DONATE

Khamis, 17 Julai 2008

FIQH MUAMALAT – BAB AL-AHLIYYAH



2.1 PENGENALAN MENGENAI AQAD
Aqad adalah salah satu cara pemilikan atau satu cara perpindahan hak milik kepada individu kepada individu yang lain. Melalui cara itu dapat membuktikan atau mengambarkan keredhaan di antara penjual dan pembeli barang.
Takrif aqad mengikut bahasa ialah suatu ikatan atau simpulan. Menurut jumhur fuqaha’, istilah pula aqad ialah ikatan satu atau dua pihak. Menurut mazhab hanafi: aqad ialah ijab dan qabul.

Rukun akad ada dua iaitu:

2.1.1 Ijab: iaitu pernyataan permulaan
2.1.2 Qabul: iaitu pernyataan balas.

Menurut Mazhab Hanafi, siapa yang memulakan dahulu (memberi respon) dahulu, maka itu adalah ijab. Dan qabul pula adalah selepasnya.

Menurut Imam Syafi’e dan Imam Malik, siapa yang ada miliki barang yang ingin dijual. Maka itulah ijab. Manakala Qabul pula yang menerima barang tersebut.
Adapun pembuat aqad hendaklah disyaratkan dengannya ahliyyah tasaruf mestilah baligh, berakal, mendapat keizinan baginya, pandai memilih, dan bukan mahjur ‘alaih .

Syafi’ieyah dan Hanabilah telah berselisih dalam pengesahan aqad kanak-kanak mumayyiz dan safih apabila dengan izin wali mereka. Al-Hanabilah telah berhujah bagi mezhab mereka bahawa telah diberikan hak kanak-kanak ikhtibar dengan melakukan jual beli. Menurut pendapat Hanafiah dan Malikiyyah kepada sahnya aqad mumayyiz dan mahjur ‘alaih tetapi tak semestinya dengan izin wali .

Demikian itu bersepakat jumhur Hanafiah, malikiyyah, dan sebahagian Hanabilah atas sahnya aqad mumayyiz dan mahjur ‘alaih, kecuali Al-Hanabilah mensyaratkan izin wali sebelum aqad. Adapun kanak-kanak yang bukan mumayyiz adalah tak sah.

Menurut Ibnu Qudamah, sesungguhnya mensyaratkan pada pembuat aqad mestilah boleh tasaruf (berbelanja) iaitu baligh rushd. Bagi kanak-kanak dan safih, maka sah tasarufnya dengan izin wali kedua-duanya. Dan haram berbelanja untuk bukan maslahah walaupun dengan keizinan wali kedua-duanya. Tidak sah dari kalangan mereka (kanak-kanak dan safih) menerima wasiat dan hibah. Dan sah jika menerima bagi kanak-kanak mumayyiz mendapat hadiah .

Daripada majalah hukum-hakam syari’ah mazhab Al-Imam Ahmad bin Hanbal mengatakan bahawa tidak sah aqad jual beli kecuali sesiapa yang boleh tasaruf. Maka tidak sah daripada gila mutlak, orang yang muflis, kanak-kanak, dan safih .

3.0 TA’RIF AL-AHLIYYAH

Al-Ahliyyah boleh didefinasikan dari segi bahasa dan istilah:

a) Bahasa
Al-ahliyyah dari segi bahasa ialah kelayakan, keahlian. Ia berasal dari perkataan ahl, iaitu orang yang layak atau berkeahlian dalam sesuatu perkara.

b) Istilah
Al-ahliyyah dari sudut istilah ialah kelayakan seseorang untuk menerima segala hak dan tanggungjawab yang disyariatkan keatasnya.

Menurut Doktor Wahbah Az-Zuhayli, al-Ahliyyah dari sudut istilah ialah kelayakan individu bagi mensabitkan penerimaan hak-hak yang disyariatkan baginya, kewajipan ke atasnya, dan sihat atau sah tasaruf daripadanya .

Menurut Doktor Abdul Razaq Hassan, al-Ahliyyah dari sudut istilah ialah keahlian individu bagi mendapatkan hak-hak dan membawa kepada kesungguhan serta membangunkan secara langsung tasaruf (perbelanjaan) yang daripada urusan-urusannya mendapatkan hak-hak .

Jadi dapat kami rumuskan pengertian Al-Ahliyyah ialah keahlian individu untuk menerima tanggungjawab bagi mendapatkan hak-haknya dalam menguruskan urusan-urusan perbelanjaannya (tasaruf).

4.0 PERINGKAT KEHIDUPAN MANUSIA

4.1 JANIN
Janin merupakan satu peringkat permulaan manusia dalam kandungan sehingga dilahirkan. Dan padanya disabitkan Ahliyyah wujub naqisah (keahlian wajib yang tak sempurna). Baginya bukan ahliyyah al-ada’ dan tiada tanggungjawab (dzimmah) terhadap harta .

4.2 KANAK-KANAK BELUM MUMAYYIZ
Peringkat belum mumayyiz merupakan peringkat selepas dilahirkan sehingga peringkat hampir mumayyiz. Dan padanya sabit Ahliyyah wujub sempurna (kamilah). Maka berhak pada hak-hak dan kewajipan. Dan baginya juga sebahagian perbelanjaan dari keseluruhan harta. Dia mempunyai tanggungjawab sempurna. Bukanlah baginya ahliyyah al-ada’ (melaksanakan), akadnya adalah batal walaupun ianya mempunyai manfaat seperti menerima hibah dan wasiat. Tidak sah bertasaruf kanak-kanak yang belum mumayyiz dan jika ada izin dari walinya .

4.3 KANAK-KANAK MUMAYYIZ
Mumayyiz merupakan satu peringkat kanak-kanak yang dapat memahami percakapan dan membalasnya dan dapat membezakan antara baik dan buruk. Ia merupakan perkara subjektif bagi individu. Namun kebanyakan fuqaha’, mereka meletakkan asas mumayyiz linkungan tujuh tahun .

4.4 BALIGH
Baligh merupakan satu peringkat sampai umur dan berakal. Tanda-tanda semula jadi peringkat baligh sama ada yang tertentu bagi lelaki dan perempuan atau mencapai umur 15 tahun di sisi jumhur. Terdapat hadis Nabi Sallahu Alaihi Wassalam:
Terjemahan: “Diangkat kalam daripada tiga iaitu; daripada orang gila sehingga dia sembuh (berakal), daripada tidur sehingga dia terjaga, dan daripada kanak-kanak sehingga dia bermimpi (baligh)”
Berkenaan dengan hadis tersebut, para fuqaha’ bersepakat mengatakan bahawa seseorang yang sudah baligh adalah dipertanggungjawabkan dengan semua kewajipan-kewajipan syara’. Orang yang baligh juga mempunyai keahlian untuk menunaikan kewajipan agama. Dia dituntut beriman dengan enam perkara di dalam rukun iman dan menjalankan rukun Islam yang lima. Dia juga dituntut melaksanakan hukum-hukum syara’ yang lain terdiri daripada menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran, berjihad ke jalan Allah, menghormati harta, jiwa, dan lain-lain.
Dalam bidang sivil pula, menurut ahli fiqh, seseorang itu mempunyai kelayakan yang sempurna untuk menjalankan tugas. Hal ini adalah apabila dia sudah mencapai umur matang berlainan dengan undang-undang. Dengan kematangan ini segala urusniaga atau tindakannya adalah terlaksana. Harat kepunyaannya hendaklah diserahkan kepadanya. Jika dia belum matang, maka urusniaga atau tindakan adalah tidak terlaksana.
Harta tersebut tidak boleh diserahkan kepaadanya sebab syara’ menganggap “baligh” sebagai tanda kesempurnaan akal. Jika disabitkan sebaliknya, maka ia boleh diamalkan.

4.5 RUSHD
Rushd merupakan suatu peringkat peralihan manusia dalam mencapai kecerdikan dan kematangan selepas baligh. Ertinya di sisi ahli fiqh ialah pandai mentadbir harta dari sudut dunia walaupun ia seorang yang fasiq pada pandangan agama. Kematangan berlaku apabila ada kepandaian mentadbir harta dan pandai menanam modal. Kematangan ini adalah suatu perkara yang berbeza menurut perbezaan orang dari segi suasana dan ilmu.
Kadang-kadang kematangan (ar-rushd) itu datang bersama dengan baligh. Kadang kala lebih lambat dan kadang kala lebih cepat daripada baligh. Tetapi kematangan yang berlaku sebelum baligh tidak dikira. Latihan dan ujian hendaklah dibuat bagi menentukan ada tidaknya kematangan. Ini adalah berdasarkan firman Allah Ta’ala:
Terjemahan: Dan ujlah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudiannya jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya …

Berdasarkan ayat ini, jika seseorang itu baligh dan matang, maka kelayakannya menjadi sempurna. Penjagaan ke atasnya (oleh wali) adalah terhenti, hartanya diserahkan kepadanya dan segala urusan, tindakan dan ikrarnya adalah terlaksana.
Sebaliknya, jika seseorang itu baligh tetapi tidak matang, maka dia tetap tidak mempunyai kelayakan menjalankan tugas yang sempurna. Pada pandangan kebanyakan ulama’, penjagaan atau pengawasan harta ke atasnya tetap berterusan, pengurusan hartanya tidak terlaksana dan hartanya tidak boleh diserahkan kepadanya. Walau bagaimanapun, pengawasan ke atas dirinya seperti pendisiplinan, pengubatan, pengajaran, dan perkahwinan adalah tamat sebaik sahaja dia baligh dan berakal.
Ertinya syarat “matang” hanya khusus kepada pengurusan harta, tetapi dalam tindakan lain seperti perkahwinan dan penceraian ia terlaksana sebaik sahaja tercapai umur baligh dan berakal.

Abu hanifah tidak menyetujui pendapat ini. Dia mengatakan: “jika seseorang itu sudah baligh dan berakal tetapi belum matang, kelayakannya juga telah sempurna dan pengawasan ke atasnya telah tamat. Ini adalah sebagai menghormati keinsanan dan memelihara kemuliaannya. Walau bagaimanapun untuk langkah pengawasan dan latihan, janganlah diserahkan harta kepadanya. Langkah ini diambil bukan atas dasar menahannya (al-hijr). Sebab Abu Hanifah tidak berpendapat bahawa orang yang membazir itu perlu ditahan daripada mentadbir harta. Penahanan hartanya tamat sama ada dia menjadi matang atau mencapai umur 25 tahun .

Mengikut kebanyakan ulama’ tidak ada umur tertentu untuk kematangan. Soal ini terpulang kepada persediaan seseorang, suasana, dan pendidikannya. Tidak ada nas syara’ yang menetapkan.

5.0 Al-Ahliyyah boleh dibahagikan kepada dua jenis:

5.1 Al-Ahliyyah al-Wujub; ia terbahagi kepada dua bahagian pula iaitu :

1.Ahliyyah al-Wujub al-Kamilah

2.Ahliyyah al-Wujub al-Naqisah

5.2 Ahliyyah al-Ada’; ia juga terbahagi kepada dua bahagian pula iaitu:
1.Ahliyyah al-Ada’ al-Kamilah
2.Ahliyyah al-Ada’ a l-Naqisah
Sebelum membincangkan kedua-dua jenis Ahliyyah ini adalah lebih baik kita memahami terlebih dahulu tentang peringkat atau tahap perkembangan kehidupan manusia kerana ia berkait rapat dengan jenis dan peringkat al-ahliyyah.

5.1 Ahliyyah al-Wujub

Iaitu kelayakan seseorang bagi kemestian atau keahlian individu bagi mensabitkan hak-hak baginya seperti hak-hak nilai .
Ahliyyah ini merupakan kehidupan atau sifat kemanusiaan , maka setiap insan semasa janin dalam perut ibunya baginya ahliyyah al-wujub .
Asasnya ialah kehidupan ataupun diistilahkan oleh fuqaha’ dengan zimmah iaitu tanggungan yang dikenakan kerana wujud atau hidupnya mereka.Oleh demikian semua peringkat manusia termasuk janin, kanak-kanak, orang gila, dan sebagainya mempunyai kelayakan ini selama mana mereka hidup kerana yang diperkirakan ialah kehidupan mereka, bukan akal mereka. Jadi unsur yang diambil kira ialah unsur fizikal bukan mental .

Ahliyyah Wujub terbahagi kepada dua:

5.1.1. Ahliyyah al-Wujub al-Kamilah

Iaitu kelayakan individu bagi mensabitkan hak-hak menerima yang sempurna. Berbeza dengan Naqisah dari sudut penerimaan haknya kerana terus menerus tanpa tergantung dengan keadaan tertentu. Peringkat manusia yang sabit dengan kelayakan ini ialah bayi yang baru dilahirkan sehingga akhir hayatnya.

Ada dua pendapat Fuqaha’ mengenai wujud perbatasan kelahiran padanya. Maka Al-Hanafiah telah berpendapat: sabit penyertaan ahliyyah al-wujub dengan jelas kesan janin itu hidup . Dan pendapat ini diambil oleh undang-undang moden Syria.
Adapun hak pensabitan bagi kanak-kanak selepas lahir, maka terhasil baginya keputusan tasaruf keseluruhan wasiat dibuat dan dijaga oleh walinya. Adapun kesungguhan terhadap kewajipan juga atas kanak-kanak, maka setiap apa yang dilakukan olehnya daripada hartanya adalah sesuatu dari hak-hak Allah dan hak-hak hamba iaitu:

1. Penggunaan harta dalam perbuatan moden seperti harga pembelian dan sewaan.
2. Cukai harta bagi negara.
3. Mengingati masyarakat dengan menolong seperti nafkah kerabat, orang susah, dan zakat fitrah menurut pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Abu Yusuf. Zakat harta menurut jumhur Fuqaha’ selain Al-Hanafiah adalah afdhal untuk kemaslahatan rakyatyang terdiri daripada orang fakir, orang yang memerlukan wang, dan masyarakat.

Adapun Al-Hanafiah tidak mewajibkan zakat pada harta kanak-kanak kerana menganggap ia ibadah harta. Dan kanak-kanak tidak boleh taklif agama kecuali selepas baligh.
Hendaklah diingatkan bahawa Ahliyyah Al-Wujub walaupun sempurna (kamilah), bukan baginya kesan pada urusan-urusan akad. Maka perbelanjaan daripada kanak-kanak yang bukan mumayyiz walaupun sehingga mendapat manfaat seperti mendapat hibah atau wasiat, maka ia dianggap batal kerana dianggap terbuang (mulghah). Demikian itu sama seperti tidak wajib kanak-kanak yang belum mumayyiz daripada ibadat-ibadat agama seperti berpuasa, solat, dan zakat.

5.1.2. Ahliyyah al-Wujub al-Naqisah.

Iaitu kelayakan menerima hak yang tidak sempurna. Kelayakan seseorang individu bagi mensabitkan hak-hak baginya sahaja iaitu mestilah pasti. Dalam erti kata lain, hendaklah sabit bagi janin itu wujud dalam perut ibunya sebelum dilahirkan .Bagi masalah harta ia hanya akan berlaku pada hak-hak yang tidak memerlukan qabul seperti warisan, wakaf, dan wasiat. Tidak sabit dengan hak yang memerlukan qabul seperti jual beli, hibah, sewaan, dan sebagainya. Peringkat manusia yang hanyalah yang ada kelayakan ini ialah janin iaitu hak tersebut sabit semasa ia dikandung tetapi penerimaan tergantung sehingga ia dilahirkan hidup barulah diserahkan.
Sebab Naqisnya (kurangnya) keahliannya ada dua perkara :

1. Ia (janin) dapat daripada sudut tempoh juzu’ ibunya.
2. Dan daripada sudut lain, tempoh ia (janin) membentuk manusia sedikit sahaja dari perut ibunya. Ia menjadi bentuk tersebut sebelum ia berpisah dari perut ibunya dan sempurna kejadiannya.

Maka sabit baginya tidak memerlukan kepada penerimaan empat jenis daripada sesetengah hak-hak keperluan (daruriy) manfaat iaitu:
1. Nisbah daripada ibu bapanya
2. Perwarisan daripada pewaris terdekat, maka terhenti baginya nisbah besar atas takdir ia membentuk lelaki atau perampuan.
3. Hak-hak wasiat oleh pewasiat baginya.
4. Hak-hak khas daripada wakafnya.

Tetapi hak-hak harta tiga terakhir bukan pemilikan bagi janin, bahkan terhenti atas kelahirannya hidup. Maka jika setelah lahirnya dia, maka sabit baginya pemilikan bersandarkan kepada waktu wujud sebabnya iaitu kesan raj’ie. Dan jika kelahiran dia mati, maka tertolak pemilikan yang berhak baginya.

5.2 Ahliyyah Al-Ada’

Iaitu kelayakan melaksanakan atau menunaikan pengurusan syariah. Iaitu pengurusan yang memberikan kesan hukum-hukum; sah dan batal, halal dan haram. Jenis ini juga adalah kelayakan seseorang bagi melaksanakan perbuatan atau perkataan darinya atas bentuk yang ditetapkan oleh syara’ yakni mestilah layak mendapat hak-hak dan kewajipan .

Ahliyyah al-ada’ pada kelayakan seseorang dalam membangunkan perbelanjaan dan mempunyai kemampuan di sisi syara’. Jenis ini adalah daripada keahlian pengaruh tahun. Tidak menjadi ahliyyah al-ada’ bagi kanak-kanak yang bukan mumayyiz yang tidak sampai umur tujuh tahun kerana akalnya masih mentah dan lemah. Tidak sah berjual beli dengannya dan segala perbelanjaannya adalah batal .

Asasnya ialah akal. Iaitu unsur mental diambil kira di sini. Ia terbahagi kepada dua juga:

5.2.1 Ahliyyah al-Ada’ al-Naqisah

Iaitu kelayakan melaksanakan yang tidak sempurna. Iaitu kelayakan melaksana sesuatu pengurusan atau tindakan yang diberikan tetapi tidak kesemuanya (iaitu sesetengah perbelanjaan sahaja daripada sesetengah yang lain) boleh dilaksanakan secara bersendirian, ia mesti bergantung dengan pihak yang lain iaitu wali.
Al-ahliyyah jenis ini mensabitkan bagi individu pada peringkat mumayyiz selepas cukup tujuh tahun. Mereka ada kelayakan menerima yang sempurna tetapi kelayakan melaksanakan tidak sempurna.

Tasarrufnya terbahagi kepada tiga keadaan berdasakan manfaat dan kemudaratan yang boleh berlaku:

a. Akad yang boleh dilaksanakan secara bersendirian tanpa memerlukan wali sekiranya ia hanya mendatangkan manfaat dan tiada risiko kepadanya seperti menerima hibah dan sedekah.

b. Akad yang tidak boleh dilaksanakan meskipun dengan keizinan wali sekiranya ia hanya membawa kepada kemudaratan seperti mendermakan hartanya dan juga menceraikan isteri.

c. Akad yang perlu keizinan wali apabila ada risiko atau kebaikan dan kemudaratan sama banyak seperti jual beli, mudharabah, dan lain-lain.
Dan telah berpecah bagi mumayyiz dengan nisbah antara hak-hak Allah dan hak-hak hamba iaitu:

1. Adapun hak-hak Allah, maka sah daripada kanak-kanak mumayyiz seperti iman dan kufur, solat, puasa dan haji.

2. Tetapi tidak menjadi mesti dengan menunaikan ibadat kecuali atas bentuk ta’dib dan tahzib.

3. Adapun hak-hak hamba disisi Syafi’ie dan Ahmad ialah tempoh aqad kanak-kanak dan perbelanjaan adalah batal. Adapun disisi Al-hanafiah mengatakan bahawa tasaruf harta terbahagi kepada tiga iaitu:

a. Memberi manfaat
b. Memberi kemudaratan
c. Memberi manfaat dan kemudaratan

5.2.2 Ahliyyah al-Ada’ al-Kamilah

Iaitu kelayakan melaksanakan yang sempurna. Iaitu kelayakan melaksanakan sesuatu pengurusan atau tindakan adalah bebas mengikut kehendaknya serta mempunyai pembangunan mental yang penuh , meskipun ada risiko dia sendiri yang akan menanggungnya. Kelayakan ini diberikan pada peringkat baligh dan rushd.
Bukan itu saja, ahliyyah al-ada’ al-kamilah juga merupakan kelayakan seseorang melangsungkan perbelanjaannya atas bentuk berkaitan dengan syara’ tanpa berhenti pada pandangan lain. Dan disabitkan juga bagi sesiapa yang telah baligh mimpi berakal iaitu baligh rashid. Maka baginya wajib bertanggungjawab setiap aqad.
Baligh itu terjadi atau terhasil dengan jelas tanda-tanda daripada alamat semulajadi seperti mimpi lelaki (iaitu keluar mani) dan datang tempoh bulan (haidh) bagi perempuan. atau cukup 15 tahun di sisi jumhur selain Abu Hanifah bagi setiap pemuda dan pemudi.

Kadar Abu Hanifah mengenai tahun baligh ialah 18 tahun bagi pemuda dan 17 tahun bagi pemudi. Menurut Imam Malik pula kedua-duanya cukup 18 tahun dan sedikit pendapat mengatakan 17 tahun dan masuk dalam 18 tahun .

Jika digandingkan peringkat kelayakan ini dengan perkembangan hidup manusia, maka dapatlah dirumuskan seperti jadual di bawah ini:

PERINGKAT KEHIDUPAN PERINGKAT KELAYAKAN

Janin Ahliyyah al-Wujub al-Naqisah

Kanak-kanak yang belum mumayyiz Ahliyyah al-Wujub al-Kamilah
Mumayyiz Ahliyyah al-Wujub al-Kamilah dan Ahliyyah al-Ada’ al-Naqisah
Baligh dan Rushd Ahliyyah al-Wujub al-Kamilah dan Ahliyyah al-Ada’ al-Kamilah


6.0 HALANGAN-HALANGAN AL-AHLIYYAH

Di dalam Al-Ahliyyah terdapat beberapa halangan (‘Awarid Al-Ahliyyah) yang boleh menghilangkan kelayakan. Kewujudannya akan menghalang seseorang dari membuat transaksi dan menguruskan harta dalam beberapa keadaan tertentu.Halangan terbahagi kepada dua bahagian:

1. ‘Awarid Samawiyah (halangan semulajadi): iaitu yang tiada bagi seseorang itu dalam mendapatkan ikhtiar dan memperoleh.

2. ‘Awarid Muktasabah (halangan yang diperoleh): iaitu yang menjadi bagi seseorang telah masuk dan ikhtiar pada penghasilannya.

‘Awarid Samawiyah banyak berubah seperti gila, ‘atah, al-ighma’, tidur, dan sakit maut.

‘Awarid Muktasabah seperti mabuk, safih, dan hutang.

Gila: ialah hilang akal berkembang darinya kegoncangan. Dan hukumnya sama ada ia berterusan atau putus-putus, maka tiada keahlian atau kelayakan dalam hal wujudnya . Maka menjadi perbelanjaan (tasaruf) orang gila dari segi perkataan atau perbuatan seperti bukan mumayyiz dan batal serta tiada kesan perbelanjaan itu . Orang yang gila juga terlepas daripada hukuman jenayah kerana tiada akal .

Al-‘atah: ialah kurang atau lemah pada akal, darinya berkembang lemah dalam pemikiran dan kesedaran. Seseorang itu pada masa dia bercakap seperti berfikiran waras dan seperti insan normal, kadang-kadang keadaan dia seperti orang yang sangat marah. Mindanya seperti kanak-kanak . Orang yang terencat akal ini juga bercampur aduk dalam berkata-kata. Dan yang membezakan terencat akal dari gila ialah padanya tidak memukul, tidak merayau, dan tidak mencium sesuka hati.

Hukumnya sama seperti hukum kanak-kanak yang mumayyiz iaitu tergolong dalam ahliyyah al-ada’ naqisah pada tasaruf dan aqad-aqad .
Penyakit ini terbahagi kepada dua:

a) Terencat akal yang serius, iaitu orang yang mengalaminya akan kehilangan daya sedar dan daya faham sama sekali. Keadaan orang ini sama seperti gila.

b) Terencat akal yang tidak serius, iaitu orang yang mengalaminya masih mempunyai daya sedar dan dapat membezakan antara sesuatu perkara dengan perkara yang lain. Bagaimanapun, daya sedarnya itu tidak sama dengan orang yang normal. Orang yang terencat akal secara serius tidak mempunyai kelayakan untuk melaksana kerana asas penting bagi kelayakan ini iaitu akal dan tamyiz tidak ada. Walau bagaimanapun, kelayakannya untuk menerima tetap ada.

Orang yang terencat akal secara tidak serius masih memiliki kelayakan untuk melaksana secara tidak sempurna, sama seperti kanak-kanak yang mumayyiz. Segala kewajipan atau hak yang semestinya dilaksanakan sendiri seperti solat, puasa, dan sebagainya tidak wajib dilaksanakannya. Sementara hak dan kewajipan yang boleh dibuat oleh orang lain sebagai ganti tetap dianggap wajib ke atasnya. Begitu juga dengan urusan yang menghasilkan keuntungan kepadanya dianggap sah. Manakala yang merugikannya pula dianggap tidak sah. Dalam urusan yang berkemungkinan rugi dan untung, dia perlu mendapat keizinan daripada wali atau penjaga terlebih dahulu.

Al-ighma’ (pitam atau pengsan): ialah hilang kekuatan pemikiran dan bergerak dengan sebab sakit pada hati. Ia menyerupai tidur pada kehilangan akal. Tidur adalah semulajadi dan al-ighma’ adalah tidak semulajadi.

Maka menjadi hukumnya satu dalam berbelanja iaitu dibuang dan batal kerana tiada niat di sisi orang yang pitam atau pengsan .

An-Naum (tidur): ialah sesuatu yang ada hubungan dengan ibadah. Mereka yang tidur tiada mempengaruhi Ahliyyah al-wujub. Tidur adalah suatu perkara yang semulajadi bagi manusia pada fitrah tersusun atau tidak tersusun. Orang yang tidur adalah terlarang dari beramal. Diibaratkan orang yang tidur itu seperti orang yang mughma’.
As-sukr (mabuk): ialah hal yang berlaku kepada manusia di mana tersembunyi pada akal. Maka hilang akal pada manusia dan tidak dapat membezakan di mana yang baik atau buruk. Mabuk ada dua jenis: iaitu mabuk dengan cara yang mubah (harus) seperti hasil daripada ubat atau keadaan yang tak dapat dikawal dan mabuk dengan cara yang haram seperti mabuk meminum arak atau benda-benda yang memabukkan.

Hukumnya menurut masyhur di sisi Malikiyyah, Ibnu Taimiyyah, dan Ibnu Qayyim dari kalangan Hanabilah mengatakan bahawa sesungguhnya mabuk adalah batal dan tidak tersusun padanya iltizam. Maka batal aqadnya dan tasarufnya kerana tiada keselamatan niat atau kehendak, sama ada dengan cara mubah (yang diharuskan) atau cara yang dilarang. Maka tidak sah sumpahnya, talaknya, ikrarnya, pembeliannya, hibahnya, dan seluruh kata-katanya . Sesungguhnya mengecualikan Malikiyyah dengan berkata mengenai talak iaitu walaupun seseorang itu mabuk maka haram dan sah talaknya, kecuali dia tidak dapat membezakan maka tiada talak ke atasnya seperti talak orang gila.
Maka berpendapat jumhur fuqaha’ (yang tidak disebutkan) bahawa berbezanya antara mabuk dengan cara harus, maka bukanlah dianggap iktibar. Dan mabuk dengan cara haram maka mendapat akibatnya dalam hilangnya akalnya, maka perbelanjaannya daripada perkataan atau perbuatan adalah sahih nafizah.

Safih: pada bahasa ialah bodoh. Pada istilah pula ialah suka membazirkan hartanya pada perkara yang tidak berkaitan dengannya manfaat ma’qul. Dan ia juga tidak bagus dalam mentadbirkan wang mereka, maka mereka menafkahkan harta pada perkara yang tidak bermatlamat atau mengikut sesuka hati mereka.

Contohnya seperti membeli burung-burung merpati dengan harga yang tinggi, membeli ayam yang dibunuh dengan harga yang tinggi, dan lain-lain.
Dan berpendapat As-syafi’ie bahawa kanak-kanak tidak boleh diberi harta sehingga dia baligh kecuali apabila dia berhak padanya (harta) memperbaiki agama dan memulihkan harta . Maka atas ini tidak dipertahankan harta kepada kanak-kanak yang telah baligh, ia akan fasik tetapi kalau hak-hak itu diberikan kepada Rushd dan mempertahan dirinya akan hartanya kemudian fasik,maka tiada terhalang baginya .
Dan telah berpendapat Az-Zahiriyyah bahawa sesungguhnya safih itu ialah membazir. Dan pembaziran iaitu menginfaqkan harta kepada perkara-perkara yang diharamkan Alah. Telah berpendapat Ibnu Hazm iaitu setiap daripada infaq ke jalan maksiat maka tertolak. Dan beliau mentafsirkan bahawa pembaziran itu adalah dengan apa yang Allah haramkan. Dam setiap nafkah yang diharuskan oleh Allah dan perintahnya, kebanyakan mengatakan itu bukan pembaziran.Namun menurut Al-Hanafiah, walaupun perkara yang dibazirkan itu perkara yang baik seperti membina masjid atau sekolah. Maka itu juga dianggap safih . Orang yang safih tidak mempengaruhi dalam keahlian tetapi dilarang daripada sebahagian harta.

Halangan ke atas safih ialah mestilah si safih itu baligh. Dan tertolak akan kesafihannya selepas dia baligh rushd. Fuqaha’ telah bersepakat bahawa kanak-kanak yang telah baligh safih maka dilarang dia memiliki harta.
Dan terlindung hartanya bawah pengawasan walinya serta berkekalan larangan selama-lamanya di sisi jumhur fuqaha’ dan sohibain (Abu Yusuf dan Muhammad) hingga kukuh rushd-nya.

Maka berpendapat Abu Hanifah, Zufar, Nakha’ie, dan Ibnu sirin bahawa berakhir larangan memberi hak harta kepada si safih darinya (tiada halangan ke atas safih) dengan baligh 25 tahun kerana tahun itu biasanya telah kukuh padanya rushd .
Mengenai seseorang yang telah sampai baligh rushd kemudian masih safih, menurut Abu Hanifah ialah tidak boleh menghalang ke atas safih itu kerana dia bebas dalam membelanjakan dan jika ada halangan ke atasnya maka berlaku padanya tiada kemanusiaan dan kemuliaan. Menurut Jumhur Fuqaha’ dan Sohibain (Abu Yusuf dan Muhammad) menfatwakan bahawa dibolehkan halangan ke atas safih untuk memelihara harta dan kemaslahatan rakyat.

Lupa: iaitu seseorang yang tidak berhati-hati tentang sesuatu perkara dalam mengingatinya. Pengetahuan menjadi semakin kurang akibat dari tidur dan pengsan. Orang yang lupa mudah ditipu dalam muamalat. Penyakit lupa ini bukan punca Ahliyyah al-wujub. Bagaimana pun dalam penyertaan transaksi hendaklah sah dan tiada paksaan . Merujuk kepada perbelanjaannya akan membawa kepada keburukan ikhtiarnnya.
Hutang atau penghutang dan Muflis: Menurut Abu hanifah bahawa tidak terhalang ke atas orang yang berhutang kerana dia sempurna keahlian dengan akal. Maka dia bebas bertasaruf . Maka telah berpendapat Sohibain (Abu yusuf dan Muhammad) serta Imam Malik, Syafi’ie, dan Ahmad bahawa terhalang Qadhi atas penghutang yang tersusun ke atasnya hutang-hutang. Ia juga dipanggil muflis . Halangan ke atas orang yang berhutang akan mengurangkan keahliannya menjadi seperti tahap kanak-kanak mumayyiz.
Sakit Hampir kepada Mati: ialah sakit yang tiada harapan untuk sembuh dan berkesudahan dengan mati (marad al-maut). Termasuklah dalam istilah ini juga sebarang keadaan yang akan berkesudahan dengan mati, seperti seorang yang sedang menunggu hukuman mati dan sebagainya .

Seorang yang sedang sakit dan akan menghadapi mati tidak terjejas sama sekali kelayakannya sama ada untuk menerima atau melaksanakan hak dan kewajipan. Namun begitu tindakan yang dilakukan dalam keadaan ini akan melahirkan beberapa kesan atau hukum khususnya setelah dia meninggal dunia. Contohnya seorang yang sedang sakit atau menghadapi hukuman mati, membelanjakan semua hartanya sedangkan dia menanggung hutang menyamai satu pertiga daripada hartanya. Maka perbelanjaan yang dilakukan adalah sah kerana dia masih mempunyai kelayakan yang sempurna untuk menguruskan hartanya. Namun begitu, tindakan yang dilakukan itu akan menimbulkan masalah setelah dia meninggal dunia. Pihak yang memberi hutang berhak untuk membatalkan urusan yang dilakukan oleh orang yang sakit itu sekadar untuk melunaskan hutang mereka. Setelah pesakit itu meninggal dunia, mereka tidak berhak berbuat demikian.

7.0 KESIMPULAN

Al-ahliah merupakan kelayakan yang ditaklifkan kepada setiap manusia yang hidup. Ia merupakan satu kelayakan yang dituntut kepada setiap manusia yang berkelayakan untuk menerima atau melaksanakan tanggungjawab tersebut sama ada dalam aspek muamalah I’tiqadiah ibadah dan sebagainya, akan tetapi dalam subjek ini, al-ahliah diungkap dari sudut muamalah dimana darjah kelyakanya adalah lebih rendah daripada ibadah. kelayakan yang ditaklifkan bergantung kepada peringkat serta tahap perkembangan manusia iaitu dari peringkay janin, peringkat belum mumayyiz, peringkat mumuyyiz, peringkat baligh dan peringkat rushd atau dipanggil sebagai tahap kecerdikan akal.
Antara jenis al-ahliah yang telah digariskan mengikut peringkat ialah al-ahliah wujub dan al-ahliah al-ada’. Dua jenis al-ahliah ini dibahagikan pula kepada dua cabang iaitu wujub naqisah dan wujub kamilah, manakala al-ahliah al-ada’ juga dibahagikan seperti yang tersebut. Terdapat dua kategori halangan yang akan menyebabakan seseorang manusia itu terangkat dalam senarai al-ahliah antaranya halangan samawiyah dan halangan muktasabah. Anatara contoh halangan samawiyah ialah kanak-kanak,gila,dungu,pengsan,tidur,marad al-maut dan mati. Manakala halangan muktasabah ialah jahil,bodoh,mabuk,murtad dan muflis.


RUJUKAN
Syeikh Shamsuddin Muhammad bin Abdullah Az-Zarkasyi Al-Hanbali.1986.Kitab Syarh Al-Zarkasyi ‘ala Mukhtasar Al-Khurqi fil Fiqh ‘ala mazhab Imam Ahmad.cetakan Maktabah Al-‘Abikan. jilid 3.

Muhammad Taufiq Ramadhan Al-Butiy.1996. Kitab Al-Buyu’u Sya’i’ah Wa Athar Dhowabit Al-Mubi’iy ‘Ala Syari’atiha.Darul Fikr.Damsyiq.
Ibnu Qadamah.1986. Kitab Fiqh Al-Hanabilah Al-Mughni.cetakan Maktabah Al-‘Abikan.Jilid 4.
Wahbah Az-Zuhailiy.1996.Fiqh Islami wa Adillatuhu.Darul Fikr.Damsyiq.jilid 4.
‘ Ali Mahyuddin ‘Ali Al-Qurrah Daghi.2002.Kitab Mabdar Ridha fil ‘uqud Darasah Muqaranah fil Fiqh Islamiy.Darul Basya’ir Islamiyyah.Beirut-Lubnan..juzu’ pertama.

Mohammad Ma’sum Billah.2001.Modern Financial Transactions Under Shari’ah.Ilmiah Publisher. Malaysia.
Muhammad bin Idris As-Syafi’ie.Kitab Al-Umm.jilid 4

1 ulasan: