Rabu, 21 Oktober 2009

Kedudukan Harta Penama: Kajian di KWSP dan Lembaga Tabung Haji



PENDAHULUAN

1.1 PENGENALAN


Secara umumnya, bagi sesuatu projek Ilmiah yang hendak dikaji adalah merangkumi bab-bab yang tertentu. Oleh itu, bab ini adalah sebagai pengenalan kepada perbincangan yang akan dikupaskan secara lanjut selepas ini. Di mana perkara-perkara yang berkaitan dengan konsep penamaan harta di KWSP dan Lembaga Tabung Haji.

Di dalam bab ini penulis akan menerangkan mengenai latar belakang kajian, permasalahan kajian, matlamat kajian, objektif kajian, metodologi kajian, skop dan limitasi kajian, serta kajian terdahulu. Perkara-perkara ini memberi panduan kepada pembaca untuk memahami kandungan kajian yang dilakukan. Ini menunjukkan bahawa ada skop dan tumpuan dalam mengkaji sesuatu kajian.


1.2 LATAR BELAKANG KAJIAN


Penamaan sesuatu harta adalah penting bagi memudahkan pengurusan pembahagian harta, andainya penyimpan itu meninggal dunia. Ini kerana jika tiada penama kepada simpanan tersebut maka akan menimbulkan masalah bagi ahli-ahli waris yang tinggal. Berbeza keadaannya jika penyimpan masih hidup dan kebanyakan konflik berlaku ke atas orang Islam. Ini disebabkan oleh, pembahagian harta penamaan ini mempunyai kaitan dengan hukum faraid selepas kematian penyimpannya.

Secara umumnya, harta penama (nominated property) adalah harta yang telah dinamakan di atas nama seorang penama atau lebih oleh pemilik harta untuk diberi milik kepada seorang penama atau lebih dengan syarat perpindahan hak milik harta itu kepada penama hanya berlaku selepas kematian pemilik. Jika tidak dinamakan kepada seseorang untuk menerimanya, harta tersebut bukanlah harta penama, tetapi harta peninggalan si mati yang biasa.

Projek ilmiah ini akan meneliti dari aspek kedudukan dan pengaplikasiannya di KWSP dan Tabung Haji secara perbandingan, sekitar daerah Kajang, Selangor. Hal yang demikian kerana sesetengah penyimpan kurang memahami konsep penamaan ke atas sesuatu harta. Selain itu, projek ilmiah ini juga akan meneroka dan mengupas isu ini berkenaan dengan pendedahan dan penerangan yang dijelaskan oleh institusi kewangan berkenaan konsep dan kepentingan penamaan harta ini dijalankan.


1.3 PERMASALAHAN KAJIAN

Jika dilihat, kebanyakan institusi kewangan mengamalkan penamaan harta bagi simpanan mereka. Oleh itu, ia akan menjadi suatu konflik sekiranya penyimpan harta itu meninggal dunia. Adakah masalah ini dapat diatasi? Bagaimana sekiranya ia melibatkan orang islam? Apakah ia mempunyai kaitan dengan undang-undang serta hukum Islam? Beberapa pendapat atau fatwa yang mengatakan bahawa penamaan harta tidak boleh dilaksanakan terhadap orang islam.

Persoalannya adakah ia telah dikuatkuasakan di semua institusi kewangan tersebut? Pada hari ini juga, masalah ini tetap timbul, ia menjadi persoalan sama ada penama itu sebagai penama sahaja atau harta itu menjadi miliknya. Adakah penama-penama yang dilantik melaksanakan tanggungjawab mereka dengan amanah dan ikhlas? Apakah yang akan berlaku sekiranya mereka melanggar tanggungjawab tersebut?

Oleh sebab itu, kajian yang akan dibuat ini adalah untuk mengenalpasti dan mengetahui kedudukan penamaan harta di KWSP dan Lembaga Tabung Haji. Mendalaminya dengan lebih menjurus kepada pengaplikasiannya dikalangan orang Islam dan bukan Islam, sama ada kepada ahli waris atau bukan ahli waris. Menyelesai dan mencungkil segala keraguan dan masalah yang sering mengganggu masyarakat kini dalam memahami konsep sebenar penamaan harta ini.


1.4 MATLAMAT KAJIAN

Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti tentang kedudukan penamaan harta di KWSP dan Lembaga Tabung Haji secara perbandingan.


1.5 OBJEKTIF KAJIAN


i. Mengenalpasti kedudukan penamaan harta di KWSP dan Lembaga Tabung Haji.

ii. Membandingkan perlaksanaan KWSP dan Lembaga Tabung Haji dari sudut penamaan harta.

iii. Mengetahui kesan perlanggaran konsep penamaan dari sudut undang-undang dan autoriti-autoriti yang mengikat berdasarkan prinsip di KWSP dan Lembaga Tabung Haji.

iv. Mengenalpasti kelemahan yang sedia ada bagi penamaan harta dan cadangan-cadangan bagi penambahbaikannya.


1.6 METODOLOGI KAJIAN


Kajian ini akan tertumpu kepada kedudukan penamaan harta di dua institusi kewangan iaitu KWSP dan Lembaga Tabung Haji. Kajian ini bertujuan untuk melihat dan mengetahui pemakaiannya secara menyeluruh, bagaimana ia di buat, kesannya dan bagaimana pengeluaran harta penamaan itu oleh penama yang telah dilantik. Di samping itu, untuk melihat keseragaman pemakaiannya di semua institusi kewangan.

Bab ini akan menerangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan metodologi yang akan digunakan oleh penyelidik semasa menjalankan kajian. Bahagian-bahagian bab ini merangkumi jenis kajian, instrumen kajian dan kaedah analisis data.


i. Jenis kajian

Kajian ini melibatkan suatu kajian yang berbentuk lapangan, yang mana ia lebih kepada pencarian maklumat dan data utama daripada institusi-institusi yang berkenaan. Selain itu, kajian ini juga melibatkan kajian perpustakaan, di mana maklumat-maklumat melalui buku-buku, seminar, jurnal, artikel dan yang seumpamanya diperlukan untuk megkaji sejauhmana pendedahan penamaan harta ini kepada umum.

ii. Kaedah analisa data

Menganalisa maklumat dan data secara perbandingan diantara dua institusi kewangan iaitu di KWSP dan Lembaga Tabung Haji.

iii. Instrumen kajian

Teknik atau instrumen yang akan digunakan ialah melalui menemubual pihak-pihak berwajib yang berkaitan dengan tajuk kajian sebagai rujukan. Bertujuan untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci dan jelas.



1.7 SKOP DAN LIMITASI KAJIAN

Limitasi kajian merupakan batasan-batasan untuk menghadkan bidang kajian supaya terfokus dan mengelakkan penilai mempersoalkan kenapa tidak memasukkan bidang-bidang tertentu walaupun pada pandangan mereka adalah relevan.

i. Limitasi Masa

Tempoh kajian ini adalah berdasarkan kepada pemakaian dan pengaplikasiannya pada tahun 2007.

ii. Limitasi Bidang Kajian

Bidang kajian ini tertumpu kepada kedudukan penamaan harta secara perbandingan di KWSP dan Lembaga Urusan Tabung Haji. Perkaitan dan kesannya terhadap orang bukan Islam dan orang Islam.

iii. Limitasi Lokasi Kajian

Kajian yang akan dilakukan ini telah dihadkan di kawasan luar bandar sekitar Daerah Kajang, Selangor.



1.8 KAJIAN TERDAHULU

Bab ini menghuraikan tinjauan terhadap kajian-kajian yang berhubungkait dengan penyelidikan ini iaitu berkaitan dengan kedudukan penamaan harta di KWSP dan Lembaga Tabung Haji. Kajian-kajian ini diperolehi dari sumber-sumber seperti buku, jurnal, keratan akhbar, kertas kerja dan seumpamanya.

i. Seminar Pemakaian Undang-undang Wasiat dan Hibah di Malaysia di UIAM, Gombak yang dianjurkan oleh Klinik Bantuan Guaman Syarie Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim UIAM dan Yayasan Asnita dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga. Bertajuk Ketidakseragaman Undang-undang Cetus Masalah, menurut ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mendapati masyarakat Islam masih terikat dengan undang-undang penama, kebanyakan masih tidak lagi memahami menjadi penama bukan beerti seseorang itu paling berhak menerima harta tersebut selepas kematian pencarum. Maka JKSM akan melaksanakan penyeragaman prosedur antara negeri-negeri bagi tujuan pengeluaran sijil faraid.

ii. Seminar Faraid Peringkat Kebangsaan, Jabatan Syariah UKM, pada 22-23 Sya’ban 1403/4-5 Jun 1983 oleh Prof. Datuk Ahmad Ibrahim, tajuknya mengenai Harta Penama. Di mana dalam seminar ini Prof. Datuk Ahmad Ibrahim telah membincangkan mengenai harta penama secara umum, serta fatwa yang berkaitan harta penama, keputusan kes yang berdasarkan kepada prinsip penama bagi orang Islam dan bukan Islam.

iii. Tuan Hj. Wan Mohd Ismail bin Wan Hussien selaku KMN Timbalan Pengarah Besar (Kewangan), telah membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk Pengurusan Kewangan dan Pelaburan Islam: Pengalaman Tabung Haji. Dalam Seminar Pentadbiran dan Pengurusan Islam Peringkat Kebangsaan pada 10-12 September 1991 di Dewan Sri Budiman ITM Shah Alam. Dalam seminarnya beliau mengupas mengenai Lembaga Urusan Tabung Haji dari segi pengurusan, perntadbiran, sejarah perkembangan, perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan dan sebagainya yang berkaitan dengan Lembaga Urusan dan Tabung Haji.

iv. Undang – undang Tanah Islam Pendekatan Perbandingan. Dikarang oleh Mohd. Ridzuan Awang (1994). Kajian di dalam buku ini lebih kepada pentadbiran dan pengurusan harta, namun begitu ada juga diselitkan berkenaan dengan pentadbiran harta penama dan simpanan, sama ada ia menjadi suatu harta pusaka atau sebaliknya secara perbandingan.

v. Undang - undang Pusaka Islam Pelaksanaan di Malaysia. Dikarang oleh Mohd. Zamro Muda dan Mohd. Ridzuan Awang (2006). Di dalam buku ini, kebanyakannya menerangkan mengenai isu semasa berkaitan dengan harta pusaka, namun ada juga menyentuh mengenai penamaan. Ia berkaitan untuk menentukan harta pusaka (al-Tarikah), menjadi suatu isu untuk menentukan sama ada ia harta pusaka atau sebaliknya.

vi. Dalam satu penulisan yang dikarang oleh Narizan Abdul Rahman bertajuk Pentadbiran Harta Amanah Orang Islam: Tinjauan kepada Harta Penama pada tahun 2006. Di dalam penulisannya, beliau mengupaskan isu yang berkaitan status harta penama orang Islam dan bukan Islam, pentadbiran harta penama mengikut undang-undang, kedudukan undang-undang penama di Malaysia serta fatwa dan peruntukan undang-undang yang dirujuk.



BAB II
PENAMAAN HARTA DI KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA (KWSP) DAN LEMBAGA TABUNG HAJI (TH)



2.1 PENGENALAN

Di Malaysia, amalan pelantikan penama biasanya dijalankan di institusi kewangan, bank-bank, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga Tabung Haji dan sebagainya. Amalan ini menghendaki penyimpan atau pencarum melantik penama atau beberapa orang penama sama ada melibatkan orang Islam atau bukan Islam. Persoalan atau isu hanya akan timbul jika penyimpan atau seseorang kakitangan kerajaan atau swasta meninggal dunia.

Kajian di dalam bab ini bertujuan untuk melihat bentuk penamaan harta di KWSP dan Lembaga Tabung Haji. Mengkaji secara perbandingan di antara KWSP dan Lembaga Tabung Haji dari segi sejauhmana kedudukan penamaan harta di KWSP dan Lembaga Tabung Haji, fatwa-fatwa yang berkaitan, hak-hak penama serta cara perlaksanaan penamaan harta di kedua-dua institusi tersebut.


2.2 DEFINISI PENAMAAN

Menurut kamus Dewan, edisi yang ke-3, mentakrifkan penamaan sebagai “perihal menamakan dan pencalonan”. Misalnya surat penamaan waris itu hendaklah dianggap sebagai satu wasiat kepada seorang waris. Manakala penama pula ditakrifkan sebagai “orang yang dinamakan (dikemukakan) sebagai waris dan lain-lain”.

Selain itu, berdasarkan kepada kamus Inggeris Melayu Dewan, nominate ditakrifkan sebagai ‘melantik’, manakala nomination bererti ‘perlantikan’ dan nominee adalah ‘calon atau orang yang telah dilantik’.

Penamaan ialah menama atau mengangkat dengan nama, untuk sesuatu jawapan atau tempat melantik. Oleh yang demikian, pentakrifan ini tidak memberi makna bahawa menamakan seseorang untuk menerima sesuatu kumpulan wang bermakna orang itu berhak mendapat faedah kumpulan wang tersebut.

Istilah wasi dan benefisiari tidaklah ditakrifkan dalam Akta ini, rujukan tafsiran wasi boleh dibuat kepada takrifan yang diberikan dalam seksyen 2, Akta Undang-undang Sivil 1956 yang memperuntukkan wasi, ertinya wasi atau pentadbir si mati dan termasuk, berhubung dengan mana-mana obligasi, mana-mana orang yang mengambil milikan atau mencampuri hal harta si mati”. Rujukan juga boleh dibuat kepada Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 (Enakmen no.4 tahun 1999), seksyen 2(1) memperuntukkan:

“Benefisiari ertinya orang atau kumpulan orang sama ada diperbadankan atau tidak yang menerima faedah daripada sesuatu wasiat, termasuklah suatu tujuan agama atau kebajikan yang tidak bertentangan dengan hukum syarak. Manakala wasi ertinya seseorang yang kepadanya diamanahkan perlaksanaan sesuatu dan meliputi seseorang yang disifatkan sebagai dilantik menjadi wasi oleh mahkamah”

Sesetengah agensi kewangan seperti KWSP, Lembaga Tabung Haji, Syarikat-syarikat Kerjasama, Syarikat Insurans dan sebagainya mengamalkan sistem penamaan bagi memudahkan urusan pengeluaran wang apabila berlaku kematian.

Wang tersebut bukanlah milik penama, penama hanyalah bertindak sebagai wakil atau pentadbir. Setelah dikeluarkan, wang tersebut hendaklah dibahagikan kepada waris-waris mengikut faraid.

Adalah digalakkan membuat penamaan bagi memudahkan dan mempercepatkan urusan pengeluaran simpanan KWSP si mati kepada penama tersebut. Sekiranya pencarum tidak membuat penamaan untuk simpanan KWSP, waris terdekat atau tanggungannya berkemungkinan menghadapi kesukaran untuk menuntut simpanan tersebut daripada KWSP.
Sekiranya simpanan pencarum melebihi RM25,000, waris terdekat perlu mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir/Surat Probet/Perintah Pembahagian/Sijil Faraid daripada pihak yang menguruskan harta pusaka seperti Amanah Raya Berhad atau Mahkamah atau Pejabat Tanah. Proses untuk mendapatkan dokumen-dokumen berkenaan biasanya mengambil masa yang panjang dan pemohon akan dikenakan bayaran tertentu.


2.3 PENAMA YANG DILANTIK

Harta penama biasanya wujud dalam keadaan seseorang yang mencarum atau menyimpan wang atau sebarang harta untuk pelbagai tujuan akan menamakan seseorang sebagai penerima harta tersebut jika ia meninggal dunia. Oleh yang demikian wujud dua pihak iaitu:-

i. Orang yang menamakan (nominator).
ii. Orang yang dinamakan atau penama (nominee).

Proses penamaan ini dinamakan nomination. Bagi pelantikan penama, pencarum diberi kebebasan untuk menamakan sesiapa yang dikehendaki. Penama boleh terdiri daripada seorang atau beberapa orang yang biasanya terdiri daripada waris terdekat. Walau bagaimanapun, tidak semua penama akan menerima harta tersebut secara benefisial atau untuk kegunaan mereka sendiri.

Jika seseorang berumur 18 tahun dan ke atas, pencarum boleh menamakan warisnya (dibenarkan lebih dari seorang) sebagai penerima/pentadbir simpanan KWSP pencarum apabila pencarum meninggal dunia. Pencarum dinasihatkan untuk menamakan ahli keluarga terdekat seperti suami, isteri, anak-anak, bapa, ibu atau adik-beradik bagi memudahkan pengeluaran simpanan KWSP pencarum.

Walau bagaimanapun, warganegara asing tidak dibenarkan membuat sebarang penamaan. Oleh itu orang yang berhak dilantik penama mestilah warganegara Malaysia dan merupakan ahli waris yang terdekat bagi orang Islam dan pewaris yang sebenar (beneficiary) bagi orang bukan Islam.


2.3.1 Bagi penama yang bukan seorang Islam.


Penama harta bukan Islam akan menerima harta yang dinamakan kepadanya sepenuhnya, tanpa perlu dibahagikan kepada waris-waris bukan Islam yang lain. Ini adalah berdasarkan kepada Akta Insuran 1966 , yang mana memperuntukkan hak ke atas penama yang bukan Islam.

Mereka tertakluk kepada pertalian di antara pemegang polisi dengan penama, seseorang penama boleh menerima bahagian wang polisinya sama ada secara benefisial atau sebagai pemegang amanah atau wasi.
Bagi ahli bukan beragama Islam, individu (atau individu-individu) yang dinamakan adalah merupakan pewaris yang sebenar (beneficiary), yang akan menjadi penerima multak simpanan pencarum apabila pencarum meninggal dunia.

Jika ada suami atau isteri, anak atau ibu bapa yang masih hidup, dan tidak ada sebarang wasiat, maka menurut Akta Pembahagian 1958 , penama tersebut tidak akan mewarisi apa-apa daripada harta pusaka pencarum.

Jika penama adalah bukan suami atau isteri atau anak atau ibu bapa kepada pemegang polisi (sekiranya tidak ada suami atau isteri atau anak pada masa penamaan dibuat), penama akan menerima wang polisi hanya sebagai wasi dan ia hendaklah mengagihkan wang itu mengikut wasiat, atau jika tidak ada wasiat, mengagihkan mengikut kehendak undang-undang pengagihan yang berkaitan.

Dalam kes sedemikian, polisi berkenaan dikenali sebagai polisi bukan-amanah. Wang polisi itu akan menjadi sebahagian daripada harta pusaka simati dan tertakluk kepada hutang-piutangnya.

Adalah jelas bahawa wang polisi pemunya polisi bukan Islam tidak menjadi harta pusaka. Penama yang berhak mendapat wang polisi itu sepenuhnya, jika ada penama. Jika tidak ada penama, maka wang itu akan diserahkan kepada pemegang Amanah Raya. Jika penama adalah suami atau isteri atau anaknya, suatu amanah akan diwujudkan bagi penama yang akan menerima wang polisi secara benefisial.

Jika tidak ada suami atau isteri atau anak yang masih hidup ketika penamaan dibuat, maka menamakan wang polisi kepada ibu bapa dan amanah itu akan diberikan kepada ibu bapa dan mereka akan menerima wang polisi secara benefisial. Dalam kes sedemikian, polisi tersebut dikenali sebagai polisi amanah.

Apabila polisi amanah telah diwujudkan, maka tidak boleh membatalkan penamaan di bawah polisi, mengubah atau menyerahkan polisi, atau menyerahkan hak atau menyandarkan polisi sebagai cagaran, tanpa kebenaran bertulis daripada pemegang amanah.

Penama pada kebiasaaannya akan menerima terus harta yang dinamakan kepadanya. Sebagai contoh simpanan dalam KWSP, Lembaga Tabung Haji, Insurans dan Saham Amanah.

Sebagai contoh, jika anda menamakan abang sebagai penama, maka dia akan menerima wang polisi sebagai wasi. Wang polisi itu akan menjadi sebahagian daripada harta pusaka dan penama (abang) adalah berkewajipan untuk mengagihkan wang polisi dengan sewajarnya, termasuk kepada pemiutangnya, sekiranya ada.

Walau bagaimanapun, jika suami atau isteri atau anak masih hidup pada masa penamaan dibuat dan menamakan suami atau isteri dan ibu bapa atau menamakan anak dan ibu bapa, maka dalam kedua-dua kes ini hanya satu amanah akan diwujudkan, iaitu bagi suami atau isteri atau anak tetapi tidak bagi ibu bapa. Begitu juga, jika suami atau isteri atau anak masih hidup pada masa penamaan dibuat dan hanya menamakan ibu bapa, maka tiada amanah akan diberikan kepada ibu bapa.


2.3.2 Bagi penama yang beragama Islam.

Penama Islam hanya berperanan sebagai wasi sahaja dan bukannya benefisiari. Ini sejajar dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Namun aspek utama, iaitu tiada satu peruntukan yang mewajibkan penama membahagikan harta tersebut kepada waris. Yang ada hanyalah satu “peringatan” daripada institusi-institusi ini kepada penama.
Manakala, bagi ahli yang beragama Islam, individu (atau individu-individu) yang dinamakan adalah merupakan wasi/pentadbir yang bertanggungjawab untuk menguruskan pengagihan simpanan pencarum kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid apabila pencarum meninggal dunia.

Sebagai penama mereka berhak mengeluarkan wang tersebut. Namun Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa penama adalah wasi dan pemegang amanah yang bertanggungjawab untuk membahagikan wang yang dinamakan kepadanya kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Bagaimanapun sesuatu fatwa yang dikeluarkan tidak mengikat mana-mana negeri sehinggalah diwartakan dalam Warta Kerajaan bagi negeri tersebut. Selain itu, sarjana-sarjana perundangan tempatan juga telah membincangkan status harta penama berdasarkan kes-kes yang telah diputuskan oleh mahkamah. Prof. Ahmad Ibrahim dalam satu pembentangan berhubung harta penama menyatakan bahawa berdasarkan kes Re Ismail bin Rentah, adalah jelas bahawa wang caruman ahli syarikat koperatif yang dinamakan atas nama anak perempuan beliau adalah harta pusaka.

Abdul Kadir Hj. Muhammad menjelaskan bahawa harta penama bukan harta wasiat dan bukan juga harta pemberian (hibah). Beliau menyatakan bahawa unsur penting dalam pemberian ialah pemberian milikan secara serta-merta oleh seseorang semasa kedua-duanya masih hidup. Tetapi unsur ini tidak wujud dalam harta penama. Beliau juga berpendapat hal itu bukan wasiat kerana penama terdiri daripada kalangan mereka yang menerima pusaka.

Beliau seterusnya menegaskan bahawa oleh sebab harta penama tidak termasuk harta pemberian dan juga harta wasiat, maka harta itu kekal kepada status asal, iaitu harta milik si mati. Pandangan ini juga dikongsi bersama oleh seorang sarjana undang-undang yang lain dalam satu persidangan pentadbiran dan pengurusan harta orang Islam.


2.4 KEDUDUKAN PENAMAAN DI MALAYSIA

Bagi harta-harta alih seperti wang simpanan di dalam bank atau saham simpanan atau sijil insurans dan sebagainya, agihan boleh terus dibuat kepada penama (nominee) dengan menyertakan di dalam permohonan tersebut sijil kematian dan sijil simpanan tersebut.

Harus diingatkan bahawa agihan kepada penama adalah dibuat atas dasar pegangan amanah sahaja, bermakna penama haruslah mengagihkan semula wang yang diterima kepada waris-waris yang lain yang berhak.

Pelantikan penama telah lama diamalkan atau dilaksanakan di Malaysia sama ada ia berkaitan dengan harta orang Islam atau orang bukan Islam. Namun begitu, perkara ini telah membuka mata ramai pihak berkuasa, yang mana mereka mengambil keputusan bahawa amalan penamaan dan undang-undang penamaan yang bercanggah dengan hukum dan wasiat Islam hendaklah dipinda supaya tidak membenarkan orang-orang Islam membuat sebarang penamaan ke atas harta mereka atau hanya membolehkan penamaan dibuat oleh orang bukan Islam sahaja.

Di Malaysia, keadaan di sekeliling membenarkan dan menggalakkan seseorang itu menyimpan atau melaburkan wang mereka (sama ada orang Islam atau bukan Islam) atau harta mereka di dalam institusi kewangan (sama ada institusi itu mengamalkan riba’ atau tidak), misalnya di bank-bank perdagangan, Bank Simpanan Nasional, Amanah Saham Nasional, Lembaga Urusan dan Tabung Haji, Bank Islam, KWSP dan sebagainya.

Mengikut undang-undang yang ada, penyimpan-penyimpan harta tersebut dikehendaki melantik penama atau beberapa orang penama, yang mana mereka akan mendapat faedah daripada harta itu setelah kematian penyimpan harta tersebut.

Pelantikan penama adalah sesuatu yang sah di sisi undang-undang, sama ada ia berhubung kait dengan orang Islam atau bukan Islam. Bagi orang bukan Islam mereka akan mengikut atau tunduk kepada Akta Wasiat 1959, manakala orang Islam pula kepada undang-undang wasiat Islam.

Penamaan adalah suatu yang mempunyai persamaan dengan wasiat harta benda. Sekiranya berlaku kematian ke atas penyimpannya, maka wang itu akan menjadi hak milik penama, walaupun penama itu adalah terdiri daripada ahli waris yang akan menerima harta pusaka si mati. Jelas dapat dilihat bahawa bagi orang Islam pelantikan penama sedemikian adalah bertentangan dengan hukum faraid dan undang-undang Wasiat.

Walaupun penamaan wujud di institusi yang pelbagai, tujuannya hanya satu, iatu untuk memudahkan pihak-pihak yang berkenaan membayar atau memberi harta penamaan kepada sesiapa yang dinamakan jika berlaku kematian pencarum, penyimpan atau pemilik harta. Pihak-pihak tersebut tidak lagi bertanggungjawab kepada sebarang tuntutan kemudiannya. Tanggungjawab mereka selesai selepas memberi harta penama tersebut kepada pihak yang boleh menerimanya.

Kedudukan harta penama dalam Islam ini dapatlah disimpulkan sama ada ia termasuk dalam kategori :-

1. Harta hibah di masa hidup dan orang yang dilantik mendapat hak mutlak, atau
2. Harta wasiat kepada orang yang dilantik sebagai penama, atau
3. Harta yang tertakluk padanya hukum wasiat Islam iaitu penama hanya sebagai wasi atau pemegang amanah kepada harta pusaka yang perlu dibahagikan secara faraid.


2.4.1 Jenis-jenis harta yang boleh dilantik penama.

Kebiasaannya amalan perlantikan penama berlaku dalam dua jenis harta iaitu :-

i. Harta (wang) simpanan dalam institusi kewangan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Bank Simpanan Nasional, Lembaga Tabung Haji dan sebagainya.
ii. Polisi (wang) insuran nyawa yang ditinggalkan oleh si mati pemegang polisi.

Oleh yang demikian, di dalam kertas kerja ini akan lebih menumpukan kepada jenis harta yang pertama iaitu, harta (wang) simpanan dalam institusi kewangan. Harta atau wang simpanan yang disimpan mestilah mempunyai penama sebagaimana yang diterangkan sebelum ini. Misalnya wang simpanan di KWSP, Bank Simpanan Nasional, Lembaga Tabung Haji dan sebagainya.

Simpanan ini adalah jaminan kita untuk masa depan. Jadi semua penyimpan atau pencarum dikehendaki melantik penama bagi harta mereka, sebagaimana yang diterangkan di dalam Peraturan-peraturan Lembaga Urusan dan Tabung Haji.

Barang atau wang yang diberikan tidak menjadi milik orang yang diberi melainkan sudah diterimanya, tidak dengan semata-mata aqad. Nawawi menyebutkan bahawa milik benda berpindah hanya apabila orang yang diberi mengambil barang itu dengan izin orang yang memberi.


2.4.2 Fatwa yang berkaitan dengan penamaan harta.

Dalam perkara penamaan ini, terdapat beberapa fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam. Dalam mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke-96 yang diadakan pada 20 September 1973, Jawatankuasa itu telah memberi pendapat dan dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja bahawa:

“Penama-penama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Wang Simpanan Pejabat Pos, Bank, Insurans dan Syarikat Kerjasama adalah sebagai orang-orang yang melaksanakan wasiat si mati atau wasi. Mereka boleh menerima wang si mati dari sumber-sumber tersebut untuk dibahagikan kepada orang-orang yang berhak menururt pembahagian Faraid”.

Fatwa ini jelas menyatakan bahawa penama adalah seorang pemegang amanah (wasi) yang akan melaksanakan wasiat si mati untuk membahagikan harta tersebut kepada mereka yang berhak menurut faraid. Oleh itu, harta tersebut bukanlah menjadi milik mutlak penama.

Manakala berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh Mesyuarat Majlis Raja-raja kali ke-117 pada 21 Februari 1980, Jawatankuasa Fatwa telah mengemukakan pendapat dan telah dipersetujui oleh Majlis tentang penama (Nominee). Keputusannya ialah :-

i. Majlis (negeri-negeri yang mengambil bahagian) mengambil ingatan bahawa orang yang beragama Islam tidak boleh melantik penama,
ii. Majlis (negeri-negeri yang mengambil bahagian) bersetuju bahawa Yang Berhormat Peguam Negara menggubal undang-undang supaya orang yang beragama Islam tidak dibenarkan melantik penama.

Dengan fatwa itu Jabatan Peguam Negara telah pun memberi nasihat kepada kerajaan-kerajaan negeri berkenaan untuk membuat peruntukan yang sesuai bagi melaksanakan fatwa yang tercapai di atas dalam undang-undang negeri masing-masing. Setakat ini hanya negeri Melaka sahaja yang mengadakan peruntukan itu dalam undang-undang Pentadbiran Agama Islamnya.

Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan dalam satu kertas kerja “Hukum Wang Simpanan KWSP, SOCSO dan seumpamanya bagi ahli yang beragama Islam yang meninggal dunia” telah bermuzakarah dan mengeluarkan fatwa bertarikh 19 September 2000 seperti berikut:

i. Wang KWSP dan yang disimpan adalah pesaka yang mesti dibahagikan menurut faraid.
ii. Penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta. Penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan si mati) mengikut hukum faraid.
iii. Bahagian Undang-undang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hendaklah menasihatkan KWSP supaya menyemak semula peraturan dan undang-undang yang sedia ada berhubung dengan penamaan supaya selaras dengan hukum syarak.

Selain itu, fatwa Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang diwartakan pada 18 Januari 2001 memutuskan bahawa:-

Orang Islam yang dinamakan sebagai penama oleh simati dalam apa-apa skim simpanan wang dalam mana-mana Kumpulan Wang Simpanan, Insurans, Tabung, Lembaga, Syarikat Kerjasama, Koperasi atau institusi kewangan ialah wasi kepada simati dan hendaklah membahagikan harta peninggalan kepada waris yang berhak mengikut pembahagian faraid.

Sebelum terdapat peruntukan undang-undang yang menyebut bahawa orang Islam tidak boleh membuat penama (nominee) untuk harta mereka, sememangnya terdapat keputusan mahkamah Sivil yang memutuskan bahawa penama dalam polisi insurans dianggap sebagai pemilik mutlak seperti dalam kes Re Man bin Mihat, yang diikuti dalam kes Re Bahadun bin Haji Hassan.

Harta penama bukanlah harta wasiat dan bukan juga harta pemberian (hibah). Unsur penting dalam pemberian (hibah) ialah pemberian milikan secara serta-merta oleh seseorang kepada seseorang semasa kedua-duanya masih hidup. Tetapi unsur ini tidak wujud dalam harta penama. Harta penama kekal sebagai harta milik si mati. Pandangan ini dikongsi bersama seorang sarjana undang-undang yang lain dalam satu persidangan pentadbiran dan pengurusan harta orang Islam.

Bagi yang beragama Islam, penama yang dinamakan hanya bertindak sebagai wasi / pentadbir kepada simpanan sahaja. Sekiranya penama adalah waris ahli, beliau berhak mendapat bahagiannya mengikut Hukum Faraid.

Ahli yang beragama Islam dinasihatkan untuk melantik penama yang terdiri daripada orang-orang Islam untuk mengelakkan pertikaian. Mengikut undang-undang Islam, harta orang Islam tidak boleh dimiliki oleh orang-orang bukan Islam. Walau bagaimanapun, jika penama yang dilantik oleh ahli meninggal dunia, KWSP akan membayar kepada penama bukan Islam itu sebagai pentadbir.

Ahli yang terdiri daripada warga negara asing yang menjadi ahli sebelum 1 Ogos 1998 layak membuat penamaan manakala yang menjadi ahli selepas tarikh tersebut tidak layak membuat penamaan.

2.4.3 Amalan dan perlaksanaan harta penama di KWSP dan Lembaga Tabung Haji.

Secara umumnya, di Malaysia tiada satu undang-undang yang khusus berhubung harta penama. Sebaliknya undang-undang berkenaan harta penama boleh didapati dalam undang-undang yang pelbagai.

Sebagai contoh, seseorang penama yang dinamakan untuk menerima caruman wang dan faedahnya di KWSP akan terikat dengan undang-undang dan peraturan penamaan menurut Akta KWSP, Peraturan-Peraturan dan Kaedah-Kaedah KWSP. Manakala bagi penamaan dalam sesuatu polisi insuran pula, mereka tertakluk kepada Akta Insurans 1996 (Akta 553) dan Peraturan-Peraturan dan kaedah-kaedah institusi yang mengawal selia perniagaan insurans 1963. Penamaan di Lembaga Tabung Haji pula tertakluk kepada Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) dan Peraturan-peraturan Lembaga Urusan Tabung Haji (deposit dan pengeluaran) 1975.

Begitu juga sesetengah syarikat takaful menyediakan bentuk penamaan bayaran pampasan takaful dalam bentuk hibah. Oleh yang demikian, bayaran tersebut tidak dianggap sebagai pusaka tetapi hibah.



2.4.4 Kes-kes yang berkaitan dengan penamaan harta.

Persoalan tentang harta penama telah diputuskan dalam beberapa kes, antaranya dalam satu kes, Re Ismail bin Rentah, yang menetapkan bahawa wang caruman koperasi beliau yang dinamakan kepada anak perempuan sebagai penerimanya, bukanlah milik mutlak anak perempuan tersebut, tetapi merupakan harta pusaka.

Hakim Mahkamah Tinggi, apabila rayuan dibuat oleh anak perempuannya yang tidak berpuashati, telah mengekalkan keputusan Penolong Pendaftar Pertubuhan di Kuala Pilah yang memutuskan bahawa ia adalah harta pusaka.

Surat penama dan peraturan syarikat itu yang membolehkan surat penama itu diterima dianggapkan sebagai peraturan acara sahaja untuk kemudahan syarikat itu khasnya untuk membolehkan syarikat itu mendapat surat penerimaan yang sah mengenai bahagian si mati, jika terlambat mendapat surat kuasa mentadbirkan harta pusaka atau jika ada perbalahan antara ahli waris yang boleh melibatkan syarikat itu.

Hakim Musa H. merujuk juga kepada undang-undang di England yang membuat anggapan bahawa penama berhak mendapat harta iu untuk faeadahnya sendiri akan tetapi beliau beranggapan itu tidak boleh dikenakan kepada orang Islam oleh kerana di negeri-negeri melayu ada undang-undang yang menyekat hak seorang melayu (Islam) membahagikan hartanya dengan wasiat.

Manakala di dalam kes Re Bahadun bin Haji Hassan, Hakim Abdul Hamid berkata:

“Atas duluan Re Man bin Minhat saya berpendapat bahawa tidak ada apa-apa dalam undang-unang Islam yang menghalang seseorang membuat pemberian dalam masa hidupnya supaya orang yang dinamakan itu mendapat faedah wang insuran itu apabila orang (yang mengambil insuran itu) mati. Di sini terdapat pemberian yang lengkap sungguhpun pemberian itu tertakluk kepada orang yang mengambil insuran mati dan orang yang dinama itu masih hidup pada masa polisi itu tamat tempohnya.”

Dalam kes Wan Pauziah binti Wan Awang lwn. Wan Abdullah bin Muda dan seorang lagi , seorang ibu angkat bernama Hajjah Wan Hitam binti Haji Wan Long telah menamakan anak angkat perempuannya (plaintif) sebagai salah seorang penerima wang didepositkan di dalam akaunnya di Lembaga Tabung Haji apabila dia meninggal dunia. Penamaan yang dibuat oleh Hajjah Wan Hitam adalah mengikut peraturan 6, Peraturan-peraturan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji (Wang Simpanan dan Wang Keluaran).

Timbul persoalan iaitu sama ada penamaan yang berkenaan merupakan wasiat atau amanah ataupun penamaan semata-mata. Namun setelah meneliti semua keterangan yang diberikan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu memutuskan bahawa ½ bahagian daripada semua wang yang tersimpan di dalam akaun simati di dalam Lembaga Tabung Haji adalah harta yang diwasiatkan oleh simati kepada plaintif. Mahkamah memerintahkan Lembaga Tabung Haji untuk menyerahkan simpanan wang yang termasuk dalam bahagian wasiat tersebut kepada plaintif. Ini bermakna penamaan kepada bukan waris merupakan wasiat dan mesti diambil kira semasa mengagihkan wang simpanan si mati kepada waris-waris.


2.5 KESIMPULAN

Dari segi amalan, kebanyakan institusi kewangan, Syarikat Takaful, Lembaga Tabung Haji dan sebagainya telah pun melaksanakan fatwa di atas. Persoalannya, sejauhmana negeri-negeri telah mengambil tindakan untuk mewartakan fatwa itu atau menjadikan fatwa itu sebagai undang-undang negeri masing-masing.

Di samping itu, institusi atau agensi yang mengamalkan penamaan hendaklah juga memastikan bahawa wang atau polisi insurans / takaful yang dibayar kepada wasi itu adalah mengikut sijil faraid yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Kadangkala terdapat agensi yang mengeluarkan wang itu kepada wasi tanpa sijil faraid dan wang itu menjadi budi bicara wasi untuk membahagikannya kepada waris atau sebaliknya.

Oleh itu, berdasarkan perbincangan di atas tidaklah dipertikaikan lagi bahawa harta penama bukan menjadi harta wasiat atau harta hibah, tetapi adalah harta pusaka yang mesti dibahagikan kepada waris-waris yang berhak. Hakikatnya penama hanyalah pemegang amanah sahaja.


BAB II
KESAN PENAMAAN DARI SUDUT UNDANG-UNDANG



3.1 PENGENALAN

Bagi sesuatu institusi sama ada institusi kewangan atau selainnya, mesti mempunyai peraturan dan peruntukan yang tersendiri, yang mana ia ditetapkan bagi memastikan perjalanan pengurusan dan pentadbiran institusi berkenaan berjalan dengan lancar. Namun begitu, terdapat juga beberapa peraturan dan peruntukan yang tidak dapat dipatuhi sepenuhnya.

Oleh yang demikian, bab ini akan membincangkan mengenai kesan dari segi undang-undang terhadap penama yang tidak mematuhi hak dan kepentingan yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka. Melihat sejauhmana pengaplikasian undang-undang ke atas penama yang ingkar atau yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan, tindakan-tindakan undang-undang yang akan diambil, kesan dan akibat ke atas penama serta harta yang tidak diuruskan dengan cara yang betul.


3.2 UNDANG-UNDANG ATAU STATUT YANG BERKAITAN


Terdapat beberapa undang-undang atau statut yang dirujuk bagi membolehkan konsep penamaan ini berjalan dengan lancar. Maka di sini dapat di lihat wujudnya perbezaan di antara penama bukan Islam dan penama Islam, keadaan ini wujud kerana orang Islam terikat dengan undang-undang yang berkaitan dengan pembahagian harta pusaka Islam dan sebaliknya bagi orang bukan Islam.

Di dalam Akta Insurans 1966 memperuntukkan seperti berikut:-

“Sesuatu penamaan oleh seseorang pemunya polisi, selain daripada seseorang pemunya polisi yang beragama Islam, hendaklah mewujudkan suatu amanah bagi faedah penama atas wang polisi yang kena dibayar atas kematian pemunya polisi itu, jika:

a. Penama itu adalah suami atau isteri atau anaknya: atau
b. Tidak ada suami atau isteri atau anak yang hidup pada masa penamaan itu, penama adalah ibu bapanya.”

Seksyen 166(2) memperuntukkan bahawa:

“Walau apa pun apa-apa undang-undang bertulis yang bertentangan, suatu pembayaran di bawah subseksyen (1) tidaklah menjadi sebahagian daripada harta pusaka pemunya polisi yang mati atau tertakluk kepada hutangnya”.

(Kerajaan telah meminda Akta Insuran pada tahun 1996 melalui Seksyen 167(2) (yang hanya meliputi orang-orang Islam sahaja), di mana kini penama tersebut tidak lagi boleh mewarisi polisi yang berkaitan dan wang dari polisi tersebut akan dibahagikan kepada waris-waris yang sah di bawah hukum faraid.)

Kedudukan penama wang Caruman KWSP bertindak sebagai wasi yang bertanggungjawab untuk membahagikan dan mengagihkan simpanan ahli tersebut kepada waris-waris berhak menurut hukum faraid. Bagaimanapun peruntukan ini tidak dinyatakan dalam Akta KWSP 1991 (Akta Induk), tetapi hanya terdapat dalam Peraturan KWSP 1991 yang lebih bersifat inhouse rule yang lebih memberi penekanan kepada peraturan dalaman.

Kedudukan ini berbeza dengan polisi insurans yang diperuntukkan dalam Akta Insurans 1996. Akta induk, yang lebih tinggi statusnya berbanding Peraturan. Peraturan 16(2), Peraturan KWSP 1991 menyebut:

“Jika seorang ahli Kumpulan Wang yang beragama Islam mati, dengan membuat penamaan mengikut peraturan-peraturan ini, orang atau beberapa orang yang dinamakan itu hendaklah menerima kredit ahli yang mati itu sebagai seorang wasi dan bukannya benefisiari dan hendaklah membahagi-bahagikan kredit itu mengikut undang-undang Islam.”

Begitu juga dengan akta yang telah dipinda, Peraturan 9(2), Peraturan-Peraturan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 2001 telah memperuntukkan bahawa:-
“Jika seorang ahli yang beragama Islam mati setelah penamaan dibuat mengikut peraturan-peraturan ini, orang atau orang-orang yang dinamakan hendaklah menerima amaun yang berada pada kredit ahli yang mati itu sebagai wasi dan bukan semata-mata sebagai benefisiari dan hendaklah membahagi-bahagikan amaun itu mengikut Undang-Undang Islam.”

Pada dasarnya, peraturan ini hanya berstatus peringatan dan bukannya kewajipan di sisi undang-undang. Jika penama mengabaikan peraturan ini, tiada penalti dikenakan.

Manakala penamaan di Tabung Haji pula, tiada sebarang peruntukan penamaan di dalam Akta Tabung Haji 1995. Bagaimanapun penyimpan atau pencarum diwajibkan menamakan penama, sebaik sahaja seseorang membuka akaun di Tabung Haji menurut Peraturan Tabung Haji (peraturan 5, Peraturan-peraturan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (Deposit dan Pengeluaran) 1975).

Pihak Tabung Haji hanya membenarkan penama dilantik daripada kalangan waris-waris pendeposit yang berhak sahaja seperti anak, suami, isteri, ibu, bapa atau adik-beradik. Sekiranya penama yang dilantik bukan daripada kalangan ahli waris, penamaan tersebut akan terbatal.

Dalam Akta Takaful 1984, Akta Insurans 1996, Akta Koperasi 1993, penama adalah sebagai wasi (executor). Ada implikasi bila tak dituntut ia dianggap tiada waris. Jika luput tempoh waktu tertentu, akan dibayar kepada Pendaftar Wang Tidak Dituntut mengikut Akta Wang Tak Dituntut 1965 (Akta 370).

Bagi yang beragama Islam Akta Insurans 1996 telah memperuntukkan undang-undang Islam diikuti bagi orang Islam memperuntukan:

1. seseorang penama selain daripada seseorang penama di bawah seksyen 166(1) (bukan beragama islam) hendaklah menerima wang polisi yang kena dibayar atas kematian pemunya polisi itu sebagai wasi dan bukan semata-mata sebagai benefisiari dan apa-apa pembayaran kepada penama itu hendaklah menjadi sebahagian daripada harta pusaka pemunya polisi yang mati dan tertakluk kepada hutangnya dan penanggung insurans berlesen itu adalah dilepaskan daripada liabiliti berkenaan dengan wang polisi yang dibayar.

2. subseksyen (1) terpakai bagi seseorang penama polisi yang beragama Islam yang apabila wang polisi itu diterima hendaklah membahagikan wang polisi itu mengikut undang-undamg Islam.

Mengikut peruntukan yang ada di KWSP dan Lembaga Tabung Haji, semua pihak (penyimpan-penyimpan) di kehendaki mematuhi peruntukan yang ada. Mereka hanya sebagai pemegang amanah kepada harta si mati (penyimpan). Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan antara orang Islam dan orang bukan Islam.

Sebagaimana dalam Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (pindaaan) 1974, telah memperuntukkan :-

“Sebarang orang yang dinamakan untuk menerima wang-wang yang kena dibayar atas kematian pewasiat menurut sebarang undang-undang, hendaklah menerima dan memegang wang-wang untuk faedah harta pusaka pewasiat dan hendaklah dibayarkan wang-wang itu kepada wasi atau pentadbir pusaka pewasiat, mana-mana yang berkenaan, dan wasi atau pentadbir itu hendaklah membahagikan wang-wang itu menurut hukum syarak.”

Dengan syarat bahawa untuk tujuan membahagikan harta-harta pewasiat menurut hukum syarak, wang-wang yang kena dibayar di bawah penamaan kepada penama hendaklah disifatkan sebagai harta pusaka yang diberikan untuk penama dengan surat wasiat dibuat dengan betul oleh pewasiat.

Terjemahan undang-undang ini di dalam bahasa Malaysia tidak begitu tepat kerana salinan Inggerisnya menyebut mengenai nominator iaitu:-

“Any person nominated to receive monies payable on the death of the nominator under any law, shall receive and hold the monies for the benefit of the estate of the nominator and shall pay the monies to the executor or the administrator of the estate of the nominator, as the case may be, and the executor or administrator shall distribute the monies in accordance with Muslim law.”

Provided that for the purpose of the distribution of the assets of the estate of the nominator in accordance with Muslim law, the monies shall payable under the nomination to the nominee shall be deemed to be a request in favour of the nominee by a will duly made by the nominator.

Terjemahannya:-

“Mana-mana pihak yang telah dilantik untuk menerima wang simpanan si mati dari pewasiat di bawah mana-mana undang-undang Islam, akan menerima dan memegang wang untuk faedah daripada harta milik pewakil dan hendaklah membayar wang berkenaan kepada pemegang amanah atau pentadbir yang menguruskan harta pewakil, dan pemegang amanah atau pentadbir akan membahagikan wang tersebut berdasarkan undang-undang Islam”


Dengan syarat bahawa tujuan pembahagian harta pewasiat di bawah undang-undang Islam, harta itu dibayar berdasarkan penamaan ke atas penama hendaklah mendapat sokongan daripada penama di dalam wasiat yang secara sah dibuat oleh pewasiat.
Walau pun begitu terdapat keraguan sedikit mengenai syarat kepada seksyen ini, akan tetapi mungkin apa yang dimaksudkan ialah jika pemberian kepada penama itu sah mengikut hukum Syarak sebagai pemberian di bawah wasiat, maka ia boleh dikuatkuasakan.

Seksyen 23 itu diambil dari undang-undang Inggeris dan asalnya ialah seksyen II ‘Married Women’s Property Act” 1982, dan seksyen ini jelas tidak boleh dikenakan kepada harta orang-orang islam, kerana seksyen 25 Akta Undang-Undang Sivil 1956 memperuntukkan:-

“Tidak ada apa-apa di dalam bahagian ini boleh menjejaskan pemberian dan pembahagian harta mengikut undang-undang Islam.”

Seksyen ini bermaksud bahagian akta ini tidak boleh menjejaskan pembahagian harta mengikut undang-undang Islam, tidak disebutkan bahawa peruntukan itu tidak dikenakan jika terdapat ia berlawanan dengan undang-undang Islam.

Seksyen 23 Akta Undang-undang Sivil 1956 memperuntukkan:

“Sesuatu polisi insuran yang diadakan oleh seorang lelaki atas nyawanya sendiri dan disebutkan untuk faedah isteri atau anaknya atau isteri dan anaknya atau mana-mana mereka atau oleh seorang perempuan atas nyawanya sendiri dan disebut kan untuk faedah suami atau anak-anaknya, atau suami dan anak-anaknya atau mana-mana mereka, hendaklah mewujudkan amanah bagi faedah orang-orang yang dinamakan itu dan wang yang harus dibayar di bawah polisi itu, selama tujuan amanah itu sebelum dilaksanakan, tidak menjadi sebahagian harta pusaka orang yang mengadakan insurans itu atau tertakluk kepada hutang-hutangnya”.

Kedua-dua seksyen di atas ( seksyen 23 dan seksyen 25) jelas maksudnya, tetapi yang anehnya mahkamah mengenakan juga pemakaian seksyen 23 terhadap harta orang-orang Islam yang sepatutnya dibahagikan mengikut undang-undang Islam.


3.3 PROSEDUR PENAMAAN

Berdasarkan prosedur-prosedur yang telah ditetapkan oleh institusi kewangan tersebut, maka semua penyimpan dan penama yang dilantik hendaklah mematuhi dan melaksanakan tanggungjawab yang diberi. Namun begitu, peruntukan ini tidak mengikat penama yang telah dilantik untuk melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.

3.3.1 Prosedur Penamaan di Tabung Haji

Syarat wajib menjadi pendeposit simpanan wang di Tabung Haji, ialah diwajibkan pendeposit terdiri daripada:-

1. Warganegara Malaysia,
2. Individu yang beragama Islam,
3. Pemastautin tetap.

Penyimpan hendaklah terlebih dahulu mendapatkan penyata jumlah yang boleh dilaburkan serta Borang KWSP 9F (AHL). Berikutnya penyimpan hendaklah mengemukakan penyata jumlah yang boleh dilaburkan serta kad pengenalan penyimpan dan Borang KWSP 9F (AHL) yang telah lengkap diisi ke mana-mana Pejabat TH.
Pihak TH akan mengemukakan Borang KWSP 9F (AHL) yang telah lengkap diisi dan diperuntukan nombor akaun khas kepada KWSP untuk diproses. TH akan menghantar satu surat akuan terima kepada pelabur setelah didaftarkan.

Lembaga Tabung Haji ( TH ) telah dilantik oleh KWSP sebagai salah sebuah Institusi Pengurusan Dana ( IPD ) yang ke - 24 untuk membolehkan ahli KWSP yang layak menyertai Skim Pelaburan Ahli KWSP. Ahli KWSP yang beragama Islam layak untuk menyertai skim ini sekiranya mempunyai simpanan minima RM55,000 dalam Akaun 1 dan belum mencapai umur 55 tahun.

Jumlah yang boleh dilaburkan ialah:-

1. Minimum RM 1,000,
2. Maksimum 20 % daripada jumlah simpanan yang melebihi RM 50,000 dalam akaun 1.

Setiap 3 bulan dari tarikh pemindahan terakhir dibuat ke TH, pelabur boleh membuat pelaburan. Dalam hal ini anda perlu memenuhi beberapa syarat-syarat yang ditetapkan untuk mengemukakan permohonan yang seterusnya iaitu tempoh 3 bulan dan baki simpanan akaun 1 melebihi RM55,000.00.

Pelabur dalam skim ini juga akan diberi penyata setahun sekali mengenai kedudukan wang pelaburannya di TH. Setelah permohonan diproses, KWSP akan memindahkan simpanan tersebut terus kepada TH untuk dilaburkan.

Borang Pemegang Amanah memberi kuasa kepada TH untuk mengeluarkan wang simpanan pendeposit yang telah meninggal dunia kepada waris-waris yang dinamakan olehnya sebagai Pemegang Amanah untuk membahagikan pusaka mengikut Hukum Syarak.
Borang Pemegang Amanah atau Penama bukannya wasiat. Oleh itu, penama tidak mempunyai hak mutlak ke atas wang yang diterimanya. Dengan adanya Borang ini TH boleh mengeluarkan wang pendeposit yang meninggal dunia kepada pemegang amanah yang dinamakan dengan cepat untuk dibahagikan kepada waris-waris yang berhak.

Penama hendaklah terdiri daripada waris-waris yang berhak mengikut Hukum Syarak sahaja seperti berikut:-

1. Anak
2. Suami/Isteri
3. Bapa/Ibu
4. Adik Beradik

Penama yang belum cukup umur boleh dilantik tetapi hendaklah disahkan oleh bapa atau penjaga dengan catitan "Saya bersetuju dengan penama tersebut". Bagi mereka yang belum ada kad pengenalan, nombor kad pengenalan bapa atau penjaganya hendaklah digunakan dengan mencatitkan hurup 'P' di hujung nombor tersebut.

Sekiranya pendeposit meninggal dunia pembayaran akan dibayar kepada penama pertama, jika penama pertama meninggal dunia, pembayaran akan dibuat kepada penama kedua (Peringatan: Sekiranya kedua-dua pemegang amanah yang dilantik meninggal dunia terlebih dahulu daripada pendeposit, maka pengamanah yang baru hendaklah dinamakan segera).

Borang Pemegang Amanah baru akan membatalkan Borang Pemegang Amanah yang lama. Waris-waris yang dinamakan boleh mengisi Borang KEW.P.3 dan majukan ke Ibu Pejabat TH dengan menyertakan salinan Sijil Mati (Permit Penguburan tidak diterima sebagai Sijil Mati) dan salinan kad pengenalan pemohon.

(a) Simpanan yang tiada Pemegang Amanah

Sekiranya baki simpanan melebihi RM 1,000.00 waris perlu mendapatkan surat kuasa terlebih dahulu sebelum membuat permohonan mengeluarkan wang pusaka. Surat kuasa tersebut hendaklah disertakan bersama-sama dengan Borang Permohonan Mengeluarkan Simpanan Pendeposit Meninggal Dunia (Borang Kew.P3- Pindaan 3/94), salinan kad pengenalan pemohon dan salinan surat mati.

Surat kuasa tersebut boleh diperolehi dengan memilih salah satu dari cara-cara berikut:-

1. Surat tuntutan pusaka dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah yang boleh didapati di Pejabat-pejabat Kadi atau Pejabat Jabatan Agama Islam Negeri di Ibu Negeri, atau;
2. Surat Kuasa Bicara Kecil yang di uruskan oleh Pejabat Tanah/Daerah menerusi Bicara Pembahagian Harta Pesaka si mati, atau;
3. Surat Pentadbir Harta Pesaka yang diurus oleh Pegawai Pentadbir Pusaka atau Pemegang Amanah Raya, atau;
4. Surat Kuasa Pentadbiran dari Mahkamah Tinggi.

Sekiranya baki simpanan kurang dari RM1,000.00, pemohon hendaklah mengisi Borang KEW. P3 (pindaan 3/94) dan waris yang lain hendaklah melengkapkan Borang KEW P4 (pindaan 2/94).

Borang permohonan pengeluaran pusaka ini boleh diperolehi dan diserahkan di semua Pejabat TH. Borang ini akan dikemukakan ke Ibu Pejabat TH untuk proses selanjutnya. Bayaran akan dibuat melalui cek kepada pemohon mengikut bahagian yang telah diamanahkan oleh si mati dalam Borang Pemegang Amanahnya.

Bagi memudahkan pengeluaran wang pusaka yang tiada pemegang amanah waris si mati hendaklah mendapatkan Surat Pembahagian Pusaka mengikut hukum Syarak daripada Mahkamah Syariah.

Jumlah yang dipindahkan kepada TH tidak tertakluk kepada penamaan yang dibuat oleh ahli dengan KWSP. Bagi ahli yang meninggal dunia, jumlah yang dilaburkan akan dilepaskan kawalannya oleh KWSP. Bayaran kepada waris ahli akan dibuat oleh TH mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan ketika pendeposit mengisi Borang Butir-Butir Peribadi dan Pemegang Amanah TH semasa menyertai Skim Pelaburan KWSP ini.

Dari segi penyimpanan, Lembaga Tabung Haji membolehkan pendeposit menyimpan melalui mana-mana pejabat Tabung Haji, pejabat pos dan potongan gaji secara bulanan. Di samping itu, Tabung Haji mewujudkan skim-skim berikut:-

1. Potongan gaji untuk diri dan keluarga,
2. Simpanan pelajar,
3. Hadiah galakan sekolah-sekolah,
4. Bayaran bonus secara ansuran bulanan.

Manakala bagi pengeluaran simpanan pula, sekiranya seseorang pendeposit ada membuat penamaan semasa hayatnya dan penamaan itu masih berkuatkuasa, Tabung Haji akan membayar baki simpanan akaunnya kepada waris-warisnya yang dinamakan.

Di dalam urusan Tabung Haji membolehkan seseorang pendeposit yang berumur 18 tahun ke atas menamakan seorang atau lebih sebagai penama yang diamanahkan untuk membahagi apa-apa juga baki wang yang tersimpan dalam Lembaga Tabung Haji, secara faraid setelah ia mati.

Walaupun Lembaga Tabung Haji menggunakan sistem penama, apabila wang simpanan dikeluarkan dan dibayar kepada waris atau waris-waris tersebut, Lembaga Tabung Haji akan meminta wang tersebut dibahagikan kepada waris-waris lain mengikut hukum faraid. Berdasarkan kepada fatwa-fawa yang telah dikuatkuasakan, Lembaga Urusan dan Tabung haji menganggap bahawa sistem penamaannya tidak bercanggah dengan hukum faraid, di mana penama dalam simpanan Tabung Haji dianggap sebagai seorang wasi (executor) kepada si mati.


3.3.2 Prosedur membuat penamaan di KWSP

Penamaan adalah satu pengisytiharan secara bertulis yang dibuat oleh ahli dalam Borang KWSP 4 (AHL) bagi melantik/menamakan seseorang atau mana-mana orang sebagai "benefisiari" atau bertindak sebagai wasi/pentadbir (bagi orang yang beragama Islam) ke atas simpanan KWSP ahli apabila ahli meninggal dunia. Berdasarkan kepada seksyen 70D Akta KWSP 1971.

“ahli kumpulan wang yang bukan warganegara Malaysia tidak dibenarkan membuat apa-apa penamaan di bawah akta ini”. [Mas. Akta A1080]

Di bawah Akta KWSP 1991, sekiranya si mati sudah menamakan penama untuk mewarisi wang KWSP mereka, maka KWSP akan tetap membayar wang KWSP kepada penama yang berkaitan. Penama juga diberi surat yang menasihati agar penama menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Islam dengan membahagikan wang KWSP melalui prinsip faraid kepada waris-waris yang sah.

Walaupun pada zahirnya penama mendapat wang KWSP, tetapi surat nasihat dari KWSP tersebut boleh mengelirukan si penama. Waris-waris yang sah boleh juga menuntut wang KWSP tersebut dari Mahkamah Syariah untuk mensabitkan wang itu dijadikan sebagai harta pusaka si mati dan dibahagikan melalui hukum faraid.

(a) Tujuan penamaan di KWSP:-

Tujuan penamaan dibuat ialah untuk membolehkan KWSP melepaskan simpanan ahli yang meninggal dunia kepada orang yang dinamakan untuk menerima atau mentadbir (bagi orang yang beragama Islam) simpanan itu dengan segera, tanpa perlu mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir.

Penamaan mestilah dibuat menggunakan Borang KWSP 4(AHL) dan menyertakan salinan Kad Pengenalan ahli. Borang penamaan hendaklah dihantar dan diterima oleh mana-mana Pejabat KWSP berhampiran semasa hayat ahli.

Borang penamaan hendaklah diisi dengan melengkapkan butiran berikut:

a. Nama penuh ahli dan penama;
b. Nombor keahlian;
c. Nombor Kad Pengenalan Penama/Nombor Sijil KelahiranPenama;
d. Perhubungan di antara ahli dan penama;
e. Bahagian simpanan ahli yang diserahkan kepada penama;
f. Cap ibu jari ahli yang jelas diturunkan menggunakan Pad Cap Ibu Jari dakwat hitam; dan
g. Alamat surat menyurat ahli yang lengkap.

Setiap borang penamaan yang diterima daripada ahli akan didaftarkan ke dalam rekod KWSP dalam tempoh 8 hari bekerja kecuali ia tidak lengkap dan KWSP perlu berurus semula dengan ahli. KWSP akan mengeluarkan surat penerimaan penamaan dan surat pengesahan pendaftaran penamaan kepada ahli.

Ahli boleh memilih sesiapa sahaja yang berumur 18 tahun dan ke atas untuk menjadi saksi kepada penamaan ahli kecuali individu (individu-individu) yang dinamakan di dalam Borang Penamaan itu.

(b) Syarat-syarat penamaan adalah:

a. Ahli mestilah sudah mencapai umur 18 tahun;
b. Orang yang dinamakan adalah individu dan bukannya organisasi atau pertubuhan; dan
c. Penamaan dibuat menggunakan Borang KWSP 4(AHL).
Penamaan hanya boleh dibuat melalui borang KWSP 4 sahaja. Ini kerana ahli perlu menurunkan cap ibu jarinya di atas borang KWSP 4. Penamaan yang dibuat sebelum ini boleh dibatalkan dengan melengkapkan borang KWSP 4A (AHL).

Ahli boleh menukar penamaan tanpa had, selagi borang penamaan diterima oleh KWSP semasa anda masih hidup. Walau bagaimanapun, sekiranya anda mengemukakan borang KWSP 4(AHL) yang baru, secara automatik ia akan membatalkan penamaan yang dibuat sebelum ini.

Penamaan yang dibuat adalah maklumat sulit. Sekiranya ahli meninggal dunia, waris boleh menyemak status penamaan dengan syarat perlu mengemukakan Sijil Kematian ahli dan bukti hubungan (Sijil Lahir/Sijil Perkahwinan).

Ahli yang terdiri daripada warga negara asing yang menjadi ahli sebelum 1 Ogos 1998 layak membuat penamaan manakala yang menjadi ahli selepas tarikh tersebut tidak layak membuat penamaan.

Dalam mengemaskini penamaan pencarum dibenarkan menukar, meminda atau membuat penamaan baru dengan mengemukakan Borang Penamaan KWSP 4 (AHL) yang baru. Sebaik sahaja KWSP menerima Borang Penamaan tersebut, penamaan pencarum yang terdahulu akan terbatal dengan sendirinya.

(c) Penama yang dilantik

Penama yang bukan warganegara Malaysia sebagai penerima simpanan boleh dilantik dengan syarat butiran pengenalan diri penama hendaklah dicatatkan dengan betul dan tepat bagi memudahkan pembayaran pengeluaran apabila berlaku kematian.

Ahli boleh menamakan mana-mana individu yang masih di bawah umur. Bagaimanapun bagi ahli yang beragama Islam, dinasihatkan supaya melantik penama yang berusia 18 tahun ke atas kerana penama akan bertindak sebagai wasi / pentadbir simpanan ahli.

Ahli yang bukan Islam boleh menamakan penama seberapa ramai yang difikirkan perlu dengan menggunakan lebih daripada satu borang KWSP 4(AHL) sekiranya tidak mencukupi. Bagaimanapun bagi ahli yang beragama Islam dinasihatkan untuk menamakan tidak lebih dari tiga orang kerana mereka hanya bertindak sebagai Pentadbir.

Bagi seseorang yang beragama Islam, penama yang dinamakan hanya bertindak sebagai wasi / pentadbir kepada simpanan pendeposit. Sekiranya penama adalah juga waris ahli, beliau berhak mendapat bahagiannya mengikut hukum faraid.

Ahli yang beragama Islam dinasihatkan untuk melantik penama yang terdiri daripada orang-orang Islam untuk mengelakkan pertikaian. Mengikut undang-undang Islam, harta orang Islam tidak boleh dimiliki oleh orang-orang bukan Islam. Walau bagaimanapun, jika penama yang dilantik oleh ahli meninggal dunia, KWSP akan membayar kepada penama bukan Islam itu sebagai pentadbir.

(d) Pengeluaran harta bagi yang tidak mempunyai penama

Sekiranya ahli meninggal dunia dan tidak membuat penamaan, simpanan akan dibayar kepada waris yang menuntut di bawah Skim Pengeluaran Kematian. Dimana bayaran akan diproses di bawah Pengeluaran Kematian Tanpa Penamaan.

Sekiranya simpanan anda tidak melebihi RM20,000.00, bayaran akan dibuat secara sama rata kepada setiap isteri anda tertakluk kepada budi bicara KWSP. Sekiranya simpanan melebihi RM 20,000.00 waris perlu mendapatkan Surat Kuasa/Probet atau Surat Arahan/Akuan Bayaran Amanah Raya Berhad atau Perintah Pembahagian untuk memproses simpanan itu secara lebih adil dan bayaran akan dibuat kepada pentadbir/penerima yang dilantik sahaja.

Cara memproses permohonan Pengeluaran Kematian bagi ahli yang tidak membuat penamaan:

a. Jumlah simpanan tidak melebihi RM 2,500
1. Bayaran keseluruhan simpanan ahli akan dibuat serta merta kepada waris terdekat ahli.

b. Jumlah simpanan melebihi RM 2,500 dan kurang daripada RM20,000.
1. Bayaran ansuran pertama sebanyak RM 2,500.00 akan dibuat serta merta kepada waris terdekat ahli jika permohonan diterima kurang dua bulan dari tarikh kematian.
2. Baki semua simpanan akan dibayar kepada waris terdekat selepas tempoh 2 bulan dari tarikh kematian ahli.
c. Jumlah simpanan melebihi RM 20,000.00
1. Bayaran ansuran pertama sebanyak RM 2,500.00 akan dibuat serta merta kepada waris terdekat ahli jika permohonan diterima kurang dua bulan dari tarikh kematian.
2. Bayaran kedua (tidak melebihi RM 17,500.00) akan dibayar kepada waris terdekat selepas tempoh 2 bulan dari tarikh kematian ahli.
3. Baki semua simpanan akan dibayar sesudah waris ahli mengemukakan Surat Kuasa Mentadbir/ Surat Probet/ Perintah Pembahagian.
(e) Cara pembayaran atau pengeluaran kepada penama yang dilantik

Mengikut Akta KWSP 1991, bayaran hanya akan dibuat kepada penama yang dinamakan oleh ahli sahaja. Sekiranya penama tidak diketahui atau tidak dikenali oleh waris ahli, KWSP akan mengesan penama berkenaan melalui alamat yang diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara berdasarkan Nombor Kad Pengenalan penama atau nombor surat beranak penama.

Apabila ahli meninggal dunia, waris boleh menyemak penamaan yang dibuat oleh ahli dengan mengemukakan Sijil Kematian ahli dan bukti pertalian (Sijil Nikah / Perkahwinan / Sijil Kelahiran) di Bahagian Pengeluaran Kematian, Ibu Pejabat KWSP Kuala Lumpur atau Pejabat KWSP Negeri Sabah dan Sarawak, mengikut nombor pendaftaran ahli sama ada Semenanjung, Sabah atau Sarawak, di mana saja yang berkenaan.

Sekiranya penama tidak dapat dikesan, simpanan ahli masih selamat tersimpan dan layak mendapat dividen tahunan. Jika penama tidak diketahui sudah meninggal dunia selepas tempoh 7 tahun dari tarikh kehilangannya, maka perlulah mendapat pengisytiharan 'anggapan kematian' yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi dan permohonan untuk mengeluarkan simpanan ahli boleh diproses.

Seksyen 60. Penalti am:

“Mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan Akta ini atau mana-mana peraturan atau kaedah yang dibuat di bawahnya adalah melakukan suatu kesalahan dan jika tiada penalti khas diperuntukkan dengan nyata dalam Akta ini atau peraturan-peraturan atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya itu, apabila disabitkan, boleh dipenjarakan selama suatu tempoh yang tidak melebihi enam bulan atau didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau kedua-duanya.”


3.4 KESAN PERLANGGARAN

Akibat dari sikap penama yang memandang ringan ke atas tanggungjawab yang diberikan, maka timbullah masalah-masalah ke atas harta dan waris-waris si mati. Walau bagaimanapun, tidak ada satu pun peruntukan undang-undang mengenainya. Oleh itu, penama adalah orang yang bertanggungjawab ke atas segala masalah yang timbul. Ini kerana institusi kewangan tidak lagi bertanggungjawab ke atas harta si mati setelah ia diberikan kepada penama yang telah dilantik.

3.4.1 Kesan ke atas penama

Penama adalah orang bertanggungjawab menguruskan harta si mati, maka penama bertanggungjawab sepenuhnya untuk membahagikan harta si mati kepada ahli waris yang lain. Sekiranya penama mengabaikan tanggungjawabnya, maka penama tersebut tidak dikenakan apa-apa tindakan yang boleh diambil.

Terdapat beberapa sikap penama yang menyebabkan berlaku penyelewengan terhadap harta yang dinamakan antaranya:-

1. Adanya harta yang tidak dituntut oleh ahli waris kerana ahli waris tidak mengetahui mengenai harta terbabit dan hak mereka ke atas tanah tersebut.
2. Penama yang tidak amanah dalam pembahagian harta, seperti menggunakan harta untuk kepentingan diri sendiri.
3. Melengahkan masa pembahagian harta kepada waris-waris, pembahagian tidak dilakukan sejurus selepas penama mendapat kebenaran mengeluarkan harta tersebut.
Penamaan yang dibuat adalah maklumat sulit. Sekiranya ahli meninggal dunia, waris boleh menyemak status penamaan dengan syarat perlu mengemukakan Sijil Kematian ahli dan bukti hubungan (Sijil Lahir/Sijil Perkahwinan).

Selain itu penama juga tidak dimaklumkan secara rasmi bahawa mereka telah dilantik sebagai penama. maka akan menimbulkan masalah untuk menjejaki penama tersebut jika berlaku kematian pencarum atau pemilik harta.

3.4.2 Kesan terhadap harta penama

Antara perkara yang berlaku terhadap harta ialah:-

1. Harta telah digunakan secara yang tidak sah.
Penama yang telah dilantik telah membiarkan dan melengahkan pembahagian harta kepada ahli waris yang berhak serta terdapat segelintir penama yang menggunakan harta tersebut untuk kepentingan mereka sendiri. Selain itu segelintir penama enggan membahagikan harta kepada ahli waris.

2. Harta tidak diterima oleh ahli waris yang berhak.
Perkara ini berlaku kerana sesetengah ahli waris tidak mengetahui mengenai kewujudan penamaan harta tersebut.

3. Harta tidak dituntut.
Sebgaimana yang dikarang oleh Jaafar Ahmad mengenai masalah sejuta kes pusaka belum selesai semasa Seminar pembahagian harta pusaka kecil anjuran bersama Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian dan Pejabat Tanah Kluang.

3.4.3 Kesan kepada ahli waris

Antara perkara yang memberi kesan kepada ahli waris ialah:-

1. Tidak mendapat hak mereka
Kepentingan dan kebajikan ahli waris si mati tidak diutamakan, kesan dari sikap penama yang tidak bertanggungjawab. Maka berlaku penganiayaan ke atas ahli waris yang berhak.

2. Tidak dapat mewarisi harta ahli keluarga
Sebagaimana yang diketahui, harta peninggalan si mati menjadi hak milik ahli waris yang berhak, tetapi dengan keadaan yang sedemikian maka ahli waris tidak dapat mewarisinya.

3. Terkilan dengan sikap penama
Menjadi beban kepada ahli waris, umpamanya isteri dan anak-anak. Di mana harta tersebut adalah salah satu sumber kewangan yang ada sebagai tambahan bagi keperluan untuk menyara hidup mereka, akibat daripada ketiadaan tempat bergantung.


3.5 KESIMPULAN

Kesimpulannya, setelah merujuk kepada undang-undang dan peruntukan yang ada ia membuktikan bahawa penamaan harta adalah berdasarkan kepada satu autoriti yang tertentu dan adalah menjadi tanggungjawab untuk melaksanakannya. Begitu juga konsep penamaan ini tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh KWSP dan Lembaga Tabung Haji. Walaupun tidak wujud satu peruntukan mengenai pelanggaran syarat yang ditetapkan ke atas konsep penamaan, namun ia masih berjalan berdasarkan peruntukan yang dibuat.


RUJUKAN


Abdul Kadir Hj. Muhamad. 1997. Harta Penama Bukan Harta Pemberian dan Wasiat. Jurnal Syariah. Jil. 5. bil. 2. Julai 1997.

Ahmad Hidayat Buang. 2007, Undang-undang Islam di Malaysia Prinsip dan Amalan. Penerbit Universiti Malaya. Kuala Lumpur.

Amir Bahari. 2006. Panduan Wasiat Islam dan Pentadbiran Harta Pusaka di Malaysia, Mulia Erat: Kuala Lumpur.
Anon. Penamaan KWSP / EPF. http://www.kwsp.gov.my/index. 28 Julai 2007.

Fatwa Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang diwartakan pada 18 Januari 2001.
Imam Nawawi. Minhaj at talibin. t.th.

Kamus Dewan. Edisi ke-3. 1994. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kementerian Pelajaran Malaysia. Kuala Lumpur.

Kamus Inggeris Melayu Dewan. Edisi pertama. 1992. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kementerian Pelajaran Malaysia. Kuala Lumpur.

Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan fatwa bertarikh 19 September 2000.

Majlis Raja-raja yang ke-96 yang diadakan pada 20 September 1973.

Md. Yazid Ahmad & Ibnor Azli Ibrahim. Amalan Penamaan Harta Orang Islam di Malaysia: SatuTtinjauan Ringkas Menurut Syariah Islam. Jurnal Pengajian Umum. Jil. 5. Bil. 3. November 2005.
Mesyuarat Majlis Raja-raja kali ke-117 pada 21 Februari 1980.
Mohd Ridzuan Awang. 1988. Undang-undang Mengenai Pentadbiran dan Pengurusan Harta Orang Islam di Malaysia: Suatu Pengenalan. Dlm. Mohd Ridzuan Awang (pnyt). Undang-undang dan Pentadbiran Harta Pusaka Orang-orang Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: al-Rahmaniah.

Mohd Ridzuan Awang. 2006. Pengurusan Harta Orang Islam di Malayisa: Isu-isu Undang-undang dan Penyelesaian. Dlm Zamzuri Zakaria (pynt). Prosiding Seminar Kebangsaan Pengurusan Harta dalam Islam. Jabatan Syariah. UKM: Bangi.

Mohd Zamro Muda dan Mohd. Ridzuan Awang. 2006. Undang - undang Pusaka Islam Pelaksanaan di Malaysia. Jabatan Syariah. Fakulti Pengajian Islam, UKM: Bangi.

Narizan Abd Rahman. 2006. Pentadbiran Harta Amanah Orang Islam: Tinjauan kepada Harta Penama. Dlm. Siti Mashitoh Mahamod (pnyt). Harta amanah orang Islam di Malaysia Perspektif Undang-undang dan Pentadbiran. Kuala Lumpur: Penerbit Universti Malaya.

Prof. Ahmad Ibrahim. 1988. Harta penama. Dlm. Mohd ridzuan Awang (pnyt) Undang- undang dan pentadbiran harta pusaka orang Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: al- Rahmaniah.

Prof. Dato’ Haji Ahmad Haji Ibrahim. Harta Penama. Dlm. Seminar Faraid Peringkat Kebangsaan pada 4-5 Jun 1983.

Prof. Mohd Ridzuan Awang. 1994. Undang–undang Tanah Islam Pendekatan Perbandingan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rosminah Osman. 2007. Perancangan Perwarisan yang Efektif Terhadap Simpanan Orang Islam di KWSP. Konvensyen Perwarisan Harta dan Pusaka Islam Malaysia, anjuran Amanah Raya Berhad pada 12-14 Jun 2007 bertempat di Hotel Residency: Universiti Tenaga Nasional.

Sheikh Ghazali Abdul Rahman, Penama. Dlm. Seminar Pemakaian Undang-undang Wasiat dan Hibah di Malaysia di UIAM Gombak. Selangor. t.th.

Suwaidah Tapah. 1993. Undang-undang Pentadbiran Fatwa di Malaysia. Jurnal Syariah. Jil. 1. Bil. 2. Julai 1993. hlm. 56. t.tp.: t.pt.

Tuan Haji Muhamad Rani Saidali. 2007. Kaedah Penamaan Simpanan Tabung Haji: Penyelesaian Masalah-masalah Perwarisan. Dlm. Konvensyen Perwarisan Harta Pusaka Islam Malaysia, anjuran Amanah Raya Berhad pada 12-14 Jun 2007 bertempat di Hotel Residency: Universiti Tenaga Nasional.

Tuan Haji Wan Ismail Wan Hussein. 1991. Pengurusan Kewangan dan Pelaburan Islam: Pengalaman Tabung Haji 1991. Dlm. Seminar Pentadbiran dan Pengurusan Islam Peringkat Kebangsaan. 10-12 September 1991. Dewan Sri Budiman ITM: Shah Alam.
Wan Abdul Halim Wan Harun. Pengurusan dan Pembahagian Harta Pusaka. t.th: t.tp

Warta Kerajaan Malaysia, Jld. 45. No. 2. P.U (B) 7/2001.

0 pendapat: