DONATE

Selasa, 10 Mei 2022

METOD PENYUSUNAN UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA

 

Jika seorang Menteri ingin memperkenalkan suatu rang undang–undang ke Parlimen, prosesnya adalah seperti berikut:

a)            Mula- mula ia mestilah merangka satu polisi untuk rang undang–undang tersebut dengan mendapat nasihat Peguam Negara;

b)            Persetujuan Jemaah Menteri diperlukan untuk meluluskan polisi tersebut;

c)            Jika dipersetujui maka orang–orang yang terlibat secara langsung atau tidak langsung akan dijemput untuk memberikan pendapatnya dalam jangka masa  tertentu;

d)            Selepas itu ia dibawa ke Jemaah Menteri semula untuk mendraf rang undang–undang tersebut;

e)            Jika dipersetujui barulah rang undang–undang itu didrafkan oleh pendraf undang –undang dan apabila ia siap ia akan dibawa semula ke Jemaah Menteri untuk persetujuan sebelum dibawa ke Parlimen.

 

Di dalam menyediakan draf undang-undang tersebut beberapa faktor akan diberi pertimbangan oleh penggubal undang-undang antara lain seperti berikut:

1.         Mengenal pasti masalah yang hendak diatasi:

i.              Memahami masalah secara terperinci – kesan masalah kepada masyarakat

ii.            Berapa serius masalah sosial misalnya kekacauan rumah tangga kerana suami menghabiskan masa di tempat hiburan, kegiatan jenayah meningkat.

iii.           Siapakah kumpulan sasaran – lelaki dan pemuda berumur 16 tahun dan ke atas.

 

2.         Apakah cara yang paling baik untuk mengatasi masalah?

i.              Cara selain daripada perundangan seperti memberikan nasihat mengenai keburukan membazirkan masa di tempat hiburan misalnya mengenai ceramah agama, mesyuarat dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru di sekolah-sekolah.

ii.            Adakah masalah ini boleh dikawal dengan menggunakan perundangan yang sedia ada?

iii.           Jika perundangan diperlukan apakah jenis perundangan yang perlu disediakan?  Kemungkinan jenis perundangan yang perlu dipertimbangkan ialah Akta, Akta Pindaan atau perundangan subsidiari seperti peraturan-peraturan.

 

3.         Adakah Perlembagaan Persekutuan / Perlembagaan Negeri mempunyai kuat kuasa?

 

i.              Kuasa untuk Parlimen dan Dewan Perundangan Negeri membuat undang-undang mengenai perkara yang disenaraikan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.  Jadual Kesembilan mengandungi senarai seperti yang berikut:

 

a)            Senarai I        :           Senarai Persekutuan

b)            Senarai I        :           Senarai Negeri

c)            Senarai IIA    :           Tambahan kepada Senarai Negeri bagi Negeri Sabah dan Sarawak

d)            Senarai III      :           Senarai Bersama

e)            Senarai IIIA   :           Tambahan kepada Senarai Bersama bagi Negeri Sabah dan Sarawak

 

ii.            Sehubungan dengan ini, Perkara 73, 74, 75 dan 76 Perlembagaan Persekutuan perlu juga dikaji dan diteliti.

iii.           Kajian Kes : Akta Perikanan 1985 [Akta 317], khususnya  mukadimah kepada Akta itu.

 

4.         Adakah perundangan yang digubal akan bercanggah dengan perundangan yang sedia ada?

i.              Sila teliti perundangan yang sedia ada untuk mengkaji  sama ada masalah ini terletak di bawah bidang kuasa perundangan itu.

ii.            Sekiranya perundangan subsidiari perlu digubal, sila memastikan bahawa Akta ibu mempunyai peruntukan yang membolekan (enabling provision) penyediaan perundangan subsidiari itu. Jika suatu perundangan subsidiari disediakan tanpa ada apa – apa peruntukan dalam Akta ibu yang membolehkan penyediaanya, perundangan subsidiari itu akan menjadi “ultra-vires”.

iii.           Adakah menyentuh bidang kuasa Kementerian/ Agensi yang lain?

-           Sila rujuk kepada Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan yang dibuat di bawah Akta Tugas-Tugas Menteri 1969 [Akta 2]

 

5.         Adakah akan menyentuh kebebasan asasi?

i.              Aspek yang berkaitan ialah mengehadkan masa tempat hiburan dibuka dan mengehadkan umur orang yang boleh masuk ke dalam tempat hiburan itu.

ii.            Sila rujuk kepada Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan:

 

“5.  (1) Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang.

 

 

6.         Adakah akan menyentuh hak seseorang tentang harta?

Sila rujuk kepada Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan :

 

13. (1) Tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.

(2) Tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampas an yang memadai.”

 

7.         Adakah akan mewujudkan kuat kuasa ke belakang?

Kuat kuasa ke belakang tidak boleh dibenarkan jika bertentangan dengan Perkara 7 Perlembagaan Persekutuan

 

7. (1) Tiada seorang pun boleh dihukum kerana sesuatu perbuatan atau peninggalan yang tidak boleh dihukum menurut undang-undang pada masa perbuatan atau peninggalan itu dilakukan atau dibuat, dan tiada seorang pun boleh menanggung hukuman yang lebih berat kerana sesuatu kesalahan daripada yang telah ditetapkan oleh undang-undang pada masa kesalahan itu dilakukan.”

 

Sehubungan dengan ini, Seksyen 20 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] juga dirujuk:

 

20. Notwithstanding the absence of any express provision in any Act or other written law, wher e such Act or other written law empowers any person  to make subsidiary legislation, such subsidiary legislation may be made to operate retrospectively to any date which is not earlier than the commencement of the Act or other written law under which it is made or, where different provisions of that law come into operation on different dates, the commencement of that law under which it is made :

Provided that no person shall be made or shall become liable to any penalty in respect of any act done before the date on which the subsidisry legislation was published.”

 

8.         Adakah akan menimbulkan diskriminasi?

 

Aspek yang berkaitan ialah menghadkan orang yang layak masuk tempat hiburan dan mengenakan fi yang berbeza untuk orang tertentu. Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan bahawa “ semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.”

 

9.         Adakah akan memberi kuasa penguatkuasaan berlebihan?

 

Perkara ini penting semasa mempertimbangkan kuasa penguatkuasaan yang akan diberikan kepada pegawai yang diberi kuasa seperti kuasa untuk menyita harta dan kuasa untuk memeriksa orang tanpa waran.

 

10.       Adakah akan melanggar prinsip seorang dianggap tidak bersalah sehingga didapati bersalah?

 

Adakah bercanggah dengan mana-mana obligasi antarabangsa?

 

Perkara ini relevan dan perlu dipertimbangkan sekiranya Malaysia telah meratifikasi atau menjadi  suatu pihak kepada sesuatu konvensyen atau treaty antarabangsa.

 

11.       Adakah cara mengatasi masalah ini praktikal?

 

Sehubungan dengan ini perlulah di kaji sama ada logistik yang diperlukan telah disediakan, khususnya penyediaan jawatan baru, penambahan jawatan yang sedia ada serta infrastruktur untuk memastikan kejayaan skim yang disediakan melalui perundangan itu. Setelah rang undang-undang tersebut telah digubal maka seterusnya

 

 

f)             Menteri akan memberikan notis kepada kerani Dewan akan tujuannya membawa rang undang – undang diperkenalkan di Dewan Rakyat.

Rang undang – undang dibawa ke Parlimen mesti melalui empat peringkat iaitu:

a)            Bacaan pertama

b)            Bacaan Kedua

c)            Perbincangan dalam jawatankuasa

d)            Bacaan Ketiga

Bacaan Pertama

Tajuk rang undang – undang dibaca oleh Setiausaha Dewan. Apabila ia telah dibaca rang Undang – undang itu akan dicetak dan selepas itu menunggu untuk bacaan kali  kedua. Jika rang undang – undang itu dibawa oleh seorang ahli parlimen secara persendirian, apabila sudah dibaca kali pertama, selepas itu terpulanglah kepada menteri berkenaan iaitu menteri yang bertanggungjawab dalam hal – hal yang disentuh oleh rang undang – undang. Sama ada rang undang – undang itu dibaca kali kedua terpulanglah kepada budi bicara Menteri itu dan sebarang perbahasan ke atas rang undang – undang tersebut hanya boleh dibuat melalui Menteri itu.

 

 

 

 

Bacaan Kedua

Biasanya tempoh antara bacaan pertama dan kedua adalah agak lama, tetapi oleh kerana kerajaan memerlukan suatu undang – undang itu dengan segera maka bacaan kedua dan ketiga dibuat dalam satu sidang dewan yang sama dengan bacaan pertama. Jika rang undang – undang itu melibatkan perkara – perkara dalam Senarai Bersama atau Negeri5 maka Rang undang – undang itu perlu mendapat akuan dari Yang di-Pertua Parlimen. Rang Undang – undang jenis ini hanya boleh dibincangkan setelah ia disiarkan dalam Warta Kerajaan selama empat minggu ini boleh dipendekkan dengan kebenaran Yang di-Pertua Dewan.

Dalam bacaan kedua, tajuk rang undang – undang itu dibaca oleh Setiausaha Dewan dan selepas usul, mencadangkan bacaan ini dipersetujui oleh Dewan Parlimen. Perbahasan bagi usul ini meliputi prinsip rang undang – undang itu dan juga kebaikan dan keburukan rang undang – undang tersebut. Usul untuk bacaan kali kedua hanya boleh dibuat jika notis untuk bacaan itu diberikan serta merta selepas bacaan pertama dan rang undang – undang tersebut perlu dibahagi-bahagikan kepada ahli dewan untuk mengkajinya.6

Bagi rang undang – undang perbekalan, usul untuk bacaan kedua tidak boleh dicadangkan pada hari bacaan pertama itu juga melainkan setelah diberi notis. Apabila usul dicadangkan, perbahasan akan ditangguhkan sekurang – kurangnya selama dua hari. Perbahasan mengambil masa Iima hari. Jika rang undang – undang perbekalan tambahan, maka perbahasan ke atas usul bagi bacaan kedua tidak ditangguhkan dan tempoh perbahasan itu tidak lebih dari satu hari.

 

Perbincangan dalam Jawatankuasa

Apabila rang Undang – undang itu dibaca kali kedua maka rang undang –undang itu akan dibincangkan secara mendalam dalam Jawatankuasa. Ada tiga jenis jawatankuasa:

a)    Jawatankuasa meliputi semua anggota Dewan Parlimen

b)    Jawatankuasa perbekalan

c)    Jawatankuasa pilihan

 

Jawatankuasa meliputi Semua Ahli Dewan

Tugas jawatankuasa ini ialah menimbang semua rang undang – undang biasa kecuali rang undang – undang perbekalan dan hybrid. Rang Undang –Undang ditimbang mengikut susunan iaitu:

1)    Fasal rang undang – undang dibincang satu per Satu

2)    Jadual rang undang – undang itu [ula dibincang

3)    Preamble

4)    Tahun rang undang – undang

Pindaan akan dibuat dan jika pindaan bertentangan dengan tajuk rang undang – undang tersebut maka tajuk rang undang – undang itu akan dipinda. Selepas perbincangan selesai rang undang – undang itu akan dibawa semula ke Dewan Parlimen.

 

Jawatankuasa Perbekalan

Jawatankuasa ini terdiri dari semua anggota Dewan Rakyat. Tugasnya ialah menimbang rang undang-undang perbekalan yang mencadangkan perbelanjaan bagi pelbagai perkhidmatan. Sebelum dikemukakan kepada Dewan Rakyat satu anggaran perbelanjaan hendaklah dibentangkan dalam Dewan Rakyat terlebih dahulu. Usul untuk bacaan kali kedua tidak boleh dibuat pada hari bacaan pertama kecuali dengan notis dan kemudiannya perbahasan mengenainya ditangguhkan sekurang-kurangnya dua hari. Apabila dewan bersidang semula dan usul dibaca untuk kali kedua dan dipersetujui maka bacaan kedua dibuat dan dibacakan tajuk rang undang-undang perbekalan itu pun terserahlah kepada jawatankuasa perbekalan.

Perbincangan dalam jawatankuasa ini tidak melebihi 14 hari dan mengikut susunan berikut :

(1)          Jadual

(2)          Fasal

(3)          Tajuk

Apabila jawatankuasa perbekalan selesai menimbang rang undang-undang tersebut, rang undang-undang itu dibawa semula ke Dewan untuk dibaca kali ketiga dan diluluskan.

 

 

Jawatankuasa Pilihan

Tugas Jawatankuasa ini ialah untuk menimbangkan:

(1)          Rang undang-undang persendirian

(2)          Rang undang-undang hybrid

(3)          Rang undang-undang biasa yang dirujuk oleh Dewan kepadanya.

Mengikut Peraturan Tetap Dewan Rakyat 82 (PT 82 DR) dan Peraturan Tetap 74 Dewan Negara (PT 74 DN) jawatankuasa ini terdiri dari sebahagian daripada anggota dewan Parlimen dan disusun mengikut perwakilan parti-parti politik yang mempunyai anggota dalam dewan Parlimen.

 

Rang undang-undang hybrid dan persendirian akan dibincang dalam jawatankuasa ini apabila rang undang-undang telah dibaca kali kedua. Tugas jawatankuasa ini ialah menyiasat sama ada rang undang-undang itu mesti diluluskan. Penyiasatan dibuat dengan mendengar rayuan dibuat kepada dewan oleh orang-orang awam yang menyokong atau membantah rang undang-undang itu. Biasanya perayu diwakili penasihat undang-undang mereka. Jawatankuasa juga boleh memanggil orang hadir, mengambil kenyataan dan memeriksa segala kenyataan yang dikemukakan kepadanya. Kenyataan adalah dianggap rahsia dan hanya jawatankuasa saja yang boleh menghantar laporan kepada majlis parlimen. Jika selepas siasatan rang undang-undang itu diputuskan supaya diluluskan maka jawatankuasa akan melihat kepada rang undang-undang itu dari satu fasal ke satu fasal. Pindaan yang dibuat itu boleh bertentangan dengan apa yang disiarkan dalam Warta Kerajaan.

Setelah selesai membuat siasatan jawatankuasa ini perlu membuat laporan kepada dewan Parlimen dan terpulanglah kepada dewan sama ada hendak menerima laporan itu atau tidak. Jika laporan diterima, rang itu akan dicadangkan untuk dibaca kali ketiga.

Bacaan Kali Ketiga

Bacaan kali ketiga ialah bacaan terakhir dan selepas bacaan ini rang tersebut dianggap sebagai diluluskan oleh Parlimen. Bacaan ini hanyalah bacaan tajuk oleh Setiausaha Parlimen. Bacaan ini dilakukan apabila usul yang mencadangkan bacaan ini dipersetujui dan usul ini dibuat selepas jawatankuasa yang berkenaan tamat membincangkan rang undang-undang itu.

Apabila rang undang-undang telah diluluskan oleh Dewan Parlimen yang pertama di mana rang undang-undang tersebut dimulai, rang undang-undang itu pun akan dihantar ke Dewan yang lagi satu. Apabila ia diluluskan oleh Dewan kedua ini, barulah ia disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat persetujuan baginda. Persetujuan Yang di-Pertuan Agong dimeterai dengan cap Mohor Negara ke atasnya. Selepas itu rang undang-undang dengan perintahnya akan disiarkan sebagai undang-udang kepada orang ramai dalam Warta Kerajaan dan tarikh siaran adalah tarikh kuat kuasa undang-undang tersebut. Walau bagaimanapun Parlimen boleh menangguhkan tarikh penguatkuasaan undang-undang tersebut ke suatu masa atau tarikh akan datang atau mempercepatkan sebelum disiarkan undang-undang itu.



PERANAN BADAN PERUNDANGAN DAN AHLI BADAN PERUNDANGAN

Pada dasarnya badan perundangan kerajaan persekutuan dan badan perundangan negeri mempunyai fungsi yang sama. Malah fungsi badan perundangan di Negara ini sama dengan badan perundangan di Negara lain yang mengamalkan sistem demokrasi.

Tugas badan perundangan bukan membuat undang-undang semata-mata. Oleh sebab ahli dewan perundangan adalah wakil rakyat, mereka berkewajipan untuk menyelesaikan masalah rakyat. Dalam sistem demokrasi berpalimen di Malaysia, pihak kerajaan bertanggungjawab secara kolektif terhadap Dewan Perundangan. Sistem kerajaan bertanggungjawab seperti yang diamalkan di Malaysia mengkehendaki ahli jemaah menteri yang memegang tampuk pemerintahan bertanggungjawab kepada ahli badan perundangan yang terdiri daripada wakil rakyat. Setiap ahli jemaah menteri atau badan eksekutif mestilah menjawab segala pertanyaan dan persoalan yang ditujukan kepada mereka. Contohnya, yang berkaitan dengan hal ehwal pentadbiran, dasar kerajaan dan masalah semasa yang berhubung dengan kepentingan rakyat. Badan perundangan merupakan arena perbahasan tentang dasar-dasar kerajaan yang memerintah dan segala perkara berkaitan dengan pentadbiran.

Badan perundangan menyediakan forum kepada wakil-wakil rakyat untuk menyuarakan pendapat dan berbincang secara terbuka melalui keistimewaan berparlimen. Keistimewaan ini membolehkan ahli-ahli badan perundangan menjalankan tanggungjawab sepenuhnya dan dengan lebih berkesan. Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan beberapa hak dan pengecualian yang disebut “Keistimewaan Ahli-Ahli Parlimen” di dalam Dewan. Keistimewaan ini terpakai bagi kedua-dua Dewan secara keseluruhannya, dan untuk ahli-ahli parlimen secara individu. Keistimewaan yang sama juga diberikan kepada ahli-ahli badan perundangan di negeri-negeri sebagaimana yang terkandung dalam perkara 72. Salah satu hak keistimewaan yang penting ialah kebebasan berbahas dalam dewan undangan. Kebebasan ini adalah mutlak tanpa sekatan pada asalnya, namun selepas Peristiwa 13 Mei 1969, sekatan dibuat melalui pindaan kepada Perkara 63 dan Akta Hasutan.

PEMILIHAN AHLI BADAN PERUNDANGAN DAN PILIHAN RAYA

Pilihan raya adalah mekanisme yang menjadi teras kepada system demokrasi. Pilihan raya memberikan peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang sah atau mengubah kerajaan yang sah. Pilihan raya bebas dan adil akan membuka ruang untuk mencapai objektif member mandat yang sah kepada kerajaan yang wujud. Kerajaan yang melaksanakan pilihan raya dengan baik dan teratur setelah mendapat mandat akan memperkuatkan lagi pengesahannya.

Untuk memastikan pilihan raya tidak dimanipulasikan oleh sesuatu pihak, sama ada kerajaan yang sedang berkuasa atau pihak lain, pilihan raya dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, tanggungjawab untuk mengadakan pilihan raya Rakyat dan Dewan Undangan Negeri terletak pada Suruhanjaya Pilihan Raya. Sejajar dengan itu badan ini ditubuhkan pada 4 September 1957, mengikut Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan. Selaku badan bebas, Suruhanjaya ini tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak dalam mengendalikan pilihan raya.

Tiada had bilangan calon yang boleh bertanding dalam sesuatu pilihan raya. Namun, seorang calon sahaja yang dipilih untuk mewakili penduduk sesuatu bahagian pilihan raya di Parlimen (Pilihan Raya Umum) atau Dewan Undangan Negeri (Pilihan Raya Negeri). ‘First-Past-The-Post-System’ seperti yang diamalkan bermaksud calon-calon yang memperoleh majority akan diisytiharkan pemenang dalam bahagian pilihan raya masing-masing. Sistem politik yang diamalkan di Malaysia ialah system politik pelbagai parti. Dalam system ini, parti politik yang memperoleh majoriti kerusi di Parlimen (Dewan Rakyat) akan menubuhkan kerajaan Persekutuan dan parti politik yang memperoleh majoriti kerusi di Dewan Undangan Negeri akan menubuhkan kerajaan negeri. Sehingga kiniterdapat 222 kerusi Dewan Rakyat (Parlimen) dan 575 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Setiap warganegara Malaysia berhak untuk memilih kerajaan melalui proses pilihan raya dengan mengundi calon pilihannya. Namun hak politik ini tertakluk kepada beberapa syarat. Sebelum seseorang boleh mengundi, dia terlebih dahulu perlu mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya, dan memenuhi syarat yang tersebut dalam Perkara 119, iaitu :

1.    Warganegara Malaysia.

2.    Berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada tarikh kelayakan. (kini telah digubal kelayakan mengundi kepada umur 18 tahun sejak tahun 2021)

3.    Seorang penduduk di mana-mana bahagian pilihan raya di Malaysia.

4.    Tidak hilang kelayakan sepertimana yang dinyatakan dalam Perkara 48.

Sesiapa juga boleh menjadi calon dalam pilihan raya asalkan syarat-syarat yang dinyatakan dalam Perkara 47 seperti di bawah dipenuhi :

1.    Warganegara Malaysia dan bermastautin di Negara ini.

2.    Berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada hari penamaan calon.

3.    Tinggal di negeri di mana dia akan bertanding.

4.    Tidak hilang kelayakan sepertimana yang dimyatakan dalam Perkara 48.

Setiap calon berhak mewakili sesuatu parti yang berdaftar atau bertanding sebagai calon bebas.

Badan perundangan biasanya tidak kekal buat selama-lamanya, sebaliknya bergantung pada pemilihan rakyat. Pilihan raya akan diadakan semula untuk memilih badan perundangan yang baru. Pilihan raya untuk Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, seperti yang ditetapkan oleh undang-undang, diadakan sekali dalam tempoh lima tahun, kecuali jika dewan dibubarkan lebih awal. Pilihan Raya Umum diadakan dalam tempoh 60 hari, selepas tarikh pembubaran. Pilihan Raya Kecil juga diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan, sama ada disebabkan kematian, peletakan jawatan atau seorang Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri itu hilang kelayakan. Dalam hal ini, tarikh kekosongan kerusi akan ditetapkan oleh Suruhanjaya.

BADAN PERUNDANGAN SEBAGAI BADAN YANG MENGGUBAL UNDANG-UNDANG

Tugas menggubal undang-undang yang terletak pada badan perundangan meliputi tugas untuk meminda perlembangan, meluluskan undang-undang baru, memansuhkan undang-undang lama dan baru serta mengesahkan undang-undang yang sedang berjalan.Kesemua proses ini berlaku dalam badan perundangan mengikut prosedur perundangan yang ditetapkan.

            Proses membuat undang-undang biasanya memakan masa yang panjang, teliti dan rigid. Penelitian yang teliti harus dilakukan supaya undang-undang itu adil dan tidak membawa kesan negatif kepada rakyat. Hal ini penting kerana undang-undang yang baik akan melahirkan Negara yang maju dan aman damai. Di samping itu, pelaksanaan undang-undang hanya boleh disempurnakan jika itu adalah undang-undang yang mendapat sokongan rakyat.

            Prosedur meluluskan rang undang-undang bergantung pada struktur badan perundangan dan tertakluk kepada syarat-syaratyang termaktub dalam perlembagaan  persekutuan dan negeri. Terdapat beberapa perbezaan dari segi prosedur  meluluskan rang undang-undang antara badan perundangan dwidewan di Parlimen, dan satu Dewan Undangan Negeri.

BADAN PERUNDANGAN DALAM SISTEM DEWAN PERUNDANGAN DWIDEWAN

Rang undang-undang akan melalui tiga peringkat atau bacaan dalam kedua-dua dewan sebelum diluluskan. Rang undang-undang itu biasanya dikemukakan oleh seorang menteri. Ini dikenali sebagai Bacaan Pertama iaitu untuk memaklumkan kepada dewan perundangan tentang undang-undang yang hendah dibuat itu. Setelah itu rang undang-undang itu akan dicetak, dan diedarkan kepada semua ahli (jika rang tersebut belum diedarkan sebelum Bacaan Pertama dibuat).

            Peringkat seterusnya yang dikenali sebagai Bacaan Kedua adalah peringkat melaksanakannya buat kali pertama. Tajuk rang undang-undang akan dibaca oleh Setiausaha Dewan Parlimen setelah usul mencadangkan bacaan ini dipersetujuai oleh dewan. Peringkat kedua ini penting, pada masa inilah ahli dewan akan menyuarakan sokongan dan bangkangan terhadap undang-undang yang dicadangkan itu. Perbahasan bagi usul ini meliputi prinsip undang-undang itu serta baik-buruknya.

            Apabila rang undang-undang dibaca buat kali kedua, iaitu setelah majoriti dewan bersetuju dengan rang tersebut pada prinsipnya, ia akan dibincangkan dan diperhalusi oleh jawatankuasa.Biasanya satu jawatankuasa khas dibentuk untuk membantu badan perundangan dalam melaksanakan tugas-tugasnya. Mereka ini akan mengkaji dan memastikan bahawa undang-undangyang dilaksanakan itu betul dan berkesan. Jawatankuasa ini akan mencadangkan pengubahsuaian yang tidak akan bertentangan dengan prinsip rang tersebut jika perlu sebelum ia diluluskan oleh Dewan Rakyat.

            Peringkat terakhir ialah Bacaan Kali Ketiga iaitu setelah rang undang-undang itu selesai dibincangkan oleh jawatankuasa seluruh dewan. Ina adalah kali terakhir rang undang-undang tersebut dibaca dan seterusnya ia dianggap sebagai diluluskan oleh Dewan. Selepas ini rang undang-undang berkenaan dikemukakan untuk kelulusan Dewan Senat. Di Dewan Senat, rang undang-undang akan melalui tiga bacaan seperti di atas sebelum ia diluluskan. Selepas itu ia akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk kelulusan baginda. Hanya selepas ini rang undang-undang berkenaan dapat dikuatkuasakan serta mencapai tahap akta kerajaan.

PROSEDUR PERUNDANGAN DALAM SISTEM DEWAN PERUNDANGAN SATU DEWAN

Kerajaan negeri juga mempunyai badan perundangan sendiri yang dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri. Kerajaan negeri juga menggubal undang-undang untuk negeri itu dalam perkara-perkara yang terdapat dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Prosedur perundangan adalah sama seperti dalam Parlimen, tetapi, selepas rang undang-undang melalui tiga bacaan dalam majlis, ia akan dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan atau Yang Dipertuan Negeri untuk diluluskan. Proses pembacaan dan perbahasan tertumpu dalam satu dewan perundangan sahaja.

RANG UNDANG-UNDANG

Rang undang-undang amat penting dalam membuat rang undang-undang. Ia merupakan draf tentang cadangan undang-undang baru atau pindaan kepada yang sedia ada yang dikemukakan atau dibentangkan oleh sebuah dewan perundangan.

            Rang undang-undang boleh dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu rang undang-undang persendirian (private bill), rang undang-undang awam atau kerajaan (public government bill) dan rang undang-undang kacukan atau hibrid (hybrid bill).

            Rang undang-undang jenis pertama digelar persendirian kerana tujuan asas rang undang-undang tersebut adalah untuk menjaga kepentingan satu-satu kumpulan, syarikat perniagaan, orang perseorangan, persatuan, dan puak-puak lain yang mempunyai kepentingan terhadap rang undang-undang tersebut.

            Rang undang-undang kerajaan pula biasanya ditaja dan diperkenalkan oleh menteri kabinet, ataupun diperkenalkan bagi pihak kerajaan oleh salah seorang anggota dewan perundangan parti kerajaan. Rang undang-undang jenis ini biasanya melibatkan kepentingan sejumlah besar rakyat jelata untuk dikuatkuasakan oleh badan pentadbiran awam.

            Jenis rang undang-undang yang disebut kacukan (hibrid) pula sebenarnya ialah rang undang-undang awam yang diperkenalkan sama ada oleh anggota kerajaan ataupun orang perseorangan. Bagaimanapun, apa yang membezakan ia daripada rang undang-undang awam atau kerajaan ialah keadaan rang undang-undang tersebut yang melibatkan kepentingan khusus orang perseorangan atau badan-badan koporat tertentu. Ia juga berbeza dengan rang undang-undang persendirian kerana rang undang-undang hibrid meliputi bidang yang lebih khusus, yakni ditujukan kepada kumpulan-kumpulan yang kecil.

PRINSIP KETINGGIAN PERLEMBAGAAN BADAN – BADAN PERUNDANGAN DALAM KONTEKS ISLAM

Konsep ketinggian perlembagaan berkait rapat dengan demokrasi dan federalisme yang merupakan dua asas Perlembagaan Malaysia. Demokrasi dilindungi dengan memastikan bahawa bukan seorang atau sekumpulan manusia yang mempunyai kuasa tertinggi, sebaliknya semua orang adalah  tertakluk di bawah undang – undang tertinggi iaitu perlembangaan. Oleh itu, negara akan diperintah oleh kerajaan yang bertindak mengikut lunas undang – undang, bukannya kerajaan yang bertindak mengikut keinginan manusia atau keinginan  pemerintah. Prinsip yang terkandung dalam peruntukan ini terpakai kepada semua kepimpinan kerajaan – kehakiman, badan perudangan dan badan eksekutif. Ia juga mengikat setap orang termasuk lah Yang di- Pertuan Agong, Raja – Raja Melayu, Perdana Menteri, ahli Jemaah Menteri, Para Menteri Besar dan sebagainya. Apa – apa arahan yang diberikan oleh kerajaan atau perundangan yand digubal oleh badan perundangan tidak boleh melanggar hak – hak perlembangaan yang dilindungi oleh Perlembagaan. Sesiapa juga tidak boleh melakukan apa – apa pelanggaran terhadap peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

            Dalam Negara demokrasi, hak individu terpelihara daripada individu lain dan pemerintah. Kebebasan bersuara, berpolitik, beragama dan hak asasi manusia yang lain termaktub dalam perlembagaan yang merupakan undang –undang tertingggi Negara tersebut. Tujuannya ialah supaya hak – hak tersebut tidak dapat dicabuli melalui undang – undang biasa yang digubal oleh badan perundangan. Dengan itu, pihak pemerintah tidak dapat membuat apa –apa arahan berdasarkan undang – undang yang bertujuan menyekat hak – hak tersebut.

            Federalisme pula mengkehendaki sebuah perlembagaan bertulis yang memperuntukan ketinggian dan keagungan perlembagaan itu. Profesor Dicey berkata:

            Sebuah Negara persekutuan itu wujud dengan sebab perlembagaan samalah seperti wujudnya mana – mana perbadanan dengan sebab adanya undang –undang yang menubuhkannya atau yang membolehkan penubuhannya. Yang demikian, setiap kuasa, baik kuasa pemerintah, kuasa perundangan atau kuasa kehakiman, sama ada dipunyai oleh Negara itu oleh negeri masing – masing dalam Persekutuan itu adalah rendah dan dikawal oleh perlembagaan.

Sebagai undang – undang tertinggi, perlembagaan menentukan bentuk pemerintahan , kuasa pemerintahan dan cara menjalankan pemerintahan. Semua organ kerajaan dibentuk berdasarkan peruntukan dalam perlembagaan. Kuasa organ – organ tersebut juga diperolehi daripada perlembagaan. Dengan kata lain, sumber kuasa dan kewujudan semua institusi penting dalam pemerintahan adalah perlembagaan. Oleh itu, apa – apa jua yang bercanggah dengan mana – mana peruntukan perlembagaan dianggap tidak sah dari segi undang – undang dan berlawanan dengan kehendak perlembagaan. Selaras dengan itu Perkara a (1) menyatakan:

            Perlembagaan ini ialah undang – undang utama Persekutuan dan apa – apa undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.

 

Jelas sekali peruntukan di atas mengehadkan kuasa badan perundangan persekutuan dan badan perundangan negeri-negeri kerana undang-undang yang dibuat oleh Parlimen dan Dewan Undangan Negeri boleh dicabar dalam mahkamah atas alasan ia bertentangan dengan mana-mana peruntukan perlembagaan. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Raja Azlan Shah dalam kes Loh Kooi Choon bahawa undang-undang biasa, sama ada yang dibuat oleh badan perundangan persekutuan atau badan perundangan negeri boleh diisytiharkan tidak sah atas salah satu daripada tiga alasan. Alasan pertama, Undang-Undang Persekutuan atau Undang-Undang Negeri Bertentangan dengan perlembagaan, sebagaimana yang terkandung dalam Perkara 4(1). Alasan kedua, undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen atau undang-undang oleh badan perundangan negeri adalah di luar bidang kuasa badan tersebut sebagaimana yang digariskan oleh Perkara74. Alasan ketiga, apabila undang-undang negeri berlawanan dengan undang-undang persekutuan, yang mana undang-undang negeri akan tidak terpakai, sebagaimana ditetapkan oleh Perkara75.

KUASA, FUNGSI DAN STRUKTUR BADAN-BADAN PERUNDANGAN NEGARA FEDERAL DALAM KONTEKS MALAYSIA

Negara persekutuan ialah negara yang mengamalkan konsep federalisme. Sebuah persekutuan wujud apabila beberapa Negara bersetuju untuk bergabung dan menubuhkan sebuah kerajaan pusat yang diberi bidang kuasa tertentu. Melalui penggabungan itu wujud sebuah negara baru yang berdaulat. Dalam sistem pemerintahan seperti ini, kerajaan-kerajaan negeri masih berfungsi dan mempunyai bidang kuasa yang tertentu. Oleh sebab Perlembagaan Malaysia dirangka mengikut konsep federalisme, maka badan-badan perundangan yang wujud di Malaysia juga dicipta mengikut kehendak federalisme juga.

            Sebagai sebuah perlembagaan persekutuan, Perlembagaan Malaysia mengagihkan kuasa antara kerajaan seluruh negara, yang dikenali sebagai kerajaan persekutuan, dan kerajaan untuk bahagian tertentu negara, yang dikenali sebagai kerajaan negeri. Oleh itu terdapat dua jenis badan perundangan di Malaysia iaitu Badan Perundangan Persekutuan dan Badan Perundangan Negeri.

            Menurut takrifan Perlembagaan Malaysia dalam Perkara 160(2), Badan Perundangan berhubung dengan sesebuah negeri ertinya ‘pihak berkuasa yang mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan Negeri itu untuk membuat undang-undang bagi negeri itu’. Lebih khusus lagi Badan Perundangan Negeri dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri. Peruntukan yang sama mentakrifkan Dewan Undangan sebagai ‘dewan perwakilan, tidak kira bagaimana jua disebut, dalam Badan Perundangan sesuatu Negeri (dan khususnya termasuklah Majlis Negeri di Sarawak)’.

            Badan perundangan pada peringkat persekutuan atau kerajaan persekutuan pula dikenali sebagai Parlimen. Takrifan Parlimen sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 44 merujuk kepada Majlis atau dewan pembuat undang-undang kerajaan persekutuan yang terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta Yang di-Pertuan Agong.

 

 

TAKAT UNDANG-UNDANG BADAN PERUNDANGAN PERSEKUTUAN DAN BADAN PERUNDANGAN NEGERI

Kerajaan persekutuan mempunyai kawalan pelaksanaan kuasanya iaitu seluruh negara dan melaksanakannya tanpa campur tangan atau bebas daripada kerajaan negeri. Kerajaan negeri juga bebas untuk menjalankan kuasa mereka dalam kawasan, sempadan negeri atau wilayah mereka tanpa gangguan daripada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri lain.

            Keterbatasan takat undang-undang yang digubal oleh badan perundangan negeri dinyatakan dalam Perkara 73(b), yang menyatakan bahawa badan perundangan sesebuah negeri boleh membuat undang-undang bagi keseluruhan atau mana-mana bahagian negeri itu. Takat Undang-Undang Persekutuan yang digubal oleh Parlimen adalah menyeluruh sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 74(b), bahawa Parlimen boleh membuat undang-undang bagi keseluruhan atau mana-mana bahagian Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa di luar dan juga dalam Persekutuan.

           

 


Tiada ulasan: