DONATE

Selasa, 10 Mei 2022

PEMBUBARAN PERKAHWINAN MELALUI MEDIUM ELEKTRONIK DARI SUDUT FIQH DAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM

 


 

PROF MADYA DR. MOHD. NASRAN MOHAMAD &

DR. HAJI MOHD NAIM MOKHTAR

Jabatan Syariah

Fakulti Pengajian Islam

Universiti Kebangsaan Malaysia

 

PENGENALAN

Ikatan perkahwinan merupakan anugerah dan rahmat Allah kepada umatnya. Lafaz ijab dan qabul pada akad nikah bermaksud penerimaan lelaki untuk memperisterikan wanita bukan merupakan akad yang bertempoh tetapi selama-lamanya. Walaupun begitu Islam juga mensyariatkan penceraian dengan syarat-syarat tertentu umpamanya jika rumah tangga yang dibina itu mengalami keruntuhan (shiqaq) yang tidak mungkin dipulihkan. Penceraian itu sendiri dalam apa rupa bentuk sekalipun sebenarnya tidak disukai oleh Allah Ta’ala tetapi tetap dibenarkan berdasarkan alasan tadi. Ini berdasarkan kepada hadith Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibn Majah yang bermaksud ‘perbuatan halal yang paling dibenci oleh Allah Ta’ala adalah talak.’ Penceraian ini dianggap sah apabila menepati rukun-rukun talak iaitu:-

(a)    suami yang menceraikan,

(b)    isteri yang diceraikan,

(c)    lafaz yang digunakan (sighah),

(d)    kuasa talak,

(e)    ada kesengajaan atau qasad untuk menceraikan isteri (al-Zuhayliyy 1989, 361).

 

BENTUK-BENTUK PENCERAIAN DALAM ISLAM

Secara ringkasnya penceraian boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu secara tentang (sarihah) dan secara berlapik (kinayah). Penceraian secara sarihah ini menghendaki suami menceraikan isterinya dengan lafaz yang jelas difaham bahawa suami telah mentalakkan isterinya. Manakala lafaz kinayah ialah apa-apa tindakan suami samada bentuk lafaz, perbuatan, dokumen dan sebagainya termasuk kemudahan teknologi maklumat seperti e-mel dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang mungkin membawa maksud talak atau sebaliknya (al-Kkhin 1987,123). Perceraian jenis ini kurang jelas dalam dua rukun iaitu singhah yang digunakan berserta niat atau qasad oleh suami semasa perbuatan berkenaan dilakukan.  Hukum dalam kes sebegini hendaklah memanggil suami berkenaan bagi mempastikan lafaz yang diucapkan itu bermaksud talak.  Begitu juga tindakan lain (melalui surat, telefon atau e-mel) dilakukan oleh suami berserta dengan niat dan qasad.

 

PERCERAIAN DALAM ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM SELANGOR (EUUKIS) 1984.

Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) menetapkan bahawa pasangan yang hendak bercerai perlu memohon kepada Mahkamah dan lafaz perceraian hendaklah dibuat di hadapan Mahkamah dengan perintah dan kebenaran Mahkamah.  Seksyen ini hendaklah dibaca bersama dengan seksyen 124 yang memperuntukkan bahawa menjadi kesalahan yang boleh dihukum denda sehingga RM1,000.00 atau 6 bulan penjara atau kedua-duanya sekali jika perceraian dilakukan di luar Mahkamah.  Manakala seksyen 45 enakmen yang sama memberi kuasa kepada Mahkamah untuk membuat suatu perintah perceraian.  Tafsiran seksyen ini di luar Mahkamah (Zaitn binti Hamim lwn. Nor Husin bin Othman, 1999 1 Jld. 13,115). Lafaz cerai melalui SMS termasuk di bawah kategori lafaz perceraian di luar Mahkamah.

Terdapat dua keputusan yang berbeza dalam menentukan samada lafaz cerai yang dibuat di luar Mahkamah adalah sah atau tiak, terdapat dua kaedah yang diterima pakai, iaitu:

 

A.     Kes Azida Fazlina Abdul Latif lwn. Shamsudin Latif (Ogos 2003) yang hanya berdasarkan kepada iqrar suami sahaja ; dan

 

B.      Kes Zainab bt. Mahmood lwn. Abd. Latif b. Jusoh (1993 JH II. 297) berdasarkan iqrar suami dan kesaksian dua orang saksi.

 

Kes Zainab bt. Mahmood lwn. Abd. Latif b. Jusoh yang diputuskan oleh Jawatankuasa Rayuan Selangor telah menetapkan bahawa iqrar suami sahaja adalah tidak mencukupi untuk mengesahkanlafaz yang dibuat di luar Mahkamah..  Sebaliknya Jawatankuasa ini menekankan keperluan dua orang saksi sebelum lafaz percerain di luar Mahkamah sebelum ianya boleh disahkan walaupun suami telah iqrar.

 

 

 

KEPERLUAN SAKSI DALAM TALAK

Walaupun keperluan dua orang saksi ini bukan merupakan rukun yang wajib dilaksanakan menurut jumhur ualam, namun Ibn Habban (t.th. 282) menegaskan bahawa keperluan duan orang saksi ini adalah wajib. . Beliau mentafsirkan perkataan famzsikuhuma, fariquhunna (al-Talaq 2) masing-masing sebagai rujuk dan talak dan memerlukan dua orang sk\aksi. Ibn Kathir dalam kitab Tafsir  (1989, 405) meriwayatkan daripada Ibnu Jurayj bahawa seorang ulama sunni pada peringkat tabiin bernama `Ata’   dalam mentafsirkan kedua surah al-Talaq (65.2) bahawa dua orang saksi yang adil menjadi syarat asasi dalam nikah,, cerai dan rujuk. `Ata’ berhujah bahawa tidak mempunyai kepentinhan yang sama nikah.  Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Majah di mana `Imran bin Husayn ditanya mengenai seorang lelaki yang mentalakkan isterinya tanpa saksi.  Beliau berkata bahawa `perceraian itu tidak berdasarkan sunnah. Oleh yang demikian dapatlah difahamkan jika salah satu rukun nikah itu memerlukan dua orang saksi, maka perkara yang sama diperlukan dalam rukun talak.

Jumhur ulama serta ahli tafsir dalam mazhab Sunni pada umumnya menganggap kewujudan saksi dalam kes talak (dan juga rujuk) adalah sunat (merely desireable). (al-Baydawwiy (326H.381).  Manakala sebahagian ahli tafsiryang lain hanya menyebut kewujudan saksi tetapi tidak menyatakan apa-apa pendirian samada wajib atau sunat (al Zamarkhsariyy 135,239,  1354H 239;al-Qurtubiyy 1936,157, al Tabariyy (1323H, 88).

Mazhab Shi’ah Imamiyyah berpendapat bahawa saksi dalam talak merupakan syarat sah kepada perceraian. Alasan mereka berdasarkan kepada firman Allah Ta’ala (Surah al-Talaq, 2) yang bermaksud: “maka rujuklah mereka dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik dan bersaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil”.  Al Tabraniyy menyebut bahawa pada zakhirnya ayat ini memerintahkan kehadiran dua orang saksi ini untuk menjatuhkan tala (Syed Sabi1 1987, 396-397).

Menurut Syed Sabiq (Ibid 397) kalangan Sahabat yang berpendapat keperluan dua orang saksi ini ialah Ali bin Abu Talib dan `Imran bin Husaiyn.  Manakala dari kalangan ntabi’in pula ialah Muhammad al-Baqir, Jaafar bin Sadiq. `Ata’ Ibn Jurayj dan Ibn Sirin. Seterusnya Sayyid Sabiq memetik satu hadis dalam Kitab Jawahir al Qur’an bahawa Ali pernah menghukumkan talak seorang. Sahabat terhadap isterinya sebagai tidak sah tanpa saksi.

 

 

 

 

ANALISA KES AZIDA DAN KES ZAIN

Hakim Mohamad Fauzi bin Ismail dalam membuat keputusan ke atas kes Azida Fazlina binti Abdul Latif lwn. Shamsuddin bin Latif telah mensabitkan talak berdasarkan kepada iqrar suami semata-mata.  Walaupun keputusan ini tidak bersalahan dengan hukum dan konsep duluan mengikat adalah tidak terpakai di Mahkamah Syariah, tetapi tiada sebarang alasan diberikan oleh hakim berkenaan tentang kenapa rujukan tidak dibuat kepada keputusan jawatankuasa rayuan Selangor yang belum dibatalkan atau dipertikaikan oleh mana-mana keputusan di Selangor yang setaraf dengannya.

Pada pandangan penulis, walaupun permohonan dalam kedua-dua kes ni adalah sama iaitu pengesahan lafaz cerai di luar Mahkamah terdapat beberapa perbezaan yang boleh menjafi asas kepada berbezanya keputusan di antarakes Azida dan Zainab.

A.     Pengetahuan isteri bahawa beliau telah diceraikan:

 

Dalam kes Zainab, isteri tidak tahu beliau diceraikan, manakala dalam kes Azida beliau tahu dirinya diceraikan.  Al-Zuhailiyy (1989) berpendapat pengetahuan isteri adalah tidak menjadi syarat sah perceraian.. Ini adalah kerana talak tetap jatuh walaupun tanpa pengetahuan isteri.

 

B.      Kedudukan pihak-pihak yang memohon:

Dalam kes Zainabm isteri merupakan Defendan manakala dalam kes Azida pula isteri merupakan Plaintif.

 

C.      Wujud penentangan di pihak isteri terhadap lafaz cerai yang dibuat oleh suami.

 

Dalam kes Zainab, isteri telah menentang dakwaan plaintif bahawa beliau telah diceraikan.  Dalam kes Azida, isteri boleh dianggap tidak menentang lafaz cerai yang dibuat oleh suami memandangkan beliau sendiri yang memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai.

 

 

 

Berdasarkan perbezaan-perbezaan yang diariskan di atas, penulis bersetuju dengan keputusan kes Azida yang talak disabitkan hanya berdasarkan kepada iqrar suami sahaja tanpa keperluan dua orang saksi. Walau bagaimanapun itu tidak bermakna kaedah ini wajar digunakan bagi kesemua kes perceraian. Persoalan yang timbul dari kedua-dua kes di atas ialah:

A.      Apakah yang dikehendaki oleh masyarakat Islam pada masa kini?

B.      Adakah masyarakat inginkan sesuatu perceraian itu berlaku dengan mudah atau sebaliknya?

Apabila kita mengambil kira kadar perceraian yang semakin meningkat di kalangan masyarakat Islam sudah tentu satu mekanisme perundangan diperlukan untuk mengawal keadaan ini.  Untuk itu, seksyen 47 EUUKIS 1984 dan seksyen 55A akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Perskeutuan perlu diberi perhatian.

 

MATLAMAT SEKSYEN 47 EUUKIS 1984

Peruntukan seksyen 47 Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984 digubal antara lain bertjuan untuk mengawal dan mengatur supaya suatu perceraian itu dapat dilakukan dengan cara yang baik.  Maksud menceraikan dengan cara yang baik selain daripada mentalakkan isteri pada masa dia boleh memulakan iddah, termasuklah jangan diburukkan, jangan dicerca, jangan melakukan kekerasan dan hendaklah diselesaikan segala masalah seperti nafkah iddah, nafkah anak, penjagaan anak-anak dan sebagainya.  Sekiranya Mahkamah benar-benar berpuashati bahawa sesuatu perkahwinan itu benar-benar telah gagal dan setelah perdamaian dijalankan barulah Mahkamah akan memberikan kebenaran kepada suami untuk melafazkan talaq.

 

Tidak dapat dinafikan bahawa proses perceraian di bawah seksyen 47 agak rumit terutamanya apabila pihak yang satu lagi tidak bersetuju, tetapi inilah matlamat sebenar ianya digubalkan iaitu perceraian hanya dibenarkan untuk berlaku dalam keadaan yang diperlukan sahaja.  Walau bagaimanapun ini hanyalah keperluan undang-undang daripada sudut pentadbiran sahaja. Daripada sudut hukum hak talak masih lagi kekal di tangan suami.  Maka di sinilah  akan berlaku pertembungan di antara keperluan undang-undang yang bertujuan untuk mengawal masyarakat dan kehendak individu dalam melaksanakan haknya yang telah diberikan oleh hukum syarak.  Memandangkan sesuatu proses perceraian di bawah seksyen 47 ini mengambil masa yang agak panjang (terutamanya apabila satu pihak lagi tidak bersetuju) dan bagi seorang isteri pula kesukaran membuktikan kes mereka dalam permohon perceraian secara ta’liq atau fasakh maka permohonan pengesahan perceraian di luar Mahkamah menjadi semakin popular.

 

SEKSYEN 55A AKTA KELUARGA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN 1994

Di Wilayah Persekutuan Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan telah dipinda pada tahun 1994 dengan dimasukkan peruntukan baru i.e seksyen 55A yang memberikan kuasa khusus kepada Mahkamah Syariah untuk mengesahkan dan memerintah pendaftaran perceraian di luar dan tanpa kebenaran Mahkamah.  Walau bagaimanapun,peruntukan ini tertakluk kepada peruntukan seksyen 124 akta yang sama yang memberikan kuasa kepada Mahkamah untuk mengenakan penalti ke atas suami-suami yang telah melakukan kesalahan menceraikan isteri tanpa kebenaran Mahkamah termasuk melalui SMS.

Dalam konteks perceraian ini, ianya boleh dipohon oleh kedua-dua pihak sama ada suami atau isteri.  Cuma cara perceraian itu dilakukan sahaja yang berbeza sama ada talak itu dilafazkan oleh suami secara berhadapan dengan isteri, atau tanpa pengetahuan isteri tetapi didengari oleh orang lain, atau melalui surat dan ada juga melalui sistem teknologi maklumat seperti telefon, faks, e-mel dan juga SMS.  Kesemuanya ini adalah alat-alat atau pengantara yang digunakan oleh suami untuk menggunakan haknya untuk menamatkan sesuatu perkahwinan.

PANDANGAN UMUM PERCERAIAN MELALUI SMS

Apabila kita membawa laporan akhbar pandangan umum masyarakat selepas kes Azida diputuskan, jelas menunjukkan bahawa hampir kesemua mereka bersetuju bahawa perceraian melalui SMS ini adalah cara yang tidak bermoral walaupun daripada sudut hukumnya ianya sah.

Bila mana kita mengatakan ianya tidak bermoral atau berakhlak, tidakkah ia bemaksud bahawa perceraian itu berlaku secara yang tidak ma’ruf seperti yang dikehendaki oleh Islam berdasarkan ayat Al-Quran Surah al Baqarah (2:229)?  Bahkan, tindakan seorang suami menamatkan perhubungan perkahwinan mereka hanya dengan satu pesanan dihantar melalui SMS tanpa sebab uang munasabah boleh dianggap sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Melihat kepada kehendak penyelesaian kes perceraian secara cepat dan mudah, tidak dinafikan bahawa kuasa yang diberikan kepada Mahkamah berdasarkan pindaan kepada seksyen 55A di Wilayah Persekutuan dan di bawah seksyen 45 Enakmen Negeri Selangor dapat memenuhi kehendak tersebut.  Tidak kira samada pihak yang memohon itu suami atau isteri. Apa yang penting ialah pihak suami hadir  dan mengikrarkan bahawa beliau telah melafazkan cerai di luar Mahkamah. Mahkamah akan mengesahkan dan memerintahkan supaya perceraian tersebut didaftarkan.  Kesimpulannya, kedua-dua pihak mendapat  hak menamatkan pernikahan di antara mereka dengan mudah dan cepat samada dakwaan lafaz tersebut dibuat melalui SMS, e-mel, faks atau apa cara sekalipun.

Persoalan di sini sekarang ialah bagaimana kita boleh mengimbangi antara kehendak mengadakan peruntukan yang memudahkan proses perceraian dan pada masa yang sama dikenakan hukuman ke atas suami yang melafazkan talak melalui SMS atau alasan penghinaan terhadap kaum wanita.  Bagi golongan yang memperjuangkan supaya proses perceraian dipermudahkan, maka seksyen 55A sudah menepati kehendak mereka.  Akan tetapi golongan ini pada masa yang sama menghendaki supaya dikenakan hukuman yang lebih berat serta perlu dibuat pindaan berdasarkan peruntukan seksyen 124 ke atas suami yang melafazkan talak melalui SMS. Dari segi logiknya memang wujud pertentangan kepentingan antara kedua-dua seksyen ini.

KESAN PENERIMAAN SEKSYEN 55A.

Penulis percaya sekiranya sesuatu perceraian ini boleh dilakukan dengan begitu mudah tanpa mengira medium yang digunakan serta berdasarkan iqrar suami sahaja maka perkara-perkara negatif berikut akan berlaku:

A.     Kadar perceraian di kalangan masyarakat Islam akan semakin meningkat. Ini adalah kerana pasangan-pasangan (terutamanya suami) telah mengetahui bahawa sesuatu perceraian itu boleh dilakukan melalui SMS. Apa yang penting ialah memfailkan permohonan di Mahkamah di bawah seksyen 55A I Wilayah Persekutuan dan seksyen 45 di Selangor.

 

B.      Peruntukan seksyen 47 yang digubal atas prinsip bahawa perceraian yang dilakukan adalah secara ma’ruf dan bagi mengawal penyelahgunaan hak perceraian oleh suami tidak akan mencapai maksudnya yang sebenar.  Kuasa dan budi bicara yang diberikan kepada Hkaim Syarie adalah meneliti sesuatu permohonan perceraian antara dua pasangan suami isteri dan seterusnya memutuskan sama ada ada ruang untuk perdamaian kedua-dua belah pihak tidak dapat dilaksanakan.  Ini adalah kerana pihak-pihak terutamanya suami mengetahui yang beliau boleh melafazkan cerai di luar Mahkamah samada mellaui SMS yang lebih cepat dan kemudiannya memfailkan kes di Mahkamah dan membuat iqrar di hadapan Hakim.

 

C.      Penyalahgunaan hak talak serta penganiyaan boleh berlaku ke atas isteri dalam keaaan tertentu. Contohnya seorang isteri yang memohon nafkah gunggakan ke atas suaminya selama 2 tahun berkemungkinan tidak akan berjaya sekiranya Mahkamah menerima iqrar suami bahawa beliau telah menceraikan isterinya kira-kira dua tahun yang lalu. Perkara ini mungkin agak sukar berlaku di dalam kes SMS kerana bukti tarikh penghantaran SMS itu dapat dibuktikan. Tetapi apa yang cuba dikaitkan di sini ialah dalam konteks Mahkamah menerima iqrar suami sahaja dalam isu pengesahan penceraian di luar Mahkamah.

 

KESAN PENERIMAAN SEKSYEN 47 DALAM KES ZAINAB MAHMUD

 

A.     Di dalam kes Zainab bt. Mahmood lwn. Abd. Latif b. Jusoh, penulis ingin menarik perhatian kepada dua isu utama;

(a)    Jawatankuasa Rayuan Syariah Selangor telah memutuskan alasan penghakiman mereka berdasarkan tafsiran seksyen 47 dengan memutuskan bahawa;

“…selepas daripada tarikh berkuatkuasa Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984 pada Januari 1989, maka tidak ada lagi pengiktirafan yang boleh diberikan kepada permohonan penceraian di luar Mahkamah.”

Keputusan Jawatankuasa Rayuan ini bagaimanapun boleh menimbulkan kontroversi yang besar. Frasa ‘…maka tidak ada lagi pengiktirafan yang boleh diberikan kepada permohonan perceraian di luar Mahkamah membawa maksud sebarang talak yang dilafazkan di luar Mahkamah dihukumkan sebagai tidak sah walaupun telah disaksikan oleh dua orang saksi..  Keputusan ini jelas menafikan hak dan kuasa suami untuk menjatuhkan talam serta bertentangan dengan syariat Islam.

(b)     Oleh kerana perceraian yang dilafazkan oleh Abdul Latif itu diputuskan sebagai tidak sah, jawatankuasa Rayuan telah memerintahkan suami supaya melafazkan sekali lagi talak di hadapan Jawatankuasa Rayuan dan saksi yang ada di mahkamah.

 

Persoalan yang timbul ialah bagaiman kedudukan jumlah talak suami yang sudah dilafazkan di luar Mahkamah dengan kehadiran dua orang saksi?  Mengikut hukum Islam sudah tentu talak yang dilafazkan sekali lagi di mahkamah akan bertambah.  Kesan yang paling nyata ialah pertambahan daripada dua talak kepada tiga talak. Justeru, suami secara langsung dinafikan hak bukan hanya terbatas untuk merujuk bahkan berkahwin semula dengan mahar yang baru (Al-Zuhayliyy 1989,388)

B.      Walaupun keputusan jawatankuasa Rayuan dalam kes Zainab d atas belum pernah dibatalkan atau dipertikaikan oleh Mahkamah yang setaraf dengannya, namun ini jelas bertentangan dengan pendapat Jumhur ulama sunni bahawa keperluan kepada saksi dalam kes talak adalah sunat dan tidak wajib.  Hanya mazhab Shi’ah Imamiyyah Imran bin Husayn, `Ata’ dan Ibnu Jurayj (Sayyid Sabiq 1987, 396-397) serta seorang ahli tafsir Ibn Hibban (t.th 282) yang berpandangan keperluan saksi dalam talak adalah wajib.

Walau bagaimanapun, penulis berpendapat keputusan kes Zainab yang diputuskan oleh Jawatankuasa Rayuan Selangor ini tidak boleh digunapakai di Wilayah Persekutuan dan beberapa negeri lain.  Ini disebabkan pindaan kepada seksyen 55A akta Kleluarga Islam Wilayah Persekutuan 1994 yang telah memberikan bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mengesahkan lafaz-lafaz cerai di luar Mahkamah.

CADANGAN

Penulis berpendapat bahawa sekiranya kita ingin memastikan sesuatu perceraian itu berlaku dengan cara yang baik (ma;ruf) dan bersopan dan serta tidak menyalahgunakan sistem teknologi maklumat yang ada seperti SMS dan sebagainya maka beberapa cadangan berikut perlu diberikan perhatian.

A.     Pengakuan suami berserta dua orang saksi

Walaupun keperluan kepada dua orang saksi dalam kes talak jelas bertentangan dengan pendapat jumhur ulama Sunni bahawa keperluan kepada saksi dalam kes talak adalah sunat dan tidak wajib. Namun bagi maksud untuk menolak kemudaratan (mafsadah) serta berpegang kepada prinsip siyasah syariyyah di mana kepentingan umum menjadi keutamaan, maka pihak pemerintah boleh memikirkan untuk menerima pendapat minoriti golongan Sunni yang terdiri daripada Imran bin Husayn, `Ata’ dan Ibnu Jurayj serta seorang ahli tafsir Ibnu Hibban yang berpendapat keperluan saksi dalam talak adalah wajib. Namun kajian teliti perlu dilakukan supaya apa jua langkah yang diambil oleh kerajaan tidak menimbulkan salah faham di kalangan rakyat.

 

B.      Pengakuan suami berserta sumpah – cadangan pindaan seksyen 55A

 

Amalan yang berjalan pada masa sekarang menurut seksyen 55A pengakuan atau pengesahan suami sudah memadai bahawa beliah telah menceraikan isterinya di luar Mahkamah termasuk melalui SMS. Persoalan yang timbul adakah penentangan di pihak isteri memberi kesan kepada sah atau tidaknya sesuatu perceraian yang telah diiqrarkan oleh suami tanpa kehadiran dua orang saks?  Dalam hal ini, pindaan kepada seksyen 55A adalah perlu supaya suami melakukan sumpah (yamin) bahawa pesanan SMS yang dihantar itu adalah niat talak serta dihantar oleh beliau atau dengan pengetahuan beliau.

 

C.      Penjara yang lebih berat – cadangan pindaan seksyen 124

 

Pada masa sekarang seksyen 124 memperuntukkan penalti yang dikenakan bagi kesalahan melaazkan cerai di luar Mahkamah termasuk melalui SMS ialah denda sehingga tidak melebihi RM1,000.00 dengan atau 6 bulan penjara atau kedua-duanya sekali.  Bagi membendung agar perceraian melalui SMS ini tidak berleluasa, pindaan kepada seksyen 124 perlu dilakukan dengan menaikkan hukuman penjara sehingga 2 tahun.

 

            Walau bagaimanapun, penulis kurang bersetuju dengan cadangan Mesyuarat Khas antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri untuk mengenakan hukuman penjara mandatori (Berita Harian 9 Ogos 2003).  Cadangan hukuman penjara memberi maksud bahawa apabila suami disabitkan melakukan talak menerusi SMS, maka hakim tidak diberi pilihan langsung untuk melihat fakta tentang kenapa suami berbuat demikian dan sebagainya.  Hakim juga tidak ada kuasa untuk menggunakan budi bicaranya bagi menjatuhkan hukuman melainkan mengenakan hukuman penjara dengan jumlah tempoh masa hukuman yang telah ditetapkan secara mandatori.

 

KESIMPULAN

Walaupun  suami mempunyai kuasa untuk mentalakkan isterinya, namun kuasa ini tidaklah boleh digunakan sesuka hati.  Suami yang mentalakkan isterinya samada secara sarih atau kinayah  dengan menggunakan pelbagai kemudahan teknologi yang ada, tidak terlepas daripada hukum taklifi yang lima samada wajib, sunat, harus, makruh dan haram.  Pihak pemerintah pula boleh, demi kemaslahatan umum mellaui kuatkuasa undang-undang, membendung penggunaan teknologi maklumat digunakan secara tidak wajar. Oleh yang demikian, kesedaran tentang hak dan tanggungjawab suami isteri dalam rumahtangga perlu dipupuk dari awal lagi agar sebarang langkah yang diambil oleh kedua-dua pihak tidak menimbulkan penyesalan yang berkekalan.

 

 

BIBLIOGRAFI

Al Quran

Al-Badawiyy, 1326H, Tafsir al Badawiyy, New Delhi, Mujtaba’I Press

Al Khin, Mustafa 1987, al Fiqh al Minhaji `ala Madhab al Imam al Shafi’i

            Dimasq:  Matba’ah al Sabah

Al-Qurtubiyy, Abu Abdullah Muhammad, 1936, Tafsir Jami’ al Ahkam al Qur’an, Kaherah. t.pt

Al-Tabariyy 1323H, Tafsir al Tabari, Kaherah, Matba’ah al ‘Amiriyyah

Al Zammarshariyy, Mahmud bin Umar, 1354H, al Kashaf an Ghawamid al Tanzil, Kaherah 1.pt

Al Zuhayyliyy, Wahbah 1989 al Fiqh a Islamiyy wa Adilatuhu. Beirut: Dar Al Fikr

Ibnu Hibban, t.th Tafsir al Muhit, Kahera. T.pt.

Ibnu Kathir, abu al Fida’ Ismail, 1989, Tafsir al Qur’an al Azim, Beirut, Da al Ma’rifah

Sayiyid Sabiq 1987 Fiqh Al Sunnah, Kaherah. Dar al Diyan al Thurath

Akta Undang-Undang Keluaga Islam Wilayah Persekutuan 1994

Berita Harian 9 Ogos 2003

Enakmen Keterangan Syariah Negeri Selangor 1996

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 1984

Azida Fazlina binti Abdul Latif lwn. Shamsudin bin Latif (Ogos 2003)

Zainab bt. Mahmood lwn Abd. Latif b. Jusoh (1993 JH 11-297)

Zaiton binti Hamim lwn. Nor Hussin bin Othman, (1999 JH 1 Jld. 13 115)

Laporan Kes 2001 dan 2002, Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Tiada ulasan: