-Fatwa Dr. Yusuf al-Qardhawi
Menuduh zina dan liwat adalah dosa besar. Penuduh mesti mengemukakan empat orang saksi. Jika dia gagal mendatangkan empat orang saksi, maka dia dianggap pendusta. Dalam pilihan raya, pendusta seperti ini tidak layak mengundi dan tidak layak diundi. Pendusta itu mesti dikenakan hukuman syariah seperti firman-Nya (terjemahannya): Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) 80 kali sebatan dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik. (Surah an-Nur 24:4-5)
Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi ialah ulama semasa yang berkemampuan mengeluarkan pendapat syarak dengan berani dan bebas. Beliau menganggotai beberapa lembaga dan institusi ilmiah dan dakwah, antaranya ialah Lembaga Fiqh Rabitah Alam Islami di Makkatul Mukarramah, Lembaga Diraja bagi Kajian Tamadun Islam di Jordan, Markas Pusat Kajian Islam di Oxford, Majlis Amanah Universiti Islam di Islamabad, Organisasi Dakwah Islamiah di Khartoum, Ketua Jawatankuasa Perunding Syar'ie beberapa bank Islam, Ketua Pusat Kajian Sunnah dan Sirah di Qatar dan Pengerusi Majlis Fatwa dan Penyelidikan di Eropah.
Soalan 1
Jika seseorang yang dikenali oleh khalayak ramai sebagai orang yang istiqamah, berperibadi bersih dan salih sepanjang hidupnya, tiba-tiba dituduh dengan tohmahan-tohmahan yang keji seperti berzina, melakukan perbuatan kaum Luth, membunuh dan lain-lain.
Apakah hukum syariah terhadap orang yang menuduh dan orang yang dituduh?
Adakah orang yang di tuduh wajib membela diri?
Apakah kewajipan masyarakat muslim tentang perkara ini?
Jawapan 1
MENUDUH ZINA DAN LIWAT ADALAH DOSA BESAR
Menuduh orang-orang yang bersih dengan tohmahan-tohmahan, termasuk tohmahan-tohmahan yang besar seperti berzina, liwat dan membunuh merupakan satu perbuatan yang diharamkan secara tegas oleh Islam. Bahkan hal itu termasuk dalam dosa besar yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah dan azab-Nya.
Tohmahan-tohmahan seperti itu berupaya untuk menyerang kemuliaan diri orang yang beriman sama ada lelaki atau perempuan. Tohmahan itu juga boleh menyebabkan orang ramai berburuk sangka terhadapnya, manakala orang yang rendah akhlaknya mungkin boleh melakukan tindakan yang tidak diingini terhadapnya.
Perkara sedemikian juga menyebabkan tersebarnya kejahatan di kalangan orang yang beriman. Oleh itu, al-Qur'an mengecam keras perilaku seperti ini dan mengancam para pendusta yang melakukannya dengan seksaan di dunia dan di akhirat.
Firman Allah S.W.T. (terjemahannya): Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata. (Al-Ahzab, 33:58)
Firman Allah S.W.T. (terjemahannya): Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik lagi beriman (dengan tuduhan berzina), mereka dilaknat di dunia dan di akhirat, dan bagi mereka azab yang besar. (An-Nur, 24: 23)
Firma Allah S.W.T. lagi (terjemahannya): Pada hari (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. Pada hari itu, Allah akan memberi mereka balasan yang setimpal menurut semestinya, dan tahulah mereka bahawa Allahlah yang Benar, lagi yang menjelaskan (segala sesuatu menurut hakikat yang sebenarnya). (An-Nur, 24: 24-25)
Para ulama telah sepakat (ijmak) mengatakan bahawa dosa dan hukuman terhadap orang yang melemparkan tuduhan ke atas lelaki mukmin serupa dengan dosa dan hukuman terhadap mereka yang melemparkannya ke atas wanita mukminat.
Ayat di atas turun dalam bentuk seperti ini (menggunakan perkataan mukminat) kerana ayat tersebut diturunkan khas sebagai pembelaan terhadap Ummul Mukminin Aisyah As-Siddiqah binti Abu Bakar As-Siddiq. Beliau merupakan salah seorang isteri yang paling dicintai oleh Rasulullah s.a.w. selepas Khadijah.
