DONATE
Ahad, 27 Julai 2008
KONSEP HARTA PUSAKA
2.1 DEFINISI HARTA PUSAKA MENURUT ISLAM
Pusaka atau al-mirath dari segi bahasa pada makna al-masdar (المصدر) bermaksud al-baqa’ (البقاء) iaitu kekal dan perpindahan sesuatu daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Al-mirath pada makna ism maf’ul (اسم المفعول) pula bermaksud asal atau baki . Dari segi istilah pula pusaka bermaksud sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati daripada harta benda dan hak-hak yang akan diwarisi oleh ahli-ahli waris disebabkab kematian pewaris . Ada pendapat yang lain menyatakan bahawa pusaka atau al-mirath pada istilah ialah perpindahan pemilikan daripada si mati kepada para warisnya yang masih hidup, sama ada yang ditinggalkan itu berbentuk harta yang boleh dipindah, harta yang tidak boleh dipindah, ataupun sesuatu hak yang ditetapkan oleh syarak (seperti hak khiyar dalam jual beli, hak syuf’ah, dan hak qisas).
Menurut istilah ilmu faraid, harta pusaka juga dikenali sebagai al-tarikah. Dari segi bahasa, al-tarikah bermaksud segala apa yang ditinggalkan atau dibiarkan oleh si mati . Manakala definisi al-tarikah dari segi istilah syarak pula berlaku perselisihan dalam menentukan maknanya. Perselisihan tersebut dapat dilihat seperti berikut iaitu menurut jumhur fuqaha’ mendefinisikan al-tarikah ialah segala sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati termasuklah harta benda, hak-hak kebendaan dan hak-hak yang mempunyai unsur kebendaan ke atas hak-hak persendirian. Kesemuanya ini akan diwarisi sama ada oleh waris atau bukan waris .
Mengikut mazhab hanafi pula telah mendefinisikan al-tarikah sebagai segala harta dan hak-hak kebendaan yang menjadi milik si mati. Harta termasuklah harta alih dan harta tak alih serta hutang-hutang yang belum dijelaskan oleh orang lain kepadanya. Namun terdapat sesetengah pendapat mengatakan bahawa al-tarikah ialah segala harta yang ditinggalkan oleh si mati setelah diselesaikan hutang dan wasiatnya. Oleh itu, al-tarikah menurut pendapat jumhur ulama ialah harta peninggalan si mati yang telah bersih dari hutang dan wasiat serta ia akan diwarisi oleh waris-warisnya yang masih hidup.
Menurut Imam Ramli iaitu ulama mazhab Syafi’I di dalam kitab Nihayah Al-Muhtaj telah mendefinisikan harta pusaka sebagai “apa-apa yang ditinggalkan untuk orang kemudian daripadanya sesuatu hak seperti jenayah, tuduhan zina, atau ikhtisas, atau mal seperti arak yang telah menjadi cuka setelah matinya, diyat yang diambil dari pembunuhnya kerana diyat termasuk di dalam miliknya. Begitu juga apa yang termasuk ke dalam pukatnya yang telah dipasangnya di masa hidupnya”.
2.1.1 Pensyariatan Pusaka Di Dalam Islam
Pensyariatan pusaka di dalam undang-undang pusaka Islam adalah terkandung di dalam Al-Quran. Ia dapat dilihat di dalam surah an-Nisa’ ayat 11, 12, 176 yang dikenali sebagai ayat al-mawarith. Ketiga-tiga ayat tersebut telah menjelaskan secara terperinci (yang juga merupakan ayat mufassal) tentang pusaka di dalam Islam termasuklah ahli waris, bahagian-bahagian mereka, dan sebab perwarisan. Contohnya firman Allah di dalam ayat 11, 12, 176 surah an-Nisa’ iaitu:
Maksudnya:
Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta Yang ditinggalkan oleh si mati. dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta Yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang Yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat Yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya Yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti Yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Maksudnya:
Dan bagimu (suami-suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. jika Isteri-isterimu itu mempunyai anak, Maka kamu mendapat seperempat dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) seduah dibayar hutangnya. para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. jika kamu mempunyai anak, Maka para isteri memperoleh seperdelapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu. jika seseorang mati, baik laki-laki maupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara laki-laki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), Maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. tetapi jika Saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, Maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris) . (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syari'at yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha mengetahui lagi Maha Penyantun.
Maksudnya:
Mereka meminta fatwa kepadamu (tentang masalah kalalah). Katakanlah: "Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalalah (iaitu): jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, Maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang laki-laki mempusakai (seluruh harta saudara perempuan), jika ia tidak mempunyai anak; tetapi jika saudara perempuan itu dua orang, Maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh yang meninggal. dan jika mereka (ahli waris itu terdiri dari) Saudara-saudara laki dan perempuan, Maka bahagian seorang saudara laki-laki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu .
Menurut Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi bin Abdul Majid telah memberikan pendapat bahawa hukum asal dalam sistem faraid adalah seperti apa yang dinyatakan di dalam Surah An-Nisa’ ayat 12. Menurut Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Dr. Harussani bin Zakaria juga menegaskan bahawa pembahagian harta pusaka berdasarkan faraid adalah satu keutamaan yang perlu dipatuhi tanpa sebarang bantahan kerana ia adalah qat’i. Malahan pula menurut Syeikh Mahmud bin Ahmad dalam bukunya Economic of Islam menyatakan bahawa pembahagian harta pusaka yang ditetapkan Allah adalah adil yang mana dapat membantu ekonomi Islam.
Di samping itu, terdapat beberapa ayat lain yang menjelaskan tentang pensyariatan pusaka, tetapi tidak menyatakan secara terperinci dan berbentuk umum (yang dikenali sebagai ayat mujmal) . Antaranya ialah firman Allah Taala yang berbunyi:
Maksudnya:
Dan orang-orang yang beriman sesudah itu Kemudian berhijrah serta berjihad bersamamu Maka orang-orang itu termasuk golonganmu (juga). orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat) di dalam Kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala sesuatu.
Maksudnya:
Bagi orang laki-laki ada hak bagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bagian (pula) dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan.
Selain daripada nas-nas Al-Quran di atas, terdapat beberapa hadis Rasulullah S.A.W yang menerangkan tentang waris-waris dan bahagian masing-masing, antaranya hadis daripada Abdullah Ibnu Mas’ud, Rasulullah S.A.W bersabda:
للإبنة النصف ولإبنة الإبن السدس وما بقي فللأخت
Maksudnya:
“Bagi seorang anak perempuan 1/2 , seorang anak perempuan kepada anak lelaki (cucu perempuan) 1/6 dan baki (asabah) itu untuk seorang saudara perempuan”
Hadis yang daripada Abdullah Ibnu Abbas, sabda Rasulullah S.A.W:
ألحقوا الفرائض بأهلهما فما بقي فهو لأولى رجل ذكر
Maksudnya:
“Berikanlah harta pusaka kepada orang-orang yang berhak, sesudah itu bakinya adalah untuk waris lelaki yang lebih utama”
Di samping itu juga, ijma’ ulama saling bersepakat mengenai pensyariatan pusaka. Jika terdapat masalah pembahagian pusaka yang tidak jelas di dalam Al-Quran dan As-sunnah, maka ia akan dapat diselesaikan melalui ijma’ ulama dan ijtihad mereka. Contohnya seperti tentang kedudukan saudara-saudara yang mewarisi bersama datuk. Hal ini tidak dijelaskan di dalam Al-Quran dan As-sunnah. Oleh itu, kebanyakan sahabat-sahabat dan imam-imam mazhab berpendapat saudara-saudara itu mendapat pusaka secara muqasamah (bersama-sama mewarisi) dengan datuk. Ini adalah mengikut pendapat Zaid bin Thabit, Umar Al-Khattab, Ali bin Abi Talib, dan Ibnu Mas’ud. Pendapat tersebut diikuti oleh Imam Malik, Al-Auza’I, Abu Yusuf, As-syafi’I, dan Ahmad bin Hanbal.
Terdapat juga ulama yang sepakat mengatakan bahawa anak lelaki kepada anak lelaki (cucu lelaki) adalah seperti anak lelaki tatkala ketiadaan ayahnya (anak lelaki) dan anak perempuan kepada anak lelaki (cucu perempuan) seperti anak perempuan ketika ketiadaannya.
2.2 DEFINISI HARTA PUSAKA MENURUT SIVIL
Definisi Harta Pusaka menurut undang-undang sivil pula adalah seperti berikut iaitu menurut kamus Osborn’s Concise Law Dictionary telah menyatakan bahawa definisi harta pusaka ialah harta yang mana telah diperturunkan atau diwariskan daripada seseorang kepada pewarisnya.
Menurut Elizabeth A. Martin di dalam kamusnya A Dictionary of Law telah mendefinisi harta pusaka sebagai penyerahan harta oleh pemunya harta ketika sampai ajalnya kepada pewarisnya. Tatkala waktu itu, pemilik harta melengkapkan wasiatnya atau mengikut peraturan yang berkaitan dengan pusaka tanpa wasiat untuk ditadbirkan.
Menurut seksyen 2 Akta Probet dan Pentadbiran 1959 di dalam tafsirannya telah mendefinisikan “harta” bermaksud meliputi sesuatu benda dalam tindakan dan apa-apa kepentingan dalam harta alih dan harta tak alih. Manakala maksud “harta pusaka” menurut seksyen berkenaan beerti semua harta yang jika seseorang mati tak berwasiat akan terletak hak pada Hakim Besar.
Menurut pendapat Jeremy Bentham di dalam sesebuah bukunya telah mengatakan bahawa harta pusaka ialah harta seseorang setelah matinya yang mesti dibahagikan mengikut tiga perkara berdasarkan undang-undang Perancis iaitu penghidupan anggota baru, menjauhkan diri putus harapan, dan mendekatkan diri kepada persamaan dalam harta.
2.3 JENIS-JENIS HARTA PUSAKA
Berdasarkan undang-undag yang terdapat di Malaysia , harta pusaka dibahagikan kepada tiga jenis iaitu Harta Pusaka Kecil, Harta Pusaka Besar (Biasa), dan Harta Pusaka Ringkas. Perkara ini merujuk kepada Akta Probet dan Pentadbiran Harta Pusaka 1959 dan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955.
2.3.1 Harta Pusaka Kecil
Harta Pusaka Kecil ialah harta yang ditinggalkan oleh si mati tanpa wasiat yang terdiri daripada harta tak alih sahaja atau campuran di antara harta alih dan harta tak alih yang jumlah nilainya tidak melebihi RM 600,000.00. Undang-undang yang dipakai dalam pentadbiran harta pusaka kecil ialah Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian di Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi dari semasa ke semasa. Tuntutan pembahagian harta pusakakecil bagi orang-orang Islam dan bukan Islam boleh dibuat di Pejabat Pusaka Kecil atau Pejabat Tanah di hadapan Pegawai Penyelesai Pusaka. Terdapat 36 unit pembahagian pusaka kecil di seluruh Malaysia. Unit ini diletakan di bawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian dan Pembangunan Koperasi. Kebiasaannya tuntutan atau permohonan pembahagian harta pusaka kecil dibuat di Pejabat Tanah di mana harta tak alih si mati terletak. Sekiranya si mati mempunyai tanah yang banyak tempat, sama ada di negeri yang sama atau negeri yang berlainan maka daerah yang mempunyai nilai harta si mati yang paling tinggi akan mempunyai bidangkuasa untuk menyelesaikannya.
Setiap permohonan untuk pembahagian harta pusaka kecil hendaklah dibuat di dalam borang khas iaitu Borang A. Borang ini boleh di dapati secara percuma di Pejabat Tanah ataupun Unit Pembahagian Pusaka Kecil yang berdekatan dengan tempat tinggal pemohon. Setiap permohonan dikenakan bayaran pendaftaran sebanyak RM 10.00 semasa pendaftaran dibuat. Permohonan tersebut akan dihantar ke Pejabat Pendaftaran Pusat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya setiap permohonan direkodkan dan bertujuan mengelakkan pertindihan. Semasa mengemukakan Borang A terdapat beberapa dokumen yang perlu disertakan iaitu :-
1) Bukti kematian sama ada surat mati atau permit pengkebumian, suart sumpah oleh dua orang saksi bebas yang menyaksikan jenazah dikebumikan ( terpakai bagi kematian semasa Jepun atau sebelumnya ) ataupun perintah anggapan kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi ( terpakai bagi keadaan di mana tiada sijil mati, si mati hilang di laut dan sebagainya ). Perintah ini hanya boleh diperolehi selepas 7 tahun dari tarikh orang tersebut hilang dan tidak didengar khabar berita.
2) Salinan hak milik keluaran (geran tanah) dan jika terdapat harta alih mestilah disokong oleh dokumen-dokumen yang menunjukkan pegangan harta alih si mati seperti pegangan buku bank, sijil pendaftaran kenderaan, sijil saham, penyata KWSP dan sebagainya.
3) Salinan Kad Pengenalan waris-waris, surat beranak jika ada, dan surat nikah pasangan si mati
4) Sekiranya pembahagian hendak dibuat mengikut hukum faraid, pemohon perlulah mendapatkan sijil faraid daripada Mahkamah Syariah yang berdekatan.
Menurut seksyen 8, Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, orang yang berhak memfailkan tuntutan pembahagian harta pusaka kecil ialah :-
1) Waris-waris pusaka si mati (benefisiari) sperti suami ataupun siteri, aibu atau bapa dan baitulmal jika tiada waris yang berhak menerima pusaka si mati.
2) Si piutang (creditors) dan pengkaveat yang telah memasukkan kaveat atau perintah halangan ke atas tanah kerana menuntut kepentingan atau hak ke atas tanah si mati.
3) Si pembeli (pembelian melalui perjanjian yang sah ataupun melalui perjanjian lisan yang sah tetapi pindah milik belum dapat dibuat sebelum si mati meninggal dunia).
4) Orang-orang ataupun badan-badan yang berkepentingan dalam tanah kepunyaan si mati seperti pemegang gadaian dan pajakan seperti pihak bank.
5) Penghulu atau pegawai penempatan dengan arahan pentadbir tanah di bawah seksyen 18, Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, terpakai apabila di dalam tempoh 6 bulan selepas kematian si mati tida sebarang prosiding diambil untuk mendapatkan probet atau surat kuasa mentadbir pusaka ataupun permohonan untuk pembahagian di bawah Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955.
6) Amanah Raya Berhad (terpakai apabila waris si mati membuat tuntutan melalui ARB)
7) Pegawai Penyelesai Pusaka atau pemegang amanah (trustee).
2.3.2 Harta Pusaka Besar (Biasa)
Harta Pusaka Besar atau biasa ialah semua jenis harta peninggalan si mati yang jumlah nilaiannya RM 600,000.00 ke atas sama ada terdiri daripada harta tak alih semuanya atau harta alih semuanya atau campuran kedua-duanya ataupun harta pusaka yang jumlah nilaiannya kurang daripada RM 600,000.00 tetapi si mati ada meninggalkan wasiat. Pentadbirannya tertakluk kepada Akta Probet dan Pentadbiran 1959. Permohonan hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil yang berhampiran dengan tempat tinggal si mati untuk mendapatkan sama ada probet (surat kuasa wasiat bai orang bukan Islam), surat kuasa mentadbir pusaka (bagi pusaka tanpa wasiat)ataupun surat kuasa tadbir dengan wasiat berkembar. (bagi si mati yang meninggalkan wasiat sebahagiaan hartanya).
Bagi orang yang beragama Islam, si mati hanya boleh mewasiatkan hartanya tidak melebihi 1/3 kepada pihak-pihak yang lain selain daripada waris-warisnya kecuali dengan persetujuan waris-waris lain. Dokumen-dokumen yang diperlukan semasa membuat tuntutan harta pusaka besar sama dengan dokumen-dokumen yang diperlukan semasa menuntut harta pusaka kecil termasuklah surat wasiat terakhir si mati. Permohonan boleh dibuat oleh waris-waris si mati atau si piutang sama ada secara persendirian, melalui khidmat peguam ataupun menerusi bantuan Pegawai Penyelesai Pusaka atau ARB. Setiap permohonan hendaklah didaftarkan di Pejabat Pendaftaran Pusat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menentukan sama ada harta pusaka tersebut telah dituntut atau sebaliknya.
Kebiasaannya orang yang diberi probet atau surat kuasa mentadbir pusaka kecuali bagi Pegawai Penyelesai Pusaka atau ARB, disyaratkan mendapat seorang atau dua orang penjamin. Jika sekiranya pempetisyen mengalami kesulitan mendapatkan penjamin-penjamin yang layak dan sesuai, amak dia bolehlah memohon kepada mahkamah bagi mendapatkan perintah pengecualian daripada mengemukakan penjamin-penjamin atau pendapat khidmat penjamin profesional seperti sayarikat insuran atau institusi bank dengan bayaran yuran yang telah ditetapkan oleh syarikat atau institusi tersebut berdasarkan jumlah harta pusaka .
Surat kuasa mentadbir pusaka atau probet hanya boleh dikeluarkan apabila perintah pengecualian penjamin telah diperolehi dan bon (surat ikatan ikrar) pentadbiran telah ditandatangani oleh pempetisyen. Setelah pempetisyen memperoleh surat kuasa tersebut, dia hendaklah mendaftarkannya di pejabat tanah yang berkenaan supaya semua suratan-suratan hak milik tersebut didaftarkan atas nama pempetisyen sebagai wakil peribadi si mati . Menjadi tanggungjawab pempetisyen untuk memohon kepada mahkamah sebaik sahaja dia menghasilkan semua asset si mati membuat satu perintah pembahagian terhadap harta pusaka kepada waris-waris menurut faraid atau menurut terma-terma wasiat si mati ataupun Ordinan Pentadbiran Harta Pusaka.
2.3.3 Harta Pusaka Ringkas
Iaitu harta pusaka yang jumlah nilaiannya tidak melebihi RM 600,000.00 yang terdiri daripada harta alih sahaja tanpa wasiat seperti wang tunai, saham, KWSP, ASN ASB, kereta, wang simpanan dan sebagainya. Permohonan untk penyelesaian dan pembahagian harta pusaka ringkas hendaklah dibuat melalui Pegawai Pentadbir Pusaka atau Pengarah Perbadanan Amanah Raya Berhad.
Terdapat satu peruntukan khas dalam Akta Probet dan Pentadbiran 1959 yang memberi kuasa kepada pegawai pentadbir pusaka atau pemegang Amanah Raya untuk mentadbir dan menyelesaikan harta pusaka ringkas tanpa perlu membuat permohonan Surat Kuasa Tadbir kepada Mahkamah Tinggi Sivil. Pembahagian harta pusaka tersebut dibuat kepada waris-waris yang berhak mengikut kadar tertentu sepertimana yang dinyatakan dalam Sijil Faraid yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah .
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan