DONATE
Rabu, 5 Ogos 2009
PENGURUSAN KEMISKINAN : SUATU KAJIAN
PENGENALAN
Bagi kebanyakan orang, kemiskinan merupakan masalah yang cukup merisaukan. Ia dianggap sebagai penyakit sosial yang paling dahsyat dan menjadi musuh utama kepada rancangan pembangunan negara (Hairi Abdullah 1984:16). Kemiskinan bukan sahaja dilihat sebagai fenomena ekonomi semata-mata, tetapi juga sebagai masalah sosial dan politik (Syed Othman Alhabshi 1996). Kerana dirasakan dahsyatnya bahaya kemiskinan, membasmi kemiskinan dianggap sebagai jihad (Anwar Ibrahim 1983/1984:25). Malah kerana kemiskinan juga, peperangan dikatakan boleh dilancarkan. Menurut Yusof Al-Qardhawi (petikan Anwar Ibrahim 1983/1984:25) misalnya, perang ar-riddah yang dilancarkan Khalifah Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. terhadap golongan yang enggan membayar zakat boleh dianggap sebagai usaha memerangi kemiskinan (al-harb `al faqr). Ia dikatakan kemungkinan peperangan pertama dalam sejarah bagi membela nasib golongan miskin yang tertindas.
Atas sebab negatifnya kemiskinan itu, pelbagai usaha dan kaedah telah dilaksanakan untuk mengatasi masalah kemiskinan ini. Namun begitu, walau pun dalam banyak kes ianya agak berkurangan, kemiskinan tidak dapat dihapuskan secara total. Dari masa ke semasa, kemiskinan terus wujud dan usaha mengatasinya pun terus menerus dilaksanakan.
Kenapa hal sedemikian berlaku? Apakah ianya kerana kemiskinan itu terlalu banyak atau kaedah pengurusan mengatasinya tidak tepat? Banyaknya kemiskinan dan tidak tepatnya kaedah pengurusan mengatasinya tidak mustahil menjadi penyebab kepada berterusannya kemiskinan itu. Tetapi pada masa yang sama, apakah kemiskinan itu sebenarnya patut dan boleh dihapuskan secara total? Kalau tidak, bagaimanakah sepatutnya ia diuruskan?
Kertas ini cuba meneliti perkara ini. Pertama, ia akan meneliti pandangan-pandangan lazim terhadap permasalahan kemiskinan ini. Ini merangkumi erti, ciri, punca dan kaedah mengatasi kemiskinan. Kedua, ia cuba menganalisis pandangan-pandangan lazim tersebut dan meneroka kaedah pengurusan kemiskinan berdasarkan ajaran Islam. Oleh kerana kemiskinan diyakini berkait rapat dengan jiwa manusia dan bukan hanya dengan material semata-mata, maka pengurusan kemiskinan ini merangkumi kedua-dua pengurusan jiwa dan pengurusan material. Pengurusan jiwa berkait rapat dengan tasauf yang mengarah kepada penyucian jiwa (tazkiyah an-nafs) dan melahirkan pelbagai sifat terpujii (mahmudah) seperti qana'ah dan zuhud. Manakala pengurusan material pula berkait rapat dengan mekanisme-mekanisme yang disediakan Islam, samada dalam bentuk wajib seperti zakat, al-fay', al- ghanimah dan rikaz, atau dalam bentuk wajib mendatang (aradhi) seperti qardhul hassan, al-mudharabah, waqaf, wasiat dan faraid, atau dalam bentuk sunat seperti sadaqah.
ERTI KEMISKINAN DARI PANDANGAN LAZIM
Masalah kemiskinan sebenarnya bukanlah satu masalah baru. Kajian tentang kemiskinan telah dibuat sejak tahun 1800-han lagi. Antara yang terawal dan penting ialah yang telah dibuat oleh Rowntree (1901) [1]. Berdasarkan kepada kajian yang dijalankannya ke atas keluarga-keluarga di York, England dalam tahun 1899, beliau berpendapat bahawa mereka yang tergolong dalam kemiskinan utama ialah keluarga-keluarga yang jumlah pendapatannya tidak cukup untuk mendapatkan keperluan minima untuk mengekalkan kecekapan fizikal.
Beberapa lama kemudian, Townsend (1979), berdasarkan kepada kajiannya ke atas sumber isirumah dan taraf hidup di United Kingdom, tidak bersetuju dengan definisi ini. Beliau memberikan definisi kemiskinan sebagai "kekurangan sumber yang diperlukan untuk membolehkan seseorang berpartisipasi di dalam aktiviti-aktiviti, adat dan pemakanan yang biasanya diterima masyarakat". Sumber itu tidak terhad hanya kepada pendapatan tunai (yang diusaha, tidak diusahakan dan keselamatan sosial). Ia juga merangkumi aset modal (rumah/flat yang diduduki dan dimiliki keluarga dan aset-aset lain selain dari rumah yang diduduki), nilai manfaat pekerjaan (subsidi dan nilai insuran pekerjaan, kemudahan pekerjaan), nilai perkhidmatan sosial awam (terutamanya selain dari wang tunai, termasuk subsidi dan perkhidmatan kerajaan seperti kesihatan dan pendidikan, tetapi tidak termasuk keselamatan sosial), dan pendapatan persendirian dalam bentuk barangan (pengeluaran di rumah, hadiah dan nilai perkhidmatan sokongan peribadi) (Townsend 1979:88-89).
Di Malaysia, perbincangan pertama tentang kemiskinan telah dilakukan dalam tahun 1923 oleh Za'ba (1923) [2]. Beliau menarik perhatian kepada keadaan kemiskinan orang Melayu, tetapi tidak mendefinisikan konsep dan pengukur kemiskinan. Yang merasakan perlunya definisi, pengukur dan mencari sebab-sebab kemiskinan ialah Ungku Abdul Aziz (1964; 1965) [3], yang menulis lebih kurang 40 tahun selepas Za'ba. Ungku Abdul Aziz (1964) mengemukakan tiga sebab utama kemiskinan di kalangan orang Melayu, iaitu pengabaian pemerintah, daya pengeluaran yang rendah dan eksploitasi.
Sebenarnya adalah tidak mudah mendefinisikan konsep kemiskinan. Ada dua sebab utama kenapa hal ini berlaku. Pertama, definisi kemiskinan berbeza-beza mengikut disiplin. Dan kedua, ia berbeza-beza mengikut ruang geografi, masyarakat dan masa. Oleh kerana dua sebab ini, tidak ada satu takrif kemiskinan yang standard yang boleh diterima oleh semua orang atau oleh semua negara pada setiap masa. Dalam kes perbezaan ruang geografi, masyarakat dan masa misalnya, kemiskinan terpaksa dirujuk kepada ketidakcukupan keperluan asas yang berbeza-beza dari individu ke individu dalam masyarakat yang sama dan dari masyarakat ke masyarakat yang lain serta dari semasa ke semasa.
Dalam kes perbezaan disiplin pula, masing-masing mempunyai dimensi definisi yang juga tidak sama. Ahli ekonomi atau neo-ekonomis mendefinisikan kemiskinan daripada perspektif jumlah pendapatan, ahli ekonomi politik daripada perspektif struktural dan akses, ahli sosiologi daripada perspektif stratifikasi sosial, ahli psiko-sosial daripada perspektif keperibadian dan sikap, manakala ahli perubatan daripada perspektif zat atau kalori makanan (Mohd Nor Ghani 1977:217; Kamal Salih 1983/1984:29; Mohd Taib Dora 2000:14) [4].
Selain itu, ahli sejarah dan perbandingan kemiskinan mendefinisikan kemiskinan melalui satu garisan (continuum) kemahuan (want) bermula dari kebuluran, saradiri (subsistence), social coping dan akhir sekali partisipasi sosial (George and Howards 1991:2-11). Ahli teori alam sekitar pula mendefinisikan kemiskinan dari perspektif keadaan sekitar. Bagi mereka, keadaan sekitar yang mundur tidak membantu melahirkan inisiatif dan peluang untuk memperbaiki keadaan seseorang kecuali mereka yang berani berhijrah keluar dari kawasan tersebut. Pemikiran yang dikenali sebagai teori alam sekitar (environmental theory) ini berhubungan pula dengan konsep kebudayaan kemiskinan (culture of poverty) yang diperkenalkan Lewis (1966). Mengikut Lewis (1966), kemiskinan mewakili satu cara hidup yang dicirikan oleh kekurangan partisipasi dan integrasi dengan masyarakat yang lebih besar. Ia hanya terhad kepada berdepan dengan masalah semasa dalam mencari sumber hidup, organisasi sukarela yang minima, keupayaan yang sedikit dalam menangguhkan kegembiraan untuk masa depan, fatalisme, rasa terasing yang kuat, putus asa, atau rasa kebergantungan, rendah diri dan sebagainya [5]. Di samping itu, ada juga penulis yang melihat kemiskinan dari pendekatan saradiri atau pendekatan biologikal (yang menggangap seseorang itu miskin apabila tidak mempunyai cukup keperluan untuk mempertahankan kecekapan fizikal); dari pendekatan ketidaksamaan (yang melihat kemiskinan sebagai berhubungan dengan wujudnya ketidaksamaan di dalam masyarakat); dan dari pendekatan luaran (externality) yang melihat natijah sosial kemiskinan ke atas masyarakat selebihnya (Rein 1970).
Di tengah-tengah kepelbagaian definisi dan perspektif kemiskinan ini, ada dua perkara yang kebanyakan mereka bersetuju. Pertama ialah bahawa kemiskinan itu berkait rapat dengan sindrom `kekurangan' (Sen 1981:22), dan kedua, ia berkait rapat dengan `ketidakupayaan' atau `ketidakmampuan'.
Dalam kes yang pertama, kekurangan-kekurangan itu umpamanya ialah kekurangan makanan, taraf kesihatan yang rendah, pendapatan yang rendah, pengangguran, keadaan perumahan yang tidak selamat, taraf pendidikan yang rendah, tidak menikmati keperluan moden, pekerjaan yang tidak terjamin, sikap hidup yang negatif dan fikiran yang kolot (Osman Rani Hassan dan Abdul Majid Salleh 1988:30-31; Chamhuri Siwar 1988b; Jamilah Ariffin 1994:3). Di samping itu ada juga yang mengkategorikan kekurangan-kekurangan berkenaan ke dalam tiga bahagian. Pertama, kekurangan keupayaan pendapatan; kedua, kekurangan akses kepada kuasa-kuasa sosial seperti kuasa-suara, kuasa-politik, milikan punca-punca keluaran, pendidikan dan sebagainya; dan ketiga, kekurangan keperluan asas seperti perlindungan, pemakanan, pendidikan asas, kesihatan, pekerjaan dan sebagainya (Kamal Salih 1983/1984:28).
Dalam mendefinisikan kemiskinan dari sudut kekurangan ini, ada dua pendekatan yang sering digunakan, yakni pertama, perspektif ekonomi dan kedua, perspektif sains sosial. Dari perspektif ekonomi kekurangan-kekurangan tersebut dikaitkan dengan jumlah pendapatan yang diperoleh sama ada secara mutlak atau pun relatif [6]. Kemiskinan mutlak diukur dengan garis kemiskinan manakala kemiskinan relatif diukur dengan membandingkan taraf agihan pendapatan dalam masyarakat keseluruhannya. Dari perspektif sains sosial pula, kekurangan dikaitkan dengan stratifikasi sosial masyarakat kerana golongan miskin adalah golongan yang kekurangan dari segi kelas, status dan kuasa dalam hiraki masyarakat. Kedua-dua pendekatan ini mempunyai penekanan dan penghuraian yang berbeza, tetapi saling berkait dan lengkap melengkapi (Mohd Taib Dora 2000:14) [7].
Masalah kekurangan ini sebenarnya adalah berbentuk relatif. Ia bergantung kepada masa, keadaan dan tahap sosio-ekonomi masyarakat, geografi (tempat) dan sebagainya sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini. Di negara-negara sedang membangun misalnya, kemiskinan lebih cenderung kepada kekurangan mutlak, umpamanya kebuluran, kelaparan, kekurangan zat makanan, pengangguran, pengemisan dan kekurangan keperluan asas. Di negara maju pula, kemiskinan merujuk kepada kekurangan relatif, yakni golongan yang tidak mampu atau tidak berupaya menampung kehidupan yang setaraf dengan golongan lain yang mempunyai pendapatan yang lebih tinggi dalam masyarakat.
Dalam kes ketidakupayaan atau ketidakmampuan pula, kemiskinan dihubungkan dengan ketidakupayaan untuk menikmati keperluan-keperluan asas yang dianggap paling minima untuk hidup seperti keperluan makanan, perumahan, pakaian, perkhidmatan-perkhidmatan pelajaran, kesihatan, kebajikan dan kemudahan-kemudahan sosial yang lain (INTAN 1980). Ketidakupayaan ini juga berkait rapat dengan kurangnya pendapatan mereka. Dalam hal ini, pendapatan dijadikan pengukur kemiskinan dengan menggunakan konsep garis (atau paras) kemiskinan. Garis kemiskinan ini diukur dengan menggunakan pendapatan yang dikira boleh menampung taraf hidup minima seseorang atau sesuatu keluarga. Pendekatan yang dipakai dalam mengukur taraf kehidupan minima ini ialah pendekatan keperluan asas yang mengambilkira semua keperluan ekonomi (seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya), keperluan sosial dan politik malah keperluan budaya sekali pun [8]. Sesetengahnya mengukur garis kemiskinan ini dengan menggunakan pertamanya, pendekatan profesional atau pakar (dengan mengambil pendapat profesional atau pakar-pakar ini dalam menentukan kuantiti dan kualiti keperluan untuk orang miskin); kedua, pendekatan kepenggunaan atau perbelanjaan (dengan melihat bagaimana orang-orang ramai menggunakan pendapatan mereka); dan ketiga, pendekatan pendapat awam atau persetujuan sosial (social consensus) (dengan mendefinisi dan mengukur kemiskinan berdasarkan kepada pandangan orang ramai) (Piachaud 1987; George and Howards 1991:11-20).
Dari huraian di atas ternampak bahawa sebenarnya, sama ada kemiskinan yang dilihat dari perspektif kekurangan atau dari perspektif ketidakupayaan, kedua-duanya memakai angkubah-angkubah yang tidak banyak berbeza. Ia berkisar kepada kekurangan dan ketidakupayaan memiliki pendapatan, keperluan asas, akses kepada kuasa sosial dan sikap positif dari perspektif pembangunan, Kedua-duanya pula secara umumnya bersetuju menggunakan dua pendekatan dalam mendefinisikan kemiskinan. Pertama ialah pendekatan mutlak dan kedua ialah pendekatan relatif.
Antara kedua pendekatan ini, umumnya pendekatan mutlaklah yang paling berpengaruh. Dalam pendekatan ini, definisi kemiskinan diukur melalui tahap mutlak keperluan minima (absolute level of minimum needs) seseorang atau sesuatu isirumah. Mereka yang hidup di bawah tahap mutlak keperluan minima ini dianggap sebagai hidup di dalam keadaan miskin. Dalam kes ini, tahap hidup minima dipastikan dalam bentuk tahap pemakanan, pakaian dan sebagainya, dan pendapatan untuk memenuhi ini diambilkira semuanya. Kemiskinan mutlak dikatakan berlaku apabila seseorang atau segolongan ahli masyarakat mempunyai pendapatan yang tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan asas mereka (Anand 1983:113; Syed Othman Alhabshi 2000). Ketetapan mutlak ini diukur dengan garis kemiskinan. Di Malaysia, dalam tahun 2000, garis kemiskinan ialah sebanyak RM467 sebulan bagi isi rumah yang mengandungi lima orang ahli keluarga. Sekiranya sesebuah isi rumah mempunyai pendapatan separuh daripada paras kemiskinan mutlak ini, ia dipanggil sebagai kemiskinan tegar (Utusan Malaysia, 9 Ogos 2000).
Namun begitu, konsepsi kemiskinan sebagai `mutlak' begini dikritik kerana keperluan manusia, walau untuk makanan sekali pun, ditentukan oleh masyarakat masing-masing yang berbeza-beza keperluannya dari semasa ke semasa (Townsend 1979:38-39; 59-60). Selain dari itu, pendekatan ini juga mengalami masalah besar dalam menetapkan apakah yang termasuk di dalam keperluan asas minima itu. Sesetengahnya mengatakan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Yang lain memasukkan bukan hanya barangan dan perkhidmatan, tetapi juga perkara-perkara bukan-material seperti hak sivil individu, kebebasan dan lain-lain. Kalau pun perkara-perkara ini telah dikenalpasti, jenis-jenisnya masih tetap boleh dipersoalkan lagi. Selain itu, garis kemiskinan yang menjadi pengukur kepada miskin tidaknya seseorang itu juga boleh berubah mengikut perubahan-perubahan tahap harga umum (general price levels) (Syed Othman Alhabshi 1996).
Permasalahan ini membawa kepada lahirnya pendekatan relatif. Kemiskinan dikatakan relatif wujud selagi ada ketidaksamaan di dalam pengagihan pendapatan dan kekayaan (Syed Othman Alhabshi 2000). Pendekatan relatif ini menginterpretasikan kemiskinan dalam hubungan taraf kehidupan masyarakat semasa, dengan mengiktiraf dengan jelas keadaan saling-kebergantungan antara garis kemiskinan dan pengagihan pendapatan keseluruhannya (Anand 1983:113). Selagi wujud jurang pendapatan antara dua individu atau dua kumpulan, yang mempunyai pendapatan yang lebih rendah akan dianggap sebagai miskin manakala yang mempunyai pendapatan lebih tinggi dianggap sebagai kaya. Dalam konteks ini, kemiskinan hanya boleh dihapuskan sekiranya setiap orang atau kumpulan mempunyai pendapatan yang sama. Seseorang yang secara relatifnya miskin boleh menikmati segala kemewahan kehidupan sekiranya perbandingan dibuat di kalangan orang-orang kaya. Begitu juga, seseorang yang kaya atau yang tidak miskin mungkin tidak berupaya memenuhi keperluan asasnya (Syed Othman Alhabshi 1996).
CIRI-CIRI KEMISKINAN DARI PANDANGAN LAZIM
Berdasarkan kepada pelbagai erti kemiskinan yang telah disebutkan di atas, beberapa ciri kemiskinan telah dikenalpasti oleh penulis-penulis lazim. Syed Hussin Ali (1983/1984:35) misalnya menggambarkan kemiskinan sebagai satu keadaan di mana wujudnya kekurangan mendapatkan keperluan asasi (seperti makanan, perumahan serta pakaian, dan kemudahan sosial seperti air, api, hospital serta sekolah). Dari segi ekonomi, keadaan ini dikatakan timbul kerana ketiadaan atau kekurangan kemampuan disebabkan oleh tingkat pendapatan, pemilikan dan pekerjaan yang rendah. Dari segi sosial pula golongan yang dikatakan miskin itu menduduki lapisan bawahan dalam sistem susunlapis masyarakat.
Mohd Nor Ghani (1977:219-220) pula, setelah menyenaraikan ciri-ciri dan dimensi kemiskinan yang dinyatakan beberapa penulis seperti Streeten (1971:80-82) dan Miller dan Bloomberg (1970:25-26), menyimpulkan dimensi kemiskinan sebagai meliputi pengagihan pendapatan dan aset, kewujudan peluang ekonomi dan pekerjaan untuk golongan miskin, taraf pendidikan dan latihan, taraf kesihatan dan pemakanan, partisipasi di dalam kehidupan sosio-ekonomi masyarakat yang lebih besar, dan dasar dan institusi untuk memudahkan partisipasi.
Selain itu, Kamal Salih (1983/1984:29) mengemukakan tiga ciri kemiskinan. Pertama ialah keberterancaman (vulnerability); kedua, pilihan terhad (limited option); dan ketiga, akses yang terhad (limited access). Dalam ciri yang pertama, golongan miskin dikatakan mudah ditimpa mala petaka sebagai kesan dari inflasi, harga getah jatuh, banjir, penyakit, terbuang kerja dan sebagainya. Dalam ciri yang kedua pula golongan miskin dikatakan tidak mempunyai pilihan hidup yang luas, misalnya dalam memilih kerja, pelajaran anak-anak, keseronokan-keseronokan hidup, makan-minum dan sebagainya berbanding dengan golongan yang lebih berada. Manakala dalam ciri ketiga, golongan miskin dikatakan tertekan oleh kedudukan mereka yang melemahkan semangat jayadiri oleh kerana tidak berkuasa, tidak mempunyai cagar-kuasa (pemilikan tanah atau harta lain termasuk pelajaran yang boleh memberikan kuasa kepada pemilik untuk mendapatkan lain-lain faedah dalam masyarakat dan ekonomi) untuk digunakan untuk mengubah keadaannya. Dalam ciri yang ketiga ini, permasalahannya adalah berbentuk struktural [9].
PUNCA KEMISKINAN DARI PANDANGAN LAZIM
Punca kemiskinan dari tanggapan lazim tidak lepas lari dari berkisar di sekitar erti dan ciri-ciri kemiskinan yang telah dihuraikan di atas. Dari segi ekonomi, kemiskinan dikatakan berpunca dari daya pengeluaran yang rendah. Pengeluaran yang rendah ini pula berpunca dari ketiadaan atau kekurangan punca pengeluaran seperti tanah, modal dan teknologi. Dari segi sosiologi, daya pengeluaran rendah dan kemiskinan dikatakan berpunca dari faktor-faktor syahsiah (personality) dan kebudayaan (misalnya sifat-sifat negatif seperti malas, bergantung kepada nasib, merasa puas dan terlalu bersyukur dengan rezeki yang ada, boros, tidak membuat simpanan dan sebagainya). Berdasarkan faktor-faktor inilah maka ahli-ahli antropologi memperkenalkan konsep `kebudayaan kemiskinan' (culture of poverty).
Ahli-ahli psikologi dan sosiologi ada juga mengatakan rendahnya daya pengeluaran dan seterusnya kemiskinan berpunca dari dorongan pencapaian (achievement motivation) yang rendah. Perspektif yang memadukan kekuatan tiga disiplin - ekonomi, sosiologi dan sejarah - pula melihat kemiskinan berpunca dari struktur masyarakat dan sejarah. Dikatakan wujud struktur ketidaksamaan sosio-ekonomi dalam bentuk sistem susunlapis antarabangsa dan setempat. Struktur ketidaksamaan ini dikatakan tertegak atas dasar penindasan, yang mengakibatkan yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin. Ia juga dikatakan menambahlebarkan jurang ketidaksamaan antara negara dan antara golongan kaya miskin di kedua-dua peringkat antarabangsa dan setempat (Frank 1973; Mohd Nor Ghani 1977; Syed Hussin Ali 1983/1984:35-38). Dari perspektif ini, ketidaksamaan sosial dan ekonomi, yang kedua-duanya saling bergantungan inilah dikatakan akar-umbi kepada punca kemiskinan, dan pada masa yang sama, merupakan akibat dari kemiskinan itu sendiri (Myrdal 1970:56-57).
Selain dari pandangan-pandangan di atas, ada juga penulis yang percaya bahawa kemiskinan terjadi kerana berlakunya peminggiran golongan miskin, umpamanya peminggiran wanita dalam sektor ekonomi melalui mekanisme pasaran buruh dan penghijrahan (Haan 1995), peminggiran golongan miskin melalui pendidikan, perumahan, pemilikan harta, penyertaan demokrasi, kemudahan asas, perkhidmatan kesihatan dan sebagainya (Nayak 1995), atau peminggiran golongan termiskin di bandar kerana tidak mempunyai pengetahuan dan maklumat tentang bantuan kerajaan (masalah sistem maklumat dan bantuan) (Mohd Taib Dora 2000) [10].
Secara lebih khusus lagi, mereka yang mengkaji kemiskinan di luarbandar menganggap bahawa wujudnya kemiskinan di luarbandar adalah kerana terabainya sektor pertanian sejak dari pemerintahan penjajah lagi. Polisi ekonomi penjajah dikatakan telah meruntuhkan hidup kampong di desa, kehilangan semangat bekerjasama dan berdikari dan kemasukan kepentingan kewangan dalam perdagangan ke dalam desa. Akibatnya, tanah bertukar hakmilik kepada mereka yang mampu, wujud kapitalisme tanah dan pembahagian tanah secara tidak adil, serta eksploitasi. Dari sini timbul masalah hutang, pembahagian tanah, bertani di tanah yang disewakan dari orang lain yang menyebabkan rendahnya pengeluaran, pendapatan, pendidikan dan taraf kesihatan. Selain itu, eksploitasi dan monopoli orang tengah, kelaparan tanah, tanah yang tidak ekonomik juga dikatakan antara penyebab kepada kemiskinan di desa (Aliran 1980:4-10).
Di samping itu, sesetengah penulis berpendapat bahawa kemiskinan di luarbandar ini, khususnya di kalangan petani padi di Malaysia, berlaku kerana daya pengeluaran yang rendah kerana pengerjaan tanah yang tidak ekonomik, pulangan bersih yang kecil kerana kos-kos input (seperti racun, membajak dan sewa tanah) yang meningkat, hasil yang tidak mencukupi kerana menumpukan pekerjaan hanya kepada menanam padi, dan penumpuan terlampau ramai isi keluarga ke atas sumber padi (Chamhuri Siwar dan Mohd. Anuar Md. Amin 1989:39-43). Di kalangan penduduk-penduduk Cina di perkampongan-perkampongan baru pula kemiskinan dikatakan berpunca dari dua faktor, iaitu faktor struktural (kelaparan tanah, kekurangan akses terhadap tanah-tanah lombong dan kerajaan untuk disewa, kekurangan peluang pekerjaan dan turun naik pasaran), dan elemen-elemen yang berhubungan dengan sifat individu isirumah miskin itu sendiri (misalnya mengutamakan isteri menjaga anak-anak kecil sendiri, keutamaan ketua isirumah tinggal dengan ahli-ahli keluarga, kekurangan kemahiran yang berhubungan dengan dan pengetahuan tentang peluang-peluang pekerjaan alternatif, kekurangan modal, saiz isirumah yang besar, dan sikap memilih pekerjaan di kalangan remaja) (Fui 1994:145-184).
Kemiskinan di bandar pula dikatakan berlaku kerana orang-orang miskin kurang terdedah kepada sumber-sumber dan kemudahan-kemudahan asas seperti pendidikan dan perumahan, pendapatan rendah dan terpaksa berdepan dengan aliran kenaikan harga barangan, dan kurang terdedah dengan pengetahuan dan maklumat tentang bantuan kerajaan (Aliran 1980:10-12; Mohd Taib Dora 2000). Orang-orang miskin bandar, terutamanya penghijrah dari luarbandar, dikatakan tidak mengetahui tentang maklumat dan pengetahuan tentang bentuk bantuan yang disediakan agensi-agensi pemerintah. Mereka dipinggir dari memperoleh maklumat dan pelbagai bentuk bantuan dan pembangunan; juga terpinggir dari sistem sosial dan sistem ekonomi bandar, terutamanya dalam dunia pekerjaan. Keadaan ini membuatkan berlakunya apa yang dipanggil sebagai `peminggiran sosial' yang dipercayai menjadi sebab utama kepada wujudnya kemiskinan di bandar. Sekiranya isu peminggiran ini dapat diatasi, maka kemiskinan Melayu termiskin bandar dipercayai sekaligus dapat diatasi (Mohd Taib Dora 2000) [11].
Selain dari sebab-sebab di atas, sesetengah pihak juga memberikan tiga sebab kemiskinan, yakni polisi kerajaan, sistem ekonomi kapitalis, dan sikap apathi (pasif) golongan kaya (Aliran 1980). Mereka menyalahkan polisi kerajaan yang tidak benar-benar berusaha menghapuskan kemiskinan dan merapatkan jurang antara kaya dan miskin walaupun telah berjanji berbuat demikian. Sebaliknya kerajaan dikatakan menaikkan gaji dalam sektor kerajaan, gagal mengawal harga khidmat dan barang-barang keperluan penting seperti perumahan, gagal memberi subsidi perumahan kepada orang-orang miskin secara besar-besaran, membiarkan pengumpulan tanah dan harta oleh golongan yang sudah mempunyai rumah, dan enggan melaksanakan polisi pendapatan minima untuk kepentingan kumpulan pendapatan rendah. Sistem ekonomi kapitalis yang dipakai itu sendiri dikatakan membiakkan eksploitasi, keuntungan yang berlebihan dan pengumpulan serta penyorokan harta kekayaan tanpa mempedulikan mereka yang tidak memiliki harta, diarahkan oleh ekonomi antarabangsa untuk kepentingan orang asing dan menyebabkan pembahagian hasil sumber yang tidak adil. Orang-orang kaya pula mempunyai sikap tidak mempedulikan orang-orang miskin (apathi). Mereka sebaliknya membuatkan orang-orang miskin yang tidak berkemudahan, kurang berpelajaran dan maklumat tentang saluran-saluran kerajaan, terperangkap dalam keadaan hampa dan putus harapan (Aliran 1980:12-15).
KAEDAH LAZIM MENGATASI KEMISKINAN
Oleh kerana erti, ciri dan punca kemiskinan lazim berkisar di sekitar hal-ehwal material seperti daya pengeluaran, pendapatan dan keperluan asas dan non-material luaran manusia seperti hak dan aksesibiliti, maka kaedah mengatasinya juga tertumpu kepada hal yang sama. Seperti di negara-negara lain, hal ini juga terserlah di Malaysia.
Di dalam usaha mengatasi kemiskinan luarbandar misalnya, Malaysia menekankan kepada pertamanya, peningkatan daya pengeluaran aktiviti-aktiviti nelayan dan petani agar hasil pengeluaran mereka bertambah; kedua, pengurangan pengangguran di kalangan kaum belia di luarbandar dengan meningkatkan peluang pekerjaan, misalnya dengan mengadakan rancangan-rancangan tanah yang baru atau rancangan pemulihan tanah terbiar; ketiga, memajukan sektor pertanian dengan pendekatan bersepadu agar ekonomi desa dapat memasuki sektor perindustrian khususnya perindustrian desa; dan keempat, meninggikan mutu hidup penduduk luarbandar dengan memberi kemudahan-kemudahan asas seperti bekalan, air, elektrik, perkhidmatan kesihatan dan pelajaran (Musa Hitam 1983/1984:7-8) [12].
Usaha-usaha begini menjadi lebih jitu apabila Dasar Ekonomi Baru dilancarkan. Ada tiga strategi pembasmian kemiskinan yang diperkenalkan di dalam Dasar Ekonomi Baru ini. Pertama, menambahkan pendapatan melalui penggunaan teknologi moden agar meningkat produktiviti kumpulan sasaran. Ini dilakukan melalui peranan aktif agensi-agensi kerajaan, mengemaskini perkhidmatan dan memperluaskan liputan infrastruktur asas di kawasan luar bandar. Kedua, menambahkan peluang-peluang pekerjaan dengan menukar lapangan kegiatan. Ia melibatkan langkah memajukan tanah yang baharu seperti rancangan FELDA, perusahaan, perkhidmatan, peluang-pelaung dalam bidang pelajaran dan pertanian moden. Ketiga, memperbanyakkan peluang-peluang pekerjaan itu sendiri melalui pengawalan dan pertambahan bilangan penduduk dan perubahan dalam susunan ekonomi dengan memperluaskan bidang periindustrian, khususnya dengan menggalakkan penglibatan pelaburan asing.
Trend yang sama juga menjadi kepercayaan organisasi-organisasi masyarakat, institusi-institusi akademik dan kebanyakan individu di Malaysia. Pergerakan Pemuda UMNO misalnya, setelah mendapati strategi Dasar Ekonomi Baru menghadapi jalan buntu apabila berlakunya kegawatan ekonomi dalam pertengahan lapan-puluhan, mencadangkan agar kemiskinan diatasi melalui kaedah-kaedah berikut: Pertama, pemantapan peranan dan pelaksanaan badan-badan institusi kerajaan agar dapat menyelaras pelaksanaan dasar, mengawal penyelewengan dan rasuah, pembaziran, tindih menindih projek dan penyelewengan subsidi dan konflik kepentingan. Kedua, penyusunan semula dan pembangunan rancangan tanah ala Felda, dengan mengkaji semula dasar, penyusunan semula program dan projek agar produktiviti bertambah dan memberi peluang baru kepada rakyat. Ketiga, mengatasi pengangguran dan meningkatkan peluang pekerjaan. Keempat, memajukan perindustrian negara terutamanya industri berasaskan pertanian (agro-based) dan pembuatan dan industri berat. Kelima, memaju dan membangunkan kawasan bandar untuk mengatasi masalah setinggan dan menghalang mereka dari bertambah dan merebak. Keenam, meneruskan strategi Dasar Ekonomi Baru dalam penyusunan semula masyarakat untuk membasmi kemiskinan. Ketujuh, meneruskan dasar luar yang berkecuali agar perhubungan antarabangsa dapat dijalin dengan baik (Biro Kemiskinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 1987) [13].
Selain itu, institusi akademik, misalnya Institut Pertanian Malaysia pula mengesyorkan beberapa kaedah mengatasi kemiskinan seperti berikut: (a) reformasi tanah dan pengagihan harta; (b) peningkatan penyelarasan penyaluran faktor pengeluaran (seperti pengeluaran teknologi, perkhidmatan pengembangan, kemudahan kredit, pengurusan dan pemasaran); (c) insentif kewangan dan pencukaian; (d) pengubahan sikap kepimpinan di semua peringkat, dari kepimpinan politik, pegawai kerajaan, dan pemimpin tempatan; (e) peluang pendidikan dengan menilai semula sistem penempatan anak-anak miskin yang berpotensi ke sekolah-sekolah yang mempunyai kemudahan lengkap; (f) pembentukan model baru pembangunan yang lengkap dan menyeluruh (holistic model) di mana perancangan memerlukan pertimbangan faktor seperti mobilisasi modal, tenaga buruh dan mengubah kuasa pemilikan sebahagian besar sumber pengeluaran; (g) sistem pertanian bercorak perniagaan; (h) pembinaan bandar-bandar baru; (i) dan penubuhan Pusat Pengajian Kemiskinan untuk menyelaras segala usaha mengkaji masalah kemiskinan dan membentuk pendekatan-pendekatan pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan oleh institusi-institusi yang ada (Institut Pertanian Malaysia 1983/1984:136-137) [14].
Secara individu pula ada yang berpendapat bahawa pembasmian kemiskinan memerlukan pembentukan dan penginstitusionalisasian satu mekanisme sosio-ekonomi yang bergerak sendiri (self-generating) supaya kemiskinan dapat ditangani bila ia timbul dari semasa ke semasa. Dalam hal ini, ada enam komponen yang dicadangkan (Mohd Nor Ghani 1977:224-225):
1. mengenalpasti kumpulan sasaran utama berdasarkan kepada taraf hidup minima atau tahap pendapatan yang dirasakan sesuai untuk negara;
2. ukuran jurang yang wujud antara taraf minima dan pendapatan semasa dan taraf hidup yang didapati oleh kumpulan sasaran utama;
3. penilaian tentang keperluan asas kumpulan sasaran dalam bentuk makanan, pakaian dan tempat tinggal dan pembentukan langkah-langkah anti-kemiskinan yang berkesan;
4. mengenalpasti perubahan asas dalam bentuk faktor-faktor alam sekitar dan institusi yang diperlukan untuk menggalak (motivate) orang miskin dan mewujudkan komitmen dan partisipasi penuh dari mereka di dalam program-program yang dilancarkan;
5. mengadakan sumber-sumber, kemudahan dan perkhidmatan yang diperlukan untuk merangsang golongan miskin ke dalam kerja aktif dan produktif dengan hubungan dan jalan yang betul untuk berinteraksi dengan masyarakat yang lebih besar; dan
6. membentuk instrumen-instrumen dasar yang diperlukan untuk membawa perubahan yang sepatutnya di peringkat ekonomi, sosio-budaya, psikologi dan pentadbiran.
Sebenarnya, di tengah-tengah tumpuan kepada hal-ehwal material dan non-material luaran manusia ini, ada juga pihak-pihak tertentu yang mula sedar bahawa tindakan-tindakan meninggikan pengeluaran, memperbanyakkan peluang-peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan orang miskin sebenarnya tidak cukup untuk mengatasi masalah kemiskinan. Ini semua, kata mereka, hanya membawa kesan lahiriah sahaja. Bagi mereka, tindakan lebih tepat ialah dengan menggunakan satu pendekatan yang menitikberatkan manusia (human oriented approach), yang merangkumi nilai-nilai keadilan, kesamarataan dan kepimpinan yang baik dan jujur untuk melahirkan sebuah masyarakat yang beretika dan progresif, dan menguatkuasakan perubahan struktur dalam ekonomi (Aliran 1980:15). Walaubagaimana pun, penghuraian mendalam tentang hal ini tidak dilakukan dan kaedah bagaimana ini semua boleh dicapai tidak dikemukakan secara jelas dan sistematik, malah hampir tidak ada langsung.
Secara umum, bolehlah dikatakan bahawa usaha mengatasi kemiskinan secara lazim setakat ini telah dilaksanakan melalui tiga tahap pendekatan. Pendekatan pertama dipanggil sebagai pendekatan sektoral; pendekatan kedua sebagai pendekatan berorientasikan kumpulan; dan pendekatan ketiga sebagai pendekatan individu (Syed Othman Al-Habshi 1996).
Pendekatan sektoral umumnya dipakai oleh kebanyakan negara sedang membangun dalam tahun 50-an dan 60-an. Sektor-sektor yang mundur dikenalpasti dan disalurkan pelbagai program pembangunan terutamanya dalam bentuk pembinaan prasarana seperti jalanraya, jambatan, empangan, sekolah, rumah sakit dan klinik, pusat masyarakat, pembangunan pertanian dan tanah, reformasi tanah dan sebagainya. Hal ini dilakukan berdasarkan kepada dua rasional: pertama, pembayar cukai mengagihkan semula pendapatan mereka melalui dana awam yang kemudian menyalurkannya terus kepada rakyat miskin; dan kedua, teori kesan merebak ke bawah (trickle-down effects) diharap dapat akhirnya dimanfaatkan oleh orang-orang miskin. Melalui pendekatan ini, keadaan umum sektor luarbandar telah diubah dengan cepat di samping bertambah baiknya assesibiliti kepada komunikasi, keadaan kehidupan dan kemudahan awam terutamanya pendidikan dan kesihatan. Tetapi ia juga mempunyai kelemahan. Orang-orang miskin tidak benar-benar dapat menikmati faedah pembangunan dalam masa singkat kerana kesan merebak ke bawah tidak berlaku. Yang jelasnya, mereka yang mendapat manfaat ialah sektor itu sendiri dan mereka yang terlibat dalam proses pembangunan yang sebenar. Orang-orang miskin hanya mendapat manfaat dalam jangka masa yang sangat panjang (Syed Othman Alhabshi 1996).
Pendekatan berorientasikan kumpulan pula merupakan satu pendekatan yang mengenalpasti dan mendokumenkan secara jelas kumpulan orang-orang miskin dan profil mereka dari segi pendapatan isi rumah, saiz isirumah, pekerjaan, dan tahap pendidikan. Mereka dibahagikan mengikut wilayah, lokasi dan disusun mengikut tahap pendapatan purata. Pelbagai projek yang sesuai untuk setiap golongan dirancang dan dilaksanakan untuk kebaikan mereka. Pendekatan ini mampu menyediakan keperluan orang-orang miskin mengikut kumpulan ekonomi masing-masing dan oleh itu sesuai untuk menyelesaikan masalah berkumpulan. Namun begitu, penyelesaian secara berkumpulan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan individu isirumah. Kumpulan miskin ini biasanya tidaklah sama (homogenous) dari segi tahap pendapatan dan sifat-sifat lain. Program yang dituju kepada kumpulan miskin boleh jadi sesuai dengan sesetengah dari mereka tetapi tidak sesuai untuk sesetengah yang lain (Syed Othman Alhabshi 1996).
Pendekatan individu pula mengecilkan unit ekonomi kepada isirumah. Pendekatan ini mengenalpasti setiap isirumah miskin di setiap lokasi. Apabila profil mereka dikumpul dan dianalisa, terutamanya dari segi pendapatan, pendidikan, pekerjaan, kemahiran, keperluan dan sebagainya, projek-projek khusus yang secara langsung boleh memenuhi keperluan isirumah berkenaan dilaksanakan. Pendekatan ini mempunyai dua kebaikan yang jelas: pertama, orang-orang miskin mendapat manfaat secara langsung; dan kedua, ia boleh bermula dengan isirumah yang paling memerlukan pertolongan. Pada tanggapan sesetengah penulis, kebaikan kedua ini adalah suci dan berbentuk apolitical kerana dalam kebanyakan kes, adalah lebih menguntungkan sama ada dari segi ekonomi atau politik, untuk membantu mereka yang mempunyai pendapatan yang lebih hampir dengan garis kemiskinan. Perbelanjaan yang diperlukan untuk menolong mereka ini jauh lebih sedikit dari yang diperlukan untuk membantu kesemua mereka yang miskin. Tetapi seperti juga pendekatan-pendekatan lain, pendekatan individu ini juga tidak terlepas dari kelemahan. Antara kelemahannya terdapat dalam menentukan siapakah yang patut mendapat faedah itu dalam amalan sebenarnya. Kritik paling utama terhadap pendekatan ini ialah sama ada bantuan yang disalurkan berorientasikan kebajikan atau pembangunan. Kalau ianya untuk penggunaan, ianya masih berorientasikan kebajikan. Sebaliknya ia menjadi penyelesaian jangkapanjang kemiskinan yang lebih baik kiranya ia bersifat pembangunan (Syed Othman Alhabshi 1996).
MENGURUS KEMISKINAN SECARA ISLAM
Sesuatu masalah tidak mungkin dapat diuruskan dengan baik dan sempurna kecuali ianya diketahui secara faham yang benar. Begitulah juga dengan masalah kemiskinan. Untuk menguruskannya dengan berkesan, ia mesti difahami secara benar. Tetapi faham dan benarkah pandangan lazim terhadap kemiskinan?
Pada pandangan kami, definisi, ciri, punca dan kaedah mengatasi kemiskinan lazim yang dikemukakan di atas jelas mempamirkan ianya terpengaruh kuat dengan nilai material dan luaran manusia, walau dari apa jua perspektif disiplin permasalahan kemiskinan itu dilihat [15]. Persoalan-persoalan daya pengeluaran, pendapatan dan keperluan asas serta perkara-perkara yang bersangkutan dengannya jelas membuktikan pandangan ini. Kalau pun ada perkara-perkara yang berbentuk non-material, ianya hanya berkisar pada luaran manusia. Misalnya ialah persoalan-persoalan berkenaan dengan kebebasan, hak untuk memperoleh pekerjaan, hak ke atas rumahtangga dan kehidupan (Scott 1979), kesempatan untuk mengumpul asas kekuasaan sosial yang meliputi modal yang produktif atau asset (misalnya tanah, perumahan, peralatan, kesihatan dan lain-lain), organisasi sosial dan politik yang dapat digunakan untuk mencapai kepentingan bersama (parti politik, sindiket, koperasi dan lain-lain), jaringan sosial untuk memperoleh pekerjaan, barang-barang dan lain-lain, pengetahuan dan ketrampilan yang memadai, dan maklumat yang berguna untuk memajukan kehidupan (Friedmann 1979).
Kesemua ini berbentuk non-material dan berkisar di luar diri manusia. Ia tidak menyentuh langsung tentang dalaman diri atau dimensi kerohanian manusia. Malah sebaliknya ada sesetengah perkara yang boleh dianggap sebagai non-material itu pun pada hakikatnya tetap terikat dengan unsur-unsur material. Misalnya ialah tentang persoalan kesempatan, organisasi sosial dan politik, serta jaringan sosial yang disebutkan di atas. Kesemuanya dianggap sebagai alat kepada mencapai hal-hal material yang dirasakan boleh membasmi kemiskinan. Di samping terlalu terikat dengan material dan non-material luaran manusia ini, pandangan lazim ini tertinggal dimensi dalaman manusia, yakni kerohanian atau jiwa. Atas sebab dimensi tertinggal (missing dimension) ini, pandangan lazim tidak mampu menganalisis persoalan kemiskinan ini secara lengkap, apatah lagi secara faham dan benar.
Permasalahan sebegini sebenarnya bukan sahaja dihadapi oleh pandangan lazim, tetapi juga oleh pandangan-pandangan yang dikatakan berlandaskan kepada Islam. Cuma berbezanya, pandangan lazim meninggalkan terus dimensi kerohanian manakala pandangan yang dikatakan berlandaskan Islam itu percaya dan sedar tentang kepentingan dimensi ini tetapi tidak menumpukan penekanan terhadapnya sebagaimana sepatutnya.
Anwar Ibrahim (1983/1984:18) misalnya, pada awalnya mendefinisikan pembangunan sebagai penyucian dan kesempurnaan jiwa (tazkiyah an-nafs). Tetapi apabila mengemukakan penyelesaian terhadap kemiskinan, beliau mengemukakan cadangan-cadangan berbentuk material dan luaran manusia [16]. Tanpa menghuraikan apa yang dimaksudkan dan bagaimana mencapai penyucian dan kesempurnaan jiwa, beliau menumpukan perbincangan kepada saranan-saranan yang berbentuk material, dengan menjustifikasikan hujjah berdasarkan kepada ayat-ayat Al-Qur'an dan Hadith-hadith yang menjurus hanya kepada kepentingan material. Kata beliau, prinsip utama Islam dalam hubungan dengan ekonomi dan kemiskinan ialah kepentingan kemajuan kebendaan [17]; penekanan terhadap usaha dan kesungguhan bekerja [18]; dan penekanan terhadap tanggungjawab golongan berkuasa dan kaya terhadap manusia lain [19].
Secara lebih spesifik, beliau menyarankan agar kemiskinan dibasmi melalui perubahan yang radikal untuk membantu petani berdasarkan kepada "betting on the many" dan bukan "betting on the strong" yang dipakai oleh model pembangunan Barat. Beliau menyebut political will (keberanian dan komitmen pimpinan negara) sebagai satu keperluan, sebagaimana yang telah dilakukan di dalam Dasar Ekonomi Baru dalam soal reformasi tanah, penyediaan kemudahan pinjaman kepada golongan miskin dan memperbaiki infrastruktur pemasaran. Untuk membebaskan masyarakat dari sistem yang memeras masyarakat tani secara Islam, Anwar menyebut tentang institusi-institusi yang berhubung erat dengan hal-ehwal material seperti penubuhan Bank Islam, sistem insuran Islam (takaful) dan pajak gadai Islam (ar-rahn), serta zakat (Anwar Ibrahim 1983/1984:25-26).
Hal seumpama ini juga ketara di dalam tulisan Syed Othman Alhabshi (1996). Pernyataannya tentang sumbangan signifikan Islam terhadap usaha mengatasi kemiskinan misalnya kesemuanya berkisar kepada hal-ehwal material dan luaran manusia. Sumbangan-sumbangan yang beliau sebutkan ialah perpindahan sumber keperluan (transfers) dari orang kaya kepada orang miskin; saranan agar berusaha dan tidak bergantung kepada masyarakat dan negara; dan skop zakat yang ditumpukan terus kepada individu dan isirumah fakir dan miskin [20]. Walau pun beliau ada menyebutkan tentang agama sebagai salah satu dari lima keperluan asas untuk kehidupan individu dan sosial yang baik, namun agama itu dilihat dari aspek hak dan kebebasan memilih dan mengamalkannya, tidak kira walau apa agama sekali pun, kerana agama dikatakan membawa kebaikan dan menghindar kejahatan. Satu lagi yang boleh dikatakan berbentuk non-material dari lima keperluan yang dinyatakan ialah pengetahuan, yakni pengetahuan asas yang mesti dimiliki oleh setiap orang (ilmu fardhu `ain) dan ilmu yang khusus yang mesti dimiliki oleh sebahagian ahli masyarakat (ilmu fardhu kifayah). Tetapi tiga keperluan asas selebihnya tetap berkisar kepada hal ehwal material dan luaran manusia. Pertama ialah fizikal diri, yakni kesihatan tubuh badan, juga termasuk barangan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, pengangkutan, kesihatan dan sebagainya, malah semua yang boleh membawa kepada kesihatan tubuh badan yang boleh membawa kepada hidup yang bermakna; kedua ialah keturunan, dengan maksud meramaikan zuriat sebagai keperluan dan tujuan hidup; dan ketiga, kekayaan, yakni yang boleh diinterpretasikan sebagai satu `stock' atau `flow', umpamanya sesebuah harta yang boleh mendatangkan pendapatan atau satu pekerjaan yang mendatangkan gaji atau ganjaran. Malah bagi Syed Othman Alhabshi (1996), kekayaan adalah merupakan keperluan asas manusia.
Lebih dari itu, Syed Othman (1996) menganggap bahawa memenuhi kelima-lima keperluan ini merupakan salah satu dari matlamat agama Islam [21]. Baginya kelima-lima keperluan inilah yang boleh menyediakan setiap peluang untuk kehidupan baik di kedua-kedua peringkat individu dan masyarakat. Oleh itu kesemua keperluan ini mesti dimiliki untuk mengelak seseorang dari terjerumus ke lembah kemiskinan. Walau salah satu dari keperluan ini tidak dipenuhi, seseorang masih dianggap miskin.
Penekanan Syed Othman terhadap hal-ehwal material ini juga terserlah apabila beliau mengaitkan kemiskinan dengan konsep nisab, yakni jumlah hakmilik minima seseorang terhadap barangan atau harta yang membolehkan seseorang itu membayar zakat. Beliau mengambil nisab sebagai pengukur kepada miskin tidaknya seseorang kerana nisab baginya boleh diterima sebagai garis pendapatan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan seseorang. Mereka yang mempunyai barangan atau harta yang melebihi nisab boleh dikira sebagai orang kaya dan oleh itu dikenakan zakat. Manakala mereka yang sebaliknya pula dikira sebagai orang miskin yang bukan hanya tidak payah membayar zakat, tetapi juga tergolong ke dalam salah satu asnaf yang boleh diberikan zakat [22].
Oleh kerana tertumpunya pandangan Syed Othman kepada hal-ehwal material dan non-material luaran manusia, serta tidak adanya penekanan beliau terhadap kerohanian, maka begitulah juga kaedah-kaedah pembasmian kemiskinan yang dicadangkannya. Beliau melupakan persoalan kerohanian dan menekankan kepada perlunya orang-orang miskin menggunakan kemahiran mereka untuk mencari rezeki sendiri dan tidak bergantung kepada masyarakat. Hal ini pada pandangannya adalah sesuai dengan Islam yang menggunakan pendekatan pembangunan (developmental approach) dalam mengatasi kemiskinan. Beliau menguatkan hujahnya dengan mengambil contoh seorang miskin yang datang mengadu kepada Rasulullah s.a.w. tentang kemiskinannya, yang kemudiannya dibelikan kapak oleh Rasulullah s.a.w. dengan hasil jualan cawan tembaga kepunyaan orang miskin itu. Kapak itu diberikan Rasulullah s.a.w. sebagai alat orang miskin itu mencari rezeki sendiri [23]. Usaha begini katanya mesti dilakukan oleh mereka yang mempunyai keupayaan. Bagi mereka yang tidak berupaya seperti orang cacat, orang tua dan kanak-kanak, Syed Othman Alhabshi (1996) menekankan kepada peruntukan-peruntukan material yang disediakan Islam, umpamanya yang datang dari Baitulmal yang mendapat sumbernya dari zakat dan pelbagai cukai lain. Kaedah-kaedah berbentuk material ini juga termasuklah sedekah, waqaf dan infaq (menafkahkan sebahagian dari pendapatan atau kekayaan untuk manfaat diri, keluarga, saudara-saudara terdekat, orang-orang miskin dan anak-anak yatim), selain dari penekanan terhadap berusaha mencari keperluan sendiri dan menyediakan peralatan pekerjaan seperti kapak yang disediakan Rasulullah s.a.w di atas (Syed Othman Alhabshi 2000).
Dalam realiti masakini secara praktisnya, Syed Othman Alhabshi (1996) mengambil contoh program Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebagai salah satu cara membasmi kemiskinan secara Islam. Sesuai dengan pandangan beliau bahawa orang-orang miskin mesti diberikan alat material untuk mencari rezeki sendiri, maka AIM memberikan pinjaman modal tanpa riba agar bakat dan motivasi orang-orang miskin dapat dicungkil untuk melepaskan diri mereka dari kemiskinan. Pinjaman modal ini digunakan untuk menjalankan projek-projek pilihan mereka sendiri [24]. Bagi Syed Othman Alhabshi (1996), AIM ini adalah Islamik kerana ia melaksanakan pendekatan pembangunan (developmental approach) sebagaimana yang disebutkan terdahulu, memberikan pinjaman tanpa riba, menghalalkan hutang pinjaman tersebut sekiranya peminjam meninggal dunia, dan menumpukan kepada golongan fakir (termiskin) dan bukan kepada golongan miskin. Namun begitu, seperti penghujjahan teoritis Syed Othman, praktis program AIM yang dilaksanakan ini juga tidak nampak menekankan kepada hal-ehwal kerohanian.
Apabila hal-ehwal kerohanian ini tidak diambilkira, tidak kira sama ada oleh perspektif lazim apatah lagi oleh perspektif yang dikatakan Islam sendiri, maka kemiskinan tentulah tidak boleh difahami secara tepat dan benar. Seterusnya begitulah juga dengan kaedah pengurusan kemiskinan dan penyelesaian yang dikemukakan. Ia tidak mungkin dapat menyelesaikan permasalahan kemiskinan tanpa dimensi kerohanian kerana mengikut Islam, kaya miskinnya seseorang itu bukan hanya bersangkutan dengan material atau non-material luaran manusia semata-mata, tetapi lebih penting dari itu bersangkut erat dengan kaya miskinnya kerohanian atau jiwa seseorang. Rasulullah s.a.w. misalnya bersabda:
"Bukanlah yang dinamakan `kaya' itu, kerana berlimpah ruahnya harta, tetapi yang dinamakan `kaya' itu ialah kaya jiwa” [25]
"Tidaklah orang itu kaya lantaran banyak benda. Sesungguhnya orang kaya itu ialah orang yang kaya jiwa” [26]
Atas sebab pentingnya dimensi kerohanian ini jugalah maka Imam Ghazali (1978:136) memperkenalkan istilah fakir mutlak. Mengikut Imam Ghazali, fakir mutlak merujuk kepada seseorang yang tidak merasakan perlu kepada Allah SWT, tidak kira sama ada orang itu kaya atau miskin. Dengan perkataan lain, kaya sebenar-benar kaya dan fakir sebenar-benar fakir hanya boleh diukur dengan rasa keTauhidan yang berpusat di dalam dimensi kerohanian, bukan dengan hal-ehwal material atau non-material yang berligar di luar diri manusia. Sebab itu jugalah pada zaman Rasulullah s.a.w., ahlus-suffah yang miskin dan dhaif kehidupannya tidak dipaksa Rasulullah s.a.w. untuk berusaha dan menjadi orang kaya. Mereka mempunyai kerohanian yang tinggi dan rasa memerlukan kepada Allah SWT yang luarbiasa hingga mereka tidak menyusahkan masyarakat walaupun hidup dalam keadaan miskin material [27]. Pada zaman Khalifah Sayyidina Umar bin Abdul Aziz pula, asnaf-asnaf zakat tidak merasakan perlu kepada zakat kerana merasa aman hidup di bawah pemerintahan seorang Khalifah yang tinggi kerohaniannya dan sangat-sangat merasakan perlu kepada Allah SWT [28]. Seorang ketua kabilah menggambarkan keadaan masyarakat Madinah di bawah pemerintahan Khalifah Sayyidina Umar bin Abdul Aziz seperti berikut:
“Aku tinggalkan kota Madinah di mana orang-orang zalim dapat ditangkap, orang-orang yang teraniaya dapat ditolong, orang-orang kaya hidup makmur dan orang-orang miskin cukup terjamin” [29].
Ertinya, pada zaman Sayyidina Umar bin Abdul Aziz itu, memang terdapat orang-orang miskin, tetapi hidup mereka cukup terjamin hingga mereka tidak merasakan perlu lagi kepada zakat. Begitulah juga di wilayah-wilayah lain seperti Afrika Utara yang diperintah Islam. Yahya Ibn Sa’id yang dihantar dan ditugaskan oleh Khalifah Sayyidina Umar bin Abdul Aziz untuk mengagihkan harta zakat di Afrika Utara itu terpaksa membuat pilihan membeli dan memerdekakan hamba setelah gagal menemui orang yang berhajat kepada bantuan zakat. Hamba sahaya itu sendiri, yang lojiknya tentulah tidak mempunyai apa-apa harta dan miskin, sebenarnya merupakan salah satu dari lapan asnaf yang berhak menerima zakat. Tetapi mereka tidak berhajat kepada zakat kecuali setelah Yahya Ibn Sa`id membeli dan memerdekakan mereka, kerana makmurnya negara di bawah pemerintahan Khalifah Sayidina Umar Abdul Aziz yang sangat tinggi rasa keTauhidannya kepada Allah SWT [30].
Berdasarkan kepada hujah dan bukti-bukti di atas, mengurus kemiskinan menurut Islam oleh itu bererti mengurus masalah kemiskinan jiwa dan material sekaligus, bukan mengurus kemiskinan material semata-mata. Tidak mungkin permasalahan kemiskinan material dapat diselesaikan sekiranya masalah kemiskinan jiwa tidak diurus, apatah lagi diabaikan. Islam menyediakan kedua-dua bentuk pengurusan kemiskinan jiwa dan pengurusan kemiskinan material ini. Bagi mengurus kemiskinan jiwa, ada kaedahnya; manakala untuk mengurus kemiskinan material, ada mekanisme-mekanisme yang disediakan.
Pengurusan Kemiskinan Jiwa
Secara umum, miskin jiwa bererti miskin iman dan taqwa. Mengurus kemiskinan jiwa oleh itu bererti mengurus usaha mempertingkatkan iman dan taqwa itu. Oleh kerana tapak iman dan taqwa adalah hati, maka meningkatkan iman dan taqwa samalah ertinya membersihkan hati. Untuk ini, seseorang perlu sentiasa melakukan mujahadatun-nafsi agar hatinya kosong dan sunyi dari sifat-sifat terkeji (mazmuumah), kemudian dapat pula mengisikannya dengan sifat terpuji (mahmudah), dan akhirnya merasa kehebatan dan kebesaran Allah SWT serta memerlukan kepada-Nya dengan sebenar-benarnya. Tahap mengosongkan hati dari sifat-sifat terkeji dipanggil takhalli, manakala tahap mengisikan hati dengan sifat-sifat terpuji dipanggil tahalli, dan tahap benar-benar merasa kehebatan dan kebesaran serta memerlukan kepada Allah SWT dipanggil tajalli. Dari proses-proses pengurusan jiwa inilah akan lahirnya sifat-sifat terpuji yang diperlukan untuk mengurus kemiskinan material. Antara yang terpenting ialah sifat qana'ah dan sifat zuhud.
Qana'ah ertinya menerima dengan rela apa yang ada, atau merasa cukup dengan apa yang dimiliki (Humaidi Tatapangarsa 1997:164). Ia berbeza dengan sifat fatalistik kerana kerelaan menerima apa yang ada dan rasa cukup dengan apa yang dimiliki itu hanya dicapai setelah bekerja dan berusaha. Qana'ah yang dimaksudkan di sini ialah qana'ah hati, bukan qana'ah ikhtiar. Dalam qana'ah ikhtiar seseorang merasa cukup dengan ikhtiar mereka dan oleh itu tidak berusaha lagi. Tetapi dalam qana'ah hati, mereka berusaha dan berikhtiar sedayanya dan selepas itu baru bertawakkal kepada Allah SWT dan redho dengan apa yang Allah SWT kurniakan. Secara ringkas, qana'ah mengikut Humaidi Tatapangarsa (1997:164). mengandungi lima perkara, yakni (a) menerima dengan rela apa yang ada; (b) memohon kepada Tuhan tambahan yang pantas disertai dengan usaha dan ikhtiar; (c) menerima dengan sabar ketentuan Tuhan; (d) bertawakkal kepada Tuhan; dan (e) tidak tertarik oleh tipu daya dunia.
Ringkasnya, qana'ah itu sebenarnya bersangkutan dengan sikap hati dalam menghadapi apa yang dimiliki atau apa yang menimpa. Seseorang yang berqana'ah tidak lupa daratan apabila beruntung dan tidak tamak dan rakus terhadap habuan duniawi. Apabila menghadapi kerugian, ia tidak kacau bilau, susah dan gelisah atau putus asa. Begitulah juga apabila ia menghadapi kemiskinan material. Pentingnya sifat qana`ah ini jelas terbukti dari Hadith-hadith berikut.
"Berbahagialah sesiapa yang mendapat petunjuk untuk masuk Islam, sedang keadaan hidupnya sederhana tetapi qana'ah" (Riwayat Tarmizi).
"Qana'ah itu umpama harta yang tidak habis dan perbendaharaaan yang tidak susut" (Riwayat Thabarani).
"Sesiapa yang mengutamakan akhiratnya, Allah akan memelihara urusannya dan memurahkan hatinya, sehingga dunia dan kemewahannya datang bergolek tanpa dikejar. Dan sesiapa yang mengutamakan dunianya, Allah akan memporak-perandakan urusannya serta ditampakkan kepapaan di hadapan matanya, sedangkan dunia dan kemewahannya tidak akan mendatanginya, melainkan sekadar apa yang ditentukan Tuhan saja" (Riwayat Tarmizi).
Mengikut Imam Ghazali (1990:551-553), sifat qana`ah ini mestilah dimiliki oleh orang-orang fakir agar mereka tidak tamak kepada harta benda orang lain, atau menginginkan sesuatu yang ada dalam tangan orang lain itu. Pokok kepada sifat qana'ah ialah sentiasa hidup berekonomi atau beriktisad dalam segala hal dan sentiasa bersikap sederhana dalam perbelanjaan. Dalam sifat qana'ah itu terlukis kemuliaan diri, sehingga ia tidak mengharapkan sesuatu selain dari Allah SWT. Tiang utama kepada sifat qana'ah ialah sabar.
Zuhud pula, mengikut istilah syara', bererti mengambil barang yang halal setelah meyakini kehalalannya dalam kadar yang perlu sahaja. Pengertian zuhud begini dipakai oleh Arifin Billah, yakni orang-orang yang telah dekat dengan Allah SWT. Zuhud yang lebih tinggi ialah zuhud para Muqarrabin, yakni mereka yang memandang segala-gala yang dicipta Allah SWT itu tidak penting, kecuali Zat Allah SWT sahaja. Segala dunia dan isinya bagi mereka adalah tidak penting, termasuk syurga dan segala kenikmatannya. Yang ditumpukan mereka ialah mencapai matlamat ulung, yakni untuk sampai kepada Allah SWT dan mendekatkan diri kepada-Nya (Ibnu Hajar, t.t.:.231). Ada zuhud yang wajib, iaitu berzuhud dalam perkara-perkara yang haram, atau memaksa diri meninggalkannya. Dalam perkara-perkara yang syubhat pula, dihukumkan harus, atau pada setengah qaul, juga dihukumkan wajib (Syed Ahmad Semait 1996b:541-542).
Mengikut Imam Nawawi (t.t:84) pula, erti zuhud di dunia ialah membelakangi segala yang diperlukan diri dari mata benda dunia, meskipun mata benda itu telah jelas halalnya. Yang diambilnya hanyalah sekadar keperluan yang terhad untuk meneruskan hidup. Sewaras-waras pemikiran yang dipunyai manusia, kata Imam Nawawi, ialah pemikiran para zuhhad (orang-orang yang melengkapi diri dengan sifat zuhud), kerana mereka hanya memilih apa yang dicintai oleh Allah SWT, dan meninggalkan apa yang dibenci-Nya tanpa terpengaruh walau sedikit pun tentang habuan dunia dan kemewahannya.
Sebenarnya, zuhud bukanlah bererti meninggalkan dunia sama sekali, tetapi sebaliknya mengambil daripadanya sekadar keperluan, tidak kira berapa banyak sekalipun. Apabila sesuatu barang itu dipandang perlu, maka tetaplah hukumnya harus asalkan tidak berlebih-lebihan (Syed Ahmad Semait 1996b:558). Imam Ghazali (1990:768) menegaskan bahawa zuhud yang sebenar bukanlah membenci wang ringgit dan berpakaian cumpang camping, tetapi adalah berzuhud dari kemewahan hidup dan bebas dari kesenangan yang dituntut oleh jiwa. Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Zuhud di dunia itu bukanlah dengan mengharamkan yang halal atau mensia-siakan harta. Tetapi zuhud di dunia yang sebenarnya, ialah jangan sampai anda merasakan apa yang ada di dalam tanganmu itu lebih utama dari apa yang ada di tangan Allah" [31].
Ringkasnya, zuhud itu bolehlah dikatakan sebagai satu keputusan untuk membenteras jiwa dari segala rupa kesenangan sambil melangkah kepada yang lebih baik, iaitu dengan meninggalkan yang tidak baik kepada yang lebih baik (Imam Ghazali (1990:767). Secara umum, sifat zuhud ini bolehllah dibahagi kepada tiga kategori (Syed Ahmad Semait 1996b:546-548):
1. Benar dan kukuhnya keyakinan diri kepada Allah SWT kerana Allahlah yang telah menjamin rezeki kepada sekelian hamba-Nya dengan bukti-bukti yang kuat tersebut di dalam Al-Qur'an dan Hadith. Rasulallah s.a.w bersabda: "Barangsiapa yang bercita-cita hendak menjadi orang yang paling kaya, hendaklah ia meyakini bahawa apa yang ada di tangan (sisi) Tuhan itu lebih utama dari apa yang ada dalam tangannya sendiri" [32].
2. Sempurna keyakinannya dalam serba serbi.
3. Rendahnya darjat dan pangkat manusia di dalam hatinya, kerana tempatnya telah terpenuhi oleh kecintaan Allah SWT. Mereka sentiasa mengutamakan keredhaan orang lain, dan tidak pernah menganggap dirinya lebih tinggi.
Setengah para salaf apabila ditanya apakah seorang yang memiliki harta itu boleh dinamakan zahid? Jawabnya: "Ya, seandainya ia tiada merasa gembira ketika hartanya bertambah, atau berduka ketika hartanya berkurang".
Dalam Hadith mursal, dikatakan ada orang bertanya kepada Rasulallah s.a.w katanya:
"Duhai Rasulallah, siapakah orang yang amat zahid itu? Jawab Baginda: "Siapa yang tidak pernah melupakan kubur dan kebinasaan. Dia bersedia meninggalkan perhiasan hidup dunia, kerana lebih mengutamakan hidup yang kekal dari hidup yang fana. Dia tidak pernah menganggap hari esok itu harinya, kerana ia telah mengira dirinya mati" [33].
Tanda-tanda orang zuhud, mengikut Imam Ghazali (1990:768) ialah:
1. Tidak terlalu gembira jika mendapat sesuatu, dan tidak terlalu bersedih jika kehilangan sesuatu. Padanya kedua-duanya itu sama belaka. Allah SWT berfirman: "(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri" (Al-Hadiid 57:23).
2. Sentiasa memandang sama kepada orang yang memuji dan mencelanya.
3. Sentiasa merasa tenang ketika berhadapan dengan Allah Ta'ala, dan hati sangat cinta membuat amal taat.
Di samping itu, sekurang-kurangnya terdapat empat peranan zuhud, seperti berikut:
1. Zuhud sebagai kaedah atau jalan terbaik manusia berjaya melepasi ujian Allah SWT dalam bentuk kemewahan dunia. Allah SWT menjadikan dunia dan isinya untuk manusia. Manusia yang tidak tergoda dengan dunia ini kerana sifat zuhudnya dan tetap dekat dengan Allah SWT dianggap berjaya melepasi ujian ini. Allah SWT berfirman:
"Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji mereka, siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya" (Al-Kahfi 18:7).
"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga)" (Ali Imran 3:14).
Tetapi pada masa yang sama, Alah SWT mengingatkan:
"Katakanlah: Kesenangan di dunia ini hanya sebentar dan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertakwa dan kamu tidak akan dianiaya sedikit pun" (An-Nisaa' 4:77).
"Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu dan takutlah suatu hari yang (pada hari itu) seorang bapak tidak akan dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapaknya sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan jangan (pula) penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam (mentaati) Allah" (Luqman 31:33).
"Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengkagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu" (Al-Hadid 57:20).
"Sesungguhnya perumpamaan kehidupan duniawi itu, adalah seperti air (hujan) yang Kami turunkan dari langit, lalu tumbuhlah dengan suburnya kerana air itu tanam-tanaman bumi, di antaranya ada yang dimakan manusia dan binatang ternak. Hingga apabila bumi itu telah sempurna keindahannya, dan memakai (pula) perhiasaannya, dan pemilik-pemiliknya mengira bahawa mereka pasti menguasainya, tiba-tiba datanglah kepadanya azab Kami di waktu malam atau siang, lalu Kami jadikan (tanaman-tanamannya) laksana tanam-tanaman yang sudah disabit, seakan-akan belum pernah tumbuh kelmarin. Demikianlah Kami menjelaskan tanda-tanda kekuasaan (Kami) kepada orang-orang yang berfikir" (Yunus 10:24).
Rasulullah s.a.w. juga mengingatkan:
"Mencintai dunia adalah pokok segala kesalahan".
"Sesungguhnya dunia itu indah dan menawan hati, dan bahawasanya Allah Ta'ala menjadikan kamu sebagai orang-orang yang mewarisinya, maka Dia sentiasa memerhatikan apa yang kamu lakukan" [34].
2. Zuhud sebagai penyebab mendapat cinta Allah SWT dan orang ramai:
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Daripada Abul Abbas, Sahel bin Sa`ad As-Sa'idi radhiallahu-anhu berkata: "Telah datang seorang lelaki kepada Nabi s.a.w seraya berkata: "Ya Rasulallah! Tunjukkanlah aku suatu amalan, jika aku kerjakannya, niscaya aku dicintai Allah, dan dicintai orang ramai. Bersabda Rasulallah s.a.w: "Berlaku zuhudlah di dunia, niscaya engkau dicintai Allah. Berlaku zuhudlah pada apa yang ada di tangan manusia [35], niscaya engkau dicintai orang ramai" [36].
3. Zuhud sebagai salah satu cara mengikhlaskan diri kepada Allah SWT:
"Berkata Ka'ab r.a. bahawasanya Nabi s.a.w telah bersabda: Allah SWT telah berfirman: "Wahai Musa! Sesungguhnya tiada sesuatu hal yang dilakonkan oleh orang-orang yang beramal kepada-Ku di dunia seperti berlaku zuhud (pada matabenda dunia), dan tiadalah sesuatu perbuatan untuk mendekatkan diri kepada-Ku yang dilakukan oleh mereka yang bertaqarrub seperti berlaku wara' terhadap segala yang telah Ku haramkan ke atas mereka, dan tiadalah sesuatu perbuatan yang disembahkan oleh mereka yang beribadat kepada-Ku seperti meratapi diri dan menangis kerana takut kepada-Ku" [37].
Berdasarkan kepada Hadis Qudsi di atas, zuhud merupakan sifat orang yang beramal kepada Allah SWT. Syed Ahmad Semait (1996a:473-475), dalam mengulas Hadith Qudsi ini berkata, zuhud merupakan salah satu dari tiga perkara penting bagi mereka yang ingin mengikhlaskan amalnya kepada Allah SWT dan menyerahkan sepenuh jiwa raganya terhadap Tuhan yang telah mewujudkannya [38]. Rasulullah s.a.w bersabda:
"Zuhud di dunia itu, hendaklah dengan menganggap segala yang ada di dalam tanganmu itu tiada berharga sama sekali, bila dibandingkan dengan apa yang ada di sisi Allah SWT dan hendaklah anda memandang sesuatu musibah yang menimpa anda itu lebih anda sukai sehingga kalau boleh biarlah ia kekal terus saja, kerana menginginkan pahala yang disediakan oleh Allah SWT ke atasnya" [39].
Mengikut Syed Ahmad Semait (1996a:474), apa yang dimaksudkan dengan benda yang ada di dalam tangan itu bukan sahaja harta dan kekayaan semata, malah apa saja termasuk makan-minum dan pakai atau rezeki dan kurnia Allah SWT sehari-hari kepada manusia. Itu semua harus diserahkan kepada orang lain, jika ada yang memerlukan. Apa yang harus direbut ialah pahalanya yang dijanjikan Allah SWT. Dengan lain perkataan, yang menjadi nilai dan penekanan ialah pahala, yakni keuntungan di akhirat, dunia kekal abadi, bukan benda-benda tangible yang sementara di dunia ini. Musibah juga merupakan peluang mendapat pahala dan peningkatan darjat di sisi Allah SWT.
4. Zuhud sebagai punca lahirnya sifat-sifat terpuji yang lain, umpamanya sifat murah hati. Imam Ghazali (1990:766) misalnya berkata:
"Bukankah kikir itu buahnya cinta kepada dunia, dan murah hati itu buahnya zuhud? Memuji buah adalah memuji kepada yang membuahkannya, iaitu Zat Allah SWT".
Kerana besarnya peranan zuhud, Rasulallah s.a.w bersabda:
"Berzuhudlah dalam urusan dunia, nescaya Allah akan mencintaimu. Dan berzuhudlah kepada apa yang ada dalam tangan manusia, nescaya mereka akan mengasihmu" [40].
Zuhud, mengikut Syed Ahmad Semait (1996b:551-554), tidak hanya terhad kepada golongan miskin sahaja atau hanya kepada golongan kaya semata-mata. Sebaliknya ia boleh diertikan dengan dua cara, yakni zuhud orang yang berada, dan zuhud orang yang berhajat (miskin). Orang berada patut berzuhud untuk mengelak dari sifat tamak yang boleh membawa kepada sifat-sifat terkeji yang lain, seperti tidak qana'ah (dan oleh itu merasa tidak cukup dengan apa yang ada dan mahu tambahan dalam serba serbi), hasad dengki (apabila orang lain melebihi mereka hingga mungkin cuba mengambil yang dihajatinya dari tangan orang berkenaan) dan sebagainya.
Hassan Al-Basri berkata:
"Seseorang itu tetap dikira pemurah terhadap manusia lain selagi ia tidak tamakkan apa yang ada dalam tangan orang lain. Manakala ia mula tamakkan hak orang, maka kala itulah namanya akan dicemar, ia akan dibenci dan semua tutur bicaranya tidak akan dihargai lagi" [41].
Ibnu Salam bertanya kepada Ka'ab, ketika mereka bersama-sama dalam majlis Khalifah Umar Ibnul-Khattab, katanya:
"Apakah yang menyebabkan terhapusnya ilmu pengetahuan dari hati para ulamak, padahal mereka telah berpenat lelah menghafalkannya dan mendalaminya?" Jawab Ka`ab: "Tamak dan jiwa yang rakus, yang suka meminta-minta hajat dan keperluan diri kepada manusia". Ujar Ibnu Salam lagi: "Memang benar katamu itu!" [42].
Seorang Badwi (A`rabi) bertanya kepada penduduk Basrah:
"Siapakah penghulu kamu?" Jawab mereka: "Al Hassan Al-Basri". Tanya Badwi lagi: "Apa yang menyebabkan kamu memilihnya menjadi penghulu?" Jawab mereka: "Orang ramai berhajat kepada ilmunya, sedangkan ia tidak kepingin kepada dunia (harta) mereka!" Komen Badwi: "Ya, itu memang baik sekali" [43].
Abu Sulaiman berkata:
"Usman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf laksana khazanah Tuhan di bumi, keduanya membelanjakan hartanya pada jalan Allah dan segala urusannya bertujuan semata-mata kerana Allah saja" [44].
Orang yang berhajat atau orang miskin pula patut berzuhud agar tidak dicaci atau dibenci orang, kiranya barang yang dipinta itu tidak mahu diberi orang. Jika orang itu memberi, jadilah ia sebagai menerima budi, sedangkan budi itu sering menjadi seseorang itu rendah dalam pandangan orang lain. Apatah lagi kalau tabiatnya suka meminta-minta, sama ada dalam masa hajat atau tidak. Ini sangat-sangat ditegah.
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Barangsiapa meminta-minta, sedangkan ia tidak perlu, maka sebenarnya ia telah mengumpulkan bara api Jahannam. Barangsiapa yang meminta-minta, sedangkan yang ada padanya sudah mencukupi, ia akan datang pada Hari Kiamat nanti dengan wajahnya yang tinggal tulang semata, tidak ada daging lagi"[45].
"Adalah permintaannya tanpa hajat itu menyebabkan wajahnya bercalar-balar dan bergaris-garis" [46].
Ini menunjukkan bahawa meminta-minta tanpa hajat itu adalah haram dan dilarang keras. Rasulullah s.a.w menganjurkan agar berzuhud pada apa yang ada dalam tangan orang lain, sehingga apabila diberikan kepadanya tanpa permintaan, barulah boleh diterima. Itu pun jika memang diperlukan dan berhajat kepadanya. Jika apa yang ada di dalam tangannya sudah mencukupi dan dapat menutup keperluannyha, maka hendaklah ia tidak menerima pemberian itu (Syed Ahmad Semait 1996b:553). Inilah sifat ahlus-suffah (orang-orang miskin zaman Rasulallah s.a.w.). Allah memuji orang yang bersikap demikian melalui firman-Nya:
"(Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di muka bumi; orang yang tidak mengetahui menyangka mereka orang kaya kerana memelihara diri dari meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui" (Al-Baqarah 2:273).
Rasulullah s.a.w. pula bersabda:
"Sesungguhnya Allah Ta'ala mengasih-sayangi seorang miskin yang tidak suka meminta-minta, sedangkan ia mempunyai anak yang banyak" [47].
"Barangsiapa yang meminta-minta padahal ia tiada memerlukan, maka sebenarnya ia telah meminta bara api (neraka). Terserahlah sama ada dia mahu sedikit atau pun banyak" [48].
Yang mesti diminta bukan kepada manusia, tetapi sebaliknya ialah kepada Allah SWT yang menjamin rezeki setiap makhluknya yang berusaha. Firman Allah SWT:
"Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh mahfuzh) [49] " (Huud 11:6).
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sebaik-baik (halal) yang boleh dimakan oleh seseorang ialah hasil usahanya" [50].
Dari penghuraian di atas, adalah sangat jelas akan betapa pentingnya sifat-sifat terpuji seperti qana'ah dan zuhud ini dalam mengurus kemiskinan. Sifat-sifat ini tidak mungkin dapat dimiliki kecuali meningkatnya iman dan taqwa. Iman dan taqwa pula tidak mungkin dapat meningkat kecuali dimensi kerohanian menjadi penekanan utama di dalam usaha mengurus kemiskinan. Walaubagaimana pun, ini tidak bererti bahawa Islam mengabaikan pengurusan kemiskinan yang ada kena mengena dengan hal-ehwal material. Malah sebaliknya, Islam menyediakan pelbagai mekanisme yang boleh digunakan dalam mengurus kemiskinan material ini. Antaranya ialah sebagaimana yang dibincang di dalam bahagian berikut ini.
Pengurusan Kemiskinan Material
Pada dasarnya, hukum kemiskinan material di dalam Islam adalah harus. Walau bagaimanapun, Islam mensyaratkan dengan serius agar kemiskinan material itu tidak sampai mencacatkan agama, anggota dan nyawa seseorang. Dalam ertikata lain, Islam membenarkan kemiskinan material selagi orang-orang miskin tidak terhina dan hilang kemanusiaannya. Sekiranya kemiskinan material memberikan impak yang negatif kepada seseorang terutama terhadap agama maka hukum kemiskinan tersebut terbahagi kepada dua. Apabila kemiskinan tersebut berpunca daripada sifat malas untuk berusaha maka hukumnya adalah haram. Sebaliknya kemiskinan yang berlaku kerana faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan seperti tidak dapat berkerja kerana memberi sepenuh tumpuan kepada urusan perjuangan di jalan Allah SWT, kecacatan anggota, ditimpa bencana atau usaha-usahanya tidak berhasil maka hukumnya tidak berdosa. Walau bagaimanapun, ia perlu bersabar dan tidak mengeluh di atas ketentuan tersebut. Golongan yang ditimpa kemiskinan kerana faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan ini sebenarnya menjadi tanggungjawab kepada orang-orang kaya untuk membantu mereka. Ini dinyatakan melalui firman Allah SWT yang bermaksud:
“(Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah, mereka yang tidak dapat berusaha di bumi, orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana memelihara diri dari meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa sahaja harta yang baik, yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.” (Al Baqarah 2: 273).
Untuk tujuan itu, Islam menyediakan satu sistem pengurusan kemiskinan material yang dinamik. Di dalam Islam, terdapat sekurang-kurangnya tiga kaedah mengurus kemiskinan material. Kaedah-kaedah tersebut dinamakan kaedah wajib, kaedah wajib mendatang (aradhi) dan kaedah sunat. Bagi setiap kaedah terdapat mekanisme-mekanisme yang telah dibentangkan syariat. Carta 1 berikut menunjukkan mekanisme-mekanisme bagi setiap kaedah pengurusan kemiskinan tersebut.
Carta 1: Mekanisme-Mekanisme Pengurusan Kemiskinan Material Secara Islam
Kaedah Pertama: Kaedah Wajib
Sebagaimana yang ditunjukkan di dalam Carta 1, terdapat empat mekanisme pengurusan kemiskinan material di bawah kaedah wajib. Wajib bermaksud satu kemestian untuk dilaksanakan. Empat mekanisme pengurusan kemiskinan material di bawah kaedah wajib ini ialah zakat, al fay’, ghanimah dan rikaz. Keempat-empat mekanisme tersebut memerlukan campurtangan penguasa negara atau kerajaan di dalam sesebuah negara Islam untuk memastikan pengurusan pengagihan harta-harta tersebut dijalankan mengikut syariat yang telah ditetapkan.
1. Zakat
Zakat bererti kewajipan mengeluarkan harta oleh golongan kaya kepada golongan yang telah ditentukan oleh syariat menurut kadar yang ditetapkan. Orang kaya di sini bermaksud orang yang memiliki lebih daripada keperluan asasnya. Golongan (asnaf) yang berhak ke atas zakat pula terdiri dari lapan golongan, yakni orang-orang fakir, orang-orang miskin, muallaf (orang yang baru menganut agama Islam dan ingin dipujuk hatinya), hamba abdi, gharim (orang yang dibebani dengan hutang), Ibnu sabil (orang yang bermusafir bukan kerana tujuan maksiat), orang yang jihad fisabilillah (berjuang pada jalan Allah) dan para amil (orang yang ditugaskan oleh penguasa atau pemerintah untuk menguruskan zakat).
Hukum mengeluarkan zakat adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang cukup syarat-syaratnya. Di antara dalil Al Qur'an dan Hadith mengenai kefardhuan ibadah zakat ialah:
“… maka dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat…” (Al Hajj 22: 78).
“… terangkanlah kepada mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka solat lima kali sehari semalam. Kalau mereka telah mentaatinya, ajarkanlah bahawa Allah memerntahkan kepada mereka supaya membayar zakat harta mereka dan diberikan kepada orang-orang miskin” (Riwayat Al Bukhari)[51].
Orang-orang yang meninggalkan ibadah zakat atau menunda pengeluaran zakat sedangkan kesempatan untuk membayarnya sudah ada dikira berdosa. Beratnya tuntutan zakat ke atas orang-orang kaya diperlihatkan oleh Sayidina Abu Bakar r.a. apabila beliau memerangi orang-orang yang engkar membayar zakat pada zaman pemerintahan beliau [52]. Selain itu, keengganan Qarun pada zaman Nabi Musa a.s. dan Tsa’labah bin Hatib pada zaman Rasulallah s.a.w membayar zakat juga merupakan titik tolak kekufuran kedua-dua mereka ini kepada Allah dan Rasul-Nya (Muhammad Syukri Salleh, 2000: 48).
Secara asasnya, ibadah zakat dilaksanakan kerana dua tujuan utama. Pertama, untuk menguji manusia agar menunjukkan ketaatan sepenuhnya kepada Allah dengan melakukan setiap perintah-Nya. Demi menunaikan ketaatan, setiap perintah mesti dilaksanakan sekalipun akal tidak dapat memikirkan erti di sebalik perintah tersebut. Contohnya, sukar untuk dimengerti kenapa ada kadar dan nisbah tertentu bagi setiap jenis zakat. Begitu juga, tidak mudah untuk mencari rahsia kenapa hanya lapan asnaf yang disebutkan di atas sahaja yang berhak menerima zakat.
Tujuan ibadah zakat yang kedua pula ialah untuk memenuhi kepentingan atau manfaat manusia lain terutamanya golongan fakir dan miskin. Allah menjadikan golongan fakir dan miskin untuk dipertanggungjawabkan kebajikan mereka kepada orang-orang kaya. Pada harta orang-orang kaya itu sebenarnya ada bahagian yang menjadi hak orang-orang fakir dan miskin. Orang-orang kaya hanya sebagai perantara dan oleh itu mesti menyampaikan harta itu kepada yang empunya hak.
Selain itu, disebabkan zakat secara khususnya diambil daripada orang-orang kaya dan berharta maka ia juga merupakan satu sistem untuk menghasilkan pengagihan yang saksama di dalam Islam. Tentang ini Allah berfirman di dalam Al Qur'an yang bermaksud:
“…supaya jangan harta itu beredar antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu” (Al Hasyr 59: 7).
Namun begitu, walaupun berzakat itu wajib bagi orang-orang kaya, ianya tidak pula wajib diterima oleh kelapan-lapan asnaf yang telah ditetapkan. Pada zaman Khalifah Sayidina Umar Abd Aziz misalnya, hasil kutipan zakat yang dikumpul oleh Baitul Mal terlalu banyak. Namun para amil terpaksa memulangkan kembali zakat tersebut kepada Baitul Mal kerana tidak menemui orang yang berada di dalam kesusahan sehingga perlu kepada bantuan zakat.
Tetapi ini tidak bererti bahawa pada ketika itu tidak ada asnaf yang berhak menerima zakat. Peristiwa utusan Khalifah Sayyidina Umar Abdul Aziz bernama Yahya Ibn Sa`id membeli hamba dan memerdekakan mereka setelah gagal menemui asnaf zakat yang mahu menerima zakat yang telah disebut sebelum ini merupakan salah satu bukti. Hamba yang hendak dimerdekakan itu sendiri sebenarnya merupakan salah satu asnaf zakat.
Kemakmuran yang dicapai pada zaman Sayidina Umar Abdul Aziz ini antara lain digambarkan melalui hasil kutipan zakat yang melimpah ruah. Namun ini tidak bermakna fenomena kemiskinan material tidak berlaku pada zaman beliau. Khalifah Sayidina Umar Abdul Aziz sendiri hidup di dalam kemiskinan dan serba kekurangan. Walaupun beliau merupakan ketua kerajaan bagi sebuah empayar yang terkuat pada zaman itu, perbelanjaan harian beliau hanyalah dua dirham sahaja. Pernah beberapa ketika beliau lewat menghadiri sembahyang Jumaat kerana menunggu jubahnya yang tunggal kering sesudah dibasuh. Pada beberapa waktu lain anak-anak beliau terpaksa memakan bawang sahaja kerana tiada terdapat makanan lain di dalam simpanan (Abul Al Hasan Nadwi, 1998: 7).
Wujudnya orang-orang miskin pada zaman Sayidina Umar Abdul Aziz juga telah digambarkan oleh seorang ketua kabilah yang berkata bahawa "orang-orang miskin cukup terjamin” sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini. Kata-kata ini jelas mempamirkan wujudnya orang-orang miskin di Kota Madinah pada zaman pemerintahan Sayidina Umar Abdul Aziz itu. Namun begitu keadaan orang-orang miskin ini adalah cukup terjamin dan oleh itu tidak merasakan perlunya mereka kepada zakat. Mereka hidup dalam keadaan makmur sekalipun berada di dalam kemiskinan material. Mereka sentiasa menyembunyikan keperluan mereka serta tidak mengeluh akan keadaan susah yang menimpa sehingga amat sukar untuk mengenalpasti mereka yang miskin ini. Sebaliknya golongan kaya pula sangat mengharap agar si miskin menerima zakat yang ingin dikeluarkan.
Perlaksanaan zakat pada zaman kegemilangan Islam berlaku dengan begitu cekap sama ada dari segi pemungutan atau pengagihannya. Setiap golongan yang kaya merasa bertanggungjawab untuk menunaikan hak orang-orang miskin dengan cara mengeluarkan zakat hartanya. Manakala di peringkat pengagihan pula orang-orang yang ditugaskan merasa bertanggungjawab mencari golongan miskin yang boleh diberikan bantuan zakat kepada mereka.
2. Al Fay’
Selain zakat, syariat Islam juga mengkhususkan sumber harta al fay’ untuk orang-orang fakir dan miskin. Al fay’ adalah harta yang diperolehi oleh kerajaan Islam daripada musuh-musuh Islam (dar al-harb) dengan jalan damai (http://www.vlib. unitarklj1.edu.my/staff-publications/datuk/). Hak orang-orang miskin ke atas harta-harta al fay’ ini dinyatakan di dalam Al Qur'an yang bermaksud:
“Apa yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya sebagai harta rampasan dari penduduk negeri-negeri itu adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat (baginda) anak-anak yatim piatu, orang-orang miskin dan orang yang di dalam perjalanan“ (Al Hasyr 59: 7).
3. Al Ghanimah
Al Ghanimah merupakan harta rampasan yang diperolehi daripada musuh-musuh melalui jalan peperangan. Sebahagian daripada harta ghanimah ditetapkan oleh syariat sebagai hak untuk orang-orang miskin (http://www.vlib.unitarklj1.edu.my/ staff-publications/datuk/). Ini dinyatakan oleh Al Qur'an di dalam ayat berikut:
“Dan hendaklah kamu ketahui bahawa apa-apa yang dapat kamu rampas dalam peperangan, sesungguhnya seperlima untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat baginda, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang di dalam perjalanan” (Al Anfaal 8: 41).
Setelah Baginda Rasulullah s.a.w. wafat, Khalifah Sayidina Abu Bakar r.a. telah bertindak melalui ijtihad beliau untuk menggugurkan hak bahagian Rasulullah s.a.w. dan kaum kerabat Baginda ke atas harta al fay’ dan ghanimah. Ini menjadikan pembahagian harta tersebut disalurkan kepada tiga golongan yang berhak iaitu anak-anak yatim, orang-orang yang di dalam perjalanan dan orang-orang miskin.[53]
4. Rikaz
Selain sumber harta daripada zakat, al fay’ dan ghanimah yang wajib diserahkan sebahagiannya kepada golongan fakir miskin, terdapat satu lagi sumber harta yang dikenali sebagai rikaz. Rikaz adalah harta tinggalan orang-orang dahulu yang di dapati terpendam di dalam bumi atau di dapati di atas tanah yang tidak mempunyai pemilik. Orang yang menjumpai harta tersebut wajib mengiklankan atau mengumumkan mengenai harta tersebut kepada orang ramai. Sekiranya tidak ada yang menuntutnya, maka 80% daripada harta rikaz tersebut menjadi milik orang yang menjumpainya manakala baki 20% lagi dibahagi-bahagikan kepada golongan sepertimana yang terdapat di dalam pembahagian harta al fay’ dan ghanimah (Hailani Muji Tahir, 1988: 18).[54]
Kaedah Kedua: Kaedah Wajib Aradhi
Wajib aradhi merupakan sesuatu perlaksanaan yang pada hukum asalnya tidak wajib tetapi kemudiannya menjadi wajib kerana berlaku satu keperluan semasa yang tidak dapat dipenuhi melainkan dengan melaksanakan perkara tersebut. Terdapat lima mekanisme pengurusan kemiskinan harta di bawah kaedah wajib aradhi. Mekanisme-mekanisme tersebut adalah Qardhul Hassan, Al Mudharabah, Waqaf (Al Awqaf), Wasiat dan Faraid.
1. Qardhul Hassan
Qardhul Hassan merupakan sejenis pembiayaan hutang. Di dalam pinjaman secara Qardhul Hassan ini, orang yang memerlukan sumber kewangan seperti golongan fakir dan miskin boleh berhutang daripada seseorang. Beliau hanya perlu membayar semula jumlah wang yang dihutang sahaja, tanpa dikenakan sebarang syarat untuk bayaran tambahan. Berasaskan kepada konsep inilah Qardhul Hassan dikenali juga sebagai pinjaman kebajikan. Melalui prinsip Qardhul Hassan ini, golongan fakir dan miskin mendapat kemudahan sumber kewangan untuk membiayai keperluan asas kehidupan harian mereka.
Di dalam prinsip Qardhul Hassan, pemiutang atau pihak yang memberi hutang tidak mendapat sebarang pulangan material daripada pinjaman yang telah diberikan.
Pemberian pinjaman tersebut lebih bertujuan untuk membantu golongan yang sedang di dalam kesempitan selain bertujuan menguatkan silaturrahim dan kasih sayang di antara golongan kaya dengan golongan miskin. Islam juga memberikan ganjaran pahala yang besar kepada pemberi hutang bahkan melebihi daripada pahala sedekah. Pemberian sedekah diberikan kepada orang yang tidak berhajat sedangkan pemberian hutang diberikan kepada orang yang berhajat.
Secara prinsipnya, Qardhul Hassan bermaksud aqad yang memindahkan hak milik tuan punya hutang kepada pihak yang berhutang. Pihak yang berhutang wajib membayar balik jumlah wang atau barang yang dihutang sama dengan yang diterimanya semasa aqad apabila sampai tempoh yang telah ditetapkan. Rukun perlaksanaan Qardhul Hassan ada empat iaitu pemberi hutang, penerima hutang, barang yang dihutang dan sighah iaitu ijab dan qabul. Kesemua rukun-rukun tersebut mempunyai syarat-syarat yang ditetapkan oleh syariat dan perlu dipenuhi bagi menentukan sah atau tidaknya perlaksanaan Qardhul Hassan tersebut.
Pada dasarnya, hukum memberi hutang adalah harus. Namun apabila seseorang itu berhajat kepada sesuatu yang dharuriyah yakni berhajat kepada salah satu daripada keperluan asas individu dan beliau tidak mempunyai jalan lain selain daripada berhutang, maka menjadi kewajipan golongan kaya untuk membantu. Ini berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Dan telah berkata Nabi Isa a.s. ‘Barangsiapa menolak seorang peminta dalam keadaan kecewa, maka malaikat tidak akan memasuki rumah itu selama tujuh hari" (Imam Al Ghazali, 1995: 175).
"Telah rosak binasalah orang yang mengumpulkan harta kekayaan, kecuali orang yang mebelanjakannya kepada hamba-hamba ALLAH (orang yang berhajat kepadanya) begini… dan begini… (menunjukkan kadarnya), dan orang-orang yang seumpama ini adalah sedikit sekali” (Imam Ghazali, 1978: 546).
Pemberi hutang diberikan ganjaran yang besar di sisi Islam kerana hutang di dalam Islam tidak dipinta kecuali oleh orang yang berhajat (Imam Ghazali, 1978: 762). Walau bagaimanapun, Islam menggalakkan umatnya agar seboleh-bolehnya menjauhkan diri daripada berhutang kerana ia boleh mendatangkan kecelaan dan kehinaan. Ini dapat digambarkan melalui hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, daripada Anas, daripada Rasulullah s.a.w. di dalam doanya beliau menyebut:
"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kesusahan dan kesedihan, daripada kelemahan dan kemalasan, daripada kebaculan dan kebakhilan dan daripada beratnya hutang dan penindasan orang" (Muttafaqun ‘alaih).
Rasulullah s.a.w. pernah enggan untuk bersembahyang jenazah ke atas mayat yang meninggal dunia sebelum menjelaskan hutang sehinggalah mayat itu dijamin oleh sesiapa yang hadir untuk dibayar hutangnya.[55] Peristiwa ini menggambarkan betapa besar bebanan dan tanggungjawab yang dipikul oleh orang yang berhutang untuk menjelaskan hutang yang ditanggung. Ini kerana hukum membayar balik hutang adalah wajib. Namun begitu, Islam sebagai agama yang sejahtera juga menggalakkan pemberi hutang tidak menuntut pembayaran balik hutang yang telah diberikan. Bahkan sekiranya hutang tersebut disedekahkan terus kepada si penghutang itu adalah lebih baik. Mengenai pembayaran balik hutang ini Allah berfirman di dalam Al Quran yang bermaksud:
“Dan sekiranya dia (orang yang berhutang) dalam kesempitan hendaklah kamu tunggu (tangguhkan) hingga ia mempunyai kelapangan (boleh membayarnya); dan kalau kamu sedekahkan (ketinggalan hutang), itu adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui" (Al Baqarah 2: 280).
Di dalam menjelaskan hutang secara Qardhul Hassan pula, pembayaran balik boleh dibuat lebih daripada jumlah yang dihutang mengikut budi bicara orang yang berhutang tetapi dengan syarat ia bukan merupakan ketetapan atau perjanjian yang dikenakan di dalam aqad hutang. Lebihan atau saguhati itu mesti merupakan pemberian ikhlas daripada penghutang sebagai tanda penghargaan kepada pemberi hutang. Saguhati tersebut adalah halal dan ia bukan merupakan riba kerana ia tidak disyaratkan di dalam aqad oleh pemberi hutang.
2. Al Mudharabah
Al Mudharabah merupakan sejenis pembiayaan modal. Di dalam prinsip al mudharabah golongan yang mempunyai sumber kewangan mengalirkan modal kepada golongan yang tidak mempunyai modal tetapi mempunyai tenaga keusahawanan untuk memanfaatkan modal tersebut di dalam sesebuah projek. Takrif mudharabah adalah akad di antara dua orang yang mengandungi penyerahan harta oleh seorang kepada seorang lain yang bergelar pengusaha untuk memanfaat modal tersebut di dalam sesuatu perusahaan. Keuntungan daripada perniagaan tersebut dikongsi di antara pemodal dan pengusaha mengikut nisbah yang telah dipersetujui. Model ringkas mengenai perlaksanaan prinsip al mudharabah ditunjukkan di dalam Carta 2.
Carta 2: Pembiayaan Modal Di bawah Prinsip Al Mudharabah
Melalui prinsip al mudharabah ini, golongan fakir dan miskin terutamanya yang mempunyai kepakaran dan pengalaman di dalam bidang perniagaan, perindustrian atau pertanian memperolehi modal untuk menjalankan perusahaan mereka. Kerjasama dan perkongsian melalui prinsip al mudharabah ini menghasilkan hubungan dinamik di antara orang-orang kaya yang mempunyai harta yang boleh dijadikan modal tetapi tiada kepakaran di dalam perusahaan dengan golongan fakir dan miskin yang tidak mempunyai modal untuk perusahaan mereka. Perlaksanaan mudharabah juga mengelakkan wang yang beredar ke tengah masyarakat daripada menjadi beku kerana tidak diusahakan.
Mudharabah yang juga dikenali sebagai Al Qiradh dalam fiqah Islam merupakan amalan perkongsian yang dilaksanakan sejak zaman Jahiliyah [56] lagi. Ia pernah dilaksanakan sendiri oleh Nabi Muhammad s.a.w. sebelum beliau dilantik menjadi Rasul. Rasulullah bermudharabah dengan Siti Khadijah di dalam menjalankan perdagangan di antara Mekkah dan Syam (kini dikenali sebagai Syria).
Siti Khadijah yang bertindak sebagai pemodal telah mengamanahkan harta-harta perniagaan beliau untuk diusahakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Keusahawanan Rasulullah s.a.w serta sifat-sifat amanah, jujur dan kebijaksanaannya di dalam perniagaan telah menghasilkan keuntungan yang berlipat ganda. Kegiatan mudharabah ini tidak pernah dilarang oleh Rasulullah s.a.w. setelah kedatangan Islam. Ini menunjukkan bahawa mudharabah adalah halal di sisi Islam sekiranya segala rukun dan syarat-syaratnya dipatuhi (BIRT, 1998:90).
Dari segi hukum asal pula, perlaksanaan mudharabah adalah harus di sisi syariat (Abdul Sami’ Al-Misri, 1993: 114). Walau bagaimanapun, sekiranya perusahaan yang ingin dijalankan dikategorikan sebagai fardhu kifayah [57] maka hukum perlaksanaan mudharabah agar perusahaan itu dapat dijayakan menjadi wajib.[58]
Selain istilah al mudharabah terdapat juga istilah perkongsian lain yang relevan dengan pengurusan kemiskinan secara Islam iaitu Muzara’a [59] dan Musaqah [60]. Perlaksanaan perkongsian menurut sama ada prinsip mudharabah, muzara’a atau musaqah merupakan kaedah yang sangat digalakkan memandangkan ia melibatkan pembangunan keusahawanan seseorang individu [61] dan kerjasama di antara dua golongan iaitu kaya dan miskin (Uduman Mohideen, 1996: 14).
3. Waqaf
Waqaf bermaksud penyerahan harta untuk kepentingan pihak selain pemilik harta tersebut. Penyerahan harta tersebut terbahagi kepada dua jenis iaitu penyerahan mutlak harta atau penyerahan manfaat harta untuk digunakan (Hailani Muji Tahir, 1988: 31). Penggunaan manfaat harta waqaf pula terbahagi kepada dua iaitu untuk penggunaan khusus dan penggunaan umum. Istimewanya harta waqaf ini adalah manfaatnya bersifat terus menerus kerana harta waqaf tidak boleh dijual, diwarisi, dihibahkan dan sebagainya.[62]
Waqaf merupakan satu mekanisme pengurusan kemiskinan material yang sangat berpotensi untuk memberi manfaat kepada golongan fakir miskin di samping mengagih harta kekayaan dengan berkesan demi untuk kebajikan ummah (Syed Othman Al Habsyi, 1989: 21). Ini adalah kerana sifat manfaat harta tersebut yang berterusan. Golongan fakir dan miskin mendapat manfaat secara langsung daripada mekanisme waqaf apabila sesuatu harta diwaqafkan untuk penggunaan khusus golongan fakir dan miskin. Manfaat secara tidak langsung pula diterima oleh golongan fakir dan miskin apabila harta diwakafkan di dalam bentuk penggunaan umum.
Pemberian harta untuk diwaqafkan merupakan satu ibadah yang sangat digalakkan berdasarkan ayat berikut
“Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebaktian, sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya ALLAH mengetahuinya” (Ali ‘Imran 3: 92).
Hukum menyampaikan harta waqaf (maukuf) kepada penerimanya (maukuf ‘alaih) adalah wajib. Ini bermakna sekiranya seseorang telah berniat untuk mewaqafkan hartanya untuk manfaat orang fakir dan miskin misalnya, maka harta tersebut mesti digunakan untuk memberi manfaat golongan fakir dan miskin. Selain itu, untuk memastikan keberkesanan pentadbiran harta waqaf tersebut, seseorang individu atau sesebuah badan boleh dilantik sebagai nazir untuk memelihara dan menyelenggara harta wakaf.
4. Wasiat
Wasiat merupakan satu lagi bentuk pengurusan kemiskinan harta yang bertujuan mengagih harta daripada golongan kaya kepada golongan fakir dan miskin. Ia merupakan sesuatu hak yang dikaitkan dengan seseorang yang sudah meninggal dunia. Perlaksanaan wasiat mempunyai bahagian dan syarat-syarat tertentu yang ditetapkan oleh syariat. [63]
Melalui wasiat, pemusatan harta kepada golongan kaya sahaja dapat diungkai di mana harta si mati tidak hanya disalurkan di kalangan ahli waris. Sebaliknya golongan fakir dan miskin boleh turut serta mendapat manfaat daripada harta tersebut (Ghafarullahhuddin Hj Din, 1996: 219).
5. Faraid
Faraid menurut istilah syarak adalah bahagian-bahagian tertentu harta yang ditetapkan oleh syarak khusus untuk ahli-ahli waris seseorang yang meninggal dunia [64]. Faraid juga tergolong sebagai mekanisme pengurusan kemiskinan harta kerana secara tidak langsung sistem ini memastikan pengagihan harta si mati dilaksanakan dengan teliti dan adil di kalangan semua ahli waris. Oleh yang demikian kekayaan yang berpusat kepada seseorang individu di satu-satu masa dapat diagihkan melalui pembahagian yang ditetapkan oleh syarak (Muhammad Nejatullah Siddiqi, 1989: 35).
Kaedah Ketiga: Kaedah Sunat
Sunat menurut istilah syarak adalah sesuatu perkara yang mendatangkan pahala apabila dilaksanakan. Walau bagaimanapun, sekiranya ditinggalkan, ia tidak pula mendatangkan dosa. Namun, oleh kerana perlaksanaannya memberikan manfaat, umat Islam dianjurkan untuk mengerjakannya. Mekanisme pengurusan kemiskinan harta di bawah kaedah ini dinamakan sadaqah tatawwu’ yang bermaksud pemberian secara sukarela.
1. Sadaqah
Amalan sadaqah merupakan amalan yang paling banyak dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Pernah di dalam satu peristiwa Rasulullah s.a.w. memberi sadaqah kepada setiap yang memerlukan wang sehingga habis keseluruhan wang yang diterimanya. Sayidina Abu Bakar r.a. pula menyerahkan keseluruhan harta beliau untuk disadaqahkan kepada gerakan tentera Muslimin ke Tabuk sehingga apabila ditanya apakah yang beliau tinggalkan untuk keluarganya, beliau mengatakan; “Aku tinggalkan Allah dan RasulNya kepada mereka”. Di dalam situasi yang sama, Sayidina Umar r.a telah menyedekahkan separuh daripada harta kekayaannya sedangkan Sayidina Uthman r.a. telah memberi bekalan alat kelengkapan untuk tentera-tentera Muslimin (Muhammad Zakariya Kandhahlawi, 1998: 46).
Di antara ayat di dalam Al Qur'an yang menyarankan perlaksanaan sadaqah adalah:
“Adapun nikmat Tuhanmu hendaklah engkau agihkan” (Ad Dhuha 93: 11).
“Berimanlah kepada ALLAH dan RasulNya dan belanjakanlah sebahagian dari harta yang ALLAH berikan kamu menguasainya. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang membelanjakan hartanya itu memperolehi pahala yang besar” (Al Hadid 57: 7).
“Orang yang berkemampuan hendaklah membelanjakan harta sesuai dengan kemampuannya dan mereka yang terbatas rezekinya, belanjalah sekadar yang ALLAH kurniakan padanya” (At Talaq 65: 7).
Pemberian sadaqah merupakan pemberian sesuatu dengan kasih sayang sebagai tanda belas kasihan orang-orang yang berkemampuan kepada golongan yang susah. Pemberian ini sebenarnya boleh menjadi lambang perpaduan dan ikatan hati antara berbagai lapisan masyarakat. Dengan itu, apabila masyarakat mengamalkan pengorbanan harta melalui amalan sadaqah, kemakmuran akan terbina dan permasalahan kemiskinan dengan sendirinya akan selesai.
Dari ketiga-tiga kaedah yang telah dibentangkan, jelas terlihat bahawa pengurusan kemiskinan secara Islam lebih banyak meletakkan kunci penyelesaian persoalan kemiskinan di tangan orang-orang kaya. Tanpa kerjasama daripada golongan yang kaya ini, amat sulit untuk menguruskan persoalan kemiskinan sepertimana yang digariskan oleh agama Islam. Allah menghadirkan orang-orang miskin di dalam sesebuah masyarakat untuk dipertanggungjawabkan oleh golongan kaya yang berada dan berkemampuan. Apabila persoalan kemiskinan sama-sama ditangani oleh golongan berkemampuan, akan terjalinlah hubungan hati dan kasih sayang di antara kedua-dua lapisan masyarakat tersebut. Dari situ akan terbinalah sebuah masyarakat yang harmoni. Namun begitu, kekayaan rohaniah merupakan perkara utama yang perlu diusahakan bagi kedua-dua golongan miskin dan kaya untuk memastikan wujudnya golongan kaya yang pemurah semata-mata kerana mengharapkan redha Allah SWT dan golongan miskin yang redha dengan kemiskinan serta tidak meminta-minta dan menyusahkan orang lain.
KESIMPULAN
Mengurus kemiskinan mengikut cara lazim adalah tidak tepat dan tidak cukup kerana tidak mempunyai kefahaman yang tepat dan benar tentang konsep kemiskinan itu sendiri. Kerana konsep kemiskinan tidak difahami dengan tepat dan benar, kaedah mengatasinya juga tidak tepat. Ia hanya cuba mengubati aspek fizikal dan material kemiskinan, tanpa menyedari bahawa kemiskinan juga mempunyai aspek rohaninya.
Islam menyediakan kaedah penyelesaian kepada kedua-dua aspek kemiskinan ini. Bagi aspek kerohanian, ada kaedah-kaedah pengubatan hati atau rohani, manakala bagi aspek fizikal dan material, ada kaedah dan mekanisme-mekanisme yang telah disediakan. Kedua-dua kaedah untuk mengatasi masalah kemiskinan ini bergabung menjadi satu kaedah pengurusan kemiskinan yang jitu dan efektif.
NOTA KAKI
[1] Lebih awal dan lebih besar dari kajian Rowntree ini ialah kajian yang dibuat oleh Booth antara tahun 1887 dan 1892. Ianya diterbitkan dalam 17 jilid dalam tahun 1903, manakala jilid pertama tentang London Timor asalnya diterbitkan dalam tahun 1889. Walaubagaimana pun, ukuran tentang kemiskinannya adalah lebih kasar. Lihat Booth, 1903.
[2] Untuk penghuraian tentang tulisan Za'ba ini, lihat Ungku Abdul Aziz 1975a.
[3] Lihat juga Ungku Abdul Aziz 1975b, 1975c.
[4] Untuk contoh perspektif ekonomi secara lebih mendalam, lihat misalnya A. Ghani Othman 1983/1984:42-61, dan untuk contoh perspektif sosiologikal, lihat Syed Hussin Ali 1983/1984:32-41.
[5] Untuk perbincangan menarik tentang konsep kebudayaan kemiskinan ini, lihat Winter 1969.
[6] Lihat misalnya Balogh (1966) yang membincangkan pelbagai masalah ekonomi yang ada hubungannya dengan kemiskinan, seperti sistem harga, dasar kewangan, `lumpiness' peruntukan modal pelaburan faktor harga, ketidak-anjalan struktur produktif, terma perdagangan, pengagihan simpanan dan pendapatan, pasaran modal, corak penggunaan, dan corak penawaran.
[7] Untuk penghuraian lebih lanjut tentang kedua-dua perspektif ekonomi dan sains sosial ini, dan tentang teori kemiskinan dari kedua-dua perspektif ini, lihat Mohd Taib Dora 2000:15-33.
[8] Di Malaysia Barat misalnya, pendapatan garis kemiskinan untuk tahun 1970 ialah RM33.00 per kapita seorang sebulan (atau RM165.00 seisi rumah yang mempunyai lima orang ahli), untuk tahun 1978 ialah RM45.00 per kapita sebulan (atau RM225.00 seisi rumah yang mempunyai lima orang ahli), untuk tahun 1983 ialah RM68.00 per kapita seorang sebulan (atau RM340.00 seisi rumah yang mempunyai lima orang ahli) dan untuk tahun 2000 ialah RM93.40 per kapita seorang sebulan atau (atau RM467.00 seisi rumah yang mempunyai lima orang ahli) (Berita Harian 28 Mac 1984; Chamhuri Siwar dan Mohd. Anuar Md. Amin 1989:7-8; Utusan Malaysia, 9 Ogos 2000). Perubahan garis kemiskinan ini dari tahun ke tahun ialah kerana keadaan inflasi pada sesuatu ketika itu dan faktor-faktor semasa yang lain. Kaedah menggunakan garis kemiskinan ini dikatakan cara mutlak. Ini berbeza dengan cara relatif yang membandingkan kemiskinan dengan keadaan taraf hidup dalam masyarakat itu secara keseluruhannya.
[9] Di kalangan orang-orang Cina yang tinggal di perkampongan-perkampongan baru, ciri-ciri kemiskinan dikatakan berkait rapat dengan pencapaian pendidikan yang rendah, penglibatan dalam parti-parti politik, kebergantungan kepada aktiviti-aktiviti samseng (secret society), kepercayaan dan amalan agama, dan ketaksuban kepada perjudian (Fui 1994:185-217).
[10] Untuk perbincangan mendalam tentang teori peminggiran ini dan kajian kes golongan termiskin di bandar (Kuala Lumpur), lihat Mohd Taib Dora 2000.
[11] Walaubagaimanapun, mengikut Mohd Taib Dora (2000:7), sehingga 1994, tidak ada satu pun institusi kerajaan yang khusus bagi membantu golongan termiskin bandar. Sebaliknya bagi golongan termiskin di luar bandar, hampir 34 agensi kerajaan seperti Bahagian Pembangunan Luar Bandar (PLB), Pejabat Daerah, KEMAS, Pertubuhan Peladang dan sebagai memberi bantuan. Begitu juga dengan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang menyediakan peruntukan sebanyak RM600 juta dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PRT) yang mempunyai dana sebanyak RM1.04, juga untuk keluarga termiskin luar bandar. Mereka juga mendapat pelbagai bantuan subsidi, anak-anak mereka mendapat biasiswa dan lain-lain kemudahan pendidikan. Untuk perbincangan lebih khusus tentang kemiskinan di dalam sektor-sektor bandar dan luar bandar, lihat B.A.R. Mokhzani dan Khoo Siew Mun 1977.
[12] Secara keseluruhannya, kadar kemiskinan telah berjaya diturunkan melalui strategi-strategi ini, tetapi kadar menurun di sektor pertanian lebih liat dan lambat. Ini membawa kepada strategi pembinaan bandar di luar bandar (pusat pertumbuhan desa). Tetapi strategi ini juga gagal, kata, kerana tumpuan diberikan hanya kepada membina bandar yang sempurna dan indah, tetapi tidak kepada fungsi dan kemudahan-kemudahan sokongan. Untuk perbincangan mendalam tentang dasar dan strategi pembasmian kemiskinan di Malaysia dalam pelbagai sektor, lihat Chamhuri Siwar dan Mohd Haflah Piei 1988a.
[13] Usul ini telah dibuat melalui Konvensyen Kemiskinan Kebangsaan di PWTC Kuala Lumpur anjuran Biro Kemiskinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada 12 September 1987.
[14] Syor ini telah dibuat melalui Seminar Kemiskinan Luar Bandar anjuran Institut Pertanian Malaysia sendiri dalam tahun 1983 di Alor Setar, Kedah.
[15] Tidak dapat dinafikan bahawa setiap pihak tentu yakin dengan pengetahuan dan kefahaman yang mereka ada tentang kemiskinan. Definisi, ciri, punca dan kaedah mengatasi kemiskinan yang mereka kemukakan itu pula tentulah tidak terlepas dari nilai yang mereka pegang. Walau semudah, sekecil, seringkas, sekompleks atau seluas mana sekali pun sesuatu definisi, ciri, punca dan kaedah mengatasi kemiskinan yang dikemukakan itu, ianya pasti berdasarkan nilai diri masing-masing (George and Howards (1991:1). Paling tidak mereka bersandarkan kepada nilai disiplin masing-masing, sama ada ia seorang ahli ekonomi, sosiologi, politik, sejarah, psikologi, psiko-analisis dan sebagainya.
[16] Menurut Anwar Ibrahim (1983/1984:18), pembangunan menurut Islam bermaksud "usaha-usaha penyusunan semula dalam bidang-bidang sosial, politik, ekonomi, hukum dan sistem-sistem lainnya kepada suatu keadaan yang sesuai dengan hakikat dan fitrah kemanusiaan". Mengikut beliau, "peringkat asas dalam pembangunan menurut Islam adalah peringkat rohani - tazkiyat al nafs". Beliau mendasarkan hujjah ini kepada Al-Qur'an: "Dan jiwa serta penyempurnaan (ciptaannya). Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya" (Asy Syams 91:7-10).
[17] Untuk kemajuan kebendaan, Anwar Ibrahim (1983/1984:22-23) menjustifikasikan dengan nas-nas berikut: "Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi" (Al-Baqarah 2:57); "Makanlah dari makanan yang baik-baik yang telah kami berikan kepadamu" (Al-Baqarah 2:268).; "Makan dan minumlah rezeki (yang diberikan) Allah, dan janganlah kamu berkeliaran di muka bumi dengan berbuat kerosakan" (Al-Baqarah 2:60).
[18] Untuk usaha dan kesungguhan bekerja, Anwar Ibrahim (1983/1984:23-24) mengemukakan nas-nas berikut: "Dijadikan rezekimu di bawah naungan tombakku" (Hadith riwayat Ahmad); "Tidak ada sesuatu makanan yang lebih baik badi seseorang, melainkan dari apa yang dihjasilkan dari kerja tangannya sendiri" (Hadith riwayat al-Bukhari); "Lebih baik bagi seorang dari kamu pergi mengambil talinya, membawa balik serikat kayu api di belakangnya, kemudian ia menjualnya; di mana dengan itu Allah melindungi air mukanya (lebih baik baginya) dari meminta-minta kepada orang, sama ada diber iatau tidak (permintaannya)" (Hadith riwayat al-Bukhari); "Bahawa Nabi Daud a.s. adalah seorang ahli tenun (pembuat kain dan baju besi), dan Nabi Adam a.s. seorang petani, dan Nabi Noh a.s. tukang kayu dan Nabi Idris a.s. tukang jahit, sedang Nabi Musa a.s. adalah seorang pengembala" (Imam Hakim dari Hadith Ibn Abbas); "Tidak halal meminta-minta kecuali bagi salah satu dari tiga golongan, seorang lelaki yang mempunyai tanggungan berat, ia diperkenankan meminta-minta, sehingga ia mencapai kestabilan hidup (standard hidup), dan seorang lelaki yang ditimpa kemelaratan, sehingga tiga orang yang diterima pandangannya dari kaumnya menyatakan (mengatakan): suatu kemelaratan telah menimpa si fulan, maka ia diperkenankan meminta-minta sehingga ia mencapai suatu taraf hidup, atau Baginda bersabda mencapai suatu kestabilan hidup, ada pun selain mereka untuk meminta-minta - hai Qabisha - adalah haram, yang memakannya bererti memakan barang haram" (Hadith riwayat Muslim).
[19] Tentang tanggungjawab golongan berkuasa dan kaya, nas-nas yang dikemukakan Anwar Ibrahim (1983/1984:24) ialah seperti berikut: "Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim. Dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang shalat, orang-orang yang lalai dari shalatnya, orang-orang yang berbuat riya` dan enggan (menolong dengan) barang berguna" (Al Maa`uun 107:1-7); "Orang Muslim adalah saudara bagi Muslim lainnya, oleh kerana itu janganlah berlaku zalim kepadanya dan jangan membiarkan ia terlantar" (riwayat al-Bukhari).
[20] Maksud orang miskin di sini ialah orang miskin yang tidak bekerja. Saranan mencari rezeki halal sendiri ini pula dipanggil beliau sebagai pendekatan `developmental', yang dipercayainya mempunyai kesan jangka panjang tersendiri. Manakala dengan penyempitan zakat yang mengkhusus kepada individu dan isirumah miskin dan bukan kepada kumpulan dan wilayah, satu kepastian dapat dibuat untuk memenuhi peruntukan kepada mereka secara langsung. Di samping itu, pengasingan antara fakir dan miskin dalam pembahagian zakat pula membolehkan keutamaan diberikan kepada fakir terlebih dahulu (Syed Othman Alhabshi 1996).
[21] Syed Othman Alhabshi (1996) mengkategorikan keperluan kepada tiga peringkat, iaitu: (a) Keperluan (dharuriyyat) - mengandungi segala aktiviti dan barangan yang perlu untuk mempertahankan kelima-lima keperluan di atas paling tidak di peringkat minima untuk satu taraf kehidupan yang boleh diterima. Ia termasuk kemampuan mengamalkan lima rukun Islam dan dakwah, perlindungan hidup, mendapat makanan, pakaian dan tempat tinggal, pendidikan, hak mendapat pendapatan, membina keluarga dan sebagainya. Pada peringkat keperluan ini, seseorang cukup untuk hidup tetapi tidak semestinya selesa; (b) Kemudahan (hajiat) - mengandungi semua aktiviti dan barangan yang tidak mustahak untuk mempertahankan lima rukun Islam, tetapi lebih diperlukan untuk mengatasi kepayahan atau halangan dalam hidup. Contohnya termasuk penggunaan dan penikmatan barangan atau perkara yang diperlukan sangat tetapi kalau tiada, agak susah, seperti menggunakan beberapa jenis pengangkutan (sebuah kereta), permaidani di musim sejuk dan sebagainya; (c) Pelengkapan (refinement/kamaliat) - mengandungi barangan yang melebihi untuk kemudahan. Ianya bukan saja menghilangkan kepayahan tetapi memperbaikkan keselesaan. Misalnya mempunyai kereta dikira sebagai satu kemudahan, manakala mempunyai dreber merupakan pelengkapan.
[22] Dalam konteks ini, Islam kata Syed Othman (1996), mendefinisikan golongan miskin kepada dua, yakni miskin dan fakir. Golongan miskin adalah mereka yang tidak mempunyai keperluan, manakala golongan fakir ialah mereka yang tahap keperluannya tidak sampai setengah daripada tahap golongan miskin.
[23] Cawan tembaga yang merupakan satu-satunya barangan kepunyaan orang miskin itu dijual Rasulullah s.a.w. dengan harga dua dirham. Satu dirham diberikan kepada orang miskin itu untuk memenuhi keperluannya dan satu dirham lagi dibelikan kapak untuk mencari dan menjual kayu api. Beberapa hari selepas itu, orang miskin itu memberitahu Rasulullah s.a.w. yang beliau telah mendapat 15 dirham.
[24] Pinjaman ini mesti dibayar secara mingguan. Sekiranya mereka membayar pinjaman itu sebagaimana sepatutnya, mereka berhak mendapat pinjaman yang lebih besar. Proses ini berterusan selagi mereka memerlukan pinjaman. Biasanya nilai pinjaman pertama ialah RM500, selepas itu RM5,000 dan selepas itu RM15,000. Untuk mempastikan kadar pembayaran balik yang bagus, isirumah-isirumah ini diwajibkan mengikuti latihan sejam sehari selama seminggu untuk memahami hak dan tanggungjawab mereka. Setelah lulus ujian, mereka dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai lima orang ahli. Setiap lima atau enam kumpulan akan menubuhkan satu pusat, dengan lebih kurang 30 peserta. Mereka wajib menghadhiri mesyuarat mingguan yang diadakan sejam seminggu, di mana mereka membayar pinjaman, berbincang tentang projek-projek untuk diluluskan dan mengemukakan masalah untuk diselesaikan. Selain dari membayar hutang, mereka juga perlu turut serta dalam skim menabung wajib sebanyak RM1 seminggu. Peserta pertama yang mendapat pinjaman ialah yang paling termiskin di dalam setiap kumpulan. Dua minggu selepas pinjaman diberikan, mereka mesti mula membuat bayaran balik. Sekiranya gagal, kumpulan masing-masing akan bertanggungjawab membayarnya. Sekiranya peserta pertama itu membayar tanpa gagal selama enam minggu, peserta kedua dalam kumpulan berkenaan akan mendapat pinjaman seterusnya. Peserta-peserta seterusnya akan diberi pinjaman sekiranya mereka yang telah meminjam itu membayar hutang selama enam minggu. Kalau tidak, mereka tidak akan mendapat pinjaman. Dengan cara ini, ahli-ahli kumpulan mempastikan peserta yang telah meminjam membayar pinjaman kerana kalau tidak, peluang mereka mendapat pinjaman akan kehilangan. 95 peratus dartipada peserta ialah wanita. Pinjaman-pinjaman ini diberikan tanpa security, penjamin atau tindakan mahkamah. Sekiranya peserta mmeninggal dunia, pinjaman beliau dihalalkan. Peratus membayar balik adalah tinggi sekali. Selain dari itu, 55 peratus dari peserta berjaya membebaskan diri dari kemiskinan selepas mengambil tiga pinjaman. Peratus ini makin meningkat selepas pinjaman keempat dan seterusnya. Secara purata, tidak kurang dari 80 peratus peserta akan bebas dari kemiskinan. Dari segi pendapatan, lebih dari 50 peratus mendapat RM800 sebulan. Setengahnya mendapat lebih dari RM4,000 sebulan manakala ada juga mendapat lima angka. AIM juga mempunyai skim pinjaman modal untuk perumahan dan pendidikan. Peserta hanya akan mendapat pinjaman perumahan selepas mempunyai rekod bayar balik yang baik selama paling kurang tiga tahun. Mereka boleh mengambil RM2,000 untuk pinjaman perumahan. Pinjaman pendidikan agak fleksibel kerana keperluan menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Modal pinjaman yang dikendalikan AIM secara umumnya diberikan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Credit Guarantee Corporation, Malayan Banking Berhad, Bank Bumpitera Berhad, BIMB, dan beberapa bank perdagangan dan syarikat-syarikat kewangan/pembiayaan. Kesemua pinjaman modal kena dibayar balik oleh AIM, kecuali yang diberikan YAPEIM. Kos operasi ditanggung terutamanya oleh kerajaan-kerajaan negeri dan persekutuan. Dalam RMK-7 (1996-2000), kerajaan memberikan soft loan kepada AIM sebanyak RM200 juta. AIM dijangka dimanfaatkan oleh 100,000 isirumah atau 500,000 individu dalam tahun 2000. Untuk maklumat lebih terperinci tentang AIM, lihat Syed Othman Alhabshi 1996.
[25] Hadith dipetik dari Syeikh Yusuf Qardhawi 1980:40.
[26] Hadith dirawikan Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah.
[27] Ahlus-suffah ialah sekumpulan sahabat Rasulullah s.a.w. yang sangat miskin dan tinggal di serambi masjid Nabawi (As-Suffah). Walaupun miskin, Rasulullah s.a.w. cukup sayang dan sangat mengambil berat tentang kebajikan mereka. Untuk gambaran dan perbincangan lanjut tentang ahlus-suffah ini, lihat Akram Diya' Al-`Umari 2000 dan Muhammad Syukri Salleh 2000.
[28] Untuk penghuraian tentang ketinggian iman dan taqwa Khalifah Sayyidina Umar bin Abdul Aziz, lihat K.H. Firdaus 1997.
[29] Lihat K.H. Firdaus 1997:204, dan petikan Muhammad Syukri Salleh, 2000: 59.
[30] Lihat Abul Al Hassan Nadwi, 1998: 24 – 27.
[31] Hadith marfu' riwayat Tarmizi, dipetik dari Syed Ahmad Semait 1996b:548.
[32] Hadith marfu' di petik dari Syed Ahmad Semait 1996b:547.
[33] Dipetik dari Syed Ahmad Semait 1996b:547-548.
[34] Kedua-dua Hadith ini dipetik dari Syed Ahmad Semait 1996b:544.
[35] Mengikut Syed Ahmad Semait (1996a:474) ketika menghuraikan satu Hadith Qudsi berkenaan dengan zuhud, maksud apa yang ada di tangan itu ialah harta, kekayaan, apa saja termasuk makan-minum dan pakai atau rezeki dan kurnia Allah SWT.
[36] Hadith hasan, diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan lain-lain dengan sanad-sanad yang hasan. Hadith ini merupakan Hadith ke-31 di dalam Hadith 40 yang dibicarakan Imam An-Nawawi. Untuk penghuraian tentang Hadith ini dan tentang zuhud secara agak terperinci, lihat, antara lain, Syed Ahmad Semait 1996b:539-558.
[37] Hadith Qudsi Riwayat Qudha`i, dipetik dari Syed Ahmad Semait 1996:473.
[38] Dua perkara lag ialah pertama, wara', yakni memelihara diri dari segala yang dilarang Allah SWT dan merupakan sifat orang-orang yang bertaqarrub, atau yang ingin mendampingkan dirinya kepada Allah SWT; dan kedua, meratapi diri kerana berkelakuan terlanjur dan bersalah, banyak cuai dan lalai. Lihat Syed Ahmad Semait 1996a:475-476.
[39] Hadith riwayat Abu Zar r.a., dipetik dari Syed Ahmad Semait 1996a:474.
[40] Hadith dipetik dari Imam Ghazali 1990:766.
[41] Dipetik dari Syed Ahmad Semait 1996b:557.
[42] Ibid, 1996b:557.
[43] Ibid, 1996b:557.
[44] Ibid, 1996b:558.
[45] Hadith dipetik dari Syed Ahmad Semait 1996b:552.
[46] Ibid, 1996b:552-553.
[47] Ibid, 1996b:553.
[48] Ibid, 1996b:554.
[49] Mengikut ahli tafsir, maksud "binatang melata" dalam ayat ini ialah segenap makhluk Allah SWT yang bernyawa. Manakala maksud "tempat berdiam" pula ialah dunia dan "tempat penyimpanan" ialah akhirat. Menurut sebahagian ahli tafsir yang lain, maksud "tempat berdiam" ialah tulang sulbi dan "tempat penyimpanan" ialah rahim.
[50] Hadith dipetik dari Syed Ahmad Semait 1996b:554.
[51] Untuk perbincangan lanjut lihat Ghafarullahuddin Hj Din, 1996: 203.
[52] Perihal ketegasan Khalifah Ar Rasyidin yang pertama ini mengenai tuntutan menunaikan zakat dapat dilihat melalui bagaimana beliau menghadapi orang-orang yang enggan membayar zakat selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Ghafarullahuddin Hj Din (1996: 206) telah memetik dari Kitab Tarikh Al Khulafa karangan Al Sayuti, 1980: 75 yang mencatat kata-kata Sayidina Abu Bakar, “Demi ALLAH! Aku akan mengisytiharkan perang ke atas mereka yang membezakan antara solat dan zakat. Ini kerana zakat adalah sebahagian harta yang harus dikeluarkan. Demi ALLAH seandainya mereka menolak membayar zakat kepadaku seutas tali yang dulu mereka bayarkan kepada Rasulullah s.a.w., nescaya aku akan memerangi mereka di atas penolakan itu.” Lihat juga Muhammad Yusuf Al Kandahlawi, 1997: 589.
[53] Penetapan hukum tersebut kemudiannya diikuti oleh Khalifah-Khalifah Ar Rasyidin yang seterusnya iaitu Sayidina Umar Al Khattab, Sayidina Uthman Al Affan dan Sayidina Ali Ibn Abu Talib (Hailani Muji Tahir, 1988: 15).
[54] Terdapat juga pandangan ulama yang mewajibkan pembahagian baki 20% tersebut diberikan kepada lapan asnaf yang berhak terhadap zakat. Namun begitu kedua-dua pandangan tersebut tetap mengkhususkan sebahagian daripada harta tersebut untuk golongan miskin (http://www.vlib.unitarklj1.edu. my/staff-publications/datuk/)
[55] Yusuf Al Qardawi, 1998: 324 – 328.
[56] Zaman sebelum kedatangan Islam iaitu zaman di mana sebelum Nabi Muhammad menerima suruhan menyampaikan wahyu dari Allah.
[57] Fardu kifayah merupakan kewajipan yang menjadi tanggungjawab sesebuah masyarakat setempat untuk melaksanakannya. Sekiranya perkara tersebut sudah dilaksanakan oleh satu golongan di dalam masyarakat tersebut, maka kesemua ahli masyarakat terlepas daripada bebanan dosa. Sebaliknya sekiranya perkara tersebut tidak terlaksana di dalam sesebuah masyarakat maka kesemua ahli masyarakat tersebut akan menanggung dosa (Muhammad Syukri Salleh, 1987: 28).
[58] Lihat OK Rahmat, 1988: 11 – 15 berkaitan pembahagian hukum taklifi iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram menurut kaedah fiqah.
[59] Pemodal memberikan tanah pertanian untuk diusahakan oleh pengusaha yang terdiri daripada petani-petani (http://www.albaraka. com/Islamicinfo/IslamicBooks/Instruments/chap4-1.html).
[60] Di dalam perlaksanaan musaqah seseorang pemilik tanaman akan berakad dengan seorang pengusaha untuk mengairkan tanaman beliau dengan perjanjian bahawa sebahagian daripada hasil tanaman tersebut akan diberikan kepada pengusaha. Prinsip ini merupakan kontrak di antara pemilik tanaman dengan pengusaha bertujuan untuk pengeluaran hasil tanaman. Hasil tanaman samada di dalam bentuk buah, daun atau bunga kemudiannya akan dikongsi bersama (Sudin Haron, 1996:75).
[61] Di antara hadith yang menunjukkan keutamaan berusaha adalah “Andaikata seorang kamu mengambil tali lalu berusaha mencari kayu-kayuan yang diikatkan di belakangnya itu lebih baik utama daripada dia mendapati seorang yang diberikan ALLAH pengurnianNya, lalu meminta-minta kepadanya sama ada diberi atau tidak.” Dan hadith lain yang bermaksud; “Sebaik-baik perusahaan ialah perusahaan seorang pekerja, jika ia melakukan dengan sebaik-baiknya.” (Imam Ghazali, 1978: 243).
[62] Hadith Rasulullah s.a.w. bermaksud: Sayidina Umar r.a. setelah mendapat sebidang tanah di Khaybar telah pergi berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. untuk meminta petunjuk mengenai pengelolaan tanah tersebut. Katanya; “Wahai Rasulullah, saya mendapat sebidang tanah di Khaybar. Belum pernah saya memperolehi harta yang lebih bagus daripada tanah ini. Apakah cadanganmu berkaitan dengan tanah ini? Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud; “Jika kamu suka, kamu tahan (waqaf) tanah itu dan kamu sedeqahkan manfaatnya. Mendengar cadangan itu Sayidina Umar r.a. menyedekahkan hasil tanah itu dengan syarat tanah tersebut tidak boleh dijual, dibeli, diwarisi atau dihibahkan. Sayidina Umar r.a. telah menyedekahkan hasilnya kepasa fakir miskin, kaum kerabat, untuk merdekakan hamba, untuk jihad di jalan ALLAH, untuk ibn al-sabil dan hidangan tetamu. Orang yang bertanggungjawab mengurus tanah tersebut boleh mengambil sebahagian hasilnya dengan cara yang baik dan boleh memberi makan kepada temannya secara yang berpatutan.” Lihat Ghafarullahhuddin Hj Din, 1996: 224.
[63] Lihat Ghafarullahuddin Hj Din, 1996: 218 – 220 dan Hailani Muji Tahir, 1988:33
[64] Kaedah pembahagian harta pusaka dibentangkan oleh Al Quran di dalam surah An Nisa’ ayat 7 – 12.
RUJUKAN
Abdul Sami’ Al Misri, 1993. Terj. Ahmad Hj Hasbullah, Perniagaan Dalam Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abul Al Hassan Nadwi, 1997. Sepuluh Tokoh Yang Mengubah Dunia, Selangor: Pustaka Ilmi.
A. Ghani Othman, 1983/1984. "Aspek Ekonomi Dalam Kemiskinan", dlm. Institut Pertanian Malaysia (AIM), Kemiskinan Luar Bandar, Kuala Lumpur.
Akram Diya' Al-`Umari, terj. Zainab Abdul Kadir, 2000. Masyarakat Madani Di Zaman Nabi, Kuala Lumpur: The International Institute of Islamic Thought Malaysia dan Thinker's Library Sdn Bhd.
Anand, Sudhir, 1983. Inequality and Poverty in Malaysia: Measurement and Decomposition, New York: Oxford University Press.
Andre Bayo Ala, ed., 1981. Kemiskinan dan Strategi Memerangi Kemiskinan, Yogyakarta, Indonesia: Liberty.
Anwar Ibrahim, 1983/1984. "Kemiskinan Dari Perspektif Agama dan Politik", dlm. Institut Pertanian Malaysia (AIM), Kemiskinan Luar Bandar, Kuala Lumpur.
Ashaari Muhammad, Abuya Sheikh Imam, 1983. Falsafah Kemiskinan dan Jalan Penyelesaiannya Menurut Islam, Kuala Lumpur: Minda Abuya Agency.
Balogh, Thomas, 1966. The Economics of Poverty, London: Weidenfeld and Nicholson.
B.A.R. Mokhzani dan Khoo Siew Mun, ed., 1977. Some Case Studies on Poverty in Malaysia - Essays Presented to Profesor Ungku A. Aziz, Kuala Lumpur: Persatuan Ekonomi Malaysia.
Berita Harian 28 Mac 1984.
Biro Kemiskinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, 1987. Konvensyen Kemiskinan Kebangsaan, anjuran Biro Kemiskinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC, Kuala Lumpur, 12 September.
BIRT (BIMB Institute Of Research And Training Sdn. Bhd.), 1998. Konsep Syariah Dalam Sistem Perbankan Islam, Kuala Lumpur: BIRT.
Booth, Charles, 1903. Life and Labour of the People in London, London: Macmillan (17 Jilid; Jilid pertama tentang London Timor asalnya diterbitkan dalam tahun 1889).
Chamhuri Siwar dan Mohd. Anuar Md. Amin, 1989. "Kemiskinan Di Kalangan Petani Padi: Kajian Kes Di Besut, Kemubu, Seberang Perai, Tanjung Karang dan Jasin", Penerbitan Tak Berkala No.38, Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.
Chamhuri Siwar dan Mohd Haflah Piei, eds., 1988a. Dasar dan Strategi Pembasmian Kemiskinan - Kumpulan Rencana Tentang Kemiskinan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Chamhuri Siwar dan Mohd Haflah, 1988b. Isu, Konsep dan Dimensi Kemiskinan (Kumpulan Rencana Tentang Kemiskinan), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Frank, Andre Gunder, 1973. "The Development of Underdevelopment", dlm. C.K. Wilber, ed., The Political Economy of Development and Underdevelopment, New York: Random House.
Friedmann, John, 1979. "Urban Poverty in Latin America - Some Theoretical Considerations", Development Dialogue, Vol.1, April.
Fui, Lim Hin, 1994. Poverty and Household Economic Strategies in Malaysian New Villages, Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan: Pelanduk Publications.
George, Vic and Howards, Irving, 1991. Poverty Amidst Affluence - Britain and the United States, England: Edward Elgar.
Ghafarullahhuddin Hj Din, 1996. Asas dan Konsep Ekonomi: Satu Perspektif Perbandingan Ekonomi Konvensional Dengan Ekonomi Islam, Tesis Sarjana Sastera, Pulau Pinang: Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.
Hailani Muji Tahir, 1988. Pengenalan Tamadun Islam Dalam Institusi Kewangan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hairi Abdullah, ed., 1984. Kemiskinan dan Kehidupan Golongan Berpendapatan Rendah, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Haan, Arjan de, 1995. Bibliographical Review on Social Exclusion in South Asia, Discussion Paper Series No.79, Geneva: International Institute for Labour Studies.
Humaidi Tatapangarsa, Drs., ditahkik dan ditulis semula oleh Syed Ahmad Semait, 1997. Akhlak Yang Mulia, Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.
Ibnu Hajar, t.t. (tiada tarikh), Fathul Mubin Li Syarhil-Arba'in, tiada maklumat penerbit dan tempat diterbitkan.
Imam Ghazali (Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al Ghazali), 1978. (disesuaikan oleh Syaikh Muhammad Jamaluddin Al Qasimi, terj. Syed Ahmad Semait), Bimbingan Mu’minin:Pada Mencari Redha Rabbil-‘Alamin, Singapura: Pustaka Nasional.
Imam Ghazali (Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al Ghazali), 1980. Ihya Ulumiddin, Jilid 7, Indonesia: Penerbit Asli.
Imam Ghazali, terj. Syed Ahmad Semait, 1990. Bimbingan Mu'minin, Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd., Cetakan Ketujuh.
Imam Al Ghazali (Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al Ghazali), 1995. (ditambah dan diselenggarakan oleh Ali Akbar Osman), Rahsia dan Hakikat Ibadah Puasa dan Zakat, Singapura: Pustaka Nasional
Imam Nawawi, t.t. (tiada tarikh), Matnul Arba'in An-Nawawiyah, tiada maklumat penerbit dan tempat diterbitkan.
Institut Pertanian Malaysia (AIM), 1983/1984. Kemiskinan Luar Bandar, Kuala Lumpur.
INTAN, 1980. Negara Kita - Sejarah, Pentadbiran dan Dasar-Dasar Pembangunan Tadbiran Awam Negara, Kuala Lumpur.
Irsad Husin Lubis, 1999. Pentadbiran dan Penggunaan Tanah Wakaf Di Kotamadya Medan Indonesia, Tesis Sarjana Sains Kemasyarakatan, Pulau Pinang: Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.
Jamilah Ariffin, 1994. Poverty Amidst Plenty, Petaling Jaya, Selangor: Pelanduk Publications.
Kamal Salih, 1983/1984. "Konsep, Definisi dan Pengukuran Kemiskinan", dlm. Institut Pertanian Malaysia (AIM), Kemiskinan Luar Bandar, Kuala Lumpur.
K.H. Firdaus, 1997. Tokoh Kepimpinan dan Pejuang Keadilan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Selangor D.E.: Pustaka Ilmi.
Lewis, Oscar, 1966. La Vida: a Puerto Rican Family in Culture of Poverty, San Juan and New York: Random House.
Miller, S.M. and Bloomberg, Warner, Jr., 1970. "Shall the Poor Always be Impoverished", dlm. Warner Bloomberg, Jr., and Henry J. Schmandt, eds., Urban Poverty: Its Social and Poliitical Dimensions, California: Sage Publication, Inc.
Mohd. Nor Ghani, 1977. "Dimensions of Poverty and Poverty Eradication Programmes", dlm. B.A.R. Mokhzani dan Khoo Siew Mun, ed., Some Case Studies on Poverty in Malaysia - Essays Presented to Professor Ungku A. Aziz, Kuala Lumpur: Persatuan Ekonomi Malaysia.
Mohd Taib Dora, 2000. Peminggiran Sosial: Keluarga Melayu Termiskin Bandar, Skudai, Johor Darul Ta`zim: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Muhammad Nejatullah Siddiqi, 1989. Terj. Mohd. Amin Abdullah, Pemikiran Ekonomi Islam: Satu Tinjauan Penulisan Semasa, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Syukri Salleh, 1987. Pembangunan Berteraskan Islam, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.
Muhammad Syukri Salleh, 2000. Pembangunan Zaman Rasulullah s.a.w.: Antara Kemiskinan dan Kekayaan, Pulau Pinang: Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP), Universiti Sains Malaysia.
Muhammad Yusuf Al Kandahlawi, 1997. (diolah dan ditulis semula oleh Syed Ahmad Semait), Untaian Kisah Nabi dan Para Sahabat, Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.
Muhammad Zakariya Kandhahlawi, 1998. Kisah-Kisah Para Sahabat, Jilid 1 – 2 (Edisi Baru), Johor Bharu: Perniagaan Jahabersa.
Musa Hitam, 1983/1984. "Ucapan Perasmian Seminar Kemiskinan Luarbandar", dlm. Institut Pertanian Malaysia (AIM), 1983/1984. Kemiskinan Luar Bandar, Kuala Lumpur.
Myrdal, Gunnar, 1970. The Challenges of World Poverty: A World Anti-Poverty Programme in Outline, New York: Vintage Books.
Nayak, Pulin, 1995. Economic Development and Social Exclusion in India, Geneva: International Institute for Labour Studies.
OK Rahmat, 1988. Sumber dan Prinsip Hukum Islam, Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
Osman Rani Hassan dan Abdul Majid Salleh 1988. "Konsep-Konsep Kemiskinan dan Ketaksamaan: Satu Tinjauan", dalam Chamhuri Siwar dan Mohd Haflah, Isu, Konsep dan Dimensi Kemiskinan (Kumpulan Rencana Tentang Kemiskinan), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Piachaud, D., 1987. "Problems in the Definition and Measurement of Poverty", Journal of Social Policy, Vol.16, No.2, ms. 147-164.
Rein, Martin, 1970. "Problems in the Definition and Measurement of Poverty", dlm. Peter Townsend, The Concept of Poverty: Working Papers on Methods of Investigation and Life-Style of the poor in Different Countries, London: Heinmann Educational Books Ltd.
Rowntree, B. Seebohm, 1901. Poverty: A Study of Town Life, London: Macmillan.
Scott, Wolf, 1979. "Poverty Monitoring in Developing Countries", Development and Change, Vol.10, No.3, July.
Sen, A., 1981. Poverty and Famines: An Essay on Entitlement and Deorication, Oxford: Clarendon Press.
Streeten, Paul, 1971. "Economic Strategies", dlm. Dudley Seers and Leonard Joy, eds., Development in a Divided World, Middlesex: Penguin Books..
Sudin Haron, 1996. Prinsip dan Operasi Perbankan Islam, Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn Bhd.
Surtahman Kastin Hassan, 1996. “Kemiskinan dan Pembasmian Kemiskinan Mengikut Perspektif Islam”, dlm. Chamhuri Siwar dan Nor Aini Hj Idris, sunt., Kemiskinan Dalam Pembangunan Ekonomi Malaysia, ms 70 – 81.
Syed Ahmad Semait, 1996a. Analisa dan Komentar Hadis Qudsi - Edisi Baru, Singapura: Pustaka Islamiyah Pte Ltd, Cetakan Ketiga.
Syed Ahmad Semait, 1996b. Kuliah Subuh Pada Membicarakan Hadis 40, Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd, Cetakan Ketujuh.
Syed Hussin Ali, 1983/1984. "Aspek Sosiologikal Dalam Kemiskinan", dlm. Institut Pertanian Malaysia (AIM), Kemiskinan Luar Bandar, Kuala Lumpur.
Syed Othman Al Habsyi, 1989. “Pengagihan Kekayaan Melalui Institusi-Institusi Sukarela dan Bukan Sukarela”, kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Ekonomi Islam pada 19 – 20 Disember 1989 anjuran Kuliyyah Ekonomi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Syed Othman Alhabshi, 1993. "Tidakkah Islam Menggalakkan Kita Mengumpul Harta?", dlm. Nik Mustapha Haji Nik Hassan dan Siti Fatimah Abdul Rahman, sunt., Islam, Budaya Kerja dan Pembangunan Masyarakat - Satu Kefahaman, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), ms.127-135.
Syed Othman Alhabshi, 1996. "Poverty Eradication From Islamic Perspectives", http://vlib.unitarkl1.edu.my/staff-publications/datuk, layari pada Ogos 2000.
Syed Othman Alhabshi, 2000. "Solving Absolute Poverty Using answers Found in Religion", http://vlib.unitarkl1.edu.my/staff-publications/datuk, layari pada Ogos 2000.
Townsend, Peter, 1979. Poverty in the United Kingdom - A Survey of Household Resources and Standards of Living, England: Penguin Books.
Tuah Iskandar, H.M. Al Haj, 1998. Jimat Cara Islam: Tangani Kejatuhan Ringgit, Kuala Lumpur: Karya Bistari.
Uduman Mohideen, Dr. K. S. S., 1996. “Islamic Concept of Poverty”, dlm. T. Abdur Rahman dan KG Munsgi, eds., Poverty Alleviation Among Muslims in Tamilnadu, New Delhi: Institute of Objective Studies. ms 7- 15.
Ungku Abdul Aziz, 1964. "Poverty and Rural Development in Malaysia", Kajian Eknomoi Malaysia, Vol.1, No.1, Jun.
Ungku Abdul Aziz, 1965. "Poverty, Proteins and Disguised Starvation", Kajian Ekonomi Malaysia, Vol.1, No.1, Jun.
Ungku Abdul Aziz, 1975a. Jejak-jejak Di Pantai Zaman, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Ungku Abdul Aziz, 1975b. "Footprints on the Sand of Time: The Malay Poverty Concept over Fifty Years from Za'ba to Aziz and the Second Malaysia Five Year Plan" dlm. S. Chee and S.M. Khoo, eds., Malaysian Economic Development and Policies, Malaysian Economic Association: Kuala Lumpur.
Ungku Abdul Aziz, 1975c. "Recent Thoughts on Poverty", kertaskerja dibentangkan di Second Malaysian Economic Convention, Kuala Lumpur.
Utusan Malaysia, 9 Ogos 2000. "Kemiskinan Tegar Boleh Dihapuskan", Berita.
Winter, J. Alan, ed., 1969. The Poor: A Culture of Poverty or a Poverty of Culture?, Michigan: William B. Eerdmans Publisher.
Yayasan Penyelenggara Penterjemah/Pentafsir al-Qur'an, 1971. Al-Qur'an dan Terjemahnya, Jakarta, Indonesia.
Yusuf Al Qardawi, 1998. Terj. Mufti Labib dan Arsil Ibrahim, Peranan Nilai dan Akhlak Dalam Ekonomi Islam, Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia.
Za'ba, 1923. "The Poverty of the Malays", Malay Mail, 1 Disember.
http://www.albaraka.com/Islamicinfo/IslamicBooks/Instruments/chap4 – 1.html Tarikh akses: 29.12.1998
http://www.vlib.unitarklj1.edu.my/staff-publications/datuk/ Tarikh akses: 23.8.2000
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan