakukannya.


f) Apa yang sabit secara yakin tidak terangkat melainkan dengan yakin juga.

Berdasarkan kaedah ini, sebagai contoh, apabila seseorang telah sabit nikahnya secara yakin, maka untuk menyatakan bahawa nikahnya itu tidak sah, maka hendaklah dibuktikan secara yakin juga agar dapat menghapuskan keyakinan pertama yang telah sabit. Hal ini kerana, yakin tidak beoleh terangkat atau dihapuskan melainkan dengan yakin juga. Kaedah ini boleh dijadikan panduan dalam menentukan berat beban pembuktian atau tahapnya yang diperlukan dalam sesuatu kes.


g) Asal sesuatu itu tidak ada.

Asal sesuatu itu adalah tidak ada melainkan jika dibuktikan sebaliknya. Ini adalah satu anggapan yang boleh dipatahkan dengan membuktikan sebaliknya. Sebagai contoh, jika bertelingkah antara suami dan isteri yang baru berkahwin, salah seorang daripada mereka mengatakan sudah berlaku persetubuhan sedangkan yang satu lagi mengatakan belum berlaku persetubuhan antara mereka. Berdasarkan kaedah ini, dakwaan yang mengatakan belum berlaku persetubuhan adalah diterima kerana pada asalnya tidak berlaku persetubuhan. Di samping itu, kaedah ini juga boleh digunakan untuk menentukan ke atas siapakah yang menanggung beban pembuktian dan berat atau tahapnya yang diperlukan.


h) Asal sesuatu kejadian dikira pada masa yang paling hampir.

Kaedah ini dijadikan panduan untuk menentukan sesuatu kes ke atas masalah masa dalam kes atau kejadian tersebut. Sebagai contoh, seseorang memukul perut perempuan yang mengandung kemudian perempuan tersebut melahirkan anak. Anak yang dilahirkan itu hidup dan sihat dalam jangka masa yang panjang. Selepas itu, anak tersebut mati. Dalam keadaan ini, tidak wajib orang yang memukulnya membayar ganti rugi (diyat) kerana pada zahirnya anak itu mati atas sebab lain.

Hukum yang diberikan dalam masalah ini adalah berdasarkan kaedah tersebut. Walaupun anak tersebut lahir disebabkan pukulan, namun sebelum mati keadaannya sihat. Kejadian pukulan dengan kematian adalah adalah diselang dengan masa sihat yang panjang. Oleh itu, berdasarkan kaedah ini, kejadian terakhir (mati) hendaklah dirujuk dan dihubungkan dengan masa yang terdekat, iaitu sihat. Walaubagaimanapun, ini adalah satu anggapan yang boleh
dipatahkan dengan membuktikan sebaliknya.


i) Sesuatu yang telah sabit wujudnya pada suatu masa dihukum berkekalan wujudnya
sehingga dibuktikan sebaliknya.

Berdasarkan kaedah ini, sebagai contoh, apabila telah sabit pada suatu masa bagi seseorang memiliki harta (seperti rumah), maka hendaklah dimaklumkan pemilikannya terhadap harta tersebut berterusan dan berkekalan (bermakna rumah tersebut dihukum berkekalan sebagai miliknya) selagi tidak ada bukti yang menunjukkan sebaliknya (bukti yang menunjukkan perpindahan milik rumah tersebut telah berlaku). Kaedah ini telah memberikan panduan bahawa beban membukti di atas pihak yang mendakwa. Jika telah sabit pada suatu masa bahawa sesuatu harta itu telah dimiliki oleh seseorang, anggapan terhadapnya ialah pemilikan tersebut adalah berterusan sehingga dibuktikan sebaliknya.


j) Pada asalnya sesuatu itu berkekalan kedudukannya seperti pada masa lalu.

Kaedah ini menjelaskan bahawa sesuatu yang telah sabit wujudnya pada masa lalu disifatkan berterusan ke masa hadapan, kerana asal sesuatu itu adalah berkekalan dan berterusan pada masa lalu. Sebagai contoh, jika seorang suami telah meninggalkan isterinya dan mereka tidak lagi hidup bersama, maka berdasarkan kaedah ini, pada asalnya sesuatu itu berkekalan kedudukannya seperti pada masa lalu. Maka, perkahwinan mereka masih wujud dan perempuan itu merupakan isterinya sehingga dibuktikan sebaliknya.


k) Keterangan pada yang mendakwa dan sumpah pada yang ingkar.

Kaedah ini dengan jelas menggariskan bahawa beban pembuktian adalah terletak atau ditanggung oleh pihak yang mendakwa atau menuntut, sedangkan sumpah adalah hak orang yang dituntut jika pihak yang menuntut gagal untuk membuktikan tuntutannya. Tuntutan yang tidak disokong dengan keterangan atau hanya dengan keterangan yang lemah, maka ianya akan tertolak. Kaedah ini juga menjelaskan bahawa keterangan dan sumpah adalah cara-cara
pembuktian.


l) Keterangan bertujuan untuk mensabitkan sesuatu yang bertentangan dengan yang
zahir (jelas) dan sumpah pula untuk mengekalkan yang asal.

Sesiapa yang membuat tuntutan atau dakwaan berhubung dengan sesuatu perkara yang bertentangan dengan keadaan zahir, maka hendaklah ianya membuktikan kebenaran dakwaan atau tuntutannya itu. Manakala, bagi pihak yang dituntut pula, memadailah baginnya untuk bersumpah. Oleh itu, beban membuktikan dikenakan ke atas pihak yang mendakwa atau menuntut.

Sebagai contoh, seorang perempuan yang pada zahirnya masih sebagai isteri, jika dia mendakwa yang dia tidak lagi menjadi isteri maka dia hendaklah membuktikan kebenaran dakwannya itu. Jika dia gagal, maka sumpah adalah memadai bagi suaminya untuk menafikan dakwaan isterinya itu. Ini adalah berdasarkan kaedah keterangan bertujuan untuk mensabitkan sesuatu yang bertentangan dengan zahir dan sumpah pula adalah untuk mengekalkan yang asal.


m) Keterangan hujah yang melampaui iqrar hujah yang terhad

Keterangan adalah hujah yang melampaui dan kuat di mana ianya boleh digunakan untuk mensabitkan kesalahan atau tanggungan pihak lawan. Di samping itu juga, ianya boleh menjadi pembelaan kepada pihak yang bertikai. Ia juga merupakan faktor terpenting dalam menentu dan mensabitkan hukuman. Di samping itu, iqrar pula ialah pengakuan seseorang ke atas dirinya untuk kepentingan orang lain. Ini bermakna, iqrar hanyalah merupakan hujah yang terhad yang mengikat diri orang yang membuat iqrar sahaja sedangkan keterangan adalah hujah yang lebih luas kesannya di mana ianya boleh mengikat diri orang yang memberikan keterangan dan juga orang lain.


n) Seseorang dipertanggungjawabkan dengan iqrarnya.

Jika seseorang telah membuat iqrar secara sah, maka iqrarnya itu adalah mengikat dirinya.
Ia bertanggungjawab ke atas iqrarnya walaupun merugikan.


o) Pensabitan melalui dalil samalah seperti pensabitan melalui penglihatan.

Keterangan berdasarkan penglihatan adalah diterima dan merupakan keterangan yang kuat. Kesaksian adalah daripada jenis keterangan yang sabit melalui penglihatan orang yang memberikan kesaksian tersebut. Walaupun demikian, keterangan yang bukan berdasarkan penglihatan tetapi berdasarkan dalil hujah atau bukti-bukti lain juga adalah diterima. Kaedah ini menegaskan pensabitan berdasarkan hujah adalah diterima sama seperti pensabitan melalui penglihatan.


p) Tulisan sama seperti perkataan.

Tulisan atau dokumen boleh diterima. Kedudukannya samalah seperti perkataan atau percakapan. Dalam Undang-undang Keterangan Islam, perkataan adalah bukti yang kuat. Walaupun demikian, tulisan juga diterima untuk dijadikan bukti sama seperti percakapan.


q) Isyarat orang bisu yang boleh difahami sama seperti keterangan lisan.

Isyarat orang bisu yang biasa digunakan dan difahami boleh diterima samalah seperti keterangan secara lisan yang diberikan oleh orang yang boleh berkata-kata. Ini bermakna, bahasa isyarat boleh diterima di mahkamah. Dalam Undang-undang Keterangan Islam, isyarat orang yang bisu ini mengambil tempat keterangan lisan walaupun pada asalnya keterangan lisan dikehendaki. Walaupun demikian, isyarat tersebut hendaklah yang biasa digunakan dan dapat difahami untuk memastikan hukuman dapat diberikan dengan betul dan tepat.


r) Tanda zahir sesuatu yang tersembunyi mengambil tempatnya.
Perkara-perkara yang tersembunyi (batin) yang susah hendak diketahui hakikat sebenarnya tentutlah sulit untuk dihukumkan. Walaubagaimanapun, jika kita memberikan hukuman, hendaklah berdasarkan tanda-tanda luaran ini yang mana ianya mengambil tempat perkara batin atau tersembunyi. Ini sesuai dengan kata-kata yang masyhur, “Hukuman adalah berdasarkan keterangan zahir, yang batin (tersembunyi) Alllah yang menentukan segalanya.

s) Perkataan terjemahan adalah diterima.

Kata-kata atau terjemahan penterjemah adalah diterima. Ia bermakna, terjemahan orang yang telah diberikan kepercayaan untuk menterjemahkan sesuatu dokumen atau dalam sesuatu perbicaraan adalah betul dan diterima melainkan dibuktikan kesalahannya.


BAB III
1.1 PERANAN KAEDAH FIQH DI DALAM MEMUTUSKAN SESUATU KES

1) Kaedah fiqh sebagai sumber hukum.

Pemakaian qawaid fiqhiyyah oleh hakim-hakim Mahkamah Syariah sebagai sumber hukum dapat diteliti di dalam undang-undang itu sendiri dan pemakaiannya di Mahkamah Syariah. Sebagai contoh, “kaedah adat kebiasaan sebagai hukum yang menjadi asas kepada harta sepencarian. Kaedah ini merupakan „sosiobudaya‟ sesuatu masyarakat yang telah diterima sebagai amalan kebanyakan ahli masyarakat sebagai asas pertimbangan hukum. Meskipun istilah harta sepencarian tidak disebut dengan jelas di dalam al-Quran dan ilmu fiqh, namun Islam mengakui usaha lelaki dan perempuan dan mereka berhak untuk mendapatkan hak mereka tanpa batasan untuk apa yang mereka telah usahakan bersama sepanjang hidup mereka.

Tafsiran tentang definisi harta sepencarian juga disebut dalam kes Hajjah Lijah Jamal lwn Fatimah Mat Diah27 di mana Briggs J mendefinisikannya sebagai harta benda yang diperoleh selama tempoh perkahwinan antara suami dan isteri daripada sumber usaha mereka atau sumbangan mereka.
2) Kaedah fiqh sebagai hujah sokongan.

Ianya adalah seperti kaedah “asal kekal sesuatu itu mengikut apa yang ada sebelumnya. Kaedah ini adalah sebahagian daripada yang utama yang manakeyakinan tidak boleh dihapuskan dengan keraguan. Ada beberapa ayat al-quran dan al-sunnah yang menjadi panduan. Antaranya ayat yang terdapat dalam surah Yunus yang bermaksud:

 “Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal)
sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari
kebenaran (i‟tiqad). Sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan apa yang mereka
lakukan.”

Manakala terdapat juga Hadis nabi yang bermaksud:

“„Apabila seseorang kamu merasakan sesuatu di dalam perutnya kemudian timbul keraguan
dengan sebabnya, apakah sesuatu telah keluar darinya atau tidak? Janganlah sesekali dia
keluar dari masjid sehingga dia keluar suara atau mendapatkan bau (dia mendapati bukti
batal wuduk

Di dalam penghakiman hakim-hakim mengguanakan kaedah “asal kekal sesuatu itu mengikut apa yang ada sebelumnya” untuk menentukan status harta yang menjadi pertikaian, misalnya dalam kes Ibrahim bin Haji Abu Bakar lwn Mohd Sah bin Mohd Ali dan lain-lain, di mana Hakim menerapkan prinsip kepastian untuk menentukan apakah harta itu jatuh di bawah wasiat atau pusaka. Di dalam kes ini, hakim telah mengguna pakai kaedah tersebut untuk memutuskan baahwa harta itu adalah harta pusaka untuk pembahagian menurut hukum faraid.


3) Mengenal pasti status individu.

Kaedah ini biasanya diguna pakai oleh hakim untuk menentukan status orang yang didakwa dalam kes jenayah iaitu seperti dalam kaedah “asalnya seseorang itu bebas daripada tanggungjawab. Oleh itu, dapat dibuat anggapan bahawa seseorang itu bebas dan tidak dipertanggungjawabkan kecuali dibuktikan dia melakukan sesuatu perbuatan itu.

Selain itu, dalam kes Pendakwa Syarie lwn Jaiman @ Mastah & Jamidah Abd Majid, hakim bicara di dalam penghakimannya mengatakan bahawa pihak pendakwa telah gagal membuktikan akan melampaui keraguan yang munasabah di mana keterangan saksi pendakwa tidak menyokong antara satu sama lain. Hakim berpendapat bahawa hukumannya tidak boleh berdasarkan sesuatu yang meragukan sebagaimana kaedah asalnya seseorang itu bebas daripada tanggungjawabyang memberi gambaran bahawa seseorang itu tidak bertanggungjawab ke atas sesuatu perbuatan kecuali dapat dibuktian dengan jelas bahawa seseorang tersebut melakukan perbuatan itu.

4) Mempertimbangkan prosedur yang akan diguna pakai.

Kaedah yang biasa digunapakai oleh mahkamah untuk pengecualian kepada prosedur yang biasa ialah kaedah “kesukaran membawa kemudahan”. Perkara penting yang menjadi fokus dalam kaedah ini adalah al-masyaqqah atau kesusahan. Istilah al-masyaqqah di sini bukan dimaksudkan kesukaran atau kesusahan yang biasa dilalui oleh mana-mana individu. Tetapi, yang dimaksudkan dengan kesukaran di sini adalah kesukaran yang terkeluar dari garis kesukaran biasa. Sebagai contoh, kes Haslinda Binti Alis lwn. Johdi Matthew Byrne @ Yahya Bin Abdullah. Hakim bicara mengatakan bahawa undang-undang tidak membenarkan semua kes didengar secara exparte tetapi ada pengecualian berdasarkan kaedah “kesukaran membawa kemudahan‟. Kaedah ini adalah selari dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah yang bermaksud:

“Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu
menanggung kesukaran”

Di samping itu juga, konsep kaedah fiqh ini telah diterapkan di dalam Enakmen Tatacara Mal Negeri Selangor 2003. Sebagai contoh, di bawah Seksyen 121, Mahkamah boleh menolak dan membuang kes jika ketidakhadiran pihak-pihak dalam perbicaraan atau mahkamah boleh meneruskan perbicaraan kes tanpa kehadiran pihak yang satu lagi. Kaedah yang bersesuaian bagi peruntukan ini ialah kaedah tidak dapat disandarkan sesuatu perkataan kepada orang diam, namun berdiam ketika memerlukan keterangan adalah keterangan”.


5) Mencegah kemudharatan dan kerosakan yang akan datang.

Kaedah yang relevan dengan penerangan di atas adalah berdasarkan kaedah la dharar wala dhirar” di mana dharar ertinya melakukan kerosakan terhadap orang lain sedangkan erti dhirar pula, perbuatan bertindak balas dengan melakukan kemudharatan yang lebih atau sama dengan kemudhratan yang berlaku ke atas dirinya. Sekiranya dilihat dalam kes Ruzaini bin Hassan, hakim telah menolak permohonan Plaintif untuk berpoligami. Hakim berpendapat, walaupun isteri pemohon telah bersetuju untuk pemohon bernikah seorang lagi, namun mahkamah harus mempertimbangkan dan melindungi kepentingan yang ada pada isteri dan anak-anak. Tidak diragukan bahawa ada kebaikan di dalam poligami tetapi jika tidak diamalkan dengan baik harus dihindarkan berdasarkan kaedah “menolak kerosakan lebih baik daripada mendapat manfaat”. Berdasarkan kes ini, hakim telah membuat kesimpulan bahawa memiliki baki gaji dalam tangan RM291.90 , pemohon tidak mampu untuk berpoligami walaupun pemohon mendakwa bahawa di secara fizikalnya mampu bernikah seorang lagi.


1.2 QAWA’ID FIQHIYYAH YANG RELEVAN DENGAN KETERANGAN DAN
PEMAKAIAN DI MAHKAMAH SYARIAH

Antara kaedah-kaedah fiqhiyyah yang relevan dengan keterangan dan pemakaiannya di
Mahkamah Syariah adalah seperti berikut:

t) Kaedah fiqhiyyah“asal sesuatu itu tidak ada” adalah relevan dengan keterangan
lisan.

Asal atau zahir sesuatu itu mengikut kaedah fiqhiyyah adalah:

asal sesuatu itu tidak ada atau asal pada perkara yang baru muncul atau yang
mendatang itu tidak ada.

Ini bermaksud, umumnya diketahui bahawa al‟adam (tiada) itu adalah lebih wujud dahulu daripada al-wujud (ada). Justeru itu, maka al-adam yang mendahului ke atas al-wujud yang didakwa itu telah sabit dengan yakin, sementara benda yang didakwa wujud sebelum dibuktikan adalah masyquk fihi (diragui) sedangkan keyakinan sesuatu perkara tidak boleh dihilangkan dengan zan lawannya sahaja. Oleh yang demikian, maka al‟adam itulah yang diyakini kerana ia sesuatu keadaan yang tabi‟e dan perubahan kepada wujud itu sesuatu perkara baru yang diragukan, lagipun al‟adam itulah yang asal, maka mesti dikekalkan hingga terbukti sabit sesuatu yang menghilangkannya.


Oleh itu, sekiranya dilihat dalam kes fasakh, sekiranya suami isteri yang telah lama tinggal bersama, apabila isteri mendakwa tidak diberi pakaian dan nafkah, maka dakwaan isteri akan diambil kira kerana pada asalnya kedua-dua perkara itu kekal tanggungjawab suami dan tidak ditunaikan. Ini adalah selaras dengan apa yang disebut dalam kitab I‟anat al-Talibin juzu‟4, hlm.71 yang bermaksud:

 “Diterima dakwaan isteri di dalam situasi kedua-dua suami isteri tinggal bersama dan suami mendakwa isterinya itu nusyuz dan isteri pula mendakwa sebaliknya atau suami mendakwa ia memberi nafkah tetapi dinafikan oleh isteri kerana pada asalnya isteri tidak nusyuz dan pada asalnya nafkah tidak diberi.”


Berdasarkan kenyataan diatas, mahkamah akan menentukan siapa yang menanggung beban pembuktian terhadap sesuatu fakta dalam kes ini. Sebagai contoh, dalam soal sama ada nafkah dibayar atau tidak kepada Plaintif, maka Defendan menanggung beban pembuktian kerana mengatakan sesuatu yang berlawanan dengan asal atau zahir iaitu pada asalnya nafkah tidak dibayar dan Plaintif termasuk dalam takrif “al-mudda‟a „alaih” dalam isu ini. Dalam kes Rosilah Abu Kassim lawan Abdul Rahman Ibrahim37 di mana perayu (isteri) telah memohon fasakh kerana suami tidak memberi nafkah. Oleh itu, berdasarkan kes ini, Responden (suami) hendaklah membuktikan kepada Mahkamah bahawa nafkah telah diberi kepada isterinya agar Mahkamah dapat menolak dakwaan yang dibuat oleh Perayu (isteri). Hal ini adalah bersesuaian dengan kaedah fiqh “asal sesuatu itu tiada” iaitu pada asalnya nafkah tidak diberi.


u) Kaedah fiqhiyyah “tulisan seperti perkataan” adalah relevan dengan keterangan
secara iqrar.

Menurut seksyen 17 (2) (a) dan (b) telah dinyatakan bahawa iqrar hendaklah dibuat di mahkamah berhadapan hakim atau diluar mahkamah dihadapan dua orang saksi lelaki yang adil dan telah baligh. Menurut peruntukkan seksyen 53(2), Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 1952 telah memberi kuasa kepada Mahkamah mentadbir iqrar bagi orang yang akan memberi keterangan di mahkamah. Ini bererti, Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk mendengar sesuatu iqrar di dalam sesuatu kenyataan.

Jenis iqrar yang boleh digunakan ialah samada melalui lisan atau tulisan. Namun kebiasaan dan kebanyakkan kes telah melibatkan penggunaan iqrar melalui tulisan. Contohnya di dalam kes Razalli bin Zakaria lawan Rafeah dan Maimunah di mana kes ini merupakan kes yang
menggunakan tulisan sebagai iqrar begi menentukan bahawa Pemohon merupakan anak kandung simati. Razalli adalah merupakan anak kandung Zakaria dengan bekas isterinya Kamsiah Abdul Rahman. Namun akibat perceraian keduanya mereka telah terpisah. Bagi memutuskan kebenaran pengakuan Razalli bahawa beliau merupakan anak kandung hasil perkahwinan yang sah antara Zakaria dan Kamsiah, maka melalui tulisan dalam surat beranak itu, mengikut hukum syara‟ qawa‟id fiqhiyyah ada menyatakan bahawa iqrar tulisan adalah sebagai perkataan iqrar bertulis.

Qawaid fiqhiyyah itu menyebutkan bahawa:

“Iqrar tulisan itu adalah seperti perkataan iqrar bertulis”


Di samping itu, di dalam kes ini juga telah digunapakai iqrar lisan iaitu pengakuan daripada ibu Razalli iaitu Kamsiah. Beliau telah beriqrar bahawa sesungguhnya benar Razalli merupakan anak kandung beliau bersama Zakaria. Kenyataan Kamsiah ini adalah sebagai iqrar yang bererti mengikut syara‟ iaitu pengakuan dengan hak. Berdasarkan kepada iqrar tulisan dan lisan ini serta keterangan daripada dua orang saksi, mahkamah telah memutuskan bahawa Razalli merupakan waris yang sah kepada Zakaria dan beliau layak untuk menerima harta pusaka Zakaria.

Oleh itu, melalui kes ini, jelas menunjukkan bahawa penggunaan iqrar samaada tulisan atau lisan adalah penting dan digunakan dalam membuktikan kebenaran sesuatu fakta. Mahkamah syariah di Malaysia juga turut mengiktiraf penggunaan iqrar berbentuk tulisan daripada dokumen-dokumen rasmi seperti kad pengenalan dan surat beranak.


v) Kaedah fiqhiyyah “seseorang itu dipertanggungjawabkan dengan iqrarnya” adalah
relevan dengan elemen keterangan iqrar.

Iqrar merupakan pembuktian yang mendapat kedudukan tertinggi dalam Undang-undang Keterangan Islam. Ia merujuk kepada pengakuan seseorang dengan kerelaannya tanpa ada paksaan daripada pihak lain. Sekiranya dirujuk kepada kes Mohd Ibrahim bin Mohd Sharif lwn. Pendakwa Syar‟ie Pulau Pinang40, Yang Kena Tuduh telah membuat pengakuan salah atas tuduhan berkhalwat dan Mahkamah telah mengulang pertuduhan sebanyak 3 kali dan Yang Kena Tuduh bersetuju dengan kata-kata pertuduhan dan mengaku bersalah. Walaubagaimanapun, dalam kes ini, Yang Kena Tuduh telah membuat rayuan untuk menarik balik iqrar atau pengakuannya. Tetapi, menarik balik iqrar dalam terhadap perbuatan kes khalwat tidak terdapat dalam mana-mana peruntukan. Sekiranya mengikut hukum syarak pula, penarikan balik iqrar hanya boleh dilakukan dalam kes hudud yang merupakan hak Allah s.w.t dan penarikan balik iqrar pada sabitan hukuman ta‟zir adalah tidak dibenarkan. Ini adalah bersesuaian dengan kaedah fiqh bahawa “seseorang itu dipertanggungjawabkan dengan iqrarnya”.


w) Kaedah fiqhiyyah “pada asalnya, seseorang itu bebas daripada sebarang tanggungan” adalah relevan dengan elemen keterangan sumpah (al-yamin).

Antara hikmat dan tujuan al-yamin ialah seseorang itu akan mengkhabarkan sesuatu yang ada dalam dirinya dan mengharapkan orang lain membenarkan pengkhabarannya dan menerima kata-katanya itu, tetapi pendengar belum pasti mempercayai dan menerima kata-kata tersebut sama ada ia benar atau sebaliknya. Maka dengan bersumpah, aspek kebenaran dalam pengkhabaran itu dapat mengatasi pendustaan berdasarkan iman dan akidah serta menjadikan Allah s.w.t sebagai saksi di atas perkataannya.

Selain daripada itu, menurut Ibn Qayyim, antara tujuan asal al-yamin disyariatkan ialah bagi pihak mudda‟a alaih (pihak yang didakwa) ketika mana tidak boleh ditarjihkan kebenaran dakwaan pihak mudda‟i (pihak yang mendakwa). Dalam situasi tersebut, pihak mudda‟a alaih (pihak yang didakwa) adalah lebih utama untuk melaksanakan al-yamin kerana ia berada di pihak yang kuat berdasarkan kepada kaedah:

 “Pada asal sesuatu itu bebas dari sebarang tanggunggan”.

Namun, sekiranya pihak mudda‟i berubah dari pihak yang lemah kepada pihak yang kuat seperti dalam kes Lauth‟ atau ketika pihak mudda‟a alaih enggan bersumpah selepas diminta
berbuat demikian atau ketika mudda‟i bersama seorang saksi lelaki, maka ketika itu mudda‟i lebih utama bersumpah. Maka, al-yamin disyariatkan bagi pihak yang lebih kuat antara dua pihak yang bersumpah. Ianya dapat dilihat dalam kes Ahmad lwn Mahabat Khad dan Seorang Lagi di mana di dalam kes ini pihak menuntut telah membuat tuntutan harta peninggalan hidup yang dikatakan diberi oleh Maimunah binti Salim yang telah meninggal dunia. Pihak kena tuntut ialah suami dan anak perempuan kepada suami dan anak perempuan kepada simati dan mereka menafikan pemberian itu.

Pihak yang menuntut telah membawa dua orang saksi tetapi mahkamah berpendapat bahawa saksi yang menuntut tidak menurut hukum syarak dan tidak dapat menerangkan dengan jelas. Mahkamah memutuskan supaya yang kena tuntut bersumpah dan pihak yang kena tuntut sanggup bersumpah mengikut sumpah Islam di Masjid Besar Kota Bharu dengan menjunjung al-Quran. Maka, hukuman dipihak yang kena tuntut adalah berdasarkan sumpahnya.


x) Kaedah fiqhiyyah “pensabitan melalui dalil dan bukti samalah kedudukannya dengan pensabitan melalui penglihatan” adalah relevan dengan elemen keterangan qarinah.

Dalam menyentuh persoalan al-qarinah ini, satu kaedah fiqah ada menyatakan:


 “Pensabitan melalui dalil dan bukti samalah kedudukannya dengan pensabitan
melalui penglihatan”

Al-burhan bermaksud keterangan dari seorang yang adil. Kaedah ini bermaksud bukti keterangan seorang yang adil mencapai kekuatan sama seperti keterangan yang diperolehi melalui penglihatan pancaindera atau saksi. Keterangan yang dimaksudkan di sini ialah dalil yang berupa hujah atau bukti-bukti lain termasuk al-qarinah. Satu perkara yang membezakan antara keterangan yang berasaskan kepada penglihatan pancaindera dengan keterangan yang berupa dalil-dalil ialah sabitan melalui pancaindera atau saksi tidak akan menerima sebarang dakwaan sebaliknya. Berbeza dengan keterangan yang berasaskan kepada bukti-bukti. Jika ada dakwaan menyanggahinya maka dakwaan itu hendaklah didengar terlebih dahulu. Di samping itu, dalam menghuraikan perkara yang sama, Mahmud Saedon (1990) berkata:

Keterangan berdasarkan penglihatan adalah diterima dan merupakan keterangan yang kuat. Kesaksian adalah daripada jenis keterangan yang sabit melalui penglihatan orang yang memberi kesaksian tersebut. Walaupun demikian keterangan yang bukan berdasarkan penglihatan tetapi berdasarkan dalil, hujah atau bukti-bukti lain juga adalah diterima.

Kaedah ini menegaskan pensabitan berdasarkan hujah adalah diterima sama seperti pensabitan melalui penglihatan. Ini dapat dilihat dalam kes zina dimana kehamilan (dalam keadaan tiada suami atau tuan) adalah alqarinah yang jelas terhadap perbuatan zina.


ANALISIS

Terdapat banyak kaedah atau Maksim Perundangan yang dijadikan asas dan panduan dalam Undang-Undang Keterangan Islam di Mahkamah Syariah. Malahan Maksim Perundangan ini merupakan satu sandaran hukum oleh hakim-hakim dalam membuat sesuatu keputusan dalam penghakiman kes. Boleh dikatakan juga bahawa pemakaian kaedah fiqh oleh hakim-hakim Mahkamah Syariah sebagai sumber hukum dapat diteliti di dalam undang-undang itu sendiri. Kaedah fiqh ini bukan sahaja menjadi satu sandaran dan sumber hukum oleh hakim malahan ianya digunapakai sebagai hujah sokongan. Kaedah Fiqhiyyah ini juga digunapakai sebagai hujahan hakim dalam isu-isu yang tidak mempunyai sumber hukum yang jelas seperti tuntutan harta sepencarian.

Di samping itu, pemakaian kaedah ini juga akan membantu hakim untuk membuat keputusan yang adil berdasarkan kaedah fiqh yang digunakan. Contohnya dalam kes permohonan poligami, mahkamah bukan sahaja menilai berdasarkan kemampuan pemohon semata-mata bahkan mahkamah juga mempertimbangkan dan melindungi kepentingan yang ada pada isteri dan anak-anak berdasarkan kaedah menolak kerosakan lebih baik daripada mendapatkan manfaat”.

Selain menjadi sandaran utama hakim dalam memutuskan sesuatu keputusan, pemakaian kaedah fiqhiyyah atau maksim perundangan ini juga dilihat memberi keringanan dan kemudahan kepada pihak-pihak dalam kes, contohnya kaedah kesukaran membawa kemudahandigunapakai dalam kes dimana hanya satu pihak yang hadir ke mahkamah. Mahkamah menggunapakai kaedah ini sebagai satu pengecualian kepada prosedur yang biasa digunakan.

Antara prinsip paling utama yang digunapakai di dalam Undang-Undang Keterangan di mahkamah adalah prinsip "al-Bayyinah 'ala Mudda'ie wa al-Yamin 'ala man Ankara „alaih". Di mana prinsip ini menyamai prinsip Maksim Perundangan Inggeris iaitu Audi Alteram Partem. Prinsip ini secara tidak langsung dapat membantu hakim mengenalpasti pihak yang dipertanggungjawabkan untuk membuktikan sesuatu isu. Prinsip ini digunapakai secara meluas di dalam kes-kes yang dibicarakan di mahkamah. Ianya juga menjadi panduan kepada hakim-hakim untuk menggunapakai sumpah dalam prosiding di Mahkamah Syariah. Kaedah fiqhiyyah ini juga digunapakai sebagai satu prinsip asas di dalam memutuskan sesuatu kes jenayah syariah iaitu seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya seperti kaedahasal itu bebas dari tanggungan.


Selain itu juga, kaedah fiqh atau Maxim Perundangan ini juga mestilah diteliti dan difahami secara baik oleh hakim-hakim agar kaedah yang digunakan bersesuaian dengan isu kes yang dipertikaikan serta dapat membantunya dalam menentukan pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk membuktikan sesuatu kes seterusnya membuat keputusan bagi kes itu.

Kesimpulannya, pemakaian kaedah fiqhiyyah dan Maksim Perundangan di dalam undang-undang keterangan dan di dalam penghakiman di mahkamah membawa kepada satu bentuk penghakiman yang lebih adil oleh hakim selain memberi kemudahan kepada hakim dalam merujuk sumber-sumber hukum syarak. Ini membuktikan bahawa Maksim Perundangan Islam memainkan peranan yang penting dalam Undang-Undang Keterangan Islam. Malahan jika dilihat di dalam konteks Negara malaysia, Undang-Undang Keterangan menggunapakai kaedah fiqh yang luas secara praktikalnya.


KESIMPULAN

Pemakaian kaedah fiqhiyyah dan Maksim Perundangan Inggeris dalam Undang-undang Keterangan Islam memainkan peranan yang penting dalam sesuatu prosedur penghakiman yang menepati hukum syarak. Kaedah-kaedah ini yang diharmonisasikan secara praktikalnya di dalam undang-undang keterangan membantu hakim mencari kebenaran dan menjatuhkan hukuman yang tepat seperti yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Keadilan akan dapat ditegakkan melalui pelaksanaan undang-undang yang adil, keterangan yang tepat dan pembuktian yang kukuh.

Disamping itu, dengan menggunapakai kaedah fiqhiyyah dalam keterangan dan prosedur pembuktian di mahkamah, secara tidak langsung hakim telah menghukum berdasarkan apa yang telah digariskan dan diperintahkan oleh-Nya. Hal ini kerana, hakim-hakim hanya menghukum berdasarkan yang zahir sahaja, manakala hanya Allah sahaja yang mengetahui perkara yang tersembunyi. Selain itu, kaedah ini juga diambil dan terhasil dari sumber yang paling utama iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Ini akan mewujudkan satu keputusan yang adil dan amanah selain memelihara hak-hak Allah S.W.T dan hak-hak manusia seluruhnya.

Manakala, dalam sesuatu penghakiman kes, kaedah fiqhiyyah ini juga dilihat dapat menjaga kemaslahatan dan hak-hak pihak yang terlibat. Oleh itu, dapat dikatakan disini bahawa pemakaian kaedah ini di dalam Undang-undang Keterangan Islam bukan sahaja memberi kemudahan kepada hakim dan para pengamal undang-undang malah kepada pihak-pihak yang terlibat. Pihak yang mendakwa akan membuktikan dakwaannya, pihak yang didakwa diberi peluang membela diri dan membuktikan dirinya tak bersalah supaya hak yang dirampas dapat dikembalikan dan pihak yang bersalah akan dihukum.



RUJUKAN
BUKU
1) Abdullaah Jalil. (2011). Al-Qawa‟id Al-Fiqhiyyah. Universiti Sains Islam Malaysia.
2) Ahmad Hidayat Buang. (1998). Undang-Undang Islam di Mahkamah-Mahkamah Syariah
di Malaysia. Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti
Malaya.
3) Amin al-Jarumi. (2006). Prinsip-Prinsip Prosiding Mahkamah dalam Syariat Islam.
Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.
4) Dr. Mahmud Saedon A. Othman. (2003). Undang-Undang Keterangan Islam. Dewan
Bahasa dan Pustaka.
5) Mahmud Saedon. Abdul Monir Yaakob. (Penyunting), (1995), Undang-undang
Keterangan Mahkamah Syariah :Satu Analisis Undang-undang Keterangan dan Prosedur
Mahkamah. IKIM. Kuala Lumpur.
6) Mohd Fauzi Hamat dan Mohd Sobri Ellia. (2010). Aspek-Aspek Pemikiran Kritis Dalam
Al-Qawa‟id Al-Fiqhiyyah. Jurnal Syariah. Jil.18, Bil.3.
7) Siti Umairah Binti Ahmadan. (2012). Pemakaian Maxim Perundangan Islam Dalam
Penghakiman: Kajian Di Dalam Jurnal Hukum Dari Tahun 2008-2010. Jabatan Syariah
dan Undang-Undang, Universiti Malaya.
8) Siti Zalikhah Haji Md. Nor. (2004). Al-Syariah Kehakiman Islam (Jilid 2). Dewan Bahasa
dan Pustaka.
34
9) Wan Abdul Fattah Wan Ismail dan Zulkifli bin Hasan. (2007). Konsep al-Yamin dan
Perlaksanannya di Mahkamah Syariah. Universiti Sains Islam Malaysia.
10) Siti Zalikhah Md. Nor. (2006). Al-Syariah Undang-Undang Keterangan Islam (Jilid 2).
Dewan Bahasa dan Pustaka.
11) Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan-Wilayah Persekutuan) 1977
[Akta 561].
INTERNET
1) Artikel: Blog Rasmi Jabatan Peguam Negara, March 12th, 2010, http://agcblog.
agc.gov.my/agc-blog/?p=127
2) Lukman Abdul Mutalib & Wan Abdul Fattah Wan Ismail, (2012), Al-Qarinah: Antara
Kekuatan Dan Keperluan Dalam Mensabitkan Kesalahan Jenayah (Zina), hlm. 13-14
http://www.ukm.my/ijit/IJIT%20Vol%202%202012/4Lukman%20Abdul%20Mutalib%20IJ

IT%20Vol%202%20Dec%202012.pdf

Tiada ulasan: