DONATE

Jumaat, 17 Disember 2010

PERINTAH PEMBAYARAN BALIK PENDAHULUAN NAFKAH BSK OLEH MAHKAMAH DARI PERSPEKTIF HUKUM SYARAK DAN UNDANG-UNDANG

Oleh: Mohd Hairuddin bin Abdul RahimDecision Points

A.   FAKTA PERSOALAN

1.    Adakah pendahuluan nafkah yang dibayar oleh BSK kepada Pemiutang Penghakiman boleh dianggap sebagai hutang terhadap BSK yang boleh dipindahkan tanggungan pembayaran balik kepada Penghutang Penghakiman mengikut Hukum Syarak? Dan;

2.    Sekiranya jumlah pembayaran pendahuluan nafkah BSK dianggap sebagai hutang yang wajib ditanggung oleh Penghutang, adakah ia boleh dikategorikan sebagai fi dan perbelanjaan yang akan dilevikan sebagaimana peruntukkan di bawah seksyen 157 ATTM sebagai tambahan kepada hutang penghakiman serta boleh dibayar kepada BSK mengikut seksyen 167 ATTM atau tidak? Dan;

3.    Jika ‘hutang tersebut’ boleh dibayar kepada BSK mengikut peruntukkan di bawah seksyen 167 ATTM, adakah pembayaran tersebut perlu melalui Mahkamah atau tidak?



B.   PERBAHASAN HUKUM SYARAK

4.    Persoalan pertama yang hendaklah terlebih dahulu di jelaskan ialah, apakah status pembayaran pendahuluan nafkah BSK kepada Pemiutang dianggap sebagai hutang Pemiutang atau hutang Penghutang yang hendaklah dibayar kembali kepada BSK. Sekiranya dasar yang ditetapkan adalah akan menjadi hutang kepada Pemiutang, adakah sah dan sabit hutang tersebut dipertanggungjawabkan kepada Penghutang untuk membayar balik dalam keadaan tanpa persetujuan dan mungkin malahan tanpa pengetahuan Penghutang pun?

5.    Jika dirujuk dalam hukum syarak, permasalahan yang mungkin berkaitan dengan permasalahan atau isu yang ditimbulkan di sini ialah dalam permasalahan Hiwalah atau pindah hutang. Jumhur fuqaha’, selain ulama’ Mazhab Hanafi mentakrifkan hiwalah sebagai suatu aqad (kontrak) yang membawa kepada pemindahan tanggungan hutang kepada tanggungan hutang yang lain.

6.    Mengikut pendapat yang paling asah di kalangan ulama’ Syafi’I untuk kesahihan aqad pindah hutang disyaratkan mendapatkan kerelaan daripada pemindah hutang dan pemiutang asal sahaja. Kerelaan penerima pindah hutang tidak disyaratkan. Ini kerana ia menjadi tempat hak dan pengurusan dan pemindah hutang mempunyai hak ke atas hutang pada orang lain yang boleh dituntut.

7.    Ulama’ Hanbali, Syafi’I dan Maliki berpendapat bahawa apabila aqad pindah hutang telah dimeterai, hutang telah berpindah dan Pemiutang asal rela dengan pemindahan tersebut, ia tiada hak menuntut hutangnya daripada pemindah hutang selama-lamanya, sama ada hutang tersebut dapat dibayar oleh penerima pindah hutang atau tidak.

8.    Sehubungan dengan itu, merujuk kepada dasar pelaksanaan pembayaran pendahuluan nafkah BSK kepada Pemohon, yang mana menghendaki Pemohon hendaklah membayar balik jumlah wang nafkah yang telah didahulukan oleh BSK, membolehkan wang pendahuluan nafkah tersebut dianggap sebagai suatu hutang Pemohon kepada BSK. Pemohon berhutang dengan BSK yang hendaklah dibayar semula setelah penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah Mahkamah berjaya dilaksanakan.

9.    Oleh yang demikian, berdasarkan kepada konsep hiwalah yang telah dibincangkan di atas, tiada halangan syarak untuk tidak membolehkan hutang Pemiutang (pemohon) kepada BSK di pindahkan kepada Penghutang Penghakiman. Ini kerana Pemiutang (pemohon) telah sedia mempunyai hak hutang terhadap Penghutang Penghakiman akibat daripada kegagalan pelaksanaan perintah yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah terlebih dahulu. Berdasarkan kepada perbincangan ulama’ di atas juga menyatakan bahawa sah dan sabit pindah hutang Pemiutang (pemohon) kepada Penghutang walau tanpa kebenaran dan / atau pengetahuan Penghutang.

10.  Namun demikian, perkara yang perlu diambil kira oleh BSK ialah berkenaan akad (kontrak) atau sighah pindah hutang antara BSK dengan pihak Pemiutang (Pemohon). Ini kerana berdasarkan kepada pendapat ulama’ yang diutarakan di atas, proses pindah hutang memerlukan sighah akad (kontrak) antara pemindah hutang (pemohon) dengan pihak yang memberi hutang (BSK) untuk memindah hutang kepada penerima pindah hutang (penghutang). Ini kerana walaupun Pegawai BSK ada menerangkan syarat-syarat untuk membuat permohonan bantuan pendahuluan nafkah kepada Pemohon, namun berdasarkan kepada borang-borang yang sedang digunapakai oleh BSK pada masa ini, tiada terma berkaitan sighah aqad pindah hutang tersebut disediakan.

11.  Walau bagaimanapun, aqad pindah hutang dan persetujuan pemindah hutang tidak diperlukan jika melibatkan Perintah Mahkamah.


C.   PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG

12.  Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, pendahuluan nafkah yang dibayar oleh BSK kepada Pemohon akan menjadi hutang yang hendaklah dibayar balik kepada BSK hasil daripada pelaksanaan dan / atau penguatkuasaan perintah nafkah. Jika dirujuk peruntukan undang-undang yang wujud berkaitan perbelanjaan hasil daripada proses pelaksanaan dan / atau penguatkuasaan perintah ialah peruntukan seksyen 157 dan 167 ATTM.

13.  Sehubungan dengan itu, persoalan lanjut ialah sekiranya jumlah pembayaran pendahuluan nafkah BSK dianggap sebagai hutang yang wajib ditanggung oleh Penghutang, adakah ia boleh dikategorikan sebagai fi dan perbelanjaan yang akan dilevikan sebagaimana peruntukkan di bawah seksyen 157 ATTM sebagai tambahan kepada hutang penghakiman serta boleh dibayar kepada BSK mengikut seksyen 167 ATTM atau tidak?

14.  Seksyen 157 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah memperuntukkan:

Semua perbelanjaan dan fi pelaksanaan, termasuk kos pelaksanaan Peguam Syarie, hendaklah dilevikan sebagai tambahan kepada hutang penghakiman.

15.  Manakala peruntukan seksyen 167 ATTM pula memperuntukkan:

“Bailif hendaklah menggunakan wang yang dilevikan atau diterimanya melalui pelaksanaan mengikut susunan yang berikut:
(a) perbelanjaan pelaksanaan;

(b) pengembalian deposit pemiutang penghakiman yang tidak digunakan;

(c) jika hal itu termasuk dalam Bahagian XIX, pembayaran ke dalam Mahkamah yang hendaklah diperlakukan mengikut Bahagian itu;

(d) jika hal itu yang tidak termasuk dalam Bahagian XIX, pembayaran ke dalam Mahkamah untuk kredit pemiutang penghakiman tidak melebihi amaun yang diperlukan untuk menunaikan penghakiman yang mengenainya pelaksanaan itu dikeluarkan dan kos pelaksanaan itu; dan

[Pin. Akta A1251/2005:s.10]

(e) pembayaran bakinya ke dalam Mahkamah untuk kredit penghutang penghakiman.
16.  Setelah penelitian dibuat terhadap peruntukkan tersebut di atas, disimpulkan bahawa wang hasil daripada pelaksanaan dan / atau penguatkuasaan perintah hanya boleh digunakan bagi membayar kos perbelanjaan dan fi pelaksanaan termasuk kos peguam syarie, amaun penghakiman kepada Pemiutang dan pembayaran baki (sekiranya ada) kepada Penghutang.

17.  Hakikatnya, wang pendahuluan nafkah yang dibayar kepada Pemohon (Pemiutang) tidak termasuk dalam mana-mana perkara yang diperuntukkan dalam peruntukan seksyen 157 dan 167 ATTM tersebut kecuali jumlah wang pendahuluan nafkah tersebut telah disabitkan dan diperintahkan oleh Mahkamah sebagai sebahagian daripada hutang penghutang (amaun penghakiman).

18.  Sekiranya jumlah pendahuluan nafkah anak yang dibayar kepada Pemiutang disabitkan dan diperintahkan oleh Mahkamah sebagai amaun penghakiman yang hendaklah dibayar oleh Penghutang kepada Pemiutang, maka pembayaran yang dibuat oleh Penghutang hasil daripada pelaksanaan dan / atau penguatkuasaan hendaklah dilaksanakan berdasarkan peruntukan 173 dan seksyen 215 ATTM iaitu berkenaan pembayaran daripada Mahkamah.

19.  Seksyen 173 ATTM memperuntukkan:

Tertakluk kepada mana-mana undang-undang bertulis, apa-apa jumlah wang yang dibayar ke dalam Mahkamah oleh bailif untuk kredit mana-mana orang hendaklah, atas permohonannya, dibayar daripada Mahkamah kepadanya tanpa apa-apa perintah:

Dengan syarat bahawa Pendaftar boleh mengikut budi bicaranya dalam apa-apa hal dan hendaklah, jika dia mempunyai notis bahawa mana-mana orang lain menuntut jumlah wang berkenaan atau mana-mana bahagian jumlah wang itu, mengkehendaki pemohon itu mendapatkan perintah Mahkamah sebelum membuat pembayaran itu.”

20.  Manakala seksyen 215 ATTM pula memperuntukkan:

“Sebelum membuat apa-apa pembayaran daripada Mahkamah, Pendaftar--
(a) boleh mengkehendaki bukti bahawa orang yang memohon pembayaran itu ialah orang yang berhak atau diberi kuasa untuk menerima pembayaran itu; dan

(b) hendaklah memastikan bahawa semua wang yang kena dibayar kepada Kerajaan yang telah dimaklumkan kepadanya telah dibayar atau dipotong.”

D.   KESIMPULAN/CADANGAN

21.  Pelaksanaan dasar semasa BSK yang menetapkan wang pendahuluan nafkah anak yang dibayar kepada Pemiutang sebagai hutang dan hendaklah dibayar balik oleh Penghutang adalah tidak bersalahan dengan hukum syarak walaupun tanpa kerelaan dan tanpa pengetahuan daripada Penghutang.

22.  Namun begitu, walaupun telah jelas dalam hukum syarak berkenaan kuasa Hakim Syarie dalam memerintahkan pembayaran hutang dilaksanakan secara hiwalah, namun sebagai seorang hakim, sudah semestinya sebelum memerintahkan sesuatu perkara yang dipohon oleh Pemohon atau Peguam Syarie hendaklah terlebih dahulu memastikan perkara tersebut adalah selaras dengan kehendak hukum syarak (mazhab syafie). Oleh yang demikian adalah dicadangkan agar pelaksanaan penyaluran bantuan pendahuluan nafkah BSK ini hendaklah diperbaiki dengan menyediakan borang akad (kontrak) yang hendaklah dilafazkan (sighah) bagi memenuhi kehendak hukum syarak bagi memudahkah Hakim membuat perintah sepertimana yang dipohon.

23.  Sehubungan itu, sekiranya pelaksanaan penyaluran bantuan pendahuluan nafkah telah dilaksanakan jelas mengikut hukum syarak (oleh kerana ini perkara baru), saya percaya bahawa hakim syarie tidak akan teragak-agak untuk memerintahkan wang pendahuluan nafkah anak tersebut sebagai hutang yang hendaklah dibayar oleh Penghutang melalui hasil daripada proses pelaksanaan dan / atau penguatkuasaan Perintah.

24.  Bahkan saya berpendapat sekiranya BSK menetapkan dasar bahawa wang pendahuluan nafkah yang dibayar kepada Pemiutang hendaklah dibayar balik melalui hasil daripada proses pelaksanaan dan / atau penguatkuasaan Perintah, amaun pendahuluan nafkah tersebut hendaklah terlebih dahulu diperintahkan oleh Mahkamah sebagai amaun penghakiman yang ditanggung oleh Penghutang. Pensabitan Mahkamah adalah diperlukan bagi memastikan penggunaan hasil daripada pelaksanaan dan / atau penguatkuasaan dapat dilaksanakan mengikut peruntukan seksyen 157 dan 167 ATTM.

25.  Berikutan daripada itu, perkara yang perlu diberikan perhatian berikutnya ialah sekiranya amaun pendahuluan nafkah tersebut telah disabitkan sebagai amaun penghakiman dan penggunaan hasil pelaksanaan dan / penguatkuasaan dilakukan mengikut seksyen 157 dan 167 ATTM, maka proses pembayaran balik pendahuluan nafkah tersebut kepada BSK hendaklah dilaksanakan mengikut peruntukan seksyen 173 dan seksyen 215 ATTM.
Catat Ulasan