Peribadi yang suci ini terpaksa berhadapan dengan tuduhan yang keji. Orang munafik menyebarkan khabar angin tentangnya dan melemparkan tohmahan bahawa beliau telah melakukan skandal dengan salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang tidak pernah diragui kebersihan peribadinya.
Orang munafik benar-benar telah menggunakan peluang ini dengan mengobarkan api fitnah. Demikianlah kisah "Hadith al-Ifki" yang telah memalukan dan meresahkan rumah Nabi s.a.w., rumah Abu Bakar as-Siddiq serta seluruh bandar Madinah.
Akhirnya turunlah ayat al-Qur'an daripada petala langit yang tujuh, bagi menerangkan perkara tersebut secara jelas dan tegas dan mengembalikan keadaan seperti sedia kala. Ayat tersebut juga telah membisukan lidah para pendusta dan membersihkan kembali nama Aishah yang jujur dan suci daripada segala tuduhan jahat.
Selepas turunnya ayat-ayat tersebut, kaum Muslimin pun berasa lega kerana telah terkeluar daripada fitnah yang keras dan pahit itu.
Mengukuhkan Tuduhan
Bacalah firman Allah S.W.T. pada surah an-Nur (terjemahannya): Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu mengira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu. Tiap-tiap seseorang daripada mereka mendapat balasan dosa yang dikerjakannya. Dan sesiapa antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. Mengapa pada waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak berbaik sangka terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata "Ini adalah suatu berita bohong yang nyata." Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang-orang yang dusta. (An-Nur, 24:11-13)
Orang yang Menuduh Mesti Mengemukakan Saksi
Inilah hukum Allah yang tegas: sesiapa yang menuduh orang lain telah melakukan perbuatan keji seperti berzina maka dia mesti mengukuhkan tuduhannya itu dengan mendatangkan empat orang saksi yang adil dan tidak cacat keperibadiannya.
Kesemua saksi itu mestilah telah melihat yang tertuduh sedang melakukan perbuatan zina dengan perempuan secara jelas dengan mata kepala mereka sendiri. Demikianlah sebagaimana yang telah diterangkan secara kiasan dalam undang-undang syariah: seperti besi celak dimasukkan ke dalam bekasnya atau seperti pena dimasukkan ke dalam botol dakwat.
Tiga Jenis Hukuman
Jika orang yang menuduh tidak berjaya mendatangkan empat saksi sebagaimana yang diterangkan di atas, maka dia dianggap sebagai seorang pendusta di sisi Allah S.W.T.
Orang yang menuduh dan gagal mendatangkan saksi tidak layak mengundi dalam pilihan raya, terlebih lagi untuk diundi.
Allah menegaskan bahawa si pendusta ini mesti dikenakan hukuman syariah, bahkan Dia menegaskan tiga jenis hukuman yang tertera dalam al-Qur'an al-Karim, iaitu pada firman Allah S.W.T. (terjemahannya): Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) 80 kali sebatan dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik. (An-Nur, 24:4-5)
Ayat-ayat yang mulia di atas menyebutkan tiga jenis hukuman terhadap jenayah yang keji itu.
Pertama, hukuman fizikal, iaitu disebat sebanyak lapan puluh sebatan. Sebatan yang menyakitkan tubuh badannya itu merupakan balasan terhadap perbuatannya menyakiti peribadi orang yang baik. Tuduhan yang telah disebarkannya itu juga boleh memusnahkan kehidupan orang yang dituduh berserta kaum keluarganya.
Kedua, hukuman moral-sosial, iaitu dengan menggugurkan segala pertimbangan moral dan sosial orang menuduh. Kesaksiannya dalam urusan kewangan, sivil, sosial, politik tidak boleh diterima pakai.
Perkataan "kesaksian" dalam ayat di atas diturunkan dalam bentuk nakirah (am) dan berbentuk penafian. Oleh itu, perkataan itu mencakupi seluruh jenis kesaksian. Berdasarkan hal ini, orang itu wajib digugurkan haknya untuk mengundi dalam pilihan raya, terlebih lagi hak untuk diundi.
Ketiga, hukuman agama, iaitu dengan menggelarinya sebagai orang fasik dan memasukkannya ke dalam golongan "fasikun", al-Qur'an menyebutkan kefasikan sebagai lawan keimanan.
Firman Allah s.w.t. (terjemahannya): Maka adakah orang-orang yang beriman serupa dengan orang yang fasik? Mereka tidak sama. Adapun orang yang beriman dan mengerjakan amal salih, maka bagi mereka syurga-syurga tempat kediaman, sebagai pahala terhadap apa-apa yang mereka kerjakan. Ada pun orang yang fasik, maka tempat mereka ialah neraka .... (As-Sajdah, 32:18-20)
Al-Qur'an juga telah melekatkan gelaran fasik ini kepada iblis, makhluk paling durjana. Firman Allah S.W.T. (terjemahannya): Dia adalah daripada golongan jin, maka dia berlaku fasik (derhaka) terhadap perintah Tuhannya. (Al-Kahfi, 18:50)
Walau bagaimanapun, dengan rahmat dan kasih-Nya, Allah masih lagi membuka pintu taubat bagi mereka yang ingin mensucikan dan membersihkan diri. Firman-Nya (terjemahannya): Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu dan membaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (An-Nur, 24:5)
Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa taubat hanya diperkenankan bagi memansuhkan hukuman terakhir, iaitu penggelaran dirinya sebagai fasik. Taubat tidak akan memansuhkan hukum gugurnya kesaksian dari pihaknya. Sebab perkara "gugurnya kesaksian" dalam ayat di atas disifatkan Allah sebagai kekal, "Dan janganlah kamu terima kesaksian meraka buat selama-lamanya."
Jenayah melemparkan tohmahan itu boleh menjadi lebih besar jika orang yang dituduh dikenali oleh khalayak ramai sebagai orang yang istiqamah dan salih. Mereka mengenalnya sebagai orang yang baik dan tidak pernah menyaksikan sebarang kejahatan dilakukannya.
Sesungguhnya suara orang ramai merupakan pena kebenaran. Kesaksian yang boleh dipertimbangkan hanyalah kesaksian orang-orang yang salih dan baik, sebab mereka merupakan saksi-saksi Allah di atas muka bumi, seperti mana yang digambarkan oleh salah satu hadis Rasulullah s.a.w.
Jagalah Maruah Saudara Kita
Pandangan dan sikap Islam dalam menjaga maruah, kemuliaan dan kehormatan diri seseorang amat tegas dan keras. Islam tidak membenarkan seseorang muslim menyakiti perasaan seorang saudaranya sesama muslim dengan perkataan menghina, sama ada di hadapannya atau di belakangnya.
Firman Allah (terjemahannya): Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari syak wasangka, sesungguhnya sebahagian daripada syak wasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu berasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. (Al-Hujurat, 48:12)
Dalam satu hadis sahih, Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): "Setiap muslim diharamkan untuk mencerobohi darah, harta dan maruah saudaranya sesama muslim."
Jika Islam tidak menentukan sikap yang tegas seperti ini tentu akan terjadi perbalahan antara seluruh manusia, manakala kemuliaan serta maruah diri mereka akan ditindas. Akhirnya musnahlah seluruh hak dan kebebasan.
Jangan Ceritakan Aib Orang
Bertolak atas kesedaran ini pula Islam memerintahkan kita untuk tidak menceritakan aib orang lain demi menjaga maruah dan peribadinya.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada seseorang yang menggesa Maiz untuk mengaku berzina sehingga dijatuhkan hukuman rejam, "Jika engkau tutup dengan bajumu tentu lebih baik untukmu."
Rasulullah s.a.w. juga bersabda, "Seluruh umatku akan memperoleh pengampunan, kecuali orang-orang yang suka menyebarkan aib orang lain."
Dan baginda bersabda, "Sesiapa yang menutupi kesalahan seorang muslim, nescaya Allah akan menutupi (kesalahannya) di dunia dan akhirat."
Allah s.a.w. berfirman dalam al-Qur'an al-Karim (terjemahannya): Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat. (An-Nur, 24:19)
Soalan 2
Adakah orang yang dituduh berhak untuk membela diri?
Bolehkah ia dicegah dari melakukan hal itu?
Apakah kewajipan masyarakat muslim di sekelilingnya?
Bolehkan mereka berdiam diri dan membiarkan perkara tersebut berlalu begitu sahaja?
Jawapan 2
TERTUDUH BERHAK MEMBELA DIRI
Hak seseorang yang dituduh dengan tuduhan melibatkan agama, maruah serta moral ialah membela diri daripada tuduhan orang yang telah menzaliminya dan meninggikan suaranya dalam manyuarakan kebenaran. Bahkan dalam satu ayat al-Qur'an Allah telah memberinya satu hak istimewa untuk melindungi kehormatan dan maruah dirinya. Firman Allah (terjemahannya): Allah tidak menyukai ucapan buruk yang (diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang-orang yang dianiaya. Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (An-Nisa', 4:148)
Tidak boleh sesiapapun mencegah atau melarang orang yang dituduh daripada membela dirinya. Pembelaan merupakan hak yang biasa dan sah di sisi hukum syariah.
Allah Memberi Iblis Peluang Membela Diri
Allah telah memberikan peluang kepada Iblis yang dilaknat untuk berdebat mempertahankan dirinya di hadapan Tuhan seluruh alam. Iblis dengan petahnya mempertahankan kesombongannya dengan mengatakan, "Saya lebih baik daripada Adam". (Rujuk Surah Al-A'raf, 7: 12--P) Bahkan pada hari kiamat, Allah juga memberi peluang kepada setiap diri untuk mengetengahkan pembelaan terhadap dirinya.
Tertuduh Dibenarkan Menggunakan Media
Oleh itu, masyarakat muslim mesti memberikan peluang kepada orang yang dituduh dan melindungi hak dan kebebasannya seluas-luasnya dalam proses pembelaan itu. Dia mesti dibenarkan membela dirinya secara lisan, menulis di surat khabar dan berucap di radio dan televisyen, terutama jika pandangan umum akan memberi kesan yang cukup besar dalam kes tersebut.
Secara syariah, dia tidak boleh diserahkan kepada taring para lawannya yang mencarik-carik kredibilitinya siang dan malam dan membiarkan masyarakat awam hanya menjadi penonton tanpa mampu berbuat apa-apa. Akibatnya, pintu pun tertutup rapat di hadapan orang yang dituduh. Dia tidak mampu melawan sebab tidak memiliki sebarang kelengkapan, sedangkan para musuhnya memiliki seluruh jenis senjata.
Mereka telah melucuti dirinya daripada sebarang kekuasaan, bahkan lebih daripada itu, mereka juga telah mengajak orang ramai untuk ikut serta dalam "angkatan dusta" dengan menyebarkan perkataan-perkataan jahat yang tidak pernah diingkari. Firman Allah (terjemahan): Kamu katakan dengan mulutnya apa yang tidak kamu ketahui sedikit pun dan kamu menganggapnya sebagai sesuatu yang ringan sahaja. Padahal perkara itu pada sisi Allah adalah besar. (Surah an-Nur 24:15)
Tentukan Sikap Anda
Masyarakat muslim merupakan masyarakat yang saling bertimbang rasa dan penuh tanggungjawab antara satu sama lain. Masyarakat muslim tidak akan membiarkan seorang yang baik dan tidak bersalah menjadi korban satu kezaliman yang kuat, konspirasi dan makar (tipu daya) yang memusnahkan. Masyarakat muslim tidak akan berdiam diri menyaksikan perkara itu semua, sebab seseorang yang berdiam diri terhadap kebenaran serupa dengan syaitan bisu.
Allah S.W.T. berfirman (terjemahannya): Mengapa pada waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak berbaik sangka terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: "Ini adalah satu berita bohong yang nyata." (An-Nur, 24:12)
Inilah sepatutnya sikap masyarakat mukmin yang mengambil berat antara satu sama lain. Allah berfirman (terjemahannya): Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. (At-Taubat, 9:71)
Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): "Seorang muslim itu merupakan saudara kepada muslim yang lain. (Oleh itu) dia tidak boleh menzalimi atau membiarkannya terlantar." (Muttafaqun 'alaihi.)
Pengertian "tidak membiarkannya" dalam hadis di atas ialah tidak melepaskannya atau meninggalkannya begitu sahaja dalam menghadapi kesukaran.
Rasulullah s.a.w. juga bersabda (maksudnya): "Tolonglah saudaramu sama ada dia zalim atau dizalimi."
Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, tentu kami akan menolongnya jika dia dizalimi. Tetapi bagaimanakah kami menolongnya jika dia sendiri berlaku zalim?
Rasulullah bersabda: "Dengan mencegahnya dari melakukan kezaliman. Begitulah cara menolongnya". (Muttafaqun 'alaihi)
Islam mewajibkan masyarakat muslim untuk menolong orang yang dizalimi daripada terus dianiaya oleh orang zalim tanpa mengira berapa tinggi darjat atau pangkat penzalim itu.
Hadis nabi menjelaskan (maksudnya): "Jika kamu melihat umat-Ku takut untuk mengatakan kepada si zalim: wahai zalim, maka mereka ditinggalkan (Allah).
Setiap Muslim yang mengenal kebaikan peribadi saudaranya wajib membelanya jika ia mendengar saudaranya itu diberitakan secara buruk.
Satu hadis menyebutkan (maksudnya): Sesiapa yang membantah untuk (melindungi) maruah saudaranya, nescaya Allah akan menolak api neraka daripada wajahnya pada hari kiamat. (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)
Soalan 3
Bagaimana caranya mewujudkan satu perbicaraan yang jujur, berkecuali dan adil; tidak dipengaruhi oleh kuasa pemerintah dan hanya menggunakan syariah sebagai landasan hukum yang sah; juga direstui oleh orang ramai sebagai hakim dalam meneruskan perselisihan dan pertelingkahan?
Jawapan 3
PENUDUH MESTI DIBICARAKAN, TERTUDUH BOLEH BERSUMPAH
Orang yang dituduh melakukan perbuatan zina (al-maqzuf), liwat atau sepertinya tidak perlu dibicarakan. Sebaliknya yang perlu dibicarakan ialah orang yang menuduh. Sebab dia telah melemparkan tuduhan qazaf (melemparkan tuduhan zina) maka dia wajib mengemukakan bukti-bukti yang kukuh. Kaedah syariah berkenaan hal ini ialah: Orang yang menuduh wajib mengemukakan bukti dan orang dituduh wajib mengucapkan sumpah.
Walau bagaimanapun, dalam kes seperti ini, orang yang dituduh tidak dituntut untuk bersumpah. Sebab pada dasarnya setiap manusia itu bersih daripada sebarang tuduhan, seperti mana secara hukum asalnya setiap muslim mesti berbaik sangka dan memandang dengan pandangan yang baik sesama mereka.
Penuduh Mesti Mengemukakan Saksi
Adalah hak setiap orang yang dituduh dengan tohmahan keji ini untuk menuntut orang yang menuduhnya dalam satu perbicaraan mahkamah syariah yang adil. Manakala kewajipan seorang kadi muslim yang menangani kes ini dengan cara yang diredai Allah dan hukum syariah-Nya ialah: menuntut penuduh untuk mengemukakan bukti berkenaan dakwaannya, iaitu empat orang saksi seperti mana yang diterangkan oleh al-Qu'ran. Jika dia tidak berbuat demikian maka gugurlah dakwaannya. Kadi wajib menegakkan hukuman Allah ke atas dirinya iaitu dengan menyebatnya sebanyak 80 sebatan, menghilangkan haknya dalam memberi kesaksian, dan mengecapnya sebagai fasik melainkan jika ia bertaubat.
Pengecualian untuk hukum tersebut hanya pada satu kes sahaja sebagaimana yang disebutkan dalam al-Qur'an, iaitu jika seorang suami menuduh isterinya sendiri melakukan perbuatan zina. Inilah ketentuan fardu Allah terhadap mereka berdua yang dikenali dengan istilah "al-lian". Dalam hal ini semua tidak dituntut untuk mengemukakan empat orang saksi terhadap perbuatan zina yang dilakukan oleh isterinya sendiri dan dilihatnya dengan mata kelapanya sendiri. Dia juga tidak diwajibkan untuk terus bersekedudukan bersama isterinya yang didakwa atau diyakini berkelakuan buruk itu. Itulah sebabnya Allah menentukan satu prosedur hukum yang berakhir dengan perceraian abadi antara kedua-duanya.
Firman Allah s.w.t. (terjemahannya): Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), sedangkan mereka tidak ada mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka kesaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar. Dan (sumpah) yang kelima: bahawa laknat Allah atasnya, jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar.
Soalan 4
Jika seorang pemimpin negara di beberapa kawasan berselisih pendapat dengan timbalannya mengenai isu-isu kewangan, pentadbiran, politik dan lain-lain sehingga mereka berdua saling melemparkan tuduhan-tuduhan antara satu sama lain, maka apakah cara syariah untuk menyelesaikan pertelingkahan antara kedua-duanya?
Jawapan 4
PENYELESAIAN MELALUI PIHAK BERKECUALI
Cara yang terbaik berkenaan perkara ini ialah melantik pihak berkecuali yang tidak boleh dipengaruhi oleh pujukan atau ugutan daripada penguasa atau ganjaran atau ancaman daripada pemerintah. Dia mesti melihat kepada perkara ini dengan pandangan yang neutral, adil dan mementingkan maslahat umat, sambil berusaha sedaya upaya untuk mencari taufik daripada Allah dalam memutuskan perkara tersebut. Sesungguhnya tangan Allah itu sentiasa berada bersama jemaah, bersatu padu itu akan sentiasa mendatangkan kebaikan, manakala perpecahan adalah punca segala keburukan.
Inilah yang pernah dilakukan oleh Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib Karramallahu Wajhah. Sebelum itu para sahabat yang berada bersamanya atau bersama Mu'awiyah juga telah melakukan perkara yang sama, kaum Khawarij menentang kebijaksanaan tersebut seraya melaungkan slogan: "tidak ada hukum kecuali hukum Allah."
Tetapi Abdullah bin Abbas r.a. berjaya membungkam mereka dengan hujah-hujah yang jelas dan tegas. Beliau menjelaskan bahawa usaha mencari orang tengah sebagai hakim justeru diperbolehkan oleh Allah dalam perkara yang jauh lebih remeh seperti perselisihan dalam keluarga antara suami isteri. Juga ha itu dibolehkan dalam perkara-perkara besar yang melibatkan perselisihan faham berkaitan dengan umat. Selanjutnya Abdullah bin Abbas r.a membacakan firman Allah yang berikut di hadapan mereka:
Terjemahan: Dan jika kau khuatir akan berlakunya persengketaan antara kedua-dua (suami isteri), maka kirimlah seorang hakam (jurudamai) daripada keluarga lelaki dan seorang hakam daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua orang hakam itu bermaksud mengadakan perbaikan, nescaya Allah memberi taufik kepada suami isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal. (An-Nisa', 4:35)
Saya berpendapat bahawa satu jawatankuasa yang terdiri daripada para cendekiawan muslim yang bijaksana dari negara Indonesia, Pakistan, Arab Saudi atau lainnya yang dapat mengadili perselisihan ini dengan kebenaran-kebenaran yang Allah tunjukkan kepada mereka, diiringi dengan niat salih, keazaman yang benar, usaha yang bersungguh-sungguh.
Dan dengan itu terlerailah segala kesulitan, terbukalah jalan dan berlakulah kesepakatan (taufik) seperti mana pesanan Allah S.W.T. berkenaan jurudamai (terjemahannya): Jika kedua orang hakam (jurudamai) bermaksud mengadakan perbaikan nescaya Allah memberi taufik kepada mereka suami isteri itu. (An-Nisa', 4:35)
Padamkan Api Fitnah
Amat besar harapan saya terhadap saudara-saudara saya di negara Malaysia tercinta, agar mereka berusaha sedaya upaya untuk memadamkan api fitnah dan kembali bersatu padu memperkuat ketahanan bangsa demi menghadapi pakatan jahat yang dirancang oleh kuasa-kuasa besar bagi menghancurkan mereka secara khas dan kaum muslimin secara umum. Dan itulah cara termudah bagi mereka menikmati kekayaan dan khazanah negara sedangkan umat dalam kealpaan dan bercakaran sesama sendiri.
Jiwa saya seperti berkecai dan hati saya rasa seperti dihiris melihat kejadian-kejadian yang berlaku terhadap umat Islam. Allah telah menjadikan mereka sebagai umat terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, tetapi sayangnya mereka saling melancarkan tipu daya untuk menjatuhkan antara satu sama lain.
Akhirnya yang rugi tentulah negara dan bangsa sendiri. Manakala pihak yang memperoleh keuntungan daripada perselisihan tersebut ialah Israel, Amerika dan kuasa-kuasa lain yang menanti peluang untuk menyerang kaum muslimin. Merekalah yang melaga-lagakan kita untuk memetik hasil daripada pergaduhan dan pertelingkahan yang berlaku. Mereka menikmati hasil yang maksimum daripada pergaduhan antara dua kelompok. Wala hawla wala quwata ila billah.
Saya mengingatkan saudara-saudara saya akan firman Allah S.W.T. (terjemahannya): Dan berpegang teguhlah kamu semua kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai. Ingatlah akan nikmat Allah kepadamu semasa kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hatimu, lalu jadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara. Dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat kepadamu, agar kamu memperoleh petunjuk.(Ali Imran, 3:103)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan