1.0 Pendahuluan
Faraid dari segi
bahasa bermaksud ketetapan. Menurut istilah di dalam syarak
faraid adalah pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang islam yang
telah di tetetapkan di bawah Hukum Syarak ke atas waris-waris yang sah dan
layak seperti anak, isteri, suami, ibu bapa dan lain-lain.Harta yang di
bahagikan kepada waris adalah baki harta yang di tinggalkan selepas di tolak
segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang-hutang, kepada manusia dan
memunaikan wasiat yang di benarkan syarak.
Pembahagian harta
pusaka menurut Islam selepas berlakunya kematian seseorang muslim,maka wujudlah
hak-hak tertentu terhadap harta yang di tinggalkan. Hak-hak tersebut telahpun
ditentuka sendiri oleh Allah secara khusus di bawah hukum faraid.
Pembahagian
faraid kepada yang berhak hukumnya wajib untuk di tunaikan dan
Fardhu kifayah kepada umat islam untukmenyelesaikannya.
Terdapat banyak
kesan sekiranya umat islam mengabaikan pembahagian harta pusaka dengan
menggunakan sistem faraid, antaranya di khuatiri akan berlakunya memakan harta anak yatim, memakan harta
saudara-mara dan memakan harta baitul mal.
Firman Allah
S.W.T “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan)
harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan
sebagainya). (Surah al-Nisa’ 4 : 29) . Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang
diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud:- “Barang siapa merampas
seluas satu jengkal tanah, nescaya ia akan dibelit oleh tanah itu dari tujuh
lapisannya”
Terdapat banyak
isu dan permasalahan yang timbul dalam proses permohonan dan pembahagian faraid
yang akan kami huraikan dalam kertas kerja ini.
2.0 Konsep
Faraid (harta pusaka )
Terdapat beberapa definisi harta
pusaka dari segi mazhab :
1.
Syafie
-Segala apa yg menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya, kmudian ditinggalkan
untuk waris-warisnya sama ada harta benda, hak-hak & apa yang termasuk ke
dalam miliknya setelah dia mati [1]
2.
Maliki
- Hak yang boleh dibahagikan & menjadi thabit kepada orang yang berhak
mendapatnya setelah orang yang memilikinya dahulu itu mati
3.
Hanbali
- Sesuatu hak yang diambil alih dari si mati
4.
Hanafi
- Apa yang ditinggalkan oleh si mati dari hartanya yang bersih dari bersangkut
paut dengan hak orang [2]
5.
Kesimpulannya Jumhur (Shafi’i, Maliki & Hanbali)
Mengatakan harta pusaka ialah apa yang
ditinggalkan oleh si mati dari harta benda & hak-hak . Hanafi pula
mengatakan harta pusaka ialah harta
benda yang ditinggalkan sahaja tak termasuk hak-hak kecuali hak berkenaan
mengikut harta tersebut.
Secara ringkasnya
harta pusaka ialah semua harta peninggalan si mati iaitu harta yang dimiliki
oleh seseorang semasa hayatnya & berkekalan miliknya sehingga dia mati
Apabila disebut semua harta peninggalan si mati, maka ia meliputi kesemuanya
termasuk dari sekecil-kecilnya seperti pinggan mangkuk sehingga
sebesar-besarnya sperti rumah, tanah dan sebagainya.
3.0 Pensyariatan pusaka
Pensyariatan mengenai pusaka dapat dilihat dalam surah
al-Nisa’ ayat 11, 12 dan 176. Daripada definisi di atas dapat disimpulkan
bahawa rukun-rukun pusaka Islam ialah:
i.
al-Muwarrith – pewaris yang mati sama ada
mati secara hakiki atau hukmi.
ii.
al-Warith – orang yang akan mewarisi
harta peninggalan si mati dengan adanya sebab-sebab pewarisan.
iii.
al-Mawruth – harta yang ditinggalkan
oleh si mati selepas diselesaikan semua hak yang berkaitan dengannya.
Terdapat beberapa kepentingan memahami ilmu faraid.
Antaranya kita boleh mengenal pasti sama ada seseorang itu merupakan waris atau
bukan waris. Seseorang itu juga boleh mengenalpasti bahagian dan saham setiap
waris yang berhak kepada harta pusaka.peninggalan
Si Mati. Antara kepentingan lainnya adalah cara pengiraan (hisab) yang boleh
menyampaikan kepada bahagian atau habuan setiap waris melalui kaedah pengiraan
(matematik).
4.0 Bidang kuasa
Bidang kuasa Pentadbiran dan
Pembahagian Harta Pusaka di Malaysia adalah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan
seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 4(e)(1)
Senarai 1, Jadual Kesembilan yang memperuntukkan Undang-Undang berkaitan
pewarisan harta berwasiat dan tidak berwasiat adalah terletak di bawah senarai
Persekutuan.
4.1 Bidang kuasa mahkamah tinggi
Perkara 1, Senarai 2 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Hukum Syarak dan Undang-Undang diri dan keluarga bagi orang
Islam termasuk Hukum Syarak berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tidak
berwasiat adalah terletak di bawah Senarai Negeri.
Peruntukkan ini sebenarnya terhad
kepada penentuan dari segi bahagian-bahagian waris mengikut faraid, kesahihan
wasiat serta hibah, nasab, tuntutan harta sepencarian dan sebagainya yang
berkaitan dengan undang-undang diri simati yang Islam
4.2 Harta pusaka kecil
Bidangkuasa berkenaan dengan harta
pusaka kecil diperjelaskan di bawah seksyen 4(1) Akta berkenaan “Kecuali
sebagaimana Akta ini memperuntukkan sebaliknya tiada kepentingan dalam apa-apa
harta pusaka kecil hendaklah diturunkan atau terletak hak dalam mana-mana orang
menurut kuasa mana-mana instrumen selain daripada suatu perintah atau pemberian
yang dibuat di bawah Akta ini.”
Seksyen 3(3) Akta Pusaka Kecil (Pembahagian)
1955 iaitu Akta 98 mentakrifkan harta pusaka kecil seperti berikut:- “ Bagi
maksud Akta ini suatu harta pusaka kecil diertinya suatu harta pusaka simati
yang mengandungi keseluruhan atau sebahagian harta tak alih yang terletak dalam
mana-mana negeri dan tidak melebihi dua juta ringgit dalam nilai total
Permohonan pembahagian pusaka kecil
dibuat mengikut kehendak di bawah seksyen 8 (akta 98) mereka yang layak membuat
permohonan adalah waris kadim, pemiutang, pembeli, penghulu atau pegawai
petempatan mengikut kehendak seksyen 8 akta 98, amanah raya berhad dan baitulmal
(jika simati tiada meninggalkan waris).
5.0 PERINTAH FARAID (dahulunya dipanggil sijil faraid)
Perintah Faraid adalah dokumen akuan pewarisan orang beragama Islam, yang menyatakan
kesahihan ahli-ahli waris dan bahagian-bahagian yang diperoleh. Permohonan Perintah Faraid hendaklah dibuat di Mahkamah Syariah kerana hanya Mahkamah Syariah
yang berbidangkuasa untuk menentu sahkan siapakah waris yang berhak kepada harta
pusaka Si Mati dan berapakah nilaian pembahagian bagi waris tersebut. Perintah Faraid diperlukan contohnya bagi kes-kes seperti berikut:
1.
Pasangan
si mati ingin menuntut harta sepencarian. Perintah Faraid diperlukan terlebih
dahulu sebab dengan adanya Perintah Faraid barulah boleh ditentukan siapakah
pemohon dan siapakah responden dalam permohonan harta sepencarian.
2.
Waris
ingin mengeluarkan harta alih si mati yang disimpan oleh institusi-institusi
perbankan, Tabung Haji, amanah saham, dan sebagainya. Sebagai alternatif kepada
Surat Kuasa Mentadbir, Perintah Faraid boleh digunakan oleh waris sebagai dokumen
bagi mencairkan harta alih si mati yang dibekukan oleh institusi-institusi
perbankan, Tabung Haji, amanah saham, dan sebagainya.
3.
Waris
ingin menjual harta tak alih si mati. Dalam hal ini, Perintah Faraid hendaklah
diekshibitkan (ditunjukkan) oleh pemohon (selalunya pentadbir) dalam permohonan perintah
jualan di mahkamah tinggi. Kesemua waris yang dinyatakan dalam Perintah Faraid
hendaklah menandatangani afidavit persetujuan bagi menyatakan persetujuan
mereka bagi pemohon menjual harta tak alih si mati. Sekiranya ada waris yang
tidak dapat dihubungi, maka ARB boleh mewakili waris yang hilang tersebut dan
wang hasil jualan harta tak alih si mati akan disimpan oleh ARB sebagai pemegang
amanah sehinggalah waris tersebut menuntutnya.Walau bagaimanapun, Perintah Faraid
tidak diperlukan sekiranya permohonan bicara pusaka dibuat di Unit Pusaka Kecil
di pejabat-pejabat tanah kerana unit pusaka kecil sudahpun mempunyai
bidangkuasa dalam menentusahkan waris dan membuat pengiraan faraid
6.0 PROSEDUR PERMOHONAN PERINTAH FARAID
Permohonan perintah faraid boleh dibuat sendiri atau anda boleh melantik
peguam syarie untuk membuat permohonan bagi pihak anda. Bagi anda yang tidak
biasa dengan prosedur
mahkamah, hal ini akan menjadi sukar kerana anda perlu menyediakan
dokumen-dokumen
mengikut tatacara mahkamah syariah dan akan melalui proses perbicaraan.
Secara ringkasnya, prosedur permohonan perintah faraid adalah sebagaimana
berikut:
I.
Menyediakan notis permohonan untuk mendapatkan sijil faraid[3]
II.
Menyediakan
afidavit sokongan bagi menyokong permohonan sijil faraid tersebut;10 [4]
III.
Mengekshibitkan
dokumen-dokumen sokongan seperti salinan sijil kematian si mati,salinan surat
nikah pasangan si mati, salinan sijil kelahiran anak-anak si mati, salinan
sijil kematian bagi waris-waris fardhu si mati yang telah meninggal dunia lebih
awal dari si mati, dan lain-lain dokumen yang sesuai sebagai lampiran kepada
afidavit sokongan.[5]
IV.
Memfailkan
notis permohonan beserta afidavit sokongan dan ekshibit-ekshibit tersebut di
mahkamah syariah tempat pemohon bermastautin
V.
Mahkamah
syariah akan menghantar notis mengenai tarikh perbicaraan kepada pemohon;
VI.
Pemohon
hadir dengan membawa salinan asal dokumen yang diekshibitkan;
VII.
Mahkamah
akan menyoalsiasat pemohon tentang waris-waris si mati bagi mengesahkan
waris-waris yang layak mendapat harta pusaka si mati
VIII.
Mahkamah
akan menyoalsiasat saksi-saksi bagi mengesahkan siasatan terhadap pemohon
IX.
Setelah
mahkamah berpuas hati, hakim syarie akan mengeluarkan perintah pengesahan waris
dan pembahagiannya mengikut faraid (perintah faraid); Setelah siap perintah faraid
dimeterai, pemohon boleh mengambilnya di pejabat pendaftaran Mahkamah
7.0 Isu-Isu Dalam Permohonan Dan Pengeluaran Sijil Faraid Di Mahkamah
7.1 Tiada Jabatan Khusus
Ketiadaan jabatan khusus dalam
pengeluaran Perintah Faraid ini boleh menyulitkan waris-waris dan menyebabkan terjadinya
kekeliruan dan kesukaran dalam mempercepatkan urusan pembahagian.
Sudah tiba masanya Malaysia
mewujudkan satu jabatan yang khusus yang akan menguruskan semua urusan bermula
dari permohonan sehinggalah kepada pembahagian harta.
7.2 Ketiadaan statut pusaka
Setakat ini tiada
lagi sebarang statut pusaka yang boleh di guna pakai sebagai rujukan dalam bab
faraid ini. Rujukan utama Mahkamah Syariah adalah hukum syarak terutama mazhab Shafi’i
Keadaan ini menimbulkan kesukaran kepada hakim
7.3. Waris Hilang (Mafqud)
Jika terdapat
waris yang tidak diketahui maklumat mereka, sudah tidak dapat dihubungi oleh
waris yang lain, tidak diketahui sama ada mereka masih hidup atau sudah
meninggal dunia, mengikut hukumnya,mereka dianggap masih hidup (kerana asalnya hidup)
kecuali terbukti bahawa mereka sudah meninggal dunia.Peruntukan
yang sama juga terdapat dalam enakmen wasiat di Negeri Sembilan, dan
Melaka. Dalam perbincangan usul fiqh, prinsip ini dikenali
sebagai istishab.
Jika boleh dibuat carian maklumat di
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) & JPN sahkan bahawa mereka sudah meninggal
dunia, maka bolehlah dianggap waris tersebut sudah meninggal dunia mengikut
tarikh mati yang disahkan oleh JPN. Satu carian sijil kematian juga boleh
dibuat bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang kematian waris tersebut.
Jika waris yang ada berhasrat untuk menganggap
waris yang hilang tersebut sudahpun meninggal dunia berdasarkan bukti-bukti
yang dianggap kukuh, mereka boleh membuat permohonan anggapan kematian
berdasarkan seksyen 108 Akta Keterangan 1950 di Mahkamah Tinggi. Orang yang hilang tersebut hanya dianggap mati bermula dari
tarikh anggapan kematian disahkan oleh mahkamah. Beberapa elemen di bawah
seksyen 108 hendaklah dipenuhi oleh pemohon sebelum permohonan ini boleh dibenarkan
oleh mahkamah. Selalunya mahkamah mahukan afidavit sokongan dari seseorang yang
kali terakhir melihat orang tersebut melebihi tempoh sekurang-kurangnya tujuh
(7) tahun, bukti tentang usaha pencarian yang telah dibuat bagi mencari orang
yang hilang tersebut seperti iklan di surat khabar, dan lain-lain sebagainya.
Secara alternatif, permohonan
anggapan kematian juga boleh dibuat di mahkamah syariah yang mana tempoh
kehilangan orang tersebut lebih singkat iaitu selama tidak kurang empat (4)
tahun daripada hari terakhir ia dilihat atau diketahui. Walau bagaimanapun,
setakat ini permohonan anggapan kematian
di mahkamah syariah setakat ini hanya digunakan oleh pihak-pihak bagi memohon
pembubaran perkahwinan sahaja.
Bahagian waris yang hilang tadi
(yang dianggap masih hidup) hendaklah diserahkan kepada syarikat pemegang
amanah yang dilantik oleh pentadbir tanah atau mahkamah. Selalunya pihak ARB
akan dilantik sebagai pemegang amanah bagi waris yang hilang sehinggalah waris
tadi datang menuntut hak mereka. Satu fail/akaun akan dibuka oleh ARB & ARB
akan merekodkan maklumat setakat yang dimaklumkan kepada mereka.
Dalam perintah faraid, nama waris yang hilang ini
akan ditulis sebagaimana yang diberi dalam keterangan oleh pemohon dan
saksi-saksi semasa sesi bicara dalam permohonan sijil faraid, dan bahagian
pengenalan diri mereka selalunya akan dicatat sebagai ‘tiada maklumat’
7.4. Bayi Dalam Kandungan/Janin
Bayi dalam kandungan/janin berhak
mewarisi harta pusaka dengan syarat memang sah bayi tersebut sedang dikandungkan
sewaktu si mati meninggal (walaupun berusia sehari), dan dia sempat hidup
sewaktu dilahirkan (walaupun untuk beberapa saat).
Untuk menetapkan kewujudan bayi di
dalam kandungan ibunya, maka perlulah dilihat daripada:
(a) Perbezaan waktu antara akad nikah dengan kelahiran anak tersebut;
(b) Perbezaan waktu perceraian dengan kelahiran anak tersebut.
Para ulama bersepakat bahawa
perbezaan waktu kandungan mestilah berusia enam (6) bulan dan ke atas.
Bagi bahagian waris yang tidak
terjejas sama ada bayi tersebut hidup atau meninggal sewaktu dilahirkan,
bahagian pusaka bagi waris tersebut boleh dibahagikan. Tetapi bagi bahagian
yang ada kemungkinan perubahan pengiraan bergantung kepada hidup atau mati
janin, atau kebarangkalian jantina lelaki atau wanita janin, maka simpanlah
bahagian paling maksima atas kebarangkalian-kebarangkalian pengiraan supaya hak
janin tetap terpelihara
7.5. Masalah Bahagian Waris Tidak
Boleh Didaftarkan
Ini adalah kerana adanya halangan dari aspek
undang-undang:
1.
Hakmilik
yang didaftarkan di bawah Akta Tanah Penempatan Berkelompok 1960 yang hanya
membenarkan dua orang pemilik bersama.
2.
Halangan
memilikki tanah bagi bukan warganegara Malaysia – perlukan kebenaran Pihak
Berkuasa Negeri
3.
Tanah
Rezab Melayu yang tidak membenarkan bukan Melayu didaftarkan sebagai pemilik
Dalam keadaan seperti ini ada
beberapa pendekatan diambil untuk menjaga hak-hak waris. Bagi kes pertama di
atas, seoarang atau dua orang akan dilantik sebagai Pentadbir Harta simati dan
Pentadbir Harta diperintah membahagikan segala bentuk hasil keuntungan dari
harta tersebut mengikut faraid atau mengikut persetujuan bersama ahli waris.
Bagi kes bukan warganegara, waris akan diberi Surat Kuasa Mentadbir untuk
tujuan memohon kebenaran dari pihak berkuasa Negeri supaya nama waris yang
terbabit boleh didaftarkan atau waris yang lain diberi peluang menebusbeli
bahagian waris berkenaan mengikut syarat-syarat yang dipersetujui atau mengikut
perintah Pentadbir Tanah. Bagi kes tanah rezab Melayu, waris tiada pilihan
untuk menebus bahagian waris berkenaan atau dalam kes tertentu jalan terakhir
adalah dengan mendapatkan perintah kebenaran menjual.
7.6. Pentadbir Harta Yang Tidak
Amanah
Di dalam kes-kes tertentu seperti
contoh di atas, lebih-lebih lagi yang melibatkan rancangan tanah Felda atau
Felcra, isu dan masalah yang sering dibangkitkan ialah Pentadbir Harta yang
dilantik tidak amanah dan tidak melaksanakan tanggongjawab membahagikan segala
hasil keuntungan seperti yang diarahkan. Sikap tamak, tidak menghiraukan hukum,
meletak hukum ditangan sendiri dan bergaduh sesama waris, kesemuanya menyumbang
kepada masalah Pentadbir Harta yang tidak amanah.
Untuk mengatasi masalah ini, waris
yang tidak berpuashati boleh memohon bicara (seksyen 17 Akta 98) supaya
dilantik Pentadbir Harta yang baru mengantikan Pentadbir Harta yang tidak
amanah. Isu ini tidak terhenti di sini, malah terdapat banyak permohonan dalam
harta pusaka yang sama untuk membatalkan dan melantik Pentadbir Harta yang
baru. Ini seolah-olah tiada kesudahannya. Hendak membenarkan urusan tebus beli
bahagian, nilaian harta agak tinggi dan waris tiada kemampuan. Hendak dilelong
atau diperitah jual pula melibat beberapa faktor undang-undang berkaitan. Oleh
itu dicadangkan agensi yang berkenaan terutamanya Felda mengambil tindakan yang
lebih drastik termasuk meminda undang-undang berkaitan agar pihak Felda sendiri
boleh mengambil alih atau mentadbir atau membeli bahagian waris untuk
diserahkan kepada peneroka yang baru dalam bentuk pinjaman.
7.7. Meninggalkan Waris Dengan
Sengaja
Isu memberi keterangan palsu atau
menipu semasa memberi keterangan bukanlah perkara baru di dalam mana-mana
proses perbicaraan serta perudangan. Walaupun ada undang-undang dan hukuman
yang berat akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang memberi keterangan palsu,
kes-kes menipu tetap berlaku.
7.8. Kematian Serentak
Dalam kes kematian serentak /
kematian bersama, contohnya dalam kes kemalangan jalan raya, kapal tenggelam,
nahas kapal terbang/helikopter, gempa bumi, tanah runtuh, tsunami, kebakaran,
dan lain-lain sebagainya, dalam keadaan tidak diketahui siapa yang mati
terdahulu dan siapa yang mati terkemudian, maka hukumnya, tiada
pusaka-mempusakai di antara mereka yang mati tadi.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-83, pada
22-24 Oktober 2008 di Kelantan telah membincangkan hukum pewarisan bagi kes
kematian serentak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
“Mana-mana
ahli keluarga yang meninggal dunia secara serentak dalam kejadian yang
sama atau sebaliknya dan tidak dapat ditentukan siapa yang mati terlebih dahulu
bagi menentukan hak perwarisan, maka mereka tidak akan saling mewarisi antara
satu sama lain. Ini berdasarkan syarat-syarat perwarisan, waris al-warith)
hendaklah masih hidup semasa kematian orang yang mewariskan (al-muwarrith).
Oleh itu, harta pusaka si mati akan dibahagikan kepada waris-waris yang hidup
tanpa mengambil kira bahagian ahli keluarga yang mati bersama-samanya. Bagi
merekodkan waktu kematian, perakuan pakar perubatan hendaklah diterima pakai
dan dicatatkan dalam sijil kematian[6]
7.9. Isu Baitumal
Tiada keseragaman di antara
negeri-negeri dari segi kaedah menebusbeli bahagian baitulmal. Ada yang meminta
bahagian baitulmal didaftarkan terlebih dahulu dan urusan tebusbeli dibuat
seperti jualbeli biasa. Ada pihak baitulmal negeri yang mengikut jumlah nilaian
harta yang ditetapkan oleh Pentadbir Tanah dan ada yang ingin membuat penilaian
sendiri. Ada pihak baitulmal negeri yang enggan membuat permohonan walaupun
dimaklumkan simati tiada meninggalkan waris dan ada juga yang enggan membuat
bayaran perintah walaupun baitulmal mendapat bahagian.
8.0 Penutup
Kesedaran dalam ilmu faraid
hendaklah di titikberatkan pada zaman sekarang, Jika di lihat telah banyak
pihak-pihak yang menganjurkan seminar bahkan membuka kelas pengajian di
masjid-masjid akan tetapi kesedaran individu dalam bab faraid ini menyebabkan
penganjuran program-progam ini tidak mendapat sambutan.
Dari segi pengurusan harta pusaka
pula, banyak kes pusaka menjadi tergendala dan tidak boleh diselesaikan adalah
kerana perangai waris-waris yang tidak boleh bekerjasama. Undang-undang yang
ada, walaupun mungkin belum sempurna, sudah pun mampu menyelesaikan kes-kes
pusaka secara saksama, dan jika pun ada percubaan penipuan dalam pembahagian
harta pusaka, ia bukanlah sesuatu yang mudah jika semua pihak mengikut lunas
perundangan yang ada
Kesedaran mengenai ilmu pengurusan
harta ini amatlah penting untung di kembangkan agar masyarakat lebih memahami
dan menerima ketetapan yang telah di syariatkan dan boleh mengelak berlakunya
salahfaham antara ahli waris akibat dari tiada ilmu mengenai pembahagian harta
pusaka ini.