DONATE
Selasa, 15 Julai 2008
Syarat-syarat menjadi hakim (Qadhi)
1.0 Pendahuluan
Qadhi merupakan jawatan penting di dalam sesuatu penghakiman pada sesebuah negara. Jawatan Qadhi atau hakim telah wujud sejak pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam hingga ke akhir ini. Akan tetapi fungsi qadhi pada zaman dahulu dan kini adalah amat berbeza sekali di mana fungsi jawatan tersebut pada zaman dahulu lebih luas penggunaannya berbanding sekarang. Hal ini berlaku akibat penjajahan barat ke atas negara kita yang menyebabkan berlaku penyempitan fungsi tersebut di dalam masyarakat.
Jawatan Qadhi merupakan jawatan yang agak penting kerana padanyalah sesuatu kehakiman itu diadili dan menetapkan hukum (pada zaman dahulu). Jawatan Qadhi selalunya dilantik oleh Sultan yang memerintah sesuatu negara. Dalam menjadi seorang hakim atau qadhi di dalam sesuatu mahkamah memerlukan beberapa syarat penting yang pelu diambil kira dalam melantik seseorang menjadi qadhi. Syarat-syarat menjadi seseorang Qadhi ini telah ditetapkan oleh syariat Islam dan juga mengikut undang-undang Inggeris pada masa kini.
Oleh sebab itu penulis akan menerangkan satu persatu syarat-syarat menjadi hakim menurut syara’ dan undang-undang kini agar menjadi tatapan kita untuk memahami perlantikan seorang hakim atau qadhi sesebuah negara.
2.0 Syarat-syarat menjadi hakim (Qadhi) menurut syara’
Terdapat banyak syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh para ulama’ berkenaan tentang syarat-syarat menjadi hakim atau qadhi menurut syara’. Contohnya seperti Imam Ar-Ramli menetapkan 10 syarat untuk menjadi hakim di dalam kitabnya Nihayatul Muhtaj. Bagi Muhammad Salam Mazkur pula telah menetapkan bahawa terdapat enam syarat untuk menjadi hakim dalam kitabnya Al-Qadha’ Fil Islam. Menurut pendapat Imam Al-Mawardi pula ada meletakkan bahawa ada tujuh syarat menjadi hakim yang termaktub di dalam kitabnya Al-Ahkam Sultaniyyah Wal Wilayatul Diniyyah. Menurut Doktor Abdul Karim Zaydan pula mensyaratkan ada lapan syarat menjadi hakim iaitu baligh, berakal, merdeka, muslim, adil, mujtahid, lelaki, sempurna anggota.
Namun apa pun syarat-syarat yang diletakkan untuk menjadi qadhi atau hakim, terdapat enam syarat utama yang perlu dititik beratkan dalam mensyaratkan perlantikan para hakim iaitu di antaranya ialah seseorang hakim yang ingin dilantik itu:
2.1 Mestilah beragama Islam
Kadi yang hendak dilantik itu hendaklah seorang Islam. Orang yang tidak beragama Islam tidak boleh dilantik menjadi kadi secara mutlak untuk membicarakan semua kes yang melibatkan orang Islam . Ini disebabkan kehakiman itu termasuk dalam tugas “wilayah” yang mana orang kafir tidak boleh menjadi wali kepada orang lain seperti firman Allah yang bermaksud:
144. Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat Dengan meninggalkan orang-orang Yang beriman. Adakah kamu hendak mengadakan alasan Yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu? .
(Surah An-nisa’: ayat 144)
Pendapat Imam Al-Mawardi mengatakan bahawa orang kafir tidak boleh dilantik menjadi kadi secara mutlak adalah pendapat kebanyakan ulama’. Malahan keseluruhan ulama’ berpendapat bahawa orang kafir tidak boleh dilantik menjadi kadi untuk menghakimi orang-orang Islam berdasarkan ayat-ayat yang disebutkan di atas tadi .
Daripada syarat ini timbullah beberapa persoalan. Antaranya ialah jumhur ulama’ berpendapat tidak sah melantik orang bukan Islam sebagai kadi . Hukuman yang berlaku sesama mereka hanyalah dalam bentuk muamalah dan perkahwinan sesama mereka berdasarkan tahkim dan bukan qadak. Ini bermakna hukuman dan keputusan yang diterima daripada ketua mereka berdasarkan kuasa pentadbiran dan bersifat keputusan secara tahkim dan bukan keputusan kadi atau mahkamah.
Terdapat pendapat di kalangan ulama’ terutama golongan Hanafi yang mengharuskan perlantikan orang bukan Islam untuk membicarakan kes-kes yang berlaku dan berhubung dengan orang bukan Islam. Seperti yang ditegaskan oleh Ibn Abidin bahawa boleh dilantik orang kafir untuk menjadi hakim khusus bagi golongan ahli Dzimmah kerana ini tidak mendatangkan mudarat samalah seperti tidak mendatangkan mudarat dengan melantik orang Islam. Ini kerana untuk menjadi hakim bagi orang-orang Islam. Ini kerana hakim itu dikhususkan untuk golongan mereka. Bagi golongan Hanafi, hujah mengharuskan perlantikan hakim bukan Islam untuk golongan bukan Islam ialah berdasarkan prinsip bahawa, oleh kerana orang bukan Islam layak menjadi saksi sesama mereka, maka mereka juga layak menjadi hakim sesama mereka .
Pada akhir-akhir ini, ada juga golongan yang cuba mengharuskan lantikan orang bukan Islam sebagai kadi bagi orang Islam. Antara mereka ialah Muhammad Salam Madzkur. Asas pemikirannya ialah kelayakan menjadi kadi adalah berdasarkan kelayakan menjadi saksi. Dan orang bukan Islam layak menjadi saksi bagi orang Islam maka bolehlah orang bukan Islam menjadi kadi. Dari segi siasah syariah, jika boleh diterima bolehlah dikatakanbahawa harus melantik orang bukan Islam untuk menjadi kadi bagi orang Islam dalm kes-kes sivil dan seumpamanya .
Untuk memperkukuh sarannanya ini beliau menyebutkan dalam Majallah Ahkam Adliah (seksyen 1794) memperuntukan syarat menjadi hakim tidak mensyaratkan Islam sebagai salah satu daripada syaratnya. Dan juga syarat saksi (syeksen 1705) tidak menyebutkan Islam sebagai syaratnya. Di samping itu, Muhammad Salam Madzkur juga telah mengemukan pendapat golongan Hanbali, Syuriah, al-Zahiriah, Ibn Masud, al-Auzai, al-Nakai dan Imamah yang mengharuskan penerimaan kesaksian syahadah bukan Islam dalam wasiat orang Islam dalam keadaan musafir . Mungkin mereka berpendapat demikian kerana darurat untuk memperkuatkan saranannya yang diatas tadi.
Saranan yang mengharuskan orang bukan Islam menjadi kadi dikalangan orang Islam khususnya dalam kes-kes sivil telah ditolak oleh ulama’. Antara mereka yang menyanggah pendapat ini ialah al-Utwah. Beliau telah menolak alasan yang dikemukakan oleh Muhammad Salam Madzkur satu persatu . Antara lain beliau berkata:
1) Pendapat Imam Ahmad yang mengharuskan penyaksian bukan Islam terhadap Muslim dalam perwarisan tidak terdapat dalam kitab-kitab muktamad mazhab Hanbali kecuali dalam kitab Turaq al-Hukmiah. Itu pun hanyalah merupakan riwayat kedua beliau.
2) Golongan yang mengharuskan penerimaan syahadah orang bukan Islam terhadap orang Islam hanyalah dalam keadaan darurat. Orang yang demikian tidaklah boleh dijadikan dalil bagi mengharuskan perlantikan orang bukan Islam sebagai kadi. Kalaupun hendak dijadikan dalil, maka hanyalah boleh dikatakan harus melantik kadi bukan Islam dalam keadaan darurat, bukan dalam semua keadaan dan masa.
3) Untuk menyatakan bahawa ‘wilayah al-qada’ adalah berdasarkan ‘wilayah syahadah’ khusus.
Penulis bersetuju dengan pendapat jumhur ulama dan sanggahan Abdul al-Utwah yang mengatakan tidak harus melantik kadi bukan Islam bagi orang Islam. Walaupun mazhab Hanafi mengharuskan lantikan orang bukan Islam menjadi kadi bagi golongan mereka, ini tidaklah bermakna golongan Hanafi mengharuskan perlantikan kadi bukan Islam bagi orang Islam. Wilayah al-qada’ adalah umum dan wilayah syahadah adalah khusus. Malahan seperti yang telah dibuktikan dalam sejarah, wilayah qada’ adalah sebahagian daripada tugas dan jawatan khlifah ini hanya sah disandang oleh Islam.
Bagi orang Islam, hukuman kadi wajib diterima dan dilaksanakan. Ia menjadi sebahagian daripada ketaatan kepada Allah, rasul-Nya dan pemerintah dikalangan mereka. Ingkar beerti berdosa dan perbuatan tersebut mempunyai hubungan dengan akidah mereka. Dalam keadaan ini, tentulah orang yang mengeluarkan hukuman yang wajib diterima dan ditaati dari segi syarak itu merupakan orang yang beriman terhadap hukum syarak. Jika tidak kesulitan akan timbul dan kedudukan orang yang mengeluarkan hukuman itu sentiasa dipersoalkan dan seterusnya akan ditolak. Jika dalam keadaan darurat kita terpaksa melantik orang bukan Islam sebagai kadi, tidak boleh diperluaskan.
Menurut Abdul al-Utwah, berdasarkan mazhab Hanafi dua perkara telah timbul berhubung dengan dengan syarat Islam ini:
1) Jika seorang hakim itu pada mulanya kafir tetapi kemudian ia memeluk Islam, maka dia boleh menjalankan tugas kehakimannya tanpa memerlukan perlantikan baharu.
2) Jika hakim yang pada mulanya Islam tetapi kemudiannya murtad dan memeluk Islam semula maka hukumannya dikira sah .
Menurut mazhab Syafi'i perkara ini tidak timbul kerana orang bukan Islam tidak boleh dilantik menjadi kadi dan jika seseorang itu hilang kelayakannya, maka ia terpecat dengan sendirinya. Yang demikian dalam kemungkinan kedua, jika berlaku, kadi tersebut akan terpecat dengan sendirinya.
2.2 Hendaklah seseorang hakim itu telah baligh
Islam tidak menetapkan umur sebenar seseorang yang layak dilantik menjadi kadi. Walaupun mungkin dari segi pentadbiran ia ditetapkan, Islam hanya mesyaratkan baligh sebagai syarat umur minimum untuk menjadi kadi. Yang demikian kanak-kanak yang belum baligh tidak boleh dilantik menjadi kadi. Jika mereka tidak dibebankan dengan hukuman syarak, tentulah mereka tidak berkelayakan untuk menjatuhkan hukuman ke atas orang lain. Jika kesaksian mereka dipertikaikan, maka sudah tentu hukuman mereka lebih lagi dipertikaikan. Akad dan tindak-tanduk mereka tidak boleh dipertanggungjawabkan . Maka tentulah mereka tidak boleh mempertanggungjawabkan kata-kata mereka kepada orang lain.
2.3 Mestilah diri hakim itu waras dan berakal
Orang yang dilantik menjadi kadi itu hendaklah seorang yang berakal. Tidak sah perlantikan orang gila. Berakal yang dimaksudkan disini termasuklah bersifat Tamyiz, cerdik iaitu tidak bodoh atau pelupadan dapat menyelesaikan masalah termasuklah masalah yang rumit. Syeikh Isa menambah, kecerdikan itu hendaklah sampai kepada peringkat dapat membezakan di antara pengakuan dan penafian walaupun diucapkan kepadanya dengan kata-kata yang baik, dan hendaklah mempunyai kekuatan berfikir untuk memahami makna perkataan yang dilafazkan .
Timbul masalah untuk melantik seseorang yang tidak tahu menulis dan membaca (ummi) sedangkan dia mempunyai pengetahuan hukum syarak. Dalam masalah ini terdapat dua pendapat. Pendapat pertama mengatakan harus melantiknya sebagai hakim dengan alasan Nabi Muhammad s.a.w seorang yang ummi. Pendapat kedua pula mengatakan tidak harus melantik seorang yang ummi menjadi kadi. Walau bagaimanapun terdapat dua pendapat dalam mazhab Syafici. Demikian juga sah melantik orang yang jahil dalam ilmu hisab untuk menjadi kadi.
Sememangnya tidak menjadi halangan kepada seseorang kadi untuk menjatuhkan hukuman walaupun dia seorang ummi, dengan syarat dia mengetahui dengan mendalam hukum syarak, cara mengeluarkan hukum dari dalilnya dan mengetahui masalah yang disepakati, agar kewibawaannya sebagai kadi tidak dipertikaikan. Walaupun demikian , melantik orang yang tahu membaca, menulis dan mengira di samping ilmu syariah yang sememangnya menjadi syarat utama perlantikan seseorang untuk jawatan ini lebih baik dan utama. Tambahan pula, pada zaman ini telah timbul gejala yang memerlukan seorang kadi itu benar-benar cekap membacasupaya dapat membuat rujukan kepada kitab, undang-undang dan peraturan.
Perundangan sekarang ini juga mengkehendaki seorang hakim dari kalangan orang yang berakal. Bahkan orang yang tidak berfikiran waras dianggap tidak melakukan kesalahan apatah lagi untuk menghukum orang lain. Orang yang dilantik menjadi hakim juga dikehendaki mempunyai pengetahuan dan pengalaman sekurang-kurangnya sepuluh tahun mejadi peguam atau menjadi peguam atau menjadi anggota dalam perkhidmatan kehakiman.
2.4 Di kalangan orang yang merdeka
Orang yang dilantik menjadi kadi itu hendaklah seorang yang merdeka. Tidak sah melantik hamba untuk menjadi kadi kerana kehakiman termasuk dalam bahagian kekuasaan “wilayah” bukan sahaja terhadap orang ramai, bahkan terhadap dirinya sendiri . Disyaratkan merdeka itu, merdeka yang mutlak. Oleh itu, orang yang tidak merdeka sepenuhnya atau yang dijanjikan untuk dimerdekakan atau yang dibenarkan menebus dirinya tidak sahdilantik menjadi hakim. Bagi mereka yang mengatakan wilayah qada’ adalah berdasarkan syahadah dan penyaksian hamba adalah diterima, akan mengatakan bahawa hamba boleh menjadi kadi. Walau bagaimanapun persoalan ini tidaklah timbul pada masa ini kerana sistem perhambaan tidak wujud lagi .
2.5 Hendaklah hakim tersebut seorang lelaki
Menurut jumhur ulama’ (Syafie, Maliki, dan Hanbali) berpendapat lelaki menjadi syarat perlantikan kadi. Tidak sah melantik perempuan menjadi hakim . Jika dibuat perlantikan ke atas mereka, hukuman yang dijatuhkan mereka itu tidak sah. Hujah jumhur ulama’ berdasarkan firman Allah bermaksud:
“34. (Iaitu) orang-orang Yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara Yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. mereka itu ialah orang-orang Yang rugi ”.
(Surah An-nisa’: ayat 34 )
Menurut Imam Al-Mawardi berpendapat lelaki mempunyai kelebihan dari segi akal fikiran dan kekuatan, maka tidak harus bagi perempuan mengatasi lelaki.
Dan juga terdapat hadis Rasulullah yang menegaskan sesuatu kaum itu tidak akan berjaya jika urusan mereka di tangan perempuan. Rasulullah S.A.W bersabda ini adalah bersempena berita yang baginda terima bahawa raja Parsi (kisra) telah mati dan kaumnya telah melantik anak perempuannya menjadi raja. Menurut jumhur ulama’, jika perempuan boleh dilantik menjadi ketua pemerintah tentulah Rasulullah S.A.W tidak menegaskan yang sesuatu kaum tidak akan berjaya jika urusan mereka di tangan wanita, sedangkan menjadi kadi juga beerti mengepalai urusan dan jawatan tersebut sebahagian tugas khalifah .
Al-Syirazi juga telah menjadikan hadis tersebut sebagai hujah dan menegaskan bahawa hadis itu sabagai sahih. Menurutnya tugas kadi terpaksa bergaul dengan lelaki dan dalam membicarakan kes. Maka wanita tidak harus bergaul sedemikian supaya tidak menimbulkan fitnah.
Menurut Imam Abu Hanifah, wanita boleh menjadi kadi dalam kes-kes yang ia boleh menjadi saksi dan tidak boleh dalam kes-kes yang ia tidak boleh menjadi saksi . Walaupun demikian, dikatakan juga bahawa mazhab Abu Hanifah tidak mengharuskan perlantikan wanita sebagai kadi, tetapi sekiranya mereka dilantik, maka perlantikan itu sah tetapi orang yang melaniknya menanggung dosa. Hukuman yang dijatuhkan oleh kadi wanita tadi berdasarkan perlantikan itu adalah sah dan berkuatkuasa dalam kes-kes selain daripada kes-kes hudud dan qisas jika hukuman itu selaras dengan kitab Allah dan sunnah rasul-Nya.Hujah golongan yang menyetujui pendapat mazhab Hanafi ini ialah berdasarkan qias, iaitu wanita harus menjadi saksi dalam beberapa kes. Maka wanita juga harus menjadi kadi dalam perkara-perkara yang diharuskan ia menjadi saksi.
Ibn Jarir al-Tabari, mengharuskan wanita menjadi saksi secara mutlak.ini bererti dia boleh membicarakan semua kes termasuk qisas dan hudud . Tabari melihat tujuan perlantikan kadi ialah untuk melaksanakan keadilan yang mutlak. Oleh yang demikian jawatan kadi boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang mampu menyelesaikan segala perselisihan antara pihak-pihak yang berbalah. Menurut beliau hadis Abi Bakrah yang meriwayatkan bahawa sesuatu kaum itu tidak akan berjaya jika urusan mereka diketuai oleh wanita adalah ditujukan untuk jawatan etua negara sahaja seperti yang ditentukan oleh nas hadis itu sendiri dan tidak ada nas yang mengaitkan wanita dengan perjawatan kadi. Adapun kaitan-kaitan (takshsis) dilakukan oleh ulama dan tidak disetujui Imam Ibnu Jarir al-Tabari.
Ibn Hazm berpendapat bahawa wanita-wanita dilantik menjadi kadi kerana keperempuanan seseorang wanita tidak memberi kesan terhadap kemampuannya meemahami hujah dan keterangan dan tidak menghalangnya menyelesaikan perbalahan.
Walaupun demikian, Abdul al-Utwah semasa menolak pendapat Ibn Hazam ini menegaskan beliau tidak dikira sebagai mujtahid yang menjadi penganjur mazhab dan ulama mengecam kerana sikapnya yang suka mengecam ulama lain dengan cara yang tidak sesuai dengan tata-susila ulama. Walaupun penulis mungkin tidak bersetuju dengan pendapat Ibn Hazam dalam persoalan ini, alas an yang digunakan oleh Abdul al-Utwah untuk menolak pendapat Ibn Hazam ini tidak kukuh .
Berdasarkan kenyataan diatas, jelaslah jumhur ulama berpendapat bahawa, kehakiman merupakan sebahagian daripada kuasa (wilayah) khalifah. Oleh yang demikian wanita tidak boleh dilantik memenuhi jawatan ini. Golongan hanafi pula berpendapat bahawa wanita boleh menjadi kadi dalam kes-kes yang mereka boleh menjadi saksi. Oleh itu kehakiman adalah sebahagian daripada kesaksian syahadah. Bagi Ibn Jarir al-Tabari yang penting ialah kemampuan untuk menghukum dengan adil dan menyelesaikan pertikaian. Perbezaan jenis jantina tidak boleh dijadikan halangan untuk memegang jawatan ini. Ternyata Ibn Hazam juga sependapat dengan Ibn Jarir dalam persoalan ini. Ibn Hazam menekankan sifat kewanitaan tidak menghalang seseorang wanita itu untuk menyelesaikan perbalahan, menjalankan perbicaraan dengan adil dan memahami hujah dan keterangan yang dikemukakan.
Satu hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah alas an yang diberi oleh ulama tadi ialah untuk menguatkan pendapat mereka supaya bernilai dan munasabah. Namun, keadaan yang wujud pada hari ini, dan keperluan masyarakat Islam masa kini adalah asas kepada pemilihan pendapat ulama yang mungkin dapat kita terima dan amalkan. Pendapat mazhab Abu Hanifah yang sederhana mungkin boleh membantu kita menyelesaikan soal perlantikan wanita sebagai kadi dewasa ini.
2.6 Hendaklah sifat seorang qadhi itu adil
Menurut pendapat jumhur ulama, seorang yang dilantik menjadi kadi itu hendaklah bersifat adil . Tidak sah melantik seorang yang fasik sebagai kadi atau memegang jawatan tersebut. Adil menurut al-Mawardi ialah seorang yang bercakap benar, jelas amanah, bersih daripada perkara-perkara yang haram dan dosa, jauh daripada sifat-sifat yang meragukan, tidak suka berjenaka, menjaga maruah dalam urusan agama dan dunianya, dipercayai (keadilannya) dalam keadaan gembira dan marah .
Berdasarkan perbincangan, yang dimaksudkan dengan adil ialah seseorang itu adil apabila dia sentiasa berkata benar, ternyata amanah, tidak melakukan dosa besar, tidak berterusan melakukan dosa kecil, sentiasa menjaga maruah, menjauhkan diri daripada perkara syubhah, sentiasa tenang sama ada dalam keadaan seronok atau marah, boleh diharap dan dipercayai keadilannya walaupun dalam keadaan gembira dan suka atau dalam keadaan benci dan marah, sentiasa menjaga kehormatannya, berakhlak mulia dan bersopam santun. Adil juga adalah dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ini bermakna apabila ia seorang kadi ia hendaklah menjatuhkan hukuman dengan adil dan tegas berdasarkan hukum Islam, tidak menyeleweng. Apabila sempurna semuanya, maka harus melantiknya menjadi kadi, tidak harus bagi orang fasik menjadi kadi.
Ada juga berpendapat bahawa adil tidak menjadi syarat sah perlantikan kadi. Oleh yang demikian harus hukumnya melantik orang fasik sebagai kadi. Tetapi pendapat yang digunakn oleh mazhab Hanafi ialah, hukuman kadi yang fasik dipakai dan dilaksanakan selagi hukuman tersebut selaras dengan hukum syarak, walaupun ada orang yang lebih layak daripadanya. Menurut pendapat mazhab Hanafi adil tidak menjadi syarat keharusan untuk melantik seseorang menjadi kadi, tetapi menjadi syarat kesempurnaan perlantikan. Yang demikian harus melantik orang fasik dan hukumnya sah dilaksanakan.
Jika diperhatikan dengan teliti, pendapat mazhab Hanafi ini tidaklah bermakna orang yang fasik wajar dilantik menjadi kadi. Walaupun mereka tidak mengatakan adil menjadi syarat mutlak sah perlantikan, mereka tetap mengatakan adil merupakan syarat kesempurnaan perlantikan . Oleh itu tidak timbul persoalan harus melantik orang fasik menjadi kadi dengan sewenang-wenangnya. Perlu diingat bahawa, menurut mazhab Hanafi, orang yang layak menjadi saksi adalah layak untuk menjadi kadi, sedangkan mereka juga mensyaratkan seseorang itu hendaklah adil. Persoalan yang timbul dalam mazhab Hanafi ialah, adakah sah melantik seoarang yang fasik menjadi kadi? Bagi mereka, lantikan itu sah dengan syarat kadi tersebut menghukum dengan hukuman yang sesuai dengan hukum syarak. Ini bernakna yang paling penting di sini adalah hukuman .
Melihat keadaan yang wujud hari ini, memanglah sukar untuk mendapatkan seorang yang benar-benar adil dan menepati syarat-syarat yang dituntut oleh syarak bagi memenuhi jawatan kadi ini. Walaupun demikian keadaan ini tidak boleh dijadikan alasan untuk melantik orang yang terkenal fasik sebagai kadi, tetapi hendaklah dilantik orang yang paling layak dikalangan yang ada dan mengutamakan yang paling baik dikalangan mereka yang kurang layak. Syarat ini penting kerana peribadi yang baik, akhlak yang mulia, keimanan dan kewibawaan seseorang kadi itu akan dapat meyakinkan masyarakat dalam pentadbiran kehakiman dan undang-undang yang dilaksanakan. Keunggulan sesuatu undang-undang bukan sahaja bergantung kepada undang-undang itu sendiri, tetapi bergantung juga kepada pentadbiran dan pelaksanaannya.
2.7 Mestilah di kalangan mujtahid
Golongan Syafie, Hambali, Maliki dan sebahagian ulama Hanafi mensyaratkan seseorang yang dilantik menjadi hendaklah berkeahlian di dalam bidang hukum syarak atau bertaraf mujtahid. Oleh demikian tidak sah melantik kadi dari kalangan orang yang jahil dan juga mukallid .
Menurut al-Mawardi orang pakar dalam hukum syarak ini mengetahui asas-asas hukum syarak dan juga cabang-cabangnya, iaitu mengetahui al-Quran dan perkara-perkara yang bersangkutan dengannya seperti nasikh-mansukh, muhkam mutasyabih, a’m khas, mujmal mufassal dan asbab nuzul.Mengetahui sunnah dan perkara-perkara yang bersangkutan dengannya seperti sabda Nabi Muhammad S. A.W dan perbuatan baginda , cara hadis diriwayatkan samaada mutawatir, ahad, sahih dan cara hadis dikeluarkan.
Mengetahui pendapat ulama salaf dalam perkara-perkara yang diijmakkan dan perkara yang diperselisihkan . Ini kerana tidak harus bagi seseorang kadi mengeluarkan hukum yang bertentangan dengan perkara dengan perkara yang telah diijmakkan.Mengetahui kias, ini termasuklah mengetahui hukum asas dan furuq serta mengetahui dalilnya kerana ia akan membantu kadi mensabitkan sesuatu hukum .
Sekiranya seseorang iti sempurna pengetahuannya terhadap keempat-empat usul hukum syarak tadi, maka ia tergolong dalam golongan ahli ijtihad . oleh itu ia harus memberi fatwa dan mengeluarkan hukum. Sebaliknya jika kurang salah satu daripadanya , maka dia bukanlah dari ahli ijtihad . maka tidak harus baginya menjadi kadi dan juga mufti, al-Ramli menegaskan , tidak harus untuk melantik orang yang jahil tentang hukum syarak. Demikian juga dengan mukallid , kerana meraka tidak boleh mengeluarkan fatwa apatah lagi untuk menjadi kadi sekalipun dia menghafal mazhab imamnya.
Walau bagaimanapun golonagn Maliki lebih ringan dalam mensyaratkan lantikan mujtahid ini bagi mereka walaupun disyaratkan seorang kadi hendaklah mujtahid , tetapi jika tidak didapati , bolehlah dolantik mukhallid yang sempurna ilmunya . pendapat ini merupakan pendapat ibnu Arabi.
Golongan hanafi tidak mensyaratkan keahlian ijtihad sebagai syarat sah perlantikan kadi, tetapi hanyalah sebagai syarat keitamaan lantikan sahaja . Oleh itu melantik yang jahil( bukan mujtahid) sah kerana tujuan kehakiman ialah untuk menyampaikan hak kepada yang berhak. Seperti mana ia terlaksana melalui ijtihad, ia juga terlaksana melalui taklik dan berdasarkan fatwa orang lain .
Munurut al-Kasani jika seorang sultan melantik seorang yang jahil( tidak mujtahid) sebagai kadi, menurut mazhab Hanafi hikumnya. harus ini kerana kadi tersebut mampu menghukum berdasarkan kebenaran pengetahuan orang lain dengan cara meminta fatwa daripada fuqaha’.Jika di perhatiakn dengan teliti,yang menjadi pemikiran golongan Hanafi ialah, jika hukuman boleh di jatuhkan dengan tepat dan berdasarkan kebenaran,maka kadi yang tidak bertaraf mujtahid boleh dilantik.Ini kerana dia boleh menghukum berdasarkan fatwa orang mujtahid atau pendapat imam mujtahid. Yang terpenting ialah kebenaran dan hak. Bagi mereka, mujtahid adalah syarat keutamaan dan kesempurnaan. Dengan ini tidak timbul golongan Hanafi mengkehendaki orang jahil untuk menjadi kadi. Jika diperhatikan dengan teliti mereka mengharuskan orang jahil menjadi kadi bukanlah bermakana orang jahil dalam pengertian biasa tetapi orang yang tidak sampai kepada taraf mujtahid atau dalam kata lain orang mukallid.
Pada masa ini mungkin tidak ada mujtahid, kalaupun ada amat sedikit bilangannya. Walaupun jumhur ulama mensyaratkan ijtihad, oaring yang sampai kepada mujtahid mutlak mungkin tidak ada dewasa ini. Begitu juga mujtahid mazhab dan mujtahid muqayyad. Malahan taraf mujtahid masail juga terlalu sukar didapati. Persoalannya yang timbul ialah, adakah tanpa golongan mujtahid ini menyebabkan jawatan kadi tidak perlu diisi?, jawabnya perlu dan wajib kerana berdasarkan apa yang tidak boleh dicapai oleh semua jangan ditinggalkan semua, dan tentulah yang wajar dilantik ialah yang teralim dan terbaik dikalangan yang ada walaupun yang ada hanya bertaraf mukallid. Inilah yang dikatakan dalam mazhab Syafie sebagai perlantikan kadi darurat iaitu kadi yang diharuskan didalam keadaan tertentu.
2.8 Sempurna Pancaindera
Seseorang yang dilantik menjadi kadi hendaklah seorang yang mendengar, melihat, dan tidak boleh melantik orang yang pekak . Ini kerana orang yang pekak (tuli)tidak dapat mendengar percakapan orang yang bertikai ; sukar baginya untuk membezakan diantara orang yang menuntut dengan orang yang dituntut, mana yang benar dan mana yang yang salah, mana yang hak dan mana yang batil.
Dia juga hendaklah seorang yang boleh bercakap dan tidak bisu. Ini penting untuk membolehkan memberikan arahan kepada pihak yang terlibat lebih-lebih lagi ketika menjatuhkan hukuman yang dikehendaki dibuat secara terbuka dan boleh difahami oleh semua orang. Keputusan yang disampaikan melalui isyarat atau tulisan tidak boleh difahami oleh semua orang dengan tepat malahan boleh dipertikaikan dan menimbulkan syubhah .
Dia juga hendaklah seorang yang boleh dilihat dan bukan seorang yang buta. Ini penting untuk mengetahui keadaan orang yang menuntut, yang kena tuntut dan para saksi. Gerak laku pihak yang terlibat semasa memberi keterangan amat penting dan boleh dijadikan sebahagian daripada keterangan karenah. Demikian juga nada suara dan perubahan cara cakap yang berlaku di antara kedua-kedua pihak yang terlibat dalam perbicaraan dapat dikenal pasti kesahihan dan dapat membantu kadi menjalankan tugas dengan sempurna .
3.0 Syarat-syarat menjadi hakim menurut Undang-undang
Syarat-syarat perlantikan menjadi Hakim Syarie tidak disebut di dalam mana-mana enakmen di Malaysia sepertimana para fuqaha’ memperincikannya dalam kitab-kitab mereka. Sebaliknya mereka menambah syarat-syarat lain yang berbentuk Syakliyyah (teknikal) dan Mawdu’iyyah (objektif) iaitu :
1. Warganegara Malaysia. Disyaratkan kepada hakim syarie memiliki kerakyatan Malaysia. Seseorang yang bukan warganegara tidak layak untuk menyandang jawatan ini.
2. Berusia sekurang-kurangnya lapan belas tahun. Syariah Islamiyyah tidak mensyaratkan umur tertentu untuk penjawat jawatan Hakim, sebaliknya mensyaratkan al-ahliyyah (kelayakan) yang sempurna. Namun begitu, pensyaratan usia lapan belas dari segi undang-undang kini tidak pula menyalahi undang-undang kini dan tidak pula menyalahi syara’. Hal ini adalah kerana matlamat pensyaratan untuk memastikan keadilan tercapai (secara teorinya). Dengan syarat ini juga dapat dipastikan seorang pemohon ini telah mencapai umur matang (sinn al-rushd) dan kesempurnaan pemikiran dalam sesuatu waktu.
3. Kelayakan Syariah yang diiktiraf. Seorang pemohon juga disyaratkan memperolehi Ijazah Syariah kelas pertama atau kedua dari universiti atau institusi yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia. Dengan syarat ini dapat difahami bahawa mereka yang memiliki kelulusan Pengajian Islam dan Arab selain dari Syariah tidak layak memohon jawatan ini sementara pemilik Syariah dengan pengkhususan Kehakiman diberi keutamaan .
4. Memiliki Diploma Pentadbiran Kehakiman Syarie dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atau sijil yang setaraf dengannya dari mana-mana universiti yang diiktiraf oleh kerajaan. Syarat ini bertujuan untuk menjamin kemampuan seorang hakim Syarie dalam undang-undang semasa dan etika pentadbiran kehakiman negara.
5. Lulus dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia. Syarat ini bertujuan untuk menjamin kemahiran Hakim Syarie dalam bahasa kebangsaan dari segi penulisan dan pertuturan kerana ia merupakan bahasa undang-undang dan penghakiman di Malaysia.
Terdapat kelayakan-kelayakan lain yang diiktiraf untuk tujuan perlantikan ke jawatan hakim syarie selain daripada apa yang disebutkan di atas. Umpamanya di Negeri Selangor, seorang yang pernah berkhidmat dalam bidang perundangan sebagai Peguam Syarie di mana-mana Mahkamah Syariah tidak kurang daripada sepuluh tahun atau seseorang yang mempunyai pengetahuan yang luas dalam Syariah dan Kehakiman, layak untuk dilantik sebagai Hakim Syarie.
Di Wilayah Persekutuan pula, seseorang itu layak menjawat jawatan Ketua Hakim Syarie jika beliau pernah berkhidmat tidak kurang dari sepuluh tahun sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah. Manakala untuk jawatan hakim syarie pula, mereka dikira layak memohon jika ia pernah berkhidmat tidak kurang dari sepuluh tahun sebagai hakim Mahkamah Rendah Syariah, kadi, pendaftar, atau pendakwa Syarie sesuatu negeri atau pada masa suatu masa pernah memegang mana-mana satu daripada jawatan itu dan pada masa yang lain memegang mana-mana jawatan yang lain pula, atau seorang yang arif dalam hukum syara’ .
4.0 Kesimpulan
Berdasarkan kertas kerja ini mengenai tentang syarat-syarat hakim menurut syarak dan undang-undang, jelaslah bahawa kuasa utama untuk melantik hakim berdasarkan syarat yang ditetapkan oleh pemerintah atau khalifah itu sendiri. Namun demikian ia tertakluk kepada peraturan dan batasan yang ditetapkan oleh syarak. Dalam memutuskan pelantikan hakim, pemerintah mestilah membuat pemilihan dan penelitian terlebih dahulu. Ini bertujuan supaya perlantikan itu berlandaskan keadilan sama seperti fungsi jawatan hakim itu juga yang bertindak untuk menegakkan keadilan demi merealisasikan matlamat hukum syarak. Namun demikian untuk menjadikan perlantikan seseorang hakim itu memenuhi matlamat kehakiman, maka semua syarat itu mesti diambil kira sebagai faktor penentu dalam perlantikan hakim dengan memastikan dan mengambil kira syarat-syarat yang disepakati dan dipertikaikan bersesuaian dengan situasi. Islam telah meletakkan syarat ketat yang wajib dipenuhi dalam melantik hakim kerana jawatan ini penting dan pada hakikatnya jawatan ini pernah disandang oleh Rasulullah s.a.w dan Khulafa’ al-Rasyidun.
5.0 Rujukan
Abdul Karim Zaydan. 1997. Nizamul Qadha’ fi Syari’ah Al-Islamiyyah. Beirut-Lubnan. Muassasah Ar-risalah.
Abi Al-Hassan Ali bin Muhammad bin Habib Al-Basri Al-Baghdadi Al-Mawardiy. 1994. Ahkam As-sultaniyyah wal Wilayatu Diniyyah. Kaherah-Mesir. Al-Maktabah At-Taufiqiyyah.
Ibnor Azli Ibrahim. 2005. Kajian Syariah dan Undang-Undang: Hakim Syarie dari Sesi Pemilihan, Perlantikan, dan Bidangkuasa.Siri kedua. Pandan Indah. Intel Multimedia and Publication.
Mahmud Saedon A. Othman. 1990. Kadi Perlantikan, Perlucutan, dan Bidang Kuasa. Ampang .Dewan Bahasa dan Pustaka.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan