DONATE

Khamis, 23 Oktober 2008

Undang-Undang Tanah: Kajian melalui Kitab Al-Kharaj (Penulisan Imam Abu Yusuf Al-Hanafi)

1.0 Pendahuluan

Undang-undang tanah terlebih dahulu wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Akan tetapi sistem yang diamalkan pada masa itu tidak bersistematik dan banyak berlaku ketidakadilan. Pada zaman pemerintahan Islam, undang-undang ini telah diperkemaskan lagi dengan turunnya wahyu daripada Allah dan Hadis daripada Rasulnya. Sejak dari awal lagi iaitu penaklukan Rasulullah ke atas tanah Bani Nadir, undang-undang ini telah berkembang dengan pesat terutamanya pada zaman perluasan tanah taklukan Islam oleh khalifah-khalifah selepasnya. Undang-undang ini telah dibincangkan lebih lanjut oleh ulamak-ulamak sehinggakan ianya terbahagi kepada berbagai-bagai fahaman. Dan banyak juga kitab-kitab yang dikeluarkan bagi menjelaskan mengenai fahaman masing-masing menganai undang-undang tanah Islam ini. Antara salah satu kitab yang terkenal di dalam bidang ini ialah kitab ‘Al-Kharaj’ oleh Abu Yusof iaitu salah seorang anak murid kepada imam Abu Hanifah. Kitab Al-Kharaj ini ialah sebuah kitab mazhab Hanafi yang menceritakan mengenai undang-undang tanah Islam terutamanya pada zaman khalifah Harun Al-Rasyid. Oleh itu kita akan melihat beberapa peruntukan mengenai undang-undang tanah Islam yang diperuntukan di dalam kitab ini.

2.0 Pembahagian harta ghanimah

Salah satu sumber pendapatan bagi kerajaan Islam ialah ghanimah iaitu harta rampasan perang. Di mana harta ini diperolehi daripada musuh yang dikalahkan atau melarikan diri. Harta ini dibenarkan oleh Allah sebagaimana firmannya didalam ayat 6 surah al-Hasyr:

“Dan apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada RasulNya (dari harta benda) mereka, maka untuk mendapatkan itu kamu tidak mengerahkan seekor kudapun dan (Tidak pula) seekor untapun, tetapi Allah yang memberikan kekuasaan kepada RasulNya terhadap apa saja yang dikehendakiNya. dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”.

Harta rampasan dalam peperangan terbahagi kepada dua iaitu harta alih dan harta tak alih.

2.1 Harta alih

Harta alih di sini bermaksud harta yang dirampas oleh orang Islam didalam peperangan yang mana harta ini boleh dialihkan, contohnya seperti emas, binatang, kenderaan dan lain-lain lagi. Cara pembahagiannya ialah dengan mengambil sebanyak 1/5 untuk umat Islam dan selebihnya pula akan dibahagikan kepada askar-askar yang menyertai peperangan. Tentera berkuda mendapat 3 bahagian, 2 bahagian untuk kudanya dan satu bahagian untuknya. Manakala tentera biasa pula mendapat 1 bahagian. Ini telah dinyatakan didalam hadis Nabi dan sumber-sumber lain. Ini kerana banyaknya khidmat yang digunakan daripada kuda dan binatang tunggangan lain. Firman Allah di dalam surah An-Nahl ayat 8:

“Dan (Dia Telah menciptakan) kuda, baghal dan keldai, agar kamu menungganginya dan (menjadikannya) perhiasan, dan Allah menciptakan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

Bagaimanapun imam Abu Hanifah menyatakan bahawa binatang sepatutnya tidak mendapat keutamaan melebihi tentera dan oleh itu tentera berkuda sepatutnya memberikan satu bahagian sahaja kepada kudanya. Pendapat ini berdasarkan kepada hadith daripada Zakaria b. al-Harith di atas nama al-Mundhir b. Abu Khamisa al-Hamadani:

“yang mana wakil Umar b. al-Khattab di Syria telah memberi habuan kepada tentera berkuda sebanyak 1 bahagian manakala 1 bahagian untuk kudanya dan Umar mengesahkannya selepas di sampaikan berita itu kepada pengetahuannya”.

Bagaimanapun, ijmak bersepakat untuk mengikut hadith yang mengatakan bahawa 2 bahagian untuk kuda. Tujuan bagi membenarkan 2 bahagian untuk kuda adalah untuk menggalakkan askar menggunakan kuda dan juga kerana penggunaan kuda ini melibatkan perbelanjaan yang tinggi. Manakala bagi askar dan sukarelawan pula terikat kepada ‘Diwan’ untuk mendapat bahagian yang sama iaitu 1 bahagian. Terdapat satu hadith daripada Qays b. al-Rabi’, Muhammad b. Ali, Ishaq b. ‘Abd Allah, Abu Hazim yang bermaksud:

“Abu Dharr al-Ghifari telah memberitahu kami di mana dia dan abangnya ketika bersama Rasulullah di dalam peperangan Hunayn dan ada dua ekor kuda bersama mereka. Rasulullah telah memberi mereka sebanyak 6 bahagian, 4 bahagian untuk kuda dan 2 bahagian untuk mereka berdua. Ia kemudian berubah sepertimana di dalam peperangan Hunayn, 6 bahagian telah dibahagikan kepada dua ekor unta muda”.

2.2 Harta tak alih

Harta rampasan berbentuk harta tak alih berlainan pula cara pembahagiannya dengan harta alih. Pada zaman Rasulullah, tanah yang ditakluk tidak dibahagikan kepada orang Islam seperti tanah-tanah Bani Nadir. Manakala tanah di Khaibar pula Rasulullah telah membahagikan tanah tersebut kepada lima bahagian, empat bahagian untuk orang Islam dan satu bahagian khusus untuk dirinya sendiri. Manakala pada zaman sayidina Umar iaitu zaman perluasan wilayah Islam, tanah ini tidak diagih-agihkan kepada orang Islam seperti mana harta alih, tetapi tanah ini akan diuruskan melalui dua cara. Pertama, dengan membiarkan tanah kepada pemilik asalnya untuk diusahakan dan keduanya jika tanah itu tidak mempunyai pemilik, maka tanah itu akan diberikan kepada orang Islam yang berhak untuk diusahakan.. Daripada dua cara pengurusan ini, maka timbullah dua konsep tanah di dalam harta rampasan tak alih iaitu tanah ‘usyriah dan tanah kharajiah.

2.2.1 Tanah ‘usyriah

Tanah yang dimiliki oleh orang Arab atau bukan Arab yang mana mereka ini telah memeluk agama Islam. Apabila mereka memeluk agama Islam, maka secara sendirinya tanah mereka dikategorikan sebagai tanah ‘usyriah seperti mana tanah di Madinah dan Yaman. Begitu juga tanah yang diusahakan di Hijaz atau daripada tanah Arab badwi yang memeluk Islam dikategorikan sebagai tanah ‘usyriah. Kewujudan tanah ‘usyriah yang baru tidak berlaku pada zaman pemerintahan Umar melainkan tanah-tanah ‘usyriah di Semenanjung Tanah Arab yang wujud sejak zaman Rasulullah S.A.W. lagi. Nabi S.A.W. telah menakluki sebahagian tanah dan beliau membiarkan tanah itu kepada pemilik asalnya yang telah memeluk Islam. Tanah ‘usyriah juga termasuk tanah yang diagihkan kepada orang-orang Islam sama ada ia dimiliki oleh kerajaan Islam atau melalui rampasan perang. Semua tanah yang ditawan melalui peperangan dan diberikan kepada orang Islam selepas ditolak 1/5 bahagian dinamakan sebagai tanah ‘usyriah dan cukai ‘usyriah dibayar oleh orang yang mengusahakannya. Abu Yusof telah menyatakan di dalam kitab ini bahawa mana-mana musuh yang telah memeluk agama Islam, mereka hidup secara aman dan tanah mereka dikekalkan untuk menjadi tanah ‘usyriah seperti mana tanah di Madinah, Taif, Bahrain yang mana mereka memeluk Islam melalui Rasulullah S.A.W. Tanah ini tidak boleh ditukarkan menjadi tanah kharajiah. Cukai ‘usyriah dikira berdasarkan prinsip berikut:

I. Jika hasil tanaman itu diperolehi daripada pengairan semula jadi maka cukai yang dikenakan adalah 1/10.
II. Jika hasil tanaman itu diperolehi daripada pengairan yang menggunakan tenaga, maka cukai yang dikenakan adalah 1/20.

2.2.2 Tanah kharajiah

Tanah kharajiah ialah tanah yang diambil daripada peperangan atau perdamaian yang mana mereka ini tidak memeluk Islam tetapi telah tunduk kepada kerajaan Islam dan menjadi kafir Dhimmi. Tanah kharajiah ini banyak terjadi pada zaman khalifah Umar kerana ketika itu telah berlaku perluasan tanah kerajaan Islam dengan pesat. Di mana tanah ini telah dikuasai oleh Umar dan tanah ini dikekalkan pemilikannya kepada tuan tanah yang tidak memeluk agama Islam untuk diusahakannya. Sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Hasyr ayat 7:
“Apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada RasulNya (dari harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya”.

Pemilik tanah kharajiah ini dikehendaki membayar cukai kepada kerajaan Islam sebagai tanda mereka tunduk kepada kekuasaan kerajaan Islam. Tanah ini tidak boleh diambil daripada mereka dan mereka tidak mempunyai hak untuk memindah milik tanah melalui penjualan. Jika tanah yang ditawan dikekalkan kepada pemilik asal seperti mana sayidina Umar lakukan kepada tanah Sawad, maka tanah itu dikategorikan sebagai tanah kharajiah dan orang yang mengusahakannya dikehendaki membayar cukai kharajiah.

Orang-orang Islam juga boleh mengusahakan tanah ini dengan syarat mereka membayar cukai kharajiah yang ditentukan oleh kerajaan. Ini berlaku kepada tanah di Sawad (Iraq), Mesopotamia, Syria dan Mesir. Di dalam mazhab Hanafi, kharaj ini terbahagi kepada dua iaitu:
I. Kharaj muqasamah: kharaj yang dikenakan berdasarkan pada satu kadar yang ditentukan terhadap hasil yang dikeluarkan atau hasil yang diperolehi dari tanah itu. Kadar itu ialah sama ada 1/2, 1/3, 1/4 dan 1/5. Kharaj ini dipungut pada setiap kali tanaman itu ditanam.
II. Kharaj wazifah (muwazzaf): kharajyang dikenakan berdasarkan pada keluasan tanah atau kadangkala berdsarkan pada pokok yang terdapat pada tanah itu. Kharaj muwazzaf ini dikenakan mengikut kadar yang tetap terhadap sesuatu bidang tanah (Ridzuan Awang 1994: 173)

Tanah ini juga tidak dibenarkan bertukar kepada tanah ‘usyriah. Tidak sesiapapun yang dibenarkan untuk membeli tanah kharajiah dan menggabungkannya dengan tanah ‘usyriah dan membayar cukai untuk tanah tersebut. Begitu juga sebaliknya tanah ‘usyriah tidak dibenarkan digabungkan dengan tanah kharajiah.

3.0 Hak untuk mengurang dan menambahkan kadar cukai

Sayidina Umar b. al-Khattab menetapkan bahawa kadar amaun wang atau kuantiti yang akan menghasilkan cukai dan beliau tidak memperkenalkan sistem cukai yang seimbang. Bukan kerana beliau tidak ada hak untuk mengurangkan cukai, tetapi beliau telah meneliti laporan daripada wakilnya Hudhayfa dan Uthman yang mana sebahagian tanah hanya mampu untuk membayar dengan kadar tertentu sahaja. Oleh itu beliau telah menetapkan bahawa setiap jarib bijirin yang dihasilkan sama ada diusahakan atau tidak, maka cukai dikenakan dalam bentuk per qafiz atau dirham. Dan setiap batang pokok kurma dikenakan cukai sebanyak lapan dirham. Akan tetapi sistem itu telah diubah bagi memudahkan urusan pembayaran cukai. Dan dikira cukai ke atas kebun anggur, sayur-sayuran dan lain-lain lagi. Ini menunjukkan pemerintah mempunyai hak untuk mengimbangi kadar cukai yang harus dibayar bagi setiap tanah. Apabila Nabi menawan Khaybar, baginda tidak mengenakan cukai dalam bentuk kewangan, tetapi Nabi menyerahkan tanah tersebut kepada kaum Yahudi dalam ‘Perjanjian Musaqa’ untuk mengambil sebahagian daripada hasil tanamannya. Sayidina Umar telah mengarahkan wakilnya untuk meninjau kesemua tanah Sawad kerana beliau menganggap bahawa tinjauan yang tepat akan memberi manfaat kepada pembayar cukai dan menambahkan pendapatan perbendaharaan tanpa mengenakan cukai melebihi dari apa yang termampu. Bagaimanapun hak untuk mengurang atau menambah cukai tertakluk kepada kemampuan tanah dan tuan tanah untuk membayar seperti mana yang dilakukan oleh sayidina Umar adalah keistimewaan dan hak pemerintah. Tidak seorang pun dibenarkan untuk melepaskan, menambah atau mengurangkan cukai tanpa izin daripada pemerintah kerana cukai adalah untuk kepentingan orang Islam.




4.0 Tanah mawat

Jika terdapat tanah umum, padang ragut, kawasan ternakan yang diperolehi melalui peperangan atau daripada perjanjian damai dimana tiada tanda adanya pengusahaan atau bangunan kepunyaan seseorang dijumpai, maka ianya dikategorikan sebagai tanah mawat. Dan sesiapa yang mengusahakannya maka tanah itu akan menjadi miliknya. Tanah itu bebas dimiliki dan diusahakan oleh sesiapapun. Ini berdasarkan hadis daripada Hujjaj b. Urtah b. ‘Amru b. Syu’aib dari bapanya dari datuknya daripada Nabi s.a.w yang bermaksud:

“barangsiapa yang menghidupkan tanah mawat (maka tanah itu) adalah kepunyaannya”.

Akan tetapi imam Abu Hanifah menyatakan bahawa sesiapa yang ingin menghidupkan tanah ini mestilah mendapatkan kebenaran daripada pemerintah terlebih dahulu. Abu Hanifah menyatakan kebenaran itu diharuskan berdasarkan kepada permasalahan berikut:

Jika dua orang bercadang untuk menghidupkan tanah yang sama dan tidak disyaratkan untuk meminta kebenaran, jadi siapa yang akan dipilih untuk menghidupkannya? Atau jika seseorang hendak menghidupkan tanah di atas garis sempadan tanah orang lain, yang mana ia akan menimbulkan kerosakan kepada tanah jirannya, apa akan terjadi? (Abu Yusof 1392: 69)

Sesetengah pertengkaran dapat diselesaikan dengan hanya meminta izin. Abu Hanifah menyatakan bahawa ia tidak bercanggah dengan peraturan yang Nabi buat kerana kebenaran tersebut hanyalah untuk mengatur dan mengesahkan hak pengusaha tanah. Abu Hanifah juga ada menyatakan bahawa hadis Nabi berkenaan tanah mawat itu adalah bukan suatu tindakan fatwa, bahkan ianya suatu tindakan budibicara kerajaan. Pada pendapat Abu Yusof pula menyatakan bahawa jika tidak berlaku kerosakan dan pertelingkahan diantara manusia, maka peraturan yang berdasarkan hadith itu akan di pakai. Jika kemungkinan berlaku kerosakan, maka pendapat Abu Hanifah akan terpakai.

Jika tanah mawat itu dikategorikan sebagai tanah ‘usyriah, maka dia di kehendaki membayar cukai ‘usyriah. Begitu juga jika tanah tersebut dikategorikan sebagai tanah kharajiah. Jika tanah itu tidak diketahui statusnya, maka ia akan bertukar menjadi tanah ‘usyriah jika dia menggali telaga atau membuka terusan atasnya.

Dalam masalah pemagaran pula, jika dia mendirikan pagar maka segala hak dan keistimewaannya akan diperakui. Ini bermakna sebarang pencerobohan akan dikenakan tindakan. Akan tetapi hak ini akan hilang jika tanah itu tidak diusahakan selama tempoh 3 tahun. Selepas tempoh ini, maka kerajaan berhak merampas dan memberi milik kepada orang lain. Jika tanah mawat diberi kepada seseorang, maka ianya tidak boleh diambil oleh orang lain melainkan dengan kebenaran undang-undang.

5.0 Tanah harim

Tanah harim ialah tanah-tanah yang berada di pinggir tanah mawat yang telah dihidupkan oleh seseorang (Ridzuan Awang 1994: 219). Jika seseorang membuka telaga berdekatan kawasan penduduk yang mana dimiliki oleh orang Islam atau kafir Dhimmi, maka dia memiliki kawasan yang dilindungi atau diharimkan seluas 40 hasta di sekeliling telaga untuk kegunaan ternakannya. Jika dia menggali parit, maka kawasan yang dilindungi ialah seluas 60 hasta setiap sisi. Bagaimanapun jika mata air, kawasan yang dilindungi ialah seluas 500 hasta. Telaga yang digunakan untuk mengairi tanah dengan bantuan unta dinamakan sebagai Bi’r al-Nadih dan kawasan yang dilindungi ialah seluas 60 hasta. Manakala telaga yang digunakan untuk memberi minum lembu dinamakan sebagai Bi’r al-‘Atn dan kawasan yang dilindungi ialah seluas 40 hasta. Ini berdasarkan hadis Nabi daripada al-Hasan b. Umara, al-Zuhri: Nabi s.a.w. bersabda:

“Kawasan yang dilindungi bagi mata air ialah 500 hasta, Bi’r al-Nadih 60 hasta dan bagi Bi’r ‘Atn 40 hasta sebagai tempat rehat bagi lembu-lembu”.
Bagi terusan bawah tanah pula, kawasan yang dilindungi ialah sama seperti kawasan telaga. Tidak ada sesiapapun yang dibenarkan untuk masuk ke kawasan itu dan menggali telaga baru, mengusahakan atau mendirikan bangunan di situ. Penceroboh akan dipertanggungjawabkan ke atas segala kerosakan yang berlaku. Jika air bawah tanah itu keluar ke permukaan, kawasan yang dilindungi sama seperti kawasan terusan atau parit. Bagaimanapun jika seseorang menggali telaga di luar kawasan yang dilindungi tetapi berdekatan dengannya dan mengakibatkan air di telaga yang lagi satu kering, maka dia tidak akan bertanggungjawab kerana dia menggali di tanahnya.

6.0 Bahan galian bawah tanah

Seorang pemilik tanah akan memiliki segala yang berada di dalam tanahnya termasuk segala bahan yang berada di dalamnya. Mengikut Abu Hanifah, sekiranya seseorang mendapati bahan galian seperti emas, tembaga dan lain-lain di dalam tanah yang dimiliki oleh seseorang atau syarikat maka benda itu adalah milik tuan tanah tersebut. Jika didapati dalam tanah milik khusus kerajaan, maka ia akan menjadi hak milik kerajaan. Apabila galian itu didapati dalam tanah wakaf maka ia juga akan menjadi harta wakaf. Sebaliknya jika galian itu terdapat dalam tanah mawat, maka ia menjadi hak milik orang yang mula-mula mengusahakannya (Ridzuan Awang 1994: 219). Selain tanah, bahan galian di dalam tanah juga turut dikenakan cukai. Cukai yang dikenakan ialah sebanyak 1/5 yang akan di ambil daripada bahan galian seperti emas, timah, besi, tembaga yang dijumpai di tanah Arab atau tanah yang lain. Ini berdasarkan firman Allah di dalam surah Al-Anfal ayat 42:

“Ketahuilah, Sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka Sesungguhnya seperlima untuk Allah, rasul, kerabat rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil, jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang kami turunkan kepada hamba kami (Muhammad) di hari Furqaan, iaitu di hari bertemunya dua pasukan. dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”.

kadar 1/5 akan diambil dalam mana-mana kuantiti mineral sekalipun beratnya kurang daripada 200 dirham perak atau 20 mithqals emas kerana pada had ini harta itu telah dikenakan zakat yang mana mineral itu dikira sebagai bahan galian. Cukai 1/5 tidak diambil daripada hasil mineral, tetapi di ambil daripada mineral yang asli walaupun kos untuk memproses mineral itu tinggi daripada harga mineral itu sendiri. Bagaimanapun jika batu galian yang berharga seperti nilam, tirus, mekuri, sulfur adalah bebas daripada dikenakan cukai kerana bahan itu memang terdiri daripada lumpur dan hasil bumi (A. Ben Shemesh 1969: 55). Rikaz seperti emas dan perak telah dicipta oleh Allah dengan tanah juga dikenakan cukai sebanyak 1/5. Harta daripada emas, perak dan permata yang tidak dimiliki oleh sesiapa juga dikenakan sebanyak 1/5 dan bakinya akan kembali kepada orang yang menjumpainya. Jika seorang kafir harbi memasuki Negara Islam dengan kebenaran dan menjumpai harta maka dia tidak ada hak ke atasnya. Bagaimanapun jika kafir dhimmi ataupun hamba muslim yang menjumpai harta, maka harta itu akan dikenakan cukai sebanyak 1/5. Jika orang Islam menjumpai harta karun di dalam kawasan musuh yang di masukinya tanpa kebenaran, maka 1/5 tidak akan di potong darinya.

7.0 Kesimpulan

Kitab Al-Kharaj ini telah ditulis oleh ulamak muktabar dan ianya selari dengan prinsip agama Islam dengan mendatangkan keadilan kepada umat manusia. Undang-undang ini juga memberi kelebihan dan kepentingan khasnya kepada umat Islam. Seharusnya kita cuba untuk mengamalkannya dengan menjadikannya sebagai undang-undang yang utama ataupun dengan menerapkannya ke dalam undang-undang yang sedia ada.



8.0 Rujukan

Abu Yusof Ya’kub b. Ibrahim. Kitab Al-Kharaj. 1392. Matba’ah Salafiah. Kaherah.

A. Ben Shemesh. Taxation In Islam: Volume 3. 1969. London.

Ridzuan Awang. Undang-undang Tanah Islam: Pendekatan Perbandingan. 1994. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Hadhanah: Suatu Pengenalan


1.0 Pendahuluan

Perlaksanaan perintah hadhanah merupakan satu tajuk yang membahaskan mengenai hak-hak penjagaan anak. Kajian ini akan menyentuh berkenaan dengan beberapa aspek penting yang bermula daripada pengertian, dalil-dalil, syarat-syarat yang berkaitan dan juga berkenaan dengan prosedur mahkamah.

Hadhanah adalah merupakan penjagaan dan pendidikan kanak-kanak yang masih kecil dalam semua hal kehidupan sehingga kanak-kanak tersebut mencapai umur yang tertentu. Walaubagaimanapun orang yang berhak menjaganya juga merupakan orang yang bertanggungjawab ke atas kanak-kanak tersebut sama ada dari kaum karabat atau mahramnya.

Walaupun hak jagaan itu melibatkan kaum kerabat atau mahram bagi kanak-kanak itu, akan tetapi ia tetap bergantung kepada keputusan mahkamah. Dalam kes-kes hadhanah, perintah hak jagaan akan diputuskan oleh mahkamah setelah berpuas hati dengan keterangan-keterangan yang telah diberikan.

Dalam kerja kursus ini akan dijelaskan dengan lebih terperinci berkenaan dengan hadhanah serta dari segi perlaksanaan perintah agar pemahaman mengenainya dapat dicungkil dengan lebih mendalam.


2.0 Definisi hadhanah

Pengertian hadhanah dari segi bahasa ialah disamping iaitu himpun disamping (di sisi) (Wahbah al-Zuhaili 2001 : 897). Asal perkataan hadhanah ialah hidhnu yang juga membawa maksud tepi atau sisi. Ini disebabkan kerana orang yang ingin mengambil kanak-kanak tersebut meletakkan kanak-kanak itu disisinya (Mustofa al-Khin 2002 : 753). Ada juga yang mengatakan bahawa perkataan hadhanah itu adalah berasal daripada perkataan arab dari kata dasar al-hidhan yang bererti lambung atau rusuk kerana setiap ibu yang mengandung atau mendukung anaknya akan meletakkannya dibahagian rusuk (Azhar b. Abd Aziz 2006 : 193)

Seterusnya pengertian hadhanah dari segi istilah pula ialah hak mendidik anak-anak bagi orang yang mempunyai hak penjagaan. Penjagaan itu termasuklah mendidik dan menjaga mereka yang tidak mampu mengurus diri sendiri bagi menjauhkan daripada perkara-perkara yang buruk mengenainya, kerana mereka tidak dapat membezakan antara yang baik dan buruk. Mereka dijaga dari segi makan dan minum, pakaian, tempat tidur dan kebersihannya dalam tempoh umur yang tertentu (Wahbah al-Zuhaili 2001 : 898).

Hadhanah dari segi istilah juga boleh membawa erti menjaga serta memelihara anak-anak yang masih kecil sama ada lelaki atau perempuan atau anak-anak yang sudah dewasa tetapi belum mumaiyiz dari sebarang anasir yang boleh merosakkan fizikal mahupun mentalnya sehinggalah kanak-kanak itu mampu berdikari dan memikul tanggungjawab (Azhar b. Abd Aziz 2006 : 194).

Pengertian hadhanah juga bermaksud pemeliharaan kanak-kanak yang masih kecil, sama ada lelaki atau perempuan atau kanak-kanak bodoh yang tidak mumaiyiz, sesudah berlaku perceraian antara kedua ibu bapa mereka (Mat Saat Abd. Rahman 2002 : 121)



3.0 Hukum penjagaan anak (hadhanah)

Penjagaan anak hukumnya adalah wajib. Ini adalah kerana jika kanak-kanak itu tidak di jaga dengan baik, maka kerosakan pasti akan berlaku berlaku terhadap kana-kanak itu (Wahbah al-Zuhailai 2001 : 898). Penjagaan itulah yang akan mencorak serta mewarnai keperibadian kanak-kanak itu setelah dewasa kelak. Ini adalah berdasarkan kepada Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tiap bayi itu dilahirkan di dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya seorang Yahudi, Nasrani ataupun Majusi” (Mat Saad Abd. Rahman 2002 : 115)
(Riwayat Muslim 4:2047)


4.0 Dalil-dalil yang mewajibkan hadhanah

Islam telah mewajibkan pemeliharaan ke atas kanak-kanak sehingga ia mampu berdikari. Oleh itu mengasuh kanak-kanak yang masih kecil adalah wajib kerana pengabaian terhadap anak-anak bererti mendedahkan anak-anak tersebut kepada bahaya. Terdapat banyak dalil-dalil yang menunjukkan kepada kewajipan mengasuh anak ini samada dari al-Quran, as-Sunnah dan Sirah sahabat. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah ayat 233:


“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun genap, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. dan kewajiban bapa ialah memberi makan dan Pakaian kepada ibu dengan cara ma'ruf. Tidaklah dibebani seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita Kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya, dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Apabila keduanya ingin menjaga (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kamu kepada Allah dan Ketahuilah bahawa Allah Maha melihat apa yang kamu kerjakan”.

Di dalam hadith nabi juga dijelaskan kewajipan penjagaan anak ini, antaranya yang bermaksud:

“Diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. bahawasanya telah datang seorang perempuan (menemui Rasulullah dan bertanya), ya Rasulullah, ini adalah anakku, perutku yang mengandungkannya, susuku yang memberi minumnya, pangkuankulah yang memangkunya. Sesungguhnya bapanya telah menceraikan aku dan dia hendak merampasnya dariku. Rasulullah s.a.w. bersabda: Engkaulah yang berhak ke atasnya selagimana engkau belum berkahwin”.
(H.R. Ahmad dan Abu Daud)

Dan tentang hadhanah ini juga terdapat didalam sirah para sahabat. Antaranya ialah kisah yang berlaku pada zaman Saidina Umar r.a. Didalam satu riwayat ada menceritakan bahawa Saidina Umar Ibn al-Khattab telah menceraikan isterinya yang bernama Jamilah (seorang wanita Ansar) dan mereka meninggalkan sorang anak bernama ‘Ashim. Mereka berebut tentang siapakah yang berhak untuk menjaga anak itu. Lalu mereka telah merujuk kepada Saidina Abu Bakar yang menjadi khalifah ketika itu. Saidina Abu Bakar memutuskan bahawa ibunya lebih berhak.

Daripada dalil-dalil ini dapatlah difahami bahawa hadhanah adalah satu kewajipan kepada ibu bapa ataupun penjaganya. Pengabaian terhadap hadhanah ini adalah satu penganiayaan terhadap anak-anak (Raihanah Abdullah 2001: 161).

5.0 Penjaga yang lebih berhak menjaga anak

Bagi pasangan suami isteri yang telah bercerai dalam keadaan anak mereka samada lelaki atau perempuan masih kecil dan belum mencapai usia mumaiyiz, maka dalam keadaan seperti ini, ibu adalah lebih berhak menjaganya. Alasan yang munasabah berkenaan dengan kenyataan ini ialah:

1. Seorang ibu mempunyai tahap kasih sayang serta kesabaran yang lebih tinggi berbanding dengan orang lain walaupun si ibu terpaksa menanggung beban untuk menjaga dan mendidik anak itu.
2. Belaian dari seorang ibu lebih lembut ketika menjaga dan mendidik anaknya. Ibu juga mampu untuk memberi kasih sayang yang lebih sepertimana yang diperlukan oleh bayi tersebut.

Berdasarkan kenyataan di atas telah menunjukkan bahawa ibu lebih berhak menjaga anak berbanding bapa. Telah berlaku di zaman Rasulullah SAW dimana baginda telah menemui seorang ibu yang datang kepadanya untuk mengadu kepadanya berkenaan dengan siapa yang lebih berhak untuk menjaga anak. Maka sebagaimana didalam Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Abdullah bin Amru r.a berkata: seorang wanita telah datang bertemu Nabi SAW dan berkata: wahai Rasulullah! Sesungguhnya anakku ini, akulah yang mengandungnya, susu akulah yang diminumnya dan akulah penjaganya. Bapanya telah menceraikan aku dan sekarang dia ingin mengambil anakku. Lalu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Kamu lebih berhak (daripadanya) selagi kamu belum berkahwin”(Mustofa al-Bugha 2002 : 754)
(Riwayat Abu Daud)

Jika diikutkan kepada tertibnya hak penjagaan selepas ibu ialah keluarga sebelah ibunya dan kemudiaannya barulah berpindah kepada keluarga sebelah bapa. Pertukaran hak jagaan daripada ibu kepada orang lain adalah disebabkan kerana si ibu tidak dapat lagi memenuhi syarat-syarat hadhanah atau telah meninggal dunia.

6.0 Syarat-syarat hadhinah

Walaupun telah jelas bahawa tanggungjawab menjaga dan mengasuh anak kecil menjadi tugas ibu, namun dia harus memenuhi kriteria-kriteria tertentu yang telah digariskan oleh fuqaha. Dengan ini barulah mereka benar-benar layak untuk menjadi hadhinah. Imam syafie telah menggariskan tujuh kriteria yang utama untuk menjadi hadhinah. Antaranya ialah:

1. Berakal: orang gila tidak layak menjadi hadhinah kecuali gilanya amat sedikit sekali.
2. Merdeka: perempuan yang masih hamba tidak layak menjadi hadhinah kerana hamba bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tuannya.
3. Islam: orang kafir sama sekali tidak layak menjadi hadhinah kerana dikhuatiri akan merosakkan akidah anak tersebut.
4. Baik akhlaknya: orang yang buruk serta rosak akhlaknya tidak layak menjadi hadhinah.
5. Amanah: orang yang mempunyai sikap khianat terhadap amanah yang diberikan kepadanya tidak layak menjadi hadhinah.
6. Hadhinah perlu tinggal di tempat dimana kanak-kanak itu dipelihara: oleh itu, ia akan memudahkan mereka menjalankan urusan penjagaan.
7. Tidak berkahwin dengan lelaki lain: syarat ini hanya tertakluk kepada pihak isteri sahaja. Jika ibu itu berkahwin lain, maka hak penjagaannya akan gugur. Pengecualian ini akan terbatal jika lelaki itu ada hubungan kekeluargaan dengan kanak-kanak tersebut.

7.0 Upah hadhanah

Orang yang menjaga itu berhak mendapat upah. Seorang isteri tidak berhak mendapat upah hadhanah jika ada suami bersamanya atau isteri berada dalam iddah talak. Ini kerana suami wajib memberi nafkah kepada isteri dalam tempoh iddahnya. Ini jelas daripada firman Allah dalam ayat 233 surah al-Baqarah:


“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun genap, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. dan kewajiban bapa ialah memberi makan dan Pakaian kepada ibu dengan cara ma'ruf. Tidaklah dibebani seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita Kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya, dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Apabila keduanya ingin menjaga (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kamu kepada Allah dan Ketahuilah bahawa Allah Maha melihat apa yang kamu kerjakan”.

Maka tidak layak bagi isteri mendapat upah hadhanah. Jika dia bercerai mati, maka dia berhak mendapat upah hadhanah kerana dia tidak mendapat nafkah sebagaimana dia bercerai hidup.

Dan berhak bagi hadhinah tempat tinggal baginya dan anak tersebut sekiranya dia tidak mempunyai tempat tinggal. Dan juga pembiayaan untuk orang gaji jika kanak-kanak itu memerlukan khidmat orang gaji.

Upah hadhanah bersumberkan daripada harta anak tersebut sekiranya dia mempunyai harta. Jika tidak, haruslah menggunakan harta bapanya ataupun sesiapa yang bertanggungjawab memberi nafkah terhadap anak tersebut sekiranya dia tidak mempunyai ayah. Dan undang-undang mensyaratkan supaya upah hadhanah itu tidak melebihi separuh daripada sumber pendapatannya. Jika orang yang menanggung itu tidak mampu, maka penjagaan anak itu akan diserahkan kepada ahli kerabat yang mahram. Dan terpulang bagi orang yang menjaga itu sama ada dia mahu mengambil upah ataupun menjaganya secara percuma (Dr. Mustafa Siba’i 1997: 272).

8.0 Urutan keutamaan orang yang layak terhadap hadhanah

Jika si ibu tidak memenuhi syarat-syarat hadhanah atau kehilangan salah satu syaratnya, ia tidak layak untuk ditugaskan sebagai hadhinah, dan tugas hadhanah itu diserahkan kepada ahli waris yang lain menurut urutan keutamaan seperti yang berikut:

1. Nenek sebelah ibu hingga ke atas peringkatnya
2. Bapa
3. Nenek sebelah bapa hingga ke atas peringkatnya
4. Kakak atau adik perempuan seibu sebapa
5. Kakak atau adik perempuan seibu
6. Kakak atau adik perempuan sebapa
7. Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa
8. Anak perempuan dari kakak atau adik seibu
9. Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa
10. Emak saudara sebelah ibu
11. Emak saudara sebelah bapa
12.Waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai ‘asabah (Abdul Monir Yacoob & Siti Shamsiah Md Supi 2006:146).

Dibawah S. 81(2) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) menambah syarat bahawa penjagaan oleh orang lain itu tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu. Manakala perenggan (3) dibawah seksyen yang sama pula menegaskan bahawa seseorang lelaki yang berhak terhadap penjagaan terhadap kanak-kanak perempuan mestilah seorang mahram, iaitu dia mempunyai pertalian dengan kanak-kanak perempuan itu iaitu dia diharamkan berkahwin dengannya.

9.0 Tamatnya tempoh hadhanah

Hadhanah berakhir apabila kanak-kanak itu tidak lagi memerlukan pengasuhan perempuan, telah mencapai umur mumaiyiz dan mampu berdikari iaitu mampu menguruskan sendiri keperluan asasnya seperti makan sendiri dan mandi sendiri. Oleh itu tidak ditentukan tempoh tertentu mengenai hadhanah ini. Menurut mazhab Syafi’I dan Hanbali, tempoh hadhanah tidak dihadkan dengan tempoh masa atau umur tertentu. Bagaimanapun fatwa mazhab Hanafi dan lain-lain menyebut:

“Masa hadhanah berakhir apabila kanak-kanak itu berumur tujuh tahun sekiranya lelaki dan sembilan tahun jika perempuan”. (Abdul Monir Yacoob & Siti Shamsiah Md Supi 2006:153)

Mazhab ini berpendapat bahawa penambahan masa bagi kanak-kanak perempuan adalah perlu bagi membolehkan mereka membiasakan diri dengan kebiasaan orang-orang perempuan yang mempelajarinya daripada pengasuhan tersebut. Selepas kanak-kanak itu mumaiyiz, ia diberi hak memilih sendiri untuk tinggal bersama ibu atau bapanya. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Seorang perempuan datang mengadu kepada Rasulullah s.a.w. katanya: wahai Rasulullah, sedangkan suamiku mahu membawa anakku pergi, sesungguhnya anak itu berguna kepadaku, dan dialah yang memberi aku air dari perahan Abi ‘Utbah, maka ketika itu datanglah suaminya lalu Rasulullah bersabda: Wahai anak, ini bapamu dan ini ibumu, pilihlah yang mana satu yang engkau sukai. Lantas anak itu memilih ibunya, lalu ibu tersebut membawa pergi anak itu”.

Seksyen 84(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 dan juga Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di beberapa buah negeri yang lain memilih pendapat ini. Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukan:

“Hak hadinah bagi menjaga seseorang kanak-kanak adalah tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu perempuan, tetapi mahkamah boleh, atas permohonan hadinah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan”.

10.0 Pelaksanaan perintah hadhanah

Apabila sesuatu keputusan penjagaan diputuskan oleh hakim, maka surat keputusan tersebut hendaklah diberi kepada kedua-dua belah pihak. Dengan ini kedua-dua belah pihak hendaklah mematuhi segala perintah yang dikeluarkan. Pihak suami hendaklah menyerahkan anak kepada bekas isterinya dan pihak isteri mempunyai hak untuk menuntut penjagaan anak daripada pihak suami, begitu juga sebaliknya. Perlaksanaan ini hendaklah berkuatkuasa bermula dari tarikh yang ditetapkan didalam surat keputusan mahkamah.

Tetapi jika tarikh penyerahan tidak ditetapkan, maka menurut S. 152(3) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1998 menetapkan bahawa:

“Permohonan untuk mendapatkan suatu perintah dibawah seksyen ini hendaklah dibuat dalam Borang MS 34 dan salinan permohonan itu hendaklah, walau apa pun apa-apa peruntukan lain Akta ini, disampaikan kepada orang yang dikehendaki melakukan perbuatan yang berkenaan”.

Surat ini hendaklah dihantar kepada pihak suami supaya dia menyerahkan hak jagaan anak kepada pihak isteri. Apabila pihak suami tidak menyerahkan hak penjagaan kepada pihak isteri, maka perbuatan pihak suami ini dikira sebagai ‘menghina mahkamah’ dan boleh dikenakan tindakan. Menurut S.229(1) menyatakan bahawa:

“Mahkamah hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk memulakan prosiding terhadap mana-mana orang kerana menghina mahkamah dan boleh, dalam prosiding sedemikian, membuat suatu perintah pengkomitan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau boleh mengenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit”

Manakala perenggan (3) pula menyatakan bahawa:

“Dalam hal penghinaan yang dilakukan diluar mahkamah, notis supaya menunjukkan sebab mengapa tindakan atau prosiding tidak boleh diambil terhadapnya hendaklah disampaikan ke diri orang yang dikatakan melakukan penghinaan itu”.

Dengan ini, pihak isteri dikehendaki menyediakan ‘surat tunjuk sebab’ kepada mahkamah. Apabila surat ini telah disediakan, maka ia akan diendorskan oleh mahkamah untuk dihantar kepada pihak suami. Contoh surat ini terdapat didalam Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1998 dan ditandakan sebagai Borang MS 45. Pihak suami dikehendaki hadir ke mahkamah bagi menunjukkan sebab mengapa dia tidak dapat melaksanakan perintah mahkamah. Jika alasan pihak suami tidak dapat memuaskan mahkamah, maka pihak suami boleh dikenakan tindakan pengkomitan sepertimana yang tertakluk dibawah S.229(1) Akta 585. Contoh perintah pengkomitan ini terdapat didalam Borang MS 46 dalam Akta 585. Biasanya perintah ini akan dilakukan oleh Bailif dan akan dibantu oleh pihak polis. Walaubagaimanapun, prosiding ini hanya akan dilakukan apabila terdapat permohonan atau aduan dari pihak isteri.

11.0 Kesimpulan

Setelah kita meneliti tentang hadhanah dan perkara yang berkaitan dengannya, dapatlah kita fahami bahawa tugas seorang hadhinah ini bukanlah suatu tugas yang ringan, tetapi ia memerlukan kita memberikan sepenuh perhatian dan tanggungjawab. Ini kerana kretiria dan syarat yang ditetapkan oleh Islam adalah bagi menjamin kemaslahatan dan masa depan anak-anak agar mereka tidak menjadi mangsa disebabkan perceraian di antara kedua ibu bapanya.



12.0 Rujukan

Abdul Monir Yacoob & Siti Shamsiah Md Supi. Undang-undang Keluarga Islam: 2006: Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Dr. H. Ibnu Mas’ud & Dr. H. Zainal Abidin. Fiqih Mazhab Syafi’i: 2000: Penerbit Pustaka Setia Bandung.

Dr. Haji Mohd Radzuan Ibrahim. Munakahat: Undang-undang & Prosedur: 2006: Dri Publishing House.

Dr. Mat Saad Abd. Rahman. Undang-undang Keluarga Islam: Aturan Perkahwinan: Suatu Pendekatan Berdasarkan Amalan Semasa: 2007: Percetakan Zafar Sdn. Bhd.

Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji. Kitab Fikah Mazhab Syafie: 2002: Prospecta Printers Sdn. Bhd.

Dr. Mustofa al-Siba’i. Syarh Qanun al-Ahwal Syakhsiah: 1997: Maktab Islami.

Raihanah Abdullah. Wanita Dan Perundangan Islam: 2001: Ilmiah Publishers Sdn. Bhd.

Wahbah Al-Zuhaili. Fiqh & Perundangan Islam: 2001: Dewan Bahasa Dan Pustaka.