BAB I
PENDAHULUAN
1.1 PENGENALAN
Islam
merupakan agama yang syumul meliputi
segala aspek kehidupan umat manusia yang relevan dan sesuai diaplikasikan pada
setiap zaman dan pada setiap tempat tanpa melihat perbezaan pada warna kulit,
bangsa mahupun keturunan. Sebagai seorang muslim adalah menjadi satu kewajipan
dalam mematuhi dan mengikuti serta mengamalkan segala peraturan yang terkandung
di dalam agama ini bagi mendapatkan keberkatan dan limpahan rahmat Allah SWT di
sepanjang kehidupan ini lantas menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di
akhirat.
Kehidupan umat Islam adalah
bertunjangkan kepada akidah dan syariat yang benar iaitu beriman kepada Rukun
Iman yang enam dan lima Rukun Islam. Kesemuanya ini adalah berdasarkan kepada
dua sumber Islam yang utama iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Nabi Muhammad SAW
bersabda dalam suatu Hadith yang bermaksud:
“Daripada
Abu Hurairah, daripada Nabi Muhammad SAW, baginda bersabda: “Aku tinggalkan
kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan
kedua-duanya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Rasulullah SAW.”
(Riwayat Malik)
Namun, sebaliknya jika umat Islam
tidak lagi berpegang kepada kedua-dua sumber utama ini lantas meragui dan
menafikan kesahihan kedua-duanya mahupun salah satu daripadanya sebagai sumber utama
hukum Islam, maka ditakuti saat itu umat Islam akan berdepan dengan musibah
yang besar iaitu berlaku penyelewengan dan kesesatan dalam beragama lalu
tertutup ruang taufik dan hidayah Allah SWT.
Dari zaman
ke zaman, perpecahan dalam kelompok manusia ini sentiasa berlaku dan serangan
demi serangan terhadap Islam terus berlangsung. Syubhat demi syubhat terus
dilancarkan oleh musuh-musuh Islam sama ada dari luar atau dalam kelompok umat
Islam itu sendiri. Bermula dari zaman para sahabat di mana perpecahan mula
terjadi melalui pelbagai fitnah yang ditimbulkan oleh golongan pemberontak
terhadap sebuah daulah pemerintahan Islam. Kemudian munculnya puak khawarij,
Syi’ah, Muktazilah, Murji’ah dan seterusnya.
Sehinggalah
ke zaman ini, tidak kurang pelbagai syubhat-syubhat yang membiak dan
mengelirukan pemahaman terhadap Islam terus dilancarkan ke tengah-tengah benak
minda umatnya. Perkara tersebut tidak lain dan tidak jauh bezanya dengan
pelbagai jenis makar yang ditimbulkan sejak mula kemunculan Islam 1400 tahun
dahulu lagi. Namun, sedikit bezanya hanya kini ianya muncul dengan pelbagai
jenis nama-nama yang berlainan. Dengan label dan tanda branding yang mampu memikat hati dan jiwa umat Islam yang jauh
daripada ilmu. Dengan helah dan gerak kerja yang sedikit berbeza.
Namun,
asas-asas dan method pemikiran yang membina kelompok-kelompok mereka tidak jauh
berbeza dengan perpecahan dan kesesatan yang mula-mula timbul di dalam sejarah
umat Islam. Antara yang terkenal pada masa ini adalah seperti gerakan
feminisme, liberalisme agama, Hizbut Tahrir, Jemaah al-Quran, pelbagai jenis
gerakan tarekat, gerakan anti hudud, gerakan pejuang hudud, dan pelbagai lagi
jenis jenama yang dipopularkan. Sejarah
telah membuktikan kepada kita betapa bahayanya fahaman-fahaman yang melampau
dan menyeleweng daripada Islam sebenar terhadap kesucian akidah dan syariat
Islam dan kestabilan dalam sesebuah negara.
Di
antara mereka yang mahu kita sentuh dan tangkis syubhat-syubhatnya adalah
sebuah gerakan yang menolak dan meninggalkan penggunaan hadis-hadis dan
sunnah-sunnah Rasulullah SAW dalam mengambil serta mengaplikasikan agama. Lebih tepat lagi golongan anti hadis adalah
mereka yang sama sekali meragui dan menolak terus hadis Nabi Muhammad SAW sebagai
salah satu sumber utama dalam Islam. Kini golongan ini kembali tampil dan
berani besuara semula di negara kita dengan lontaran kefahaman yang sangat
mengelirukan bagi mencapai agendanya yang tersendiri.
Antara lain,
golongan mereka ini dikenali dengan nama Qur’aniyun atau Golongan Anti Hadis. Sebenarnya
hal ini adalah sebagaimana yang diberitahu melalui sabda Rasulullah SAW sendiri
:
“Ketahuilah
sesungguhnya diturunkan kepada ku al-Quran dan yang semisalnya bersamanya
(as-Sunnah), ketahuilah akan datang seseorang yang kenyang duduk di atas
pembaringannya berkata: “Berpegang teguhlah kepada al-Quran ini saja, semua
yang kamu perolehi daripadanya akan kehalalan, maka halalkanlah dan yang kamu
perolehi daripadanya suatu keharaman maka haramkanlah”.
(Hadis
Riwayat Ahmad, 4/131 dan Abu Daud, 5/11)
Realitinya
perkara ini merupakan suatu isu besar yang amat membimbangkan jika tidak
ditangani secara bijaksana dan bersungguh-sungguh maka ia akan menjadi barah
yang merasuk pemikiran masyarakat khususnya umat Islam di Malaysia seterusnya
menggugat keharmonian agama Islam dan kestabilan negara.
1.2 PERMASALAHAN KAJIAN
Dalam
kajian ini, penulis akan melihat kepada isu permasalahan yang timbul daripada
aliran pemikiran anti hadis dari pelbagai sudut secara telus dan terperinci. Penulisan
ini juga menjurus kepada kesan dan akibat yang wujud
hasil daripada penyebaran fahaman dan ideologi golongan anti hadis terhadap
masyarakat Islam khususnya di Malaysia.
Selain itu juga penulisan ini akan melihat kepada sebarang solusi yang dirasakan patut dan perlu bagi menangani isu ini secara
konkrit dan menyeluruh demi menjaga kesucian agama Islam daripada sebarang
penyelewengan oleh musuh-musuh Islam yang tidak pernah berhenti untuk
menghancurkannya.
Secara
umumnya Malaysia adalah sebuah Negara Islam yang berpegang dengan fahaman
akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab Syafie dalam soal Syariah. Namun,
dewasa ini negara dikejutkan dengan beberapa siri ideologi-ideologi yang
melampau bahkan bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah antaranya
fahaman golongan anti hadis. Kesan daripada masalah ini telah mewujudkan
kekeliruan, salah faham dan percanggahan terhadap fahaman agama dari kalangan
masyarakat Islam terutamanya di Malaysia.
Perkara
ini amat membimbangkan kerana memberi kesan negatif kepada keharmonian agama
Islam dan negara dan dikhuatiri ianya akan berkembang dan menular ke segenap
lapisan masyarakat Islam di Malaysia terutamanya golongan akademik dan intelek
seterusnya diterima pakai oleh mereka untuk diamalkan.
Oleh
yang demikian, menyedari permasalahan ini, penulis amat terpanggil untuk
merungkai dan menganalisis secara ilmiah satu persatu kajian hukum yang
berkaitan methodologi yang digunakan oleh golongan fahaman anti hadis ini,
tujuan dan matlamat mereka, imbasan sejarah serta kesannya terhadap masyarakat
Islam di Malaysia. Disamping itu juga, penulis bakal merungkai dengan lebih
terperinci berkaitan perbahasan hukum daripada kitab-kitab ulama silam dan
ulama kontemporari.
1.4 PERSOALAN KAJIAN
Berdasarkan
permasalahan kajian di atas, maka persoalan kajian yang boleh ditimbulkan dalam
kajian ini adalah seperti berikut:
a) Apakah yang dimaksudkan dengan golongan
anti hadis yang dikatakan sebagai aliran pemikiran yang menyalahi dan menyanggahi
Islam sebenar?
b) Bagaimana
golongan anti hadis ini muncul dan menulardi Malaysia?
c) Apakah kesan dan akibat fahaman anti
hadis terhadap keharmonian agama Islam dan kestabilan negara serta
pengamalannya?
OBJEKTIF
KAJIAN
a)
Mengenalpasti
asal usul, sejarah kemunculan, matlamat dan agenda, serta method dan sumber
hukum yang terdapat dalam fahaman anti hadis.
b)
Menjelaskan
bagaimana fahaman dan golongan anti hadis ini muncul dan menular di Malaysia.
c)
Menganalisis
kesan dan akibat fahaman anti hadis terhadap keharmonian agama Islam dan
kestabilan Negara serta pengamalannya.
1.6 LIMITASI KAJIAN
Sewaktu melakukan kajian ini,
antara limitasi kajian adalah:
a)
Bidang Kajian
Kajian ini akan memberi fokus kepada aliran fahaman
anti hadis yang mana kajian akan dibuat menjurus kepada asal-usul dan latar
belakang fahaman ini, faktor-faktor kemunculannya di dalam dunia Islam,
strategi dan methodologi golongan anti hadis dalam menyebarkan fahaman mereka, pelopor
dan pendokong kepada fahaman anti hadis di Malaysia yang secara langsung
memberi kesan terhadap kefahaman agama Islam di kalangan umat Islam di
Malaysia.
Selain itu juga, penulis akan meneliti pandangan
syarak dan mengambil kira pandangan-pandangan serta fatwa-fatwa ulama silam dan
ulama kontemporari melalui kitab-kitab dan penulisan mereka terhadap fahaman
ini khususnya dalam merungkai sejauhmana akibat
dan kesannya terhadap akidah dan syariat umat Islam di Malaysia.
b)
Lokasi Kajian
Bagi merealisasikan kajian ini, Penulis memfokuskan
kajian dibuat hanya di dalam negara sahaja tanpa melibatkan secara khusus
negara-negara lain sepanjang di dalam kajian ini dilaksanakan. Ini kerana penulis
melihat sehingga ke hari ini negara sedang diancam dengan pelbagai ideologi ajaran
sesat dan cubaan penyelewengan akidah di kalangan umat Islam di Malaysia. Kita dapat lihat sepertimana maklumat yang terdapat
melalui media elektronik iaitu media cetak dan semasa yang menunjukkan gejala
ini semakin serius dan membimbangkan kita.
1.7 METODOLOGI
KAJIAN
Dalam
usaha untuk menyiapkan penulisan ini, Penulis telah menggunakan beberapa kaedah
atau metodogi kajian dalam proses untuk mengumpul maklumat dan data-data yang
diperlukan. Diantara kaedah atau metodologi kajian yang digunakan oleh Penulis
dalam menghasilkan kajian ini ialah mrnggunakan reka bentuk kajian berbentuk
kualitatif.
Menurut Ahmad Sunawari long, kajian
kualitatif adalah kajian yang cenderung kepada metode pengumpulan data melalui
pemerhatianataupun penganalisaan kandungan dokumen. Teknik-Teknik tersebut
digunakan secara bersama atau secara berasingan
1.7.1 Kaedah
Pengumpulan Data
Kaedah
pengumpulan data telah digunakan bagi mndapatkan maklumat dan data yang
diperlukan bagi menyiapkan kajian ini. Kaedah ini digunakan bagi mendapat
maklumat dan data yang relevan dan tepat serta memenuhi kehendak kajian yang
dihasilkan oleh Penulis. Kaedah pengumpulan data ini boleh diperolehi oleh
Penulis melalui tiga cara iaitu :-
a) Kajian
Perpustakaan
Pengumpulan
maklumat dan data yang dibuat melalui penyeledikan di perpustakaan bagi
mendapatkan maklumat awal berkaitan dengan penulisan yang dibuat.
Rujukan-rujukan tersebut adalah terdiri daripada pelbagai rujukan yang
kebanyakan adalah berbentuk ilmiah. Kajian perpustakaan ini merupakan
penyumbang input yang terbesar sepanjang Penulis menyiapkan kajian ini.
Diantara perpustakaan yang dikunjungi oleh Penulis bagi mendapatkan bahan
adalah di Perpustakaan Tun Seri Lanang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
Perpustakaan Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,
Perpustakaan Akademi Imigresen Malaysia, Port Dickson dan Perpustakaan Negara,
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
b) Kajian
Pemerhatian
Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat Tahun 2005, pemerhatian adalah berasal daripada
perkataan perhati yang membawa maksud mempedulikan, mengendahkan, menaruh
minat. Ia juga ditakrifkan sebagai melihat dengan teliti dan mengamatinya.
Penulis membuat pemerhatian melalui pembacaan kitab-kitab ilmiah, lembaran
akhbar, ceramah dan kata-kata ahli dan tokoh agama serta data daripada Bahagian
Penguatkuasaan dan Bahagian pendakwaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur.
Kaedah pemerhatian ini dianggap
penting kepada Penulis bagi mendapatkan gambaran sebenar kefahaman golongan
anti hadis terhadap agama Islam. Kajian ini juga didapati menyumbang maklumat
dan data yang tepat sekaligus membantu Penulis mendapatkan input yang berkesan
dalam menyiapkan kajian ini secara keseluruhannya.
c) Kaedah
Temubual
Ia
merupakan satu kaedah untuk mendapatkan maklumat dan data secara langsung dari
pihak-pihak yang terlibat dalam proses penangkapan dan pendakwaan yang dibuat
oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Bahagian pendakwaan Jabatan Agama Islam
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terhadap ahli-ahli fahaman anti hadis.
1.7.2 Kaedah
Analisis Data
Kaedah
analisis data adalah merupakan kaedah yang tidak kurang pentingnya dalam
penghasilan kajian ini. Kaedah ini adalah bertujuan untuk menghuraikan data dan
maklumat yang diperolehi selain membuat kesimpulan yang berkaitan dengan
permasalahan yang timbul dalam kajian ini. Terdapat tiga cara yang digunapakai
oleh Penulis melalui kaedah analisis data ini iaitu :
a) Kaedah Deduktif ialah
pandangan umum terhadap sesuatu perkara dan ianya
merupakan gambaran awal yang dibuat oleh
pengkaji yang membawa kepada
kesimpulan menyeluruh.
b) Kaedah Induktif ialah
membina kesimpulan awal melalui satu atau lebih fakta yang ditemui oleh pengkaji terhadap sesuatu sampel kajian.
c) Kaedah
Komparatif ialah aktiviti penyelidikan yang dijalankan secara perbandingan yang
dibuat diantara sesuatu isu dari sudut yang berbeza. Peruntukan undang-undang
diwujudkan bagi menjaga kemaslahatan dan kebajikan manusia secara
keseluruhannya.
1.8 KESIMPULAN
Secara
umumnya, penulisan ini adalah merupakan kajian dari sudut teori dan realiti
pengamalan golongan anti hadis dalam menjalani kehidupan sebagai seorang muslim
berdasarkan kepada perspektif syarak dan peruntukan undang-undang semasa.
Selain itu, kajian ini juga adalah bertujuan untuk melihat sejauhmana akibat
dan kesan yang timbul hasil daripada penularan fahaman ini terhadap akidah dan
syariat umat Islam di Malaysia yang umum mengetahui umat Islam di Malaysia
adalah berpegang kepada fahaman Ahli sunnah Wal Jamaah sekaligus mampu mengancam
imej dan kredibiliti Institusi Eksekutif dan Perundangan Negara.
BAB DUA
SEJARAH KEMUNCULAN PEMIKIRAN ANTI HADIS
PENDAHULUAN
Golongan anti hadis bukanlah satu yang asing dalam
Islam, malah ia telah mula bertapak sejak zaman awal Islam lagi. Secara umumnya,
golongan ini cuba untuk menangkis autoriti hadis sebagai sumber perundangan
Islam yang kedua selepas al-Quran. Justeru, mereka menyeru seluruh umat Islam
agar berpegang dan beramal dengan ajaran yang terdapat di dalam al-Quran
semata-mata. Hal ini telah membawa implikasi yang besar bukan sahaja kepada
Syariah malah kepada akidah. Kepincangan terhadap disiplin ilmu Islam juga
jelas terbukti apabila tidak menerima sebarang bentuk pentafsiran terhadap
al-Quran melalui kitab-kitab tafsir muktabar. Bahkan, hanya berasaskan
penaakulan melalui akal serta turut mengambil kira realiti kehidupan semasa
dengan maksud bahawa tidak semua hukum-hakam yang terdapat di dalam al-Quran
dianggap bersesuaian dengan kehidupan umat Islam kini. Di dalam bab ini penulis
cuba menghuraikan berkenaan siri kemunculan fahaman ini, bermula dari zaman
Rasulullah SAW sehingga abad ke 19, matlamat dan agenda sebenar mereka, methodologi
dan sumber-sumber yang diterima dan digunapakai dalam penetapan hukum-hakam
seterusnya punca dan faktor yang mempengaruhi fahaman ini.[1]
SEJARAH
KEMUNCULAN ANTI HADIS
Pada zaman Rasulullah SAW, bibit-bibit kemunculan golongan ini dapat
ditinjau di kalangan kaum Quraisy yang telah mendustakan ajaran Baginda serta
melemparkan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas. Namun, mereka ini tidaklah
dikategorikan sebagai anti hadis kerana telah nyata akidah mereka yang tidak
beriman terhadap ajaran Islam itu sendiri.
Semasa zaman Sahabat
r.a., terdapat seorang yang bernama Umaiyah bin Khalid yang cuba mencari
penyelesaian terhadap seluruh permasalahan dengan hanya merujuk kepada al-Quran
sahaja. Dia telah membincangkan hal tersebut dengan Abdullah bin Umar r.a.
Namun, Ibnu Umar telah mengingatkannya agar menerima dan melaksanakan apa-apa
yang dibawa oleh Rasulullah SAW Sungguhpun begitu, ia hanyalah dalam ruang
lingkup pandangan peribadi seseorang dan tidaklah berkembang dalam bentuk
kumpulan atau gerakan.
Al-Hasan berkata,
semasa Imran bin Husain sedang mengajar hadis, terdapat seorang yang meminta
agar tidak perlu mengajar hadis, memadai dengan al-Quran sahaja. Imran
menjawab, "Engkau dan sahabat-sahabat engkau boleh membaca al-Quran.
Mahukah engkau mengajarkanku sembahyang dan syarat-syaratnya kepadaku? Atau
zakat dan syarat-syaratnya? Engkau selalu tidak hadir. Sedangkan Rasulullah
s.a.w. telah mewajibkan zakat begini.. begini.." Orang itu menjawab,
"Terima kasih, aku baru sedar." Pada kemudian harinya, orang itu
menjadi seorang ahli fikah.
Seterusnya, golongan
ini telah muncul secara berkelompok dalam kurun kedua Hijrah. Mereka ini
berorientasikan kepada dua perkara iaitu penolakan terhadapa hadis yang
bersifat bukan Mutawatir seperti Hadis Ahad, seterusnya mereka yang mendakwa
bahawa hadis bukanlah penerang atau penguat kepada al-Quran bahkan dianggap
sebagai hukum yang terpisah daripada al-Quran.
Pada zaman berkenaan ,
orang yang mula-mula berdebat dengan golongan berkenaan ialah al-Imam al-Syafie
r.a. Beliau telah berjaya mematahkan idea-idea palsu yang dikemukakan oleh anti
hadis sehingga mereka kembali bersetuju dengan hujah-hujah beliau seterusnya
berpegang kepada hadis Rasulullah S.A.W. Selepas kurun ke 11 Hijrah, muncul
semula fahaman ini yang dipelopori oleh segolongan Orientalis di Iraq dengan
slogan menolak hadis. Situasi yang sama turut berlaku di Mesir pada zaman
Sheikh Muhammad Abduh (1849-1905).
Hal ini muncul ekoran
rancaknya keraguan yang ditimbulkan oleh penjajah Barat di hati sebahagian umat
Islam ketika mana mereka menjajah negara mereka. Tujuan utamanya ialah untuk
melumpuhkan kekuatan umat Islam yang ketika itu berada dalam keadaan lemah. Bertitik
tolak daripada itu, Dr Tawfiq Sidqi telah menulis dua makalah di dalam majalah
“al-Manar” bilangan 7 dan 12 yang bertajuk “Ajaran Islam ialah al-Quran
sahaja”. Beliau telah mengemukakan dalil-dalil dari al-Quran dengan motif agar
tidak berpegang kepada hadis.
Pada tahun 1929, Dr Ahmad Amin telah menulis di dalam bukunya yang
bertajuk “Fajr al-Islam” yang menyentuh berkenaan hadis dan percampuran antara
yang hak dan yang batil mengenainya. Pendapat tersebut kekal sehinggalah beliau
meninggal dunia.
Perihal berkenaan
keraguan terhadap hadis ini telah disebarkan pula oleh seorang yang bernama
Ismail Adham di dalam risalahnya yang bertajuk “Tarikh al-Sunnah” pada tahun
1934. Beliau menyebut bahawa hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab-kitab
hadis itu bukanlah ada asasnya bahkan boleh diragui bahawa terdapat padanya
unsur-unsur pemalsuan hadis. Terdapat di kalangan cendekiawan Islam yang
menuntut di Eropah yang telah terpengaruh dengan ajaran anti hadis ini. Sebagai
contoh, Rashad Khalifa yang berkelulusan biokimia dari Amerika Syarikat dan
berasal dari Mesir telah memperkenalkan kod 19 yang merupakan satu
penyelewengan besar dalam pentafsiran al-Quran. Beliau turut menyatakan bahawa
terdapat penambahan kepada al-Quran pada surah al-Taubah iaitu pada dua ayat
yang terakhir. Hal ini kerana menurutnya ayat-ayat tersebut tidak dapat
diselaraskan melalui kod 19 itu.
Menurut
beliau lagi, hadis bukan sahaja dianggap palsu malah ia merupakan ciptaan
Iblis. Maka, sesiapa yang mempercayai hadis bermakna mempercayai ajaran Iblis.
Pendapat-pendapat beliau yang menyeleweng terhadap hadis itu dapat dilihat
melalui buku-buku tulisannya seperti “Miracle of the Quran: Significance of the
Mysterious Alphabets”, “The Computer Speaks: God's Message to the World”,
“Qur'an: The Final Scripture”, “Qur'an: Visual Presentation of the Miracle”,
“Qur'an, Hadith” and “Islam dan Qur'an: The Final Testament”.
PUNCA DAN FAKTOR YANG MEMPENGARUHI FAHAMAN ANTI HADIS
Antara faktor terpenting yang mempengaruhi perkembangan fahaman ini
ialah terpengaruh dengan idea-idea yang yang dikemukakan oleh orientalis Barat.
Sebagai contoh, Dr. Rashad Khalifa yang bukan berlatarbelakangkan Pengajian
Islam telah cuba untuk membahas isu-isu yang berkaitan dengan sumber
perundangan hukum Islam yang ternyata hanyalah berasaskan kajian saintifik
beliau serta penaakulan akal semata-mata. Walhal, hukum Islam bukanlah boleh
diukur keberkesanannya berdasarkan anggapan atau pemikiran yang bersifat terhad
malah ia merupakan wahyu daripada Allah S.W.T. yang tidak boleh dikritik apatah
lagi untuk menafikannya secara mutlak.
Malah, terdapat
beberapa orientalis sebelum beliau seperti Ignaz Goldziher dan Joseph Schacht
yang telah mengkritik keautoritian hadis sebagai sumber hukum dengan menyatakan
bahawa hadis merupakan ajaran palsu yang muncul antara 200-250 tahun selepas
kewafatan Nabi S.A.W. dan kemudian dikaitkan dengan Baginda. Mereka juga
mendakwa kitab-kitab hadis sahih tidak mengandungi kata-kata atau perbuatan
Nabi SAW, bahkan ia mengandungi anggapan atau tekaan pengumpul-pengumpul hadis
seperti al-Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Imam al-Tirmizi, Imam Abu Daud, Imam
al-Nasa’i dan Imam Ibnu Majah sebagai hadis sahih atau riwayat-riwayat sahih mengenai
kata-kata dan perbuatan Nabi S.A.W.
Jelas di sini bahawa
mereka cuba mengaitkan kebenaran fakta dengan akal pemikiran dalam membuktikan
bahawa sesuatu kebenaran yang tersimpan dan muncul semula selepas beberapa
ketika boleh terdedah dengan unsur-unsur kekurangan atau penyelewengan. Dalam
erti kata yang mudah, kebenaran itu tidak semestinya bersifat kekal malah perlu
dikaji semula akan kesahihannya agar bersesuaian dengan keperluan akal dan
keadaan kehidupan semasa.
BAB
TIGA
PEMIKIRAN ANTI HADIS DI MALAYSIA
PENDAHULUAN
Tonggak
asas Islam ialah al-Qur’an dan al-Sunnah. Usaha mana-mana pihak untuk merosakkan asas ini senantiasa wujud,
lebih-lebih lagi berkaitan dengan al-sunnah. Sebagai contoh, di Malaysia, terdapat idea, pandangan,
buku, risalah dan kumpulan yang dianggap cuba menidakkan autoriti al-sunnah,
mempertikaikan keabsahan bahkan melemparkan tomahan-tomahan liar ke atas
al-sunnah. Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa agama Islam di Malaysia telah mengharamkan anti hadith.
Ini kerana ia telah merobohkan asas penting dalam Islam, lebih-lebih jika
dilihat peranannya dalam agama.
KEMUNCULAN ANTI HADIS DI MALAYSIA
PELOPOR
GERAKAN ANTI HADIS DI MALAYSIA
Pergerakan anti hadis di Malaysia telah dipelopori oleh Kassim Ahmad, iaitu
seorang pengasas Parti Sosialis Rakyat Malaysia yang berasal dari Kulim, Kedah.
Beliau pernah belajar di Universiti Malaya, Singapura dan
aktif dalam University Socialist Club. Disertasi beliau bertajuk 'Perwatakan Hang Tuah'
pada 1950an mencabar persepsi tradisional Melayu bahawa Hang Tuah seorang hero.[2] Beliau pernah menjadi pegawai penyelidik DBP dan menyusun buku Hikayat Hang Tuah. Selepas itu
bertugas sebagai pensyarah di School of Oriental and African Studies, Universiti London, London.
Pandangan, pemahaman dan idea beliau berkaitan hadis Nabi SAW banyak
menimbulkan kontroversi kerana bercanggah dengan agama Islam. Beliau
bersama-sama rakan-rakannya seperti Othman Ali dan Abdul Manan Harun mula
mengembangkan fahaman ini pada tahun 1985. Awal ideanya telah dikembangkan
menerusi penulisan artikel yang bertajuk “Penolakan Teori Ahli-ahli Hadis” di
dalam ruangan “Berani Kerana Benar” dalam akhbar Watan. Pada September 1985,
Kassim Ahmad telah menganjurkan sebuah Majlis Diskusi yang membahaskan
berkenaan “Teori Hadis” di Pejabat ALIRAN (ALIRAN KESEDARAN RAKYAT) di Jalan
Sungai Nibong, Bayan Baru, Pulau Pinang dan juga di rumah beliau sendiri di No.
8, Jalan Gajah, Tanjung Bunga, Pulau Pinang. Berikutan itu, beliau telah dikecam
oleh para ulama’ atas doktrin sesatnya itu dan pihak kerajaan telah membatalkan
beberapa siri ceramah beliau yang telah dirancang untuk diadakan di Universiti
Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor Darul Ehsan.
Seterusnya pada bulan
Mei 1986, Kassim Ahmad telah menulis sebuah buku yang bertajuk “Hadis: Satu
Penilaian Semula” terbitan Media Intelek Sdn. Bhd. Di dalam buku tersebut,
Kassim menceritakan bagaimana ia mendapat idea berkenaan penilaian semula hadis
berasaskan pembacaannya melalui buku-buku tulisan Dr. Rashad Khalifa seperti
“The Computer Speaks: God’s Message to the World”, “Quran The Final Scripture”,
“Quran, Hadith and Islam” dan “Quran Visual Presentation of the Miracle”.
Beliau juga cuba untuk membuktikan andaiannya bahawa hadis merupakan satu perkara yang diada-adakan dan dikaitkan dengan Nabi Muhammad S.A.W serta dianggap sebagai
salah satu dari punca perpecahan dan kemunduran umat Islam. Atas faktor ini,
maka kerajaan telah mengharamkan buku tersebut melalui Warta Kerajaan bertarikh
10 Julai 1986.
Selepas buku ini
diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri, Kassim Ahmad telah \ menubuhkan Jema’ah al-Quran Malaysia atau lebih
dikenali sebagai JAM di Universiti Malaya, Kuala Lumpur yang kemudiannya
diikuti dengan Persatuan Falsafah Malaysia. Motif penubuhannya ialah
menyeru umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia kembali kepada ajaran Tuhan
dalam kitab suci-Nya iaitu al-Quran.
Tidak cukup dengan itu,
ideologi mereka juga mendapat dokongan beberapa Public Figure di
Malaysia yang memang terpengaruh dengan idealism sosialisme iaitu fahaman yang
menentang dominant tradition dalam segenap perkara. Mereka terdiri dari
pelbagai kerjaya (seperti guru, wartawan, penulis bebas, jurutera, peguam dan sebagainya)
yang kononnya ingin kelainan dan pembaharuan dalam pemikiran Islam di Malaysia.
Mereka memang sejak mula mengagumi Kassim Ahmad - dikatakan mempunyai pemikiran
yang sepuluh tahun lebih advance daripada manusia biasa. Contoh yang kerap diberikan
adalah pandangan Kassim Ahmad di dalam kajiannya tentang kisah pertikaman Hang
Jebat dengan Hang Tuah.
Semasa kajian ini
dihasilkan pada tahun 1970, semua pihak menentang pandangan Kassim Ahmad yang
menyatakan Hang Jebat berada dipihak yang benar berbanding dengan Hang Tuah
kerana berpegang teguh dengan prinsip raja yang adil disembah dan
raja yang zalim disanggah. Mengikut pendokong Kassim Ahmad, ternyata
sepuluh tahun kemudiannya apabila timbul isu imuniti raja-raja Melayu,[3]
pandangan Kassim Ahmad ini memang diterima ramai.
Di peringkat awalnya,
penganut JAM ini memang diberi ruang yang luas untuk menyebarkan fahaman ini
dalam media massa di Malaysia, khususnya akhbar media perdana. Contohnya Syed
Akbar Ali (ahli jawatankuasa pusat JAM) telah diberi ruang (kolum) khusus dalam
akhbar Berita Minggu. Ia mempergunakan kolum ini untuk menyebarkan fahaman JAM.[4]
Namun begitu, apabila mendapat tentangan daripada pelbagai NGO Islam kolum ini
kemudiannya telah ditutup.[5]
Akibatnya, perkembangan JAM ini menjadi semakin lemah dan kurang mendapat
sokongan daripada masyarakat awam.
Dalam perkembangan
terbaharu, JAM ini telah bergabung dengan gerakan Liberalism lain di Malaysia
dengan bertopengkan gerakan pembaharuan Islam berhadapan dengan budaya taqlid
yang diamalkan oleh majoriti umat Islam. Mereka cuba menarik perhatian umat
Islam dengan mengemukakan teori bahawa ajaran Islam memadai dengan hanya
berpandukan al-Quran serta kajian saintifik menerusi akal. Walau bagaimanapun, awal-awal
lagi pertubuhan ini gagal didaftarkan kerana tidak mendapat kebenaran daripada
Kerajaan Malaysia.
Pada Oktober 1992, Selepas banyak berdebat dengan pelbagai
pihak berwibawa, akhirnya beliau dengan pendirian yang sama telah menulis
sebuah buku yang bertajuk
'Hadis : Jawapan Kepada Pengkritik', terbitan
Media Intelek Sdn. Bhd. Beliau
sebenarnya mengkritik penggunaan hadis sebagai sumber
perundangan Islam.
Maka, kerajaan sekali lagi telah mengharamkan buku berkenaan melalui
Warta Kerajaan yang bertarikh 21 April 1994.
Dalam perkembangan yang
lain, Othman Ali telah menghasilkan karyanya yang bertajuk “Bacaan” yang
merupakan terjemahan dari kalimah al-Quran. Keseluruhan kandungan “Bacaan” ini
adalah himpunan “tafsiran selapis” beliau terhadap setiap bilah ayat al-Quran
yang berbahasa Arab. Oleh itu, kerajaan telah mengharamkannya melalui warta
bertarikh 22 Julai 1995.
Seterusnya pada 11 Jun 1995.
FAKTOR-FAKTOR
PENOLAKAN HADIS OLEH KASSIM AHMAD
Terdapat beberapa
faktor tertentu yang dikemukakan bagi menolak autoriti hadis sebagai sumber
perundangan Islam. Namun, ia boleh ditinjau melalui tiga sudut pandangan iaitu
akidah, syariah dan akhlak. Antaranya ialah:
5.1 Akidah
a) Kassim Ahmad
menganggap hadis merupakan satu penyelewengan daripada ajaran-ajaran Nabi
Muhammad S.A.W. dan tidak boleh diterima sebagai sumber perundangan Islam.
Malahan, ia dianggap muncul selepas kewafatan Rasulullah S.A.W. lalu dikaitkan
dengan Baginda.
b) Al-Quran adalah
wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. melalui Malaikat Jibril serta
dianggap telah lengkap, sempurna dan terperinci. Oleh itu, al-Quran tidak
memerlukan sebarang bentuk penghuraian mahupun pentafsiran.
c) Beliau juga
beranggapan bahawa umat Islam telah menyeleweng dari ajaran Tuhan yang sebenar.
Ajaran Tuhan yang sebenar adalah semasa zaman Nabi Muhammad S.A.W. sebagai Nabi
terakhir serta yang dibawa oleh Baginda ialah al-Quran dan tidak ada yang lain
daripada itu.
d) Malahan, hadis
dianggap sebagai satu catatan sejarah yang boleh dan perlu dikaji oleh para
penyelidik untuk memahami dan menilai zaman itu.
e) Lafaz dua Kalimah
Syahadah yang diucapkan oleh umat Islam kini adalah dilarang oleh al-Quran
kerana syahadah yang diwajibkan hanyalah لا إله إلا الله .
f) Beliau turut
menolak kepercayaan kepada Qada’ dan Qadar yang merupakan salah satu perkara
terpenting dalam Rukun Iman. Hanya kerana ia dinyatakan melalui hadis lalu
dianggap bertentangan dengan apa yang terdapat di dalam al-Quran) Tafsiran
berkenaan kalimah dalam surah
al-Baqarah ayat 2
ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ
لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ ٢
yang ditafsirkan
oleh al-Imam al-Syafie sebagai sunnah atau hadis adalah tidak munasabah. Kassim
Ahmad telah merujuk tafsiran oleh Maulana Muhammad Ali yang menyatakan bahawa
kalimah ) ٱلۡكِتَٰبُ ( adalah salah satu
nama .
h) Seterusnya,
beliau menghuraikan maksud ayat al-Quran dalam surah al-Nisa’ ayat 59 iaitu:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ
وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي
شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ
وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩
Maksudnya: Wahai
orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada
Rasulullah…
Beliau menyatakan
bahawa kita disuruh mentaati Rasul ialah mentaati perutusannya dan bukan
mentaati Nabi Muhammad S.A.W.
i) Dengan merujuk
surah al-Ahzab ayat 21:
لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ
أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ
ٱللَّهَ كَثِيرٗا ٢١
Maksudnya: Demi
sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang
baik,
Beliau menyatakan
bahawa ayat ini tidak bermaksud untuk merujuk kepada gerak geri dan kelakuan
Nabi Muhammad S.A.W. seperti cara beliau makan, pakai, tidur dan sebagainya. Ia
sebenarnya merujuk kepada keyakinan, pegangan, pendirian dan perjuangan.
Malahan, semua kelakuan dan gerak geri seseorang itu ditentukan oleh
faktor-faktor seperti kebudayaan, pendidikan, semasa, tempat dan perbuatan.
5.2 Syariah
a) Menolak sebarang
bentuk kaifiat solat daripada hadis malahan beliau menganggap amalan solat ini
telah diwarisi sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. lagi. Seterusnya, bilangan waktu
solat hanyalah tiga kali sehari semalam dan bukan lima kali serta bilangan
rakaat yang boleh dikerjakan dengan minimum satu rakaat sahaja. Manakala,
bahasa yang digunakan semasa mengerjakan solat adalah tidak terhad kepada
bahasa Arab sahaja bahkan boleh menggunakan apa jua bahasa termasuk semasa
membaca surah al-Fatihah.
b) Kassim Ahmad
dalam satu kenyataannya di dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14 Ogos 1995,
telah menyatakan bahawa wanita Muslimah boleh memakai apa sahaja pakaian
walaupun hal keadaannya mendedahkan anggota tubuh badan dengan syarat ia hendaklah
bersopan dan tidak menyalahi adat serta budaya masyarakat setempat. Menurutnya,
aurat ialah menutup bahagian sulit yang menjadi perkara sumbang kepada
masyarakat jika didedahkan. Beliau juga turut menyebut bahawa tanda pada aurat
ialah wuduk. Dengan berasaskan penaakulan beliau, sekiranya kepala itu ditutup
nescaya Allah tidak menyuruh agar menyapunya.
5.3 Akhlak
a) Menurut golongan
ini lagi, apa-apa bentuk penghormatan, penghargaan mahupun kecintaan terhadap
Rasulullah S.A.W. tidak bermakna untuk mendewa-dewakan Baginda sehingga
meletakkan kata-kata dan perbuatan Baginda sebagai wahyu dan setaraf dengan
al-Quran.
b) Seorang pengikut
anti Hadis bernama Wadan Kassim dalam tulisannya di dalam akhbar Berita Harian
bertarikh 14 Julai 1995 telah meyamakan kedudukan ulama’ dengan pendita-pendita
berdasarkan pemahamannya terhadap ayat al-Quran.
c) Puan Kalsom Abd.
Rahman telah menulis sepucuk surat kepada BAHEIS bertarikh 15 Disember 1994
yang antara lainnya menyatakan bahawa kedudukan Rasulullah S.A.W. adalah sama
seperti posmen yang hanya menyampaikan ajaran al-Quran tanpa perlu kepada
sebarang bentuk penghuraian mengenainya.
d) Golongan anti
hadis ini tidak menghuraikan penjelasan mereka menurut disiplin-disiplin ilmu
yang telah digariskan oleh Islam. Ia hanya menggunakan pendalilan secara aqli
dan kaedah saintifik semata-mata tanpa berpandukan al-Quran, Hadis, Ijma‘
Ulama’ dan Qiyas. Di samping itu, mereka juga tidak merujuk kepada kitab-kitab
muktabar dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran dan perkara-perkara yang
berkaitan dengan akidah dan syariah. Malahan mereka hanya merujuk kepada
buku-buku yang ditulis oleh orientalis barat seperti Dr. Rashad Khalifa, Ignaz
Goldziher dan Joseph Schacht.
HUJAH-HUJAH PENYANGGAHAN
Terdapat beberapa
hujah yang boleh dikemukakan di sini bagi menjawab beberapa tuduhan palsu yang
dilemparkan oleh golongan anti hadis mengenai peranan hadis sebagai sumber
kedua dalam perundangan Islam. Antaranya ialah:
a) Semua ayat-ayat
al-Quran yang diturunkan ada yang bersifat mujmal, mutlak dan
umum dan bukanlah semua ayat didatangkan secara terperinci sepertimana yang
didakwa. Rasulullah S.A.W. telah diutuskan yang antaranya sebagai penghurai dan
pentafsir kepada ayat-ayat al-Quran yang bersifat mujmal dengan
ayat-ayat yang bersifat bayan serta ayat-ayat yang bersifat mutlak dengan
ayat-ayat yang bersifat muqayyad dan ayat-ayat yang bersifat umum dengan
ayat-ayat yang bersifat khusus. Segala bentuk ibadat tidak dapat dilaksanakan
tanpa bimbingan hadis. Sebagai contoh, kaifiat ibadat solat banyak diperolehi
melalui hadis sedangkan ayat yang terkandung di dalam al-Quran hanyalah
perintah untuk mengerjakan solat yang bersifat mujmal.
b) Terdapat beberapa
tafsiran berkenaan kalimah (ٱلۡكِتَٰبُ) . Antaranya ialah
sepertimana yang dinyatakan di dalam kitab Tafsir al-Khazin bahawa Qatadah
telah menafsirkan bahawa kalimah )ا ٱلۡكِتَٰبُ
( ialah al-Sunnah
iaitu hadis. Manakala di dalam Tafsir al-Baghawi, Mujahid telah menafsirkannya
sebagai orang yang faham al-Quran. Muqatil pula menyatakan bahawa ia merupakan
beberapa peringatan dan hukum yang ada dalam al-Quran. Seterusnya, Qutaibah
pula menafsirkannya sebagai ilmu dan amal. Semua ini merupakan tafsiran
daripada Tabi‘in yang merupakan anak-anak murid kepada seorang sahabat yang
bernama Abdullah bin Abbas r.a.
c) Kalimah (وَأَطِيعُواْ) dalam surah
al-Nisa', ayat 59 adalah bersifat menyeluruh dan bukanlah hanya dengan taat
kepada perutusan Baginda semata-mata malah ia turut mencakupi agar taat kepada
perkataan, perbuatan dan persetujuan Rasulullah S.A.W. yang dikategorikan
sebagai Sunnah.
c) Kalimah (أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ ) dalam surah al-Ahzab
ayat 21 merujuk kepada segala bentuk perbuatan Rasulullah S.A.W. yang bersifat
) التشريع ( sebagai contoh
ikutan kepada umatnya. Ia menjadi perundangan Islam yang wajib ditaati dan dilaksanakan
oleh umat Islam. Manakala, gerak-geri dan kelakuan Baginda yang merupakan
kebiasaan kepada manusia bukanlah dianggap sebagai Syariat yang wajib untuk
diikuti. Begitu juga perkara-perkara tertentu yang dikhususkan kepada Baginda
seperti mengahwini wanita tanpa mahar adalah keizinan yang diberi oleh Allah
S.W.T. khusus kepada Baginda.
BAB
EMPAT
AKIBAT DAN KESAN PEMIKIRAN
ANTI HADIS DI MALAYSIA
Pengaruh Pemikiran Golongan Antihadis terhadap umat
Islam di Malaysia
Pemikiran antihadis bukanlah bersumberkan
al-Qur'an, sunah dan sumber-sumber syariat Islam yang lain. Pemikiran antihadis
dan sekutu-sekutunya kalau diukur dan dikategorikan, ia paling baik pun berada
pada kedudukan yang ketiga daripada empat[6]
aliran besar pemikiran Islam. Aliran tersebut ialah aliran yang melebihkan akal
daripada wahyu. Dalam banyak perkara mereka sebenarnya berada pada kedudukan
yang keempat iaitu aliran yang menggunakan akal semata-mata dan tidak
menghiraukan nas. Pemikiran antihadis walaupun ia bermula daripada luar iaitu
datang daripada orientalis yang secara jelas menjadi musuh Islam, ia telah
berkembang biak dalam kepompong Islam. Pemikiran ini telah menjadi duri dalam
daging yang telah merobek kesucian Islam dan bila-bila masa sahaja ia boleh
menghancurkan syariat Islam. Pengaruh GAH kepada umat Islam dapat dilihat
menerusi kewujudan pemikiranpemikiran mereka dalam benak umat Islam. Umat Islam
di Lembah Klang yang mempunyai latar belakang yang berbeza kadang kala tidak
menyedari bahawa sesetengah pegangan pemikiran mereka itu adalah pemikiran GAH.
[7]Hasil
kajian yang lalu mendapati pengaruh pemikiran GAH kepada umat Islam secara keseluruhannya
berada pada tahap pengaruh yang rendah (min=1.22, sp=0.423) yang diwakili oleh
78.9% responden. Situasi ini berlaku pada kedua-dua kategori iaitu akidah dan
syariat. Pengaruh GAH yang sederhana rendah, sederhana tinggi dan tinggi hanya didapati pada sejumlah yang sedikit di kalangan umat
Islam di Lembah Klang iaitu kira-kira 21.1%. Kajian ini juga
mendapati pengaruh GAH dalam akidah adalah lebih tinggi daripada
pengaruh GAH dalam syariat.
a. Akidah
Pengaruh GAH dalam akidah adalah pengaruh yang
berkaitan dengan kepercayaan dan pegangan yang dalam kajian ini meliputi;
asas-asas Islam, keistimewaan para nabi dan perkara-perkara ghaib. Pengaruh
pemikiran GAH kepada umat Islam dalam akidah secara keseluruhannya berada pada
tahap terpengaruh yang rendah yang diwakili oleh 71.6% responden. Pengaruh GAH
yang sederhana rendah melibatkan kirakira 27.3% responden. Manakala pengaruh
yang sederhana tinggi dan tinggi hanya didapati pada sebilangan kecil responden
(1.1%).[8]
Adalah didapati satu isu sahaja yang mempunyai tahap pengaruh yang sederhana
rendah iaitu isu nabi hanya mempunyai satu mukjizat sahaja iaitu Al-Qur'an.
Manakala, isu-isu yang lain berada pada tahap pengaruh yang rendah. Kejayaan
GAH mempengaruhi akidah umat Islam terbukti apabila didapati terdapat
segelintir daripada responden yang tidak memperakui bahawa seorang nonmuslim yang
ingin memeluk Islam mesti mengucap dua kalimah syahadat. Menurut GAH, syahadat
bukanlah penentu keislaman seseorang. Syahadat bagi mereka bukanlah perkara yang dirukunkan dengan hujah ia tidak disebut di dalam
Al-Qur'an. Bagi mereka, untuk menjadi seorang Islam haruslah menerima petunjuk
daripada Allah iaitu apa yang disuratkan-Nya dalam Al-Qur'an. Hasil kajian ini
mendapati kira-kira 21.1% tidak berani memperakui bahawa hadis adalah sumber
hukum Islam. GAH menolak hadis sebagai sumber hukum dengan berpandangan hadis
bukanlah hujah sehingga boleh dijadikan sumber hukum dan sebagainya seperti
Al-Qur'an. Terdapat banyak hadis-hadis (menurut mereka) yang bercanggah dengan
Al-Qur'an. Penemuan pengkaji ini berlainan dengan penemuan Deden Suparman
(2003), beliau telah menemukan kesemua responden (100%) mengakui bahawa hadis
adalah undang-undang dan hujah dalam Islam. Perbezaan dapatan ini boleh jadi
disebabkan oleh keterhadan jumlah responden beliau yang berjumlah 100 orang
berbanding dengan jumlah responden pengkaji iaitu 800 orang. Penemuan pengkaji ini
dikuatkan lagi dengan sebuah e-mail yang dihantar oleh seorang pemuda kepada pengendali
laman web e-bacaan. Asalnya pemuda ini seorang yang bersetuju dengan hadis Nabi
S.A.W. kemudian beliau berpegang pula bahawa rujukan umat Islam hanyalah Al-Qur’an.
Kajian ini mendapati sedikit sahaja daripada
responden tidak memperakui bahawa qada’ dan qadar adalah rukun iman. Menurut
pandangan GAH, rukun iman yang sebenar ialah lima perkara iaitu; beriman kepada
Allah, beriman kepada rasul, beriman kepada malaikat, beriman kepada kitab, dan
beriman kepada hari kiamat. Beriman kepada qada’ dan qadar adalah tambahan yang
tidak pernah dinyatakan oleh Allah. GAH juga berpemikiran para nabi adalah
manusia biasa yang tidak mempunyai apa-apa keistimewaan. Sehubungan dengan itu,
didapati sedikit daripada responden tidak memperakui kemaksuman para nabi.
Menurut pemikiran GAH, jika para nabi itu maksum, mereka bukan lagi manusia,
bolehkah mereka menjadi teladan kepada manusia? Terdapat sedikit daripada
responden yang tidak berani memperakui bahawa Nabi S.A.W. boleh memberi syafaat
di hari akhirat. Menurut GAH, pada hari Kiamat, semua manusia sama di hadapan
Tuhan. Tiada siapa yang boleh menolong orang lain, dan Nabi Muhammad tidak mempunyai
syafaat pada hari itu, seperti yang didakwa dalam hadis. Kajian juga mendapati
kurang separuh daripada responden yang tidak memperakui bahawa Nabi S.A.W.
mempunyai mukjizat selain daripada Al-Qur'an. GAH berpendapat, mukjizat-mukjizat
lain seperti bulan terbelah adalah satu pembohongan, sekiranya kejadian ini
betul-betul berlaku, nescaya ia turut disaksikan oleh orang lain di serata
dunia.
Bertunjangkan
akal semata-mata, GAH telah menolak beberapa perkara ghaib. Penolakan maklumat
ghaib ini telah mula meresap ke dalam pemikiran umat Islam. Melalui kajian ini,
didapati sedikit daripada responden tidak berani memperakui kemunculan Imam
Mahdi satu masa kelak. Segelintir daripada mereka pula tidak mengakui bahawa
Dajjal akan muncul satu ketika nanti. GAH tidak percaya dengan kedatangan
Imam
Mahdi dan Dajjal di akhir zaman kerana ketiadaan kenyataan tersebut dalam
Al-Qur'an. Bagi mereka, kewujudan fakta berkenaan dengan kemunculan Imam Mahdi
dan Dajjal dalam hadis-hadis Nabi tidak boleh mengatasi Al-Qur'an. Berhubung
dengan kewujudan azab kubur pula didapati segelintir daripada mereka tidak
memperakuinya. Iktikad GAH ialah azab kubur adalah sesuatu yang dongeng dan
ciptaan palsu ulama terdahulu. Bagi mereka, Allah tidak akan menghukum manusia
sebelum dibicarakan di Padang Mahsyar. Mati ibarat tidur dan jangka waktu
antara mati dengan hari pembalasan bagi mereka (yang sudah mati) adalah terlalu
cepat. Kajian juga mendapati sedikit daripada responden tidak mengakui
kemunculan Nabi Isa a.s. di akhir zaman. Nabi Isa bagi GAH telah wafat dan
mereka mempertikaikan kenyataan hadis yang menjelaskan bahawa Nabi Isa akan
turun semula ke bumi dan membunuh Dajjal.
b. Syariat
Pengaruh GAH dalam syariat adalah pengaruh yang
berkaitan dengan pengamalan dan hukum-hakam dan dalam kajian ini difokuskan
kepada; ibadat, syariat Islam dan hukum. Pengaruh pemikiran GAH kepada umat
Islam dalam syariat secara keseluruhannya juga berada pada tahap pengaruh yang
rendah (min=1.23, sp=0.446) yang diwakili oleh 77.5% responden. Pengaruh GAH
yang sederhana rendah berlaku pada kira-kira 21.8% responden. Manakala pengaruh
yang sederhana tinggi dan tinggi hanya didapati pada sebilangan kecil responden
iaitu 0.6% dan 0.1%. Kajian ini mendapati dua isu sahaja yang mempunyai tahap
pengaruh yang sederhana rendah iaitu isu berkhatan tidak disyariatkan dan isu
ulama tidak semestinya orang yang pakar dalam agama. Manakala, isu-isu yang lain
berada pada tahap pengaruh yang rendah.
Kejayaan
GAH mempengaruhi umat Islam dalam perkara syariat disokong lagi apabila
didapati tidak kesemua responden bersetuju dengan pensyariatan solat lima waktu
sehari semalam. Terdapat sebilangan kecil (0.9%) daripada responden tidak memperakuinya.
Bagi GAH atau sebahagian daripada mereka, sembahyang yang disyariatkan ialah tiga
sahaja iaitu; Maghrib, Isyak dan Fajar. Menurut mereka juga, cara solat dalam
Al-Qur'an adalah senang serta mudah diubah menurut keadaan dan keikhlasan diri.
Umpamanya bilangan rakaat. Ia tidak disebut sama sekali dalam Al-Qur'an, dan dengan
ini ia memberi peluang kepada umat untuk menunjukkan keikhlasan dalam melakukan solat mereka, sama ada untuk memanjangkan atau
memendekkannya.[9]
Menurut Kassim Ahmad (Jun 2000 ):
Sesetengah anggota kita masih tidak jelas tentang
perkara ini. Harus kita faham bahawa salat itu berasal dari Nabi Ibrahim
(Al-Qur'an, 2:127-28), bukan dari Nabi Muhammad, seperti yang didakwa dalam
hadis. Salat diturunkan generasi demi generasi dari Nabi Ibrahim hingga ke Nabi
Muhammad dan seterusnya hingga datang kepada kita sekarang. Oleh yang demikian,
salat itu sudah menjadi satu cara sembahyang yang khusus bagi orang Islam. Cara
yang kita terima turun-temurun ini boleh dipakai dengan syarat cara itu tidak
bercanggah dengan ajaran Al-Qur'an. Umpamanya, waktu, wuduk, berpakaian elok,
berdiri mengadap qiblat, bacaan dengan suara sederhana, tidak menyeru selain
Allah, rukuk dan sujud itu disebut dalam Al-Qur'an. Yang lain yang tidak
disebut, seperti apa yang patut dibaca dan rakaat, dan dengan demikian boleh
kita lakukan mengikut kelaziman atau mengikut kesesuaian.
GAH juga menolak beberapa
amalan sunat. Pemikiran GAH ini telah meresap ke dalam fikiran umat Islam.
Menerusi kajian ini, didapati segelintir daripada responden tidak memperakui
kelebihan amalan pada malam laylah al-qadr. Bagi GAH, penantian malam tersebut
adalah sia-sia kerana malam laylah al-qadr berlaku sekali sahaja iaitu
pada malam diturunkan al-Qur'an. Berhubung dengan amalan selawat ke atas nabi
pula didapati segelintir daripada mereka juga tidak memperakui kesunatannya. Berselawat
ke atas nabi dianggap mendewakannya dan ini adalah dilarang. Manakala pemakaian
jubah, serban dan janggut pula didapati sedikit daripada mereka tidak berani
memperakui bahawa amalan tersebut adalah sunah nabi S.A.W. Menurut GAH, amalan
ini adalah amalan orang Arab yang tiada kaitan dengan Islam, cuma kebetulan
Nabi S.A.W. itu orang Arab lalu baginda memakai pakaian tersebut.
Menerusi
kajian ini, didapati terdapat kurang daripada 30% daripada responden tidak
berani membuat pengakuan bahawa ajaran-ajaran Islam yang ada sekarang merupakan
wahyu daripada Allah dan ajaran RasulNya. Malah segelintir daripada mereka pula
bersetuju bahawa kebanyakan amalan tersebut adalah ciptaan para ulama dan bersetuju
agar ajaran-ajaran Islam yang sedia ada dinilai semula. Menurut GAH, penilaian semula
harus dibuat agar bertepatan dengan zaman dan menyenangkan semua pihak. Kewujudan
pengaruh GAH pada segelintir umat Islam disemarakkan lagi apabila didapati segelintir
responden tidak boleh memperakukan bahawa pembacaan Al-Qur'an mestilah dalam
bahasa Arab. Mereka bersetuju bahawa Al-Qur'an semestinya di baca dalam bahasa Melayu
dan bukan dalam bahasa Arab. GAH menuduh kemunduran umat Islam sekarang ialah
kerana membaca Al-Qur'an dalam bahasa Arab. Menurut mereka, pembacaan Al-Qur'an
dalam bahasa Arab menyebabkan pembacanya yang berbangsa Melayu dan tidak tahu
bahasa Arab tidak akan memahami kandungan Al-Qur'an. Sekiranya, mereka tidak memahami
Al-Qur'an, bagaimana mereka boleh melaksanakan perintah Allah dalam Al-Qur'an.
Kajian juga mendapati kurang
daripada 30% daripada responden tidak berani mengutarakan bahawa sesiapa yang
menolak hadis bermakna ia juga menolak Al-Qur'an. Malah segelintir daripada
mereka mengatakan menolak hadis tidak bermakna seseorang itu turut menolak
Al-Qur'an. GAH berpandangan, menolak hadis/sunah sebagai
sumber teologi
dan perundangan sama sekali tidak bermakna merendahkan
nabi atau tidak menghormatinya. Malah penolakan ini ialah
untuk membersihkan nabi daripada ajaran
palsu yang telah dikaitkan kepada beliau. Menurut
mereka lagi, Al-Qur'an sebuah kitab yang
lengkap, sempurna dan terperinci dan tidak memerlukan kitab-kitab lain untuk menyempurnakan dan melengkapkannya.
Kajian Deden (2003) pula mendapati kesemua
responden bersetuju bahawa mereka yang menolak
hadis bererti turut menolak Al-Qur’an dan
Nabi S.A.W. Berhubung dengan takrif ulama didapati
sedikit daripada responden bersetuju bahawa ulama ialah orang yang mahir dalam
sesuatu bidang yang tidak semestinya dalam bidang keagamaan. Menurut GAH,
ulama, dalam bahasa Tuhan, bermakna orang yang berilmu, terpelajar, atau pakar
dalam sesuatu bidang, sementara sarjana-sarjana atau doktor-doktor agama tidak
termasuk dalam golongan ini
Sebagaimana yang diketahui sebelum ini, GAH turut menolak beberapa hukum
yang telah lama disepakati oleh para ulama Islam. Penolakan terhadap beberapa
hukum ini turut tersebar ke dalam pemikiran umat Islam. Kajian ini mengukuhkan
lagi teori tersebut. Melalui kajian ini, didapati kurang separuh daripada
responden tidak berani mengakui kesunatan amalan berkhatan. Segelintir daripada
mereka pula mengatakan bahawa amalan tersebut tidak disunatkan. Bagi GAH,
amalan berkhatan sama ada untuk lelaki atau perempuan adalah tidak
disyariatkan. Mereka berhujah sedemikian kerana tiada nas dalam Al-Qur'an yang
mewajibkan perkara ini. Dalam e-mail yang dihantar oleh seorang lelaki kepada
pengendali laman web e-bacaan, beliau menyatakan keraguannya terhadap hukum berkhatan
dan mempersoalkan kenapa umat Islam mesti mengikuti amalan orang Yahudi itu.
Dalam
permasalahan hukuman rejam bagi penzina yang sudah kahwin pula didapati
segelintir (kurang daripada 10%) daripada responden tidak mengakuinya dan tidak
mempersetujui pelaksanaan hukuman tersebut. GAH berpendapat, hukuman terhadap pasangan
penzina, sama ada telah berkahwin atau tidak ialah seratus rotan sebagaimana yang
telah dinyatakan dalam Al-Qur'an. Hadis Nabi S.A.W. telah membezakan antara dua
penzina; penzina yang telah berkahwin dihukum rejam dan penzina yang belum
berkahwin disebat seratus sebatan. Perbezaan ini tidak pernah pun dinyatakan
oleh Al-Qur'an dan hadis tidak boleh mengatasinya. Hadis yang bercanggah dengan
Al-Qur'an ini dikira hadis palsu. Kajian juga mendapati sedikit daripada
responden tidak mengakui bahawa amalan murtad wajar dihalang dan mereka tidak
bersetuju dengan tindakan tersebut. GAH menolak pelaksanaan hukuman bunuh bagi
kesalahan murtad kerana hukuman tersebut tidak dinyatakan dalam Al-Qur'an.
Sebaliknya nas Al-Qur'an (menurut mereka) mengharuskan manusia memilih agama
masing-masing tanpa boleh dipaksa mereka memeluk sesuatu agama termasuk Islam.
Bagi mereka kebebasan beragama adalah mutlak dan tiada dikenakan hukuman di
dunia ini.
Berhubung
dengan aurat wanita pula, kajian ini mendapati segelintir daripada responden
mengakui bahawa rambut wanita tidak termasuk dalam aurat. Kajian ini turut mendapati
sedikit daripada mereka mengakui bahawa mereka tidak menjaga aurat mereka. Walaupun
kebanyakan responden bersetuju berhubung dengan kewajipan menjaga aurat, namun
demikian didapati hanya 83.7% daripada mereka yang menutup aurat. Berbanding dengan
golongan lelaki, golongan wanita merupakan golongan yang paling ramai tidak menjaga
aurat. Mengikut pandangan GAH, wanita muslim boleh memakai apa sahaja pakaian
walaupun mendedahkan anggota-anggota berkenaan dengan syarat ia hendaklah bersopan
dan tidak menyalahi adat serta budaya masyarakat setempat. Aurat menurut mereka
ialah menutup bahagian sulit yang apabila kita dedahkan menjadi sumbang kepada masyarakat.
Kewujudan fahaman yang songsang seperti GAH sekurang-kurangnya telah mengelirukan
segelintir umat Islam. Mereka asalnya berpegang bahawa rambut wanita termasuk
dalam aurat tetapi kini mula mempertikaikan kesahihannya. Dalam hal ini, Abdullah
Nasih Ulwan (1988) menjelaskan bahawa gejala pendedahan aurat yang
berleluasa melalui pelbagai fesyen pakaian yang
menjolok mata merupakan antara fitnah yang mengancam usaha mendidik akhlak yang
mulia di kalangan remaja.
saranan dan kesimpulan
SARANAN
Pada akhir kajian
ini, dikemukakan beberapa saranan kepada pihak-pihak yang berkenaan agar ia
dapat dimanfaatkan seterusnya tindakan lanjut dapat diambil agar fahaman anti
hadis ini dapat dikekang daripada terus merebak ke dalam jiwa umat Islam
seluruhnya.
7.1 Individu
a) Pemantapan ilmu
agama secara menyeluruh perlu dilipatgandakan dengan menghadiri kelas-kelas
pengajian agama sama ada di masjid mahupun di surau.
b) Sentiasa
berhubung dengan institusi-institusi agama seperti Bahagian Penyelidikan, di
Jabatan Agama Islam negeri-negeri, Jabatan Mufti, atau melalui badan-badan
bukan kerajaan atau NGO dan sebagainya bagi memperoleh sumber maklumat yang
tepat berkaitan dengan isu-isu agama seperti ini.
c) Memberi
pendedahan awal berkaitan bahayanya anti hadis kepada ahli keluarga dalam memastikan
institusi keluarga tidak rapuh dek kegersangan akidah seterusnya bagi
melahirkan modal insan yang berjiwa murni dengan pegangan rohani yang kukuh dan
sejati.
d) Bekerjasama
dengan pihak berkuasa agama melalui aduan maklumat sekiranya terdapat gejala
anti hadis yang berlaku agar ia dapat dibendung di peringkat lebih awal.
7.2 Masyarakat
a) Sentiasa
mengingatkan atau menasihati anggota setempat agar tidak terlibat dalam apa-apa
jua doktrin yang bertentangan dengan agama Islam.
b) Peranan komuniti setempat
seperti JKKK , Rukun Tetangga juga tidak terkecuali dalam memastikan setiap
aktiviti yang dijalankan oleh penduduk setempat tidak bertentangan dengan
nilai-nilai Islam.
c) Bekerjasama
dengan pihak berkuasa agama dalam menyalurkan maklumat sekiranya terdapat
aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan ajaran Islam dari semasa ke semasa
agar tindakan awal dapat diambil seterusnya dapat dilumpuhkan secara tuntas dan
bersepadu.
7.3
Institusi-institusi Agama
a) Mengadakan
program-program kesedaran tentang bahayanya gejala anti hadis dan
fahaman-fahaman lain yang menyeleweng kepada masyarakat sama ada forum, seminar
mahupun diskusi agar masyarakat dapat mengetahui hakikat sebenar bahaya anti
hadis.
b) Mengedarkan
risalah dan buku kepada masyarakat ataupun melalui penulisan artikel di
akhbar-akhbar sebagai perkongsian maklumat mengenai bahaya anti hadis serta
fahaman-fahaman lain yang bertentangan dengan ajaran Islam.
c) Memantapkan juga
program-program tentang bahaya anti hadis ini di kalangan pelajar di institusi-institusi
pengajian tinggi atau IPTA agar para pelajar tidak terkeliru dengan unsur-unsur
penolakan hadis sebagai sumber hukum dalam Islam seterusnya memantapkan lagi
kefahaman mereka tentang nilai-nilai ajaran Islam yang sebenar.
d) Mengadakan program
dialog dengan golongan anti hadis bagi mendedahkan hakikat kebenaran mengenai
peranan hadis sebagai sumber hukum dalam perundangan Islam. Hal ini penting
bagi memastikan agar mereka dapat menilai semula pegangan mereka yang salah dan
kembali kepada ajaran Islam yang sebenar seterusnya dapat melumpuhkan lagi
pergerakan ini daripada terus tersebar di kalangan umat Islam.
7.4 Pihak Berkuasa
Agama
a) Melakukan
pemantauan secara berperingkat terhadap pergerakan dan perkembangan golongan
anti hadis dari semasa ke semasa.
b) Mengadakan sesi
kaunseling bersama golongan anti hadis di Pusat Pemulihan Akidah bagi
memastikan agar mereka mendapat bimbingan dan gambaran yang betul mengenai
hadis dan kedudukan Baginda sebagai utusan Allah S.W.T.
c) Bekerjasama dengan
pihak berkuasa yang lain seperti Polis Diraja Malaysia atau PDRM dalam
menjalankan siasatan dan melakukan tangkapan terhadap mereka yang terlibat
dengan fahaman anti hadis ini.
FATWA-FATWA PENGHARAMAN ANTI HADITH
Fatwa-fatwa berkenaan pengharaman anti hadith
adalah seperti berikut: Johor (1.J.P.U.51
91996), Kelantan (3. NO.4040 (1996), Melaka
(2. No. 78 (1996), Pahang (1. No. 720 (1996), Perak (1. No. 139 (1996), Pulau
Pinang (7. No. 519 (1996), Selangor (3. Sel. P.U.21 (1995) (4.
Sel. P.U.46 (1995), Wilayah Persekutuan (3. P.U.(B)51. (1996).[10]
Sebagai
contoh, negeri Kedah mengisytiharkan (Rujukan: Minit Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa
majlis Agama Islam Negeri Kedah 30 September 1995) bahawa:
i. Mana-mana orang atau kumpulan orang yang
berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku
Hadis: satu Penilaian Semua, Hadis: Jawapan Kepada Pengkritik, Pendedahan
Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu, Hadith Dalam Al-Qur’an, Bacaan, the Computer
Speaks-God’s Message to the World atau risalah Iqra’ adalah MURTAD.
ii. Mana-mana orang Islam adalah dilarang:
a.
Untuk mengajar, mempelajari, mengamalkan, berpegang
kepada atau menyebarkan ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku Hadis: Satu Penilaian Semua, Hadis: Jawapan kepada pengkritik, Pendedahan
Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu, Hadith dalam al-Qur’an, Bacaan, the Computer
Speaks-God’s Message to the World atau Risalah Iqra’.
b. Untuk mencetak,
menerbitkan, memiliki, menyebarkan atau mengedarkan buku
Hadis: Satu Penilaian Semua, Hadis: Jawapan
kepada pengkritik, Pendedahan
kebenaran adalah dari Tuhanmu, Hadith dalam
al-Qur’an, Bacaan, the Computer Speaks-God’s Message to the World atau risalah
Iqra’ atau manamana bahagiannya termasuk;
i. apa-apa
bentuk versi atau variasinya,
ii. apa-apa
terjemahannya dalam apa-apa bahasa,
iii. apa-apa bahan publisiti yang bertujuan
memberikan publisiti kepada manamana
buku itu pada atau apa-apa bahan sama ada
bahan cetak atau elektronik
atau selainnya atau melalui apa-apa media atau
iii. untuk menjadi anggota atau memimpin mana-mana kumpulan yang
tersebut di dalam perenggan (1) atau membantu dalam menghidupkan atau
mengembangkan kumpulan sedemikian.
Begitu juga Fatwa di
Selangor berkaitan. Buku “Hadis Satu Penilaian Semula” oleh Kassim Ahmad. Ia
menyatakan bahawa:[11]
1) Buku “HADIS SATU PENILAIAN
SEMULA” yang ditulis oleh Kassim Ahmad didapati
mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman yang bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam serta boleh mengelirukan dan menyesatkan masyarakat
Islam dan oleh itu adalah diharamkan.
2) Orang Islam dilarang mengamalkan apa-apa
ajaran, pandangan atau fahaman yang terkandung dalam buku itu.
3) Orang Islam dilarang menyimpan, menyalin
atau memberikan ceramah tentang isi kandungan buku itu.
Secara umumnya
fatwa-fatwa pengharaman tersebut telah diselaraskan di peringkat pusat dan diterima
pakai di peringkat negeri. Ini jelas dengan melihat kandungannya serta
perkataan dan ayat-ayat yang digunakan.
Dari contoh fatwa di atas, boleh dirumuskan bahawa:
1. Berpegang dengan
ajaran yang terkandung dalam bahan-bahan anti hadith adalah murtadز
2. Orang Islam dilarang
daripada mengajar, mempelajari, mengamalkan, berpegang atau menyebarkan
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam bahanbahan anti hadithز
3. Orang Islam dilarang
daripada mencetak, menerbitkan, memiliki, menyebarkan atau mengedarkan
bahan-bahan anti hadith dalam apa-apa versi/variasi, terjemahan, publisiti (bercetak/elekronik)
4. Orang Islam dilarang
daripada menganggota atau memimpin pertubuhan anti hadith.
Pemerhatian terhadap
fatwa negeri Kedah di atas dan lain-lain negeri menjelaskan bahawa fatwa-fatwa
tersebut amat terperinci bagi tujuan menangani ajaran yang menyeleweng yang bertentang
dengan Islam. Justeru difahami kenapa pihak berkuasa agama di peringkat pusat dan negeri berusaha bagi menangani, mengawal dan
akhirnya mengharamkannya. Malangnya, fatwa-fatwa tersebut setakat yang
diketahui tidak dikuatkuasakan sepenuhnya. Selepas pengeluaran fatwa dan kritikan
daripada banyak pihak, Kassim Ahmad and JAM menyepi tetapi produktif. Idea dan
pemikiran mereka seterusnya dimuatkan di beberapa tapak di Internet.
8. KESIMPULAN
Sebagai rumusan
akhir, dapat disimpulkan bahawa memang diakui bahawa gerakan Anti Hadis
lebih merupakan peniru dan hanya menghasilkan reproduction teori serta pandangan yang dibawa oleh orientalism silam. Mereka ini
adalah penyambung suara orientalism klasik yang sememangnya
memusuhi Islam. Tambah buruk lagi, walaupun sarjana orientalis
moden menolak semua teori orientalism klasik yang sesat – Gerakan Anti Hadis masih enggan berubah dan tetap berpegang dengan pandangan
mereka. Ini menyebabkan Gerakan Anti Hadis ini telah
menjadi musuh kerana kejahilan mereka sendiri yang bakal merosakkan
ajaran Islam.
Walaupun terdapat di kalangan
pendokong fahaman ini yang telah dan sedang diambil tindakan undang-undang ke
atasnya namun tidaklah bermakna bahawa gerakan ini akan lumpuh secara serta
merta. Selagi ada pengikutnya, sudah tentu akan muncul pula pendokong lain di
kalangan mereka yang akan menghidupkannya serta cuba untuk meracuni fikiran
umat Islam dengan pendekatan yang berlainan. Dalam hal ini Rasulullah S.A.W.
telah menegaskan melalui hadis Baginda:
Maksudnya: Daripada
Miqdam bin Ma‘dikariba r.a. berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda: “Hampir tiba
di suatu masa di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersanda di atas
katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya sebuah hadis daripada hadisku maka
ia berkata: “Pegangan kami dan kamu hanyalah Kitabullah (al-Quran) sahaja. Apa
yang dihalalkan oleh al-Quran kami halalkan dan apa yang ia haramkan maka kami
haramkan.” Kemudian Nabi S.A.W. melanjutkan sabdanya: “Padahal apa yang
diharamkan oleh Rasulullah S.A.W. samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan
oleh Allah S.W.T.” (Riwayat Abu Daud)
Namun begitu, kesedaran yang tinggi
perlu ada dalam diri setiap Muslim terhadap peri pentingnya peranan hadis dalam
perundangan Islam bahkan dalam kehidupan manusia itu sendiri. Hal ini kerana, ia
bukan sahaja untuk tujuan perlaksanaan ibadah semata-mata malah turut
mempengaruhi pegangan iktikad terhadap ajaran Islam. Justeru, semua umat Islam
perlu berganding bahu dalam memastikan pegangan yang kukuh terhadap al-Quran
dan al-Sunnah dapat ditingkatkan demi menjaga kedaulatan ajaran Islam daripada
sebarang bentuk penyelewengan.
[1] 1
Kertas ini dibentangkan di Wacana Pengukuhan Nilai-Nilai Islam –Bicara dan
Khutbah bersama Mufti S.S Tan Sri Dato Seri (Dr) Haji Harussani Haji Zakaria
pada 25 April 2014 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
[2] http://ms.wikipedia.org/wiki/Kassim_Ahmad
[3] Maklumat lanjut tentang hal ini boleh
didapati dalam Ahmad Fawzi Mohd. Basri, (1996) “ Perubahan nilai dalam budaya
politik Melayu “, dalam Ahmad Fawzi Mohd. Basri (ed.), NilaiOrang Melayu,
Sintok : Sekolah Pembangunan Sosial, UUM, h. 90-101
[4] Zulkifli Mohd,(2002) Anti Sunnah
Movement And It‟s Impact On The Muslim Ummah, Kuala Lumpur : Panawira Sdn Bhd, h. 58-62
[5] Lihat (2002), Kontroversi Mengenai Memo
Kepada Majlis Raja-Raja Melayu : Islam Dicabar, Rasulullah S.A.W. Dan Ulama
Dihina, Persatuan Ulama Malaysia dan Persatuan Ulama Kedah, Pulau Pinang,
h. 1-5
[6] Empat aliran tersebut ialah: 1.
Aliran yang bersumberkan wahyu semata-mata, 2. Aliran yang bersumberkan wahyu
dan akal, di mana wahyu sebagai asas dan akal sebagai pembantu, 3. Aliran yang
bersumberkan akal sebagai asas dan wahyu sebagai penyokong, 4. aliran yang
bersumberkan akal semata-mata. Lihat: Abdul Rahman Hj. Abdullah, Falsafah
Dan Kaedah Pemikiran, Universiti Sains Malaysia, Utusan Publications &
Distributors Sdn. Bhd. Edisi ke-2, 2005, hlm. 95-99.
[10] Lihat Koleksi Fatwa Usuluddin. Jild I: Ajaran Salah, Tarikat.
UM.I/XU/628/1.