DONATE

Khamis, 17 Julai 2008

Bulan Rejab Bulan berlakunya Isra' mi'raj



1.0 PENDAHULUAN

Peristiwa Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam merupakan peristiwa besar yang menjadi ingatan setiap tahun oleh umat Islam menghayatinya. Peristiwa yang berlaku kepada baginda ini wajib dipercayai tanpa ada keraguan kerana mempercayai baginda Sallallahu alaihi wasallam adalah termasuk di dalam rukun iman. Menurut pendapat Mohd. Shauki Abdul Majid, peristiwa ini berlaku pada ketika Nabi berusia 53 tahun iaitu satu tahun lima bulan sebelum menjelang hijrahnya ke Madinah . Ia terjadi dalam usaha Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam mempersiapkan diri untuk mengembangkan risalah Islam yang begitu mencabar khususnya dalam menghadapi masyarakat Madinah, bukan hanya dari segi agama tapi juga dari segi etnik.

Peristiwa Isra’dan Mi’raj Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha pada 27 Rejab tahun kesepuluh selepas kenabian baginda Sallallahu alaihi wasallam , berlaku dalam waktu yang amat cepat dan ia merupakan satu peristiwa yang mengundang reaksi hebat dari kalangan orang kafir Quraisy ketika itu. Pelbagai tohmahan dilemparkan ke atas Nabi Sallallahu alaihi wasallam sehingga mencapai peringkat mengatakan nabi sebagai orang gila. Namun Allah telah memuliakan baginda dengan peristiwa tersebut. Perkara tersebut akan kita bincangkan dengan lebih teliti mengikut rentetan peristiwa berdasarkan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam. Semoga kita mendapat manfaat daripada implikasi peristiwa ini.


2.0 Pengenalan Peristiwa Mu’jizat Isra’ dan Mi’raj

Menurut Hassan Ali Nadwi Al-Husaini, Isra’ ialah perjalanan Nabi Sallallahu alaihi wasallam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis . Mi’raj pula ialah kenaikan Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam menembus lapisan langit tertinggi sampai batas yang tidak dapat dijangkau oleh ilmu semua makhluk untuk melawat alam langit untuk menyaksikan tanda-tanda kebesaran Allah Ta’ala dan menemui para Nabi. Firman Allah:
“…Tidak berpaling matanya dan tidak pula ia melewati batas. Sesungguhnya ia telah lihat sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang hebat… ”

Semua itu ditempuh dalam masa sehari semalam. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj merupakan jemputan terhormat dari Allah kepada Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam untuk menghiburkan hati baginda yang begitu sedih kerana tentangan dan penghinaan yang menyayat hati yang dihadapinya di Taif. Kesahihan peristiwa itu dibuktikan dengan wujudnya nas Al-Quran dan hadis. Firman Allah Ta’ala dalam surah Al-Isra’ iaitu:
“…Maha suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui…”

Terjadi silang pendapat tentang terjadinya mu’jizat ini. Apakah pada tahun kesepuluh kenabian atau sesudahnya. Menurut riwayat Ibnu Sa’d di dalam Thabaqat Al-Kubra-nya, peristiwa ini terjadi pada lapan belas bulan sebelum hijrah . Jumhur kaum Muslim atau Jumhur ahli Sunnah Wal Jama’ah telah sepakat bahawa perjalanan ini dilakukan Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam dengan jasad dan ruh. Menurut Hassan Ali Nadwi Al-Husaini, bukti yang menyatakan bahawa Nabi Sallallahu alaihi wasallam menjalani peristiwa Isra’ dan Mi’raj dengan jasad dan ruh ialah ketika Nabi Sallallahu alaihi wasallam memberitahu kepada kaum Quraisy tentang peristiwa yang dialaminya, terdapat di kalangan orang-orang Islam berasa sangsi sehingga ada di antara mereka yang murtad. Menurut Hassan Ali An-Nadwi mengatakan bahawa seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibnu Kathir iaitu kalaulah perjalanan Isra’ itu hanya dengan ruh sahaja atau dengan mimpi, sudah tentu tidak menjadi perkara ganjil kepada mereka kerana ia adalah perkara biasa manusia boleh melihat perkara-perkara ganjil yang tidak boleh berlaku dalam mimpi. Oleh sebab itu, ia merupakan salah satu mu’jizatnya yang mengagumkan yang telah dikurniakan Allah kepadanya .

Menurut Said Ramadhan Al-Buthiy,beliau mengatakan bahawa kisah perjalanan ini telah disebutkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim secara lengkap di dalam sahih Bukhari . Diriwayatkan bahawa dalam perjalanan ini Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam menunggang buraq . Disebutkan pula bahawa Nabi Sallallahu alaihi wasallam memasuki Masjidil Aqsa, lalu solat dua rakaat di dalamnya. Kemudian Malaikat Jibril datang kepadanya seraya membawa segelas khamar (arak) dan segelas susu. Lalu Nabi Sallallahu alaihi wasallam memilih susu. Setelah itu Jibril berkomentar dengan mengatakan “Engkau telah memilih fitrah”. Dalam perjalanan ini Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam naik ke langit pertama, kedua, ketiga, dan seterusnya sampai ke Sidratul Muntaha. Di sinilah kemudiannya Allah mewahyukan kepada Baginda Sallallahu alaihi wasallam apa yang telah diwahyukan seperti kewajipan solat lima waktu atas kaum muslim, di mana pada awalnya sebanyak lima puluh kali sehari semalam.

Keesokan harinya, Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam menyampaikan apa yang disaksikannya kepada kaum penduduk Makkah. Tetapi kaum Musyrikin mentertawakan dan mendustakan berita yang dibawa oleh baginda Sallallahu alaihi wasallam. Sehingga sebahagian mereka menentang Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam untuk membuktikan bagaimana gambaran Baitul Maqdis jika benar baginda telah pergi dan melakukan solat di dalamnya. Padahal ketika Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam menziarahi Baitul Maqdis, tidak pernah terlintas dalam fikiran baginda Sallallahu alaihi wasallam untuk menghafaz bentuk binaannya dan menghitung tiang-tiangnya. Namun Allah Maha Bijaksana memperlihatkan bentuknya dan gambaran Baitul Maqdis di hadapan Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam sehingga dengan mudah Baginda menjelaskan secara terperinci sebagaimana mereka minta.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda:
“…Ketika kaum Quraisy mendustakan aku, aku berdiri di Hijr (Isma’il), lalu Allah memperlihatkan Baitul Maqdis kepadaku. Kemudian aku khabarkan kepada mereka tentang tiang-tiangnya dari apa yang aku lihat…”.

Berita ini telah sampai kepada Abu Bakar oleh sebahagian kaum Musyrikin dengan harapan dia akan menolaknya. Akan tetapi, ternyata Abu Bakar menjawab:
“…Demi Allah, jika memang benar Muhammad yang mengatakannya, maka dia telah berkata benar, dan sesungguhnya aku akan membenarkannya lebih dari itu. Mengapa hal itu menghairankan kamu?… ”.

2.1 Perjalanan Isra’ dari Masjidil Haram Ke Masjidil Aqsa

Pada pagi hari dari malam Isra’ itu, Jibril datang kepada Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam mengajarkan cara solat dan menjelaskan waktu-waktunya. Sebelum disyari’atkan solat lima waktu, Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam melakukan solat dua rakaat di pagi hari dan dua rakaat di waktu petang sebagaimana dilakukan oleh Nabi Ibrahim ‘Alaihi Salam.

Menurut Muhammad bin Abdul Malik bin Hisyam berkata dengan membawakan pandangan Muhammad bin Ishaq Al-Mathlabi bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam melakukan isra’ dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa iaitu Baitul Maqdis ketika Islam telah tersebar luas di Makkah dan diseluruh kabilah-kabilah.
Menurut Ibnu Ishaq pula berkata bahawa hadis tentang isra’ Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam berasal daripada Abdullah bin Mas’ud, Abu Sa’id Al-Khudri, Aisyah binti Abu bakar, Muawiyyah bin Abu Sufian, Al-Hassan bin Al-hassan, Ibnu Syihab Az-zuhri, Qatadah, dan ulama’-ulama’ lainnya. Mereka semua meriwayatkan dari Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam tentang peristiwa isra’ yang baginda alami.

Daripada Abdullah bin Mas’ud berkata bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam dinaikkan ke atas buraq, iaitu haiwan yang mengangkut para nabi sebelum baginda. Buraq berjalan dengan kelajuan sejauh mata memandang dari setiap langkahnya. Baginda dinaikkan di atas buraq, kemudian baginda Sallallahu alaihi wasallam berjalan dengannya melihat tanda-tanda kebesaran Allah yang ada di langit dan bumi hingga perjalanan baginda terhenti di Baitul Maqdis. Di sana baginda Sallallahu alaihi wasallam bertemu dengan Ibrahim, Musa, dan Isa dalam kelompok para nabi yang sengaja dikumpulkan untuk bertemu baginda. Kemudian baginda bersolat bersama mereka. Setelah itu, tiga bejana didatangkan kepada baginda yang berisi susu, khamr (arak), dan air.
Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda:
“… Ketika bejana-bejana tersebut didatangkan kepadaku, aku mendengar seseorang berkata: “jika ia mengambil air, ia tenggelam dan tenggelam pula umatnya. Jika ia mengambil khamr (arak), ia mabuk dan mabuk pula umatnya. Jika ia mengambil susu, ia mendapatkan petunjuk dan umatnya juga mendapatkan petunjuk…”.


Lalu Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda:
“…kemudian aku mengambil bejana yang berisi susu dan meminumnya” Jibril berkata kepadaku: “Engkau telah mendapat petunjuk dan umatmu juga telah mendapat petunjuk, wahai Muhammad…” .

2.2 Peristiwa Mi’raj Dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha

Mengenai peristiwa mi’raj pula, Ibnu Hisyam membawakan pendapat Ibnu Ishaq yang mengatakan bahawa orang yang kejujurannya tidak Ibnu Ishaq ragui adalah riwayat dari Abu Sa’id Al-Khudri yang berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda:
“…Ketika aku telah menyelesaikan seluruh aktivitiku di Baitul Maqdis, aku melakukan mi’raj dan aku tidak pernah menyaksikan sesuatu yang lebih indah daripada peristiwa mi’raj. Mi’raj ialah sesuatu yang dilihat kedua mata salah seorang dari kamu semua ketika ia hendak meninggal dunia. Kemudian sahabatku (malaikat Jibril) membawaku naik ke mi’raj hingga perjalananku bersamanya tiba di salah satu pintu langit. Pintu langit tersebut bernama Al-Hafadzah. Pintu Al-Hafadzah dijaga oleh salah satu malaikat yang bernama Ismail yang membawahi dua belas ribu malaikat dan masing-masing di kalangan mereka juga terdapat dua belas ribu malaikat…”.
Ketika Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam menceritakan peristiwa mi’raj, baginda membacakan firman Allah Ta’ala :
“…Dan tidak ada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia sendiri…”
Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda lagi:
“…Ketika Jibril masuk bersamaku, malaikat Ismail bertanya, ‘Siapakah ini wahai Jibril?’. Malaikat Jibril menjawab, ‘Dia Muhammad’. Malaikat Ismail bertanya, “apakah dia telah diutus?” Malaikat Jibril menjawab, ‘Ya. Sudah.’ Malaikat Ismail mendoakan kebaikan untukku….”
Ibnu Hisyam juga menyatakan bahawa Ibnu Ishaq juga berkata bahawa ada sebahagian ulama’ berkata kepadanya dari orang yang berbual dengan Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda:
“…Para malaikat menyambut kedatanganku ketika aku telah memasuki langit bumi. Tidak satu pun malaikat melainkan ia tertawa dan memberi berita gembira. Ia berkata dengan baik dan mendoakan kebaikan hingga aku bertemu dengan salah satu dari malaikat, ia berkata seperti yang diperkatakan oleh para malaikat dan mendoakan untukku seperti doa para malaikat yang lain-lain. Cuma ia tidak ketawa dan aku tidak melihat berita gembira padanya seperti mana yang terlihat pada malaikat yang lain. Aku bertanya kepada malaikat Jibril, ‘Hai Malaikat Jibril, siapakah malaikat ini yang berkata seperti malaikat-malaikat lain namun ia tidak ketawa dan aku tidak melihat padanya berita gembira seperti yang aku lihat pada malaikat-malaikat lain?’ . Malaikat Jibril berkata kepadaku, ‘Jika ia tertawa kepada seseorang adalah sebelummu atau tertawa kepada orang lain sesudahmu, ia juga akan tertawa kepadamu, Cuma ia tidak akan ketawa di hadapanmu. Dialah malaikat penjaga neraka.’ Aku bertanya kepada Jibril tentang kedudukannya di sisi Allah seperti mana yang pernah dijelaskan Allah iaitu ‘Yang ditaati di sana (di alam malaikat) lagi dipercayai ’. ‘Kenapa engkau tidak memerintahkannya memperlihatkan neraka kepadaku?’ Malaikat Jibril berkata, ‘Ya.’ Kemudian Malaikat Jibril berkata, ‘Hai Malaikat perlihatkan neraka kepada Muhammad!’Lalu malaikat penjaga neraka pun membuka tabir neraka. Neraka tersebut mendidih dan meninggi hingga aku menduga bahawa neraka tersebut pasti akan mengambil apa saja. Aku berkata kepada Jibril, ‘Wahai Jibril, perintahkan malaikat tersebut mengembalikan neraka ke tempatnya semula.’ Malaikat Jibril pun memerintahkan kepada malaikat penjaga neraka itu dengan mengatakan kepadanya, ‘Padamkan neraka.’ Kemudian neraka kembali ke tempatnya semula. Proses pengembaliannya tidak lain seperti jatuhnya bayangan. Ketika ia telah masuk ke tempatnya semula, tabir dikembalikan semula kepadanya…. ”

Abu Sa’id Al-Khudri juga meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam telah melihat Nabi Adam Alaihis Salam ketika memasuki langit dunia. Baginda Sallallahu alaihi wasallam melihat Nabi Adam sedang duduk memerhatikan arwah anak keturunannya. Jika arwah tersebut dalam keadaan baik, maka Nabi Adam senang dengannya. Jika arwah itu dalam keadaan sebaliknya, maka baginda membencinya dan masam mukanya. Kemudian bertemu dengan Nabi Adam, Malaikat Jibril membawa Nabi Sallallahu alaihi wasallam naik ke langit kedua di mana baginda bertemu dengan Nabi Isa bin Maryam dan Nabi Yahya bin Zakaria. Pada langit ketiga pula baginda Sallallahu alaihi wasallam bertemu dengan Nabi Yusuf bin Ya’qub. Selepas itu, malaikat Jibril membawa baginda Sallallahu alaihi wasallam naik ke langit keempat. Pada langit keempat baginda Sallallahu alaihi wasallam bertemu dengan Nabi Idris . Kemudiaanya Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam membacakan ayat, Firman Allah:
‘…Dan Kami mengangkatnya ke tempat yang tinggi…’

Selepas bertemu dengan Nabi Idris, malaikat Jibril membawa baginda naik ke langit yang kelima. Di sana Nabi Sallallahu alaihi wasallam bertemu dengan Nabi Harun bin Imran yang kelihatan tampan memiliki janggut yang lebat memutih. Pada langit keenam pula, malaikat Jibril membawa baginda Sallallahu alaihi wasallam bertemu Nabi Musa bin Imran yang mempunyai rupa paras hidung yang mancung, badan yang tinggi, dan mempunyai kulit berwarna sawo matang. Kemudian itu malaikat Jibril membawa baginda naik ke langit yang ketujuh di mana baginda Sallallahu alaihi wasallam bertemu dengan Nabi Ibrahim yang kelihatan duduk di atas kursi sambil didatangi oleh tujuh puluh ribu malaikat di pintu Baitul Ma’mur .

Selepas Baginda Sallallahu alaihi wasallam bersma-sama Jibril naik ketujuh-tujuh langit tersebut, maka baginda seterusnya dibawa naik ke Sidratul Muntaha. Menurut Abdul Hadi Awang mengatakan bahawa pada malam bersejarah itu Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam juga telah menerima satu perintah yang sangat penting kepadanya dan umat Islam iaitu solat lima waktu yang diringankan oleh Allah daripada asalnya lima puluh solat di Sidratul Muntaha .

3.0 Implikasi daripada peristiwa Isra’ dan Mi’raj

Dari sudut sejarah, peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu dilihat sebagai suatu cubaan dari Allah Taala terhadap umat Islam dari sudut sejauh mana keimanan mereka terhadap Allah dan RasulNya. Menurut pendapat Imam As-Suyuti mengatakan bahawa peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu sedikit sebanyak telah menjejaskan keimanan sebahagian umat Islam terutamanya mereka yang masih lemah imannya.

Sesungguhnya memang tidak dinafikan bahawa peristiwa tersebut amat asing dan sukar diterima oleh akal fikiran. Al-Quran telah menyifatkannya sebagai suatu perkara yang kan menimbulkan fitnah kepada orang awam seperti ayat berkenaan melalui firman Allah Taala:
“…Dan tidaklah Kami jadikan pandangan (pada malam mi’raj) yang telah kami perlihatkan kepada kamu melainkan sebagai ujian bagi manusia…” .

Kecuali orang-orang yang mantap imannya seperti Abu Bakar sahaja yang mampu menilai dan memahami konsep ketuhanan yang melibatkan Qudrat dan Iradat Allah Taala. Beliau membenarkan apa perkhabaran berita daripada Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam. Oleh sebab itu, amat layak bagi beliau digelar As-Siddiq .

Hikmah-hikmah yang dapat dilihat melalui peristiwa Isra’ dan Mi’raj ialah ia meripakan kesempatan yang diberikan oleh Allah kepada para Nabi dan RasulNya untuk dapat menyaksikan beberapa kenyataan besar yang menandakan kekuasaan Allah terutama dalam perjuangan mereka menghadapi kekuatan kaum kafir yang berniat jahat untuk menghalang dakwah mereka.

Bukan itu saja, perjalanan isra’ Rasulullah ke Baitul Maqdis dan diangkat naik ke langit terselit beberapa rahsia dan hikmahnya. Antaranya ialah ia mempertandakan bahawa Baitul Maqdis bukanlah satu tempat biasa malahan ia merupakan tempat qudus dan suci di sisi Allah dan mempertandakan bahawa di sana tersemat satu pertalian yang erat kebangkitan Isa bin Maryam dengan risalah Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam. Peristiwa ini memberi suluhan cabaran kepada seluruh muslimin untuk membersihkan kembali kehormatan tanah suci dan mempertahankannya daripada genggaman tangan-tangan zionis.

Selain itu, hikmah daripada peristiwa Isra’ dan Mi’raj melambangkan ketinggian seseorang muslim, kerana semestinya seseorang muslim naik tinggi mengatasi segala kehendak dan keinginan dunia. Dengan itu, dia sekaligus berbeza dengan semua manusia lain disebabkan tinggi kedudukannya, tinggi cita-cita dan matlamatnya dengan akhlak yang unggul.

Implikasi terhadap penolakan atau keraguan akan peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu amat besar. Di antaranya ialah:

Pertama, ia boleh menjejaskan keimanan seseorang yang masih lemah imannya kerana percaya kepada Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam itu merupakan salah satu daripada Rukun Iman. Jadi apabila seseorang itu meragui berita yang disampaikan oleh Rasul, maka secara tidak langsung ia telah mencacatkan keyakinannya terhadap Rasul. Sedangkan segala apa yang disampaikan oleh Rasul itu adalah datangnya daripada Allah. Ini dapat dijelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah iaitu yang bermaksud:
“…Dan dia (Muhammad) tidak memperkatakan menurut kemahuan hawa nafsu. Segala yang diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya…” .

Kedua, penolakan terhadap peristiwa Mi’raj juga boleh menjejaskan status keislaman seseorang kerana ibadah solat yang menjadi salah satu daripada Rukun Islam adalah disyariatkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam pada malam tersebut. Ini bermakna peristiwa Mi’raj itu mempunyai pertalian yang begitu rapat dengan rukun Islam itu sendiri .

4.0 Kesimpulan

Sesungguhnya peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu merupakan salah satu mukjizat yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala kepada Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam. Dengan itu, peristiwa tidak boleh dirasionalkan dengan menggunakan akal fikiran kerana akal manusia tidak mampu untuk menilai kekuasaan Allah. Allah sengaja menguji mental umat Islam dengan peristiwa tersebut untuk menguji keimanan umat Islam terhadapNya dan RasulNya sehinggakan terdapat di kalangan segelintir orang Islam yang menafikan munasabahnya peristiwa itu. Mereka lupa bahawa itu dalah mukjizat Nabi Sallallahu alaihi wasallam.
Oleh yang demikian, apabila melihat keseluruhan peristiwa Isra’ dan Mi’raj, ia mempunyai mesej yang penting untuk direnungi oleh umat Islam. Hal ini disebabkan jika sekadar membaca sahaja tanpa merenungi pengajaran daripadanya, maka tidak akan timbul apa-apa faedahnya. Ini juga bersesuaian dengan saranan Al-Quran agar mengarahkan manusia sentiasa berfikir. Kita hendaklah ingat bahawa tidak ada satu pun yang mustahil bagi Allah melakukan sesuatu perkara. Jika Allah inginkan sesuatu, maka akan terjadilah ia.


5.0 Rujukan

Abdul Hadi Awang Muhammad. 2003. Fiqh Al-Harakah. jilid 1. Shah Alam.Dewan Pustaka Fajar.

Hassan Ali Nadwi Al-Husaini. 1997. Sirah Nabawiyyah. Selangor. Pustaka Reka Selangor.

Mohd. Shauki Abdul Majid. 1 September 2005 (27 Rejab 1426).Ulang tahun Mikraj Nabi ke S idratul Muntaha. Kuala Lumpur. Utusan Malaysia.

Muhammad bin Abdul Malik bin Hisyam. 2000. Fadhli Bahri. Sirah nabawiyyah Ibnu Hisyam. jilid 1. Jakarta . Penerbitan Darul Falah.

Muhammad bin Sa’ad bin Mani’ Al-Hasyimi Al-Basri. 1997. Tabaqat Al-kubra. jilid 1. Beirut. Penerbitan Darul Kotob Al-Ilmiyah

Muhammad bin Ismail Al-Bukhari. 1932. Sahih al-Bukhari. jilid 2. Kaherah. Matba’ah al-Uthmaniyyah Al-Misriyyah.

Mustafa As-Siba’ei. 2004. Perjalanan Hidup Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam Kajian dan Pengajian (Al-Sirah Al-Nabawiyyah). Alor Setar. Pustaka Darussalam.

Muhammad Said Ramadhan Al-Buthiy. 2003. Mohd Darus Sanawi. Fiqh Al-Sirah 1. jilid 1. Shah Alam. Dewan Pustaka Fajar.

Wan Kamal Mujani. 2002. Fiqh Sirah PY 1272. Ampang. Percetakan Asni Sdn Bhd.

Tiada ulasan: