Penulis: Mohd Nadzri bin Haji Abdul Rahman P.M.C (NSDK)
HMTS WP Kuala Lumpur
1.
PENDAHULUAN
1.1.
Pertengahan tahun 2009 dahulu kita pernah dikejutkan dengan kes yang
membabitkan Muhammad Syafiq Abdul Wahab, seorang pemuda berusia 20
tahun yang pada mulanya telah dihukum 10 sebatan selepas mengaku bersalah
merompak seorang pelajar menggunakan pisau. Akhbar
The Star pada 26 Jun 2009 telah melaporkan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah
menjatuhkan hukuman sebat ke atas Mohammad Syafiq di mana hukuman sebatan akan
dijalankan oleh Hakim sendiri. Hukuman
tersebut kemudiannya digantikan dengan
hukuman 200 jam khidmat masyarakat termasuk mencuci tandas serta membersihkan
taman awam dan tapak pasar malam.[2]
1.2 Satu ketika juga sekitar
2008, kita dikejutkan juga dengan satu kes Syariah yang membabitkan Kartika
Sari Dewi Sukarno yang diarah menjalani hukuman khidmat masyarakat di Rumah
kanak-kanak Tengku Ampuan Fatimah di Alor Akar, Kuantan atas perkenan Sultan
Pahang, Sultan Ahmad Shah bagi menggantikan hukuman enam sebatan atas kesalahan
meminum arak.[3]
1.3 Terdahulu, Berita Harian
pada 12 Julai 2007 melaporkan bahawa Timbalan menteri pada masa itu, Datuk Wira
Abu Seman Yusop telah mengumumkan bahawa pesalah yang dikenakan hukuman penjara
kurang daripada tiga bulan dibenar melaksanakan hukuman alternatif dengan
melakukan kerja komuniti harian. Laporan berita
tersebut mengulas bahawa langkah itu adalah tepat pada masanya kerana pasti
memberikan kebaikan dalam pelbagai aspek. Manfaatnya antara lain dapat
menyelamatkan wang rakyat daripada dibelanjakan membiayai banduan, mengurangkan
kesesakan dalam penjara, mendekatkan pesalah kepada kerja kebajikan dan yang
terpenting dapat mengelakkan pesalah terbabit daripada igauan trauma institusi
penjara.[4]
1.4 Isu hukuman alternatif bukanlah satu isu
baru di negara kita. Perkara ini telah menjadi perbincangan utama ilmuan dari pelbagai disiplin ilmu termasuklah dari
kalangan orang awam sejak dahulu. Di
peringkat mahkamah sivil, perkara ini telah lama dilaksanakan. Sistem parol
juga telah diperkenalkan sejak 2008 sebagai alternatif kepada hukuman penjara
yang semakin sesak. Di Mahkamah Syariah, ia masih asing walau pun telah ada
beberapa kes yang dilaksanakan.
1.5 Bagi tujuan Bengkel ini, kertas ini cuba
mengupas sedikit sebanyak mengenai hukuman alternatif khususnya dari perspektif
Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan).
2.
HUKUMAN
DARI PERSPEKTIF SYARAK
2.1 Dalam
sistem perundangan Islam, hukuman disebut sebagai 'uqubah, iaitu perkataan Arab yang
yang berasal dari kata akarnya 'aqb yang bermaksud ‘suatu perkara yang datang selepas yang lain’; ini kerana, hukuman
menyusuli pelanggaran had yang ditetapkan oleh syariah. Inilah sebabnya kenapa
Undang-undang Jenayah Islam dipanggil 'uqubah.[5]
'Abd
al-Qadir 'Awdah mendefinisikan 'uqubah
sebagai ‘satu balasan yang ditetapkan
oleh syarak ke atas mereka yang melanggar dan mengingkari perintah Allah dengan
tujuan untuk menjaga kemaslahatan umum.’[6]
Menurut
Ibn Humam pula, hukuman atau 'uqubah
ialah langkah pencegahan sebelum kesalahan dilakukan dan menjadi balasan
selepas melakukannya. Kesan dari pengetahuan mengenai peruntukan undang-undang
yang menghalang perlakuan jenayah dan jika jenayah telah dilakukan ada
peruntukan yang akan mencegah penjenayah daripada mengulangi perbuatannya.
2.2 Dari
takrifan-takrifan tersebut bolehlah dirumuskan bahawa segala bentuk hukuman
yang dipraktikkan dianggap sebagai satu balasan dari Allah, yang ditetapkan
melalui wahyu-Nya ke atas mereka yang melanggar segala perintah larangan dan
meninggalkan segala suruhanNya dan ia mempunyai kaitan rapat dengan keseluruhan
corak kehidupan agama Islam itu sendiri. Hukuman disyariatkan dengan tegas demi
menjaga kepentingan kehidupan yang sempurna seperti yang dituntut oleh Islam,
kehidupan manusia mesti diatur sesuai dengan fitrah manusia sendiri agar ia
tidak malampaui batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak
3.
FALSAFAH HUKUMAN MENURUT PANDANGAN SYARAK
3.1
Secara umumnya, setiap perbuatan baik atau jahat pasti akan mendapat
balasannya tersendiri sama ada balasan di dunia atau akhirat. Apa-apa kesalahan
yang dilakukan bertentangan dengan hukum Syarak atau undang-undang yang digubal
untuk mengawal selia kehidupan manusia yang selaras dengan hukum Syarak
mempunyai bentuk hukumannya yang telah digariskan dalam Al-Quran dan sunnah
sebagai panduan. Dalam ayat 7-8, surah al-Zalzalah
Allah S.W.T. berfirman–[7]
`yJsù
ö@yJ÷èt
tA$s)÷WÏB >o§s #\øyz
¼çntt ÇÐÈ `tBur
ö@yJ÷èt
tA$s)÷WÏB ;o§s #vx©
¼çntt ÇÑÈ
‘maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan
dilihatnya (dalam surat amalnya) dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah,
nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)’
3.2
Menurut perspektif Islam, hukuman dalam Islam bertujuan untuk menimbulkan
rasa keinsafan serta menguji keimanan, ketaatan dan penyerahan diri kepada
Allah s.w.t. Ia berasaskan kepada prinsip-prinsip asas seperti yang berikut:[8]
(a) berasaskan panduan Allah dan bukannya
hasil pemikiran manusia manakala dalam kes-kes yang melibatkan hukuman
ta’zir, budi bicara hakim masih tertakluk kepada panduan al-Quran dan
sunnah untuk memastikan kesempurnaan dan keberkesanan hukuman;
(b) berteraskan pemeliharaan lima aspek kehidupan
iaitu menjaga agama, nyawa, akal fikiran, keturunan dan harta benda. Menurut
Imam al-Ghazali, sesuatu yang termasuk dalam penjagaan kelima-lima aspek
kehidupan ini dikatakan maslahah; dan
(c) menggabungkan hukuman dunia dan hukuman
akhirat. Islam tidak hanya bergantung kepada hukuman dunia semata-mata malah
memberi penekanan terhadap hukuman akhirat iaitu dalam bentuk amaran yang lebih
ketat.
4. OBJEKTIF HUKUMAN TERHADAP PESALAH
4.1 Objektif sesuatu hukuman yang dikenakan
ke atas pesalah antara lain adalah bertujuan untuk [9]–
(a) mengelakkan pesalah daripada mengulangi kesalahan;
(b)
memberikan pengajaran kepada orang lain supaya tidak melakukan kesalahan
yang sama;
(c)
melindungi keselamatan dan kepentingan awam termasuk nyawa, akal, keturunan
dan harta benda;
(d) memelihara maruah
dan kedaulatan agama; dan
(e) memberikan
hukuman yang setimpal di atas jenayah atau kesalahan yang dilakukan oleh
seseorang pesalah.
5.
BIDANG KUASA HUKUMAN DI MAHKAMAH SYARIAH
5.1
Di Malaysia, mahkamah Syariah mempunyai
bidang kuasa bagi perkara-perkara tertentu yang berada di bawah bidang
kuasa mal atau bidang kuasa jenayah. Bidang
kuasa tersebut termaktub dalam butiran 1, Senarai Kedua, Jadual Kesembilan,
Perlembagaan Persekutuan.
5.2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah) 1965 Seksyen 2 (Disemak-1988) [Akta 355] adalah terpakai kepada
semua Mahkamah Syariah di negeri-negeri yang menghadkan kuasa tersebut. Seksyen
2 Akta 355 memperuntukkan:
Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di
bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke
atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana
perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam
Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi
bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama
Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di
bawah mana-mana undang-undang bertulis:
Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah
boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara
selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau
sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.”.
6.
HUKUMAN ALTERNATIF
6.1
Hukuman alternatif adalah termasuk di bawah kategori hukuman ta’zir. Hukuman alternatif adalah
hukuman yang mengandungi unsur-unsur pemulihan selain daripada denda, sebatan
dan penjara seperti kaunseling, kerja khidmat masyarakat, kelas fardhu ain,
kelas pemantapan akidah dan program di masjid.[10] Hukuman alternatif juga
didefinisikan sebagai satu perintah ke atas seorang pesalah untuk melakukan
sesuatu, sama ada secara afirmatif
atau peninggalan seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang.[11]
6.2 Hukuman alternatif adalah perlu kerana pelbagai manfaat dapat
diperoleh daripada pelaksanaan hukuman ini. Ia tidak menjejaskan kehidupan
pesalah dalam masyarakat apabila ia berfungsi sebagai alternatif kepada hukuman
pemenjaraan. Selain itu, hukuman alternatif dalam bentuk perintah pemulihan
juga memberi ruang kepada pesalah-pesalah untuk memperbaiki diri supaya menjadi
warga yang patuh terhadap undang-undang dan hukum syarak. Ia juga merupakan
suatu bentuk pendidikan kepada pesalah-pesalah supaya mereka dapat dibentuk
menjadi insan yang berguna menerusi ilmu yang disampaikan dan pengalaman
melakukan kerja kebajikan. Ia juga dapat meningkatkan fungsi masjid dan ahli
kariah dalam proses pemulihan. Disamping itu, pesalah-pesalah juga boleh
meneruskan kehidupan untuk bekerja bagi menyara diri serta keluarga dalam
tempoh menjalani pemulihan yang telah ditetapkan oleh mahkamah. Ia juga dapat
menjimatkan perbelanjaan yang terlibat dalam pelaksanaan hukuman pemenjaraan
selain boleh menjadi penyelesaian kepada gejala
sosial kerana terdedah kepada suasana pemulihan diri.[12]
6.3
Dalam perbincangan fiqh, hukuman
alternatif dirujuk sebagai ‘uqubah
badaliyyah iaitu hukuman ganti apabila hukuman asal tidak dapat
dilaksanakan kerana tidak memenuhi elemen yang diperlukan untuk menjatuhkannya.[13]
Misalnya apabila elemen-elemen yang dikehendakki untuk mengenakan hukuman hudud
telah tidak dipenuhi (contoh wujud keraguan dalam kes zina atau pencuri yang
bertangan kudung), maka sebagai gantinya, hukuman berbentuk ta’azir
boleh dikenakan seperti penjara. Begitu juga dalam kes membabitkan hukuman qisas.
Sebagai alternatif kepada qisas, diyat boleh dikenakan dalam kes
sengaja apabila mangsa atau keluarganya memaafkan pesalah.[14]
6.4
Menurut, Dr Siti
Zubaidah Ismail,[15]
Dalam konteks Mahkamah Syariah, istilah hukuman alternatif boleh memberi
pelbagai maksud, antaranya ialah:
(i)
alternatif atau ganti kepada kegagalan membayar denda
yang dikenakan, maka sebagai alternatif pesalah akan dipenjarakan; atau
(ii)
ganti hukuman lain yang
difikirkan sesuai apabila membabitkan pesalah kali pertama dan juga pesalah
juvana, tertakluk kepada bon jaminan yang dikeluarkan;
(iii)
pusat pemulihan akhlak
atau pemulihan akidah di pusat bimbingan Islam sebagai ganti hukuman asal (setakat
ini hanya wujud di Selangor).[16]
6.5 Dalam konteks semasa pula, di mahkamah
sivil, hukuman alternatif ini dikaitkan dengan perintah khidmat masyarakat.
Hukuman sebegini ditujukan kepada Pesalah Muda yang berumur 18 tahun ke atas
dan dibawah umur 21 tahun yang mana perintah khidmat masyarakat itu dikeluarkan oleh mahkamah. Jabatan Kebajikan
Masyarakat akan menentukan institusi
yang sesuai untuk mereka menjalani khidmat masyarakat (membabitkan aktiviti
pembersihan, perapian, pelayanan dan sebagainya) seperti rumah orang tua, pusat pemulihan OKU, rumah kanak-kanak, rumah
anak yatim dan lain-lain. Perintah Khidmat Masyarakat ini bertujuan untuk
mencegah pesalah muda daripada mengulangi kesalahan jenayah pada masa hadapan,
Elemen yang terkandung di dalam perintah khidmat masyarakat ini adalah:
(a) Hukuman (punishment)-
melalui pelucutan masa lapang pesalah dan memberikan suatu tanggungjawab ke
atas mereka untuk dilaksanakan. Hukuman yang diberikan bukan mengikut
keselesaan dan keperluan pesalah tetapi berdasarkan kesesuaian;
(b)
Pemulihan (rehabilitation)-
dengan merangsang tanggungjawab sosial dan menjadikan program khidmat
masyarakat sebagai suatu pengalaman berfaedah kepada pesalah muda;
(c)
Penginsafan (reparation)-
dengan mewujudkan ruang bagi pesalah muda menjalani pemulihan akhlak dan
menawarkan faedah nyata kepada masyarakat.[17]
7
HUKUMAN
ALTERNATIF DI BAWAH UNDANG-UNDANG SYARIAH DI MALAYSIA
7.1 Kuasa Mahkamah Syariah untuk melaksanakan
hukuman alternatif boleh didapati dalam
Akta/Enakmen Tatacara Jenayah Syariah dan Enakmen/ Akta Kesalahan Jenayah Syariah di
setiap negeri di Malaysia. Semua Negeri kecuali Kedah dan Perlis telah menerima
dan menguatkuasakan Akta/Enakmen Tatacara dan Kesalahan Jenayah Syariah di bawah model
undang-undang seragam yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-raja. Di Wilayah
persekutuan misalnya, rujukan dibuat kepada Akta Tatacara Jenayah Syariah
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 560] dan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah persekutuan) 1997 [Akta
559]. Didapati ada tujuh ruang di mana hukuman alternatif boleh direalisasikan.
(a)
Pemenjaraan Sebagai Alternatif Kegagalan Membayar denda
Apabila
seseorang pesalah dikenakan hukuman denda dan gagal atau enggan melunaskannya,
maka mahkamah boleh, sebagai alternatif, mengarahkan agar pesalah tersebut
dipenjarakan. Seksyen 122(1)(b) Akta 560
menjelaskan tempoh pemenjaraan yang boleh dikenakan. Seksyen tersebut
memperuntukkan:
(b)
tempoh yang baginya Mahkamah mengarahkan pesalah
itu dipenjarakan kerana keingkaran membayar denda tidak boleh melebihi skala
yang berikut:
(i)
jika kesalahan itu
boleh dihukum dengan pemenjaraan –
|
||
Jika tempoh maksimum pemenjaraan -
|
Tempohnya tidak boleh melebihi -
|
|
tidak melebihi enam bulan
|
tempoh maksimum pemenjaraan
|
|
melebihi enam bulan tetapi tidak melebihi dua
tahun
|
enam bulan
|
|
melebihi dua tahun
|
satu perempat daripada tempoh maksimum
pemenjaraan
|
|
8 Jika kesalahan itu tidak boleh dihukum dengan pemenjaraan -
|
||
Jika denda itu-
|
Tempohnya tidak boleh
melebihi
|
|
tidak melebihi dua ratus ringgit
|
satu bulan
|
|
melebihi dua ratus ringgit tetapi tidak melebihi lima ratus
ringgit
|
dua bulan
|
|
melebihi lima ratus ringgit
|
enam bulan
|
|
(c) hukuman pemenjaraan yang dikenakan
kerana keingkaran membayar denda hendaklah tamat bilamana denda itu sama ada
dibayar atau dilevikan melalui proses undang-undang;
(d) jika, sebelum habis tempoh hukuman
pemenjaraan yang ditetapkan kerana keingkaran membayar denda, apa-apa bahagian
denda itu dibayar atau dilevikan sehinggakan tempoh pemenjaraan yang dijalani
kerana keingkaran membayar denda itu adalah tidak kurang kadarnya berbanding
bahagian denda yang masih tidak dibayar itu, maka hukuman penjara itu hendaklah
ditamatkan;
(e) denda itu, atau mana-mana bahagiannya
yang masih tidak dibayar, bolehlah dilevikan pada bila-bila masa dalam masa
enam tahun selepas hukuman itu dijatuhkan, dan kematian pesalah itu hendaklah
melepaskannya daripada denda itu.
(2) Waran untuk melevikan sesuatu denda boleh
dilaksanakan di mana-mana tempat di Malaysia, tetapi jika ia dikehendaki
dilaksanakan di luar Wilayah-Wilayah Persekutuan, ia hendaklah diendorskan bagi
maksud itu oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah atau Hakim Mahkamah
Rendah Syariah.
(b) Hukuman
Terhadap Pesalah Muda
Hakim boleh memberikan
pertimbangan yang khusus apabila melibatkan pesalah muda yang berusia di bawah
18 tahun. Anggapan umum ialah pesalah muda seelok-eloknya dielakkan daripada
hukuman penjara atau diasingkan daripada banduan dewasa kerana mereka lebih
memerlukan kepada pemulihan dan pendidikan. Ini telah mendorong kepada
penubuhan institusi khusus untuk pesalah kanak-kanak yang di bawah kelolaan
Jabatan Kebajikan Masyarakat seperti Sekolah Tunas Bakti (Jenayah biasa) dan di
bawah kelolaan Jabatan Penjara Malaysia seperti sekolah Henry Gurney (jenayah
berat)
Bagi Pesalah Muda
Syariah, suatu teguran wajar boleh diberikan ataupun bon berkelakuan baik boleh
dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah dengan jaminan daripada kedua ibu bapa atau
penjaganya, tertakluk kepada jenis kesalahan yang disabitkan. Selain itu, ibu
bapa yang didapati cuai sehingga mengakibatkan anaknya terbabit dengan
kesalahan jenayah Syariah juga boleh dikenakan denda yang tidak melebihi dua
ratus ringgit. Seksyen 128 Akta 560 memperuntukkan:
(1) Apabila
mana-mana pesalah muda disabitkan di hadapan mana-mana Mahkamah atas apa-apa
kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman denda atau pemenjaraan, Mahkamah
itu hendaklah, sebagai ganti apa-apa
tempoh pemenjaraan kerana keingkaran membayar denda atau hukuman pemenjaraan -
(a) memerintahkan
pesalah itu dilepaskan selepas teguran wajar diberikan jika difikirkan patut
oleh Mahkamah; atau
(b) memerintahkan
pesalah itu diserahkan kepada ibu atau bapa atau penjaganya atau saudara
dewasanya yang terdekat atau kepada mana-mana orang lain, sebagaimana yang
ditetapkan oleh Mahkamah, apabila ibu atau bapa, penjaga, waris atau orang lain
itu menyempurnakan bon dengan penjamin, sebagaimana yang dikehendaki oleh
Mahkamah, bahawa dia akan bertanggungjawab bagi kelakuan baik pesalah itu
selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua belas bulan atau, tanpa
menghendaki mana-mana orang mengikat apa-apa bon, membuat suatu perintah
berkenaan dengan pesalah itu yang memerintahnya supaya berkelakuan baik selama
apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua tahun dan mengandungi apa-apa arahan
kepada pesalah itu mengikut jenis syarat-syarat yang disebut dalam perenggan
130 (a), (b) dan (c) yang difikirkan oleh Mahkamah itu patut diberikan.
(2) Mahkamah yang
di hadapannya seorang pesalah muda disabitkan boleh, sebagai tambahan atau
sebagai ganti menghukum pesalah itu mengikut cara yang diperuntukkan dalam
seksyen ini, mengenakan ke atas ibu atau bapa atau penjaganya denda yang tidak
melebihi dua ratus ringgit dalam mana-mana kes yang Mahkamah itu, selepas
siasatan ringkas, berpuas hati bahawa ibu atau bapa atau penjaga itu telah,
dengan sebab mereka cuai dalam menjaganya dengan sepatutnya atau selainnya,
menyumbang kepada salah laku pesalah itu:
Dengan syarat bahawa tiada ibu atau bapa atau penjaga boleh didenda tanpa dia diberi peluang untuk didengar dan, jika dia berhasrat demikian, mengemukakan keterangan untuk membela dirinya.
(c) Hukuman Terhadap
Pesalah Kali Pertama
Pertimbangan untuk
meringankan hukuman juga boleh diberikan oleh hakim apabila melibatkan pesalah
kali pertama. Hukuman itu hendaklah sesuatu yang dianggap suaimanfaat untuk pesalah
berkenaan dengan mengambilkira latarbelakang pesalah itu. Lazimnya hukuman ini
membabitkan perintah berkelakuan baik. Seksyen 129 Akta 560 memperuntukkan:
(1) Apabila
mana-mana orang yang bukan seorang pesalah muda telah disabitkan di hadapan
mana-mana Mahkamah atas apa-apa kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman
pemenjaraan, maka jika didapati oleh Mahkamah itu bahawa dengan mengambil kira watak, latar belakang, umur, kesihatan
atau keadaan mental pesalah itu atau
kepada hakikat ringannya jenis kesalahan itu atau kepada apa-apa hal keadaan
peringan yang dalamnya kesalahan itu telah dilakukan adalah suaimanfaat bahawa
pesalah itu dilepaskan dalam cubaan
akhlak untuk berkelakuan baik, Mahkamah boleh, dengan tidak menghukumnya
serta-merta dengan apa-apa hukuman, mengarahkan supaya pesalah itu dilepaskan
apabila dia mengikat bon dengan penjamin-penjamin dan sepanjang apa-apa tempoh
sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah untuk hadir dan menerima penghakiman
jika dan apabila dipanggil dan sementara itu hendaklah berkelakuan baik.
(2) Jika
Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk memperlakukan pesalah itu berkenaan dengan
kesalahan asalnya berpuas hati bahawa pesalah itu telah tidak mematuhi
mana-mana syarat bonnya, ia bolehlah mengeluarkan suatu waran bagi
pemberkasannya.
(3) mana-mana
pesalah apabila diberkas dengan mana-mana waran sedemikian hendaklah, jika
tidak dibawa dengan serta-merta ke hadapan Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk
menghukumnya, dibawa ke hadapan seorang Hakim, dan Hakim itu boleh sama ada
menahannya melalui waran sehingga masa dia dikehendaki oleh bonnya untuk hadir
bagi penghakiman atau sehingga bersidangnya Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk
menguruskan kesalahan asalnya, atau boleh membenarkan dia mengikat jamin dengan
penjamin yang mencukupi dengan syarat dia hadir bagi penghakiman.
(4) Pesalah
itu, apabila ditahan sedemikian, boleh dipenjarakan dan waran tahanannya
hendaklah memerintahkan supaya dia dibawa ke hadapan Mahkamah yang di
hadapannya dia terikat untuk hadir bagi penghakiman atau untuk memberikan
jawapan tentang kelakuannya sejak dia dilepaskan.
(d) Hukuman Alternatif Bagi Pesalah Wanita
Yang Disabitkan Kesalahan Berkaitan Tatasusila
Bagi
wanita yang telah disabitkan dengan kesalahan berkaitan tatasusila seperti sumbang
mahram, pelacuran, persetubuhan dan sebagainya, Mahkamah boleh
menggantikan hukuman asal atau hukuman
tambahan daripada hukuman asal dengan
mengkomitkan wanita itu ke pusat bimbingan bersekali dengan hukuman penjara. Seksyen
56 Akta 559 memperuntukkan:
Jika Mahkamah telah mensabitkan mana-mana
orang perempuan atas suatu kesalahan di bawah Bahagian IV, Mahkamah itu boleh, sebagai ganti atau sebagai tambahan
bagi apa-apa hukuman yang ditentukan bagi kesalahan itu, memerintahkan orang
perempuan sedemikian dikomitkan ke suatu rumah diluluskan selama apa-apa tempoh
yang tidak melebihi enam bulan sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu;
tetapi jika apa-apa tempoh pemenjaraan dikenakan sekali dengan komital itu,
tempohnya tidaklah boleh melebihi agregat tiga tahun.
(e)
Hukuman Alternatif bagi Pesalah terbabit Dengan Kesalahan
Akidah
Seksyen
55 Akta 559 menetapkan kuasa mahkamah untuk mengkomitkan orang yang disabitkan
sebagai pesalah akidah ke pusat pemulihan akidah,[18]
iaitulah mereka yang terbabit dengan kesalahan pemujaan salah, mendakwa orang bukan Islam untuk mengelak tindakan,
takfir, doktrin palsu dan dakwaan
palsu. Seksyen tersebut menyebut:
Jika Mahkamah telah mensabitkan mana-mana
orang atas suatu kesalahan di bawah Bahagian II atau di bawah seksyen 7, 8, 9
atau 31, Mahkamah itu boleh, sebagai
ganti hukuman atau sebagai tambahan bagi apa-apa hukuman yang ditentukan
bagi kesalahan itu, memerintahkan mana-mana orang sedemikian dikomitkan ke
pusat pemulihan diluluskan untuk menjalani apa-apa kaunseling atau pemulihan
selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi enam bulan sebagaimana yang
dinyatakan dalam perintah itu; tetapi jika apa-apa hukuman pemenjaraan
dikenakan sekali dengan kaunseling atau pemulihan, tempohnya tidaklah boleh
melebihi agregat tiga tahun
(f)
Kuasa YDPA Meringankan Hukuman
Seksyen 133 Akta 560 memperuntukkan Kuasa untuk meringankan
hukuman. Seksyen tersebut menyebut:
Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Mufti boleh, tanpa persetujuan orang yang telah dihukum, meringankan mana-mana satu daripada hukuman yang berikut dengan menggantikannya dengan mana-mana hukuman yang disebut selepasnya, iaitu -
(a)
sebat;
(b)
pemenjaraan;
(c)
denda.
(g)
Kuasa Di Bawah Akta Tatacara Jenayah Syariah
Selain
daripada enam peruntukan yang terdapat di bawah Akta 559, Akta 560 juga memberikan
sedikit ruang untuk Mahkamah Syariah mempertimbangkan hukuman terhadap pesalah
yang dibicarakan. Seksyen 97 Akta 559 memberikan kuasa untuk mahkamah
melepaskan pesalah yang telah dibuktikan bersalah, tetapi belum disabitkan.[19]
Seksyen tersebut memperuntukkan:
(1) Walau apa pun apa-apa jua yang
terkandung dalam seksyen 96, Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa yang terkandung
dalam seksyen ini.
(2) Apabila mana-mana orang dipertuduh di
hadapan Mahkamah atas suatu kesalahan yang boleh dihukum oleh Mahkamah itu, dan
Mahkamah mendapati bahawa pertuduhan itu telah dibuktikan, tetapi berpendapat
bahawa dengan mengambil kira watak,
latar belakang, umur, kesihatan atau keadaan
mental orang yang dipertuduh itu, atau kepada hakikat ringannya jenis
kesalahan itu, atau kepada hal keadaan peringan yang dalamnya kesalahan itu
telah dilakukan, adalah tak suaimanfaat untuk mengenakan apa-apa hukuman selain
daripada suatu hukuman nominal atau bahawa adalah suaimanfaat melepaskan pesalah
itu dalam cubaan akhlak, Mahkamah boleh, tanpa merekodkan suatu sabitan,
membuat perintah -
(a) membuang pertuduhan atau aduan itu selepas apa-apa teguran atau
amaran kepada pesalah itu sebagaimana yang difikirkan patut oleh Mahkamah;
(b)
memerintahkan pesalah itu ditahan di suatu rumah kebajikan yang diluluskan oleh Majlis selama
apa-apa tempoh yang tidak melebihi enam bulan sebagaimana yang difikirkan patut
oleh Mahkamah; atau
(c) melepaskan pesalah itu dengan syarat dia mengikat bon, dengan
penjamin-penjamin, untuk berkelakuan baik selama apa-apa tempoh, yang tidak
melebihi tiga tahun, sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu, dan hadir
supaya direkodkan sabitan dan dijatuhkan hukuman apabila dipanggil pada
bila-bila masa dalam tempoh itu.
(3) Mahkamah boleh, sebagai tambahan kepada
mana-mana perintah itu, memerintahkan pesalah itu membayar apa-apa pampasan
bagi kecederaan atau bagi kerugian, yang tidak melebihi jumlah wang satu ribu
ringgit, atau membayar apa-apa kos prosiding itu sebagaimana yang difikirkan
munasabah oleh Mahkamah atau membayar pampasan dan kos itu kedua-duanya.
(4) Jika Mahkamah berpuas hati melalui
maklumat yang diberikan dengan sumpah bahawa pesalah itu tidak mematuhi
mana-mana syarat bonnya, ia boleh mengeluarkan waran bagi pemberkasan pesalah
itu.
(5) Mana-mana pesalah apabila diberkas
dengan mana-mana waran sedemikian hendaklah, jika tidak dibawa dengan
serta-merta ke hadapan Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menghukumnya, dibawa
ke hadapan seorang Hakim yang boleh -
(a)
sama ada menahannya melalui waran sehingga masa
dia dikehendaki oleh bonnya untuk hadir bagi penghakiman atau sehingga
bersidangnya Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menguruskan kesalahan asalnya,
mengikut mana-mana yang berlaku dahulu; atau
(b)
membenarkan dia diikat jamin dengan penjamin
yang mencukupi dengan syarat dia hadir bagi penghakiman.
(6) Pesalah
itu, apabila ditahan sedemikian, boleh dipenjarakan dan waran tahanannya
hendaklah memerintahkan bahawa dia hendaklah dibawa ke hadapan Mahkamah yang di
hadapannya dia terikat untuk hadir bagi penghakiman atau untuk memberikan
jawapan tentang kelakuannya sejak dia dilepaskan.
7.2 Dari penjelasan di atas, kita dapati hanya terdapat dua
ruang Kuasa bagi Mahkamah Syariah
berhubung dengan perintah alternatif bagi tujuan bengkel ini, iaitu –
(i) kuasa mahkamah untuk mengkomitkan orang yang disabitkan
ke pusat pemulihan diluluskan hanyalah terhad kepada kesalahan tertentu di
bawah seksyen 55 Akta 559;[20]
dan
(ii) Perintah untuk
berkelakuan baik seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 128 (pesalah muda) dan seksyen 129 Akta 560[21]
(pesalah kali pertama)
8.
KAEDAH
PELAKSANAAN HUKUMAN ALTERNATIF DI MAHKAMAH SYARIAH
8.1 Kaedah pelaksanaan
hukuman alternatif di Mahkamah Syariah boleh dilihat dari sudut pengeluaran bon
berkelakuan baik dan menjaga keamanan dan perintah pemulihan akhlak dan akidah yang dikeluarkan.
8.1.1
Bon
Berkelakuan Baik Dan Menjaga Keamanan
(a)
Perintah hukuman
alternatif di Mahkamah Syariah lazimnya
membabitkan bon, iaitu sama ada berkelakuan baik atau bon menjaga
keamanan. Melalui pengeluaran bon ini, syarat-syarat pengawasan kepada pesalah
boleh dikenalpasti. Seksyen 130 Akta 560
menetapkan seperti berikut:
Apabila mana-mana orang dikehendaki oleh
mana-mana Mahkamah supaya menyempurnakan suatu bon dengan penjamin-penjamin,
dan dalam bon itu orang yang menyempurnakannya mengikat dirinya untuk menjaga
keamanan atau mengikat dirinya untuk berkelakuan baik, Mahkamah boleh
menghendaki supaya dimasukkan dalam bon itu satu daripada syarat-syarat yang
berikut atau lebih, iaitu –
(a)
suatu syarat bahawa orang itu hendaklah berada di bawah pengawasan
seseorang lain yang dinamakan dalam bon itu selama apa-apa tempoh yang
dinyatakan dalamnya;
(b)
apa-apa syarat bagi
memastikan apa-apa pengawasan yang difikirkan oleh Mahkamah patut dikenakan;
(c)
apa-apa syarat mengenai
tempat kediaman, pekerjaan, pergaulan, penjauhan daripada minuman keras atau
dadah atau mengenai apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Mahkamah patut
dikenakan.
(b)
Sungguhpun demikian, Mahkamah perlu juga menyemak
sama ada penjamin yang hendak diperakui itu dapat menjamin pesalah akan
berkelakuan baik sepanjang masa yang ditetapkan iaitu tidak melebihi dua belas
bulan.
(c)
Menurut seksyen 129 Akta
560, apabila seseorang disabitkan dengan kesalahan yang boleh dihukum dengan
hukuman pemenjaraan, maka pesalah itu boleh dilepaskan dalam cubaan akhlak
untuk berkelakuan baik.
(d)
Namun, faktor-faktor
tertentu perlu diambil kira sebelum hukuman ini dijatuhkan. Cubaan akhlak untuk
berkelakuan baik boleh ditafsirkan sebagai perintah pemulihan. Mahkamah
perlu menjelaskan hukuman tersebut kepada pesalah dengan menyatakan bentuk
pemulihan yang perlu dijalani dan tempoh yang perlu disempurnakan. Selain itu,
hakim perlu memerintahkan badan-badan tertentu yang perlu memantau pesalah-pesalah
ini.
8.1.2
Perintah
Pemulihan Akhlak Dan Akidah
(a)
Selain bon, kaedah
pelaksanaan hukuman alternatif di Mahkamah Syariah juga boleh dibuat dengan memerintahkan
agar pesalah dihantar ke pusat pemulihan. Sesuatu yang menarik untuk kita beri
perhatian ialah apabila Pesalah Syariah diperintahkan dihantar ke pusat
pemulihan atau pusat bimbingan Islam yang ada untuk menjalani bimbingan moral
dan akidah. Atas premis bahawa pelanggaran undang-undang adalah suatu maksiat
akhlak dan juga akidah, maka pertimbangan diberikan oleh mahkamah agar pesalah
itu sebagai ganti kepada pemenjaraan (mengelak daripada bergaul dengan banduan
lain) atau denda- diberi kaunseling, nasihat dan peluang untuk membaiki diri
dari segi rohani. Ini merupakan satu aspek yang boleh diperkembangkan lagi dan
digunakan oleh Mahkamah Syariah.[22]
(b)
Seksyen 55 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan)
1997 [Akta 559] mempunyai kuasa untuk mengkomitkan orang yang disabitkan
kesalahan di bawah Bahagian II (berkaitan akidah) atau di bawah seksyen 7 (menghina
agama Islam), 8 (mempersendakan al-Quran atau hadith), 9 (menghina
pihak berkuasa agama) atau 31 (takfir) Akta tersebut ke pusat
pemulihan untuk menjalani apa-apa kaunseling atau pemulihan. Seksyen 55 Akta
559 memperuntukkan:
Jika Mahkamah telah mensabitkan
mana-mana orang atas suatu kesalahan di bawah Bahagian II atau di bawah seksyen
7, 8, 9 atau 31, Mahkamah itu boleh, sebagai ganti hukuman atau sebagai
tambahan bagi apa-apa hukuman yang ditentukan bagi kesalahan itu, memerintahkan
mana-mana orang sedemikian dikomitkan ke pusat pemulihan diluluskan untuk
menjalani apa-apa kaunseling atau pemulihan selama apa-apa tempoh yang tidak
melebihi enam bulan sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu; tetapi jika
apa-apa hukuman pemenjaraan dikenakan sekali dengan kaunseling atau pemulihan,
tempohnya tidaklah boleh melebihi agregat tiga tahun.
(c)
Selain itu Mahkamah Syariah juga berkuasa mengeluarkan perintah untuk berkelakuan baik seperti yang
diperuntukkan dalam seksyen 128 (pesalah
muda) dan seksyen 129 Akta 560 (pesalah
kali pertama).
9.
HUKUMAN ALTERNATIF SELAIN AKTA 559 DAN AKTA 560
9.1 Persoalan yang timbul ialah sama ada boleh atau tidak kuasa Mahkamah Syariah diperluaskan untuk
mengeluarkan perintah alternatif berbentuk pemulihan/ pendidikan/perintah
komuniti kepada semua pesalah selain
yang disabitkan di bawah kesalahan jenayah Syariah di bawah Akta 560 dan
Akta 559 seperti kesalahan di bawah Akta
303 atau undang-undang bertulis lain sebagai suatu hukuman alternatif atau tambahan
kepada hukuman sedia atau gabungan kepada hukuman-hukuman tersebut?
9,2 Saya berpendapat walaupun tajuk seksyen 129 menyebutkan mengenai Pesalah
Pertama, namun kandungan seksyen berkenaan tidaklah terikat kepada pesalah
pertama sahaja. Akta 560 adalah undang-undang prosedur umum yang terpakai untuk
semua bentuk kesalahan yang dibicarakan di Mahkamah Syariah. Justeru itu, seksyen
129 sudah tentunya boleh digunakan terhadap semua pesalah (selain pesalah muda)
yang boleh dihukum dengan pemenjaraan termasuklah kesalahan-kesalahan penalti
di bawah Akta Undang-Undang Keluarga [Akta 303] dan perintah-perintah
pemenjaraan yang melibatkan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah serta
penghinaan mahkamah.
9.3 Dari segi
falsafah hukuman Syariah pula, hukuman
alternatif berbentuk pemulihan
adalah salah satu bentuk hukuman yang selaras dengan prinsip asas dan objektif
hukuman dalam Islam.
9.4 Ia bertujuan untuk menjaga maslahah manusia
dan merupakan suatu bentuk hukuman yang bukan hanya dapat menghukum pesalah
tetapi merupakan suatu bentuk pendidikan dan proses tarbiyyah diri.
Bentuk hukuman yang dibuat melalui perintah pemulihan seperti ini merupakan
suatu pendekatan yang baik dan murni dan amat penting dalam usaha untuk
menimbulkan rasa keinsafan dan kesedaran diri yang tinggi di kalangan
pesalah-pesalah supaya tidak lagi mengulangi untuk melakukan kesalahan.
9.5 Perintah pemulihan yang dicadangkan ini
adalah suatu perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah sebagai suatu
hukuman alternatif atau tambahan kepada hukuman sedia ada. Penguatkuasa,
Pendakwa, peguam Syarie dalam kes penguatkuasaan perintah atau pesalah sendiri
boleh memohon kepada Hakim untuk
mengeluarkan perintah pemulihan di bawah seksyen 129 Akta 560 sebagai hukuman
alternatif atau tambahan kepada hukuman sedia ada di bawah undang-undang
kesalahan syariah, undang-undang keluarga Islam dan lain-lain
undang-undang di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah bertepatan dan mengikut kehendak hukum
Syarak.
10.
BENTUK HUKUMAN ALTERNATIF
10.1
Di bawah seksyen 55 Akta 559, bentuk hukuman alternatif dinyatakan secara
umum bahawa pesalah boleh dikomitkan ke pusat
pemulihan untuk menjalani apa-apa
kaunseling atau pemulihan. Seksyen tersebut menyebut:
“……….untuk
menjalani apa-apa kaunseling atau pemulihan
selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi enam bulan sebagaimana yang
dinyatakan dalam perintah itu;….”
10.2
Ini bermaksud, hukuman yang
boleh dijalani oleh pesalah mungkin berbentuk kaunseling atau pemulihan. Walau
bagaimanapun, tiada penjelasan lanjut berhubung maksud kaunseling atau
pemulihan yang boleh dikenakan. Oleh itu, pemulihan mungkin boleh dilakukan
dalam pelbagai bentuk yang difikirkan sesuai dan wajar oleh mahkamah.
10.3 ‘Apa-apa kaunseling atau pemulihan’ itu
adalah bentuk hukuman alternatif yang
boleh dikembangkan dan difikirkan untuk kebaikan semua pihak. Antara bentuk
yang dicadangkan ialah:
(a) pemurnian
rohani (pendidikan, ceramah agama, tazkirah, menghadiri kuliah, dsb)
(b) khidmat masyarakat
(melaksanakan kerja-kerja amal, dsb)
(c) kaunseling khusus
(d) pemulihan akidah, kelas
fardhu ain, dsb
(e) program masjid, rumah anak yatim, orang tua dsb.
(f) penganjuran
program-program khusus bagi tujuan pemulihan dll.
11.
TEMPAT
ATAU INSTITUSI BAGI MENGUATKUASAKAN HUKUMAN ALTERNATIF
11.1 Menurut seksyen 54 [Akta 559], Mahkamah boleh menetapkan mana-mana
tempat atau institusi, menjadi pusat pemulihan untuk mengkomitkan orang yang
disabitkan bersalah.Penetapan tempat atau institusi pemulihan itu
hendaklah diwartakan oleh Majlis. Seksyen tersebut menyebut:
Majlis boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, menetapkan mana-mana tempat atau institusi, menjadi pusat pemulihan diluluskan atau rumah diluluskan bagi maksud Akta ini.
11.2
Sungguhpun seksyen ini
agak umum dan tidak menjelaskan dengan lebih lanjut maksud yang
dikehendaki dengan tempat yang boleh
dijadikan sebagai pusat pemulihan, namun, seksyen ini memberi kuasa kepada
Mahkamah untuk memerintahkan mana-mana
tempat yang difikirkan sesuai untuk dijadikan tempat pemulihan bagi pesalah
dengan syarat tempat itu diwartakan.
11.3
Selain dari tempat atau
institusi, Seksyen 56 [Akta 559] juga
menyebut tentang kuasa mahkamah untuk mengkomitkan pesalah perempuan ke ‘rumah’ diluluskan. Rumah diluluskan yang disebut oleh Akta tidak
dijelaskan maksudnya di dalam Akta ini. Rumah tersebut mungkin juga bermaksud
institusi atau badan berkebajikan termasuk masjid sebagaimana yang mungkin
dimaksudkan oleh seksyen 54 Akta yang sama.
11.4
Walau bagaimanapun, Seksyen 56 ini dikhususkan hanya kepada pesalah pere-mpuan
sahaja. Manakala kesalahan yang dimaksudkan pula adalah kesalahan yang
berhubungan dengan kesusilaan iaitu Seksyen 20 sehingga 29 Akta 559. Penetapan maksud ‘rumah
diluluskan’ memerlukan satu garis
panduan yang jelas dan teliti untuk dilaksanakan dalam sistem keadilan jenayah Syariah
di Malaysia.[23]
12.
MEREALISASIKAN HUKUMAN ALTERNATIF MELALUI PERINTAH
MAHKAMAH SYARIAH
12.1 Bagi merealisasikan hukuman alternatif
seperti yang dicadangkan, Agensi-agensi berkaitan perlulah mengambil inisiatif
ke hadapan dan berganding bahu dalam melaksanakannya.
12.2 Institusi kehakiman Syariah seperti JKSM dan
Mahkamah Syariah Negeri-negeri perlulah memainkan peranan penting dalam
memutuskan hukuman yang adil bagi pesalah-pesalah di samping berperanan untuk
memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk berubah ke arah kebaikan melalui perintah pemulihan
yang dikeluarkan mengikut apa yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
12.3 Selain itu Majlis Agama Islam Negeri (MAIN)
juga perlu menyediakan program
komprehensif untuk pemulihan/pendidikan/kaunseling/kerja-kerja amal bagi
memudahkan mahkamah mengeluarkan perintah. Satu Jawatankuasa tertentu perlu dibentuk bagi menyusun dan merangka
program pemulihan atau modul yang berkesan dengan pemantauan yang rapi dalam
melaksanakan Perintah alternatif tersebut.
12.4 Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
(JAWI) perlu bertindak kehadapan dengan memberi perhatian yang lebih kepada
Bahagian-bahagian seliaannya seperti
Penguatkuasaan, Pendakwaan, Masjid, Baitulmal dan sebagainya agar
komitmen dan kerjasama ke arah tujuan tersebut berjalan dengan lancar dan lebih
sistematik.
12.5 Penyediaan modul yang terancang dan teliti
perlu dibuat sebelum langkah pelaksanaan diambil bagi mengelakkan kerumitan
atau masalah sampingan yang bakal timbul.
12.6 Prinsip ‘Blue
Ocean Strategy’ atau BOS perlu diterap antara agensi yang terlibat dalam
menjalinkan kerjasama bagi memastikan hukuman alternatif berjalan dengan baik
dan lancar. Hubungan antara Agensi seperti Mahkamah Syariah, JKSM, JAKIM, JAWI,
Jabatan Kebajikan Masyarakat, institusi
penjara, rumah-rumah pemulihan, rumah anak yatim, rumah orang-orang tua dan
sebagainya perlu dijalin terutamanya dalam merangka modul kerohanian dan
sahsiah diri selain dari kerja-kerja amal yang bakal dilakukan oleh pesalah. ATM
melalui KAGAT (atau PDRM) mungkin patut
dilibat sama dalam memenuhi kehendak modul tersebut.
13. PENUTUP
13.1 Hukuman alternatif seperti pemurnian
sakhsiah diri, penetapan akidah, kaunseling, khidmat masyarakat dan sebagainya merupakan
satu hukuman pilihan yang dicadangkan dalam sistem keadilan jenayah Syariah di
Malaysia. Walau bagaimanapun, pelaksanaannya perlu mengambil kira pelbagai
aspek dan disesuaikan dengan keadaan semasa. Berdasarkan bidang
kuasa Mahkamah Syariah, hukuman ini mungkin boleh dilaksanakan di bawah peruntukan
Seksyen 54, 55 dan 56 [Akta 559] dan Seksyen 129, 130 [Akta 560].
13.2 Peruntukan ini dilihat boleh diperincikan
berdasarkan keputusan atau perintah mahkamah. Hukuman ini juga dilihat mempunyai prospek yang cerah
untuk dilaksanakan pada masa hadapan.
13.3 Justeru, di harap kertas ini dapat memberi
ruang atau implikasi kepada semua peserta bengkel untuk memerah idea dalam mepertimbangkan
pelaksanaan hukuman alternatif dengan memberi input yang berguna kearah
mencapai satu impak bagi memastikan objektif sesuatu hukuman tercapai dan mampu
memberi kesan kepada pesalah jenayah Syariah.
[1] Kertas
ini dibentangkan untuk Bengkel Penyediaan
Modul Pelaksanaan Hukuman Alternatif, anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
(JAWI) di The Legend Resort Cherating, Pahang Darul Makmur pada 23-25/2/2014
[2] Analisis:
Pesalah Kes Ringan Wajar Kena Kerja Amal, Berita Harian,
9Julai 2007, Lihat juga http://www.bharian.com.my/articles/Analisis_Pesalahkesringanwajarkenakerjaamal/Article/
Akses pada 19/2/2014.
[3] Khidmat
Masyarakat Ganti Enam Sebatan, Berita Harian, 2 April 2010, Lihat juga http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Khidmatmasyarakatgantienamsebatan/Article
diakses pada 19/2/2014
[4] Pesalah Kes Ringan Wajar
Kena kerja Amal,
Berita Harian, 12/7/2012. Lihat juga http://www.bharian.com.my/articles/Analisis_Pesalahkesringanwajarkenakerjaamal/Article/
diakses pada 19/2/2014
[8] Zainuddin Jaafar, Hukuman
Mengikut Undang-Undang Syariah, Al-Ahkam, Undang-Undang Pentadbiran
Keadilan Jenayah Di Malaysia, Jilid 2, Prof. Ahmad Ibrahim dll, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, 145-148.
[9] Haji
Mahamad Naser bin Disa, Perintah
Pemulihan Sebagai Hukuman Alternatif, Persidangan Penguatkuasa Dan Pendakwa JAWI, 13
Mac 2012, Corus Paradise Resort, Port
Dickson, 12/3/2013
[10] Noor Huda Roslan. Hukuman
Alternatif: Dari Perspektif Syara’ dan Undang-undang Jenayah Syariah di
Malaysia. Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah Tahun 1434H/2013M. 6 Mac
2013
[11] Awang Armadajaya bin Awang Mahmud. Hukuman
Alternatif: Satu Perbandingan di antara Mahkamah Sivil dan Syariah.
Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah Tahun 1434H/2013M. 6 Mac 2013
[12] Ibid. Lihat juga Haliza A.Shukor, Nabilah Yusof, Intan Nadia
Ghulam Khan, Hasnizam Hashim, Kahwin Lari: Satu cadangan Keperluan Hukuman
Alternatif, Proceeding of the Global
Conference on Business, Economics and Social Sciences (GBSR 2013) 25-26
June 2013, Kuala Lumpur. Hal. 228.
[14] Siti
Zubaidah Ismail, Dr, Hukuman Alternatif Dari Perspektif Undang-Undang Syariah, [2011]4 ShLR,
xxix.
[15] Pensyarah
kanan merangkap Ketua Jabatan Syariah
Dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya
[16] Pusat Pemulihan Akidah Baitul Iman di Ulu Yam
Selangor dan Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di Sabak Bernam Selangor.
Februari 2014
[18] Pesalah akidah adalah merujuk kepada mereka yang telah disabitkan
bersalah oleh Mahkamah Syariah atas mana-mana
kesalahan berkaitan akidah di bawah Akta kesalahan Jenayah Syariah yang sedang
berkuatkuasa. Lihat Dr. Zubaidah Ismail, Hukuman
Alternatif Dari Perspektif Undang-Undang Syariah, [2011] 4 ShLR xxxiv
[19] Lihat Siti Zubaidah Ismail, Hukuman
Alternatif Dari Perspektif Undang-Undang Syariah, [2011] 4 ShLR , xxxv
[23] Nurbazla Ismail & Mohd Al-Adib Samuri, Prospek Hukuman Perintah Khidmat Masyarakat
Di Mahkamah Syariah, dalam Prosiding
Kolokium Antarabangsa Siswazah Pengajian Islam (KASPI 2013) 13 November 2013 ,
hal. 624