DONATE

Khamis, 23 Oktober 2008

Undang-Undang Tanah: Kajian melalui Kitab Al-Kharaj (Penulisan Imam Abu Yusuf Al-Hanafi)

1.0 Pendahuluan

Undang-undang tanah terlebih dahulu wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Akan tetapi sistem yang diamalkan pada masa itu tidak bersistematik dan banyak berlaku ketidakadilan. Pada zaman pemerintahan Islam, undang-undang ini telah diperkemaskan lagi dengan turunnya wahyu daripada Allah dan Hadis daripada Rasulnya. Sejak dari awal lagi iaitu penaklukan Rasulullah ke atas tanah Bani Nadir, undang-undang ini telah berkembang dengan pesat terutamanya pada zaman perluasan tanah taklukan Islam oleh khalifah-khalifah selepasnya. Undang-undang ini telah dibincangkan lebih lanjut oleh ulamak-ulamak sehinggakan ianya terbahagi kepada berbagai-bagai fahaman. Dan banyak juga kitab-kitab yang dikeluarkan bagi menjelaskan mengenai fahaman masing-masing menganai undang-undang tanah Islam ini. Antara salah satu kitab yang terkenal di dalam bidang ini ialah kitab ‘Al-Kharaj’ oleh Abu Yusof iaitu salah seorang anak murid kepada imam Abu Hanifah. Kitab Al-Kharaj ini ialah sebuah kitab mazhab Hanafi yang menceritakan mengenai undang-undang tanah Islam terutamanya pada zaman khalifah Harun Al-Rasyid. Oleh itu kita akan melihat beberapa peruntukan mengenai undang-undang tanah Islam yang diperuntukan di dalam kitab ini.

2.0 Pembahagian harta ghanimah

Salah satu sumber pendapatan bagi kerajaan Islam ialah ghanimah iaitu harta rampasan perang. Di mana harta ini diperolehi daripada musuh yang dikalahkan atau melarikan diri. Harta ini dibenarkan oleh Allah sebagaimana firmannya didalam ayat 6 surah al-Hasyr:

“Dan apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada RasulNya (dari harta benda) mereka, maka untuk mendapatkan itu kamu tidak mengerahkan seekor kudapun dan (Tidak pula) seekor untapun, tetapi Allah yang memberikan kekuasaan kepada RasulNya terhadap apa saja yang dikehendakiNya. dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”.

Harta rampasan dalam peperangan terbahagi kepada dua iaitu harta alih dan harta tak alih.

2.1 Harta alih

Harta alih di sini bermaksud harta yang dirampas oleh orang Islam didalam peperangan yang mana harta ini boleh dialihkan, contohnya seperti emas, binatang, kenderaan dan lain-lain lagi. Cara pembahagiannya ialah dengan mengambil sebanyak 1/5 untuk umat Islam dan selebihnya pula akan dibahagikan kepada askar-askar yang menyertai peperangan. Tentera berkuda mendapat 3 bahagian, 2 bahagian untuk kudanya dan satu bahagian untuknya. Manakala tentera biasa pula mendapat 1 bahagian. Ini telah dinyatakan didalam hadis Nabi dan sumber-sumber lain. Ini kerana banyaknya khidmat yang digunakan daripada kuda dan binatang tunggangan lain. Firman Allah di dalam surah An-Nahl ayat 8:

“Dan (Dia Telah menciptakan) kuda, baghal dan keldai, agar kamu menungganginya dan (menjadikannya) perhiasan, dan Allah menciptakan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

Bagaimanapun imam Abu Hanifah menyatakan bahawa binatang sepatutnya tidak mendapat keutamaan melebihi tentera dan oleh itu tentera berkuda sepatutnya memberikan satu bahagian sahaja kepada kudanya. Pendapat ini berdasarkan kepada hadith daripada Zakaria b. al-Harith di atas nama al-Mundhir b. Abu Khamisa al-Hamadani:

“yang mana wakil Umar b. al-Khattab di Syria telah memberi habuan kepada tentera berkuda sebanyak 1 bahagian manakala 1 bahagian untuk kudanya dan Umar mengesahkannya selepas di sampaikan berita itu kepada pengetahuannya”.

Bagaimanapun, ijmak bersepakat untuk mengikut hadith yang mengatakan bahawa 2 bahagian untuk kuda. Tujuan bagi membenarkan 2 bahagian untuk kuda adalah untuk menggalakkan askar menggunakan kuda dan juga kerana penggunaan kuda ini melibatkan perbelanjaan yang tinggi. Manakala bagi askar dan sukarelawan pula terikat kepada ‘Diwan’ untuk mendapat bahagian yang sama iaitu 1 bahagian. Terdapat satu hadith daripada Qays b. al-Rabi’, Muhammad b. Ali, Ishaq b. ‘Abd Allah, Abu Hazim yang bermaksud:

“Abu Dharr al-Ghifari telah memberitahu kami di mana dia dan abangnya ketika bersama Rasulullah di dalam peperangan Hunayn dan ada dua ekor kuda bersama mereka. Rasulullah telah memberi mereka sebanyak 6 bahagian, 4 bahagian untuk kuda dan 2 bahagian untuk mereka berdua. Ia kemudian berubah sepertimana di dalam peperangan Hunayn, 6 bahagian telah dibahagikan kepada dua ekor unta muda”.

2.2 Harta tak alih

Harta rampasan berbentuk harta tak alih berlainan pula cara pembahagiannya dengan harta alih. Pada zaman Rasulullah, tanah yang ditakluk tidak dibahagikan kepada orang Islam seperti tanah-tanah Bani Nadir. Manakala tanah di Khaibar pula Rasulullah telah membahagikan tanah tersebut kepada lima bahagian, empat bahagian untuk orang Islam dan satu bahagian khusus untuk dirinya sendiri. Manakala pada zaman sayidina Umar iaitu zaman perluasan wilayah Islam, tanah ini tidak diagih-agihkan kepada orang Islam seperti mana harta alih, tetapi tanah ini akan diuruskan melalui dua cara. Pertama, dengan membiarkan tanah kepada pemilik asalnya untuk diusahakan dan keduanya jika tanah itu tidak mempunyai pemilik, maka tanah itu akan diberikan kepada orang Islam yang berhak untuk diusahakan.. Daripada dua cara pengurusan ini, maka timbullah dua konsep tanah di dalam harta rampasan tak alih iaitu tanah ‘usyriah dan tanah kharajiah.

2.2.1 Tanah ‘usyriah

Tanah yang dimiliki oleh orang Arab atau bukan Arab yang mana mereka ini telah memeluk agama Islam. Apabila mereka memeluk agama Islam, maka secara sendirinya tanah mereka dikategorikan sebagai tanah ‘usyriah seperti mana tanah di Madinah dan Yaman. Begitu juga tanah yang diusahakan di Hijaz atau daripada tanah Arab badwi yang memeluk Islam dikategorikan sebagai tanah ‘usyriah. Kewujudan tanah ‘usyriah yang baru tidak berlaku pada zaman pemerintahan Umar melainkan tanah-tanah ‘usyriah di Semenanjung Tanah Arab yang wujud sejak zaman Rasulullah S.A.W. lagi. Nabi S.A.W. telah menakluki sebahagian tanah dan beliau membiarkan tanah itu kepada pemilik asalnya yang telah memeluk Islam. Tanah ‘usyriah juga termasuk tanah yang diagihkan kepada orang-orang Islam sama ada ia dimiliki oleh kerajaan Islam atau melalui rampasan perang. Semua tanah yang ditawan melalui peperangan dan diberikan kepada orang Islam selepas ditolak 1/5 bahagian dinamakan sebagai tanah ‘usyriah dan cukai ‘usyriah dibayar oleh orang yang mengusahakannya. Abu Yusof telah menyatakan di dalam kitab ini bahawa mana-mana musuh yang telah memeluk agama Islam, mereka hidup secara aman dan tanah mereka dikekalkan untuk menjadi tanah ‘usyriah seperti mana tanah di Madinah, Taif, Bahrain yang mana mereka memeluk Islam melalui Rasulullah S.A.W. Tanah ini tidak boleh ditukarkan menjadi tanah kharajiah. Cukai ‘usyriah dikira berdasarkan prinsip berikut:

I. Jika hasil tanaman itu diperolehi daripada pengairan semula jadi maka cukai yang dikenakan adalah 1/10.
II. Jika hasil tanaman itu diperolehi daripada pengairan yang menggunakan tenaga, maka cukai yang dikenakan adalah 1/20.

2.2.2 Tanah kharajiah

Tanah kharajiah ialah tanah yang diambil daripada peperangan atau perdamaian yang mana mereka ini tidak memeluk Islam tetapi telah tunduk kepada kerajaan Islam dan menjadi kafir Dhimmi. Tanah kharajiah ini banyak terjadi pada zaman khalifah Umar kerana ketika itu telah berlaku perluasan tanah kerajaan Islam dengan pesat. Di mana tanah ini telah dikuasai oleh Umar dan tanah ini dikekalkan pemilikannya kepada tuan tanah yang tidak memeluk agama Islam untuk diusahakannya. Sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Hasyr ayat 7:
“Apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada RasulNya (dari harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya”.

Pemilik tanah kharajiah ini dikehendaki membayar cukai kepada kerajaan Islam sebagai tanda mereka tunduk kepada kekuasaan kerajaan Islam. Tanah ini tidak boleh diambil daripada mereka dan mereka tidak mempunyai hak untuk memindah milik tanah melalui penjualan. Jika tanah yang ditawan dikekalkan kepada pemilik asal seperti mana sayidina Umar lakukan kepada tanah Sawad, maka tanah itu dikategorikan sebagai tanah kharajiah dan orang yang mengusahakannya dikehendaki membayar cukai kharajiah.

Orang-orang Islam juga boleh mengusahakan tanah ini dengan syarat mereka membayar cukai kharajiah yang ditentukan oleh kerajaan. Ini berlaku kepada tanah di Sawad (Iraq), Mesopotamia, Syria dan Mesir. Di dalam mazhab Hanafi, kharaj ini terbahagi kepada dua iaitu:
I. Kharaj muqasamah: kharaj yang dikenakan berdasarkan pada satu kadar yang ditentukan terhadap hasil yang dikeluarkan atau hasil yang diperolehi dari tanah itu. Kadar itu ialah sama ada 1/2, 1/3, 1/4 dan 1/5. Kharaj ini dipungut pada setiap kali tanaman itu ditanam.
II. Kharaj wazifah (muwazzaf): kharajyang dikenakan berdasarkan pada keluasan tanah atau kadangkala berdsarkan pada pokok yang terdapat pada tanah itu. Kharaj muwazzaf ini dikenakan mengikut kadar yang tetap terhadap sesuatu bidang tanah (Ridzuan Awang 1994: 173)

Tanah ini juga tidak dibenarkan bertukar kepada tanah ‘usyriah. Tidak sesiapapun yang dibenarkan untuk membeli tanah kharajiah dan menggabungkannya dengan tanah ‘usyriah dan membayar cukai untuk tanah tersebut. Begitu juga sebaliknya tanah ‘usyriah tidak dibenarkan digabungkan dengan tanah kharajiah.

3.0 Hak untuk mengurang dan menambahkan kadar cukai

Sayidina Umar b. al-Khattab menetapkan bahawa kadar amaun wang atau kuantiti yang akan menghasilkan cukai dan beliau tidak memperkenalkan sistem cukai yang seimbang. Bukan kerana beliau tidak ada hak untuk mengurangkan cukai, tetapi beliau telah meneliti laporan daripada wakilnya Hudhayfa dan Uthman yang mana sebahagian tanah hanya mampu untuk membayar dengan kadar tertentu sahaja. Oleh itu beliau telah menetapkan bahawa setiap jarib bijirin yang dihasilkan sama ada diusahakan atau tidak, maka cukai dikenakan dalam bentuk per qafiz atau dirham. Dan setiap batang pokok kurma dikenakan cukai sebanyak lapan dirham. Akan tetapi sistem itu telah diubah bagi memudahkan urusan pembayaran cukai. Dan dikira cukai ke atas kebun anggur, sayur-sayuran dan lain-lain lagi. Ini menunjukkan pemerintah mempunyai hak untuk mengimbangi kadar cukai yang harus dibayar bagi setiap tanah. Apabila Nabi menawan Khaybar, baginda tidak mengenakan cukai dalam bentuk kewangan, tetapi Nabi menyerahkan tanah tersebut kepada kaum Yahudi dalam ‘Perjanjian Musaqa’ untuk mengambil sebahagian daripada hasil tanamannya. Sayidina Umar telah mengarahkan wakilnya untuk meninjau kesemua tanah Sawad kerana beliau menganggap bahawa tinjauan yang tepat akan memberi manfaat kepada pembayar cukai dan menambahkan pendapatan perbendaharaan tanpa mengenakan cukai melebihi dari apa yang termampu. Bagaimanapun hak untuk mengurang atau menambah cukai tertakluk kepada kemampuan tanah dan tuan tanah untuk membayar seperti mana yang dilakukan oleh sayidina Umar adalah keistimewaan dan hak pemerintah. Tidak seorang pun dibenarkan untuk melepaskan, menambah atau mengurangkan cukai tanpa izin daripada pemerintah kerana cukai adalah untuk kepentingan orang Islam.




4.0 Tanah mawat

Jika terdapat tanah umum, padang ragut, kawasan ternakan yang diperolehi melalui peperangan atau daripada perjanjian damai dimana tiada tanda adanya pengusahaan atau bangunan kepunyaan seseorang dijumpai, maka ianya dikategorikan sebagai tanah mawat. Dan sesiapa yang mengusahakannya maka tanah itu akan menjadi miliknya. Tanah itu bebas dimiliki dan diusahakan oleh sesiapapun. Ini berdasarkan hadis daripada Hujjaj b. Urtah b. ‘Amru b. Syu’aib dari bapanya dari datuknya daripada Nabi s.a.w yang bermaksud:

“barangsiapa yang menghidupkan tanah mawat (maka tanah itu) adalah kepunyaannya”.

Akan tetapi imam Abu Hanifah menyatakan bahawa sesiapa yang ingin menghidupkan tanah ini mestilah mendapatkan kebenaran daripada pemerintah terlebih dahulu. Abu Hanifah menyatakan kebenaran itu diharuskan berdasarkan kepada permasalahan berikut:

Jika dua orang bercadang untuk menghidupkan tanah yang sama dan tidak disyaratkan untuk meminta kebenaran, jadi siapa yang akan dipilih untuk menghidupkannya? Atau jika seseorang hendak menghidupkan tanah di atas garis sempadan tanah orang lain, yang mana ia akan menimbulkan kerosakan kepada tanah jirannya, apa akan terjadi? (Abu Yusof 1392: 69)

Sesetengah pertengkaran dapat diselesaikan dengan hanya meminta izin. Abu Hanifah menyatakan bahawa ia tidak bercanggah dengan peraturan yang Nabi buat kerana kebenaran tersebut hanyalah untuk mengatur dan mengesahkan hak pengusaha tanah. Abu Hanifah juga ada menyatakan bahawa hadis Nabi berkenaan tanah mawat itu adalah bukan suatu tindakan fatwa, bahkan ianya suatu tindakan budibicara kerajaan. Pada pendapat Abu Yusof pula menyatakan bahawa jika tidak berlaku kerosakan dan pertelingkahan diantara manusia, maka peraturan yang berdasarkan hadith itu akan di pakai. Jika kemungkinan berlaku kerosakan, maka pendapat Abu Hanifah akan terpakai.

Jika tanah mawat itu dikategorikan sebagai tanah ‘usyriah, maka dia di kehendaki membayar cukai ‘usyriah. Begitu juga jika tanah tersebut dikategorikan sebagai tanah kharajiah. Jika tanah itu tidak diketahui statusnya, maka ia akan bertukar menjadi tanah ‘usyriah jika dia menggali telaga atau membuka terusan atasnya.

Dalam masalah pemagaran pula, jika dia mendirikan pagar maka segala hak dan keistimewaannya akan diperakui. Ini bermakna sebarang pencerobohan akan dikenakan tindakan. Akan tetapi hak ini akan hilang jika tanah itu tidak diusahakan selama tempoh 3 tahun. Selepas tempoh ini, maka kerajaan berhak merampas dan memberi milik kepada orang lain. Jika tanah mawat diberi kepada seseorang, maka ianya tidak boleh diambil oleh orang lain melainkan dengan kebenaran undang-undang.

5.0 Tanah harim

Tanah harim ialah tanah-tanah yang berada di pinggir tanah mawat yang telah dihidupkan oleh seseorang (Ridzuan Awang 1994: 219). Jika seseorang membuka telaga berdekatan kawasan penduduk yang mana dimiliki oleh orang Islam atau kafir Dhimmi, maka dia memiliki kawasan yang dilindungi atau diharimkan seluas 40 hasta di sekeliling telaga untuk kegunaan ternakannya. Jika dia menggali parit, maka kawasan yang dilindungi ialah seluas 60 hasta setiap sisi. Bagaimanapun jika mata air, kawasan yang dilindungi ialah seluas 500 hasta. Telaga yang digunakan untuk mengairi tanah dengan bantuan unta dinamakan sebagai Bi’r al-Nadih dan kawasan yang dilindungi ialah seluas 60 hasta. Manakala telaga yang digunakan untuk memberi minum lembu dinamakan sebagai Bi’r al-‘Atn dan kawasan yang dilindungi ialah seluas 40 hasta. Ini berdasarkan hadis Nabi daripada al-Hasan b. Umara, al-Zuhri: Nabi s.a.w. bersabda:

“Kawasan yang dilindungi bagi mata air ialah 500 hasta, Bi’r al-Nadih 60 hasta dan bagi Bi’r ‘Atn 40 hasta sebagai tempat rehat bagi lembu-lembu”.
Bagi terusan bawah tanah pula, kawasan yang dilindungi ialah sama seperti kawasan telaga. Tidak ada sesiapapun yang dibenarkan untuk masuk ke kawasan itu dan menggali telaga baru, mengusahakan atau mendirikan bangunan di situ. Penceroboh akan dipertanggungjawabkan ke atas segala kerosakan yang berlaku. Jika air bawah tanah itu keluar ke permukaan, kawasan yang dilindungi sama seperti kawasan terusan atau parit. Bagaimanapun jika seseorang menggali telaga di luar kawasan yang dilindungi tetapi berdekatan dengannya dan mengakibatkan air di telaga yang lagi satu kering, maka dia tidak akan bertanggungjawab kerana dia menggali di tanahnya.

6.0 Bahan galian bawah tanah

Seorang pemilik tanah akan memiliki segala yang berada di dalam tanahnya termasuk segala bahan yang berada di dalamnya. Mengikut Abu Hanifah, sekiranya seseorang mendapati bahan galian seperti emas, tembaga dan lain-lain di dalam tanah yang dimiliki oleh seseorang atau syarikat maka benda itu adalah milik tuan tanah tersebut. Jika didapati dalam tanah milik khusus kerajaan, maka ia akan menjadi hak milik kerajaan. Apabila galian itu didapati dalam tanah wakaf maka ia juga akan menjadi harta wakaf. Sebaliknya jika galian itu terdapat dalam tanah mawat, maka ia menjadi hak milik orang yang mula-mula mengusahakannya (Ridzuan Awang 1994: 219). Selain tanah, bahan galian di dalam tanah juga turut dikenakan cukai. Cukai yang dikenakan ialah sebanyak 1/5 yang akan di ambil daripada bahan galian seperti emas, timah, besi, tembaga yang dijumpai di tanah Arab atau tanah yang lain. Ini berdasarkan firman Allah di dalam surah Al-Anfal ayat 42:

“Ketahuilah, Sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka Sesungguhnya seperlima untuk Allah, rasul, kerabat rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil, jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang kami turunkan kepada hamba kami (Muhammad) di hari Furqaan, iaitu di hari bertemunya dua pasukan. dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”.

kadar 1/5 akan diambil dalam mana-mana kuantiti mineral sekalipun beratnya kurang daripada 200 dirham perak atau 20 mithqals emas kerana pada had ini harta itu telah dikenakan zakat yang mana mineral itu dikira sebagai bahan galian. Cukai 1/5 tidak diambil daripada hasil mineral, tetapi di ambil daripada mineral yang asli walaupun kos untuk memproses mineral itu tinggi daripada harga mineral itu sendiri. Bagaimanapun jika batu galian yang berharga seperti nilam, tirus, mekuri, sulfur adalah bebas daripada dikenakan cukai kerana bahan itu memang terdiri daripada lumpur dan hasil bumi (A. Ben Shemesh 1969: 55). Rikaz seperti emas dan perak telah dicipta oleh Allah dengan tanah juga dikenakan cukai sebanyak 1/5. Harta daripada emas, perak dan permata yang tidak dimiliki oleh sesiapa juga dikenakan sebanyak 1/5 dan bakinya akan kembali kepada orang yang menjumpainya. Jika seorang kafir harbi memasuki Negara Islam dengan kebenaran dan menjumpai harta maka dia tidak ada hak ke atasnya. Bagaimanapun jika kafir dhimmi ataupun hamba muslim yang menjumpai harta, maka harta itu akan dikenakan cukai sebanyak 1/5. Jika orang Islam menjumpai harta karun di dalam kawasan musuh yang di masukinya tanpa kebenaran, maka 1/5 tidak akan di potong darinya.

7.0 Kesimpulan

Kitab Al-Kharaj ini telah ditulis oleh ulamak muktabar dan ianya selari dengan prinsip agama Islam dengan mendatangkan keadilan kepada umat manusia. Undang-undang ini juga memberi kelebihan dan kepentingan khasnya kepada umat Islam. Seharusnya kita cuba untuk mengamalkannya dengan menjadikannya sebagai undang-undang yang utama ataupun dengan menerapkannya ke dalam undang-undang yang sedia ada.



8.0 Rujukan

Abu Yusof Ya’kub b. Ibrahim. Kitab Al-Kharaj. 1392. Matba’ah Salafiah. Kaherah.

A. Ben Shemesh. Taxation In Islam: Volume 3. 1969. London.

Ridzuan Awang. Undang-undang Tanah Islam: Pendekatan Perbandingan. 1994. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Tiada ulasan: