DONATE
Khamis, 17 Julai 2008
Pengenalan Ilmu Akidah dan Kepentingannya.
2.0 Definisi Tauhid
2.1 Pengertian Bahasa
Menurut pengertian bahasa, Tauhid itu mempunyai berapa maksud, dan semua maksud-maksud tersebut secara umumnya berkaitan dengan kepercayaan kepada tuhan yang esa. Pertamanya dari segi bahasa tauhid membawa maksud menetapkan sesuatu itu Esa dan tiada tuhan yang layak disembah selain-Nya. Keduanya, tauhid mambawa maksud mengakui bahawa sesuatu itu Esa atau mengEsakan-Nya dengan pelbagai cara sama ada perbuatan, percakapan dan perakuan. Dan akhir sekali, Tauhid ini dapat didefinisikan sebagai mangakui atau mengiktikadkan bahawa Allah itu Esa .
2.1 Pengertian Istilah
Dari segi istilah pula, Tauhid diertikan dengan pelbagai maksud yang dapat mengambarkan frasa Tauhid itu secara konseptual. Justeru, ini memudahkan kita memahami konsep Tauhid dengan lebih jelas sebelum mendalami perkara-perkara yang berkaitan dengannya secara lebih terperinci. Antara istilah-istilah yang diguna pakai ialah tauhid merupakan sesuatu ilmu untuk menetapkan akidah yang didasarkan kepada dalil-dalil yang jelas dan terang. Kemudian ulama Mutakallimin atau ulama Tauhid pula menyatakan bahawa Tauhid membawa maksud suatu ilmu yang membahaskan Esa-Nya Allah dengan segala sifat-sifat yang wajib bagi-Nya dan segala sifat-sifat yang harus bagi Allah. Selain itu, ilmu ini juga membahaskan tentang kerasulan nabi yang diutuskan oleh Allah kepada manusia yang mencakupi sifat-sifat yang wajib, mustahil dan harus bagi rasul. Akhir sekali, secara konsepnya ilmu tauhid ini membawa istilah yang memandu manusia untuk mengakui bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Kemudian ianya disusuli dengan tindakan yang meliputi pengetahuan, pengakuan, penetapan dan keyakinan yang sebenar berpandukan dalil-dalil yang menyakinkan sama ada dalil akli mahupun dalil naqli .
3.0 Nama-nama lain bagi ilmu tauhid
3.1 Ilmu Usuluddin
Ia dinamakan ilmu Usuluddin kerana di dalam ilmu tersebut skop perbahasannya mencakupi perkara-perkara yang berkaitan dengan akidah yang merupakan asas utama dalam mengenali tuhan dan juga merupakan ilmu pokok kepada semua pentaklifan hukum syarak. Justeru, ilmu usuluddin ini membawa manusia ke arah mengenali tuhan yang Esa iaitu Allah dan mamandu manusia dalam membentuk tahap keimanan yang tinggi di sisi Allah serta rasul-Nya .
3.2 Ilmu Tauhid dan Sifat
Nama ini diberikan berikutan intipati atau kandungan ilmu ini berkisar tentang sifat-sifat Allah dari sudut hubungannya dengan zat, bahagiannya dan lainnya yang mengarah untuk mencapai matlamat mantauhidkan Allah dalam semua aspek. Ini berlaku berikutan sebahagian besar ilmu ini menceritakan tentang sifat-sifat tersebut dan secara tidak lansung membimbing manusia dalam mentauhidkan Allah dan mengakui tentang keEsaan-Nya. Justeru, ilmu ini jelas mempamerkan matlamat atau dasar utama dalam pembentukan iman yang suci dan kebenaran kepada agama yang benar dibawa oleh semua rasul yang diutuskan .
3.3 Ilmu Kalam
Nama ini juga dikenali dengan ilmu kalam berikutan dengan beberapa faktor yang telah digariskan oleh pengkaji ilmu tauhid. Antara faktor tersebut ialah terdapat beberapa masalah dan skop perbincangan yang terdapat di dalam ilmu tauhid ini yang mana ia telah menjadi perselisihan diantara ulama, seperti berkaitan dengan Kalam Allah, iaitu Al-Quran sama ada ia qadim atau makhluk. Ekoran daripada perselisihan itu juga seterusnya menyebabkan umat islam terbahagi kepada beberapa puak, golongan dan fahaman . Kemudian, terdapat di dalamnya juga skop yang membincangkan tentang kaedah penetapan dalil bagi asas dan dasar akidah yang sama dengan ilmu mantik. Oleh yang demikian, frasa kalam ini berkaitan dengan mantik yang ingin disampaikan dalam ilmu tersebut.
3.4 Ilmu Akidah
Frasa ini diambil berikutan skop perbincangan yang ingin disampaikan dalam ilmu ini berkisar tentang konsep pengangan terhadap yang Esa. Selain itu, ianya juga berhubungan terus dengan dasar kepercayaan seseorg terhadap agama Islam itu sendiri. Justeru, apa yang dikatakan tentang akidah ialah tentang fahaman-fahaman yang melanggari landasan kepercayaan yang telah digariskan dalam Islam. Kemudian, turut membincangkan sumber-sumber yang menjadi saluran dalam pembentukan akidah yang benar iaitu berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Soal-soal kepercayaan terhadap rukun iman dan islam turut dikupas bagi meletakkan asas kepercayaan yang kukuh dalam diri umat islam khususnya serta mencakupi peranannya dalam kehidupan individu dan masyarakat.
3.5 Ilmu Fiqhul Akbar
Nama ilmu fiqhul akbar ini telah dinamakan oleh Imam Abu Hanifah yang telah wafat pada pertengahan kurun kedua hijrah. Kalimah fiqh pada bahasa ialah pemahaman. Menurut al-Jarhani pada takrifnya iaitu ibarat daripada kefahaman matlamat percakapan daripada katanya. Adapun makna istilah fiqh pula ialah istinbat hukum-hukam amali dari dalil-dalil terperinci syara’. Abu hanifah telah mentafsirkan fiqhul akbar mengandungi fiqh amali dan fiqhul I’tiqad. Maka Abu hanifah berpendapat bahawa fiqhul Akbar ialah mengetahui dengan hukum-hakam syari’at I’tiqadiyyah daripada dalil-dalilnya bukan hukum-hakam amali .
3.6 Ilmu An-Nazor Wal Istidlal
Ilmu Tauhid juga dikenali dengan ilmu An-nazor Wal Istidlal seperti mana yang disebutkan oleh Syeikh Muhammad Yusuf Musa dalam pelajaran Tauhid . An-nazor ialah pemikiran dalam sesuatu perkara, iaitu menyusun maklumat yang telah lalu pada akal bagi menyampaikan kepada penuntut-penuntut yang tidak tahu. Dan sesungguhnya alamatnya dikhaskan pada penulisan kata-kata terdahulu dengan memasukkan ilmu ini dengan mengkhaskan hujah-hujah dan dalil-dalil selepas mensyarahkan makna ilmu, makrifat, dan cara sampai kepadanya. Ia adalah manhaj daripada ilmu kalam.
4.0 Skop Perbincangan Ilmu Tauhid
Perbahasan mengenai ilmu tauhid ini menyentuh mengenai beberapa perkara penting yang telah ditetapkan. Secara keseluruhannya, skop penbincangan ini tidaklah menyentuh mengenai perkara-perkara fiqh tetapi lebih cenderung kepada pegangan dan keimanan kita kepada Allah. Justeru, di sini perkara utama yang dibincangkan dalam ilmu ini ialah berkaitan dengan zat AllahSWT dari segi sifat-sifat yang wajib, mustahil dan harus bagi-Nya. Kemudian ilmu ini juga turut membincangkan mengenai zat rasul-rasul dari segi sifat-sifat yang wajib, mustahil dan harus bagi-Nya. Selain itu, ilmu ini juga mengupas perkara yang berkaitan dengan segala kejadian didunia ini merangkumi jirim-jirim dan aradh-aradh, yang secara tidak langsung perkara tersebut menjadi pentunjuk serta panduan atas kewujudan Allah yang menciptakan segala perkara tersebut. Akhir sekali, ilmu tauhid ini turut membahaskan perkara yang menjadi tunggak kepercayaan kita terhadap perkhabaran para rasul iaitu utusan Allah mengenai hal-hal yang berkaitan dengan hari kiamat, syurga, neraka, titian sirat dan sebagainya , semua perkara tersebut tidak dapat menjangkaui asas pemikiran manusia terhadap perkara-perkara yang berada diluar batasan pemikiran manusia .
5.0 Kepentingan Mempelajari Ilmu Tauhid
Ilmu tauhid merupakan suatu perkara pokok dalam mengenali Allah dan perkara-perkara yang berkaitan dengan keimanan kita terhadap-Nya. Justeru terdapat pelbagai yang faedah yang bakal kita perolehi sekiranya ilmu ini dimanfaatkan dengan sebaik mungkin tanpa sebarang penyelewengan dan bagi sesiapa yang mendalami ilmu ini secara terperinci pasti dapat mendekatkan diri kita kepada Allah disamping meningkatkan tahap keimanan kita. Kemudian antara lain ilmu tauhid ini sebenarnya mampu mengemudi hati kita terhadap pegangan akidah yang benar .Maksud frasa akidah yang benar disini dapat diertikan dengan kekuatan diri kita mengakui serta mempercayai kewujudan Allah bersama sifat-sifatNya yang sudah termaktub di dalam Al-Quran serta Sunnah Rasulullah SAW. Akidah yang benar ini secara tidak langsung mengelakkan diri kita daripada penyelewengan yang bertentangan dengan landasan syariat islam.
Akidah sebenarnya mampu membentuk diri manusia di dunia dan akhirat, kerana di bawah akidah ini terdapat nikmat Islam dan Iman . Secara tidak langsung manusia melengkapkan diri dengan kepercayaan terhadap Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari kiamat dan qada dan qadar. Dengan penerapan nilai keimanan dalam ilmu akidah ini mampu mengubah tingkah laku manusia ke arah yang lebih positif seperti bersifat sabar, mengasihi sesama makhluk, mengeratkan silaturrahim dan sebagainya . Ini jelas menunjukkan nilai tersebut mampu menggabungkan perbuatan kita dengan tatacara kehidupan yang berlandaskan syariat di samping menguatkan keimanan kita terhadap perkara-perkara yang diluar batasan yang telah ditetapkan oleh Islam itu sendiri. Selain itu, mempelajari ilmu akidah dengan mendalam dan lebih luas merupakan fardhu kifayah, maka gugurlah fardhu kifayah tersebut jika salah seoarang di dalam sesuatu komoniti itu mempelajarinya bagi menyampaikan kepada golongan yang jahil dalam bidang tersebut supaya masyarakat lebih gembira dalam menanam sifat kecintaan terhadap Allah. Antara kepentingan lain memepelajari ilmu tauhid ialah dapat menjaga iman dan diri supaya selamat di dunia dan akhirat.
Jika kita sebagai muslim tidak mempelajari ilmu akidah, maka kita belum dikira orang Islam kerana akidah merupakan aspek penting dan juga asas kepada mengenal Allah. Ini bersesuaian dengan sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu:
“ Seawal-awal agama adalah Mengenali Allah”
5.1 Hukum Bertaqlid di dalam Akidah
Persoalan mengenai bertaqlid di dam akidah telah menjadi perbahasan ulama’ dalam Usuludin. Mereka telah bersepakat bahawa apabila seseorang bertaqlid mengenai akidah, maka batal akidahnya daripada akalnya . Dan ia mendapat celaan juga oleh syara’. Sesungguhnya Allah telah mencela taqlid dan orang yang bertaqlid di dalam akidah.
Ini dapat dilihat melalui Firman Allah iaitu:
“ Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak langkah mereka”
Jadi berdasar dalil tersebut juga kami berpendapat taqlid di dalam mempercayai akidah adalah tidak boleh bagi umat Islam kerana akidah adalah satu-satunya perkara yang amat penting dan perlu diamati oleh individu muslim serta dipegang dengan kukuh.
6.0 Sejarah dan Perkembangan Ilmu Akidah
6.1 Akidah pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
Sesungguhnya manusia telah masuk dalam agama Islam beramai-ramai pada zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Dan mereka telah mendengar baginda Sallallahu Alaihi Wasallam disifatkan oleh Tuhan dengan sifat di dalam Al-Quran. Lalu mereka yang mendengar terus beriman dengannya. Dan tiada sampai daripada mereka bertanya kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam tentang persoalan mengenai sesuatu perselisihan sifat-sifat Tuhan kecuali selepas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah wafat. Maka ketika itu bermulalah berlaku banyak perselisihan besar di antara muslimin .
6.2 Akidah pada Zaman Sahabat Radhiallahu Anhum
Justeru, apa yang dimaksudkan dengan sahabat pada bab ini ialah Khulafa’ Ar-Rasyidun. Sesungguhnya urusan akidah pada zaman mereka adalah seperti pada zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam . Maka sesungguhnya sahabat-sahabat talah berjalan mengikut jejak langkah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam daripada kepentingan dengan perintah Allah dan meninggalkan apa yang dilarang oleh-Nya, iaitu lebih memberi perhatian ke arah hukum-hukum amali. Mereka tidak memandang luas kepada urusan-urusan I’tiqadiyyah. Dan apabila terdapat perkara-perkara baru yang timbul, maka mereka merujuk kepada kepada Kitab Allah dan Hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam jika didapati perkara yang ingin dicari. Apabila tidak didapati, maka mereka merujuk kepada pendapat-pendapat perseorangan atau melalui musyawarah sehingga tenang hati mereka kepada pendapat tersebut dan mereka patuh kepadanya.
6.3 Akidah pada Masa Pemerintahan Bani Umayyah
Setelah berhenti umat Islam dari usaha-usaha mempertahankan kedaulatan Islam. Telah terbuka masa untuk memikirkan hukum-hukum agama dan dasar-dasar akidah. Pada masa itu juga terdapat ramai yang memeluk agama Islam daripada agama-agama lain, tetapi mereka masih terpengaruh dengan unsur-unsur agama lama mereka. Maka telah lahirlah kebebasan berbicara tentang masalah-masalah yang didiamkan oleh ulama’ salaf iaitu memperkatakan mengenai masalah qadar. Contohnya seperti Ma’bad Al-Juhani , Ghailan Ad-Dimasyqi , dan Ja’ad ibnu Dirham . Mereka ini adalah tokoh-tokoh qadariyyah yang pertama. Para sahabat yang dapat hidup sezaman dengan mereka seperti Abdullah ibnu Umar, Ibnu ‘Abbas, Anas bin Malik, Jabir bin Abdullah, Abu Hurairah, dan sahabat-sahabat lain menyalahkan mereka, serta menganjurkan masyarakat menjauhi dari mereka, jangan memberi salam, jangan menengok orang yang sakit dari kalangan mereka, serta jangan menyembahyangkan jenazah mereka.
Demikian pula muncul dalam fasa ini orang-orang yang mentiadakan qudrat dan iradat dari manusia, agar Allah tidak mempunyai sekutu dalam sesuatu perbuatan-Nya dan menidakkan pula sifat-sifat daripada Allah. Golongan ini dikendalikan oleh Jaham ibnu Shafwan . Mereka ini dinamakan Jabariyyah atau Mujrabah. Dikatakan demikian adalah kerana mengingat akidah yang mereka anut. Dan dikatakan juga Jahmiyyah iaitu pengikut-pengikut Jaham ibnu Shafwan. Mereka juga dinamakan Mu’aththilah kerana mereka mentiadakan sifat-sifat Allah.
Sebahagian umat Islam yang berbuat maksiat beralasan untuk membenarkan perbuatan dan tindakannya dengan qadar. Seorang berkata kepada Ibnu Umar, ada segolongan manusia berzina, mencuri, meminum arak, membunuh orang, kemudian berhujah bahawa mereka berbuat demikian itu adalah kerana itu adalah qadar yang telah ditetapkan oleh Allah. Setelah Ibnu Umar mendengar pernyataan tersebut, beliau marah dan mengatakan: “Maha Suci Allah, ilmu Allah tidak mendorong mereka kepada berbuat maksiat”.
Di penghujung abad pertama hijrah terkenallah dalam masyarakat mazhab-mazhab golongan Khawarij iaitu mengkafirkan orang yang mengerjakan dosa besar.
Hassan Al-Basri menetapkan pendapat yang menjadi anutan umum ummat Islam iaitu orang yang mengerjakan dosa besar dipandang fasiq, tidak keluar dari gelanggang mukmin. Pendapat Hassan ini dibantah keras oleh muridnya Wasil bin atha’ , dia ini mengatakan bahawa orang yang mengerjakan dosa besar berada di antara dua tempat. Pendapatnya diikuti oleh ‘Amar ibnu ‘Ubaid . Oleh kerana mereka mengasingakan diri dari majlis gurunya (Hassan) dari pendapat umum, maka mereka dinamakan dengan nama Mu’tazilah.
Oleh kerana golongan Qadariyyah dan Jahmiyyah tidak dapat berdiri sebagai satu kumpulan, maka kedua-dua kumpulan itu adalah fahaman sahaja. Maka Qadariyyah telah berpindah kepada nama Mu’tazilah. Golongan mu’tazilah tidak menerima nama “mu’tazilah”, malah mereka sendiri mengelarkan diri mereka sebagai Ahlul ‘Adli wat Tauhid. Dikatakan mereka menamakan dengan nama demikian kerana mereka menetapkan bahawa hamba ini mempunyai qudrat, bebas aktif dalam segala tindakannya. Mereka juga percaya segala amalan mesti dipahalai dan diseksa. Mereka menidakkan adanya kezaliman Allah (mansucikan Allah dengan sifat Adil). Mereka juga menetapkan bahawa tiada sifat daripada Allah agar zat-zat Allah tidak tersusun dari zat dan sifatNya supaya Allah benar-benar Esa .
-------------------------------------------------------------------------------------
Ma’bad ibnu Khalid Al-Juhani adalah seorang tabi’in. Dia adalah permulaan orang yang memperkatakan masalah qadar dan menurut riwayat, dia mengambil fahaman itu dari seorang Iraq yang beragama Nasrani yang kembali murtad sesudah Islam. Ma’bad telah dibunuh oleh Al-Hajjaj lantaran turut memberontak bersama-sama Ibnul Asy’ats pada tahun 80 hijrah.
Ghailan Ad-Dimasyqi ialah Abu Marwan Ghailan ibnu Muslim. Ayahnya seorang budak yang telah dimerdekakan oleh Uthman bin ‘Affan. Dia datang ke Damasqus dalam masa pemerintahan Hisyam ibnu Malik. Dia adalah seorang yang sangat pandai berbicara. Dia mengikut Ma’bad dalam fahaman Qadar.
Ja’ad ibnu Dirham ialah seorang pendidik Marwan ibnu Muhammad. Dia salah seorang yang menganut fahaman qadar dan orang yang mula-mula mengatakan Al-Quran itu makhluk. Dia dibunuh oleh Khalid ibnu Abdullah Al-Qasri dalam pemerintahan Hisyam bin Abdul Malik.
Jaham ibnu Shafwan ialah seorang persia yang memeluk agama Islam. Lama dia bermukim di Kufah, dia bertemu dengan Ja’ad dan menganuti beberapa pendapatnya. Kemudiannya dia bersama-sama dengan Harith ibnu Syuraij melancarkan pemberontakan terhadap bani Umayyah di Khurasan. Lalu tertawan dan dibunuh. Kemudian Al-Harith pula dibunuh pada 128 hijrah.
Hassan Al-Basri ialah Abu Sa’id al-Hassan ibnu Dinar ibnu Yasar Al-Basri. Seorang tabi’in terkenal. Beliau merupakan Imam penduduk Basrah dan seorang ulama’ fuqaha’ yang terkemuka. Lahir di Madinah dan dibesarkan dibawah asuhan ‘Ali bin Abi Talib. Wafat pada tahun 110 hijrah.
Wasil bin Ata’ adalah seorang ulama’ berbangsa persia. Dia dilahirkan di Madinah pada tahun 80 hijrah. Kemudian dia berpindah ke Basrah dan belajar dengan Hassan Al-Basri. Kemudiannya dia mengasingkan diri dari majlis gurunya lantaran perbezaan fahaman lalu membentuk majlisnya sendiri. Dia terkenal sebagai ahli pidato yang terkemuka dan sangat pandai dalam berdebat membantah pendapat orang. Wafat pada 131 hijrah.
‘Amar ibnu Ubaid adalah seorang yang berbangsa persia dari muri-murid Hassan Al-Basri, kemudiannya dia memilih untuk mengasingkan diri. Dia mengahwinkan saudara perempuannya dengan Wasil bin Ata’. Wafat pada tahun 144 hijrah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan