DONATE

Jumaat, 18 Julai 2008

PERMASALAHAN IKHTILAT MENURUT ISLAM



1.0 PENDAHULUAN

Permasalahan ikhtilat yang berleluasa dewasa ini telah diabaikan sehingga ia terus juga berlaku. Ikhtilat adalah merupakan suatu bentuk pergaulan secara bebas yang melibatkan lelaki dan perempuan yang ajnabi. Ia merupakan suatu ciri pergaulan masyarakat jahiliyah dimana ia juga berasaskan kepada nilai-nilai dan sistem hidup jahiliyah. Ia merupakan bentuk pergaulan yang telah ditolak oleh islam semenjak kedatangan Rasulullah saw yang membawa sistem dan nilai hidup yang dipandu al_Quran dan as-Sunnah.

2.0 PERMASALAHAN IKHTILAT

2.1 Ikhtilat Menurut Hukum Islam

Secara teorinya Islam yang dibina di atas asas aqidah dan keimanan yang mutlak kepada Allah bertujuan untuk menonjolkan ciri-ciri kemanusiaan dan meninggikan darjat kemanusiaan itu di atas segala darjat yang lain, oleh itu pada praktiknya ia tidak dapat menerima sebarang bentuk pergaulan yang diasaskan di atas ciri-ciri kebinatangan di dalam proses pembentukan dan existensi (wujudiah) masyarakatnya. Ini selaras pula dengan kejadian manusia sebagai makhluk yang baik.

Fireman Allah:
والتين والزيتون (1) وطور سينين (2) وهذا البلد الآمين (3) لقد خلقنا الآنسان في أحسن تقويم (4)

Maksudnya : Demi buah tin dan zaitun dan gunung Tur Sina serta negeri Mekah yang aman ini. Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.

Tegasnya Islam bertujuan melahirkan suatu keperibadian dan generasi manusia yang menepati ciri-ciri kejadiannya yang sangat tinggi supaya ia dapat memenuhi kembali tugasnya sebagai hamba yang mengabdikan diri kepada Allah semata-mata, menerima arahanNya semata-mata, begitu juga tunduk dan patuh kepadaNya semata-mata, dan sebagai pemimpin kepada ummat manusia seluruhnya.

2.2 Ikhtilat pada prinsipnya dijelmakan dalam bentuk hubungan bebas antara lelaki dan perempuan yang ajnabi, ia boleh berlaku samada di tempat sunyi atau di tempat yang terbuka. Kesan dari perhubungan semacam ini membuka ruang kepada berlakunya perzinaan di dalam masyarakat.

Sabda rasulullah saw:

Maksudnya : Tiada akan menyendiri seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan syaitan akan menjadi orang ketiganya.

2.3 Syariat Islam mengharamkan kepada lelaki melihat kepada wanita lain yang bukan muhrim. Seorang lelaki tidak diperbolehkan memandang kepada orang perempuan selain kepada isterinya dan wanita-wanita muhrimnya.

Firman Allah :
قل للمؤمنين يغضوا من أبصارهم، ويحفظوا فروجهم… وقل للمؤمنات يغضضن من أبصارهن، ويحفظن فروجهن… ( النور ؛ 31 )

Maksudnya : katakanlah kepada lelaki-lelaki dari oarang-orang beriman supaya menahan penglihatan mereka serta menjaga kehormatan mereka…dan katakanlah kepada orang perempuan-perempuan dari orang-orang yang beriman supaya menahan penglihatan mereka serta menjaga kehormatan mereka.

Sabda Rasulullah saw :
يا علي لا تتبع النظرة النظرة فانمالك الأواي وليست لك الآخرة

Maksudnya: Wahai Ali janganlah pandangan (yang kedua) menuruti pandangan (yang pertama) kerana sesungguhnya pandangan pertama itu adalah bagimu sedang yang kedua tidak (dosa ke atasmu).

Tersebut dalam kitab al-Majmuk “Bahawa apabila seorang lelaki ingin melihat kepada perempuan yang ajnabiah tanpa sebab yang syar’ie, maka haram baginya yang demikian itu. Haram baginya melihat samada aurat perempuan itu ataupun selain auratnya… dan haram juga kepada perempuan melihat kepada lelaki yang ajnabi samada kepada auratnya atau selain auratnya tanpa sebarang sebab yang syar’ei… maksud dari penegahan ini keatas golongan lelaki adalah untuk mengelakkan mereka daripada godaan syaitan ( الافتتان) dan godaan ini juga berlaku ke atas golongan perempuan lantaran golongan perempuan itu terlebih segera menerima godaan kerana sifat syahwatnya yang terlebih kuat, maka haram keatasnya penglihatan itu.

2.4 Oleh kerana menahan pandangan mustahil dapat dilakukan dalam bentuk pergaulan yang bebas (bercampur lelaki dan perempuan) maka sayugialah Islam bertindak mengharamkannya, dan Islam menetapkannya kepada setiap lelaki dan perempuan yang ingin bermuamalat bahawa ia mestilah mengadakan sekatan yang menghalang penglihatan di antara keduanya.

Firman Allah :
واذا سألتموهن متاعا فاسألوهن من وراء حجاب (اللأحزاب)

Maksudnya : Apabila kamu minta dari perempuan akan sesuatu seperti alat-alat yang digunakan di dalam rumah, baldi atau pinggan atau belajar ilmu atau minta sesuatu fatwa maka hendaklah kamu minta itu dari balik tabir iaitu dari belakang tabir iaitu dari suatu sekatan di antara kamu dengan perempuan itu.

Al-Imam Qurtubi di dalam mentafsirkan firman Allah ini berkata: “Pada ayat ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa Allah mengizinkan perempuan mukminah menguruskan permasalahan mereka melalui belakang tabir samada masalah itu merupakan hajat-hajat yang mendatang atau masalah-masalah hukum yang memerlukan fatwa. Termasuk di dalam perintah ini semua golongan wanita, berdasarkan asas-asas syariah yang terkandung di dalam ayat ini bahawa tubuh perempuan seluruhnya adalah aurat termasuklah badan dan suaranya seperti yang telah dinyatakan. Maka adalah haram mendedahkan aurat tersebut (kepada penglihatan lelaki ajnabi) melainkan kerana keperluan seperti persaksian yang dilakukan keatasnya atau pengubatan pada tubuhnya atau pun soalan-soalan atas apa yang berlaku khusus kepadanya.

2.4 Sabda Rasulullah saw:
لا يخلون رجل بامرأة ولا تسا فرون امرأة الاومعها محرم
Maksudnya : Tidak boleh bersunyi seseorang dari kamu dengan perempuan dan tidak boleh bermusafir seorang perempuan melainkan bersamanya muhrim.

Kecenderungan naluriah antara lelaki dan perempuan adalah kecenderungan yang dalam sekali. Membangkitkan kecenderungan ini pada setiap saat akan menambah geloranya lagi. Pandangan mta merangsang, gerak geri badan merangsang, gelak ketawa merangsang dan gurau senda membangkit hasrat. Jalan yang aman ialah mengurangi hal-hal yang membangkitkan hasrat tersebut, dan itulah jalan yang dipilih oleh Islam. Berasaskan adab-adab yang kukuh ini memastikan berlakunya hubungan yang bersih, mulia dan terpelihara.
Firman Allah :

ذلكم أطهر لقلوبكم وقلوبهن (ألأحزب:53)

3.0 KESIMPULAN DAN PENUTUP

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Almarhum Abdullah Nasih Ulwan bahawa semua nas-nas al_Quran dan nas-nas hadis nabi ini mengharamkan percampuran lelaki dan wanita (ikhtilat) secara pasti, tidak syak lagi dan tidak ada jalan untuk dipertelingkahkan lagi. Seterusnya cara beginilah yang telah dilaksanakan bagi umat Islam pada semua zaman sejarahnya pada abad-abad yang lalu. Oleh itu menjadi kewajipan setiap muslim menegah sebarang kemungkaran ikhtilat yang berlaku.

Tiada ulasan: