DONATE

Rabu, 16 Jun 2010

KEPIMPINAN RASULULLAH S.A.W YANG PERLU DICONTOHI: PENGKHUSUSAN PENGURUSAN DALAM BIDANG PENDIDIKAN

Oleh: Hajjah Maimunah binti Ismail

PENDAHULUAN

Kepimpinan adalah melibatkan keupayaan seseorang pentadbir atau pengurus (di setiap peringkat pengurusan) untuk mendorong, mempengaruhi, membawa dan menggunakan setiap sumber organisasi(manusia, benda dan perkara) supaya saling berperanan atau masing-masing berfungsi ke arah pencapaian objektif yang telah ditentukan. Kepimpinan juga melibatkan usaha meransang pekerja bawahan untuk berperanan supaya matlamat dapat dicapai, menentukan visi dan hala tuju organisasi dipatuhi dan menjadi penghubung atau juru bicara organisasi.

Justeru itu, kepimpinan yang berkualiti oleh seorang pemimpin dapat mempengaruhi orang bawahannya ke arah gerak kerja yang cemerlang. Maka contoh pemimpin yang berwibawa dan patut dicontohi hanya ada pada pimpinan Junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Seperti mana yang kita sedia maklum Rasulullah s.a.w merupakan seorang pemimpin yang berakhlak mulia dan diiktiraf sebagai ketua yang berintegriti. Baginda s.a.w sentiasa bersikap adil terhadap segala urusan pentadbirannya tidak kira di dalam hal ehwal negara, agama, dan keluarga sekalipun. Jadi contoh teladan melalui kepimpinan Rasulullah s.a.w amat perlu kita ikuti sebagai bimbingan ke arah menjadi pemimpin yang adil.

Tidak kira apa jua bidang yang akan dipimpin oleh seorang yang dilantik menjadi pimpinan, maka pemimpin itu perlulah memikul tanggungjawab yang berat untuk membela nasib orang bawahan mereka dan memimpin ke arah jalan diredhai Allah. Penekanan di dalam aspek pendidikan, maka guru-guru yang mengajar murid-murid di sekolah dianggap sebagai “pemimpin” tatkala sesi pengajaran bermula di dalam kelas. Kepimpinan di dalam bidang pendidikan tidak tertumpu hanya di dalam kelas sahaja, namun keperibadian seorang pemimpin khususnya guru-guru di sekolah juga turut dinilai sejauh mana wujudnya toleransi dan integriti mereka di hadapan anak murid. Melalui penulisan ini, maka penulis akan mengambil sebanyak mungkin sifat kepimpinan Rasulullah s.a.w yang boleh kita terapkan di dalam pengurusan bidang pendidikan.


KONSEP KEPIMPINAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Kepimpinan menurut bahasa seperti yang dinyatakan di dalam Kamus Dewan ialah berasal daripada akar kata “pimpin”. Perkataan pemimpin adalah beerti orang yang memimpin, membimbing, menuntun, mengepalai, dan melatih. Manakala pimpinan ialah perihal memimpin.

Di dalam penulisan ini terdapat beberapa definisi telah dinyatakan berkenaan dengan konsep kepimpinan menurut Islam iaitu antaranya:

Definisi Kepimpinan dalam Islam menurut Dr. Siddiq Fadzil ialah kepimpinan bukan hanya mempengaruhi orang, tetapi ia merupakan pemandu umat dalam melaksanakan amanah Allah (devine trust) iaitu berkaitan dengan memelihara agama dan menguruskan dunia dengan adil. Kepimpinan dalam Islam merupakan tanggungjawab dan amanah, dan ia bukannya suatu kebanggaan.

Definisi kepimpinan dalam Islam menurut Dr. Ahmad Redzwan bin Muhammad Yunus merangkumi makna yang luas termasuklah kepimpinan sesama manusia daripada peringkat yang tertinggi sebagai ketua negara kepada kepimpinan yang terendah iaitu mengetuai kerja-kerja yang berpendapatan rendah. Selain daripada itu, menurut beliau lagi menyatakan bahawa kepimpinan dalam Islam juga merangkumi kepimpinan terhadap diri sendiri sebagai hamba Allah dengan mengarah diri ke arah kebaikan, menunaikan amanah kepada Pencipta, manusia, dan alam sekitar. (Ahmad Redzwan Muhammad Yunus, 2000)

Terdapat juga definisi lain berkenaan kepimpinan menurut perspektif Islam iaitu meliputi bidang ilmu pengetahuan, peribadatan, keperibadian yang baik, ketokohan dan kepimpinan melalui teladan.

Islam amat menitikberatkan tentang aspek kepimpinan sehinggakan Rasulullah s.a.w menganjurkan agar dilantik seorang pemimpin walaupun dalam sekumpulan yang kecil sepertimana sabda Baginda s.a.w yang bermaksud:

“Apabila tiga orang keluar bermusafir, maka hendaklah dilantik seorang daripadanya sebagai ketua”



KEPIMPINAN RASULULLAH S.A.W YANG PERLU DICONTOHI DI DALAM PENGURUSAN BIDANG PENDIDIKAN

Pada prinsipnya setiap manusia adalah pemimpin. Pemimpin yang berjaya adalah seseorang yang mengetuai dirinya sendiri, keluarga, organisasi atau pertubuhan, meneraju membuat perubahan ke arah mencapai matlamat yang ditentukan. Tanggungjawab ini bukan mudah kerana banyak cabaran dan ujian yang akan dihadapi.
Peranan penting seorang pemimpin ini pernah dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabda baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim:

Mafhumnya: “Tiap-tiap seorang dari kamu adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab kepada orang-orang yang berasa di bawah jagaannya. Seorang ketua Negara bertanggungjawab ke atas rakyatnya dan akan disoal oleh Allah akan kepimpinannya. Seorang isteri bertanggungjawab di rumahnya dan akan disoal berkenaan tanggungjawabnya, seorang anak bertanggungjawab ke atas harta bapanya dan dia juga akan disoal, begitu juga seorang hamba atau yang bekerja dengan majikan, setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab kepada apa yang dipimpin”.

Bagi membicarakan soal kepimpinan sudah pasti akan hanya merujuk kepada kepimpinan Rasulullah S.A.W sebagai teladan dan contoh yang terbaik sebagai firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Ahzab ayat 21:

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٌ۬ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأَخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرً۬ا
"Demi sesungguhnya,adalah bagi kamu pada diri Rasulullah S.A.W itu contoh ikutan yang baik,iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) allah dan (balasan baik) hari akhirat,serta ia pula banyak menyebut dan mengingati Allah".

Berdasarkan teladan gaya kepimpinan Rasulullah S.A.W,terdapat perkaitan yang kuat antara kepimpinan yang beramanah dengan keimanan kepada Allah s.w.t,menghayati sunah rasulullah s.a.w dan berakhlak mulia. Penghayatan kepada prinsip-prinsip tersebut mampu mendekatkan pemimpin dengan orang yang dipimpinnya dan mengadakan hubungan yang harmoni di semua peringkat. Gaya kepimpinan yang sebegini akan menyebabkan semua pihak menghormati dan menyanjungi pemimpin berkenaan. Pada prinsipnya,rakyat amat menghormati dan mengagumi ketinggian sikap bertangggungjawab pemimpin dalam melaksanakan tugasnya.Rasulullah S.A.W sendiri telah membentuk dan mewariskan model kepimpinannya kepada para sahabat dan umat islam seterusnya.

Kita melihat hasil kepimpinan rasulullah S.A.W telah diterjemahkan dalam kepimpinan Khalifah Umar Al-Khatab.Khalifah umar adalah seorang pemimpin yang sangat disayangi rakyat kerana tanggungjawabnya yang luar biasa terhadap rakyat jelata.Di dalam suatu peristiwa ketika beliau sedang meronda disekeliling kota pada waktu malam untuk meninjau kehidupan rakyatnya, beliau terdengar tangisan kanak-kanak yang sedang kelaparan, sedangkan ibunya tidak mempunyai apa-apa untuk dimasak.Ibu tersebut terpaksa berpura-pura memasak dengan memasukkan beberapa ketul batu kedalam periuk supaya anak itu akan berhenti menangis. Melihat suasana yang menyayat hati itu, maka khalifah umar al-khatab telah membawa beberapa guni gandum dan memasak sendiri untuk ibu dan anak yang kelaparan tadi. Perbuatan khalifah umar mendapat pujian dari wanita tersebut tanpa mengetahui bahawa orang yang menolongnya tadi adalah pemimpin besar Islam yang disegani ketika itu.Kita yakin sikap bertanggungjawab pemimpin seperti yang ditunjukkan oleh khalifah umar al-khatab sudah pasti dihormati,disanjungi dan disayangi oleh rakyat.

Iktibar yang boleh diambil melalui kepimpinan Rasulullah s.a.w yang telah diterapkan di dalam kepimpinan sahabat baginda yakni Khalifah Umar Al-Khatab dalam menjalankan kepimpinan dalam pengurusan pendidikan ialah sifat bertanggungjawab terhadap orang bawahan perlu wujud pada diri setiap pemimpin yang dilantik. Hal ini perlu kerana melalui sifat tanggungjawab ini akan mewujudkan mahabbah dan kerjasama di antara pemimpin dan orang bawahannya. Contohnya seorang Pengetua sekolah perlulah bertanggungjawab mengambil tahu hal-hal guru dan kakitangan pejabat sekolah. Begitu juga bagi seorang guru perlulah bertanggungjawab mendidik pelajar dengan rasa tanggungjawab serta tanpa keluh kesah. Seorang murid yang menuntut ilmu daripada guru juga perlu bertanggungjawab atas harapan ibu bapa dan guru mereka supaya bersungguh-sungguh di dalam menuntut ilmu.

Rasulullah SAW juga merupakan pemimpin yang memenuhi fitrah manusia sejagat melalui sifat-sifat mulia seperti amanah, siddiq (benar), tabligh (menyampaikan) dan fatanah (cerdik). Menurut perjalanan sirah hidup Rasulullah s.a.w, sebelum dari kerasulannya pemimpin Quraish pernah memberi gelaran ‘al-Amin’ kerana ketinggian sifat integriti dan akauntabiliti baginda dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat. Gelaran ‘al-Amin’ ini telah membangkitkan rasa kasih sayang berterusan sebahagian besar masyarakat Quraish kepada Rasulullah. Walau bagaimanapun cabaran yang dihadapi oleh baginda juga cukup hebat. Misalnya Abu Jahal seorang pemimpin kanan Quraish, pernah menawarkan jawatan Raja, perempuan cantik, dan harta kekayaan supaya Rasulullah SAW tidak meneruskan perjuangan Islam. Namun, berdasarkan kekuatan integriti dan maruah kepimpinan Islam, maka Rasulullah SAW menolak semua tawaran itu. Sikap teladan yang ditunjukkan oleh baginda s.a.w amat perlu diikuti oleh setiap pemimpin yang menjalankan tugasnya.

Di dalam menerapkan teladan sikap kepimpinan Rasulullah s.a.w, maka sikap jujur serta amanah di dalam memimpin amat diperlukan bagi sesetiap pemimpin agar pimpinannya mencapai kejayaan. Demikian juga pengurusan bidang pendidikan, pihak pentadbiran sekolah, guru-guru, serta pelajar-pelajar perlulah menanam sikap amanah di dalam gerak kerja mereka. Contohnya Pengetua sekolah perlu amanah di dalam menjalankan pentadbiran pimpinannya terhadap semua kakitangan kerani yang berkhidmat di sekolah dan semua kakitangan pejabat sekolah juga perlu jujur menjalankan tanggungjawab dengan cekap dan bersistematik. Selain itu juga, guru-guru yang mendidik anak murid perlu amanah dengan masa agar tidak selalu lewat memasuki kelas. Begitu juga bagi pelajar hendaklah jujur terhadap guru ketika mana sesi pembelajaran diadakan.

Seorang pemimpin yang berwibawa juga mengambil berat hal ehwal orang bawahannya. Hal ini dapat dibuktikan melalui kepimpinan Rasulullah SAW yang mengasihi umatnya, sehinggakan di waktu sakaratulmaut pun baginda masih terkenang mengenai nasib umatnya di dunia ini dengan keluhan yang berat. Berulang kali baginda menyebut umatku! umatku! umatku!. Malahan apa yang tidak terjangkau oleh fikiran kita juga segala integriti kepimpinan Rasulullah SAW membawa rahmat sehingga terselamatnya umat Islam dari azab Allah SWT sebagaimana sabda baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

“Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka”.

Di dalam pendidikan negara, sikap ambil berat seorang guru terhadap pelajar-pelajarnya juga dapat meningkatkan disiplin pelajar-pelajar. Selain itu juga, perasaan muhibbah di antara guru-guru dan pelajar-pelajar akan timbul melalui sikap ambil berat dan kasih sayang yang diterapkan dalam pimpinan. Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Pendidikan Anak-anak dalam Islam mengulas kaedah pimpinan didikan berkesan kepada kanak-kanak adalah bercirikan lemah lembut, penuh belas kasihan dan berperingkat.Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Ajarkan mereka dan jangan mengkasari mereka, sesungguhnya guru itu lebih baik daripada seorang pengeras." – (Riwayat al-Haris, at-Thayalisi dan al-Baihaqi)


Kaedah berperingkat dalam memulihkan disiplin anak adalah disarankan. Ia harus dimulakan dengan menunjukkan kesalahan melalui bimbingan, lemah lembut, memberi amaran sehingga peringkat merotan yang berpatutan. (Dr Rohayah Husain dan Dr Habsah Hassan, 29 Februari 2008 )

Imam Al-Ghazali pernah berpesan mengenai kepimpinan guru terhadap muridnya yang perlu dititik beratkan iaitu:

1. Kasihan dan bertimbangrasa terhadap muridnya supaya terselamat daripada malapetaka.
2. Memandu muridnya ke jalan yang diredhai syara'
3. Tidak membiarkan muridnya menerima sebarang nasihat yang tidak baik dari orang lain.
4. Mengingatkan dengan baik kepada muridnya mengenai bahaya akhlak yang tidak baik.
5. Mengingatkan muridnya jangan merendah-rendahkan ilmu yang lain yang tidak dipelajarinya.
6. Menyampaikan ilmu mengikut kadar kemampuan murid.
7. Kepada murid yang tercicir berilah kepadanya penjelasan yang sesuai sehingga jangan menimbulkan kebosanan belajar kepadanya.
8. Hendaklah guru beramal dengan ilmunya. Jangan lain apa yang dibuat daripada apa yang dikata.

Kepimpinan yang berkesan dalam pendidikan sekolah mencerminkan suasana kepimpinan yang cemerlang. Ini ditegaskan Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 124:

۞ وَإِذِ ٱبۡتَلَىٰٓ إِبۡرَٲهِـۧمَ رَبُّهُ ۥ بِكَلِمَـٰتٍ۬ فَأَتَمَّهُنَّ‌ۖ قَالَ إِنِّى جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامً۬ا‌ۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِى‌ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهۡدِى ٱلظَّـٰلِمِينَ

Maksudnya:

“Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati.”

Apa yang jelas, terdapat dua perkara asas dalam ayat tadi. Pertama, kepimpinan bukan sekadar perjanjian antara pemimpin dengan orang bawahan, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah SWT. Kedua, kepimpinan hendaklah mementingkan keadilan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab.

Sikap-sikap pemimpin yang perlu diterapkan di dalam pimpinan khususnya di dalam bidang pendidikan berdasarkan contoh kepimpinan Rasulullah s.a.w ialah:

Megwujudkankan pimpinan yang diredhai Allah

Mewujudkan pimpinan yang seumpama itu dituntut oleh syara' berdasarkan kepada sunnah Rasulullah s.a.w, di antara ayat-ayat perintah Allah:

Maksudnya:
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan menyeru kepada yang maaruf dan mencegah dari yang munkar mereka itulah orang-orang yang beruntung" (A1-Imran 104).
Imam Al-Ghazali menerangkan bahawa perkataan "hendaklah ada di antara kamu" merupakan perintah , yang zahirnya menunjukkan wajib, perkataan "mereka itulah orang yang beruntung" menunjukkan Fardhunya tugas tersebut yang merupakan fardhu kifayah iaitu bilamana sebahagian umat melaksanakan terlepaslah kewajipan ke atas yang lain.

Maksudnya:
"Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka adalah menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang maaruf dan menegah yang mungkar. Mendirikan sembahyang ..." (Al-Taubah: 71)

Imam A1-Ghazali menjelaskan: Bahawa orang-orang mukmin itu telah mensifatkan diri mereka untuk menyuruh yang maaruf dan menegah yang mungkar. Bermakna seseorang yang lari dari tugas itu telah terkeluar dari sifat seseorang mukmin yang dinyatakan. Hal ini jelas melalui sabda Rasulullah s.a.w:

"Wahai manusia Allah berfirman menyuruh kamu melakukan yang maaruf dan menegah dari yang munkar, sebelum kamu berdoa di mana tidak dimakbulkan permohonan tersebut " (maksud hadith riwayat Ahmad dan al-Baihaqi.)
Ditanya kepada Khudzaifah r.a. siapakah bangkai bernyawa. Jawab beliau: "ialah orang yang tidak mencegah kemungkaran baik dengan tangannya mahupun dengan lidah dan hatinya.”

Pemimpin Islam menegak yang maaruf dan mencegah yang mungkar

Perkara yang maaruf merangkumi semua perkara yang dituntut dan yang diharuskan oleh syara' meliputi soal-soal akidah, syariah, akhlak dan kemanusiaan seluruhnya zahir dan batin. Perkara yang "mungkar" ialah semua perkara yang bertentangan dengan akidah, dengan syariah, akhlak dan kemanusiaan seluruhnya zahir dan batin.

Amar makruf nahi mungkar adalah bagian dari dakwah Islam. Baik-buruknya masyarakat salah satunya bergantung pada dilaksanakan atau tidaknya amar makruf nahi mungkar. Imam al-Ghazali pernah berkata:

“Sesungguhnya kegiatan amar makruf nahi mungkar adalah usaha yang paling agung dalam agama. Kerana kegiatan inilah Allah mengutus para nabi seluruhnya. Seandainya umat Islam meremehkan amar makruf nahi mungkar, tidak mahu memahami dan mengamalkannya, tentu akan berhenti keNabian ini; kesesatan akan tersebar luas, kebodohan akan menjadi hal yang lumrah, kerusakan akan merajalela, pelanggaran akan semakin meluas, negeri-negeri akan hancur, dan manusia akan binasa.” (Al-Ghazali, Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn, jil 2: 306).


Selanjutnya kadi Al Khudah Abdul Jabar bin Ahmad menjelaskan bahawa
"yang maaruf" itu terbahagi kepada apa yang wajib dan kepada apa yang sunat. Menyuruh yang wajib adalah wajib , dan menyuruh yang sunat adalah sunat. Kerana keadaan perintah tidak akan menambakan ; atas hal-perbuatan yang disuruh, pada-wajib. Adapun kemungkaran itu semuanya merupakan satu jenis sahaja di mana semua ianya wajib ditegah. Oleh itu pimpinan Islam dalam mana peringkat dan bahagian pun haruslah menjadi matlamat utamanya menegakkan kemaarufan dan mencegah kemunkaran di mana dan bila-bila masa sekalipun jika berbeza pada cara dan tindakan.


Pimpinan Islam mestilah digerakkan oleh iman dan amal soleh

Satu perjuangan yang diberi nama "perjuangan Islam" hanya dapat diakui bilamana perjuangan itu digerakkan oleh iman dan amal saleh oleh para pemimpinnya samada perjuangan itu dalam bentuk kebajikan, ekonomi, ilmu pengetahuan, politik, kemasyarakatan dan lain-lain. Pimpinan yang digerakkan oleh kepentingan diri, warna kulit, kedudukan, kemewahan dan seumpamanya bukanlah merupakan perjuangan Islam sekalipun diberi nama yang berbentuk keislaman.

Rasulullah s.a.w. pernah menyatakan di dalam sabdanya dalam peristiwa hijrah daripada Mekah ke Madinah siapa yang berhijrah kepada Allah dan rasulnya maka hijrahnya adalah kepada Allah dan rasulnya. Siapa yang berhijrah kepada dunia atau wanita yang dicintai olehnya maka ia berhijrah kepada perkara yang menjadi tujuannya.

Maka hadith ini menjalankan bahawa suatu perjuangaan sekalipun sukar dan penuh sengsara seumpama berhijrah tadi. namun bilamana tidak digarapkan oleh iman dan amal saleh tidaklah memenuhi kehendak perjuangan dan pimpinan yang sebenarnya menjadikan perjuangan itu tidak tercapai matlamatnya.

Pimpinan berkesan dapat dilihat bilamana bertambah yang maaruf dan semakin berkurangan mungkar. Itulah tanda-tanda dan kesan-kesan yang menunjukkan sesuatu kejayaan dalam mana-mana pimpinan pada mana-mana peringkat dan bahagian. Keseluruhan kesan-kesan tersebut hanya akan tercapai bilamana terlebih dahulu dapat dicapai pada bahagian-bahagian tertentu samada dalam bentuk peribadi atau jamaah. Umpamanya kesan sembahyang ialah meninggalkan kejahatan dan kemungkaran. Kesan puasa menimbulkan ketakwaan. Kesan tauhid menimbulkan kesabaran dan keberanian. Kesan jemaah merapatkan persaudaraan dan seterusnya. Di dalam keadaan kesan- kesan tersebut tidak dapat dirasakan oleh pemimpin, apatah lagi oleh yang dipimpin maka hendaklah masing-masing mengkoreksi dan merenungi dimanakah kecacatan yang ada dalam pimpinan tersebut. Kerana yang maaruf akan menerbitkan yang maaruf dan yang mungkar menimbulkan yang munkar.


Contoh Allah berfirman:

Maksudnya: "Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman (iaitu) orang-orang yang khusyu' dalam sembahyangnya dan orang-orang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, Dan orang-orang yang menunaikan zakat. Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, Kecuali terhadap isteri- isteri mereka atau budak-budak yang mereka miliki maka sesungguhnya dalam hal itu tiada tercela. Maka barang siapa yang mensari yang dibalik itu mereka itulah orang yang melampaui batas, Dan orang-orang yang memelihara amanah, (yang dipikulnya) dan janjinya: Dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang yang mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi syurga firdaus, mereka kekal di dalamnya,' (surah al-Mu'minun ayat 1 - 11)

Contoh-contoh itu adalah kesan-kesan yang maaruf dari pimpinan iman yang seharusnya meresap ke dalam jiwa, rumahtangga, pertubuhan dan sebagainya yang ditanam oleh pemimpin-pemimpin yang berkaitan. Tanpa wujud kesan-kesan yang seumpama ini keseluruhan atau sebahagian darinya adalah menunjukkan kegagalan pimpinan tersebut. Dari aspek itu, kejayaan kebendaan sahaja, sudah pasti tidak mencerminkan kejayaan sebenarnya menurut pandangan Islam dalam satu- satu pimpinan.

Seluruh pemimpin di pelbagai peringkat perlu mempunyai ciri-ciri antaranya:

1. Berpegang teguh dengan dasar hidup dan dasar perjuangan yang benar.

Dalam konteks umat islam,pemimpin islam mestilah mereka yang berpegang teguh dengan akidah dan perjuangan islam sebenar.Mereka bukan pengikut fahaman asabiah jahiliah atau fahaman islam liberal atau fahaman islam yang lain.Allah subhanahu wataala berfirman dalam surah al-zuhruf ayat 43:
فَٱسۡتَمۡسِكۡ بِٱلَّذِىٓ أُوحِىَ إِلَيۡكَ‌ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ صِرَٲطٍ۬ مُّسۡتَقِيمٍ۬

"Dengan yang demikian,berpegang teguhlah engkau kepada al-quran yang telah diwahyukan kepadamu,kerana sesungguhnya engkau berada diatas jalan yang lurus".

2.Penghayatan budaya ilmu.

Syarat ini amat perlu dipenuhi oleh setiap individu yang bergelar sebagai pemimpin.Segala tindak-tanduk dan corak kepimpinan mestilah bersandarkan ilmu lebih-lebih lagi dalam suasana cabaran globalisasi hari ini.Firman allah dalam az-zumar ayat 9:
أَمَّنۡ هُوَ قَـٰنِتٌ ءَانَآءَ ٱلَّيۡلِ سَاجِدً۬ا وَقَآٮِٕمً۬ا يَحۡذَرُ ٱلۡأَخِرَةَ وَيَرۡجُواْ رَحۡمَةَ رَبِّهِۦ‌ۗ قُلۡ هَلۡ يَسۡتَوِى ٱلَّذِينَ يَعۡلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ‌ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ

"Katakanlah :" Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?."Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna".

3.Mengikut syariat dan akhlak islam.

Pemimpin terikat dengan peraturan-peraturan islam dan boleh terus memegang amanah kepimpinan selagi ia mengikut perintah allah.Semasa mengendalikan urusannya ia mesti patuh kepada adab-adab islam khususnya ketika berurusan dengan rakyatnya.Firman allah subhanahu wataala dalam surah al-ahzab ayat 36:

وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٍ۬ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُ ۥۤ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَـٰلاً۬ مُّبِينً۬ا
"Dan tidaklah wajar bagi lelaki dan perempuan mukmin apabila allah dan rasulnya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah wajar mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka.Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum allah dan rasulnya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata".

4.Keterbukaan dan menerima pandangan yang baik.

'As-samahah' iaitu bersifat terbuka dan mengamalkan dasar bersedia menerima kritikan,bersedia mendengar,menerima pandangan,berbincang,menerima teguran dan mengamal pentadbiran dengan cara ia memiliki keyakinan diri,kental dan tidak merasa terancam dengan pandangan-pandangan-pandangan dan saranan orang lain.Firman allah dalam surah az-zumar ayat 18:
ٱلَّذِينَ يَسۡتَمِعُونَ ٱلۡقَوۡلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحۡسَنَهُ ۥۤ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ هَدَٮٰهُمُ ٱللَّهُ‌ۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمۡ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ

"Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama),mereka itulah orang-orang yang diberi hadiah petunjukkan oleh allah dan mereka itulah orang-orang yang diberi hadiah petunjuk oleh allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna".


5. Pemimpin yang sentiasa bermuhasabah.

Pemimpin yang cemerlang ialah pemimpin yang sangat kerap membuat penilaian terhadap tugas dan tanggungjawab serta memiliki tahap-tahap pencapaian dan natijah atas hasil usahanya.Tujuan penilaian dibuat ialah untuk mencari kelemahan-kelemahan supaya diperbaiki dan untuk melihat kejayaan-kejayaan yang boleh dipertingkatkan.Saidina umar r.a berkata:
"muhasabahlah diri kamu sebelum kamu dihisab".

6. Pemimpin yang sanggup berkorban dan tidak mementingkan diri.

Pemimpin yang cemerlang ialah pemimpin yang perhatian terhadap kepentingan rakyat umum.Dalam melaksanakan tugas beliau dapat membezakan kepentingan diri atau keluarga dengan kepentingan umum.Firman allah dalam surah al-hasyr ayat 9:

وَٱلَّذِينَ تَبَوَّءُو ٱلدَّارَ وَٱلۡإِيمَـٰنَ مِن قَبۡلِهِمۡ يُحِبُّونَ مَنۡ هَاجَرَ إِلَيۡہِمۡ وَلَا يَجِدُونَ فِى صُدُورِهِمۡ حَاجَةً۬ مِّمَّآ أُوتُواْ وَيُؤۡثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ وَلَوۡ كَانَ بِہِمۡ خَصَاصَةٌ۬‌ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفۡسِهِۦ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

"Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri,sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat.Dan (ingatlah),sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya,maka merekalah orang-orang yang berjaya".



RUJUKAN
Al-Quran al-Karim
Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, terj. Ust. Mohd Darus Sanawi. 1983. Fiqh Sirah. Dewan Pustaka Fajar: Kuala Lumpur.
Imam Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad. T.tp. Ihya’ Ulumuddin. jil 2: hlm 306
Dr Rohayah Husain & Dr Habsah Hassan. 2008. Bicara Kalbu: Denda hingga menjatuhkan maruah ganggu sahsiah anak, 29 FEB 2008, JUMAAT, Sudut Agama Berita Harian.
Ahmad Redzuwan Muhammad Yunus. 2000. Pengantar Kepimpinan Islam. Pusat Pengajian Jarak Jauh UKM: bangi.

Tiada ulasan: